"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Berita Menjelang Syawal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Menjelang Syawal. Papar semua catatan

Kaedah penetapan 1 Syawal di Malaysia

Malaysia menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehcerapan) untuk menentukan awal Syawal, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Beliau berkata perbezaan penentuan tarikh hari raya antara negara-negara Islam termasuk Malaysia disebabkan wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan).

solar eclipse 220709 telescopePerkara itu juga bergantung kepada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau kedua-duanya, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata hasil mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalender Islam pada 13 April lalu, satu laporan penetapan tarikh awal anak bulan syawal telah dikemukakan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi rujukan untuk menentukan awal syawal.

"Kriteria imkanur rukyah ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada dua darjah dan jarak lengkung (hilal dan matahari) tidak kurang daripada tiga darjah," katanya.

Wan Mohamad berkata satu lagi kaedah ialah ketika hilal terbenam apabila umur hilal tidak kurang daripada lapan jam (kaedah ini diambil kira selepas ijtimak berlaku).

Di Malaysia, katanya, data kajian bagi tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah berpandukan koordinat dua titik rujukan iaitu melihat kepada koordinat Tanjung Atiam, Sabah (stesen paling timur) dan koordinat Tanjung Chincin, Pulau Langkawi (stesen paling barat).

Bagi menentukan awal Syawal 1431, proses cerapan akan dilakukan pada petang hari merukyah hilal (cerapan anak bulan) Syawal pada 29 Ramadan bersamaan 8 Sept (esok).

Cerapan itu akan dilakukan di 30 tempat cerapan rasmi yang dimaklumkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan proses cerapan di peringkat negeri lazimnya diketuai oleh mufti negeri.

"Hasil cerapan akan dipanjangkan segera ke pengetahuan Penyimpan Besar Mohor Raja-raja serta diumumkan segera setelah mendapat perkenan raja-raja," katanya.


-Bernama-

Usah terpengaruh Aidilfitri Khamis ini

Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan khabar angin mengatakan Aidilfitri akan disambut pada hari Khamis, sebaliknya menunggu sehingga pengumuman dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, lapor Berita Harian Online.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata ia sekadar khabar angin dan tidak semestinya betul.

“Saya mendengar khabar angin itu sejak minggu lalu. Orang ramai tidak perlu keliru sebaliknya menunggu pengumuman pada malam 8 September ini,” katanya ketika dihubungi tetapi enggan memberi komen lanjut sebaliknya meminta merujuk ke laman web Jakim.

Laman web Jakim menyatakan tarikh Aidilfitri pada tahun ini ialah 10 September 2010 iaitu pada hari Jumaat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, menganggap khabar angin itu diada-adakan oleh pihak yang enggan menyambut Aidilfitri pada hari Jumaat kerana perlu melakukan dua solat dan mendengar dua khutbah.

Katanya, pemerintah mempunyai kuasa membuat pengumuman mengenai tarikh sambutan Aidilfitri dan orang ramai tidak perlu keliru dengan khabar angin itu.

“Bagi saya, khabar angin ini disebarkan oleh orang yang keberatan melakukan dua solat iaitu solat sunat Aidilfitri dan solat Jumaat. Jarak waktu kedua-dua solat ini membuatkan mereka berasa seolah-olah tidak ada masa untuk berhari raya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga menyatakan Malaysia tidak perlu mengikut ketetapan Arab Saudi kerana negara mempunyai kaedah tersendiri menentukan tarikh hari raya iaitu rukyah dan hisab yang sudah diakui ulama.

Katanya, tidak mustahil anak bulan akan kelihatan pada petang 29 Ramadan tetapi keadaan cuaca di Malaysia yang selalu berawan menyebabkan ia sukar dilihat.

“Keadaan itu menyebabkan kita kembali kepada kaedah pengiraan ahli falak,” katanya.

Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata khabar angin seumpama itu selalu muncul pada tahun Malaysia berpuasa genap 30 hari.

“Tahun ini kita berpuasa genap 30 hari yang bermakna Aidilfitri akan disambut pada hari Jumaat, 10 September 2010. Selalunya itu yang terjadi. Bila puasa genap 30 hari, akan muncul khabar angin menyatakan puasa cuma 29 hari. Saya tak percaya dengan khabar angin itu dan meminta orang ramai tidak menghiraukannya.

“Saya bertegas dengan pengiraan yang dibuat kita akan menyambut hari raya pada hari Jumaat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kassim yang turut menjadi sasaran pertanyaan orang ramai mengenai perkara itu, berkata beliau akan muncul dalam satu program dengan radio Melaka untuk bercakap mengenai khabar angin berkenaan dan dirakamkan dalam bentuk video yang boleh ditonton menerusi laman web www.khawarizmiobs.com selewat-lewatnya petang semalam atau pagi ini.
-malaysiakini-

Ingatilah Mereka yang masih menderita di himpit kemiskinan


Ketibaan 1 Syawal , Sebahagian umat Islam yang berkemampuan mungkin tersenyum riang dengan ketibaan hari kemenangan tersebut yang di sambut sekali dalam setahun. Erti pagi Syawal bagi yang kita berkemampuan mungkin begitu indah berbanding mereka yang masih hidup dibelenggu kemiskinan yang tidak kunjung hilang.

Bukan mereka tidak berusaha supaya menikmati kehidupan yang lebih baik dari hari semalam dan sebelumnya, sekaligus keluar dari lingkaran kemiskinan yang cukup menyeksakan ini. Namuan inilah hakikat yang terpaksa mereka tempuhi. Ia adalah ujian dan takdir dari Yang Maha Esa buat mereka yang ditimpa kesusahan, di samping ia juga adalah ujian kepada kita yang mungkin lebih bernasib baik dari mereka tersebut.

Sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak, Perikatan Belia Bersatu Malaysia (Pembela) berkesempatan membuat pemantauan di beberapa buah kampong dalam daerah Kubang Pasu dan mendapati masih ramai insan (umat Islam) yang hidup melarat seolah-olah tiada penghujung kepada kisah kemiskinan yang terpaksa mereka lalui seperti masa sebelumnya.

Menurut Setiusaha Agung Pembela, Basir Hj Ismail bahawa, nasib sebahagian mereka (umat Islam) dalam daerah ini umpama hi
dup di zaman sebelum merdeka. Masih ada dikalangan mereka yang hidup di dalam sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air. Sebabnya bukan kerana tiada prasarana di kampong halaman mereka, tetapi kerana kemiskinan masih memihak kepada nasib mereka sehingga tidak mampu untuk menyedikan kos bagi tujuan penyediaan bekalan tersebut.

“Lebih menyedihkan lagi, ada yang tinggal di rumah usang seperti reban ayam berbanding mahligai sebahagian para pemimpin yang dipilih oleh mereka”, katanya.

Katanya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hanya iman dan ketakwaan yang mereka miliki sahaja dapat menguatkan semangat mengharungi cabaran hidup dalam belenggu kemiskinan tersebut”.

Sempena ketibaan 1 Syawal yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, Pembela dengan rasa rendah hati ingin merayu kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan supaya sudi menghulurkan sumbangan mereka untuk membantu keluarga termiskin yang masih ramai dalam daerah Kubang Pasu khususnya.

“Semoga sumbangan yang kita (umat Islam) hulurkan di hari-hari terakhir Ramadhan Al-Mubharak ini akan memberi secebis kegembiraan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan kewangan, sekaligus memberi makna kemenangan di pagi syawal kepada insan yang terlibat tersebut”, kata Basir lagi.

Katanya, Pembela hanyalah sebuah Ngo yang mampu untuk memaparkan kisah duka ini untuk tatapan umat Islam semua, kerana ia menjadi tanggungjawab kepada kita yang berkemampuan untuk turut sama membantu golongan yang terdaya ini”.

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan" (riwayat Termizi)

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang bersimpati untuk membantu mereka yang hidup dalam lingkaran kemiskinan tersebut bolehlah menyumbangnya melalui no. akaun : 5521 7000 1043, MAYBANK, atas nama OTHMAN BIN AWANG, Koordinator Penyelaras Kemiskinan Kubang Pasu. Keterangan lanjut, bolehlah menghubunginya di talian : 019-4704114 dan 017-4847791 (Basir Hj Ismail).

Mudah-mudahan simpati dan sumbangan yang kita hulurkan untuk mereka tersebut akan dapat memberi makna kemenangan dan mengukirkan sedikit semyuman buat mereka sekeluarga.
-utaraonline.net-

Kuil Yahudi disewakan untuk Solat Taraweh

Berita ini saya ambil dari forum utaraonline



Setelah mendengar keluhan beberapa jawatankuasa Masjid Virginia tentang ruang yang semakin tidak mencukupi untuk bulan Ramadhan, Rabbi Robert Nosanchuk telah mengemukakan cadangan kepada jemaah Masjid Virginia agar menggunakan synagogue (kuil Yahudi) sebagai masjid.


Pertambahan umat Islam di Virginia, Amerika Syarikat dan ruang masjid yang amat terhad telah mendorong Imam Masjid Virginia iaitu Syeikh Mohamed Magid dan ahli jawatankuasanya bersetuju menerima pelawaan Rabbi Robert agar dapat bersolat jemaah di bangunan Northern Virginia Hebrew Congregation.

Rabbi Robert berpendapat Ramadhan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam dan di dalam bulan ini jugalah jumlah pengunjung masjid yang datang beribadat meningkat dengan ketara. Ruang yang terhad di masjid asal mungkin sudah tidak selesa untuk beribadat, jadi mereka memberi inisiatif untuk membantu jemaah masjid Virginia di dalam bulan Ramadhan ini.

(Gambar) Imam Mohamed Magid (kanan) menerima lawatan Syeikh Ibrahim Muhammad al-Batawy dari Mesir untuk kuliah pembentangan kitab Ihya Ulumuddin pada Disember 2005.

Menurut Imam Mohamed Magid lagi, masyarakat sering melihat Yahudi-Islam sentiasa berkonflik khususnya di Amerika Syarikat. Mereka mengharapkan cadangan ini boleh mengubah persepsi tentang konflik tersebut khususnya golongan pemimpin-pemimpin politik yang bersifat rasisme.

Hubungan yang baik di antara masyarakat Yahudi-Islam kemungkinan akan menyukarkan pihak-pihak berfahaman rasis ini mengambil kesempatan untuk menabur jarum-jarum perpecahan.

Tahun 2009 ini adalah tahun pertama Masjid Virginia menyewa sebahagian ruang dari synagogue untuk melakukan solat tarawih. Para jemaah masjid mengumpul wang sendiri untuk membayar sewa ruang sembahyang tersebut yang dikenakan USD300 sehari. Solat terawih di Masjid Virginia itu berlangsung antara pukul 9.00 hingga 10.45 malam.

Kesefahaman antara komuniti Masjid Virginia dan synagogue-synagogue kemungkinan akan diperluaskan lagi apabila kedua-dua komuniti tersebut bersetuju untuk menubuhkan satu yayasan persefahaman yang akan membuat lawatan rasmi ke Timur Tengah tidak lama lagi.

Umar Al-Khattab bersolat di Gereja

Di dalam kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, terbitan Darul Ibnu Hazim, ada dijelaskan tentang kisah Saidina Umat Al-Khattab bersembahyang di gereja di Baitulmaqdis.

“Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut. Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”.

Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :

“Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa umat Islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.


(Kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’)

Persoalan persefahaman antara umat Yahudi-Islam juga bukanlah perkara baru. Di Palestin sendiri, sebelum kedatangan imigran Yahudi Eropah dan pengaruh Zionis, Arab Judais dan Arab Muslim hidup aman dan damai serta sering membantu di antara satu sama lain. Dasar Zionis yang mengamalkan pecah dan perintah (divide & conquer) telah mengubah situasi aman tersebut kepada suasana rasisme yang kronik.

Tambahan pula tahun ini, umat Yahudi beragama Judais akan menyambut sambutan Rosh Hashanah (Tahun baru) pada 21 September 2009 (Isnin). Manakala umat Islam pula akan menyambut Hari Raya Puasa pada 20 September 2009 (Ahad).

Tempoh puasa yang tamat sebelum perayaan tahun baru Judais ini sudah pasti satu hikmah besar dari Allah dalam membantu perjuangan umat Islam di Virginia meneruskan ibadah solat tarawih walaupun terpaksa membayar wang untuk melakukan ibadat tersebut.






Syawal pilu

Mohamad Hussin dan Omar Osman


ALOR STAR: “Sambutan Aidlifitri tahun ini sudah tidak bermakna kerana ibu bapa dan dua kakak sudah tiada.

“Semua persiapan menyambut Syawal yang disediakan ibu sejak awal Ramadan, termasuk membeli baju raya akan menjadi kenangan selama-selamanya,” kata Aiman Syafiqah, 14, anak kelima pasangan suami isteri, Yusof Ahmad, 53, dan Hasnah Hamzah, 52, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 94.7, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Gurun di sini, semalam.

Turut terbunuh dua anak mereka, Hazwani Izati, 23, dan Hafizatul Halimi, 20.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Perodua Myvi yang dinaiki empat beranak itu terbakar dan meletup selepas merempuh lori kontena yang terbalik dan melintang jalan di lebuh raya berkenaan.

Kemalangan itu turut membabitkan sebuah Perodua ViVA dan Naza Citra. Kedua-dua pemandu kenderaan itu turut cedera parah selepas merempuh lori kontena berkenaan.

Aiman Syafiqah berkata, tiada yang paling menyedihkan melainkan orang yang paling disayangi pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya, menjelang kehadiran Syawal.

“Saya tidak tahu kenapa begitu teringin mengikut mereka ke Pulau Pinang pagi tadi (semalam) untuk menemani ayah menjalani rawatan susulan penyakit ketumbuhan di perutnya di sebuah hospital di sana.

“Selepas bersahur bersama pagi tadi (semalam), ayah, ibu dan dua kakak bersiap untuk ke Pulau Pinang kira-kira jam 5.30 pagi.

“Saya dan adik merayu mahu mengikut ayah, namun ayah melarang sebelum meminta kami menjaga rumah dan berjanji pulang awal.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi dua anggota polis datang ke rumah, memaklumkan mengenai kecelakaan yang mengorbankan empat anggota keluarga saya. Saya dan adik menangis berpelukan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Nuri di sini, semalam.

Anak bongsu pasangan itu, Aiman Najwa, 10, yang berada di sisi kakaknya tidak henti-henti menitiskan air mata mengenangkan pemergiaan ibu bapa dan dua kakaknya dalam sekelip mata, apatah lagi ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri.

Pasangan terbabit meninggalkan empat anak perempuan iaitu Farah Yuziana, 29, dan Farah Wahida, 25, Aiman Syafiqah dan Aiman Najwa. Dua lagi kakak mereka iaitu Farah Yuziana dan Farah Wahida tidak tinggal bersama keluarga kerana masing-masing bekerja di Putrajaya dan Teluk Intan, Perak.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mangsa di Taman Nuri di sini, yang dikunjungi sanak saudara serta jiran tetangga sebaik menerima berita mengenai kematian empat sekeluarga itu.

Difahamkan, jenazah empat beranak itu akan dibawa pulang ke kampung Hasnah di Malau, Jitra, untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam, di sana.
-hmetro.com.my-

Jual tubuh demi baju baru 7 anak

Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Tersepit dengan kemiskinan seorang ibu sanggup melacurkan diri dengan meninggalkan tujuh anaknya di Pahang sejak awal Ramadan lalu, semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli pakaian raya baru anak-anaknya sempena Aidilfitri.

Ibu terbabit mendakwa apa yang dilakukannya pengorbanan kecil bagi memastikan anak-anaknya dapat menyarung baju raya selain bergembira seperti kanak-kanak lain.

Aktiviti ibu berkenaan dibongkar wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan ke sebuah rumah pelacuran di Jalan Thamby Pillay, Jalan Brickfields di sini dan menemuinya yang menawarkan seks pada caj RM40 untuk sekali perkhidmatan.

Selepas dipujuk dan dibayar sejumlah wang, ibu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Mek, 43, bersetuju mendedahkan kepayahan hidupnya hingga terpaksa menjadi pelacur pada bulan Ramadan.

Menurutnya, dia terdesak untuk membesarkan tujuh anak berusia empat hingga 18 tahun selepas ditinggalkan suami yang juga seorang penagih dadah tegar.

“Suami saya sudah kerap ditangkap polis dan disumbat ke pusat pemulihan hingga saya lali, malah tidak ingat berapa kali dia dihantar ke sana.

“Kali terakhir selepas dibebaskan dari pusat pemulihan di Kuala Lipis, Pahang, Januari tahun lalu, dia hanya insaf sebulan di rumah sebelum kembali terjebak atas hasutan kawan-kawan lamanya,” katanya yang berkahwin pada usia 18 tahun.

Menurutnya, kehidupan suaminya itu menyebabkan dia dan anak-anak terabai.

“Hidup saya susah dan banyak bergantung belas ihsan keluarga, selain hasil pajakan seekar dusun buah-buahan.

“Kesempitan hidup saya menjerut perasaan dan diri saya selepas dipujuk rakan lama sekolah supaya berhijrah ke ibu kota untuk menjalankan kegiatan pelacuran dengan dijanjikan pendapatan lumayan,” katanya.

Mek berkata, walaupun mulanya malu, namun dia menebalkan muka demi memastikan nasib anak-anaknya yang ditinggalkan sementara bersama ibu bapanya tidak terus sengsara.

“Walaupun mulanya, Ila (rakannya) memberitahu pekerjaannya sebagai GRO atau teman minum pengunjung kelab dangdut di Chow Kit, namun saya sebaliknya dibawa ke sebuah rumah tumpangan di Brickfields.

“Di situ, saya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang juga ‘bapa ayam’ sebelum ditawarkan ‘kerja’ pelacur dengan pendapatan RM20 bagi setiap pelanggan. Lelaki itu menerima komisen RM20 bagi sewa bilik yang saya gunakan,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada mulanya dia ‘segan’ untuk menawarkan khidmat seks ‘pakej’, namun dia berubah fikiran apabila mendapati kerjaya barunya itu amat mudah dan tidak memenatkan.

“Sebelum bertolak ke ibu kota, tiga minggu lalu, saya menipu keluarga dan anak-anak kononnya ingin membantu rakan berniaga tudung sempena Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

“Kerja saya bermula jam 9 pagi dan tamat jam 10 atau 11 malam. Dalam tempoh berkenaan saya memperoleh tidak kurang 10 pelanggan. Jika ditolak komisen, saya mengutip RM200 sehari,” katanya yang mendakwa turut ditemani lima rakan lain.

Katanya, dia diberikan kondom dan buku nota kecil oleh bapa ayam yang digunakan bagi menanda jumlah pelanggan diperoleh setiap hari sebelum pendapatannya itu dibayar serentak setiap hujung minggu.

“Setakat semalam, saya mengutip lebih RM5,400 dan separuh sudah saya kirimkan ke kampung halaman untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

“Malah, saya menggunakan cuti Ahad lalu untuk membelikan baju Melayu, songkok dan baju kurung untuk tujuh anak saya,” katanya.

Ditanya, sama ada dia sedar wang digunakan terbabit haram di sisi Islam, Mek memberi alasan dia tidak mempunyai pilihan lain apatah lagi dengan tahap pendidikannya yang rendah.

“Biar dosa ini ditanggung saya. Lagipun saya melakukan kerja ini hanya untuk sebulan sebelum kembali semula ke kampung di Pahang untuk menyambut hari raya bersama anak-anak.

“Lebih penting, anak saya tidak berlapar dan mampu tersenyum dan memakai baju baru di pagi raya. Jika keadaan masih tidak berubah dan saya masih gagal mendapat kerja tetap selepas ini...ada kemungkinan saya akan kembali semula ke sini,” katanya tanpa rasa kesal pada riak wajahnya.
-hmetro.com.my-
[Ustazah Mashitah pasti boleh mengulas]