"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belanjawan 2025: Lapan perkara anda patut tahu

Malaysiakini

Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Anwar hampir tiga jam petang ini menyentuh pelbagai perkara.

Di bawah antara perkara menarik untuk makluman pembaca.

(1) Penyasaran subsidi petrol

Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025. Subsidi RON 95 bakal dipotong sebanyak RM8 bilion untuk golongan 15 peratus berpendapatan paling tinggi (T15). Harga RM 2.05/liter akan kekal buat 85 peratus rakyat.

(2) Bantuan kepada penjawat awam

Penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM500. Pesara akan menerima RM250.

(3) Cukai SST diperluas

Kerajaan akan kemas kini skim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Mei tahun depan. Skop diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi. Cukai tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas tetapi barangan premium yang diimport seperti ikan salmon dan avocado.

(4) Gaji minimum RM1,700

Kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang bermula 1 Februari 2025. Penangguhan enam bulan (sehingga 1 Ogos 2025) diberi kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan. 

(5) Penerima bantuan Sara bertambah 6 kali ganda

Kerajaan bercadang menambah jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada 4.1 juta berbanding 700,000 penerima tahun ini. Bantuan RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKaD penerima bermula April 2025.

(6) Cukai dividen 2 peratus

Belanjawan 2025 memperkenalkan cukai dividen ke atas pendapatan dividen terhadap pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025. Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan pemilikan harta saham jutaan ringgit.

(7) Gaji PM dan menteri

Menteri-menteri serta lantikan politik akan terus membuat potongan 20 peratus gaji dan PM tetap tidak akan menerima gaji.

(8) Undang-undang tahanan rumah

Kerajaan berhasrat menggubal akta baru bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah. Akta itu dikatakan sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Tiada ulasan: