"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video: 5,000 sertai solat jenazah ghaib untuk Dr Haron Din


Kira-kira 5,000 jemaah hari ini menyertai solat jenazah ghaib untuk Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia semalam.

Solat jenazah ghaib itu diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi ini.

Solat bermula pada kira-kira jam 9.25 pagi diimamkan oleh cucu agamawan itu, Hakeem Hamdi, 17 tahun.

Turut hadir pada majlis solat jenazah ghaib itu ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yaakob; Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dan Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

Suasana sugul dan sedih menyelubungi dewan solat utama ketika imam besar masjid Shah Alam, Muhammad Farhan Wijaya membacakan doa.

Malah, turut kelihatan ahli jawatankuasa PAS Ridhuan Mohd Noor turut menangis ketika Hadi berucap selepas solat jenazah dilakukan.

Dalam ucapannya, Hadi memberitahu bahawa Allahyarham merupakan seorang ulama yang menghabiskan hayatnya untuk Islam.

Malah, anggota parlimen Marang itu turut menyarankan agar orang ramai mengambil pengajaran dan iktibar daripada sumbangan allahyarham kepada Islam.

"Almarhum Haron Din adalah seorang ulama yang telah habiskan umurnya untuk Islam. Sekiranya ingin ambil pengajaran dan iktibar, ambillah pengajaran dari mereka yang sudah meninggal dunia yang akhirnya hayatnya dengan sebar ilmu, sebar Islam dan memberi sumbangan pada Islam," kata Hadi dengan wajah yang sugul.

Hadi turut meminta sekiranya allahyarham mempunyai kesalahan agar orang ramai memaafkannya kerana menurut Hadi, manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan.

"Bagi pihak PAS dan keluarga, saya meminta sesiapa yang ada apa-apa kesilapan almarhum lakukan kesalahan, kerana manusia tak lari dari kesalahan, kalau ada diminita memaafkan.

"Mudah-mudahan kita dapat pahala dengan memaafkan orang," ujar Hadi lagi.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung dan disemadikan di sana.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Allahyarham mula bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).

Beliau dipilih sebagai Mursyidul Am PAS selepas pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
-malaysiakini

13 Gambar pengkebumian Allahyarham Datuk Dr Haron Din

Jenazah Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Road, Livermore, California, Amerika Syarikat.

Allahyarham selamat disemadikan pada pukul 5.57 petang Jumaat waktu tempatan (8.57 pagi Sabtu waktu Malaysia) selepas selesai solat jenazah yang diimamkan anaknya, Hamdi di Masjid An Noor Santa Clara, San Francisco.
Jika singgah di Livermore, jangan lupa ziarah’

SHAH ALAM: "Sesiapa yang singgah di Livermore, jangan lupa ziarah baba ya," demikian pesanan anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din selepas selesainya upacara pengebumian ayahnya yang tercinta hari ini.

Jelas, Dr Huda Haron jasad Mursyidul Am Pas itu, disemadikan dengan sempurna oleh orang-orang sekeliling walaupun tempat persemadian ayahnya bukan di tanah air sendiri.

"5.51 PM Livermore, California.6.51 AM Malaysia. Alhamdulillah tempat rehat baba dan bersemadinya jasad baba yang mulia,

"Sempurna dengan bantuan insan-insan yang membantu tanpa soal jawab dan tak mengira apa jua. Terima Kasih dari kami sekeluarga," katanya menerusi catatan di Facebook rasmi Datuk Dr Haron Din.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore California Amerika Syarikat, di atas amanat beliau sendiri yang mahu disemadikan ditempat di mana beliau meninggal dunia.

Sebelum itu, jasad Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid An Noor Santa Clara pada jam 11.40 pagi (2.40 pagi waktu Malaysia).

Solat jenazah pula dilakukan selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.21 petang (5.21 pagi waktu Malaysia) di Masjid Muslim Community Association yang diimamkan sendiri anak lelakinya, Hamidi Haron.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.05 pagi semalam pada usia 76 tahun di Hospital Universiti Stanford Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Salleh dan lima cahaya mata.

Sementara solat jenazah ghaib dilaksanakan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi ini.
-sinarharian

5 SEBAB ORANG PERLIS GUNAKAN LALUAN THAILAND UNTUK KE KELANTAN....

Hanya Di Kelate





Ibu minta lelaki rogol anak perempuannya berusia 10 tahun sebelum dibunuh

New Mexico – Ibu kepada budak perempuan berusia 10 tahun yang ditemui mati dengan mayatnya dikerat, memberitahu polis dia mencari lelaki di internet dan tempat kerja untuk menyerang mangsa secara seksual.

Menurut butiran waran geledah kes itu, Michelle Martens memberitahu polis Amerika Syarikat (AS) bahawa dia bertemu dengan sekurang-kurangnya tiga lelaki sebelum mangsa diberi dadah, dirogol dan dibunuh bulan lalu.

Ibu tunggal berkenaan memberitahu penyiasat dia tidak merancang jenayah itu untuk mendapatkan wang tetapi kerana seronok menyaksikannya.

Tidak dapat dipastikan berapa lama dia merancang pertemuan sebelum kematian Victoria Martens atau jika polis sudah mengenal pasti penyerang.

Polis menemui mayat budak itu yang dikerat di dalam pangsapuri yang dihuni bersama ibunya pada hari dia dijangka menyambut ulang tahun kelahiran ke-10.

Pembunuhan itu mencetuskan kemarahan orang ramai. Jurucakap keluarga berkenaan, Laura Bobbs, menangis ketika mengetahui butiran dalam waran geledah itu.

“Kasihan anak saya, kasihan anak saya.

Dia tidak pernah beritahu kami apa yang berlaku.

“Saya selalu bertanya dia setiap masa, ‘Kamu OK?’ Dia akan berkata ya,” katanya merujuk kepada Victoria.

Bobbs berkata, tiada petanda daripada Michelle Martens atau mangsa menunjukkan ada perkara yang tidak kena.

“Saya melihat wanita itu setiap hari.

Tiada petanda. Bagaimana dia menyembunyikan perkara ini daripada kami.

“Keadaan semakin buruk, buruk dan buruk,” katanya. Michelle Martens, Fabian Gonzales dan sepupu Gonzales, Jessica Kelley, didakwa membunuh dengan niat dan jenayah seks melampau terhadap kanak-kanak di bawah 13 tahun.

Victoria ditikam dan dicekik.
-kualalumpurpost

Haron Din sah disemadikan di San Francisco, AS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jenazah Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din akan dikebumikan di San Francisco, Amerika Syarikat.

Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas berhubung dengan keluarga Haron.

"Baharu bercakap dengan keluarga TG Datuk Dr Harun Din (Tuan Guru Datuk Dr Haron Din). Keluarga sepakat pengkebumian di San Francisco.

"Solat jenazah di Masjid AnNur di sana," katanya dalam catatan terbaharunya di laman Twitter rasmi beliau, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sudah menguruskan penghantaran jet ke Amerika Syarikat bagi membawa pulang jenazah tokoh agama itu.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia mengadakan solat jenazah ghaib buat arwah.

Jamil Khir dalam satu kenyataan meminta agar solat jenazah ghaib itu dibuat sebaik sahaja mendapat maklumat bahawa segala urusan berkaitan di sana (AS) telah disempurnakan.

Beliau turut menyarankan agar semua masjid utama dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dapat melaksanakan solat jenazah ghaib itu.
"Saya juga memohon kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar dapat meminta seluruh masjid di negeri masing-masing untuk bersama melaksanakan solat jenazah ghaib," katanya.

Beliau turut berharap supaya seluruh anggota keluarga Allahyarham bersabar dan tabah dengan ujian ini serta berdoa agar rohnya dicucuri rahmat.
-Bernama

Haron Din disemadikan di Carlifornia

BERITA pemergian Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang diterima pagi Jumaat cukup dirasai seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

Ucapan takziah dan rasa sedih dikongsi tanpa henti di media sosial sejak berita pemergiannya diketahui umum.

Tidak terkecuali barisan pemimpin Pas yang turut sempat mengutus doa dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa dukacita dan takziah melalui kemas kini status di Facebooknya sebaik sahaja menerima berita sedih itu, hari ini.

“Mewakili Pas saya melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din, Mursyidul Am Pas yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University, AS.

“Ya ALLAH, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia,” tulis beliau.

Sementara, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini masih berada di tanah suci turut berkongsi kesedihan sama.

“Dari ALLAH kita datang dan kepada ALLAH kita akan kembali...

"Semoga ALLAH cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin,” katanya.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula turut memanjatkan doa agar ALLAH mengampuni dan merahmati Allahyarham.

“Takziah buat keluarga dan sanak saudara. Semoga dikurniakan kesabaran dan kekuatan menghadapi saat yang sukar dan sedih.

“Matinya orang alim, matinya alam. Mari kita hidupkan alam ini dengan ilmu dan iman. Ambillah ilmu daripada ahli ilmu. Ambillah takwa daripada ahli takwa. Ambillah istiqamah daripada ahli istiqamah. Ambillah qudwah daripada ahli qudwah,” ujarnya.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani pula mencoret, beliau masih terbayang-bayang senyuman Allahyarham.

“ALLAH lebih menyayangi beliau, Innalillahiwaiinailaihirajiun. Alam ini menjadi sayu lagi, tiada kata yang mampu diucap, tiada kalimah yang mampu dibaitkan lagi. Kembalilah Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din di pagi Jumaat ini, saat jam 10.10 minit pagi tadi.

“Saya masih ingat senyuman yang terukir indah, saat saya bercerita tentang umur insan ini..."nyawa kita ini dalam genggamanNya...doakanlah saya" tuturnya dengan lafaz yang sayu... moga ALLAH merahmati dan letakkan beliau dalam kalangan hambaNya yang soleh. Innalillah,” tulisnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat, pagi ini akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata. Allahyarham mula menjawat jawatan sebagai Musryidul Am Pas tahun lalu selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1975-1983). Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
-sinarharian

Haron Din disemadikan di Carlifornia

SHAH ALAM - Jasad Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din bakal disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini.

Melalui satu kemas kini di Facebook rasmi Allahyarham, ahli keluarganya memaklumkan perkara itu.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana mereka mahu menguruskan jenazah Allahyarham dengan cepat dan sempurna.

“Baba akan disemadikan di California. Kami ada beberapa pilihan termasuk membawa baba balik ke Malaysia. Semua pilihan ada pro dan kontra. Kami berbincang dan menimbang semua itu. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan. Hati amat berat.

“Kami memilih untuk menguruskan jenazah Baba dengan sempurna dan cepat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan Baba di California,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan pada pagi Jumaat waktu Amerika Syarikat dan dikafankan sebelum disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid An-Nur, Santa Clara, California.

Allahyarham dilaporkan telah mengamanatkan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di Perlis untuk mengebumikannya di Amerika Syarikat jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.

Sementara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah berhubung dengan keluarga Allahyarham mengenai perkara itu.

“Baharu bercakap dengan keluarga Tuan Guru Dr Haron Din. Keluarga sepakat pengebumian di San Francisco. Solat jenazah di Masjid AnNur di sana,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini Ahmad Zahid memaklumkan beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menguruskan jet untuk membawa jenazah pulang ke tanah air.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pagi ini kira-kira jam 10.05 pagi pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Keluarga bantah gadis mahu kahwin perogolnya

Kuala Lumpur – Hasrat seorang gadis berusia 20 tahun yang dirahsiakan identitinya untuk mengahwini perogolnya dibantah sekeras-kerasnya oleh keluarga mangsa.

Hal ini kerana perogolnya merupakan seorang warga emas berusia 52 tahun selain mempunyai beberapa isteri.

Hal itu didedahkan oleh Pengerusi Aduan Awam Parti Gerakan, Datuk Wilson Lau Hoi Keong di pejabatnya di Kepong menerusi satu sesi sidang media semalam.

Menurut bapa mangsa, mangsa dirogol pada Jun lepas.

Bapa mangsa menceritakan yang anaknya sudah agak lama mengenali si perogol dan dia dibawa pulang ke rumah lelaki itu sebelum dia mendakwa disetubuhi oleh lelaki tersebut.

Mangsa kemudiannya mengadu hal itu kepada ibu bapanya namun enggan membuat laporan polis walaupun didesak oleh kedua-dua ibu bapanya.

Menurut bapanya, mangsa dikatakan kasihan dengan perogol tersebut yang mempunyai beberapa orang isteri dan anak.

Memetik laporan The Star, lelaki itu dilaporkan mahu bertanggungjawab dengan mengahwini mangsa.

Mangsa meluahkan keinginannya itu kepada keluarga pada 27 Jun lalu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan berhubung insiden rogol tersebut.

Walaupun mangsa enggan membuat laporan polis, bapanya bertegas membuat laporan polis bagi pihak anaknya pada 10 Julai lalu.

Tapi memandangkan mangsa sudah cukup umur untuk membuat laporan sendiri, pihak polis tidak menerima laporan yang dibuat bapanya.

“Mula-mula rogol, lepas tu nak kahwin pula? Dia (perogol) menyakinkan anak kami untuk berkahwin dengannya dan kami memang sangat-sangat membantah hal itu.

“Dah la jurang usia di antara mereka besar, jika mereka berkahwin, dia (perogol) akan panggil saya ayah?” katanya yang seusia dengan lelaki yang merogol anaknya.

Sehubungan itu, bapa mangsa telah mendekati Gerakan bagi memberikan khidmat nasihat kepada anaknya.
-kualalumpurpost

Telekom Malaysia Mungkin Terpaksa Turunkan Harga Jalur Lebar

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Bhd (TM) mungkin terpaksa menurunkan harganya disebabkan kemunculan syarikat pesaing dengan tawaran kos lebih rendah seperti ViewQwest Pte Ltd dari Singapura yang mula beroperasi di Malaysia pada Julai.

Harga yang lebih murah itu, menurut BMI Research, juga boleh membawa kepada rangsangan dalam penggunaan jalur lebar, dan perkhidmatan IT di negara ini akan menerima akibatnya.

BMI Research, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Fitch berkata ViewQwest menawarkan kelajuan sehingga dua kali lebih cepat berbanding pembekal sedia ada pada harga yang lebih rendah.

ViewQwest dilaporkan menyasarkan permintaan perusahaan untuk jalur lebar berkelajuan tinggi di daerah-daerah perniagaan utama.

Rakan kongsi tempatannya, Televenture telah meletakkan kabel gentian optik kira-kira 100 kilometer di bawah tanah di hab komersial utama di Kuala Lumpur, Segitiga Emas, Bangsar South dan Cyberjaya.

Menurut firma penyelidikan itu, pembekal perkhidmatan internet Malaysia membayar kira-kira AS$20 (RM82) per mega bit (Mb) kadar antarabangsa berbanding hanya AS$5 (RM20) bagi setiap Mb di Singapura.

Dengan memanfaatkan kelebihan kos ini, ViewQwest akan melemahkan harga jalur lebar pesaing yang harga puratanya adalah kira-kira RM30,000 untuk sambungan perusahaan (100 Mbps), dengan tawaran sambungan 1 giga bit (Gb) per saat pada harga S$500 (RM1,510) sebulan, katanya.

"Kemasukan pemain-pemain yang menimbulkan gangguan tersebut juga positif untuk pengambilan jalur lebar yang lebih luas apabila syarikat dominan TM mungkin terpaksa mengurangkan harga jika pesaing membina momentum yang cukup untuk mengancam kedudukan pasaran," kata firma penyelidikan itu dalam satu laporan baru-baru ini.

BMI Research menyatakan bahawa TM jelas memimpin jalur lebar tetap di Malaysia dan memiliki sejumlah besar jalur lebar antarabangsa melalui pemilikan kabel dasar laut termasuk projek-projek yang sedang berjalan.

Ia menambah bahawa disebabkan rangkaian jalur lebar ViewQwest hanya memenuhi permintaan di Kuala Lumpur, kesannya ke atas IT dan jalur lebar peringkat negara serta ramalan pasaran adalah terhad buat masa ini.

Kesal 'viral' gambar haiwan korban

WARTAWAN SINAR HARIAN

Kesal 'viral' gambar haiwan korban Gambar lembu yang akan dikorbankan tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak jenaka.
GEORGETOWN - Umat Islam sepatutnya tidak menjadikan haiwan korban sebagai bahan lawak jenaka, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata demikian setelah kesal melihat segelintir pengguna laman sosial 'memviral' gambar lembu korban sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati orang ramai.

“Saya menyeru umat Islam supaya tidak 'memviral' gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat terutama individu yang ingin memburukkan imej Islam di mata dunia.

“Pada pandangan saya, tindakan ini amat mengecewakan dan jelas masyarakat kita suka berhibur sehingga berlebih-lebihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Salim berkata, tidak wajar mengambil gambar haiwan korban dengan pelbagai aksinya ketika disembelih.

“Walaupun tiada dalil yg melarang, namun tidak wajar dilakukan kerana mungkin ada yang menganggapnya sebagai perbuatan kejam.

“Di samping itu cara menyembelih yang tidak mengikut etika atau peraturan yang ditetapkan dalam syariat juga mungkin menambahkan lagi salah faham mengenai ibadat ini,” katanya.

Jelasnya lagi, antara etika penyembelihan haiwan menurut syariat hendaklah dilakukan dalam keadaan haiwan tenang dan tidak menimbulkan rasa takut atau resah.

“Justeru disarankan supaya diletakkan pengadang antara haiwan yang disembelih dengan yang menunggu giliran atau dengan cara menutup penglihatannya.

“Kita ingin menasihatkan juru sembelih supaya terlebih dahulu memahami etika sembelihan menurut syariat supaya dengan itu imej Islam sebagai agama rahmat dapat ditonjolkan kepada umum,” katanya.

Ibadat korban sepatutnya dilaksanakan secara serius dan menurut etika penyembelihan yang ditetapkan dalam syariat kerana tujuannya ialah untuk menghampirkan diri kepada ALLAH SWT.

Beliau berkata, individu yang menganjurkan ibadat berkenaan hendaklah menghayati hikmahnya daripada sudut sejarah dan sosial.

“Hikmah ibadat korban daripada sudut sejarah ialah penghayatan terhadap pengorbanan Nabi dua beranak iaitu Nabi Ibrahim yg sanggup menyembelih putera kesayangannya demi mematuhi perintah ALLAH SWT.

“Manakala hikmah ibadat korban daripada sudut sosial pula ialah memberi makan kepada golongan fakir miskin supaya mereka turut bergembira di hari raya yang mulia ini,” katanya.

Wan Salim mengulas isu berkenaan setelah beberapa pengguna laman sosial yang dilihat begitu seronok memaparkan pelbagai gaya lembu korban.

Menyedihkan apabila sesetengah gambar tersebut menimbulkan rasa lucu di kalangan pengguna laman sosial dan menjadikannya sebagai bahan lawak.

Anak Mahfuz rasmi jadi ahli Amanah

HAZAYANI ZAKARIA

Muhammad Mujaheed Mahfuz (kiri) ketika menerima sijil keahlian Amanah malam tadi yang disampaikan oleh Datuk Dr Ismail Salleh.
Anak kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar secara rasmi menjadi ahli Parti Amanah Negara (Amanah) apabila menerima sijil keahlian malam tadi.

Muhammad Mujaheed Mahfuz menerima sijil keahlian Amanah daripada Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh sendiri dalam majlis penubuhan penaja Amanah cawangan Along Senibong.

Ismail ketika dihubungi Malaysia Dateline mengesahkan perkara itu dan menyatakan rasa gembira dengan penyertaan Mujaheed ke dalam Amanah.

“Ya, betul Mujaheed sudah menjadi ahli Amanah dan saya sendiri yang menyerahkan sijil keahlian kepada beliau yang hadir ke program malam tadi. Beliau menetap di Kuala Lumpur dan balik beraya di rumah keluarganya,” katanya.

Mujaheed dalam ucapannya selepas menerima sijil malam tadi berkata, beliau menyertai Amanah kerana berasa selesa dengan hala tuju parti itu dan kenal orang-orang yang menyertai Amanah.

“Dalam Pas dulu saya tak aktif secara langsung kerana prinsip saya, selagi ayah saya dalam politik, saya tak mahu aktif secara langsung.

“Tapi saya banyak tolong kerja-kerja belakang tabir terutamanya membantu ayah saya. Saya sertai Amanah kerana saya rasa saya kenal ornag-orang yang ada dalam Amanah ini,” katanya.

Mahfuz yang merupakan bekas naib presiden Pas bagaimanapun masih kekal dalam parti itu walaupun dilihat cenderung kepada Amanah dan sering mengkritik Pas secara terbuka akhir-akhir ini.

Sementara itu, Amanah kawasan Pokok Sena berjaya menubuhkan sebuah lagi cawangan malam tadi iaitu cawangan Alor Senibong dan menerima 30 borang permohonan menyertai Amanah daripada penduduk kampung tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Amanah Pokok Sena Omar Awang, timbalan ketua Yaakob Ismail, setiausaha Yusuf Sanoyan dan ahli jawaankuasa Amanah Kedah Mahmud Zaim.

Ismail berkata, Alor Senibong merupakan cawangan keenam yang ditubuhkan dan sebanyak lima lagi cawangan akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Pengantin pilih untuk bersanding dengan kambing (Gambar)

M FEISAL NORAWI

Mohd Fikri dan isteri Noor Ana pasti akan mengingati detik manis perkahwinan mereka apabila disandingkan bersama kambing peliharaannya.
TEMERLOH - Kerana minat dan sayangnya terhadap haiwan ternakan mencetuskan idea untuk seorang penternak membawa haiwan peliharaannya iaitu dua ekor kambing bersanding bersama pada hari bahagianya hujung minggu lalu.

Mohd Fikri Denan, 27, dan pasangannya Noor Ana Mami Johari, 29, pasti akan mengingati saat-saat manis apabila bersanding bersama dengan kambing peliharaannya dalam satu majlis di Kampung Belenggu di sini.

Mohd Fikri berkata, pada mulanya dia berhasrat untuk membawa lembu ke atas pelamin tetapi membatalkan hasrat kerana saiz lembu yang besar.

"Saya kemudian pilih kambing peliharaan kerana boleh dipangku dan naik sekali di atas pelamin ini," katanya.

Mohd Fikri berkata, idea untuk bersanding bersama kambing itu tercetus apabila dia memikirkan untuk mencari kelainan pada hari persandingannya.

Menurutnya, sebagai penternak dia merasakan idea terbaik ialah dengan membawa bersama haiwan peliharaannya untuk naik pelamin bersama dan ia sudah tentu berbeza dan tidak pernah dibuat orang.

Bagi pasangannya, Noor Ana berkata, dia pada mulanya gementar dan gugup sebab tidak biasa dengan kambing tetapi memberanikan diri apabila diyakinkan suaminya.

"Memang mula-mula rasa gementar sebab tak pernah pegang kambing apatah lagi di hadapan ratusan tetamu pula.

"Alhamdulillah majlis berjalan lancar, anak kambing pula ok, memberi kerjasama baik," katanya sambil ketawa.

Mohd Fikri seorang penternak dan juga peniaga lembu dan getah berasal dari Kampung Belenggu manakala Noor Ana berasal dari Kampung Sempadan, Lanchang.

Sebelum itu mereka diarak oleh pemuda bermotosikal dan menaiki lori yang digunakan oleh Mohd Fikri dalam perniagaan lembu dan getah.

Dirogol Kerana Dituduh Makan Daging Lembu

GARA-gara dituduh memakan daging lembu, seorang wanita Muslim mendakwa dia dan sepupunya berusia 14 tahun dirogol oleh empat orang lelaki di Haryana, India.

Wanita berusia 20 tahun itu turut mendakwa bahawa bapa dan ibu saudaranya dipukul hingga meninggal dunia oleh empat lelaki bukan Muslim di kediaman mereka di Mewat, India baru-baru ini.

“Mereka tuduh kami memakan daging lembu dan itu sebabnya kami dihina dan dirogol. Mereka juga ancam untuk bunuh kami jika kejadian ini diketahui orang lain,” kata wanita tersebut yang dipetik BBC.

Stesen penyiaran antarabangsa itu melaporkan, empat lelaki tersebut bagaimanapun telah ditahan dan didakwa di sebuah mahkamah kerana melakukan rogol dan pembunuhan.

Penganut agama Hindu di India menganggap lembu sebagai haiwan suci dan penyembelihan binatang itu waima oleh masyarakat Islam diharamkan di beberapa negeri termasuk Haryana.

Bagaimanapun, polis tempatan menjelaskan tiada bukti menunjukkan penglibatan kumpulan pelindungan haiwan (lembu) yang terbabit dalam kes serangan seksual ini.

Daerah Mewat yang didominasi Muslim itu pernah menjadi tajuk utama akhbar tempatan selepas kejadian polis memeriksa hidangan daging kambing supaya ianya tidak mengandungi masakan yang ada daging lembu. – MYNEWSHUB.CC

Darah naik 5 jam! Husni kongsi cerita

PENGUNDURAN bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada Kabinet dan Umno menimbulkan tanda tanya banyak pihak.Sebelum ini, Ahmad Husni pernah berkata hanya mahu tumpu tugasnya sebagai ahli parlimen tanpa mengulas lanjut tentang tindakan diambilnya.


Sinar Harian berpeluang bertemu Ahli Parlimen Tambun itu mengenai perkembangan terbarunya dan sudi menceritakan detik-detik yang membawa beliau mengambil keputusan berundur.

Bila Datuk Seri lepaskan semua jawatan kerajaan dan parti, kecuali sebagai wakil rakyat, masih ramai yang tidak puas hati dengan kenyataan ringkas Datuk Seri. Boleh ulas sedikit apa yang mendorong kepada tindakan itu?

Saya ada terfikir untuk letakkan jawatan tahun lalu. Saya tetapkan pada Januari 2016 sebagai tarikh akhir dalam Kabinet. Saya telah bincang dengan setiausaha politik menyatakan rasa tidak serasi dengan pembawaan pimpinan. Bila tiba Januari, saya rasa tidak tergamak pula untuk meletakkan jawatan, saya terus berkhidmat. Kemudian, pada April lalu niat hendak meletak jawatan kembali dan semakin kuat. Pada awal April itu, saya membeli alat bacaan tekanan darah untuk isteri bila pulang dari pejabat. Tiba di rumah jam 7 malam, saya pasang pada tangan saya untuk tunjuk pada isteri cara hendak menggunakan alat tersebut. Tetapi, saya pula yang terkejut apabila bacaan tekanan darah saya begitu tinggi.

Saya pergi ke Damansara Specialist Hospital. Doktor memeriksa kesihatan saya dengan rapi. Pada jam 12 tengah malam, tekanan darah mula turun. Saya merasa pelik mengapa tekanan darah saya tinggi selama 5 jam (7 petang hingga 12 malam). Tak pernah berlaku dalam sejarah hidup saya. Doktor membenarkan saya pulang pada jam 2.30 pagi, memberi cuti 3 hari dan minta saya datang semula untuk rawatan lanjut pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat, alhamdulillah, pemeriksaan menunjukkan jantung, darah dan air kencing tiada masalah. Saya juga tiada penyakit darah tinggi. Kesihatan saya baik. Kata doktor tekanan darah tinggi berpunca dari stres, kurang tidur dan kurang rehat.

Apa yang Datuk Seri fikir selepas doktor beritahu tekanan darah tinggi itu berpunca daripada stres?

Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada. Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam Kabinet atau tidak? Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?

Pada hari Sabtu, saya terbang ke Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean. Tengah hari, saya tidak berapa sihat. Saya beritahu pegawai-pegawai, saya tidak mampu untuk hadir mesyuarat pada sebelah petang. Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata, “Semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?” Kata-kata itu membuka mata hati saya...harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega. 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hati saya.

Setahu kami Datuk Seri seorang banker, kenapa Datuk Seri terlibat politik?

Setelah beberapa tahun bekerja di bank, saya bertukar kerjaya dan bekerja di anak syarikat sebuah agensi milik Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1980-an. Di situ saya terdedah dengan tingkah laku sesetengah pemimpin yang menggunakan syarikat tersebut untuk mengumpul kekayaan. Atas penentangan ke atas amalan tersebut, saya laporkan kepada pucuk pimpinan. Tiada tindakan diambil, malah suatu hari seorang pegawai kanan agensi menelefon dan berkata kepada saya, “Awak duduk dalam kapal lanun. Ingat awak boleh jadi imam? Mampus awak!” Mungkin beliau berseloroh, tetapi saya ambil kenyataan itu serius, lalu saya kembali semula bekerja di sektor perbankan.

Beberapa bulan kemudian isteri saya bersalin anak sulung. Saya berada di sisi isteri dan baru saya sedar betapa seksa melahirkan seorang anak. Tiba-tiba saya terbayang apa masa depan anak saya di bawah pimpinan seperti tadi? Selepas membaca azan dan iqamat, saya berjanji pada anak, “Bapak akan jaga kamu.” Sejak itu, saya menyertai politik.

Saya dididik oleh bapa yang bekerja di Jabatan Agama Islam. Beliau juga seorang imam dan mengajar al-Quran. Ibu membantu bapa mengajar anak-anak muridnya membaca al-Quran. Saya terdedah kepada pengajian ilmu Tauhid, Usuluddin, Fiqah dan Tasawuf. Pemahaman saya, seorang pemimpin mestilah bersikap lurus dan tegas. Keutamaan pemimpin adalah kebajikan rakyat. Berteraskan kejujuran, keikhlasan dan integriti, maka setiap sen mestilah dibelanjakan untuk rakyat.

Dalam ucapan saya di Parlimen pada 15 Februari 2000, saya menekankan, “Kita hendaklah melahirkan individu yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum.”

Kontroversi 1MDB sedikit sebanyak terpalit kepada Datuk Seri yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan ke II. Apa komen Datuk Seri?

Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada tahun 2009. Saya tidak dirujuk walaupun saya Menteri Kewangan II. Bila saya dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB? Pada faham saya, penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Saya tidak dilibatkan dalam urusan 1MDB sehinggalah pada tahun 2015. Pada awal tahun 2015 saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif. Dengan izin ALLAH SWT, dengan bantuan SUSK, kami berjaya menyediakan Pelan Rasionalisasi 1MDB, namun saya tidak terlibat dalam perlaksanaan Pelan Rasionalisasi tersebut.

Saya berharap masalah 1MDB akan selesai. Saya berdoa agar setiap discrepancies dalam 1MDB dapat diatasi. Kita semua faham sebarang perkembangan negatif boleh menjejaskan rating negara yang akan membawa kepada kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan negara dan rakyat. Begitu juga dengan SRC, saya berharap akan diselesaikan segera. Dalam konteks kewangan kerajaan, uruslah secara berhemah. Pemberian tender hendaklah secara telus. Projek PPP mestilah dikaji mendalam dari konteks value for money. Kerajaan hendaklah menyediakan unjuran kewangan jangka panjang melihat akan kemampuan kerajaan membayar hutang dari projek PPP. Kita mesti ingat Hasil Pendapatan Negara pada masa depan tidak semewah seperti pada masa lalu.

Mengapa tiba-tiba Datuk Seri mengambil keputusan meletakkan semua jawatan?

Seminggu sebelum saya berundur dari Kabinet iaitu pada 21 Jun 2016, saya ke Jeddah bagi menghadiri mesyuarat bilateral dengan Presiden Islamic Development Bank (IDB). Sesampai saya ke hotel di Jeddah pada Isnin, jam 8.30 malam, seorang hamba ALLAH menemui saya untuk membawa saya mengerjakan umrah. Kami sampai di Makkah pada jam 2 pagi. Saya diperkenalkan kepada polis Masjidil Haram. Dengan bantuan polis Masjidil Haram saya selesai tawaf dalam waktu yang singkat. Selama setengah jam, walaupun di tengah-tengah ribuan orang yang melaksanakan tawaf semacam musim Haji. Ini kelaziman dalam bulan Ramadan.

di situ saya menunaikan solat sunat. Kemudian dibawa ke Hajar Aswad, saya menciumnya. Keseluruhan umrah selesai dalam 1 jam 10 minit. Setiba di bilik Hotel di Jeddah, saya duduk berfikir. Mengalir air mata mengenangkan diri saya seorang yang kerdil dalam kalangan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, bagaimana saya boleh menjadi tetamu yang istimewa di Makkah? Kekuatan kerohanian saya bertambah kukuh. Tiba-tiba terfikir apakah saya masih patut duduk dalam Kabinet?

Niat untuk berundur telah bermain dalam fikiran sejak beberapa bulan. Akhirnya, saya memutuskan untuk terus berkhidmat sehingga PRU ke-14 dan Kementerian Kewangan sebagai kementerian terakhir sebelum saya berundur dari Kabinet. Saya berfikir saya harus membantu YAB Perdana Menteri, saya harus hadapi semua risiko yang berkait dengan 1MDB dan SRC. Saya sedar bukan mudah duduk di Kementerian Kewangan. Kadangkala, ada individu-individu yang menghentam saya kerana tidak meluluskan permohonan tender secara rundingan terus dan tender terhad. Saya berpendirian tugas yang saya pikul adalah suatu amanah dari kerajaan dan Ilahi. Amanah ini harus saya pikul

berprinsipkan good governance. Saya berpegang kepada pendirian bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga negara dan kepentingan rakyat.Selepas balik dari Jeddah, saya hadir satu mesyuarat. Mesyuarat ini diadakan 4 hari sebelum saya berundur dari Kabinet.Dalam mesyuarat itu, saya membangkitkan kebimbangan atas kejatuhan ranking negara dalam laporan rasuah Transparency International. Saya menyatakan sistem tender kita mestilah lebih telus. Saya dihentam. Peristiwa ini menyedarkan saya betapa di dunia ini terdapat elemen hipokrit. Saya menjangkakan konklusi mesyuarat tentulah saya diminta untuk menyediakan laporan dan cadangan yang lebih lengkap.

Yang akhirnya, pada pagi Isnin, 27 Jun lalu, semasa di pejabat, saya terkejut membaca sebuah akhbar bahawa saya akan dipindahkan ke kementerian lain dalam rombakan Kabinet yang akan dilakukan pada hari itu. Saya tidak dimaklumka lebih awal?

Nasib baik pada jam 11.30 pagi ada mesyuarat Majlis Ekonomi. Selepas mesyuarat pada jam 1.15 tengah hari, saya bertanya PM adakah benar beliau akan menukar saya ke kementerian lain seperti dilaporkan akhbar berkenaan?

PM menyatakan saya akan ditukar ke kementerian lain. Perbincangan itu mengambil masa dalam 2 minit. Saya mohon untuk berundur dari Kabinet.

Mengapa? Pertama, saya telah tanamkan dalam hati sejak umrah seminggu lalu, Kementerian Kewangan adalah kementerian terakhir sebelum saya bersara dari Kabinet. Kedua, saya tidak mampu menjadi pemimpin efektif berkhidmat di kementerian lain dalam tempoh 1 1/2 tahun sehingga PRU14. Selaras dengan itu, saya mengundurkan diri dari Kabinet dan oleh kerana saya merasakan tidak sesuai lagi memegang jawatan dalam parti, saya meletakkan semua jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, saya masih Ahli Parlimen Tambun. Bagi jawatan ahli parlimen, saya dipilih rakyat, saya harus memegang amanah itu dan sanggup berkorban untuknya.

Setelah semuanya berlalu, apa harapan Datuk Seri?

Kita mesti melihat ke hadapan. Akhirnya masa hadapan kita ditentukan oleh ALLAH SWT. Sebagai ahli parlimen,

saya akan tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat. Atas kedudukan sebagai Ahli Perundangan (Legislator), saya sedang membuat persiapan, apakah soalan-soalan dan ucapan-ucapan untuk menghadapi persidangan parlimen pada Oktober ini.

Saya masih memegang jawatan Presiden Asian Forum For Parliamentarian On Population And Development (AFPPD), Malaysia dan Timbalan Presiden Inter- Parliamentary Union, Malaysia. Saya telah bincang dengan pegawai-pegawai Parlimen untuk mengaktifkan peranan AFPPD.

Sekarang saya kerap memberi ucapan kepada pelbagai golongan, termasuk golongan muda, intelektual dan profesional.

Pada 26 Ogos yang lalu, saya diundang dan menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan Australian National University di Canberra, Australia. Saya

berucap di bawah tajuk ‘Malaysia...A Political Journey’. Saya dapati di Australia juga, isu 1MDB begitu panas dibincangkan. Semasa naik teksi pun, pemandu teksi turut bertanya isu 1MDB.

Di Parlimen nanti, saya akan menyuarakan prinsip good governance yang harus menjadi asas kepada pemerintah untuk membawa kesejahteraan kepada masa depan negara dan rakyat. Kerajaan hendaklah bersih, cekap dan amanah berpegang kepada prinsip digniti dan integriti supaya rakyat boleh berpaut demi masa depan mereka. Alangkah indahnya

dunia jika semua ini terjadi? Saya petik semula ucapan saya di Parlimen pada tahun 2000, pemimpin mestilah mempunyai ‘sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum.’ Setiap sen dibelanjakan mestilah ke arah membina kesejahteraan serta kematangan negara dan rakyat. Jauhi kepentingan diri demi cintakan agama, negara dan rakyat.
-detikdaily