"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Exco Perak dituduh cuba minta komisyen untuk permohonan tanah

Seorang exco kerajaan negeri dituduh cuba meminta "komisyen" daripada dua syarikat berkenaan permohonan untuk tanah milik kerajaan berkeluasan 93 ekar.

Bekas pegawai khas itu, Beh Yong Kean membuat laporan polis berkenaan perkara itu pagi ini.

Dia mendakwa exco itu berniat memberi sokongan kepada permohonan dua syarikat itu dengan komisyen sebagai pertukaran.

Dakwanya lagi, exco itu membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya agar dia dapat memulakan proses rundingan dengan dua syarikat itu.

"Pada 4 Oktober 2018, lebih kurang 9.30 malam di pejabat pusat khidmat adun, dia membocorkan kertas minit mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak kepada saya supaya memulakan rundingan dengan (dua syarikat itu) untuk permohonan milikan tanah kerajaan seluas 63 ekar di Bagan Tiang dan 30 ekar di Kuala Kurau.

"Dia mengarahkan saya supaya meminta komisyen daripada kedua-dua syarikat itu untuk sokongannya dalam mesyuarat masjlis mesyuarat negeri," dakwanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, hari ini.

Beh juga mendakwa seorang lagi bekas pegawai khas exco itu turut menyaksikan kejadian itu.

Dalam satu kenyataan media, Beh berkata tindakan membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan menggesa polis agar menyiasat perkara itu.

"Sebagai wakil rakyat dan exco, dia tidak harus membocorkan rahsia kerajaan dan menggunakan kedudukan untuk meminta rasuah.

"Saya harap polis menyiasat secara adil tanpa melihat kedudukannya dalam kerajaan," katanya lagi.

Malaysiakini telah beberapa kali cuba menghubungi exco itu menerusi panggilan telefon, pesanan teks dan Whatsapp, untuk mengulas perkara ini tetapi dia belum memberikan maklum balas setakat ini.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa.

"Seperti laporan polis lain, kita perlu dan akan beri kerjasama penuh dalam siasatan. Ini dakwaan serius dan kita tidak pandang ringan," katanya menerusi Whatsapp kepada Malaysiakini.

Husam saran Muhyiddin jadi TPM untuk Anwar

Andai tiba masa Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, anggota parlimen Port Dickson itu wajar membalas budi Bersatu dengan melantik tokoh bukan dari PKR sebagai timbalannya.

Naib Presiden Amanah, Husam Musa, menyarankan Anwar memilih Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menduduki jawatan timbalan perdana menteri.

Kata Husam, langkah itu adalah sebagai tanda menghargai kesudian Dr Mahathir Mohamad menjadikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya sebelum ini.

Untuk rekod ketika pelantikan itu dibuat Wan Azizah ialah presiden PKR.

"Saya mencadangkan, ambil timbalan perdana menteri daripada Bersatu iaitu Muhyiddin," kata Husam seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Husam yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menambah ketika ini ada dua tokoh paling kanan dalam PH, iaitu Anwar dan Muhyiddin.

Katanya apabila tiba waktu yang ditentukan peralihan kuasa akan berlaku apabila ada tokoh lain menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Proses itu, kata Husam, mesti berjalan secara teratur dan diserahkan kepada pemimpin paling berpengalaman dan senior.

Dalam keadaan sekarang, katanya, dua pemimpin paling senior dalam PH ialah Anwar dan Muhyiddin.

"Jika Muhyiddin (jadi pilihan Anwar), pasti ia akan menjadi satu kombinasi yang boleh mengamankan peralihan kuasa.

"Dari segi senioriti jawatan, Muhyiddin sangat layak. Malah beliau juga berpengalaman," katanya.

Pada era Malaysia ditadbir BN, kedua-dua tokoh terbabit pernah diberi kepercayaan menjadi timbalan perdana menteri, masing-masing di bawah Mahathir dan Najib Razak.

Mengenai barisan pelapis pula, Husam menyebut dua nama - juga dari PKR dan Bersatu - iaitu Nurul Izzah Anwar dan Mukhriz Mahathir.

Kata Husam semua pihak perlu menjaga agar tiada lagi pertembungan berlaku di antara keluarga Anwar dan Mahathir seperti pernah berlaku sebelum ini.

"Sinergi antara keluarga Anwar dan Mahathir juga mesti dijaga. Kita tidak boleh biarkan dua keluarga ini berperang semula," katanya yang menambah, jika keadaan tersebut belaku, ia akan merugikan negara.

Heboh abang kandung nikahi adik sendiri

SULAWESI - Seorang lelaki didakwa menikahi adik bongsunya di daerah Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia minggu lalu.

Lelaki berusia 32 tahun itu didakwa telah menjalin hubungan intim dengan adiknya itu sehingga hamil empat bulan.

Pasangan itu kemudiannya melangsungkan pernikahan di tanah perantauan di Provinsi Kalimantan Timur.

Kes itu terbongkar apabila isteri lelaki berkenaan, menonton video pernikahan suaminya itu selain memperolehi dokumen sah pernikahan suami dan adik iparnya dari keluarga mentua.

Dia kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

"Saya harapkan keadilan dan meminta hukuman berat dikenakan dan menangkapnya" katanya.

Memetik Radar Pagi, berdasarkan laporan polis, sumbang mahram membabitkan dua adik-beradik itu berlaku sejak beberapa bulan lalu.

“Setelah selesai proses undang-undang (berhubung kes suaminya berkahwin dengan adik sendiri) saya akan meminta cerai," katanya.

Sementara itu, abang kepada lelaki berkenaan mahu tindakan tegas diambil kepada kedua-dua adiknya itu.

"Kami tujuh adik-beradik, dia adalah adik ketiga menikahi adik kandung yang paling bongsu.

"Saya menegaskan perkara ini amat dilarang dan berharap tindakan tegas dikenakan kepada mereka," katanya.
-sinarharian

Wan Zawawi siar mohon maaf kepada Husam

MALAYSIA DATELINE
Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail memohon maaf kepada Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berhubung penyiaran tulisan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya sebelum ini.

Notis permohonan maaf di akhbar itu berdasarkan penghakiman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun lalu.

“Saya Wan Zawawi bin Wan Ismail dengan ini memohon maaf kepada Husam bin Musa di atas kesilapan saya berkongsi di laman Facebook saya artikel bertajuk, “Betulkah Koon Yew Yin memberi derma untuk Amanah (PAN) jatuhkan kerajaan Islam Pas Kelantan pada tahun 2017,” seperti dipetik.

Dr Wan Zawawi diarah berbuat demikian oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas Husam menang saman fitnah.

Beliau turut diperintah membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dan kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Dr Wan Zawawi diarah supaya menarik balik artikel berkenaan dan menyiarkan permohonan maaf kepada Husam di akhbar nasional selama sehari.

Terdahulu, Husam memfailkan saman susulan penyiaran tulisan di Facebook Dr Wan Zawawi yang mendakwa AMANAH Kelantan menerima duit dari seorang tauke judi parti DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan.

Agong 'kejutkan' Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendapat kejutan sambutan hari lahirnya yang istimewa daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan kejutan itu selepas istiadat rasmi pengurniaan darjah kebesaran.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Kejutan ini dibuat selepas selesai istiadat rasmi persembahan Darjah Kebesaran Persekutuan, Darjah Yang Maha Utama Kerabat Di-Raja Malaysia (DKM) dan Darjah Utama Seri Mahkota Negara," kata suatu kenyataan Istana Negara di Instagram.

Melalui video yang disertakan pada hantaran Instagram itu, perdana menteri dihiburkan dengan nyanyian lagu selamat hari lahir daripada kakitangan istana yang masuk ke dalam ruang istana sambil membawa kek berbentuk piano dan pulut kuning.

Menurut sumber Pejabat Perdana Menteri (PMO) di atas kek itu kelihatan cenderahati sebuah buku berjudul "A Street Cat Named Bob".

Buku nukilan James Bowen itu berdasarkan kisah sebenar persahabatan antara seorang pemuzik gelandangan di jalanan kota London bersama kucing yang dibelanya yang membantunya kembali membina semula kehidupannya selepas terjebak dalam gejala penagihan dadah.

Dr Mahathir ketika sambutan perayaan Krismas tahun lalu membuat hantaran mengenai "A Street Cat Named Bob" yang disifatkan sebagai bacaaan kegemaran beliau.

"Saya tidak sempat untuk membaca buat sementara waktu ini. ‘A Street Cat Named Bob’ - salah satu buku kegemaran saya," tulis Dr Mahathir pada kapsyen dua gambar yang dimuat naik oleh beliau di Facebook pada 25 Disember 2018.

Pemimpin veteran pembangkang dalam usaha tinggalkan parti, dedah Presiden AMANAH

AKMAL MANAF
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mendedahkan, terdapat pemimpin-pemimpin veteran daripada parti pembangkang iaitu Umno dan Pas sedang berusaha meninggalkan kedua-dua parti tersebut.

Tanpa memberitahu nama-nama pemimpin veteran yang dimaksudkan itu Mohamad berkata, mereka sedang berusaha keluar daripada parti pembangkang dan memasuki parti kerajaan, sama ada AMANAH, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sekarang ini mereka cuba untuk menyertai parti kerajaan dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menguatkan kedudukan orang Melayu dan juga memberikan keseimbangan.

“Bagi kita, tuduhan-tuduhan yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak mempedulikan Melayu, pengkhianat Melayu itu adalah tuduhan semata-mata.

“Dari dulu lagi saya menolak pandangan tersebut (tidak peduli dan pengkhianat Melayu), yang melingkupkan Tabung Haji (TH) tiada seorang pun pemimpin DAP dalam TH.

“Yang melingkupkan Felda tiada seorang pun orang DAP dalam Lembaga Pengarah Felda. Melayu lah yang melingkupkan Melayu.

“Kita memerlukan ramai wakil rakyat Melayu dalam PH bertujuan untuk keharmonian dan keseimbangan antara kaum dalam pemerintahan. Ia bukan soal selama ini kita menjadi tunggangan parti itu dan ini,” katanya dalam rancangan temu bual Soal Rakyat TV3, malam tadi.

Rancangan selama satu jam bertajuk ‘Bersama Menteri Pertahanan’ itu dihoskan oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Fiza Sabjahan.

Presiden AMANAH itu mengulas demikian ketika hos menanyakan soalan mengenai bagaimana perancangan yang telah dilakukan AMANAH, khususnya di peringkat akar umbi bagi memastikan parti tersebut akan terus kukuh dan utuh.

Susulan pertanyaan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan, walaupun parti AMANAH baru berusia 3 tahun, namun jumlah terbaharu keahlian parti tersebut telah melebihi 120,000 dan ianya berkembang.

“Perkembangan ini semakin ketara apabila sahnya perkahwinan Umno dan Pas, kerana orang-orang Melayu sekarang melihat perkahwinan dua parti itu, memang pada sepintas lalunya kita lihat mereka kuat.

“Tetapi, perubahan sikap dalam kalangan pemimpin-pemimpin veteran terutama sekarang ini, sedang berusaha untuk meninggalkan kedua-dua parti tersebut,” jelas Mohamad yang juga Menteri Pertahanan.

MB S'ngor nafi jalin hubungan dengan Adun wanita

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) wanita dari negeri ini.

Amirudin berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

Dakwaan itu dilaporkan timbul berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang dikatakan di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

"Saya yakin saya tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu itu saya berada di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sayangi Generasiku peringkat Kuala Selangor anjuran Pemadam di Kuala Lumpur hari ini.

Amirudin berkata beliau tidak tahu mengapa beliau menjadi sasaran dan menegaskan beliau tidak pernah melakukan perkara di luar batasan.

Tuduhan itu, katanya, tidak memberi kesan kepadanya secara individu tetapi apa yang dirisaukan ialah ia seolah-olah sudah menjadi budaya untuk 'membunuh' seseorang melalui jalan fitnah

Ditanya sama ada tuduhan itu dibuat ahli parti sendiri, Amirudin berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu.
-Bernama

Kes video seks dengan murid darjah 6, netizen kumpul di luar rumah suspek

B Nantha Kumar

Susulan tular video memaparkan seorang lelaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan India berumur 12 tahun, beberapa netizen yang marah berkumpul di luar rumah suspek di Seremban, Negeri Sembilan.

Video yang tersebar di aplikasi WhatsApp menunjukkan sekumpulan orang berkumpul di luar rumah pemandu lori tersebut.

Kedengaran salah seorang yang berkumpul bercakap dalam bahasa Tamil: "Kami sedang berada di rumahnya. Tiada sesiapa di dalam. Nampaknya dia sudah lari."

Dalam pada itu, terdapat satu lagi video memaparkan sebuah kereta terbakar di luar sebuah rumah yang dikatakan diduduki suspek atau salah seorang anaknya.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Negeri Sembilan Wan Rukman Wan Hassan memaklumkan video berkenaan tidak berkaitan dengan kejadian tersebut.

"Tidak keretanya tidak dibakar. Kalau ada yang kata keretanya dibakar, saya minta mereka tampil hadapan untuk membuat laporan," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Wan Rukman turut menasihatkan orang ramai supaya menghormati undang-undang dan tidak menganggu keluarga suspek.

Suspek berusia 65 tahun telah ditangkap dan ditahan reman sehingga 15 Julai. Sementara itu gambar suspek bersama isteri dan tiga anaknya juga tersebar di media sosial.

Menurut Wan Rukman, ibu mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari mengenai klip video yang memaparkan suspek dan anaknya, seorang murid darjah enam sekolah rendah.

"Rampasan telah dibuat sebuah kereta jenis Proton Waja dan dua buah telefon bimbit milik suspek dipercayai mengandungi video berhubung perbuatan kelucahan melampau ke atas mangsa.

"Suspek membawa kanak-kanak perempuan itu tiga kali pada bulan lalu. Kami masih menyiasat sekiranya dia memaksa kanak-kanak perempuan itu untuk melakukan perbuatan yang sama pada dua waktu terdahulu," katanya lagi.

Malaysiakini difahamkan mangsa yang berusia 12 tahun itu tinggal di kawasan perumahan yang sama dnegan suspek.

Dipercayai suspek merakam sendiri klip berkenaan di bahagian belakang keretanya.

Sementara itu, Wan Rukman yang mendedahkan 17 laporan polis telah dibuat mengenai kejadian itu berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hukuman pada Wan Ji terlalu keras, kata Anwar

Annabelle Lee

Presiden PKR Anwar Ibrahim menganggap hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas pendakwah Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan terlalu keras dan tidak selari dengan pembaharuan demokratik.

"Ia (pemenjaraan Wan Ji) malang, saya bersimpati.

"Saya fikir hukuman itu terlalu keras.

"[...] Ini bukan sesuatu yang selari dengan peralihan demokratik (ketika pilihan raya umum ke-14)," katanya ketika ditemui selepas sesi soal jawan yang dianjutkan organisasi antarabangsa World Movement for Democracy di Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Wan Ji mula menjalani hukuman di Penjara Kajang hari ini.

Ditanya sama ada Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan permohonan rayuan timbalan pendakwa raya berhubung kes itu, Anwar mengenepikan soalan itu dan mengulangi bahawa hukuman terhadap Wan Ji sesuatu yang "malang".

Keputusan mahkamah terhadap Wan Ji mengundang kritikan sesetengah pihak, dengan Suaram menggesa penjelasan awam daripada Thomas.

Peguam Syahredzan Johan pula mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara yang membuat rayuan untuk menambah hukuman terhadap Wan Ji.

Wan Ji, yang merupakan anggota PKR pernah menjadi pegawai di pejabat ketua menteri Pulau Pinang di bawah Lim Guan Eng.

Wan Ji kemudian menubuhkan NGO yang bertumpu kepada dialog antara agama.

Pada 2014, Wan Ji disabitkan bersalah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan berhubung kiriman di Facebook berhubung Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun hukumannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Peguam Wan Ji hari ini memohon penangguhan hukuman dan memaklumkan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dakwaan 'rogol' pembantu rumah: Polis siasat exco Perak

Polis sedang menjalankan siasatan ke atas seorang anggota exco Perak selepas seorang pembantu rumahnya menuduh dia melakukan serangan seksual terhadapnya.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Choo Lily mengesahkan laporan itu dibuat semalam.

Beliau berkata Adun DAP itu sedang disiasat atas pertuduhan merogol dan polis telah merakamkan kenyataan mangsa berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jika suspek tersebut dipanggil untuk disoalsiasat.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily melaporkan exco penggal pertama itu memberitahu bahawa dia tidak bersalah.

Bagaimanapun, bapa kepada empat orang anak itu enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu sedang disiasat oleh polis.

Tuduhan itu dibuat dua hari sebelum barisan exco Perak baru mengangkat sumpah. Ahli Exco Perak dilantik secara tahunan.

Dalam barisan semasa susulan pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, lima daripada 10 anggota exco di Perak adalah terdiri daripada Adun DAP.

Mereka adalah Wong Mei Ing, A Sivanesan, Paul Yong, Howard Lee dan Abdul Aziz Bari.

Sementara itu, pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata parti akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

"Ini adalah tuduhan serius . DAP memandang berat dengan tuduhan itu.

"Oleh kerana laporan polis telah dibuat dan parti berpendirian bahawa tiada sesiapapun yang berada di atas undang-undang, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh.

"Tindakan sewajarnya akan diambil bergantung kepada keputusan siasatan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan.

Azmin diejek dalam acara Felda di Pahang

FMT Reporters
PETALING JAYA: Sorakan mengejek jelas kedengaran apabila Mohamed Azmin Ali berucap di hadapan ribuan peneroka Felda pada satu majlis yang turut menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, di Pahang semalam.

Klip video kejadian itu tular di media sosial, yang menunjukkan ucapan Azmin ditenggelamkan oleh sorakan “boo” dalam kalangan peserta yang menghadiri sambutan Hari Peneroka 2019 peringkat kebangsaan di Felda Selancar 3 di Rompin.

Azmin berucap tentang usaha kerajaan baru memulihkan Felda berikutan dakwaan salah pengurusan dan salah guna dana sewaktu beliau diejek oleh hadirin.

Ketika diminta komennya, sekutu Azmin dalam PKR, Aliff Bahardin berkata, reaksi khalayak itu tidak mengejutkan kerana mereka berada di “wilayah musuh”.

“Anda perlu faham, kita berada di negeri Umno, iaitu Pahang, dan pasti akan ada orang yang membuat kacau.

“Berikutan begitu banyak skandal dalam Felda yang disebabkan oleh Umno, perkara sebegitu bukanlah besar. Kita perlu fokus pada sebanyak mana wang yang dicuri daripada Felda semasa pemerintahan Umno dan Najib Razak,” kata timbalan ketua PRK Permatang Pauh itu kepada FMT.

“Azmin kini sedang berusaha memulihkan Felda. Mengembalikan zaman kegemilangannya.”

Menteri hal ehwal ekonomi itu berdepan tekanan besar kebelakangan ini berikutan dakwaan mengadakan hubungan seks sejenis dengan seorang bekas pemimpin pemuda PKR Sarawak.

Haziq Aziz yang membuat dakwaan itu kini dipecat sebagai ahli PKR, selain hilang jawatannya dalam kerajaan.

Polis berkata, ia masih menyiasat video tular menunjukkan 2 lelaki mengadakan hubungan sejenis dalam sebuah bilik di sebuah hotel.

Azmin menafikan beliau merupakan lelaki di dalam video berkenaan, dengan berkata, ia merupakan percubaan untuk membunuh kerjaya politiknya.

Hebatnya permainan di sebalik surat akuan bersumpah palsu

Timmy Say

Setelah video homoseksual yang mengaitkan Azmin Ali dan keputusan Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai presiden Umno, politik Malaysia digemparkan lagi dengan penyebaran surat akuan bersumpah palsu yang melibatkan beliau dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua tokoh politik tersebut dengan tangkas mengecam gambar dokumen “akuan bersumpah” tersebut yang mendakwa mereka memberi sokongan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai “palsu” dan “fitnah”.

Kini tinggal pesuruhjaya sumpah dan pemilik cop pesuruhjaya sumpah yang jelas kelihatan pada 2 dokumen tersebut belum tampil menafikannya. Apakah wujud pesuruhjaya sumpah seperti yang tertera? Setakat ini belum ada siapa yang tahu.

Strategi menggunakan surat akuan bersumpah palsu adalah strategi yang lumrah dalam politik yang boleh mencapai beberapa objektif tertentu.

Pertama, surat akuan bersumpah palsu boleh digunakan untuk membangkitkan kesangsian terhadap sasaran, terutama daripada sudut kesetiaan terhadap integriti sasaran, serta kesetiaan kepada bos dan parti masing-masing.

Surat akuan bersumpah palsu juga boleh digunakan untuk memaksa sasarannya tampil menafikan apa yang tersurat dan menimbulkan apa yang tersirat.

Jika kita mengambil surat akuan bersumpah palsu yang melibatkan Zahid dan Muhyiddin sebagai contoh, kedua-dua ketua parti itu terpaksa tampil menafikan dengan cepat seperti yang berlaku semalam.

Tapi penafian tersebut akan sekali gus menimbulkan persepsi mereka juga menafikan sokongan terhadap Anwar untuk menggantikan Mahathir dan mereka akan terus menyokong Mahathir untuk kekal sebagai PM. Tiada siapa yang lebih mengetahui, selain mereka berdua sama ada perkara itu benar ataupun tidak secara tersirat.

Bukan itu sahaja, meskipun mereka tampil menafikan surat tersebut, namun surat akuan bersumpah yang palsu ini akan menimbulkan kesangsian yang munasabah dan teori konspirasi terhadap kesetiaan kedua-dua ketua parti itu kepada parti mereka.

Sudah pasti ada antara ahli dan pimpinan parti yang percaya surat tersebut tulen, dan penafian adalah sekadar satu langkah politik untuk menyelamatkan diri atau suatu rancangan sulit.

Masalah tersebar ialah apabila timbulnya konspirasi politik sebegini ia susah dimatikan, malah akan terus subur dan menjadi perbualan di kedai kopi sehingga adalah teori konspirasi lain mematikannya.

Barangkali ini antara objektif utama surat akuan bersumpah tersebut disebarkan.

Selain itu, strategi surat akuan bersumpah palsu juga digunakan untuk mematahkan strategi atau serangan yang dijangka mendatang.

Bayangkan, sekiranya surat akuan bersumpah itu sebenarnya tulen, maka penafian tuan punya badan terhadap surat tersebut akan menyebabkan surat akuan bersumpah itu terbatal dengan sendirinya.

Lihatlah betapa hebatnya strategi politik surat akuan bersumpah palsu ini. Ini boleh mematahkan strategi lawan, menimbulkan persepsi baru dan mengucarkacirkan sasaran dengan menimbulkan kesangsian yang mendalam.

Persoalannya siapakah yang melancarkan strategi politik surat akuan bersumpah ini? Tanyalah diri, siapakah yang rugi dan siapakah yang untung dalam episod ini?

Pelbagai perkara yang menarik sedang berlaku dalam politik Malaysia hari ini.

Surat akuan bersumpah palsu yang melibatkan Zahid dan Muhyiddin berlaku selepas Zahid kembali bercuti menjadi presiden Umno dan pada masa yang sama, Lim Kit Siang membuat kunjungan mengejut berjumpa Mahathir. Apakah semua ini kebetulan selepas Latheefa Koya dilantik ketua pesuruhjaya SPRM?

Rakyat Malaysia, percayalah ia cuma satu kebetulan seperti tindakan Anwar dan Mahathir saling mengulang-ulang janji Anwar akan menjadi PM seterusnya.

Ia juga seperti janji Pakatan Harapan menghapuskan tol dengan membeli konsensi lebuh raya sambil memperkenalkan caj kesesakan.

Hadi yang menambah kekeliruan

Pujangga Ramadzan
Dahulu - beberapa tahun lalu - ada beberapa pemimpin atasan Parti Islam Semalaysia yang sentiasa bimbang jika mikrofon dihulurkan kepada mursyidul am mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah, oleh media.

Mereka bimbang jika Nik Aziz mengeluarkan pandangan politik yang bercanggah atau merugikan parti. Namun biasanya beliau tidak menghampakan. Akhirnya, semua adalah sejarah.

Hari ini, bukan sahaja pemimpin atasan parti tersebut bimbang, sebaliknya rasa itu dikongsi pemimpin di peringkat parti. Malah tokoh-tokoh agama luar parti tersebut juga sering bimbang dan kecewa jika presiden PAS berkata-kata di hadapan media.

(Ini hasil pertimbangan dan renungan penulis yang tiada siapa dipaksa mempercayainya.)

Apabila Abdul Hadi selaku orang ada ilmu fiqh dan usul fiqh mengulas isu perisytiharan harta, apakah ia dikira sudah selesai dan masyarakat Malaysia boleh terus mempraktikkan pandangannya?

Sama sekali tidak. Ia hanya menambahkan kekeliruan semata-mata.

Berapa kerap isytihar

Malah, sebahagian kata-katanya telah menjadi bahan gurauan dan sindiran komuniti siber. Ia suatu keadaan yang tidak pernah dialami oleh almarhum Nik Aziz.

Malang sekali bagi parti tersebut. Malang juga bagi anggota parti yang sedar kekeliruan terhasil daripada Abdul Hadi tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. (Sebenarnya mereka boleh buat sesuatu. Tukar sajalah.)

Sebagai pemimpin yang sudah puluhan tahun berkecimpung dalam politik Malaysia, sepatutnya beliau tahu dengan baik bagaimanakah proses pengisytiharan harta dilakukan.

Siapakah yang selama ini terikat dengan peraturan tersebut dalam kalangan penjawat awam? Berapa tahun sekali mereka perlu isytihar?

Setelah memahami dan meneliti dengan baik praktis semasa, barulah beliau - selaku orang berilmu fiqh dan usul fiqh - menilai amalan tersebut dari sudut hukum. Bukannya dengan menulis 'cek terbuka' bahawa hukum isytihar itu terikat kepada hukum wajib, haram, makruh, sunat dan harus.

Jika semudah itu jawapannya, media tidak perlulah bersusah payah mencari beliau. Orang-orang media juga tahu. Melainkan media memang ingin mencipta 'bahanlah.'


Gambar fail
Jika ada kemungkinan berlakunya rasuah, Abdul Hadi berpandangan, bahawa wajib perisytiharan dilakukan. Apakah beliau mahu membeza-bezakan hukum isytihar ini antara anggota parlimen Malaysia?

Seakan-akan beginilah: "Ok, si fulan ini ada kecenderungan melakukan rasuah, maka dia wajib isytihar. Si fulan dari parti agama itu yang miskin dan tiada sebab orang nak merasuah dia, maka tidak wajib isytihar. Ini pula presiden parti agama yang hidupnya zuhud tapi banyak harta, haram isytihar kerana jika isytihar maka timbul buruk sangka atau merosakkan imej perjuangan Islam..."

Begitukah akhirnya praktis perisytiharan harta jika parti agama mentadbir, duhai penasihat-penasihat politik Abdul Hadi?

(Sekali lagi diingatkan, para pembaca tidak dipaksa mempercayai andaian-andaian penulis ini.)

Cuba renung sekejap

Lebih malang apabila beliau mengaitkan amalan perisytiharan harta dengan teori komunis dan sosialis. Tiba-tiba masyarakat siber lupa seketika fitnah usia emas terhadap menteri belia dan sukan. Mereka beraya dengan kenyataan Abdul Hadi.

Terdapat seorang penulis yang dipercayai ahli parti tersebut cuba mempertahankan pandangan Abdul Hadi dengan menyokong kononnya idea isytihar secara terbuka dimulakan oleh sosialis di United Kingdom.

Namun beliau gagal mendedahkan amalan perisytiharan itu bagi tempoh masa sebelumnya sehingga ke era zaman pertengahan dan era khilafah Islam dan sahabat Nabi SAW.

Cuba para pembaca renung sejenak - bagaimanakah kita pada hari ini tahu sahabat nabi yang mana kaya dan yang mana miskin sedangkan semua mereka bukan orang yang menunjuk-nunjuk harta, dan bukan pula pengejar kemasyhuran nama dan pangkat seperti Datuk dan Datin.

Maksud penulis, kalau ada pangkatlah. Bukan pula penulis nak menyindir sesiapa.

Bukankah sahabat-sahabat yang kaya tadi mendedahkan harta mereka kepada umum sehingga akhirnya kekayaan mereka dicatatkan oleh penulis sejarah Islam kemudiannya.


Gambar fail
Umat Islam juga maklum dengan amalan yang dilakukan oleh Sayidina Umar terhadap pembesar di bawah penguasaannya.

Habis, kenapakah Abdul Hadi mahu mengaitkan amalan itu dengan teori komunis dan sosialis? Beliau seorang ustaz dan ahli agama yang ada sijil sarjana dalam bidang siasah syariyyah (politik dan pentadbiran menurut syariat), tahu kedudukan sesebuah kerajaan memiliki kekuatan untuk menentukan amalan terbaik bagi pencegahan kemungkaran rasuah dan seleweng wang di bawah kaedah sad zara'ie, masih mahu berhujah dengan teori komunis dan sosialis?

Bukankah itu hanya mahu menambah kekeliruan. Lebih daripada itu - seperti biasa yang beliau lakukan - ia hanyalah untuk memburukkan parti lawan, memperlekeh kerajaan dan menganggap orang lain tidak sebaiknya dalam serba-serbi.

(Pembaca tidak diwajibkan mempercayai kesimpulan yang dibuat penulis ini.)

Sebaliknya lihatlah bagaimana beliau mengaitkan perisytiharan harta dengan sosialis dan komunis, kemudian menuduh - dengan beralas kalimah "mungkin" - bahawa ianya dibayangi DAP yang mempengaruhi kerajaan.

Asas sesuatu adalah harus

Orang politik tetap orang politik walaupun beliau seorang pemegang sarjana siasah syariyyah. Beliau hanya mahu menetapkan satu perisytiharan bahawa kerajaan PH dikuasai DAP. Itu sahaja.

Sekilas ikan di pantai Marang, sudah kutahu itu nelayan berintegriti atau korup.

Akhirnya, penjawat awam dan masyarakat umum semakin keliru dengan ayat yang keluar dari lidah Abdul Hadi itu.

Mereka tertanya-tanya, apakah amalan mengisytiharkan harta dalam kalangan penjawat awam adalah warisan daripada komunis dan sosialis?

Baca Bara ekstrem dalam 'sekam' PAS

Bagaimana pula ketika beliau sendiri - beberapa tahun lalu - mendesak agar pemimpin negara mengisytiharkan harta masing-masing? Apakah ketika itu beliau beriman - opps maaf - percaya dengan pandangan sosialis dan komunis?

Kalau tidak, kenapa orang lain dituduh sedemikian, tetapi beliau pula, tidak. Bukankah itu namanya munafik pendirian?

Beliau boleh sahaja mengulas dengan khusus amalan perisytiharan harta untuk semua anggota parlimen sahaja, melihat daripada sudut kaedah fiqh al-aslu fil asyya' al-ibahah iaitu asal sesuatu perkara adalah harus.

Kemudian ditambah dengan kaedah pencegahan mungkar dan disokong dengan amalan isytihar oleh para sahabat dan khilafah.

Malangnya, beliau mahu berpolitik. Tetapi silap percaturan. Sendiri kena checkmate.


Tiada apa yang selesai jika Abdul Hadi berkata-kata dalam isu ini. Ramai yang menyuruh pembantu beliau menghulurkan ubat kepadanya. Itu saya tidak setuju pula. Jangan kita menghina beliau.

Cukuplah kita simpulkan, sejak kebelakangan ini, Abdul Hadi gagal menjadi tokoh penyelesai masalah negara melalui perspektif syariat. Hanya menambah kekeliruan.

Cadangan penulis: beliau perlu berundur. Kekal sebagai tuan guru ilmu tafsir dan fiqh di Rusila dengan pengajiannya yang amat baik itu, dipancarkan ke seluruh dunia. Gobind Singh Deo rasanya boleh membantu.

PUJANGGA RAMADZAN ialah pelayar laman sosial yang memiliki minda kritis terhadap walak melampau, selain menolak amalan taasub yang tebal dalam masyarakat Muslim.

Politik berbeza pernah buat suami isteri akad nikah semula

Ketika hubungan PAS dan Umno semakin intim, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terkenang kembali betapa kemelut politik di antara dua parti Melayu suatu ketika dulu begitu mendalam di Terengganu.

Dalam hantarannya di media sosial, Mohd Asri berkata pada awal minggu ini beliau dikunjungi seorang ustaz dari negeri di Pantai Timur itu.

Katanya individu tersebut bekas aktivis sebuah parti politik, namun tidak menyatakan secara jelas pertubuhan mana yang dimaksudkannya.

Mohd Asri yang kerap memberikan kritikan mengenai perbalahan berpunca daripada perbezaan politik di negara ini berkata ustaz tersebut bercerita mengenai tiga abangnya yang sudah berkahwin kemudian melakukan akad nikah semula gara-gara politik yang berbeza.

"Ini dibuat atas alasan kadi itu (yang menikahkan kali pertama) adalah dari parti lawan, maka akidah mereka rosak dan batal.

"Dalam bahasa mudahnya, mereka (kadi yang menikahkan) kafir. Maka, setelah akad yang berdaftar, dibuat akad yang baru," katanya.

Untuk rekod perselisihan pandangan politik di antara PAS dan Umno pernah mencapai titik serius pada era 1980-an dan awal 1990-an lalu. Secara perbandingan ia lebih ketara di Kelantan dan Terengganu.

Usah mudah mengkafirkan

Perbezaan fahaman itu pernah menyaksikan berlaku sembahyang dua imam dalam masjid sama, pemulauan majlis keraian atau kenduri, perceraian pasangan suami isteri dan penolakan sembelihan.

Sesetengah pihak mengaitkan kejadian itu dengan ucapan dibuat Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981. Ia kemudian digelar sebagai "Amanat Haji Hadi".

Selepas BN diketepikan oleh PH dari Putrajaya, pemimpin semasa Umno dan PAS menyalahkan orang tertentu dalam parti berkenaan sebagai punca pertelingkatan silam.

Baca Pensyarah terkejut MP PAS nak sekeh kepala mufti

Kata Mohd Asri, beliau bertanya mengenai perkembangan semasa di Terengganu kepada ustaz yang berkunjung ke pejabatnya itu dan masih adakan lagi pasangan yang berakad nikah semula.

"Jawab beliau, sekarang sudah tidak lagi. Dah jadi sahabat," katanya.

Ekoran itu mufti berkenaan mengutarakan soalan sama ada pendirian puluhan tahun silam atau sekarang yang benar, atau kedua-dua era itu dianggap benar.

"Saya tanya lagi, dahulu ke betul atau sekarang ke betul? Atau dahulu pun betul - ertinya parti itu kafir - dan sekarang pun betul - iaitu dah tidak kafir lagi? Tapi, apa asas untuk perbezaan itu?" katanya.

Justeru Mohd Asri berkata itu adalah antara bahaya yang tercetus apabila isu agama dilibatkan dalam perbezaan dan persaingan politik.

"Apa pun, kita doakan agar sikap dan pegangan seperti itu tidak wujud lagi. Semoga umat Islam semuanya tidak mudah mengkafirkan sesama sendiri," katanya.