"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita mengamuk serang pengawal keselamatan (video)


Singapura – Rakaman video seorang wanita mengamuk mencederakan seorang pengawal keselamatan wanita berbangsa India tersebar di laman sosial.

Menurut sebuah portal, difahamkan kejadian yang berlaku di Singapura itu dipercayai berpunca daripada seorang wanita enggan membayar tambang teksi yang dinaikinya.

Wanita tersebut cuba untuk melarikan diri namun dihalang oleh pemandu teksi sebelum pengawal keselamatan wanita itu datang untuk meleraikan pertengkaran itu tetapi dia pula yang menjadi mangsa.

Malah seorang pekerja sebuah restoran berdekatan turut sama cuba meleraikan pergaduhan itu.

Namun wanita yang memakai DRESS labuh tanpa lengan dan berkasut tumit tinggi itu yang berang dengan ‘campur tangan’ pengawal keselamatan wanita berkenaan tiba-tiba bertindak menendang mangsa di bahagian paha hingga dia tertolak ke belakang.

Walau bagaimanapun, pengawal keselamatan wanita itu enggan mengalah dan terus mencengkam tangan wanita tersebut dari terus membuat onar atau mencederakan orang lain.

Di akhir video itu, pengawal keselamatan wanita itu menunjukkan kesan luka pada bahagian buku lima tangannya akibat dikasari wanita terbabit. – Mynewshub


KJ hantar surat letak jawatan? kerana tidak bersetuju dengan penjelasan isu 1MDB

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan bahawa Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu dibuat kerana Ketua Pemuda Umno itu tidak bersetuju dengan penjelasan yang diberikan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion pada tahun lalu.

“Pada tahun lepas, salah seorang kenalan kita menjemput saya untuk berjumpa dengan KJ secara sulit di rumahnya, kira-kira jam 11.30 malam. Saya pergi sendiri ke rumah dia, berjumpa tiga orang sahaja dan ada saksi.

“Perjumpaan itu kononnya untuk menyatukan kami berdua kerana kami dilihat pemimpin-pemimpin muda dalam Umno yang walaupun nampak sebelum ini bertentangan, tapi dalam hal menyelamatkan Umno ketika itu dia ingat kami berdua mungkin boleh lakukan suatu menggerakkan ahli-ahli di peringkat akar umbi khususnya orang muda untuk menolak kepimpinan Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ceramah perdana sempena majlis perasmian ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stargate, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pengakuan daripada KJ itu dibuat dengan alasan tidak mempercayai langsung alasan yang diberikan perdana menteri mengenai isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Dia kata kepada saya, alasan-alasan yang diberikan langsung tak masuk akal dan macam memperbodohkan rakyat. Kemudian mengenai RM2.6 bilion, dia kata pak Arab ini bukan semuanya kaya termasuklah putera-putera raja pun. Jadi pilihlah yang mana tak kaya, bagi RM10 atau RM20 juta, suruh dia mengaku kononnya dia bagi RM2.6 bilion kepada Najib, selesailah.

“Itu kata-kata KJ kepada saya dan dia yakin perkara itu berlaku. Bukan setakat itu sahaja, dinyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk letak jawatan kerana sudah tak tahan membela seorang pemimpin yang dia tahu salah guna kuasa. Kami memang sependapat mengenai masalah yang dibawa ke dalam Umno oleh presiden sendiri,” katanya.

Mukhriz berkata, maklumat yang beliau terima akhirnya KJ memang sudah menyerahkan surat peletakan jawatan Menteri Belia dan Sukan kepada Najib dan mungkin melibatkan juga jawatan Ketua Pemuda Umno.

“Tetapi saya difahamkan Najib suruh (Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi pujuk KJ dengan apa-apa tawaran yang saya tak pasti, sehingga akhirnya KJ tarik balik surat peletakan jawatan itu.

“Ini membuktikan bahawa apa yang dia sebut dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini kononnya dia sokong tak berbelah bahagi memang ayat Umno. Kononnya orang sangka dia itu jahat, tengok Mukhriz pun dah tinggal Umno. Hanya dia yang kekal, maka dia lah orang yang baik-baik kononnya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PAU 2016, Mukhriz mengakui berasa janggal dan pelik apabila buat kali pertama tidak menghadirinya pada kali ini.

“Saya nak buat pengakuan memang benar dakwaan mereka bahawa ada musuh dalam selimut, dalam Umno sebab mereka sebenarnya orang-orang Bersatu. Saya nak sentuh mengenai PAU ini kerana kita nak balas balik apa yang mereka bangkitkan itu,” katanya.
-sinarharian.

Mat Sabu: Najib dalam dilema untuk bubar Parlimen

Faiz Zainudin 
SHAH ALAM: Mohamad Sabu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih dalam dilema untuk mencari tarikh pembubaran Parlimen tahun depan.

Presiden Amanah itu berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan pada keadaan ekonomi global yang tidak menentu pada 2017, terutamanya permintaan dagangan yang lembap daripada rakan dagang terbesar iaitu China.

“Andainya ramalan buruk ekonomi ini menjadi realiti seawal tahun depan, Najib akan membatalkan cita-citanya untuk ‘penyerang hendap’ pembangkang.

“Maka cita-cita Najib untuk membubarkan Parlimen dalam suku pertama iaitu sebelum Mei 2017 hanya menjadi omongan kosong beliau saja.

“Melambatkan pilihan raya pula ada risiko tersendiri yang tidak kurang mengancam survivalnya,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2017 terdapat banyak spekulasi ia akan menjadi belanjawan pilihan raya yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Jun 2018.

Mohamad atau Mat Sabu berkata pengumuman Bajet 2017 yang diumumkan perdana menteri itu tidak mampu menarik sokongan rakyat untuk memberi undi kepada BN pada pilihan raya akan datang.

“Segala suntikan ‘rasa sedap’ atau ‘feel good factor’ yang Najib cuba berikan untuk semua pengundi dalam ‘belanjawan muruku’ baru-baru ini hanya sekadar pengalas perut.

“Tetapi bila kos sara hidup menggigit akibat GST dan penarikan pelbagai subsidi, mereka akan teringat muruku atau gula-gula ini akan segera dilupakan apabila situasi bertambah berat,” katanya.

Konvensyen Pertama Amanah: Semua kepimpinan Pakatan Harapan, PPBM hadir

DALIA ISMAIL & WAN ZAHARI WAN SALLEH (Foto)

Barisan kepimpinan kanan Pakatan Harapan, PPBM yang hadir sempena Konvensyen Pertama Amanah hari ini.

Konvensyen pertama Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyaksikan kehadiran semua pemimpin utama dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pempimpin kanan pakatan pembangkang yang hadir Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Penasihat/Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang berada di pentas utama bersama kepimpinan negeri parti Amanah.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Bersih 2,0 Maria Chin Abdullah, Dr Nasir  dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia aktivis sosial Hishamuddin Rais, Datuk A Samad Said dan Datuk Zaid Ibrahim.

Konvensyen hari ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti nyanyian Lagu Amanah dan diakhiri dengan alunan bacaan Al-Quran oleh adik Mohd Qayim Nizar pada jam 9.30 pagi ini yang diadakan di SACC, Shah Alam  bermula hari ini dan esok.

Pemimpin kanan Amanah (dari kiri) Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Presiden Mohamad Sabu, Penasihat Ahmad Awang dan Setiausaha Agung Anuar Tahir ketika berdiri menyanyikan lagu Negaraku dan parti Amanah.

 Presiden Amanah Mohd Sabu akan merasmikan Konvensyen Amanah hari ini.

Setiausaha Parti Amanah Negara Mohd Anuar Tahir  menyampaikan ucapan aluannya pada jam  9.50 pagi ini.

Beliau ucapkan terima kasih dengan kehadiran Dr Mahathir katanya, jika tempat lain tidak diberikan kerusi tetapi di konvenyen parti amanah tiada kesipuan untuk Tun kita sediakan kerusi di sini untuk Tun dan isteti dikasihi, katanya yang mendapat tepukan gemuruh dikalangan perwakilan.

Beliau turut memberitahu Presiden Datin Seri  Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat hadir dalam konvensyen hari ini kerana mengiringin suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat keizinan Jabatan Penjara untuk membenarkan menziarahi adiknya  Rosli Ibrahim yang kini sedang sakit di Hospital Selayang  pagi ini. Justeru PKR hari ini diwakili Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, laungan Reformasi berkumandang beberapa kali.

Anuar memberitahu  kini Amanah mempunyai 154 kawasan dan 100 cawangan seluruh negara. Beliau mengucapkan terima kasih kepada penggerak kerjasama Amanah dan penyokong parti-parti pakatan pembangkang terhadap penubuhan Amanah sejak lebih setahun lalu.

Manakala Penasihat Umum Amanah Ustaz Ahmad Awang dalam ucapan aluannya pula berkata ada pihak ayng terlalu sukar  menyebut Amanah "Pan" jika dalam bahasa Inggerisny disebut "kuali" dan "Pan" dalam Arabnya bermakna  "hancur musnah' . Sejak penubuhan Amanah membuktikan jati diri ketabahan dan kekuatan iman dalam perjuangan teruskan usaha menegakkan keadilan untuk negara menentang kezaliman dan penindasan seluruh rakyat inginkan negara ini menikmati rahmat Allah.

Sebagai sebuah negara merdeka, ujarnya, Amanah lahir teruskan jihad perjuangan bersama dengan rakyat melalui Pakatan Rakyat dan bertukar kepada Pakatan Harapan.

Beliau bersyukur menyaksikan seluruh pimpinan semua peringkat hadapi ujian, fitnah, tohmahan, tuduhan buruk ke atas pimpinan parti Amanah sejak ditubuhkan.

Kata beliau lagi, ada yang kata Amanah parti pengkhianat yang halal darahnya, untuk menjatuhkan hukuman pimpinan Amanah dengan fatwa mereka yang kemudian menjadi pegangan dikalangan pengikut mereka yang taksub.

Beliau bersyukur Amanah didokong semua warga negara. sebahagian  mereka bukan beragama Islam boleh sama berdiri dan duduk dengan mereka yang beragama Islam kerana mereka bersedia menjadikan Islam sebagai pegangan membawa rahmat.

Beliau juga yakin dengan kehadiran Dr Mahathir dan Pakatan Harapan benar-benar mampu mencapai harapan rakyat Malaysia untuk mendapatkan hak sebenarnya sebagai sebuah negara merdeka yang mana rakyat tertekan dengan tekanan ekonomi dan politik. Ini kerana  apabila sistem demokrasi digunakan untuk menjalankan pemerintahan 'kuku besi' kerana ada sebahagian rakyat berasa senang dengan sedikit 'dedak' yang diberikan yang tidak memberikan kesan apapun melainkan tipu daya ujarnya.

Justeru katanya lagi, dengan bekas perdana menteri 22 tahun tiada siapa pertikai Umno-BN mesti ditentang dan ditumbangkan.

"Parti pembangkang mesti bersatu dalam hanya satu pakatan. Kita tidak mahu dua tiga atau empat pakatan. Oleh itu konvensyen kali ini beliau percaya akan diikuti mesyuarat pakatan harapan akan m emastikan parti pembangkang boleh bersatu. Apabila bersatu bersatu pakatan harapan akan benar-benar rakyat juga boleh bersastu hadapi Umno-BN," ujarnya.

Perwakilan seluruh negara yang hadir dalam Konvensyen Amanah pertama yang diadakan di SACC di Shah Alam hari ini.

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (kanan sekali) dan Teresa Kok (dua dari kiri) turut hadir.

 Presiden Mohamad Sabu sedang menyampaikan ucapan  pada jam 10.30 pagi ini dan berakhir jam  11.45 pagi ini. Beliau merasmikan Konvensyen Pertama Amanah dengan disusuli tayangan video.

Kemudian acara di teruskan dengan Penyerahan Dokumen Rahsia Gerakan Politik Islam Kontemporari Generasi Kedua yang disampiakan Pengarah Pilihan Raya Dr Dzulkifli Ahmad kepada Presiden Mohd Sabu yang diiringi Setiausaha Agung  Anuar Tahir.

Majlis diteruskan dengan penyampaikan beberapa ANUGERAH pencapaian terbaik yang diserahkan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai  mengakhiri majlis perasmian Konvensyen Amanah Pertama hari ini.

1.Anugerah Kawasan Paling Ramai : Ahli dari Amanah Kota Raja yang  diterima oleh Cikgu Jaafar Ketua Amanah Kota Raja.

2. Anugera Paling Banyak Cawangan Berdaftar : Amanah Kawasan Hulu Langat yang diterima Ketua Amanah Kawasan Hulu Langat, Shamsul.

3.Anugerah Peratusan Keahlian Paling Tnggi: Amanah Kawasan Kuala Selangor yang diterima Ketua Amanah Kawasan Kuala Selangor.

4. Anugerah Khas Parti Amanah Negara :  Gobalan Krishnan Gobachan

Pada jam 2 petang ini hingga esok akan berlansung konvensyen penuh.

6 Remaja ditahan persenda solat (Gambar)


HANYA kerana mahukan perhatian dan popular, enam remaja dari Jepara, Jawa Tengah Indonesia ini sanggup mempersendakan solat dengan memuat naik gambar sedang solat di atas motosikal di laman Facebook.

Gambar sekumpulan remaja beraksi seperti bersolat di atas jalan raya dan seorang lagi menjadi imam berdiri di atas dua motosikal itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

Susulan itu, polis tempatan menjalankan siasatan terhadap gambar yang dimuat naik Isnin lalu dan berjaya menahan enam remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun.

Detiknews melaporkan, Ketua Polis Daerah Jepara, Samsu Arifin berkata, hasil laporan orang ramai, keenam-enam remaja berkenaan ditahan sehari selepas gambar tersebut menjadi viral di laman sosial.

“Semua mereka dari satu sekolah dan ditahan di kediaman masing-masing menyebabkan ibu bapa mereka terkejut,” katanya.

Menurutnya, ketika disoal siasat semua remaja itu mengaku sengaja memuat naik gambar berkenaan kerana mahu menarik perhatian penguna laman sosial sekaligus menjadi terkenal.

“Mereka mengaku hanya mahu terkenal dan tiada niat untuk mempersendakan agama kerana mereka sendiri beragama Islam.

“Orang ramai kini perlu tahu yang mereka ini tidak mempunyai tujuan jahat dan tidak perlu resah lagi,” katanya.

Menurutnya, semua remaja itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil dan diminta datang semula ke ibu pejabat polis setiap Isnin dan Khamis untuk siasatan lanjut.

Polis juga menyita dua motosikal yang digunakan dalam gambar berkenaan sebagai bahan bukti. – MYNEWSHUB.CC

Isu pengislaman anak: Mufti Perlis jadi perhatian

MB Perlis selar 'putar belit' isu pengislaman anak

Kerajaan Perlis menegaskan bahawa undang-undang berkaitan pengislaman anak di negeri itu sebenarnya tidak berubah.

Yang berubah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, cuma pindaan berkaitan nama sahaja, lapor New Straits Time Online.

Katanya, Enakmen Pentadbiran Agama (Pinddan) 2016 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam cuma menyeragamkan penggunaan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Katanya, dalam undang-undang asal, versi Inggeris menggunakan perkataan “parent”, sementara bahasa Melayu pula menggunakan perkataan ‘ibu dan bapa’.

Dengan pindaan itu, versi bahasa Malaysia akan menggunakan perkataan “ibu atau bapa”, selari dengan perkataan “parent”, dengan maksud mufrad, dalam bahasa Inggeris.

Justeru, kata Azlan, DUN Perlis tidak memperkenalkan undang-undang baru tetapi hanya meminta perkataan supaya selari dengan undang-undang sedia ada.

Beliau juga menyelar beberapa pihak yang didakwanya memutar belit isu itu.

“Mereka putar belit tanpa konteks,” beliau dipetik sebagai berkata.


Isu pengislaman: Mufti Perlis jadi perhatian

Mufti Perlis menjadi perhatian banyak pihak susulan pindaan undang-undang di negeri itu bagi membenarkan pengislaman kanak-kanak dibuat oleh sebelah pihak.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengakui pelbagai pihak menghubunginya dan bertanya berhubung dengan perkembangan terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.

Beliau bagaimanapun memohon maaf kerana tidak dapat mengulas lanjut kerana sedang berada di luar negara.

“Saya tidak mempunyai maklumat terperinci tentang hal berkaitan.

“Saya nanti mungkin akan merujuk kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

DUN meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang membenarkan hanya seorang daripada ibu bapa mengislamkan anak mereka.

Pindaan dibuat terhadap terhadap versi bahasa Melayu enakmen itu, yang sebelum ini menyebut kanak-kanak bawah 18 tahun boleh memeluk Islam dengan kebenaran “ibu bapa” atau penjaga.

Menteri Besar Perlis Datuk Azlan Man berkata pindaan itu dibuat bagi menyamakannya dengan versi bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan “parent”, dalam bentuk mufrad.


  • Menulis dalam Facebook beliau, Asri bagaimanapun mengetengahkan fatwa rasmi Jabatan Mufti Perlis tentang hak penjagaan anak yang telah diluluskan oleh Majlis Agama Islam

Umno,Pas akan tubuh kerajaan campuran ramal Chua Soi Lek

Umno,Pas diramal akan tubuh kerajaan campuran
MALAYSIA DATELINE
Tan Sri Chua Soi LekUmno dan Pas kemungkinan besar akan berkongsi kuasa politik dengan menubuhkan kerajaan campuran sekiranya BN terus mempertahankan pemerintahan pada PRU14.
MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti komponen BN akan terus kekal bersama, tetapi parti-parti ini akan terpinggir dalam arus perdana politik negara.

Demikian ramalan dibuat bekas Presiden MCA, Tan Sri Chua Soi Lek kepada Sin Chew Jit Poh ketika mengulas mengenai hubungan yang semakin rapat antara pemimpin Umno dan Pas sejak kebelakangan ini seperti dipetik Sinarharian hari ini.

Beliau berkata, selepas Umno bekerjasama dengan Pas, dasar negara akan lebih Islamik dan Umno akan terus memperkukuhkan kedudukannya dengan mengutamakan kepentingan kaum Melayu.

"Umno dan Pas sudah jelas akan terus bekerjasama dan bersatu hati dalam isu perpaduan umat Islam. Kedua-dua parti ini juga diramalkan akan bekerjasama dan mencapai kata sepakat dalam pengagihan kerusi dalam PRU. Mereka akan berkongsi kerusi ataupun mungkin sengaja mencetuskan pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan.

"Bagaimanapun, Pas tidak mungkin akan menyertai BN memandangkan penyertaannya ke dalam BN mesti mendapat persetujuan daripada 13 parti komponen BN terlebih dulu," kata bekas presiden MCA itu.

Menurut beliau, jika Umno dan Pas berganding bahu menghadapi PRU14, mereka pastinya akan mempunyai laluan mudah untuk menerajui kerajaan negeri di lima negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang dan Kedah.

"Kelima-lima negeri pula mempunyai 54 kerusi parlimen dan dijangka Umno serta Pas akan menang 48 hingga 50 kerusi daripadanya. Selain itu, di Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi parlimen.

"Sekiranya Umno dan Pas berjaya memenangi 50 daripada 56 kerusi itu, ini bermakna semakin mudahlah Umno untuk mengekalkan kuasa dengan membentuk kerajaan campuran bersama Pas," katanya.

Kerjasama Pas, Umno diteruskan dalam 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah'

BORHAN AHMAD
Takiyudin, Razali Ibrahim dan Nasharudin di atas pentas 'Sehati sejiwa'.
Takiyudin, Razali Ibrahim dan Nasharudin di atas pentas 'Sehati sejiwa'.
Kerjasama antara Umno dan Pas diteruskan lagi hari ini apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan berganding bahu dengan Timbalan Menteri yang juga Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim dalam satu dialog rakyat.

Keedua-duanya menjadi ahli penal dalam Dialog Rakyat "Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah" anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara hari ini.

Moderator kepada dialog ini pula adalah bekas Timbalan Presiden Pas yang banyak menjadi jambatan antara kedua-dua parti, Datuk Nasharudin Mat Isa.

Program yang dianjurkan sempena Hari Pencegahan Rasuah Sedunia itu diadakan di bangunan MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, ketika menjadi timbalan presiden, Nasharudin pernah mengesahkan, cadangan kerjasama dengan Umno itu telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.

Bekas naib presiden, Datuk Dr Hassan Ali juga berkata, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga bersetuju dengan cadangan itu namun ditentang oleh mereka yang digelarkan beliau sebagai 'Anwarinas' dan 'Parasit" dalam Pas.

Hampir kesemua pemimpin kanan Umno dan Pas duduk sepentas 4 Disember lalu di Stadium Titiwangsa dalam Himpunan Solidariti untuk Rohingya.

Sehari selepas itu kunjungan Abdul Hadi ke Maha 2016 diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau juga disambut hormat oleh Datuk Seri Noh Omar dan Tun Abdullah Badawi, bekas perdana menteri dalam kunjungan itu.

Kejutan!!! Kenaikan mendadak pengundi, pihak mana paling banyak mendaftar?

MALAYSIA DATELINE
Pengundi baru yang didaftarkan oleh SPR, suku ketiga 2016 meningkat mendadak.
Pengundi baru yang didaftarkan oleh SPR, suku ketiga 2016 meningkat mendadak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak menjelaskan kumpulan manakah yang bertanggungjawab sehingga berlaku kenaikan mendadak dalam pendaftaran pengundi baru pada suku ketiga tahun 2016.

Menurut ahli parlimen Serdang, Dr Ong Kian Meng, pada suku ketiga tahun 2016, seramai lebih setengah juta (501,799) pengundi baru telah didatarkan.

Kumpulan mana bertanggungjwab, soal Dr Ong Kian Ming."Ia adalah lebih dari lima kali ganda jumlah pengundi baru yang didaftarkan pada suku kedua 2016 dan lima kali lebih ramai dari jumlah pengundi baru yang didaftarkan sebelum pilihan raya 2013," kata Ong dalam satu kenyataannya.
Namun, faktor yang ingin diketahui adalah kumpulan manakah yang bertanggungjawab mendaftarkan begitu ramai pengundi untuk tempoh itu.

"Inilah sebabnya, jika kerajaan boleh bersetuju dengan tuntutan Bersih untuk mengadakan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mereka cukup umur, maka keraguan tentang jumlah pendaftaran baru ini boleh dikurangkan," katanya.

Bagi beliau, banyak sebab boleh diberikan kenapa pendaftaran pengundi baru sangat ramai dalam tempoh tersebut.
Kumpulan pendaftar pengundi mengikut laporan SPR.
Kumpulan pendaftar pengundi mengikut laporan SPR.
Antaranya kerana desas desus yang mengatakan pilihan raya umum akan diadakan Mac 2017 dan tarikh akhir pendaftaran untuk pilihan raya itu adalah 30 September 2016.

Pihak yang dilantik membuat pendaftaran (Penolong Pegawai Pendaftaran - ARO) adalah wakil dari pegawai kerajaan seramai 11959 atau 98.3% dari jumlah keseluruhan, wakil parti politik 48 (0.4%), wakil universiti 30 (0.2%) dan wakil NGO 123 (1.0%).

"Dengan pegawai kerajaan yang paling ramai menjadi ARO, ia tidak boleh dikatakan apa-apa tetapi apa yang merisaukan adalah peranan JASA, unit propaganda Kementerian Penerangan yang telah digunakan untuk mendaftar pengundi secara terpilih, terutama di kawasan kerusi marginal peringkat parlimen atau negeri," kata Ong.

Video janji Najib ditepati kini viral

BORHAN AHMAD
Binatang dipegang kepada ekor, manusia dipegang kepada janji, kata Najib.
Binatang dipegang kepada ekor, manusia dipegang kepada janji, kata Najib.
Video ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membacakan hadis Rasulullah saw tentang tiga ciri orang munafik kini menjadi viral di media sosial.

Menurut Najib dalam ucapan Jelajah Janji Ditepati itu, tiga ciri orang munafik adalah bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia tidak tepati dan bila diberi amanah dia khianati.

"Sebab itu, bila kita berjanji kita akan tepati, bila bercakap, kita benar bukan bohong," kata Najib dalam video itu.

Sebab itulah, katanya, ada pribahasa Melayu yang berbunyi, "binatang dipegang kepada ekornya, manusia dipegang kepada janjinya."

"Saya beri jaminan tuan-tuan dan puan-puan, setiap ayat, setiap perkataan yang kita luah kepada rakyat, kita dasarkan kepada kemampuan kita.

"Kalau tidak mampu kita tidak akan sebut kerana jika janji tidak ditunaikan, dosa amat besar dan Tuhan akan laknat kita, rakyat pula akan hukum kita," kata Najib dalam ucapan itu.

Lupakanlah PAS, biar rakyat menghukum mereka

SELEPAS 13 DIS INI, LUPAKANLAH PAS, BIAR RAKYAT MENGHUKUM MEREKA

PPBM dijangka akan menganggotai Pakatan Harapan secara rasmi pada 13 Disember ini. Ia sekaligus menjadikan gabungan yang disertai PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu mampu muncul sebagai pencabar utama kepada BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Berdasarkan ucapan Najib Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, PRU 14 mungkin hanya beberapa bulan saja lagi daripada sekarang. Najib tidak mungkin menangguhkan lagi tarikh pembubaran Parlimen sehingga UMNO perlu bersidang sekali lagi kerana momentum persediaan pilihanraya yang sudah dipasakkannya akan menjadi anti-klimaks.

Oleh itu, Pakatan Harapan dengan keanggotaan empat parti sedia ada dan dalam masa yang sama menjalin kerjasama dengan Warisan di Sabah tidak perlu berlengah lagi untuk melancarkan gerak kerja bagi menumbangkan BN dan seterusnya muncul menjadi kerajaan yang baru.

Selain kerana pengaruh Tun Mahathir yang tetap gigih untuk menjatuhkan Najib dengan pelbagai gaya serangannya, kebencian rakyat pada tahap gaban kepada Perdana Menteri ketika ini dan ia sentiasa meningkat hari demi hari, tidak banyak lagi yang mampu dilakukan oleh BN untuk mempertahankan kuasa mereka.

Hampir tidak ada lagi segmen dalam masyarakat yang suka kepada Najib. Beliau lebih banyak dipersenda, diperlekeh dan dipermain-mainkan oleh rakyat di serata pelusuk negara yang menandakan mereka hanya menunggu masa saja untuk merealisasikannya.

Kegusaran rakyat selama ini kepada parti-parti pembangkang ialah mengenai tiadanya kesepakatan dan sering berbalah sesama mereka. Rakyat memang ingin menolak dan menghumban UMNO dan BN ke gaung yang dalam, tetapi dalam masa yang sama tertanya-tanya tentang kekukuhan Pakatan Harapan yang dianggap sebagai pengganti kerajaan sedia ada.

Dengan PPBM sebagai komponen terbaru Pakatan Harapan, selepas 13 Disember itu, mereka perlu terus bergerak ke hadapan untuk meyakinkan rakyat tentang kemampuan dan kesepakatan yang ada. Pengaruh dan pengalaman Tun Mahathir pasti juga memberi markah tambahan dalam hal ini.

Jika Pakatan Harapan dapat meyakinkan perkara itu kepada rakyat serta bersama kebencian sedia ada kepada Najib, Rosmah dan sebahagian besar menteri-menteri yang tidak berguna serta selalu membuatkan rakyat sakit telinga, percayalah gabungan itu akan disambut dengan sokongan yang lebih terbuka oleh rakyat.

Lupakanlah Pas dan biarkan parti itu mengecil dengan sendirinya melalui tindakan dan gerak kerja Pakatan Harapan yang lebih kukuh dan sentiasa bersama di tengah-tengah hari demi hari sehingga ke hari pembuangan undi.

Apa berlaku kepada Pas seterusnya, pulangkan kembali kepada parti itu untuk membuat keputusan. Jika Pas merasakan Pakatan Harapan lebih diyakini, dia boleh datang untuk berunding dan bergerak bersama-sama bagi mengalahkan UMNO dan BN, tetapi tentunya dengan syarat bahawa ia perlu menerima semua semua parti dalam gabungan itu seadanya.

Pas tidak boleh lagi hanya memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan PKR saja misalnya, tetapi enggan walau tersenyum dengan DAP dan Amanah. Menerima Pakatan Harapan bermakna menerima semua komponen di dalamnya.

Kiranya Pas melihat Najib "lebih kacak dan bergaya", maka parti itu juga boleh beralih dan menjalin kerjasama dengan UMNO dan BN. Jika menang, bolehlah lebai-lebai pemimpin Pas mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri atau kiranya BN kalah pula, sekurang-kurangnya dapatlah membimbing para pemimpin UMNO yang sudah kehilangan jawatan agar lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dan akhirnya mudah-mudahan diberikan syurga sebagai balasan.

Setelah Pakatan Harapan mengukuhkan kerjasama sesama mereka dan bergerak untuk menawarkan perubahan, seandainya ketika itu Pas tetap juga mahu bersendirian dengan blok ketiga dan Gagasan Sejahteranya, rakyat pasti dapat menilai dan melihat wajah sebenar mereka.

Di ketika rakyat amat benci dan ingin menolak kerajaan kleptokrasi yang menyebabkan ribuan juta ringgit hilang, tetapi di dalam negara ia dilindungi dengan berbagai-bagai cara untuk mengelakkan pendakwaan, namun hanya di luar negara satu demi satu pendedahan dan tindakan, rakyat pasti tertanya-tanya kenapa Pas tidak ingin bersama-sama ke arah kebaikan?

Dalam keadaan itu nanti, mampukah blok ketiga atau blok pengacau itu terus bertahan atau mereka juga bakal kena humban sama? (SH 08/12/2016).

Wanita mengandung maut tertembak di perut


Wanita mengandung maut tertembak di perut Sedutan video menunjukkan seorang wanita maut tertembak di bahagian perut.
BATHINDA - INDIA . Seorang wanita mengandung maut selepas terkena tembakan di perut ketika meraikan perkahwinan, Sabtu lalu.

Laporan NDTV mengatakan Kulwinder Kaur terkena tembakan yang dilepaskan oleh individu dikenali Billa ketika menari di atas pentas.

Suami Kulwinder, Harjinder Singh mendakwa kejadian tersebut bukan disengajakan.

Sementara itu, pihak berkuasa menganggap kejadian tersebut sebagai 'tidak disengajakan' sehinggalah siasatan selesai.

"Maklumat lanjut akan diberikan selepas proses bedah siasat," kata pegawai polis, Daljit Singh.

Saksi juga mendakwa kejadian tersebut tidak disengajakan selepas menyaksikan senapang patah yang digunakan Billa tersekat dan secara tiba-tiba tertembak mangsa. ‎

Mangsa merupakan ahli kumpulan muzik yang sering membuat persembahan di majlis perkahwinan.

Bersatu sertai Pakatan Harapan

ONG BOON TECK
BERSATU amat berhasrat menyertai Pakatan Harapan bagi membentuk satu barisan pembangkang yang kuat untuk menentang BN pada PRU14.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, impian Bersatu untuk menjadi salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan boleh menjadi kenyataan dalam konvensyen Pakatan Harapan yang akan diadakan pada 13 Disember ini.

"Selain Bersatu, Pakatan Harapan juga jangan meminggirkan Pas supaya pakatan pembangkang benar-benar dapat bersatu padu untuk hadapi PRU14," kata Muhyiddin seperti dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurut Muhyiddin, beliau telah berbincang dengan pucuk pimpinan Pas sebelum ini dan masih terdapat beberapa masalah yang belum diselesaikan.

"Buat masa ini, Pakatan Harapan tidak berbincang siapa akan menjadi perdana menteri sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan. Sebaliknya, yang lebih diutamakan ialah siapakah perdana menteri yang diinginkan oleh rakyat.

"Sekarang ramai orang tak mahu Najib menjadi perdana menteri, tetapi kalau semua orang tidak berani bertindak dan masih bersikap tunggu dan lihat, Najib akhirnya tetap akan terus menjadi perdana menteri," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menegaskan, Pakatan Harapan dijangka mengumumkan secara rasmi kemasukan Bersatu ke dalam pakatan pembangkang itu sebaik sahaja selesainya konvensyen Pakatan Harapan.

Menurut Salahuddin, sekiranya Pakatan Harapan dipilih menjadi kerajaan, calon pilihan utama mereka untuk menjadi perdana menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagaimanapun, sekiranya Anwar masih dipenjara, Amanah akan mencadangkan Muhyiddin menjadi 'perdana menteri sementara'," katanya.

Pelajar bercium dalam vodeo disahkan dari sekolah swasta



Johor Baharu: Dua pelajar yang adegan mereka sedang bercium dirakamkan, membuat pengakuan bahawa mereka adalah individu dalam video yang menjadi viral di laman media sosial.

Pengetua Sekolah Tinggi Foon Yew, Tee Bee Tin turut mengesahkan pelajar lelaki dan perempuan dalam video itu adalah dari sekolah berkenaan berdasarkan nombor pengenalan diri pada pakaian seragam sekolah pasangan tersebut.

Beliau berkata kedua-dua pelajar berusia 13 tahun itu dan ahli keluarga mereka turut dipanggil dalam satu mesyuarat pada Isnin.

“Ibu bapa pelajar lelaki itu mendakwa anaknya telah dianiaya oleh rakannya.

“Mereka mendakwa beberapa adegan lucah lain dalam video itu turut dimuatnaik oleh rakannya,” kata Tee kepada pemberita di sekolah swasta di Kampung Stulang Laut dekat sini, Selasa.

Turut hadir ibu bapa pelajar perempuan terbabit.

Video berdurasi 52 saat yang menjadi viral di Facebook pada Jumaat menunjukkan sepasang pelajar lelaki dan perempuan memakai pakaian seragam sekolah sedang bercumbuan.

Terdapat juga beberapa adegan lucah lain di dalam video tersebut.

Tee berkata beliau dimaklumkan bahawa pelajar dan rakannya yang berusia 20 tahun yang bekerja sebagai chef di Singapura terlibat dalam perselisihan faham pada Oktober lalu.

Jelas beliau, ibu bapa pelajar lelaki terbabit memberitahu rakannya itu turut mengancam untuk memalukan mereka dalam masa terdekat.

Bapa pelajar terbabit turut mendakwa lelaki itu turut menggodam laman Facebook milik anaknya.
-mstar

Rusia janji bunuh semua di Aleppo ternasuk anak-anak kecil ini?


Rusia janji bunuh semua di Aleppo Dua adik-beradik yang menjadi mangsa perang di Syria. - Foto AP
MOSCOW - RUSIA. Kerajaan Rusia mengugut akan membunuh mereka yang tidak meninggalkan bandar Aleppo, Syria dengan segera, semalam.

"Jika ada sesiapa yang tidak meninggalkan Aleppo, beliau akan dihapuskan. Tidak ada jalan keluar lain," kata Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dipetik laporan Yahoo News.

Bandar Aleppo di Syria yang masih dikuasai Free Syarian Army dan beberapa kumpulan pejuang Sunni ketika ini masih dibom pesawat pejuang milik Rusia dan kerajaan rejim Bashar al-Assad.

Beratus-ratus penduduk Aleppo dikhuatiri terbunuh manakala dianggarkan 250,000 yang lain masih terperangkap dalam bandar berkenaan.

Sementara itu, semua hospital di Aleppo sudah musnah dibom pesawat pejuang rejim dan berpuluh ribu penduduk sudah melarikan kerana kehabisan makanan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh ketua misi kemanusiaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephen O'Brien, November lepas.
-sinarharian

Berkawan Dengan DAP Adalah Pilih Yang Tepat

Shahbudin Husin
Semua orang tahu DAP adalah parti pilihan orang-orang Cina. Walaupun ia bersifat pelbagai kaum dan di dalamnya ada Melayu, India dan lain-lain kaum, tetapi lebih ramai orang Cina yang menyertai serta menyokongnya.

Kira-kira 80 hingga 90 peratus orang Cina sekarang ini bersama DAP. Sejak dua pilihanraya lalu memperlihatkan DAP telah mendapat sokongan majoriti yang ketara daripada pengundi Cina berbanding MCA dan Gerakan.

MCA dan Gerakan tidak boleh lagi dianggap mewakili kaum Cina. Mereka bukan saja kalah di banyak kerusi, malah di mana-mana kita boleh mendengar keluhan ketidakpercayaan kaum Cina sendiri kepada kedua-dua parti itu.

Bagi kaum Cina, MCA dan Gerakan sudah mati di hati mereka. Mereka tidak percaya lagi kepada parti itu. Ramai kaum Cina melihat MCA dan Gerakan adalah "parti cari makan" dan bukan benar-benar memperjuangkan nasib mereka.

Sehubungan itu, dalam konteks politik Malaysia yang pelbagai kaum, tindakan Tun Mahathir Mohamad merapatkan dirinya dengan DAP adalah suatu tindakan yang tepat dan betul.

Ini kerana PPBM, PKR dan Amanah adalah parti yang dikuasai oleh Melayu. Dengan merapatkan diri bersama DAP, PPBM dan Pakatan Harapan jelas ingin menawarkan keseimbangan politik kepada negara yang tentunya lebih mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

Sebaliknya, Najib dan UMNO telah menyimpang jauh daripada daripada mahu mewujudkan keseimbangan kepada negara ini. Dengan UMNO sudah memiliki 88 kerusi Parlimen dan kemudian cuba berbaik serta berpakat pula dengan Pas, juga parti Melayu, Najib ternyata hanya ingin mengekalkan kuasa Perdana Menterinya secara mudah, tetapi mengabaikan keharmonian serta kestabilan negara.

Najib tidak sepatutnya cuba memikat Pas dan menghentam DAP jika beliau memikirkan kestabilan negara ini. Beliau seharusnya lebih dulu cuba mendekati DAP apabila melihat MCA dan Gerakan tidak lagi berfungsi.

Dan kalau pun DAP enggan berbaik atau bersama, Najib tidak seharusnya menghentam parti itu. Dengan disokong 80 hingga 90 peratus kaum Cina, menghentam DAP sama seperti menghentam kaum Cina.

Tindakan Najib berbaik-baik dengan Pas dan dalam masa yang sama menghentam DAP menunjukkan beliau sendiri yang menjauhkan kaum Cina daripada kerajaan yang dipimpinnya.

Najib tidak memikirkan kepentingan negara, tetapi hanya berfikir bagaimana untuk memudahkan kuasanya dapat dikekalkan.

Dari segi menawarkan kestabilan dan keharmonian, Pakatan Harapan yang turut akan disertai PPBM tidak lama lagi, tidak diragui adalah pilihan yang lebih baik berbanding BN yang semakin pincang perjalanannya.

BN, terutama sejak Najib dan UMNO merestui tindakan berbaik-baik dengan Pas, hanya menawarkan kerajaan sepihak tetapi cuba mengabaikan pihak yang lain.

PPBM, PKR dan Amanah yang majoritinya Melayu, disokong pula oleh DAP yang mewakili kaum Cina dan terdapat juga Melayu di dalamnya, tidak saja menjamin keharmonian dan kestabilan kepada negara kerana mewakili semua pihak, bahkan menjadikan kuasa Melayu lebih merata serta melebar jadinya.

Kuasa Melayu yang tertumpu kepada satu parti saja lebih mendorong kewujudan "penyamun" kepada harta negara, yang kemudian merangsang pula diwujudkan sikap wala' yang keterlaluan apabila merasakan kuasa dalam genggaman mula terancam
-http://shahbudindotcom.blogspot.my

Kenapa jemputan Dr M dan isteri ke majlis lafaz sumpah Agong dibatalkan

KUALA LUMPUR: Jemputan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri majlis melafaz dan menandatangani surat sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-15 minggu depan dibatalkan, menurut surat yang tersebar luas di media sosial.

Ketika dihubungi, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan surat bertarikh 5 Disember, 2016 itu dihantar kepada bekas perdana menteri dan isterinya.

Surat ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad antara lain menjelaskan pembatalan itu kerana pihaknya tidak dapat menyediakan tempat duduk.

“Surat ini bermaksud untuk mengelak sebarang kesipuan (embrassement) jika YABhg. Tun hadir pada hari dan ketika tersebut kerana Pejabat ini tiada menyediakan kerusi kepada YABhg Tun,” menurut surat itu.

Surat itu turut dikongsi daam Twitter milik anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir.

Istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dari Kelantan, dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazri Shah dari Perak, pada 13 Disember ini

Seorang lagi mangsa aktiviti skodeng pegawai agama

Farouk A. Peru

Sekali lagi, aktiviti skodeng oleh penguatkuasa agama membawa padah.

Kali ini, seorang pegawai polis mati apabila terjun dari tingkat 4 sebuah bangunan di Pandan Perdana, Cheras, ketika cuba melarikan diri daripada pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menceroboh masuk ke dalam flat wanita yang dipercayai kekasihnya.

Selepas mereka “dibenarkan” masuk (perlu diingat, mereka ini selalunya memekik di pintu sehingga tuan punya rumah terpaksa membuka pintu), mereka mendapati tingkap terbuka, yang digunakan lelaki itu melarikan diri tetapi jatuh terbaring di atas jalan.

Apakah harga yang dibayarnya sesuatu yang boleh diterima? Ini bukan kos wang ringgit tetapi kos sebuah nyawa yang tidak boleh dikembalikan.

Bagaimana kalau pegawai polis itu anak kepada ibu bapa yang mengharapkan untuk menampung mereka? Jika dia berumahtangga, balu dan anaknya akan turut terkesan.

Kenapa pegawai agama kita masih meneruskan aktiviti skodeng?

Bagi penyokong aktiviti ini, ia menjaga keluhuran agama Islam. Benarkah Islam akan terhina jika umatnya melakukan kesalahan seperti ini? Pemikiran ini amat merbahaya kerana kita mengelirukan perkara yang abstrak dengan perkara yang konkrit.

Poin saya, kadang-kadang respon kitalah yang memberi efek yang tidak kita ingini.

Berbalik kepada kes khalwat di atas, dasar kerajaan terhadap masalah ini ialah dengan mengadakan skuad skodeng. Tetapi setelah berdekad menangani masalah ini dengan kaedah itu, adakah ia berjaya diselesaikan? Tidak sama sekali.

Masih banyak pasangan ditangkap and entah berapa lagi yang tidak dikesan. Mereka hanya akan mencari tempat yang tidak boleh dicerobohi oleh pegawai agama.

Apakah penyelesaian terhadap masalah ini?

Mungkin kita perlu memikirkan kembali budaya perkahwinan di kalangan umat Melayu. Sebenarya masalah ini bukan sahaja di kalangan Melayu tetapi juga di kalangan umat Islam Asia Selatan dan juga di Timur Tengah.

Perkahwinan adalah projek yang menelan belanja tinggi. Di Malaysia, kos hantaran sahaja menelan belanja berpuluh ribu ringgit. Ini belum termasuk kos majlis perkahwinan itu sendiri.

Yang menghairankan, walaupun identiti Islam kita semakin menebal, namun dalam bab ini, kita tidak mengikut sunnah langsung. Malah, Rasulullah mengahwinkan anaknya Fatima dengan maskahwin yang amat sederhana jika dibandingkan dengan perkahwinan orang sekarang!

Inilah budaya yang perlu difikirkan semula. Mungkin pasangan boleh berkahwin dahulu tanpa mengadakan majlis dan hanya mengadakan majlis selepas mereka sudah mendapat kerja tetap dan mengumpul wang yang mencukupi.

Sebenarnya, keperluan hidup seperti rumah, kereta dan pakaian untuk ke ofis pun lebih penting daripada mengadakan majlis, terutama majlis yang keterlaluan. Ada yang berhutang demi menampung kos majlis ini.

Perlu juga diteliti falsafah kita berkenaan dengan perhubungan di antara pasangan. Sememangnya budaya Melayu tidak mengamalkan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tetapi tidak berapa lama dulu, komunikasi di antara remaja lelaki dan wanita bukanlah satu perkara yang terlarang.

Sekarang ini, kita sering disajikan “nasihat” di media sosial yang wanita yang melihat lelaki dan timbul keinginan semulajadi terhadap mereka telah mengaut dosa besar, dan akan diazab dengan api neraka kelak. Ugutan hukuman yang amat berlebihan ini hanya akan memberi tekanan perasaan yang berlebihan kepada orang muda.

Masalah paling besar ialah sikap pasukan skodeng itu sendiri. Jika kita tatapi video di Youtube, kita boleh perhatikan bagaimana mereka memberi salam lalu dengan bongkak bertanya kepada pasangan yang berkenaan jika mereka berkahwin atau tidak.

Mereka nampak mabuk kuasa, suka melihat pasangan dalam ketakutan. Kenapa tidak boleh memberi salam dengan baik lalu meredakan hati pasangan berkenaan? Adakah mereka mencontohi Nabi Muhammad di sini?

Peristiwa tragedi telah berlaku. Seorang lagi hilang nyawa akibat sikap yang diambil pasukan skodeng. Kita perlu memikirkan semula pendekatan kita terhadap masalah ini.

PAS jadi ejen Umno memecahbelahkan Pakatan pembangkang untuk BN terus menang dalam pilihanraya?

Syarat Pas kepada PPBM: Tidak boleh bersama Amanah dan DAP jika mahu kerjasama
MALAYSIA DATELINE
Pas telah memberikan beberapa syarat, jika PPBM  ingin mengadakan hubungan dengan Pas, mereka tidak seharusnya mengaitkan dengan hubungan Bersatu dengan Pas bersama DAP dan Amanah
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh mengadakan hubungan dengan DAP dan Amanah jika mahu bekerjasama dengan Pas.

Memetik laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, syarat tersebut telah diberikan kepada PPBM dalam pertemuan sebelum ini.

“Buat masa ini kita tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan atau kerjasama politik dengan Bersatu (PPBM). Cuma kita pernah bertemu kerana mereka menyatakan hasrat untuk bersama Pas.

“Bagaimanapun, kita telah memberikan beberapa syarat, jika mereka ingin mengadakan hubungan dengan Pas, mereka tidak seharusnya mengaitkan dengan hubungan Bersatu dengan Pas bersama DAP dan Amanah. Itu adalah pilihan untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Isnin lalu, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya tidak akan menunggu Pas lebih lama.

Menurutnya, jika ia mengambil masa terlalu lama, pembangkang akan bergerak dengan rancangan mengalahkan BN tanpa Pas.

Takiyuddin berkata, buat masa ini pihaknya bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan pada masa sama beliau tidak menafikan masih memiliki hubungan baik dengan PKR.

“Kalau Bersatu mahu menyertai kita, itulah pilihan yang mereka ada.

“Tapi jika mereka masih mahu bersama Amanah, DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan, itu maknanya mereka berada dalam keadaan yang kita tidak boleh terima. Bersatu sendiri perlu membuat keputusan dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Kharuddin Aman Razali kelmarin menegaskan, Pas tidak memerlukan PPBm sebagai pembangkang

Sebaliknya beliau berkata Pas akan menerajui Gagasan Sejahtera sebagai satu lagi blok politik pembangkang.