Bernama
Tangkap layar gambar dan video tular dikongsi orang awam berkaitan tangkapan harimau.
IPOH: Seekor harimau belang yang dipercayai menyerang dua lelaki hingga maut di Bersia, Gerik, serta di Batu Melintang Jeli, Kelantan, berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan haiwan berkenaan memasuki perangkap dipasang Perhilitan.
Ya, dapat tangkap di sebelah Jeli. Perhilitan Kelantan akan memberikan maklumat lanjut berhubung tangkapan ini, katanya.
Semalam, Yusoff berkata pihaknya melaksanakan gerak kerja bersama Perhilitan Kelantan untuk menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa hingga maut pada Selasa dan Rabu lalu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga Myanmar meninggal dunia dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Batu Melintang, Jeli.
Kejadian sama berlaku Selasa lalu apabila seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, meninggal dunia diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik-Jeli di Bersia, dekat Gerik.
Hari ini tular gambar dan video dikongsi oleh orang awam menerusi Facebook berkaitan tangkapan harimau terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan