"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib, Khalid berbalas serangan selepas bertemu di Cameron Highland

NASUHA RAHMAN

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berbalas serangan di laman facebook masing-masing selepas bertemu di Cameron Highland semalam.

Najib terlebih dahulu melakukan serangan terhadap Khalid dengan memuat naik status “oh, sebelah kiri saya ini tauke Harapan Coin. Hari itu terpegun naik MRT. Jangan dia terkejut Cameron ada strawberi sudahlah”.

Najib turut memuat naik gambarnya di dalam sebuah masjid di mana individu sebelah kirinnya adalah Khalid Samad dan di fahamkan gambar itu diambil ketika selesai solat Jumaat di sana.

Kemudian, beberapa jam selepas itu, Khalid pula memuatnaik statusnya di facebook yang turut meletakkan gambar yang sama. Statusnya itu sebagai membalas serangan Najib.

“Kenalkan sebelah kanan saya ni tauke 1MDB. Saja nak bagitau, baik jadi tauke Harapan Coin daripada jadi tauke 1MDB yang rembat duit rakyat,” tulis Khalid.

Kini, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland semakin rancak parti yang bertanding masing-masing bertungkus lumus menggerakan jentera mereka bagi memenangi hati pengundi. Berbagai-bagai cara berkempen digunakan parti yang bertanding.

Seorang ketua balai polis berpangkat ASP disiasat kerana mengugut pasangan suami-isteri

Polis sedang menyiasat seorang pegawai kanannya yang berpangkat ASP kerana didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap pasangan suami isteri di tepi jalan di Kampung Simee, di Ipoh Isnin lalu.

Menurut sumber pegawai berkenaan yang telah berkhidmat selama kira-kira tiga tahun di sebuah balai polis di Ipoh dan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun itu, didakwa telah mencekak leher baju seorang doktor dan cuba memukul isteri lelaki berkenaan yang merupakan seorang peguam.

Katanya, dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, pasangan itu sedang joging di tepi jalan itu sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam lalu di kawasan itu dipercayai dipandu pegawai polis itu secara merbahaya dan hampir melanggar suami isteri itu.

“Pengadu iaitu doktor berusia 34 tahun itu menjerit 'woi' kerana terkejut dan jeritan itu membuatkan pemandu kereta berhenti dan keluar daripada kereta dan terus mencekak leher baju lelaki terbabit dan berulang kali bertanyakan 'you (anda) kenal saya siapa?'.

"Pemandu itu juga memberi amaran akan mencari di mana rumah pasangan terbabit dan menurut mangsa ketika berhadapan dengan pemandu berkenaan, dia tercium bau alkohol serta mengesyaki lelaki itu dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Sumber berkata isteri doktor berkenaan membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit dan ia disedari pemandu itu yang kemudian bertindak meluru ke arah isteri mangsa seperti ingin memukulnya tetapi dapat dihalang doktor berkenaan.

"Doktor berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Simee, di Ipoh pada pukul 7.44 malam hari sama. Hasil semakan video daripada mangsa mendapati pemandu kereta berkenaan adalah seorang pegawai kanan polis yang juga ketua polis balai dan kereta dinaiki didaftar atas nama seorang wanita," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby, ketika dihubungi mengesahkan kes membabitkan ketua polis balai berumur 49 itu siasatan lanjut sedang dijalankan.
-Bernama

Ceroboh tanah Orang Asli: Putrajaya saman k’jaan Kelantan

Hafiz Yatim
Kerajaan Persekutuan atas arahan kabinet hari ini memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri Kelantan kerana menceroboh tanah Orang Asli Temiar di negeri ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

"Buat pertama kalinya di negara ini, kerajaan pusat sedang melaksanakan prosiding undang-undang bagi pihak Orang Asli selaras dengan kewajipan perlembagaan dan undang-undang kerajaan persekutuan untuk melindungi dan mempromosikan kesejahteraan mereka.

"Walaupun perkara tanah dan perhutanan terletak di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli Temiar," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Thomas, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan memandang serius pencerobohan tanah tersebut.

"Tindakan mereka menghalang Orang Asli Temiar daripada tanah dan sumber asli mereka, dan menyebabkan hakisan, pencemaran dan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap ekologi dan landskap Pos Simpor (di Gua Musang)," katanya.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan lima syarikat swasta sebagai pihak defendan.

Ia memohon perintah mahkamah untuk mengiktiraf hak tanah Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dan injunksi untuk menghalang syarikat swasta daripada menceroboh dan memusnahkan tanah berkenaan untuk tujuan komersil.

Putrajaya akan mewakili masyarakat Orang Asli Temiar secara percuma.

SPRM rampas 6 kotak dokumen dalam serbuan 6 jam di SSM

Khairil Ashraf
KUALA LUMPUR
: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 6 lagi kotak dokumen berkaitan skandal projek Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dianggarkan bernilai RM500 juta dalam serbuan selama 6 jam di ibu pejabat suruhanjaya itu, hari ini.

Ini adalah serbuan ke-3 sejak minggu lalu, di mana 2 pegawai SPRM yang tiba kira-kira 11 pagi tadi, dilihat keluar dari Menara SSM di Jalan Stesen Sentral 5 pada 5.10 petang.

Sumber SPRM yang dihubungi FMT mengesahkan rampasan dokumen itu.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang menyiasat anak seorang pegawai kanan SSM yang dipercayai terbabit dalam dakwaan skandal projek SSM dianggarkan bernilai RM500 juta.

Pembabitan suspek berusia 20-an itu terbongkar, selepas SPRM menyerbu 3 syarikat dan ibu pejabat SSM pada 9 dan 14 Januari lalu.

Sebanyak 69 kotak dokumen dipercayai berkaitan kes itu dirampas dalam serbuan pertama 9 Januari lalu. Susulan itu, 2 lagi kotak dokumen dirampas SPRM Jumaat lalu.

Semua dokumen itu dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak, termasuk dakwaan rundingan terus yang dikatakan merugikan kerajaan.

Siapakah menteri yang meluluskan pembelian 'Baju Bomba palsu' pada tahun 2016¿

'Baju bomba palsu:' SPRM minta bantuan forensik firma UK
Hariz Mohd dan Koh Jun Lin

SPRM sedang dalam proses untuk menentukan jika 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta yang dibeli Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pada 2016 merupakan barang palsu.

Menurut sumber, suruhanjaya itu menerima maklumat bahawa pakaian memadam kebakaran itu tidak dibuat pengilang yang berpengkalan di United Kingdom.

Ini kerana perolehan baju kalis api itu didakwa berasal dari sana, kata sumber.

"SPRM cuba mendapatkan (syarikat) di UK untuk melakukan (analisis) forensik .

"Kita perlu melakukan perbandingan (antara baju yang dibekalkan oleh pengilang dan baju yang diterima oleh jabatan).

"Ini kerana ada tuntutan bahawa pakaian itu tidak dibekalkan (oleh pengilang)," kata sumber kepada Malaysiakini.

Tak selamat, tak patuh piawaian

Sumber itu mengulas mengenai SPRM sedang mengusahakan kerjasama dengan UK melalui perjanjian antarabangsa, Bantuan Perundangan Bersama (MLA)

Semalam, dilaporkan bahawa SPRM telah merampas baju tersebut pada tahun 2017.

Rampasan itu dibuat selepas Jabatan Kimia mendedahkan bahawa pakaian itu tidak selamat dan tidak mematuhi piawaian Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pemeriksaan Malaysiakini terhadap senarai keputusan tender oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2016 mendapati hanya satu syarikat yang dianugerahkan projek itu untuk membekalkan pakaian kalis api bomba tahun itu.

Ia menyatakan bahawa kementerian membuat keputusan dalam satu mesyuarat pada 10 Jun 2016, untuk menyerahkan projek itu kepada syarikat persendirian swasta, yang alamatnya berdaftar di Cheras, Kuala Lumpur.

Jumlah tepat untuk tender bekalan itu adalah RM13,590,000, atau RM2,265 bagi setiap unit pakaian.

Perincian 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram Azeez

KINIGUIDE | Hari ini Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dihadapkan dengan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, dengan jumlah keseluruhan RM144.6 juta.

Sembilan daripada pertuduhan adalah berkenaan menerima RM139.4 juta wang haram daripada beberapa syarikat.

Tiga lagi adalah berkenaan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta untuk membantu sebuah syarikat mendapat projek kerajaan.

Syarikat yang terlibat

Azeez didakwa menerima dana haram daripada empat syarikat antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Syarikat utama yang terlibat adalah Menuju Asas Sdn Bhd, yang memberi sejumlah RM42.5 juta. Laporan media menyatakan Menuju Asas terlibat dalam beberapa projek lebuh raya dan jalan raya di Malaysia.

Azeez juga didakwa menerima RM70.8 juta daripada Mangkubumi Sdn Bhd. Profil syarikat itu menyatakan ia terlibat dalam pembinaan jalan dan jambatan, serta projek saliran.

Pintas Utama Sdn Bhd didakwa memberikan RM22.4 juta kepada anggota Majlis Tertinggi Umno itu. Profil syarikat itu menyatakan ia terlibat dalam pembinaan dan kerja raya.

Syarikat terakhir yang dinamakan dalam pendakwaan terhadap Azeez adalah AVP Engineering Sdn Bhd, yang didakwa memberikan RM8.9 juta kepada Azeez. AVP terlibat dalam kerja penyelenggaraan dan pasang siap kepada kenderaan khas, misalnya trak bomba.

Tujuan pembayaran

Tuduhan pengubahan wang haram - yang mana menamakan empat syarikat itu - tidak menjelaskan tujuan pembayaran kepada Azeez.

Bagaimanapun tiga tuduhan rasuah menyatakan Pengarah Menuju Asas Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah memberikan Rm5.2 juta kepada Azeez untuk mendapatkan pelbagai projek.

Bayaran pertama pada 8 Disember 2010 melibatkan RM1.2 juta, untuk mendapatkan bantuan Azeez bagi memperoleh tender kerajaan bernilai RM197.8 juta.

Ia untuk tiga projek jalan di Kampung Gajah, Perak, dan satu projek di Kampung Merbau Kudung, Kedah.

Bayaran kedua dan ketiga pula masing-masing sebanyak RM2 juta, pada Jun 2017 dan April 2018. Ia untuk mendapatkan bantuan Azeez bagi memperoleh tender kerajaan untuk kerja penambahbaikan jalan di Teluk Intan, Perak.

Projek itu bernilai RM644.5 juta.

Pertuduhan dihadapi Azeez

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, Azeez didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Jika disabit bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan.

Bagi kesalahan rasuah, Azeez didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabit bersalah, ia membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu abang Azeez, Abdul Latif berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM kerana bersubahat dengan Azeez dalam menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan.

Jika disabit bersalah, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM.

KINIGUIDE ini disediakan oleh Zikri Kamarulzaman.

Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim

Faisal Asyraf

Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.6 juta, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Untuk pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada Pengarah Menuju Asas Sdn Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.


Transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Azeez yang juga bekas pengerusi Tabung Haji boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda lima suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit bersalah.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa menerima wang haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, abangnya Abdul Latif Abdul Rahim juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM800,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Azeez, dan RM500,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Latif.

Abdul Azeez dan Latif juga diarah menyerahkan pasport mereka.

Pasukan pendakwaan diketuai Gopal Sri Ram, manakala Abdul Azeez dan abangnya diwakili Hisyam Teh Poh Teik, Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan M Athimulan.

Mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan kes.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 4.30 petang semalam selepas hadir ke sana untuk soal siasat.

Mereka juga pernah ditahan September lalu dan direman sepuluh hari.

Pada 23 Mei lalu, SPRM menyerbu rumah dan pejabat Abdul Azeez dan merampas RM500,000 wang tunai serta lebih 20 mata wang asing dengan nilai tukaran RM1.2 juta.

Bernama kemudian melaporan serbuan itu untuk membantu siasatan berkaitan pelantikan kontraktor untuk projek melibatkan Tabung Haji.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan meminta dan menerima rasuah.

Berikut adalah 12 pertuduhan yang dihadapkan kepada Abdul Azeez hari ini:

Dakwaan rasuah:


  1. Menerima RM1.2 juta rasuah daripada Redzuan untuk empat projek kerajaan di Perak dan Kedah bernilai RM197.8 juta pada 8 Disember 2010.
  2. Menerima RM2 juta rasuah daripada Redzuan untuk sebuah projek jalan raya di Perak bernilai RM664.48 juta pada 13 Jun 2017.
  3. Menerima RM2 juta rasuah daripada Redzuan untuk sebuah projek jalan raya di Perak bernilai RM664.48 juta pada 10 April 2018.
  4. Dakwaan pengubahan wang haram:

  5. Menerima wang haram berjumlah RM1.9 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 8 Mac 2010 dan 31 Disember 2010.
  6. Menerima wang haram berjumlah RM670,000 daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 1 Februari 2011 dan 29 Disember 2011.
  7. Menerima wang haram berjumlah RM4.13 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 6 Januari 2012 dan 26 Disember 2012.
  8. Menerima wang haram berjumlah RM783,900 daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 5 Januari 2013 dan 25 Disember 2013.
  9. Menerima wang haram berjumlah RM1.48 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd antara 3 Januari 2014 dan 31 Disember 2014.
  10. Menerima wang haram berjumlah RM8.18 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd antara 8 Januari 2015 dan 31 Disember 2015.
  11. Menerima wang haram berjumlah RM33.36 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd dan Pintas Utama Sdn Bhd antara 4 Januari 2016 dan 30 Disember 2016.
  12. Menerima wang haram berjumlah RM63.64 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd antara 3 Januari 2017 dan 27 Disember 2017.
  13. Menerima wang haram berjumlah RM25.25 juta daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd antara 8 Januari 2015 dan 31 Disember 2015.

Hapuskan ‘Mak Lampir’ moden

Syed Badli Shah Syed Osman
Dalam konteks dunia politik hari ini, pelbagai karektor purba akhirnya muncul dalam kalangan mereka yang cerdik pandai dan bergiat dalam arena politik.

Seperti lagenda “Mak Lampir” yang berlaku di Sumatera Barat yang begitu terkenal dalam kalangan kita. Lagenda itu mengisahkan seorang wanita yang penuh misteri dengan ketamakan dan haloba kuasa.

Kerana kemaruk kuasa Mak Lampir sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya.

Mengamalkan ilmu hitam dan menguasai sihir jahat antara strategi ampuh untuknya supaya kekal berkuasa.

Baling batu sembunyi tangan juga antara strategi yang menjadi mainan demi menghuru-harakan sebuah keamanan.

Matlamatnya mudah, ingin berkuasa secara mutlak dan kekal abadi.

Untuk merealisasikan matlamatnya, Mak Lampir memilih pasukan jahat dengan bersekutu bersama jin dan syaitan.

Beliau juga membina pengikut yang taat setia secara membabi buta terdiri dari kalangan mereka yang berhati gelap dan sesat.

Maka, berlakulah pelbagai onar dan tipu muslihat untuk menghuru-harakan institusi masyarakat.

Pelbagai serangan berbentuk fitnah bercampur hasutan demi menyesatkan manusia supaya mereka tunduk menjadi pengikutnya.

Sedang Mak Lampir mabuk diulik kuasa, muncul seorang wira Kyai Ageng Prayogo yang akhirnya berjaya menewaskan Mak Lampir dan mengurungnya di dalam sebuah peti di bawah gunung yang diberi nama Gunung Merapi.

Persoalannya sekarang masih wujudkah karektor Mak Lampir dalam realiti politik hari ini?

Jika wujud individu berkarektor begitu, bukan sahaja perlu ditentang malah perlu dibasmi demi mengembalikan kestabilan politik dengan mengekalkan kuasa baik dan jujur.

Dalam sebuah perjuangan yang panjang, pasti akan melahirkan sejumlah pengkhianat dan penjilat.

Golongan tamak dan haloba tidak akan pernah jemu mengejar apa yang dihajatinya. Matlamat menghalalkan cara. Setiap kejahatan itu boleh dinilai dan dikesan.

Namun terpulang kepada mereka yang berhati baik sama ada mahu melawan atau kekal tunduk di bawah mereka yang bersekutu dengan syaitan.

Jika ditanya kepada saya, saya akan memilih untuk melawan demi mempertahankan mereka yang jujur.fi

* Syed Badli Shah Syed Osman ialah naib ketua Pemuda PKR.

Wanita ‘duit minyak’ disoal SPRM hampir 3 jam

Faiz Zainudin
CAMERON HIGHLANDS: Seorang wanita yang gambarnya mengagihkan wang semasa pilihan raya kecil Cameron Highlands tular di media sosial disoal hampir 3 jam oleh penyiasat anti-rasuah.

Wanita itu tampil di bilik operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tanah Rata untuk disoal pada 7 malam tadi, kata sumber.

Menurut sumber, wanita itu disoal mengenai gambar tular pada 13 Januari lalu.

Wanita itu meninggalkan bilik operasi SPRM pada 9.50 malam bersama 3 individu lain dipercayai penyokong Pakatan Harapan.

Sumber berkata individu-individu lain dalam gambar tukar itu turut dipanggil untuk disoal.

FMT dan Astro Awani cuba mendapatkan reaksi wanita terbabit tetapi enggan memberi sebarang komen.

“Mana kereta?” kata wanita itu sebelum menuju ke kenderaan yang menanti sambil menutup wajahnya.

Sebelum ini, tular gambar seorang individu memakai baju berlambang Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain.

Pemimpin PH berkata individu berkenaan adalah seorang sukarelawan Impian Malaysia dan wang yang diagihkan itu adalah bayaran balik kos petrol para sukarelawan.

Bekas ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh hari ini buat laporan kepada SPRM berkenaan “salah guna” dalam kempen PRK Cameron Highlands.

Katanya, terdapat 4 kejadian sejak kempen berlangsung Ahad lalu.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin pun dah berani tunjuk belang dengan Anwar Ibrahim

Kow Gah Chie

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin menafikan artikelnya yang diterbitkan Utusan Malaysia dua hari lalu merujuk kepada parti atau presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia hanya merupakan 'pandangan umum' yang tidak merujuk kepada mana-mana parti politik mahupun pemimpin.

"Saya tak ada menuduh PKR kerana sebagai seorang ahli politik, sebagai warganegara Malaysia, saya berhak untuk keluarkan pandangan dan apakah visi saya.

"Jadi ini adalah visi politik untuk masa depan, jadi tidak semestinya menuding, menuju kepada sebuah parti tertentu, so pada saya pengamatan saya kepada keseluruhannya, pada amnya," katanya ketika ditemui di seminar politik di Petaling Jaya hari ini.

Pada 13 Jan, Zuraida dalam artikel di Utusan Malaysia berkata pelantikan mereka yang kalah oleh "parti -parti tertentu” nyata tidak menghormati hasrat akar umbi dan merupakan pengkhianatan kepada demokrasi

Beliau berkata perlembagaan parti itu membenarkan presidennya membuat keputusan mengenai perlantikan tertentu, tetapi ia perlu dilakukan melalui rundingan.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti politik atau pemimpin, pandangannya dilihat sebagai serangan terhadap Anwar.

Zuraida bagaimanapun berkata media sendiri menyimpulkan bahawa beliau merujuk kepada Anwar.

Perbalahan antara kumpulan timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan naib presiden Rafizi Ramli dilihat semakin ketara sejak pemilihan parti itu pada November 2018.

Selepas pemilihan parti yang rata-ratanya dimenangi kumpulan Azmin, Anwar melantik Rafizi dan Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai naib presiden parti dan setiausaha agung.

Anwar juga memilih anggota majlis kepimpinan pusat (MPP) parti itu dan melantik 14 pengerusi PKR negeri.

Sebahagian daripada mereka yang dipilih dalam MPP tidak bertanding pada pemilihan lalu atau kalah di peringkat MPP atau peringkat cabang.

Manakala ada pula yang dilantik menerajui PKR negeri adalah individu yang dianggap masih muda.

Zuraida dalam artikelnya menyatakan pelantikan itu dibuat oleh mereka yang mengkhianati demokrasi dan takut akan kalah.

Sementara itu, Zuraida berkata beliau tidak mengetahui kemungkinan rombakan kabinet dalam masa terdekat seperti yang dijangkakan beberapa pihak.

"Saya tidak tahu tentang rombakan (kabinet)," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dipercayai mungkin merombak kabinet dan beberapa menteri akan digugurkan.

AHli parlimen Baling ditahan SPRM selepas tiba-tiba muncul

Nur Hasliza Mohd Salleh
PUTRAJAYA: Bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ditahan selepas tiba-tiba muncul di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi.

Ahli Parlimen Baling itu memasuki bangunan SPRM berseorangan pada 2.55 petang tadi dengan disambut beberapa pegawai badan anti-rasuah. Beliau ditahan pada 4.30 petang tadi.

SPRM dalam kenyataan berkata Azeez ditahan dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram selepas mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Turut ditahan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim. Mereka akan didakwa esok.

“Kedua-duanya akan dituduh mengikut Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA),” katanya.

Azeez pernah ditahan SPRM pada 25 September tahun lepas bawah akta yang sama. Dia dibebaskan dengan ikat jamin SPRM pada 5 Oktober.

Pengerusi masjid kesal telefon RM21,000 belum dipulangkan oleh penguatkuasa

Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights di Seremban, Mohd Asna Amin kecewa kerana telefon bimbitnya masih belum dipulangkan pihak berkuasa.

Beliau yang disiasat berhubung kematian beberapa ekor anjing akibat diracun baru-baru ini, berkata telefon berharga RM21,000 itu masih dalam simpanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) yang menyiasat kes berkenaan.

Katanya, telefon yang dirampas polis semasa siasatan kes pada 9 Januari lalu, penting kerana mengandungi banyak maklumat peribadi, gambar keluarga selain urusan perbankan elektronik.

"Melalui telefon itu saya mengesahkan pembayaran gaji kepada lebih 300 pekerja. Begitu juga e-mel berkaitan syarikat, pembayaran bank secara atas talian dan lain-lain urusan," katanya dilapor Utusan Malaysia hari ini.

Mohd Asna disiasat selepas seorang penduduk membuat laporan polis berhubung penemuan bangkai tiga ekor anjing yang dipercayai mati selepas diberi makanan mengandungi racun awal bulan ini.

Baca: Penduduk kesal sikap pemilik anjing, pertahan pengerusi masjid

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaluddin, Jumaat lalu memaklumkan polis telah menghentikan siasatan.

Bagaimanapun kes tersebut kini disiasat oleh JPVNS.

Mohd. Asna berkata Pengarah JPVNS, Dr Nik Hamidah Nik Husin dalam sesi dialgo bersama penduduk Taman Lavender Heights baru-baru ini berjanji memulangkan telefon itu dalam tempoh sehari atau dua hari.

"Polis sudah menghentikan siasatan, kenapa telefon bimbit saya belum dipulangkan. Setahu saya hanya polis berhak merampas bukannya jabatan tersebut," katanya.

Sementara itu, Nik Hamidah ketika dihubungi Utusan enggan mengulas lanjut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan.

Polis tangkap ‘orang biru’ kerana buat penduduk kampung panik

Predeep Nambiar
GEORGE TOWN: Polis hari ini menangkap seorang perempuan yang merayau dekat sebuah kampung di Kepala Batas sejak minggu lalu, dengan seluruh tubuhnya bewarna biru.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, perempuan itu mengakibatkan penduduk di kawasan itu panik.

Katanya, polis mendapat tahu ketika perempuan itu merayau dekat tadika kerajaan.

“Kami mahu tahu kenapa dia berbuat demikian. Dia selalu di kawasan itu hingga digelar ‘orang biru’ oleh penduduk,” katanya.

Ada kalanya, perempuan itu juga kelihatan menunggang motosikal di sekitar Pajak Song, sebuah kampung di selatan Kepala Batas.

Apabila polis menemuinya jam 10 pagi tadi, dia tidak dapat menunjukkan surat pengenalan dan mendakwa dia dari Indonesia.

Katanya, perempuan itu ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada permit yang sah ke Malaysia.

Noorzainy berkata, dia akan dibawa ke Mahkamah Magistret esok untuk perintah reman,

Dalam Facebook itu, perempuan itu memakai baju kebaya hitam dengan kasut sukan warna hitam dan kelihatan merenung tajam.

Presiden Skuad Badar ditahan untuk siasatan

Presiden Skuad Badar Azhar Mohamad ditahan pihak berkuasa semalam bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Pertubuhan dan Akta Rahsia Rasmi.

Beliau ditahan bersama seorang lagi ahli NGO itu yang berusia 30-an, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Muda.

Menurut laporan Harian Metro, penahan itu mengakibatkan Azhar, 46 direman selama empat hari bagi tujuan siasatan.

Difahamkan penahanan kedua-dua mereka dipercayai susulan laporan yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) terhadap Azhar seperti yang tular di laman sosial.

Azhar dikatakan ditahan kerana melakukan aktiviti penguatkuasaan tanpa kebenaran JHEAIK dan skuad itu tidak pernah dilantik menjadi penguat kuasa agama yang sah.

Selain itu menurut laporan JAHEAIK, skuad itu tidak pernah diberikan tauliah ataupun dibenarkan memasuki premis tanpa kebenaran dan waran geledah.

Penahanan pengasas NGO itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Skuad Badar terkenal dengan sesi tarbiahnya terhadap pasangan ditangkap khalwat yang dijalankan di atas kubur.

Parti MyPPP diharamkan

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran MyPPP mulai hari ini.

Pembatalan itu dimaklumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim kepada parti dengan salinan kepada pemimpin-pemimpin hari ini, melalui sepucuk surat.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan rayuan yang didapati "tidak menunjukkan sebab-sebab yang cukup di sebaliknya".

"Maka oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibatalkan mulai tarikh perintah ini," menurut salinan surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, keputusan itu boleh dirayu dalam tempoh 30 hari.

Parti itu sebelum ini mengalami krisis kepimpinan apabila dua kem masing-masing mendakwa menerajui parti itu.

Kumpulan bekas menteri M Kayveas mengisytiharkan MyPPP sebagai bebas dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Kem bekas timbalan menteri Maglin D' Cruz pula berkata MyPPP adalah parti mesra BN.

Surat pembubaran parti itu dihantar kepada kedua-dua kem.
-malaysiakini

Adik mengaku bersalah sumbang mahram bersama kakak

Seorang budak lelaki 14 tahun hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kampar atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan kakak kandungnya sejak dua tahun lepas.

Dia membuat pengakuan itu itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan kakak kandungnya berumur 16 tahun di rumah mereka pada Disember 2017 hingga Mei 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Feb ini untuk menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Norashikin Hassanor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan remaja itu melakukan perbuatan tersebut sehingga kakaknya melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas rumah mereka pada 15 Dis lepas. Tertuduh ditahan di rumah itu pada hari yang sama.
-Bernama

Polis tembak mati lelaki cuba campak kanak-kanak dari tingkat 4

Bernama
TUARAN: Polis Sabah menembak mati seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun sebagai tawanan di sebuah apartmen di Telipok, dekat sini, petang tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata tindakan itu diambil selepas suspek cuba mencampak kanak-kanak tersebut dari tingkap dapur sebuah unit di tingkat 4 apartmen berkenaan kira-kira 6 petang tadi.

Katanya, polis menerima laporan kanak-kanak perempuan itu diculik seorang lelaki tidak dikenali pada 4 petang.

“Di tingkat 4 blok apartmen ini ada sebuah gerai dan suspek pergi ke gerai itu, sebelum tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menangkap kanak-kanak tersebut yang berada di luar gerai dan mengurungnya di unit rumah tersebut,” katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek yang dianggarkan berusia 30-an sebelum itu mengarahkan penghuni unit berkenaan keluar dari rumah.

“Selepas menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan cuba berunding dengan suspek agar melepaskan kanak-kanak tersebut, namun suspek terus meletakkan pisau di leher kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan luka.

“Suspek kemudian cuba mencampak kanak-kanak itu dan polis terpaksa mengambil tindakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki berkenaan,” katanya sambil menambah polis mengambil kira-kira 2 jam berunding dengan suspek.

Menurut Omar, suspek maut di tempat kejadian, sementara kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada badan suspek dan lelaki itu juga dipercayai bukan penduduk setempat.

Omar tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental kerana dia tidak membuat sebarang ugutan mahupun tuntutan, ketika diminta melepaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri.

Katanya, polis akan menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, nenek mangsa, Sharmala Mohd Akhir menafikan kejadian itu berpunca daripada dendam.

“Kami tidak kenal langsung dan tidak pernah nampak lelaki itu,” katanya di lokasi kejadian.

Katanya, beliau hanya tahu cucunya diculik dan dijadikan tawanan selepas berlaku kekecohan di kawasan itu.

Ibu saudara kanak-kanak itu, Nor Fatihah Nasir pula berkata, ketika kejadian, ibu mangsa berada di dalam rumah.

“Si ibu hanya tahu anak diculik selepas diberitahu jiran.”

PRK Cameron Highlands: Gambar wanita berbaju PH agih wang tersebar

PRK CAMERON HIGHLANDS | Beberapa pemimpin politik pembangkang mengulas di Twitter berhubung gambar yang memaparkan seolah-olah jentera kempen Pakatan Harapan (PH) Cameron Highlands sedang mengagihkan wang.

Gambar yang dimaksudkan itu memaparkan seorang wanita berbaju PH Cameron Highlands mengagihkan wang kepada beberapa individu yang turut memakai baju sama.

Salah seorang pemimpin pembangkang yang mengirim ciapan berserta gambar itu adalah Anggota Parlimen Umno Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Bung Moktar turut memberi gambaran bahawa "pemberian wang" akan lebih berleluasa pada hari mengundi.

"Ini bukan politik wang, kakak ni cuma bagi duit minum, tunggulah kat pembuangan undi baru bagi wang besar lagi.

"Sekarang ni pancing dulu mood orang muda, kalau boleh tipu lagi baru masuk gear 4," katanya.

Selain itu, Naib Presiden MIC dan bekas penyandang kerusi Cameron Highlands, C Sivarraajh turut mengulas gambar berkenaan.

“Ini tak apa sebab mereka kerajaan persekutuan.

"Kalau kita bagi kenduri untuk jentera pun salah besar sampai lima tahun tak boleh mengundi," katanya.

Kemenangan Sivarraajh di kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum ini dibatalkan selepas Mahkamah Pilihan Raya mendapati berlaku pembelian undi dan seterusnya mengarahkan kerusi itu dikosongkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga menetapkan Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan mengundi selama lima tahun.

Sementara itu, tidak ketinggalan mengulas gambar berkenaan adalah Anggota Parlimen Umno Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang cuba berjenaka dan mengaitkannya dengan buah ikonik Cameron Highlands.

"Brader tu minta kakak tu tukar duit kecil sebab nak beli strawberi Cameron Highlands. Husnudzon (Bersangka baik)," katanya.

Malaysiakini difahamkan DAP sedang bermesyuarat di Cameron Highlands berhubung isu berkenaan dan dijangka mengeluarkan kenyataan media.

Ketika dihubungi, pengurus kempen PH bagi PRk Cameron Highlands, Wong Kah Woh berjanji akan merespons isu berkenaan dalam masa terdekat.

Kunyah makanan ini untuk berhenti merokok

Butterkicap

Ada pelbagai cara untuk anda berhenti atau kurangkan perasaan mahu merokok anda. Ada yang cadangkan anda bersenam, dapatkan hobi baru dan bermacam-macam lagi.
Namun begitu, cara yang paling berkesan adalah menggunakan makanan.

Di bawah, terdapat 7 jenis makanan yang diyakini dapat membantu anda, sama ada untuk kurangkan kekerapan anda merokok ataupun berhenti terus.

1. Bertih Jagung

Tahukah anda, bertih jagung merupakan makanan yang sesuai untuk anda ambil jika anda nak kurangkan keinginan merokok?
Ha, jangan ingat kalau nak berhenti merokok anda kena makan sayur dan salad sahaja!

Anda mesti tertanya-tanya kenapa bertih jagung? Jawapannya memang mudah dan menghairankan. Apabila anda nak berhenti merokok, akan timbul perasaan untuk makan. Bukannya anda lapar atau mengidam makanan tertentu. Anda cuma nak kunyah.

Oleh itu, bertih jagung merupakan snek paling sesuai untuk anda jadikan sebagai makanan kudapan. Kerangupan bertih jagung cukup untuk membuatkan anda tidak mencapai rokok. Meskipun begitu, pastikan bertih jagung yang anda makan tidak disalut dengan karamel mahupun mentega. Jika tidak, memang naiklah berat anda nanti!

2. Epal

Makanan seterusnya yang sesuai untuk anda ambil ialah buah-buahan. Dalam artikel ini, kami syorkan anda untuk makan epal.
Epal, baik yang merah mahupun hijau, mempunyai tekstur yang rangup seperti bertih jagung. Kerangupan ini sesuai untuk memenuhi keinginan anda untuk mengunyah sesuatu.


Namun begitu, takkanlah anda nak makan bertih jagung setiap hari, betul tak? Membosankan betul!

Selain itu, buah-buahan juga didapati membuatkan rasa dan bau rokok lebih kuat dan pahit. Pasti membuatkan anda tak teringin nak pegang walau sebatang rokok pun.

3. Yogurt

Menurut jurnal Kajian Tembakau & Nikotin yan diterbit pada tahun 2013, perokok lazimnya, kurang makan berbanding golongan bukan merokok. Ini kerana, nikotin mengurangkan selera makan anda.
Oleh itu, apabila anda berhenti merokok, anda akan cepat berasa lapar. Pastikan makanan yang anda ambil adalah sihat dan rendah kalori seperti yogurt. Namun begitu, jangan makan yogurt kosong. Tambahkan dengan buah-buahan dan kekacang untuk membuatkan anda lebih kenyang dan dapat bertahan lama.

Jika anda asyik makan makanan rendah kalori, anda akan merokok dengan lebih banyak iaitu 8% lebih tinggi berbanding golongan yang makan makanan berhenti merokok berkalori tinggi. Hal ini dinyatakan dalam satu kajian yang diterbit pada tahun 2005 dalam jurnal Psychopharmacology.

4. Coklat hitam

Kalau anda peminat coklat hitam, melihat bahan ini dalam senarai artikel ini pasti menggembirakan hati anda. Bagi yang tidak tahu, coklat hitam sebenarnya kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk badan anda seperti antioksida dan flavoid.
Antioksida dikenali sebagai ejen yang membantu melawan radikal bebas dalam badan yang boleh menjadi barah. Flavoid pula merupakan metabolit tumbuhan yang menghasilkan antioksida.

Pasti anda terfikir, bagaimana kedua-dua bahan ini dapat membantu anda berhenti atau mengurangkan kekerapan merokok anda? Apabila anda merokok, kadar nikotin dalam badan yang tinggi akan membuatkan dopamin merembes keluar. Dopamin merupakan komponen kimia yang membuatkan anda berasa gembira.

Coklat hitam merupakan ejen rembesan dopamin semula jadi dan memberikan kesan yang sama seperti anda merokok. Daripada merokok, lebih baik anda makan coklat, betul tak?

5. Asam

Buah kering seperti asam merupakan makanan yang sesuai untuk membantu mengurangkan kekerapan merokok. Memandangkan anda akan cepat berasa lapar selepas berhenti merokok, kunyah sesuatu yang sihat dan mengenyangkan. Daripada makan makanan yang tidak sihat dan berlemak, buah-buahan kering ialah pilihan yang lebihtepat kerana kaya dengan vitamin, mineral dan protein penting untuk badan anda.
Makan segenggam buah-buahan kering 2 atau 3 kali sehari dan perut anda kekal kenyang sambil pastikan mulut anda kekal sibuk.

6. Oat

Jika anda nak sesuatu yang lebih mengenyangkan dan masih berazam untuk berhenti merokok atau mengurangkan kekerapan merokok, oat merupakan pilihan terbaik.
Oat terbukti sebagai makanan penahan keinginan merokok berdasarkan kajian yang dijalankan oleh ahli sains dari Scotland. Mereka membahagikan perokok kepada 2 kelompok dan salah satu daripada kelompok tersebut diarahkan untuk jadikan oat sebagai snek mereka.

Selepas sebulan, kelompok yang makan oat didapati merokok 1/3 daripada jumlah rokok yang dihisap oleh kelompok kedua. Perkara yang lebih menarik adalah walaupun anda berhenti makan oat, anda akan masih dapat menahan diri daripada mencapai rokok. Hal ini dibuktikan apabila beberapa orang perokok dalam kajian tersebut terus berhenti merokok meskipun sudah dua bulan mereka tidak masukkan oat dalam diet mereka.

Memang sesuatu yang cukup menaikkan semangat, bukan?

7. Keju

Bahan makanan terakhir dalam artikel ini untuk membantu anda berhenti merokok ialah keju. Bagi peminat keju dalam kalangan perokok, semestinya melihat bahan ini menerbitkan perasaan gembira dalam hati anda.
Baguslah begitu kerana anda perlukan motivasi untuk berhenti, bukan?

Keju merupakan bahan makanan yang baik kerana 2 perkara. Perkara pertama ialah keju menjadikan rasa dan bau rokok busuk. Hal ini akan membuatkan anda tidak ‘berselera’ untuk merokok. Perkara kedua ialah keju membantu untuk menghapuskan sisa nikotin dalam badan anda yang membuatkan anda gian untuk merokok. Dalam erti kata lain, anda boleh melihat keju sebagai pembersih nikotin semula jadi.

Artikel ini pernah diterbitkan di dalam www.butterkicap.com

Melaka serah polis siasat lelaki dakwa pemilik Malaysia

Kerajaan Melaka menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan seorang lelaki yang mengaku sebagai ‘tuan punya’ (pemilik) kerajaan Malaysia dan layak untuk menuntut jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong serta perdana menteri.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata tindakan perlu diambil berhubung perkara itu sebagai langkah pencegahan agar ia tidak berlarutan sehingga boleh mencemarkan perlembagaan negara.

Menurutnya di Melaka memang ada beberapa kes yang melibatkan individu mendakwa diri mereka sebagai sultan atau kedudukan dalam negeri.

“Malaysia mempunyai kedaulatan undang-undang serta perlembagaan, ia wajib dipatuhi oleh semua.

"Saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan sisatan dan juga mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Majmuk anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di Melaka hari ini.

Terdahulu, individu dikenali sebagai Ahmad Abdul Kadir Ismail, 47, dalam sidang media di Sungai Rambai mendakwa dia adalah ‘tuan punya’ kerajaan Malaysia dan layak menuntut jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong serta perdana menteri.

Ahmad Abdul Kadir mendakwa beliau adalah aset kepada negara, tuan punya kerajaan Malaysia atau Tanah Melayu, selain mendakwa memiliki banyak alat kebesaran seperti keris kerajaan Bukit Seguntang, lembing Parameswara dan beberapa alat kebesaran dari China.

Sementara itu dalam perkembangan lain Adly menyarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencontohi usaha berterusan Perkim membantu saudara baru Islam dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan dan memahami ajaran agama dengan lebih mendalam.

Katanya ​​​​​​​peranan Perkim menganjurkan pelbagai program bersama masyarakat bukan Islam merupakan usaha memperkukuh ukhwah dalam masyarakat majmuk demi kesejahteraan bersama.

Justeru katanya peranan Perkim serta NGO amat penting untuk menyatu-padukan masyarakat tanpa mengira agama atau bangsa.

"Kita tidak mahu ada dalam pemikiran masyarakat Islam khususnya saudara baru kita bahawa mereka diasing atau dipinggirkan sedangkan Islam membawa rahmat kepada semua umat manusia," katanya.

Adly berkata Islam mengutamakan kasih sayang dan perdamaian berbanding permusuhan dan peperangan.

Malah katanya Islam meletakkan aspek kesamarataan kepada orang Islam atau bukan Islam dalam isu hak serta tanggungjawab.
-Bernama

Bekas ketua hakim negara telah memalukan diri sendiri

Sehari selepas tampil membuat dakwaan terhadap Sultan Muhammad V dan Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamed menarik balik kata-katanya.

Malah beliau mengaku cuai dalam kenyataan yang menyenaraikan kesilapan Sultan Muhammad V semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Antara lain Abdul Hamid mendakwa Mahathir berkunjung ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri tanpa diundang pada 9 Mei tahun lalu.

“Dengan rendah diri dan dengan penuh penyesalan, saya memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di atas kesilapan itu dan apa-apa persepsi negatif terhadap beliau yang disebabkan oleh kesilapan dan komen itu.

“Saya juga mengangkat sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memohon maaf kiranya terdapat apa-apa kesilapan fakta yang melibatkan baginda dalam rencana itu walaupun - setakat ini - belum ada sesiapa yang menunjuknya.

“Saya juga memohon maaf kepada semua pihak yang telah menyiarkan rencana itu dan kepada semua pembaca di atas kesilapan dan kecuaian saya itu,” kata Abdul Hamid melalui kenyataan yang disiarkan di blognya, hari ini.

Tak kemukakan alasan

Semalam, Malaysiakini melaporkan kenyataan Abdul Hamid yang mendakwa Sultan Muhammad V melakukan beberapa kesilapan semasa menduduki takhta, termasuk berhubung pengampunan ke atas Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Abdul Hamid berkata, adalah satu kesilapan bagi baginda untuk memberitahu Mahathir bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan Anwar.

Selain itu Abdul Hamid juga menyentuh semasa pemerintahan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda sering mengadakan majlis angkat sumpah di luar waktu pejabat.

Kata Abdul Hamid apa yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14 ialah Mahathir pergi ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Dakwanya, tindakan Dr Mahathir itu kerana takut kiranya akan berlaku lompatan parti oleh ahli-ahli parlimen yang baru dipilih itu yang akan menyebabkan PH kehilangan majoriti.

Sementara itu, Abdul Hamid turut mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kenyataan itu.

“Saya terima kenyataan itu sepenuhnya. Saya akui bahawa saya telah membuat kesilapan fakta dan juga komen yang berbangkit daripada kesilapan fakta itu dalam penulisan rencana itu.

“Saya akui ia disebabkan oleh kecuaian saya sendiri dan saya tidak mengemukakan apa-apa alasan (excuse) di atas kesilapan itu. Saya bertanggungjawab penuh,” katanya.
-malaysiakini