'Ini maruah anak saya'
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
SYAZWAN menunjukkan gambar memaparkan barang kemas masih dipakai anaknya ketika jenazahnya ditemui di dalam kereta yang diparkir di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Petaling Jaya: "Ini bukan soal nilai barang kemas yang hilang itu, tetapi maruah anak saya apabila barang berharga itu diambil dari tubuhnya yang sudah tidak bernyawa," luah Syazwan Abddulah, 59, yang mendakwa barang kemas dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini pada 1 Oktober lalu, hilang.
Syazwan berkata, dia dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya yang berusia 26 tahun itu berhubung penemuan mayatnya pada awal pagi, 1 Oktober lalu.
"Difahamkan anak ditemukan anggota polis peronda yang membuat rondaan selepas menyedari kereta Proton Saga dinaikinya diparkir di kawasan terbabit dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.
"Selepas dimaklumkan perkara itu, saya dan isteri menaiki penerbangan dari Lahad Datu, Sabah ke Kuala Lumpur sebelum dimaklumkan jenazah anak sudah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Berdasarkan pemeriksaan awal, anak saya dipercayai terkena serangan jantung yang meragut nyawanya," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, dia terdetik untuk mencari rantai, loket serta gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.
"Saya dimaklumkan pihak hospital serta polis anak tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu.
"Pencarian di seluruh rumah sewa berkenaan juga tidak menemui barang kemas itu menyebabkan saya merujuk perkara berkenaan kepada bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci.
"Pada hari kejadian, bomba ada mengambil gambar sebelum dan selepas mereka memecahkan cermin kereta itu memandangkan kenderaan berkenaan berkunci," katanya.
Menurutnya, berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai serta gelang emas dipakai anaknya sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Sangat jelas dalam gambar itu (daripada pihak bomba) anak saya masih memakai barang kemas berkenaan, tetapi dalam gambar diberikan polis pula sudah tiada rantai serta gelang emas terbabit.
"Ketika polis menemukan kereta itu, ia dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup. Tiada siapa yang dapat mengambil barang kemas berkenaan ketika itu.
"Perkara itu menyebabkan saya syak barang kemas berkenaan diambil ketika jenazah anak saya masih di dalam kereta terbabit (sebelum dihantar ke HKL)," katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu.
Beliau yang juga bekas pegawai kanan polis berasa ralat apabila pegawai penyiasat kes seakan tidak mahu memberikan kerjasama berhubung kes itu.
"Saya menghubungi pegawai berkenaan untuk mendapatkan maklumat, tetapi tiada maklum balas. Malah, saya juga sudah merujuk perkara ini kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
"Apa yang saya kecewa adalah siasatan ini hanya dibuka kertas inkuiri (KEP) dan bukannya kertas siasatan," katanya.
Katanya, dia serta ahli keluarga reda dengan pemergian anaknya yang meninggal dunia tanpa sebarang unsur jenayah, tetapi mahu keadilan ditegakkan atas kehilangan barang kemas berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang menyiasat berhubung dakwaan terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan