"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya hantar beg sekolah penuh wang ke rumah Rosmah

Malaysiakini
KES ROSMAH |
Seorang pemandu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia pernah menghantar “dua buah beg sekolah” penuh dengan wang tunai ke kediaman Rosmah Mansor.

Shamsul Rizal Sharbini berkata, dia membeli dua beg - yang dirujuk sebagai “beg sekolah” berwarna hitam dengan garisan oren - atas arahan dari majikannya Saidi Abang Samsudin. Beg tersebut berharga RM45.

“Kemudian saya ke bank dengan beg tersebut seperti diarahkan Saidi. Saya diarahkan untuk meletakkan beberapa ikat wang berjumlah RM100 ke dalam beg itu. Kejadian berlaku di bilik kebal (cawangan) Maybank.

“Saya tidak mengira wang tersebut dan terus meletakkannya ke dalam dua beg berkenaan. Saya bawa beg itu dan letakkan dalam bonet kereta,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh pendakwa raya Mustafa Kunyalam pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Rosmah.

Ketika ditunjukkan gambar kediaman Rosmah, Shamsul mengenal pasti sofa hijau di mana dia meninggalkan kedua-dua beg itu dan juga Saidi yang imejnya turut berada dalam foto berkenaan.

“Saya bawa dua beg itu dengan wang (di dalamnya). Namun kamu cuma boleh nampak seorang dalam foto ini,” katanya menambah gambarnya tidak kelihatan kerana sudut rakaman.

Saksi itu turut berkata insiden tersebut berlaku sebelum syarikat Saidi- Jepak Holdings Sdn Bhd-memperoleh kontrak untuk membekalkan tenaga solar untuk sekolah-sekolah di luar bandar di Sarawak bernilai RM1.2 billion.

Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah sebanyak RM1.5 juta berhubung projek itu.

Menurut kakitangan cawangan Maybank Medan Tuanku yang memberi keterangan semalam, Saidi mengeluarkan wang secara tunai sebanyak RM5 juta pada 20 Disember 2016, dan RM1.5 juta pada 7 Sept 2017.

Meskipun Shamsul tidak dapat mengingati tarikh yang tepat kejadian tersebut, beliau memberitahu telah membawa "beg sekolah" ke kediaman Rosmah pada September 2017.

Shamsul juga memberi keterangan bahawa beliau telah membawa Saidi pada 2016 untuk bertemu Rizal Mansor, iaitu pembantu Rosmah pada masa itu.

Shamsul berkata, beliau kemudiannya membawa Saidi ke sebuah bank dengan dua beg yang baru dibeli.

Beliau berkata Saidi dan seorang bernama "Razak" kembali kira-kira 15 minit kemudian, masing-masing membawa salah satu beg tersebut.

“Mereka letakkan beg itu di bonet. Saidi duduk di depan dan Razak di belakang, Tiba-tiba seorang lelaki memakai jaket hitam masuk kereta dan duduk sebelah Razak.

“Saya tidak kenal siapa, Dia seperti seorang pegawai polis kerana dia bawa senjata api. Saidi beritahu saya yang dia takut apa-apa yang buruk akan terjadi kepadanya dan dia akan mati,” katanya.

Keempat-empat orang itu kemudian menuju ke sebuah bangunan di sebelah pusat membeli-belah Pavilion di ibu kota di mana beliau melihat Rizal di lobi.

Setelah Saidi berbual dengan Rizal, dua beg tersebut dikeluarkan dari bonet kereta dan diletakkan di sebuah kereta Toyota Vellfire warna hitam, kata saksi itu.

Saidi dan Razak kemudian kembali dalam kereta yang dipandu Shamsul tanpa lelaki bersenjata tersebut.

“Dalam kereta, Saidi melawak berkata dia tidak tahu siapa yang akan datang atau siapa yang ingin membunuhnya. Razak cuma tertawa,” kata Shamsul.

Shamsul juga memberi keterangan bahawa dia tidak tahu menahu akan isi dalam beg tersebut.

Peguam: Google kata penyakit Rosmah boleh ancam nyawa

Geraldine Tong
Rosmah Mansor gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk hari pertama perbicaraan kes rasuahnya hari ini kerana tidak sihat.

Peguam isteri bekas perdana menteri, Jagjit Singh memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa penyakit yang dihidapi anak guamnya itu boleh mengancam nyawa.

Apabila hakim bertanya di mana beliau mendapat maklumat ini, peguam itu menjawab dia telah melakukan carian Google.

“Ah, Doktor Google,” kata Zaini.

Jagjit kemudian menyerahkan kepada mahkamah cetakan carian Googlenya, yang menyatakan bahawa "krisis Addison atau krisis adrenal adalah satu keadaan yang mengancam nyawa yang disebabkan oleh kekurangan hormon adrenal yang akut dan memerlukan rawatan segera."

Terdahulu, pendakwa utama Gopal Sri Ram membacakan beberapa bahagian laporan perubatan walaupun Jagjit meminta untuk tidak melakukannya kerana ia mungkin "memalukan" anak guamnya.

Bagaimanapun pendakwaan berkata pihaknya enggan menerima laporan itu dan seterusnya membacakan sebahagian daripada laporan yang diberikan kepadanya.

“Dia (Rosmah) mengadu pening-pening apabila berbaring dalam posisi yang salah. Saya pun mengalami masalah sama.

“Dia diketahui mengalami cervical spondylosis dan osteoarthritis di lutut sejak lima tahun ini. Saya pun ada kedua-duanya,” kata Sri Ram.

Sri Ram kemudian memberikan diagnosisnya sendiri berkenaan keadaan Rosmah: "Satu-satunya masalah yang dialaminya ialah terlebih dos publisiti dan kekayaan."

Selain cervical spondylosis dan osteoarthritis di kedua-dua lutut, laporan itu juga menyatakan Rosmah mengalami kekurangan adrenal kronik (chronic adrenal insufficiency).

Merujuk laporan itu yang menyatakan Rosmah mengalami masalah tersebut selama lima tahun, Sri Ram berkata ia sepautnya dimaklumkan kepada mahkamah dengan lebih awal.

“Kalau betul dia tak sihat, orang pasti menjangka dia telah diperiksa awal minggu lalu.

“Saya boleh terima kalau kami diberi notis awal kerana dia sudah mengalami masalah ini untuk lima tahun, bermaksud dia pun mesti ada mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Sementara itu, Zaini menetapkan hari Rabu jam 10 pagi untuk perbicaraan disambung dan memberitahu pihak pembelaan beliau mungkin tidak akan bersetuju untuk menunda perbicaraan lagi.

“Tarikh perbicaraan saya sangat penting, saya boleh aturkan kes-kes lain.

“Saya sangat bersimpati dengan anak guam anda...Tetapi saya juga tak boleh menangguhkan (perbicaraan) lebih lama daripada yang sepatutnya,” katanya.

Bersimpati dengan keadaan Rosmah, hakim itu mencadangkan kepada Jagjit supaya anak guamnya hadir pendengaran mahkamah dengan kerusi roda.

Dia juga berkata akan menghentikan perbicaraan yang berlangsung untuk sementara, jika Rosmah memerlukan rehat.

“Boleh saya cadangkan anak guam anda datang dengan kerusi roda? Saya faham dia kena duduk atas kerusi yang keras yang mungkin tak kondusif untuk keadaannya, jadi saya akan benarkan dia datang dengan kerusi roda.

“Kalau dia perlukan rehat kerana sakit, saya akan hentikan sekejap perbicaraan,” katanya lagi.

Rosmah berdepan tiga pertuduhan rasuah melibatkan ratusan juta ringgit.

Pada 15 November 2018, dia mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta serta menerima RM1.5 juta bagi projek pembekalan tenaga solar di sekolah di pedalaman Sarawak.

Dalam pertuduhan pertama, beliau dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Beliau dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Ia merupakan dorongan bagi membantu Jepak Holdings mendapat tender secara terus daripada Kementerian Pendidikan bagi Projek Integrasi Sistem Solat Fotovoltaik Hibrid dan Penyelenggaraan, serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬ pada 7 September 2017.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 -tertakluk mana lebih tinggi- jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Beli Merc: Pemuda PAS digesa buktikan wujud peruntukan undang-undang Kelantan

N Faizal Ghazali
Pemuda PAS digesa menunjukkan bukti bahawa terdapatnya peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri Kelantan yang menetapkan keperluan untuk menukar kenderaan rasmi setiap 10 tahun.

Pengarah Undang-Undang PH Kelantan, Hisham Fauzi berkata, pihaknya mempertikaikan alasan dikemukakan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin dalam isu pembelian 14 buah Mercedes Benz oleh kerajaan Kelantan, baru-baru ini.

"Saya mempertikaikan dakwaan ketua Pemuda PAS yang mengatakan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri menetapkan setiap 10 tahun kenderaan rasmi kerajaan negeri termasuk untuk menteri besar perlu ditukar baru dan hanya kereta jenama Mercedes Benz ditetapkan untuk kegunaan.

"Saya harap beliau boleh memberi pencerahan lanjut dan membawa bukti terdapatnya peruntukan perundangan sebegitu.

"Jika sebelum ini beliau begitu lantang mengkritik cadangan menukar kereta rasmi kerajaan pusat dari Proton kepada Toyota, secepat kilat beliau menukar pendirian bila melibatkan pimpinan parti mereka sendiri," katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Khairil Nizammempertahankan langkah dilakukan kerajaan Kelantan untuk membeli kenderaan mewah Mercedez Benz.

Khairil berkata, pembelian kereta bagi kegunaan rasmi pimpinan negeri itu merupakan satu keperluan selepas 10 tahun kenderaan sedia ada digunakan.

Jelasnya, seperti yang diselaraskan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri menetapkan setiap 10 tahun kenderaan rasmi kerajaan negeri termasuk untuk menteri besar perlu ditukar baru dan hanya kereta jenama Mercedes Benz ditetapkan untuk kegunaan.

Sementara itu Hisham berkata, ketika timbul cadangan penukaran kenderaan rasmi oleh kerajaan pusat, Khairil Nizam bertindak mengkritik dan menyindir dengan mengatakan mempersoalkan kenapa tidak dibaiki saja kereta sedia ada kerana kerajaan pusat tidak ada duit.

"Inilah bukti sikap flip-flop pemimpin PAS. Bila melibatkan orang lain akan segera menjadi haram, tetapi jika melibatkan mereka, maka segala dalil dan hujah menghalalkan tindakan mereka akan keluar seperti air mengalir.

"Sebab itu saya suka nasihatkan mereka agar berhati-hatilah dalam berhukum selepas ini. Jangan terlalu melulu," katanya.

PAS sokong Dr M selepas 'kleptokrat kesayangan' hilang kuasa

Malaysiakini
Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengulangi pendirian menyokong agar Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Beliau berkata, semua pemimpin PH setuju Mahathir ada kelebihan kepimpinan sekali gus bersetuju untuk diangkat sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Berbeza dengan Hadi, hanya nampak kelebihan Tun (Dr Mahathir Mohamad) selepas pemimpin kleptokrat kesayangannya sudah hilang kuasa. Bahkan Hadi waktu itu anggap Tun hanya layak uruskan klinik, bukan negara.

"Perpaduan dan persefahaman dalam PH begitu padu, sebarang isu melibatkan kepentingan negara mampu dibincang dalam suasana hormat-menghormati dan ata dasar persetujuan bersama, bukan tekan-menekan seperti membawa undi tak percaya yang dicadangkan oleh Hadi.

"Hadi tidak perlu tunjuk jaguh untuk mengajar pemimpin PH berenang," katanya dalam kenyataan media kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Hadi yang juga anggota parlimen Marang menegaskan PAS tetap dengan pendirian agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal PRU14, meskipun terus menerus diasak untuk melepaskan jawatannya.

Katanya, ini kerana suasana mutakhir masih memerlukan Mahathir kekal memegang jawatannya.

"Ya, (PAS) masih mengekalkan sokongan kepada Tun (Mahathir) dan masih lagi mempertahankan Tun untuk menjadi perdana menteri, kerana suasana yang ada ini Tun perlu jadi perdana menteri," katanya kepada media selepas menyampaikan syarahan khas di Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan 'dosa' Hadi yang menyokong kepimpinan kleptokrat sebelum ini supaya kekal berkuasa tidak akan terhapus sampai bila-bila.

"Sikap beliau menolak kepimpinan Tun sebelum PRU14 juga tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia.

"Sikap PAS toleransi terhadap "bad governance" tercermin dalam pembelian kenderaan mewah ketika rakyat dan negeri yang ditadbir PAS tercungap-cungap dalam kemiskinan adalah gambaran PAS adalah parti yang tidak layak mentadbir negara.

"Kerana sikap acuh tak acuh kepada "good governance" itulah menyebabkan PAS boleh menerima kepimpinan kleptokrat sebelum ini," katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.