"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh model: Polis kemuka notis biru pada Interpol kesan pasangan AS

story-image
Bernama

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa polis telah mengemukakan ‘notis biru’ kepada Interpol bagi mengesan lokasi pasangan warga Amerika Syarikat berhubung kes pembunuhan mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, pada 2017.

Peguam Kanan Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkipli berkata, notis itu dikemukakan Rabu lepas terhadap Alexander William Johnson, 51, dan Lunara Almazkyzy, 37, yang dikaitkan dengan kematian remaja berusia 18 tahun, Ivana.

Notis Biru Interpol merujuk kepada permintaan untuk menjejaki, mengenal pasti atau mendapatkan maklumat mengenai orang yang menjadi perhatian, dan ini merupakan notis kedua yang dikeluarkan terhadap pasangan itu, selepas notis pertama dikeluarkan pada 18 Nov 2020.

Sementara itu peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berkata berikutan kemas kini terkini, perbicaraan hari ini telah dikosongkan kepada 21 Okt.

“Perbicaraan asalnya ditetapkan hari ini dan Rabu telah dikosongkan. Pihak-pihak berkaitan telah mempertimbangkan kemungkinan penyelesaian, yang butirannya tidak dapat didedahkan pada masa ini.

“Mahkamah telah menjadualkan 21 Oktober untuk pihak-pihak terlibat memberikan maklumat terkini mengenai penyelesaian itu; jika tiada resolusi dicapai, perbicaraan akan diteruskan pada tarikh ditetapkan,” kata peguam itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membenarkan penangguhan itu.

Verstappen, 60, selaku plaintif memfailkan saman pada 2020 terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan kerana didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam penyiasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya berusia 18 tahun itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 unit kondominium yang dimiliki pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian atau menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy selain gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran pasangan itu sebagai saksi utama semasa inkues.

Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Ivana disebabkan oleh misadventure (kemalangan akibat nahas).

Verstappen yang tidak berpuas hati dengan keputusan Koroner, kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 Nov 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan "kematian yang disebabkan oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali".

- Bernama

Tiada ulasan: