"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Umno angkat Zahid jadi presiden baru

Akhirnya Umno mendapat nakhoda baru selepas kapal mereka berlabuh akibat dibadai pengundi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilihat bakal menjadi perdana menteri - sehinggalah BN kecundang di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN) - dipilih majoriti anggota parti untuk menjadi presiden mereka.

Setakat jam 9.40 malam ini anggota parlimen Bagan Datuk itu memperoleh 93 undi sekali gus tidak memungkinkan mana-mana calon mengejarnya lagi.

Dua lagi calon utama yang bersaing untuk mengisi tempat ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Razak ialah anggota parlimen Rembau yang juga bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy mendapat 51 undi manakala Tengku Razaleigh cuma 23 undi.

Untuk rekod ini adalah percubaan kedua Tengku Razaleigh untuk menjadi presiden selepas 1987. Kira-kira 31 tahun lalu cubaan beliau digagalkan oleh kelebihan 43 undi yang memihak kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu bagi perebutan jawatan timbalan presiden, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan semakin hampir menjadi pemenang apabila setakat 9.25 malam, beliau sudah mempunyai 75 undi.

Mohamad hanya memerlukan 21 undi lagi untuk menjadi pemenang. Pencabar tunggalnya, Tan Sri Annuar Musa ketinggalan dengan setakat ini hanya meraih 55 undi.
-malaysiakini

Zahid dan KJ sengit, Ku Li jauh ketinggalan

PEMILIHAN UMNO 2018 | Khairy Jamaluddin kini mengutip 41 undi untuk berada pada kedudukan sama dengan pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu Tengku Razaleigh Hamzah jauh ketinggalan dengan sekadar mengumpul 18 undi setakat jam 7.15 malam.

Keputusan itu diumumkan menerusi akaun Twitter Pemilihan Umno 2018.

Sementara itu bagi jawatan pertandingan timbalan presiden, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh undi 20 bahagian, sementara anggota Parlimen Keterah, Tan Sri Annuar Musa mendapat 13 undi.

Bagi tiga jawatan naib presiden, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin masih mendahului, diikuti rapat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang masing-masing memperoleh sembilan dan 10 undi bahagian.

Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula masing-masing mendapat enam dan empat undi bagi persaingan naib presiden, manakala Datuk Seri Ahmad Said memperoleh satu undi bahagian.

Calon ketujuh Sheikh Razali Sheikh Hamad konsisten gagal mendapat sebarang undi.
-malaysiakini

Pecah masuk rumah tanpa pakaian

NORAFIZA JAAFAR

Suspek tanpa pakaian ditahan sekumpulan lelaki selepas suspek keluar dari rumah jiran dalam keadaan mencurigakan.
KUALA LUMPUR – Pengalaman pahit buat seorang warga Bangladesh selepas tindakannya yang mahu 'berjinak-jinak' dalam kegiatan pecah rumah, apabila dia dimalukan sekumpulan lelaki yang bertindak membogelkannya.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi Khamis lalu di Jalan Sungai Kampung Puah, Lembah Gombak di sini, suspek yang bekerja kontrak ke lokasi kejadian menaiki sebuah teksi dari bilik sewanya di Chow Kit.

Suspek yang hanya memakai seluar dalam telah memecah masuk sebuah rumah dan disedari jiran mangsa yang sedang berbual di luar rumah bersama adik dan dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kelibat suspek tanpa pakaian dan membawa beg galas disedari kumpulan berkenaan.

"Suspek dalam keadaan mencurigakan itu ditahan kumpulan tersebut dan menemui barang curi termasuk beg tangan, dompet dan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan serta MyKid.

"Mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank dan tinggal di rumah teres bersama isteri serta seorang anak tidak menyedari rumahnya dipecah masuk sehingga dimaklumkan oleh jiran," katanya.

Katanya, tindakan suspek tidak mengenakan pakaian semasa kerja pecah rumah itu bagi mengelak bajunya tersangkut pada jaring tingkap.

"Didapati suspek memecah masuk rumah jiran melalui tingkap dapur yang besinya dibengkokkan dan cermin tingkap ditanggalkan.

"Pakaiannya ditanggalkan dan dimasukkan pada plastik. Namun selepas kegiatan pecah masuk dia tidak sempat menyarung kembali pakaiannya selepas dikejar jiran mangsa," katanya.

Katanya, kes disiasat 457 Kanun Keseksaan dan soal siasat masih dilakukan.

Baru-baru ini tular video pendek mendakwa orang minyak memecah sebuah rumah di Kampung Puah.

Bagaimanapun, tindakan suspek yang hanya berseluar dalam itu bagi memudahkannya menyelinap masuk ke rumah mangsa bagi mengelak pakaiannya tersangkut pada tingkap.

Penyokong Najib dan angin Incredible Hulk

ISMAIL HASHIM YAHAYA 
Beberapa hari lepas, sedang saya minum di sebuah restoran di Shah Alam, beberapa rakan lama datang duduk semeja bersembang dengan saya. Kami sering bertemu untuk sembang isu semasa.

Perbualan kami mula-mula berkisar di sekitar hari Raya, balik kampung, kesesakan di lebuh raya. Tiba-tiba Rahim (bukan nama sebenar) membuka bicara mengenai IMDB dan nilai rampasan di rumah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kami tersentak!. Wajah lemah lembut Salmah (bukan nama sebenar) berubah menjadi `Incredible Hulk’, muka ganas giler. Wajahnya garang dan panas baran secara tiba-tiba.

Katanya, “cuba fikirkan media sosial dan online suka putar belit, Najib tu memang asal orang bangsawan, keturunan orang kaya. Hangpa semua duk percaya buat apa.”

Mengapa Najib jadi sasaran ni macam berdendam, ramai orang bagi derma kat isteri dia apa salahnya.”

Rahim berkata,”apa yang hang duk menggila ni, kena sampok hantu ka, aku cuba cakap nilai rampasan sebagaimana dijelaskan Datuk polis Benggali tu, sensitif betui la.”

Dia berkata “sensitif la main rampas sahaja, geledah semua, kesian Najib dan Rosmah tu.”

Saya mencelah marilah kita tengok fakta asas, manakah pergi wang 1MBD tu sebenarnya, kata nak buat pembangunan untuk rakyat, sekarang ke mana pergi duit tu. Apa hasilnya?

“Bukankah Najib ketuanya, kerajaan PH dan Tun Dr Mahathir nak siasat la, cuba hang beritahu nak siasat siapa lagi, lepas tu depa cari orang yang berkaitan dan berurusan dengan 1MDB ni.”

Dia naik angin terus, mata terbeliak dan muka merah padam sampai pelanggan di restoran pun terkejut dan memerhati kami bertiga.

Katanya,”ini macam sengaja buat pertuduhan buat malu kat Najib, padahal dia sendiri cakap tak tahu menahu, buat siasatan carilah orang lain.”

Salmah berkata, “aku nak baliklah tak pa naik Grab ja.”

Rahim berkata, “Jangan begitu Mah, takkanlah pasai ni pun nak putus persabahatan merajuk la tu.

“Tak da la hang pa duk tuduh macam-macam.” katanya.

“Hang boleh tak sutuju tetapi janganlah naik angin tiga suku macam ni kenapa ni, kita bebas beri pandangan dan kalau tidak setuju bagi hujahan dan janganlaemosi,” katanya.

Jelas saya, “emosi tak akan bawa ke mana, maaf saya cakap ia akan memperlihatkan kebodohan sahaja, hujah dengan mantap penuh tenteram.

“Sudahlah mai balik,” kata Salmah.

“Malaih nak sembang dengan hanpa, nak menang semua. Aku tetap dengan pendirian aku yang
Najib tidak bersalah.”

Saya pun berkata, “Rahim bawak Salmah balik, lain kali kita sembang-sembang,”pesan minum pun tidak.”

Ada juga beberapa ahli Umno yang saya temui kebanyakannya naik angin bila sentuh isu 1MDB dan Najib.

Mereka tidak boleh terima hakikat yang pihak polis datang ke rumah Najib merampas barang-barang dan wang tunai Najib dan isterinya Rosmah.

Mereka cepat sensitif apabila Najib dikaitkan dengan 1MDB. Itulah wacana kalangan ahli Umno dan mereka yang berkhidmat dalam BN dahulu.

Ada yang berkata pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menjejaskan mata wang
dan bursa saham. Ada yang berkata buat apa mendedahkannya dan ia menjejaskan pelaburan asing langsung dan kedudukan ekonomi negara.

Suatu wacana yang berlegar ialah isu bahasa dan orang Melayu. Ramai juga kalangan orang Melayu yang pro kerajaan BN dahulu yang saya temui berkata Melayu akan pupus dianaktirikan contoh macam isu Guan Eng dengan kenyataan media bahasa Mandarin dan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengenai kemasukan 10% bukan Melayu ke Matrikulasi.

Apa yang saya tanggapi kebanyakan ahli Umno dan BN tidak mengemukakan hujah yang mantap, malah mereka yang berstatus Profesor dan Phd pun seperti bercelaru, tenggelam punca, jadi lumpuh, hidup dalam penafian, delusi dan tidak menerima amalan politik kleptokrasi.

Mereka tidak dapat menerima realiti yang banyak institusi kerajaan telah menjadi kenderaan tunggangan untuk merompak khazanah negara secara sistematik.

Jika tidak bersetuju mereka perlu membukti secara hipotetikal andainya perkara dibiar berterusan apa yang akan berlaku kepada negara kita. Ramai kalangan yang cepat melatah, naik angin dan emosi hingga sanggup bertumbuk atau hentak meja.

Apakah mereka masih bersetuju dengan amalan politik wang dan rasuah yang berleluasa sebelum ini?

Sehingga sekarang saya masih tidak menemui hujah mantap untuk tidak mengaitkan Najib dengan kleptokrasi dan 1MDB.

--------------
Penulis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Kajian dapati 70% orang Melayu puas hati dengan kerajaan baharu

Bede Hong
SATU tinjauan seluruh negara mendapati 70% orang Melayu berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu.

Firma penyelidikan bebas, Oppotus Research Group menjalankan tinjauan secara bersemuka antara 22 Jun hingga 26 Jun dengan sampel wakil 1,035 orang Melayu.

Mengenai prestasi kerajaan baru, 56% responden berkata mereka berpuas hati, sangat berpuas hati (14%), tidak berpuas hati (27%) dan sangat tidak berpuas hati (3%).

Undian juga mendapati 51% responden tidak menyokong Umno, berbanding 44% yang menyokong, manakala 5% enggan mengulas.

Hampir semua iaitu 95% responden menyatakan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Daripada jumlah tersebut, 77% tinggal di kawasan bandar manakala selebihnya dari kawasan luar bandar.

Mengenai parti yang diundi dalam PRU14, 40% berkata mereka mengundi Barisan Nasional (BN), PH (34%) dan calon bebas (13%). Baki 13% lagi pula enggan mengulas.

Tinjauan ini bertujuan mengukur sentimen orang ramai pada PRU14 dan pemilihan parti Umno hari ini.

Margin kesilapan dianggarkan pada kadar 3.10%.

Umno memenangi 54 daripada 79 kerusi BN di Parlimen. PH memenangi 122 daripada 222 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan tetapi semua parti komponennya kurang berbanding jumlah dimenangi Umno.

PH memperoleh 47.88% undi popular dalam PRU14, termasuk daripada kerusi yang diperoleh melalui sekutu di Sabah, Parti Warisan Sabah.

Bahagian undi popular BN adalah 33.8%, manakala PAS, melalui Gagasan Sejahtera, mengambil 17%. Ini menjadikan gabungan bahagian undi popular mereka pada kadar 50.8%, lebih tinggi daripada PH.

Menurut data Merdeka Center yang dikeluarkan dua minggu lalu, hanya 25% hingga 30% orang Melayu mengundi PH, BN (35-40%) dan PAS (30-33%).

Laporan itu berkata meskipun peratusan orang Melayu mengundi PH di Johor dan negeri-negeri pantai barat seperti Melaka dan Negeri Sembilan lebih tinggi, sokongan keseluruhan orang Melayu terhadap PH menurun disebabkan prestasi lemah di Kelantan dan Terengganu.

Laporan itu memberi amaran yang perpecahan dalam undi Melayu akan memberi implikasi besar dalam PRU masa depan memandangkan PH, BN dan PAS berusaha untuk mendapatkan sokongan mereka.

Pengurus Penyelidik Tan Seng Keat berkata walaupun ramai penyokong tradisi BN tidak gembira dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan cukai barangan dan perkhidmatan, mereka juga tidak mempercayai PH.

“Indoktrinasi propaganda sepanjang tahun ini tidak dapat berubah dalam beberapa hari berkempen, walaupun dengan Dr Mahathir Mohamad ada.

“Bagi mereka, Umno adalah parti Melayu, parti Islam. Mereka berasa selamat,” kata Tan yang dipetik oleh The Straits Times baru-baru ini.

PANAS!!! Calon jawatan tinggi Umno disiasat SPRM gunakan lebih RM800,000 dana yayasan untuk bayar kad kredit miliknya dan isteri

Seorang pemimpin tertinggi Umno akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berkaitan kes penyelewengan wang milik sebuah yayasan yang dipengerusikannya.

Sumber memberitahu Sinar Harian, pemimpin berkenaan merupakan menteri kanan dalam kabinet bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan turut menawarkan diri bertanding jawatan tinggi Umno pada pemilihan hari ini.

Akhbar itu melaporkan siasatan SPRM sejak awal tahun ini mendapati pemimpin itu disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan tersebut untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri sejak 2014 hingga 2016.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan laporan Sinar Harian kelmarin mengenai kes penyelewengan itu.

“Memang ada seorang pemimpin tinggi Umno sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi akhbar terbabit.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama pemimpin terbabit atau memberi maklumat lanjut.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Sinar Harian bahawa SPRM dipercayai berjaya mengesan beberapa dokumen transaksi pembayaran dilakukan pemimpin berkenaan.

Pada masa sama, SPRM juga sedang menyiasat kes penyelewengan dana dan salah guna kuasa beberapa tokoh politik, termasuk beberapa bekas menteri dan ketua bahagian parti.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan nama mereka yang disyaki terlibat.

Lima individu disenaraikan bertanding untuk jawatan Presiden Umno yang dikosongkan Najib selepas BN tumbang kepada Pakatan Harapan pada PRU14.

Mereka ialah pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@ Jamaluddin.

Jawatan Timbalan Presiden ditandingi oleh Pengerusi Umno Negeri Sembilan yang juga bekas menteri besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.
-malaysiakini

Najib mungkin ditangkap minggu depan

Faisal Asyraf
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dijadual mengadakan satu lagi sidang akhbar mengenai barang-barang yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak minggu depan, kata sumber.

Ditanya jika ini menunjukkan Najib mungkin ditangkap pada minggu depan, sumber berkata: "Mungkin pada masa itu, bergantung dengan perkembangan siasatan."

Malaysiakini telah menghubungi Amar bagi mendapatkan pengesahan mengenai sidang akhbarnya.

Bercakap kepada media di Jakarta semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Najib akan didakwa tidak lama lagi berkaitan skandal 1MDB.

Hampir RM1 bilion

"Tak lama lagi saya fikir dia (Najib) akan di hadapkan ke mahkamah.

"Untuk bawa kes ke mahkamah perlu ada bukti yang cukup supaya tidak gagal di mahkamah," kata beliau.

Perdana menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia.

Pada hari Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh memberitahu wartawan barang kemas, jam tangan dan beg tangan mewah yang disita dianggarkan harga runcitnya sekitar RM1 bilion.

Bagaimanapun, Najib, dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, menyifatkannya sebagai subjektif dan tidak realistik.

Najib juga mendakwa kebanyakan barangan itu merupakan hadiah yang diterimanya.

Pihak polis masih sedang menganggarkan nilai 295 beg mewah itu.

Empat 'Tan Sri' antara lebih 400 disiasat berhubung 1MDB

Lebih 400 individu termasuk sekurang-kurangnya empat individu bergelar Tan Sri kini sedang disiasat berkaitan skandal 1MDB.

Sumber polis memberitahu Malaysiakini bahawa senarai itu termasuk pemimpin Umno dan ahli keluarga mereka.

Adalah dipercayai bahawa individu-individu ini telah menerima dana daripada syarikat pelaburan negara itu.

Daripada empat Tan Sri itu, salah seorang daripada mereka merupakan ahli perniagaan dari Sarawak dan dipercayai sebagai rakan rapat Najib.

Tiga lagi termasuk penasihat bekas perdana menteri, yang dipercayai telah mempengaruhi keputusan editorial media arus perdana sebelum ini, bekas pegawai kerajaan berpangkat tinggi dan pemimpin politik.

"Individu berprofil tinggi ini berada dalam senarai untuk disiasat setakat 2014.

"Tetapi pihak berkuasa tidak dapat meneruskan penyiasatan mereka," kata sumber itu.

Terdahulu, sebelum ini pasukan petugas ditubuhkan bagi menyiasat 'derma' RM2.6 bilion dan dana SRC International yang disalurkan ke akaun bank bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mempengerusikan pasukan petugas tersebut yang turut terdiri daripada bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan bekas ketua pesuruhnjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed.


Bagaimanapun, pasukan petugas itu menerima kritikan apabila Abdul Gani ditukarkan, menyebabkan spekulasi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan skandal 1MDB.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Abdul Gani hampir mengenakan pendakwaan terhadap Najib sebelum disingkirkan.

Pada masa ini, Abdul Gani dan Abu Kassim merupakan anggota pasukan petugas yang baru ditubuhkan semula bagi menyiasat skandal berkenaan.

Kerusi Presiden Umno: Zahid dahului Ku Li, KJ hanya pemecah undi, kajian Ilham Centre

MALAYSIA DATELINE
Kerusi Presiden Umno: Zahid dahului Ku Li,  KJ hanya pemecah undi, kajian Ilham Centre
Kajian dilakukan Ilham Centre menjangkakan pemilihan bagi jawatan Presiden Umno akan memihak kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diikuti Tengku Razaleigh Hamzah yang mewakili 51 peratus dan 35 peratus manakala Khairy Jamaluddin mendapat 6 peratus sokongan daripada 191 bahagian seluruh negara pada pemilihan jawatan Presiden Umno yang akan berlansung esok.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang mempunyai peluang untuk mendahului pemangku Presiden Umno Ahmad Zahid sekiranya berlaku proses pujuk memujuk dan kompromi di peringkat cawangan.

“Sekiranya tradisi ini dipecahkan keputusan ‘upset’ boleh berlaku dengan majoriti tipis memihak kepada Ku Li (Tengku Razaleigh).

“Ini bukanlah kerana kekuatan hala tuju Ku Li tetapi lebih kepada sentimen dan emosi. Zahid terpaksa bertahan dengan asaskan kepada tekanan ini.

“KJ (Khairy) berjaya meraih peratus sokongan tetapi minima malah menjadi pemecah undi kepada mereka yang ingin menentang status quo dan ini memberikan sedikit kelebihan kepada Zahid.

“Suasana yang agak menekan apabila berlaku pengisytiharan keluar parti komponen Barisan Nasional (BN), keluarnya Ahli Parlimen Bagan Serai dan Bukit Gantang termasuk munculnyaorang-orang lama Umno yang telah bersara kembali mempengaruhi perwakilan,” ujarnya.

Bahkan Hishommuddin juga berkata faktor bekas pemimpin parti itu yang telah menganggotai Pakatan Harapan, Tun Mahathir dijadikan aspirasi dan rujukan sebagai hujah kepada kumpulan yang dikenalpasti sebagai ‘otai’ bagi mereka akan kembali ke dalam politik Umno Bahagian.

“Jika diteliti keputusan sayap parti Umno pada minggu lepas ternyata keputusan arus bawah sangat signifikan untuk perubahan.

“Kemenangan Asyraf Wajdi Dasuki dan Noraini Ahmad dalamsayap Pemuda dan Wanita menggambarkan arus akar umbi,” terangnya yang mengambil masa 8 minggu membuat kajiselidik berkaitan sokongan ahli akar umbi terhadap barisan kepimpinan baharu Umno dalam pemilihan di peringkat pusat bagi penggal 2018-2021.


Arus di peringkat cawangan dan bahagian Umno sukar dijangka bergantung kepada sentimen dan emosi mungkinkan Tengku RazaleighHamzah mengubah sokongan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden Umno.

Beliau berkata ketiga-tiga calon utama bagi kerusi Presiden pada pemilihan Umno kali ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Katanya perwakilan melihat Zahid mempunyai kelebihan berbanding Ku Li dan KJ berasaskan pandangan akar umbi yang melihat Zahid adalah seorang pemimpin yang setia dan telahpun teruji dalam perjuangan Umno selama ini.

“Pengalaman berkempen semasa bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan 2013 telah memberikan kelebihan kepada beliau kerana mempunyai hubungan yang baik dengan akar umbiUmno. Selain itu imej beragama beliau memberi kelebihan berbanding calon-calon lain.

“Saingan terdekat kedudukan Zahid ialah Ku Li seorang tokoh veteran ini dilihat sebagai pemimpin yang berpengalaman dan calon terbaik untuk berdepan dengan Tun Mahathir.

“Ku Li menerima dukungan dan sokongan yang agak besar kerana beliau dilihat sebagai alternatif terbaik bagi gandingan pimpinan peringkat calon-calon timbalan dan majlis tertinggi selain kem Zahid untuk bernaung.

“Ku Li juga disokong oleh calon-calon Ketua Bahagian yang mencabar calon sedia ada. Hujah mereka yang menyokong Ku Li meletakkan tokoh ini bersih daripada skandal dan tidak terpalit daripada Najib.

“KJ calon muda dan progresif menjadi pilihan perwakilan muda dan wanita yang mahukan perubahan. Idea-idea pembaharuan adan kenyataan yang diminati media menjadikan KJ calon popular dimata awam tetapi sukar memenangi hati perwakilan Umno,” ujarnya.

Justeru kata Hishomuddin lagi, tumpuan 150,000 perwakilan lebih terarah kepada sejauhmanakah kemampuan calon-calon ini
meyakinkan mereka untuk membina semula kekuatan, menyatukan kembali perpecahan dan menawan hati rakyat untuk terus menyokong perjuangan Umno.

“Penguasaan ‘warlord’ dalam kalangan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua Bahagian tertentu dicabar dengan arus perubahan ketara menyuarakan kebebasan daripada cengkaman ini. Perwakilan mulai menuntut hak mereka untuk bersuara secara bebas tanpa dikawal oleh keputusan pihak lain.

“Tetapi, suara ini minoriti dan masih gagal menenggelamkan pengaruhbudaya ‘warlord’ ini.

“Dalam pada itu pemilihan kali ini memperlihatkan sebahagian besar Ketua Bahagian melepaskan jawatan dan digantikan dengan muka baru. Sebahagiannya lagi berlaku pertandingan.

“Bahagian-bahagian yang terlibat dengan perebutan jawatan mengakibatkan pertembungan jalur kepimpinan tertinggi sama ada bersama dengan ‘cai’ calon presiden Zahid Hamidi, Ku Li ataupun KJ.” terangnya dalam kenyataan hari ini.

Zeti ganti Abdul Wahid Omar yang letak jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan PNB

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz akan dilantik menjadi pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi menggantikan penyandangnya Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata Zeti akan memulakan tugas itu secara rasmi mulai 1 Julai ini.

Sebelum ini media melaporkan Abdul Wahid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri sudah meletak jawatan daripada PNB.

Untuk rekod Zeti ialah salah seorang anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Pakatan Harapan selepas gabungan itu membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu.

Zeti mempunyai reputasi tinggi semasa menjadi gabenor Bank Negara dan meninggalkan badan berkenaan ketika isu skandal 1MDB hangat diperkatakan.

Nama anak kepada Prof Diraja Ungku Aziz itu turut diadukan oleh Pemuda Umno kepada pihak berkuasa kononnya berpakat mahu menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Dua lagi tokoh yang dituduh oleh Pemuda Umno itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Awang Adek juga bersara
Untuk rekod Abdul Wahid ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif Malayan Banking Berhad (Maybank) apabila dilantik menjadi senator oleh Najib.

Beliau kemudian dilantik menjadi menteri bagi mengelola Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri selama tiga tahun mulai Jun 2013.

Selepas meninggalkan kabinet, kerajaan kemudian melantik Abdul Wahid mengetuai badan pelaburan milik kerajaan itu.

Dalam kenyataannya PNB berkata Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mulai 28 Jun.

Sesuai dengan pelantikan itu, katanya, Lembaga Pemegang Amanah YPB disusun semula dengan memasukkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Zeti dan bekas bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.

Baca Najib selamat kerana 3 tokoh dikhianati, kata Dr M

Pada masa sama katanya Abdul Wahid yang sebelum ini mengetuai PNB - sebuah badan pelaburan milik YPB - bersara sebagai pengerusi berkuat kuasa pada 30 Jun.

"Dengan itu diumumkan Zeti akan dilantik sebagai pengerusi kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Julai 2018," kata PNB.

PNB juga memaklumkan bekas calon menteri besar Kelantan dari Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin turut akan bersara sebagai pengarah PNB.

Awang Adek juga, kata kenyataan tersebut akan bersara sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan PNB Sdn Bhd.

Pengunduran Awang Adek daripada kedua-dua jawatan itu juga berkuat kuasa 30 Jun 2018..

-malaysiakini

Datuk Dr Hassan Ali diperintah bayar RM225,000 kepada Khalid Samad

MALAYSIA DATELINE
Hassan Ali diperintah bayar RM225,000 kepada Khalid
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, mengarahkan bekas Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali membayar gantirugi sebanyak RM200,000 dan kos sebanyak RM25,000 dalam kes saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Kes ini didengar di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH hadir dimahkamah dengan diwakili Peguam Faiz Fadzil dan Dr Hassan diwakili Peguam Hasnal Rezua dan Muzzammil Merican.
Kes saman fitnah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad terhadap Datuk Dr Hassan Ali berhubung satu ucapan yang dibuat pada 30 Januari 2012 di Shah Alam yang menuduh Khalid menghalang usaha membasmi penjualan arak di Selangor.

Akaun PAS juga boleh dibeku, disiasat - Pemuda AMANAH

Susulan laporan berkaitan pembekuan akaun Umno, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang didakwa menerima wang daripada Umno termasuk PAS.

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil merujuk kenyataan pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memberi gambaran kemungkinan pembekuan itu ada kaitan dengan dakwaan pengubahan wang haram.

"Pemuda AMANAH menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang menerima wang daripada Umno termasuk akaun PAS seperti mana didedahkan Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar bahawa PAS ada menerima RM1.5 juta daripada Umno.

"Pemberian wang ini boleh dianggap tergolong dalam aliran pengubahan wang haram kerana diterima daripada Umno yang akaunnya dibekukan kerana disyaki melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut peruntukan AMLA, jelas Faiz, adalah menjadi kesalahan bagi penerima aliran pengubahan wang haram dan pihak berkuasa boleh membekukan mana-mana akaun yang disyaki terlibat.

Tambah Faiz, dalam menjalankan siasatan ke atas akaun Umno, akaun PAS juga boleh dibekukan mengikut peruntukan undang-undang itu kerana parti itu "mesra Umno".

"Pengakuan Pengarah Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki bahawa wang tersebut adalah derma juga membuka ruang kepada satu siasatan dijalankan terhadap PAS kerana derma ditafsirkan sebagai suapan menurut seksyen 3 Akta SPRM 2009.

"Tindakan PAS yang mesra Umno dan membela Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu menimbulkan syak munasabah untuk akaun PAS disiasat," katanya menegaskan agar semua pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib disiasat.

Ahmad Zahid semalam berkata beliau akan berusaha membuktikan wang yang dimiliki Umno adalah sah dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau menerima panggilan telefon daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memaklumkan akaun bank ibu pejabat Umno dan Umno Selangor dibekukan.

Dalam satu forum April lalu, Zuhdi menafikan dakwaan PAS menerima wang Umno dan berkata sejumlah wang yang diterima parti itu merupakan "derma" individu.

"Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno," kata Zuhdi.

Kenyatan Zuhdi itu dibuat selepas Mahfuz yang keluar PAS awal tahun ini mendakwa sejumlah RM1.5 juta telah didepositkan ke pejabat PAS pusat dan tiga pemimpin PAS Terengganu menerima RM1 juta.
-malaysiakini

SPRM bekukan 900 akaun bank berkaitan kes 1MDB

Akaun bank Umno adalah salah satu daripada 900 akaun bank yang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes 1MDB.

New Straits Times memetik sumber yang dipercayai mengatakan kira-kira 900 akaun yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB telah dibekukan.

"Mereka yang mendapati sejak beberapa hari lalu bahawa mereka tidak lagi mempunyai akses kepada akaun mereka adalah akibat daripada beberapa individu yang penyiasat percaya telah mendapat manfaat daripada 1MDB," katanya.

Semalam, pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa SPRM membekukan akaun bank Umno dan Umno Selangor.

Ahmad Zahid berkata Umno akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM berkaitan pembekuan akaun bank berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Zahid berkata beliau akan berusaha membuktikan bahawa wang Umno adalah sah dan tiada kaitan dengan sebarang kegiatan pengubahan wang haram.
-malaysiakini

Najib Razak tersilap

Wong Kah Woh
BEKAS perdana menteri Najib Razak terkhilaf. Penerimaan hadiah dalam kapasiti selaku seorang pimpinan utama negara bukan sahaja salah dari sisi undang-undang, tetapi juga satu penganiayaan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.

Najib dalam temuramah dengan Malaysiakini menyatakan “selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami dihadiahkan dengan pelbagai barangan oleh pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi”.

Biarlah kita mengingatkan Najib yang menurut Seksyen 3 Akta SPRM 2009, maksud “suapan” merangkumi “wang, derma, pinjaman, hadiah dan harta”.

Bagaimanakah Najib dan isteri beliau, Rosmah Mansor, mampu menerima dan mengumpul “hadiah” yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut dan mungkin boleh mencecah nilai RM1.1 bilion seperti diumumkan oleh polis semalam, sekiranya bukan kerana posisinya selaku pimpinan utama negara untuk 36 tahun, dari seorang menteri besar dari 1982 sehingga berhenti menjawat jawatan perdana menteri pada 2018?

Sekiranya kita membahagikan nilai minima sebanyak RM686 juta tersebut dengan tahun perkhidmatan Najib, secara puratanya setiap tahun Najib Razak akan menerima “hadiah” bernilai RM19 juta atau bersamaan RM1.6 juta koleksi setiap bulan!

Najib cuba memperbodohkan rakyat dengan menyatakan beliau menyimpan barang-barang kemas yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut untuk tujuan pameran peribadi suatu hari nanti.

Kenyataan sebegini langsung tidak masuk akal. Dengan segala percubaan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang diketuainya untuk menutup dan melumpuhkan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad, jelas sekiranya penukaran kerajaan tidak berlaku pada 9 Mei 2018 yang lepas, “pameran Najib” tersebut akan kekal sebagai “koleksi peribadi Rosmah Mansor” dan tidak akan didedahkan kepada rakyat Malaysia.

Pengakuan penerimaan “hadiah” oleh Najib ini sudah mencukupi untuk beliau dibawa ke ambang keadilan untuk dibicarakan. – 28 Jun, 2018.

* Wong Kah Woh adalah ahli Parlimen Ipoh Timur.

'Najib lebih baik tutup mulut, jangan gali kubur sendiri' - Peguam

Peguam Mohd Haniff Khatri Abdullah hari ini menasihatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Amar Singh dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun tidak terlalu mendedahkan butiran terperinci kepada orang ramai, mengenai rampasan mengejutkan pasukan itu dari hartanah berkait dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun menyedari kepentingan rakyat Malaysia dan mungkin juga dunia dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai siasatan itu, namun beliau berkata integriti siasatan sebelum dibawa ke mahkamah turut perlu dilindungi.

"Maka, semua pihak disarankan, tunggulah untuk pemberian keterangan dan penampilan bahan bukti di mahkamah kelak.

"Agar butiran lengkap siasatan yang akan menjadi bahan bukti ataupun keterangan di mahkamah tidak didedahkan dengan terperinci di media awam sebelum perbicaraan, bagi tujuan menentukan bahawa tiada percanggahan dalam kenyataan awam kini, dengan keterangan yang kemudian hari akan dibangkitkan di Mahkamah," katanya.

Haniff memaklumkan tiada keperluan untuk mendedahkan secara terperinci nilai sebenar barangan yang telah disita itu.

Minta Peguam Negara keluar arahan rasmi

"Secara terus terang dinyatakan, tidak ada keperluan untuk didedahkan akan nilai barangan yang telah dirampas itu kepada orang awam dengan sebegitu terperinci...

"...kerana nilai barangan tersebut mestilah diberi butiran lengkap di mahkamah melalui saksi-saksi pakar itu sendiri," katanya.

Beliau juga meminta Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengeluarkan arahan rasmi mengenai perkara ini.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk syorkan kepada Peguam Negara Tommy Thomas agar satu kenyataan rasmi berkaitan perkara ini dikeluarkan dengan serta-merta kepada kesemua pihak berkuasa," katanya.

Haniff yang juga peguam jenayah berkata hal ini penting kerana butiran terperinci yang dibuat oleh polis boleh mengundang perbicaraan oleh media.

Najib baik diam

Peguam itu juga mencadangkan Najib supaya lebih baik menutup mulutnya daripada yang mengulas mengenai nilai barang-barang yang dirampas itu.

"Najib Rasak sedang gali kubur sendiri dalam percubaan untuk menyanggah kenyataan pihak berkuasa melalui kenyataan awam beliau itu, kerana kepelbagaian percanggahan kenyataan Najib Razak kini, dengan kenyataan semasa Najib Razak berkuasa, akan menjadi "senjata utama" pihak pendakwa..." katanya.

Semalam, Amar Singh pada sidang akhbar yang diadakan khusus telah menyenaraikan jumlah barangan yang disita dan nilai anggaran barang-barang yang dirampas dalam serbuan polis di hartanah berkait Najib.

Sementara itu, Najib dalam temuramah eksklusif di pejabat Malaysiakini mempersoalkan penilaian polis dan menyatakan barangan berkenaan merupakan hadiah yang diberikan kepada beliau dan isterinya, Rosmah Mansor.
-malaysiakini

Tiada tempat untuk Khairy jika Ku Li menang?

Adam Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tidak mahu menjawab sama ada Khairy Jamaluddin akan diberi tempat atau tidak dalam kepimpinan baru Umno

Tengku Razaleigh ditanya apakah nasib Khairy nanti sekiranya beliau memenangi cubaan kedua untuk kerusi presiden pada 30 Jun ini.

“Pandai sangat bertanding. Dia asalnya tidak bertanding. Orang yang bertanding ada risikonya. Ada nasib baik dan ada juga nasib tidak baik. Masa depan akan ditentukan oleh masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian di pertemuan bersama wakil Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di kediamannya di Ampang hari ini.

Tengku Razaleigh bersaing dengan 4 pencabar lain termasuk Khairy dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya apakah rancangan untuk menyelamatkan sumber parti sekiranya dia diberi kepercayaan untuk memimpin Umno, Tengku Razaleigh berkata dia akan cuba untuk mencairkan harta-harta parti yang sudah dibekukan.

Beliau merujuk kepada kenyataan pemangku presiden Umno semalam yang berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan akaun bank Umno pusat dan Selangor.

Zahid tidak memberitahu apakah sebab pembekuan itu, tetapi percaya sasaran SPRM seterusnya ialah akaun Umno Johor.

Dia berkata tiada jaminan pemimpin-pemimpin Umno tidak akan disiasat badan rasuah itu.

“SPRM boleh lakukan apa sahaja yang ikut undang-undang. Setiap tindakan ada reaksi,” kata Tengku Razaleigh.

“Kita akan cari jalan supaya dapat cairkan pembekuan, supaya apa yang sah sebagai harta parti kita akan dapat balik seberapa cepat untuk diguna dalam perjuangan kita,” katanya.

Sirul utus surat pada Dr M: Sedia dedah kes bunuh Altantuya

Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaaribuu, telah menulis sepucuk surat peribadi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulangi kesediaannya untuk mendedahkan segala-galanya mengenai kes itu.

Menurut bekas ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Sirul menyerahkan surat itu kepada Mahathir, ketika bertemu dengan Sirul di Kem Tahanan Villawood di Sydney, hari ini.

"Perjumpaan di bulan Syawal ini amat bermakna dan kami telah berbual panjang lebar secara ikhlas dari hati ke hati selama lebih kurang sejam setengah. Sirul Azhar Umar kelihatan sihat serta tenang di kem tahanan villawood yang mana beliau telah ditahan hampir selama 5 tahun sehingga kini.

"Insya-Allah, saya amat yakin kebenaran mengenai kes pembunuhan altantuya shaaribu akan menyebelahi pihak yang teraniaya akhirnya.

Tidak lagi dibelenggu ketakutan

"Dalam pertemuan ini juga; Sirul Azhar Umar telah mengutuskan sepucuk surat kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang mana saya sendiri tidak tahu apa isi kandungannya.

"Surat peribadi tersebut telah diletakkan di dalam sampul yang tertutup dan akan saya sampaikan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia apabila pulang ke tanahair dalam beberapa hari lagi," kata Khairuddin dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Khairuddin, Sirul juga berkata amat merindui keluarganya di kampung halaman selain tidak lagi merasa dibelenggu perasaan takut.

"Kini, Sirul Azhar Umar kelihatan amat bersemangat dan tidak lagi dibelenggui oleh sebarang perasaan takut kerana beliau amat yakin dengan sistem perundangan baru di malaysia yang diterajui oleh Pakatan Harapan yang mampu membela kalangan yang teraniaya," kata Khairuddin lagi.

Azilah menunggu hukuman mati

Dalam wawancara dengan Malaysiakini bulan lalu, Sirul berkata dia sedia mendedahkan semua perkara mengenai pembunuhan Altantuya dengan syarat dia diberikan pengampunan sepenuhnya untuk kembali ke Malaysia.

Sirul telah ditahan di kem imigresen Australia di Villawood di Sydney semenjak tiga tahun lalu, selepas Mahkamah Persekutuan mendapati dia dan ketua inspektor Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman mereka pada tahun 2013. Namun selepas pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, keputusan bersalah itu kemudiannya dikekalkan.

Azilah sedang menjalani hukuman penjara sementara menunggu hukuman mati di Penjara Kajang. Beliau juga telah memohon pengampunan.

Altantuya dibunuh di bukit terpencil di Puncak Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1.30 pagi pada hari berikutnya.
-malaysiakini

Peguam Hadi mengakui rakaman suara Nik Abduh sebagai asli

MALAYSIA DATELINE
Peguam Hadi mengakui rakaman suara Nik Abduh sebagai asli
Peguam yang mewakili Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di London melawan Sarawak Report (SR) dalam perbicaraan berkaitan dana yang disalurkan ke parti itu, mengakui rakaman audio suara yang menjadi kontroversi mengaitkan suara Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz, adalah asli.

Memetik laporan SR semalam, peguam yang mewakili Abdul Hadi, Jacob Dean mengesahkan perkara itu di mahkamah London mengatakan Abdul Hadi tidak pasti keaslian rakaman itu, tidak memungkinkan keperluan untuk mengenal pasti pemilik suara itu melalui pakar forensik.

Dalam perbicaraan itu juga menunjukkan bahawa Nik Abduh mungkin hadir pada masa rakaman itu dilakukan, termasuk Zaharuddin Muhammad (menantu Abdul Hadi) yang akan menjadi antara saksi yang akan memberikan keterangan di mahkamah.

Dengan petunjuk baharu itu, Hakim dijangka akan memanggil semua saksi bagi kedua-dua pihak, mulai 1 April 2019 yang akan berlansung selama 11 hari.

“Kami menjangkakan 8 atau 9 saksi untuk disoal berkaitan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan berkaitan dana itu disalurkan kepada pemilik sebuah sekolah agama.

“Tuduhan bahawa setiausaha politik yang menjalankan kempen pilihan raya, mengetahui pembayaran berkaitan kemudian Dr Mohd Zuhdi Marzuki, akhirnya mengakui bahawa Pas telah menerima pembayaran itu.

“Nampaknya dia (Dr Mohd Zuhdi yang juga Bendahari Pas) perlu memberi keterangan. Juga 3 orang pemegang amanah yang dikatakan telah menerima dana rasuah, sekurang-kurangnya satu mungkin dua dari mereka (pemegang amanah). Ini membawa anda kepada yang ke enam. Ada lelaki di dalam pita rakaman, Nik Abduh.

” Itulah persiapan awal kami untuk saksi mengenai apa yang dipohon anak guam,” ujar Jacob Dean yang mewakili Abdul Hadi.

Dean juga memberitahu hakim bahawa Abdul Hadi berhasrat untuk membawa beberapa orang lain dari Kuala Lumpur ke London untuk meyokongnya atas dakwaan yang dibuat oleh SR melalui laporan mereka.

Sebagai rekod sebelum ini Nik Abduh dalam satu kenyataannya di facebook menafikan suara di dalam audio itu adalah suaranya.

Nik Abduh mendakwa dakwaan ucapan itu yang mengaitkan dirinya adalah karut, marut dan fitnah terhadapnya.

Pada tahun lalu, Pas dihambat kontroversi apabila dikatakan menerima sumbangan wang daripada Umno dan perkara itu dilaporkan Sarawak Report yang juga mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Rakaman audio Nik Abduh itu pula dipercayai dirakam dalam satu pertemuan tertutup dengan beberapa pimpinan Pas Kelantan .

Menteri menangis depan tukang kebun

FARUSH KHAN
MEMANDANGKAN terlalu banyak yang sudah ditulis mengenai politik kebelakangan ini, izinkan saya membawa cerita berunsur nasihat.

Tambahan pula, dua hari sahaja lagi kita akan menyambut Aidilfitri, selepas sebulan berpuasa.

Ceritanya mudah sahaja, iaitu tentang bagaimana seorang tukang kebun yang bijaksana menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada hilang kuasa.

Alkisah, pada suatu hari di zaman dahulu kala, ada seorang raja yang membuat keputusan untuk menguji seorang menteri.

“Sudah lama mamanda nikmati jawatan, harta dan kuasa. Maka hari ini beta mahu bentangkan tiga soalan. Jika gagal, mamanda akan hilang segalanya dan dinyahkan dari negeri beta ini. Beta beri mamanda tujuh hari untuk menjawabnya.”

Menteri terus jadi gementar dan gundah-gulana, hingga makan tidak lalu, tidur pun tidak lena lagi.

Habis semua pembantu, anak isteri dan sanak-saudara ditemuinya dan diminta membantunya mendapatkan tiga jawapan itu.

Semakin hari semakin bercelaru fikiran menteri itu, wajah dan pakaian menteri itu bertambah kusut.

Dipendekkan cerita, pada hari keenam, menteri itu disapa si tukang kebun yang nampak perubahan kepada wajah dan pergerakannya.

“Hamba nampak tuan sangat sugul. Apakah masalahnya?. Beritahulah pada hamba, mana tahu kalau-kalau hamba boleh tolong,” kata si tukang kebun, ikhlas.

“Pembesar-pembesar negeri pun tidak mampu selesaikan masalah aku, ini pula si tukang kebun,” kata menteri di dalam hati.

Tetapi memandangkan waktu sudah terlalu suntuk, suka atau tidak menteri itu terpaksalah menelan perasaan bongkaknya, lalu membentangkan soalan kepada si tukang kebun yang menanti penuh sabar.

“Untuk soalan pertama, raja mahu tahu dalam banyak perkara palsu, apakah kepalsuan yang paling besar?,” ujar menteri.

“Itu mudah sahaja tuan. Kepalsuan paling besar adalah dunia. Jika dunia ini bukan palsu, ALLAH tidak akan beri segala kemewahan kepada mereka yang mengkufuriNya.

“Pada ALLAH, dunia ini lebih kecil nilainya daripada sebelah sayap seekor nyamuk.

“Apakah kita membawa jawatan, pangkat, harta dan kuasa ketika menemui ALLAH? Kita hanya akan dibalut dengan kain tidak berjahit dan dikebumikan enam kaki dalam tanah, bukan!

“Kita terpaksa tinggal segala-galanya dan hanya membawa amalan, sedekah jariah dan anak-anak yang mendoakan. Bahkan kita akan membawa dosa bersama kita.

Untuk soalan kedua, kata menteri, raja mahu tahu, dalam banyak-banyak kebenaran, apakah yang paling benar?

Kata tukang kebun: “Itu pun mudah, Jawapannya ialah ‘mati’. Maknanya, semua orang tahu, setiap makhluk pasti akan mati. Yang kufur, bahkan ateis sekali pun mengakui mati itu benar.

“Tuan, saya dan semua makhluk tidak tahu apakah kita akan mati lima minit, lima hari, lima bulan atau lima tahun dari sekarang, tetapi kita tahu kita pasti mati apabila tiba giliran kita. Tidak begitu?

“Betapa malangnya apabila ada yang merancang segala tipu helah untuk mencapai kehendak nafsu, maki hamun untuk mendapat jawatan, mengaut harta dan kuasa, sedangkan di penghujungnya kita akan pergi dengan tangan kosong, meninggalkan perbuatan buruk dan nama yang mengaibkan, tetapi kita akan membawa dosa untuk dibentangkan di depan ALLAH.”

Menteri sudah mulai sebak.

“Soalan ketiga?” tanya tukang kebun. “Raja mahu tahu, dalam banyak-banyak perkara yang tinggi, apakah yang paling tinggi di dunia?,” kata menteri.

“Itu pun mudah. Cuma tuan balik dahulu, siapkan makanan yang paling tuan gemar dan bawa kepada saya esok,” kata tukang kebun

Timbul rasa marah di hati menteri itu diarah tukang kebun begitu rupa, tetapi kerana terdesak untuk mendapatkan jawapan bagi menyelamatkan dirinya daripada hukuman, menteri terpaksa akur.

“Saya mahu tuan makan makanan ini,” kata tukang kebun apabila menteri meletakkan makanan paling digemarinya itu di depan tukang kebun keesokan hari.

“Sila duduk dan kongsi makanan dengan haiwan ternakan saya ini,” kata tukang kebun.

Kemarahan menteri kini memuncak, tetapi kerana itu adalah hari terakhir untuk dia menyembahkan ketiga-tiga jawapan kepada raja, mahu tidak mahu terpaksalah menteri menelan ego dan menurut arahan tukang kebun.

Setelah habis makanan itu, tukang kebun pun bertanya: “Tentu tuan sudah tahu sekarang ini apa paling tinggi di dunia”.

“Maruah?” tanya menteri. “Bukan,” jawab tukang kebun. “Ego?”, tanya menteri. “Itu pun bukan,” kata tukang kebun.

“Jawapannya ialah ‘matlamat’. Bayangkan, fikiran tuan dalam tempoh tujuh hari ini berkecamuk, diri tuan tidak terurus, pakaian tuan kusut. Tuan sanggup meminta bantuan sesiapa sahaja, tidak kira walaupun orang biasa, bahkan tuan lakukan yang bertentangan dengan ego tuan selama ini semata-mata untuk mencapai matlamat tuan agar tuan dapat bentangkan jawapan kepada raja supaya tuan tidak hilang jawatan, harta dan kuasa.”

Menteri hanya mampu mengangguk. Air matanya bercucuran!