"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki menyamar wanita perdaya lelaki untuk seks

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki dari Pendang, Kedah didakwa menjadi mangsa tipu lelaki yang dia berkenalan di media sosial supaya mengadakan seks dengan mendakwa dia adalah wanita yang terperangkap dalam tubuh badan seorang lelaki.

Suspek dikatakan menggunakan gambar wanita untuk menarik mangsa dan membuatkan mereka percaya dia hanya boleh dibebaskan dengan minum sperma mereka, lapor The Star memetik laporan China Press.

Laporan itu menyebut selepas berinteraksi di media sosial dan apabila hubungan menjadi lebih rapat, suspek akan mencadangkan satu pertemuan dengan mangsa.

Lebih mengejutkan, individu yang muncul semasa pertemuan sebenarnya adalah seorang lelaki bukannya wanita seperti dijangka.

Lelaki terbabit akan mendakwa dia sebenarnya seorang wanita yang terperangkap dalam tubuh lelaki dan hanya boleh menjadi seorang wanita semula dengan minum sperma kekasihnya.

Suspek juga cuba meyakinkan mangsa dengan berkata dia akan berkahwin dengan mereka dan memujuk mereka memasukkan wang ke dalam akaun bank sebagai mas kahwin.

Bagaimanapun sebaik sahaja suspek mendapat wang daripada mangsa, dia akan hilang.

Malang bagi suspek!

Penipuan itu berakhir apabila mangsa berjaya mengesan dia dan menyerahkannya kepada polis.

Berang suami curang, wanita telan wang RM30,280


Bogota – Seorang wanita nekad menelan wang kertas berjumlah AS$7,000 (RM30,280) hanya kerana mahu menyembunyikan not tersebut daripada suaminya yang dipercayai curang.

Mirror. co melaporkan, wanita warga Colombia, Sandra Milena Almeida menelan gulungan wang kertas AS$100 (RM433) itu kerana marah selepas bertengkar dengan suaminya.

Doktor dari rantau Amerika Selatan yang melakukan pembedahan mengeluarkan wang berkenaan berkata, wanita berusia 30 tahun itu menelan kira-kira 57 keping not 100 dolar.

Wang tersebut merupakan hasil jualan beberapa perkakas elektrik di rumahnya yang akan digunakan untuk pergi bercuti bersama-sama dengan suami.

Tetapi selepas menyedari suaminya curang, Almeida mengambil keputusan untuk meninggalkan lelaki itu dan menelan semua wang berkenaan dalam usaha untuk menyembunyikannya.

Pengarah Unit Pembedahan Hospital Universiti Santander, Juan Paulo Serrano berkata kebanyakan wang terbabit dikeluarkan daripada perut, manakala selebihnya melalui usus besar.

Jelasnya, tindakan wanita itu menelan wang terbabit tanpa dibaluti plastik disifatkan sebagai tindakan terdesak.
-kualalumpurpost

PAS kembali ke era 80-an, kata firma kajian bebas

Khairil Ashraf

PETALING JAYA: Berakhirnya muktamar PAS ke-63 Ahad lepas, sebuah firma kajian bebas percaya PAS kini kembali ke era 80-an parti itu, dengan mengambil elemen “jalur keras” dalam retorik politik mereka.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar berkata ia boleh dilihat ketika pimpinan PAS menggambarkan lawan mereka.

Hisomuddin berkata perkataan seperti “butir tahi” dan “barua” mungkin disukai ahli PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi tidak akan menguntungkan mereka di negeri seperti Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Sukar untuk PAS mendepani pengundi-pengundi di Pantai Barat yang lebih lunak, tidak sukakan elemen menyerang, sukakan kepada pembentukan kerjasama yang harmoni,” katanya kepada FMT.

Selain itu, pengundi turut memerhatikan serangan PAS terhadap parti rakan mereka dalam kerajaan Selangor.

“PAS tidak ada etika apabila mereka berada dalam kerajaan tapi dalam masa yang sama menyerang parti yang bekerjasama. Ini sebenarnya memberikan isyarat kepada pengundi, sebagaimana mereka menilai sikap PAS yang lebih mementingkan diri,” katanya.

Muktamar tahun ini merupakan mesyuarat agung tahunan kedua selepas pemilihan 2015, yang menyaksikan beberapa pemimpin veteran parti tewas dan keluar parti untuk menubuhkan Amanah, yang kini bersama DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR dalam Pakatan Harapan.

PAS selepas menegaskan tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai kerjasama dengan DAP dan Amanah kemudian meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR.

PAS juga meluluskan usul untuk meletakkan calon di semua kerusi PKR, sekiranya tiada persefahaman politik dicapai sehingga berlakunya PRU-14. Ia dijangka memastikan pertembungan 3 penjuru di semua kerusi PKR, yang penganalisis percaya akan memberi kelebihan kepada BN.

Melihat kepada contoh pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang menyaksikan PAS sekadar mampu meraih bawah 5% undi bukan Melayu, Hisomuddin membayangkan PAS akan kehilangan 3/4 kerusi sedia ada.

“Jadi saya membayangkan di Pantai Barat ini PAS akan hilang sokongan mereka termasuk di Selangor,” katanya.

Hisomuddin turut memberi perhatian kepada barisan kepimpinan baharu PAS, yang dilihat terlalu bergantung kepada sosok Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Era kali ini walaupun wujudnya kelompok profesional tetapi mereka itu sifatnya ‘sehala’ dan tidak ada elemen kritikal. Jadi untuk memberikan keseimbangan idea dan strategi, parti itu nampaknya seolah-olah terlalu bergantung kepada kepimpinan Hadi,” katanya.

Hadi beri bayangan peralihan kuasa di Selangor

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan kemungkinan akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor ketika desas-desus mengenai usaha ke arah itu makin kencang kedengaran.

Portal Utusan Malaysia Online memetiknya berkata demikian, susulan perkembangan terbaru setelah Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, minggu lalu, bersetuju meminta Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang menerajui negeri itu.

"Biasalah, kemungkinan (boleh) berlaku," katanya yang dipetik portal milik Umno itu.

Utusan juga memetik Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ketika bercakap dalam sidang akhbar di Pulau Kapas dekat Marang semalam sebagai berkata, semua pemimpin PAS di Selangor akan patuh kepada arahan kepemimpinan parti terutama berkaitan isu berkenaan.

"Apa yang penting adalah semua pemimpin (PAS) Selangor akan patuh pada arahan Pusat (PAS), itu yang penting.

“Apa-apa pun tindakan, kita akan lihat perkembangan selanjutnya," katanya.

Presiden PAS itu juga ditanya mengenai kemungkinan pilihan raya di Selangor akan diadakan lebih awal dan Abdul Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Itu terpulang kepada Selangor kerana negeri itu ada perlembagaannya sendiri yang perlu dirujuk, katanya.

PAS minggu lalu sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Parti itu kini masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR, dengan beberapa wakilnya dilantik sebagai exco.

Langkah itu jika diluluskan Majlis Syura Ulama bakal memberi kesan terhadap kedudukan exco PAS di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
-malaysiakini

Putus hubungan Pas dengan PKR hanya 'acah-acah' sahaja

MALAYSIA DATELINE

Keputusan Pas untuk memutuskan hubungan dengan PKR bukanlah suatu yang muktamad dan sekadar 'acah-acah' sahaja memandangkan ia disandarkan kepada persetujuan majlis syura parti itu.

Malah 'keputusan bersyarat' itu juga dibuat bagi menunjukkan bahawa Pas bukanlah pihak yang mahu memutuskan hubungan tetapi didorong oleh tindak-tanduk PKR.

Mengulas isu ini, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad memberikan contoh usul Muktamar Pas 2015 untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

"Masa itu tidak ada syarat. Apabila dikatakan bahawa usul (memutuskan hubungan dengsn DAP) itu diterima tanpa bahas, dengan sendirinya hubungan dengan DAP telah terputus, (namun) ada pula pimpinan Pas yang menafikannya. Dan didakwa bahawa ianya tetap bergantung pada keputusan Majlis Syura Ulamak!

"Akhirnya terpaksa DAP sendiri menjelaskan bahawa dengan usul tersebut bermakna Pas sudah memutuskan hubungan dengan DAP. Oleh itu Kit Siang istihar, 'Pakatan Rakyat sudah terkubur'," jelas beliau.

Namun kata Khalid, Pas tetap menafikan bahawa mereka yang memutuskan hubungan tahalluf dan mendakwa ia berpunca daripada DAP.

"Seolah-olah usul yang diterima tanpa bahas itu tidak bermakna dan hanya main-main," katanya yang juga bekas pemimpin Pas.

Khalid SamadKhalid SamadBeliau yakin kaedah yang sama akan digunakan Pas dalam isu memutuskan hubungan dengan PKR.

"Sememangnya saya tak nampak Pas akan memutuskan hubungannya dengan Keadilan secara rasmi. Ini kerana Pas ingin berbangga dengan dakwaan 'Pas tak pernah khianat setelah membuat perjanjian. Pas yang ditolak keluar, bukan Pas yang keluar'," ujarnya.

Khalid juga yakin tindakan Pas itu dibuat bagi 'mengugut' PKR untuk bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi parti tersebut dan mendorong PKR memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menyentuh kesediaan Pas untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dan menyifatkannya sebagai 'politik main-main' Pas.

"Ianya hanya sekadar nak pacak bendera dan mendakwa "kerusi ini kerusi Pas", bukan untuk nak menang di 80 kerusi tersebut. Yang penting pacak bendera, menang kalah lain hal. Soal menjatuhkan Najib tidak dilihat serius olehnya," ujar beliau.

Tulisan Khalid boleh diikuti dalam mingguan Amanah keluaran terbaru.

Berang gerai diserbu, peniaga bawa lari lori MBPPPredeep Nambiar

GEORGE TOWN: Dua lelaki merampas lori milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas penguatkuasa merampas barangan gerai mereka yang beroperasi secara haram di Persiaran Gurney malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 malam, 2 lelaki dipercayai pekerja di gerai makanan laut di Jalan Tanjung Tokong dikatakan bertengkar dengan 12 pegawai MBPP yang tiba dengan sebuah lori.

Pegawai penguatkuasa itu mahu menyita barangan kerana perniagaan meraka tidak mempunyai lesen dan beroperasi secara haram.

Kedua-dua pekerja yang berusia 20-an itu kemudian meluru ke arah lori MBPP yang tidak dimatikan enjin, kemudian membawa lari lori berkenaan.

Mereka memandu kira-kira 2km ke Balai Polis Pulau Tikus dengan seorang daripada mereka merakam video perjalanan selama 3 minit.

Dalam video yang dirakam itu, lelaki yang bertopi dilihat menjerit dengan perkataan makian.

Lelaki itu menyelar tindakan MBPP menyita perniagaan mereka.

“P ***** k punya Guan Eng, kedai Cina, p**** kau tak halau, kedai Melayu kau nak Halau,” kedengaran lelaki itu berkata dalam video berdurasi 2.5 minit itu, merujuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Lori berkenaan diekori pegawai MBPP dengan motosikal meminta mereka berhenti tetapi tidak diendahkan.

Kedua-dua lelaki itu kemudian memberhentikan lori di pintu masuk Balai Polis Pulau Tikus dan membuat laporan terhadap MBPP kerana mengganggu perniagaan mereka.

Dalam laporan polis, pekerja itu mendakwa pegawai MBPP biadap dan datang menyita tanpa memberi amaran terlebih dahulu.

Lelaki itu berkata beliau sudah memohon lesen dari MBPP sebanyak 3 kali tetapi satu pun tidak diluluskan.

Beliau berkata, tindakan merampas lori MBPP adalah usaha mereka menghentikan pegawai MBPP daripada menyita barangan mereka.

“Saya membuat laporan ini kerana saya tidak berpuas hati dengan cara MBPP melayan Melayu Bumiputera,” katanya.

MBPP tidak memberi sebarang maklum balas terhadap pertanyaan semasa berita ini ditulis, manakala pegawai polis ditemui berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Difahamkan, kedua-dua lelaki tersebut ditahan.

Insya Allah, rakyat faham kerjasama PAS-Umno, kata Hadi

Bernama
MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Marang itu turut berterima kasih kepada Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.

“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

“Kerjasama hari ini (PAS dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang dileraikan di perairan Pulau Kapas, semalam.

Ditanya sama ada kerjasama Umno dan PAS itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak tertentu, Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

“Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

“Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ini warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik ‘hand brake’ dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Shabery berkata beliau memaklumkan kerjasama Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Hadi).

“Insya Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin Umno dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang… saya akan maklumkan,” katanya.

Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin atasan Umno dan PAS tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

“Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

“Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan,” katanya.

Terdahulu Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Hadi dan warga nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan itu.

Rafizi namakan peniaga terima RM43 juta daripada SRC

Khairil Ashraf and Nawar Firdaws
KUALA LUMPUR: Selepas menamakan 3 pihak yang menerima wang berkait 1MDB semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini meneruskan pendedahannya dan mendakwa seorang peniaga mengeluarkan RM43 juta yang didakwa berasal daripada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menurut beliau, wang berkenaan dikeluarkan dalam tempoh 3 minggu antara 24 Disember 2014 hingga 20 Januari 2015.

“Saya yakin dia terima arahan,” kata Rafizi pada sidang media di pejabat Invoke hari ini.

Rafizi kemudiannya menampilkan 2 gambar rajah menerangkan bagaimana wang tersebut mengalir daripada bekas anak syarikat 1MDB itu ke akaun syarikat milikan tunggal (enterprise) milik seorang “individu”.

Gambar rajah pertama menceritakan mengenai siri transaksi yang berlaku antara 24 Disember hingga 31 Disember 2014.

Ia menunjukkan SRC memindahkan RM40 juta kepada sebuah syarikat Sdn Bhd (syarikat A), yang menyalurkan wang itu ke syarikat Sdn Bhd (syarikat B).

Syarikat B kemudiannya menyalurkan RM8 juta ke akaun milik sebuah syarikat milikan tunggal (syarikat C), milik “individu” yang dinamakan itu.

“Individu” itu kemudian menunaikan RM8 juta berkenaan pada 31 Disember 2014, dengan mengeluarkan 16 cek RM500,000 untuk dirinya.

Gambar rajah kedua pula menceritakan mengenai siri transaksi yang berlaku antara 9 Januari 2015 hingga 20 Januari 2015.

Ia menunjukkan SRC memindahkan RM39.7 juta ke syarikat A pada 9 Januari 2015.

Pada hari yang sama syarikat A menyalurkan RM40 juta ke syarikat B, yang 4 hari kemudian mengeluarkan 7 cek RM5 juta kepada “individu” itu.

Antara 15 Januari hingga 20 Januari pula, “individu” itu menunaikan semua wang itu, mencecah RM35 juta, dengan mengeluarkan 69 cek untuk dirinya.

“Bayangkan, saya tak tau macam mana, dia bawa lori ke bas ke nak bawa keluar RM35 juta tunai,” kata Rafizi.

Rafizi mempersoalkan mengapa transaksi membabitkan wang sebesar itu boleh berlaku tanpa tindakan daripada Bank Negara Malaysia.

Malah, semua transaksi itu berlaku selepas tempoh pendaftaran syarikat C dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terluput pada 6 November 2014.

“Kenapa Bank Negara tidak mendakwa ‘individu’ ini atas kesalahan pengubahan wang haram, kerana tindakan beliau mengendalikan RM43 juta secara tunai dalam tempoh 3 minggu sudah tentu disedari oleh Bank Negara seawal Januari 2015 semasa cek-cek itu ditunaikan,” kata Rafizi.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu pemberita “individu” berkenaan pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 4 hari pada 21 Julai, dalam siasatan ke atas SRC.

“Saya yakin keterangan beliau boleh menjawab kenapa jumlah yang besar itu perlu diuruskan secara tunai? apa keperluan seorang peniaga kecil seperti beliau memegang RM43 juta secara tunai, dan sebenarnya siapakah yang telah menerima bayaran-bayaran tunai daripada jumlah RM43 juta wang rakyat itu?” kata Rafizi.

Semalam, Rafizi menamakan 3 pihak yang didakwa menerima wang berkait 1MDB daripada akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Beliau mahu pendedahan itu mendesak SPRM membuka semula siasatan terhadap Najib.

Hari ini, Rafizi berkata beliau akan membuat laporan baru kepada Bank Negara minggu depan, agar kes pengubahan wang haram melibatkan “individu” itu dibuka dan didakwa.

“Hanya dengan mendakwa ‘individu’ itu barulah kita tahu siapa yang menerima RM43 juta itu, dan untuk siapa dia mengendalikan wang tunai sebanyak itu dalam tempoh 3 minggu itu,” katanya.

Pada 2015, dokumen siasatan SPRM yang dipetik The Wall Street Journal mendedahkan sejumlah RM2.6 bilion mengalir masuk daripada akaun dan entiti berkait 1MDB ke akaun peribadi milik Najib pada 2013.

Najib bagaimanapun berkata wang tersebut merupakan derma keluarga diraja Arab Saudi kepada Umno untuk menjalankan kempen pilihan raya umum tahun itu.

Siasatan pasukan khas, melibatkan Bank Negara, polis, SPRM dan Pejabat Peguam Negara, tamat selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada salah laku.

Berapa kos lawatan Rosmah dan dua menteri pengiring ke UK? soal Adun DAP

MALAYSIA DATELINE
Yeo Bee YinKetika perbelanjaan kerajaan bagi sektor-sektor kritikal seperti kesihatan dan pelajaran dipotong, perbelanjaan mewah Jabatan Perdana Menteri yang membabitkan lawatan ke luar negara menjadi persoalan umum.
Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam satu kenyataan menggesa PERMATA mendedahkan perbelanjaan lawatan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu ke London, United Kingdom (UK) selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Mei depan.

Gesaan itu dibuat kerana bimbang wang pembayar cukai digunakan secara berwewenang sedangkan pelbagai peruntukan bagi sektor perkhidmatan awam dan subsidi dipotong.

"Jika ia didanai wang cukai rakyat, adakah patut kerajaan mengeluarkan belanja besar untuk lawatan ini sedangkan pelbagai bajet hampir semua sektor perkhidmatan awam dan subsidi dipotong? Malah, adakah lawatan ini sebenarnya perlu?" soalnya.

Beliau turut mempersoalkan kehadiran dua menteri iaitu Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Datuk Seri Azalina Othman mengiringi Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan tersebut.

“Adakah kita perlukan dua menteri untuk menyertai lawatan ini? Apa yang mereka buat di UK selama seminggu?

“Gaji menteri dibayar menggunakan wang pembayar cukai jadi mereka perlu bertanggungjawab terhadap kita mengenai lawatan rasmi tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan program Minda Nobel anjuran PERMATA pintar dengan Royal Society of London yang sebelum ini dilakukan di Malaysia namun diadakan di UK untuk kali ini.

“Kami ambil maklum bahawa PERMATA pintar telah menganjurkan bengkel Minda Nobel sebelum ini pada Januari 2013, Oktober 2013, November 2014, dan September 2016. Semua ini diadakan di Malaysia.

“Kenapa tiba-tiba program Minda Nobel ini dilangsungkan di UK pula?” soalnya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.

Beliau turut mempersoalkan sama ada majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara Cambridge University dan University of Oxford yang disaksikan Rosmah Mansor yang juga isteri perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dibayar oleh PERMATA.

“Adakah PERMATA perlu membayar untuk menjalinkan kerjasama penuh ‘glamour’ itu? Berapa kosnya?” soalnya lagi.

Dun Selangor: PKR, Pas tergugat

ONG BOON TECK
PKR dan Pas Selangor pastinya akan terus berada dalam kedudukan tertekan jika kedua-dua parti itu bertembung sesama sendiri PRU akan datang.

Pengurus Penyelidikan Merdeka Centre, Tan Seng Keat berpendapat, apabila Muktamar Pas ke-63 baru-baru ini meluluskan usul supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan, sudah jelas hubungan antara kedua-dua parti itu menjadi lebih tegang sekali gus menyebabkan kerajaan negeri Selangor goyah.

"Jika PKR dengan Pas memutus hubungan, ia bukan sahaja merugikan kedua-dua pihak, malahan turut menjejaskan Bersatu untuk memenangi beberapa kerusi di Selangor," katanya kepada Oriental Daily.

Menurut beliau, dengan pertembungan tiga penjuru, selain kerusi Dun, ia turut membabitkan kerusi Parlimen di Selangor.

"Adalah diramalkan lebih separuh kerusi parlimen milik PKR akan terjejas. Parti itu sukar mempertahankan kerusi mereka sama ada Dun ataupun parlimen dalam PRU kali ini," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Lim Hong Siang pula berkata, kedudukan PKR di Selangor tidak syak lagi boleh tergugat kerana pengaruh Pas di negeri itu tetap tidak boleh dipandang ringan.

"Sekiranya Pas meletak calonnya di semua kerusi yang ditandingi oleh PKR, tentu sekali sokongan yang diberikan kepada calon PKR sebelum ini sedikit sebanyak akan beralih kepada calon Pas.

"Selain itu, perpecahan dalaman yang berlaku dalam PKR turut dikatakan akan menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terjejas.

"Difahamkan Azmin masih memerlukan Pas sedangkan kajian simulasi yang dilakukan Invoke di bawah kendalian Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menunjukkan mendapati Pas tidak akan menang satu kerusi parlimen pun dalam PRU14 sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru. Inilah konflik yang wujud dalam PKR ketika ini," kata Hong Siang.

Apa faedah kamu benci sangat dengan DAP, soal Hanipah

MALAYSIA DATELINE
Ahi Parlimen Sepang Hanipah Maidin menempelak sikap sebilangan penyokong Pas yang turut salah menafsirkan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng yang menganggap parti itu 'sesat' kerana menyokong Barisan Nasional (BN).

Hanipah dalam kenyataan di laman facebooknya hari ini berkata, daripada komen-komen balas yang dilemparkan oleh beberapa pemimpin Pas, beliau tafsirkan sebagai "salah fahaman".

"Daripada komen-komen itu saya rasa wujudnya persepsi salah memahami istilah sesat yang digunakan oleh LGE (Lim Guan Eng).

"Org Arab kata 'hukum kita ke atas sesuatu adalah cabang kepada tasawwur kefahaman kita atas sesuatu itu'. Ini maknanya jika tasawwur kefahaman kita atas sesuatu perkara itu salah ,maka kita juga akan tersalah hukum.

"Bila saya baca kenyataan LGE yang saya faham istilah sesat yg beliau gunakan tidaklah dalam konteks sesat dalam beragama yang selalu difahami sebagai 'al-dholal'. Ia lebih kepada istilah 'astray' dalam bahasa Inggeris yang lebih kurang maknanya melencong atau tersasar," terangnya.

Hanipah mengulas mengenai kenyataan Perwakilan Pas Pulau Pinang Yusni Mat Piah di dalam muktamar lalu, dilaporkan sebagai berkata, bahawa BN bukan lagi musuh utama Pas pada PRU-14 sebaliknya ia adalah DAP kerana secara jelas menentang agenda Islam.

Namun pada Isnin Guan Eng menganggap tindakan Pas sebagai tidak masuk akal.Guan Eng dipetik berkata, Pas dari segi perjuangan politiknya telah sesat jalan dan lupa siapa kawan siapa lawan.Sepatutnya musuh utama Pas adalah BN.

Menurut Hanipah lagi, terdapat pemimpin Pas dari Pahang  turut memberikan komen di dalam facebook mereka yang mengatakan, Guan Eng meminjam istilah Abu Jahal yang menuduh Nabi Muhammad saw sesat dan pemimpin dari Kelantan yang cuba berlagak bijak turut mengatakan kenyataan perwakilan Pas  itu tidak mewakili pendirian parti.

"Saya makin yakin dia silap faham maksud  LGE.

"Mungkin pemimpin Pas Pahang tu tidak sedar kenyataannya itu mengundang persepsi yang amat bahaya.

"Ia seolah olah letakkan Pas dan LGE dalam dua penjuru iaitu ibarat Pas seolah-olah semulia Nabi Muhammad saw dan LGE sesesat Abu Jahal. Perlu ke komen sampai tahap tu?

"Begitu juga komen daripada salah seorang pemimpin muda Pas daripada Kelantan. Bila dia kata ucapan yang kata 'musuh Pas sekarang bukan Umno tapi Dap' itu bukan pendirian Pas kerana ia hanya ucapan seorang perwakilan dalam muktamar mungkin he tried to be smart (dia cuba berlagak bijak).

"Tapi tahu ke mamat ni yang LGE tahu dalam sesi penggulungan muktamar tu, pimpinan Pas tiada seorang pun yang sangkal atau disown kenyataan perwakilan tu. Lagi satu dia ingat LGE atau ramai lagi orang di luar Pas tak tahu ke apa yang berlaku antara Pas dan Umno?," soalnya.

Masyarakat Islam alami diskriminasi kepercayaan agama, lapor Centhra

BERNAMA
Azril Mohd AminDiskriminasi atas dasar kepercayaan agama dialami oleh golongan majoriti atau umat Islam di negara ini, bukan oleh golongan minoriti atau bukan Islam.

Pengarah Eksekutif Pusat bagi Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata demikian, bagi menyangkal Laporan Suruhanjaya mengenai Kebebasan Agama Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) 2017 bagi Malaysia.

“Minoriti di Malaysia secara umumnya tidak mengalami sebarang diskriminasi atas alasan kepercayaan agama, tetapi yang sebenar, realitinya adalah sebaliknya.

"Majoriti mengalami diskriminasi atas alasan kepercayaan agama manakala minoriti diberi kebebasan, walaupun ia melanggar undang-undang atas alasan kebebasan beragama,” kata Azril dalam penjelasan awal CENTHRA’ sebanyak 30 muka surat mengenai laporan USCIRF.

Penjelasan CENTHRA antaranya sebagai contoh ialah struktur tempat ibadat yang dibina secara haram di tanah milik kerajaan negeri tanpa kebenaran kerajaan, lot kedai , pejabat dan bangunan komersial dijadikan sebagai gereja Kristian yang melanggar undang-undang perancangan. Sebuah lot kedai di Taman Medan, Selangor, diubahsuai menjadi gereja tanpa kebenaran pihak bekuasa tempatan pada 2015.

Dalam pada itu, beliau berkata contoh lain ialah sesetengah pekerja yang beragama Islam dinafikan hak oleh syarikat-syarikat swasta untuk menunaikan solat Jumaat yang diwajibkan.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal satu daripada perkara dalam laporan USCIRF yang menyatakan sesetengah menghadapi kesulitan untuk mengakses bahan-bahan agama seperti Bible dan mendapat kebenaran kerajaan untuk membina rumah ibadat.

Mengenai bahan-bahan agama, Azril berkata bible dijual secara terbuka di hampir setiap kedai buku umum.

Azril turut mempersoalkan laporan USCIRF yang mendakwa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), atau institusi Islam, memburuk-burukkan golongan minoriti agama dalam tajuk-tajuk untuk khutbah, ini adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

Dakwaan seperti sesetengah pemerhati membuat spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak boleh mengadakan pilihan raya awal “bergantung apabila beliau fikir Umno boleh mendapat undi terbanyak” tidak disokong oleh sebarang bukti dalam laporan USCIRF.

“Siapakah pemerhati itu dan mengapa mereka tidak dipetik? Walaupun jika benar,tidak melanggar kebebasan beragama dan ia selaras dengan amalan demokrasi, ”kata beliau sebagai mengulas laporan USCIRF bahawa kuasa-kuasa politik terus mengeksploitasi agama dan etnik, menarik perhatian kepada interpretasi yang semakin konservatif dan nasionalis mengenai Islam.

Azril juga berkata fahaman lain seperti Syiah, Ahmaddiyah, Baha’I dan Al-Arqam telah diharamkan kerana kebimbangan mengenai keselamatan negara, bukan kerana tindakan tidak toleransi oleh kerajaan seperti yang digambarkan dalam laporan USCIRF.

Kecaman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai layanan kerajaan Myanmar ke atas minoriti Islam Rohingya, seperti disebutkan dalam laporan USCIRF itu, adalah wajar memandangkan pembunuhan dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar ke atas mereka.

“Semua ini berlaku walaupun adanya kerajaan baharu, yang kononnya kerajaan demokratik diketuai oleh ikon antarabangsa Aung San Suu Kyi. Begitu juga dengan penghantaran kapal Malaysia ke Sittwe untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya dengan membawa bekalan dan bantuan kemanusiaan,” kata beliau.

Menyanggah Presiden Pas - Zolkharnain Abidin, Pengarah Syariah Amanah

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya melihat hanya dirinya atau partinya saja yang mahukan syariah tertegak di negara ini. Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya melihat hanya dirinya atau partinya saja yang mahukan syariah tertegak di negara ini.

Dalam proses pelaksanaan syariah di Malaysia, pendekatan yg digunapakai oleh Amanah ialah "bersendikan Maqasid Syariah".
Pendekatan ini oleh sebahagian pihak (seperti dlm ucapan Presiden Pas) telah dianggap sebagai pengabaian atau pencuaian terhadap syariah. Anggapan itu adalah meleset dan jauh daripada realiti sebenar serta sembrono.

Ungkapan syariah perlu difahami secara holistik yang tentunya tidak merujuk kepada hukuman dan deraan yang terkandung dalam nas wahyu sahaja.

Apa saja arahan wahyu termasuk arahan berlaku adil, ihsan, berkasih sayang dan memuliakan manusia juga adalah syariah.
Begitu juga larangan bertindak zalim dan menindas manusia lain, termasuk sebahagian daripada syariah. Semua arahan ini terkandung secara jelas dalam al-Quran.

Meninjau syariah hanya dalam aspek hukuman saja bercanggah dengan identiti syariah itu sendiri yang disifatkan oleh Allah dengan lengkap dan menyeluruh. Aspek hukuman hanyalah salah satu daripada aspek syariah yang ditampilkan dalam beberapa ayat tertentu dan hanya merujuk kepada kesalahan tertentu dalam situasi tertentu dengan syarat dan mekanisme pelaksanaan tertentu. Jika syariah ditinjau dari sudut hukuman saja, syariah akan kelihatan hanya suka menghukum padahal hukuman bukan satu-satunya kaedah menangani persoalan kehidupan manusia dalam ruang lingkup yang luas seluas buana ini.

Syariah keseluruhannya adalah keadilan, rahmah, hikmah dan maslahah. Sebarang dakwaan pelaksanaan syariah tetapi tidak mencapai tujuan yg ditetapkan oleh syariah itu sendiri sebenarnya adalah pengabaian terhadap syariah.

Syariah apa sekiranya pelaksanaan sesuatu hukum yang didakwa hukuman syariah tetapi pelaksanaan hukuman itu tidak mencapai tujuan yang ditetapkan oleh syariah iaitu keadilan dan maslahah? Syariah mana yang mengajar umat ini berbalah, bersengketa bahkan menerakakan pihak yang mahukan pelaksanaan syariah itu mencapai maksudnya?

Maqasid adalah roh syariah. Mengabaikan maqasid menjadikan syariah lesu, beku, tidak realistik bahkan kelihatan kejam dan ganas. Misalnya, gambarkan jika begitu banyak ayat perintah berperang melawan orang kafir yang terkandung di dalam al-Quran dipraktiskan oleh umat Islam Malaysia pada hari ini, apa akan jadi dengan negara ini? Tercapaikah maslahah dengan amalan syariah tanpa maqasid?

Perintah berperang adalah syariah. Jika perintah itu dilaksanakan tanpa mengambil kira tujuan Allah mensyariatkan perintah itu, tentulah negara menjadi rosak dan huru-hara. Padahal, syariah datang membawa kebaikan bukan kerosakan, bahkan al-Quran melarang keras sebarang tindakan yang mencetuskan kerosakan sama ada kepada manusia, alam atau makhluk lain. Jadi, pelaksanaan syariah mesti bersendikan maqasid syariah.

Bagaimana boleh dikata, mengambil maqasid syariah bermaksud mengabaikan syariah, padahal sumber maqasid syariah adalah syariah? Perintah berzakat misalnya, secara jelas dinyatakan tujuannya oleh al-Quran iaitu membersihkan serta menyucikan jiwa pengeluar zakat daripada dosa. Pengeluar zakat beroleh doa kebaikan daripada rasul dan orang beriman yg akhirnya membawa ketenangan dan rahmat dlm kehidupan. Maqasid bukan bersumberkan nafsu tetapi wahyu. Jika mengambil maqasid adalah arahan syariah, bagaimana boleh dikata mengambilnya mengabaikan syariah?

Malaysia bukan Mekah atau Madinah, atau Baghdad dan Basrah. Kita hidup pada era langit terbuka, maklumat tersebar pantas dan manusia semakin kritikal. Pelaksanaan syariah perlu mengambil kira semua realiti itu. Mengambil kira realiti bukan bermakna menundukkan syariah kepada realiti atau waqi'.

Nabi SAW menjawab soalan yang sama degan jawapan yang berbeza apabila ditanya oleh individu berbeza. Itulah kebijaksanaan Nabi hidup bersama realiti. Baginda mengarahkan sahabat mencurahkan sebaldi air ke atas kencing seorang Badwi dalam masjid adalah contoh meraikan realiti.

Jika kebadwian seorang badwi dirai oleh seorang Nabi yang agung, siapa kita untuk mengenepikan realiti kehidupan manusia kini yang bukan lagi badwi? Atau kita rasa kita sudah lebih mulia mengatasi Nabi?

Begitu juga soal keutamaan (aulawiyyat). Berbicara soal aulawiyyat dalam konteks negara bangsa kini, bukan bermaksud melarikan diri daripada kewajipan melaksanakan syariah. Al-Quran sendiri memerintahkan pelaksanaan sesuatu perintah perlu mengambil kira keutamaan. Misalnya, jika seorang anak yang ingin keluar berjihad, pada masa yang sama dia mempunyai ibu ayah yang perlu disantuni, Nabi tidak membenarkannya keluar berjihad. Bukankah jihad untuk meninggikan Islam?

Ketika ini, menjaga nyawa ibu bapa lebih aula daripada keluar ke medan perang.

Amanah melihat pelaksanaan syariah dalam negara ini perlu dilihat dari sudut pandang itu, iaitu sudut pandang maqasid yg mengambil kira realiti (waqi'), aulawiyyat (keutamaan), tawaqqu' (andaian), muwazanah (perimbangan) dan maalat (implikasi).

Adakah melihat pelaksanaan syariah dari sudut pandang itu bercanggah dengan syariah? Adakah sembrono dalam perkara yang dinamakan pelaksanaan syariah sehingga menimbulkan suasana tegang dan menggugat keharmonian serta mencetuskan kekeliruan adalah syariah atau sebahagian daripada syariah?

Presiden Pas tidak seharusnya melihat hanya dirinya atau partinya saja yang mahukan syariah tertegak di negara ini. Amanah ada pendekatannya sendiri yang diyakini berupaya meletakkan syariah pada tempatnya tanpa mengganggu-gugat keharmonian bermasyarakat dan bernegara dengan berteraskan perlembagaan. Bukankah Presiden Pas juga menyeru rakyat menjunjung perlembagaan?

Pemikiran Khawarij yang melihat pelaksanaan syariah secara keras, kasar, tanpa hiraukan suara orang lain bukanlah daripada syariah. Amanah komited dengan syariah, pelaksanaan syariah tetapi bukan dengan kerangka pemikiran Khawarij.

Mana Pemuda PAS ketika saya dedah rasuah? - Rafizi

FMT Reporters
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini membalas serangan Pemuda PAS Selangor terhadapnya, dengan mempersoalkan mereka yang menurut beliau tidak membantunya mendedahkan salah laku kerajaan.

Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata pemimpin PAS lebih sanggup “menerima wang rakyat terus dari perdana menteri”, mengulangi dakwaannya sebelum ini berhubung bekas Timbalan Presiden PAS Datuk Nasharuddin Mat Isa menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menyifatkan kenyataan Pemuda PAS sebagai lucu, Rafizi tiada masalah menyahut cabaran mereka jika tidak dihadapkan ke mahkamah.

Rafizi tidak dapat bertanding pada PRU akan datang selepas dikenakan hukuman penjara 1 setengah tahun. Pada 2016, Rafizi didapati bersalah mendedahkan dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Kalaulah Pemuda PAS sama-sama membantu saya menjalankan amanah melawan penyelewengan membabitkan Datuk Seri Najib Razak, mungkin mereka bersama-sama saya dalam kandang tertuduh.

“Mungkin juga tugas ini dapat diagih-agihkan agar tidaklah saya terpaksa berdepan sehingga 12 kes mahkamah kerana ada pemuda PAS yang berani juga membongkarkan penyelewengan dan rasuah dan berdepan hukuman penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cabaran pembahas perwakilan Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar di muktamar parti pagi tadi, yang mengancam akan “menggulingkan” Rafizi dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pilihan raya akan datang.

“Adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana,” katanya.

Mohamed Sukri melontarkan cabaran itu kerana merasakan mereka berdua sering menyerang partinya. Beliau juga percaya Rafizi dan Azmin mungkin tewas di kawasan masing-masing tanpa bantuan jentera PAS.

Rafizi mengingatkan yang beliau mendapat kemenangan dengan majoriti besar berbanding ahli Parlimen PAS.

“Undi Melayu yang saya menang juga jauh meninggalkan undi Melayu Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad di DUN Cempaka dalam Parlimen saya. Ini bermakna ada pengundi Melayu yang mengudi saya tetapi tidak mengundi PAS,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Pemuda PAS yang tidak memfailkan saman atau laporan polis berhubung akuan bersumpahnya 2 minggu lalu, menamakan Nasharuddin sebagai bekas pemimpin yang menerima wang 1MDB.

“Barangkali mereka tidak mahu saya hilang kelayakan bertanding agar mereka dapat berdepan dengan saya pada PRU akan datang,” katanya sinis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini berkata Rafizi masih kekal sebagai ahli Parlimen sementara menunggu proses rayuan selesai. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Ogos ini untuk sesi pendengaran.

Pemandu bas berdepan denda RM45,835 gara-gara niqab



Berlin – Seorang pemandu bas berdepan denda sebanyak 8,500 pound (RM46,835) gara-gara tidak membenarkan seorang wanita Islam yang sarat mengandung memakai niqab menaiki perkhidmatan tersebut.

Menurut portal Mail Online, kejadian itu berlaku di Emden, Lower Saxony pada Khamis lalu dan polis masih menyiasat insiden tersebut yang disifattkan sebagai ‘kesalahan pengurusan’yang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM46,835.

Jelas laporan itu, wanita terbabit turut ditemani oleh suaminya ketika mereka menaiki perkhidmatan bas tersebut yang dikendalikan oleh syarikat swasta.

“Suami mangsa melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis dan pihak majlis perbandaran.

“Difahamkan, syarikat swasta itu mendapatkan kontrak daripada majlis perbandaran di Emden untuk mengendalikan perkhidmatan bas di bandar tersebut,” tambah laporan berkenaan.

Sementara itu, wakil pihak berkuasa Emden, Temmo Popengga berkata, kejadian tidak dibenarkan berlaku dan tidak boleh berulang lagi.
-kualalumpurpost

Selepas muktamar, musuh PAS bertambah

Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Muktamar PAS kali ke-63 yang berakhir Isnin lalu meninggalkan 1001 pertanyaan.

Pembukaannya menyaksikan maki hamun pihak lawan, antaranya “jahanam PAN”. PAS merujuk parti serpihan PAS, Amanah.

Serangan juga dihalakan terhadap DAP, PKR, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di samping musuh tradisi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Boleh dikatakanm PAS dan “maki hamun” tidak boleh dipisahkan pada muktamar yang diadakan di Alor Setar itu.

Walaupun dikecam pihak luar yang menganggap ia menunjukkan PAS ekstrem, pemimpin PAS masih menganggap muktamar kali ini paling aman kerana tidak ada lagi kumpulan “cai” dalam jemaah itu, seperti mana 2015.

Seperti dijangka, keputusan Pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS bagi penggal 2017-2019 menyaksikan lebih 90% muka lama kekal menerajui kepimpinan parti itu.

Jangkaan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa PAS kini berdepan dengan krisis perpecahan ekoran kerjasama dan hubungan baik dengan Umno, dan ia diterjemahkan dalam pemilihan kali ini, terbukti meleset.

Barisan kepimpinan PAS yang baharu bakal menjadi calon pilihan raya umum ke-14 nanti.

Sehaluan dengan cita-cita PAS yang mensasarkan hanya 5 negeri, rata-rata majoriti pucuk pimpinan mewakili negeri teserbut: Kelantan, Terangganu, Perak, Kedah dan Selangor.

Usul cerai dengan PKR

Seperti yang dijangka, isu putus hubungan dengan PKR menjadi topik paling hangat dalam persidanan muktamar kali ini, apabila PAS ia meluluskan usul “cerai talak tiga dengan PKR” selepas 18 tahun bersama.

Sejak hari pertama muktamar menyaksikan kelantangan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS menggesa agar proses “penceraian” dipercepatkan sebelum ia secara rasmi dilulus muktamar PAS Pusat untuk diputuskan Majlis Syura secara muktamad.

Dengan menyerahkan kepada Majlis Syura sebagai pembuat keputusan muktamad, ia menimbulkan persoalan sama ada keputusan Majlis Syura lebih penting daripada muktamar.

Ini kerana, secara teknikalnya, PAS sudah menjatuhkan cerai talak tiga ke atas PKR selepas usul itu diterima sebulat suara pada sesi perbahasan.

Sekiranya muktamar sebulat suara bersetuju, maka secara dasarnya keputusan itu akan diterima Majlis Syura. Sudah boleh disimpulkan hubungan PAS dan PKR berakhir.

Memandangkan proses penceraian PAS-PKR hanya menunggu keputusan rasmi Majlis Syura, timbul lagi satu persoalan tentang kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor.

Adakah exco PAS sanggup melepaskan jawatan sebagai tanda kesetiaan kepada parti atau menyertai Amanah untuk mengekalkan jawatan yang disandang.

Segala percubaan mendapatkan komen Pesuruhjaya PAS Selangor, yang juga exco Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, gagal.

Sekiranya usul putus hubungan dengan PKR direstui Majlis Syura secara rasmi, maka PAS berhadapan 2 musuh utama politik, di satu pihak Barisan Nasional (BN), di satu pihak lagi Pakatan Harapan (PH).

Beberapa jam selesai muktamar di Kedah, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berada di Kota Bharu, menyerang pemimpin PAS dan gaya hidup mereka.

“Kita melihat kelainan setahun dua tahun sebelum 2015. Kita melihat pimpinan yang baru wakil rakyat sepenggal, tetapi hidupnya begitu mewah. Boleh pergi London naik kapal terbang business class, duduk di hotel, kalau di Indonesia, hotel 5 atau 6 bintang,” kata Mat Sabu.

Serangan sebegini dijangka akan lebih banyak berlaku, tetapi bagaimana pemimpin PAS yang mempunyai hampir sejuta ahli menepis dan mendepaninya belum diketahui.

PRU14: Tsunami Mahathir akan berlaku, kata penganalisis

DALIA ISMAIL
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berhadapan waktu getir untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke -14 masuk penggal ketiga pemerintahannya kali ini kerana bakal berhadapan dengan 'tsunami Mahathir', kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, ini kerana kerajaan Umno-BN berhadapan tentangan kuat dikalangan orang Melayu yang menyokong perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini menyertai gabungan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah untuk menolak kerajaan BN.

Beliau menjangkakan waktu paling kondusif pilihan raya umum akan diadakan pada Ogos atau September tahun ini dan waktu efektif pada Mac 2018.

"Hari ini situasi tidak memihak kepada perdana menteri dan kerajaan Umno-BN.

"Kalau boleh petunjuk ekonomi, harga minyak, penyelesaian 1MDB dan jika kerajaan boleh buat inisiatif dalam bajet memainkan peranan untuk kerajaan kembali menambat hati rakyat.

"Kerajaan ada masa lagi dan saya percaya waktu kondusif antara Ogos dan September tahun ini.

"Jika ia tidak berlaku maka waktu efektif pada Mac tahun hadapan pilihan raya umum akan diadakan.

"Ini kerana cabaran sangat getir dan meletihkan dihadapi oleh perdana menteri kerana tentangan daripada Tun Mahathir  dan penyokongnya di kalangan dalam Umno dan gabungan parti dalam Pakatan Harapan kini," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Tun Dr Mahathir MohamadDaripada kajian yang pernah beliau lakukan, Mazlan menjelaskan, sokongan orang Melayu terhadap Dr Mahathir adalah petanda rakyat mahukan perubahan terhadap kerajaan sedia ada.

Petanda-petanda sokongan rakyat terhadap Dr Mahathir dari segi penilaian sains politik, ujarnya lagi, apabila kehadiran ramai penyokong di kalangan orang Melayu yang diluar kelaziman.

"Petanda bahawa rakyat mahukan perubahan apabila kita melihat orang perempuan bawa anak kecil dan ada golongan muda berseluar pendek hadir mendengar ceramah. Petanda ini antaranya dapat dilihat dalam ceramah-ceramah Tun Mahathir.

"Beberapa perhimpunan dilakukan Tun Mahathir di kawasan majoriti pengundi Melayu boleh mencecah 3,000-5,000 orang misalnya di Jerantut, Pasir Puteh dan beberapa kawasan lain.

"Potensi Tun Mahathir ini 'merbahayakan'  kepada sokongan rakyat terhadap Umno-BN," ujarnya.

Mazlan berkata sudah pasti kali ini perdana menteri akan lebih berhati-hati kerana potensi Dr Mahathir dalam mencipta tsunami (gelombang rakyat) sebagaimana yang pernah tercetusnya gelombang rakyat  pada PRU11 (2008) lalu, apabila lima negeri pernah jatuh ke tangan pembangkang.

"Hari ini sekali lagi gelombang kedua dalam tempoh 10 tahun (2008-2018)  akan berlaku. Gelombang kedua lebih hebat - tidak mustahil sekiranya Pakatan Harapan boleh menang pilihan raya dan tidak mustahil Tun Mahathir akan kembali menjadi perdana menteri.

"Ini kerana melihat kepada kepimpinan ketiga-tiga pemimpin parti (PKR,DAP,Amanah) dalam Pakatan Harapan ini tidak ada  pemimpin yang lebih berwibawa berbanding Tun Mahathir.

"Tidak mustahil akan tercatat dalam sejarah Tun Mahathir akan kembali menerajui negara- Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak ada peluang jika dia dibebaskan kerana tempoh larangan kekal lima tahun tidak layak untuknya menjadi ahli politik," ujarnya.

Katanya lagi, walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru (BN,PH,Pas) , BN masih berpeluang untuk kekal kerajaan tetapi ujarnya, tidak mustahil Pakatan Harapan juga boleh membentuk kerajaan tetapi kerugian adalah Pas.

"Kelebihan BN kerana wujudnya persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memihak kepada kerajaan.

"Pas pula kena ingat kemenangannya dalam Pakatan Rakyat (PR) dahulu kerana wujudnya anti Umno dikalangan orang Cina yang memberi undi kepada PR.

"Tetapi hari ini jika Pas bersendirian- ibarat kata kalau sebiji buah...Pas hanya tinggal 'mempuluh' isi sudah habis.

"Walaupun mereka boleh bertanding kemungkinan akan hilang wang pertaruhan dan berkemungkinan juga akan hilang kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU 13 lalu," ujarnya.