"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chegubard nak tawan bangunan MITI?

chegubard
KUALA LUMPUR: Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengugut untuk menawan dan mengambil alih bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sekiranya mereka meneruskan urusan perdagangan dengan pihak Israel di masa akan datang.

Beliau yang juga merupakan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kecewa dengan tindakan pihak kerajaan yang dilihat seolah-olah ‘munafik’ dalam isu ini.

“Pihak kerajaan terutamanya menteri-menteri hanya berlakon apabila mereka menunjukkan kesedihan ketika Palestin diserang, tetapi secara diam-diam mereka menjalankan urusan perdagangan dengan pihak Israel.

“Bukan itu sahaja, negara kita juga merupakan rakan dagang utama pihak Israel. Kita membekalkan hasil bumi negara kita seperti sawit, koko dan getah kepada pihak Israel,” katanya sewaktu berucap di hadapan bangunan MITI.

Jelasnya lagi, pada tahun 2004, pihak kerajaan telah membentangkan akta untuk membenarkan perdagangan dengan pihak Israel, dan sebelum ini pada tahun 1996, Malaysia telah membuka pintu seluas-luasnya untuk melakukan perdagangan dengan Israel.

“Kita menderma kepada tabung bantuan Palestin, tetapi secara tidak langsung kita juga meneruskan kelangsungan Israel,” ujarnya.

Katanya lagi, “Sebelum ini apabila negara hendak menghantar bantuan seperti panadol, kita telah disekat, tetapi kini pihak negara kita pula terus ‘menghidupkan’ ekonomi Israel

“Kita serius, ini merupakan langkah pertama kita, tetapi jika pihak MITI tidak mendengar tuntutan kita, kita serius untuk menawan MITI,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut menyatakan bahawa mereka sedar Perdana Menteri Najib Razak takut dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, tetapi jika Najib berani untuk menghentikan perdagangan dengan pihak Israel, pihaknya sendiri akan berada di belakang Najib untuk menyokongnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya turut mempunyai set borang kastam yang menunjukkan negara kita menyumbang kepada pihak Israel.

Dalam perhimpunan itu, satu memorandum telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Nik Rahman Nik Taib yang hanya menerima memorandum itu di luar pintu pagar MITI sambil dikawal oleh pihak polis bersenjatakan.

Dalam perhimpunan membantah hubungan dagang Malaysia dan Israel, kira-kira lebih 30 orang peserta berhimpun di hadapan bangunan MITI dan mereka turut melaungkan sorakan “hidup-hidup, hidup rakyat, bangkit-bangkit bebaskan Palestin,”.

Kain hitam turut diikat di pintu pagar bangunan MITI sebagai simbol untuk menghentikan perdagangan Malaysia dan Israel.

Siapa AJK PAS Pusat yang kata sudah malas 'gaduh' dengan Ust Hadi!

ABD RAHIM SABRI
Cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memilih Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai calon menteri besar Selangor jika dapat menarik beberapa lagi anggota PKR bekerjasama dengan Umno, menimbulkan keresahan anggota jawatankuasa (AJK) PAS.

Sekalipun pegawai kanan Hadi dan pemimpin PAS menafikan keras, ia tetap mengundang resah dan "penolakan dari dalam" kumpulan Erdogan, malah segelintir kumpulan pro-ulama yang "berang berbaur terkejut" dengan perkara itu.

Sumber-sumber PAS memberitahu Malaysiakini, mesyuarat AJK pusat Isnin lalu, ada pemimpin yang sudah malas 'bergaduh' dengan Hadi.

Malah ada juga yang 'bersingsing lengan' dengan presiden PAS itu dan ada juga yang mempertahankan keputusan 17 Ogos itu yang memilih Azmin di samping Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Ekoran itu, pemimpin PAS dilihat dalam dilema - diluah mati emak, ditelan mati bapa - ekoran pendirian terbaru Hadi yang tidak selari dengan keputusan sebulat suara AJK Pusat PAS Ahad dua minggu lalu.

Ia sekaligus menambahkan parah krisis menteri besar Selangor.

Bagaimanapun penolakan itu, sumber-sumber parti memberitahu, tidak sampai ke tahap penolakan mutlak terhadapnya, termasuk dalam Muktamar PAS 2014 di Johor pada 18-20 September depan.

"PAS berada dalam keadaan dilema tetapi tidak sampai menolak Abdul Hadi (di muktamar). (Malah) ada pemimpin kanan PAS yang tak dipercayai oleh Abdul Hadi (ekoran penolakan itu).

"Mereka terkejut dan tidak setuju dengan dua perkara, bergabung dengan Umno dan mengajar parti rakan khianat (kepada Pakatan Rakyat)," kata sumber kepada dihubungi Malaysiakini semalam.

Sejarah 80-an berulang?

Mengimbau sejarah PAS lebih tiga dekad lalu, sumber-sumber berkata isyarat penolakan Hadi itu boleh berlaku sepertimana ketika Yang Dipertua PAS Datuk Asri Muda disingkirkan pada 1982 dan digantikan Yusof Rawa.

Sementara pada 1986 pula, Yusof pula diasak apabila idea penubuhan Majlis Perundingan Masyarakat Cina (CCC), sebuah badan bagi mempromosikan dasar PAS kepada bukan Islam, ditolak walaupun menjadi sebahagian daripada ucapan dasar yang dipertuanya.

"(Dengan kata lain, perwakilan ketika itu) menolak usul yang menjadi sebahagian daripada ucapan dasar, (dan ia) dianggap sebagai menolak presiden," katanya.

Sumber-sumber lain yang dekat dengan PAS pula mempersoal perubahan sikap Hadi yang dikatakan tiba-tiba menjadi negatif dan kelihatan terlalu marahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat AJK PAS Pusat pada Isnin lalu.

Sumber itu tidak menolak kemungkinan wujudnya gerakan untuk menolak Hadi termasuk mencabarnya sebagai presiden pada pemilihan PAS tahun depan.

Antara alasan yang digunakan ekoran ekoran pendekatan “one man show” (bergerak sendiri) beliau dalam membuat keputusan politik.

Malah, kedua-dua kelompok dalam PAS – kumpulan Erdogan dan pro-ulama – kini dikatakan sama-sama cuba “membersihkan” satu sama lain.

“Presiden akan dicabar," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sementara itu, mengakui PAS berdepan dengan "situasi berkecamuk" berhubung kemelut ini, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengakui "PAS pernah mengalami situasi penolakan" terhadap ketuanya sebelum ini.

Salahuddin: Ribut mana tak berhenti

"(Tetapi) biarlah masa menentukan. Untuk berlaku adil terhadap presiden (Hadi), beliau boleh berhujah, memberi pandangan, menjawab persoalan secara terbuka sebagai ketua parti. Maka berlaku interaksi dua hala.

"Perwakilan (juga) akan memberikan penilaian yang jujur dan muktamar terbuka untuk bercakap. Muktamar satu lagi medan untuk perwakilan berucap mengenai harapan, sindiran atau kritikan," katanya.

Beliau menjawab soalan sama ada cadangan bekerjasama dengan Umno yang dikemukakan Hadi itu boleh mencetuskan tanggapan buruk terhadap pemimpin nombor satu PAS itu, sekaligus menyebabkan beliau ditolak.

Salahuddin, bekas MP Kubang Kerian itu berkata, sebagai sebuah parti yang menjunjung demokrasi, PAS tidak mengongkong semua pihak dalam parti itu memberikan pandangan.

"Akhirnya satu keputusan dapat dicapai. Biarkan ia (krisis MB ) bergelora dan akhirnya berakhir dengan satu kematangan. Politik baru ini tidak boleh dielak. Ini yang anak muda mahu.

"Biarkan gelora itu berhenti (dengan sendirinya). Ribut mana yang tidak mahu berhenti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PAS Sengaja Mencari Helah Untuk Keluar Pakatan ?

Abu Hassan Adam
Sejak dari mula lagi aku sudah merasakan bahawa tindakan TG Haji Hadi membuat kenyataan akhbar secara terbuka menyokong kepimpinan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah dirasakan ‘tidak berapa kena’. Aku tidak pula mempersoalkan kebebasan TG Hadi Awang untuk mengemukakan pandangannya.

Bukan begitu. Sebagai Presiden PAS, beliau memang sepatutnya membuat keputusan jelas. Beliau bebas untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak.Tetapi yang aku agak ‘terkilan’ ialah cara keputusan itu disampaikan.

Pada pandangan aku, sepatutnya apa yang ingin disuarakan oleh TG Haji Hadi mengenai sokongannya kepada TS Khalid Ibrahim (yang sekali gus menentang keputusan PKR ) dibincangkan dahulu dalam majlis tertutup antara PAS,DAP dan PKR. Dalam mesyuarat sedemikianlah forum yang paling sesuai untuk percambahan fikiran dan dinyatakan baik buruknya. ‘Penghazaman’ sesuatu isu elok dilakukan dalam bilik mesyuarat tertutup yang dihadiri oleh kaum ‘keluarga’ terdekat dan tidak diketahui langsung oleh sesiapa pun yang tidak berkaitan.
Apabila TG Haji Hadi telah membuat keputusan dan telah menjadi berita besar dan ‘hangat’ maka tentulah terlalu sukar untuk berpatah balik kebelakang sekiranya ada perubahan fikiran di pihak PAS selepas ini. Peribahasa Melayu mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Aku terfikir juga dan aku mempersoalkan. Apakah dalam politik tidak langsung mengambil kira hati dan perasaan kawan dan rakan? Aku bukan mempersoalkan pandangan atau keputusan yang dibuat. Aku lebih mementingkan ‘adab berkawan’ dan ‘menjaga hati kawan’. Mungkin cara berfikir yang aku amalkan sudah tidak secocok dengan pemikiran manusia zaman kurun ke 21. Mungkin…

Sebelum kenyataan yang dibuat oleh TG Haji Hadi ini, sudah berapa pengumuman yang telah dibuat oleh pihak kepimpinan PAS Selangor yang menyatakan sokongan terhadap TS Khalid Ibrahim.Sekali lagi aku nyatakan bahawa hakikat itu bukan persoalannya. Yang aku agak hairan ialah mengapa perlu dinyatakan secara terbuka melalui media massa. Bukankah elok dibincangkan dalam suatu majlis tertutp supaya tidak diketahui oleh masyarakat tentang ‘apa yang ada dalam kain kita’. Ataupun mungkin agaknya sengaja dilakukan begitu oleh pemimpin sedemikian yang mahu menunjukkan bahawa mereka sememangnya hebat dan supaya diketahui oleh orang ramai bahawa mereka sebagai pemimpin berwibawa. Ataupun mungkin sudah ada terhasrat dalam hati setengah pemimpin yang ‘hubungan ‘ PAS dalam Pakatan Rakyat ini tidak akan bertahan lama.

Telah tersebar juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa PAS akan bekerjasama dengan UMNO untuk menerajui semula Selangor. Mungkin cadangan yang sedemikian datangnya dari golongan muda yang tidak tahu dan tidak pernah tahu bagaimana PAS telah dikecewakan oleh UMNO dalam kemelut Kelantan pada akhir tahun 1970an. Hanya TG Nik Aziz yang dapat memberikan penjelasan dalam hal ini. Mungkin pemimpin muda dari PAS tidak tahu tentang ‘sepak terajang’ dalam politik UMNO. Mungkin golongan muda dalam PAS mudah lupa tentang bagaimana UMNO ‘menghina dan mengherdik’ kepimpinan PAS. Mungkin juga golongan muda ini hanya memikirkan tentang ‘habuan’ yang akan diperolehi sekiranya mereka menyertai UMNO. Mungkin….

Mungkin pengalaman yang dilalui oleh Kelantan itulah agaknya yang menyebabkan kepimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah segera untuk menggantikan Menteri Besar Selangor dengan yang baru. Mungkin dari satu sudut kelihatan TS Khalid tidak banyak cacat celanya, namun dari sudut lain boleh membawa kepada terjatuhnya negeri Selangor ke tangan BN semula seperti yang berlaku di Terengganu dan Kedah. Ini tidak mungkin tidak akan berlaku.

Nampaknya kemelut politik di Selangor tidak akan selesai dalam masa terdekat. Keadaan berlaku sedemikian disebabkan semacam tidak ada keikhlasan di setengah pihak yang bertelagah untuk menyelsaikan isu ini dengan jayanya. Tambah merumitkan keadaan,terdapat pula pihak luar yang septutnya tdak mencampuri urusan politik dalaman Pakatan Rakyat telah cuba pula ‘menangguk di air keruh’. Walaupun sememangnya keadaan ‘keruh’ sedemikian yang diharapkan oleh pihak berkenaan. Ibarat kata orang tua-tua, ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

Tetapi persoalannya kini ialah sudah banyak ‘kata-kata’ yang sudah terlajak yang amat sukar untuk diundur. Kita sentuh lagi kata orang tua-tua yang mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur dan terlajak kata buruk padahnya’. Yang paling tidak menyenangkan rakyat (Melayu dan bukan Melayu) yang cintakan kewujudan bangsa Malaysia yang tulin ialah kenyataan dari salah seorang pemimpin PAS yang membayangkan tentang kemungkinan kerjasama PAS dan UMNO.

Aku semacam setuju dengan pandangan YB Khalid Samad yang mengatakan bahawa, ‘"The image of PAS has been tarnished and non-Muslims will lose faith in PAS,"(Malaysiakini 5 Ogos 2014). Ini yang dikatakan bahawa isu yang wujud dalam kemelut Selangor kini bukan lagi mengenai penggantian MB Selangor, malah telah menjadi isu yang ‘bersimpang sior’. Kenyataan yang ‘melukakan hati’ seolah-olah akan ‘terpahat’ di hati golongan bukan Melayu yang merupakan penyokong kuat Pakatan Rakyat (PAS) dalam PRU 13 yang lalu. Apakah ‘hati’ golongan ini tidak terguris apabila membaca kenyataan sedemikian. Dan bayangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh kepimpinan PAS untuk ‘memulihkan’ keyakinan sedemikian. Tidak mudah untuk memulihkan keadaan sedemikian seperti mana keadaan sediakala.

Tindakan YB Saari Sungib yang sudah bersedia untuk keluar parti PAS sekiranya parti itu menyokong TS Khalid Ibrahim adalah merupakan tindakan seorang rakan yang betul-betul ikhlas memperjuangkan semangat setiakawan. PAS perlu sedar bahawa dalam keadaan apa pun kepimpinan PAS tidak boleh mempersoalkan tentang mengapa TS disingkir dan mengapa Dr. Wan Azizah dipilih untuk menggantikannya. Itu adalah keputusan PKR dan sebagaimana yang dikatakan oleh TG Nik Aziz bahawa hal itu merupakan hal dalam rumah tangga PKR sendiri dan terserahalah kepada mereka untuk membuat keputusan.

Namun begitu tindakan Tuan Ibrahim menampakkan sesuatu tindakan yang agak tidak sesuai dengan keadaan dan masa. Apakah langkah yang diambil oleh Tuan Ibrahim dan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS itu sesuai? Beliau meminta supaya ahli parti bersabar menunggu keputusan pada 17 Ogos 2014. Apakah perlu menunggu mesyuarat berkenaan sedangkan negeri hampir ‘terbakar’. Lagi pun jika difikirkan secara terperinci, strategi apakah yang akan diambil oleh kepimpinan PAS. Dan mengapakah seolah-olah Tuan Ibrahim agak ‘berdukacita’ dengan sokongan dua ADUN PAS kepada Dr. wan Azizah. Apabila beliau bertindak sedemikian membayangkan seolah-olah sudah ‘ada udang yang terselindung disebalik batu’

Namun yang jelasnya, mungkin akan terdapat juga perpecahan dalam PAS antara golongan yang dianggap ‘conservatif’ dan ‘ yang berfikiran liberal’. Tentulah kita tidak mahu pula mempersoalkan keadaan dalam rumah tangga yang dihadapi oleh PAS. Tidak juga rakyat Selangor mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam PAS. Rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya hanya mahu melihat kesetiakawanan PAS apabila berhadapan dengan keadaan yang meruncing sepertimana yang berlaku kepada keadaan yang ‘menimpa’ Selangor itu.

Kepimpinan Pakatan Rakyat seharusnya bersuara dalam suatu nada yang boleh ditafsirkan sebagai ‘suara Pakatan Rakyat’. Dan sekiranya ada pandangan dan pendapat yang berbeza, yang sememnagnya digalakkan dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, perlulah disuarakan dalam suatu forum yang tertutup dan bukannya untuk didedahkan kepada umum. Ini amat penting untuk mengelakkan sesuatu isu dieksploitasikan. Keadaan sebeginilah yang telah merumitkan keadaan kini yang menyebabkan terlalu sukar untuk diselesaikan.

Tindakan PAS yang langsung tidak mempedulikan ‘rayuan’ DS Anwar Ibrahim agar bersama-sama, bersatu hati dengan PKR dan DAP dalam menyuarkan hasrat kepada DYMM Sultan berkaitan dengan calon MB Selangor menampakkan bahawa PAS sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ataupun mungkin keadaan yang sedemikian yang telah dirancang oleh mereka dengan ‘sekutu’ mereka yang sedang memerhatikan keadaan kemelut di Selangor ini dengan penuh minat.

Apakah hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat akan berakhir tidak berapa lama lagi?
http://abuhassanadam.blogspot.com/

Apasal nepotisme hanya untuk menantu Nik Aziz?

Anggota jawatankuasa pusat PAS Nasrudin Hassan meneruskan kritikannya atas amalan nepotisme, yang kini menjmenjadi tumpuan dalam isu pencalonan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke jawatan menteri besar Selangor.
Dalam tulisannya di Facebook, MP Temerloh itu mempersoalkan sikap PAS dalam menangani isu tersebut pada masa ini, memandangkan parti Islam tersebut pernah terpalit dengan masalah sama pada 2009.

Beliau merujuk kepada isu pelantikan menantu kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan pada 2009 ke jawatan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Katanya, menantu Nik Aziz itu, Abdul Ariffahmi Ab Rahman terpaksa berundur selepas pelantikan ke jawatan berkenaan mencetus kontroversi.

“Istilah nepotisme menjadi asas kritikan. PAS Pusat menasihati Kelantan dan Ariffahmi akur. Apakah selepas lima tahun, nepotisme tidak lagi menjadi isu pada hari ini?

“Atau nepotisme hanya untuk Ariffahmi menantu (Nik Aziz), tidak kepada yang lain?,” soalnya dalam tulisan di Facebook.

Dengan sinis, beliau seterusnya menyatakan bahawa PAS sepatutnya sudah boleh menerima amalan nepotisme ketika parti Islam tersebut menghadapi isu pelantikan Ariffahmi.

“Kalau nepotisme dibenarkan dan diterima, kenapa baru sekarang? Sepatutnya ia sudah diterima pada lima tahun yang lalu.

“Barangkali lima tahun lalu tidak wajar isu nepotisme dibangkitkan bagi mewajarkan amalan nepotisme di hari ini,” katanya.

Dalam kenyataannya di laman itu, beliau turut memuatkan pautan ke satu video berhubung kenyataan timbalan presiden PKR Azmin Ali, mengenai isu pemilihan calon untuk jawatan tersebut.
-malaysiakini-

Untuk mengekalkan ketegangan zakar jangan guna cincin logam tapi guna..

PETALING JAYA: Sesetengah lelaki meletakkan cincin pada pangkal zakar mereka agar mereka dapat mengekalkan ereksi, kata pakar urologi.
Menurut kolumnis The Star Online Dr George Lee, "kesan turniket" ini akan memastikan darah di dalam zakar tidak mengalir kembali ke badan.

"Apabila anda mengalami ereksi, terdapat darah yang merening ke zakar. Sesetengah lelaki akan menggunakan pam jika mereka tidak boleh berereksi.

"Untuk mengekalkannya, mereka meletakkan cincin pada pangkal zakar; sama ada diperbuat daripada getah, tali kulit, atau dalam beberapa kes, cincin yang dibuat daripada besi," kata Dr Lee.

Menurut kamus Meriam-Webster, turniket adalah peranti yang memeriksa pendarahan atau aliran darah dengan memampatkan saluran darah.

Ahad lalu, sepasukan empat anggota dari unit Emergency Medical Rescue Team (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baru mengambil masa hampir dua jam untuk memotong cincin keluli yang dipakai seorang lelaki berusia 23 tahun.

Lelaki itu kemudiannya berkata dia melakukannya untuk tujuan "suka-suka".

Bahagian zakar lelaki itu membengkak.

"Apa yang berlaku adalah darah tidak mengalir semula ke dalam badan dalam tempoh yang lama. Bahagian yang berada di luar cincin logam akan membengkak dan bekalan darah ke zakar dikompromi.

"Pengumpulan darah yang telah lama ini akan membuatkan ia kelihatan biru dan bengkak," kata Dr Lee, sambil menambah kes yang sama berlaku di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika beliau bekerja di sana beberapa tahun yang lalu.

"Selepas beberapa jam, sel-sel zakar melalui sesuatu yang dipanggil 'nekrosis' atau keadaan ia mati kerana tidak mendapat oksigen," kata Dr Lee.

Beliau menambah selepas enam jam, zakar akan melalui fibrosis dan parut, dan tidak akan mempunyai fungsi ketegangan pada masa akan datang.

"Sebabnya itulah ia perlu ditangani dengan satu perubatan kecemasan dengan segera," katanya.

Tambahnya, doktor akan cuba menyelamatkan zakar dengan mencucukkan jarum terus ke zakar agar lebih banyak darah mungkin boleh disedut keluar.

Jika zakar menjadi lembik, cincin itu boleh ditarik keluar tetapi jika tidak, bomba terpaksa dipanggil untuk mendapatkan bantuan, kata Dr Lee.

"Tidak ada pemotong logam dalam amalan perubatan dan dalam keadaan ini, bomba akan menjadi pihak pertama yang akan dihubungi hospital," katanya.

Adakah dia mempunyai apa-apa nasihat untuk mereka yang merancang untuk meletakkan cincin pada zakar mereka?

"Jika anda mempunyai masalah ereksi, pergi berjumpa doktor dan lihat jika pil mungkin menjadi pilihan yang lebih mudah. Tetapi jika mereka benar-benar perlu menggunakan "turniket" sebagai pilihan, gunakan yang diperbuat daripada getah atau kulit. Jauhi logam, jika tidak bomba mungkin perlu datang dan membantu anda," katanya. 
-mstar-

Luahan Hati Pelanggan Berang Dengan Penjawat Awam Keluar Minum Jam 10 Pagi

Tranungkite
Kami percaya, kita semua pernah mengalaminya. Tetapi adalah tidak adil jika kita menuduh majoriti yang bersikap sedemikian. Ada juga penjawat awam yang mematuhi peraturan serta etika sebagai seorang penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat.

Ikuti luahan hati Puan Azrinaz Hashim di bawah:

Baru-baru ini, saya berurusan dengan pejabat kerajaan. Namun urusan tidak dapat diselesaikan. Kerani di pejabat itu menyuruh saya datang semula pada pukul 10.30 pagi kerana orang yang dipertanggunjawabkan pergi minum dan akan balik sekitar waktu itu. Ketika itu jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Inilah antara masalah yang telah menjadi wabak dalam pejabat kerajaan.

Sejak bila ada tercatat di papan tanda pejabat pukul 10 adalah waktu minum? Ini waktu pejabat bukannya kursus anjuran agensi kerajaan yang memang mewah dengan jadual makan minum sebanyak enam kali sehari.

Namun inilah yang berlaku di kebanyakan pejabat kerajaan hari ini. Jika ditinjau di kedai makan sekitar waktu ini, kita boleh lihat ramai yang berpakaian pejabat minum dan berbual di situ.

Tidak bolehkah bersarapan sebelum masuk waktu pejabat? Kami pelanggan yang hanya mempunya masa yang suntuk untuk keluar menyelesaikan beberapa urusan dengan sektor kerajaan dan memerlukan perkhidmatan. Malangnya, ada kakitangan awam yang tidak memikul amanah yang telah diberikan sebagai kakitangan kerajaan apabila tiada di tempat dan masa yang diperlukan oleh rakyat Malaysia seperti kami. Sedangkan anda sudah tentunya dapat gaji di hujung bulan. CUEPACS jangan asyik minta bonus. Cuba atasi masalah pekerja yang keluar minum sesuka hati dan di waktu kerja sedangkan waktu rehat hanya sejam di tengah hari.

Puan Azrinaz Hashim,
Petaling Jaya

ANEH!! Terdapat bukti ada gangguan kuasa misteri pada pesawat MH370 - Penyiasat

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat nahas udara yang menyiasat kes kehilangan penerbangan Malaysia MH370 percaya telah menemui bukti baharu berkaitan dengan penyalahgunaan peralatan di dalam kokpit pesawat.

Pihak penyiasat nahas udara Australia turut mendedahkan bahawa penerbangan Boeing 777 itu mengalami gangguan kuasa misteri pada peringkat awal penerbangan, lapor The Telegraph.

Menurut pakar, mereka percaya ia sebahagian daripada usaha untuk mengelak daripada dikesan radar.

Laporan itu juga menyebut unit data satelit pesawat telah membuat permintaan luar kebiasaan untuk “log masuk” kepada sebuah satelit 90 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur, KLIA.

Laporan berkata permintaan berkenaan, yang juga dikenali sebagai “handshake”, disebabkan gangguan elektrik di dalam pesawat.

“Permintaan log masuk di tengah-tengah penerbangan bukan perkara biasa. Analisis telah dilakukan dan ciri-ciri serta masa permintaan log masuk dan setelah dipadankan adalah akibat gangguan kuasa,” kata laporan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia itu.

Pakar keselamatan penerbangan dari Universiti Loughborough David Gleave berkata gangguan elektrik terhasil apabila seseorang di dalam kokpit cuba untuk mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

“Mungkin seseorang bermain dengan sistem kokpit yang menyebabkan gangguan elektrik. Ia boleh menjadi satu gangguan yang disengaja untuk mematikan kedua-dua enjin untuk satu tempoh tertentu.
Dengan bermain dengan sistem, anda boleh mematikan kuasa elektrik dan menghidupkannya semula bila anda memerlukan sistem yang lain untuk menerbangkan pesawat itu,” kata beliau.

Inmarsat telah mengesahkan tentang penilaian yang dibuat namun berkata ia tidak tahu mengapa pesawat mengalami gangguan elektrik.

TG Hadi murabbi ummah demokratik – Mat Sabu

WAN NORDIN WAN YAACOB
SEJAK tahun 1978 lagi, Mohamad Sabu mengenali sosok pemikiran politik, dakwah dan kegigihan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika murabbi ummah itu meniti titian awal dalam politik dan dakwah tanah air.
Sejak memulakan karier politik pada tahun 1978 lagi, Mohamad Sabu mengakui mengenali batang tubuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan ketegasannya dalam mewarnai politik massa.

Dari segi penglibatan dalam politik, Tuan Guru Abdul Hadi hanya memilih PAS sebagai gerakan Islam yang disertainya.
Ketika PAS berada dalam BN, Mohamad Sabu berkata banyak pemimpin muda pada tahun itu bergiat dalam badan-badan Islam lain, seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan beliau sendiri terlibat dengan ABIM sejak dari tahun 1976.

Mohamad Sabu menyertai PAS pada tahun 1978, setelah PAS mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1978 di mana PAS hanya tinggal dua kerusi iaitu di Dun Manik Urai (dalam Parlimen Kuala Krai) dan Dun Sering di Parlimen Pengkalan Chepa.

Pada tahun 1981, Mohamad Sabu dilantik menjadi Anggota Jawatankuasa Pemuda PAS dan tidak lama selepas itu jadi Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang kemudian, Setiausaha Pemuda dan terus kepada Naib Ketua DPP, kemudian AJK PAS Pusat, Naib Presiden dua penggal dan Timbalan Presiden dua penggal hingga kini.

Sepanjang dalam parti bermula di Dewan Pemuda PAS hingga ke jawatankuasa PAS Pusat beliau sentiasa bersama Tuan Guru Abdul Hadi dan lebih besar lagi adalah di bawah kepimpinan ulama.

Sejak Almarhum Tuan Guru Yusof Rawa, Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor dan kini Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Abdul Hadi biasa berada dalam Exco Pemuda dan kemudian Naib Presiden PAS dan timbalan hinggalah kini sebagai Presiden.

“Banyak orang tersalah sangka melihat wajah serius Tuan Guru Abdul Hadi sebagai seorang Presiden PAS, sedangkan beliau sebenarnya seorang ahli mesyuarat dan menghormati keputusan yang dibuat dalam mesyuarat dan sangat demokrasi dalam sikapnya mengendalikan mesyuarat,” kata Mohamad Sabu

Menceritakan pengalaman bersama dalam mesyuarat, Mohamad Sabu menyatakan pernah dalam mesyuarat berlaku ketegangan hujah pelbagai pihak.

Kadang kala Presiden PAS itu membalas dengan tegas, namun ia masih dalam lunas yang membuatkan semua anggota jawatankuasa menerima dengan lapang dada.

Malah dalam keadaan begitu ujar Mohamad Sabu, keputusan yang dicapai bersama akan dilihat lebih molek dan bijaksana.

Sebelum muktamar tahun 2012, kadang kala berlaku perdebatan hangat beberapa anggota PAS Pusat dengan Tuan Guru Abdul Hadi.

Dalam muktamar kemudiannya AJK yang memberi pandangan bertentangan dengan Presiden PAS itu menang dalam pemilihan jawatankausa PAS Pusat.

“Saya sangka apabila berlaku pelantikan anggota Lajnah Politik PAS Pusat barangkali orang yang memberi pandangan berbeza tidak dilantik semula dalam lajnah itu.

“Tetapi mengejutkan saya orang yang berbeza pandangan inilah yang disebut lebih awal oleh Tuan Guru Abdul Hadi untuk duduk dalam biro politik dan presiden memang suka orang yang berterus-terang berhujah dalam mesyuarat.

“Tetapi beliau tidak gemar dengan mereka yang berhujah luar mesyuarat sedangkan orang itu anggota mesyuarat, sama ada dalam AJK atau biro politik,” kata Mohamad Sabu lagi.

Inilah Presiden PAS yang dikenalinya dan telah bersama sejak 1978 hingga sekarang.

Menceritakan pengalamannya secara peribadi, beliau beberapa kali dipanggil Tuan Guru Abdul Hadi untuk ditegur seandainya hal yang ditegur itu bukan hal yang boleh dibincang dalam mesyuarat.

“Iaitu hal peribadi beliau panggil dan tegur saya dengan bahasa yang baik dan berseloroh dan saya tiada masalah untuk terima teguran dan tunjuk ajar Tuan Guru Abdul Hadi,” ujarnya.

Bagi Mohamad Sabu, pengalaman itulah yang beliau lalui sepanjang mengendalikan parti dan jemaah yang mana dilihat PAS makin hari makin kuat.

“Kadang kala nampak macam ribut berlaku, sebenarnya ia adalah satu angin yang menyegarkan, sebab itulah saya yakin penuh bahawa Presiden PAS kita ini terus kukuh memegang dasar prinsip perjuangan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, isu-isu yang membabitkan bukan prinsip perjuangan akan diraikan hujahnya dengan baik.

“Saya perlu jelaskan ini supaya keutuhan parti dan jemaah dapat dipertahankan dan dapat tingkatkan kekuatan kita dari semasa ke semasa,” tegas Timbalan Presiden PAS itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Abdul Hadi dengan pelantikan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia baru-baru ini.

“Inilah murabbi ummah, di negara ini beliau sangat demokratik dan di peringkat antarabangsa beliau diangkat sebagai pemimpin ummah,” tegas Mohamad Sabu.

Antara nama yang disebut bakal bertanding PRK P. Kubor 25 sept ini

Siti Fatihah Awang
KOTA BHARU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor kini menjadi fokus dan tumpuan utama selepas Adunnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia pada 20 Ogos lalu.

Siapa yang bakal dicalonkan untuk mengisi kekosongan tersebut? Itulah yang menjadi tanda tanya dan perbualan hangat ketika ini. Malah, belum pun PRK bermula, Pas dan PKR dilihat sudah saling 'berebut' untuk meletakkan calon masing-masing bertanding di Dun berkenaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail adalah antara individu yang diwar-warkan untuk diangkat sebagai calon yang bakal membarisi pencalonan PKR Pengkalan Kubor.

Menurut sumber dalaman PKR Pusat, Saifuddin antara nama yang digembar-gemburkan, selain Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tumpat, Mohd Khairul Amin Ab Rahman kerana kedua-duanya dilihat mampu menggalas tugas berat yang ditinggalkan oleh Allahyarham Noor Zahidi.

Menurutnya lagi, Pas mungkin akan memberi laluan mudah kepada PKR untuk bertanding jika PKR menaikkan nama Saifuddin kerana beliau disegani oleh Pas, malah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga mungkin akan menyokong.

Sebelum ini, timbul viral di laman-laman sosial yang menggunakan ikon bekas Menteri Besar Kelantan itu, seolah-olah Pas hanya mahukan calonnya bertanding di situ tanpa penglibatan rakan komponen PR tersebut.

Walaupun Saifuddin bukan orang kawasan Dun Pengkalan Kubor, itu tidak menjadi isu kerana kemampuan dan kaliber yang dimilikinya boleh mengatasi pemimpin lain telah terbukti, malah tidak mustahil ia tiada soalan balas daripada Pas sendiri.

Namun itu bukan bermakna Umno dan BN akan berdiam diri.

Selama empat penggal di Dun Pengkalan Kubor, kerusi yang dijaga dan diberikan sepenuh kepercayaan tersebut tidak akan sewenang-wenangnya diserahkan kepada pihak pembangkang.

Antara nama yang menjadi buah mulut masyarakat setempat ketika ini ialah Datuk Wan Johani Wan Hussin, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketiga-tiga nama gah itu bukanlah calang-calang pemimpin, tambahan pula seiring dengan tiga lagi nama yang juga turut disebut-sebut termasuklah Ketua Pemuda Tumpat, Rosidi Mahmud Kamaruddin.

Malah, ia juga kini mula menjadi viral di blog peribadi dan laman-laman sosial sehinggakan ada sumber mengatakan ia benar-benar akan berlaku.

Dengan barisan yang menjadi bayangan calon BN itu, ia mungkin akan menggugat dan mencabar PR untuk masing-masing berlumba meletakkan calon yang lebih berkaliber dan diyakini mampu merampas Dun Pengkalan Kubor.

Namun tiada siapa yang boleh membuat ramalan awal. Semuanya terpulang kepada pengundi di kawasan Pengkalan Kubor sendiri yang akan menentukan siapakah pemimpin yang menjadi pilihan mereka untuk memastikan kawasan berkenaan terus terbela dan membangun pada masa akan datang. 
-sinarharian-

Berebur kuasa: Siapa Rafizi nak menyuruh itu ini? - PKR S'gor

PKR Selangor mempersoalkan gesaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli supaya anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka di negeri itu membuat kenyataan terbuka menarik diri daripada sebarang pencalonan sebagai menteri.
Mengaku terkejut dengan kenyataan itu, ketua penerangannya Shuhaimi Shafiei berkata, gesaan Rafizi (bawah) itu sebenarnya tidak perlu dan hanya “menghina” mereka dan PKR negeri.

“Saya berpandangan tidak perlu saya dan rakan-rakan ADUN diarah tarik diri kerana kami bukanlah orang yang dicalonkan sebagai MB.

“Cabaran beliau dilihat menghina kami, seolah olah kami tidak ada pendirian,” katanya yang juga ADUN Sri Muda.

Shuhaimi juga menegaskan tindakan semua ADUN PKR di Selangor sudah menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar, yang menurutnya sudah cukup untuk membuktikan sokongan.

Malah, katanya, timbalan presiden dan pengerusi PKR Selangor Azmin Ali (bawah), yang dicalonkan PAS sebelum ini, juga secara terbuka mengatakan mengikut keputusan parti dan menandatangani SD menyokong Azizah.

“Justeru itu tidak ada kewajaran cabaran Rafizi dan beliau tidak perlu mempertikaikan kesetiaan saya / kami kepada parti,” katanya lagi.

Rafizi yang baru sahaja dipilih sebagai naib presiden PKR hari ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menarik diri daripada pencalonan sebagai menteri besar yang dibuat Pemuda PAS.

Dalam masa yang sama, Rafizi turut menyeru ADUN PKR lain di Selangor supaya mengambil tindakan itu sebagai menghormati keputusan parti itu dan sebagai lambang kesetiaan.

'Angkuh dan bongkak'

Dalam kenyataannya hari ini, Shuhami juga mempersoalkan tindakan Rafizi sebagai naib presiden “mencabar” mereka di media dalam isu itu.

“Soalannya saya, siapa Rafizi yang hendak menyuruh saya membuat itu dan ini? Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat untuk kita bincangkan dan membuat keputusan,” katanya.

Justeru, katanya, kenyataan Rafizi, termasuk “sebulan dua ini banyak merosakkan hubungan dalam Pakatan dan kini dia melebarkan lagi retak yang sedia ada dalam PKR”.

“Cara beliau memberikan gambaran bahawa hanya pendapat beliau seorang sahaja yang betul dan beliau sahaja yang layak memberikan pendapat,” kata Shuhaimi.

Beliau juga berkata, tiba masanya untuk Azizah sebagai presiden dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur “cara melampau Rafizi” kerana banyak memberi persepsi yang tidak baik pada Pakatan.

“Amaran saya kepada Rafizi, hentikan segera sikap tergopoh-gapah beliau. Ia bakal menyerlahkan sikap sebenar seorang anak muda yang gelojoh dan mempunyai agenda peribadi dalam pelantikan menteri besar yang baru ini.

“Ia jelas mempamerkan sikap seorang yang angkuh dan bongkak,” katanya dengan nada keras.

Beliau juga menggesa tindak-tanduk itu dihentikan 'Wayang Langkah Kajang' sudah tamat dan Tan Sri Khalid Ibrahim juga mengalah.

“Berilah ruang kepada pihak istana melakukan tugas terakhir mengikut undang undang tubuh negeri dengan teratur,” katanya.
-malaysiakini-

6,000 pekerja MAS akan hilang pekerjaan

Khazanah Nasional mengumumkan pakej RM6 bilion untuk menyelamatkan Malaysia Airlines bagi membolehkan syarikat tersebut kembali menjana keuntungan dalam tempoh tiga tahun, atau menjelang 2017.

Rancangan 12 perkara itu melibatkan penubuhan satu syarikat baru untuk mengambil alih aset dan perniagaan syarikat lama, dengan pengurangan 30 peratus atau 6,000 pekerja.

Syarikat penerbangan itu kemudiannya boleh disenaraikan semula, mungkin dalam tempoh lima tahun, apabila ia kembali menjana keuntungan.

Pengarah urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata usaha lain turut melibatkan penggubalan Akta MAS untuk membantu pemindahan kakitangan dan menamatkan semakan kontrak yang tidak adil kepada syarikat tersebut.

Akta berkenaan bertujuan untuk memastikan keputusannya tidak akan dibawa ke mahkamah dan sama seperti perlindungan yang diberikan kepada Japan Airlines dan perlindungan Chapter 11 kepada syarikat AS yang berdepan kes bankrap atau pembubaran.

Ia juga memastikan Malaysia Airlines dapat memutuskan untuk mengekalkan atau memberhentikan kakitangannya melalui pakej tertentu.

Syarat baru untuk perkhidmatan juga akan diperkenalkan.
-malaysiakini-

Tipu suami untuk jumpa kekasih

Faizal (tiga, kanan) bersama anggotanya memeriksa wanita Indonesia di sebuah rumah di Apartment Nilai 3.
Faizal (tiga, kanan) bersama anggotanya memeriksa wanita Indonesia di sebuah rumah di Apartment Nilai 3.
NILAI: Seorang isteri empat anak sanggup meninggalkan suaminya di Filipina semata-mata kerana mahu bertemu kekasihnya, seorang warga Nigeria di Taman Desa Melati, dekat sini.

Malah, wanita warga Filipina berusia 36 tahun itu turut mengakui menjalinkan hubungan seks dengan lelaki yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, tindakan wanita itu terbongkar apabila dia ditahan ketika sedang berasmara di dalam sebuah bilik rumah dua tingkat yang disewa kekasihnya bersama rakan-rakannya itu.}

Menurut wanita yang dikenali sebagai Gende itu, dia tiba di negara ini pada 24 Ogos lalu setelah kos perjalanan termasuk tiket penerbangan ditaja kekasihnya yang merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta di Nilai.

“Saya kenal dia (kekasih) beberapa bulan lalu dan datang ke sini mahu bertemu dengannya. Saya menipu suami dengan memberitahu saya ke Malaysia mahu bertemu kawan.

“Kami sekadar bertemu untuk melepaskan rindu,” katanya selepas ditahan dalam satu operasi Jabatan Imigresen negeri di Taman Desa Melati, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira jam 3 pagi itu turut menemui bungkusan kondom yang telah dan belum digunakan termasuk minuman beralkohol di dalam bilik mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, wanita itu ditahan kerana disyaki memiliki pas palsu.

“Kita juga menahan kekasihnya berusia 26 tahun dan dua rakan senegaranya kerana memiliki dadah jenis ganja.

“Semua mereka akan diserahkan kepada Balai Polis Nilai untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu dilakukan di dua lokasi iaitu Taman Desa Melati dan Apartment Nilai 3 selepas menerima maklumat awam dan hasil risikan pihaknya.

“Pemeriksaan seramai 250 warga asing di flat terbabit membawa kepada penahanan 27 lelaki dan enam perempuan.

“Mereka semua terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, satu lelaki India, enam perempuan Indonesia , empat lelaki Pakistan, enam lelaki Sri Lanka, satu lelaki Myanmar dan lima lelaki Nepal,” katanya.

Faizal berkata, serbuan di Taman Desa Melati pula, pihaknya menahan tujuh warga asing termasuk pasangan kekasih itu dan seorang wanita warga tempatan.

“Salah seorang lelaki warga Nigeria mengalami luka di kepala dan muka selepas cuba melarikan diri dengan terjun dari rumah dua tingkat,” katanya.

Menurut Faizal, tangkapan seramai 41 orang itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) akta sama tinggal lebih masa, Seksyen 56 (1)(l) akta sama kerana memiliki pas palsu dan Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana memberi perlindungan kepada warga asing.

Semua mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng di sini untuk tindakan selanjutnya.
-sinarharian-

Mahathir bimbang BN tumbang kalau Najib asyik melancong tak buat kerja

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib melihat bahawa kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan berlaku kelemahan dalam pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Antara petanda kelemahan itu termasuk termasuk kemunculan banyak gerakan pendesak berhaluan kanan, kata Muhammad, yang kini menyertai PAS.

Dalam kenyataannya yang dilaporkan lidah parti PAS, Harakahdaily itu, beliau turut membangkitkan mengenai percutian Najib baru-baru ini.

"Mahathir tegas dalam segala hal membabitkan negara ini, beliau mahukan yang terbaik untuk rakyat.

"Apabila beliau kritik Najib itu menunjukkan ada yang pincang dalam pentadbiran sekarang, mungkin beliau mahukan perdana menteri yang bekerja dan bukannya melancong,” katanya.

Menurut Muhammad, Mahathir bimbang dengan kelemahan Najib dalam menangani isu kaum dan tidak akan berdiam diri sekiranya Najib tidak mengikut tuntutannya.

"Ada kita lihat waktu Mahathir mana ada wujud Perkasa, Isma atau apa-apa kumpulan yang menunjukkan mereka terlalu Melayu.

"Beliau adil untuk semua kaum tapi bila Najb mengambil Putrajaya pelbagai konflik timbul ada banyak NGO pendesak dan cuba menimbulkan pelbagai pendapat negatif," katanya
-malaysiakini-

Sultan Selangor kata tak mahu MB boneka - Sumber

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor perlu berjiwa rakyat dan boleh berkhidmat kepada rakyat, tetapi bukan seorang yang dikawal oleh orang lain.
Sultan Selangor tidak mahu adanya menteri besar umpama boneka yang dikawal, kata satu sumber yang rapat dengan istana dan maklum sentimen baginda.

“Menteri besar bukan hanya dipilih oleh majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi perlu meletakkan rakyat sebagai kepentingan dan boleh menerajui negeri.

“Sultan Selangor mahu seseorang yang prihatin terhadap keperluan rakyat dan membangunkan negeri di peringkat tertinggi,” kata sumber itu.

Beliau menegaskan seperti yang termaktub di bawah Artikel LI (1), LII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) dalam Perlembagaan Negeri Selangor 1959, Sultan Selangor diberi kuasa budi bicara mutlak untuk melantik seorang menteri besar bagi kerajaan negeri Selangor di mana bagi pendapat pemerintah, ia mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.

“Seseorang itu perlu berupaya bekerja dengan semua parti termasuk barisan exconya sendiri serta mempunyai hubungan baik dengan istana,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Pakatan Rakyat untuk tidak memanjangkan masalah dalaman parti ke dalam pentadbiran negeri dan menganggu pemerintahan negeri.

“Ini merupakan masalah dalaman parti,” katanya.

Ditanya sekiranya perlu seorang menteri besar itu adalah anak kelahiran Selangor, beliau berkata, Perlembagaan negeri tidak menetapkan perkara tersebut.

“Sebagai contoh, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Jamil Rais dilahirkan di Perak tetapi sebahagian besar hidupnya menetap di Selangor,” katanya.

Sumber itu berkata, Sultan Selangor turut menyuarakan perasaannya mengenai kenyataan anti-Istana yang dibuat oleh ahli-ahli politik tertentu yang telah merosakkan dan menyakitkan hati dan membatasi dengan hasutan.

Beliau berkata, istana berkecil hati dan tersinggung dengan serangan berterusan daripada pihak tertentu.

“Istana berdiam diri tetapi segelintir pihak membuat kenyataan anti-Istana.

“Kenyataan tersebut menyinggung perasaan. Mereka ini perlu membaca Perlembagaan negeri dan memahami konvensyen Istana, protokol dan tradisi sebelum membuat sebarang komen berhubung situasi itu.

“Peguam tertentu dari parti-parti politik diupah untuk mentafsir perkara menurut apa yang pelanggan mahu,” katanya.

Sumber itu berkata, bagaimanapun, Sultan Selangor tidak bimbang kerana krisis tercetus oleh parti menteri besar ketika ini sebelum beliau dipecat.

Kerajaan negeri masih berfungsi sepenuhnya.

“Tan Sri Khalid Ibrahim masih lagi menjadi menteri besar, manakala baginda sultan akan mengambil masa untuk membuat keputusan terbaik buat rakyat.

“Tidak perlu panik kerana kerajaan sekarang bukan hanya kerajaan sementara semata-mata, ia adalah kerajaan penuh. Perkara yang berlaku adalah melibatkan pertukaran menteri besar dari Pakatan Rakyat.

Pada Julai lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana mempersoalkan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Melabelkan Khalid sebagai “jahil dalam undang-undang Islam dan peranan Mais”, baginda menitahkan supaya ahli jawatankuasa Pas pusat itu mengkaji sejarah dan undang-undang negara sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekecohan di kalangan umat Islam.
-mstar-

Awas!! Muslihat kotor BN ini akan hancurkan Pakatan Rakyat

SHAH ALAM: Ahli dan perwakilan KeADILan diseru supaya tidak alpa dan bercakaran sesama sendiri ke tika parti lawan mahu menghancurkan peluang Pakatan Rakyat dalam pilihanraya, kata Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar .
Ujarnya, walaupun Pakatan Rakyat mendapat sokongan rakyat tetapi perpecahan hanya akan membuka ruang kepada muslihat kotor BN untuk kekal berkuasa termasuk melalui persempadanan semula.

“Bulan Mei 2013, Timbalan Pengarah UMcedel, Amer Saifude, mendedahkan BN akan tetap memerintah negara ini selagi Malaysia kekal menggunakan sistem first-pastthe- post dalam pilihan raya negara ini.

“Keputusan PRU13 yang kita lalui menyaksikan walaupun BN cuma mempunyai 47 peratus undi popular, mereka telah berjaya memenangi 133 kerusi di Parlimen,” jelasnya.

Menurut Izzah, peluang keemasan Pakatan Rakyat untuk memperoleh banyak undi tiba dalam pertengahan lapan tahun sebelum persempadanan semula yang kali terakhir dilakukan pada 2003.

PAS bersalah dalam kemelut MB?

Dinsman
BANYAK yang kita boleh perhatikan perangai dan tingkah laku manusia, dan banyak yang kita boleh pelajari darinya, sewaktu berlakunya krisis dan kemelut perebutan dan permainan kuasa untuk menjadi Menteri Besar Selangor, yang masih belum berakhir hingga ke hari ini.

Sultan sudahpun bertitah pada 26 Ogos, mahu setiap parti dalam Pakatan Rakyat hantar dua nama sebagai calon masing-masing untuk memudahkan dia membuat pilihan siapa yang paling layak. Tak tahulah selepas ini bagaimanakah pula selanjutnya perkembangan kemelut tersebut.

Yang pastinya, seperti saya kata di atas, banyak perkara menarik mengenai perangai dan tingkah laku manusia boleh kita perhatikan dan ambil pelajaran. Yang selama ini tersembunyi pun kini jadi terserlah dan terdedah. Yang selama ini kabur dan kelabu pun kini jadi jelas dan terang.
Dari sudut itu, ada kebaikan jugalah krisis dan kemelut tersebut.

Orang yang selama ini kita anggap kita sudah kenal dia rupa-rupanya tidak demikian. Rupa-rupanya dia tidaklah seperti yang kita anggap kita kenal itu. Rupa-rupanya watak dan peribadi dia berbeza sama sekali. Tak disangka-sangka pula.

Demikianlah, bukan sahaja di kalangan tokoh-tokoh pemimpin yang terlibat dalam kemelut itu, tetapi di kalangan yang bukan pemimpin juga, khasnya penyokongpenyokong pihak-pihak yang terlibat itu.

Dan entah macam mana PAS pula yang menjadi sasaran kepada agak ramai juga orang. Dituduh nak mengkhianati kawanlah, dituduh berfikiran mundur dan ketinggalan zamanlah, dituduh sanggup membelakangi nilai-nilai mulia agama kerana inginkan nikmat kuasalah, dan macam-macam.

Dalam PAS pun tak terkecuali juga apa yang saya sebut di atas itu.

Ada perangai-perangai dan sikapsikap yang tak elok pun sudah jadi terdedah, itu memang ada. Alhamdulillah, dapatlah kita cepat mengenali wajah dan hati mereka yang sebenar. Bolehlah kita perbaiki keadaan.

Tetapi selain itu saya melihat PAS tiba-tiba macam menjadi kambing hitam tempat orang mencampakkan kesalahan. Dan orang seperti terlupa bagaimana boleh terjadinya krisis dan kemelut itu. Apakah ia suatu proses biasa dari dinamika politik baru yang tak dapat dielakkan, ataupun ia sesuatu yang terjadi secara sengaja hasil suatu perancangan pihak tertentu yang kemudiannya tidak dapat mengawal keadaan seperti yang sepatutnya?

Yang jelasnya PAS tidak terlibat pun di peringkat awalnya. Ia adalah masalah dalaman pihak Parti Keadilan Rakyat. Mereka mencipta apa yang mereka namakan “Langkah Kajangî itu untuk mengatasi masalah tersebut. Mereka libatkan rakyat pengundi di kawasan Kajang dan beberapa pihak lagi, yang mahu tak mahu terpaksa terlibat apabila Adun Kajang yang dulu itu meletak jawatan dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Maka PAS pun mula terlibat, tak dapat tidak, kerana menjadi rakan kongsi dalam suatu pakatan politik.

Hingga ke suatu peringkat ia seperti dipaksa supaya menyokong, dan tidak diberi pilihan, malah tidak diberi ruang untuk pertimbangan apakah ia selaras dengan prinsip dan batas-batas perjuangan parti ataupun tidak.

Keadaan itu meletakkan PAS dalam suatu dilema yang memang rumit untuk mereka membuat pilihan.

Ia suatu cabaran dan ujian buat para pemimpinnya, terutama di peringkat atas. Ada yang berjaya melepasi ujian itu dan ada yang tidak berjaya. Wujud suatu kemelut tersendiri pula di kalangan pimpinan PAS, dan sempat jugalah terserlah beberapa wajah yang hodoh dan tidak menyenangkan.

Selain itu, baik di kalangan pimpinan politik mahupun di kalangan orang awam saya perhatikan satu perkara. Dalam keghairahan untuk menyatakan pendapat atau sokongan atau bantahan atau perasaan terhadap kemelut tersebut, bukan sahaja PAS dijadikan tempat longgokan kesalahan tetapi yang lebih parah daripada itu ialah menghina agama pun sudah menjadi suatu sikap yang dianggap rasional, wajar dan munasabah.

Menyalahkan orang agama bukanlah suatu kesalahan atau taboo.

Islam tidak melarangnya. Saya pun beberapa kali mengkritik para mufti dan pendakwah kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi menghina para agamawan secara umum (ekoran daripada kemelut MB itu) hingga kehinaan itu pun terkena juga kepada agama itu sendiri, dan itu dianggap wajar, itu adalah sesuatu yang berbeza.

Sama ada perkara ini disedari oleh orang ramai atau tidak, saya tak pasti. Namun saya menyedarinya dengan sangat jelas, terutamanya dalam media sosial dan internet. Ia sangat berleluasa. Cabarannya hadir serentak dengan cabaran dari golongan yang cuba membawa nilai baru melalui aksi bogel beramai-ramai di tempat terbuka (Pulau Pinang) dan beraksi separa bogel di khalayak umum (di Ipoh) itu.

Apa yang ingin saya katakan ialah – PAS perlu berhati-hati.

Eloklah perbanyakkan dialog dalaman secara tertutup di kalangan ahli dan juga penyokong. Dan elakkanlah para ahli daripada membuat kenyataan-kenyataan umum yang bercanggah.

Dan apabila timbul sesuatu isu yang boleh mengelirukan fahaman orang ramai, pihak pimpinan PAS hendaklah berani dan rajin membuat penjelasannya secara jelas dan terang. Jangan biarkan orang ramai tertanya-tanya dan tidak faham dengan apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Saya teringat sewaktu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dahulu, terjadi beberapa kali perkara yang agak mengelirukan orang ramai atau yang orang ramai kurang faham dengan tindakannya. Beliau secara tegas dan berani menjelaskannya melalui siri ceramahnya, sehinggalah para ahli peringkat akar umbi dan juga penyokong-penyokong PAS mendapat kefahaman yang jelas.

Hal seperti itu nampaknya seperti diabaikan atau tidak begitu diberi perhatian sekarang. Akibatnya itulah – seperti apa yang telah saya nyatakan di atas tadi. Telah timbul semacam penghinaan ke atas agama Islam, dan itu dianggap sebagai perkara yang wajar.

Itulah sebahagian implikasi daripada apa yang dikatakan kemelut MB Selangor itu. Atau apakah itu juga sebahagian implikasi daripada apa yang dikatakan Langkah Kajang itu? Jangan kita mengambil mudah implikasi tersebut. Bahayanya mungkin belum terserlah sekarang.