"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam diberi keutamaan lawan Takiyuddin di Kota Bharu dalam PRU 15

NASUHA RAHMAN

Bekas Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Datuk Husam Musa sewajarnya diberi keutamaan untuk berentap melawan Takiyuddin Hassan di Parlimen Kota Bharu PRU15 nanti.

Wan Rahim ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini, berkata Parlimen Kota Bharu dicadangkan sekali lagi untuk ditandingi Husam sesuai dengan kedudukannya sebagai Ketua AMANAH Kawasan Kota Bharu.

Bahkan katanya, Husam juga merupakan bekas calon Parlimen Kota Bharu pada PRU14 lalu.

Wan Rahim berkata demikian bagi memberi respons berhubung terdapat cadangan dan pandangan bahawa Takiyuddin wajar ditentang oleh calon AMANAH iaitu beliau pada PRU15.

“Bila ditanya soal calon yang sesuai untuk menandingi Datuk Taki dari PAS di Parlimen Kota Bharu, baik Cina atau Melayu Kota Baharu serta ahli politik setempat, rata-rata mereka mahukan winnable candidate iaitu Datuk Cikgu Wan Rahim sebagai calon bagi Parlimen Kota Baharu di PRU 15,” tulis Johar Ismail.

Johar berpandangan, Wan Rahim merupakan tokoh rakyat yang tidak mengira bangsa dan aliran pollitik.

“Sungutan dan rungutan dari pengundi dan pemain politik setempat perlu diperhatian oleh kepimpinan AMANAH peringkat nasional,” tulisnya.

Menurut Wan Rahim, Husam kalah di Parlimen Kota Bharu pada PRU14 lalu tetapi mengikut undi Parlimen beliau mengatasi Takiyuddin di Dun Kota Lama. 

“Maknanya pengundi DUN Kota Lama terima Datuk Husam dan AMANAH tapi menolak Tan Sri Rashid dan Bersatu,” katanya.

Wan Rahim juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan pernah menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dari 1995 hingga 2008.

Gerak gempa pasca 4 Mac

LIEW CHIN TONG

Politik Malaysia telah masuk ke suatu fasa baharu yang lebih mencabar.

Pada 4 Mac 2021, genap lima tahun selepas penyelarasan semula melalui Deklarasi Rakyat, dua parti dalam gabungan Perikatan Nasional iaitu Bersatu dan Umno, telah secara rasminya melafazkan talak dan berikrar untuk saling menentang pada pilihan raya umum akan datang.

Hasil penyelarasan semula pada 4 Mac 2016, antara pemberontak dalam Umno terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti-parti pembangkang asal terutamanya Lim Kit Siang dari DAP, kerajaan satu parti yang korup dan mereput di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak tumbang pada 9 Mei 2018.

Dalam sebuah demokrasi normal, apabila sebuah parti kerajaan tewas dalam pilihan raya, pemimpinnya yang tertolak akan mengundurkan diri bagi memberi ruang pembaharuan. Pemimpin baharu memainkan peranan pembangkang konstruktif dengan cita-cita untuk menang dalam pilihan raya berikutnya.

Tetapi Najib dan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu melepaskan kuasa. Sejak Oktober 2018, Umno bersama-sama PAS telah melancarkan kempen untuk menghancurkan segalanya. Menteri Luar Pakatan Harapan ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa ratifikasi ICERD, yang membuka peluang kepada Khairy Jamaluddin (kononnya progresif) untuk mendakwa bahawa tindakan terbabit adalah anti-Melayu. Sebuah perhimpunan besar-besaran berlangsung pada 8 Disember 2018, dan mengukuhkan perpaduan antara Umno dan PAS, yang diijab kabul secara rasmi pada Oktober 2019.

Tujuannya adalah untuk merampas kuasa di pertengahan jalan, bukan melalui pilihan raya. Untuk menang pilihan raya, mereka perlu memujuk hati pengundi seluruh populasi berbilang kaum. Suatu gabungan Melayu sahaja tidak boleh memenangi pilihan raya, dan ini telah saya khabarkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Februari, pertemuan terakhir saya dengannya.

Perceraian rasmi antara Bersatu dan Umno pada 4 Mac 2021 adalah suatu gerak gempa yang akan mengundang kesan berlanjutan:

Pertama, Umno akan berpecah.

Umno sekarang berada pada saat-saat genting dan amat menarik untuk diperhatikan. Saya telah lama berhujah bahawa apabila sebaik sahaja Umno hilang kuasa pada 2018, parti tersebut patut mencontohi Golkar di Indonesia untuk belajar bagaimana ia dapat mandiri buat jangka masa panjang. Golkar terus kekal relevan dan memenangi 1/5 jumlah undi di setiap pilihan raya Indonesia pasca Reformasi. Umno perlu terlebih dahulu membuang pemikiran parti ‘taikor’ (abang besar) yang menyebabkan ia percaya ia berhak memerintah sejak dari lahir. Umno perlu belajar untuk bersaing dalam sebuah demokrasi normal tanpa bantuan jentera kerajaan dan wang ringgit.

Pun begitu, kini setelah Bersatu bersedia menggunakan kekuatan penuh jentera kerajaan untuk menghabiskan Umno, Umno memasuki suatu fasa perang saudara bagi menentukan siapa akan menguasai Umno. Mereka yang menyokong Muhyiddin akan mahu menghapuskan golongan yang menentang Muhyiddin. Jika pemimpin pro-Muhyiddin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa menjadi juara, Umno akan menjadi pesuruh Muhyiddin yang taat setia, manakala mereka yang tewas akan meninggalkan parti itu secara berjemaah.

Namun situasi yang paling mungkin ialah mereka yang menentang Muhyiddin yang akan menang. Antara mereka yang menentang Muhyiddin adalah pemimpin seperti Najib, Zahid dan kluster mahkamah yang bermasalah kerana golongan Melayu sederhana masih tidak boleh menerima mereka. Mereka yang anti-Bersatu akan perlu membuat keputusan siapakah yang akan mengepalai Umno menuju PRU apabila Umno perlu berkempen sebagai parti pembangkang tanpa bantuan jentera kerajaan dan tidak begitu banyak wang berbanding ketika ia menjadi kerajaan.

Kedua, PAS akan terpaksa memilih

Saya berani jamin bahawa selagi mana Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih ada, kebanyakan pemimpin utama PAS akan terus kekal bersama Muhyiddin walaupun ada segelintir yang terus mendesak untuk bekerjasama dengan Umno, meski gagal. Sejak para progesif meninggalkan parti itu pada 2015, PAS tidak lagi memiliki ‘aset’ untuk bertanding secara realistik di negeri-negeri luar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Justeru itu, kepimpinan PAS sekarang hanya mahu kekal dominan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Umno telah menjadi seteru utama PAS di negeri-negeri ini sepanjang 60 tahun lampau, manakala Bersatu hampir tidak ada tapak di sana. Ertinya Bersatu mungkin menyerahkan kesemua kerusinya di Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada PAS. Dalam sifir PAS, selagi mana parti itu boleh menang 30 kerusi Parlimen, ia akan menjadi ‘kingmaker’ dalam mana-mana kerajaan.

Risikonya ialah dalam pertembungan satu lawan satu dengan Umno di Kelantan, PAS yang telah menjadi kerajaan sejak 1990, mungkin kehilangan kuasa dan justeru menjahanamkan strategi kingmaker itu tadi. Pada PRU 2018, PAS berkempen di Kelantan menentang korupsi Najib dan kebanyakan undi yang diterima PAS adalah daripada pengundi luar yang pulang ke kampung untuk mengundi menolak Najib.

Jika ayunan undi Melayu kini didorong kemarahan terhadap Muhyiddin, PAS ternyata berserah dalam bahtera yang sedang karam. Ramai penyokong dan ahli akar umbi yang akan keliru, antaranya akan melompat meninggalkan bahtera itu supaya tidak ikut gila.

Ketiga, Bersatu seperti seorang pesakit yang sedang nazak tetapi memegang senapang di tangan dan berbakul-bakul emas di sisi katil hospitalnya.

Kerajaan Perikatan Nasional sekarang berada di zon bahaya, seperti kerajaan Najib pada suku terakhir 2017. Tiada yang boleh ia lakukan untuk mendapat sokongan. Undi ‘swing’ telah membentuk persetujuan bahawa ini adalah kerajaan yang mahu dibakulsampahkan. Soalnya, bagaimana?

Sementara tiada pengundi ‘swing’ akan mahu mengundi Perikatan, berbanding Najib pada 2018, Perikatan ada masalah tambahan: ia tidak mempunyai tapak sokongan berbanding Umno di bawah Najib yang masih berjaya memenangi satu-pertiga daripada jumlah undi keseluruhan.

Apa yang akan dilakukan Bersatu? Parti kerajaan ini ada kuasa dan wang, tetapi ia tidak disukai pengundi. Bahayanya ialah parti ini akan menggunakan apa sahaja upaya yang ada untuk terus memerintah. Umno mungkin perlu menjangkakan bahawa partinya akan diharamkan. Lebih ramai wakil rakyat akan dibeli. Darurat akan dilanjutkan lebih lama lagi. Lebih ramai pemimpin pembangkang akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan yang entah apa-apa.

Malaysia akan perlu bertahan menghadapi gempa susulan 4 Mac 2021. Tetapi seperti mana-mana tragedi gempa bumi, ia merupakan peluang untuk membina semula dengan lebih baik.

Mayat sempurna dalam perut buaya

Metro

Agensi

Samarinda: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dibaham buaya ketika memancing bersama bapa dan adiknya di Kalimantan, Rabu lalu ditemui masih sempurna dalam perut reptilia itu.

Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat Kutai Timur, Bongga Losong berkata, buaya terbabit ditemui pada Khamis selepas operasi digerakkan bersama penduduk kampung dengan bantuan pawang.

Katanya, mereka terkejut menemui mayat budak lelaki berkenaan yang masih elok apabila membelah perut buaya terbabit.

"Selepas buaya ditemui, kami belah (perut) dan mengambil anaknya (mangsa), bawa ke rumah mayat. Buaya itu kita kuburkan," katanya yang memberitahu mangsa mungkin ditelan sekali gus selepas diseret ke dalam air.

Terdahulu, buaya itu dikesan 100 meter dari lokasi kejadian dan ditikam dengan tombak hingga lemah serta mati.

Dalam kejadian di Sungai Tempakul, Desa Muara Bengalon, Kutai Timur, mangsa dikatakan sempat berenang di sungai itu apabila seekor buaya menghampiri dan terus menerkamnya di hadapan ayah dan adiknya.

"Ayahnya cuba menyelamatkan anaknya tetapi gagal. Buaya bawa anak itu makin ke dalam (air)," kata Bongga seperti dilapor Kompas.

Krisis Umno-PPBM buka jalan kepada parti Sabah dan Sarawak jadi ‘kingmaker’, kata penganalisis

Robin Augustin

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya umum akan datang sebagai peluang terbaik kepada parti di Sabah dan Sarawak untuk menjadi ‘kingmaker’.

Felo kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, kurang berkemungkinan mana-mana parti atau gabungan boleh mendominasi pilihan raya sekarang kerana parti berasaskan orang Melayu kini bertelagah, sementara Pakatan Harapan (PH) lebih lemah berbanding sebelum ini.

“PH tidak mempunyai momentum seperti pada PRU14 (pilihan raya umum ke-14) dan tidak boleh bergantung kepada Dr Mahathir Mohamad dan PPBM untuk sokongan orang Melayu,” kata beliau.

“Umno berpecah belah dan PPBM adalah parti yang lemah. Justeru parti Sabah dan Sarawak tidak perlu mengikut rentak sesiapa.”

Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada rakan sejawatannya dalam PPBM, Muhyiddin Yassin, bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya akan datang.

Bahagian Umno dan PPBM di Sabah bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GPS) dan Jeniri berkata, tidak wujud permusuhan antara pemimpin mereka.

“Jadi, saya tidak melihat pemimpin Umno dan PPBM di Sabah benar-benar menurut kepemimpinan pusat mereka,” kata beliau.

“Mereka tahu mereka memiliki kekuatan dan autonomi untuk memutuskan apakah yang terbaik untuk mereka.

“Mereka boleh bekerjasama dengan GPS dan membuat keputusan sendiri selepas PRU15 (pilihan raya umum ke-15).

“Mereka patut membentuk sebuah blok Borneo selepas pilihan raya dan memutuskan dengan siapakah mereka ingin bekerjasama bagi memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak terjaga,” kata beliau.

Seorang penganalisis lain, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, kedua-dua negeri menjadi “kingmaker” dalam pilihan raya baru-baru ini, tetapi pembentukan blok Borneo akan “membawa segalanya ke tahap yang lain”.

“Dengan kemungkinan memiliki 57 kerusi di bawah sebuah blok tunggal, Sabah dan Sarawak memiliki daya tawar-menawar yang lebih kuat,” kata beliau.

Suara hati Ahmad Said akan diambil kira dalam hubungan Umno PAS?

BORHAN AHMAD

Ayun buai kokek

Kokek hulu golok

Hok dia lokek

Hok orang dia hendok

Di atas adalah lagu rakyat Terenganu yang saya hafal masa kecik-kecik dahulu. Ia menggambarkan sikap manusia.  Hak diri sendiri akan dipertahankan dan tidak mahu dikongsi dengan orang lain, padahal dalam masa yang sama dia mahu hak milik orang lain.

Dalam tulisan ini saya tidak mahu bercakap tentang masa kecil dahulu tetapi apa yang belaku masa sekarang.

Datuk Seri Ahmad Said adalah pemimpin Umno Terengganu. Beliau memimpin Umno negeri ketika menjadi pemerintah dan juga ketika semua orang lain tidak mahu lagi memimpin selepas Umno kalah di tangan Pas dalam PRU – 14 lalu.

Ketika semua pihak tidak sedia untuk menerima tanggungjawab selepas Datuk Seri Idris Jusoh ditolak oleh pihak istana, Ahmad Said sanggup menerima tanggungjawab itu walaupun berdepan tekanan dalaman Umno sendiri.

Begitu juga selepas Umno kehilangan kuasa di peringkat pusat dan negeri, Ahmad Said lah satu-satunya pemimpin Umno yang memimpin semula parti itu di Terengganu walaupun sudah tidak lagi menjadi pengerusi negeri beberapa tahun.

Musuh utama Umno Terengganu sejak dahulu adalah Pas. Apa yang tidak dikatakan pemimpin Pas terhadap pemimpin dan penyokong Umno khasnya Ahmad Said sendiri.

Ketika kemuncak krisis serangan Pas terhadap Umno, Ahmad Said adalah antara yang merasainya. Ketika itu, imam yang menyokong Umno tidak akan diiktiraf oleh penyokong Pas sebagai imam.

Mereka akan membuat saf dan jamaah solat lain walaupun dalam surau atau masjid yang sama.

Sembelihan orang Umno tidak akan dimakan oleh penyokong Pas. Masjid yang imamnya penyokong Umno akan dipulau oleh penyokong Pas. Mereka sanggup merentas kampung dan daerah untuk mencari masjid yang imamnya adalah penyokong dan pemimpin Pas ketika mahu bersolat Jumaat dan jamaah.

Apabila Umno dan Pas bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat, Ahmad Said dan penyokongnya di Terengganu tidak merasai penyatuan itu.

Pas tetap meletakkan Umno bersama pemimpin dan penyokongnya di serambi bukan di rumah induk.

Apabila kerajaan Pusat memberikan peruntukan untuk membantu pemimpin negeri melawan Covid-19, wakil rakyat Umno tidak menerima bantuan itu sebagaimana yang diterima wakil rakyat Pas di Terengganu.

Satu sen pun tak ada – itu dakwaan Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, berhubung wang peruntukan untuk wakil-wakil rakyat parti itu di negeri berkenaan untuk membantu rakyat semasa wabak Cobid-19, lapor Malaysiakini.

Menurut bekas menteri besar Terengganu itu, sudah ada tiga fasa bantuan disalurkan kerajaan negeri – yang dipimpin oleh Pas – setakat ini, namun Adun Umno belum menerimanya.

Beliau juga mendakwa jumlah peruntukan yang ditetapkan tidak adil di antara Adun Pas dan Umno walaupun kedua-dua parti itu membentuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

Kenapa. Kerana mereka wakil rakyat Umno sedangkan kerajaan negeri yang mengagihkan bantuan dari Pusat itu adalah kerajaan negeri Pas.

Padahal kerajaan PN adalah hasil gabungan dan kerjasama antara Umno, Pas dan Bersatu sertakan rakan-rakan PN yang lain.

Ketika kerajaan PN pusat mereka bersama, kerajaan negeri Terengganu tetap kerajaan Pas.

“Sehingga PRU 15, Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan bahawa rumah yang sedia ada tak perlu dirobohkan untuk dibina baru.

“Kita hanya tambah serambi sahaja untuk wujudkan ruang rumah yang lebih luas,” kata Exco kerajaan negeri Dr Azman Ibrahim ketika beranalogi di mana kedudukan Umno dalam kerajaan negeri Terengganu.

Bukan peringkat negeri sahaja pemimpin dan wakil rakyat Umno tersisih, apabila Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dibentuk, pemimpin Umno peringkat kampung juga tersisih.

Ahmad Samsuri datang memujuk Ahmad Said selepas beliau mendedahkan layanan buruk kerajaan negeri Pas  kepada Umno namun masalah antara Umno dan Pas di Terengganu tidak selesai.

Bahkan, masjid yang selama ini dipimpin oleh pemimpin Umno tempatan juga mula diambilalih oleh pemimpin Pas terutama jawatan pengerusi dan AJK utama masjid.

Semua ini dirasai oleh Ahmad Said, dari Umno sebagai pemerintah negeri sehinggalah Umno kehilangan kuasa di peringkat negeri.

Pendek kata Ahmad Said adalah pemimpin Umno yang paling kenal hatibudi Pas dan pemimpinnya.

Sebab itu, apabila Umno Pusat mahu bekerjasama dengan Pas, Ahmad bertegas Umno Terengganu akan bertanding kesemua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sikap Ahmad Said turut dikongsi oleh rakan-rakannya dari Kelantan. Mereka juga paling kenal hatibudi Pas.

Sebagaimana Terengganu, Umno Kelantan juga menolak kerjasama dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang ataupun dalam usaha menukar Kerajaan Persekutuan yang ada.

Bagi Umno Kelantan, Pas tidak pernah jujur dan ikhlas apabila mahu bekerjasama dengan mereka.

“Kalau Pas itu jujur dan ikhlas dengan kita, sepatutnya dia bagilah satu atau dua Exco kerajaan negeri Kelantan kepada kita,” kata Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Mohamad Zulkepli Omar dalam satu taklimat dalaman kepada penyokong Umno di Kelantan.

Kini Umno peringkat pusat telah mengambil sikap tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15, rakan kongsi utama mereka dalam Perikatan Nasional.

Namun, Umno Pusat dilihat mahu mengekalkan kerjasama dengan Pas. Begitu juga sesetengah pemimpin Pas yang melihat secara overview tentang keperluan kerjasama ini.

Bekas Setiuasaha Agung dan juga Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali, Pas dan Umno perlu bekerjasama bersama Bersatu bagi mempastikan pertandingan dua penjuru sahaja dalam PRU akan datang.

“Jika pilihan raya tiga penjuru antara BN, PN dan PH, PH akan mempunyai kelebihan,” kata strategis Pas itu yang kini sudah terkesamping dari arus perdana Pas.

Kini Umno dalam dilema.

Jurucakap utama Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi ketika menyerang Bersatu kaw kaw, beliau masih berhati-hati dan masih berharap dapat bekerjasama dengan Pas.

Padahal beliau sedar, Pas sedang bermain dua kolam bagi memastikan mereka sentiasa berada di pihak yang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Geng Publika bekerjasama dengan Bersatu manakala Geng Ustaz pula berbaik-baik dengan Umno.

Umno kena buat keputusan…dan Ahmad Said adalah tokoh dalam parti itu yang perlu dirujuk Umno kerana beliaulah yang paling kenal hati budi Pas.

Tetapi apakah suara hati Ahmad Said akan diambil kira Umno, kita lihat dalam PRU-15 nanti.

Pas tinggalkan Umno selepas dapat yang berkuasa

MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN

Pertelingkahan dan pergeseran diantara parti Bersatu dan Umno ibarat retak menanti belah selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 kelak.

Pas dilihat lebih mesra kearah Perikatan Nasional bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin berbanding Muafakat Nasional yang dibina bersama Umno pada 2019 yang lalu.

Kesetiaan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Pas kepada PN lebih kepada tanda terima kasih kepada Muhyiddin Yassin setelah melantik beberapa ahli parlimen Pas untuk menyertai kabinet kerajaan sama ada menjadi Menteri,Timbalan Menteri atau Duta khas bertaraf menteri.

Mengikut tinjauan yang dibuat oleh IDE pada 19 Februari yang lalu, kebanyakkan penyokong Pas (74 peratus) bersetuju untuk menyokong Muhyiddin Yassin untuk memegang jawatan Perdana Menteri sehingga habis penggal berbanding penyokong Umno (72 peratus) yang mahukan Pilihanraya diadakan segera.

Pas juga dilihat bermain dua kolam dalam menyatakan sokongan dengan menggunakan alasan perpaduan Melayu dan Islam.

Natijahnya, Pas lebih sayangkan Bersatu dan Perikatan Nasional kerana mereka mampu memenuhi kehendak dan cita rasa Pas berbanding Umno yang tidak mempunyai sebarang kuasa.

SLOGAN MELAYU ISLAM

Slogan perpaduan Melayu dan Islam yang dilaungkan oleh pemimpin Pas hanyalah retorik semata-mata untuk menarik sokongan pengundi melayu dan islam serta menjaga kedudukan dan kuasa mereka dalam kerajaan.

Apa kesudahan Muafakat Nasional yang dibina oleh Pas dan Umno? Adakah kerjasama parti Melayu dan Islam ini terhenti setelah Pas mendapat kuasa dalam kerajaan Perikatan Nasional? Adakah Islam berjaya dimartabatkan setelah Pas memegang kuasa sekarang?

Apa terjadi dengan RUU355? Pembelaan arwah Adib? Masalah judi, arak dan pemandu mabuk? Sehingga sekarang, Pas masih gagal melaksanakan apa yang dijanjikan.

Wanita maut dipercayai ditembak suami, lepas tuntut cerai

Malaysiakini 

Gara-gara menuntut cerai secara fasakh, seorang wanita maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam kejadian pada 2 pagi itu, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut sebelum suspek berumur 43 tahun itu, menembak isterinya dan kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.

“Mayat isterinya berumur 38 tahun itu kemudiannya dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar, iaitu kira-kira 10 kilometer jaraknya dari rumah untuk ditanam. 

"Selain suspek yang bekerja sebagai pembawa jengkaut, turut ditahan rakan lelakinya berumur 32 tahun, untuk membantu siasatan.

“Pasangan yang sudah berkahwin lapan tahun itu mempunyai dua anak berumur tiga dan empat tahun. Kejadian berlaku ketika anak-anak mereka masih tidur. Dua anak mereka kini di bawah jagaan keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada jiran pasangan itu pada 1 Mac, yang menyatakan ternampak suami mangsa membawa tong air masuk ke dalam sebuah kereta kira-kira 4.30 pagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan mendapati suami mangsa mengaku membunuh isterinya dan dengan dipandu arah oleh suspek, mayat mangsa ditemui di kawasan ladang serai kira-kira 10.30 pagi, semalam.

Ayob Khan berkata proses bedah siasat mangsa masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dan dua suspek itu direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Mac depan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

“Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, kerana selain memiliki satu senapang angin, suami mangsa turut mempunyai satu lagi senapang patah,” katanya sambil menambah suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencederakan orang dan senjata api.

Pada Rabu lepas, tular di media sosial aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas di Kota Tinggi telah meninggal dunia disyaki dibunuh suaminya, kerana cemburu.

- Bernama

LAWAK ANTARABANGSA ‘KAHWIN CERAI’ UMNO DENGAN BERSATU

Shahbudin Husin

UMNO secara rasmi telah membuat keputusan tidak akan bersama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 akan datang serta secara rasmi dan bertulis juga memaklumkan perkara tersebut kepada Muhyiddin Yassin.

Ia dimaklumkan melalui surat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kepada Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu, Pengerusi PH dan Perdana Menteri pada 26 Februari lalu.

Begitu pun, UMNO berpendapat, kebersamaan mereka dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Dengan pendirian ini bermakna, UMNO ingin terus berada dalam rumah kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan dan selepas itu akan bertanding sebagai pembangkang melawan Bersatu dan PN dalam PRU15.

Sesungguhnya inilah pertama kali dalam sejarah negara, barangkali juga dalam dunia, ada parti yang melafazkan talak untuk berpisah tetapi menangguhkan keluar rumah buat sementara sehingga Parlimen dibubarkan.

Sehingga Parlimen tidak dibubarkan, UMNO akan terus duduk serumah, makan bersama dan tidur sekatil dengan Bersatu yang telah dicerai tetapi ditangguhkan perlaksanaan cerainya itu.

Kalau UMNO dan Bersatu ibarat suami isteri, tentulah caca marba kehidupan yang bakal dilalui.

Mereka duduk serumah, tetapi telah memaklumkan akan bercerai pada suatu masa yang belum diketahui, namun sementara itu terus tinggal serumah, makan dan tidur bersama lagi. Tidak mustahil hubungan kelamin juga berjalan seperti biasa.

Anak-anak, saudara-mara serta jiran tetangga pasti turut pening kepala sama dibuatnya.

Selepas Parlimen dibubar nanti, sama ada UMNO terus bersendirian atau akan bertemu jodoh dengan pasangan lain tidak juga dapat dipastikan lagi.

Dalam norma kehidupan biasa, sesuai dengan tindakan UMNO yang telah memaklumkan mahu berpisah itu dan Bersatu sebagai orang yang mempunyai kuasa, namun diberitahu akan ditinggalkan, ia biasanya tentulah boleh berbuat sesuatu yang munasabah demi maruah serta harga dirinya.

Tetapi, nampaknya tidak begitu yang terjadi.

Dalam mesyuarat MPT Bersatu semalam yang diadakan sebagai susulan ketetapan UMNO mahu berpisah itu, keputusan yang diambil ialah sekadar memandang serius tindakan UMNO itu.

Dalam waktu yang sama, Bersatu memaklumkan akan terus mempererat hubungan dengan parti gabungan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.

Tidak disebut sama sekali tindakan mahu mengakhiri hubungan atau sebarang tindakan akan diambil terhadap UMNO.

Kesimpulannya, sama seperti UMNO yang mahu berpisah dengan Bersatu, tetapi enggan keluar rumah PN sehingga Parlimen dibubarkan, Bersatu juga tidak berani memutuskan hubungan atau menyuruh UMNO keluar daripada PN.

Setidak-tidaknya, bagi Bersatu yang telah dimaklumkan akan dicerai itu serta dengan kuasa yang dimilikinya, ia akan berkata kepada UMNO, kalau benar mahu berpisah, kenapa tidak keluar rumah saja daripada sekarang?

Mengapa perlu duduk lagi di rumah PN ini kalau benar mahu berpisah?

Atau, boleh saja Bersatu bertindak menghalau UMNO daripada terus duduk di rumah PN kerana keberadaannya boleh saja mendatangkan bahaya seperti mungkin membawa lari beras atau apa-apa perabot apabila sampai ketika ia mahu keluar rumah nanti.

Entahlah, boleh pening kita dibuatnya dengan hubungan UMNO dengan Bersatu ini yang boleh dikategorikan macam lawak antarabangsa saja layaknya hubungan “sumbang mahram” mereka.

Agaknya inilah “perkahwinan” norma baru yang tidak pernah tergambar sebelum ini, sama seperti tidak tergambarnya kita bagaimana seorang yang tiada lagi majoriti, tapi terus tak malu mengaku ada sokongan besar sebagai Perdana Menteri. (Shahbudindotcom 05/03/2021)

PRU-15 pada Ogos, Ismail Sabri dilantik TPM? Mungkin kata sumber PPBM

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM telah mengusulkan kepada Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pilihan raya umum sekitar Ogos dan melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri, jika Umno nekad keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Sumber yang rapat dengan kepimpinan tertinggi PPBM menjangka sidang Parlimen diadakan Ogos dan “pada masa itu, akan jelas sama ada Umno bersama kita atau akan menarik sokongan terus daripada Muhyiddin.”

Bagaimanapun, menurut sumber itu, PRU-15 berkemungkinan diadakan terus tanpa sidang Parlimen, jika kemelut PPBM dan Umno terus meruncing.

“Semua ini belum boleh disahkan kerana kami masih berharap semua tiga parti Melayu (PAS, PPBM dan Umno) boleh bekerjasama,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata usul melantik Ismail sebagai TPM bertujuan untuk menarik sokongan ahli Umno kepada PN.

Selain Ismail, beberapa pemimpin Umno lain, seperti Shahidan Kassim dan Annuar Musa dilihat mesra PN dan PPBM.

Sumber itu berkata PN yang ditunjangi oleh PPBM dan PAS dijangka mengundang Umno untuk rundingan pengagihan kerusi ke arah menghadapi PRU-15.

“Kita menantikan mereka untuk (memulakan rundingan). Ketika ini rundingan mengenai kerusi hanya boleh di adakan antara PPBM, PAS, dan Gerakan,” kata sumber itu.

Hubungan PPBM dan Umno semakin keruh selepas Majlis Kerja Tertinggi Umno secara rasmi memaklumkan PPBM tiada kerjasama pada PRU-15, serta kebersamaan dalam kerajaan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

Dalam kenyataan balas, Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, berkata partinya akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan kerjasama dengan rakan komponen PN.

Jersey baru Kedah tajam kembang meletup, syabas MB Kedah

SITI NUR ZAWANI MISCON

Jersey baru Kedah tajam kembang meletup, syabas MB Kedah

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar menyindir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mempromosi jersi terbaru pasukan bola sepak negeri itu dengan menggunakan model wanita yang tidak menutup aurat.

Beliau membangkitkan bagaimana Pas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu lantang mengkritik pramugari di syarikat-syarikat penerbangan yang tidak menutup aurat.

Namun hari ini, Menteri Pas sendiri dikatakan mempromosi jersi bola sepak menggunakan model wanita seksi.

“Saya ucapkan syabas kepada Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Kedah, kerana berjaya membawa satu perubahan daripada pondok Tuan Guru Haji Salleh di Sik kepada satu pemikiran baru iaitu membawa wanita cantik dan seksi memperomosikan jersi Kedah.

“Dulu pemimpin-pemimpin Pas begitu lantang mengkritik bagaimana syarikat-syarikat penerbangan tidak memberikan ruang kepada pramugari untuk menutup aurat.

“Tapi hari ini saya percaya MB Kedah berjaya membawa satu anjakan paradigma baru kepada pemimpin-pemimpin Pas termasuk daripada pondok-pondok seluruh negeri Kedah untuk menerima hakikat bahawa hari ini adalah dunia moden, kita perlukan wanita cantik dan seksi mempromosikan jersi baru,” katanya sinis dalam satu klip video di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, pelancaran jersi bola sepak KDA FC yang dilancarkan baru-baru ini mendapat kritikan dari penyokong pasukan dari utara tanah air itu dan tidak terlepas, kritikan terhadap Sanusi yang juga Pesiden KFA.

Imej wanita yang tidak bertudung, serta menggayakan baju jersi pasukan KDA FC dalam gaya yang seksi turut menjadi kritikan penyokong pasukan Kedah.

Beberapa pihak juga mempersoalkan sama ada Sanusi tidak melihat video pelancaran tersebut dan sebenarnya beliau bersetuju mengeksploitasi wanita dalam iklan milik KDA FC itu.

Pemimpin DAP ramal ‘perang saudara’ dalam Umno, jangka puak pro dan anti-Muhyiddin akan rebut kuasa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Liew Chin Tong, meramalkian Umno menuju “perang saudara” yang akan menyaksikan parti itu berpecah-belah susulan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Liew percaya Umno bakal menyaksikan dua puak berebut kuasa dalam parti, melibatkan penyokong Muhyiddin Yassin cuba menyingkir pihak lawan.

Liew dalam blognya menulis Umno akan menjadi “pengikut setia” presiden PPBM sekiranya pemimpin pro-Muhyiddin seperti Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa berjaya menumpaskan lawan.

Bagaimanapun, kemenangan itu mungkin akan menyaksikan penghijrahan puak lawan.

“Namun situasi yang paling mungkin berlaku adalah penentang Muhyiddin akan berjaya,” katanya, menggolongkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam kumpulan itu.

Selepas itu, cabaran bagi kumpulan anti-PPBM adalah menentukan siapa yang akan mengepalai Umno pada pilihan raya umum ke-15, yang mana parti Melayu itu akan berkempen sebagai parti pembangkang “tanpa bantuan jentera kerajaan dan kekurangan wang berbanding ketika itu berkuasa”.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu kemudian meramalkan PAS, sekutu Umno dan PPBM dalam Muafakat Nasional, akan terpaksa memilih antara dua parti itu.

Beliau percaya selagi Presiden Abdul Hadi Awang masih menerajui parti itu, sebahagian besar pemimpin PAS akan bersama Muhyiddin.

“Akan ada beberapa pihak dalam PAS yang akan mendesak kerjasama dengan Umno namun mungkin sia-sia.”

Liew berpandangan sekiranya kemarahan pengundi Melayu dihalakan terhadap Muhyiddin, PAS nampaknya berpaut pada “kapal karam”.

“Ramai ahli dan penyokong PAS akan kebingungan, dan akan ada yang melompat,” katanya.

Liew berkata keputusan Umno membawa petanda tidak baik bagi kerajaan Perikatan Nasional, yang kini mendapati ia dalam bahaya, sama seperti yang dihadapi pentadbiran Najib Razak pada suku akhir 2017.

Namun apa sahaja yang ia lakukan tidak akan membantu, katanya, kerana pengundi sudah membuat keputusan untuk menyingkir kerajaan PN.

Persoalan sekarang adalah, bagaimana pengundi akan melakukannya.

“Apa yang akan dilakukan oleh PPBM? Parti pemerintah ada kuasa dan wang. Ia tiada sokongan pengundi,” katanya.

Liew berkata PPBM masih ada beberapa pilihan untuk kekal berkuasa, termasuk menarik wakil rakyat parti lain atau memanjangkan darurat.

Susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno bulan lepas, parti Melayu itu membuat keputusan tiada kerjasama dengan PPBM pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

Penyokong Umno, PAS beza pendapat pasal Muhyiddin

Malaysiakini 

Penyokong Umno dan PAS berbeza pendapat mengenai apa yang perlu dilakukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE).

Sebilangan besar penyokong Umno (72 peratus) menyokong Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya, manakala kebanyakan penyokong PAS (74 peratus) mahu dia mentadbir sehigga habis penggal parlimen.

Subset responden ini antara 8,352 individu yang ditinjau oleh IDE antara 19 Februari dan 28 Februari lalu.

IDE berkata "persampelan yang digunakan dalam kajian ini adalah persampelan berperingkat (multi-stage sampling)."

"Profil responden adalah merangkumi jantina, umur, kaum, sokongan kepada parti dan trend keputusan PRU14," katanya.

Hasil tinjauan itu didapati daripada laporan Siaran Media SIRI KE-3 Mood Rakyat.

Penyokong Umno dan PAS juga tidak mencapai kesepakatan sekiranya Muhyiddin berjaya dalam menangani wabak Covid-19.

Walaupun 69 peratus penyokong Umno berpendirian kepimpinan Muhyiddin gagal dalam mengawal penularan Covid-19 secara berkesan, 86 peratus penyoking PAS berpendapat sebaliknya.

Menurut IDE, data ini menunjukkan perbezaan ketara sikap penyokong Umno dan PAS.

"Jelas berdasarkan data responden penyokong Umno, mereka mempunyai persepsi yang rendah dan negatif terhadap Kerajaan Perikatan Nasional khususnya suara akar umbi.

"Justeru senario ini mengesahkan penolakan Umno terhadap Perikatan Nasional dan pelbagai konflik yang timbul antara keduanya.

"Sikap penyokong PAS dilihat berbeza; lebih bersikap positif dan pragmatik terhadap kepimpinan TSMY dan Kerajaan Perikatan Nasional," kata tinjauan itu.

Perbezaan sikap antara penyokong Umno dan PAS ini kata IDE lagi yang dilatari oleh pelbagai latar belakang terkait dengan strategi politik, reaksi akar umbi, survival kerusi Parlimen dan DUN, masa depan parti politik dan dinamiknya sokongan pengundi atas pagar.

"Senario ini juga menjadi tanda tanya terhadap kedudukan PAS samada untuk memilih antara dua gabungan iaitu bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional, atau bersama Umno dalam Muafakat Nasional pada PRU 15 akan datang," kata IDE.

Tinjauan yang sama juga mencadangkan bahawa cuma satu antara lima responden yang menyokong Muhyiddin melengkapkan penggal jawatan perdana menteri.

IDE, badan pemikir dan penyelidikan yang ditubuhkan pada 2015 serta didanai kerajaan Selangor.

Pas kekal dengan ‘dua kolam’, tolak PH

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pas memutuskan untuk menolak sebarang bentuk usaha ke arah penjajaran baharu melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengambil ketetapan untuk meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Pas telah melakukan pertemuan dan libat urus dengan kedua-dua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Umno dan Bersatu di mana pertemuan itu diketuai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pertemuan turut dilakukan bersama pimpinan tertinggi Bersatu yang dihadiri Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam.

“Pas menetapkan untuk meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama PN

“Pas akan mempertegas usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekaligus mempertahan Perikatan Nasional di semua peringkat.

“Menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu Pas berkata, parti itu komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu antara Umno, Bersatu dan Pas, demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat Malaysia

Pas berkata, segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud pasti dapat diselesaikan oleh pimpinan parti-parti, atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

Pas turut menekankan buat masa ini semua pihak perlu memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya.

PRU-15: Bersama Bersatu menang, bercerai Umno kembali bekuasa

BAHA M. ISA

Persaingan antara Umno dan Bersatu telah memasuki episod baharu apabila kedua-dua parti itu seolah-olah telah memateri pendirian masing-masing berhubung isu kerjasama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Umno sah tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU depan manakala Bersatu pula menyatakan parti itu fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, Star, SAPP dan Gerakan.

Perkembangan ini merupakan hasil daripada pergeseran yang kian memuncak antara kedua-dua parti sejak sekian lama.

Umno dilihat lantang menolak kerjasama dengan Bersatu terutama menerusi pendirian 147 daripada 189 bahagian parti tersebut sebelum ini justeru, ‘penceraian’ Umno-Bersatu ini tidak dapat dielakkan lagi.

Sebagaimana dikatakan penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat kepada Sinar Harian, kedua-dua parti itu tidak mampu bersama untuk selama-lamanya.

Beliau berkata, hal tersebut disebabkan pasaran untuk Umno dan Bersatu adalah sama iaitu Melayu-Muslim yang lebih cenderung nasionalisme, tanpa pembahagian wilayah seperti yang wujud antara Umno dan PBB di Sarawak.

“Daripada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sampai Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu memang berharap dapat pecahkan dan menyerap penyokong Umno.

“Umno pula harap dapat menyerap semula Bersatu sepertimana Semangat 46 diserap semula. Selain itu, kedua-dua parti inginkan jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Perseteruan Umno-Bersatu ini dilihat akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru pada PRU akan datang melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Pertembungan tiga penjuru ini seolah-olah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

Apa akan jadi kalau berlaku tiga penjuru? Pastinya, akan berlaku banyak pertembungan kerusi antara Umno dan Bersatu pada PRU-15.

Ini terutama di kerusi di mana ahli Parlimen Umno keluar parti dan memasuki Bersatu selepas PRU-14 antaranya Jeli, Larut, Mersing dan Masjid Tanah.

Umno diramal akan terus dominan di kawasan-kawasan tradisinya memandangkan parti ini dikatakan memiliki banyak sokongan akar umbi organik dan masih merupakan jenama yang ‘dipercayai’ berbanding Bersatu.

Dalam masa sama, Bersatu yang kini menerajui Kerajaan PN, pasti akan berusaha memperbaiki prestasinya sebelum ini. Pada PRU-14, Bersatu hanya menang 13 kerusi berbanding 52 kerusi yang ditandinginya.

Apa yang pasti, kedua-dua parti akan giat bertungkus-lumus mahu menjadi parti yang lebih besar pada PRU-15, jika benar pertandingan tiga penjuru bakal menjadi penentu.

Jadi, apa bentuk kempen pilihan raya yang akan dijalankan Umno dan Bersatu? Apakah isu akan dibawa? Apa ‘manifesto’ yang akan diketengahkan kedua-dua parti? Siapakah calon Perdana Menteri mereka?

Pastinya, persaingan kedua-dua parti itu akan menjadi semakin menarik menjelang PRU-15.

Pas hanya cari untung dengan politik dua kolam, kata bekas pemimpin Umno

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas pemimpin Umno, Datuk Zaharin Mohd Yassin mendakwa politik Pas ketika ini hanya mahu mencari keuntungan untuk diri mereka sendiri dan bukannya demi perjuangan.

Beliau berkata, ini dapat dibuktikan dari sikap parti Islam itu yang bukan sahaja selama ini minum dua kolam, tetapi sudah berkolam-kolam.

“Pada tahun 2015, berakhirnya kegemilangan Pas kerana banyak kali dah minum kolam. Bukan sahaja kolam oasis di padang Mesir. Di padang Sahara pun dia minum, semua kolam lah. Air sungai pun dia minum.

“Dia pernah bekerjasama dengan DAP, dengan Semangat 46. (kerjasama) dengan PKR dan kemudian sekarang dengan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi kerja dia ialah untuk memberi lembu-lembu dia atau pun kuda-kuda dia jangan dahaga,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di YouTube DDr Ismail Channel hari ini.

Zaharin berkata, rakyat sudah seharusnya melihat taktik politik Pas yang lebih kepada menguntungkan parti dan puak mereka.

Katanya, Pas akan minum kolam yang penuh racun jika terus dengan keadaan minum dua kolam untuk mendapat kelebihan.

“Dengan itu jika Pas terus dengan keadaan minum dua kolam dan berkolam-kolam kononnya untuk mendapat kelebihan dan dapat banyak rasa, dia juga akan terminum air kolam yang penuh racun,” katanya lagi.

Penganalisis jangka Umno berbaik semula dengan PPBM

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Seorang penganalisis meramalkan Umno dan PPBM akhirnya akan saling bekerjasama sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, beliau tidak percaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi kata dua menerusi suratnya baru-baru ini kepada Muhyiddin Yassin, yang menyatakan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) dan hanyaakan bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Surat itu lebih kepada mengingatkan PPBM bahawa ia mesti memenuhi tuntutan Umno berbanding keputusan muktamad, menurut Azmi.

Sekalipun kedua-dua parti itu tidak bekerjasama pada PRU15, kata beliau, mereka masih boleh memutuskan untuk mengambil langkah tersebut selepas pilihan raya.

“Sekiranya Umno bergerak sendiri dan terdapat pertarungan tiga penjuru, baik Perikatan Nasional mahupun Umno atau Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempunyai majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan,” kata beliau.

“Saya percaya, selepas keputusan PRU15 keluar, akan ada tawar-menawar antara ketiga-tiga entiti ini untuk melihat siapakah yang bersedia bergabung untuk membentuk kerajaan. Kemungkinan besar, PN dan Umno akan membentuk kerajaan.”

Azmi berkata, PPBM kelihatan tidak mempunyai pilihan selain menyerah kepada tuntutan Umno berkenaan pengagihan kerusi kerana parti Muhyiddin kekurangan sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya yang cekap seperti Umno.

Kata beliau, Muhyiddin perlu memikirkan semula strategi PPBM sekiranya beliau berniat untuk membuat perjanjian dengan Umno sebelum Parlimen dibubarkan.

Tiada pihak yang mahukan pertembungan tiga penjuru pada PRU15, kata beliau.

“Pakatan Harapan akan menjadi penyumbang terbesar dalam pertarungan tiga penjuru dan parti yang akan paling banyak kalah adalah PPBM atau PAS. Walau dengan apa cara sekalipun, PPBM perlu mengelak berada dalam kedudukan ini,” kata beliau.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, beliau tidak menjangkakan pilihan raya umum diadakan sebelum Umno mendapat sokongan PPBM.

Isu kerusi pengagihan tradisional mesti diselesaikan terlebih dahulu, kata beliau.

“Umno mahu bertanding di sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen, termasuk 55 yang dimenanginya pada PRU14,” kata beliau kepada FMT.

“Ini untuk memastikan kedudukan dominannya dalam kerajaan selepas pilihan raya.”

Beliau juga berkata, surat Zahid akan menggalakkan lebih ramai pemimpin Umno yang mesra PPBM meneruskan usaha mereka untuk menggulingkan presiden parti itu.

Pemilihan Umno dijadualkan berlangsung tahun ini.

Suhu politik negara akan terus 'mendidih'

N Faizal Ghazali

Fenomena lompat parti dalam kalangan wakil rakyat mutakhir ini dilihat akan menyumbang kepada kitaran pertarungan politik yang berterusan, kata penganalisis politik Mazlan Ali.

Menurutnya ketidakstabilan majoriti kerusi antara parti pemerintah dan pembangkang akan membawa kepada usaha untuk saling memperkukuh kedudukan masing-masing kerana sifat wakil rakyat yang tidak stabil dari segi prinsip dan pegangan.

"Fenomena lompat parti atau tarik-menarik sokongan ini berlaku di kedua-dua belah pihak.

"Kita boleh lihat sebelum ini anggota parlimen Sri Gading (Shahruddin Md Salleh) keluar daripada Bersatu dan tiga anggota parlimen BN mengisytiharkan mereka tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kemudian yang terbaru dua ahli parlimen PKR pula dilaporkan keluar parti dan memberi kepercayaan kepada PN, sekali gus dijangka akan mempengaruhi dan mengubah lagi situasi politik negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesan langsung fenomena lompat parti terhadap senario semasa politik Malaysia.

Tambah Mazlan, susulan beberapa perubahan mutakhir ini tidak mustahil ia akan terus berlaku lagi dengan kemungkinan membabitkan kedua-dua blok.

"Adakah akan berlaku lagi lompatan ahli pembangkang kepada kerajaan PN? Ia tidak mustahil, dan tidak mustahil juga akan ada pula beberapa ahli parlimen BN yang akan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

"Semua kemungkinan ini akan terus mewarnai politik negara dan situasi politik akan terus berada pada suhu takat didih," jelasnya.

Sementara itu pensyarah sains politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berpendapat permasalahan yang berlaku kini menjadi simbol betapa tidak stabilnya politik di Malaysia.

Bagus untuk jangka pendek

Keadaan itu katanya mampu memberikan ancaman terhadap kelangsungan amalan demokrasi.

"Ia menjustifikasikan bahawa ahli-ahli politik di Malaysia tidak begitu mengutamakan soal kepentingan rakyat lebih-lebih lagi sekarang kita berhadapan dengan krisis kesihatan awam yang paling memberikan kesan kepada semua aspek sama ada negara dan rakyat.

"Jika fenomena melompat parti berlaku secara berterusan ia menunjukkan bahawa wakil rakyat hanyalah sibuk 'berpolitik' dan juga seakan-akan membelakangkan mandat diberikan pengundi di kawasan mereka wakili.

"Kita tahu Malaysia begitu kuat nilai politik kepartian dan rata-rata orang mengundi berasaskan pilihan terhadap parti.

"Seandainya berterusan ia akan mewujudkan pesepsi awam yang negatif terhadap peranan wakil rakyat khususnya di peringkat nasional," katanya yang berkhidmat di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM kampus Raub.

Dalam perkembangan sama penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Prof Madya Rusdi Omar pula berpendapat, pandangan moral masyarakat terhadap wakil rakyat akan terjejas dan sedikit sebanyak orang akan hilang hormat.

"Jika situasi wakil rakyat pembangkang melompat kepada pihak kerajaan, kesan positifnya menggambarkan mereka diberi kepercayaan oleh wakil rakyat daripada pembangkang.

"Maksudnya wakil rakyat itu terkesan dengan apa yang kerajaan PN lakukan sehingga sanggup menyokong untuk memperkukuhkan lagi kerajaan.

"Tetapi perlu diingat untuk jangka masa pendek mungkin bagus kepada PN bagi kelangsungan kerajaan. Namun bagi jangka lebih panjang, ia tidak memberi jaminan yang utuh dan boleh menjurus terhadap keadaan yang terus tidak stabil.

"Amalan lompat-melompat ini kita tidak inginkan, dalam Islam sendiri pun. Ia memberi persepsi yang negatif dan menunjukkan bahawa ahli politik lebih mengutamakan politik berbanding menjaga kepentingan rakyat," ujarnya ketika dihubungi Malaysiakini.

PAS boleh menang lebih banyak kerusi jika bersama Umno berbanding PPBM

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, PAS mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika ia memilih untuk bekerjasama dengan Umno berbanding PPBM.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, masa depan PAS juga lebih cerah, khususnya untuk menguasai kawasan majoriti Melayu jika ia memilih bersama Umno memandangkan sokongan akar umbi parti itu lebih kuat berbanding PPBM.

“Tidak ada jaminan PAS boleh menambah kerusi kalau mereka bertanding tanpa sokongan Umno, sebaliknya Umno boleh menang lebih banyak kerusi Melayu sekalipun tanpa kerjasama dengan PAS khususnya di Pantai Barat berdasarkan keputusan PRU14,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pertembungan antara Umno dengan PPBM juga belum tentu akan menguntungkan PAS dan kelebihan di sesetengah kawasan mungkin akan berpihak kepada Umno.

“Umno boleh menang lawan PPBM kerana undi Melayu berperpecah. PKR, pengundi Cina pasti tidak sokongan PPBM, begitu juga PAS,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama Umno dan PAS juga mampu menafikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dengan mudah di kawasan majoriti Melayu.

“Malah di kawasan campuran juga PH belum tentu boleh memang jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara PN, BN dan PH jika Umno/BN-PAS bekerjasama kerana sokongan kepada PH tidak sama seperti PRU14 ditambah PKR kini berpecah antara kem Mohamed Azmi Ali dan Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan terbaharu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan hanya menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keadaan dilihat rumit apabila PAS kekal dengan pendirian untuk memperkukuh Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan pada masa sama memperkasa PN bersama PPBM.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia berkata, pertembungan antara Umno dengan PPBM ia tidak akan menguntungkan PAS kerana parti itu merupakan sebahagian daripada gabungan PN.

“Jikalau PAS mengambil keputusan untuk bersama PN, maka ia membawa maksud mereka akan bertembung dengan Umno.

“Ini kerana tidak boleh berlaku kerjasama Umno dengan PAS dan pada masa sama PAS berada dalam PN bersama PPBM.

“Umno mampu menafikan kemenangan PAS berbanding dengan PPBM. Maksudnya kalau PAS lawan PPBM, PAS ada peluang menang, tetapi jika PAS lawan Umno, maka sukar bagi parti itu.

“Umno mempunyai kekuatan tersendiri dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya selain menambah bahawa PAS perlu membuat pilihan lebih baik iaitu bersama Umno berbanding PPBM.

Seorang lagi penganalisis politik, Jeniri Amir menyifatkan langkah Umno menghantar surat untuk tidak bekerjasama dengan PPBM terlalu awal akan merugikan parti itu dan membuka jalan kepada perpecahan sesama ahli, terutama sekali kerana tarikh PRU belum diketahui.

“Sepatutnya tidak diumumkan terlalu awal kerana ia mendatangkan pelbagai kesan dari segi hubungan Umno dan PPBM dan sudah pasti perdana menteri akan bertindak balas berhubung keputusan Umno itu.

“Ia lebih banyak merugikan Umno, dan akan mempengaruhi setiap keputusan kerajaan yang membabitkan kawasan Umno.

“Keputusan itu terlalu gopoh, sepatutnya ia dibawa ke Persidangan Agung Umno dulu dan dimuktamadkan di situ,” katanya.

“Bagaimanapun dalam situasi pertembungan Umno dengan PPBM, PAS akan mendapat kelebihan untuk menang lebih banyak kerusi jika pendekatan mereka memilih jalan tengah antara Umno dan PPBM.

“Ini kerana kerusi yang akan ditandingi PAS sudah pasti tidak akan bertembung dengan calon Umno dan PPBM.

“Malah jika ketiga-tiga parti, PAS, Umno dan PPBM bertembung kelebihan juga tetap ada kepada PAS kerana undinya tidak pecah. Yang pecah undi Umno dan PPBM,”katanya.

Ku Li: Muhyiddin ugut nak buang Umno, tunggu apa lagi

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa ahli dan pemimpin Umno segera meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, menurut Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah "mengugut" untuk "membuang" pemimpin dan ahli Umno.

"Nasihat ikhlas saya kepada semua ahli-ahli Umno yang berada dalam kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Muhyiddin dah ugut hendak buang kita.

"Tunggu apa lagi, berhenti segera dan jaga maruah diri dan maruah parti Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ku Li turut mencadangkan agar Majlis Tertinggi Umno segera mesyuarat dan meminda keputusan agar tidak perlu menunggu parlimen dibubar untuk meninggalkan PN.

"Silap perhitungan? Putus hubungan dan keluar kerajaan PN sekarang. Berhenti main wayang kulit! Tak ada faedah dan tak ada kesan," katanya.

Kenyataan pemimpin veteran Umno itu hadir ketika Bersatu malam ini bermesyuarat mengenai hubungan mereka dengan parti komponen BN berkenaan.

Ini selepas Umno telah menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Surat bertarikh 26 Feb berkenaan juga menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya sehingga pembubaran Parlimen.

Dalam perkembangan terbaru malam ini, Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan media merayu kepada Agong untuk menitahkan parlimen bersidang segera.

Zahid berkata parlimen perlu bersidang, antara lain untuk membentangkan "keperluan kestabilan politik" dan "keperluan perpaduan di antara bangsa Melayu dan umat Islam bersama-sama pelbagai keturunan dalam mengemudi negara"

PH bermesyuarat selepas bertemu Speaker Dewan Rakyat

FAZLI RADZI

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.

Selain itu, mesyuarat Majlis Presiden PH turut menyentuh beberapa isu mutakhir serta persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pertemuan pimpinan PH hari ini berlangsung ketika kes harian Covid-19 semakin berkurang dengan terbaharu 1,745 kes semalam.

Gesaaan agar Parlimen segera bersidang daripada wakil rakyat PKR, AMANAH dan DAP berlaku ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai sokongan 109 ahli Parlimen.

Dalam masa sama, pertelagahan meruncing antara Umno dan Bersatu mengundang kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan PH pada PRU-15.

Sementara itu, Umno, Bersatu dan Pas juga dijangka berebut kawasan majoriti pengundi Melayu sekali gus menyukarkan wujudnya pertandingan dua penjuru.

Pertembungan tiga penjuru dilihat bakal mengundang kegagalan PN yang diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan majoriti mudah dalam pilihan raya umum akan datang.

Anwar bertemu speaker, minta adakan sidang parlimen

Malaysiakini 

Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azizan Harun di parlimen hari ini.

"Dalam pertemuan itu kami membangkitkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat selaras dengan kenyataan media Istana Negara tempoh hari," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan pada 3 Mac lalu berkata kabinet pentadbiran PN bersetuju sidang parlimen ditangguhkan sehingga 1 Ogos depan.

Takiyuddin mengemuakan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.

Ahli parlimen Kota Bharu itu juga berkata keadaan majoriti ahli parlimen yang merupakan warga emas juga meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Anwar memaklumkan hari ini selepas pertemuan bersama speaker, Majlis Presiden PH telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan tersebut.

"Majlis Presiden juga turut menyentuh beberapa isu mutakhir serta persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15," katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Feb bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri.

Pengkritik berpendapat penangguhan sidang parlimen dibuat kerana kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin telah kehilangan majoriti.

Ini selepas dua ahli parlimen Umno, MP Padang Rengas Nazri Aziz dan MP Machang Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Muhyiddin kemudian kembali memperoleh majoriti mudah setelah dua lagi ahli parlimen PKR berpaling tadah, MP Julau Larry Sng dan MP Tebrau Steven Choong.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengutus surat kepada Muhyiddin, memaklumkan Umno akan mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik PRU15 bermula.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu pula akan bermesyuarat membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin berkata kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut dibincangkan.

PAS kekal bersama Umno, PPBM, selepas Zahid kirim surat putus hubungan kepada Muhyiddin

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: PAS kekal dengan pendirian untuk memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan memperkasa Perikatan Nasional (PN), selepas Umno menerusi presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengambil pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan hanya bersama dengan kerajaan PN hingga Parlimen dibubarkan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Khairuddin Aman Razali berkata, PAS percaya bahawa satu-satunya kunci kemenangan bagi umat Islam dan Melayu, khususnya di Malaysia adalah bersatu-padu, tanpa mengira sama ada PPBM, Umno atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan lain.

“Kita tetap konsisten untuk menyatupadukan semua parti Melayu-Islam, sama ada Umno PPBM dan sebagainya seperti ditegaskan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang,.

“Kita kukuhkan MN dan memperkasakan PN. Namun apa-apa surat yang dihantar oleh Umno akan dibincangkan di peringkat pimpinan PN,” katanya kepada FMT.

Ketika ditanya sama ada pendirian PAS itu akan menyebabkan sebilangan pemimpin Umno dan PPBM berasa tidak selesa sehingga dikhuatiri menimbulkan pertikaian, Khairuddin berkata, “itu terpulang kepada mereka, yang penting ini adalah pendirian PAS.

“Setiap parti berhak berikan pandangan masing-masing. PAS kekal dengan pendirian sama, kita akan berusaha sebaik yang boleh untuk menyatukan umat,” katanya.

Terdahulu hari ini PPBM mengesahkan parti itu menerima surat daripada Ahmad Zahid berhubung keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 19 Feb yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan hanya bersama-sama dengan kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat Biro Politik PPBM pada petang semalam sudah membincangkan mengenai surat berkenaan dan membuat ketetapan untuk membawanya ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM petang ini.

Umno minta cerai, Bersatu mesyuarat petang ini

Malaysiakini 

Bersatu akan membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini, maklum Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut dibincangkan.

Ini selepas Umno menghantar surat, mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya ke-15 bermula.

Hamzah Zainudin berkata mesyuarat majlis tertinggi PN bersama pemimpin dari PAS, Star, SAPP, dan Gerakan akan datang juga akan membincangkan perkara ini.

"Sehubungan itu, Biro Politik Bersatu mengambil ketetapan bahawa pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada petang ini, 4 Mac 2021 (Khamis) dan pendirian tersebut akan dibincangkan juga dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan datang," katanya.

Pada masa ini Umno mempunyai lapan menteri dalam kabinet PN, serta ramai pemimpin dan ahli parlimen Umno memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan GLC.

Hamzah pada kenyataannya pagi ini, mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat itu pada 26 Februari.

Dia juga mengesahkan Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam mesyuaratnya di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari.

Kata Hamzah, Biro Politik Bersatu mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi Umno mengenai dua perkara utama.

"Pertama, tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

"Kedua, kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen," katanya.

Menjelaskan keputusan MT Umno itu, Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, keputusan akhir perlu mendapat perakuan kepimpinan tinggi menerusi perhimpunan agung Umno (PAU), yang sepatutnya diadakan pada 31 Jan.

Bagaimanapun, Umno terpaksa menangguhkan PAU susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam negara.

Bekas setiausaha agung Umno dan BN, Annuar Musa berkata Umno akan rugi jika tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional apabila parlimen dibubarkan kelak.

Annuar yang juga menteri kabinet PN menjelaskan dari tarikh pembubaran sehingga hari mengundi PRU15 di adakan, Umno tidak berada dalam caretaker government (kerajaan sementara).

"Tidakkah tindakan yang di buat dalam keadaan tarikh PRU belum di putuskan, memberi disadvantage (merugikan) kepada Umno, kerana sudah tentu pihak kerajaan, khususnya Bersatu mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin Umno, yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak Bersatu," katanya, semalam.

Kes Nur Sajat: Kenapa hukum, tidak lihat dari sudut dakwah

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Isu Nur Sajad dan ke manakah hilangnya ruh toleransi kita?

1. Apabila saya membaca di dalam media mengenai hasrat seorang hamba Allah bernama Nur Sajat Kamaruzzaman yang dilaporkan untuk tidak mahu kekal sebagai penganut Islam, ia benar-benar menyedihkan dan amat meruntun hati saya.

2. Jujurnya, pada waktu ini, hati saya berbaur dengan pelbagai perasaan – marah, geram kecewa, sedih, malu dan macam macam lagi.

3. Saya benar-benar rasa marah, geram, kecewa dan sedih serta malu dengan tindakan dan cara sebahagian umat Islam, yang bagi saya, hanya bermentaliti “holier than thou” dan tidak langsung menggambarkan, walau sekecil zarrah, elemen kerahmatan Islam.

Dari sudut lain pula, mereka ini cuba menonjolkan seolah-olah mereka sahajalah yang ingin menjaga kesucian dan kehormatan Islam kononnya. Cara mereka dilihat seolah olah mereka adalah pengawal tunggal atau solo kehidupan beragama kita semua!

4. Ya, mungkin sahaja Nur Sajat juga ada melakukan kesalahan dan kesilapan dari aspek-aspek tertentu, tetapi, sejak dari awal, saya melihat cara atau metode sebahagian umat Islam mendekati isu beliau ini lebih menonjolkan sikap yang amat suka dan mudah sekali menghukum daripada mendidik insan seperti Nur Sajat.

Tidak pelik jika insan seperti Nur Sajad dan insan di dalam kategori beliau mungkin merasakan atau berpersepsi mereka SEOLAH-OLAH tidak ada sebarang tempat dalam Islam.

Adakah salah mereka atau salah kita semua jika diandaikan mereka berpersepsi sebegitu ?

5. Apabila beliau melakukan ibadah umrah pada suatu waktu dahulu dengan berpakaian ihram seperti seorang wanita agak teruk juga beliau dikecam. Sehingga dilaporkan beliau mengeluh “adakah insan seperti saya tidak boleh melakukan ibadat umrah?”

Saya sebenarnya tidak begitu faham kenapa beliau harus dikecam begitu teruk hanya kerana berpakaian sebegitu? Kenapa sebahagian umat Islam tidak mahu melihat dari sudut positif hasrat mulia beliau ingin bertaqarrub kepada Allah melalui ibadat umrah?

Jika beliau tersilap sekalipun, bukankah itu peranan mereka yang berilmu untuk mendidik dan bukannya mengherdik? Membawa beliau kembali semula ke jalan kebenaran dan bukan membiarkan beliau terkapai kapai keseorangan di”serang” dari pelbagai penjuru.

6. Kenapakah sebahagian umat Islam hanya sibuk mendekati isu beliau menunaikan umrah dengan bertelekung seperti seorang wanita itu hanya dari sudut “fiqhul ahkam” -فقه الاحكام semata mata dan tidak dari sudut “fiqhul da’wah-فقه الدعوة ?

7. Kita-umat Islam sering berasa bangga dengan kalam Rasulullah saw yang menyatakan bahawa Baginda saw itu diutuskan dengan membawa slogan “a tolerant faith بالحنفية السمحة dan seringkali juga lidah para agamawan begitu fasih menyebut di dalam bahasa arab الإسلام دين التسامح ” Islam itu agama yang toleran!

Tetapi….

Saya tertanya tanya dimanakah kita lontarkan semangat toleransi Islam itu di saat kita berhadapan atau mendepani atau mendekati isu atau persoalan Nur Sajat ini?

8. Maaf, jika saya katakan apabila saya melihat cara dan sikap sebahagian umat Islam mendepani isu Sajat ini, ia amat memualkan. Bagi saya, ia memperlihatkan seolah-olah Islam ini satu agama yang amat keras, suka menghukum dan seperti tiada sebarang ruang ihsan untuk insan dan hamba Allah seperti insan bernama Nur Sajat.

9. Sejarah Islam dari zaman Rasulullah saw membuktikan islam adalah agama yang bersifat toleran. Tolerance or tasamuh is the sine qua non of Islam!

Lihatlah bagaimana Rasullullah saw menunjukkan secara amali toleransi Islam par excellence di dalam peristiwa Hudaibiyyah. Misalnya, bila diminta oleh delegasi perunding kafir Quraisyh untuk tidak diguna lafaz bismillahi al-rahmani al -rahimi… باسم الله الرحمن الرحيم dan diganti hanya dengan bismikAllahumma. باسمك اللهم..Nabi saw akur..

Tidaklah ini manifestasi toleransi? Adakah Nabi saw, nau’dzubillah, telah dikira menggadaikan prinsip?

10. Mereka yang menyangka toleransi itu adalah mengaku kalah dan menggadaikan prinsip adalah mereka yang hakikatnya mempunyai tasawwur yang salah dan cetek terhadap makna sebenar dan “nature” toleransi itu sendiri. .

Toleransi tidak ada kena mengena dengan peninggalan prinsip perjuangan!

11. Jika Islam itu adalah agama yang tidak pedulikan toleransi, mana mungkin kita melihat dalam sejarah Islam, hatta perbezaan pendapat di dalam perbahasan isu teologi atau ilmu kalam boleh subur dan berkembang.

Bolehkah fahaman muktazilah, murjia’ah, khawarij dll misalnya subur berkembang jika ketiadaan toleransi di sana?

Ramai yang mungkin tahu pengarang kitab tafsir yang terkenal iaitu Al-Zamakhsyari adalah bermazhab mu’tazilah, namun semua mengiktiraf bahawa tafsir beliau adalah tafsir beliau digolongkan dalam senarai para ibu tafsir -امهات التفا سير

12. Hujjatul Islam, imam al-Ghazali رحمه الله menulis kitab yang dikenali sebagai “faysal al-tafriqah baina al-Islamial-zal-zadanqati”-فيصل التفرقة بين الاسلام و الزندقة ( lihat lampiran) yang diterjemah oleh seorang sarjana Islam di barat yang hebat iaitu Dr Sherman Jackson dengan judul ” on the boundaries of theological tolerance in Islam” (lihat lampiran)

Dalam satu tulisan ilmiah beliau, Dr Sherman menjawab tuduhan kononnya beliau seolah – olah menyokong golongan al-zindiq apabila menterjemah buku tersebut.

Artikel ilmiah bertajuk ” Not truth but tolerance : a much belated response to Atiff Khalil (lihat lampiran) menjawab dengan tuntas antara isu kebenaran dan isu toleransi.

13. Mungkin relavan jika saya kongsikan kisah yang dibawa oleh ulama sufi besar iaitu al-imam Zainuddin Abil Qasim Al-Khusyairi dalam kitabnya “Al-Risalatul Al-Khusyairiyyah”- الرسالة القشيرية (lihat lampiran) tentang kisah yang beliau kata diceritakan kepadanya oleh ramai para ulama’ mengenai kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dengan seorang tetamu beliau yang mendatangi beliau dalam keadaan lapar dan meminta ihsan Nabi Ibrahim agar memberinya makan kerana beliau dalam kelaparan yang amat sangat

Memandangkan tetamu beliau tersebut adalah bukan muslim, Nabi Ibrahim a.s. menyatakan kepada beliau bahawa Baginda a.s. bersedia memberi makan sekiranya orang itu masuk Islam atau bertauhid kepada Allah.

Dikatakan Nabi Ibrahim a.s ditegur oleh Allah swt kerana Allah swt mengatakan bahawa Allah tidak jemu jemu memberi orang itu makan selama 50 tahun tanpa mengira kekafiran orang tersebut dan tanpa meletakkan sebarang syarat..akan tetapi, kata Allah, hanya baru sekali orang itu meminta bantuan dari Nabi Ibrahim a.s. Baginda a. s. telah pun mengenakan syarat tertentu.

Nabi Ibrahim a.s. dikatakan telah mencari semula orang tersebut untuk diajak makan bersama-sama.

(lihat m/s 199-200 kitab tersebut).

14. Untuk Nur Sajad, jika anda ditakdirkan membaca tulisan ini, saya merayu sangat batalkan hasrat anda untuk keluar dari agama Islam.. Kita semua tidak sempurna..

Usah hiraukan manusia. Bermunajat lah pada Alllah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

والله اعلم

Ahli Parlimen Sepang

3 Mac 2021.

Tahniah JAWI kepada Santhara Kumar sebulan lalu kini aktif kembali

MALAYSIA DATELINE

Tahniah JAWI kepada Santhara Kumar sebulan lalu kini aktif kembali

Tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberikan ucapan tahniah kerana mendapat ‘Datuk Seri’ kepada Timbalan Menteri Wilayah yang bercuti 55 hari untuk ziarah keluarga di New Zealand ketika musim Covid-19 telah mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Walaupun ucapan itu telah dibuat pada 1 Februari lalu, ia telah dipanaskan kembali oleh pelbagai pihak selepas meletupnya kisah percutian 55 hari beliau.

Ini kerana, percutian Santhara Kumar dengan keluarga itu berlaku ketika rakyat negara ini disekat untuk ke mana-mana tetapi dia diberikan gelaran Datuk Seri oleh Kementerian Wilayah.

“Rakyat biasa cuti 2 hari. Tak kena gaya majikan beri surat berhenti.

“Timbalan Menteri, cuti 55 hari. Dapat Datuk Seri.

“Dapat tahniah pula dari JAWI,” tulis Hasbie Muda, Setiausaha AMANAH Terengganu menerusi Facebook beliau.

Santhara Kumar mendapat anugerah ‘Seri Mahkota Wilayah’ dalam apa yang dinamakan sebagai majlis penganugerahan datuk secara beramai-ramai pada tahun pertama Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari 2020.

“Seluruh warga JAWI mengucapkan setinggi-tinggi tanhnia kepada Yb Datuk Seri Dr Santhara Kumar atas pengurnian Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021,” tulis ucapan dari Jawi pada 1 Februari lalu yang kini dikongsikan semula oleh netizen.

Ekoran itu, pelbagai komen diberikan netizen terhadap ucapan itu.

“Geng Padang Merbok sunyi sepi,” tulis Hasbie lagi merujuk kepada perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Pas dan disokong oleh Umno itu.

Ag Man menulis, “Berat 66 JAWI ni..bersangka baik mungkin Jab Agama Islam WP cawangan New Zealand ni.”

Mohd Sofwan Mohd Resali menulis, “Geng padang merbok sunyi sepi. Korang sunyi aku hepiiii (cuti 55 hari)….”

PRU-15: Muhyiddin bakal bertempur dengan banyak pencabar di Pagoh

ARIF ATAN

Tan Sri MuhyiddinYassin akan menempuh persaingan sengit di Parlimen Pagoh jika kawasan tersebut berdepan dengan pertarungan pelbagai penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengarah Strategik DAP, Senator Liew Chin Tong berkata, Presiden Bersatu berkenaan tidak mendapat sokongan separuh undi Melayu daripada 65 peratus pengundi Melayu di kerusi tersebut.

Pengerusi DAP Johor itu juga berpendapat Muhyiddin juga gagal meraih sokongan 36 peratus pengundi bukan Melayu di Pagoh.

“Pada PRU-14, Muhyiddin berhadapan dua pencabar di Pagoh tetapi memperoleh undi 23,558 (45.7 peratus) daripada 43,667 orang pengundi (84.4%) yang keluar mengundi.

“Dia dicabar Ismail Mohamed (Umno) yang mendapat 16,631 undi (32.3 peratus) dan Ahmad Nawfal (Pas) dengan 2,483 undi (4.8 peratus),” katanya.

Sehubungan itu, Chin Tong menyifatkan Pagoh sebagai kerusi yang mempunyai risiko besar untuk Muhyiddin melainkan jika berlaku pertandingan dua penjuru.

Langsung tidak popular

Beliau menegaskan pertandingan tiga penjuru bakal mewarnai PRU-15 lantaran wujudnya situasi Three Kingdoms atau ‘San Guo’ (Tiga Kerajaan) dalam persaingan pilihan raya. 

Jelasnya, Three Kingdoms merujuk kepada tiga kumpulan politik pasca Langkah Sheraton yang telah diterangkan dalam artikelnya sebelum ini.

“Saya tidak fikir Muhyiddin akan menjadi lebih popular dalam tiga bulan atau setengah tahun ini.

“Sukar untuk Muhyiddin betulkan keadaan dalam waktu singkat sehingga bulan Ogos. Meskipun dia popular pada Jun 2020, tetapi Bersatu tidak akan atau langsung tidak popular,” tegasnya.

Mengulas hubungan Bersatu-Umno yang dianggap semakin buntu, Chin Tong berkata, parti bunga itu hanya bergantung kepada sokongan Pas serta anggota lain dalam gabungan tiga parti Muafakat Nasional (MN).

Walau bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Kluang itu menyifatkan sokongan tersebut masih tidak mencukupi untuk Bersatu.

“Muhyiddin akan berpaut dengan Pas tetapi beliau tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Pas.

“Bersatu hanya ada 31 ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Tanpa sokongan Umno dan Pas, agak sukar untuk menstabilkan kerajaan PN,” katanya lagi.

Dua maut, 3 parah dalam runtuhan jambatan Suke

Dua maut dan tiga lagi cedera parah dalam runtuhan jambatan lebuh raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (Suke) setelah sebuah treler merempuh struktur jambatan lebuh raya berkenaan kira-kira jam 6:15 petang tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, seramai lima mangsa terperangkap selepas van dinaiki mereka dihempap runtuhan.

Menurut kenyataan itu, mangsa pertama seorang lelaki berusia 47 tahun yang merupakan pemandu van berkenaan berjaya dikeluarkan pada jam 8.53 malam dan mengalami kecederaan parah.

Pihak bomba kemudian berjaya mengeluarkan dua wanita, masing-masing berumur 51 dan 54 tahun.

Pada jam 9.19 malam, mangsa keempat yang merupakan seorang wanita berumur 40an juga berjaya dikeluarkan, namun disahkan oleh petugas perubatan telah meninggal dunia.

Mangsa terakhir berumur 40an berjaya dikeluarkan pada jam 9.26 malam dan turut disahkan telah meninggal dunia.

Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Lokasi kejadian adalah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak menuju ke Ampang.

Ia berada di hadapan pangsapuri Desa Tasik dan berhampiran terminal bas Bandar Tasik Selatan.

Video dari saksi mata menunjukkan bahawa jambatan yang runtuh bersebelahan dengan jambatan pejalan kaki sedia ada ada.

Prolintas Sdn Bhd, syarikat pemaju projek Suke Expressway, mengatakan bahawa runtuhan itu berlaku setelah treler yang membawa "lebih muatan" melanggar perancah besi pembinaan lebuh raya berkenaan.

Ketua siasatan dan penguatkuasaan trafik polis Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya juga mengesahkan kemalangan itu.

Ini adalah kemalangan kedua yang melibatkan tapak pembinaan Suke.

Pada bulan September tahun lalu, papan konkrit berukuran satu meter persegi jatuh dan melanggar sebuah kereta di bawahnya.

Pemandu berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat kemalangan itu.

Sah Takiyuddin menderhaka titah Agong, kata peguam

MALAYSIA DATELINE

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menguruskan hal ehwal undang-undang memaklumkan tiada persidangan Parlimen diadakan pada tempoh terdekat dalam keadaan negara masih di bawah Proklamasi Darurat.

Bahkan, Takiyuddin memberi alasan data dan sains bahawa ramai dalam kalangan Ahli Parlimen berisiko dijangkiti wabak Covid-19 jika Parlimen bersidang.

Menurut Peguam Zulhazmi Shariff alasan data dan sains Takiyuddin mengenai risiko jangkitan tidak bersandarkan bukti hanya dihamburkan secara sambil lewa.

Katanya, alasan bahawa tiada undang-undang perlu digubal dan dibahas juga penipuan yang nyata kerana Ordinan Darurat sendiri memperuntukkan bahawa Ordinan akan dibentang di Parlimen menurut Fasal [3] Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Alasan tidak masuk akal dan gila ini jelas membuktikan Kerajaan Minoriti kebanggaan Melayu Islam ini jelas bercanggah dengan undang-undang yang mereka sendiri gubal malah jelas menderhaka titah Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 24 Februari lalu Istana Negara dalam kenyataannya menzahirkan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Ini sesuai dengan peruntukkan Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil bersidang, diprorog dan dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Tambahnya, Istana Negara bertitah Parlimen boleh bersidang berdasarkan peruntukkan Ordinan yang digubal Kerajaan tetapi kerajaan berfikiran Parlimen tidak boleh bersidang.

Jelas bahawa Kerajaan ini, katanya tidak menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal malah telah jelas menunjukkan mereka telah secara tipu daya menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang darurat dan undang-undang.

“Mereka menasihati Istana agar darurat diisytiharkan bagi melawan pandemik dan mereka juga menasihati Istana mengisytiharkan Ordinan. Kedua-duanya tidak diguna dan tidak dipatuhi mereka sendiri.

“Ini bukti penderhakaan tahap tertinggi oleh Kerajaan terhadap Istana Negara. Istana dipermain sebegitu rupa demi kelangsungan kuasa mereka tanpa mempedulikan nasib negara dan warga.

“Helah dan penipuan ini akan berterusan selagi mereka berkuasa dan demi kuasa mereka.

“Ini Kerajaan Minoriti Derhaka,”katanya.

Lima terperangkap di bawah runtuhan lebuh raya Suke

Malaysiakini 

Lima mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan binaan lebuh raya Suke setelah sebuah treler merempuh besi binaan lebuh raya berkenaan pada kira-kira selamat 6:15 petang hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan kejadian itu petang ini.

"Menurut Komander Operasi, setibanya pasukan bomba di tempat kejadian terdapat runtuhan jambatan dalam pembinaan yang menghempap sebuah van kilang.

"Makluman awal yang diterima terdapat lima orang mangsa terperangkap di dalam van kilang tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa 23 anggota bomba dan penyelamat kini berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, keadaan mangsa masih tidak dapat dipastikan.

Lokasi kejadian adalah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Pandan Indah menuju ke Ampang.

Ia berada di hadapan pangsapuri Desa Tasik dan berhampiran terminal bas Bandar Tasik Selatan.

Video dari saksi mata menunjukkan bahawa jambatan yang runtuh bersebelahan dengan jambatan pejalan kaki sedia ada ada.

Prolintas Sdn Bhd, syarikat pemaju projek Suke Expressway, mengatakan bahawa runtuhan itu berlaku setelah treler yang membawa "lebih muatan" melanggar perancah besi pembinaan lebih raya berkenaan.

Ketua siasatan dan penguatkuasaan trafik polis Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya juga mengesahkan kemalangan itu.

Ini adalah kemalangan kedua yang melibatkan tapak pembinaan Suke baru-baru ini.

Pada bulan September tahun lalu, papak konkrit berukuran satu meter persegi jatuh dan melanggar sebuah kereta di bawahnya.

Tangan pemandu cedera akibat kemalangan itu.

Takiyuddin tidak hormati Titah Agong, dakwa PH

SITI NUR ZAWANI MISCON

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung keputusan Jemaah Menteri PN tidak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyelar keputusan Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) yang memutuskan tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

PH berkata, alasan yang diberikan adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.

Menurutnya, kekeliruan SOP Covid-19, kemarahan rakyat tentang isu dua darjat dalam penguatkuasaan termasuk bantuan kerajaan yang tidak sampai dan tidak mencukupi, adalah sebab utama Parlimen perlu bersidang.

“Tanpa Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang telah ‘dimatikan’.

“Isu jangkitan Covid-19 dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen, YB Menteri tidak menyatakan kepada media bahawa berdasarkan bukti dan data, sepanjang 55 hari Parlimen bersidang pada tahun 2020, tiada seorang Ahli Parlimen pun yang menjangkiti Covid-19 di Parlimen itu

sendiri.

“Malah, tiada satu pun kluster Covid-19 yang dibuktikan terhasil akibat persidangan Parlimen. Perlu diingatkan pada waktu itu, belum seorang Ahli Parlimen pun yang telah menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; dan DAP, Anthony Loke.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sidang Parlimen akan ditangguhkan sehingga 1 Ogos.

Beliau berkata, keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.

Katanya, keperluan Parlimen bersidang untuk membuat undang-undang juga tidak ada.

Sementara itu PH menegaskan, Majlis Setiausaha tidak boleh menerima alasan-alasan yang diberikan kerana Kawalan Pergerakan sudah pun diganti dengan PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat dan lebih banyak sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi.

Pas terus menyepi, entah bila nak berhimpun di Padang Merbok

FAIZ FADZIL

Keputusan Mahkaman Persekutuan bahawa kesalahan liwat di bawah seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini boleh memberi kesan dan signifikan besar bahawa Enakmen Hudud (Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan) juga tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mahkamah Persekutuan, kesalahan liwat adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan dan apabila ianya terletak di bawah persekutuan, maka negeri tidak boleh mengubal undang-undang yang sama walaupun ada dalam hukum syara’.

Inilah yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri.

Begitulah sebaliknya, peraturan nikah dan cerai dan harta pusaka yang terletak di bawah negeri, maka Persekutuan tidak boleh mengubalnya.

Sebab itu, Seksyen 298A Kanun Keseksaan juga diputuskan oleh Mahkamah Agong sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana perkara agama terletak di bawah negeri.

Mahkamah Persekutuan merujuk kes terdahulu (Sulaiman Takrib vs Kerajaan Negeri Terengganu) yang menggariskan antara lain bidangkuasa negeri mengubal undang-undang jenayah syariah hendaklah tidak termasuk bidangkuasa Senarai Persekutuan.

Oleh kerana, Senarai Persekutuan mengandungi undang-undang jenayah di mana Kanun Keseksaan (Penal Code) sudah ada kesalahan liwat (seksyen 377A), maka negeri tidak boleh mengubal kesalahan liwat sebagai jenayah syariah.

Ini adalah selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan intipati undang-undang yang seragam bagi semua rakyat kerana tiada diskrimasi atas premis agama.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah hujah yang sama oleh pakar perlembagaan dan pengamal undang-undang selama ini berkaitan Enakmen Hudud dan RUU355. Tetapi natijahnya, ada yang dimaki dan dikafirkan.

RUU355 ditunggang bagi mencapai serakah politik atas nama perkauman dan agama sehingga puluhan ribu penyokong dikerahkan ke Padang Merbok.

Sepatutnya, PAS lebih matang untuk menerima sesuatu hujah atas ilmu dan fakta dan bukannya emosi dan semangat semata-mata. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan walaupun bertentangan dengan perjuangan PAS.

Malangnya, PAS menyepi terus sekarang, entah bila nak keluar dari gua dan berhimpun di Padang Merbok.

Umno sah hantar surat tamat kerjasama dengan Bersatu

Haspaizi Zain

Umno telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sumber dalaman Umno mengesahkan bahawa surat pemakluman itu telah dihantar kepada Muhyiddin yang juga presiden Bersatu pada 26 Feb lalu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada maklum balas berhubung surat berkenaan.

"Ya, surat berkenaan telah dihantar pada 26 Feb lalu, bagi memaklumkan keputusan mesyuarat MT Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

"Ahli Parlimen Umno juga akan memberikan sokongan kepada kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar.

"Bagaimanapun belum ada jawapan balas terhadap surat berkenaan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Katanya, surat itu dihantar berdasarkan keputusan MT Umno yang bermesyuarat di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.

Pada 9 Jan lalu, MT Umno dilaporkan sudah bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRU-15.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun menjelaskan keputusan muktamad atau keabsahan berhubung usul berkenaan perlu diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno yang sepatutnya diadakan pada 31 Januari lalu.

Menurutnya, cadangan berkenaan adalah antara usul yang diterima MT Umno dalam mesyuarat MT yang diadakan 6 Januari lalu dan ia akan dimasukkan sebagai usul dalam ucapan dasar presiden Umno pada perimpunan agung nanti.

Bagaimanapun Umno terpaksa menangguhkan perhimpunan agung yang dijadualkan pada 31 Janurai lalu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 oleh kerajaan.

Terdahulu bekas Setiausaha Agung Umno dan BN, Annuar Musa meminta penjelasan kepemimpinan Umno sama ada berita menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 adalah benar.

Jelasnya, jika benar Umno berdepan dengan kerugian kerana menghadapi PRU-15 secara bersendirian.

Annuar turut bertanya sama ada Umno berpendapat kebersamaan Umno dalam kerajaan PN ketika ini hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan.

Umno utus surat ‘rasmi’ kepada Muhyddin tamatkan kerjasama pada PRU-15?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Annuar Musa mendesak pimpinan parti mengesahkan sama ada Umno mengutus surat kepada Muhyiddin Yassin memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU-15, dan penglibatan Umn dalam kerajaan sekarang “hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan”.

“Kami difahamkan pada 26 Feb lalu, presiden Umno menulis surat kepada presiden PPBM memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang bermesyuarat pada 19 Feb di Janda Baik,” katanya di Facebook.

Perkembangan ini sebelum Umno mengadangan perhimpunan agung tahunan pada hujung bulan ini, yang dikatakan akan menentukan nasib kerjasama antara parti itu dengan PPBM.

‘Tak mungkin’, penganalisis tolak khabar angin pemimpin profesional PAS mahu singkir Hadi

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik menolak khabar angin mendakwa golongan profesional dalam PAS mahu menyingkir Presiden Abdul Hadi Awang, menggambarkan ia sebagai melawan arus.

Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia mengingatkan ulama memimpin PAS dengan sokongan golongan profesional sejak 1982.

“PAS kalau mahu menukar presiden, ia perlu melalui Majlis Syura Ulama terlebih dahulu dan majoriti PAS dikuasai ulama,” katanya kepada FMT.

Malah, beliau percaya tidak mungkin pemimpin profesional seperti Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan akan menentang Hadi, melihat kepada hubungan antara mereka.

“Mereka sangat rapat,” katanya.

Baru-baru ini muncul khabar angin tentang pertembungan antara “Geng Publika”, yang dikaitkan dengan golongan profesional dalam PAS dan dikatakan pro-PPBM, dengan “Geng Ustaz”, yang dikaitkan dengan golongan ulama dan dikatakan cenderung kepada kerjasama dengan Umno.

Beberapa nama dikaitkan dengan Geng Publika, seperti Samsuri dan Takiyuddin, serta Geng Ustaz seperti Pengarah Strategi Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Khairuddin sebelum ini nafi wujudny gerakan terancang untuk menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain, tidak percaya golongan profesional akan mahu mengambil alih tampuk pimpinan PAS, memandangkan majoriti ahli mahu golongan ulama terus menerajui mereka.

Beliau juga percaya sebarang penentangan akan sukar menjatuhkan Hadi, terutama selepas beliau berupaya memberikan tempat dan kedudukan kepada pemimpin PAS yang lain dalam kerajaan.

“Hadi begitu ‘masak’ dengan politik dalaman parti itu, beliau dapat kawal keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, pula percaya sebarang perbezaan dalam PAS antara golongan profesional dan ulama tidak akan dinyatakan secara terbuka.

Beliau mengingatkan FMT bahawa PAS sinonim dengan kepimpinan ulama.

“Jadi, jika wujud komplot, ia tidak akan dibuat secara terang-terangan untuk menjatuhkan presiden kerana akar umbi sukar menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul percaya pihak luar parti yang mencipta dakwaan adanya krisis dalaman PAS antara golongan profesional dan ulama.

Dakwaan itu semakin kencang, lalu menjadi “ribut” apabila ia disambut segelintir ahli PAS di peringkat bawahan,

“Keadaan ini menjadi lebih tegang dan mendapat perhatian kerana PAS tahun ini akan mengadakan pemilihan dalam parti,” katanya. 

Pelan pemulihan TH terbukti berjaya, hanya si hati busuk terus tabur fitnah

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Ketika saya mengumumkan 1.25% hibah (dividen) Tabung Haji (TH) untuk 2018, saya ‘diserang’ habis-habisan walaupun waktu itu pelan pemulihan baru sahaja bermula.

Apa yang umat Islam tidak tahu ialah pengeluaran hibah sejak 2014 dibuat tanpa memenuhi syarat mengikut Akta TH, iaitu aset TH sejak 2014 semakin susut berbanding dengan tanggungan.

Risiko pelanggaran ini meningkatkan defisit aset sebanyak RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017.

Misi awal ialah memastikan hibah dikeluarkan dengan menutup jurang defisit terlebih dahulu iaitu pada 2018 meningkat RM10 bilion setelah nilai rosot dibuat dengan betul.

Alhamdulillah, terbitan sukuk dari Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) iaitu sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dari Kementerian Kewangan (Inc) berjaya disempurnakan.

Aset kurang untung TH dipindahkan bernilai RM9 bilion dinilai dengan harga premium RM20 bilion. Ini komitmen kerajaan PH untuk selamatkan TH.

Jurang berjaya diimbangkan dengan lebihan (surplus) RM1 bilion. Syarat telah disempurnakan untuk pengeluaran hibah mematuhi akta Tabung Haji(1995).

Seramai sembilan juta pendeposit masih tetap mendapat dividen pada kadar 1.25% untuk 2018. Ia adalah kejayaan awal bukan seperti yang difitnahkan!

Fasa pemulihan seterusnya ialah menjana pendapatan tetap dari sukuk dan melestarikan TH melalui pengurusan risiko aset lebih berhemah sambil meyakinkan pendeposit Hibah 2019 akan jadi lebih baik.

Alhamdulillah, untuk 2019 hibah ialah 3.05%. Tanda pemulihan mula nampak dan untuk 2020 3.10% seperti diumumkan menyaksikan peningkatan.

Fitnah jual Hotel TH adalah pembohongan jahat kerana yang menguruskan hotel TH ialah anak syarikat UJSB iaitu entiti dari Kementerian Kewangan (Inc).

Adapun, TH Plantation iaitu anak syarikat TH, masalah hutang yang tinggi disebabkan transaksi pembelian ladang sebelum ini yang merugikan. Sebelum saya ambil alih masalah hutang sudah pun melanda TH Plantation.

Isu jual untuk atasi masalah hutang adalah transaksi biasa dalam pengurusan hutang korporat bukan sentimen rasis yang sempit.

Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut menjadi bahan politik untuk mempertikaikan usaha pemulihan yang dilancarkan di bawah pimpinan saya.

Mereka cuba tutup kes lima laporan polis terhadap pengurusan TH semasa DS Azeez Rahim menjadi Pengerusinya atas jenayah komersial termasuk penyelewengan dana Yayasan TH.

Saya mengalu-alukan RCI tetapi soalannya, bagaimana TH yang menunjukkan tanda pemulihan dari defisit RM10 bilion semasa saya ambil alih dikatakan satu kesalahan?

Ataukah RCI perlu untuk menyiasat kenapa semasa Menteri Agama BN dulu dan Pengerusi TH telah dengan sengaja memanipulasi akaun TH untuk bayar hibah tinggi yang telah menjejaskan kewangan TH dan melanggar undang-undang?

Terima kasih pasukan TH dari awal pemulihan iaitu Tan Sri Muhamad Nor dan Datuk Seri Zukri CEO TH dan Chief of Staff Encik Hizamudin serta pasukan yang sangat berdedikasi melaksanakan pelan pemulihan TH sehingga diiktirafi pelan ini di peringkat anugerah kewangan antarabangsa.

Hanya si hati busuk dan pendengki dengan kejayaan ini yang terus menabur fitnah dan seronok diulang oleh penyebar murahan di media sosial.

Alhamdulilah, peningkatan pendeposit membuktikan fitnah dan pembohongan makan diri sendiri sehingga membakar ke dalam perut-perut mereka menjadi api.

Marilah sama-sama kita harapkan kejayaan seterusnya untuk TH dan mari kita hentikan para pemfitnah yang memburukkan pelan pemulihan ini.


*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH.