"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN dahului hampir 10,000 undi

LAPORAN LANGSUNG
BN dahului hampir 10,000 undi
7.20 petang: Menurut keputusan tidak rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon BN Wee Jeck Seng mendahului hampir 10,000 undi.
BN menerima 15, 341 undi manakala calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini mendapat 5796 undi.

Undi PH merosot di dua PDM majoriti Cina
7.15 petang: Sumber PH memberitahu Malaysiakini bahawa gabungan itu mendapat keputusan kurang memberansangkan di pusat daerah mengundi Jalan Rimba Terjun dan Kampung Duku.
Kedua-dua PDM itu memiliki majoriti pengundi Cina.
Jalan Rimba Terjun terdiri daripada 80.98 peratus pengundi Cina, 16.7 peratus pengundi Melayu dan 2.05 peratus pengundi India.
Kampung Duku pula terdiri daripada 61.35 peratus Cina, 36.65 peratus pengundi Melayu dan 1.26 peratus pengundi India.
Pada pilihan raya umum lepas, PH memenangi PDM Jalan Rimba Terjun dengan 78.77 peratus undi manakala di Kampung Duku, gabungan itu menang dengan 63.39 peratus undi.
Sumber PH berkata mereka bimbang gabungan itu tewas di kedua-dua daerah mengundi tersebut pada pilihan raya kecil ini.

AMANAH menang awal di Tanjung Piai

JAMZURI ARDANI
Pengundi di Tanjung Piai keluar mengundi hari. Keputusan hanya akan diketahui apabila kertas-kertas undi dikira sebaik sahaja semua pusat pengundian ditutup petang ini, termasuklah undi awal yang dibuat awal minggu ini.

Semoga Pakatan Harapan berjaya kekal di Tg Piai. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Tg Piai akan banyak menguntungkan rakyat Tg Piai, manakala kekalahan PH di Tg Piai hanya akan menguntung si kleptokrat dan para sekutunya.

Pun begitu, parti yang telah menang awal dari sudut politik di PRK Tg Piai ialah AMANAH.

Pertembungan naratif politik dua parti yang bernuansa agama antara AMANAH dan Pas sangat tajam sehingga ke peringkat ada yang dikafirkan, dimunafikkan, dan dihalalkan darahnya.

AMANAH berpegang kepada naratif yang lebih progresif dan inklusif. Bagi AMANAH, politik adalah perkara fiqhi yang termasuk dalam domain muamalat. Hukum hakam agama dalam politik adalah secara umumnya bersifat ijtihadi, tidak kekal, tidak qathei, dan memerlukan kefahaman yang jauh lebih besar dari sekadar mengetahui mafhum teks yang termaktub di dalam kitab. Maka itu, AMANAH sering menegaskan bahawa politik bukan aqidah kerana sifatnya yang begitu.

Inilah antara isu besar yang di dalam pertembungan naratif politik AMANAH dan Pas. Apabila Nik Omar menyebut bahawa pilihanraya bukan untuk memilih agama tetapi untuk memilih pentadbir yang terbaik untuk negara, beliau diserang tanpa tebing oleh pendokong Pas. PRK Tg Piai akhirnya menyerlahkan bahawa naratif politik Nik Omar diakui benar oleh pimpinan utama Pas sendiri. AMANAH telah menang di dalam pertembungan naratif politik ini.

AMANAH juga mengambil pendekatan inklusif di dalam politik. Pendekatan ini juga diserang dengan dahsyat oleh Pas dan UMNO. Bagi AMANAH, hubungan politik dengan kelompok yang pelbagai perlu diasaskan di atas fiqh at ta’ayush yang menekankan prinsip co-existence yang harmoni dan produktif dalam kalangan rakyat yang pelbagai.

Pas menuduh AMANAH sebagai khadam, pengkhianat, liberal, dan kuda tunggangan kepada golongan kafir. Ini semua berpunca dari pemahaman naratif Pas yang menganggap politik sebagai aqidah. Bagi mereka bersifat liberal dalam politik adalah juga liberal dalam agama, pluralis dalam politik sama dengan pluralis dalam beragama, akomodatif dalam berpolitik bermaksud mengenepikan hukum hakam agama.

Naratif politik Pas yang sebegitu keras sebelum ini akhirnya berantakan sendiri apabila tiba kempen PRK Tg Piai. Segala hukum hakam yang dulunya mereka pertahankan bermatian akhirnya terburai dengan datangnya fatwa-fatwa politik baru yang sebenarnya mengabsahkan naratif politik AMANAH dari sudut agama.

Di PRK Tg Piai ini, naratif politik Pas tersungkur dan memberikan kemenangan kepada naratif politik Amanah.

Tanpa perlu mengira kertas undi, AMANAH telah menang awal di Tg Piai!

Kereta terbang boleh wujud dengan nyata! (Gambar)

Pasti masih segar di ingatan semua orang mengenai prototaip kereta terbang Malaysia yang dilaporkan akan dibentang tahun ini.

Namun kecanggihan teknologi itu telah diatasi jurutera Slovakia dan juruterbang Stefan Klien dengan memperkenalkan kereta terbang yang diberi nama Aircar.
Ia diperkenalkan pada Ekspo Import Eksport Kebangsaan China (CIIE) yang diadakan di Shanghai baru-baru ini.
Turut difahamkan Aircar baru sahaja menamatkan ujian penerbangan sulungnya pada akhir Oktober lalu di Slovakia.
Ia dicipta bagi pemilik kereta yang dahagakan cabaran serta pengembaraan tanpa batasan.
Pengasasnya Stefan Klein berkata, jentera berkenaan sangat stabil dan mempunyai tahap keberkesanan enjin yang sempurna.
Aircar mempunyai kipas di bahagian belakang dan sayap yang boleh dilipat ke dalam badan kereta.
Ia sekaligus membolehkan kenderaan itu menjadi kereta biasa jika tidak mahu diterbangkan.
Direka untuk diterbangkan seperti pesawat biasa, Klein berkata pemandunya boleh menerbangkan Aircar tanpa latihan penerbangan yang sukar.
Ternyata, kemunculan kereta terbang itu di Ekspo CIIE mengagumkan ramai pengunjung yang hadir.
Lebih 60 syarikat pengeluaran automobil daripada 16 buah negara mempamerkan produk automobil mereka di ekspo berkenaan.
Secara keseluruhan, dianggarkan lebih 140 kereta dipamerkan pada pameran itu.
-FMT Reporters

Tinjauan: Peratusan menunjukkan PH mampu menang PRK Tanjung Piai

AMNI JAGAT
Tinjauan terakhir bertarikh 14 November 2019 menunjukkan calon PH Haji Karmaine Sardini mendahului calon dari BN Wee Jeck Seng dengan perbezaan peratusan yang tipis. Dalam tinjauan tersebut seramai 1031 pengundi memberikan respon terhadap kemampuan calon PH untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Dr. Farid Rafik.

Responden yang ditemui menyatakan sokongan sebanyak 51 peratus terhadap calon PH manakala 45 peratus memberikan sokongan kepada calon dari BN. Sekurang-kurangnya sebanyak 4 peratus lebihan pengundi yang tidak memberi respon serta memberi respon mahu mengundi calon selain dari dua parti besar tersebut.

Indikator yang dibuat melalui bilangan pengundi yang ditemui adalah berdasarkan peratusan pecahan pengundi mengikut kaum di parlimen ini. Dalam pada itu tinjauan ini turut menyasarkan seluruh kawasan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen ini.

Ia telah berjaya mengazetkan beberapa kawasan hitam, kelabu dan putih yang dilakukan dalam tinjauan serta kajian lapangan yang telah dibuat. Tidak sampai 24 jam sahaja lagi, pembuangan undi bakal berlangsung dan ia pastinya akan memperlihatkan bagaimana pengundi membuktikan segala terkaan awal ini berlaku.

Namun ada beberapa faktor pada pecutan akhir yang mampu membuatkan graf sokongan terhadap Karmaine akan menurun antaranya ketokohan calon yang dilihat tidak bermaya sewaktu kempen dan boikot dari jentera PH itu sendiri.

Dalam hal ini faktor itu mampu dielak sekiranya dalam pecutan terakhir ini kepungan terhadap semua kelemahan ini berjaya dilakukan oleh PH. Ini akan menggambarkan bahawa PH mampu menang dalam PRK di Tanjung Piai ini.

Soal sokongan terhadap pengundi cina ia telah serba sedikit berjaya dirawat oleh jentera PH yang beraksi di Tanjung Piai dan pengundi melayu dilihat meningkat serta mampu mengekalkan penguasaan PH di Tanjung Piai ini.

Surat kepada pengundi Tanjung Piai

Noor Amin Ahmad

Saudara-saudari setanah air,

KATA MP | Pilihan raya kecil Tanjung Piai diadakan kerana kekosongan berikutan kematian Dr Mohd Farid Rafik, ahli parlimen yang telah dipilih oleh pengundi di sini semasa PRU-14.

Meskipun baru setahun setengah dipilih, beliau telah menunjukkan prestasi baik dengan membawa balik peruntukan hampir RM20 juta ke sini untuk pelbagai projek pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan. Namun Tuhan lebih menyayanginya. Marilah kita bersama mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

Majoriti pengundi Tanjung Piai sebenarnya telah membuat keputusan terbaik semasa PRU-14, iaitu menjadi penyumbang satu kerusi Pakatan Harapan yang telah berjaya menumbangkan BN buat pertama kali dalam sejarah. Ia disambut dengan gembira oleh masyarakat demokratik di seluruh dunia kerana kita telah menunjukkan contoh bahawa kleptokrasi boleh diatasi. Andalah pengundi yang telah mencipta sejarah ini.

Saudara-saudari setanah air,

Sejak PRU-14, kerajaan telah melaksanakan 8.5 daripada 10 manifesto utama Pakatan Harapan. Manifesto PTPTN baru dapat dilaksanakan separuh iaitu menarik semula senarai hitam kepada hampir 450,000 peminjam daripada halangan ke luar negara manakala bayaran balik bermula gaji RM4,000 belum dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan dan situasi ekonomi semasa baik di peringkat antarabangsa dan dalam negara yang belum mengizinkan. Ada yang tidak dapat dilaksanakan kerana ahli-ahli parlimen pembangkang menolaknya, misalnya pindaan Perlembagaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagaimana semasa Perjanjian Malaysia 1963. Antara sebab kelewatan pelaksanaan ini ialah hakikat bahawa pentadbiran baru kerajaan hanya ditinggalkan dengan tunai sebanyak RM450 juta dan pelbagai masalah kewangan lain yang cukup memilukan.

Selain itu, sebanyak 53 manifesto lain telah pun dilaksanakan. Ada manifesto yang dirancang untuk pelaksanaan jangka panjang.

Antara kejayaan besar kerajaan dalam menunaikan manifesto utama PH ialah menyemak semula projek-projek mega yang ditandatangani semasa pentadbiran lalu. Rundingan semula ini telah menjimatkan RM46 bilion daripada kos perjanjian asal.

GST telah dimansuhkan. Pulangan GST yang gagal dikembalikan oleh pentadbiran lalu kepada peniaga bertolak sebanyak RM19.4 bilion telah dilangsaikan

Kes Felda telah dimulakan dan kertas putih langkah pemulihan Felda telah dikemukakan di Parlimen. Dalam usaha menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, terdapat tiga mekanisma yang dikenal pasti iaitu:

a) Insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk lima tahun;

b) Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang bersama sistem Felda melibatkan 90,418 peneroka dengan kos sebanyak RM452 juta;

c) Insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures (FGV) melibatkan 77,972 peneroka dengan kos sebanyak RM103 juta.

Saudara dan saudari setanah air,

Meskipun situasi ekonomi global tidak begitu memberangsangkan, Malaysia masih dinilai sebagai antara negara yang paling berdaya saing. Indeks Daya Saing Global (Global Competitiveness Index) menunjukkan skor Malaysia sebenarnya meningkat daripada 73.24 mata (2017) kepada 74.60 mata (2018). KDNK negara berada pada tahap tertinggi iaitu RM357.1 pada suku keempat 2018 berbanding RM340.9 pada suku keempat 2017 (zaman pentadbiran BN). Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) menunjukkan Malaysia naik sembilan anak tangga menjadi negara ke-16 teraman di dunia. Indeks Kemudahan Berniaga (Ease of Doing Business) menunjukkan Malaysia naik dari tangga ke-15 ke tangga ke-12. Jika ekonomi dunia berkembang, pasti negara kita akan kembali gagah.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) menyatakan prestasi KDNK suku ke-2 2019 (pertumbuhan 4.9 peratus) adalah yang tertinggi dalam tempoh 5 suku terakhir yang dikaji dan ia mengejutkan pasaran kerana pertumbuhannya lebih tinggi daripada jangkaan kebanyakan penganalisis. Malaysia menjadi negara tunggal di rantau ini yang mencatat pertumbuhan lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.

Saudara dan saudari setanah air,

Kerajaan juga telah dan masih melakukan pemutihan dan ubah suai pelbagai program kebajikan dengan memperkenalkan beberapa program baru yang lebih bersasar seperti Peduli Kesihatan (PeKa), MySalam, rebat elektrik RM40 sebulan kepada B40, i-Suri dan sebagainya.

Peruntukan subsidi dan bantuan sosial telah meningkat daripada sekitar RM26.6 bilion (9.5 peratus) pada tahun 2018 kepada RM39.5 bilion (13.3 peratus) pada tahun 2020.

Jabatan Perangkaan menunjukkan inflasi berada pada kadar 0.8 peratus dan penganalisa-penganalisa ekonomi menjangkakan inflasi akan kekal di bawah 1 peratus bagi tahun ini.

Jumlah tenaga kerja pula bertambah daripada 15.04 juta (Jun 2017) kepada 15.4 juta (Jun 2018) kepada 15.7 juta orang Jun 2019). Pengangguran dicatat menurun daripada 5.5 peratus (Jun 2017) kepada 5.4 peratus (Jun 2018) kepada 5.3 peratus (Jun 2019).

Ini semua merupakan petunjuk positif bahawa asas ekonomi kita masih berdaya tahan dan mampu bangkit semula bila ekonomi dunia berkembang.

Saudara-saudari setanah air,

Pembangkang cuba memberi gambaran buruk kerana mereka terdesak selepas kehilangan kuasa. Tidak ada mana-mana kerajaan boleh melakukan segalanya dalam tempoh singkat. Namun, Pakatan Harapan telah menunjukkan komitmen yang bersungguh melalui bukti-bukti yang kami berikan ini.

Kami percaya semua pencapaian ini adalah kerana keyakinan rakyat untuk mendapatkan sebuah pentadbiran baru yang bersih dan cekap.

Kami akui masih banyak yang perlu dilakukan dan dikemaskan. Sebagaimana minum daripada gelas yang kotor, kini kita dalam proses mencuci dan mengeringkan gelas ini. Apabila ia sudah cukup bersih, air yang dituang ke dalamnya akan dapat kita nikmati sepenuhnya.

Sokongan anda sangat kami hargai. Semoga Pakatan Harapan akan lebih kuat untuk menerajui perubahan Malaysia. Anda telah mencipta sejarah dan marilah kita bersama-sama membina semula negara ini.

Undilah Haji Karmaine Sardini sebagai wakil rakyat baru Tanjung Piai. Undilah Pakatan Harapan.

Terima kasih.

NOOR AMIN BIN AHMAD ialah ahli parlimen Kangar. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia.

Kes NFC: Mahkamah bebaskan Rafizi, bekas kerani bank

Hariz Mohd

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini mengetepikan sabitan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia) dan membebaskan serta menggugurkan tertuduh dari hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid Mustafa menyampaikan keputusan itu pada akhir rayuan Rafizi dan Johari terhadap sabitan berhubung pendedahan data perbankan dari akaun National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail pada tahun 2012.

Mohd Yazid memutuskan bahawa beliau membenarkan permohonan Rafizi kerana pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asal sebagai keterangan dalam perbicaraan, yang merupakan syarat di bawah Seksyen 61 Akta Keterangan.

Rafizi, yang merupakan bekas ahli parlimen Pandan dan Johari dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari 2018 selepas Hakim Zamri Bakar mendapati mereka bersalah kerana mendedahkan data perbankan dari akaun NFC.

Hakim Zamri dalam penghakimannya tahun lalu berkata pendakwaan telah membuktikan bahawa Rafizi dan Johari telah melanggar Akta Bafia.

Untuk rekod, Bafia telah dimansuhkan pada tahun 2013.

Kedua-dua mereka didakwa pada 2012 kerana melanggar Seksyen 97 Bafia bagi pendedahan empat akaun milik NFC dan Mohd Salleh, yang merupakan suami bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Penganalisis ramal Dr M terjejas jika PH kalah di Tg Piai

Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Hanya berbaki dua hari menjelang pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, suhunya semakin panas apabila dua parti utama bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mempunyai peluang untuk menang.

Selain tumpuan siapa bakal menang kerusi Tanjung Piai, kesannya sudah tentu lebih terarah kepada PH jika calon PPBM tewas sebagai penyandang. Bagaimanapun penganalisis politik berbeza pandangan mengenainya.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata jika BN berjaya memenangi Tanjung Piai, ia sudah tentu akan menjadi referendum rakyat terhadap kerajaan, sementara dari sudut lain, ia dijadikan referendum bagi segelintir parti komponen PH terhadap pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

“Jika diandaikan keputusan Tanjung Piai adalah referendum terhafap PPBM dan kepimpinan Mahathir, maka sudah semestinya tewasnya calon PPBM akan melemahkan kepimpinan Mahathir dalam PH.

“Ini sekali gus akan memperkuatkan lagi kumpulan Anwar Ibrahim yang mahu meletakkan beliau sebagai perdana menteri dalam jangka masa dua tahun.

“…tekanan dari kumpulan Anwar sudah pasti akan menggunakan kekalahan PH di Tanjung Piai dengan menuding jari kelemahan Mahathir itu sendiri dan suasana sebegini boleh menjadi pemangkin menghala Mahathir perlu berundur dari jawatan perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata kekalahan calon PPBM juga akan dijadikan referendum oleh rakan komponen PH sendiri bahawa gabungan itu mampu membentuk kerajaan tanpa PPBM.

“Ini adalah kerana sebelum ini ada tuduhan yang menjurus kepada PH boleh membentuk kerajaan tanpa PPBM dan bukan menjadi rahsia kemenangan calon PPBM pada PRU14 di Tanjung Piai adalah kerana pertolongan DAP melalui pengundi Cina terutama sekali di kawasan Pekan Nanas,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, senada dengan Azmi dengan membayangkan masa depan politik Mahathir mungkin akan berakhir lebih cepat dengan pelbagai tekanan yang bakal diberikan rakan komponen PH, khususnya mereka tidak mahu lebih banyak sokongan Cina hilang jika pengerusi PPBM itu terus menerajui negara.

“Pasti ada desakan parti dalam PH sendiri supaya Mahathir cepat berundur untuk elak sokongan Cina semakin terjejas,” katanya.

Azman juga tidak menolak pergolakan di peringkat dalaman PPBM sendiri akan berlaku termasuk menerusi pemilihan parti itu nanti jika calonnya yang mewakili PH tewas.

“Sudah pasti ada pihak dalaman PPBM akan mempersoalkan kepimpinan Mahathir kerana sudah tentu ada yang mahu diasosiasikan dengan bakal perdana menteri baru Anwar Ibrahim,” katanya.

Bagaimanapun penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusof mempunyai pendirian berbeza mengenai nasib Mahathir jika PH tewas di Tanjung Piai.

Katanya, kekalahan calon PPBM tidak akan memberi kesan kepada Mahathir termasuk melibatkan pemilihan parti itu.

“Jika PPBM tewas di Tanjung Piai sekalipun, ini dijangka tidak akan memberi kesan kepada pemilihan PPBM akan datang kerana majoriti ahli PPBM akan tetap setia dengan Mahathir, terlalu sukar untuk dibayangkan sesiapa sahaja boleh mencabar beliau.

“Malah kedudukan beliau mungkin akan lebih kukuh,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan di Tanjung Piai akan memberi kesan pada pemilihan PPBM yang akan diadakan nanti.

Mengulas tekanan yang bakal diberikan penyokong Anwar kepada Mahathir supaya berundur, Kamarul Zaman tidak menolak perkara itu daripada berlaku.

“Pasti tekanan daripada kumpulan yang mahukan peralihan kuasa kepada Anwar dipercepat jadi lebih kuat, begitupun ia tidak akan berhasil kerana kekalahan tidak boleh dikatakan berpunca daripada Mahathir kerana calon PKR juga tewas di Rantau sebelum ini,” katanya.

Kempen PRK itu bermula 2 Nov lalu, manakala hari pengundian adalah pada 16 Nov ini. Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.

Dalam PRU14, PH menerusi calon PPBM memenangi kerusi itu dengan kelebihan 500 undi, di mana jumlah penggundi antara Melayu dan bukan Melayu seimbang.

Cabaran sengit tetapi sokongan semakin meningkat

ARIF ATAN
Menjengah hari kesembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin meningkat.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut mengakui perkembangan positif itu walaupun diakui calon PH dari Bersatu berdepan cabaran dalam pertandingan enam penjuru pada 16 November ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, rata-rata pengundi Cina yang merangkumi 41.52 peratus daripada keseluruhan 52,986 pengundi juga dilihat kembali mendekati PH.

“Cabarannya tetap sengit dan sukar tetapi ada peningkatan sokongan terhadap PH dari hari ke hari.

“Pengundi Tionghua yang khabarnya merosot sokongan kepada PH, kembali semula mendekati PH,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Walau bagaimanapun, Salahuddin berkata, terdapat pengundi Melayu yang masih salah anggap menyangka pembaharuan kerajaan dilakukan oleh BN.

“Masa sama, masih ada pengundi Melayu yang menerima baik pembaharuan kerajaan tetapi masih beranggapan ia di bawah BN,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pulai itu memberitahu beliau turut memohon cuti kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membolehkannya mendekati pemilih di 27 pusat daerah mengundi (PDM).

“Saya memohon kepada Perdana Menteri untuk bercuti sehingga hari mengundi, bagi lebih merapati dengan denyut nadi kehidupan pengundi Tanjung Piai,” katanya lagi.

Pada PRU-14, PH di Tanjung Piai menguasai 64 peratus sokongan pengundi Cina dan 43 peratus sokongan pemilih Melayu.

Sementara itu, calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mewakili kawasan itu sejak dua penggal lalu menguasai 32 peratus sokongan pengundi Cina serta sebahagian besar PDM majoriti Melayu di DUN Kukup.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu juga menguasai hampir separuh sokongan pengundi Cina di DUN Pekan Nenas.

Wee juga adalah bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebelum tewas kepada penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada PRU-14.