"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gabungan PH+BN beri harapan untuk gugat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah

BORHAN AHMAD

Keputusan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional untuk bersama dengan Pakatan Harapan kini membuka peluang untuk Pas dikalahkan di pangkalan mereka iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sekurang-kurangnya inilah harapan akar umbi Umno selepas pemimpin mereka berjaya membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Pakatan Harapan.

Inilah juga harapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) di ketiga-tiga negeri itu yang sudah tidak nampak jalan untuk menang dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

Bagi kebanyakan mereka, mengalahkan Pas di pangkalan mereka hampir mustahil selepas Pas dan rakan-rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) hampir menyapu bersih kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri itu dalam pilihan raya umum lepas.

Namun dengan kerjasama BN dan PH, mereka melihat ada cahaya di hujung terowong.

Bagi aktivis Umno, Mohd Yusoff Solu, berkawan dengan Pas tak dapat apa-apa laba kepada Umno.

Contoh klasik adalah apabila Datuk Seri Mohd Alwi Che Ahmad meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan, “satu jawatan pun tak diberi kepada beliau oleh kerajaan Pas sebagai gesture of appreciation,” katanya.

Di Terengganu pula, wakil Umno hanya boleh duduk di ‘serambi’ kerajaan negeri sahaja manakala peruntukan kerajaan Pusat yang diberikan melalui kerajaan negeri hampir tidak diperolehi oleh wakil mereka.

Bagi Yusof, kalau Umno bersama PN maka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti Umno hanya akan diberi bertanding enam kerusi yang dimenangi Umno dulu sahaja.

PRN akan diadakan di tiga negeri yang dikuasai Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri yang dikuasai PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selepas kerajaan negeri ke enam-enam negeri ini tidak mahu mengadakan pilihan raya di musim tengkujuh.

“Suka saya menyeru kepimpinan semua parti bersatu upaya dan sumber dengan satu matlamat rimuf (ketepikan) Pas dari terus memanipulasi

Kenaifan rakyat Kelantan.

“Umno + Amanah + PKR + Putra + rakyat = Pas jatuh,” tulis beliau menerusi Facebook beliau merujuk kepada kerjasama politik di Kelantan, negeri yang kini mempunyai 100 peratus Ahli Parlimen Pas.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah atas pandangan jauh dan langkah politik bijaksana yang diambil Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.

Kerjasama BN dengan PH juga telah membolehkan pemimpin dari BN dilantik untuk menjadi menjadi Menteri Besar di Perak walaupun mendapat kerusi yang sedikit sahaja berbanding kerusi PH.

Pahang juga dijangka menurut jejak langkah Perak apabila MB dari BN dijangka akan mengangkat sumpah jawatan tidak lama lagi.

Ismail Sabri: ‘Semua orang dah gila, mana ada Langkah Tropicana’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob menafikan ada pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dikatakan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, semalam.

Naib presiden Umno itu berkata, segala tindakannya kini disalah tafsir sehingga beliau dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada PAS.

Katanya, manakala pihak yang bertemu pimpinan daripada Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya menurut Malaysiakini.

Dalam hantaran tular di Twitter, pertemuan antara pemimpin BN dan PAS itu dikatakan berlangsung di lokasi berkenaan dari 10.30 pagi hingga tengah hari semalam.

Hantaran itu menyatakaan antara pemimpin hadir termasuk Ismail, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan setiausaha akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz.

Khabar angin berhubung pertemuan di Tropicana Golf & Country Resort yang diberi jolokan “Langkah Tropicana” itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakam ketika pertemuan itu.

Terdahulu, Wee menafikan spekulasi beliau terbabit dalam pertemuan itu.

Beliau kecewa orang ramai masih menyebarkan khabar angin dan menuduhnya terbabit dalam gerakan politik walaupun krisis politik susulan pilihan raya umum lalu sudah diselesaikan.

Wee mengakui berada di Tropicana Golf & Country Resort ketika itu tetapi untuk satu mesyuarat dan menjamu selera dengan dua ahli perniagaan.

“Kami berada di restoran makanan Cina manakala Ismail pula di sebuah lagi restoran. Anda boleh periksa rakaman CCTV restoran itu,” katanya kepada FMT.

Hadir majlis perpisahan

Dalam pada itu, Ismail berkata semalam beliau hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Pejabat Perdana Menteri (PMO), tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.

Katanya, malah pemimpin Umno lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah, bahawa dia membuat gerakan untuk melawan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi perdana menteri, pemimpin Umno memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan Umno,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan apabila ditanya mengenainya.

“Nak main golf kot,” jawabnya.

Dakwaan salah guna kuasa beli vaksin Covid-19 – Kerajaan didesak tubuh RCI

FAZLI RADZI

Kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa pembelian vaksin Covid-19 yang dikatakan didalangi tampuk kepemimpinan pentadbiran terdahulu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai berhubung isu perbelanjaan pengurusan Covid-19 yang dikatakan membabitkan puluhan bilion ringgit.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu terbabit akan diketengahkan supaya mendapat perhatian pihak berwajib terutama Perdana Menteri.

“Kami tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi kerana ia suatu perkara yang tidak masuk akal. Kami nak bawa perkara ini secara rasmi.

“Aduan diterima mempunyai fakta yang patut dikaji dan perlu disiasat secara serius kerana ia membabitkan jumlah perbelanjaan yang sangat besar.

“Negara bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita…apa pemimpin buat sehingga ada dakwaan salah laku seperti ini.

“Kami harap rakyat Malaysia juga dapat bersama dalam usaha ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Julai tahun lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika itu berkata, perbelanjaan dan perjanjian yang dilaksanakan dalam perolehan vaksin dan pelaksanaan pelalian akan terus dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Jelasnya, langkah itu bagi menjamin ketelusan dan keterbukaan program vaksinasi yang membabitkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM5.8 bilion.

Dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang, warga emas maut ditikam

Amir Abd Hamid

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat ditikam berkali-kali selepas dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Mangsa berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Serdang berkaitan kejadian jam 6.29 petang semalam.

"Mangsa dibawa ke hospital berkenaan oleh seorang rakan perempuan dengan kecederaan di badan dan paha akibat ditikam.

"Mangsa sempat memaklumkan kepada pengadu bahawa dia diserang dan ditikam di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn, Kajang," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil rawatan awal, mangsa mengalami kecederaan serius di paru-paru kerana ditikam selain di peha serta bahu.

Katanya, mangsa ditempatkan di wad dan menggunakan alat bantuan pernafasan namun pada jam 11.05 malam hari yang sama, mangsa disahkan meninggal dunia.

"Hasil maklumat, pada jam 1.35 pagi tadi, anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan pasangan suami isteri di sekitar Hospital Serdang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

"Suspek wanita berusia 45 tahun manakala suspek lelaki pula berumur 51 tahun," katanya.

Mohd Zaid berkata, suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa di kawasan parkir kenderaan pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.

"Hasil siasatan awal, punca kejadian disebabkan suspek marah kerana mangsa ada hubungan intim antara isterinya.

"Ketika kejadian, suspek mendakwa, mangsa dan isterinya berada berdua di dalam kenderaan di lokasi kejadian," katanya.

Polis turut merampas barangan termasuk kenderaan mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek serta resit pembelian senjata pisau bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek direman sehingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Salleh di talian 013-7854100 atau balai polis berhampiran.

Presiden MCA Wee Ka Siong nafi jumpa Ismail, BN dan pemimpin PAS

Robin Augustin dan Danial Azhar

Dalam hantaran tular di Twitter, pertemuan antara pemimpin BN dan PAS dikatakan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort semalam. Dari kiri, Annuar Musa tiba bersama Takiyuddin Hassan diikuti Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Presiden MCA Wee Ka Siong menafikan spekulasi beliau terbabit dalam satu pertemuan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob bersama beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Dalam hantaran tular di Twitter, pertemuan antara pemimpin BN dan PAS itu dikatakan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort dari 10.30 pagi hingga tengah hari semalam.

Hantaran itu menyatakaan antara pemimpin yang hadir termasuk Ismail yang juga naib presiden Umno, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa serta Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Wee dan setiausaha akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz.

Wee berkata, beliau kecewa orang ramai masih menyebarkan khabar angin dan menuduhnya terbabit dalam gerakan politik walaupun krisis politik susulan pilihan raya umum lalu sudah diselesaikan.

Wee Ka Siong (kanan) tiba di Tropicana Golf & Country Resort semalam.

Beliau mengakui berada di Tropicana Golf & Country Resort ketika itu tetapi untuk satu mesyuarat dan menjamu selera dengan dua ahli perniagaan.

“Kami berada di restoran makanan Cina manakala Ismail pula di sebuah lagi restoran. Anda boleh periksa rakaman CCTV restoran itu,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, calon BN bagi pilihan raya Padang Serai, Sivaraj Chandran berkata Annuar melawat Padang Serai, Kedah, semalam untuk berbincang dengan Umno Bahagian di situ mengenai pilihan raya berkenaan.

Umno dijangka sisih ‘ahli mesra’ Bersatu

Robin Augustin

PETALING JAYA: Ahli Umno kini menumpukan perhatian untuk “membersihkan parti” sejurus selesai memecahkan kebuntuan antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum.

“Perlu bagi kami melakukan pembersihan. Masih ada dalam kalangan kami yang pro-Bersatu,” kata pemimpin tinggi Umno.

Bersatu yang ditubuhkan oleh sebahagian besar bekas ahli Umno merupakan parti dominan dalam PN, diterajui presidennya, Muhyiddin Yassin.

Awal minggu ini, Muhyiddin berkata, beliau mendakwa mempunyai akuan berkanun (SD) daripada 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokongnya menjadi perdana menteri.

“Semua 10 mereka sudah menarik balik SD,” kata pemimpin Umno itu, “namun sudah terlambat, mereka sudah tunjuk siapa mereka. Kami tahu mereka tidak setia pada parti.”

Katanya, kesediaan 10 Ahli Parlimen itu menyokong Muhyiddin “dianggap senario terburuk yang boleh berlaku” memandangkan Bersatu dan rakan sekutunya dalam PN, PAS, akan mengambil peluang sepenuhnya demi memusnahkan Umno.

Umno dijangka akan mengadakan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan, selepas pilihan raya umum, pada 19 Nov lalu.

Sumber itu berkata, pemilihan parti menjadi cara terbaik bagi Umno melakukan pembersihan terutama terhadap mereka yang tidak meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan.

Katanya, pimpinan parti berharap pada pemilihan parti, akar umbi Umno kembali mengingati nasihat bekas presiden, Najib Razak, yang disampaikan pada konvensyen BN Sabah, mengenai empat ciri ahli dalam BN.

Satu merujuk kepada “katak” atau pengkhianat, mereka yang “bersembunyi dalam gua” atau menghilangkan diri, menyokong Bersatu dan mereka yang setia pada parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi, berkata mereka yang tidak mematuhi keputusan bersama parti perlu disingkirkan.

“Mereka inilah yang menjadikan Umno lemah. Jadi, kita buat penelitian (semua pemimpin) dan singkir mereka yang menentang parti.” Katanya, Umno mesti merapatkan saf selepas pilihan raya umum, kembali bersatu dan bersedia berdepan pilihan raya umum seterusnya.

“Kita juga mesti memberi penjelasan kepada akar umbi mengenai keputusan bersama mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan sejajar dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong bagi pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-15, Umno menang 26 daripada 30 kerusi dimiliki Barisan Nasional, empat kerusi lain dimenangi MCA (2), dan masing-masing satu kerusi disumbangkan MIC dan PBRS.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan dibentuk Pengerusi PH Anwar Ibrahim, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, pada Jumaat.

Kerajaan Anwar kini mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat melalui PH (82 kerusi), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan tiga Ahli Parlimen Sabah lain.

PN pula menguasai 73 kerusi sebelum ini sudah menyatakan akan menjadi pembangkang, selain bertindak sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan dipimpin Anwar. PN dianggotai Bersatu yang mempunyai 30 Ahli Parlimen, PAS (41) dan dua lagi Ahli Parlimen lain.

Fitnah! PAS Kelantan nafi paksa pengundi sumpah sebelum beri bantuan

Faiz Zainudin

Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa individu didakwa diminta bersumpah mengundi PAS sebelum diberikan bayaran tambang perjalanan pulang mengundi.

PETALING JAYA: PAS Kelantan menafikan dakwaan mengarahkan pengundi yang pulang pada PRU15 bersumpah mengundi parti itu sebelum diberikan bantuan bayaran tambang.

Setiausaha PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata parti itu hanya membantu pengundi dari luar negeri pulang mengundi.

“Ia bertujuan meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kos perjalanan tinggi khususnya yang kurang berkemampuan,” katanya kepada FMT.

Katanya, setiap bantuan diberikan kepada mereka yang layak termasuk tambang perjalanan pulang, tanpa mengira parti mana diundi.

“PAS tak pernah mengarahkan bersumpah atas nama Allah, PAS hanya membantu pengundi yang balik dari jauh bersusah-payah untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dan kita tidak pernah tanya pun undi parti apa, hanya kita tanya dari mana dia balik ke Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pertahan Kelantan, Nazman Che Ibrahim, berkata bersumpah dengan nama Allah parti mana yang diundi pada pilihan raya bukan budaya PAS.

“Ia fitnah dicipta lawan untuk memburukkan parti itu. Sumpah undi siapa bukan amalan PAS, itu fitnah desperado,” katanya.

Terdahulu, tular video menunjukkan beberapa individu didakwa diminta bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka mengundi PAS sebelum diberikan bayaran tambang perjalanan pulang mengundi.

‘Jangan lantik semata-mata kerana janji dan populariti’

FAZLI RADZI

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berpendapat pemotongan gaji perlu dibuat jika pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu melantik lebih seorang Timbalan Perdana Menteri.

Hal sama dilakukan kepada Jemaah Menteri yang boleh cuba dikurangkan kepada 25 atau 26 orang sahaja.

“Kalau hendak lantik banyak Timbalan Perdana Menteri, tolong potong gaji. Macam itu juga dengan Menteri.

“Janganlah lantik semata-mata kerana janji dan populariti. Lantiklah supaya kita ada kerajaan perpaduan yang berintegriti dan berkualiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar mengesahkan akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, dengan kedua-duanya bakal diisi oleh wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mengulas lanjut, beliau berpendapat Anwar boleh ambil gajinya demi mengelak tanggapan buruk pada masa depan.

“Itu hak dia sebagai Perdana Menteri. Kalau tak mahu guna boleh derma. Takut nanti orang kata, macam mana Anwar jadi sangat kaya?

“Bukan kita tak mahu bagi kemudahan kepada Menteri. Cuma janganlah boros macam duit sendiri,” ujarnya.

A Kadir turut mengingatkan tentang realiti cabaran ekonomi pada masa depan selain masalah keperluan bekalan makanan.

“Negara banyak masalah. Hutang dan jaminan hutang kerajaan satu trilion ringgit lebih. Subsidi saja RM80 bilion. Kenalah jimat kalau nak selamat.

“Baguslah indeks saham meningkat dan ringgit tambah kuat. Tapi yang lebih utama, telur ada dan harga tak mahal sangat,” tambahnya lagi.

Bekas rakan Anwar, Sidek Baba meninggal dunia

BORHAN AHMAD

Bekas rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Dr Sidek Baba meninggal dunia hari ini ketika umurnya 76 tahun .

Menurut rakan beliau, Yusri Mohamad, Sidek rakan yang kemudiannya menjadi lawan Anwar itu meninggal dunia jam 7 lebih malam ini.

Sidek dilahirkan pada 12 Jun 1946 di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka adalah profesor pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diasaskan Anwar.

Berpengalaman sebagai guru selama 18 tahun dan pensyarah di Institut Aminuddin Baki selama 5 tahun.

Dilantik sebagai Timbalan Dekan Akademik Pusat Matrikulasi UIAM dan Dekan Pusat Matrikulasi dari 1992-1994.

Dari tahun 1994-2002, menjadi Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sidek bekas rakan Anwar dalam Abim tetapi selepas itu tidak lagi bersama Anwar bahkan sentiasa menyerang PM ke 10 itu.

Beliau pernah mendakwa, negara akan terancam jika Anwar dipilih memimpin negara.

PH tak boleh ambil mudah PN

Tsubasa Nair

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengambil mudah Perikatan Nasional (PN) walaupun memiliki sebahagian besar kerusi di Dewan Rakyat, kata penganalisis politik, Adib Zalkapli.

Adib dari BowerGroupAsia (BGA) berkata, PH tidak boleh menganggap banyak kerusinya di Dewan Rakyat sebagai selamat kerana mereka menang kurang daripada 50% undi.

“PH mempunyai lawan baharu di Selangor dan Kuala Lumpur,” kata Adib pada forum mengenai pilihan raya umum.

“Sungai Buloh dan Gombak pernah menjadi kerusi selamat untuk PH, kerana pakatan itu sebelum ini memenangi kerusi ini dengan lebih 50% undi. Bagaimanapun, pada PRU15 mereka menang dengan kurang daripada 50%.”

Adib, yang merupakan pengarah hal ehwal kerajaan dan dasar awam di BGA, juga berkata pemilihan calon akan menjadi sangat penting sekarang.

“Pemilihan calon juga isu lain. (Calon dengan) bantuan ‘profil nasional’, seperti yang anda lihat di Sungai Buloh, di mana (bekas menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin berjaya mengecilkan margin.

“Tetapi su jentera tempatan juga sama penting, seperti yang berlaku di Titiwangsa,” katanya.

Adib menegaskan Johari Ghani, yang tewas di kerusi Titiwangsa pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), mengambil pendekatan berbeza dalam kempennya kali ini, memilih untuk mengadakan lebih banyak dialog dengan golongan muda selain strategi yang biasa.

Hasilnya, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,632 undi dalam pertandingan empat penjuru. Pada PRU14, Rina Harun daripada Bersatu memenangi kerusi itu atas tiket PH.

Pembantu Ismail nafi audio mahu jatuhkan Najib

FMT Reporters

Terdahulu, tular audio didakwa membabitkan Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad (kiri) dan bekas Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Mohd Sharif (tengah) dikatakan mahu menjatuhkan Najib Razak.

PETALING JAYA: Setiausaha politik bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menafikan rakaman suara tular yang mendakwa beliau dan seorang bekas wakil rakyat Umno mahu menjatuhkan kredibiliti Najib Razak.

Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad yang terkejut dan kecewa, menyifatkan ia percaturan politik jahat dan jijik untuk memusnahkan reputasinya sebagai setiausaha politik dan mahu menjatuhkan Ismail.

“Ia juga konspirasi jahat dan terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bekas perdana menteri yang juga Naib Presiden Umno, Ismail,” katanya dalam kenyataan.

Beliau sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini berhubung rakaman itu.

“Saya berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan ini.”

Terdahulu, tular audio didakwa membabitkan Fazmi dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif yang dikatakan mahu menjatuhkan Najib.

Susulan itu, pentadbir akaun Facebook Najib meminta individu terbabit tampil membuat penjelasan.

Bridget Welsh: Analisis awal pengundian kaum pada PRU15

Bridget Welsh

ULASAN | Dengan kerajaan baru bakal ditubuhkan dengan kerjasama PH dan BN yang dahulunya berseteru, dan juga dengan sokongan GPS, penting untuk menganalisis keputusan PRU15.

Artikel ini membentangkan analisis awal satu dimensi pengundian - sokongan berdasarkan kaum.

Ia hanya menumpukan pengundian di semenanjung dengan anggaran dari data makro di setiap kerusi, berbanding pusat mengundi yang lebih granular sifatnya. Analisis lebih mendalam (termasuk di Sabah dan Sarawak) akan menyusul.

Dapatan awal menunjukkan kepentingan kerjasama antara gabungan - seperti antara BN dan PH - yang membawa perwakilan yang lebih meluas. Kedua-dua PH dan BN mengalami defisit dalam mewakili seluruh kaum.

Pengundian berdasarkan kaum kian meningkat

Rakyat Malaysia mengundi atas pelbagai sebab, namun corak dominan dari pembingkaian dan analisis terhadap pengundian itu adalah kaum. Ini antara lain kerana kempen digerakkan atas garis berkenaan.

Sementara kaum hanya terpapar pada 40 peratus corak pengundian pada 2018, ia lebih berhubung kait dengan pengundian sejak PRN Melaka pada 2021.

Ini antara lain kerana politik identiti kian digunakan untuk menarik pengundi, yang turut berlaku pada PRU15.

Bukan saja interaksi dengan pengundi dibuat menerusi rangka kaum, malah semakin ramai yang mengundi berdasarkan faktor kaum.

Ini bukan untuk menolak sisi analitikal lain - seperti generasi, gender, kelas, wilayah dan kawasan bandar dan luar bandar. Corak-corak ini akan diperhatikan, walaupun analisis penuh akan mengambil sedikit masa. Pengundian di Malaysia tidak seharusnya dilihat menerusi satu dimensi sahaja, walaupun dengan dimensi kaum yang dihuraikan.

Seperti semua analisis, perlu ada kaveat pada dapatan yang diperolehi. Ini adalah anggaran.

Analisis juga dibuat pada tahap makro, jadi tahap ketepatannya kurang berbanding menggunakan data pusat mengundi.

Berikut adalah dapatannya:

Perikatan Nasional

Gabungan diketuai Muhyiddin Yassin ini mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu di semenanjung, dengan anggaran 54 peratus.

Ia meningkat berbanding sokongan pengundi terhadap PAS pada 2018, iaitu 32 peratus. Ia juga meningkat berbanding sokongan ketika PRN Melaka dan Johor.

Ia mencerminkan kempen PN yang diuruskan dengan baik.

Namun, PN tidak mendapat sokongan yang bermakna dalam kalangan pengundi bukan Melayu, dengan anggaran 0.05 peratus untuk kedua-dua kaum (Cina dan India) pada 2022.

Maka, PN adalah gabungan yang hanya mendapat sokongan Melayu, dengan pengecualian terhadap anggaran lima peratus sokongan dari masyarakat lain, terutama Orang Asli.

Pakatan Harapan

Sokongan pengundi Melayu terhadap PH lebih rendah pada PRU15, iaitu anggaran 11 peratus berbanding anggaran 25 peratus pada 2018. Anggaran tahap sokongan ini sama dengan tahap sokongan semasa PRN Johor.

Lebih penting, ini merupakan anggaran bagi semenanjung secara keseluruhan. Jadi, tahap sokongan di setiap kerusi boleh jadi lebih tinggi (atau lebih rendah).

Kerjasama dengan BN telah meningkatkan asas sokongan Melayu terhadap kerajaan baru, seperti yang ditunjukkan di bawah.

Anggaran sokongan pengundi bukan Melayu pula mencapai rekod tertinggi, dengan anggaran 94 peratus pengundi Cina dan 83 peratus pengundi India.

Ini antara lain boleh dijelaskan dengan mobilisasi kaum yang begitu menonjol sepanjang kempen, yang mempengaruhi semua kaum.

Barisan Nasional

BN kehilangan anggaran 10 peratus sokongan Melayu pada PRU15, yang menjadi faktor kekalahannya di banyak kerusi. Gabungan ini dianggarkan meraih 33 peratus sokongan pengundi Melayu, merosot berbanding 43 peratus pada PRU14.

BN juga dianggarkan hilang tiga peratus sokongan pengundi Cina dan dua peratus sokongan pengundi India.

Dapatan awal ini menunjukkan dua corak penting - polarisasi kaum dalam pengundian melibatkan PH dan PN, yang turut mencerminkan dinamik dalam kempen mereka.

Kedua, pencapaian BN adalah melebarkan, secara keseluruhan, perwakilan merentasi kaum di semenanjung.

Namun, corak-corak ini juga membangkitkn persoalan yang memerlukan analisis lanjut, terutama berkenaan bagaimana keadaan sosioekonomi memberi kesan kepada pengundian dan, lebih penting, kepentingan untuk para pemimpin di seluruh negara untuk berusaha merapatkan jurang antara kaum.

Saravanan: Zahid tentukan siapa TPM BN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi akan menentukan siapa calon timbalan perdana menteri daripada gabungan itu dalam kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata walaupun isu berhubung jawatan itu ada dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum ini, tiada nama tertentu disebut bagi mengisinya pada mesyuarat berkenaan.

“Kita ada bincang jawatan itu, namun siapa calonnya belum ditetapkan lagi…terpulang kepada pengerusi (Zahid) kerana mandat diberikan kepada pengerusi.

“Kita hanya bincang jawatan itu, tiada siapa nama yang disebut,” katanya menurut Berita Harian.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan dua jawatan timbalan perdana menteri akan diwujudkan bawah Jemaah Menterinya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selepas kemelut pelantikan perdana menteri berlarutan selama lima hari susulan tiada gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah pada pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15), presiden PKR itu akhirnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara, semalam.

Anwar akan memimpin kerajaan perpaduan yang sehingga kini dianggotai BN dan GPS, namun beliau turut menjemput gabungan serta parti politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai pentadbirannya.

PN sah jadi pembangkang, tapi mahu rintis kerjasama lain

Malaysiakini

Selepas menyatakan keputusan enggan menyertai kerajaan perpaduan Perikatan Nasional (PN) petang ini menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan pendekatan lain.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN bagaimanapun terbuka untuk merintis kerjasama dalam bentuk lain dengan kerajaan.

Dalam kenyataan terbarunya ahli parlimen Pagoh itu berkata PN memang menghargai tawaran dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa mereka menyertai kerajaan.

Namun, katanya, atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak-imbang yang berkesan di parlimen PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan.

"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke parlimen," katanya.

Tambah bekas perdana menteri itu lagi PN juga akan memastikan perjalanan urus tadbir yang baik serta berintegriti selaras dengan dasar mereka iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PN bersedia mencari persefahaman dengan Putrajaya melalui kaedah perjanjian berbentuk persefahaman yang pernah dimeterai Pakatan Harapan (PH) bersama perdana menteri terdahulu, Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani PH dan Ismail Sabri sebagai langkah memberikan kestabilan kepada kerajaan pusat selepas Malaysia menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran perdana menteri selepas PRU ke-14.

Satu lagi cara kerjasama yang biasa dicapai di antara blok kerajaan dan pembangkang dalam negara demokrasi ialah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Semalam Muhyiddin masih lagi bertegas untuk mencabar keabsahan Anwar selepas pengerusi PH itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Muhyiddin yang sebelum ini mengumumkan PN memiliki sokongan majoriti ahli parlimen di sebalik kedudukan parti itu menjadi blok kedua terbesar selepas PH juga mahu Anwar membuktikan sokongan yang diperolehinya.

Anwar kemudian mengumumkan sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Dis ini dengan agenda penting selepas majlis angkat sumpah ialah usul undi percaya kepadanya.

Menurut Anwar usul itu akan dibawa sendiri oleh kerajaan.

Isu kestabilan dalam kerajaan menjadi antara aspek utama yang ditekankan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan kerajaan baru selepas PRU pada 19 Nov lalu.

“Gue ikut bangga…”- Netizen Indonesia teruja Anwar jadi PM hingga jadi bualan di negara jiran

SITI NUR ZAWANI MISCON

Rata-rata netizen di Indonesia teruja dan meluahkan rasa bangga sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Nama Malaysia juga trending di negara jiran selepas Anwar sah memegang tampuk kerajaan.

Mereka melihat Anwar adalah tokoh yang tidak asing di sana kerana beliau sering melakukan kunjungan hormat ke Indonesia untuk bertemu dengan Presiden Joko Widodo.

Anwar juga sangat dekat hubungan diplomatik dengan elit politik di Indonesia, menurut netizen di negara jiran.

Meskipun ketika itu jawatan Anwar sekadar pembangkang di Malaysia, namun perkhabaran gembira yang mengangkat beliau ke kerusi nombor 1 negara membuatkan elit politik dan masyarakat Indonesia menyukai beliau.

“Anwar Ibrahim itu sangat dekat sih hubungannya dengan elit politik di Indonesia, dia juga rajin berkunjung ke Jakarta meski kedudukannya sebagai oposisi Malaysia, makanya terpilihnya dia jadi perdana menteri Malaysia akan sangat disukai elit politik Indonesia.

“Sebagai rakyat Indonesia, gua ikut bangga terpilihnya Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai PM Malaysia.

“Mereka (rakyat Malaysia) udah lebih cerdas dalam memilih siapa yang jadi sosok pemimpinnya, tokoh pejuang reformasi, semoga terpilihnya #DSAI membawa Malaysia ke arah lebih baik,” kata netizen @KeeNand_.

Anwar Ibrahim itu sangat dekat sih hubungannya dengan elit politik di Indonesia, doi juga rajin berkunjung ke Jakarta meski kedudukannya sebagai oposisi Malaysia, makanya terpilihnya dia jadi perdana menteri Malaysia akan sangat disukai elit politik Indonesia pic.twitter.com/wYHZL9eOUn


— Kienand Lauw (@KeeNand__) November 24, 2022

Biarpun selama dua dekad ini rakyat Malaysia menyokong Barisan Nasional kerana kekhuatiran terhadap calon lain yang dianggap akan meminggirkan Melayu, namun semangat membuat perubahan lebih besar dari kekhuatiran tersebut.

Netizen Indonesia mengakui selama 24 tahun masyarakat dan elit politik mengamati perjuangan Anwar dan jatuh bangun beliau.

“Selama 24 tahun, masyarakat dan elit politik di Indo mengamati bagaimana perjuangan jatuh bangun Datuk Sri Anwar Ibrahim demi tujuan mereformasi Malaysia hingga akhirnya gua melihat sendiri perjuangan @anwaribrahim tidak sia-sia.

“Wajahnya Anwar Ibrahim itu sering wara wiri (diwar-warkan) di interview oleh media televisi di Indonesia, makanya masyarakat Indonesia itu familiar dan merasa kenal dengan Anwar.

“Anwar itu tokoh politik Malaysia yang jadi “media darling” di Indonesia,” katanya lagi.

Sementara itu CNN Indonesia turut melaporkan hal sama mengatakan rakyat Indonesia ikut girang dengan kemenangan Anwar.

Suami isteri berdepan detik cemas harimau masuk rumah

Bernama


Harimau akar itu berjaya ditangkap Perhilitan Lipis selepas ditembak dengan ubat pelali. (Gambar PDRM)

KUANTAN: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas seekor harimau akar memasuki rumah mereka, di Kampung Sentang Pagar Sasak, Kuala Lipis, semalam.

Ketua Polis Lipis Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 6.30 petang dan mendapati ketika insiden berkenaan, rumah itu dihuni seorang lelaki berusia 55 tahun dan isterinya 58 tahun yang menghidap angin ahmar.

Beliau berkata menerusi maklumat diterima, harimau berkenaan dikatakan masuk ke rumah itu melalui pintu hadapan ketika mengejar seekor kucing.

“Terkejut dengan kehadiran harimau itu, suami wanita itu telah menghalau haiwan berkenaan, namun harimau itu telah melompat ke atas katil dan tercakar kening wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, wanita yang mengalami luka kecil itu telah diberi rawatan oleh petugas kesihatan Klinik Padang Tengku, Kuala Lipis.

Beliau berkata, harimau yang kemudian berada di bawah rumah mangsa telah dikepung oleh penduduk kampung sementara menunggu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pada 8 malam, Perhilitan Lipis tiba di lokasi kejadian dan haiwan berkenaan berjaya ditangkap beberapa jam kemudian setelah ditembak dengan ubat pelali, katanya.

Anwar: Kerajaan sudah capai sokongan dua pertiga

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perpaduan pimpinannya sudah mencapai sokongan dua pertiga susulan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju menyertai pentadbirannya.

Beliau berkata, kedudukan kerajaan perpaduan kukuh selepas Pengerusi GRS Hajiji Noor secara rasmi bersetuju menyertai kerajaan.

“GRS secara rasmi sertai kerajaan perpaduan, kekuatan induk kita GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan sekarang GRS yang menunjukkan sudah mencecah dua pertiga Ahli Parlimen.

“Kita mahu memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerajaan…kita angkat martabat negara, kukuh ekonomi dengan mengangkat martabat dan nasib rakyat,” katanya pada sidang media.

Semalam, pada sidang media pertamanya, Anwar menyanggah sebarang pertikaian mengenai kestabilan kerajaan perpaduan sekarang, kerana terasnya adalah tiga gabungan besar Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan GPS.

“Jadi soal kestabilan tidak berbangkit,” katanya pada sidang media malam tadi.

Katanya, selain tiga parti induk berkenaan, beliau berkata, turut menyokong kerajaan membabitkan Muda, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM)

Ini bermakna, Anwar sudah menikmati sokongan 139 Ahli Parlimen. Susulan sokongan GRS, sokongan kepada kerajaan meningkat kepada 145 Ahli Parlimen.

Dua Ahli Parlimen bebas dan satu Ahli Parlimen dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dikatakan mesra GRS. Sokongan mereka menjadikan Anwar memperoleh sokongan dua pertiga.

Minimum 148 kerusi diperlukan bagi mendapat dua pertiga.

Peja dakwa kerajaan Anwar tiada keabsahan moral

Sinar Harian

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa kerajaan baharu di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai keabsahan moral.

Ujarnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa tetap dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara keraan disebabkan rancangan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah, sedangkan gabungan yang diterajuinya hanya mendapat 82 kerusi.

"Anwar menjadi PM bukan dengan sokongan majoriti rakyat tetapi melalui pencaturan politik dengan BN, di mana Anwar berjanji kepada rakyat semasa kempen tidak akan bergabung dengan BN yang terpalit dengan skandal dan rasuah.

"Lain daripada (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan berurusan dengan Zahid, atau pun menggugurkan tuduhan rasuah terhadap beliau semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan PM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, pembentukan kerajaan baharu yang meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kerajaan yang baharu dibentuk dengan Anwar sebagai PM bukan Kerajaan Perpaduan.

"Ini adalah kerana gabungan politik yang mewakili orang Melayu iaitu PN tidak sebahagian dari kerajaan PH-BN ini yang didominasi DAP, parti terbesar kerajaan baharu dengan 40 kerusi," jelas beliau.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi, hari sama.

Anwar dipercayai akan menerajui Kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas dua kerusi.

-Sinar Harian

Dr Mahathir ucap tahniah dan selamat maju jaya pada Anwar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Dalam ciapannya di Twitter, bekas bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyatakan selamat maju jaya kepada Anwar.

“Saya ucap tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10. Selamat maju jaya,” katanya dalam ciapan itu.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika PH memenangi pilihan raya umum ke-14, pada 2018, namun kerajaan ditadbir gabungan itu runtuh hanya dalam tempoh 22 bulan susulan Langkah Sheraton.

Walaupun Mahathir dan Anwar pernah bekerjasama sehingga membawa kepada kemenangan PH, bagaimanapun hubungan mereka “kembali suram” sejurus kejatuhan pentadbiran gabungan berkenaan.

Sebelum kejatuhan pentadbiran gabungan itu, pada Februari 2020, Mahathir berulang kali berjanji akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar yang dikatakan “perdana menteri menunggu”.

Dua gergasi politik itu saling berbalas serangan pada kempen pilihan raya umum Ke-15 dengan Anwar menyalahkan Mahathir kegagalan PH ketika berkuasa.

Bagaimanapun, Mahathir memberitahu presiden PKR itu supaya berhenti meletakkan kesalahan terhadapnya kerana gagal menjadi perdana menteri.

Semalam, selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, berkata partinya mendoakan kerajaan pimpinan Anwar mampu mengeluarkan Malaysia daripada “lautan yang bergelora” dan memulihkan negara.

Mukhriz yang juga anak Mahathir, berharap kerajaan baharu dipimpinya akan membawa kestabilan politik negara.

Beranikah Mahiaddin letak jawatan jika Anwar gagal ditumbangkan 19 Disember nanti?

SHAHBUDIN HUSIN

Tidak seperti Mahiaddin Md Yasin yang bertindak menggantung Parlimen melalui perisytiharan darurat untuk mengelak keabsahannya diuji, Anwar Ibrahim sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak menunggu lama untuk menunjukkan kejantanannya dalam hal tersebut.

Menyahut cabaran Mahiaddin yang sedang lara, kecewa dan mungkin meleleh air liur kerana gagal menuruti jejak Tun Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Anwar menegaskan, keabsahannya akan segera ditentukan apabila Parlimen mula bersidang pada 19 Disember depan.

Menurut beliau, undi percaya terhadapnya adalah agenda terawal sidang Parlimen akan datang yang mana usul berkenaan akan dibawa oleh pihak kerajaan sendiri.

Sebelum Anwar mengangkat sumpah di Istana Negara semalam, Mahiaddin tampil mengadakan sidang media mempertikaikan keabsahan Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri.

Beliau seterusnya mencabar Anwar untuk mengemukakan jumlah sokongan yang dimilikinya bagi membuktikan kesahihan perlantikannya itu.

Mahiaddin sebaliknya yakin beliau telah mendapat majoriti yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri, adalah wajar beliau membuktikan dirinya mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” tambah Pengerusi PN itu lagi.

Dalam hal ini, walaupun Mahiaddin telah menghantar sejumlah SD yang didakwa mencukupi untuknya dilantik sebagai Perdana Menteri kepada Istana Negara, tetapi barangkali beliau terlupa bahawa telah berlaku beberapa perubahan selepas itu.

Pertama, 10 Ahli Parlimen BN yang sebelum itu menandatangani SD menyokong beliau telah menarik balik sokongan mereka.

BN seterusnya membuat keputusan berkecuali dan ingin kekal sebagai pembangkang saja.

Tetapi setelah titah Agong agar dibentuk kerajaan perpaduan yang Mahiaddin sendiri menolaknya, MT Umno secara sebulat suara memutuskan mereka bersedia menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN.

Tak fahamkah Mahiaddin dengan ayat pendirian Umno sedia menyertai kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN itu?

Kalau tak faham, biar saya fahamkan – oleh sebab hanya ada dua gabungan yang mendapat kerusi terbesar iaitu PH dan PN, maka sudah tentulah salah satu antara keduanya itu yang layak menerajui kerajaan perpaduan sebagaimana dititahkan Agong.

Apabila Umno memutuskan sedia bersama dengan kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN, pastilah ia bermaksud BN memilih PH.

Faham ke tidak lagi Mahiaddin?

Kedua, GPS di Sarawak turut mengubah pendirian dengan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri setelah mereka mendapat bantahan daripada sebahagian penyokongnya sendiri yang bimbang dengan pengaruh ekstremisme Pas yang kini lebih besar dalam PN.

Jadi, celah mana yang Mahiaddin mendakwa beliau masih mempunyai sokongan majoriti?

Apa pun, keberanian Anwar menguji keabsahannya pada 19 Disember ini iaitu tidak sampai sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri memang suatu tindakan berani dan amat terpuji.

Bermakna beliau sedia mempertaruhkan jawatannya dan berisiko kehilangan jawatan Perdana Menteri jika gagal dalam undi percaya itu.

Tetapi, bagi Mahiaddin yang sekadar berani mencabar itu, apa pertaruhan yang mahu diletakkannya?

Kalau Anwar berani mempertaruhkan jawatan Perdana Menterinya, beranikah Mahiaddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN dan Presiden Bersatu jika Anwar tidak tumbang pada 19 Disember nanti?

Anwar, ketokohan dan pengiktirafan dunia

DR SHAHNOR BASRI

Dalam ruangan rencana Malaysian Insiders, penulis telah beberapa kali menulis tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan mengenai pasukan yang harus dibina pasca PRU-15 iaitu sosok yang harus dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke10.

Ia bukanlah kerana beliau itu Anwar bin Ibrahim. Ia adalah kerana DSAI adalah seeorang tokoh yang telah diuji dan teruji, beliau mempunyai suatu kekuatan dan kesabaran, mindanya kelas pertama, analisis dan bacaannya terhadap ekonomi semasa dan politik jarang tersasar, jaringannya sangat lebar, kebangsaannya sangat kuat, Islamnya meniti zaman, rakyat keutamaannya, bencinya kepada perkauman yang memisah perpaduan kaum dan etnik dalam negara sangat ketara dan beliau adalah negarawan yang sabar dan tenang.

Makalah yang penulis baca terbitan Yusoff Ishak Institute, Singapura “The Making of Anwar Ibrahim’s Humane Economy” amat meyakinkan bahawa YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang paling layak menerajui Malaysia. Ia boleh dijadikan panduan untuk negara bergerak mendahului negara Asia dalam kemajuan ekonomi dan perindustrian.

Buku Anwar Ibrahim: Evolution of a Muslim Demokrat, karangan Charles Allers tambah meyakinkan dan mengesahkan bahawa DSAI adalah tokoh yang berkarismatik dan bertenaga (energetic). Charles mengungkapkan bahawa DSAI adalah tokoh yang terus menjadi suara yang dinamik dan bersemangat untuk mengangkat negara dan dunia kepada kepelbagaian budaya, agama dan terutama bagi rakyat Malaysia.

DSAI sendiri menulis rencana kesarjanaan dalam beberapa jurnal termasuk Journal of Democracy. Rencana beliau antaranya “Confronting Authoritarianism” sangat menarik dari segi hujah kesarjanaan, kemudian lakaran penanya dalam artikel ilmiah bertajuk “Universal Values and Muslim Democracy” menunjukan sikap toleransi, kebersamaan yang harus dibina oleh masyarakat berbilang kaum dan bangsa. Tulisan ini menganalisis nilai universal dan demokrasi merentas Eropah, Asia, Timor dan Barat. Beliau membuat rumusan yang amat penting bahawa kemahuan insan untuk bebas dan menjalankan kehidupan yang bermaruah adalah universal. Begitu juga kebencian terhadap kemunculan despotisme dan penindasan; dan inilah juga keghairahan bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga orang dari semua tamadun.

Banyak lagi hasil minda beliau yang boleh menjadi rujukan zaman yang mempertahankan demokrasi, Islam, budaya, bangsa dan persefahaman antara timor dan barat. Beliaulah PM yang mempunyai minda kesarjanaan yang tinggi selain ketokohan kepimpinannya.

Apa yang penulis boleh rumuskan disini bahawa; pada alaf ini negara memerlukan kepimpinan dengan ketokohan seperti YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Negara tidak memerlukan lagi pada bila-bila masa kepimpinan yang membawa rentak perkauman sempit dan menunggang agama untuk kekuasaan. Dalam keadaan Malaysia perlu membina kestabilan, kerharmonian, ekonomi mantap, pelaboran yang rancak, kelestarian industri dan masyarakat madani yang dilindungi oleh keadilan, maka tokohnya adalah Anwar Ibrahim, Perdana Mewnteri ke 10 bersama pasukannya yang diterajui oleh Pakatan Harapan didalam Kerajaan Perpaduan Nasional.

Penulis berharap salah seorang Naib Presiden PAS yang menghantar Whatsapp kepada penulis mengatakan tulisan saya sebaik sahaja keputusan PRU muncul, bahawa DSAI lah yang paling layak sebagai Perdana Menteri, membuatkan beliau meroyan tanpa hujah. Beliau menuduh saya menulis kerana saya DAP dan PAN (Amanah).

Sesungguhnya tidak ada kaitan dengan itu kerana saya tidak pernah melihat hatta bagaimana bentuk borang keahlian DAP sekalipun. Nasib baiklah beliau tidak mengatakan saya ini kominis atau pendokong komunis. Saya bersyukur perikatan yang beliau sertai tidak mengetuai kerajaan. Jika beliau menjadi sebahagian dari kerajaan maka kita akan ada menteri minda kelas ke 4 atau ke 5 (bukan ke2 pun). Saya nasihatkan beliau banyak membaca kerana analisis saya dari pembacaan bukan omongan kosong.

Polis siasat kes menghina azan

Muhamad Lokman Khairi

am@hmetro.com.my

Manjung: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan membabitkan kes penghinaan terhadap laungan azan di sebuah masjid di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Polis (ACP) Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 5.45 petang semalam.

Menurut Nor Omar, pihak polis kini menyiasat pemilik akaun Facebook dikenali sebagai 'Jacky Chan' yang memuat naik ciapan terbabit.

"Hantaran terbabit menyentuh sensitiviti dan kebebasan mengamalkan ajaran agama Islam. Perbuatan ini boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Anwar tawar PN sertai Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau

BORHAN AHMAD

Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan kepada semua parti politik termasuk Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang beliau ketuai.

Tawaran ini diberikan selepas beliau mendapat sokongan penuh dari Barisan Nasional, GPS dan beberapa Ahli Parlimen Bebas yang menjadikan beliau mengetuai kerajaan yang kuat.

Anwar berkata demikian dalam sidang media yang disertai oleh wakil media dan orang ramai yang memenuhi satu dewan di Sungai Long, berhampiran dengan kediaman peribadi beliau.

Bagi membuktikan kekuatan kerajaannya, Anwar mengumumkan akan mengadakan sidang Parlimen 19 Disember ini.

“Agenda pertama dalam sidang ini selain mengangkat sumpah adalah undi kepercayaan kepada perdana menteri yang akan dibawa oleh wakil kerajaan,” kata Anwar.

Anwar juga mengumumkan beliau tidak akan menerima gaji perdana menteri.

Beliau juga menegaskan keutamaan kerajaan beliau adalah pemulihan ekonomi dan tidak akan kompromi dengan rasuah.

PM beri bayangan BN, GPS dapat jawatan TPM

Malaysiakini

Anwar Ibrahim memberi bayangan malam ini bahawa akan ada dua jawatan timbalan perdana menteri dengan masing-masing diberikan kepada ahli parlimen BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bercakap dalam sidang media pertamanya sebagai perdana menteri malam ini, Anwar berkata, hal itu kerana kedua-dua parti terbabit merupakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan pimpinannya.

"Ini melibatkan kerajaan perpaduan... bagi ruang untuk kami berbincang dulu.

"Jawatan timbalan perdana menteri biasanya daripada komponen kuat yang lain (selain PH), setakat ini dari BN.

"Dan Sabah, Sarawak... komponen terkuat Sabah dan Sarawak ialah GPS," katanya di Kajang.

Anwar berkata, memandangkan jawatan perdana menteri telah disandang oleh PH selaku komponen terbesar, jawatan timbalan perdana menteri akan diberikan kepada rakan gabungan mereka.

Jelas ahli parlimen Tambun itu kerajaan pimpinan perpaduan itu dianggotai BN, GPS sebagai tujang serta Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Muda.

Ditanya mengenai ikrarnya berhubung gaji sebagai perdana menteri, Anwar sekali lagi menegaskan dia kekal dengan keputusan untuk tidak mengambil gaji atas jawatan tersebut.

Anwar berkata langkah itu ia penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat ketika negara dalam situasi ekonomi tidak menentu.

"Pasal apa awak nak paksa saya tak terima gaji... Ia sebagai langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat.

"Saya memilih untuk menolak gaji perdana menteri," katanya lagi.

Pada 15 Nov lalu, ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Anwar yang juga pengerusi PH sekali lagi mengulangi pendirian tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri jika PH berjaya membentuk kerajaan.

Anwar berkata, melihat kesusahan rakyat dengan harga barang naik dan tiada tindakan berkesan daripada kerajaan menyebabkan dia tidak sanggup mengambil gaji sebagai perdana menteri.

Anwar: undi percaya hari pertama persidangan

PH-BN-GPS teras kerajaan perpaduan, uji majoriti di Dewan Rakyat 19 Disember

Irene Chia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyanggah sebarang pertikaian mengenai kestabilan kerajaan perpaduan sekarang, kerana terasnya adalah tiga gabungan besar Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan Gabungan Parti Sarawak.

“Jadi soal kestabilan tidak berbangkit,” katanya pada sidang media malam tadi, dan menambah kerajaan perpaduan ini turut disertai Warisan, Muda, dan Parti Bangsa Malaysia.

Dalam kedudukan sekarang, PH mempunyai 81 kerusi, BN 30 kerusi, dan GPS 23 kerusi.

Warisan pula tiga kerusi, Muda dan PBM masing-masing 1 kerusi.

Meskipun dengan 139 kerusi – setakat ini – Anwar berkata beliau tidak menolak pernyertaan parti lain.

“Selaku perdana menteri seluruh rakyat, mewakili semua kaum, dan menjamin keharmonian, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain.”

Sementara itu, Anwar maklum Perikatan Nasional mempertikaikan keabsahan kerajaan perpaduan ini, dan sedia membuktikan kekuatannya di Parlimen.

“Kita telah tetapkan sidang Parlimen pada 19 Disember, dan usul pertama selain daripada mengangkat sumpah ialah usul daripada kerajaan – undi percaya.”

Beliau menambah langkah ini bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan ini.

PH hantar SD sokong Wan Rosdy jadi MB Pahang

Bernama

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Pahang menghantar akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pengerusinya, Amirudin Shari yang memaklumkan perkara itu, berkata pihaknya kini menunggu masa bagi istiadat menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, namun tidak mendedahkan bila SD itu dihantar.

“Kita hanya menunggu masa menghadap dan masa perkenan Duli Maha Mulia Tuanku. Sebab kita bukan dalam posisi (untuk meminta menghadap).

“Kita sudah berbincang dan meletakkan usaha kita serta menyatakan dengan rasmi kesediaan menyokong Wan Rosdy. Jadi, kalau boleh ia dapat dijalankan dengan baik dan ada beberapa perkara lain dapat diuruskan,” katanya di Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Amirudin berkata, perbincangan antara PH dan BN Pahang bagi pembentukan kerajaan negeri dilakukan sejak malam keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diketahui dan beliau turut menemui Wan Rosdy bagi proses pembentukan tersebut.

Semalam, media melaporkan lapan wakil rakyat PH yang memenangi kerusi DUN Pahang pada PRU15 menandatangani SD menyokong Wan Rosdy sebagai menteri besar.

Perkara itu disahkan Sim Chon Siang, yang memenangi DUN Teruntum yang menyatakan proses menandatangani SD itu berlangsung di sebuah pejabat peguam di Temerloh, Pahang semalam.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti memiliki majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, dengan BN memperoleh 16 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi dan lapan oleh PH.

Terdapat 42 kerusi DUN Pahang, namun proses pengundian DUN Tioman akan diadakan 7 Dis ini, susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian, dipercayai akibat serangan jantung.

Muhyiddin tuntut Anwar kemuka bukti sokongan MP

Malaysiakini

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mencabar Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh bagi memegang jawatan perdana menteri.

Muhyiddin berkata, beliau yakin telah mendapat majoriti mencukupi untuk menjadi perdana menteri dengan mendapat sokongan 115 ahli parlimen.

"Pada jam 10.30 pagi 22 Nov 2022, setiausaha agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.

"Iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai perdana menteri.

"Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai perdana menteri.

"Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya dalam sidang media petang ini.

Muhyiddin mendakwa dia mendapat sokongan 73 ahli Parlimen PN; GPS (22); BN (10); GRS (6); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat ataupun (KDN) (1) dan Bebas (2).

Sokongan itu katanya dikemukakan secara akuan bersumpah (SD) dan diserahkan kepada Istana Negara sebanyak dua kali iaitu pada 21 dan 22 Nov.

Ditanya sama ada dia mengenai dakwaan 10 ahli Parlimen BN menarik sokongan, Muhyiddin kata dia tidak mengetahui mengenai perkara itu, tetapi yakin telah mengemukakan jumlah mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan," demikian menurut kenyataan Istana Negara.

Dalam pada itu Muhyiddin ketika ditanya apa tindakannya selepas ini, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat selain memberi peluang kepada Anwar mengemukakan bukti.

"Kalau (ahli Parlimen) nak sokong kena dengan SD bukan surat dari langit. Kalau hari itu saya kata 115 (ahli Parlimen sokong) tapi orang berkaitan tak hantar SD itu boleh dipertikaikan," katanya.

Ditanya mengenai kerajaan perpaduan yang disarankan Yang di-Pertuan Agong susualan pelantikan presiden PKR sebagai perdana menteri.

Muhyiddin berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara tidak menyentuh tentang kerajaan perpaduan sebaliknya hanya mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

"Kenyataan Istana Negara saya baca berkali-kali (ia) tiada kaitan dengan kerajaan perpaduan, hanya mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri," katanya.

Muhyiddin bertegas ada sokongan majoriti

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bertegas beliau ada sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk memimpin kerajaan.

Beliau menyeru Anwar Ibrahim buktikan beliau disokong majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Nurul Izzah: Ketika menang juga kita diduga

FMT Reporters

PETALING JAYA: Nurul Izzah mengingatkan penyokong supaya terus berpegang kepada ‘garis batas perjuangan’, selepas bapanya, Anwar Ibrahim, diumum sebagai perdana menteri kerajaan perpaduan.

Sambil berkongsi gambar ikonik bapanya di mahkamah ketika era reformasi 90-an, Izzah berkata keadilan dituntut bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk melindungi semua.

“Ketika kalah kita diduga, ketika menang juga kita diduga,” katanya di Facebook.

Izzah berkata cabaran yang menanti adalah menyatukan rakyat, meneliti masalah ekonomi, merangsang bakat tempatan, dan “membina ummah serta bangsa yang berteraskan keadilan sosial dan kenegaraan”.

Beliau mengingatkan legasi seorang pemimpin untuk generasi masa depan bukannya harta, tetapi idealisme dan prinsip.

“Jadikan masa depan, masa kita bersama,” katanya.

GPS mungkin jadi sebahagian kerajaan perpaduan, kata pemimpin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.

“Saya gembira, kebuntuan telah berakhir,” kata Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Saya harap kerajaan baharu akan berlaku adil kepada semua, termasuk Sabah dan Sarawak. GPS akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan baharu.”

Karim, seorang menteri negeri Sarawak, berkata GPS berkemungkinan akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, yang dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.

“Kami berharap beliau akan segera memastikan pelaksanaan semua tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Dalam turut mengucapkan tahniah kepada Anwar, Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Jeffrey Kitingan mengingatkan bahawa perdana menteri baharu akan berdepan banyak cabaran.

“Kami berharap aspirasi dan tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap hak perlembagaan mereka akhirnya didengari,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri ke-10 dan beliau dijadualkan mengangkat sumpah pada 5 petang hari ini.

Anwar sebagai PM10: Kenyataan penuh Istana Negara

 Anwar sebagai PM10


Anwar PM10, angkat sumpah 5 petang ini

Malaysiakini

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik angota parlimen Tambun Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan dibuat selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan raja-raja Melayu dalam perbincangan khas sebentar tadi.

lstiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sebagai perdana menteri akan berlangsung pada jam lima petang ini di lstana Negara.

Lagi pemimpin gesa SPRM siasat sumber dana Muhyiddin

Malaysiakini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung sumber dana parti gabungnya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Puad berkata Muhyiddin perlu disiasat kerana didakwa membelanjakan sejumlah dana yang berlebihan di Sabah semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang berakhir baru-baru ini.

“Muhyiddin mesti disiasat di bawah AMLA (money laundering act). SPRM mesti siasat. Mana dia dapat duit sebanyak itu. Itu juga berlaku di PRU ke 15,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Gesaan Puad itu dibuat susulan perkongsian video pendek bekas ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa yang mendakwa Muhyiddin memperuntukkan puluhan juta ringgit ketika PRN Sabah, baru-baru ini.

Dalam video Tiktok yang dimuat naik oleh Puad itu, Annuar Musa mendedahkan terdapat puluhan juta ringgit di bilik Muhyiddin ketika pemimpin Umno berkenaan berjumpa dengan Presiden Bersatu tersebut.

Dakwa Annuar, wang tersebut untuk membantu Umno di PRN Sabah.

Dalam video tersebut Annuar juga berkata bahawa dia tidak boleh berbohong kerana dia akan berdosa jika berbuat demikian.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata PN adalah gabungan politik terkaya, menerima projek bernilai berbilion ringgit semasa pandemik Covid-19.

Muhyiddin dalam reaksi spontannya menolak dakwaan Anwar bahawa ia adalah gabungan politik terkaya.

Bekas perdana menteri itu juga berkata PN hanyalah sebuah gabungan baharu yang tidak mempunyai banyak sumber.

Sebelum ini, Ketua PH Melaka Adly Zahari juga berkata gabungan itu akan melancarkan siasatan terhadap dakwaan kerajaan Presiden Bersatu Muhyiddin membelanjakan RM500 bilion semasa pandemik Covid-19, jika ia memenangi pilihan raya umum.

Zahid: BN-Umno akan berakhir jika kerjasama dengan PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata, hayat politik Barisan Nasional (BN) dan Umno akan berakhir jika membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Zahid yang juga presiden Umno itu berkata, pihaknya perlu memperhalusi dan berfikir panjang jika ingin menjalin kerjasama politik dengan PN, terutamanya Bersatu, demi kepentingan parti.

“Kita tahu Bersatu mahu ‘membunuh’ Umno, begitu juga dengan PN, mahu ‘bunuh’ BN sebab 73 kawasan dimenangi mereka ialah kerusi majoriti Melayu, (di mana) Umno juga bertanding.

“Jadi untuk jangka panjang, kalau kita bersama dengan PN, maka Umno akan berakhir hayat politiknya,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Terdahulu, kesemua 30 Ahli Parlimen BN dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, diikuti 23 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Susulan pertemuan itu, Zahid memaklumkan bahawa Agong menitahkan agar BN mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Zahid berkata, semua calon BN telah menandatangani surat akuan bersumpah yang memberi kuasa kepada beliau sebagai pengerusi untuk membentuk kerajaan atau bergabung dengan mana-mana pihak setelah perbincangan diadakan di peringkat pimpinan tertinggi BN dan Umno.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai surat kepada Agong yang kononnya menyatakan 30 Ahli Parlimen BN sebulat suara memberikan kepercayaan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Zahid turut mengakui bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, pada 21 Nov lalu manakala dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam.

Sabar saudara KJ... tak sampai 6 bulan pun - Zahid

Malaysiakini

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Khairy Jamaluddin supaya bersabar kerana pemilihan parti itu bakal diadakan tak lama lagi.

Ia susulan bidasan bekas ketua pemuda Umno itu terhadap Ahmad Zahid berkaitan rundingan untuk menubuhkan kerajaan baru yang sedang berjalan.

"Jawatan dalam parti sesiapa pun boleh bertanding nanti.

"Sabar saudara KJ," kata Zahid ketika membalas hantaran Khairy semalam.

Dalam hantaran itu, Khairy berkata Zahid tiada autoriti moral untuk terlibat dan malah membuat keputusan berhubung rundingan pembentukan kerajaan baru.

"Tunggu pemilihan (Umno) tak sampai enam bulan pun.

"Seluruh perwakilan akar umbi Umno juga sudah tidak sabar mahu mengundi calon pilihan mereka," kata Zahid menjawab kecaman Khairy terhdap beberapa pihak yang mempersoalkan mengapa dia mengkritik presiden Umno itu,

Ketika kempen PRU15, baru-baru ini, Khairy secara terbuka menyatakan hasratnya untuk memimpin Umno satu hari nanti dan menjadi perdana menteri.

Tanpa memberikan garis masa secara jelas, dia berkata harapannya adalah perkara itu tidak akan mengambil masa terlalu lama.

Khairy yang tewas di parlimen Subang, Sabtu lalu, pernah mencabar Zahid sejak 2018 lagi, untuk merebut jawatan nombor satu Umno tetapi kalah.

Pemimpin PN mula berkumpul di rumah Muhyiddin

Noor Hidayah Tanzizi

hidayah.tanzizi@hmetro.com

Kuala Lumpur: Beberapa kenderaan dipercayai membawa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dilihat menuju ke kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini, bermula 10.20 pagi ini.

Difahamkan antara kenderaan yang membawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun tiba di kediaman itu.

Selain itu, kenderaan membawa Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga turut kelihatan.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba pada 9.25 pagi.

Ia dipercayai ada kaitan dengan kemelut pembentukan kerajaan yang masih belum terungkai berikutan tiada parti yang mendapat cukup majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Media juga berkumpul berhampiran kawasan kediaman Muhyiddin sejak pagi bagi mengetahui perkembangan lanjut berhubung perkara itu.

Masyarakat Dayak beri amaran kepada GPS

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Seorang aktivis veteran memberi amaran kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa keputusannya untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri seterusnya boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Dayak.

Pengasas Saya Anak Sarawak (SAS) Peter John Jaban berkata, pengundi Dayak mungkin akan menghukum GPS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana menyokong PN dalam membentuk kerajaan persekutuan.

Sin Chew Daily semalam memetik Fadillah Yusof, naib presiden kanan parti tonggak GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, sebagai berkata, gabungan itu telah mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan Ahli Parlimennya terhadap Muhyiddin.

Kaum Dayak membentuk 40% daripada jumlah pengundi Sarawak.

“Ingatlah bahawa pengundi Dayak mungkin membuat pusingan U yang besar pada PRN akan datang,” kata Jaban kepada FMT.

“Sekarang semua pengundi Dayak yang menyokong GPS (pada PRN lepas) sangat kecewa kerana mereka menaruh kepercayaan yang tinggi kepada gabungan itu.”

Pada Selasa, petisyen yang menyeru Ahli Parlimen GPS beragama Kristian agar menolak sebarang kerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan seterusnya memperoleh lebih 23,400 tandatangan. Sehingga semalam, jumlah itu telah meningkat kepada lebih 36,800.

Petisyen itu dilancarkan selepas ADUN Sarawak Baru Bian menggesa GPS menolak sebarang pakatan dengan PN dan parti komponennya, PAS.

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin tentang cubaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkristiankan Malaysia, yang menurut presiden Bersatu itu, telah diambil di luar konteks oleh pesaing PN untuk memburukkan imejnya.

Baru juga berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, tokoh nombor dua PN, telah menunjukkan dirinya sebagai “pentaksub agama dan perkauman” apabila menuduh golongn bukan Islam sebagai punca rasuah.

Penganalisis James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, keputusan GPS untuk menyokong PN tidak seharusnya mengejutkan.’

“Rakyat lupa bahawa GPS telah menjadi sebahagian daripada kumpulan teras yang menyokong kerajaan PN sejak 2020,” katanya sambil menambah, gabungan Sarawak itu telah menerima banyak konsesi daripada PN.

Beliau tidak bersetuju dengan Jaban, dengan berkata pengundi Dayak mungkin akan melupakan kemarahan mereka berhubung sokongan GPS terhadap PN menjelang PRN akan datang.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengundi Dayak mungkin merungut sekarang tetapi “apa yang akhirnya paling penting dalam pilihan raya ialah keupayaan calon untuk menyampaikan sesuatu yang material”.

“Sebagai contoh, orang Kadazan sebelum ini beberapa minggu merungut mengenai PAS masuk ke Sabah. Tetapi (sentimen) itu tidak kekal dan mereka dengan senang hati mengundi Gabungan Rakyat Sabah, yang merupakan cabang PN.”

Jaga muafakat, adab bila buat kenyataan - Zambry

Malaysiakini

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir menggesa pemimpin parti komponen BN agar berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menyelesaikan sebarang isu.

Ia susulan kenyataan oleh Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon semalam yang menggesa Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN.

Terdapat juga dakwaan bahawa kepimpinan MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah menulis kepada Zambry berkenaan desakan itu.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat menentukan secara bebas kesahihan surat tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Zambry tanpa menamakan mana-mana pihak secara khusus berkata Dewan Tertinggi BN akan menimbang dan memuktamadkan sebarang cadangan dan usul yang dikemukakan menurut peraturan dan perlembagaan gabungan itu.

"Pihak ibu pejabat menasihati semua pihak untuk terus memelihara solidariti dan semangat muafakat yang telah lama terbina dalam BN bagi memastikan kesejahteraan dan kerukunan serta toleransi di kalangan parti anggota dan parti bergabung BN.

"BN berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menangani sebarang isu dihadapi. Justeru, adab, dalam menyatakan dan mengeluarkan sebarang kenyataan hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya agar tidak menimbulkan salah faham.

"Ini termasuklah hal-hal yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN," katanya lagi.

Chong sebelum ini secara terbuka menyuarakan hasrat MCA agar Zahid letak jawatan susulan surat yang dihantar presiden Umno itu kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 22 Nov.

Dalam surat itu, Zahid menyatakan kesemua 30 ahli parlimen BN menyokong Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Pendirian rasmi BN pada asalnya adalah kekal tidak menyokong mana-mana pihak.

Namun, Umno semalam memutuskan gabungan itu perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Istana Negara.

Setakat ini tidak jelas bila mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang seterusnya.

Kita masih di hadapan - Hadi

Malaysiakini 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa PN "masih di hadapan".

"Kekal tenang. Kita sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

"Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara," katanya di Facebook hari ini.

Dua hari lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata dia ada sokongan 115 ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Dia juga berkata PN tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong agar gabungan itu menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PH.

Prestasi PN buat kerusi Melayu PH di Pulau Pinang berisiko

Dineskumar Ragu

GEORGE TOWN: Prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu meletakkan gabungan itu dalam kedudukan kukuh untuk merampas kerusi majoriti Melayu Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, menurut dua penganalisis.

Azmil Tayeb dan Azeem Fazwan Ahmad Farouk yang kedua-duanya dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kerusi DUN Pinang Tunggal, Penanti, Sungai Bakap, Pulau Betong, Telok Ayer Tawar, Bayan Lepas dan Permatang Pasir sangat berisiko.

PRN akan diadakan tahun depan.

PN membuat kejutan pada PRU15 apabila ia merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas dan menewaskan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di kerusi tradisi keluarganya di Permatang Pauh.

Azmil berkata, PH mesti menangkis wacana di media sosial, khususnya TikTok, kerana ia adalah platform pilihan anak muda Melayu.

“Undi Melayu telah banyak memihak kepada PN, terutamanya di kawasan separa luar bandar dan luar bandar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kemenangan PN di kerusi campuran seperti Kulim-Bandar Baharu dan Alor Setar juga bermakna sukar bagi PH untuk merampas kerusi campuran di Pulau Pinang, termasuk Seberang Jaya dan Sungai Acheh, daripada komponen PN, Bersatu.

PH memenangi kerusi Seberang Jaya dan Sungai Acheh pada PRU14 tetapi kehilangan kerusi itu akibat pembelotan. PH kini menguasai 33 kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi DUN. PN memiliki lima kerusi manakala BN, dua.

Azeem Fazwan berkata, kekuatan PN pada PRU15 mungkin dapat dilihat di peringkat negeri.

“Pengundi Melayu telah banyak mengundi PN,” katanya.