"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sumber: Anggota khas ATM masih berkhidmat untuk Hishammuddin

Tiga anggota khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa sehingga kini masih menjadi pegawai pengiring kepada bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sumber ATM dan kementerian pertahanan memberitahu Malaysiakini bahawa dua pegawai tersebut adalah anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Menurut mereka, masing-masing berumur 37 tahun dan 41 tahun dengan tahun akhir khidmat pada 2020 dan 2021.

Pegawai pengiring ketiga pula adalah seorang komando, dakwa sumber lagi.

Tiada banyak maklumat tentang komando itu namun sumber mendakwa dia antara individu yang dalam satu gambar yang dimuatnaik Hishammuddin di Twitter minggu ini.

Anggota PASKAL berumur 41 tahun itu dilihat sebahagian daripada pengiring Hishammuddin dalam gambar bertarikh 30 Jun 2018.

Tiga pegawai tersebut dilaporkan telah berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013.

Bagaimanapun ia sepatutnya tamat selepas beliau tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada PRU ke-14.

Sumber ATM juga mendakwa ketiga-tiganya kini mendapat dua gaji, iaitu daripada ATM dan Hishammuddin.
"Sepatutnya mereka tentera tak boleh bekerja dengan sesiapa tetapi ini mereka bekerja pula dengan Hishammuddin, malah bukan separuh masa sebaliknya sepenuh masa," kata sumber itu.

Malaysiakini sedang menanti maklum balas daripada kementerian pertahanan.

Hishammuddin pula setakat ini belum membalas pertanyaan Malaysiakini berhubung perkara ini.
-malaysiakini

AMANAH Padang Serai lapor polis dakwa pemilik akaun FB fitnah gelar munafik terhadap Mat Sabu

MOHD ALI HASHIM
Laman FB yang didakwa memfitnah Mohamad Sabu

Tindakan melampau pemilik akaun FB yang memuat naik gambar sembelihan korban membezakan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyebabkan Ketua AMANAH Padang Serai, Abdul Razak Salleh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim semalam.

Menurut Abdul Razak, laporan tersebut meminta pihak polis supaya menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap fitnah yang dibuat oleh pemilik akaun FB tersebut

Malah katanya lagi, dakwaan pemilik akaun yang menamakan dirinya sebagai Dun Lunas tersebut amat serius dan harus disiasat dengan kadar segera.

Dakwaan yang dimuat naik melalui akaun FB tersebut mempamerkan foto sembelihan lembu korban oleh Hadi Awang dan satu lagi adalah sembelihan yang dilakukan oleh Mohamad Sabu.

Ia juga mencatatkan pertanyaan ‘sembelihan ulama dengan sembelihan munafiq, tuan-tuan nak pilih nak makan sembelihan siapa’.

Ditambah lagi dengan persoalan oleh pemilik akaun tersebut dengan mencatatkan ‘ benda nak jadi darah daging ni….cer fikir ‘ .

Kata Abdul Razak lagi, tindakan memuat naik perbandingan kedua-dua foto tersebut serta perkataan yang dicatatkan adalah suatu penghinaan kepada Presiden AMANAH.

PH buat jelajah pertama selepas menang PRU14

MALAYSIADATELINE 
Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya mengadakan program Jelajah Malaysia Baharu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Program Jelajah Malaysia Baharu yang akan berlangsung pada malam esok, 25 Ogos di Dataran Harapan Stargate Alor Setar dijangka akan dibanjiri lebih 10,000 penyokong dan rakyat negara ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyampaikan amanat penting mengenai pentadbiran negara termasuk menyentuh mengenai janji yang dibuat melalui manifesto sebelum PRU14 lalu.

Pengarah program, Dr Abdul Rahman Ahmad, berkata Kedah terpilih menjadi negeri pertama menganjurkan program jelajah ini.

“Matlamat program ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai isu berkaitan Malaysia Baharu yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri sendiri selain amanat penting untuk rakyat Kedah memahami proses peralihan pentadbiran baharu.

“Ia termasuklah penjelasan mengapa ada janji yang dibuat sebelum ini terpaksa ditunda…akan ada penjelasan mengenai manifesto termasuk isu tol dan penghapusan hutang FELDA.

“Secara kebetulan, Kedah menjadi negeri pertama pelaksanaan program ini yang akan turut menjelajah ke seluruh negara selepas ini, ” katanya dipetik NSTP.

Program Jelajah Malaysia Baharu dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam di perkarangan Pejabat PH Kedah dengan kehadiran pemimpin utama PH termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Menteri Pertahanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Abdul Rahman, yang juga Ketua Sekretariat PH Kedah berkata, empat pemimpin utama PH termasuk Dr Mahathir sendiri masing-masing akan diberikan peluang berucap pada program berkenaan.

Akhirnya Najib jawab tiga soalan Guan Eng

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya menjawab tiga soalan yang dikirimkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sejak minggu lalu.

Najib dalam satu kenyataan di Facebooknya pagi ini berkata jawapannya ialah 'tiada' bagi ketiga-tiga soalan tersebut.

"Untuk ketiga-tiga soalan yang ditujukan kepada saya oleh Guan Eng mengenai isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) baru-baru ini, jawapan saya ialah 'tiada, tiada dan tiada'," katanya.

Selasa lalu, Guan Eng mengulang tiga soalan kepada Najib dalam kenyataan media yang pernah ditanyakan minggu lalu.

Dalam pada itu, menurut Najib, Guan Eng bertindak bijak apabila tidak membuat laporan polis sendiri berhubung dakwaan BN telah merompak wang GST.

"Saya dimaklumkan bahawa Guan Eng telah diminta memberi kenyataan kepada pihak polis berdasarkan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

"Guan Eng tidak membuat laporan polis sendiri terhadap dakwaannya kononnya BN telah "merompak" wang GST sebanya RM18 bilion semasa sesi Parlimen yang memberikannya imuniti.

"Ini adalah langkah bijak oleh Guan Eng kerana membuat laporan polis yang palsu adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Sebelum ini, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Guan Eng mendakwa BN merompak RM18 bilion daripada tabung bayaran balik cukai input GST.

Najib juga mempertikaikan dakwaan Guan Eng bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pecah amanah kerana tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion dari zaman silam sehingga 31 Mei 2018.

"Kerajaan mengutip cukai pendapatan sebanyak RM130 bilion setiap tahun. Jika 10 tahun, ia berjumlah RM1.3 trillion. Jika benar RM16 bilion belum dibayar balik ia hanya 1 peratus dari kutipan bagi tempoh 10 tahun.

"Ada banyak sebab mengapa LHDN tidak dapat membayar balik termasuk faktor pekerja ataupun syarikat asing yang tidak lagi berada atau beroperasi di negara ini, syarikat yang sudah tutup ataupun orang yang tidak dapat dikesan.

"Malah, kegunaan 'set-off' (tolak-selesai) untuk kredit cukai bukan sesuatu yang luar biasa dan sering digunakan dalam negara ini dan diluar negara," katanya.

Bekas Presiden Umno itu turut menyatakan tiada keperluan sebenarnya melayan dakwaan bermotifkan politik mahupun berdepan dengan orang yang mungkin tidak tahu polisi atau cara wang tunai kerajaan diuruskan.

"Namun, saya percaya rakyat perlu tahu dan diberi kefahaman apakah sebenarnya yang berlaku berlandaskan fakta.

"Lebih baik kerajaan PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk kedua-dua isu GST dan cukai lebih bayar dengan serta-merta kerana melibatkan wang kerajaan sebanyak RM35 bilion bagi mencari kebenaran.

"Ini bagi memastikan adakah kerajaan BN, Kastam dan LHDN telah melakukan pecah amanah ataupun kerajaan PH hanya meneruskan permainan politik mereka," katanya.
-sinarharian

Plat ‘MALAYSIA 1’ terima bidaan tertinggi RM1,111,111 juta

MALAYSIA DATELINE
Nombor pendaftaran khas ‘MALAYSIA 1’ telah dijual pada bidaan tertinggi RM1,111,111, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata bidaan itu adalah yang tertinggi dalam sejarah dan nombor pendaftaran tersebut kini dimiliki oleh Aldi International Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan di Johor Bahru.

Syarikat itu juga berjaya membida ‘MALAYSIA 2’ pada harga RM422,000 dan ‘MALAYSIA 4’ (RM162,000).

Menurut Loke, 10 nombor pendaftaran tertinggi bagi siri ’MALAYSIA 1 hingga MALAYSIA 999’ merekodkan jualan berjumlah RM3.62 juta.

“Kerajaan telah dapat hasil kutipan keseluruhan untuk pendaftaran khas MALAYSIA sebanyak RM13.16 juta,” katanya pada sidang media mengumumkan hasil pembidaan bagi siri nombor pendaftaran khas ‘Malaysia’ bersempena Hari Kebangsaan 2018 hari ini lapor Bernama.

Loke berkata nombor pendaftaran MALAYSIA 2020 tidak dibuka untuk bidaan kerana ia dikhaskan bagi kenderaan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PM akan membawa kereta plat MALAYSIA 2020 pada sambutan Hari Merdeka,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata kerajaan kehilangan kira-kira RM100 juta dari segi perolehan hasil pembidaan nombor pendaftaran khas kenderaan di bawah pentadbiran terdahulu.

Katanya ketirisan berlaku apabila kerajaan sebelum ini mengeluarkan nombor khas kepada badan bukan kerajaan dan syarikat untuk dijual pada harga tender sebanyak RM1 juta bagi setiap siri.

“Satu siri katakan kita kumpul RM5 juta. Dah terdapat 30 lebih kali (siri sebelum ini). Jadi, sudah lebih RM100 juta ketirisan yang sepatutnya kerajaan kutip,” katanya.

Justeru, Loke berkata pihaknya akan membuka bidaan nombor pendaftaran khas setiap dua bulan bagi menambah hasil kerajaan.

‘RM100 juta hilang dalam bidaan nombor plat khas di bawah BN’

FMT Reporters

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan kira-kira RM100 juta hilang dari segi perolehan hasil pembidaan nombor pendaftaran khas kenderaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, ketirisan berlaku apabila kerajaan BN menjual nombor plat khas kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pada harga RM1 juta untuk setiap siri.

“Satu siri katakan kita kumpul RM5 juta. Dah terdapat 30 lebih (siri sebelum ini). Jadi, sudah lebih RM100 juta ketirisan yang sepatutnya kerajaan kutip,” katanya dipetik Bernama ketika mengumumkan hasil pembidaan siri nombor pendaftaran khas “MALAYSIA” sempena Hari Kebangsaan 2018 hari ini.

Loke berkata, bidaan nombor pendaftaran khas akan dibuka setiap 2 bulan untuk menambah hasil kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata, nombor pendaftaran khas “MALAYSIA 1” mencatat bidaan tertinggi – RM1,111,111 dalam sejarah.

Katanya, nombor itu menjadi milik syarikat pelaburan di Johor Bahru, Aldi International Sdn Bhd, yang turut berjaya membida “MALAYSIA 2” pada harga RM422,000 dan “MALAYSIA 4” (RM162,000).

Lke berkata, kerajaan turut meraih RM3.62 juta melalui jualan 10 nombor pendaftaran tertinggi bagi siri “MALAYSIA 1 hingga MALAYSIA 999”.

“Kerajaan telah dapat hasil kutipan keseluruhan untuk pendaftaran khas MALAYSIA sebanyak RM13.16 juta.”

Bagaimanapun, katanya, nombor pendaftaran “MALAYSIA 2020” dikhaskan untuk kenderaan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PM akan membawa kereta plat MALAYSIA 2020 pada sambutan Hari Merdeka.”

Ini sebab kenapa ECRL perlu dibatalkan

LHDN gagal pulang RM16 bilion: Polis akan soal siasat Irwan Serigar

Minderjeet Kaur
CNN
PETALING JAYA: Polis akan memanggil bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah untuk membantu siasatan berhubung kegagalan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membayar balik lebih RM16 bilion kepada pembayar cukai.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

“Ya, siasatan ke atas perkara itu sudah bermula. Beliau akan dipanggil tidak lama lagi.

“Biar kami rekod keterangan orang lain dahulu,” katanya kepada FMT sambil menambah individu yang ada kaitan akan dipanggil.

FMT cuba menghubungi Irwan, tetapi setakat ini tiada respons daripadanya.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan LHDN tidak memulangkan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion kepada 1,653,786 syarikat, individu, persatuan serta yayasan sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, ia disebabkan kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Beliau berkata, pembayaran balik itu hanya boleh dilakukan menggunakan wang TBBC, tetapi rekod Jabatan Akauntan Negara menunjukkan tabung itu hanya mempunyai RM1.486 bilion setakat 31 Mei lalu.

Menurut laporan New Straits Times, LHDN disiasat atas dakwaan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, serta juga boleh dikenakan denda.

Semalam, bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu FMT yang LHDN perlu menjelaskan kegagalan membayar balik RM16 bilion cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah terlebih bayar itu sejak 6 tahun lalu.

Johari berkata, Irwan ialah pengerusi LHDN ketika itu dan isu itu berkaitan operasi antara Jabatan Perbendaharaan dan pasukan pengurusan LHDN.

Katanya, kerajaan mengamalkan perakaunan tunai, bukan perakaunan tertunggak, yang bermakna sebarang pembayaran balik atau tuntutan akan dianggap tuntutan tahun semasa.

“Saya terkejut syarikat itu tidak membuat tuntutan untuk pembayaran balik walaupun selepas 6 tahun. LHDN perlu menjelaskannya,” kata Johari.

PM 'perah otak' fikir bayar hutang pembayar cukai

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk sekali lagi bertanding dalam pilihan raya, beliau melakukannya dengan berjanji, antara lain, untuk membetulkan keadaan hutang negara.

Tetapi hanya apabila pentadbiran baru Mahathir melalui buku-buku mereka mendapati bahawa kerajaan persekutuan berhutang lebih daripada sekadar meminjam daripada pemiutang - mereka juga berhutang dengan pembayar cukai.

Pertama, terdapat bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion yang tidak dapat dibayar oleh jabatan kastam. Kemudian terdapat RM16 bilion pengembalian cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah, yang tidak dibayar sepanjang lebih daripada enam tahun.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi semakin jengkel apabila beliau bercakap mengenai usaha pasukannya untuk membina semula kerajaan yang telah dirosakkan kecekapan dan kebekersanannya sebagaimana pembongkaran satu demi satu lubang kebocoran kewangan negara.

Beliau menjelaskan bagaimana "orang bodoh" daripada pentadbiran terdahulu telah menandatangani perjanjian buruk dengan China yang menimbunkan hutang negara.

Mahathir menyebut pentadbiran terdahulu mengutip cukai secara bersungguh-sungguh tetapi liat untuk memulangkan wang bayaran balik pembayar cukai, yang kini mesti diselesaikan.

"Mereka melakukan pelbagai perkara yang salah. Sebagai contoh, mereka mengutip cukai pendapatan dengan berlebihan dan sekarang kita tahu bahawa terdapat RM16 bilion dikumpulkan yang (sepatutnya) tidak kena dibayar. Sekarang kita perlu bayar (balik kepada pembayar cukai).

"Mereka tidak peduli jika mereka memenangi pilihan raya. Mereka tidak akan membayar orang-orang ini. Mereka tidak peduli," tegas Mahathir.

Secara keseluruhannya, bayaran balik cukai adalah berjumlah RM35.2 bilion - kira-kira 2 peratus daripada KDNK - yang mana Mahathir berkata pentadbirannya berhasrat untuk membayar balik.

"Kita perlu melakukan perkara yang betul.

"Kami mempunyai kewajipan untuk menghormati kata-kata kami walaupun kata-kata ini sebenarnya diucapkan oleh kerajaan terdahulu. Kami mewarisi semua kesilapan kerajaan terdahulu dan telah menjadi satu perkara yang cukup payah cuba membina keseluruhan kerajaan ini," katanya.

Menurut Mahathir ia cukup payah kerana ramai penjawat awam tertinggi yang membenarkan pentadbiran terdahulu membuat keputusan ini masih bertugas dan berkhidmat dalam kerajaan.

"Seluruh pentadbiran telah disusupi. Terdapat banyak pegawai yang bekerja hanya untuk parti (BN), ke tahap tertentu berkempen (untuk parti), memakai baju biru dan semua itu.

Cuba gagalkan kerajaan

"Sebahagian daripada mereka masih di situ cuba menggagalkan kerajaan ini, dengan tidak melaksanakan arahan dan semua (sabotaj) itu," katanya.

Mahathir berkata inilah yang menyebabkan beliau tidak percaya kepada ramai pegawai kerajaan yang dilihatnya terlibat dalam kerosakan "pembubaran" kerajaan untuk memenuhi matlamat BN.

"Kami perlu membina semula kerajaan ... memperuntukkan dan menentukan kerja-kerja yang perlu dilakukan. Pada masa yang sama, kami tidak mempunyai wang. Kami perlu bayar (hutang pengembalian wang pembayar cukai)," katanya.

Pentadbiran terdahulu, kata Mahathir, tidak ragu-ragu meminjam wang daripada pihak lain untuk menunjukkan seolah-olahnya ekonomi dalam keadaan rancak tanpa perlu risau mengenai pembayaran balik pinjaman.

"Sesetengah orang di pasaran (ekonomi) merasakan bahawa jika anda membelanjakan wang yang dicuri, jika anda membelanjakan wang yang anda pinjam dan tidak mampu membayar balik, itu dibolehkan dengan dalih ia mewujudkan pekerjaan. Perbelanjaan pengguna akan meningkat dan semua itu.

"Yang mana lebih penting? Untuk membina semula kewangan dan ekonomi atau membenarkan ekonomi dan kewangan menjadi bertambah buruk supaya anda boleh meminjam lagi dan membelanjakannya (untuk) menunjukkan sebuah laporan yang baik kerana, seperti yang anda ketahui, penggunaan adalah sebahagian daripada sumbangan terhadap KDNK," soal beliau.
-malaysiakini

Bekas KM Sarah, Musa Aman ditahan di KL

Tracy Patrick
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan penahanan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman di Kuala Lumpur hari ini.

“Musa ditahan pada jam 10 pagi tadi. Polis sudah memohon perintah reman, tetapi ditolak majistret,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ramli bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu.

Adun Sungai Sibuga itu dikehendaki polis untuk membantu siasatan susulan laporan dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Sebaik sahaja membuat laporan polis itu, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Juhar pada 10 Mei lalu, selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian selepas beberapa Adun Barisan Nasional berpaling tadah.

Musa dilapor meninggalkan Malaysia pada 16 Mei lalu untuk menjalani rawatan di London dan beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 21 Ogos lalu.

Sembilan jemaah haji Malaysia cedera ringan dalam kemalangan bas

MALAYSIA DATELINE 
Sembilan jemaah haji Malaysia cedera apabila bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi bas pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi di atas Jambatan Aziziyah ketika bas itu dalam perjalanan menghantar jemaah pulang ke Maktab 81 dari Mina.

Bas yang membawa mereka dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah lagi bas yang turut membawa jemaah Malaysia.

Ketika kejadian lalu lintas sesak dengan kenderaan yang membawa jemaah termasuk dari negara lain pulang ke Mekah dari Mina selepas selesai melakukan nafar awal.

Kemalangan itu menyebabkan bahu kanan seorang jemaah lelaki terseliuh akibat terhentak penghadang besi manakala yang lain cedera di mata, kepala dan pipi akibat terhentak pada kerusi hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof ketika melawat mangsa-mangsa petang tadi meminta ahli keluarga agar tidak bimbang memandangkan kesemua mereka mengalami cedera ringan dan hanya menerima rawatan pesakit luar.

Beliau memberitahu, bas terlibat membawa 55 jemaah dengan yang cedera ialah tiga lelaki dan enam wanita.

Menurut beliau, jemaah berkenaan belum sempat menyelesaikan tawaf rukun dan saie.

Beliau memuji tindakan pantas Tabung Haji serta Muassasah Asia Tenggara yang dengan pantas menghantar sepasukan anggota perubatan serta dua bas ganti untuk membawa jemaah pulang ke maktab.

'PAS guna khutbah Aidiladha fitnah kerajaan halal LGBT'

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan mendakwa PAS menggunakan khutbah hari raya Aidiladha untuk memfitnah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Naib pengerusinya Che Ibrahim Mohamed berkata, melalui teks khutbah yang dikeluarkan Dewan Ulama PAS Kelantan, PAS cuba menanam kebencian rakyat ke atas pemerintah dengan "menggunakan sentimen agama secara salah"

"PAS dengan sengaja menggunakan Islam untuk mempertahankan kedudukannya sebagai sebuah parti politik yang dilihat semakin hilang popularitinya.

"Kedudukan PAS yang semakin terdesak dan semakin hilang sokongan telah digambarkan sebagai satu ancaman kepada Islam dan Melayu.

"Khutbah Aidiladha yang dibaca oleh sesetengah khatib di Kelantan pagi ini secara jelas telah memfitnah kerajaan," katanya melalui kenyataan media semalam.

Che Ibrahim berkata, khutbah itu menuduh kerajaan HARAPAN bertanggungjawab "menghalalkan LGBT".

Selain itu, tambah Che Ibrahim, khutbah berkenaan turut mengaitkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai "ancaman" kepada Melayu serta Islam.

"Ini satu tuduhan yang jelas berunsur fitnah dan mempunyai risiko yang besar di sudut hukum syarak ke atas orang yang menuduh itu sendiri kerana seolah olah telah menuduh kerajaan yang ada hari ini telah menghalalkan perkara yang Allah haramkan.

"Khutbah ini juga cuba mengaitkan isu bahasa Melayu dan pengiktirafan sijil UEC sebagai satu ancaman kepada agama Islam.

"Sedangkan bahasa Melayu dan sijil UEC tidak ada kaitan dengan agama Islam, bahkan sijil tersebut sudah lama wujud dan sehingga hari ini belum lagi diiktiraf oleh kerajaan.

"Khutbah Dewan Ulama PAS Kelantan yang mengaitkan isu UEC sebagai telah diiktiraf oleh kerajaan dan boleh memberi ancaman kepada agama Islam adalah jelas satu penyalahgunaan agama demi kebencian kaum," katanya.

Dalam kenyataan itu, Che Ibrahim juga menegaskan bahawa isu UEC tidak ada kaitan dengan Islam dan mendakwa PAS sendiri pernah berjanji dalam manifesto untuk mengiktiraf UEC.

"Saya mencabar Dewan Ulama PAS Kelantan bersedia untuk bersemuka dalam satu debat terbuka dengan Panel Syariah AMANAH Kelantan bagi membahaskan sejauh manakah kebenaran isu-isu yang dibangkitkan dalam khutbah tersebut dan apakah ancamannya kepada agama Islam seperti yang digambarkan," katanya.
-malaysiakini

Kenapa nyamuk suka gigit anda seorang?

FMT Reporters
Pernahkah anda menjadi individu yang paling kerap mengadu digigit nyamuk walaupun orang lain di sekitar anda pula berkelakuan seolah tiada apa yang berlaku.

Maknanya, anda mempunyai tarikan kepada nyamuk atas beberapa faktor kimia yang dipengaruhi oleh tubuh. Ia boleh jadi jenis darah, bentuk badan, jumlah kolesterol dan banyak lagi.

Nyamuk yang menggigit anda pula merupakan nyamuk betina dan darah anda bukan sumber makanannya. Sebaliknya, nyamuk betina menghisap darah anda untuk mendapatkan protein bagi mengekalkan kesuburannya.

Baik, sekarang kita lihat kemungkinan yang menjadi faktor penarik bagi nyamuk terhadap diri anda.

Sebelum itu, fahami juga ini adalah kajian paling asas yang dilakukan penyelidik dan banyak lagi kajian makmal diperlukan untuk pengesahan lanjut.

“Terdapat pelbagai kajian sedang dilakukan mengenai komponen dan bau badan manusia yang terdedah kepada gigitan nyamuk ini,” kata perunding teknikal kepada American Mosquito Control Association, Dr. Joe Conlon kepada WebMD.

Dengan lebih 400 kandungan yang berbeza untuk dikaji, penyelidik ini dikatakan hanya mengesan sebab paling asas setakat ini.

1. Anda mempunyai darah jenis O
Jenis darah tertentu lebih manis dari lain. Satu kajian mendapati darah jenis O mempunyai 83% kebarangkalian lebih tinggi untuk digigit nyamuk. Manakala sebaliknya dengan darah jenis A.

2. Anda mempunyai saiz badan yang lebih besar
Mungkinkah? Menurut kajian, ia kena-mengena dengan kadar metabolisme dan jumlah karbon dioksida yang dibebaskan dari badan sewaktu pembakaran tenaga. Nyamuk menggunakan gas karbon dioksida untuk mengesan sasaran mereka dan ia boleh dikesan dari 50 meter jauh. Jadi lebih besar anda, lebih banyak gas karbon dioksida yang dibebaskan dan katakan anda bersaiz besar dalam kumpulan keluarga atau rakan, maka besarlah peluang untuk digigit nyamuk.

3. Anda sedang hamil
Menurut satu kajian di Afrika, wanita hamil 2 kali ganda tinggi peluang digigit nyamuk juga atas sebab mereka membebaskan lebih banyak gas karbon dioksida. Malah dalam satu kajian pada 2002 mendapati wanita sarat mengandung membebaskan 21% lebih banyak gas tersebut berbanding wanita biasa.

4. Anda buat senaman atau kegiatan fizikal secara keterlaluan
Nyamuk tertarik dengan asid laktik, kompaun yang dikesan dalam peluh. Selain itu, senaman juga juga meningkatkan haba tubuh yang turut menyumbang tarikan gigitan nyamuk.

5. Anda memakai pakaian gelap
Ini logik paling asas, di mana nyamuk lebih tertarik kepada persekitaran gelap, maka pakaian anda juga memberi indikasi yang serupa. Dr. Jonathan Day, seorang pakar entomologi dan nyamuk di University of Florida menjelaskan, “Nyamuk sukar terbang dalam angin jadi mereka lebih memilih untuk berpusat di dataran. Persekitaran gelap membuatkan mereka lebih selesa.”

6. Anda ada elemen kimia tertentu dalam tubuh.
Asid tertentu dalam tubuh badan seperti laktik dan urik serta kolesterol mempunyai kandungan steroid yang tinggi. Ia juga menarik nyamuk kerana orang jenis ini mempunyai kadar metabolisme tinggi selain memproses kolesterol lebih cepat dari yang lain.

Dr Mahathir mahu 'Tembok Besar China Kuantan' diroboh

Wartawan Malaysiakini
WAWANCARA | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat tembok yang mengelilingi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dirobohkan.

Malaysiakini dalam laporan khas tahun lalu menyorot pembinaan tembok sepanjang kira-kira sembilan kilometer mengelilingi kompleks industri berkenaan yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai "Tembok Besar China Kuantan".

Dr Mahathir dalam wawancara pertamanya selepas pulang dari China berkata beliau sedang cuba meletakkan semula pihak berkuasa Malaysia di kawasan itu dan telah membangkitkannya kepada Beijing.

"Saya jelaskan kepada kerajaan China bahawa kita akan patuhi peraturan, undang-undang dan amalan mereka di China, jadi kita juga mahu mereka mematuhi undang-undang dan amalan di Malaysia. Mereka tidak pernah menyatakan keengganan kepada hal ini.

"Kami perlu memastikan bahawa pembangunan ini mengikut undang-undang dan peraturan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Pekerja dari China memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dilarang keluar dari kawasan tembok berkenaan dan pekerja dibahagi-bahagi mengikut wilayah tempat tinggal mereka di China.

Wakil tempatan yang dipilih juga mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan masuk.
"Taman industri bukan negara asing, ia masih lagi tertakluk kepada undang-undang Malaysia, menghalang pegawai tempatan masuk bukan perkara yang seharusnya dilakukan.

"Tiada sesiapa yang pernah melakukan perkara itu. Anda bina taman industri dan anda tidak benarkan rakyat Malaysia masuk.

"Ini bukan amalan yang kita gunakan. Kita mempunyai ratusan taman industri dan semuanya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.

"Jadi kita perlu robohkan tembok dan semua (amalan) ini kerana ia salah di sisi undang-undang negara," kata Dr Mahathir.

MCKIP sebelum ini menjelaskan bahawa tembok berkenaan tidak meliputi keseluruhan kawasan taman industri berkenaan dan hanya terhad untuk kawasan kompleks Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Perlu beri manfaat kepada Malaysia

Dalam wawancara yang berlangsung dalam bahasa Inggeris itu, Malaysiakini bertanya maksud sebenar Dr Mahathir apabila mengatakan "taking down walls".

Dr Mahathir mengesahkan bahawa ia memberi maksud secara harfiah dan figuratif.

"Taman industri ini dibuat di bawah undang-undang Malaysia dan kita perlu menguatkuasakan undang-undang kita di dalam taman industri berkenaan.

"Katakan ada jenayah berlaku di dalam sana, ia tanggungjawab kita. Ia bukan tanggungjawab pihak yang memiliki taman itu," katanya.

Dr Mahathir pulang dari China pada Selasa lalu selepas berbincang dengan Beijing berhubung pengkajian semula beberapa projek mega di Malaysia yang dibiayai oleh negara itu.

Dr Mahathir berulang kali menuduh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjual tanah kepada China sewenang-wenangnya atas nama pelaburan luar.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menekankan bahawa pelaburan luar langsung perlu memanfaatkan Malaysia dari segi pengetahuan teknologi selain peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan bukannya sekadar memberi syarikat China tanah untuk dibangunkan.
Dilancarkan secara rasmi pada 5 Feb, MCKIP dimiliki 49 peratus oleh Guangxi Beibu Guld International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China yang dimiliki oleh kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan 51 peratus pemilikan selebihnya adalah konsortium tempatan, Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd.

Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd merupakan perkongsian awam-swasta yang terdiri daripada IJM Land Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (30 peratus) dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).

Upacara pembukaan disempurnakan oleh Najib dan Jia Qinglin yang ketika itu merupakan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China.

Dibahagikan kepada tiga fasa, pembangunan 1,219 ekar ketika ini akan disusuli dengan 1,000 ekar dan 800 ekar masing-masing bagi fasa dua dan fasa tiga.

Sebahagian besar fasa pertama, atau 710 ekar, telah dijual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara dua syartikat China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd - menurut jawapan bertulis sidang DUN Pahang bertarikh 14 Sept.

Jawapan bertulis itu menyatakan Alliance Steel, syarikat CHina pertama yang melabur dalam MCKIP, sedang membina loji keluli bersepadu moden yang sudah 50 peratus disiapkan dan dijangka mula beroperasi hujung tahun.

Kerajaan Pahang juga mendedahkan syarikat China yang mengkhususkan kepada bateri kereta berjanji untuk melabur dalam fasa ketiga MCKIP. Laporan media juga menyatakan sebuah lagi syarikat China akan melabur dalam taman industri itu bagi membina kilang aluminium.

MCKIP merupakan projek pertama yang akan dianugerahkan status "Taman Industri Kebangsaan" dan dikatakan akan melonjakkan perkembangan ekonomi tempatan yang akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada warga Kuantan.

Lelaki meninggal dunia selepas dipukul kerana mengintai

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki meninggal dunia selepas koma akibat dipukul orang ramai selepas ditangkap mengintai, kata polis.

Lelaki itu ditangkap mengintai di Kampung Baru Orang Asli Sungai Lalang, Semenyih, Selangor, kata Ketua Polis Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff.

Dia dikejarkan ke Hospital Kajang dan dirawat sejak 11 Ogos lalu sebelum meninggal dunia. Bedah siasat mendapati lelaki itu mengalami kecederaan teruk akibat benda tumpul dan kecederaan dalaman.

“Si mati masuk ke rumah untuk mengintai bagaimanapun perbuatannya disedari jiran. Si mati cuba melarikan diri dan orang ramai bertindak mengejar dan menangkap si mati dan berlaku pergelutan.

“Semasa tangkapan dibuat si mati tiada sebarang pengenalan diri dipercayai warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menahan seorang lelaki berketurunan Orang Asli berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan. Lelaki itu direman sehingga 29 Ogos dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Awas! Pencuri daging korban - Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam yang melaksanakan ibadat korban supaya berlaku amanah dan jujur dalam melakukan ibadat itu bertepatan dengan syariat Islam sebenar.

Menulis di Facebook, katanya, sikap umat zaman ini yang tidak jujur dalam kehidupan seharian mereka sehingga terbawa ke dalam perkara ibadat.

“Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.

“Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan.

“Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban yang mereka sukai. Ini terutama bahagian-bahagian yang menarik untuk mereka,” katanya.

Mohd Asri berkata, umat kini dilihat turut melanggar beberapa syariat lain apabila turut memberikan daging korban kepada tukang sembelihan binatang korban.

“Larangan memberikan daging atau selainnya sebagai upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih.

“Mereka wajib tahu bahawa tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka. Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat,” katanya.

Namun kata mufti Perlis itu, pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah.

“Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya.

“Hendaklah diingatkan bahawa mereka seperti mana orang lain, hanya boleh perolehinya jika diberikan oleh tuan empunya korban dengan hati yang redha, bukan dengan mereka pandai-pandai mengambilnya,” katanya.
-malaysiakini

Kenapa isu Tabung Haji tak seriuh tudung pramugari?

Hanipa Maidin
Akhbar The Malaysian Reserve melaporkan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang meramalkan berkemungkinan ada lagi beberapa skandal yang mungkin dibawa ke mahkamah selain skandal yang berkait dengan 1MDB.

Antaranya, dilaporkan skandal yang melibatkan Lembaga Urusan Tabung Haji (LTH). Apapun, itu sekadar ramalan. Jangan risau.

Sedikit sejarah LTH. Ia bermula dari penubuhan dua badan yang bertanggungjawab mentadbir urusan haji iaitu Perbadanan Wang Simpanan Bakal Bakal Haji dan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji. Badan yang kedua ini berpusat di Pulau Pinang.

Perbadanan Tabung Bakal Bakal Haji ditubuhkan pada tahun 1962. Ia hasil kertas kerja yang disediakan oleh Prof Diraja Ungku Aziz pada tahun 1959 yang bertajuk Plan to Improve The Economy of Prospective Pilgrims.

Antara lain, kata Pak Ungku, ramai petani melayu-muslim yang berpendapatan rendah yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk tunaikan haji. Mereka terpaksa jual tanah dan harta simpanan mereka untuk kumpul wang untuk pergi haji.

Siapa tidak marah

Dua badan yang saya kata tadi akhirnya disatukan pada tahun 1969 bagi membentuk LTH melalui satu Akta Parlimen iaitu Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.

Melalui LTH, kerajaan memberi subsidi kos untuk pergi haji. Dilaporkan misalnya kerajaan tanggung RM9,000 bagi setiap bakal haji. Kita amat sokong polisi ini.

Pada peringkat awal, LTH hanya melabur di sektor pertanian melalui anak syarikatnya, Syarikat Perbadanan Ladang-Ladang Tabung Haji Sdn Bhd.

Mulai tahun 1980, ia mula mempelbagaikan portfolio pelaburannya melalui penglibatan dalam sektor pembuatan (manufacturing), perumahan dan pertanian.

Kewujudan Akta Tabung Haji 1995 adalah bagi mempelbagaikan lagi skop dan fungsi LTH. Pada tahun 2013, tabung LTH mencecah RM45.7 bilion dengan 8.3 juta ahli.

20 peratus dari portfolio LTH adalah dalam pelaburan harta manakala 50 peratus dalam pelaburan ekuiti.

Dari sejarah ringkas di atas, siapalah yang tidak marah apabila membaca ada yang tak kena dengan LTH. Lagi meluap dan menggelegak bila kita baca dan dengar wang LTH dilibatkan dengan isu 1MDB.

Misalnya, isu LTH tawar untuk beli tanah TRX. Dilaporkan media, LTH beli hartanah tersebut dengan harga 43 kali ganda dari harga 1MDB bayar pada kerajaan.

Apabila isu pramugari MAS tidak bertudung, hidangan arak di dalam penerbangan atau isu LGBT para agamawan relatifnya agak riuh dan bersemangat.

Baguslah. Cuma bila isu LTH, jika riuh pun, ia tak seriuh isu-isu yang saya sebut itu. Tak tahu kenapa?

Pakar beri amaran pengintipan siber ke atas Malaysia

Susulan serangan siber ke atas pangkalan data kesihatan Singapura, pakar kini memberi amaran kepada negara Asia Tenggara lain kemungkinan perkara serupa berulang di masa akan datang.

Pakar keselamatan siber yang percaya serangan ke atas Singapura berasal dari China berkata negara seperti Malaysia yang mempunyai kepentingan berkaitan dengan Beijing mungkin akan perlu menangani percubaan pengintipan siber dalam masa terdekat.

"Kami menjangkakan aktiviti pengintipan terhadap organisasi Malaysia akan meningkat dalam cubaan mendapat maklumat berhubung situasi semasa," kata pengarah syarikat keselamatan siber FireEye Sandra Joyce seperti dilapor Nikkei Asian Review hari ini.

Sandra turut mengaitkan perkara itu dengan tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba merundingkan semula syarat kontrak pembangunan China di bawah One Belt, One Road (OBOR).

FireEye percaya OBOR akan menjadi "pemacu" ancaman atas talian kerana pelbagai pihak berkepentingan seperti kumpulan penggodam China yang cuba untuk mendapatkan maklumat dan risikan perniagaan berhubung projek dan perjanjian itu.

Tinjauan FireEye berhubung tempoh yang diperlukan syarikat dan kerajaan untuk mengesan penggodaman juga menunjukkan negara-negara Asia Pasifik tidak bersedia untuk berdepan dengan serangan seumpamanya.

Menurut penarafan Institut Dasar Strategik Australia bagi keupayaan siber Asia Pasifik untuk tahun 2017, Malaysia berada di tempat ketujuh di belakang negara seperti Jepun Singapura dan Korea Selatan.

Lim dedah RM16 bilion gagal dibayar kepada pembayar cukai

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan bahawa kerajaan BN sebelum ini gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sejak enam tahun dahulu.

Katanya, wang terhutang oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) itu melibatkan sebanyak 1,65 juta kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

“Selain daripada tunggakan bayaran balik cukai input GST, kerajaan dahulu juga tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei lalu,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, beliau mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak lebih RM19 bilion tidak dikembalikan di bawah pentadbiran terdahulu.

Jelasnya, baki tunggakan yang sebegini besar adalah disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut.

"Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei lalu hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar,” katanya.

Dengan kata lain, menurut Lim masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei lalu yang menyebabkan 1.6 juta pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih enam tahun dahulu.

“Adalah jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telahpun dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.

“Ini bermakna hasil kerajaan persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama (BN) sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor,” katanya.

Lim berkata tunggakan besar bayaran balik baki kredit itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDNM.

“Seperti penjelasan saya sebelum ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan, kata Lim.

Untuk meringankan bebanan pembayar cukai, Lim berkata kerajaan baru Pakatan Harapan telah bersetuju untuk membenarkan mereka yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDNM membuat permohonan set-off sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

“Permohonan set-off ini hendaklah dikemukakan kepada LHDNM untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya. Di samping itu, bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.
-malaysiakini

Bersarapan sebelum atau selepas bersenam?

FMT Reporters

Pentingnya amalan bersarapan setiap pagi untuk menjaga kesihatan pada tahap optimum.

Bagaimanapun ada persoalan sama ada patutkah seseorang itu bersarapan sebelum bersenam atau selepasnya.

Lazimnya, seseorang pelatih kesihatan akan menyarankan sarapan diambil sejam lebih awal daripada waktu bersenam, atau bersarapan sejam selepas bersenam.

Apapun, sarapan pagi sebelum senaman ternyata lebih bermanfaat kerana ia boleh meningkatkan pembakaran karbohidrat semasa aktiviti dan mempercepat penghadaman selepas bersenam.

Penyelidik dari University of Bath dengan kerjasama saintis dari universiti di Striling, Newcastle dan Birmingham mengkaji perbandingan kesan latihan basikal yang dijalankan selama satu jam, sebelum dan selepas bersarapan.

Penyelidik juga menjalankan kajian terhadap peserta yang bersarapan 3 jam selepas latihan dan peserta yang makan bubur sahaja 2 jam sebelum bersenam.

Penyelidikan tersebut dijalankan ke atas 12 peserta lelaki dengan menguji tahap glukosa dan tahap glikogen otot selepas senaman dan semasa berehat.

Hasilnya, sarapan didapati mempercepatkan proses pembakaran karbohidrat semasa latihan.

Bukan itu sahaja, tahap pencernaan badan dan metabolisme juga meningkat selepas bersenam bagi mereka yang mengambil sarapan terlebih dahulu.

Rob Edinburgh, salah seorang penyelidik berkata, karbohidrat yang dibakar ketika bersenam bukan hanya menyasar daripada sarapan yang baru sahaja dimakan malah karbohidrat yang tersimpan di otot sebagai glikogen.

Menurutnya, kajian ini membuktikan, bersarapan sekurang-kurangnya satu atau 2 jam sebelum bersukan memberi manfaat pada tubuh.

Pensyarah universiti ditahan, ganja lebih RM22,000 dirampas

Bernama 
KUCHING: Polis menahan seorang pensyarah universiti swasta di depan kaunter pos di Jalan Song, di sini, pagi semalam dan merampas dadah jenis ganja bernilai RM22,300.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Sahar Abdul Latif berkata, penahanan kira-kira 10 pagi itu dibuat hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

“Ketika diperiksa, tiada dadah dijumpai di badan suspek, polis kemudian memeriksa kenderaan dinaikinya sebelum suspek bertindak menyerahkan sendiri 2 ketulan mampat dedaun disyaki ganja.

“Hasil siasatan lanjut, suspek mendedahkan masih ada bahan disyaki dadah disimpan di atas siling di sebuah tandas perempuan institusi pengajian tinggi swasta, tempat suspek bekerja dan hasil pemeriksaan, polis menemui 3 lagi ketulan mampat disyaki ganja dalam kotak dan beg.

“Turut dirampas satu alat penimbang elektronik, satu gulung plastik pembalut dan pisau poket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun yang positif dadah itu turut mengakui terlibat dengan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun ini.

Katanya, suspek direman 7 hari mulai semalam untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Khalid akan saman perempuan yang memfitnahnya berhubung dakwaan anjur pesta gay

Bernama
KUALA LUMPUR: Khalid Abdul Samad akan memfailkan saman terhadap Pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia Wan Asshima Kamaruddin berhubung fitnah menyatakan beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganjurkan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri wilayah berkata ia merupakan tuduhan yang berat dan tidak berasas serta telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan secepat mungkin.

“Saya tidak tahu mana perempuan itu dapat maklumat itu. Bila buat tuduhan itu dia pun tidak tunjuk apa-apa bukti yang kononnya saya luluskan pesta gay. Ia merupakan tuduhan yang amat berat kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis taklimat media Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIAF 2018) hari ini.

Wan Asshima didakwa menuduh Khalid membenarkan penganjuran pesta gay besar-besaran melalui video di Facebook baru-baru ini tetapi video itu telah dipadam.

Susulan itu, laporan polis dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Wilayah Zulhazmi Shariff dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hisham Fauzi

Kedua-dua laporan polis itu merujuk kepada fitnah yang didakwa dibuat Wan Asshima di Facebook terhadap kedua-dua menteri berkenaan baru-baru ini.

Laporan dibuat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan menghasut kebencian dalam masyarakat.

Kenali gadis di sebelah Dr M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendapati dirinya duduk di sebelah seorang gadis di dalam kereta model baru Proton semasa lawatan rasmi beliau ke China.

Sebuah video yang dimuatnaik di YouTube menunjukkan gadis berkenaan memberi arahan terhadap unit sistem perintah kenderaan itu bagi menjalankan beberapa fungsi yang mengujakan perdana menteri.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Tan Shu Rin ialah siswi tahun kedua bidang penyiaran di Fudan University, Shanghai.

Pelajar berusia 21 tahun itu berasal dari Kluang dan sedang mengikuti latihan amali dengan Nuance Communications.

Nuance bekerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group bagi membangunkan sistem perintah suara yang akan digunakan bagi pasaran Malaysia.

Laporan itu memetik Tan berkata yang beliau telah banyak kali berlatih dengan sistem perintah suara itu sebelum ketibaan Mahathir.

Beliau juga tidak pasti jika perdana menteri akan memasuki kereta yang ditempatkan kepadanya, kerana terdapat lima kereta lain di sampingnya dan beliau merasa bangga apabila Dr Mahathir memilih kenderaan yang dinaikinya.

Mahathir yang sebelum ini mengkritik Geely membeli pegangan dalam Proton kini berharap kerjasama strategik berkenaan akan memanfaatkan proses memperbaiki kereta Proton.

"Semasa Proton diperkenalkan, Geely belum wujud. Kita menghantar enam kereta Proton ke sini (China)… dan kita sangat bangga atas pencapaian itu.

“Namun, seperti yang anda tahu, Geely sudah menandingi kita dari segi kualiti dan produktiviti industri kita.

"Dan saya percaya Proton boleh meraih manfaat daripada kerjasama dengan Geely," katanya pada 18 Ogos lalu, selepas menyaskikan perjanjian antara Proton dan Geely, di ibu pejabat Geely di Hangzhou.
-malaysiakini