"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Terkangkang LHDN diasak oleh Rafidah Aziz isu RM 2.6billion

Surat terbuka kepada LHDN
Rafidah Aziz

Saya membaca - sejak awal - kisah berkaitan dana "lebih RM2.0 bilion" yang diterima sebagai dana oleh perdana menteri daripada seorang putera bangsawan Saudi.

Saya ditanya, apakah yang terjadi kepada derma berkenaan. Adakah perdana menteri dikenakan cukai atas jumlah yang diterimanya?

Entahlah, saya tak tahu.

Bagaimanapun apabila disemak, didapati peguam negara Apandi Ali dalam kenyataan rasminya mengesahkan bahawa AS$681 juta (RM2.08 billion pada waktu itu) memang dipindahkan ke akaun perdana menteri antara 22 Mac 2013 dan 4 April 2013.

Kenyataan peguam negara dibuat pada 26 Jan 2016 iaitu hampir tiga tahun kemudian.

Tidak lama selepas itu secara rasmi diumumkan "sebahagian daripada derma berkenaan dipulangkan kepada penderma".

Jumlah dana yang dipulangkan itu ialah AS$620 juta daripada jumlah keseluruhan AS$681 juta.

Maksudnya ialah AS$61 juta (kira-kira RM236 .65 juta pada kadar tukaran mata wang asing pada waktu itu) disimpan dalam akaun perdana menteri.

Saya dan rakan-rakan menjadi curiga. Justeru kami mahu bertanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) - tolong jelaskan kepada rakyat:

Adakah derma yang diberi kepada perdana menteri - dan dipindahkan ke akaun persediriannya itu - layak dicukai?
Adakah dia entiti amal yang layak dikecualikan cukai atau tidak?
Adakah derma tidak dianggap sebagai pendapatan dan justeru penerimanya dikenakan cukai?
Jika derma diterima perdana menteri itu dikecualikan cukai, bagaimana ia boleh diizinkan oleh LHDN?
Tolong jelaskan - saya dan rakan-rakan bukan akauntan - kerana kami tidak tahu bagaimana "derma" yang disalurkan kepada individu ditangani.

Adakah perdana menteri menubuhkan entiti amal yang dikecualikan cukai?

Adakah dia menubuhkan akaun amanah yang dikawal selia orang tertentu? Jika ya, siapakah mereka?

Atau adakah dia mengendalikan akaun itu sendiri?

Jika begitu maka kami nak bertanya - adakah perdana menteri mempunyai kawalan penuh bagi menentukan kepada siapa, - dan bagaimana - wang berkenaan dibelanjakan.

Adakah ia untuk:

Kegunaan politik?
Pertubuhan bukan bermatlamatkan keuntungan?
Kebajikan?
Aktiviti-aktiviti bercorak keislaman (disebabkan pernah ada kenyataan mendakwa salah satu tujuan dana untuk perdana menteri itu ialah kerana kerja-kerja beliau yang baik untuk agama)?
Bolehkah LHDN menjelaskan bagaimana pemulangan sebahagian daripada dana itu dikendalikan dari sudut percukaian?

Adakah sebarang bukti bahawa wang itu memang benar-benar dipulangkan?

Tolonglah... kalau ia benar-benar dipulangkan bukti mengenainya mesti ditunjukkan.

Sudahkan LHDN secara rasmi mendapatkan penjelasan mengenai butiran "derma" berkenaan?

Rakyat masih tertanya-tanya banyak soalan sehingga kini.

(Saya dimaklumkan, LHDN begitu bersemangat menyerbu pejabat-pejabat serta premis sektor swasta tertentu untuk mendapatkan semula cukai mereka. Dalam banyak keadaan ia dibuat secara "bayar dulu, penjelasan dibuat kemudian". Malah ada aduan mendakwa selama beberapa tahun LHDN memulangkan lebihan cukai kepada pembayar cukai. Kemudian pada 2017 pembayar cukai sama tiba-tiba dituduh tidak membuat pengisytiharan dan diarah membayar cukai, termasuk tunggakan, serta denda yang berat.)

Mengenai isu derma kepada perdana menteri, sudah tentu ia tidak disebut secara rasmi di mana-mana sebagai sumbangan politik?

Timbalan Perdana Menteri Zahid (Hamidi) berkata dalam kenyataannya: "Derma itu dibuat sebagai tanda keyakinan kepada dia (perdana menteri) serta kepimpinannya dalam isu-isu penting."

Apandi berkata: "Tiada alasan diberikan mengapa derma itu diberi kepada perdana menteri Najib Razak. Itu adalah antara dia dan keluarga Saudi itu."

Adakah mungkin - bagi seorang rakyat biasa Malaysia - memiliki sekian juta dolar AS daripada seseorang dari entah mana, kemudian mengisytiharkannya sebagai "derma" tanpa perlu menyatakan sebab ia diberi sebaliknya sekadar menganggap ia "urusan peribadi" antara pemberi dan penerima?

Mahukah LHDN mempercayai cakap mana-mana individu begitu saja dan tidak akan membuat siasatan bagi mengesahkannya?

Adakah dana yang didakwa derma itu akan dicukai?

Bolehkah LHDN memberikan jawapan? Atau ada piawaian berbeza terpakai untuk orang yang berbeza? Tolong buat penjelasan dan sahkan.

Saya dan kawan-kawan - saya juga pasti, rakyat semua - masih tertanya-tanya dan bingung.

Bolehkah LHDN menyiasat kes ini seperti mereka lakukan ke atas semua kes cukai tidak berbayar dan cukai tertunggak rakyat biasa serta sektor swasta?

Lagu pun dalam kes derma ini secara khusus LHDN tentu bersetuju bahawa jumlah AS$61 juta itu bukanlah kecil. (Itu belum lagi AS$681 juta.)

Lebih daripada itu kes ini melibatkan perdana menteri yang juga menteri kewangan, iaitu seseorang yang bertanggungjawab secara menyeluruh ke atas LHDN.

Oleh kerana itu LHDN perlu menunjukkan piawaian tertinggi dalam amalan pertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Boleh tak ada sesiapa yang memberi pencerahan kepada kami?

Tolong sahkan bahawa derma itu benar-benar diterima perdana menteri dan dipindahkan ke akaun persendiriannya.

Bagaimanapun klip video penjelasannya mengenai hal itu adalah bukti.



Terima kasih,

Rafidah Aziz



Salinan kepada:

Semua akauntan
Semua perunding cukai
TAN SRI RAFIDAH AZIZ bekas menteri kanan dan pernah menjadi ketua Wanita Umno Malaysia.

Kecoh di Tumpat bantah gugur calon, penyokong serah memo, tutup markas Pas

ZIKRI ABDULLAH

Syafei (kiri) menyerahkan memorandum kepada Datuk Ahmad Yakub.

Keputusan Pas tidak memberi ruang kepada Mohd Zaki Ibrahim bertanding semula pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyebabkan 200 penyokongnya menyampaikan memorandum bersolidariti dengan beliau kepada Menteri Besar.

Ada juga penyokong yang lari meninggalkan parti itu sambil membuang papan tanda pada markas mereka.

Pengerusi Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran, Mohd Syafie Abdullah berkata, memorandum itu sebagai tanda sokongan padu kepada Mohd Zaki yang layak diletakkan sebagai calon Dun Kelaboran pada PRU14 ini.

“Saya telah menyerahkan memorandum itu kepada Menteri Besar pada jam 4.05 petang semalam bersama kira-kira 200 orang penyokong Mohd Zaki,” kata Syafie seperti dilaporkan Sinar Harian.

BUANG POSTER

Keratan dari satu video yang disebarkan… petugas Pas membuang papan tanda markas.

Di Unit Peti Undi Tanjung Kuala, Kelaboran, sekumpulan petugas Pas telah membuang penanda markas itu sambil menjerit “Allahu Akbar”.

Video mengenainya kini tersebar merata-rata dalam laman sosial.

Menurut sumber di sana, ramai petugas parti mula meletakkan jawatan ekoran apa yang berlaku.

Sebelum itu Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh Pas Pusat nama beliau antara yang direhatkan.

“Mohd Zaki antara senarai nama yang direhatkan dalam PRU14 ini, beliau bukan digugurkan tetapi direhatkan…dan apa yang dilakukan untuk kebaikan beliau.

Zaki dikatakan orang Husam dan digugurkan dari menjadi calon.

“Keputusan dibuat oleh jemaah dan saya perlu akur dengan keputusan itu,” katanya.

Tindakan ‘merehatkan’ Zaki itu menimbulkan kemaran kerana beliau masih muda dan penuh tenaga berbanding pimpinan parti sendiri.

Mohd Zaki Ibrahim, sejak muncul parti AMANAH dikaitkan dengan kumpulan pimpinan Pas yang cenderung kepada parti baharu itu dan digelar harumanis.

Nama beliau juga dikaitkan dengan kumpulan 10 Adun yang dikatakan akan bersama Husam Musa semasa bekas tokoh Pas itu menyertai AMANAH lebih setahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan khabar angin seperti itu dan menyatakan tetap istiqamah dengan Pas.

Yang menang di Langkawi akan tawan Putrajaya

ULASAN | Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak sekali lagi ke Langkawi semalam untuk membuka hotel Ritz-Carlton di pulau itu dengan satu ucapan berkempen yang bersemangat dan penuh retorik politik.

Kerusi panas parlimen Langkawi ini, seperti mempunyai keistimewaan yang sangat luar biasa sekarang sehinggakan ada yang berpendapat bahawa parti yang menang di Langkawi akan menawan Putrajaya.

Di situlah kehebatan kerusi parlimen Langkawi menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Kerusi ini amat menarik kerana ia mempunyai potensi untuk terjadi 'tsunami Melayu' yang menakutkan kepada BN. Ternyata kenyataan Najib di Langkawi itu, memberi gambaran bahawa seolah-olah beliau begitu dihantui dengan bayang-bayang Dr Mahathir, yang sebelum ini dikhabarkan akan bertanding di situ.

Kalau tidak, masakan peruntukan yang begitu besar sebanyak RM1.3B (separuh dari jumlah 'wang derma' RM2.6 bilion) akan disalurkan kepada cuma satu kawasan parlimen Langkawi sahaja, sedangkan Malaysia mempunyai 221 lagi kerusi parlimen yang lain.

Apakah ini adil dan saksama? Banyak lagi kerusi-kerusi parlimen yang lain, yang agak daif dan miskin, yang memerlukan peruntukan '2 minit mi segera' sebegini.

Takrif ini juga memberi gambaran bahawa sekiranya kerusi Langkawi itu jatuh ke tangan HARAPAN, maka tumbanglah Putrajaya. Apakah peluang BN di sini? Juga, apakah HARAPAN dapat merebut kerusi Langkawi ini dan sekaligus merampas Putrajaya dari BN?

Malahan bukan sahaja Langkawi yang akan menjadi rebutan dan mempunyai potensi ‘tsunami Melayu', tetapi juga banyak lagi kerusi parlimen dari sepuluh yang dipegang BN selain 21 kerusi DUN di Kedah yang mungkin mendapat tiupan angin yang sama.

Angin perubahan di Kedah

Sentimen rakyat di peringkat bawahan di Kedah, nampaknya semakin mual dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Ramai yang agak kecewa dengan tindak tanduk ketua Umno yang menunjukkan keangkuhan mereka terhadap Dr Mahathir. Setidak-tidaknya mereka perlu menghormati bekas ketua mereka itu walaupun tidak mahu mengenang budinya. Beliau merupakan anak Kedah yang kedua menjadi perdana menteri Malaysia.

Kedah adalah antara negeri-negeri yang mana tiupan angin perubahan bertiup kencang dan ini dapat dirasai di segenap pelusuk negeri Jelapang Padi ini. Negeri yang mempunyai 15 kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN ini terkenal dengan kemesraan rakyatnya; mereka baik budi pekerti dan mempunyai keupayaan dan kerajinan bukan setakat menanam padi tetapi juga mengingati jasa pemimpin yang dulunya banyak menanam budi.

Dalam banyak temu bual, Najib disebut sebagai punca kelemahan BN. Ramai pengundi di Kedah berpendapat bahawa Najib tidak dapat memahami dan menjiwai pengundi luar bandar, mahupun di Kedah dan kawasan kawasan pedalaman yang lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Apa yang disebut bahawa kawasan pedalaman yang ramai Melayu masih memihak kepada BN adalah tidak lagi tepat; kerana mereka tidak yakin dengan Najib berbanding dengan keyakinan mereka dengan Dr Mahathir.

Di Kedah, walaupun tempatnya dianggap sebagai kawasan pedalaman, mereka tidak lagi yakin dengan BN atau PAS. Keyakinan itu telah diganti dengan pengalaman dan pengetahuan yang mengajar mereka untuk tidak lagi percaya kepada janji-janji manis yang dibuat setiap lima tahun itu.

Sekarang mereka lebih faham dan lebih mengerti tentang politik, juga lebih berani. Mereka mempunyai pendirian dan pegangan yang kuat apabila berhadapan dengan pilihanraya seperti PRU14 ini nanti.

Mereka tidak takut untuk membuat sebarang keputusan sama ada untuk mengundi BN ataupun HARAPAN.

Faktor PAS

Ini telah terbukti pada PRU ke-12 pada 2008 apabila pengundi Kedah telah menolak BN dan memberi undi mereka kepada parti-parti dari Pakatan Rakyat ketika itu.

Malangnya, parti PAS yang mempunyai lebih banyak kerusi dari PKR dan DAP, menerajui kerajaan negeri Kedah. PAS agak lembab pada waktu itu dan telah tidak berjaya mentadbir negeri Kedah dengan bijak dan teratur.

Terdapat banyak kelemahan dalam pentadbiran negeri. Unsur-unsur ketidakpandaian, kurang pengetahuan dan kurang kebijaksanaan kerajaan PAS dalam pentadbiran dan perancangan negeri, memberi gambaran seolah-olah Kedah menjadi lebih mundur jika dibandingkan dengan era Dr Mahathir dulu.

Di sinilah letaknya kelemahan PAS dan pemimpin mereka. PAS tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang boleh dipercayai, kerana kebelakangan ini mereka juga nampaknya lebih cenderung untuk berbaik-baik dengan Umno.

Ramai juga yang berpendapat bahawa PAS tidak lagi berkaitan dengan arah tuju politik negara. Ini bererti, tidak ramai yang akan mengundi PAS lagi kerana mereka bukanlah satu parti yang serius dan boleh membentuk kerajaan, sama ada di negeri mahupun di pusat.

Kerjasama Umno dan Pas telah banyak memburukkan lagi keadaan di Kedah. Di peringkat bawahan, PAS dan Umno berada dalam keadaan berahsia antara satu sama lain, tidak terbuka, tidak sehaluan, tiada bersefahaman, apalagi untuk berjalinan dengan mesra seperti yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen Pakatan.

Mungkin spekulasi tentang kemesraan yang dicapai melalui wang ringgit cuma melibatkan pihak atasan sahaja, tetapi tidak dikecapi oleh ahli-ahli parti diperingkat akar-umbi. Inilah menjadi satu tanda-tanya dikalangan pengundi yang menyebabkan mereka tidak memilih BN atau PAS.

Pokoknya sekarang, ramai yang berkata bahawa PAS tidak lagi boleh dipercayai dan ahli parti sendiri tidak akan mengundi parti itu atas alasan ketua mereka tidak lagi menentang BN seperti dahulu.

Faktor ini merosakkan imej PAS dan juga Umno. Bukan sahaja di kalangan ahli-ahli PAS tetapi juga di kalangan ahli-ahli Umno sendiri yang tidak lagi yakin dengan pemimpin mereka dan halatuju parti.

Hakikatnya, ramai yang akan mengundi calon-calon dari HARAPAN pada PRU ke-14.

Sentimen Dr Mahathir

Ditambah lagi dengan kekuatan yang ada pada Dr Mahathir. Kegemilangan negara sewaktu beliau menjadi perdana menteri mengimbas kembali ingatan pengundi-pengundi di Kedah.

Bukan saja tentang kebijaksanaan, kepintaran atau sikapnya yang bertanggungjawab, tetapi juga jauh lebih perihatin terhadap kebajikan rakyat Kedah jika dibandingkan dengan Najib.

Beliau juga tidak membazir, tidak berlagak sombong atau takbur tentang apa jua perkara, baik politik, ekonomi atau sosial. Sehingga hari ini, ramai yang menyatakan bahawa Dr Mahathir adalah pendengar yang baik dan memberi banyak masa untuk mendengar hujah yang mahu disampaikan oleh rakyat kepada beliau.

Kekuatan ini tidak dapat ditandingi oleh Najib, yang mempunyai pendekatan yang jauh berbeza. Rakyat Kedah tersangat faham tentang hal ini. Kekuatan Dr Mahathir inilah yang membuatkan pengundi Kedah sekali lagi mengubah fikiran mereka pada PRU ke-13 dahulu dengan memilih Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sentimen Dr Mahathir yang memenangkan Mukhriz. Jadi pada PRU ke-13, sentimen ini sekali lagi akan merombak struktur percaturan politik Kedah. Pengundi Kedah yang begitu terpengaruh dengan sentimen Dr Mahathir telah menolak PAS dan kembali mengundi BN semula. Kerana itu, BN menang 10 kerusi parlimen dan 21 kerusi DUN.

Pada PRU ke-14 tiupan sentimen ini kembali lagi. Rakyat Kedah tidak lagi buta huruf seperti beberapa dekad yang lalu. Mereka arif tentang apa yang berlaku pada awal tahun 2016, tentang penolakan Mukhriz dari jawatan menteri Besar dan segala perancangan politik Datuk Seri Ahmad Bashah, iaitu menteri besar Kedah sekarang.

Pengundi pada PRU ke-14 ini, akan menolak pemimpin sebegini kerana pemilihan kali ini adalah pemilihan yang agak mudah untuk ditentukan yang banyak berpunca dari skandal kewangan negara.

Rakyat Kedah dapat menilai dengan bijak. Dalam keadaan krisis negara yang banyak melibatkan salah-guna kuasa, kehilangan wang kerajaan dengan begitu banyak, yang sekarang kita semua tahu dan dinamakan kerajaan kleptokrasi ini, pemimpin Umno negeri cuma berdiam diri, tidak ada pandangan apa-apa dan terus menyokong ketua yang memusnahkan kewangan negara? Itukah perjuangan mereka?

Kalau inilah hakikatnya, maka tidak hairanlah sekiranya pengundi-pungundi Kedah akan menolak mereka-mereka ini sekali lagi. Inilah yang dikatakan ‘Tsunami’ Melayu yang bermula dari negeri Jelapang Padi ini.

Rupa-rupanya angin kencang yang meniup perubahan politik negara itu sebenarnya bermula dari Langkawi, yang akan bertiup dan menumbangkan Putrajaya.

DR ROSLI KHAN merupakan perunding pengangkutan di Kuala Lumpur dan sering mengembara ke kawasan terpencil untuk menulis berkenaan ekonomi dan politik Malaysia.

PAS Kelantan ‘rehatkan’ Adun Kelaboran

Bernama 

TUMPAT: PAS Kelantan hari ini mengesahkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran Mohamad Zaki Ibrahim direhatkan dan tidak akan bertanding bagi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata perkara itu diputuskan PAS Pusat selepas PAS Kelantan menyerahkan senarai calon untuk disemak oleh badan berkenaan baru-baru ini.

“Apabila jemaah (PAS Pusat) memutuskan seseorang itu direhatkan, kita rehatkanlah. Samalah dalam kes Mohamad Zaki ini antara senarai yang direhatkan, bukan digugurkan.

Kerehatan ini diberikan untuk kebaikan dia. Maka kita sebagai ahli jemaah hendaklah mematuhi arahan daripada jemaah dan saya sebagai pesuruhjaya (PAS Kelantan) kena akur atas kehendak jemaah (PAS Pusat),” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu hari ini.

Terdahulu, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan menerima memorandum daripada kira-kira 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran, yang diketuai Pengerusinya Mohd Shafie Abdullah.

Memorandum itu diserahkan bagi memberi sokongan kepada Mohamad Zaki supaya dikekalkan untuk bertanding di kerusi DUN Kelaboran.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata NGO berkenaan berpendapat tiada calon lain yang sesuai untuk bertanding di kerusi berkenaan kerana Mohamad Zaki menjalankan tugasnya dengan baik sejak 3 penggal lalu.

PAS atau Amanah? Nasib Syed Azman masih jadi teka-teki di Terengganu

Faiz Zainudin  
Amanah juga terbuka mencalonkan Adun Batu Burok itu, di sebalik spekulasi beliau akan digugurkan oleh PAS walaupun masih ahli.

Syed Azman dilihat rapat dengan pemimpin Amanah, walaupun masih kekal sebagai ahli PAS. 

KUALA TERENGGANU: Nasib pemimpin PAS Terengganu Syed Azman Syed Ahmad Nawawi masih kabur pada pilihan raya akan datang, sementara parti itu belum lagi mengesahkan Adun Batu Burok itu akan dipilih sebagai calon.

Parti itu masih enggan mengesahkan sama ada Syed Azman dicalonkan atau digugurkan.

Wakil rakyat itu dilihat mesra Pakatan Harapan (PH) kerana beberapa kali berkongsi pentas ceramah gabungan pembangkang yang disertai bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan Muktamar 2015 di Kuala Selangor.

Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah ketika ditanya mengenai kedudukan Syed Azman meminta menunggu sehingga 19 April, apabila PAS mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding di seluruh Malaysia.

“Setakat saya tahu beliau belum keluar PAS, jadi kita tunggu apa keputusan pimpinan akan umum nanti sama beliau tercalon atau tidak.

“Soal tercalon atau tidak, tidak timbul sebab sekarang ini tanggungjawab ahli PAS, beliau kena sokong PAS, bila kita masuk PAS kita kena sokong PAS,” katanya kepada FMT.

Syed Azman merupakan Adun Batu Burok selama 2 penggal sejak 2008.

Beliau juga pernah memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 1999 dengan majoriti 14,448 undi menewaskan Datuk Abdul Manan Othman dari BN dan tewas 2004.

Batu Burok merupakan kubu kuat PAS, yang tidak pernah tewas di sini sejak 1990.

Syed Azman merupakan bekas pemimpin PAS Pusat ketika Presiden Amanah, Mohamad Sabu menjadi timbalan presiden bagi sesi 2013-2015.

Beliau cukup aktif dalam menghubungkan PAS dengan pemimpin antarabangsa termasuk mengiringan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi ke luar negara.

Bakal ke Amanah?

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah tanpa berselindung menyatakan pihaknya terbuka untuk mencalonkan Syed Azman jika wakil rakyat PAS itu meninggalkan parti.

“Kita memang sentiasa berhubung rapat dengan Syed Azman, kita sama-sama dalam PAS dulu. Memang kita ada juga beritahu beliau boleh bersama dengan kita kalau buat keputusan tidak mahu bersama PAS.

“Kita harap beliau bersama kita, tapi setakat ini tidak ada kata putus lagi dari beliau,” katanya kepada FMT.

Kamarul yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu, turut memaklumkan Syed Azman akan membuat pengumuman rasmi tentang hala tuju politiknya dalam masa terdekat.

“Setahu saya program PAS juga beliau tak terlibat lama dah,” katanya.

Sah Hadi dicabar anak saudara di Marang

Shakira Buang



PRU14 | Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Marang Miqdad Zakaria disahkan akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang di parlimen Marang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, 9 Mei ini.


Miqdad Zakaria, anak saudara kepada isteri presiden PAS, diuar-uar bertanding di situ sejak dia keluar PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Kalau ikutkan memang dia nak elak (lawan Hadi) tapi sebab itu (Marang) kawasan dia dan dia memang nak ambil Parlimen Marang jadi dia akan lawan (Hadi) di Parlimen lah," kata sumber dalaman parti itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut berhubung langkah Abdul Hadi bertanding satu kerusi sahaja, sumber menjelaskan Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu akan memutuskan perkara itu kemudian.

"Tapi kalau Hadi tanding di Dewan Undangan Negeri (DUN), Pakatan Harapan Negeri yang akan tentukan," katanya.

Pada 11 April lalu Utusan Malaysia melaporkan Abdul Hadi memutuskan untuk bertanding hanya satu kerusi sahaja pada PRU ke-14 kali ini.

Bagaimanapun, beliau masih belum keputusan sama ada mahu bertanding di kerusi DUN atau Parlimen.

Pada pilihan raya umum yang lalu, Abdul Hadi kekal menyandang kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang menewaskan calon BN.

Kerusi DUN Ru Rendang adalah kerusi yang tidak pernah dimenangi oleh BN sejak pilihan raya 1982.

Bagi parlimen Marang, Abdul Hadi mula bertanding di kerusi itu sejak 1986 dan sepanjang tempoh tersebut, beliau menang lima daripada tujuh kali pilihan raya hingga 2013.

PAS dijadual mengumumkan calon mereka secara rasmi serentak di seluruh negara pada 19 April ini.

Manakala HARAPAN Terengganu akan berbuat demikian pada 26 April ini oleh Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dungun, Terengganu.

Nik Omar anak Allahyarham TGNA lagi selangkah sertai AMANAH?

PRU14 | Cakap-cakap bahawa seorang lagi anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai politik secara aktif nampaknya semakin menjadi kenyataan.

Sebelum ini nama Nik Omar Nik Abdul Aziz disebut-sebut bakal diturunkan menjadi calon AMANAH Kelantan dan tawaran dibuat sendiri kepadanya oleh naib presiden parti itu Husam Musa.

Mengulas mengenai isu itu Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata parti itu sedang dalam proses rundingan peringkat akhir dan keputusan muktamad mengenainya mungkin diketahui seawal esok.

Ditemui media di Kota Bharu hari ini bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu memberitahu AMANAH memang sedang berunding dengan pihak Nik Omar.

"Sebab fikrah dan pemikirannya itu memang dah selari (dengan AMANAH) tetapi ada beberapa perkara teknikal yang melibatkan keluarga yang sedang diuruskan," katanya.

Sebelum nama Nik Omar dikenali ramai, orang lebih terdedah kepada nama Nik Abduh yang kini menyandang kerusi parlimen Pasir Mas.

Bagaimanapun pendekatan yang berbeza di antara kedua-dua mereka menjadikan perkembangan politik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu semakin menarik.

Ketika Nik Abduh tegar menyokong pendirian serta pendekatan keras PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Omar lebih selesa dengan AMANAH.

Malah cara penyampaian anak kedua Nik Abdul Aziz itu semasa menyampaikan kuliah agama banyak mengingatkan orang kepada almarhum bapanya.

Wan Abd Rahim berkata rundingan dengan pihak Nik Omar dijangka selesai esok dan pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Yakin boleh ditangani

Jika rundingan itu berhasil nama Nik Omar mungkin akan dicalonkan di kawasan yang pernah diwakili bapanya, iaitu Chempaka.

Kerusi itu kini disandang tokoh muda, Ahmad Fathan Mahmood, 45, yang mengisi kekosongan yang berlaku apabila Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 12 Feb 2015.

Pada masa sama sumber menyatakan PAS sedang mempertimbangkan untuk membawa Nik Abduh bertanding di kerusi Chempaka.

Baca Lima calon potensi untuk MB baru Kelantan

Jika keadaan itu menjadi kenyataan PRU ke-14 ini akan menyaksikan pertembungan anak kedua dan anak kelima Nik Abdul Aziz.

Sebelum ini dikatakan Nik Omar memang cenderung untuk menyertai AMANAH namun belum dilakukan kerana pertimbangan keluarga.

Kata Wan Abd Rahim berkata rundingan sedang diuruskan termasuk melibatkan anggota terdekat keluarga Nik Abdul Aziz.

"Kita sedang berurusan. Insya-Allah boleh ditangani," katanya.
-malaysiakini

Shahrizat bertanding di Bandar Tun Razak?

Kow Gah Chie & Zikri Kamarulzaman

PRU14 | Sumber-sumber Umno telah mengesahkan bahawa calon dari parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, mereka yang mengetahui perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa calon itu bukan ketua Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Sebaliknya, parti itu dijangka mencalonkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ini turut disahkan oleh beberapa sumber Umno, termasuk dari kepimpinan pusat.

Malaysiakini telah menghubungi Rizalman untuk mendapat respons.

Namun, Shahrizat sendiri ketika dihubung berkata: "Saya mendengar banyak khabar angin, semuanya spekulasi".

Timbalan Ketua Umno Bandar Tun Razak, Saharudin Zainal Abidin juga enggan mengesahkan perkara itu sehingga surat watikah ditandatangani dan dikeluarkan.

Sumber peringkat tinggi berkata surat itu dijangka dikeluarkan awal minggu depan.

Bandar Tun Razak secara tradisinya merupakan kerusi MCA, tetapi Umno mahu bertanding di kawasan itu, dengan alasan ia mendapat sokongan baik masyarakat Melayu setempat, yang merupakan 50 peratus daripada jumlah pengundi di situ.

MCA kalah kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR ketika itu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2008.

Khalid memenangi sekali lagi kerusi itu pada 2013 dengan jumlah majoriti 11,832 undi.

Sementara itu, Shahrizat akan membuat penampilan semula selepas tidak bertanding dalam pilihan raya 2013.

Dia tewas di kerusi lamanya, Lembah Pantai, pada tahun 2008 kepada calon PKR, Nurul Izzah Anwar.

Tinjauan: Mahathir lelaki paling dikagumi di Malaysia

Calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului senarai lelaki paling dikagumi di Malaysia berdasarkan suatu kaji selidik dalam talian 2018.

Kajian itu dibuat firma penyelidikan pasaran dan analisis data yang berpangkalan di UK, YouGov yang menyaksikan Mahathir mendapat 15 peratus markah kekaguman di Malaysia.

Lelaki kedua dalam senarai itu ialah hartawan teknologi Bill Gates yang ketinggalan jauh dengan markah kekaguman sebanyak 8.3 peratus.

Manakala itu, perdana menteri (kerajaan) sementara Datuk Seri Najib Razak pula berada di kedudukan ke-14, mendapat 2.5 peratus markah kekaguman.

Bagi senarai wanita yang paling dikagumi di Malaysia, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menduduki tangga pertama carta dengan markah kekaguman sebanyak 14.1 peratus sementara isteri Dr Mahathir, tun Dr Siti Hasmah Ali mendapat tempat kedua dengan 10.1 peratus markah.

Isteri Najib, Rosmah Mansor, berada di tangga ke-20 dalam senarai wanita paling dikagumi di Malaysia, berkongsi kedudukan dengan pelakon India, Deepika Padukone dengan mengumpul mata sebanyak satu peratus.

Senarai tersebut yang dibahagi mengikut kategori lelaki dan wanita merupakan campuran personaliti tempatan dan antarabangsa.

Antara nama lain dalam senarai lelaki dikagumi itu ialah pelakon Jackie Chan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group, Tony Fernandes, bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta pemain bola sepak Cristiano Ronaldo, David Beckham dan Lionel Messi.

Pada senarai wanita dikagumi pula termasuk nama-nama seperti Noor Neelofa Mohd Noor, Nur Fazura Sharifuddin, Vivy Yusof, personaliti televisyen Oprah Winfrey, pelakon Michelle Yeoh, Angelina Jolie dan Emma Watson serta Ratu Elizabeth II dari Britain dan Duchess of Cambridge Kate Middleton.

Menurut YouGov, firma itu mengumpulkan pencalonan terbuka oleh ahli panel dari 35 negara, meminta mereka menamakan lelaki atau wanita yang masih hidup lagi untuk untuk dimasukkan ke dalam senarai tersebut.

Benar-benar paling dikagumi

YouGov menyusun senarai 20 lelaki dan 20 wanita yang mendapat pencalonan paling banyak serta dicalonkan sekurang-kurangnya empat negara. Kemudiannya, firma itu menambah 10 tokoh tempatan yang popular bagi senarai negara masing-masing.

Menggunakan senarai itu, YouGov meninjau negara calon-calon tersebut dengan dua soalan.

Soalan pertama adalah "siapa yang kamu benar-benar (truly) kagumi?", yang mana responden boleh memilih lebih daripada satu nama.

Soalan kedua pula adalah "siapa yang paling (most) kamu kagumi?", di mana responden hanya boleh memilih satu nama.

Markah daripada kedua-dua soalan kemudiannya digabungkan menjadi sebahagian daripada peratusan indeks kekaguman.

YouGov berkata kedua-dua soalan tersebut membolehkan firma itu untuk memahami jangkauan global dan tahap sokongan kepada seseorang.

AKHIRNYA NAJIB TERPAKSA AKUR MENCONTOHI TUN MAHATHIR

Meskipun pada sebelah pagi tadi Najib Razak dilihat agak keberatan untuk mengisytiharkan hari pengundian 9 Mei depan sebagai hari cuti umum, pendirian beliau akhirnya berubah pada sebelah petangnya.

Jika pada sebelah pagi beliau menasihatkan rakyat agar merancang masa untuk turun mengundi memandangkan tarikh 9 Mei itu jatuh pada hari bekerja, Najib sebaliknya berubah pendirian pada petang tadi dengan mengisytihatkan hari tersebut sebagai cuti umum.

Memang disedari tindakan mengisytiharkan cuti umum ini dibuat dengan perasaan yang berat hati oleh Najib, tetapi apakan daya kerana kecaman dan kemarahan rakyat nampaknya sedang meluap-luap mengenainya.

Dan Najib tidak ada pilihan lain selain terpaksa akur dan tunduk kepada kehendak rakyat itu.

Apatah lagi apabila sebuah petisyen dalam talian yang baru diwujudkan sudah pun mampu menarik sokongan lebih 100 ribu daripada pengguna maya daripada seluruh negara.

Petisyen berkenaan ditujukan kepada Yang Dipertuan Agong meminta agar baginda campurtangan dengan mengisytiharkan hari Rabu, 9 Mei itu sebagai cuti umum demi kemudahan rakyat menunaikan tanggungjawab mereka.

Apa pun, tahniah dan syabas kepada rakyat yang suara mereka telah berjaya membuatkan Najib akur, tunduk dan mengalah dengan pengisytiharan cuti umum yang dibuat petang tadi oleh Pejabat Perdana Menteri.

Najib akhirnya kalah 0-1 kepada suara rakyat.

Dengan perisytiharan cuti umum itu juga menunjukkan Najib tiada pilihan lain selain terpaksa mencontohi amalan Tun Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan hari mengundi sebagai cuti umum pada pilihanraya 1995 dan 1999 yang lalu.

Cumanya, Tun Mahathir mengisytiharkan cuti umumnya sebelumnya kerana pemahamannya yang mendalam terhadap kehendak serta keperluan rakyat, manakala Najib hanya berbuat demikian setelah adanya desakan yang kuat daripada pelbagai kelompok masyarakat.

Inilah bukti keramatnya suara rakyat. Jika berkaitan cuti umum pun rakyat mampu mengubah keadaan, bermakna mengubah siapa yang patut jadi kerajaan dan Perdana Menteri juga tidak mustahil dapat dijadikan kenyataan melalui kesatuan suara keramat yang dimiliki oleh rakyat itu.

Suara rakyat suara keramat, jangan sesekali disia-siakan keajaibannya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

Ketegangan Maza, Siti Kasim berlanjut ke alam maya

Siang tadi, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) hadir memberi keterangan dalam sidang siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kes kehilangan Amri Che Mat, pengasas NGO Perlis Hope dan dua individu lain.

Bagaimanapun, ketika inkuiri berlangsung, percubaan Siti Kasim yang mewakili Majlis Peguam membangkitkan unsur ekstrem dalam fahaman Sunni sewaktu soal balas dengan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin itu telah mencetuskan ketegangan.

Dalam hantaran terbaru Asri di Facebook, sarjana Islam itu dipercayai cuba menggambarkan pengalaman beliau bersoal-jawab dengan peguam hak asasi manusia, Siti Kasim pada sesi inkuiri Suhakam itu.

"Saya tidak hairan apabila menerima beberapa soalan 'tidak cerdik' dari seorang yang pernah membicarakan tentang Tuhan dan 'getaran'.

"Jika dalam bab ketuhanan yang merupakan asas kewujudan insan dia gagal berfikiran seimbang, apatah lagi bab yang lain," kata Asri.

Tanpa menyebut nama, beliau menzahirkan rasa hairan terhadap seseorang dengan latar belakang undang-undang tetapi disifatkan beliau sebagai dangkal.

"Namun, saya agak hairan apabila seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang seperti dia itu sangat dangkal tahap pengetahuan asas bagi istilah-istilah yang dia gunakan sendiri.

"Dia bercakap dengan istilah yang dia sendiri tidak faham. Kemudian dia beraksi untuk memberikan tafsiran berkaitan agama," kata Asri.

Asri turut mempersoalkan kenapa pertubuhan berkaitan undang-undang memilih seorang yang 'ganjil' sebagai wakil mereka.

"Apakah jika hanya kerana seseorang itu 'ganjil' pada penampilan dan songsang pada pemikiran maka dia pun ditabalkan oleh pertubuhan yang berkaitan undang-undang sebagai wakil mereka.

"Sudah tiada orang lainkah yang mempunyai nilai pekerti dan kesopanan sebagai manusia berpendidikan untuk diwakili? Sudah habiskah rakyat dalam negara ini?" Soal beliau lagi.

Ekoran hantaran FB Asri itu, sejam kemudian peguam Siti Kassim memuat-naik hantarannya pula dipercayai ditujukan kepada Mufti Perlis itu.

"Ada orang tu bila kalah dalam sidang, dia balik dok ngumpat-ngumpat dekat FB dia .

"Terserlahlah pekung habit pembulinya - dia tak dapat menang hujah, dia pun main mengejek dan tohmah orang yang dia tak boleh nak jawab dalam sidang.

"Itu kah yang konon intelektual sangat. Low class punya level adalah," tulis Siti Kassim.

'Wanita dangkal'

Ini bukanlah kali pertama Asri membidas Siti Kassim. Tahun lalu, Asri ketika mengulas mengenai kontroversi 'Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin' turut menempelak Siti yang disifatkan sebagai wanita dangkal atas laporan kenyataan beliau tentang kewujudan tuhan .

"Dukacita apabila media mengutip berita 'bomoh' yang penuh khurafat dan memalukan masyarakat bertamadun, dan seorang wanita dangkal minda yang entah apa latarnya.

"Seorang membuat 'kerja' yang melambang masalah akal yang serius.

"Seorang pula membuat kenyataan tentang agama, tuhan dan pelbagai lagi yang juga melambangkan kedangkalan pengetahuan dan ketandusan kepercayaan terhadap konsep ketuhanan," kata beliau.

Mengapa Umno begitu takut gabungan Mahathir-Anwar’

Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mempersoalkan mengapa kepimpinan Umno begitu takut dengan gabungan pembangkang yang diterajuinya bersama bekas seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Umno menganggap kerjasama saya dan Tun Dr Mahathir sebagai satu perkara yang janggal kerana kami telah bermusuhan begitu lama.

“Pernah saya jelaskan bahawa kesediaan Tun Dr Mahathir menjalin persahabatan telah saya terima dengan baik dengan semangat bersilaturrahim.

“Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun Dr Mahathir dan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Biro Komunikasi, PKR.

Anwar yang dijadual dibebaskan pada 8 Jun ini selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat berkata, muafakat ini adalah kerana tekad mereka bersama untuk menjana perubahan.

“Negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya.

“Skandal skala besar seperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi. Maka hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum

“PRU14 adalah kesempatan terbaik bagi rakyat menentukan masa depan negara menghentikan kezaliman dan membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan,” katanya.

Dr Mahathir memecat Anwar selaku timbalan perdana menteri dan presiden Umno pada September 1998.

Beliau ketika itu menuduh Anwar tidak bermoral dan tidak sesuai untuk memimpin negara itu, manakala timbalannya itu mendakwa perdana menteri merekayasa tuduhan salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa ke atasnya. Anwar kemudian diheret ke mahkamah dan didapati bersalah pada tahun 1999.

Bagaimanapun, selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara, Anwar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan apabila rayuannya dibenarkan bagi mengketepikan sabitan kesalahan meliwat.

Susulan pembebasannya dari penjara, Anwar menubuhkan PKR dan kemudian menjadi ketua pembangkang serta ketua umum Pakatan Harapan hari ini.

Beliau kini menjalani hukuman atas kesalahan liwat II yang dijatuhkan pada 2015. Seperti sebelum ini, beliau juga mendakwa tuduhan liwat II adalah juga rekayasa politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seteru politiknya.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, Mahathir selaku pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan berikrar akan menumbangkan BN dan Najib.

Beliau yang dinamakan sebagai calon perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya juga bersetuju HARAPAN yang gagal didaftarkan sebagai satu entiti bertanding di bawah logo PKR yang diasaskan oleh Anwar.