"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sudah kenalpasti calon alternatif MB

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti itu sudah menyenaraikan beberapa lagi nama yang sesuai untuk calon menteri besar Selangor.
Laporan Berita Harian menyebut, Mustafa berkata nama berkenaan bagaimanapun tidak boleh diumumkan sebelum jawatankuasa pusat PAS bermesyuarat esok.

Calon berkenaan sebagai alternatif kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang ditegaskan oleh PKR sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut.

"Memang ada beberapa nama dalam fikiran kita yang dilihat sesuai, tetapi namanya saya tidak boleh sebut sekarang, kena tunggu mesyuarat parti," katanya seperti dilaporkan akhbar tersebut.

Beliau juga mengulangi pendirian PAS bahawa arahan agar empat orang exconya kekal dalam kabinetr Tan Sri Khalid Ibrahim adalah bagi memastikan Pakatan Rakyat terus mentadbir Selangor.

Justeru, beliau menuntut agar DAP dan PKR menjelaskan sikap parti itu yang berang apabila PAS mengambil tindakan demikian.

"Kita juga kena tanya dia (PKR dan DAP) atas dasar apa mereka marahkan PAS," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar sama.

AJK PAS Pusat akan bermesyuarat esok bagi menentukan pendirian mereka berhubung krisis politik di Selangor.
-malaysiakini-

Gambar Orang Anwar sedang lobi AJK PAS Pusat untuk mesyuarat 17hb ini

Tranungkite
Ada orang hantar gambar ini dengan secebis tulisan. "BELI SUDAH, TAK BOLEH BELI PASTIKAN KEPUTUSAN 17 NANTI OK!"

Tapi saya mempercayai Haji Mohamad Sabu orang yang berperinsip kalau dia tentang keputusan dia tentang dengan prinsip. Tapi maklumat terakhir dibesetuju sebab dia tahu maklumat sebenar dan dia memang dari dulu tak percayai kepada DSAI.

Apa yang saya faham PKR cuba untuk merosakkan PAS dengan penyebaran gambar ini boleh jadi dia cuba memecahbelahkan PAS.

Ahli PAS kena berwaspada permainan politik ala UMNO dalam PKR!

Orang ramai terkejut, MB Selangor tiba-tiba datang solat Jumaat di masjid Meru (Gambar)

Orang ramai yang bersolat Jumaat di Masjid As-Sharif, Meru semalam terkejut apabila melihat menteri besar mereka yang sedang dalam krisis, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiba-tiba muncul solat Jumaat di masjid mereka.

Ini kerana tidak ada sebarang makluman tentang kedatangan menteri besar yang sedang bergelut itu.

Khalid tiba menjelang solat Jumaat ketika Adun Meru, Dr Rani Othman sedang memberikan tazkirah menjelang solat Jumaat.

Dalam tazkirah itu, Dr Rani mengingatkan diri beliau dan orang ramai bahawa setiap manusia membuat kesilapan dan perlu menginsafinya.

"Hanya nabi sahaja yang maksum dan tidak berbuat dosa. Oleh itu kita semua perlu selalu sedar dan mohon ampun dari Allah kerana di akhirat nanti Allah akan membalas segala perbuatan kita jika tidak bertaubat," kata Dr Rani dalam tazkirah itu.

Selain tazkirah, Dr Rani juga memberikan khutbah dan juga mengimamkan solat Jumaat itu.

Selepas solat dan bersalam dengan orang ramai, Khalid kelihatan berbincang dengan dengan Dr Rani, bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Namun sehingga kini tidak diketahui apa yang dibincangkan antara mereka.

Namun di luar bangunan masjid kelihatan van RTM berada dan gambar mereka berdua keluar dari masjid bersama dirakamkan oleh jurukamera.

Dr Rani adalah pesuruhjaya PAS Selangor yang berjaya membawa kejayaan paling cemerlang yang pernah dicapai oleh PAS negeri itu apabila menang 15 kerusi Dewan Negeri dan 4 kerusi Parlimen di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.

Namun Dr Rani tidak mahu lagi dilantik sebagai pesuruhjaya selepas muktamar PAS tahun lepas dengan menghantar surat kepada presiden PAS, "Sila berikan sebab mengapa saya perlu dilantik semula sebagai pesuruhjaya."

Ekoran itu, Iskandar Samad dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor mulai tahun lepas.

Khalid kini dipecat sebagai ahli PKR setelah beliau tidak mahu meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun diputuskan oleh partinya agar berbuat demikian untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dilantik sebagai menteri besar yang baru.

Dua hari lepas, dua Adun PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Adun Morib) berpecah dari kumpulan Adun PAS yang lain dan menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Ini menyebabkan Khalid hilang harapan untuk kekal sebagai menteri besar kerana beliau kini hilang peluang untuk mendapat jumlah yang diperlukan bagi membentuk sokongan majoriti dalam Dewan Negeri.

Ini ekoran dari tinggal hanya 12 Adun Umno dan 13 Adun PAS sahaja yang menjadikan jumlahnya 26 termasuk beliau berbanding 29 diperlukan untuk majoriti mudah dalan Dewan yang mempunyai 56 anggota itu.

Harapan Khalid ini berdasarkan sokongan pimpinan PAS terhadap Khalid sebelum beliau dipecat sebagai ahli PKR dan janji sokongan Adun Umno yang dibuat timbalan presidennnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PAS akan membuat pendirian dalam isu ini dalam mesyuarat mereka esok, namun dari awal lagi pimpinan PAS menegaskan mereka akan kekal bersama Pakatan Rakyat.
TMI

Dr Asri perli Anwar?

SHAH ALAM: Pensyarah Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Asri Zainul Abidin menasihati seorang ‘ahli politik’ daripada pembangkang agar bersara daripada persada politik.

Asri berkata, suasana kelam-kabut serta kucar-kacir yang berlaku di negeri Selangor sekarang berpunca daripadanya kerana ahli politik tersebut dilihat hanya mementingkan kehendaknya sahaja.

“Demi kehendak seseorang, satu negeri jadi kelam-kabut dan hiruk-pikuk.. cukuplah.. berehatlah daripada politik,” tulisnya di laman sosial Facebook miliknya.

Tulisan Asri ini berkemungkinan merujuk kepada orang kuat daripada PKR, yang merencanakan pertukaran jawatan menteri besar Selangor.

Namun, rencana tersebut terhenti di tengah jalan sehingga menyebabkan suasana politik di negeri Selangor kini menjadi kelam-kabut.

Namun oleh kerana Asri tidak menyatakan dengan jelas individu yang dimaksudkan, pengikut beliau tertanya-tanya sama ada beliau menujukan kenyataan itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perkembangan terbaru politik di Selangor menyaksikan Abdul Khalid Ibrahim masih memegang jawatan sebagai menteri besar, namun nasibnya mungkin diputuskan pada 17 Ogos ini menerusi hasil mesyuarat Pas Pusat.

Kata putus daripada Pas itu nanti, berkemungkinan menyaksikan sedikit sebanyak perubahan yang akan berlaku di Selangor.

Sama-sama kita nantikan!

13 Adun Pas Selangor baru jumpa Abdul Hadi

Mohd Khairuddin OthmanSHAH ALAM: Kesemua Adun Pas Selangor telah bertemu dengan pimpinan tertinggi parti itu, hari ini.
Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, melalui pertemuan itu, pihaknya telah menyerahkan laporan dan aduan terhadap dua Adun Pas yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor,

Menurut Khairuddin, tindakan itu ekoran kegagalan kedua-dua Adun itu menarik balik sokongan mereka terhadap Wan Azizah.

"Pada sebentar tadi kepimpinan Pas Selangor berserta kesemua 13 Adun Pas telah bertemu pimpinan tertinggi parti.

"Pas Selangor telah membawa laporan serta aduan terhadap dua Adun Pas yang gagal memenuhi arahan Pas negeri supaya menarik balik sokongan yang telah dibuat secara bersendirian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Pas Selangor membawa aduan tersebut pihak Pas pusat untuk tindakan selanjutnya.

"Kita telah memohon dan kita dapat bertemu dengan Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) beserta Datuk Setiausaha Agung dan kita kemukakan fakta serta aduan kita.

"Kita telah membawa aduan negeri dan kita serah sepenuhnya kepada pas pusat untuk tindakan disiplin selanjutnya," katanya.

"Semalam kita telah arahkan kepimpinan parti di peringkat kawasan untuk bertemu dan memberi peluang kepada adun-adun ini tetapi gagal," katanya.

PANAS!! Hasnul, Adun Morib upah kumpulan kongsi gelap melayu Geng Kucing Merah jadi bodyguard?


Hari ini Hasnul telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka ADUN Morib. Bimbang akan diserang atau diasak oleh kumpulan yang menyokong Khalid Ibrahim dan PAS, Hasnul telah meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani untuk bersama-samanya.

Paling mengejutkan ialah apabila Hasnul dengan menggunakan Abdullah Sani telah menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap Melayu yang dikenali sebagai GENG KUCING MERAH untuk berjaga-jaga di rumah terbukanya.
Hasnul Badaruddin yang sebaik-baik sahaja menang DUN Morib pada PRU-13 lalu menceraikan kedua-dua orang isterinya dan berkahwin dengan seorang gadis muda, rupa-rupanya tidaklah seberani mana mengikut laman BuletinSengal.

Mengikut sumber dia berbuat demikian kononnya, dia bimbang akan diserang atau diapa-apakan selepas mengeluarkan kenyataan yang penuh kontroversi itu

Sultan tolak Wan Azizah jadi MB punca PAS minta tukar calon lain?

Anak Sungai Derhaka

PAS secara jelas telah mengumumkan semalam mereka menolak Wan Azizah bukanlah kerana beliau seorang wanita.. tapi ada sebab lain..

Jadi secara asasnya yang boleh kita fahami ialah mereka boleh terima jika wanita diangkat sebagai pemimpin..

Jika scenario yang aku tulis dalam Facebook aku semalam dah mencetuskan perang saudara.. ini satu lagi scenario yang dijelaskan oleh seseorang melalui WhatsApp.

Senarionya begini: PAS kata istana tolak Azizah, maka ia juga tolak Azizah. Minta Anwar, PKR calonkan nama lain dari PKR sebagai MB. Mesejnya dibisikkan kepada Anwar, PKR.

Tapi PKR degil nakkan Azizah. Maka PKR pujuk dua wakil rakyat PAS sokong Azizah hari ini. Jika istana setuju Azizah, PAS tidak boleh buat apa. Azizah akan jadi MB.

Masalahnya, PAS kata istana sampaikan mesej - tolak Azizah. Maka, PAS gesa PKR calonkan nama baru selain Azizah. PAS juga setuju tolak Khalid, bersama Pakatan tapi tolak Azizah.

Tapi, PAS tidak boleh tinggalkan Khalid sewaktu tiada kesepakatan calon baru MB. Kerajaan akan tumbang..

Sama ada betul istana tolak Azizah, saya tidak pasti. Yang pasti, PAS tolak Azizah dan mahukan PKR cadangkan nama lain.

... Itu saja isunya! Jika ini adalah isunya.. kenapa PKR langsung tidak mahu berkrompomi?.. susah sangat ke nak kemukakan satu lagi nama sebagai alternatif?

PAS dikatakan tak mahu hilang Selangor hanya kerana seorang Khalid.. adakah PKR mahu kehilangan Selangor hanya kerana Wan Azizah tak dapat jadi MB?

Ada yang berkata ikut perlembagaan Sultan wajar menerima Wan Azizah sebagai MB kerana sudah mendapat sokongan majoriti.

Tapi jangan lupa Selangor itu milik Sultan, Dia nak buat apa pun ikut suka dia lah.. Kita ni ibarat mentimun.. menggolek kena.. digolek pun kena...

Letakkan satu nama lagi sebagai alternatif supaya baginda punya pilihan selain Wan Azizah atau Kekalkan Khalid sebagai MB... ataupun bubar DUN..

Itu saja! lagipun PAS bukannya tuntut Kerusi MB tu.. PAS hanya mahukan nama lain...

... Aku nampak ada yang tak kena pada barisan yang menyokong Wan Azizah sebagai MB tu... cuba hangpa perhati betul-betul...

Pak cik yang keliru

MOHD SABRI SAID 
BUTTERWORTH: Saksi keenam pendakwa, Mohd Nazir didapati membuat laporan polis sebelum Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berceramah mengatakan Mat Indera seorang wira.
Beliau ketika disoal oleh Peguam Pembela, Hanida Maidin tetap tegas mengatakan 'ya' selepas menonton TV3 terus marah lantas mahu menyaman Haji Mohamad kerana sanggup menyanjung seorang pengganas Komunis yang membunuh polis Melayu ketika trajedi Bukit Kepong.

Padahal, soal Hanifa, berita TV3 jam 8.00 malam pada 21 Ogos 2011 Haji Mohamad Sabu belum pun memulakan ceramahnya kebetulan tarikh tersebut merupakan bulan Ramadan.

Bukan sahaja ceramah dimulakan lambat sebab bulan Ramadan bahkan jam 8.00 malam solat Terawih pun belum bermula sedangkan ceramah diatur selepas solat Terawih.

Selain diasak dengan soalan, Nazir yang berkerusi roda turut tidak mengiftiraf Pakar Sejarah tanah air, Profesor Ramlan Adam yang terbabit dengan buku yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Johor yang membariskan beberapa orang tokoh pejuang tanah air menentang penjajahan British antaranya ialah Mat Indera.

Pembicaraan akan bersambung pada 12 September 2014 di Mahkamah Petaling Jaya ekoran saksi ke tujuh, Ketua Polis Paguh, D.J Raj yang bertugas sewaktu peristiwa Bukit Kepong dalam keadaan uzur.

Manakala pada tarikh 22 dan 23 September 2014 semua kes kembali ke Mahkamah Seksyen Butterworth.

Selain Hanifa, peguam pembela lain ialah Aminudin Zulkipli dan Nazar Khan. Peguam pendakwa pula dibarisi oleh Yusaini Amir dan Dato' Razali Che Ani.

Pembicaraan dibuat di hadapan Hakim Akmal Hisyam.

Yang berikut antara beberapa soalan yang dikemukakan oleh Hanifa.

Hanipa: Tadi pak cik kata, pakcik buat laporan polis setelah menonton berita di TV3 berkenaan isu ucapan Hj Mat Sabu pada 21 hb Ogos 2011 jam 8 malam?

Saksi: Ya, benar

Hanipa: Pak cik pasti apa yang pak cik kata dalam laporan polis tu betul?

Saksi: Ya.

Hanipa: Pak cik, ini Mahkamah keterangan diberikan secara bersumpah, pak cik masih nak pertahankan keterangan pak cik itu?

Saksi: Ya saya pasti.

Hanipa: Baiklah, saya ingin tanya. Adakah pak cik sedar pada 21 ogos itu tidak ada lagi berita tentang isu Bukit Kepong itu di TV3 kerana isu ini buat kali pertama disiarkan oleh Utusan pada 27 Ogos 2011 dan selepas itu baru TV3 siarkan, apa jawapan pak cik?

Saksi: Itu saya tak pasti.

Hanipa: Pakcik, tarikh 21 Ogos tu tarikh Hj Mat Sabu ceramah, masa itu bula Ramadan dan ceramah dibuat selepas solat tarawikh bukan jam 8 malam. Jadi macam manakah pak cik boleh tonton berita di TV3 pada 21 Ogos jam 8 malam yang pak cik katakan sedutan ucapan Mat sabu sedangkan pada tarikh itu dan pada jam 8 malam ceramah pun tak mula lagi?

Saksi diam termenung dan nampak keliru.

Hanipa: Pak cik bagaimana pak cik boleh tonton ucapan yang belum diucapkan oleh Mat Sabu?

Saksi: Saya tak tahu lah itu kena tanya TV3.

Hanipa: Pak cik setuju tak keterangan pakcik ni pelik kan. Pak cik tonton berita di TV3 jam 8 malam yang pak cik katakan siaran ucapan mat Sabu pada jam 8 malam sedangkan 8 malam tu Mat sabu pun belum beri ucapan, ceramah juga belum mula?

Saksi: Itu saya tak pasti lah tuan hakim.

Saksi juga lihat agak tertekan dengan soalan balas Hanipa apabila beliau meminta hakim tak benarkan Hanipa menyoal isu penentangan penjajahan oleh tokoh-tokoh seperti Tok Janggut.

Hanipa: Pakcik kenal tak Tok Janggut?

Saksi: Ya saya kenal

Hanipa: Tok Janggut lawan penjajah British kan?

Saksi: Ya.

Hanipa: Dia dihukum gantung oleh penjajah British kan?

Saksi: Ya. Tuan Hakim boleh tak minta peguambela jangan tanya saya tentang Tok Janggut.

Hakim : Pak cik kena jawab soalan peguam.

Hanipa: Maaf pakcik. Pak cik kena jawab. Ini lah yang berlaku pak cik apabila kita bawa isu tafsiran sejarah dalam Mahkamah. Soalan saya. Adakah Tok Janggut atau penjajah British yang hero?

Saksi: Tok Janggut

Hanipa: Pakcik, bila berlaku isu Bukit Kepong?

Saksi: 23 februari 1950

Hanipa: Masa tu negara kita dijajah kan pakcik?

Saksi: Ya.

Hanipa: Oleh siapa pak cik ?

Saksi: Saya tak pasti

Hanipa: Oleh British kan?

Saksi: Ya.

Hanipa: Dan ada orang dalam negara kita masa itu yang jaga kepentingan British?

Saksi: Ya

Hanipa: Dan ada rakyat negara ini yang lawan British dan mereka yang jaga kepentingan British?

Saksi: Ya.

Hanipa: Jadi saya katakan apabila Hj Mat Sabu kata mereka yang serang Bukit Kepong itu adalah hero kerana mereka serang pihak yang jaga kepentingan British itu munasabah kan pakcik?

Saksi: Saya tak pasti.

Ceramah DSAW dan Rafizi di Sri Bernam Sungai Besar penuh sesak dengan penyokong PKR (Gambar)


Ceramah Isu Semasa yang dianjurkan oleh PKR bertajuk "Menteri Besar Selangor" oleh DSAW dan YB Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR) di Sri Bernam Sungai Besar malam ini.

Siapalah penasihat Ts Khalid agaknya yang boleh jadi macam ini?

Abu Hassan Adam
Aku merasa begitu sedih melihatkan gelagat TS Khalid akhir-akhir ini, terutama apabila berhadapan dengan kemelut politik di Selangor yang cuba ditanganinya. Aku mempersoalkan juga tentang siapakah gerangan agaknya yang menasihatkan TS Khalid supaya ‘berkelakuan’ sedemikian. Dan apakah ‘penasihat-penasihat’ ini sedar bahawa ‘nasihat’ yang diberikan mereka kepada TS Khalid itu adalah seperti peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘sokong membawa rebah’.

Sedarkah mereka bahawa falsafah perjuangan Pakatan Rakyat adalah amat berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh BN. Dan tentulah penyelesaian yang dibuat oleh Pakatan juga berbeza dengan cara pemimpin BN menyelesaikan isu politik di Terengganu dan di Perak pada tahun 2009 dahulu.
TS Khalid dan para penasihat mungkin tersilap agaknya. Apa tidaknya…..

Sebagaimana yang dikatakan oleh YB Khalid Samad bahawa, “"He is not loyal to Pakatan Rakyat and the fact that (Deputy Prime Minister Muhyiddin Yassin) is willing to give him unconditional support makes things even more fishy…..So, even though they (PKR and DAP) are unhappy and try to pressure PAS to make up its mind earlier, I believe the recent developments will assist us in making the right decision," dan “…his party has given enough rope for Selangor Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim to "hang himself" (Malaysiakini – 13 Ogos 2014)

Itu memberikan gambaran bahawa setiap langkah yang diambil oleh TS Khalid itu akan ‘menjerut’ lehernya. Dalam keadaan sebegini, TS Khalid sememangnya tidak boleh berfikir secara waras dan kebanyakan keputusannya adalah dipengaruhi oleh kumpulan penasihatnya. Dan sekiranya begini jadinya, maka kumpulan penasihat TS Khalid yang patut dipersalahkan. Mungkin.

TS Khalid tidak akan percaya kepada sesiapa pun kini kecuali ‘tokoh’ yang boleh memberikan ‘nafas’ kepada beliau untuk terus bernafas dan menyambung hidup buat beberapa ketika. TS Khalid seolah-olah telah bertekad untuk ‘go for broke’. Tekad perjuangannya mungkin, ‘ apa nak jadi, jadilah…’ mungkin.

TS Khalid harus sedar bahawa dalam keadaan yang macam mana sekalipun beliau telah kehilangan tali tempat bergantung. ‘Talian hayat’nya hampir sudah tidak ada. Hanya boleh ‘bergantung’ kepada belas ikhsan DYMM Sultan Selangor. Selama mana? DYMM Sultan pastinya mengikut lunas-lunas prinsip negara Raja Berperlembagaan di mana segala keputusan terletak di tangan rakyat. Dan Rakyat yang menetukan segala-galanya. Pastinya Baginda Sultan akan patuh kepada keputusan rakyat.

Yang menghairankan apakah TS Khalid tidak menyedari keadaan yang sebegini?

TS Khalid hampir ‘hilang’ segala-galanya. Mungkin yang tinggal adalah sokongan lisan wakil rakyat UMNO yang ada di DUN Selangor itu dan juga sokongan dari YAB Timbalan Perdana Menteri. Sokongan dari PAS juga nampaknya hanya menunggu saat dan ketika untuk menarik sokongan berkenaan, berdasarkan beberapa kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan PAS Pusat. Selain daripada itu TS Khalid sudah tidak ada tempat lain untuk ‘menyangkutkan dagu’ lagi. Maknanya sudah hialng tempat bergantung.

Dan untuk memburukkan lagi keadaan TS Khalid telah bertindak memusuhi rakan-rakan seperjuangan, khususnya rakan-rakan karib dalam PKR dan DAP. Nampaknya TS Khalid terus menerus ‘memusuhi’ rakan-rakan ini. Dan terakhir ialah dengan Dato’ Saifuddin Nasution, setiausaha agung PKR.

Harus juga disedari oleh TS Khalid bahawa kemelut Selangor yang melibatkan dirinya secara langsung adalah merupakan pertama kali dalam sejarah keadaan sebegini berlaku seingat aku. Tetapi kata Dato Kadir Jasin pula, “As for the Selangor political comedy, it is merely a repeat of the Stephen Kalong Ningkan affairs in Sarawak in 1966, the Harun Idris affairs in Selangor in 1976 and the Mohamed Nasir sacking (by PAS) in Kelantan in 1977”

Sejarah politik negara telah memperlihatkan pengunduran pemimpin-pemimpin politik secara terhormat apabila sudah tidak mendapat sokongan rakyat. Dato’ Onn Jaafar mengundur diri dari menjadi Presiden UMNO setelah cadangannya untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu ditolak. Tunku Abdul Rahman mengundur diri setelah beliau rasakan bahawa beliau sudah tidak begitu mendapat sokongan daripada ahli UMNO khususnya dan rakyat umumnya. Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur dari jawatan Perdana Menteri setelah tidak mendapat sokongan dari kepimpinan UMNO.

Yang anihnya kesemua mereka yang disebutkan tidak ‘membantah’ keputusan parti mereka. Begitu juga dengan beberapa orang menteri besar di negeri-negeri di bawah pemerintahan BN yang diminta mengundurkan diri oleh pucuk pimpinan parti. Mereka patuh dan akur kepada arahan parti. Seingat aku, Inilah kali pertama (mungkin) dalam sejarah Malaysia seorang lantikan parti terus menerus menentang dan ingkar arahan parti yang melantik beliau ke jawatan itu. Bukan setakat ingkar tetapi terus menerus bermusuhan (dari segi politik sahaja agaknya)

Yang tentu menyedihkan lagi ialah ‘maruah’ dan ‘harga diri’ TS Khalid sedikit sebanyak akan tercalar juga apabila beliau seolah-olah ‘berdegil’ dan terus ‘berpaut’ kepada ‘dahan yang rapuh’ itu. Sepatutnya TS Khalid memikirkan juga tentang ‘sisa-sisa’ hidup yang perlu dilaluinya sebagai warga emas.

Tentu ramai juga yang menyoal tentang mengapa TS Khalid begitu bersungguh benar mempertahankan jawatan MBnya sedangkan jawatan MB itu bukan merupakan jawatan ‘turun temurun’ seperti yang di suarakan oleh TS Muhammad bin Muhammad Taib yang juga pernah menjadi Menteri Besar Selangor dan yang pernah ‘disuruh’ berhenti dari jawatan berkenaan. Dato’ Abu Hassan Omar yang pernah juga ‘diarah’ meletakkan jawatan MB Selangor pada suatu ketika dahulu tidak ingkar apabila diarahkan berbuat demikian oleh UMNO. Dan kesemua mereka ini patuh kepada rahan parti masing-masing. Persoalannya mengapa TS Khalid Ibrahim menampakkan kesungguhan mempertahankan jawatan berkenaan. Apakah ‘ada udang disebalik batu?’ dan peribahasa Melayu ada mengatakan, ‘jiakalu tidak berada ada tidak akan tempua bersarang rendah’. Apakah begitu keadaannya yang menyelubungi isu perletakan jawatan TS Khalid ini?

TS Khalid harus terus memenungkan secara mendalam akan hakikat ini.

abuhassanadam 14 Ogos 2014
http://abuhassanadam.blogspot.com/

Toyol yang mencuri duit mangsa trajedi MH370 ditangkap

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank dan suaminya yang dipercayai terbabit dalam kes memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun milik penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Izany Abd Ghani berkata pegawai bank itu yang bekerja di bank berkenaan sejak 10 tahun lalu ditahan di rumahnya di Ampang kira-kira 4 petang.

"Suaminya yang berusia 33 tahun turut ditahan di bengkel kereta di Ampang ketika membaiki keretanya. Polis percaya suaminya mungkin turut terlibat.

"Polis masih belum mendapat rakaman kamera litar tertutup (cctv) daripada pihak bank. Ia akan mengambil masa sedikit," katanya kepada Bernama dan menambah kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Izany menasihati keluarga penumpang MH370 yang pesawat itu masih belum ditemui supaya meneliti kenyataan akaun bank penumpang.

"Keluarga mereka boleh periksa kenyataan bank penumpang. Kita minta mereka berwaspada," katanya.

Rabu lepas media melaporkan sebanyak RM110,643 milik empat penumpang pesawat MH370 lesap daripada akaun bank dipercayai dipindahkan oleh kakitangan bank tanpa kebenaran.

Siasatan mendapati wang dari akaun milik penumpang dipindahkan ke akaun penumpang lain melalui perbankan Internet melibatkan jumlah keseluruhan RM110,643.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara.

Kejadian disedari pada 18 Julai lepas oleh seorang petugas bank yang mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan dari empat akaun berkenaan. 
-Bernama

Dah hentam PAS teruk-teruk, Saifudin hendak ke mana selepas ini?

SUBKY LATIF
SAIFUDIN Nasution, Setiausaha Agung PKR telah mengambil peranan utama menyerang dan mempertikai integriti Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Menteri Besar Selangor itu dipecat daripada partinya.

Ia adalah hak politik dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Saifudin cuba mengamalkan haknya mengikut semangat perlembagaan.

Peranan itu sama dengan yang dimainkan oleh Tan Sri Syed Jaafar Albar, Ketua Penerangan Umno apabila Dato’ Onn Jaafar dan Aziz Ishak, Menteri Pertanian apabila keduanya menentang Umno. Albar jadi satu-satunya Singa Umno setakat ini kerana tidak terjejas dengan krisis besarnya ketika itu.

Tetapi PKR belum tentu utuh dalam krisisnya sekarang kerana ia adalah pembangkang yang belum tentu disokong oleh orang atas pagar. Umno ketika disokong oleh semua.

Maka bolehkah pula Saifudin muncul sebagai Singa PKR telah menjadi hulubalang menghadapi apa yang dikira karenah Khalid Ibrahim?

Khalid boleh diagak nasibnya. Dia boleh tidak jadi Menteri Besar lagi dan belum tentu berpolitik lagi selepas krisis ini reda nanti. Atau dia ada lagi. Apa pun biarlah Khalid menghadapi risiko atas sikap dan kepercayaannya.

Tetapi krisis MB Selangor ini memberi risiko besar kepada PKR. Apa jadi pada PAS dan DAP adalah masalah yang mereka terpaksa lalui daripada tempias krisis yang bukan berpunca daripada mereka.

Beruntunglah jika PKR selamat hingga selepas Anwar Ibrahim mati. Saifudin boleh kekal jadi Setiausaha Agung selagi ada tenaga. Tetapi bagaimana kalau PKR terus susut ahli dan penyokong dan bukan mustahil orang baris depan susut sama?

Jika ini yang berlaku Saifudin hendak ke mana?

Hendak kembali ke dalam PAS, dia sudah pukul PAS cukup kuat. Dan dia sudah meninggalkan PAS bersama Fuad Zarkasi, Chik Johan, calon BN Pasir Mas PRU 13 yang tidak menyerahkan borang pencalonannya dulu. Ada dua tiga orang lagi bersamanya keluar PAS masuk Umno. Masa dalam Umno, dia jadi meriam membedil PAS.

Apabila Anwar dipecat, Saifudin antara beribu orang Umno yang meninggalkan Umno untuk bersama dengan Anwar dan sanggup bersusah bersama lain-lain pejuang reformasi menghadapi tekanan Umno dan Kerajaan.

Ramai orang lari daripada Anwar dan meninggalkan PKR tetapi tidak Saifudin. Dia gigih dan sanggup menghadapi apa jua badai. Inilah orang yang kita mahu dalam perjuangan.

Sebagai hulubalang PKR menentang Umno, penampilannya menyerang Umno tidaklah kurang dibandingkan dengan tokoh-tokoh besar PKR seperti Azmin Ali dan lain-lain.

Jika ditakdirkan PKR tidak dapat bertahan 10 atau 15 tahun lagi ke mana Saifudin hendak pergi? Untuk kembali semula ke dalam Umno? Suatu yang kita fikir tidak sanggup dibuat oleh yang berpendirian kuat sepertinya.

Jika kita tidak fikir Anwar akan memilih Umno semula, maka rasanya Saifudin tidak tergamak.

Saya tidak fikir PKR akan menjual diri seperti Parti Semangat Melayu 46, bubar dan beramai-ramai menyertai Umno.

Tengku Razaleigh sekurang-kurangnya ada harga, dapat kekalkan Gua Msang sehingga ini. Tetapi apa yang didapatinya dari Umno selain daripada ketua di Gua Musang. Mungkin Umno boleh beri sesuatu kepadanya jika kembali kepada Umno sekarang. Jika 15 tahun lagi hendak kembali kepada Umno, dalam usia yang lebih 70 tahun, nak buat apa dan nak dapat apa lagi dalam politik?

Pilihan yang ada padanya ialah DAP. Ia pilihan yang ada sekarang. Tetapi 15 tahun lagi tak jadi apa-apa juga.

Saya tidak bersangka buruk kepada PKR dan orang-orangnya. Apa yang dapat kiranya parti berdepan krisis? Apa yang patut bagi menenangkan keadaan. Jaga parti dengan baik. Jangan jadi hulubalang berlebihan! Apa jadi pada Khalid, biarkan dia, tetapi kita yang tinggal ini hendak ke mana?

Zuhdi buat kecoh lagi? Gesa Anwar dan pihak-pihak berkaitan jawab 15 soalan mautnya (MESTI BACA)

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Dr Mohd Zuhdi Marzuki,
SAYA menerima dan memperolehi maklumat-maklumat dari pelbagai sumber tentang Konsensus Nasional dan Kajang Move ini, justeru saya memohon kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk menjelaskan ketidakpastian berikut:

1. Benarkah seawal beberapa hari lepas PRU13, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggerakkan satu langkah untuk mewujudkan satu kerajaan 'Konsensus Nasional' dengan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohammad Najib Tun Razak. Pencapaian buruk BN di bawah Najib, telah menyebabkan dia berkemungkinan berhadapan dengan desakan-desakan dari dalam Umno sendiri supaya beliau melepaskan jawatan sepertimana yang berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Benarkah setelah melihat kepada situasi tersebut, Anwar telah mengambil inisiatif mengusahakan perkara ini?

2. Benarkah Jusuf Kalla (sekarang Timbalan Presiden Indonesia) telah menjadi mediator antara Anwar dan Najib untuk menjayakan langkah 'Konsensus Nasional' ini, dan beliau telah datang beberapa kali ke Malaysia untuk tujuan tersebut?

3. Benarkah halangan kepada langkah 'Konsensus Nasional' ini di dalam PR adalah Pas, yang tidak mahu usaha ini dilakukan kerana akan mengkhianati kepercayaan majoriti rakyat Malaysia (berdasarkan undi popular) terhadap PR?

4. Benarkah satu usaha berterusan telah dilakukan untuk memujuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju dengan Konsensus Nasional, setelah beliau dengan tegas menolaknya?

5. Benarkah Abdul Hadi telah diekori sampai ke London untuk dipertemukan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden Umno) dengan perantaraan Datuk Saifuddin Nasution, agar mempersetujui Konsensus Nasional ini?

6. Benarkah halangan utama kepada langkah 'Konsensus Nasional' ini di dalam Umno ialah Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri yang melihat langkah ini cuba memberi talian hayat kepada Anwar?

7. Benarkah perlantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam kanan terkemuka, mengendali kes liwat Saiful Bukhari adalah antara usaha yang 'luar biasa' untuk mensabitkan Anwar dan sekali gus menggagalkan langkah 'Konsensus Nasional' ini?

8. Benarkah Anwar telah menandatangani secara sebelah pihak satu dokumen yang memberikan butiran lanjut tentang pembentukan kerajaan 'Konsensus Nasional' ini?

9. Benarkah di dalam dokumen itu terkandung tawaran Anwar untuk mengembalikan Selangor kepada BN, dan beliau mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 dan beberapa lagi jawatan kabinet?

10. Benarkah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang diamanahkan sekarang, merupakan halangan utama kepada pelaksanaan kandungan dokumen ini khususnya yang berkaitan dengan Negeri Selangor?

11. Benarkah Kajang Move ini adalah langkah susulan untuk menjayakan Konsensus Nasional dengan menaikkan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor yang baru seterusnya merealisasikan kandungan dokumen itu?

12. Benarkah kandungan kenyataan Rafizi Ramli di bawah ini tentang 'Kajang Move' secara tersirat menggambarkan hubung kait antara 'Kajang Move' dan 'Konsensus Nasional'?

13. Benarkah 'Konsensus Nasional' ini tergencat apabila Anwar disabitkan kes meliwat Saiful Bukhari oleh Mahkamah Rayuan beberapa hari sebelum penamaan calon PRK Kajang (Kajang Move), yang menyebabkan Anwar tidak layak menjadi calon?

14. Benarkah langkah 'Konsensus Nasional' tidak lagi berbangkit setelah kegagalan Kajang Move ini, walaupun Pas kemudiannya telah memberi persetujuan awal terhadap 'Konsensus Nasional' yang diusahakan Anwar dengan syarat dijelaskan apakah butir-butir permuakatan yang diusulkan oleh Najib?

15. Benarkah setelah kemenangan Jusuf Kalla baru-baru ini, ada usaha-usaha untuk menghidupkan semula 'Konsensus Nasional', ditambah dengan perbicaraan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan yang semakin hampir?

Saya memohon pihak-pihak berkaitan untuk memberikan jawapan-jawapan kepada perkara ini, supaya saya boleh membantu menjelaskan ketidakpastian yang ditimbulkan oleh kalangan rakyat yang bertanya.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat

Kepada 2 ADUN PAS cuba baca semula baiah ini yang dilafazkan semasa nak bertanding dulu

Isu MB Selangor: Kenyataan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub

PAS sengaja mengambil sedikit masa, bukan sebulan hanya seminggu untuk mencapai keputusan di dalam isu penggantian Menteri Besar Negeri Selangor. Kita bercakap berkenaan jawatan Menteri Besar, jawatan nombor satu di dalam pentadbiran sesebuah negeri. Kita bukan mahu menukar seorang Ketua Kampung, ini urusan menukar seorang Menteri Besar.
Pada saat yang kritikal ini unsur emosi dan sentimen harus diketepikan. Prinsip integriti, setiakawan, keadilan, kebijaksanaan serta hikmah mesti mengambil tempat dalam mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Justeru itu, 'we shouldn't rush in making decision but we should adopt a deliberate cautious approach with wisdom and sincerity'.

Kita bercakap tentang meminta seseorang Menteri Besar meletak jawatan. Kita perlu berhemah dalam hal ini. Apa kesilapannya, apa kemudaratannya, apa kesalahannya, apa kelemahannya dan apa kemaslahatan persekitaran (environment) negeri yang ditadbirnya? Kita perlu menghalusi faktor-faktor ini secara terperinci agar kita sampai kepada keputusan yang adil dan yang baik bagi semua pihak, yakni, negeri, rakyat, Istana dan individu yang terlibat. Keadilan yang menjadi teras perjuangan PR mesti ditegakan.

Berkaitan dengan isu ini dan belajar daripada pengalaman PAS sendiri, saya ingat kembali kes Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menantunya. Apabila saya bersama Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS; Tuan Guru Dato' Dr Haron Din, Timbalan Muryidul Am PAS dan Dr Mohd Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat membawa mandat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkaitan isu perlantikan menantu beliau dalam Perbadanan Menteri Besar Negeri Kelantan (PMBK).

Isu Nepotisma dan intergriti telah bermain di bibir rakyat pada waktu itu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak teragak-agak lagi, terus dipanggil menantunya dan diminta menandatangani surat perletakkan jawatan serta-merta! Mengapa Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengambil sikap tersebut? Bagi saya Tuan Guru Nik Abdul Aziz amat faham dengan konsep parti menguasai kerajaan, hidup berjamaah - keputusan jamaah, keputusan parti harus dipatuhi. Seperti kata,’the interest of the many, outweigh the interest of the few’.

Parti yang menguasai kerajaan, bukan kerajaan yang menguasai parti. Ini yang kita harus faham apabila kita memasuki gelanggang politik Malaysia. Tidak ada pemujaan individu dalam parti. Jawatan yang dipegang oleh seseorang di dalam kerajaan adalah disebabkan dicalonkan oleh parti. Jadi bila parti suruh pergi, ikutilah kehendak parti. Saya teringat sejarah Khalid Al Walid, Panglima yang 'dipecat' oleh Khalifah. Pemencatan daripada Khalifah. Mesti ada sebab-sebabnya, mesti ada 'kaulnya' dan mesti sudah dihalusi daripada segenap sudut oleh Umar Al Khatab. Adakah Khalid memberontak? Tidak! Panglima besar ini akur dengan keputusan Khalifah. Inilah hidup berjamaah...

Sebegitu juga kita dalam proses memilih Menteri Besar. Perlu dihalusi bersama, perlu diskusi bersama dan perlu persetujuan bersama. Janganlah ada dikalangan kita mengambil pendekatan ‘pushing down into our throats'! Sekurang-kurangnya ada pilihan, agar yang terbaik diberi berkhidmat kepada rakyat.

Untuk tatapan kita bersama daripada paparan sejarah PAS, isu kronisma, nepotisma dan sikap autokratik adalah faktor yang besar yang menjatuhkan PAS Negeri Kelantan dalam era Tan Sri Datuk Dr Haji Mohd Asri Haji Muda. PAS juga pernah mengalami krisis di Negeri Kedah sebelum Pilihan Raya Umum kali ke – 13 (PRU 13) yang akhirnya kita semua menerima akibatnya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama belajar daripada sejarah ini supaya kita pada hari ini terutama PR tidak mengulangi kesilapan yang sama agar memungkinkan kita hilang lagi sebuah kerajaan.

PAS perihatin di dalam hal ini, bersama PKR & DAP kita berjuang menentang kezaliman, menentang rasuah dan menentang kronisma dan nepotisma. Kita menentang sekeras-kerasnya sehingga kita nobatkan dalam manifesto PR. Kalau tidak rakyat akan melihat kita yakni PR sebagai "harapkan pagar, pagar makan padi!"

Justeru itu, di dalam pencalonan bakal Menteri Besar baru ini harus PR menjauhi persepsi-persepsi negatif tersebut. Biarlah kita mengambil masa untuk mencari yang terbaik demi masa depan PR yang kita sama-sama sayangi.

Kepada rakan-rakan di dalam PKR dan DAP, usah gusar dengan komitmen PAS dalam perjuangan menentang kezaliman, menentang rasuah, menentang, kronisma dan nepotisma. Sejak ditubuhkan, kami berjuang diatas landasan ini, malah bukan sahaja kami diremehkan, difitnahkan, dipenjarakan malah dalam Peristiwa Memali sahabat-sahabat kami dibunuh dengan kejam! Bukan sahaja masa, wang, keringat dan airmata yang kami curahkan, malah darah dan nyawa telah kami korbankan dalam perjuangan menentang kebatilan-kebatilan ini. ‘So, please, don't question our committments, we were there when you were sleeping...’

InsyaALLAH, ‘give us until 17th of August’ untuk membuat keputusan yang adil, berhemah dan berhikmah. Doakan agar PR tetap utuh dan bertambah kuat melalui dugaan-dugaan ini. Doakan agar jiwa dan raga kita, warga PR, sentiasa berkobar untuk memerdekakan negara kita daripada UMNO / Barisan Nasional (BN), amin!

HAJI SALAHUDDIN AYUB
Naib Presiden PAS.

Kerana Wan Azizah 2 Adun Pas rela keluar parti?

ADUN PAS dari Hulu Kelang, Saari Sungib bersedia untuk keluar parti jika PAS kekal menyokong Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos ini.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan selepas sidang media tengah hari tadi.

"Kalau itu antara pilihan di antara parti dan saya, saya bersedia," katanya.

Beliau ditanya jika beliau sanggup berbuat demikian jika PAS kekal dengan pendirian mereka sekarang dalam krisis menteri besar Selangor.

Saari dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin hari ini menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana "dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat".

"Saya bergerak dari satu asas iaitu polisi dan dasar PAS untuk bersama-sama Pakatan dan polisi ini saya sokong untuk membolehkan Pakatan terus memerintah dan mentadbir Selangor," kata Saari.

Menurutnya, beliau yakin baki 13 orang ADUN PAS lain akan menurut jejak langkah beliau.

"Saya percaya rakan-rakan ADUN dari PAS juga akan mengambil langkah yang sama," katanya selepas sidang media Wan Azizah di Subang tengah hari ini.

Saari juga yakin mesyuarat ahli Jawatankuasa Pusat PAS pada 17 Ogos ini akan memutuskan untuk terus berada bersama Pakatan.

"Saya yakin selepas 17 hari bulan, sekiranya benar apa yang saya yakini PAS tidak akan berganjak daripada Pakatan Rakyat.

"Saya anggap memperkukuhkan Pakatan di Selangor tidak bertentangan dengan PAS," katanya.

Hasnul pula berpendapat pentadbiran Khalid sekarang tidak lagi menjunjung semangat Pakatan selepas beliau mengumumkan kerajaan Pakatan tidak wujud lagi di Selangor.

"Saya sebagai YB Morib mengambil langkah yang sama dengan YB Hulu Kelang untuk menyokong kerajaan Pakatan di Selangor.

"Semangat dan roh Pakatan itu tak ada pada menteri besar dan saya bersama Pakatan untuk memerintah negeri Selangor sebenar-benarnya," katanya.

Beliau turut mengkritik Khalid yang menurutnya "merosakkan Selangor jam demi jam".

"Kerosakan yang dilakukan Khalid kepada Selangor bukan setakat minggu ke minggu tetapi on an hourly basis (jam demi jam)," katanya.
-malaysiakini-
 --------------------------------
PAS Selangor memberikan tempoh 24 jam kepada dua wakil rakyatnya yang menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk meminta maaf dan menarik balik pendirian itu.
Tuntutan itu dibuat ekoran tindakan itu dianggap membelakangi parti yang belum membuat keputusan sempena menunggu mesyuarat jawatankuasa pusatnya pada Ahad ini.

"Tindakan dua ADUN (anggota Dewan Undangan Negeri) PAS di Selangor yang membelakangi pendirian parti amatlah serius dan kita akan bertindak.

“PAS Selangor memberi tempoh 24 jam untuk menarik balik pendirian dan tindakan yang dibuat atau menghadapi konsekuensi tindakan,” kata setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman (kanan).

Dua ADUN PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) hari ini tampil menyatakan sokongan terhadap Azizah.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana “dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat" dan beliau juga yakin mesyuarat ahli penting PAS minggu akan akan memutuskan terus bersama PKR dan DAP.

Lihat kembali baiah

Dalam kenyataannya petang ini, Khairuddin berkata, tindakan Saari dan Hasnul itu tidak menurut tatacara dan arahan parti, gopoh dan “terlalu taksub”.

“PAS mempunyai organisasi negeri, kepimpinan pusat dan Majlis Syura Ulama yang harus kita patuh. Mengapa terlalu gopoh dan terlalu taksub sehingga parti di belakangkan.

“Bukankah PAS pusat akan bermesyuarat pada 17 haribulan ini?" kata Khairuddin sambil meminta dua ADUN itu sabar menunggu mesyuarat penting itu.

Beliau justeru “menasihatkan” dua ADUN itu menarik balik pendirian mereka atau PAS Selangor akan mulakan tindakan disiplin.

Ini katanya termasuk “melihat kepada kandungan baiah yang telah dilafazkan sewaktu menjadi calon”.

Pusat mahu laporan

Sementara itu, PAS Pusat telah meminta PAS Selangor memberi laporan berhubung isu dua ADUN PAS negeri itu.

Harakahdaily memetik Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebagai berkata beliau telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad petang ini dan meminta laporan penuh berhubung perkara itu.

"Saya telah menghubungi pesuruhjaya PAS Selangor supaya memberi laporan tentang dua orang ini supaya kita dapat gambaran sebenar," katanya dalam laporan Harakahdaily.

Mustafa berkata PAS akan menyiasat perkara itu dan akan mendapatkan gambaran sebenar.

Menurut Harakahdaily, sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurutnya, pandangan serupa dinyatakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, lapor Harakahdaily Majlis Syura Ulama PAS juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah.