HAKIM MOHD NOR
Hakim Mohd Nor kapal Nautical Aliya yang membawa sukarelawan dan barangan bantuan untuk masyarakat Islam Rohingya
ULASAN Petang tadi, 10 Februari 2017, hari kelapan misi ini, tepat jam 446 waktu Malaysia ataupun 316 waktu tempatan, kapal Nautical Aliya berlepas meninggalkan Pelabuhan Yangoon. Di sebalik kegembiraan kami akan bertemu dengan hampir 100,000 orang pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh - Myanmar lagi tiga hari, ada sesuatu yang memerlukan perhatian kami.
Kecoh di media sosial mempertikaikan misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM) ini apabila dilihat memberikan bantuan ini melalui kerajaan Myanmar. Ramai berkata, mana mungkin bantuan akan sampai apabila melalui si pembunuh Myanmar?
Namun, itu apa yang orang lihat dan tahu melalui media sosial semata-mata. Tetapi apa yang ramai tidak tahu ialah, kita sudah terima surat jaminan daripada kerajaan Myanmar boleh ada wakil Malaysia sekurang kurangnya tiga orang yang akan ikut trak bantuan dari Pelabuhan Yangoon ke Sittwee, Rakhine (Arakan), tempat konflik berlaku. Ini penting untuk kami saksikan sendiri bantuan itu sampai dan tiada ketirisan berlaku.
Dari awal lagi, komiti FFFM mengumumkan bahawa kita akan pastikan sendiri semua bantuan sampai. Soal mereka patuh kepada janji atau tidak adalah diluar dari kemampuan kita semua. Pelbagai plan back up kami lakukan untuk pastikan bahawa benar benar bantuan ini sampai ke tangan Rohingya.
Menjawab persoalan bahawa flotilla ini mempunyai misi politik dan pelbagai misi sampingan, kalau boleh ingin saya kongsikan sejarah awal bagaimana flotilla ini terbentuk. Saya sendiri ada di dalam meeting pertama saat idea FFFM ini timbul.
Waktu itu, MAPIM panggil banyak NGO bermesyuarat di Selangor. Saya, Nazri dan Abu hadir wakili SERANTAU MUSLIM. Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ustaz Tirmizi, Naib Presiden MAPIM itu, Serantau Muslim cadangkan untuk diwujudkan flotilla ini seumpama Woman Boat To Gaza. Hujah kami, bila Flotilla ini tidak dibenarkan masuk atau ada halangan, maka misi akan berjaya kerana seluruh dunia akan fokuskan pandangan kepada Rohingya.
Hujah kami diterima. SERANTAU MUSLIM kemudiannya mencadangkan nama Food Flotilla For Rohingya kerana mahu tarik simpati dan perhatian orang ramai dengan elemen makanan di hadapan nama misi ini. Namun setelah dibahaskan panjang, semua yang hadir sepakat pilih nama Food Flotilla For Myanmar kerana tidak mahu misi terganggu dari awal dan tidak dapat akses ke Sittwe hanya kerana ada nama Rohingya di nama misi.
Waktu itu kami berhujah walaupun tulis Myanmar, tapi memang niatnya adalah untuk Rohingya. Sebab itu masa mula-mula ada tertulis nama kecil, Rakhine State dalam logo FFFM. Rakhine State adalah nama lain bagi Arakan, negeri asal Rohingya.
Namun bila tiba saat perlaksanaan, ia tidak semudah yang disangka. Proses mencari kapal yang sesuai cukup sukar. Ke Thailand, Indonesia, Bangladesh dan seluruh Malaysia kita mencari kapal yang sesuai. Memang tiada. Ramai tak setuju beri kebenaran guna kapal mereka kerana misi ini dianggap misi yang berbahaya. Insurans tak cover kata mereka.
Kalau ada pun kapal yang sesuai. Harganya sangat mahal dan kami para NGO Islam ini tidak mampu untuk menanggung kosnya. Pada waktu itu, datang tawaran dari KP1M yang ada wakil dalam kerajaan Malaysia untuk bekerjasama.
Terlalu panjang perbahasan sama ada mahu kerjasama dengan pihak kerajaan atau tidak untuk dicoretkan di sini. Cukuplah saya ringkaskan bahawa misi ini hampir terbatal sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pihak kerajaan. Dan niat kita ikhlas, Rohingya mesti dibela segera! Sehari misi ini tertangguh, semakin banyak Rohingya yang mati kebuluran.
Apabila pihak kerajaan mula terlibat dalam misi sebesar dan sepenting ini, terdapat banyak perkara melibatkan G2G (Goverment To Government) yang perlu diperhalusi. Ia tidak semudah melaungkan slogan "Jom putuskan hubungan dengan Myanmar". Ada perkara jangka panjang yang melibatkan kepentingan keselamatan, perdagangan, pendidikan, perundangan dan banyak lagi.
Jadinya, misi ini bukan lagi satu misi yang boleh hit and run. Ada cadangan kata," Langgar aje berlabuh di Sittwee, Rakhine, Myanmar. Apa nak jadi pun jadilah. Kalau kena tembak boleh syahid." Sahabat, ia bukan semudah perkiraan itu.
Kita tidak mahu dengan tindakan singkat kita ini menyebabkan kesan buruk yang berpanjangan. Kita tidak mahu masuk ke zaman perang. Ia tidak berbaloi.
Kalau peserta kapal ini mati ditembak oleh Tentera Myanmar, tidakkah nanti ia akan mencetuskan peperangan yang tidak disangka-sangka antara dua buah negara. Ia mungkin akan merebak lebih besar kerana di atas kapal ini ada 13 warganegara. Hanya kerana tindakan singkat kerana terbawa-bawa dengan emosi kita, ia membawa kesan buruk yang berpanjangan.
Sebab itu, kita masih percaya kepada jalan diplomasi. Ironinya, kita mahu khabarkan kepada dunia, Myanmar telah checkmate! Saat mereka terima bantuan, saat itu mereka telah isytihar bahawa betul ada Rohingya yang perlukan bantuan. Mengapa Rohingya perlukan bantuan? Kerana kamu Myanmar , telah berlaku zalim kepada mereka!
Ramai yang berbahas dari sudut , habislah semua bantuan kena "sebat" oleh rejim Myanmar. Namun, tidak nampakkah kalian dari sudut bahawa Myanmar terpaksa tunduk rebah mengaku mereka berlaku zalim. Hinggakan yang terima barang bantuan itu adalah "pak menteri" yang pegang portfolio kebajikan cepat-cepat balik tanpa tunggu majlis tamat kerana tahu sebenarnya dia malu untuk terima bantuan itu.
Sahabat, jalan juang kita panjang. Kita tahu Rohingya telah tertindas sejak sekian lama. Namun janganlah kecam usaha kecil kami ini semata-mata ada perbezaan pandangan. Boleh jadi semasa kami membuat keputusan, itulah keputusan yang terbaik untuk semua.
Saya teringat kisah Khalid Al Walid dicemuh oleh warga Madinah setelah pulang dari perang Yarmouk. Tiga panglima utama Islam syahid dalam perang itu. Khalid yang menggantikan mereka terus buat keputusan balik ke Madinah. Warga madinah cemuh Khalid takut syahid. Namun akhirnya Rasulullah membela tindakan Khalid kerana waktu itu, itulah keputusan yang terbaik yang boleh dilakukannya untuk menyusun semula strategi perang. Ternyata, tidak berapa lama selepas itu, tentera Rom akhirnya berjaya juga ditewaskan oleh tentera Islam berkat kesabaran semua.
Saya bukanlah nak menyamakan misi ini seperti misi perang Yarmouk. Sangat jauh bezanya. Apa yang saya ingin sampaikan ialah ibrahnya. Pengajaran. Ambillah ia sebagai panduan.
Adapun kami di atas kapal ini masih lagi membawa 2300 tan bahan bantuan yang akan disalurkan kepada Rohingya. Tak sampai 10% pun yang diturunkan di Port Yangoon tadi.
Dan sememangnya sejak awal lagi kita telah letakkan awal-awal matlamat kita ialah dua tempat iaitu selain di Yangoon ialah di Teknaf di wilayah Cox Bazar , Bangladesh yang terletak di sempadan Myanmar. Harus diingatkan, antara tujuan kita lancarkan flotilla ini ialah untuk santuni Rohingya yang ditimpa konflik semenjak Oktober 2016 di mana kebanyakan mereka sudah berada di wilayah Cox Bazar, Bangladesh.
Di sempadan Bangladesh-Myanmar yang hanya dipisahkan dengan sebatang sungai Naf, terdapat banyak kem pelarian Rohingya yang terletak di wilayah Cox Bazar. Insya Allah, semua 185 peserta sendiri akan turun bertemu dengan pelarian Rohingya yang ada di Kem Cox Bazar dan Teknaf. Bas dan tempat penginapan kami di sana sudah ditempah.
Kami nekad, segala bantuan nanti, tangan kami inilah yang akan sampaikan untuk mewakili 30 juta rakyat Malaysia dan 13 buah negara peserta. Bahkan, selain saya dan Nazri di atas kapal Flotilla ini, pasukan SERANTAU MUSLIM yang diwakili Dr Raja Iskandar juga telah adakan usaha dengan sertai Team Advance di ground Teknaf, sempadan Bangladesh-Myanmar untuk menyusun kerja diplomatik dengan pihak berkuasa Bangladesh.
Di ground, Team Advance yang disertai Dr Raja, Pengerusi SERANTAU MUSLIM telah lakukan banyak sangat kerja persiapan. Antaranya berurusan dengan kem yang baru sahaja dibuka pada tiga bulan lepas selepas konflik meletus pada Oktober 2016.
Mereka juga telah melawat ke sekolah sekolah pelarian untuk memastikan bahawa bantuan selepas ini dapat diteruskan berdasarkan keperluan mereka. Mereka juga sudah lihat pelabuhan Teknaf dan ternyata tidak sesuai untuk Nautica Aliya untuk berlabuh sehingga terpaksa ditukarkan ke pelabuhan Chittagong.
Pelbagai mesyuarat penting telah dihadiri oleh Team Advance di lapangan untuk memastikan misi ini berjaya antaranya dengan Pengurus Besar Pelabuhan Teknaf, Pegawai Seranta Rohingya, Pesuruhjaya Wilayah (MB), Timbalan Pesuruhjaya Wilayah (TMB), Ahli Parlimen (MP) dan ramai lagi kenamaan. Pokok pentingnya, saya ingin ceritakan bahawa segala sumbangan dan dana dari anda semua dan orang ramai benar benar akan sampai terus kepada Rohingya. Insya Allah.
Justeru, mohon doakan kami. Mohon dengan sangat. Harapan dan doa kalianlah yang menjadi obor semangat kami membelah lautan yang serba seribu kemungkinan ini. Berjauhan dengan keluarga hampir 20 hari. Kos kewangan yang ditanggung sendiri. Dan pelbagai lagi pengorbanan kecil kami ini hanya dapat kami harungi dengan doa dan harapan dari anda semua. Tolonglah kami dengan doa kalian.
Sekarang ini pun ada beberapa berita yang kurang enak dari kerajaan Bangladesh. Saya percaya, dengan berkat doa tidak putus putus dari kalian, akan menyebabkan masalah ini diatasi dengan mudah.
Ada antara kami yang berpuasa setiap hari berhajat agar Allah permudahkan urusan misi ini. Setiap malam, kami semua bangun Qiamulaill dan Solat Tahajud berjemaah. Kami khatam Al Quran beramai ramai. Kami buat solat hajat dan taubat. Sesi tazkirah pada setiap hari tanpa jemu. Kerana kami percaya bahawa, Hanya Allah yang mengizinkan perancangan misi ini berjaya. Begitu juga dengan doa kalian.
Mohon terus doakan yang baik-baik buat kami. Dipermudahkan urusan. Semoga misi ini menjadi pembuka jalan untuk misi misi bantuan seterusnya demi membela Rohingya tercinta.
Ustaz Hakim Mohd Nor ialah Setiausaha SERANTAU MUSLIM dan peserta Food Flotilla For Myanmar (FFFM)