"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Batalkan serta merta penganjuran acara tidak bermoral - Pemuda Amanah

MAISARAH AISYA
story-imagePemuda AMANAH Nasional membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar iaitu Privacy Club Tun Razak yang dianggap sebagai tidak bermoral.

Bar tersebut dikatakan bakal dibuka pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Mohd Hasbie Muda telah membuat satu kenyataan media menolak pembukaan bar tersebut.

“Pemuda AMANAH Nasional memandang berat penganjuran acara sebegini sebagai satu yang menjijikkan, biadab serta tidak menghormati sensitiviti majoriti masyarakat Malaysia.

“Apatah lagi diadakan dalam bulan suci umat Islam di negara ini dan acara ini seolah-olah membawa anasir kebebasan yang songsang dalam negara,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, pihak Pemuda AMANAH Nasional akan menghantar satu surat bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL perlu segera menguatkuasakan larangan acara terbabit serta acara seumpama ini pada masa-masa yang akan datang.

Pemuda AMANAH Nasional percaya Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan DBKL akan mengambil langkah-langkah tegas menangani hal ini.

Gempa bumi kuat di Pakistan dan Afghanistan, 11 maut

AP
ORANG ramai keluar dari restoran di Lahore, Pakistan, susulan gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
ORANG ramai keluar dari restoran di Lahore, Pakistan, susulan gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
Islamabad: Gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan sebahagian besar Pakistan dan Afghanistan pada Selasa, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang di kedua-dua negara.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Pakistan memberitahu The Associated Press, lebih 100 mangsa dibawa ke hospital di wilayah lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan.

"Kebanyakan mangsa tidak sedarkan diri dan sebahagiannya tidak sedarkan diri kerana panik akibat gempa bumi. Kebanyakan mereka sudah dibenarkan keluar hospital," katanya.

Faizi dan pegawai lain berkata, sembilan terbunuh apabila bumbung runtuh di barat laut Pakistan, manakala puluhan lain cedera dalam gempa bumi berpusat di Afghanistan yang turut dirasai di sempadan Tajikistan.

Gempa bumi mencetuskan tanah runtuh di beberapa kawasan pergunungan sehingga mengganggu lalu lintas.

Jurucakap Pengurusan Bencana wilayah di barat laut, Taimoor Khan berkata, sekurang-kurangnya 19 rumah runtuh di kawasan terpencil dan beberapa pangsapuri retak, namun pihaknya masih mengumpul data mengenai kerosakan.

Gegaran kuat menyebabkan ramai orang meninggalkan rumah dan pejabat mereka di ibu kota Pakistan, Islamabad, dengan sebahagiannya membaca ayat al-Quran.

Di Afghanistan, jurucakap Kementerian Kesihatan Sharafat Zaman Amar berkata, setakat ini, sekurang-kurangnya dua maut dan kira-kira 20 cedera dalam gempa bumi di Kabul dan bahagian lain di Afghanistan.

Beliau berkata, kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa dan semua hospital serta kemudahan kesihatan berusaha menyelamatkan mangsa.

Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bermagnitud 6.5 di 40 kilometer tenggara Jurm di wilayah pergunungan Hindukush, Afghanistan, bersempadan Pakistan dan Tajikistan.

Gempa bumi melanda 188 kilometer jauh di bawah permukaan bumi menyebabkan ia dirasai di kawasan luas.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif dalam satu kenyataan meminta pegawai pengurusan bencana supaya terus berwaspada untuk menangani sebarang situasi.

Pada tahun lalu, gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda kawasan di tenggara Afghanistan yang mengakibatkan 1,150, terkorban dan ratusan lagi cedera.
-hmetro 

Tajuddin Abdul Rahman: BN-PH semakin serasi? Tunggu PRN nanti

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman sangsi dengan keyakinan pemimpin partinya yang mendakwa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh menjamin kelangsungan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada FMT, bekas pengarah pilihan raya Umno itu tidak yakin PH yang menjadi rakan BN dalam kerajaan perpaduan akan mudah memberi laluan terutama di kerusi mudah menang.

“Mustahil mereka boleh kata ‘Umno ambillah kerusi ini, kami tak bertanding’ padahal itu kerusi DAP punya,” katanya, yang secara sinis berkata keserasian PH dan BN akan boleh dilihat pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata terdapat keserasian antara PH dan BN di peringkat pusat, dan beliau meminta kerjasama itu diterjemahkan di peringkat DUN menjelang pilihan raya.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu melihat kerjasama dengan PH lebih kepada memberikan jawatan dalam Jemaah Menteri kepada pemimpin tertentu, bukan menjamin kelangsungan dan kemenangan Umno pada masa depan.

“Saya rasa itu tanggapan salah sama sekali (PH beri kerusi kepada Umno-BN). Ingat PKR nak bagi kita percuma (kerusi boleh menang)?” katanya yang mendakwa PH mungkin hanya mampu menyokong Umno dari segi perbelanjaan pilihan raya.

Pada 28 Dis lalu, Zahid dilaporkan berkata mereka memilih bekerjasama dengan PH kerana ia akan menjamin kelangsungan politik parti itu.

Beliau menjelaskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) akan membawa lebih banyak mudarat untuk jangka panjang memandangkan kedua-duanya bersaing di kerusi sama.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata perkara paling mustahak perlu dilakukan Umno kini adalah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan mengelakkan kemerosotan kepercayaan seperti dialami ketika dipimpin Najib Razak.

“Rakyat tidak percaya sedangkan banyak pembangunan kita bawa, tetapi pembangunan saja tidak cukup.

“Dalam PRU keyakinan rakyat kepada kita menentukan kemenangan, ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau projek,” katanya.

Kekeliruan Abdul Hadi dalam siasah

ABU MISHKAT

Dalam satu tulisan yang bertajuk ‘PKR lawan al-Quran’, Tan Sri Hj. Abdul Hadi Awang berkata para ulama mentafsirkan perkataan خليفة dlm al-Baqarah ayat 30: (Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kpd para malaikat “sesungguhnya Aku menjadikan khalifah di muka bumi…”) sebagai siasah (politik).

Saya cuba mencari kitab tafsir manakah yg dirujuk Abdul Hadi, kerana beliau tidak memberikan rujukan untuk dakwaan tafsir begitu. Apabila beliau mengatakan para ulama, bermaksud ramailah ulama mentafsirkan perkataan khalifah iu sebagai siasah.

Saya membaca rujukan turath /klasik Tafsir al-Quran al-‘Adzim Ibn Kathir dan rujukan moden al-Tafsir al-Munir Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Kedua-dua rujukan tafsir itu dianggap antara ensiklopedia tafsir yang terbesar, selain Tafsir al-Tabari. Sesiapa yang membaca Tafsir Ibn Kathir sudah memadai dan tak perlu lagi mencari dalam al-Tabari. Apa yang sahih dalam al-Tabari pasti ada dlm Tafsir Ibn Kathir selalunya.

Kitab al-Tafsir al-Munir pula merupakan tapisan kepada ilmu tafsir daripada puluhan (kalau tidak ratusan) kitab tafsir yang dirujuk oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Setelah menukilkan banyak pendapat ulama tafsir zaman Sahabah dan Tabi’in, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily menyimpulkan dlm Al-Tafsir al-Munir, “ada 2 tafsiran bagi perkataan khalifah itu, iaitu Nabi Adam ataupun anak keturunan Adam a.s.”

Tiada seorang ulama tafsir pun yang menyebutkan tafsiran khalifah itu siasah. Saya percaya, kalau ada tafsiran begitu, ia adalah tafsiran syaz / janggal yang tidak harus diikuti. Mungkinkah Abdul Hadi merujuk tafsir Syiah?

Ayat itu adalah dalil pertama Abdul Hadi untuk menghukum PKR sebagai melawan al-Quran. Ia adalah dalil yang didalihkan Abdul Hadi, bukan dalil sahih.

Ayat-ayat lain yang dibawakan Abdul Hadi tiada wajh istidlal yang boleh diambil untuk mensabitkan PKR sebagai melawan al-Quran. Semua ayat itu berkisar tentang nabi-nabi terdahulu menjadi pemerintah atau terlibat dengan politik di zaman mereka. Namun tiada bukti ahli PKR menolak kisah2 nabi terdahulu yang menjadi raja atau pemerintah di zaman itu.

PKR dan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan hanya menolak sikap Pas yang menunggang dalil sesuka hati (seperti tunggangan yang dibuat Abdul Hadi terhadap ayat 30 surah al-Baqarah itu), bukan menolak atau memisahkan politik daripada ajaran Islam.

Itu adalah kekeliruan pertama Abdul Hadi.

Kekeliruan kedua Abdul Hadi dalam tulisan yang sama ialah dakwaannya raja atau sultan tidak dibenarkan berpolitik berdasarkan sistem warisan penjajah.

Dakwaan ini agak dangkal. Secara hakikatnya raja atau sultan juga memainkan peranan mereka dalam politik, seperti menasihat dan memperkenankan pembentukan kerajaan perpaduan gabungan PH BN GPS GRS.

Kerana raja atau sultan memainkan peranan dalam politiklah maka Abdul Hadi pernah mengkritik raja sebagai melambat-lambatkan penamatan permainan untuk memberi kemenangan kepada pihak yang kalah.

Kritikan yang berupa sindiran itu dibuat Abdul Hadi sebagai membantah peluang yang diberikan YD Agong kepada PH untuk mendapat sokongan setelah Tuanku tidak berpuas hati dengan Statutory Declaration yang dibawa PN.

Rupanya Abdul Hadi keliru dan tidak dapat membezakan di antara politik pemerintahan dan politik kepartian.

Raja atau sultan tidak terlibat dalam politik kepartian, tetapi terlibat dalam politik pemerintah di peringkat pembentukan kerajaan, pengisytiharan darurat, hubungan kerajaan dengan kerajaan dalam bentuk lawatan negara, titah ucapan pembukaan mesyuarat Dewan Rakyat dan lain-lain lagi.

Jangan difikir tuan guru alim dan mahir semua perkara. Bahkan dalam bidang siasah pun, walaupun tuan guru dikatakan berkelulusan siyasah syar’iyah / politik Islam, tuan guru tidak mengemas kini ilmunya.

Cukup-cukuplah kita menjadi taksub pada seorang guru. Ia merugikan kita.

Mayat reput di tebing sungai

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
MAYAT reput yang ditemui. FOTO Ihasn Polis
MAYAT reput yang ditemui. FOTO Ihasn Polis
Kuching: Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tebing Sungai Salak, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada 1.21 tengah hari.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

"Setibanya di lokasi didapati mayat itu tidak sempurna dan sudah mereput.

"Berdasarkan keadaan itu, mayat dipercayai sudah meninggal dunia melebihi 72 jam," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Merbin berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematiannya.

"Orang ramai yang kehilangan keluarga dalam tempoh lebih 72 jam diminta tampil le balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kerana kes ini masih dalam siasatan dan ketika ini polis mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut," katanya.

Khutbah Jumaat berunsur politik, PH Kedah gesa siasatan

JAMLIAH ABDULLAH

MAHFUZ OMAR (duduk, dua kiri) bersama pemimpin Amanah dan PH Kedah ketika hadir menyerahkan memo bantahan khutbah Jumaat berunsur politik kepada Pengarah JHEAIK, Datuk Abd. Ghani Zulkifli (duduk, tengah) di Pejabat JHEAIK, Alor Setar.

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa pihak berkaitan supaya menjalankan siasatan terperinci ekoran isu seorang khatib menyampaikan khutbah sehingga menyentuh unsur politik di sebuah masjid di Padang Serai, Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan khatib berkenaan menjadikan mimbar masjid sebagai medan berpolitik kepartian adalah tidak wajar terutama ketika umat Islam membuat persediaan menyambut Ramadan.

“Antaranya dalam khutbah itu, dia menyeru menyokong kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang disebut jelas. Kedua, berkaitan isu kezaliman Kerajaan Perpaduan dan kegagalan kebenaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan (Lapangan Terbang) KXP.

“Jadi kita minta jabatan agama bertindak supaya perkara ini tidak akan menjadi masalah perpecahan kepada perpaduan umat Islam apabila ada satu pihak mengecam parti yang lain.  Itu yang kita minta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) di sini untuk menyerahkan memo bantahan khutbah Jumaat yang disifatkan satu kempen politik kepartian itu.

Mengulas lanjut kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, pihaknya juga akan mengadap Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Kedah bagi menyuarakan kebimbangan berhubung isu berkenaan.

“Saya juga minta jabatan agama mesti panggil semua imam dan pengerusi kariah ini supaya tidak ada lagi ustaz yang mengunakan medan mimbar masjid kuliah dan khutbah itu untuk menyebarkan politik kepartian yang boleh membawa kepada perpecahan,” katanya.

Tambah beliau, semua parti dan pemimpin perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang memecah belahkan umat Islam sempena kedatangan Ramadan ini. –UTUSAN

KJ: Najib masih mempunyai pengaruh dalam UMNO

‘Bossku’ masih kuasa perlu dipertimbangkan, kata KJ

Jason Thomas

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan pengaruh Najib Razak “belum selesai” dalam Umno, dengan ramai “penyokong tegar” bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu baru dipilih menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Walaupun Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi masih mengawal parti itu, katanya, “suara di sebalik jeriji besi” itu masih memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan Umno.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa dalam kalangan 25 ahli MKT Umno baru dipilih yang merupakan penyokong kuat Najib ialah Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Lokman Noor Adam.

Khairy, yang dipecat Umno Januari lalu, turut menamakan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil yang merupakan bekas pegawai khas Najib, dan Johan Abdul Aziz, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Hulu Langat pada PRU15, sebagai penyokong Najib dalam MKT.

“Saya rasa cerita Bossku (Najib) belum selesai. Bossku belum selesai,” kata Khairy dalam podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

“Pandangan saya…dan pendengar juga tahu pandangan (kritikan) saya terhadap Bossku selepas kami (BN) kalah (PRU14) pada 2018…Tetapi, saya katakan Bossku adalah satu kuasa yang perlu dipertimbangkan.

“Kalau kita lihat, ada cap jari Bossku dalam senarai pemenang (MKT). Bukan Zahid sangat yang mempengaruhi Umno, tetapi Zahid dan Bossku…Jadi, sebab itu saya kata cerita Bossku belum selesai.”

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Sabitan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan disahkan Mahkamah Persekutuan Ogos lalu. Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Pun begitu, Khairy berkata, Najib kekal sebagai tokoh masyarakat popular kerana ucapan terima kasih mencurah-curah kepada bekas perdana menteri itu minggu lalu apabila laluan MRT Putrajaya – yang dicadangkan Najib ketika beliau memerintah – dilancarkan sepenuhnya.

JAINJ, PDRM buru pengikut ajaran sesat Si Hulk

NOR AZURA MD AMIN
Video tular memaparkan empat lelaki menyokong ajaran Si Hulk.
ISKANDAR PUTERI - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan kumpulan ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

Tegasnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

"Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

"Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Selasa.

Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Dalam pada itu, Mohd Fared memberitahu, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

"Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

"Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat," katanya.

Bunuh isteri demi skandal

AP
JAMES Craig. FOTO AP
Denver: Seorang doktor pergigian Colorado yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain disyaki membunuh isterinya dengan minuman membina otot yang bercampur arsenik dan sianida, untuk bersama kekasihnya itu.

James Craig, 45, ditahan pada Ahad kerana disyaki membunuh isterinya.

Craig dijadual hadir ke mahkamah pada Khamis bagi mengetahui sama ada pihak pendakwaan memutuskan untuk memfailkan pertuduhan terhadapnya.

Ketika Angela Craig berada di hospital, doktor tidak dapat mengetahui apa yang salah dengannya namun polis di pinggir bandar Denver, Aurora, mendakwa suaminya itu bertemu dengan rakan rakan doktor gigi.

Berdasarkan bukti waran tangkap, polis mula menyiasat Craig selepas rakannya yang menjalankan amalan pergigian, Ryan Redfearn memberitahu seorang jururawat bahawa Craig memesan kalium sianida walaupun tidak memerlukannya untuk kerja mereka.

Polis percaya Craig meletakkan arsenik dalam minuman membina otot yang selalu dibuat kepada isterinya untuk latihan pada 6 Mac lalu.

Dia dikatakan mengarahkan penghantaran kalium sianida dengan memberitahu pembekal kononnya diperlukan untuk pembedahan.

Craig meminta seorang pengurus pejabat untuk tidak membuka bungkusan itu tetapi pekerja lain melakukannya yang membawa kepada penemuan dan akhirnya mendedahkan perkara itu kepada pihak berkuasa, kata dokumen itu.

Menurut dokumen itu, penghantaran ketiga yang didakwa dipesannya, oleandrin bahan beracun yang terdapat dalam daun tumbuhan oleander dirampas pihak berkuasa selepas mereka mula menyiasatnya.

Berdasarkan afidavit, Craig memberitahu Redfearn bahawa dia memesan kalium sianida untuk isterinya dan memberitahu pekerja sosial bahawa isteri membunuh diri selepas tertekan sejak meminta cerai pada Disember, walaupun kedua-dua anak mereka tidak berkata apa-apa mengenai cubaan membunuh diri itu.

Redfearn juga memberitahu penyiasat bahawa Craig berada di ambang muflis dan menghadapi masalah perkahwinan, menurut dokumen itu.
-hmetro 

Di mana betulnya pandangan Hadi?

Hasbie Muda

Memang benar tulisan Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan yang menjawab tuduhan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Mac lalu yang mewajarkan Abdul Hadi membuat tuduhan berat kononnya parti itu melawan al-Quran.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan Saifuddin yang “menyeru ahli-ahli PKR bersikap 'menyerang' terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama” seperti yang dipetik presiden PAS.

Amat malang apabila Abdul Hadi melakukan kesilapan besar dengan membuat komentar ke atas sesuatu perkara sepenting itu tanpa tabayyun sedangkan ia boleh dirujuk dengan mudah di internet.

Tanpa usul periksa dan semakan teliti, Abdul Hadi menggunakan seruan yang kononnya dibuat Saifuddin untuk menyerang PKR dengan kata-kata “hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf”.

Lebih malang lagi, seruan itu didakwa Abdul Hadi sebagai membuktikan PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah kerana “masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik”.

Arah pertahankan kerajaan

Dakwa Presiden PAS: apa yang dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang dipesongkan dari agama para anbiya, sepertimana yang disebutkan dalam petikan: “Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21)

Minda Presiden PAS ditutupi oleh gesaan: “Kita berharap supaya mereka (PKR) kembali kepada al-Quran; petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman.”

Amat tidak betul apabila presiden PAS mendakwa Saifuddin sebagai jahil dan buta al-Quran, atau PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah dan perlu kembali kepada al-Quran, atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama.

Jika Presiden PAS membuat semakan terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya menugaskan pegawainya mencatatkan keseluruhan ucapan tersebut, jelas bahawa Saifuddin berucap mengenai kewajipan ahli PKR mempertahankan kerajaan perpaduan melalui pelbagai cara.

Salah satu cara itu ialah perlu menghebahkan dasar dan program kerajaan hari ini menggunakan mode menerang, dan menyerang (offensive).

Misalan yang diberikan oleh Saifuddin ialah tindakan presiden PAS yang tidak berpegang kepada prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Berikut adalah kenyataan Saifuddin: “Hari ini kita boleh tengok dalam kalangan pemimpin politik pembangkang apabila raja atau sultan sebagai ketua agama menganjurkan supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik... kita tengok seorang tokoh pembangkang tanpa rasa bersalah (berkata), “Saya akan teruskan kuliah saya dan ceramah saya dalam masjid sebab dalam Islam ada politik.

Jelas Saifuddin: “Tak ada siapa pun menafikan sebagai agama yang lengkap memang politik ada dalam Islam. Agama yang lengkap, sempurna, Allah Ta’ala reda (Islam) menjadi agama kita untuk dianuti. Jelas, memang dalam Islam ada politik. Kita dituntut berpolitik secara agama.”

Sebaliknya, kata Saifuddin, umat Islam tidak dituntut mempolitikkan agama.

Sifat terlalu angkuh

Berpolitik secara agama, terang Saifuddin, ialah apabila “agama menganjurkan keadilan, orang yang ada kuasa politik dengan dasar itu dia laksanakan keadilan, agama menganjurkan berpolitik secara mutual respect, saling hormat-menghormati, saling kenal-mengenal”.

Ini berbeza dengan mempolitikkan agama yang bermaksud kalau "kamu tak sokong aku, kamu tak terima pandangan aku - neraka tempat kamu”.

Inilah yang diminta oleh Saifuddin agar ahli-ahli PKR jelaskan kepada rakyat.

Contoh kedua yang diberikan oleh Saifuddin ialah pelanggaran prinsip kesetiaan kepada raja dan negara apabila presiden PAS terus-terusan menyebut akan terus berusaha untuk mengambil alih kerajaan walaupun titah Yang di-Pertuan Agong mengatakan harapan baginda agar penggal kerajaan ini cukup lima tahun.

Jelas Saifuddin: “Maka disanggahnya, 'pandangan tuanku bukan qat’ie bukan penamat bukan putus'. Ini nada angkuh, maknanya kalau pandangan tuanku bukan qat’ie maka pandangan tuanku boleh disanggah. Ini kerana terlalu angkuh sampai tak ada orang yang sedia menegur lagi.”

Di mana betulnya hujah Abdul Hadi apabila menuduh Saifuddin melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama apabila Saifuddin sendiri menyebut memang dalam Islam ada politik, dan tiada pemisahan politik daripada agama?

Apa yang ditegaskan sebagai tidak betul oleh Saifuddin hanyalah perbuatan mempolitikkan agama, khususnya apabila seseorang itu mempertikaikan tahap keislaman orang lain semata-mata kerana perbezaan pendekatan dalam melaksanakan ajaran agama.

Titah raja-raja yang tidak mahu ahli-ahli politik tanpa tauliah berceramah di masjid dan surau pula ialah kerana tidak mahu perbuatan “mempolitikkan agama” berterusan.

Apakah kerana larangan itu maka Abdul Hadi akan menganggap raja-raja juga melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil)?

Saya juga setuju dengan tulisan Amidi bahawa Minda Presiden PAS itu menunjukkan Abdul Hadi sedang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij yang ditolak oleh ahli sunnah wal jamaah.

Menuduh sesuatu golongan Muslim lain melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) adalah perbuatan menimbulkan kebencian yang berbahaya.

Saya pernah berada lama dalam parti menggunakan nama agama itu dahulu dan cukup faham dengan perbuatan seperti dilakukan Abdul Hadi.

Atas sebab itulah saya keluar dari parti tersebut dan yakin kepada pendekatan rahmah yang kami amalkan dalam Amanah sehingga sekarang.

Jika perbuatan Abdul Hadi tidak dibendung segera, negara boleh kembali ke zaman ekstremisme agama yang membawa huru-hara seperti yang pernah berlaku dulu.

HASBIE MUDA ialah anggota Dewan Negara dan ketua Pemuda Amanah nasional.

Hadi sedang perkukuh fahaman bercitra Khawarij

Label PKR lawan Al Quran, Hadi sedang perkukuh fahaman bercitra Khawarij

 MALAYSIADATELINE

Saya cuba memahami tulisan dalam Minda Presiden PAS yang melabelkan PKR Lawan al-Quran. Saya juga cuba mencari dimanakah kenyataan yang disebutkan dalam mana-mana ucapan sewaktu penggulungan dalam Kongres Khas PKR 2023.

Dalam pengamatan saya dan ilmu yang terbatas ini tiada satu pun kenyataan yang dikeluarkan yang sepadan dengan maksud tajuk tulisan Minda Presiden itu.

Pihak Pimpinan PKR hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa ahli Parlimen dari PN untuk hadir ke sidang parlimen.

Jika wakil Marang hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tapi tidak ke sidang parlimen, maka itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan agama. Agama Islam menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.

Maka apa alasan utk kita mengambil pendapatan sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita.

Jika jawapannya adalah Parlimen tidak sama dengan sekolah iaitu tidak perlu hadir setiap hari, maka ingin saya tekankan, parlimen lebih penting dari sekolah kerana disinilah tempat berlakunya semak dan imbang atau dalam ungkapan yang lain, di parlimenlah berlakunya al-amru bi il- ma’ruf wa nahyu a’ni il- munkar. Dari sinilah punca peraturan dan undang-undang digubal.

Jika kesepaduan antara agama Islam dan politik yang diperjuangkan maka parlimenlah tempatnya. Ia bukan sahaja menjadi wajib dari sudut politik tetapi juga dari sudut dakwah sebagaimana yang dipamerkan oleh generasi para sahabat di Madinah sehingga meraih gelaran Khayra Ummah :

كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ …

[Surah Āli-ʿImrān: 110]

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…..

Saya percaya jika wakil Marang rajin ke parlimen pada sesi yang lepas, RUU 355 sudah tentu telah dibahas dan diluluskan dengam restu MCA, MIC dan GPS.

Bukan setakat RUU 355 tidak tertunai, tetapi juga wakil Marang terlepas pahala jihad yang besar jika beliau menganggap PM X seorang yang zalim. Sabda Rasulullah s.a.w :

أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر.

“Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim”

Riwayat At-Tirmizi, no. 2174.

Perdana Menteri pun merujuk al-Quran dalam membentangkan RUU Perbekalan bagi tahun 2023, jika wakil Marang hadir, saya yakin Parlimen kita akan bergegar dengan hujah dan dalil dari al-Quran dan Hadith, pandangan para ulama dan seumpamanya.

Agak melucukan apabila menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam, sedangkan perkara yang serupa dilakukan oleh wakil Marang bersama sekutunya sebelum ini.

Wakil Marang terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi (maklumlah mula menjadi wakil rakyat sejak 1982) iaitu setiap wakil rakyat perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika.

Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri. Sistem pemerintahan di Malaysia semuanya berdiri di atas perlembagaan ini. Baik raja, perdana menteri, pegawai dan pentadbir malah para asatizah sekalipun semuanya dinaungi oleh perlembagaan yang dikatakan bertentangan dengan al-Quran oleh wakil Marang.

Maka saya cabar untuk wakil Marang membuat kenyataan secara jelas menentang Perlembagaan Persekutuan.

Tulisan yang sebegini jelas menunjukkan wakil Marang sedang memperkukuh fahaman bercitra khawarij yang ditolak oleh Ahlus sunnah Waljamaah.

Hj. Amidi bin Abdul Manan
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR
merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR

PMX: Sah bukan Guan Eng batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

Yasmin Ramlan, Alyaa Alhadjri & Puteri Aisya Sufian

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lim Guan Eng tidak membatalkan sebarang pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary sewaktu ahli parlimen Bagan itu menjadi menteri kewangan.

Menjelaskan hal itu semasa sesi waktu pertanyaan kepada perdana menteri, Anwar yang juga menteri kewangan berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukannya menteri atau perdana menteri.

“Yayasan Albukhary telah diberikan kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.

"Kerajaan mengesahkan daripada rekod Kementerian Kewangan bahawa YB Bagan (Lim) - semasa menjawat jawatan menteri kewangan - tidak pernah buat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian sebelumnya (seperti) yang didakwa, diberikan kepada Yayasan Albukhary.

“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau (Lim) batalkan pengecualian adalah tidak benar kerana hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Feb 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai yang di luar kebiasaannya, melibatkan Yayasan Albukhary dan Kumpulan Al-Bukhary,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ini sebabnya Putra sukar menang PRN kali ini

Zulhilmi Zailani

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) baru-baru ini mengatakan tidak menolak kemungkinan akan bertanding dalam PRN di enam buah negeri tahun ini. Penasihatnya Dr Mahathir Mohamad mengatakan Putra sedang mengkaji sama ada akan mengambil bahagian atau tidak.

Penyertaan dalam PRN atau PRU oleh mana-mana parti serta individu amat digalakkan. Selain mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan parti bertanding, pengundi juga memiliki lebih banyak pilihan untuk melihat calon mana yang terbaik.

Namun terdapat beberapa faktor mengapa parti kecil seperti Putra berdepan cabaran untuk memenangi pilihan raya.

Faktor pertama adalah kekurangan sumber dan pengaruh media.

Parti besar kebiasaannya memiliki lebih banyak sumber dan wang untuk membiayai kempen pilihan raya, termasuk melibatkan pengiklanan, kempen rumah ke rumah serta acara lain yang berkaitan. Parti besar juga mempunyai akses yang lebih luas kepada media massa dan elektronik untuk menyebarkan mesej mereka kepada orang ramai.

Pada PRU15, parti-parti besar turut memiliki sukarelawan yang membantu menjalankan kempen pilihan raya di platform media sosial untuk menarik lebih ramai pengundi menyokong mereka.

Selain itu, parti-parti besar turut menjadi pilihan media-media arus perdana untuk mengadakan wawancara, sekali gus membantu menyebarkan lagi mesej mereka kepada para pengundi.

Faktor kedua yang berkemungkinan menyumbang kepada kekalahan parti kecil dalam pilihan raya adalah pengaruh serta kesetiaan kepada parti.

Parti besar kebiasaannya memiliki pengaruh lebih meluas serta kumpulan penyokong yang lebih kukuh. Perkara itu disumbangkan menerusi kredibiliti kepimpinan dan agenda politik yang diperjuangkan oleh parti berkenaan sejak sekian lama.

Pengaruh parti besar membolehkan mereka untuk menarik lebih ramai pengundi dan juga mengekalkan para penyokong sedia ada.

Di samping itu, parti kecil biasanya mempunyai kuasa yang lebih terhad di peringkat kerajaan serta kurang pengaruh dalam melaksanakan dasar dan keputusan politik.

Faktor kaum dan wilayah turut mempengaruhi pilihan para pengundi di Malaysia.

Negara ini memiliki pelbagai kaum dan wilayah yang mempunyai kepentingan politik berbeza. Pola pengundian di negara ini sering kali berlandaskan kepada pecahan kaum di suatu kawasan. Kebanyakan pengundi di Malaysia cenderung untuk mengundi parti yang berasaskan kaum mereka sendiri.

Justeru, sekiranya parti kecil tidak memiliki kekuatan yang mencukupi dalam kalangan kaum tertentu, mereka mungkin kehilangan sokongan daripada kaum berkenaan dan kalah dalam pilihan raya.

Kawasan luar bandar dan pinggir bandar sering kali menjadi pilihan utama parti kecil untuk meraih sokongan para pengundi. Namun strategi berkenaan membataskan jumlah sokongan terhadap parti kecil selain sukar untuk menandingi parti-parti besar terutama di kawasan bandar.

Parti kecil seperti Putra perlu berusaha lebih keras untuk menarik perhatian dan sokongan orang ramai menerusi strategi serta platform yang baik. Putra juga perlu membangunkan kumpulan penyokong yang kukuh daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Banyak cabaran yang perlu ditangani oleh parti kecil seperti Putra seperti soal kepimpinan dan isu-isu politik yang wajar dibangkitkan.

Putra masih ada perjalanan yang panjang untuk memecahkan dominasi parti-parti politik besar di negara ini.

Persoalan yang timbul kini adalah sama ada Putra mampu atau tidak untuk bersaing serta bertahan dalam arena politik negara.

Maut selepas bergaduh dengan kekasih isteri

Agensi
LOKASI kejadian kecoh apabila Suwat (terbaring) maut selepas bertengkar dengan kekasih gelap isterinya. FOTO Agensi.
LOKASI kejadian kecoh apabila Suwat (terbaring) maut selepas bertengkar dengan kekasih gelap isterinya. FOTO Agensi.
Bangkok: Tragisnya kisah cinta tiga segi apabila seorang lelaki maut selepas bergaduh dengan kekasih gelap isterinya di hadapan balai polis di wilayah Nonthaburi dekat sini pada malam Rabu.

Portal Thaiger melaporkan, mangsa yang berusia 41 tahun bernama Suwat membawa isterinya, Bee, 30, dan orang ketiga, Wichai Phatyen, 35, ke Balai Polis Bang Mae Nang di Nonthaburi pada petang 15 Mac untuk menyelesaikan masalah hubungan mereka.

Seorang pegawai memberikan beberapa cadangan kepada ketiga-tiga mereka untuk berdamai malangnya nasihat itu gagal menyelesaikan keadaan.

Sebaliknya, Suwat dan Wichai bertengkar di hadapan balai polis dan pergaduhan semakin teruk apabila Suwat dipukul dengan kuat oleh Wichai menyebabkan dia jatuh kemudiannya tidak sedarkan diri.

Pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan memberikan Suwat bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) selama lebih 20 minit tetapi usaha mereka gagal menyelamatkan nyawanya.

Polis melaporkan isteri Suwat, Bee sudah lama menjalin hubungan sulit dengan Wichai.

Pada malam kejadian, Suwat pergi ke rumah Wichai untuk mendesak Bee pulang ke rumah tetapi gagal mencapai kata sepakat hingga mereka memutuskan untuk pergi ke balai polis bagi menyelesaikan masalah

Ibu Wichai, Wan yang berusia 49 tahun ketika memberitahu media tempatan mendedahkan yang Bee kerap bertemu anaknya di rumah keluarga mereka.

Wan tahu Bee mempunyai suami dan seorang anak jadi cuba meyakinkan wanita berkenaan untuk memutuskan hubungan dengan Wichai beberapa kali, tetapi tidak berjaya.

Tambah Wan, Wichai juga cuba untuk menghentikan hubungan itu tetapi Bee tetap melawatnya dan tinggal bersama Wichai lebih lama.

"Anak saya bukanlah seorang yang jahat. Dia seorang yang rajin dan fokus kepada kerja untuk membayar keretanya. Satu-satunya tabiat buruknya adalah minum alkohol.

"Saya tak tahu nak buat apa sekarang. Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyelamatkannya," katanya.

Berikutan kesalahan dilakukan, Wichai didakwa mengikut Seksyen 209 Undang-undang Jenayah atas pertuduhan menyebabkan kematian orang lain secara tidak sengaja melalui keganasan fizikal.

Jika sabit kesalahan, Wichai boleh dihukum penjara tiga hingga lima tahun atas perbuatannya itu.

Penentang Zahid wajar cari wadah baru kalau masih mahu aktif sebagai ahli politik

PENENTANG ZAHID HAMIDI SUDAH KENA BUNGKUS IKAT MATI, INI MASANYA UNTUK MEREKA BERALIH KE LAIN PARTI

Shahbudin Husin 

Walau apa jua tanggapan atau cuba dinafikan, hakikat yang jelas dan difahami semua orang kini ialah kepimpinan UMNO pusat hampir sepenuhnya dikuasai oleh pasukan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Daripada tiga Naib Presiden, dua daripadanya – Wan Rosdy Wan Ismail dan Khaled Nordin memang diketuai penyokong kuatnya, manakala Johari Ghani pula bukanlah begitu keras tidak menyokong Zahid Hamidi.

Senang cerita, ketiga-ketiganya adalah bersama Zahid Hamidi.

Daripada 25 Ahli MT pula, hanya seorang dua yang diketahui bukan penyokongnya, manakala selebihnya adalah mereka yang memang dikenali sebagai penyokong kuatnya.

Ini bermakna, kedudukan Zahid Hamidi sekarang ini semakin mencengkam dan mustahil untuk digulingkan melalui undi tidak percaya.

Keadaan ini sekaligus menjadikan kerajaan perpaduan yang UMNO menyumbang 26 kerusi Parlimen daripadanya akan terus stabil dan tidak tergugat lagi sehingga PRU16 akan datang.

Apa juga cubaan mahu merampas kuasa atau menjatuhkan kerajaan di pertengahan jalan sebagaimana berlaku sebelum ini eloklah dilupakan saja.

Dengan kedudukan UMNO yang stabil di bawah cengkaman Zahid Hamidi dan pasti terus bersama kepimpinan Anwar Ibrahim kerana hubungan cikgu dengan murid antara keduanya, lain-lain gabungan dalam kerajaan juga tentunya merasakan sia-sia saja untuk cuba-cuba menoleh kepada pihak lain.

Lebih baik mereka terus bersama kerajaan sedia ada ini sambil memperbaiki pelbagai tuntutan yang dikehendaki daripada Anwar.

Dengan keputusan pemilihan UMNO ini turut memperlihatkan kumpulan penentang Zahid Hamidi yang masih ada dalam parti ibarat sudah kena bungkus ikat mati sekarang ini.

Mereka tidak boleh ke mana-mana lagi, bahkan suara mereka semakin tenggelam dengan sendirinya.

Percubaan untuk mengisi kerusi Naib Presiden dan MT yang gagal ini hanya memberi mereka satu pilihan sekarang ini – kembali akur dengan kepimpinan seorang ketua serta menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi.

Tiada guna jika cuba menampilkan suara yang berbeza kerana dengan cengkaman yang makin kukuh ini tambah membuatkan Zahid Hamidi tidak takut sama sekali untuk memecat atau menggantung keahlian mereka yang berani menentangnya.

Kepada pemimpin yang sudah dipecat atau kena gantung keahlian daripada UMNO sebelum ini, janganlah lagi berharap apa-apa kepada parti itu.

Yang dipecat, bakal selama-lamanyalah akan berada di luar UMNO selagi Zahid Hamidi menjadi Presidennya, manakala yang kena gantung enam tahun pula, bertabahlah kerana nama mereka pasti tidak dicalonkan lagi pada PRU16 nanti.

Makna kata, kedua-dua kelompok itu sudah tiada tempat lagi dalam UMNO dan sudah berakhir riwayat mereka.

Pilihan yang terbaik bagi mereka jika ingin terus berpolitik hanyalah dengan segera mencari wadah atau parti baru untuk meneruskan perjuangan.

Pilihlah apa saja parti yang bersepah-sepah ada sekarang ini – Bersatu, Pas, Pejuang, Putra, Berjasa dan macam-macam lagi yang ada.

Kalau tidak mahu beralih kepada mana-mana parti, konon sayang sangat kepada UMNO, elok bersara sajalah pilihan yang sebaiknya.

Menunggu untuk kembali meneruskan perjuangan bersama UMNO yang entah bila waktunya, tambahan lagi usia masing-masing pun makin menua, ia adalah kerja paling membuang masa dan sia-sia.

Tambahan lagi, UMNO selepas ini lebih mungkin terus kekal sebagai penumpang saja daripada mampu kembali semula sebagai peneraju kuasa.

Tetapi, jika memilih menyertai parti baru, mana tahu tiba-tiba mampu beroleh kuasa?. – ShahbudinHusin 19/03/2023.

Polis cekup dua gadis cantik menari bogel

KOSMO!
Dua gadis dicekup polis kerana dipercayai menari dalam keadaan bogel di media sosial setelah pihak berkuasa di Jakarta Barat melakukan siasatan baru-baru ini. - Foto Instagram/@infocipadujaya

JAKARTA  – Dua wanita muda yang menari tanpa seurat benang dalam aplikasi penstriman Dream Live akhirnya ditangkap polis Jakarta Barat dan mengaku menerima antara 6 juta rupiah (RM1,750) hingga 15 juta rupiah (RM4,376) di media sosial, lapor portal berita RakyatSulsel kelmarin.

Maklumat itu didedahkan Ketua Polis Metro Jakarta Barat, Andri Kurniawan ketika mengesahkan tangkapan kepada pemberita yang mana kedua-dua gadis berkenaan masing-masing berusia 19 tahun dan 29 tahun.

“Daripada hasil siasatan kami, (suspek itu) sudah lebih tiga bulan (melakukan kegiatan tersebut) dengan keuntungan rata-rata diambil daripada setiap kegiatan adalah 6 juta sampai 15 juta (rupiah), mereka membahagi-bahagikan keuntungannya,” kata Andri.

Dua gadis itu ditangkap setelah mereka berbogel dalam aplikasi media sosial tersebut. Polis turut memberkas seorang lelaki berinisial DSP dan berumur 33 tahun yang dipercayai pemilik agensi tempat kedua-dua wanita tersebut bekerja, INFINITY 4EVER. 

Menurut Andri, polis Jakarta Barat menemui dua akaun aplikasi penstriman langsung yang mana suspek melakukan aksi bogel tersebut. Polis menangkap ketiga-tiga suspek secara berasingan. 

Katanya, aksi bogel itu dilakukan melalui aplikasi Dream Live pada 8 Mac lalu. – Agensi

PKR ingatkan Hadi, Sibuk berpidato tapi jangan lupa hadir sidang Parlimen

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang diingatkan tentang keberkatan pendapatan susulan tindakannya yang ‘sibuk beraksi dengan berpidato’ tetapi tidak hadir ke sidang Parlimen, kata Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan.

Amidi berkata, Islam menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.

“Pimpinan PKR hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa Ahli Parlimen dari PN untuk hadir ke sidang Parlimen.

“Maka apa alasan untuk kita mengambil pendapatan sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita,” katanya dalam kenyataan.

Amidi berkata, Parlimen merupakan tempat bagi semak dan imbang kerana dari situlah punca peraturan dan undang-undang digubal.

“Sekiranya (Marang) rajin ke Parlimen, maka Rang Undang-undang (RUU) 355 sudah tentu telah dibahas dan diluluskan dengan restu MCA, MIC dan GPS.

“Bukan setakat RUU 355 tidak tertunai, tetapi juga wakil Marang terlepas pahala jihad yang besar jika beliau menganggap PM kesepuluh seorang yang zalim,” sindirnya.

Amidi sebelum itu merujuk kenyataan Hadi dalam Minda Presiden yang bertajuk ‘PKR lawan al-Quran’.

Dalam kenyataannya Hadi mempertahankan PAS yang dituduh mempolitikkan agama sambil menegaskan bahawa parti itu yang berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

Selain itu Hadi turut menggesa PKR kembali kepada al-Quran dan mendapatkan petunjuk Allah susulan kenyataan yang dibuat Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail bahawa ahli parti itu sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.

Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR semalam, Saifuddin mengetengahkan kenyataan Hadi yang menurutnya dibuat secara jelas menentang titah diraja supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik.

Mengulas lanjut, Amidi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata tindakan Hadi menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam ‘agak melucukan’ sedangkan tindakan sama turut dibuat oleh kerajaan PN sebelum ini.

“Wakil Marang terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi iaitu setiap wakil rakyat perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika.

“Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri. Sistem pemerintahan di Malaysia semuanya berdiri di atas perlembagaan ini,” katanya yang turut mencabar Hadi membuat kenyataan secara jelas menentang Perlembagaan Persekutuan.

Rasuah: ‘Cakap soal agama tapi urusan negara tak tahu’,

‘Cakap soal agama tapi urusan negara tak tahu’, Anwar tekad mahu banteras rasuah

WAN SITI AMINAH

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tujuan beliau menjadi Perdana Menteri adalah untuk membetulkan sistem negara.

Bagi memastikan aspirasi itu berjaya dilaksanakan, beberapa institusi perlu kembali menjadi sebuah badan yang bebas serta berintegriti.

Institusi tersebut adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.

Menurutnya, sekiranya sistem negara gagal dibersihkan, ia akan menyebabkan lebih banyak ‘kebocoran’.

“Kadang-kadang ketika perbincangan dan renungan bersama badan penguat kuasa, saya tak tahu dari mana nak dimulakan. Dalam setiap fail ada masalah,” kesalnya.

Oleh yang demikian, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tegas untuk tidak melindungi perasuah dan komited melaksanakan tadbir urus yang baik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut memberi jaminan bahawa beliau tidak akan berlaku zalim terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin pembangkang.

“Tapi tak adil orang kata kita pilih kasih. Orang itu terlindung sebab ketika itu dia ada kuasa, ramai orang tahu dan kes bukan baru.

“Inilah masalah kita, kita kadang-kadang cakap soal agama tapi urusan negara tak tahu sama sekali. Sebab itu saya kata, hal yang pertama adalah hal tatakelola,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang bertema ‘Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme’.

Himpunan besar-besaran untuk tumbang kerajaan?

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan dua kenyataan yang ditularkan menerusi media sosial bahawa akan berlakunya perhimpunan besar-besaran di ibu negara untuk menumbangkan kerajaan semasa tidak benar.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, tahap keselamatan semasa terkawal, dan sehubungan itu orang ramai dinasihati agar tidak menyebar atau berkongsi lanjut tentang kenyataan itu menerusi mana-mana platform media sosial.

“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitan kegusaran awam.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang berniat ingin menimbulkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, tular di media sosial dua kenyataan yang hampir sama mendakwa akan diadakan perhimpunan besar-besaran oleh orang Melayu di ibu negara bertujuan menumbangkan kerajaan semasa.

Giliran Rafizi pula dedah perangai pembangkang, setelah sekian kali diejek 'Raja Formula'

KIM SYAZIE

Sejak mengetuai Kementerian Ekonomi, Rafizi Ramli sering disindir dengan gelaran ‘Raja Formula’ termasuk ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Berucap ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden pada kongres dihadiri lebih 1,200 perwakilan PKR itu semalam, Rafizi berkata pembangkang sengaja mengungkit kisah lama sewaktu Pas dan PKR berada dalam satu gabungan parti politik.

Katanya memetik Berita Harian, segala formula yang pernah beliau perkenalkan sebelum ini semuanya untuk dilaksanakan semasa keadaan ekonomi negara tidak seteruk seperti sekarang.

“Dia (pembangkang) akan ungkit perkara lama. Contoh pada 2008 soal harga minyak, walaupun (sedar) sebenarnya keadaan cukup berbeza berbanding sekarang, dia (pembangkang) akan mainkan kempen.

“Soal pengurangan hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ataupun mengurangkan harga kereta, bukan dia (pembangkang) tak tahu kerana Pas masa itu yang paling ghairah sekali jemput kami daripada Keadilan (PKR) untuk berkempen atas pentas Pas.

“Sebabnya orang Pas tak boleh nak terangkan benda macam ini,” katanya.

Rafizi menegaskan, formula untuk mengurangkan harga kenderaan sebagai contoh boleh dilaksanakan ketika formula terbabit dicadangkan memandangkan kedudukan hutang negara tidak sepertimana sekarang.

“Dia (pembangkang) tahu contohnya untuk turunkan harga kereta, dulu kita boleh buat kerana hutang kita tak banyak.

“Sebab untuk turunkan harga kereta, kita kena kurangkan dan lama-lama hapuskan cukai eksais yang kita kenakan kepada kereta itu.

“Masalahnya kita sekarang ada hutang RM1.5 trilion yang mereka tinggalkan,” katanya.

Lelaki tembak bekas teman wanita kerana enggan sambung cinta

AGENSI
 
BANGKOK: Gara-gara enggan meneruskan hubungan cinta yang terputus, seorang lelaki sanggup menembak bekas teman wanitanya di dalam satu kejadian di wilayah Nakhon Pathom, tengah Thailand.    

Lapor portal Thaiger, Anuthida, 27, ditembak di bahagian kepala, tangan dan kaki dengan menggunakan pistol berkaliber 38 oleh suspek dikenali sebagai Somphrong yang berusia 52 tahun.

Menurut pegawai balai polis Kamphaeng Saen, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tembakan berlaku di sebuah rumah di daerah Sa Si Mum.   

 Jelasnya, ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, bilik tidur dalam rumah itu berlumuran darah, manakala Anuthida sudah dibawa ke Hospital Kamphaeng Saen.

Sementara itu, saudara mangsa, Pawanrat memberitahu polis bahawa kira-kira lima orang menginap di rumah berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, teman lelaki Anuthida datang ke rumah mereka pada awal pagi tanpa diundang dan mereka bertengkar selama beberapa jam.

“Somphrong cuba mengambil hati Anuthida, namun dia enggan kembali kepadanya. Mangsa kemudian menyuruh Somphrong keluar tetapi lelaki itu tidak berbuat demikian.
-Utusanonline

“Anuthida masuk ke bilik tidur untuk mengelak Somphrong, namun dia mengekorinya. Ketika itu, kedengaran bunyi tembakan beberapa kali,” katanya.

Menurut Pawanrat, dia bergegas memasuki bilik itu dan menemukan Anuthida terbaring di atas lantai berlumuran darah dan sukar bernafas.

Jelasnya, Somphrong melarikan diri dengan trak pikap berwarna hitam menghala ke arah daerah Khamphaeng Saen.

Waran tangkap: Adun Bukit Payung hadir ke mahkamah

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
MOHD Nor hadir ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Nor hadir ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Selepas dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah akhirnya datang ke mahkamah hari ini.

Mohd Nor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu tiba di mahkamah pada jam 9.03 pagi sebagai saksi bagi perbicaraan berkenaan.

Sebelum ini, Mohd Nor diarahkan hadir untuk menyambung memberi keterangannya pada Khamis lalu bagi perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

Bagaimanapun, kegagalannya hadir menyebabkan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Waran tangkap itu dikeluarkan mahkamah selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohd Nor.

Mohd Nor memaklumkan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana terbabit dengan program kerajaan negeri yang tidak dapat dibatalkan.

Katanya, kelewatan peguam pempetisyen memberi makluman kepadanya untuk hadir ke mahkamah antara sebab ketiadaannya pada Khamis lalu.

Selain Mohd Nor, dua saksi lain yang turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Kamu yang memalukan agama

Abdullahjones

Antara kebanggaan tentang masjid kami ialah bilamana tiada sebarang bayaran dikenakan kepada sesiapa dalam hal pengurusan mana-mana jenazah.

Siapa yang meninggal dunia dalam kariah kami, maka pihak masjid dengan penuh tanggungjawab akan menguruskan jenazah berkenaan.

Bermula dari urusan memandikan, mengkafan dan selanjutnya mengebumikan, semuanya dilaksanakan tanpa upah. Masjid juga akan mengadakan majlis tahlil ringkas pada malam berikutnya dengan sedikit makanan disediakan untuk 100 orang jemaah.

Tanpa mengira sama ada mereka yang meninggal dunia itu adalah penduduk tetap di tempat kami atau sekadar datang berziarah (dan kemudian meninggal dunia), jika semua anggota keluarga mereka bersetuju, masjid kami akan menguruskan segalanya - dari A hingga Z.

Menurut kami, masjid itu adalah satu-satu masjid di negara kita yang berbuat demikian. Jika kami salah, tolong betulkan.

Kam juga merasakan bahawa semua surau dan masjid sepatutnya mengikut contoh teladan yang baik itu.

Mungkin ini adalah kebetulan namun daripada apa yang dilihat, kami dapati jemaah di tempat kami sedikit demi sedikit kian bertambah. Boleh jadi kaum kerabat yang jenazah mereka diuruskan oleh masjid melihat betapa urusan kematian disempurnakan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang prejudis.

Lalu jika selama ini mereka belum datang meramaikan jemaah masjid, tentu hati mereka sedikit sebanyak akan terbuka kalau pun hanya kerana rasa terhutang budi kepada pihak pengurusan masjid.

Tidak timbul sama ada mereka yang meninggal dunia itu adalah seorang yang rajin ke masjid atau pun tidak, semuanya diberikan hak yang sama.

Darah panas mendidih

Tabung khairat kematian hasil sumbangan orang ramai di masjid kami juga tidak pernah berkurangan dengan segala kerja buat yang mereka lakukan secara percuma itu.

Dakwah yang terbaik adalah melalui cara bertemu muka dan menceritakan akan kebesaran tuhan, namun menguruskan jenazah dengan penuh tanggungjawab juga boleh dikira sebagai suatu jalan mengajak orang datang kepada agama.

Pepatah yang mengatakan 'diberi bunga lalu dibalas tahi' bukanlah satu kumpulan perkataan yang sesuai digunakan apabila kita membicarakan hal agama.

Nabi yang dibaling batu hingga berdarah tidak pernah menyimpan dendam, malah didoakannya seluruh kebaikan terhadap pelaku kerja khianat tersebut.

Hasilnya hari ini seluruh keturunan penduduk Taif adalah Islam.

Jika kamu pergi mengerjakan umrah singgahlah di sana untuk merasa dan menghirup udaranya yang nyaman.

Mungkin kamu marah kerana merasakan agama kamu dihina. Darah pahlawan kamu - yang agaknya merindui syahid itu - panas mendidih apabila ada orang cuba sedikit untuk membahaskan kebebasan dalam membicarakan hal-hal dalam beragama.

Namun, melempar asid dan membuat ugutan bunuh terhadap mereka yang kamu anggap menghina agama kamu bukanlah satu perbuatan yang menolong agama.

Islam tidak pernah maju dengan perbuatan cemar. Dan kamu sendiri telah memalukan serta meletakkan Islam dalam kancah yang tidak sepatutnya.

Semangat pendekar yang kamu warisi dari Tuah atau Jebat (kami lebih merasakan bahawa kamu cenderung kepada si Jebat kerana kononnya dia lebih rebel berbanding Tuah. Entah-entah keduanya adalah watak khayalan mereka yang seperti kamu yakni mereka yang gemar mencari hero di tempat yang salah) itu tidak memungkinkan kamu akan terus diusung ke sorga apabila mati menjemput datang.

Malah kamu mungkin lupa betapa di akhirat nanti ada si syahid yang ditempelak tuhan hanya kerana dia mahu disanjung disebabkan dia berasa dirinya adalah pembela agama.

Berhentilah menjadi pengadu domba.

Kami tidak perlukan hero seperti kamu, sama juga seperti Islam tidak memerlukan perarakan membawa senjata perang untuk kelihatan benar.

Agama kami ada penjaganya dan Dia langsung tidak memerlukan kamu walau sebesar habuk sekali pun!

Apa yang diperlukan adalah supaya kamu menjadi contoh teladan yang baik sebagai wakil kepada pengamal agama ini. Ugutan untuk membunuh sesiapa saja tidak pernah menjadi syarat yang wajib seorang model pengamal agama yang baik.

Jangat sibuk sangat mahu bersama rakyat mengunting rambut sehingga tidak menghormati mahkamah.

Eh! Silap. Ke situ pula kami ini. Maaflah kerana terbawa-bawa...

Dan kamu pula sampai merosakkan harta awam dalam 'peperangan' yang kamu cipta sendiri itu.  Nampak sangat kamu ini jenis yang belum khatam the art of war versi Islam sampai kami yang liberal ini pula yang terpaksa memberi nasihat kepada kamu.

Kami rasa daripada kamu sibuk memukul gendang perang adalah lebih baik kamu ke masjid menolong pak imam dan bilal mandikan jenazah.

Ada juga faedahnya daripada mabuk mahu mengamuk tidak tentu hala.

Tak namakan ‘poster boy’ di Selangor, keputusan Bersatu mungkin makan diri

Tsubasa Nair 

PETALING JAYA: Keputusan Bersatu untuk tidak menamakan “poster boy” bagi PRN Selangor boleh memakan diri, menurut pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.

Beliau berkata, PRN Melaka dan Johor menunjukkan bahawa “poster boy” menjadi faktor penting dalam menarik undi, dan Bersatu akan rugi kerana Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing pasti akan meletakkan “poster boy”.

Katanya, pada PRN Johor tahun lepas, pemilihan Hasni Mohammad sebagai tumpuan kempen Umno membantu BN meraih kemenangan besar.

Bagaimanapun, felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, beliau tidak percaya keputusan Bersatu akan membawa sebarang akibat, menyifatkannya sebagai langkah strategik.

“Mengumumkan (‘poster boy’) terlalu awal boleh menimbulkan beberapa masalah dalam parti, (seperti) sabotaj dan sebagainya,” katanya.

“Apa yang penting adalah untuk Bersatu memastikan mereka dapat meyakinkan pengundi di Selangor untuk mengundi Perikatan Nasional (PN), berbanding menonjolkan ‘poster boy’ atau calon menteri besar,” kata Jeniri.

Keputusan Bersatu Selangor itu diumumkan ketuanya Abdul Rashid Asari yang berkata, parti memutuskan untuk tidak menamakan “poster boy” bagi membolehkan jenteranya memberi tumpuan kepada memenangi PRN, yang mesti diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang.

Jeniri berkata, PH dan BN mungkin cuba memanfaatkan ketiadaan “poster boy” Bersatu, tetapi hanya jika mereka menamakan seseorang dalam kalangan mereka sendiri.

“Jika BN dan PH mengumumkan seorang “poster boy” yang juga berkemungkinan menjadi calon menteri besar, mereka akan mengatakan PN tidak cukup yakin untuk mengumumkan calon mereka sendiri dan tidak mempunyai ‘poster boy’ yang boleh dipercayai.”

Bagaimanapun, tiada jaminan “poster boy” itu akan menjadi menteri besar kerana terpulang kepada sultan untuk membuat keputusan muktamad.

Di Johor tahun lepas, Hasni tidak dipilih menjadi menteri besar walaupun dinamakan Umno sebagai calon pilihan mereka. Seorang lagi Adun Umno, Onn Hafiz Ghazi, dilantik menjadi menteri besar oleh sultan.

Benua Afrika bakal 'terbelah' dua

Agensi
FOTO pada 2018 menunjukkan rekahan besar dikesan di Lembah Rengkahan Kenya. FOTO Reuters
FOTO pada 2018 menunjukkan rekahan besar dikesan di Lembah Rengkahan Kenya. FOTO Reuters
Algiers: Baru-baru ini, tular kembali satu imej di media sosial menunjukkan apa yang dikatakan perpecahan benua di Lembah Rengkahan Kenya (Kenyan Rift Valley), yang menyaksikan benua Afrika seakan 'terbahagi' kepada dua.

Keretakan besar di dalam tanah itu didakwa sebagai bukti bahawa pergerakan tektonik membelah benua.

Satu laporan mendakwa rekahan besar yang berlaku sepanjang kira-kira 35 batu (kira-kira 56 kilometer) di padang pasir Habsyah sebagai bukti terhadap dakwaan berkenaan.

The Guardian pertama kali melaporkan perkara ini pada 2018, dengan menyatakan ciri-ciri geologi itu berkemungkinan disebabkan hakisan secara tiba-tiba, dan bukannya pergerakan tektonik yang merentasi benua.

Apa itu lembah rengkahan?

Ada pendapat mendakwa benua Afrika boleh 'terbelah' dua kerana plat tektonik di bawah permukaan tanah beralih secara perlahan-lahan.

Menurut pandangan berkenaan, aktiviti tektonik berlaku dengan fenomena seperti gempa bumi dan gunung berapi, namun cenderung tertumpu di sekitar kawasan tertentu.

Istilah rift valley atau lembah rengkahan pula digunakan untuk menggambarkan tempat plat tektonik secara beransur-ansur bergerak lebih jauh antara satu sama lain.

Pergerakan itu meninggalkan lurah dan membentuk retakan yang dalam, disebut sebagai punca keretakan yang dilihat di benua Afrika.

Penyelidik percaya bahawa pergerakan tektonik di Afrika akan membuatkan benua 'terbahagi' dua di sepanjang Great Rift Valley, dan membentuk garisan dari barat daya Asia ke kawasan dikenali sebagai Horn of Africa yang meliputi tanah di Somalia, Habsyah, Kenya.

Ini menyebabkan kawasan sekitar Somalia menjadi terasing daripada seluruh benua Afrika, dan dasar laut boleh 'merebak' ke dalam kawasan permukaan kosong yang terhasil daripada aktiviti berkenaan.
PENDUDUK melihat rekahan besar dikesan di Lembah Rengkahan Kenya. FOTO Reuters

PENDUDUK melihat rekahan besar dikesan di Lembah Rengkahan Kenya. FOTO Reuters
Apakah penyebab rekahan di Kenya?

Kenya mengalami beberapa perubahan iklim melampau iaitu tempoh cuaca panas dan kering berterusan menyebabkan hujan lebat tiba-tiba sekali gus menyebabkan ia terdedah kepada banjir.

Sebelum keretakan di Kenya itu mula dikenal pasti, terdapat hujan lebat yang menghakis tanah kering dengan jumlah air hujan tinggi dalam tempoh singkat boleh mewujudkan alur di permukaan lebih dalam.

Kajian juga menunjukkan kawasan sekitar garisan sesar utama lebih berkemungkinan mengalami hakisan disebabkan kepekatan abu gunung berapi yang tinggi daripada biasa.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan The Guardian, penjelasan mudah mengenai fenomena rekahan di Lembah Rengkahan Kenya itu sebenarnya disebabkan hakisan di bawah permukaan tanah susulan hujan lebat.

Ini mengambil kira kejadian sama dilaporkan di kawasan lain di negara di rantau berkenaan, pada masa ia pertama kali dilaporkan pada 2018.

Namun, menurut The Guardian, ia bagaimanapun tertakluk kepada kajian penyelidik yang masih berterusan mengenai perkara ini.
-hmetro 

Anwar: Saya tidak zalimi sesiapa

Malaysiakini 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau tidak akan berlaku zalim terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin pembangkang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata apa yang pernah dilaluinya sebelum ini adalah sesuatu yang sangat sukar dan beliau tidak sanggup melakukan khianat serta fitnah terhadap mana-mana pihak.

“Saya mahu di umur ini dengan kepayahan yang berlaku dahulu itu sebagai peringatan dan pengajaran untuk pastikan tidak ada kezaliman terhadap sesiapa termasuk tokoh-tokoh parti pembangkang.

“Tetapi jangan cari alasan seolah-olah pimpinan parti pembangkang itu tak boleh didakwa,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang bertema ‘Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ di Stadium Malawati di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri, tumpuan utama bukanlah untuk mendakwa sesiapa sebaliknya mahu membetulkan sistem negara bagi membolehkan Malaysia kembali dapat dipacu dengan lebih hebat.

Anwar berkata bagi tujuan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman perlu dikembalikan menjadi sebuah badan yang bebas serta berintegriti.

“... jangan melindungi perasuah kerana negara kita sudah rosak. Rakyat sepatutnya dapat pembelaan dan negara boleh dipacu lebih hebat tetapi kerana penyakit ini yang menjadi sistem menyebabkan kesemua menjadi rosak.

“Kadang-kadang ketika perbincangan dan renungan bersama badan penguat kuasa, saya tak tahu dari mana nak dimulakan... dalam setiap fail ada masalah.

"Sebab itu kita bingung kenapa hal-hal ini tidak boleh didukung oleh orang-orang yang bersemangat Islam, Melayu atau cintakan negara,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata sekiranya sistem tidak dibersihkan, ia akan menyebabkan lebih banyak ‘kebocoran’ dan oleh yang demikian, Kerajaan Perpaduan tegas untuk tidak melindungi perasuah dan komited melaksanakan tadbir urus yang baik.

“Kalau ada Ahli-Ahli Yang Berhormat negeri atau pusat yang didapati terlibat dalam rasuah, jangan cari saya. Bukan kerja saya untuk melindungi perasuah termasuk daripada (Parti) Keadilan (Rakyat) sendiri.

“Tapi tak adil orang kata kita pilih kasih. Orang itu terlindung sebab ketika itu dia ada kuasa, ramai orang tahu dan kes bukan baru. Inilah masalah kita, kita kadang-kadang cakap soal agama tapi urusan negara tak tahu sama sekali. Sebab itu saya kata, hal yang pertama adalah hal tatakelola,” katanya.

Gambar fail, kerjasama Barisan Alternatif antara PKR, PAS dan DAP.
Perdana menteri berkata beliau juga tidak mahu politik permusuhan berlaku termasuk dengan PAS kerana parti itu pernah bersama mereka sebelum ini.

“(PAS pernah) menjadi satu pasukan dengan kita. Pimpinan lain tentunya. Naratif juga lain. Pimpinan dahulu kalau soal rasuah dan penyelewangan (mereka) tegas.

"Cara mereka menyerang (kini) di luar batasan etika dan akhlak… apabila kita jawab, kita ini menentang Islam... kita menyerang ulama,” katanya.

Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata kerajaan mampu berbuat demikian hasil penjimatan negara menerusi usaha membendung ketirisan dan penyelewengan.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pertambahan hasil seperti kutipan cukai yang diperoleh negara bukanlah untuk keselesaan pemimpin sebaliknya akan disalurkan semula bagi membantu rakyat seperti pesawah, pekebun getah dan golongan miskin.

“Walaupun saya buat unjuran dan pertumbuhan ekonomi serta hasil pendapatan, Alhamdulillah kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri tetap meningkat dan tinggi jadi hasil kita bertambah... pertambahan itu bukan untuk bayar pemimpin tapi untuk kegunaan rakyat,” katanya.

Beliau turut mewajibkan semua pimpinan parti menjadi ahli Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) yang dilancarkan hari ini untuk menjaga kebajikan anggota.

- Bernama