"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Mogok pencuci tandas tukar mahkamah KL jadi 'reban ayam'

Hakim-hakim di mahkamah Kuala Lumpur sudah beberapa minggu terpaksa mencuci tandas sendiri selepas pekerja pembersihan di kompleks berkenaan mengadakan mogok.

Menceritakan keadaan itu, salah seorang hakim kanan berang kerana beliau dan kakitangannya terpaksa membasuh bilik air sendiri.

"Di mahkamah saya, kakitangan saya telah membersihkan bilik mahkamah, koridor selama berminggu-minggu.

"Saya telah membasuh bilik mandi saya sendiri. Bayangkan saya membersihkan tandas saya di sini ketika saya tidak perlu melakukannya di rumah," kata salah seorang hakim Mahkamah Tinggi yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata.

Hakim berkenaan juga berkata beliau mungkin akan membawa pembantu rumahnya ke mahkamah untuk membersihkan bilik mahkamah dan untuk itu terpaksa membayar gaji tambahan.

"Kami mempunyai banyak dokumen, kertas kerja untuk diuruskan. Sebuah mahkamah yang kotor perlu dibersihkan. Saya berasa seperti saya berada di reban ayam," katanya.

The Star melaporkan, pekerja pembersihan mogok sejak bulan puasa lalu kerana mereka tidak menerima gaji meskipun kontraktor yang bertanggungjawab dikatakan sudah menerima bayaran daripada kerajaan untuk perkhidmatan pembersihan hingga akhir tahun ini.

Susulan itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum menganjurkan gotong-royong yang melibatkan hakim dan kakitangan mahkamah Kuala Lumpur esok untuk membersihkan kawasan sekeliling kompleks kehakiman itu.
-malaysiakini

Menjelang pemilihan PKR Terus bergolak

Satu lagi peletakan jawatan kerana 'nepostisme, kronisme' dalam PKR

Pergolakan dalaman PKR Selangor berhubung lantikan ahli majlis hari ini menyaksikan seorang lagi pemimpin sayap Pemuda parti itu meletakkan jawatan.

Melalui kenyataan medianya, pemangku ketua Pemuda PKR cabang Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad berkata dia meletakkan jawatan kerana partinya "menidakkan" sumbangan sayap Pemuda cabang yang dipimpinnya.

Ini kerana, jelasnya, tiada sayap Pemuda Sabak Bernam yang dilantik dalam kerajaan tempatan.

"Apakah benar anak muda tidak menyumbang? PKR cabang Sabak Bernam harus muhasabah dan rasional mengenai pelantikan (ahli majlis) ini. Anak mudalah antara penggerak parti ini (PKR) sedari awal penubuhannya pada 1998.

"Dan menguatkan lagi kenyataan ini apabila hanya anak muda yang terlibat mewakili parti keramat tersebut dalam jawatankuasa pilihan raya peringkat DUN dan parlimen Sabak Bernam.

"Di mana yang lain? Di mana anda semua yang dilantik saat anak muda memasang bendera, menguruskan pentadbiran pilihan raya, berjalan kaki melaksana kempen dan berbagai lagi," katanya.

Peletakan jawatan Abdul Mutalib itu menyusul sehari selepas peletakan jawatan Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman.

Selain Syed Badli, dua pemimpin peringkat cabang PKR bagi kawasan Sepang semalam turut tampil mengecam amalan "kronisme dan nepostisme" yang didakwa terjadi di dalam PKR Selangor dalam lantikan ahli majlis.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalib mengulangi dakwaan serupa dan menyifatkan parti itu hanya mendahulukan "kaki ampu".

"Yang jelas parti ini hanya mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam setiap keputusan politik yang dibuat.

"Hanya yang berkepentingan dan kaki ampu saja didahulukan. Tidak lagi mengenengahkan konsep bakat dan pembangunan anak muda. Ampu dan keluarga sendiri lebih mustahak daripada matlamat perjuangan," katanya.

Abdul Mutalib menambah, tindakannya meletakkan jawatan adalah sebagai bersolidariti dengan rakan-rakannya yang lain bagi "menyedarkan" pucuk pimpinan tentang "kekotoran" yang terjadi di dalam parti.

Selain jawatan dalam PKR, Abdul Mutalib turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi sekretariat Pemuda Pakatan Harapan bahagian Sabak Bernam yang dijawatnya sejak 2016.

Abdul Mutalib bagaimanapun menegaskan bahawa amalan itu hanya melibatkan segelintir pemimpin PKR dan tidak menggambarkan keseluruhan pucuk pimpinan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semalam menafikan dakwaan Syed Badli dan menyifatkan pembahagian jawatan lantikan politik di negeri itu dibuat melalui sistem yang "adil dan demokratik" oleh jawatankuasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak.

Amirudin menjadi menteri besar menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan pengerusi PKR Selangor.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons pemimpin PKR Selangor berhubung perkara ini.

Jadi penasihat agama kerajaan, ini jawapan Mufti Perlis

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
SHAH ALAM - "Nanti nak Istikarah dulu," itu jawapan ringkas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika ditanya jika beliau berminat menjadi penasihat agama kerajaan jika ditawarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang menjadi panel Wacana Sinar Harian ke-66 berjudul Islam di Era Pakatan Harapan di Kumpulan Media Karangkraf berkata demikian ketika menajwab soalan moderator, Amin Idris.

Jawapan ringkas itu turut disusuli dengan gelak tawa hadirin.

Selain Mohd Asri, wacana ini turut menampilkan tiga panel lain iaitu Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus, Naib Ketua Pemuda Pas, Fadhli Shaari dan Presiden Ikatan Kebajikan & Dakwah Selangor (IKDDAS) yang juga penasihat agama Umno Selangor, Rosdi Long.

Suasana tegang kumpulan menyokong dan menentang P Ramasamy bertembung

MOHD ALI HASHIM 
Ketegangan yang berlaku ketika kedua-dua kumpulan berada di perkarangan Komtar tengah hari semalam.

Himpunan aman melibatkan dua kumpulan yang menyokong dan menentang Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy tengah hari semalam hampir menimbulkan kekecohan setelah kedua-dua kumpulan tersebut berarak ke tempat yang sama.

Ketegangan mulai berlaku apabila kedua-dua kumpulan tersebut bertembung di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Pertembungan yang diselang-seli dengan provokasi tersebut berlaku ketika sekumpulan NGO Islam cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mendesak supaya beliau mengambil tindakan segera dan campur tangan isu membabitkan Ramasamy.

Tatkala itu satu lagi kumpulan NGO turut berada lebih awal berhimpun di situ bagi menyatakan sokongan mereka kepada Ramasamy.

Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Mohd Yusuf Azmi yang turut berarak bersama-sama lebih 20 NGO Islam pula berkata, kepimpjnan negeri maupun negara ini tidak harus terlibat dengan mana-mana pertubuhan pengganas.
Kelihatan Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami turut berucap bersama kumpulan yang menyokong Ramasamy.

Malah katanya lagi, dakwaan penglibatan Ramasamy dengan Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah suatu perkara yang serius dan tidak harus dipandang ringan.

“Himpunan yang dianjurkan kali ini bukannya bertujuan untuk menimbulkan sebarang kekacauan atau penglibatan mana-mana parti politik.

“Tuntutan yang dibuat dengan penyertaan lebih 20 NGO Islam pada kali ini merupakan salah satu usaha bagi memastikan keamanan negara terpelihara dan kekal sepertimana yang dikecapi sejak lebih 60 tahun yang lalu.

“Seorang pemimpin sebagai Timbalan Ketua Menteri II jelas memperlihatkan penglibatan diri dengan LTTE sejak 2003 lagi amat dikesali,” jelas beliau lagi.
Mohd Yusuf (tiga dari kanan) semasa berarak menuju ke Komtar.

Menurut Yusuf lagi, dalam masyarakat majmuk yang hidup dengan aman dan harmoni kini, adalah tidak wajar sekiranya dibiarkan tercetusnya sentimen ataupun anasir tidak baik dalam masyarakat hanya kerana seorang individu sahaja.

Tambahnya lagi, apa yang dinyatakan adalah demi keselamatan negara dan dibimbangi insiden yang berlaku di Sri Lanka akan menular ke negara ini dan menimbulkan kekacauan.

Katanya, memorandum yang diserahkan menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang supaya segera campur tangan dalam isu ini yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri II.

Turut kelihatan berucap dan berada bersama dengan kumpulan yang menyokong Ramasamy adalah Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Siapa dalam kem Rafizi?

Pertembungan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat hampir tidak dapat dielakkan selepas bekas anggota parlimen Pandan itu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR September ini.

Azmin masih berahsia, namun lebih mudah untuk membayangkan menteri hal ehwal ekonomi itu mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak 2010 berbanding mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kedudukan nombor satu.

Yang pasti, dalam pertembungan yang disifatkan Rafizi sebagai antara ahli politik (career politician) dan reformis, bekas anggota parlimen Pandan itu memerlukan seberapa banyak sokongan yang ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi menunjukkan nada kempennya iaitu "mempertahankan idealisme reformasi" yang menjadi punca tertubuhnya parti itu.

Beliau juga membayangkan pasukannya dalam pemilihan kali ini adalah mereka yang tidak memegang kuasa, dengan kehidupan yang " tidak berubah sebelum dan selepas PRU ke-14".

"Saya tahu itu satu beban yang berat kerana saya bukanlah berjawatan kerajaan atau berduit," katanya.

Beberapa nama dispekulasikan berada dalam kem Rafizi termasuklah rakan sejawatnya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah, yang pernah bersama Rafizi dalam pasukan sama pada pemilihan PKR 2014, dijangka akan mempertahankan jawatan naib presiden.

Nama lain yang turut dikaitkan berada dalam kem Rafizi adalah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan Anggota Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Menurut sumber, ketiga-tiga nama ini juga dijangka bertanding jawatan naib presiden.

Dua lagi nama yang turut dispekulasikan berada dalam kem Rafizi ialah Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail.

Fuziah dan Rodziah masing-masing dijangka akan bertanding jawatan ketua Wanita dan timbalan ketua Wanita.

Sementara itu, bagi jawatan sayap Pemuda, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar dispekulasikan akan bersama Rafizi.

Akmal dikatakan akan bertanding jawatan ketua Pemuda dengan Raymond dijangka menjadi timbalannya.

'Menyanjung di bawah'

Bermula minggu depan, Rafizi akan memulakan kempennya dengan mengadakan pertemuan dengan anggota PKR di seluruh negara.

"Saya sudi mendengar, ditegur, memohon maaf dan mencadangkan bagaimana kita mahu membina parti reformasi yang kekal dengan idealismenya.

"Serta menyanjung aktivis di bawah lebih tinggi berbanding tunduk kepada jawatan di atas," katanya.

Pemilihan PKR tahun ini dijangka bertumpu pada 'perseteruan' antara Rafizi dan Azmin yang mendominasi pergelutan dalaman parti itu sejak 2014.

Rafizi akan membuat pengumuman rasmi berhubung kempen dan pasukannya pada Ahad ini di Hotel de Palma, Ampang.
-malaysiakini

Seorang ADUN Umno Kelantan dijangka masuk BERSATU

N Faizal Ghazali

Pakatan Harapan (HARAPAN) akhirnya bakal mempunyai wakil rakyat di DUN Kelantan apabila seorang ADUN Umno di negeri itu dijangka akan menyertai BERSATU.

Ia juga bakal menjadikan ADUN itu sebagai satu-satunya wakil kerajaan persekutuan di negeri yang ditadbir PAS itu.

Menurut sumber daripada BERSATU, ADUN itu dijangka mengumumkan perkara itu dalam satu program parti itu Ahad ini.

"Ya, memang ada seorang ADUN Umno akan menyertai BERSATU bersama-sama sekumpulan bekas ketua dan timbalan ketua Umno Bahagian dan pemimpin akar umbi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama ADUN tersebut.

"Biarlah ia jadi kejutan, insyaAllah kita tunggu dua hari lagi," katanya lagi.

Pada PRU ke-14, PAS menang besar di negeri itu apabila menang 37 daripada 45 kerusi DUN dan sembilan daripada 14 kerusi Parlimen.

Di peringkat DUN, Umno menang lapan kerusi manakala HARAPAN kalah di semua kerusi yang ditandingi.

Malaysiakini difahamkan BERSATU akan mengadakan program yang dinamakan 'Hijrah 2.0 di Machang pad Ahad ini (29 Julai), dan antara pemimpin yang akan hadir adalah timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
-malaysiakini

Nik Nazmi isytihar sokongan terbuka pada Rafizi

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi antara pemimpin pertama parti itu yang mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

“Saya juga ingin ulangi sokongan saya bagi @anwaribrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dipilih sebagai presiden PKR dalam pemilihan kali ini.

“Selain itu, saya juga ingin menyokong Rafizi Ramli sebagai calon timbalan presiden,” tulis anggota parlimen Setiawangsa di Twitter hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian serentak dengan pengumuman untuk bertanding merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini.

Beliau tidak bertanding mempertahankan kerusi disandangnya kerana perlembagaan PKR menetapkan ketua Pemuda tidak boleh berusia lebih 35 tahun.

Nik Nazmi berumur 36 tahun pada tahun ini.

Dalam pemilihan parti sebelum ini, beliau hanya menang tipis kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Laporan eksklusif Malaysiakini malam tadi memetik Rafizi mengesahkan akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan bulan depan.

Jawatan timbalan presiden kini disandang oleh menteri ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Jika Azmin mempertahankan jawatan itu, ia pasti menyaksikan pertembungan antara dua kem yang sudah beberapa tahun berbahang dalam parti.

Bagaimanapun terdapat spekulasi Azmin mungkin mencabar Anwar untuk jawatan presiden. Azmin belum mengisytiharkan keputusannya.

Sementara itu, berkaitan keputusannya bertanding jawatan MPP, Nik Nazmi berkata keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan ahli keluarga, sahabat dan “warga Setiawangsa”.

Beliau menegaskan perjuangan untuk memastikan negara yang lebih adil belum berakhir.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang tersebut untuk berkhidmat dan berharap untuk terus berkhidmat.

“Saya ingin menjadikan PKR sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang mereka,” mereka.
-malaysiakini

'Kita cuai, pendatang haram jadi bos'

FARUSH KHAN 
WAWANCARA eksklusif Sinar Harian dengan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali kelmarin mengenai keazamannya memerdekakan negara kita daripada pendatang asing tanpa izin (Pati), berhadapan dengan pelbagai reaksi.

Segelintir memandang remeh hasrat jabatan itu mahu melancarkan operasi secara besar-besaran mulai 31 Ogos depan bagi mengusir ribuan Pati.

Ada sebahagian yang menyokong tindakan itu dan ada yang memberi harapan kepada pihak berkuasa dalam usaha murni mereka itu.

Barangkali mereka yang ragu-ragu dengan kemampuan penguat kuasa itu adalah yang terlepas pandang usaha gigih yang sudah lama dibuat oleh Jabatan Imigresen.

Tetapi, mereka yang teliti sudah boleh tahu hasil yang dicapai.

Kita sudah nampak kurangnya kehadiran pendatang asing dalam pengangkutan awam, seperti bas dan tren serta di pusat membeli belah di setengah tempat akhir-akhir ini pun.

Pendatang asing yang bekerja di merata tempat seperti di pasar, kawasan binaan dan restoran pun macam sudah banyak berkurangan mungkin disebabkan operasi yang dijalankan.

Sepanjang tahun lalu, Jabatan Imigresen telah melakukan 16,737 operasi, memeriksa 197,866 pendatang asing dan menahan 48,464 Pati di samping 1,293 majikan.

Seramai 38,880 Pati sudah pun diusir antara Januari dan September tahun lalu.

Jumlah Pati yang paling ramai diusir adalah dari Indonesia, diikuti Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

“Selain itu, setiap depot tahanan imigresen telah menjalankan aktiviti pengusiran tahanan secara berkesan dan konsisten yang mana 45,970 orang tahanan warga asing telah diusir keluar dari Malaysia sehingga November tahun lalu,” katanya.

Program 3+1 juga diperkenalkan untuk membolehkan Pati yang berada di dalam negara ini secara haram menyerah diri kepada Jabatan Imigresen secara sukarela bagi melalui proses perundangan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Bermula 4 Januari hingga 10 Disember tahun lalu, kutipan kompaun dan pas khas bagi program ini berjumlah hampir RM83 juta. Jumlah keseluruhan kutipan bermula 2014 hampir RM268 juta.

Sehingga September tahun lalu, jumlah pekerja asing yang ada di negara ini secara sah dikatakan 1.73 juta orang daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

Jumlah Pati di negara ini tidak dapat dipastikan, tetapi dipercayai mungkin lebih ramai daripada yang bekerja secara sah.

Macam mana mereka tidak sanggup mengambil risiko bekerja di tanah bertuah ini memandangkan mereka boleh mendapat lebih RM4,000 sebulan.

Ramai Pati datang ke Malaysia sejak dua tiga tahun ini bukan lagi melalui laluan tikus, tetapi dengan kapal terbang, menggunakan pasport sah sebagai pelancong.

Tetapi apabila tempoh untuk mereka melancong tamat mereka terus tinggal di negara ini secara haram. Ramai yang bersembunyi di kawasan-kawasan pendalaman dan di pinggir hutan, tetapi ada yang berani hidup di tengah-tengah masyarakat di bandar.

Mereka jadi lebih berani apabila ada orang kita yang sedia melindungi mereka, tentunya untuk mengaut untung.

Mustafar mengakui masalah lambakan Pati berlaku apabila ada ejen atau orang tengah sanggup bawa seberapa ramai mungkin pekerja asing ke negara ini bagi mendapat komisen.

Ada yang jalankan perniagaan sendiri, malah ada yang bukan sahaja membeli premis dan perniagaan rakyat tempatan, malah menggaji orang kita. Akhirnya pendatang haram pula jadi bos.

Pada mulanya mereka masuk sektor pembinaan dan perladangan, tetapi akhirnya lari ke bidang yang paling mereka suka iaitu berniaga.

“Sebab itu kita nampak di pasar-pasar borong atau premis perniagaan jualan barang runcit, warga Pakistan, Indonesia dn Bangladesh sudah ramai. Ada juga yang sudah bergelar tauke dan mempunyai kedai sendiri. Dia pula menggaji orang tempatan,” kata Mustafar.

Sekarang marilah kita, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan lain-lain, membantu Jabatan Imigresen dalam usaha memerdekakan negara ini daripada Pati.

PBT sebenarnya ada kuasa merobohkan penempatan haram yang didiami pendatang tanpa izin.

PBT dengan anggota agensi-agensi berkaitan lain patut juga adakan pemeriksaan dan tindakan susulan dari semasa ke semasa di tempat-tempat yang Pati disyaki berada untuk membantu Jabatan Imigresen menghakiskan sedikit demi sedikit kehadiran Pati di seluruh negara ini.

Sedikit sebanyak, segelintir daripada kita yang jadi punca kebanjiran mereka ke negara ini, jadi punca Pati bersembunyi di pinggir hutan atau hidup di tengah-tengah masyarakat kita dan jadi punca mereka mengaut sumber pendapatan yang sepatutnya milik kita.

250 profesional serah borang sertai AMANAH

MALAYSIADATELINE
250 profesional serah borang sertai AMANAH
Anuar Tahir bersama 30 wakil kumpulan menyertai AMANAH hari ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menerima kemasukan seramai 250 ahli baru dari sekumpulan profesional terdiri dari majoriti kaum India dan sebahagiannya dari Melayu dan Cina.

Antara yang turut menyerahkan borang penyertaan termasuk Yamuna Nayar dan Prasad Nayar, iaitu anak kepada pengasas Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, Ganga Nayar – yang kemudian diambil alih oleh sekumpulan pimpinan AMANAH dan dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara pada 2015.

Penyerahan borang keahlian mereka dibuat dalam satu pertemuan bersama 30 wakil kumpulan itu yang diketuai Dr. Prakash Varatharajoo kepada Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir di Wisma Amanah Negara hari ini.

Mark Zuckerberg rugi AS$ 15 bilion dalam sehari

Ketua Eksekutif Facebook Inc Mark Zuckerberg kerugian AS$15 bilion apabila gergasi media sosial itu mengalami kejatuhan saham sehari terbesar dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

Kerugian itu dicatatkan sehari selepas eksekutif syarikat itu meramalkan marjin keuntungan syarikat akan lebih rendah dalam tahun-tahun mendatang.

Sekurang-kurangnya 16 firma broker mengurangkan harga sasaran ke atas Facebook selepas Ketua Pegawai Kewangan David Wehner mengejutkan penganalisis dengan menyatakan syarikat itu berdepan tekanan marjin keuntungan.

Penganalisis menyifatkan kenyataan itu sebagai 'bom' yang mencetuskan kebimbangan di Wall Street bahawa model perniagaan Facebook mungkin terancam selepas isu maklumat peribadi mencetuskan kebimbangan pelanggan.

Saham Facebook Inc jatuh hampir 19 peratus pada AS$176.26, mengurangkan lebih AS$120 bilion nilai syarikat atau hampir empat kali keseluruhan permodalan pasaran Twitter Inc.

Marjin Facebook jatuh kepada 44 peratus pada suku kedua berbanding 47 peratus dalam tempoh sama tahun lalu berikutan perbelanjaan besar terhadap aspek keselamatan dan inisiatif untuk meyakinkan pengguna bahawa syarikat itu melindungi maklumat peribadi mereka.

Facebook berkata, pertumbuhan pasaran dan aplikasi Instagram miliknya masih tidak mencukupi untuk memperbaiki kerosakan.
-Reuters

Pemimpin utama berentap dalam pemilihan PKR

Minderjeet Kaur
KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung bulan depan dijangka merupakan pemilihan paling sengit dalam sejarah parti itu yang umumnya merupakan persaingan antara kem yang diketuai 2 pemimpin utama parti, iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Rafizi, yang kini menyandang jawatan naib presiden, mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden yang dipegang oleh Azmin.

Azmin bagaimanapun tidak pula memberitahu sama ada beliau akan mempertahankan jawatan tersebut, tetapi besar kemungkinan beliau dijangka berbuat demikian, kalaupun hanya untuk tidak mengecewakan kumpulan penyokong yang diketuainya.

Sumber yang rapat dengan Rafizi berkata, kumpulannya mempunyai hampir 60 orang yang akan bertanding merebut pelbagai jawatan dalam kepimpinan PKR pusat dan juga sayap Pemuda dan Wanitanya.

Seorang daripada sumber itu, yang kini memegang jawatan kepimpinan parti berkata, Rafizi akan mengumumkan barisan kepimpinan beliau dalam tempoh 2 minggu akan datang.

Menyedari bahawa Azmin merupakan seorang menteri Kabinet, beliau berkata, persaingan antara Azmin dengan Rafizi bakal menjadi “pertandingan antara orang yang berkuasa dengan yang tidak berkuasa” dan Rafizi akan bergantung pada “sokongan akar umbi”.

Katanya, beliau menyokong Rafizi kerana “dia merupakan individu yang selama ini melakukan semua kerja lapangan” untuk PKR.

Seorang pemimpin PKR yang menyokong Azmin menyifatkan beliau sebagai individu “berkarisma” dengan “rekod kepimpinan yang terbukti”. Beliau memberi contoh pencapaian Azmin sebagai menteri besar Selangor dan tingkah lakunya dalam sesi Parlimen sekarang.

Azmin sebelum ini mengisyaratkan beliau akan memaklumkan sama ada akan bertanding merebut apa-apa jawatan. Beliau memberitahu FMT akan melakukannya sebelum 5 Ogos depan apabila proses penamaan calon bermula.

Beliau berkata beliau kini terlalu sibuk dengan tugas di Parlimen.

Terdapat desas-desus beliau akan bertanding merebut jawatan presiden parti berhadapan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tian Chua, seorang lagi naib presiden PKR berkata, beliau menyokong hak ahli parti untuk bertanding mana-mana jawatan kepimpinan, tetapi berkata beliau menasihati mereka supaya berhati-hati dengan kata-kata yang diucapkan semasa berkempen kerana “khalayak sedang memerhatikan” mereka.

Beliau berkata, mereka perlu menunjukkan perbezaan pandangan yang berlaku tidak akan merosakkan perpaduan sebagai ahli PKR.

Setiausaha AMK S'gor letak jawatan, dakwa kronisme, nepotisme

Menjelang pemilihan parti bulan depan, Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan selepas mendakwa berlaku amalan kronisme dan nepotisme di kalangan pimpinan parti di negeri itu.

Syed Badli mendakwa sikap mementingkan kroni semakin parah apabila hanya 'pengikut kabilah' tertentu diberikan habuan dari segi jawatan lantikan politik.

"Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

"Secara jelas jawatan- jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit," dakwanya dalam satu kenyataan media.

Syed Badli mendakwa dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya nama-nama mereka yang dicadang daripada peringkat cabang diketepikan walaupun sudah 'berjuang sekian lama' dalam parti itu.

"Sikap kuku besi terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.

"Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam Keadilan (PKR) Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri.

"Mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah," dakwanya.

Justeru itu, Syed Badli berkata beliau meletakkan jawatan berkuat-kuasa serta merta sebagai setiausaha AMK Selangor kerana menganggap demokrasi telah mati dalam PKR Selangor.

"Saya juga menggesa kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat untuk campur tangan dalam isu pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor yang jelas kelihatan berat sebelah," katanya.

PKR Selangor dipimpin oleh pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan bekas menteri besar Selangor.

Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan respon daripada pimpinan PKR Selangor berikutan dakwaan Syed Badli Shah.
-malaysiakini

'Suka atau tidak, saya perlu percaya Anwar' - Tun M

Sebelum PRU ke-14, dua individu ini melakukan sesuatu yang sukar dibayangkan - berdamai dan membentuk kerjasama.

Mengikut perancangan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa dua tahun menjadi perdana menteri.

Tempoh masa itu bagaimanapun sering berubah-ubah sejak itu.

Anwar, 70, berulangkali menyebut beliau tidak tergesa-gesa. Kali terakhir beliau dikatakan tidak sabar untuk menggantikan Mahathir, bekas timbalan perdana menteri itu berakhir di penjara, dengan mata lebam.

Timbul juga spekulasi bahawa masa depan Anwar sebagai perdana menteri masih tidak menentu dan ada kumpulan dalam lingkaran Mahathir yang tidak mempercayainya.

Dan Mahathir sendiri nampaknya ada masalah kepercayaan terhadap bekas musuhnya yang kini kembali menjadi bakal penggantinya.

"Dalam wawancara bersama CNN, pemimpin berusia 93 tahun itu berkata: "Saya perlu percayakannya - sama ada saya suka atau tidak. saya tidak boleh berada di sini pada setiap masa."

Ditanya berhubung tempoh masa untuk Anwar menggantikannya, beliau menjawab: "Jika syarat untuk kami (beliau dan Anwar) berkerja bersama adalah saya menjadi perdana menteri untuk dua atau tiga tahun, bagi saya itu tidak penting."

"Saya akan patuh kepada kehendak rakyat," katanya lagi.

Namun Mahathir juga berkata jika rakyat mahu beliau berkhidmat lebih daripada tempoh yang dipersetujui Pakatan Harapan, beliau akan berbuat demikian.

Sementara itu, pengerusi HARAPAN itu mendakwa beliau mewarisi kerajaan yang penuh dengan rasuah dan pegawai yang tidak boleh dipercayai.

"Kita sudah lihat kerosakan dari luar, tetapi tidak pernah menjangka ia begitu teruk. Kebanyakan peringkat tertinggi dalam kerajaan korup," katanya.

Mahathir juga berkata beliau perlu berkerja dengan mereka yang disyakinya.

"Ia kerja sukar, jika anda tidak berkerja dengan orang yang anda percaya, anda tidak tahu tahu sama ada apa yang anda mahu mereka lakukan akan terlaksana atau tidak," katanya lagi.
-malaysiakini

Gara-Gara Wajah Mirip KJ, Pemuda Ini Jadi Tumpuan Di Twitter

Hanafis Haris

Platform sosial media memang tidak boleh dijangka. Dalam sekelip mata saja apa yang dimuat naik boleh tular.

Contoh terbaru adalah pemuda ini. Baru dua hari videonya dimuat naik di Twitter, ia sudah mendapat 4,600 perkongsian dan 2,533 likes.

Puncanya apabila wajahnya yang dikatakan mirip bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau lebih mesra dipanggil Daddy KJ.

“Ramai orang kata muka ‘member’ (kawan) aku ni macam @khairykj #supportmember,” tulis seorang rakannya di Twitter.


radin
@sxyrim
Ramai orang kata muka member aku ni macam @Khairykj! Tolong RT sampai KJ nampak tweet ni guys!!!!!! #supportmember

9:06 PM - Jul 23, 2018
2,599
4,840 people are talking about this
Twitter Ads info and privacy
Anda boleh lihat video terbabit sama ada pemuda ini kelihatan seperti KJ atau tidak.Jika tidak cukup, anda boleh lihat gambar-gambarnya di bawah.

4/4 SLIDES © syafiqkhairil
Agak-agak korang, mana satu KJ?
Jadi apa pendapat anda? Sama dengan KJ?

Sidang DUN Kelantan 'sejuk' tanpa Husam dan Nozula

N Faizal Ghazali
Walaupun suhu di dewan persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan dingin oleh alat penyaman udara, wartawan yang berada di bilik media tetap ternanti-nanti 'hangat' yang diperlukan.
Jika sebelum ini ruang berkenaan menjadi tempat untuk media menyiapkan berita 'sedap' namun kali ini kehangatan itu tidak menjelma.

Selalunya suasana yang dinantikan itu hadir pada sesi perbahasan atau soal jawab. Sekurang-kurangnya begitulah pada sidang DUN yang lalu.

Namun, pada sesi pertama sidang DUN Kelantan untuk penggal ke-14 yang berakhir semalam, semuanya berjalan lancar dan harmoni.

Tiada lagi kelibat seperti Husam Musa atau Datuk Nozula Md Diah.

Kedua-dua tokoh tersebut ialah watak yang sering menghangatkan suasana - jika pun tidak memanaskan hati kerajaan negeri.

Pada penggal lalu Husam dan Nozula mempunyai tempat dalam DUN Kelantan kerana mereka masing-masing mewakili kerusi Salor dan Paloh.

Ada curahan emosi

Selepas PRU ke-14 susuk bernama Husam dan Nozula sudah hilang dari perjalanan sidang DUN. Justeru suhu di kamar itu menjadi lebih dingin berbanding sebelum ini.

Tidak seperti penggal lalu, persidangan kali ini hanya melibatkan pertembungan dua hala yang mudah, iaitu barisan wakil kerajaan negeri dan PAS, manakala di sisi bertentangan ADUN Umno yang menjadi pembangkang.

Bagaimanapun di sebalik kedinginan itu tahniah wajar diucapkan kepada kedua-dua pihak kerana berjaya memperlihatkan toleransi yang tinggi sepanjang sidang berlangsung.

Cuma, untuk masa depan, tidak akan muncul lagikah watak-watak yang dapat memanaskan suasana dewan?

Jika itu yang berlaku tentu ramai juga yang akan merindui gaya agresif Husam serta sentimental seumpama Nozula.

Husam yang kini dilantik menjadi naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum ini sentiasa diberi perhatian penuh pada setiap kali kelibatnya muncul di sidang DUN Kelantan.

Begitu juga Nozula, bekas ketua pembangkang yang biasa mengejutkan wartawan dan rakan-rakan seperjuangannya dengan curahan emosi.

Jika diimbas kembali, sama ada Husam atau Nozula masing-masing pernah dihalau dari dewan oleh speaker. Malah ada ketikanya ada air mata yang menitis.

Kelantangan Husam - khususnya selepas tidak lagi bersama PAS - berbahas dan mengkritik kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri pastinya akan dirasai.

Belum tentu lagi

Begitu juga dengan Nozula sebagai ADUN paling lama di kalangan wakil BN.

Kini, selepas era pentadbiran BN di Putrajaya terkubur, di Kelantan juga mencatatkan sejarah tersendiri.

Jika dulu 'lawan' mereka ialah parti yang sama di peringkat pusat atau negeri, kini PAS terpaksa merencana langkah untuk menyesuaikan pencaknya.

Di Kelantan mereka berdepan BN sebagai pembangkang manakala di Putrajaya bertakhta Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Justeru, dengan amalan politik matang dan sejahtera yang menjadi pegangan PAS - dan disambut baik oleh Umno sebelum ini - dijangkakan sidang DUN Kelantan seterusnya akan terus 'dingin'.

Kebarangkalian untuk melihat wujudnya sergahan lantang dalam isu balak, kontrak projek dan soalan-soalan menyebabkan wakil-wakil kerajaan negeri panas punggung semakin samar.

Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya'akub berkata walaupun tanpa kelibat watak yang selalu memanaskan keadaan sebelum ini semua wakil rakyat tetap perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

Menyifatkan perjalanan sidang DUN kali ini berjalan dengan lancar, Abdullah berkata, pada sesi akan datang keadaan itu belum tentu kekal.

"Kita harap tidak panas, tapi belum tentu lagi.

"Situasi ini mungkin juga sebab kerajaan pusat tidak ada wakil mereka di dalam DUN, " katanya.

Rafizi tanding timbalan presiden, Johari Abdul sokong 100%

Adam Abu Bakar  PETALING JAYA: Rafizi Ramli mengesahkan akan melepaskan jawatan naib presiden dan bertanding timbalan presiden pada pemilihan parti Ogos ini.

“Ya, saya sahkan,” katanya kepada FMT.

Timbalan presiden sekarang ini disandang Datuk Seri Azmin Ali, yang belum diketahui sama ada akan mempertahankannya atau mencapai jawatan lebih tinggi.

Sehingga kini, hanya Rafizi seorang mengesahkan akan bertanding jawatan nombor 2 parti itu.

Johari sokong
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyokong keputusan Rafizi untuk bertanding timbalan presiden, menyifatkan beliau “pilihan terbaik”.

“Alhamdulillah. Saya menyokong 100%. Rafizi akan meneruskan agenda reformasi,” katanya.

Johari berkata sudah tiba masanya untuk Rafizi kerana dia seorang yang konsisten memperjuangkan reformasi dan bertanggungjawab mengembangkan parti.

Beliau turut memuji peranannya pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, yang menyaksikan Pakatan Harapan menang dengan bergaya menewaskan Barisan Nasional.

“Dia jelajah seluruh negara dan melalui NGO miliknya iaitu Invoke. Dia buat bersungguh-sungguh. Saya tidak nampak pemimpin lain yang komited seperti dia.

“Sebagai seorang anak muda, dia ada kekuatan untuk teruskan agenda reformasi,” katanya.

Mungkin 3 penjuru
Sementara itu, Johari merasakan Azmin akan mempertahankan kedudukannya, dan seorang lagi pemimpin parti akan menyertai persaingan itu.

“Pilihan saya adalah Rafizi,” katanya.

Pemilihan PKR diadakan 3 tahun sekali. Penamaan akan dibuka pada hujung bulan ini, dan pengundian akan berlaku pada Ogos. Ahli boleh bertanding semua jawatan, tetapi beberapa naib presiden akan dilantik.

Pada 18 Julai lepas, Azmin berkata dia sedang mempertimbangkan sama ada akan mempertahankan timbalan presiden akan mencabar jawatan lebih tinggi.

Sumber dalaman memberitahu pada masa ini kelebihan memihak kepada Azmin, di mana 60% ahli bersama menteri hal ehwal ekonomi itu, manakala 40% bersama Rafizi.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dia akan bertanding jawatan presiden.

Sebahagian pemimpin elit terlibat rasuah: Tun M

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA, MOHD HAFIZ ISMAIL, RIDAUDDIN DAUD

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menerajui negara sebagai Perdana Menteri pada usia 92 tahun menjelaskan bahawa beliau kembali memimpin negara dalam keadaan rasuah yang teruk termasuk pegawai yang tidak boleh dipercayai.

Dalam temubual bersama CNN, Dr Mahathir menjelaskan, sebahagian pemimpin atasan dalam kerajaan terdahulu juga terlibat dalam rasuah yang dinilai amat teruk.

“Daripada luar kita dapat melihat kerosakan tetapi kita tidak pernah menjangkakan bahawa kerosakan yang begitu luas.

“Kebanyakan pemimpin atasan dalam kerajaan juga adalah korup,” katanya kepada CNN yang disiarkan hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan protege Dr Mahathir didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

“Saya terpaksa bekerja dengan sebahagian individu yang boleh dikatakan sebagai suspek.

“Ini adalah tugas yang begitu sukar. Jika kamu tidak bekerja dengan orang yang kamu tidak percaya, kamu tidak akan tahu sama ada kamu mahu mereka menyempurnakan tugas atau tidak,” katanya.

Dr Mahathir yakin kemampuan Anwar sebagai perdana menteri
Mengulas mengenai tempoh masa dua tahun sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata, beliau perlu mempercayai kemampuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut selepas ini.

“Pendapat peribadi saya tentang Anwar tidak penting. Saya perlu percaya kepada dia sama ada suka atau tidak. Saya tidak boleh berada di sini sampai bila-bila walaupun ada yang mahu saya berkhidmat melangkaui tempoh yang telah dipersetujui rakan gabungan,” katanya.

Sebelum ini Dr Mahathir berkata cadangan menjadi perdana menteri selama dua tahun adalah satu cadangan dan ada kemungkinan beliau akan meninggalkan jawatan itu lebih awal serta lebih lewat daripada tempoh tersebut.

Menyentuh soal ancaman keganasan, beliau menyatakan, Malaysia, Filipina dan Indonesia telah meningkatkan kerjasama keselamatan, terutamanya di kawasan sempadan yang menjadi tempat perlindungan kumpulan militan.

“Ini adalah ancaman kepada negara. Kita cuba mengatasi keganasan dengan cara yang sangat canggih dan menggunakan teknologi baharu untuk memerangi keganasan.

“Kita perlu tahu keganasan ini ada sebabnya dan kita perlu mengatasi penyebab keganasan. Jika kita boleh menangani sebab dan menghapuskannya, maka tidak akan ada keganasan,” katanya.

Katanya, Islam berpandukan al-Quran adalah agama yang sederhana dan menyeru umatnya untuk bersaudara dan melarang pembunuhan.

“Apa yang berlaku hari ini adalah mereka melakukan perkara yang di larang Islam. Islam yang kamu lihat hari ini sebenarnya bukan Islam yang diajar oleh agama. Ini adalah Islam yang ditafsirkan oleh beberapa orang berkuasa, pemimpin dan sarjana,” katanya.

Sebelum ini juga, Dr Mahathir dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian berkata, kerajaan memberi jaminan melaksanakan ajaran Islam di negara ini berpandukan al-Quran.

Jelasnya, kitab al-Quran merupakan panduan terbaik buat seluruh umat Islam dan mampu menyelamatkan agama, umat serta negara Islam lain sekiranya mereka kembali kepada kitab suci itu.

Terperangkap antara China-AS
Melalui laporan itu, CNN menilai Najib telah ‘menarik’ Kuala Lumpur dan membawa kepada Beijing, menandatangani perjanjian mengelirukan melibatkan projek jalan dan infrastruktur dengan Presiden China, Xi Jinping namun Dr Mahathir dilihat lebih berjaga-jaga.

Bulan ini, Malaysia membatalkan projek landasan kereta api bernilai puluhan bilion ringgit selepas kerajaan mendapati kos projek itu melebihi bajet sebenar dan jumlahnya mencecah RM20 bilion.

“Kita sentiasa mesra dengan China. Ada pepatah mengatakan ‘yang berkuasa ambil apa yang mereka mahu, yang lemah hasilkan apa yang mereka perlukan’,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, China semakin berleluasa di sekitar Laut China Selatan malah mendakwa pulau-pulau milik Malaysia juga adalah milik negara republik itu.

“Kita tak boleh berperang dengan mereka. Mereka lebih berkuasa, kita tak boleh lawan mereka. Jadi, apa yang boleh kita manfaatkan daripada kuasa dan kekayaan mereka?

“Itu yang sedang kita fikirkan sekarang. Apa pun, kita perlu terima realiti dalam situasi tersebut,” ujarnya.

CNN juga melaporkan Dr Mahathir turut menuduh China memperluaskan pengaruhnya dengan menggunakan wang yang mereka ada dan meskipun projek mega dari negara berkenaan dialu-alukan di Malaysia namun beliau enggan kerajaan bergantung kepada pinjaman wang dari China.

“Ada pakar memberi amaran projek jalan raya (dengan China) akan menambah hutang sesebuah negara terutamanya negara kecil, menjadikan China mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan kerajaan itu malah mengawal infrastrukturnya juga,” katanya.

Kebimbangan kedua Dr Mahathir melibatkan negara kuasa besar selain China adalah Amerika Syarikat.

Malah, beliau pernah mengkritik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan menggelarnya sebagai pembuli yang mampu menjejaskan ekonomi serta keselamatan negara serantau.

“Perang dalam dunia perdagangan tidak memberi sebarang kebaikan kepada dunia. Dia (Trump) meminta perkara yang langsung tidak boleh diterima.

“Sebagai contoh, dia nak bina tembok untuk memisahkan Mexico dengan Amerika Syarikat tapi dia nak rakyat Mexico bayar untuk projek itu. Itu projek dia, dialah yang bayar!

“Tapi disebabkan dia fikir dia berkuasa jadi dia boleh arahkan orang untuk buat apa dia nak? Jadi, bagaimana kita nak tangani mereka yang berfikiran sebegitu?,” soalnya.

Bagi Dr Mahathir, beliau menganggap perang perdagangan bakal ‘menyakiti’ semua negara.

“Amerika Syarikat akan kalah, China akan kalah, seluruh dunia akan kalah. Perang dan perang perdagangan tidak akan selesaikan apa-apa masalah pun,” katanya.

Bekas IGP Khalid kini 'menganggur', letak jawatan Prasarana

Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat pengangkutan awam negara Prasarana Malaysia Bhd.

Khalid memberitahu Sin Chew Daily telah menyerahkan surat perletakan jawatan pada 17 Julai lalu dan dipetik akhbar berbahasa Cina itu berkata sekarang beliau "menganggur."

Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak melantik Khalid sebagai pengerusi lembaga pengarah Prasarana pada 5 September tahun lalu, sehari selepas beliau bersara daripada jawatan ketua polis negara.

Khalid menjadi individu paling terbaharu dalam senarai panjang pemberhentian atau perletakan jawatan daripada agensi utama kerajaan dan GLC sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berulang kali berjanji mahu memotong bonus dan gaji para pengarah GLC.

Dalam perkembangan berkaitan, The Edge Financial Daily melaporkan Presiden Prasarana dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Masnizam Hisham juga mungkin akan meninggalkan syarikat itu juga.

Masnizam telah berkhidmat dengan Prasarana selama 12 tahun dan pernah memegang beberapa jawatan utama.

Akhbar itu memetik sumbernya melaporkan perletakan jawatan Masnizam "tidak dapat dielakkan" kerana Prasarana cuba mendapatkan dana tambahan daripada kerajaan untuk pembinaan LRT3.

Pada 2015, pentadbiran Najib mendakwa LRT3 hanya memakan belanja kerajaan sebanyak RM9 bilion.

Bagaimanapun, pentadbiran semasa mengatakan bahawa Prasarana telah memaklumkan Putrajaya pada bulan Mac, ketika itu masih di bawah pentadbiran Najib, bahawa kos sebenar bagi projek itu ialah RM31.45 bilion dan meminta kerajaan menjamin terbitan semula bon sebanyak RM22 bilion.

Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan bahawa Prasarana kini perlu mengurangkan kos projek itu kepada RM16.63 bilion.
-malaysiakini

Hanipa bidas gelagat tiga MP ‘parti hilang kuasa’

MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin membidas gelagat tiga Ahli Parlimen (MP) BN dalam perbahasan di ewan Rakyat semalam yang antaranya dianggap sungguh melucukan.

Bagi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyerang kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), Hanipa berpendapat kepentingan rakyat berpendapatan rendah juga perlu diambil kira.

“Dalam perbahasan di Parlimen semalam, YB Rembau bangkit isu GST bagi menyerang Kerajaan PH. Beliau kata langkah PH hapuskan GST menyalahi pendapat pakar ekonomi seperti akauntan dan lain-lain.

“Jika boleh bertanya semalam, saya nak tanya begini ‘Baguslah YB sibuk dengan pendapat seperti pakar akauntan, pendapat rakyat bawahan yang ‘terjerut leher’ mereka dengan GST, macam mana? YB tak mahu ambil kira sekali ke?” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan juga mengulas tentang soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ismail bertanyakan sama ada larangan untuk membincangkan skandal mega tersebut oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini masih lagi digunapakai.

“Saya rasa nak tergelak. Apapun, percubaan yang baik YB (Kuala Krau).

“Cuma nak kata bila mantan MO1 (Malaysian Official 1) pun kini sudah boleh didakwa berkaitan isu 1MDB, keberanian YB Kuala Krau itu cuba berusaha nak jarakkan isu 1MDB dari Parlimen memang satu adegan yang amat menghiburkan sepertimana terhiburnya kita menonton Maharaja Lawak,” tempelaknya.

Walau bagaimanapun, Hanipa menganggap paling lucu dalam perbahasan semalam apabila Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat “fatwa songsang” apabila menuduh wakil rakyat PH sebagai menggagalkan 1MDB.

“Sebab? Mereka semua sabotaj 1MDB. Saya rasa IMDB pun terkejut dengan ‘fatwa’ tersebut,” sindir peguam itu lagi dipetik daripada Facebook beliau.