"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Apandi Ali dilantik ahli MT Umno, Annuar jadi SUA

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke majlis tertinggi parti Melayu itu.

Beliau dilantik bersama-sama 11 individu lain, termasuk bekas menteri luar negeri, Datuk Seri Anifah Aman.

Zahid berkata pelantikan Apandi langkah pertama menuju pembaharuan parti pasca kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya 9 Mei lalu.

“Saya komited untuk merekayasa dan memperjuangkan kepentingan negara bersama dengan jajaran pimpinan baharu berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan Piagam Umno seperti terkandung dalam Perlembagaan Umno,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zahid mengumumkan Tan Sri Annuar Musa, yang tewas dalam perntandingan merebut jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan 30 Jun lepas, dilantik sebagai setiausaha agung.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga diberi peranan penting sebagai bendahari parti.

Di peringkat negeri pula, bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipilih untuk memimpin Umno Perlis menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim; bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dipilih untuk memimpin Wilayah Persekutuan menggantikan Tengku Adnan; dan bekas menteri luar bandar, Datuk Seri Ismail Sabri dipilih untuk memimpin Umno Selangor menggantikan Tan Sri Noh Omar.

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dipilih untuk memimpin Kelantan, menggantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Arshad selar politikus ‘mulut celupar’ sebar kebencian

FMT Reporters
PETALING JAYA: Brigadier Jeneral bersara Datuk Mohd Arshad Raji hari ini menyelar 2 pemimpin politik kerana ‘bermulut celupar” berikutan kenyataan terbaru mereka tentang perkembangan semasa.

Orang yang kurang berpelajaran pun boleh melihat kurangnya logik dan kewarasan kenyataan tersebut, katanya.

Beliau mengingatkan ahli politik supaya tidak menggunakan kaum dan agama bagi menyemai perselisihan dan kebencian, dan berkata ia terbukti strategi yang salah dalam pilihan raya umum baru lepas.

Arshad yang mengetuai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata pemimpin Umno dan PAS yang gagal menyedari perkara ini “patut dilabelkan sebagai bodoh”.

Kata beliau, berdasarkan pengalaman dalam persatuan bekas tentera itu terdapat 2 jenis manusia yang akan menjadi pemimpin yang tidak baik.

“Pertama tin kosong yang bercakap tanpa berfikir, dan kedua mereka yang tidak berkemampuan dan pengetahuan tetapi pandai membodek,” katanya.

“Kedua-dua jenis ini sering bercakap buruk tentang orang lain, menyemai kebencian dan mensabotaj orang lain dengan cara salah bagi mendapatkan kelebihan,” kata beliau.

Arshad mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Lokman menuduh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kerajaan mengikut kehendak DAP yang mempunyai 42 kerusi Parlimen, berbanding 13 kerusi milik PPBM pimpinan beliau.

Dalam pada itu Nasruddin dilaporkan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan orang Islam berikutan pelantikan 3 penjawat tertinggi dalam sistem perundangan dan kehakiman negara.

Arshad berkata, jelas bahawa Nasrudin memaksudkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Menteri Undang-undang, Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Hujah dikemukakan oleh Lokman dan Nasrudin tidak ada logik dan kewarasan hatta kepada orang yang kurang pelajaran,” katanya.

“Kedua-dua Lokman dan Nasrudin adalah pemimpin pertengahan parti masing-masing. Tembakan bertubi-tubi tanpa kendali mereka, walaupun peluru kosong, merosakkan imej parti mereka dan pimpinan atasannya yang tidak bertindak mengawal pimpinan bawahan” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu menyokong perdana menteri dan Kabinet beliau bagi menghadapi cabaran di hadapan.

Jho Low Sudah 'ubah wajahnya'?

Ahli Perniagaan Low Taek Jho (di atas) mungkin telah menjalani pembedahan rekonstruksi muka dan menggunakan identiti baru untuk mengelakkan ditangkap selepas kapal layar mewahnya, Equanimity, dirampas awal tahun ini.

Ini, menurut The Star yang memetik sumber sebagai mendakwa bahawa polis dan imigresen jabatan imigresen di Malaysia dan Singapura percaya Low mungkin menjalani pembedahan rekonstruksi muka.

"Kami percaya dia mungkin mengubah ciri-cirinya dan telah mengguna nama lain," kata sumber tersebut.

Pihak berkuasa juga dilaporkan percaya bahawa jutawan kelahiran Pulau Pinang, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, telah menggunakan "perkhidmatan butler bawah tanah" yang khusus untuk VIP dan selebriti untuk membantu beliau melepasi pintu masuk imigresen.

"Ini menjelaskan mengapa walaupun Notis Merah dikeluarkan oleh Interpol, Low telah melakukan perjalanan ke dan dari beberapa negara Asia Tenggara tanpa masalah," kata sumber itu lagi.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa di kedua-dua Malaysia dan Singapura tidak memiliki gambar terkini Low dan telah membuat permintaan untuk imejnya dirakam di pusat pemeriksaan imigresen, untuk memberi mereka imej yang lebih jelas mengenai Low.

"Kebanyakan gambar yang ada dipercayai telah dirakam tiga atau empat tahun lalu," kata sumber yang menyatakan bahawa sejak Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia pada bulan Mac, Low dilihat di Phuket, Macau, Hong Kong, Taiwan dan Shanghai.

Sumber itu menambah: "Walaupun Notis Merah (dari Interpol), ahli perniagaan yang dikehendaki itu berjaya menghindari pihak berkuasa."

'Dari wajah tembam hingga bujur, berbentuk berlian'

The Star juga memetik seorang pakar bedah plastik yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang berkata dengan wang yang Low ada, pembedahan untuk mengubah penampilannya akan menjadi perubahan kecil untuknya.

"Untuk menukar wajah bulat tembab kepada bujur atau berbentuk berlian akan dikenakan biaya antara AS$10,000 (kira-kira RM40,000) dan AS$20,000 (RM80,000).

"Tempoh pemulihan adalah kira-kira dua minggu, tetapi pesakit akan menghadapi wajah yang bengkak selama sebulan," kata pakar bedah plastik tersebut.

Sebaliknya, doktor berkata pembedahan kecil lain untuk mengubah kelopak mata dan bentuk hidung dan mulut juga boleh dilakukan dalam masa beberapa jam sahaja.

Selain dari perubahan fizikal, laporan itu juga memetik seorang pakar keselamatan berpejabat di Bangkok lain yang menspekulasi bahawa Low juga boleh menggunakan perkhidmatan butler lapangan terbang untuk mengelakkan dikesan.

"Penumpang sedemikian biasanya dibawa terus ke lounge peribadi yang dikendalikan oleh pengendali jet swasta sebaik sahaja mereka mendarat.

"Dokumen mereka diserahkan kepada juruterbang atau pengawal pengendali di darat. Mereka akan mnguruskannya dengan pegawai imigresen," katanya sambil menambah bahawa Low mungkin telah mengelakkan pemeriksaan langsung oleh pegawai Imigresen.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada hari Rabu mengesahkan bahawa Low telah meninggalkan Macau ke destinasi yang tidak diketahui.

Menurut Fuzi, polis menerima emel dari rakan sejawatan mereka di Macau dua hari yang lalu, yang menyatakan bahawa ahli perniagaan yang berkaitan dengan skandal 1MDB itu telah meninggalkan wilayah autonomi.

Pada hari Selasa, Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali mendedahkan bahawa Low dipercayai menggunakan pasport dari negara lain selepas pasport Malaysianya dibatalkan bulan lepas.

Pasport Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan SPRM berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

Peguam jelaskan mengapa Malaysia tak usir Dr Zakir Naik

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak yang tidak henti-henti menyoal pendirian kerajaan Malaysia berkaitan kehadiran berterusan Dr Zakir Naik di negara ini, dan ketiadaan tindakan pihak berkuasa untuk menghantar beliau kembali ke negara asalnya di India, kononnya ini adalah kewajipan ekstradisi menurut undang-undang antarabangsa.

Kebanyakan pendapat itu adalah kononnya berteraskan dakwaan sesetengah pihak luar, yang diterima bulat-bulat oleh pihak tertentu di Malaysia bahawa Dr Zakir terlibat sama ada dalam kesalahan keganasan terorisme serta jenayah gubahan wang haram, mahupun kekacauan harmoni kemasyarakatan yang melibatkan kutukan terhadap agama selain Islam.

Persoalan yang wajib ditanya oleh rakyat Malaysia yang prihatin adalah: Adakah dakwaan pihak-pihak terbabit yang dilemparkan itu, satu dakwaan yang berasas ataupun cuma tohmahan?

Jawapan sebenar undang-undang:

(a)(i) Pada asasnya, mana-mana negara yang diiktiraf sebagai negara yang sah di sisi antarabangsa, seperti India sememangnya berhak untuk meminta negara lain yang juga diiktiraf secara sah di sisi antarabangsa, seperti Malaysia, untuk menghantar pulang mana-mana individu yang dikehendaki di bawah sistem keadilan jenayah India itu, sekiranya individu itu berada di negara luar itu, seperti Malaysia.

(a)(ii) Kerjasama bagi tujuan pembanterasan jenayah di tahap antarabangsa ini adalah melibatkan kedua-dua negara iaitu India dan Malaysia melalui perjanjian antarabangsa (International Treaty) dan adalah juga tertakluk di bawah seliaan dan kerjasama organisasi Interpol, di bawah mana, mana-mana negara pemohon, India, akan meminta pengeluaran satu "notis merah" (Red Notice) daripada Interpol untuk membolehkan negara luar itu, Malaysia menghalang pergerakan keluar masuk individu itu dari Malaysia sehinggalah permohonan rasmi ekstradisi untuk memohon penghantaran pulang individu itu ke India dapat diproses oleh pihak berkuasa dan mahkamah di Malaysia, juga menurut prosedur dan undang-undang yang sedia.

(a)(iii) Namun, prinsip kerjasama penguatkuasaan jenayah antarabangsa ini adalah tertakluk kepada keperluan untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan tempatan yang mengikat kedua-dua negara itu, iaitu India dan Malaysia.

(a)(iv) Dalam isu Dr Zakir Naik ini, walaupun pihak berkuasa India pernah pohon kepada Interpol untuk pengeluaran "notis merah" terhadap Dr Zakir Naik, yang mana telah dikeluarkan dan didaftar oleh Interpol untuk pengetahuan semua negara terbabit, termasuk Malaysia pada 19 Mei tahun lalu, namun pada hakikatnya Suruhanjaya untuk Kawalan Fail Interpol (Commission for the Control of Interpol's files) telah dalam persidangan Sesi 102 yang diadakan pada 24 hingga 27 Oktober tahun lalu, batalkan akan pengeluaran dan pendaftaran "notis merah yang dipohon oleh India terhadap Dr Zakir Naik.

(a)(v) Justeru, apabila pihak penguatkuasa jenayah antarabangsa seperti Interpol sendiri tidak berpuashati berkaitan prosedur dan sokongan fakta berkaitan permohonan kerjasama pembanterasan jenayah antarabangsa ini, maka sememangnya adalah tidak adil untuk pengkritik secara salah menuding jari terhadap kerajaan berhubung ketiadaan tindakan yang diambil berhubung kehadiran berterusan Dr Zakir Naik di Malaysia.

(b)(i) Yang keduanya, pada 9 Januari lalu pula,satu tribunal rayuan untuk Akta Pencegahan Gubahan Wang Haram di India sendiri, yang diketuai Hakim Manmohan Singh telah mengeluarkan perintah untuk halang Pejabat Pengarah Pelaksanaan (Enforcement Directorate) di sana dari mengambil alih hak ke atas harta-harta Dr Zakir Naik yang telah awalnya dirampas atas siasata alegasi jenayah gubahan wang haram, atas alasan:

"When the lawyer spoke about “incitement of violence in youth through Naik’s speeches”, Justice Singh said that the ED did not produce any prima facie evidence or statements from “such misguided youths” as to how these speeches pushed them to commit illegal acts.",

“Have you recorded anybody’s statement as to how they were influenced by these speeches? Your chargesheet does not even mention how these speeches played any role in a terror attack in Dhaka in 2015,” he said.

“Have you read the speeches which form part of your chargesheet? I have heard many of these speeches and I can tell you that so far I haven’t come across anything objectionable,” the judge told the ED’s lawyer.

"The Tribunal also ordered a “status quo” stopping the ED from taking possession of a Chennai school and a commercial property in Mumbai" dan

"The ED had attached three properties of Naik, however, the judge said the agency cannot now proceed with the physical possession."

(b)(ii) Justeru, bagaimanakah kerajaan Malaysia boleh bertindak terhadap Dr Zakir Naik berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, sedangkan pihak berkuasa kehakiman India yang berkenaan sekalipun tidak puas hati dengan tahap bukti yang ditampilkan oleh pihak siasatan India terhadap Dr Zakir Naik itu?

(c) Yang ketiganya, Dr Zakir Naik yang memegang taraf penduduk tetap sejak enam tahun lalu, iaitu sebelum daripada kewujudan mana-mana alegasi yang dilemparkan terhadapnya oleh pihak berkuasa India, sememangnya berhak kepada haknya di bawah taraf itu, untuk dilindungi oleh kerajaan Malaysia, selagi Dr Zakir Naik, tidak menyalahi mana-mana syarat taraf kedudukannya dan tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah di negara ini, Malaysia.

(d)(i) Akhir sekali, sekiranya pihak kerajaan India masih meneruskan dengan mana-mana permohonan rasmi untuk tujuan perolehan ekstradisi berhubung Dr Zakir Naik dari kerajaan Malaysia, semestinyalah segala proses dan keperluan akan wajib dipatuhi oleh kerajaan Malaysia menurut tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa dan juga tempatan, yang akan diputuskan oleh mahkamah Malaysia yang sah, di mana semua pihak, iaitu, kerajaan India sebagai pemohon, kerajaan Malaysia sebagai negara luar terbabit, dan Dr Zakir Naik sebagai individu terbabit, akan kesemuanya berhak menampilkan hujah masing-masing di mahkamah kelak, jika ada.

(d)(ii) Sehingga itu, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari kepada kerajaan Malaysia seolah-olah kerajaan wajib hantar pulang Dr Zakir Naik ke India, sedangkan pihak-pihak pengkritik terbabit gagal untuk mengkaji kedudukan sebenar isu ini di sisi undang-undang dan kedudukan kes ini menurut perkembangan antarabangsa.

HANIFF KHATRI adalah seorang peguam.

Pelantikan ketua hakim tidak ganggu penghayatan Islam

ZIKRI ABDULLAH

Pelantikan Ketua Hakim Negara bukan beragama Islam tidak menjejaskan aktiviti penghayatan Islam di negara ini.

Naib Presiden AMANAH Husam Musa berkata dalam sistem perundangan di negara ini, seorang Ketua Hakim Negara tiada hak mencampuri hal ehwal agama Islam.

“Ada ketua hakim boleh campur hal solat kita, zakat kita, ibadah kita atau sebarang amalan yang kita nak buat,?” soalnya ketika mengambil bahagian di Program kKuliah mingguan AMANAH Kelantan pagi ini.

Kontroversi yang ditimbulkan berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum katanya adalah rekaan pihak tertentu yang cuba mengelirukan orang ramai.

Menyentuh pentadbiran Persekutuan di Kelantan yang ditadbir oleh pembangkang, beliau memberi jaminan tidak akan mengulangi ketidakadilan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

“Agensi-agensi persekutuan akan bergerak memajukan semua sektor untuk membangunkan rakyat.

” Agensi seperti Kada mempunyai aset yang begitu besar bagi meningkatkan sumber makanan dan aktiviti pelancongan, katanya.

Menurutnya selain meningkatkan pengeluaran padi, tanah dan saliran di kawasan Kada perlu dinaiktaraf.

“Tali air kita perlu diperkemaskan semula sebagai tapak penternakan ikan secara modern.

“Batas-batas tali air pula perlu ditanam bunga-bunga indah.

“Dengan wujudnya suasana menarik dan ikan-ikan segar dalam tali air barulah kita mampu menarik pelancong dari seluruh dunia, katanya.

Beliau turut menyebut rancangan penternakan lembu berteknologi tinggi yang akan dibawa dari negara Jepun.

“Dalam satu lawatan saya ke Jepun, didapati mereka memajukan sistem penternakan yang amat baik dan sama seperti yang disebut dalam Al Quran.

” Mereka menyembelih lembu ketika masih muda dan dagingnya lembut manakala cara memasaknya menggunakan batu yang dipanaskan, katanya.

Kuliah mingguan AMANAH yang sebelum ini diadakan di Wisma Tok Guru dipindahkan ke masjid RTC Tunjong bermula hari ini.

Definisi 'martabatkan Islam' PAS tidak jelas, kata Hanipa

Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin mempersoalkan sikap PAS kerana mempertikai beberapa siri pelantikan dalam sektor undang-undang dan badan kehakiman.

Hanipa mempersoalkan apakah definisi sebenar 'memartabatkan Islam' oleh PAS yang didakwanya tidak jelas dan tidak selari dengan 'sejarah kecemerlangan Islam'.

"Apabila saya membaca beberapa kenyataan pemimpin parti tersebut, saya dapati hujah mereka lebih diwarnai emosi serta budaya sloganistik dari nilai intelektualisme yang tinggi.

"Bagi saya, sikap sebegitu amat tidak selari dengan sejarah kecemerlangan Islam yang ditonjolkan oleh para alim ulamanya di sepanjang zaman.

"Yang jelas tidak jelas dari kenyataan mereka bagaimana mereka mendefinisi martabat Islam yang dikatakan semakin samar itu di era PH (Pakatan Harapan).

"Saya juga tidak pasti bagaimana mereka mengukur usaha keras HARAPAN misalnya mempamerkan dasar ketelusan, menentang pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa dari kacamata Islam," jelasnya dalam satu kenyataan.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan semalam mendakwa beberapa siri pelantikan dalam sektor undang-undang dan kehakiman oleh kerajaan HARAPAN baru-baru ini sangat meresahkan umat Islam.

Beliau merujuk pelantikan hakim kanan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, Datuk Liew Vui Keong sebagai menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga ehwal undang-undang serta Tommy Thomas sebagai peguam negara.

“Melihat tiga posisi penting ini telah diisi oleh sosok yang sangat meresahkan umat Islam, maka apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang,” soal Nasrudin.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa rekod Malanjum membuktikan penghakimannya jelas tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting seperti kes murtad membabitkan Lina Joy atau nama sebenarnya Azlina Jailani pada 2006.

Malanjum juga merupakan salah seorang daripada tiga hakim yang mengundi untuk membenarkan kalimah Allah merujuk kepada Jesus oleh akhbar The Herald.

Ambil masa baca perlembagaan

Hanipa yang juga timbalan menteri undang-undang berkata beliau secara tidak langsung terkait apabila pelantikan Liew Vui Keong turut dipersoalkan.

"Saya berani menegaskan yang ketua saya iaitu YB Menteri, dari hari pertama lagi, secara jelas meminta segala isu yang berkaitan agama Islam dan syariah misalnya ditangani oleh saya.

"Lihatlah betapa beliau amat berhati hati dan berjaga jaga dengan sensiviti agama," katanya.

Menurut Hanipa, beliau sendiri telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dengan isu pentadbiran agama Islam dan syariah di negara ini.

"Mengenai Peguam Negara , mereka yang gusar dan bimbang tak menentu itu hanya perlu ambil masa sedikit membaca Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menggaris sempadan wilayah peguam negara dalam isu berkaitan syariah.

"Begitu juga dengan peranan, kuasa dan jurisdiksi Ketua Hakim Negara.

"Memetik keputusan/penghakiman menentang ( dissenting judgement ) Ketua Hakim Negara dalam kes tertentu dan terus dengan laju menyimpulkan kononnya Islam digugat adalah, maaf, satu sikap dan adab yang paling tidak bertanggungjawab.

"Sikap sebegitu, bagi saya, hakikatnya yang meremehkan martabat dan kecermerlangan Islam," jelasnya.

Serangan siber, Malaysia boleh rugi hingga AS$12.2 bilion

Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan mengalami kerugian sehingga AS$12.2 bilion (AS$1=RM4.04), iaitu 4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak AS$296 bilion, disebabkan insiden keselamatan siber.

Berdasarkan kajian Microsoft dan firma perunding Amerika Syarikat, Frost & Sullivan, organisasi besar di negara ini boleh menanggung kerugian AS$22.8 juta, 630 kali lebih tinggi berbanding syarikat biasa.

“Serangan keselamatan siber mengakibatkan kehilangan pekerjaan merentas pelbagai fungsi dalam 3 daripada 5 organisasi yang mengalami serangan siber sejak 12 bulan terakhir,” kata Saigo Agarwal, Naib Presiden Pemasaran Asia Pasifik Frost & Sullivan, pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata kerugian itu dikira berasaskan model data makroekonomi dan maklumat yang dikongsi oleh responden dalam kaji selidik.

Kerugian tersebut mungkin dalam bentuk kerugian kewangan langsung manakala kerugian tidak langsung mungkin dalam bentuk kehilangan reputasi akibat daripada kos peluang kepada organisasi dan kos teraruh (induce) disebabkan kesan pelanggaran siber dalam keseluruhan ekosistem dan ekonomi.

“Walaupun kerugian langsung akibat pelanggaran keselamatan siber paling ketara, ia hanya sebahagian kecil daripada yang sebenarnya,” katanya.

Pegawai Teknologi Kebangsaan Microsoft Malaysia Dr Dzaharudin Mansur, pula berkata serangan keselamatan siber akan menjejaskan kemampuan organisasi untuk memperoleh peluang masa depan dalam era digital.

“Dunia ekonomi digital bergerak dengan pantas. Ancaman ini adalah yang sebenar dan ia semakin menjadi lebih berbahaya.

“Mereka yang bergantung kepada sambungan Internet, seperti bandar pintar, kenderaan autonomi dan industri tenaga, boleh terjejas sekiranya langkah yang betul tidak diambil,” katanya.

Pautan paling lemah yang boleh menyebabkan ancaman siber terhadap alam sekitar ialah manusia sendiri, kata Dzaharudin.

“Kita mendapat e-mel setiap masa yang meminta kita supaya klik pada pautan untuk mendapatkan sesuatu secara percuma – wang, sebagai contoh. Separuh daripada kita klik pada jam pertama. Ini sendiri telah membuka pintu kepada penggodam untuk menyusup sistem, sekali gus menyebabkan masalah yang lebih besar,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata sebagai negara yang menuju kepada era digital, risiko akan meningkat.

“Lebih luas sambungan internet dan digitalisasi, semakin mudah bagi setiap orang untuk dijadikan sasaran. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya dan mencari cara untuk mengurangkan risiko,” katanya.

Wartawan dijamu ‘hidangan babi’ oleh penganjur?

MALAYSIA DATELINE 
Wartawan dijamu ‘hidangan babi’ oleh penganjur?
Beberapa wartawan beragama Islam dan Hindu amat terkilan apabila mereka dihidangkan daging babi ketika membuat liputan majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong di Melaka, malam semalam.

Menurut laporan portal Utusan hari ini dipetik , wartawan kecewa dengan sikap tidak sensitif penganjur yang gagal mengelolakan majlis itu dengan baik dan menghidangkan menu babi tanpa memaklumkan perkara berkenaan.

Portal itu turut menyiarkan gambar yang didakwa sebagai hidangan berkenaan.

Wartawan yang tidak dinamakan itu dilaporkan kesal kerana pihak penganjur tidak menyediakan meja khas untuk makanan halal kepada wartawan beragama Islam.

Menurut portal itu, majlis berkenaan juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; ahli-ahli dewan undangan negeri serta beberapa tetamu kehormat lain.

Lebih teruk lagi, kata laporan itu, langsung tiada wakil daripada pihak penganjur yang mendekati wartawan untuk memaklumkan mengenai jenis hidangan sepanjang majlis tersebut.

Ini hingga menyebabkan wartawan beragama Islam duduk semeja dan makan makanan yang tidak diyakini halal bersama wartawan bukan Islam.

Antara wartawan yang hadir termasuk daripada agensi berita Utusan Malaysia, MelakaKini, RTM Melaka, The Star dan Tamil Nesan Daily selain beberapa wartawan daripada akhbar Cina.

Dituduh tak fasih bahasa Melayu, Peguam Negara bukti kemampuan (video)

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas tampil memberikan ucapan dalam bahasa kebangsaan selepas dikritik tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Ucapan yang tular di media sosial itu dipercayai dibuat ketika majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiri di Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas usaha menganjurkan majlis hari raya.

“Saya berharap hubungan erat di antara pegawai dapat dikuatkan dengan semangat setia kawan akan memberi manfaat kepada semua,” kata Tommy.

Terdahulu, Tommy berjanji memperbaiki penguasaan bahasa Melayunya, selepas mengakui tidak kerap menggunakan bahasa kebangsaan sewaktu berkhidmat di sektor swasta.

“Saya perlu menguasainya… Saya benar-benar mesti menguasainya. Saya berjanji untuk menguasainya,” katanya sebelum ini.

Minggu lalu, Tommy yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, meminta perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Kefasihan Tommy dalam bahasa Melayu antara isu yang dibangkitkan pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti Tan Sri Mohamed Apandi Ali, awal bulan lalu.

Khairy kecewa dengan Umno: Walau kena pukulan maut tapi Umno masih 'pekak'

Khairy Jamaluddin yang tewas dalam pemilihan merebut kerusi presiden Umno bulan lalu menyatakan keresahannya terhadap hala tuju yang diambil parti itu kini.

Beliau melihat Umno kini semakin ke arah perkauman selepas tewas pada PRU ke-14 dan baginya itu hanyalah jalan menuju 'kehancuran'.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum dan kutip tabung untuk bekas presiden (Datuk Seri Najib Razak)...Takkan itu saja 'Umno baru'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU ke-14 (tetapi) masih pekak terhadap suara rakyat.

"Jika modal untuk PRU ke-15 hanyalah momokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim, lupakan saja impian menawan semula Putrajaya," katanya di Twitter hari ini.

Beliau merujuk kepada bantahan Umno terhadap pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara pada bulan lalu dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara semalam.

Dengan nada yang jelas kecewa, bekas ketua pemuda Umno itu berkata parti itu kini perlu memilih sama ada mahu kekal dengan cara itu atau mengambil "jalan tengah".

"Ke kanan (Umno) mungkin menang sorak sementara, tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi. Haluan tengah bukan mudah dan sukar difahami akar umbi, tetapi itulah jalan yan ada untuk survive," katanya yang kini tidak lagi memegang apa-apa jawatan pusat parti itu.

Sebaik kekalahan pada PRU lalu, Khairy berkata ada keperluan untuk melakukan pembaharuan terhadap Umno termasuk membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Antara kempennya sebagai presiden Umno pula adalah untuk menjadikan Umno sebagai pembangkang berwibawa terutama bagi menuntut janji 100 hari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Khairy bagaimanapun berkata akan kekal bersama Umno kerana percaya parti itu masih "khemah besar" untuk orang Melayu dengan prinsip sederhana, haluan tengah dan meraikan kepelbagaian.

"Sebab itu saya masih bersama Umno...Cuma saya nak perbetulkan rumah saya ini agar tidak kekal dengan haluan kanan yang eksrem dan rasis selama-lamanya," katanya lagi.
-malaysiakini

Rosmah, Dari gala mewah ke mahkamah: Pertikaian dengan tukang emas Lubnan

KINIGUIDE | Pada Oktober 2011, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di London untuk menghadiri satu majlis amal anjuran peniaga berlian Samer Halimeh, di hotel lima bintang Mandarin Oriental.
Ia sebuah acara yang mewah, dengan hadirin di kalangan pereka fesyen, orang kenamaan serta golongan diraja, termasuk Sultanah Pahang Sultanah Kalsom Abdullah.
Hampir tujuh tahun kemudian, Rosmah dan Samer kini di berada di pihak bertentangan di kamar mahkamah. Samer yang merupakan warga Lubnan turut serta dalam saman RM60 juta terhadapnya.
Malaysiakini menjelaskan perincian saman tersebut dan siapa yang terlibat dalam syarikat Lubnan yang memfailkannya.
Tentang saman
Saman yang difailkan firma borong emas Lubnan Global Royalty Trading SAL pada 26 Jun lalu melibatkan 44 barang kemas yang dihantar kepada Rosmah pada Februari lalu dan dirampas polis pada Mei.
Dokumen mahkamah menyatakan ia dihantar oleh Samer, yang dinamakan sebagai ejen dan penjual, selain seorang lagi individu bernama Maen Shakhshir.
Syarikat itu dijelaskan sebagai "pemborong barang kemas ternama di dunia" dengan rangkaian pelanggan termasuk golongan diraja dan kaya-raya seluruh dunia. Rosmah juga disifatkan sebagai pelanggan lama syarikat itu.
Global Royalty mendakwa ia menghantar barang kemas atas permintaan Rosmah untuk dinilainya. Barangan terpilih kemudian akan dibayar olehnya atau pihak ketiga. Barang kemas yang tak terpilih pula akan dipulangkan semula, kata syarikat itu.
Dalam saman itu, Global Royalty mendakwa ia sebagai pemilik berhak ke atas 44 barang kemas yang dirampas polis dan mahu mendapatkan arahan mandatori agar ia dipulangkan semua, atau untuk Rosmah membayar berdasarkan nilainya.
Tentang Global Royalty
Pada masa ini tak banyak yang diketahui tentang Global Royalty, walaupun syarikat itu menyifatkannya sebagai "terkenal seluruh dunia".
Tidak banyak maklumat tentangnya di internet, walaupun Malaysiakini berjaya mengesan nama syarikat itu dalam daftar komersial kerajaan Lubnan.
Alamat syarikat pada daftar itu sama seperti yang terdapat dalam dokumen mahkamah.
Menurut daftar itu, Global Royalty didaftarkan pada 1 November 2017.
Syarikat itu, antara lain, disebut sebagai "menjalankan operasi komersial di Lubnan dan luar negara" serta "menjalankan perniagaan hartanah daripada pembelian dan sewaan apartmen dan kedai".
Perniagaan barang kemas tidak disebut secara khusus.
Pemegang saham terbesar dan ketua pengarah syarikat bernama "Lina Hassib Halimeh".
Tidak banyak maklumat lain yang ditemui tentang syarikat misteri ini serta individu bernama Maen Shakhshir.
Bagaimana dengan Samer? Siapakah dia?
Tidak seperti Global Royalty, maklumat tentang Samer dapat ditemui di internet. Dia memiliki akaun Facebook, Twitter dan Instagram serta laman web sendiri.
Semakan di akaun instagramnya juga menunjukkan dia bukan saja bertemu Rosmah dan Sultanah Pahang, malah Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Monaco pada Mei 2014.
Lahir di Beirut, Lubnan, ketika kemuncak perang saudara negara itu, laman web Samer menyifatkan dirinya "tergoda dengan tarikan industri berlian seawal usia kanak-kanak" dan berjaya menjual berlian pertamanya pada usia 12 tahun.
Dia kini berpangkalan di New York dan memiliki perdagangan berlian sendiri.
Siapa pelanggannya dan apa jenis berlian yang dijual?
Samer mempunyai senarai pelanggan eksklusif di kalangan selebriti seperti Oprah Winfrey, model Naomi Campbell, Angelina Jolie dan Paris Hilton, serta beberapa anggota keluarga diraja.
Antara berlian yang dijualnya adalah emerald 65-carat "Vivo Per Lei" yang pernah menjadi milik bangsawan Eropah, serti berlian 75-carat berbentuk hati "The Beating Heart".
Laman web Samer menjelaskan keunikan "The Beating Heart" - dia sendiri akan "menilai permintaan yang dihantar untuk memilikinya, dan akan memilih pembeli yang mempunyai 'niat hati yang bersih'".
Di mana dan bagaimana untuk membelinya?
Menurut laman webnya lagi, Samer keberatan untuk "melambakkan pasaran dengan ciptaannya".
"Samer menghargai privacy dan ironinya, di sebalik kejayaannya, dia sengaja kekal elusif.
"...Setiap urus niaga dikendalikannya satu demi satu, tanpa penglibatan pihak ketiga dan dia menegaskan aspek ini tak akan berubah.
"Maka Samer menawarkan tontonan secara tertutup atas permintaan," kata laman itu lagi.
Cubaan Malaysiakini untuk memasuki bahagian "tontonan tertutup" di laman itu gagal kerana ia dilindungi kata laluan.
Bagaimanapun Samer tetap memiliki kedai di lima lokasi, iaitu New York, London, Cannes, Riyadh dan Kuala Lumpur di Starhill Gallery.
Tentang Lina Hassib Halimeh, pemegang saham terbesar Global Royalty
Terdapat satu laman web untuk perniagaan berlian bernama "Lina Halimeh Diamonds".
Menurut laman itu, Lina Halimeh Diamonds berpangkalan di New York, Los Angeles, London, Abu Dhabi, Dubai dan Beirut.
Di bahagian "Berita", terdapat satu seksyen bertajuk "Samer Halimeh New York", dengan penerangan tentang perniagaan butik utama Samer di sana.
Sama seperti laman web Samer, bahagian "Katalog" dan "Inventori" laman Lina Halimeh juga memerlukan kata laluan.
Apakah wujud hubungan antara Samer Halimeh dan Lina Halimeh?
Pada masa ini, tidak jelas sama ada wujud hubungan antara "dua Halimeh" ini. Malaysiakini tidak dapat menemui sebarang bukti sah berhubung hubungan mereka selain daripada saman terhadap Rosmah.
Apa lagi yang boleh diketahui?
Pada masa ini hanya ini saja yang dapat ditemui Malaysiakini berhubung syarikat di sebalik saman terhadap Rosmah.
Maklumat lain tentang Global Royalty dan tokoh utama dalam saman itu pasti akan terdedah dengan perjalanan kes itu.

Kiniguide ini disediakan oleh GERALDINE TONG.

Muhyiddin cuti sakit, Dr M ambil alih tugas di KDN

Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tugas menteri dalam negeri berkuat kuasa hari ini, ekoran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bercuti sakit selepas pembedahan.

Perkara itu dinyatakan setiausaha akhbar menteri dalam negeri Hafiz Abdul Halim dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Muhyiddin selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas.

"Pembedahan tersebut telah berjaya dan beliau kini dalam keadaan stabil. Beliau akan mengambil cuti bagi menjalani rawatan bermula hari ini dan dijangka kembali bertugas dalam tempoh sebulan.

"Sementara ketiadaan beliau, perdana menteri akan menjalankan tugas-tugas menteri dalam negeri," katanya lagi.

Bekas pegawai khas Najib direman

WARTAWAN SINAR HARIAN
PUTRAJAYA - Seorang bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak direman empat hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai penahanan reman individu berusia 44 tahun itu.

“Dia ditahan pada Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menggelapkan wang diterima dari sebuah syarikat yang dianugerahkan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak,” katanya.

Difahamkan perintah reman empat hari sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas dipohon SPRM.

Memetik laporan sebuah portal dalam talian hari ini, berdasarkan maklumat sumber SPRM, bekas pegawai khas itu didakwa meminta wang daripada sebuah syarikat berpangkalan di Bintulu.

“Kami difahamkan dia meminta wang dengan jumlah yang besar,” katanya namun tidak mendedahkan jumlah berkenaan yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Sebelum ini Sarawak Report, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa kakitangan kementerian yang menyatakan keprihatinan berhubung proses penganugerahan kontrak terbabit ditukarkan, manakala laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia langsung tidak dihiraukan.

Elak harta wakaf diseleweng atas nama agama

MOHD FITRI ASMUNI

Sehari dua ini kecoh cerita seorang ustaz selebriti di Perak hendak jual Sekolah Tahfiz beliau di Perak. Dengar cerita, sekolah tahfiz tersebut dibina hasil dari wakaf orang ramai.

Beliau hendak jual sekolah itu kerana beliau sudah tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan pengurusan sekolah itu atas alasan telah disekat oleh kerajaan sekarang dari mengajar di masjid.

Sebenarnya kalau mengikut undang-undang, harta wakaf di Malaysia ini sepatutnya berada di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

MAIN bertindak sebagai Pemegang Amanah terhadap setiap harta wakaf. Di Perak sebagai contoh, undang-undang yang mengurus harta wakaf diperuntukkan di bawah Enakmen Wakaf (Perak) 2015.

Adakah maahad tahfiz, pondok, pusat pengajian dan rumah anak yatim yang dibina hasil daripada dana wakaf di Perak ini semuanya didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Perak?

Itu saya tidak boleh sahkan dan saya pun tidak pasti sejauh mana undang-undang wakaf ini dikuatkuasakan ke atas harta-harta wakaf yang ada di negeri Perak ini.

Bagi saya, harta wakaf ni perlu diurus dengan baik. Kerajaan perlu ambil serius terhadap setiap harta yang dibangunkan dan diberikan melalui dana wakaf ini sebab setiap pewakaf ini mewakafkan harta mereka dengan niat untuk ibadah dan pahala, bukan sebab lain.

Kalau ada keperluan, wujudkan Jabatan khas untuk mengelola dan mengurus semua harta wakaf di peringkat negeri. Letakkan di dalamnya orang yang benar-benar berkepakaran dan berkelayakan daripada pelbagai bidang untuk menguruskan harta wakaf.

Ini penting supaya semua harta wakaf dapat dibangunkan, dimajukan dan akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat. Kalau harta wakaf ini dapat dijaga dengan baik, wakaf boleh benar-benar menjadi instrumen penting dalam memperkasakan ekonomi ummat.

Antara harta wakaf yang berjaya dibangunkan dan memberi manfaat kepada masyarakat ialah tanah wakaf di Jalan Perak yang menjadi tapak Menara Bank Islam sekarang. MAIWP yang menjadi Pemegang Amanah untuk tanah wakaf itu.

Sekiranya undang-undang yang mengurus harta wakaf ini tidak dikuatkuasakan dengan baik, dibimbangi ia akan disalahguna oleh sesetengah pihak yang menjadikan wakaf sebagai “modal” untuk mereka mengaut keuntungan peribadi.

Jadi banyaklah nanti tumbuh sekolah tahfiz dan rumah anak yatim atas nama wakaf, tetapi pengurusannya teruk dan tempatnya kotor, budak-budaknya bermasalah dan tak berdisiplin. Harta wakaf tidak berkembang, orang lain yang kaya. Ini realiti, bukan fantasi. Tolong jangan kecam!

Mengikut Enakmen Wakaf (Perak) 2015, Majlis Agama adalah Pemegang Amanah tunggal bagi semua wakaf yang terletak di negeri Perak.

Hanya Majlis Agama saja yang ada hak untuk tentukan sama ada wakaf boleh dijual atau diganti, bukan orang lain. Bagi saya, membiarkan harta wakaf di bawah pengurusan individu atau pihak yang tidak berautoriti hanya akan menyebabkan terbukanya lagi ruang penyelewengan atas nama agama demi kepentingan peribadi.

Saya harap pihak kerajaan ambil berat dan aware dengan isu wakaf ni. Kalau bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Ali Hashim masih hidup, tentu beliau akan respon isu wakaf yang sedang hangat sehari dua di Perak ini.

* Penulis ialah Ketua Pemuda AMANAH Perak.

Anwar tolak tawaran Mahathir jadi senator, kata Saifuddin

Kow Gah Chie & Shakira Buang
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan kepada bakal penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatan sebagai senator bagi menyertai pentadbiran kerajaan, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Saifuddin mendedahkan cadangan itu dibuat pada 13 Mei, tiga hari sebelum pengampunan penuh diberikan kepada Anwar daripada sabitan liwat.

"Semasa Tun datang melawat Anwar, beberapa hari sebelum Anwar diberi pengampunan penuh saya berada dalam bilik itu bersama kedua-dua mereka.

"Tun Mahathir mempelawa Anwar untuk menjadi anggota pentadbiran dan dilantik sebagai senator. Anwar dengan sopan berkata oleh kerana Wan Azizah adalah TPM adalah lebih molek untuk dia tidak menjadi sebahagian anggota pentadbiran.

"Maksudnya pada waktu itu Tun berpendapat dia mahu melibatkan Anwar dan jalannya ada dua - sama ada senator atau dia bertanding sebagai MP.

"Dia (Anwar) mengucapkan terima kasih kepada Tun sambil dia menyebut "Tun, the stage is yours, you should be the one who run the show'".

"Maknanya dia memberikan kepercayaan penuh dan sokongan penuh kepada Tun," tambah anggotaa parlimen Kulim Bandar Baharu itu.

Katanya lagi, apabila Mahathir bertanya mengenai rancangan ketua umum PKR itu selepas ini, Anwar berkata beliau akan ke luar negara untuk memberikan syarahan dan menjelajah seluruh negara bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum ini, Anwar menegaskan beliau akan kembali dalam politik sebagai anggota Dewan Rakyat namun enggan melakukannya melalui pilihan raya kecil di kerusi Pandan yang dimenangi oleh isterinya yang kini memegang jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun status senator dikira sebagai anggota parlimen, kebiaasannya ia diihat sebagai 'pintu belakang' untuk menyertai pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun tidak diketahui tempoh sebenar Anwar untuk kembali ke Parlimen dan seterusnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri kelapan seperti yang dirancang.

Ketika beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman 39 bulan penjara atas sabitan liwat pada 16 Mei, Anwar berkata beliau tidak akan tergesa-gesa untuk kembali semula dalam politik.

Tiga minggu kemudian, bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan berkata beliau akan kembali ke Parlimen dalam beberapa bulan dan proses itu mungkin akan dipercepatkan.

Tiada tempoh untuk Anwar

Saifuddin berkata PKR tidak menetapkan tempoh masa untuk Anwar kembali ke politik dan ia tidak perlu berbuat demikian.

"Dia berada dalam kerajaan sejak 80-an. Seperti mana kita tak meletakkan tempoh masa kepada Tun, kita juga tidak meletakkan tempoh masa kepada Anwar.

"Dia boleh tetapkan sendiri, dia nak buat pilihan raya kecil ke, di mana ke (bertanding), dia akan tentukan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

"Sebaliknya seluruh anggota parlimen PKR diminta oleh Anwar dan Wan Azizah memberikan sokongan dan dukungan kepada Tun dan kerajaan untuk mentadbir dengan tenang dan yakin," tambah Saifuddin.

Anwar kini berada di Turki untuk menjalani pembedahan bahu dan telah selesai menjalani pembedahan tulang belakang.

Sementara itu, Saifuddin juga menafikan dakwaan terdapat lobi dalam PKR yang menjadi punca mengapa 25 anggota kabinet mengangkat sumpah hampir 10 minggu selepas HARAPAN memenangi pilihan raya umum 9 Mei.

"Tak betul dan sangat tidak adil (dakwaan itu) kepada PKR.

"Perdana menteri meminta setiap parti memberikan nama dan meminta kepada pemimpin dalam Majlis HARAPAN bahawa berikan kepercayaan bahawa ini adalah prerogatif beliau sebagai perdana menteri.

"Tidak ada sebarang lobi daripada parti PKR, daripada Anwar, Wan Azizah dan saya sendiri, tidak ada sebarang lobi. Kita serahkan sepenuhnya kepada Tun Mahathir," katanya.

Saifuddin berkata beberapa nama yang dikemukakan oleh PKR juga tidak diterima masuk dalam kabinet.

"Ada yang dapat dan ada yang tidak dapat. Perkara yang sama juga berlaku kepada DAP dan AMANAH," jelas beliau.

Beliau juga ditanya sama ada nama Azmin terdapat dalam senarai tersebut.

"Azmin pada waktu itu menteri besar Selangor, pada masa senarai diangkat dan parti menyerahkan kepada perdana menteri, Azmin menteri besar Selangor.

"Parti jelas di situ kerana menteri besar tidak boleh jadi menteri. Takkanlah PKR terlalu bodoh, kamu menteri besar dan takkanlah kamu tak tahu perlembagaan negara kita," katanya.

Menurut Saifuddin, kedudukan Azmin dalam kabinet merupakan kehendak dan hak prerogatif perdana menteri.

Pada masa ini PKR memiliki enam anggota kabinet daripada 28 anggota dan secara sepintas lalu, kebanyakannya mereka dilihat dengan kumpulan Azmin.

"Pandangan saya yang dapat jawatan menteri adalah geng PKR," katanya yang menolak dakwaan bahawa parti itu berpecah kepada kumpulan Azmin dan naib presidennya, Rafizi Ramli.
-malaysiakini

Pengetua, guru ditahan dakwaan rogol pelajar

BHUBANESWAR: Polis India menangkap tujuh orang semalam, termasuk pengetua dan guru sebuah sekolah, kerana disyaki merogol dan memeras ugut seorang remaja perempuan selama beberapa bulan, kes terbaru penderaan seksual ke atas golongan bawah umur.

Kejadian terbaru keganasan seksual mencetuskan bantahan di beberapa bandar raya di India tahun ini, mengulangi bantahan besar-besaran berhubung kes rogol beramai-ramai dan bunuh pada 2012, dan mengenakan tekanan ke atas Perdana Menteri Narendra Modi, yang berjanji mengambil tindakan.

Dalam kes terbaru, lima pelajar, seorang guru dan pengetua ditangkap di Bihar selepas gadis berusia 15 tahun memfailkan aduan minggu lalu, kata polis.

Ketua Polis Daerah, Har Kishore Rai, berkata gadis itu memberitahu polis dia dirogol oleh pelajar dalam tandas sekolah pada Disember 2017.

Penderaan seksual itu berlanjutan selama tujuh bulan.

Mangsa berkata, pengetua dan dua guru didakwa merogolnya apabila dia melaporkan kejadian itu kepada mereka, kata Rai.

"Dia mendakwa dalam masa tujuh bulan, 19 orang merogolnya.

"Siasatan diteruskan, kami meneliti bukti terhadap setiap seorang tertuduh," kata Rai, menambah 16 suspek ialah pelajar sekolah berkenaan. - Reuters

Mufti Perlis mengulas isu Dosa LGBT dan hak

Dr Maza: Dosa LGBT dan hak

Mohd Asri Zainul Abidin
Isu LGBT telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Ia mungkin satu pengalaman baru bagi sesetengah pihak khususnya masyarakat yang kurang terdedah kepada berita dunia luar yang semakin rencam.

Namun, di Barat, isu tuntutan hak golongan LGBT bukan lagi sesuai yang baru. Jumlah golongan ini dan kadar simpati kepada golongan ini juga meningkat.

Dunia teknologi maklumat yang begitu pantas menjadikan pelbagai budaya dan amalan di tempat yang berbeza hadir ke tempat lain dengan pantasnya. Silang budaya dan cara fikir telah membentuk dunia yang baharu. Siapa yang lebih dominan, dia akan menguasai kempen budaya dan pemikiran. Akhirnya, diangkat slogan dan laungan mereka.

Maka, janganlah hairan jika banyak isu-isu baharu yang dahulunya ganjil tetapi hari ini menjadi sebahagian dari isu penting yang kita wajar menanganinya.

Bagi muslim dan juga non-muslim, di sini saya ingin menyebut beberapa perkara berkaitan sikap Islam terhadap golongan LGBT ini untuk difahami.

Hubungan seks dengan jantina sejenis menyanggahi fitrah (natural disposition) dan agama yang lurus (dalam konteks ini, Islam). Namun begitu, Islam tidak membenarkan kita menuduh seseorang melakukan hubungan seks yang salah seperti menuduh perbuatan homoseksual atau zina.

Pengakuan Maiz bin Malik al-Aslami

Bahkan kita disuruh mengelakkan dari menerima pengakuan perlakuan seks yang tidak mengikut peraturan yang sah. Ini kerana Islam tidak suka hal seperti ini dihebohkan.

Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya:

"Sesungguhnya Maiz bin Malik al-Aslami datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku telah berzina. Aku mahu engkau membersihkan daku. Rasulullah SAW menolak pengakuannya. Keesokannya dia datang lagi dan berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.

"Baginda menolak pengakuannya kali kedua. Rasulullah SAW menghantar wakil ke kaumnya lalu bertanya: Apakah kamu tahu dia ada masalah pada akalnya, ada sesuatu yang kamu rasa ganjil?

"Jawab mereka: Apa yang kami tahu dia sempurna akalnya dan kami lihat dia dari kalangan orang soleh kami.

"Keesokan harinya, Maiz datang lagi kepada Rasulullah kali ketiga. Baginda sekali lagi menolak pengakuannya dan menghantar lagi wakil ke kaumnya. Mereka memberitahu bahawa Maiz tiada masalah pada diri dan akalnya….”

'Tolak kes-kes maksiat peribadi'

Dalam riwayat Ibn Hibban, Rasulullah memerintah agar Maiz dihalau keluar dari datang kepada baginda supaya tidak terus membuat pengakuan zina tersebut.

Demikian Nabi Muhammad SAW menolak kes-kes maksiat peribadi dari dibawa kepada pertuduhan. Maksudnya, jika ada pihak yang mengaku melakukan zina ataupun homoseksual, sepatutnya kita jangan melayan dan memperdulikannya.

Itu urusan taubat antara dia dan Allah. Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu. Bahkan kita disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang.

Perbuatan homoseksual merupakan satu dosa. Menuduh orang lain melakukan perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar. Mencari-cari kesalahan orang dalam maksiat peribadi antara dia dan Allah merupakan satu dosa yang dilarang oleh agama.

Dalilnya riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :

“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab RA pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat. Lalu Umar RA berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: Kau tahukah ini rumah siapa?.

"Jawab: Tidak. Kata Umar: Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?.

"Kata ‘Abd ar-Rahman: Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: Jangan kamu mengintip. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka."

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi. Juga al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra).

Jika maksiat seperti homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan atau terbuka, maka bantahan terhadap maksiat itu perlu dizahirkan. Demikian juga jika kempen ke arah maksiat itu secara terbuka, maka jawapan balas juga secara terbuka.

Ini kerana perbuatan maksiat peribadi yang terbuka mengeluarkan maksiat itu dari daerah urusan peribadi seseorang dengan tuhannya kepada kempen terbuka yang mengganggu pihak yang lain dan iklim persekitaran.

Namun, bantahan itu hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan setiap pihak tanpa membawa kepada kerosakan yang lain. Sabda Nabi SAW:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Hak dalam hal yang berhak

Seseorang yang melakukan dosa dalam perkara tertentu, bukanlah bererti dia dinafikan hak dalam perkara yang lain.

Ini seperti dosa berzina, atau homoseksual, atau minum arak, atau berjudi dan seumpamanya. Dosa-dosa ini dibantahkan dan diingkari, namun diri yang melakukan dosa tersebut tidak dinafikan haknya dalam hal-hal yang dia berhak.

Apatah lagi, dalam kehidupan bernegara yang setiap rakyat mempunyai haknya yang tertentu. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW mengajar kita cara berikteraksi secara seimbang ini:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (keldai). Dia sering menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak.

"Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap.

"Lantas Nabi SAW pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Interaksi nabi dan peminuk arak

Dalam hadis ini, kita dapati sekalipun perbuatan minum arak itu satu dosa besar, namun peminum arak tersebut sering juga berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW sehingga baginda selalu ketawa dengan telatahnya.

Maksudnya, Nabi SAW masih berinteraksi dengan baik dengannya. Demikianlah, kesalahannya itu tidak memberikan lesen semudah-mudahnya untuk orang lain memakinya.

Nabi SAW melarang mereka mencercanya kerana baginda kenal kebaikan lelaki tersebut. Dosa tetap dosa. Namun, satu dosa tidak menjustifikasikan untuk dosa lain dilakukan ke atas diri yang berdosa.

Dalam konteks hari ini, hak pendidikan, hak jual-beli, hak bekerja, hak mendapat keadilan, hak harta dan seumpamanya bagi golongan yang melakukan dosa besar ini termasuk LGBT tidak diganggu selagi mereka tidak melanggar peraturan-peraturan yang berkaitan hal tersebut. Atas dasar keadilan, semua peraturan terpakai kepada semua pihak yang terbabit secara adil dan saksama.

Homoseksual satu dosa, namun ia tidak menjadikan perlakunya terkeluar daripada Islam. Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia seorang muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain.

Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah. Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan Allah masih terbuka untuk mereka.

Sebagai muslim, mereka ada hak-hak sesama muslim yang wajib ditunaikan. Ini seperti nasihat-menasihati, memberi dan menjawab salam, menziarahi ketika sakit, menerima jemputan, mengiringi jenazah dan selainnya.

Demikian juga, sebagai insan tanpa mengira agama mereka berhak mendapat bantuan ketika memerlukan seperti kecederaan, dalaman ancaman dan seumpamanya.

Hak sesama muslim, manusia

Ini apa yang Nabi SAW sebut tentang hak-hak sesama muslim dan juga hak-hak sesama manusia dalam pelbagai nas al-Quran dan hadis.

Amalan kepada seks sesama jenis ditolak oleh Islam. Ia satu menyalahi apa yang Allah mahu daripada manusia. Ia songsang.

Tuhan menciptakan lelaki dan wanita. Melalui perhubungan seks kedua-dua jantina ini manusia membiak dan berkembang secara fizikal dan emosi.

Seks sesama jenis merosakkan fitrah yang Tuhan ciptakan manusia. Ia merosakkan rohani dan jasmani insan. Ini seperti seks sesama mahram (incest), ataupun manusia dengan haiwan.

Jika seks sesama jenis diiktiraf atas asas hak asasi, maka seks sesama mahram (incest), seks dengan isteri orang lain, seks dengan haiwan dan seumpamanya dengannya juga nanti akan diiktiraf atas asas yang sama.

Terjatuh dalam dosa

Islam sebagai agama fitrah tidak mungkin mengiktiraf hal ini semua. Islam menolaknya dan menganggapnya keji. Ini jelas apabila Allah merakamkan ucapan Nabi Lut terhadap kaumnya:

(maksudnya)"... dan (Nabi) Lut juga ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas." (Surah al-‘Araf 80-81).

Benar, seks sesama jantina merupakan satu dosa. Dalam masa yang sama perlu kita ingat bahawa ia juga kadang-kala satu ujian terhadap jiwa sesetengah individu. Mereka sebahagiannya tidak dapat mengawal nafsu yang tidak sewajarnya itu. Akhirnya mereka terjatuh dalam dosa tersebut.

Kita juga mempunyai dosa dalam perkara yang lain. Seperti mana kita mengharapkan keampunan Allah, demikian juga sebahagian mereka. Maka, tugasan kita bersama ia membantu antara satu sama lain kembali kepada Allah dan mendapatkan keampunanNya.

Dakwah kembali fitrah

Dakwah agar golongan LGBT kembali fitrah merupakan dakwah yang mulia. Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar.

Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu. Ini seperti firman Allah:

(maksudnya) “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Islam tolak amalan seks songsang

Maka, laras bahasa yang kita guna pakai dalam mengimbangi dakwaan mereka bahawa mereka juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini.

Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut, namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama muslim.

Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh penuh cinta dan taubat.

Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik.

Golongan LGBT sama seperti kita semua, di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang.