"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 perkara perlu dipelajari melalui usul undi percaya Perak

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Nampaknya negeri Perak kekal sebagai sebuah negeri yang mempunyai pergolakan politik yang paling hebat dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Pergolakan yang bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang membawa kepada peristiwa JWW Birch dibunuh dan Dato’ Maharajalela Pasir Salak dihukum.

Kini pada awal abad ke 21, berlaku pula peristiwa MB Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaludin dilucutkan jawatan yang bukan sahaja mengubah kedudukan politik bahkan juga mengubah sistem perlembagaan negara apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perlucutan jawatan Menteri Besar tidak perlu diuji di dalam Dewan Undangan Negeri. Cukup dengan wujud surat akuan sahaja maka Raja boleh melantik seorang Menteri Besar yang baharu dan jawatan Menteri Besar yang lama akan terlucut secara automatik.

11 tahun selepas peristiwa pemecatan Dato’ Seri Nizar, negeri Perak mempunyai sejarah yang baharu yang mana seorang Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu menyaksikan beliau kalah dalam usul undi percaya.

Jika selama ini kita sering mendengar tentang usul undi tidak percaya tetapi kali ini wujud pula usul undi percaya digunakan untuk menjatuhkan seorang Menteri Besar. Usul undi tidak percaya sering digunakan oleh pembangkang tetapi usul undi percaya ini digunakan oleh penyokong kerajaan.

Anehnya usul undi percaya ini meskipun dibawa oleh adun kerajaan dan disokong juga oleh adun kerajaan tetapi apabila sampai masa mengundi tidak pula pembawa usul itu menyokongnya.

Inilah dinamika politik negara bernama Malaysia. Ruang undang-undang disulam rapi dengan permainan politik. Apa pun tindakan politik itu masih dalam ruang lingkup demokrasi berperlembagaan. Bahkan cara sebegini lebih terpuji daripada menjadi kerajaan dengan cara tebuk atap atau pintu belakang kerana cara tebuk atap itu hanya bersandar rapuh kepada sebuah surat akuan. Ianya dibuat dalam ruang rahsia yang terlindung daripada mata orang ramai. Berbanding dengan sebuah usul yang dibuat di dalam Dewan, ianya dilihat oleh semua orang dan keputusan dalam Dewan tidak boleh diubah melainkan dengan melalui proses Dewan juga. Sesiapa yang mengubah keputusan Dewan akan dikenang sepanjang zaman sehingga ratusan tahun akan datang sebagai pengkhianat Perlembagaan.

Justeru, keputusan DUN Negeri Perak ini menyebabkan ramai pemimpin politik negara khasnya parti PPBM terkedu tidak keruan dan seperti tidak tahu apa yang patut dibuat selepas ini. Begitu juga dengan respons langsung pemimpin Pas yang menjadi sebahagian anggota kerajaan Perak dan Persekutuan.

Yang nyata, Paduka Tuanku Sultan Perak tahu apa yang patut dibuatnya. Baginda segera memanggil Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menghadapnya. Ini kerana jika seorang MB itu kalah undi percaya maka hanya ada 2 pilihan untuknya iaitu meletakkan jawatan atau memohon untuk membubarkan DUN. Namun, beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak akan membubarkan DUN. Maka, tujuan menghadap Baginda itu semestinya bagi tujuan meletakkan jawatan.

Baginda juga segera memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap Baginda. Pastinya Baginda dalam proses untuk melantik seorang MB yang baharu. Ini tugas asas seorang Raja untuk berbuat demikian.

Tindakan Baginda yang tegas dalam mematuhi kehendak Perlembagaan tanpa mencampur aduk dengan perasaan dan kehendak peribadi adalah sangat profesional berbanding jika seorang Raja menitahkan sesuatu urusan politik untuk dipersetujui oleh semua ahli dewan seumpama menitahkan untuk semua ahli Dewan menyokong sesuatu rang undang-undang. Seorang Raja harus berada di atas politik kerana Raja yang bertindak mengikut kehendak politik akan terbuka untuk dikritik. Biarlah urusan ahli politik diputuskan oleh ahli politik di dalam Dewan sendiri hatta jika berlaku lagi peristiwa seumpama ini sekali lagi pun biarlah ianya berlaku kerana panduan untuk bertindak sudah wujud dalam Perlembagaan.

Peristiwa usul undi percaya pada 4/12/2020 ini amat mengejutkan ramai pihak. Ianya disusun dengan rapi sehinggakan Majlis Tertinggi Umno di peringkat Persekutuan juga menafikan pernah membincangkan hal ini.

Tindakan politik yang mengejut ini dengan berselindung di sebalik usul undi percaya (yang lazimnya untuk menyokong MB) telah digunakan untuk memulas tengkuk MB. Berbanding jika dibuat usul undi tidak percaya tentu sekali ianya akan jelas di mata khalayak bahawa tindakan itu dibuat untuk mengguling MB.

Sama juga dengan Langkah Sheraton tempohari pastinya telah dirancang berbulan bulan tetapi ianya tidak dapat dihidu oleh pimpinan utama PH. Jadi, modus operandi hampir sama digunakan dan seharusnya dipelajari oleh pemimpin PH. Tindakan membuat pengumuman sidang media strong, convincing and formidablle pastinya akan mengundang musuh untuk merancang gerakan tindak balas untuk outsmart tindakan itu. Biarlah sesuatu tindakan itu dirancang secara rahsia dan selepas ianya berhasil maka baharulah hal itu didedahkan kepada orang ramai.

Ada 2 perkara yang kita pelajari dalam ilmu perlembagaan melalui peristiwa usul undi percaya Perak ini yang tidak disebut secara nyata dalam mana mana buku teks Perlembagaan.

Pertamanya, untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri atau Menteri Besar tindakan penyingkiran harus dibuat terlebih dahulu. Tindakan penyingkiran yang dibuat di dalam Dewan lebih berautoriti dan tiada pertikaian berbanding dengan tindakan penyingkiran secara tebuk atap atau melalui sidang media atau melalui surat akuan.

Keduanya, setelah berlaku penyingkiran maka baharulah dibuat tindakan politik untuk meyakinkan Istana untuk melantik seseorang yang mempunyai majoriti sokongan ahli Dewan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Tindakan ini harus pantas dan dirancang dengan rapi kerana sekiranya tidak berhati-hati maka pihak lain akan dengan pantas akan mengambil kesempatan untuk mengangkat sumpah terlebih dahulu (Orang kata potong tang konar). Jika tindakan angkat sumpah telah dibuat maka orang yang bercita-cita untuk menjadi MB atau PM akan menghadapi kesulitan untuk mengulang kembali langkah yang pertama.

Tiada ulasan: