"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Hodohnya politik mencagar rumahtangga' - Mufti Perlis

Politik kepartian boleh menjadi begitu hodoh jika cagaran untuk kemenangan sesebuah kumpulan itu adalah rumahtangga.

Mufti Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berpolitik sepatutnya dibangunkan untuk membina masyarakat dan negara yang lebih baik.

Dengan 'mainan' politik kepartian, kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu, seseorang isteri kononnya boleh tertalak tiga gara-gara tindakan si suami.

"Justeru, teraniayalah isteri dan anak-anak di rumah hanya kerana perbuatan si suami dalam parti," katanya.

Kenyataan umum itu dibuat Mohd Asri dipercayai mengulas polemik antara kumpulan dalam PAS ketika ini yang berselisih pendapat mengenai bai'ah dilafaz wakil rakyat parti berkenaan.

Sesetengah bai'ah itu dikatakan turut 'mencagarkan' isteri seseorang calon pilihan raya apabila ia dikaitkan dengan talak.

PAS dikatakan mewajibkan semua bakal calon melafazkan ikrar itu sebelum dinamakan dalam mana-mana pilihan raya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari Jahaya turut memberikan pandangan mengenai isu berkenaan.

PAS kini bergolak apabila kumpulan progresif - termasuk di kalangan wakil rakyatnya - sedang dalam usaha menubuhkan gerakan baru selepas mereka 'dikorbankan' dalam pemilihan parti awal Jun lalu.

Secara umum, kata Mohd Asri, beliau bersetuju dengan pandangan ulama silam, Syeikh Ibn Taimiyyah bahawa seseorang yang melafazkan taklik tanpa niat sebaliknya sekadar untuk meyakinkan atau menakut-nakutkan, talak tidak terjatuh apabila ikrar itu dilanggar.

Bagaimanapun jika taklik itu dilafazkan dengan disertakan hasrat mentalakkan isterinya jika sumpah dilanggar "kerana malu ataupun kecewa", maka talaknya jatuh.
-malaysiakini-

Penumpang mabuk dibelasah sebelum diikat di dalam sebuah penerbangan (Gambar)


PENUMPANG yang mabuk diikat kerana mencetuskan pergaduhan ketika dalam penerbangan
Moscow: Seorang penumpang yang mabuk terpaksa diikat dengan tali pinggang keledar dan pita pelekat selepas dipukul kerana mencabul penumpang wanita di dalam sebuah penerbangan.

Kejadian mengejutkan itu berlaku ketika pesawat milik syarikat Penerbangan Siberia dalam perjalanan dari Hong Kong menuju ke Vladivostok, Russia.

Ketika dalam perjalanan seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertengkar dengan seorang penumpang selepas dia dipercayai mencabul seorang penumpang wanita.

Kerana tidak berpuas hati penumpang itu menumbuk lelaki berkenaan sehingga terjatuh di lantai.

Beberapa penumpang lain kemudian menumbuk dan menyepak lelaki itu beramai-ramai.

Selepas dibelasah lelaki itu diikat di lantai dengan menggunakan tali pinggang keledar dan pita pelekat.

Seorang saksi memberitahu, lelaki berusia 30 tahun itu dibiarkan di lantai sehingga pesawat mendarat.

Sementara itu, jurucakap polis Vladivostok, Ekaterina Tarasova berkata, lelaki berkenaan ditahan selepas pesawat mendarat.

“Pesawat itu mendarat tepat pada masanya dan kejadian berkenaan tidak menyebabkan penerbangan tergendala,” katanya. - Agensi
-hmetro-

Mahfuz Omar kata ramai pemimpin kena 'cirit-birit mulut'

Ketika tahap sokongan pengundi bukan Melayu - terutamanya komuniti Tionghua - semakin merosot, PAS tidak bertindak bijak sebaliknya menghamburkan "cirit-birit mulut" yang belum terubat.
Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS wajar menumpukan usaha mengawal pengundi teras - iaitu Melayu Islam - agar tidak hilang atau merosot menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada masa sama, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, PAS berusaha memulihkan kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya masyarakat Tionghua.

"Tetapi apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan ialah ia seumpama cirit-birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera menghentikannya," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan sama Mahfuz menjangkakan PAS bakal kehilangan undi yang ketara sama ada daripada masyarakat Melayu atau bukan Melayu ekoran kemelut dihadapi bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, apa yang penting ketika ini ialah langkah pimpinan PAS memperbaiki keadaan.

"Sehingga sekarang saya belum nampak sesuatu yang dilakukan. Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

"Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (GHB) memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan kumpulan tersebut. Kenyataan mengecam GHB dan pimpinannya membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap gerakan itu," katanya.

Tambah beliau, kenyataan di kalangan pimpinan PAS yang disiarkan akhbar Harakah hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Mahfuz merujuk kepada tulisan disiar akhbar rasmi PAS yang menuduh ahli serta pimpinan dari latar belakang kumpulan lain - seperti Jemaah Islah Malaysia dan Ikram - sebagai perosak parti.

"Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan kekuatan PAS," katanya.
-malaysiakini-

Kenyataan tak berapa cerdik Mursyidul am PAS dibidas oleh Mujahid

Jangan sebut gaji haram, anda yang kecewakan rakyat, kata Mujahid kepada PAS
LOOI SUE-CHERN
Kalau dengan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), ia membuatkan gaji wakil rakyat PAS haram, bagaimana pula dengan gaji mereka yang hanya mendiamkan diri apabila Pakatan Rakyat (PR) tumbang, soal Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu, yang kini pengerusi protem GHB Pulau Pinang, menuduh kepimpinan PAS gagal mengambil berat mengenai rakyat dan gabungan pembangkang.

Beliau bertanya, tidakkah itu bermakna gaji mereka juga haram kerana turut mendapat manfaat daripada sekutu mereka dengan PR sebelum ini.

Mujahid berkata, isu dimainkan bagi menentang GHB, yang dibentuk satu kumpulan serpihan PAS, dan surat khabar arus perdana seperti Utusan Malaysia, digunakan bagi menyerang gerakan baharu itu.

"Sesuatu yang menyedihkan apabila ada orang daripada parti, yang merupakan sebahagian PR, kini menyerang gerakan baharu ini.

"Mereka membuat kenyataan tidak logik, contohnya wakil rakyat yang menyertai GHB makan gaji haram kerana mereka menang pilihan raya atas tiket PAS.

"Saya ingin bertanya mereka, adakah gaji wakil rakyat yang gagal menjaga rakyat dan yang menyerang PR juga haram?

"Saya ingin bertanya, adakah mereka menang pilihan raya kerana PR atau hanya kerana mereka daripada PAS?" soalnya pada rumah terbuka Hari Raya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan GHB di Komtar, Pulau Pinang malam tadi
-malaysianinsider-

Dua Rakan Jho Low Ini Dikehendaki Bank Negara (Gambar)


PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengesan dua individu yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Low Teak Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

BNM memuatnaik poster membabitkan Casey Tang Keng Chee, 50 dan Jasmine Loo Ai Swan, 42 menerusi laman Facebooknya bagi mendapatkan maklumat berkaitan mereka.

Keng Chee adalah kakitangan terawal Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dia adalah antara tenaga kerja TIA bersama bekas Pengarah Urusan 1MDB, Datuk Shahrol Azrai Halmi.

Sementara itu, Ai Swan pula menyertai 1MDB pada 2011 bagi menggantikan Keng Chee.

Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Eksekutif Jabatan Perundangan dan Pematuhan Utama Banking Group Bhd (UBG), syarikat yang pernah dimiliki ahli perniagaan Low Teak Jho serta rakan niaganya.

Dia juga adalah Pengarah Putrajaya Perdana Berhad, syarikat yang diambil alih UBG pada 2008.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat di mana kedua-dua individu terbabit berada boleh menghubungi talian 03-26988044 sambungan 8554/7610 atau laporkan di balai polis berdekatan," kata BNM.

Pihak BNM juga memaklumkan tidak menawarkan sebarang ganjaran untuk sebarang maklumat yang disampaikan berkaitan kedua-dua individu berkenaan.
-mstar-

Dr Mahathir ucap ‘selamat bersara dengan aman’, Sempena ulang tahun Najib

MD IZWAN
Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Datuk Seri Najib Razak akan bersara daripada jawatannya sebagai perdana menteri dengan aman. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Datuk Seri Najib Razak akan bersara daripada jawatannya sebagai perdana menteri dengan aman.
Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ucapan selamat hari lahir kepada Datuk Seri Najib Razak secara sinis dengan mengharapkan perdana menteri bersara dengan aman dan menikmati persaraannya.
Najib yang kini sedang berdepan kemelut dengan pentadbirannya dan terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyambut ulang tahunnya ke-62 tahun semalam.

"Saya harap beliau bersara dengan aman dan menikmati persaraannya," kata Dr Mahathir kepada pemberita apabila ditanya mengenai ucapan ulang tahun kepada Najib di Hotel Berjaya malam tadi.

Dr Mahathir malam tadi diraikan sahabat-sahabatnya dalam sebuah majlis dengan ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Mengenai harapan sempena sambutan hari lahirnya, Dr Mahathir mengharapkan kemelut yang melanda negara ketika ini diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap semua ini diselesaikan dengan cepat," katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dalam majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dalam majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.


Dr Mahathir tiba kira-kira jam 8.45 malam dengan berpakaian sut warna hitam ala Ejen 007 James Bond disambut ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Vincent Tan dan anaknya, Datuk Seri Robert Tan.
Anak Dr Mahathir, Datuk Mokhzani yang ditemani isteri turut hadir sama bagi menyambut ulang tahun bapanya itu.

Di hadapan dewan utama Manhattan, pihak penganjur membina pintu gerbang dengan tulisan "A Night of Stars" dan potret Dr Mahathir bersama isterinya juga diletak di depan yang dibuat ala menyambut malam gala.

Sebuah potret Dr Mahathir yang diubahsuai berpakaian sama seperti Ejen 007 dalam filem Skyfall juga diletak di hadapan pintu gerbang.

Beberapa tetamu undangan kenamaan juga dilihat hadir dalam majlis tertutup tersebut akan tetapi pihak media tidak dibenarkan untuk masuk membuat liputan.

Sementara itu, pengikut setia Najib, Ketua Bahagian Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee juga turut dilihat menghadiri majlis malam tadi

Menteri Kabinet Tan Sri Joseph Kurup dan presiden MIC yang sedang berdepan kemelut dalam parti, Datuk Seri G. Palanivel juga bersama-sama tetamu VIP yang hadir.

Dr Mahathir merupakan pengkritik tegar pentadbiran Najib yang dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan sarat hutang 1MDB, Syed Ali antara pengikut setia yang lantang mempertahankannya.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times Datuk A Kadir Jasin yang sering mengkritik Najib juga hadir bersama dalam majlis sambutan tadi.

Bekas menteri Kabinet semasa zaman pentadbirannya, Datuk Seri Samy Vellu juga dilihat hadir bersama.

Tetamu VIP lain yang hadir antaranya bekas pemimpin DAP, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim, peguam terkemuka Rosli Dahlan, artis komedi Harith Iskandar dan penyanyi Anuar Zain.

Dr Mahathir sempat menyapa ringkas para pemberita yang menunggu ketibaannya di lobi hotel.
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah dan beberapa tetamu kehormat yang turut hadir di majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah dan beberapa tetamu kehormat yang turut hadir di majlis sambutan hari lahirnya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Julai, 2015.

Dr Mahathir menyambut hari kelahirannya ke-90 tahun pada 10 Julai lalu.
Sejak kebelakangan ini, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu sering mengkritik isu-isu yang berkaitan dengan skandal 1MDB dan keborosan di bawah pentadbiran Najib, malah mendesak peletakan jawatannya.

Dr Mahathir menjawat jawatan perdana menteri pada 1981 sebelum membuat keputusan meletak jawatan selepas 22 tahun memerintah negara pada 2003.

Beliau turut dinobatkan sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia" kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian yang disegani di kalangan negara membangun.

Tempoh 22 tahun sebagai perdana menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan di Asia Tenggara selepas Presiden Indonesia Suharto.
-malaysianinsider-

Berat 66; Bayi tiga bulan pun kena cabul

Marang: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan lapan hari disyaki menjadi mangsa cabul seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Rhu Muda, di sini, pada Ahad lalu.Kejadian berlaku ketika bayi terbabit ditinggalkan keluarga di rumah milik saudara keluarga mangsa ketika berhari raya, sebelum masing-masing keluar bermain di pantai berhampiran, pada jam 5 petang.

Menurut sumber, ibu mangsa menyedari kejadian menimpa anaknya apabila mahu memandikan bayi terbabit ketika berada di rumahnya di Kampung Binjai, Kemaman pada jam 8.30 pagi keesokannya.

“Ketika memandikan bayi berkenaan, wanita terbabit mendapati ada kesan kemasukan objek pada kemaluan anaknya sebelum membawa ke klinik untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

“Mengesyaki sesuatu berlaku terhadap bayi itu menyebabkan hospital menghubungi polis bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai.

Katanya, siasatan yang dijalankan susulan laporan itu membantu pihaknya menahan seorang lelaki.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan kerana mencabul.

“Lelaki terbabit yang baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditahan di rumahnya di Kampung Rhu Muda, kelmarin.

“Sehingga kini, kami masih menjalankan siasatan termasuk menunggu laporan lengkap pemeriksaan daripada hospital,” katanya.
-hmetro-

Rombakan Kabinet: Kerana kecerdikannya, Ahmad Maslan bakal naik pangkat menjadi Menteri penuh?

FMT Reporters
kabinet-malaysia-2013xxPETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rombakan Kabinet antara awal Ogos hingga pertengahan Oktober sebagai persediaan terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Akhbar China Press melaporkan, rombakan itu dilihat amat penting kerana dijangka merupakan barisan Kabinet terakhir sebelum ketibaan pilihan raya umum.

Rombakan tersebut dijangka diadakan sebelum pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober untuk memudahkan menteri-menteri baharu melaksanakan tugas-tugas berkaitan.

Akhbar itu melaporkan, antara tujuh hingga lapan Menteri dijangka digantikan termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut dikhabarkan tersenarai ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang tempoh senatornya bakal tamat.

Akhar itu memetik sumber sebagai berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah akan diberi peranan penting untuk menenangkan keadaan di negeri itu selepas Shafie digugurkan daripada Kabinet.

Najib sendiri dijangka mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri sementara jawatan Menteri Kewangan akan digantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Pertahanan ketika ini.

Walaupun menyebut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meninggalkan Kementerian Pendidikan, tetapi laporan itu tidak menyebut kementerian yang bakal diteraju Muhyiddin.

Untuk Menteri Kewangan II pula, jawatan itu akan diisi oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar sementara Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Abdul Wahid di Unit Perancang Ekonomi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk mengimbangi pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kini merupakan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan dilantik sebagai menteri.

Turut dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri penuh ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin. Ahmad dikatakan berpeluang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Nama bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim juga disebutkan. Irmohizam dijangka dilantik sebagai timbalan menteri.

Untuk calon MIC pula, Datuk M. Saravanan yang kini merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan berpeluang dilantik sebagai menteri sementara seorang senator dari parti itu mengisi jawatan timbalan menteri.

Menteri-menteri daripada kaum Cina dijangka tidak mengalami perubahan melainkan pertukaran jawatan dalam kalangan timbalan menteri.

Dalam pada itu, Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu juga dijangka menyertai Kabinet.

Bai’ah Pas yang memangsakan wanita hanya merendahkan Islam

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Sumpah setia atau lafaz Bai’ah dalam konsep Pas yang dibangkitkan bagi menakutkan kumpulan progresif dalam parti itu, hanya akan merendahkan nilai Islam.

Lebih-lebih lagi apabila ia turut melibatkan kaum wanita iaitu isteri pemimpin dijatuhkan talak tiga jika wakil rakyat Pas keluar parti dan menyertai parti lain.

Penganalisis politik dan blogger, Shahbudin Husin dalam entri terbarunya menyatakan Pas harus sedar ia hanya sebuah parti politik yang berselimutkan agama dan terdedah kepada perbuatan khianat dalam perjuangannya.

“Sudah sampai masanya Majlis Fatwa mengeluarkan hukum yang jelas mengenainya dan melarang ia terus digunakan oleh Pas.

“Selain merendahkan nilai Islam dan menjadikan kaum wanita boleh ‘dilambung atau dihempas’ atas pertimbangan politik, ia juga menjadikan Pas seolah-olah sentiasa betul dan terkecuali daripada melakukan pengkhianatan,” tulis Shahbudin.

Tulisnya, isu bai’ah diketengah pada masa kini antara lain sekadar untuk menakut-nakutkan golongan profesional dan progresif agar jangan meninggalkan atau keluar daripada Pas serta membatalkan hasrat menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Strategi Pas ini juga dikatakan bertujuan mempengaruhi rakyat menolak GHB kerana parti itu dianggap telah dipimpin oleh mereka yang khianat kepada Pas dan perjuangan Islam.

“Lebih dari itu, khianat kepada Allah juga mulai disebut,” tulisnya lagi.

Polis gagal mengesan lelaki bogel depan Sogo (Gambar)


Polis gagal mengesan lelaki yang dikatakan berjalan kaki dalam keadaan bogel di hadapan pusat membeli belah Sogo, yang gambarnya menjadi viral di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata polis telah menghantar anggota kereta peronda untuk membuat siasatan setelah menerima maklumat daripada orang ramai pada pukul 11.35 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi polis gagal mengesan kelibat lelaki terbabit. Tiada lelaki bogel dikesan di kawasan sekitar Sogo, Kompleks Pertama dan kawasan sekitarnya seperti yang didakwa pengadu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya anggota keselamatan Sogo juga gagal mengesan lelaki terbabit.
-Bernama-

Ibu didakwa bunuh anak pagi Hari Raya

Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kajang, hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia 3 tahun pada pagi Hari Raya.

Nor Nazierah Rahmat, 26, didakwa membunuh Nur Umairah Zainol Abdullah di rumahnya di Flat Sri Inang, Jalan Sri Inang Balakong, Kajang, antara 11 pagi 17 Julai dan 5 pagi 18 Julai lepas.

Nazierah yang dilihat mengalirkan air mata ketika berada di kandang tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Abirami manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mangsa ialah anak sulung daripada 2 beradik.
-malaysianinsider-

Khalid Samad: Kenapa PAS berkawan dengan DAP sebelum ini

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan yang penubuhan parti Gerakan Harapan Baru tidak pernah didalangi DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Julai, 2015.Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan yang penubuhan parti Gerakan Harapan Baru tidak pernah didalangi DAP.
Gesaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada ahli-ahli PAS agar tidak menganggap DAP sebagai “wali” lewat petang semalam, tidak disenangi Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Menurut Khalid, seruan presiden PAS itu menimbulkan tanda tanya kepada sikap parti Islam itu yang sejak 2008 bersama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Apa yang berlaku dari 2008 sehingga sekarang ini, kita tertipulah dengan pimpinan yang selama ini cakap (berulang kali) kukuhkan PR, kukuhkan PR; tetapi kini dah mula menyerang DAP, kata DAP cauvinis, anti-Islam.

"Lalu yang selama ini kita berkawan dengan DAP, memerintah sejak 2008 ini, apa cerita? Jadi, mana logiknya?" kata Khalid kepada The Malaysian Insider di pejabatnya di Shah Alam, semalam.

Hadi semalam mengingatkan ahli parti itu tidak menjadikan DAP sebagai ketua kerana mereka "tidak beriman".

Menurutnya, hanya ahli PAS yang sedar mengenai perjuangan Islam dapat membezakan antara kawan dan wali.

"(Mereka) boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya, tetapi tidak boleh berwalikan DAP kerana tidak beriman dan budiman," katanya dalam satu kenyataan.

Seruan itu dibuat Hadi selepas ketua umum PKR yang terpenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan gabungan pembangkang baharu selepas PR berkubur tidak lama dahulu apabila PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Ia juga dibuat selepas ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan pembentukan gabungan baharu parti politik sedang berlangsung tanpa melibatkan PAS.

Kenyataan itu turut dibuat selepas kumpulan profesional yang popular di peringkat nasional tewas dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 sedang membentuk parti baharu menerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) – satu tindakan yang didakwa PAS sebagai ditaja DAP.

Menurut Khalid, parti baharu yang ingin ditubuhkan itu tidak pernah didalangi DAP dan menurutnya, kenyataan Hadi seolah-olah menggambarkan PAS kini terpedaya dengan kempen politik Umno.

"Bagi saya apa yang dinasihatkan itu, tidak relevan malah saya mahu jawab, janganlah kita terjatuh dalam perangkap Umno.

"Jadi, mana logiknya? Saya merasakan pihak pimpinan PAS sedia ada termakan umpan Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga ke tahap mereka sekarang ini kedengaran seakan-akan pemimpin Umno yang menyerang DAP selama ini," katanya.

Terdahulu, Khalid menyertai wawancara atas talian dengan kumpulan Facebook "The Rage for Liberty" selama sejam.

Dalam wawancara itu, Khalid menegur sikap PAS yang kebelakangan dilihat cenderung bermusuh dengan bekas sekutunya serta pendiri GHB dalam PR berbanding mengkritik Umno dan BN.

"Sepatutnya PAS lihat dulu parti yang ingin kami tubuhkan sebelum isytihar kami sebagai musuh. PAS kebelakangan ini bagaikan lebih minat berlawan dengan parti pembangkang daripada parti kerajaan. Tidak pelikkah?" kata Khalid.

Wawancara itu dibuat secara bertulis di dinding Facebook kumpulan itu dengan anggota-anggotanya bertanyakan soalan secara langsung kepada Khalid.
-malaysianinsider-

Dipaksa makan najis lembu gara-gara mencuri (video)

curi-lembu
PETALING JAYA: Malang buat dua lelaki yang dituduh mencuri lembu bukan sahaja dibelasah dan dibakar keretanya, malah dipaksa makan najis lembu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam di Felda Jengka 17, Pahang pada Selasa lalu, kedua-dua lelaki itu parah di kepala dan tangan selepas dibelasah penduduk yang berang.

Gambar dan video dua lelaki itu juga telah tersebar dan menjadi viral di laman sosial.
Dalam video berdurasi 2 minit 51 saat itu menunjukkan mangsa telah dipukul dan dipaksa mengunyah najis lembu.

Difahamkan, kedua-dua lelaki yang disyaki mencuri lembu itu disedari pemilik haiwan berkenaan sebelum mengekori sehingga ke sebuah kandang ternakan lembu di dalam kawasan ladang sawit.

Sebaik tiba di pintu pagar kandang, kedua-duanya dicekup sebelum dibelasah sekumpulan penduduk dan dipaksa makan najis lembu serta membakar hangus kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mangsa, lapor akhbar Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintenden Mat Rizal Mat Radzi mengesahkan laporan polis dibuat seorang pekerja kandang tersebut.

Mat Rizal berkata, dua lelaki tersebut disyaki mencuri lembu milik seorang peneroka tanah rancangan itu.

Menurutnya, mangsa menerima rawatan di Hospital Jengka kerana mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat kekasaran menggunakan objek.

Beliau menafikan salah seorang daripada mangsa tersebut telah meninggal dunia sebaliknya kedua-dua suspek dalam keadaan stabil.

Polis meminta saksi yang melihat kejadian tersebut supaya tampil memberi maklumat untuk memudahkan siasatan.
-fmt-




---------------------

Makan najis lembu: Polis tahan lima individu
KUANTAN: Lima individu ditahan berhubung kes dua lelaki yang disyaki mencuri lembu dibelasah, dipaksa makan najis lembu dan kereta mereka dibakar di Felda Jengka 17, Maran pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Razi berkata, mereka ditahan di Jengka 15 dan Jengka 17 hari ini.

Beliau berkata seorang daripada dua mangsa yang dipukul itu telah dibenarkan pulang dari Hospital Bandar Jengka manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi menjalankan pembedahan tangan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penyamun' dipaksa makan najis lembu]

“Namun setakat ini belum terdapat laporan polis dibuat oleh pihak yang lembu mereka dikatakan dicuri.

“Keadaan mangsa yang dibelasah dan dipaksa makan najis tersebar luas di laman sosial dan mendapat reaksi pelbagai,” katanya.

Mat Rizal tidak menafikan kejadian mencuri lembu kerap berlaku di kawasan tersebut namun jarang dilaporkan.

"Lembu-lembu di kawasan ini biasanya dibiarkan bebas berkeliaran di ladang kelapa sawit. Pemilik hanya mengenali lembu mereka berdasarkan rupa bentuk haiwan tersebut misalnya berdasarkan bentuk fizikal dan warna kulit," katanya.
-Bernama-

Sumpah Bai'ah Talak 3: Ini jawapan kepada PAS dari Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Sumpah Bai'ah Talak 3 Adun Dan Ahli Parlimen PAS Tidak Sah. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai mengenai sumpah bai'ah (kesetiaan) yang dilafazkan oleh ahli DUN dan Parlimen Parti Islam Semalaysia (PAS) dengan tertalaknya isteri dengan talak 3 sekiranya keluar parti atau melompat ke parti lain.

Pertama sekali saya selaku Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan rasa kesal terhadap sikap memandang ringan dan memudah-mudahkan terhadap lafaz talaq semata-mata untuk mencapai kepentingan diri atau kumpulan sendiri, sedangkan talaq atau perceraian antara pasangan suami isteri adalah perkara yang paling dibenci Allah walaupun ianya diharuskan di dalam syari'at dalam keadaan yang terpaksa dilakukan kerana mempertimbangkan kemudaratan yang lebih besar sekiranya hubungan antara pasangan diteruskan.

Oleh yang demikian ikatan perkahwinan adalah tidak wajar sama sekali dileraikan semata-mata untuk memaksa kesetiaan seorang Muslim kepada sebuah parti politik atau apa jua pertubuhan yang berkepentingan.

Sumpah Bai'ah Talak 3 Adun Dan Ahli Parlimen PAS Tidak Sah

Talaq tidak sah kecuali dengan niat dan keazaman yang ikhlas oleh sisuami untuk menceraikan isterinya, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain seperti untuk mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu atau untuk mengukuhkan tekadnya bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.

Sehubungan ini, saya menasihatkan kepada setiap orang yang telah melafazkan sumpah ta'liq yang tersebut supaya menebus sumpah itu dengan cara memberi makanan atau pakaian kepada 10 orang fakir miskin atau, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa 3 hari sebagaimana yang diperintahkan di dalam al-Qur'an, surah al-Maidah 89.

Difahamkan daripada ayat ini bahawa sumpah yang dipaksa ke atas seseorang melafazkannya boleh dikategorikan sebagai sumpah yang lagha atau tidak dilakukan dengan niat yang sebenar.

Sekian, semoga mendapat pethatian semua pihak.

DATO' DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG.

Inilah KATA-KATA Saff Rainz Yang Buat SEMUA Pekerja Pejabat Zakat Seluruh Malaysia SENTAP 200% !!

luahan-pusat-zakat-mydebat

Permohonan maaf! Kepada semua pegawai zakat seluruh negara, aku minta maaf sebab aku dah kantoikan yang kau orang buat kerja sekadar untuk gaji sahaja.

Ye, aku tahu kau orang terpaksa mengikut prosedur, masuk jam 7 pagi, balik jam 5 petang. Start kerja semak nama-nama asnaf di laptop, main telefon kejap, lepas itu rehat, lepak di kedai-kedai dan borak kemudian naik balik.

Kau orang tanpa jadual bertugas mencari asnaf, yang padahal kau orang tak cari pun. Sampai petang, kau orang punch card, lepas itu balik.

Bukan aku tak tahu, yang melenting-lenting dalam inbox itu kata tempat dia bagus bagai itu, sorry, aku tak percaya. Kau pergi la ke pejabat Zakat Negeri mana pun, kalau setakat nak minta RM300 sebulan bantuan dapur itu pun kena tunggu berbulan-bulan. Itu pun tak tahu dapat ke tidak. Tambahan pula, kalau nak minta bantuan belajar, bantuan bencana yang jumlahnya ribuan ringgit, lagi kedekut.

*Kalau kau orang nak tahu, wang untuk orang yang nak sambung belajar wajib ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Zakat tanpa bayar balik.

Bangunan Pusat Zakat dinaiktaraf bernilai jutaan ringgit menggunakan duit zakat yang sepatutnya digunakan untuk menampung atap-atap bocor rumah orang miskin, gaji-gaji pegawai tinggi dengan angka yang tidak masuk akal ye!

Aku tahu ambil zakat boleh terima gaji dari duit zakat, tetapi berpada-padalah.

Sepatutnya gaji penjaga Baitulmal dibayar oleh kerajaan, bukan Baitulmal.

Kau orang duduk dalam pejabat zakat yang ada aircond (bayar aircond guna duit zakat), kena sedar, jika ada bencana banjir atau apa-apa musibah, organisasi Islam antara bantuan yang paling lembab sampai ke tempat kejadian.

Dah lembab itu, ada pula prosedur bagai. Ini adalah fakta! Kau orang boleh rujuk, kebanyakkan bantuan bukan dari pusat zakat, tetapi hasil dana orang awam dan persendirian. Kau tahu organisasi apa yang datang seawal jam 12 pertama? Persatuan Kristian dan Buddhist!

Disebabkan kelembapan pusat-pusat zakat ini menyalurkan bantuan-bantuan, orang-orang bukan Islam sudah mengambil peluang dan dengan peluang ini mereka sudah berjaya membuat orang Islam tertarik dengan agama mereka serta kesannya setiap kali bencana, mesti ada orang Islam yang tukar agama.

Nampak tak kesan dia?

Yang duduk di dalam pejabat zakat itu takkan tahu makna kesusahan. Sebab mereka tidak pernah masuk tempat sampah untuk mencari rezeki, tak pernah menangis kerana lapar, tak pernah makan biskut untuk sara keluarga.

Kau tak rasa dan kau tak cuba rasa. Hasil dia orang Islam terpaksa meminta bantuan dari badan-badan bukan Islam sebab lagi senang nak dapat. Padahal Allah telah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 2;

“Berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan taqwa dan kebaikkan dan janglah kamu berlumba-lumba untuk melakukan dosa dan maksiat”

Kalau ustaz-ustaz tak nak tegur, ini aku tegur. Aku tak takut penjara, aku tak takut mati. Ketika Baitulmal penuh dengan ratusan juta duit zakat, kita masih melihat di mana-mana sahaja masih ada pengemis Islam. Macam mana benda ini berlaku? Aku bukan blame pusat zakat 100% tetapi kalau setakat seorang dua yang amanah, takkan jadi.

Mereka yang berada di pusat zakat itu mesti tahu kan tentang skandal wang derma untuk Palestin yang bernilai RM500 juta lebih itu. Duit itu hilang kan? Ada toyol ke? Bangunan-bangunan yang mereka duduk itu bernilai jutaan ringgit kan? Tetapi bila orang minta sedekah, kau orang susah nak bagi on the spot walaupun RM10!

Sebab itu aku pesan, tak payah bagi wang zakat pada mereka yang tidak amanah ini. Bagi terus pada asnaf, tentunya mereka dapat tanpa perlu merayu dan mengemis.
Aku harap kau orang faham. Itu saja yang aku minta, faham. Pusat Zakat, sila ambil perhatian. Ubah, sepatutnya kita yang tunjuk contoh kepada bukan Islam. Bukan sebaliknya. – mydebat.com

Wang terkeluar secara tiba-tiba dari ATM

Wang terkeluar secara tiba-tiba
Wan Mohd Assamudin menunjuk wang yang diterimanya dari ATM BSN di Jalan Tun Razak Alor Setar.
KUALA NERANG: Seorang peniaga terkejut apabila mesin juruwang automatik (ATM) tiba-tiba mengeluarkan wang sebanyak RM500 sebelum dia memasukkan kad pintar miliknya di Alor Setar, baru-baru ini.

Wan Mohd Assamudin Ahmad, 50, berkata, semasa mahu mengeluarkan wang simpanannya di Bank Simpanan Nasional (BSN), Jalan Tun Razak, Alor Setar, pada 31 Mac lalu, dia gagal memasukkan kad pintarnya di dalam ATM di situ.

Menurutnya, selepas itu dia cuba menekan beberapa butang di mesin itu dan tiba-tiba satu kad pintar telah keluar dari mesin itu, kemudiannya wang sebanyak RM500 turut keluar dari mesin berkenaan.

“Bimbang dengan duit itu yang tidak tahu hak milik sesiapa saya terus mengambilnya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Apabila pulang ke rumah saya tertinggal kad pintar yang terkeluar dari ATM di mesin itu, selepas pergi semula ke mesin berkenaan saya mendapati kad pintar itu sudah tiada dan saya pulang semula,” katanya.

Wan Mohd Assamudin berkata, akibat bimbang wang itu ditangannya, dia telah berjumpa dengan pengurus BSN di situ untuk diserahkan wang berkenaan kepada pihak bank.

Bagaimanapun, menurutnya, pihak bank menasihatkannya supaya memegang duit itu dan akan memaklumkan kepadanya jika ada pihak datang untuk menuntut wang tersebut.

“Sehingga hari ini saya difahamkan belum ada pihak datang ke BSN untuk menuntut wang berkenaan dan ini sangat merisaukan saya.

"Selepas beberapa hari saya juga turut menerima penyata akaun dari bank dan mendapati wang saya tidak terjejas," katanya.

Wan Mohd Assamudin merayu kepada pihak yang mengeluarkan wang mereka pada hari itu tetapi gagal, hubungi dirinya menerusi talian 0164166676.
-sinarharian-

Cara Kerajaan Selangor agih RM5 juta bantuan zakat meragukan

Faiz Zainudin 
Mat-Nadzari_pkr_selangor_zakat_600PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menyalurkan bantuan zakat ke negeri lain tanpa melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Penyelaras BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata tindakan kerajaan Selangor memperuntukan bantuan zakat berjumlah RM5 juta yang didakwa disalur menerusi ketua-ketua cabang PKR amat meragukan.

Katanya, mengapa kerajaan Selangor menerusi anak syarikatnya, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tidak menyalurkan bantuan zakat itu menerusi LZS atau secara terus kepada kerajaan negeri yang terlibat.

“Dakwaan yang mengatakan bantuan itu disalurkan kepada ketua-ketua cabang perlu disiasat. Ini kerana, tindakan ini seperti usaha ada udang di sebalik batu. Kita tidak mahu ada elemen salah laku untuk kepentingan politik,” katanya kepada FMT.

FMT difahamkan peruntukan RM5 juta itu dikutip hasil keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor untuk diserahkan kepada penerima di negeri itu dan beberapa negeri lain.

Bagaimanapun, cara agihan bantuan zakat itu meragukan apabila ada pihak yang mendakwa ia disalurkan menerusi ketua-ketua cabang PKR.

Mat Nadzari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batangkali berkata, tidak salah menyalurkan bantuan zakat ke negeri lain asalkan keperluan penerima zakat di Selangor telah dipenuhi dan ia juga perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Sehubungan itu, dia mendesak kerajaan Selangor memberi penjelasan berhubung bantuan zakat itu dan cara agihan yang telah dilakukan untuk memastikan wang berkenaaan tidak disalahguna bagi tujuan lain khususnya kepentingan politik.
-fmt-

Pengguna FB minta SKMM sekat FB Mufti Perlis, Dr. MAZA

facebook
PETALING JAYA: Seorang pengguna Facebook membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan terhadap akaun Facebook rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Aznil Hisham membuat aduan itu kerana mendakwa akaun Dr.Maza.com memuatnaik status-status tohmahan yang tidak disertakan bukti-bukti yang kukuh serta tidak masuk akal.

Dalam aduan kepada SKMM pada 21 Julai lalu, dia mendakwa sebagai seorang Mufti, Mohd Asri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasut serta menambahkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

“Beliau adalah public figure yang memegang jawatan sebagai Mufti. Setiap tutur kata beliau menjurus kepada kebencian rakyat terhadap kerajaan. Malah terdapat dakwaan-dakwaan beliau yang agak ‘kurang ajar’ dengan menyamakan kerajaan kini umpama seekor khinzir,” tulisnya dalam aduan itu.

Sambil memuji tindakan SKMM yang bertindak menyekat portal Sarawak Report, dia berharap tindakan sama juga diambil terhadap Facebook Dr Maza.com.
-fmt-

Kes dera ibu sendiri: Jiran rakam anak tampar ibu kandung (Video)


Sebuah video yang memaparkan seorang wanita tua yang sedang menyapu sampah di hadapan rumah di Singapura yang kemudiannya ditampar berulang-kali oleh anaknya mula viral di media sosial Facebook sejak semalam.

Menurut maklumat, video yang dimuatnaik oleh pengguna Apoh Tecky Numero atau nama sebenarnya Mohd Juani Ali, wanita tua itu, sebelum ini adalah seorang ibu yang ceria namun bertukar menjadi pemurung selepas dikasari anaknya. Malah, dakwanya, kepala ibu itu juga dibotakkan dan kelihatan kesan lebam di mukanya, dipercayai akibat dipukul.

Tindakan Juani itu menerima pujian ramai pihak, sehingga Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura mengambil tindakan segera menyelamatkan wanita malang itu dan anaknya ditahan bagi siasatan lanjut.

Hebatkan Gerakan Harapan Baru (GHB)? - Prof. Mohammad Agus Yusoff

Mohammad Agus Yusoff
Setelah selesainya pemilihan kepimpinan baru PAS, muncul gelombang dari pemimpin yang kalah dari kumpulan progresif untuk menubuhkan parti baru.Sebabnya satu yang utama: Mereka kecewa dan marah dengan kumpulan ulama yang merancang pembersihan kumpulan progresif dalam PAS.

Kumpulan progresif ini melihat PAS sudah menjadi parti agamawan, bukan lagi ‘PAS for All.’

Apa kesannya kepada PAS?

Satu yang saya perhatikan ialah tanpa kumpulan progresif ini, tiada lagi pemimpin PAS yang kelihatan merakyat dan memahami isu-isu semasa negara. Tiada lagi kenyataan menarik dari pemimpin PAS untuk mengulas isu Felda, GST, 1MDB dan lainnya.

Kedua, ketiadaan kumpulan progresif dalam PAS boleh memberi kesan kepada kekuatan PAS. Mana-mana parti pun begitu apabila berpecah. Pada tahun 1978, apabila PAS berpecah, Berjasa menang. Pada tahun 1990, apabila UMNO berpecah, PAS menang.

Sejarah ini perlu dilihat dan diteliti, biarpun senario sekarang dengan tahun 1978 dan 1990 adalah berbeza.

Boleh kekalkah Gerakan Harapan Baru? Sejarah menunjukkan sukar bagi parti serpihan kekal kuat. Berjasa, Hamim dan S46 tak mampu bertahan.

Bagaimana pula Gerakan Harapan Baru?

Sukar untuk dinyatakan. Tetapi dilihat kepada semangat golongan kelas pertengahan dan anak muda yang mahukan perubahan politik serta masalah yang dihadapi oleh kepemimpinan UMNO sekarang, ada banyak ruang yang boleh digunakan oleh kumpulan progresif untuk menarik sokongan rakyat.

Gunalah ruang itu sebaiknya.

Masalahnya, ada empat cabaran awal GHB.

Pertama, masa (timing) GHB digerakkan tidak tepat. Ini kerana GHB ditubuhkan selepas pemilihan PAS dan ditubuhkan oleh mereka yang tewas.

Kedua, tempat pelancaran tidak kena. Banyak ceramah bermula di Kelantan. Mengapa ditumpu pada kawasan kuat PAS? Mengapa tidak dilancarkan di tempat di luar Kelantan atau di kawasan Melayu yang lain. Lebih meriah lagi kalau dilancarkan di Sabah dan Sarawak.

Ketiga, pemimpin GHB masing-masingnya tokoh hebat tetapi kontroversi dengan sejarah masing-masing.

Keempat, keupayaan sumber kewangan GHB. Tanpa sumber kewangan, GHB sukar bertahan. Stamina mudah habis tanpa sumber yang mencukupi.

Akhirnya, berpolitiklah secara sihat. Jangan bawa budaya caci maki, keji mengeji dan label melabel. Politik begitu karut pada saya.

Pas bakal kehilangan pejuang isu rakyat

Faiz Zainudin 
mohammad-agus_pas_harakan_600PETALING JAYA: Sokongan terhadap Pas dijangka akan terjejas dengan tiadanya kumpulan progresif yang bakal menubuhkan parti Islam baru menerusi Gerakan Harapan Baru (GHB).
Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, tiadanya kumpulan progresif dalam Pas bermakna tiada lagi pemimpin Islam yang akan memperjuangan isu rakyat seperti isu Felda, GST, 1MDB dan isu-isu negara yang lain.

“Ketiadaan kumpulan progresif dalam Pas boleh memberi kesan kepada kekuatan Pas. Mana-mana parti pun begitu apabila berpecah. Pada tahun 1978, apabila Pas berpecah, Berjasa menang. Pada tahun 1990, apabila UMNO berpecah, Pas menang.

“Sejarah ini perlu dilihat dan diteliti, biarpun senario sekarang dengan tahun 1978 dan 1990 adalah berbeza,” katanya menerusi posting terbaru di Facebook.

Mohamad Agus berkata, berdasarkan sejarah lepas parti serpihan Pas tidak akan kekal lama.

Bagaimanapun, senario itu berbeza dengan GHB kerana politik semasa yang memperlihatkan semangat golongan muda inginkan perubahan serta kemelut yang dihadapi UMNO sekarang.

Katanya, GHB mempunyai ruang dan peluang untuk menarik sokongan rakyat serta menjadi sebuah parti politik yang kuat namun akan berdepan dengan pelbagai cabaran diawal penubuhan.

“Pemimpin GHB masing-masingnya tokoh hebat tetapi kontroversi dengan sejarah masing-masing.

“…(Dan), keupayaan sumber kewangan GHB. Tanpa sumber kewangan, GHB sukar bertahan. Stamina mudah habis tanpa sumber yang mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A Samad berkata, beliau yakin GHB tidak akan mendapat sambutan dan tidak mustahil pelancaran parti baru akan ditangguhkan lagi.

“Malah saya juga tidak terkejut jika penubuhan parti tersebut dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai NGO,” katanya dalam kenyataan media.
-fmt-

Najib tidak akan jatuh, kecuali…

Amin Iskandar
Seorang penganalisis politik antarabangsa yang sudah lama melakukan kajian terhadap Malaysia meramalkan Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal sebagai perdana menteri walaupun beliau kini diselubungi skandal besar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Profesor William Case daripada Pusat Kajian Asia Tenggara, City University of Hong Kong mengatakan Najib akan berjaya melepaskan diri walaupun berdepan dengan pelbagai tuduhan kerana beliau mengawal siasatan dijalankan terhadapnya dan mempunyai sejarah panjang terselamat daripada pelbagai skandal.

“Walaupun skandal (1MDB) ini antara yang paling besar, saya percaya Najib akan terselamat kerana pasukan petugas khas akan melaporkan secara terus kepadanya dan beliau mempunyai sejarah terselamat daripada pelbagai skandal,” kata Case dalam wawancara bersama CNBC pada 12 Julai lalu merujuk kepada pasukan petugas khas menyiasat 1MDB.

Menurut Case, walaupun Najib kini diserang hebat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ianya tidak akan memberikan kesan besar kerana presiden Umno itu kini disokong kuat partinya.

Case berkata, walaupun kredibiliti Najib dikritik hebat selepas The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan sebanyak AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke akaun peribadinya, perdana menteri akan terus bertahan selagi Umno mahukannya kekal.

“Kita harus faham apa fungsi Umno sebenarnya. Umno bukan sahaja kenderaan untuk pilihan raya, ia juga merupakan ‘mesin naungan gergasi’.

“Dan orang menyertai parti ini bukan sahaja untuk mempertahankan komuniti Melayu, akan tetapi untuk menguntungkan diri mereka sendiri.”

Wartawan CNBC yang menyoal Case terkejut dengan hujah Case, Najib bakal menyelamatkan diri walaupun berdepan tuduhan berbilion ringgit wang 1MDB dipindahkan ke akaun peribadinya dan kini diserang hebat Dr Mahathir.

Case benar-benar memahami politik Malaysia. Ramalan beliau dalam wawancara yang penulis lakukan dengannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) juga tepat.

Pada waktu itu ketika semua orang merasakan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam PRU13, Case mengatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berjaya menakluki Putrajaya hanya dengan kekuatan undi Cina.

Di negara dunia ketiga seperti Malaysia, jangan kita bayangkan politiknya sama seperti di Amerika Syarikat atau United Kingdom. Pilihan raya di Malaysia juga tidak setaraf dengan di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kita juga jangan merasakan ahli politik di Malaysia sama seperti di Jepun atau Korea Selatan. Di Jepun seorang presiden parti akan meletakkan jawatan sekiranya prestasi buruk dalam pilihan raya.

Di Korea Selatan, bekas presiden Roh Moo Hyun membunuh diri kerana dituduh terlibat rasuah demi maruahnya.

Semua ini tidak terpakai di Malaysia. Di Malaysia sebesar manapun skandal, seseorang pemimpin itu masih boleh menyelamatkan dirinya dan kekal berkuasa.

Kerana di Malaysia, kalau adapun penentangan dan demonstrasi, ianya tidak sehebat seperti di Korea Selatan di mana demonstran sanggup mengorbankan diri mereka.

Demonstrasi diadakan di Malaysia selepas dua tiga jam, para demonstran akan pulang dan hidup seperti biasa.

Tidak seperti di negara-negara yang pernah menumbangkan pemimpin mereka melalui demonstrasi jalan raya, demonstrasi dilakukan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan sehinggalah tuntutan mereka dipenuhi.

Penulis bersetuju dengan ramalan Case. Akan tetapi penulis menambah, Najib akan kekal sebagai perdana menteri 5 hingga 10 tahun lagi selepas PRU14 jika berjaya menyelamatkan diri daripada skandal 1MDB.

Jika pembangkang kuat semasa PRU13 juga tidak mampu menewaskan BN, apa boleh diharapkan dengan pembangkang yang berpecah?

Melainkan pemain-pemain politik berani melakukan sesuatu “di luar kotak” dan memanfaatkan kenaikan kos kehidupan yang memberikan kesan besar kepada majoriti rakyat Malaysia pada hari ini.