"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar yakin Kerajaan Perpaduan kekal 5 tahun, tidak gentar ugutan

MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak gentar dengan usaha atau ugutan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau malah yakin ia akan kukuh dan kekal dalam tempoh lima tahun dengan sokongan padu pemimpin parti di bawah pentadbirannya.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023, Presiden PKR itu berkata beliau juga tidak takut berhadapan dengan rencana daripada perasuah atau sebarang perhimpunan yang ingin menjatuhkannya sejak menyandang jawatan tersebut November lepas.

“Ini gelanggang saya (Kongres) Parti Keadilan Rakyat, empat bulan saya bersabar. Saya bicara secara teratur, hari ini saya bicara sebagai Presiden PKR, gerakan reformasi. Saudara mahu ugut kita dengan perhimpunan, mahu ugut kita (agar) takut bertindak kepada perasuah, saudara salah pilih seorang Perdana Menteri.

“Saya tak makan ugutan itu, ada kuasa kita laksanakan, (jika) kamu cuba nak rampas (pentadbiran kerajaan) silakan, tapi tidak mudah. Kita siap dengan keris… membujur lalu melintang patah,” katanya.

Ucapan Anwar itu mendapat tepukan dan sorakan kira-kira 3,000 perwakilan serta pemerhati yang hadir di Stadium Malawati dekat sini.

Perdana Menteri berkata beliau sedar ada pihak yang mengkritik pentadbirannya namun menegaskan bahawa belum pernah wujud campur tangan dalam kalangan pemimpin kerajaan berhubung isu seperti kebebasan badan kehakiman dan pemberian tender.

Anwar turut mendakwa kuasa politik terdahulu melindungi penjenayah dan perasuah besar selain menggunakan kuasa untuk melindungi diri sendiri serta menghentam rakyat.

Beliau berkata ini berbeza dengan Kerajaan Perpaduan yang secara jelas melindungi rakyat dan menyerang perasuah selain berazam tidak akan melepaskan ‘tauke mahakaya’ daripada membayar cukai.

Menyentuh sumbangan tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang menguasai Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pesawah di seluruh negara, beliau berkata ia adalah inisiatif kerajaan untuk manfaat rakyat.

“Itu pilihan kita (Kerajaan Perpaduan)… apa pilihan mereka (kerajaan terdahulu), RM200 juta masuk akaun parti… yang lain saya tahu tapi saya belum hebahkan,” katanya.

Sebelum ini, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah.

Bernas juga bersetuju berkongsi keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada mereka.

Kongres sehari PKR itu menumpukan kepada persiapan parti bagi menghadapi PRN di enam negeri serta pengukuhan kerjasama PH dan Kerajaan Perpaduan.

— BERNAMA

Lima sekeluarga ditemui mati di rumah

BERNAMA

Incheon: Polis Korea Selatan melancarkan siasatan pada Sabtu selepas lima sekeluarga ditemui mati di dalam rumah mereka di Incheon.

Polis menerima laporan pada 10.37 pagi bahawa terdapat orang awam terbaring tidak bergerak di sebuah apartmen di Wad Michuhol di bandar itu, 27 kilometer ke barat Seoul, agensi berita Yonhap memetik Balai Polis Michuhol.

Si mati dikenal pasti sebagai ibu bapa dan anak, dan pertama kali ditemui oleh seorang saudara yang melawat rumah itu, menurut sumber.

Polis berkata mereka sedang menyiasat kejadian itu berdasarkan kenyataan saksi.
-hmetro

Rafizi persoal ‘mimpi gelojoh’ PN tawan 3 negeri PH

Yasmin Abd Latif dan Faiz Zainudin

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa data terkini termasuk keputusan PRU15 menunjukkan Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan masih mampu dipertahankan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan dan hairan “kegelojohan” Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mampu merampas tiga negeri terbabit pada PRN.

“Saya tidak tahu mana mereka dapat mimpi mengambil alih enam negeri terutama Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang (dari PH).

“Mereka menggembar-gemburkan gelombang akan datang dan hapuskan kerajaan PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun apabila saya tengok keputusan PRU lepas ia tidak begitu,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres PKR.

Beliau turut mendakwa berdasarkan data diperolehnya, PH masih menerima tahap sokongan pengundi Melayu yang positif terutama di kalangan anak muda.

“Tengok data terkini dan setiap sebulan, memang ada peningkatan pengundi Melayu daripada golongan muda di Pantai Timur,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi menggesa ahli PKR tidak mengikut rentak politik pembangkang sebaliknya memperkemas persediaan dan menyusun gerak kerja bagi menghadapi PRN.

“Saya yakin dalam tempoh tiga atau empat bulan (PRN berlangsung), kita akan kekalkan kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

“Kalau kena cara dan bergantung usaha jentera di Kedah, PKR boleh buat kejutan di Kedah, kita ambil kekuatan kali ini untuk menggunakan PRN sebagai satu titik membina kekuatan baharu di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Beberapa kerat orang - Tan Sri, tauke besar rancang gugat k'jaan - PMX

Malaysiakini 

Rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum itu, namun dalam masa sama membolot kekayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan di bawah kepimpinannya, hak dan kedudukan Melayu, Bumiputera serta kaum lain kini lebih selamat berbanding sebelum ini.

“Ada orang sekarang setelah 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham. Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat.

“Jangan perbodohkan rakyat, rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka. Kumpulkan.. tonton...

"Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, ini berapa kerat orang sekarang merencana untuk mengugat menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu benci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang.

"Kamu pegang tampuk kepimpinan kuasa termasuk kerajaan tiga tahun baru-baru ini, mana Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355), mana projek peningkatan dana untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah?” katanya di Shah Alam hari ini.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 yang bertemakan “Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Malawati, di Shah Alam.

“Bila hilang kuasa, bila dicabar, bila takut dengan serangan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, kamu kaya berbilion-bilion, cukai tak mahu bayar, bawa lari ke luar negara, dan minta saya jadi perdana menteri apa?” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata menerusi Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya, Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas telah meningkatkan belanjawan untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah dan lebih kepada Sabah serta Sarawak memandangkan dua negeri itu ketinggalan dalam banyak bidang.

Perdana Menteri seterusnya mengingatkan para pemimpin agar tidak memainkan sentimen perkauman yang merugikan rakyat dan negara.

“Saya nak tegaskan jangan permainkan api perkauman, yang terbakar itu rakyat. Kamu akan lari dengan pesawat jet peribadi kamu.

“Apa yang kita lakukan empat bulan ini? Apa yang kita korbankan dalam soal bahasa, soal agama, soal hak dan kedudukan Melayu? Hak Melayu dan Bumiputera lebih selamat di bawah kita,” katanya.

- Bernama

Adam Adli: PRN di enam negeri kritikal bagi PKR

B Nantha Kumar & Alyaa Alhadjri

PKR bakal berdepan cabaran yang lebih kritikal dalam menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli Abdul Halim.

Adam dalam ucapan penggulungan pada kongres khas PKR hari ini berkata, ini kerana pengundi tidak hanya akan menilai calon semata-mata tetapi juga prestasi kerajaan persekutuan.

"Kita sekarang berhadapan dengan PRN di enam buah negeri yang sebenarnya kritikal.

"Hari ini kita bukan lagi pembangkang. Hari ini kita adalah kerajaan, penilaian yang dibuat ke atas kita bukan semata-mata ke atas siapa yang kita tampilkan, tapi yang paling penting adalah soal membuktikan kita sebagai sebuah kerajaan yang mampu menjaga kepentingan rakyat dan negara," katanya di hadapan lebih 1,300 perwakilan parti.

Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata PKR tidak boleh meletakkan beban ke atas Anwar Ibrahim selaku perdana menteri semata-mata.

"Pimpinan negara bukan Anwar sahaja, ia adalah tanggungjawab semua kita.

"Kita harus akui PRN yang akan datang, kita masih perlu membaiki banyak perkara dan perlu memberi perhatian kepada keluh kesah yang banyak disuarakan oleh akar umbi.

"Kita tidak lagi boleh bekerja secara bersendirian. Kita perlu bekerja secara kumpulan melibatkan semua orang," katanya.

Pada PRU 15, enam negeri mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRN di enam negeri berkenaan dijangka diadakan selewat-lewtanya Jun ini.

PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah dijangka akan bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN berkenaan.

Anwar: Kerajaan terdahulu lindungi penjenayah, perasuah besar

Yasmin Abd Latif dan Faiz Zainudin

SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa kuasa politik terdahulu melindungi golongan penjenayah dan perasuah selama mentadbir negara.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan di bawah pentadbirannya akan memastikan tiada mana-mana pihak akan terlepas daripada siasatan rasuah serta kutipan cukai.

“Kamu kaya berbilion cukai tidak mahu bayar, bawa lari keluar negara, saya akan kutip cukai dari rakyat tapi saya tidak akan lepaskan tauke-tauke dan maha kaya dari membayar cukai. Sebab itu kita akan buat siasatan kononnya ada tindakan politik.

“Bezanya selama ini kuasa politik melindungi penjenayah besar, kuasai politik melindungi perasuah besar, kuasai politik memperkayakan beberapa kuasa penguasa, gunakan kuasa melindungi mereka dan hentam rakyat,” katanya dalam ucapan Kongres PKR di Stadium Melawati, Shah Alam hari ini.

Anwar berkata, rakyat kini bukan menilai daripada ungkapan semata-mata tetapi apa dilihat adalah dari segi perlaksanaan pimpinan berada dalam kerajaan perpaduan ini.

“Sekarang kita ditampuk pemerintahan kita bukan dinilai dari ungkapan lakaran, kita akan dinilai dari segi amalan perlaksanaan bukan perdana menteri atau menteri semata tapi seluruh parti dalam gagasan kerajaan perpaduan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan kerjasama bersama Umno, GPS dan GRS tidak akan mengganggu gugat proses kehakiman atau undang-undang dalam membasmi rasuah.

Menurutnya, selama empat bulan kerajaan perpaduan mentadbir, tiada sebarang gangguan atau campur tangan dari mana-mana pihak dalam segala siasatan rasuah dan penyelewengan.

“Kita bersama tetapi tidak pernah berkompromi tentang idelisme. Ada yang tanya, mengapa kita memilih bersama Umno dan BN saya jawab empat bulan lebih dalam kerajaan tidak sedikit pun kita bertolak ansur soal negara hukum, anti rasuah kita memilih membela nasib rakyat.

“Belum ada sekali satu kes sama ada dalam badan kehakiman mahupun proses tender, belum pernah sekali di mana ada gangguan dalam kalangan pemimpin dalam kerajaan perpaduan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang sentimen perkauman dalam memastikan hak orang Melayu, bumiputera dan kesucian Raja-Raja Melayu terus terpelihara.

“Ya, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan Islam adalah agama rasmi, dan kita masih mengekalkan keistimewaan untuk orang Melayu dan bumiputera, kita menjaga kesucian Raja-Raja Melayu.

“Tetapi kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan prinsip bahawa ini adalah negara untuk semua rakyat Malaysia. Saya akan menggunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada pada saya untuk menghentikan kegilaan ini, kegilaan melawan kaum dan agama lain,” tegasnya.

Lelaki panik ditangkap ‘skodeng’ wanita mandi

KOSMO!
Lelaki itu segera melarikan diri selepas perakam menjerit kepadanya. - Instagram
JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan senario  seorang lelaki ditangkap ketika mengintai wanita mandi dari atas bumbung sebuah rumah, lapor laman berita Suara.com.

Berdasarkan video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @fakta.indo, lelaki itu dilihat sedang meniarap di atas atap zink sebuah rumah.

Video itu dirakam oleh beberapa wanita yang menyaksikan kejadian tersebut.

Lelaki berbaju kuning itu kelihatan panik setelah perakam menjerit ‘pengintip’ lalu segera meluru untuk turun dari bumbung itu.

Rakaman tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Tahniah, wajah anda terkenal di seluruh Indonesia,” komen seorang netizen.

“Auto panik dan auto bergaduh dengan isteri,” komen netizen lain. – Agensi

Dedah individu kemaruk kuasa main sentimen kaum, Putra beritahu PM

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim digesa mendedahkan identiti atau kumpulan cuba meniupkan sentimen kaum serta agama kerana kehilangan kuasa.

Presiden Putra, Ibrahim Ali berkata, gambaran jelas perlu diberikan kerana pasukan keselamatan juga perlu digerakkan bagi menangani ancaman berkenaan.

“Kita desak perdana menteri dedahkan dengan jelas siapa yang dimaksudkan mengancam keselamatan negara kerana kemaruk atau gila kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Anwar dilaporkan memberi amaran kepada pihak tertentu jangan “menghangatkan suhu” kaum atau agama kerana kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan usaha sedemikian.

Katanya, beliau sudah mengarahkan pasukan keselamatan berwaspada terhadap sebarang usaha ke arah itu.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani pula memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menjejaskan keharmonian.

Kenyataan itu menyusul siasatan polis ke atas hantaran Facebook Che’Gubard Original yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan gerakan “Kristian Evangelist” dengan mendakwa kementerian itu menyalurkan dana kepada sebuah badan bukan kerajaan untuk mengajak belia bukan Kristian melawat gereja.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah membuat laporan polis terhadap hantaran itu dan menegaskan tiada peserta Islam terbabit dalam program berkenaan.

Berang ditegur guna jari ambil lauk, 3 lelaki pukul pekerja restoran

Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat memukul dua pekerja restoran nasi kandar terkemuka di Cyberjaya dekat Putrajaya semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata tiga lelaki berumur antara 50 dan 51 itu ditahan berasingan di Balai Polis Cyberjaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang antara pukul 1.40 pagi dan 10 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, tiga lelaki itu yang berkunjung ke restoran berkenaan untuk makan dipercayai bertindak memukul pekerja kedai setelah salah seorang daripada mereka ditegur kerana menggunakan jari untuk mengambil lauk di seksyen nasi kandar kedai berkenaan.

"Suspek dikatakan menggunakan jarinya untuk mengambil lauk dalam keadaan mabuk… Akibat ditegur, mereka telah bertindak agresif dan mula memukul pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pekerja kedai itu turut dipukul menggunakan pengepit makanan besi di bahagian kepala dan badan, menyebabkan mereka mengalami lebam serta luka, antaranya di bahagian kepala, badan, leher, bahu serta tangan, dan insiden pergaduhan itu menjadi tular di media sosial.

Wan Kamarul berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 427 dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan tindakan menakut-nakutkan secara jenayah.

Beliau berkata seorang daripada yang ditahan itu merupakan pemandu pelancong yang mempunyai enam rekod jenayah dan lima kes dadah, manakala seorang lagi adalah pemandu teksi dengan tiga rekod jenayah dan dua rekod dadah.

Katanya seorang daripada lelaki berkenaan telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini, dan polis akan memohon untuk menahan reman dua lagi suspek esok.

- Bernama

Adun BN kini sebahagian kerajaan Selangor

FMT Reporters

Lima Adun BN di Selangor, iaitu Rizam Ismail (dari kiri), Imran Tamrin, Rosni Sohar, Shamsuddin Lias dan Zakaria Hanafi kini sebahagian kerajaan Selangor.
PETALING JAYA: Lima Adun Barisan Nasional (BN) kini diiktiraf sebahagian wakil rakyat kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jun ini.

Mengumumkan perkara itu pada sesi penggulungan di DUN Selangor, Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perubahan dari blok pembangkang itu hasil perbincangan bersama Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya yakin sebaik dewan ini (berakhir), ahli dewan dari BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sampailah kita tutup pentadbiran kita pada penggal ini, berakhir bulan enam (Jun) dengan peruntukan dan dasar seadilnya,” katanya menurut Berita Harian.

Adun BN terdiri daripada Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) yang juga bekas ketua pembangkang, Imran Tamrin (Sungai Panjang), Rosni Sohar (Hulu Bernam), Shamsuddin Lias (Sungai Burong) dan Zakaria Hanafi (Semenyih).

Di peringkat pusat, Pakatan Harapan (PH) dan BN bekerjasama membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15 yang turut membabitkan Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta parti kecil lain, antaranya Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Warisan.

Amirudin bagaimanapun berkata, kedudukan dua wakil rakyat PBM dan Warisan dalam blok kerajaan belum mendapat kata putus daripada pimpinan parti terbabit.

“Kalau ada (kata putus) kita akan bincangkan.”

Hannah Yeoh: PAS fitnah saya lagi, kali ini isu Sukma

Malaysiakini 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyangkal dakwaan seorang pemimpin PAS bahawa Kelantan dinafikan hak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024 seperti yang tular di pelbagai platform media sosial ketika ini.

Yeoh berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis terhadap dakwaan terbabit berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed yang disiarkan Harakah dan Facebook.

“PAS fitnah saya lagi. Kami di KBS Malaysia tidak menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukma.

“Semalam, exco Kelantan bersama saya di KBS dan bersetuju untuk menganjurkan Sukma 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang. Infrastruktur perlu masa untuk dibina,” katanya pada catatan Facebook hari ini.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed.
ADS

Tegas Yeoh, Sarawak akan menganjurkan Sukma 2024, diikuti Majlis Sukan Negara bagi Sukma 2026.

Yeoh memetik kenyataan Mohamad Kamal yang mendakwa Kelantan dinafikan haknya apabila KBS menarik balik penggiliran Sukma kepada Kelantan pada tahun 2024 dan ditukarkan dengan pemilihan kepada Sarawak.

Menurut Mohamad Kamal penukaran tersebut berlaku kerana Yeoh merupakan menteri DAP yang sememangnya terkenal dengan guna kuasa dalam senyap.

“Anak muda Kelantan akan catitkan penafian giliran Sukma ini dalam sejarah politik atas terma kuasa dan penafian hak terhadap Kelantan.

"Untuk kesekian kalinya Kelantan kekal satu-satunya negeri yang tidak pernah diberikan hak menganjurkan Sukma,” dakwa pemimpin PAS itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail (gambar, atas) menyifatkan penularan info tidak benar itu sangat tidak bertanggungjawab,

“Segala kenyataan itu menyimpang daripada hakikat dan iltizam Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi memastikan semua negeri berpeluang menjadi tuan rumah Sukma.

“Keputusan bersama itu dicapai hasil perbincangan di antara saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Roslan Wan Mahat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang bermesyuarat pada 16 Mac 2023,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata keputusan supaya Kelantan menjadi tuan rumah Sukma 2028 bagi memberikan masa tambahan kepada kerajaan negeri menyiapkan kemudahan penganjuran temasya sukan kebangsaan itu.

Kelantan satu-satunya negeri yang belum pernah menganjurkan Sukma.

Mengamuk dan pukul 2 polis, lelaki mabuk ditahan

Bernama

IPOH: Polis menahan seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol selepas mengamuk dan memukul dua pegawai rendah polis di hadapan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian itu kira-kira 12.10 pagi berhubung lelaki tempatan berusia 30 tahun itu terlanggar penghadang jalan dekat pos pengawal sebelum mengamuk semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya.

“Akibat serangan lelaki tersebut, kedua-dua pegawai rendah polis terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Lelaki itu kemudian ditangkap pasukan polis yang tiba memberi bantuan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.

Program Perasmian gunting rambut lebih penting dari menghadiri mahkamah?

Exco T'ganu papar jadual padat lepas mahkamah keluar waran tangkap
Malaysiakini 

Selepas Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor Hamzah, exco Terengganu itu memaparkan jadual yang padat sebagai sebab dia tidak dapat hadir ke mahkamah.

Menerusi Facebook, Mohd Nor memaparkan jadual program yang perlu dihadirinya, antaranya merasmikan program gunting rambut dalam DUN Bukit Payong.

Jadual program yang dihadirinya adalah seperti berikut:

9.00 pagi - Perasmian gunting rambut dalam Dun Bukit Payong.

10.15 pagi - Mengiringi Menteri Besar di program Ihya Ramadan di Wisma Darul Iman.

11.30 pagi - Merasmikan majlis penutup program bersama OKU di Maahad Syatibi.

12.30 tengah hari - Merasmikan majlis penutup Jelajah Ilmuan oleh Sheikh Nuruddin Banjar alMakii.

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana tidak hadiriuntuk menyambung keterangan dalam pendengaran petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

Peguam Amin Othman, yang bertindak bagi pempetisyen Jasmira Othman berkata hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan waran tangkap apabila Mohd Nor tidak hadir pada prosiding hari ini.

Jasmira merupakan calon BN bagi kawasan itu semasa pilihan raya umum (PRU) lalu.

Mohd Nor bagaimanapun berkata ketika menghadiri prosiding mahkamah pada Selasa lalu, dia dicadangkan untuk hadir pada hari Rabu (Semalam) tetapi mengatakan tidak dapat berbuat demikian kerana perlu menghadiri sidang DUN pada hari itu.

"Petang Rabu, PA (pembantu peribadi) saya memaklumkan lawyer (peguam) BN cadang supaya hadir pada 10 pagi Khamis tetapi saya mencadangkan petang hari Khamis sebab saya banyak komitmen program pada pagi Khamis. Rakyat mesti diutamakan.

"Insya Allah, saya dah berjanji dengan lawyer BN untuk hadir pada 19 Mac pukul 10 pagi. Doa moga Allah permudahkan urusan,” katanya.

Cuti mingguan di Terengganu jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu.

Mahkamah di negeri itu hanya beroperasi dari Ahad hingga Khamis (jika tiada cuti umum lain).

Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dakwaan PAS telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri - melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student - antara 15 dan 17 Nov 2022 menjelang PRU15.

Pada PRU lepas, Abdul Hadi mempertahankan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain - Jasmira, Azhar Ab Shukur (Pakatan Harapan) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

'Ada ahli politik cium tangan taikun, tapi serang saya bantu pesawah'

Puteri Aisya Sufian

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa dia menerima kritikan sesetengah ahli politik kerana meminta usahawan untuk membantu pesawah miskin.

"(Tetapi) bila (usahawan itu) membantu ratusan juta kepada parti politik, mereka (ahli politik tersebut) cium tangannya," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran MRT Aliran Putrajaya di depot MRT Serdang, hari ini.

Anwar merujuk kepada pemilik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang sebelum ini dimintanya untuk menyalurkan RM60 juta daripada keuntungan yang diraih kepada pesawah.

Menjadikan Yayasan Albukhary sebagai contoh, Anwar berkata negara memerlukan sistem perolehan yang lebih telus.

"Dia (Syed Mokhtar beri) RM200 juta masuk ke parti (politik), kita minta dia serahkan RM60 juta kepada pesawah.

"(Tetapi) mereka tak puas hati. Ada tokoh-tokoh politik yang menyerang saya (dengan mengatakan) saya ingin bertindak kepada seorang usahawan Melayu yang berjaya," dakwa pengerusi PH itu.

Anwar pertama kali membangkitkan idea agar Bernas berkongsi keuntungannya dengan pesawah padi pada Julai lalu, ketika masih menjadi ketua pembangkang.

Selepas dilantik menjadi perdana menteri, dia menegur Syed Mokhtar berkenaan monopoli Bernas dalam import beras.

Dia juga berkata Syed Mokhtar akan membuat pembayaran sebanyak RM10 juta kepada pesawah yang miskin pada Disember 2022, dan tambahan RM50 juta tahun ini.

Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham Bernas yang dibelinya daripada Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.

2 beradik terperangkap 30 minit dalam kereta akibat ‘auto lock’

Bernama

KUALA LUMPUR: Dua beradik yang terperangkap kira-kira setengah jam dalam sebuah kenderaan di Persiaran Putra Indah, Putra Heights, Subang Jaya, akibat “auto lock” berjaya diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Morni Mamat, berkata mangsa berusia 16 bulan dan empat tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 3.30 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerah ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah kereta terkunci serta terdapat dua kanak-kanak di dalamnya. Mereka kemudian selamat dikeluarkan oleh keluarga mangsa menggunakan kunci pendua,” katanya ketika dihubungi.

Morni berkata, kenderaan itu dipercayai terkunci akibat “auto lock” dan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan atau sesak nafas.

Senjata makan tuan, Hamzah Zainuddin mungkin berdepan dengan hukuman penjara

WAN SITI AMINAH

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana menyimpan dokumen milik kerajaan.

Menurut akta tersebut, individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(1) iaitu menyampaikan rahsia rasmi dengan salah boleh dihukum penjara.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun buat mereka yang melanggar akta itu.

Seorang peguam tampil memberi pencerahan mengenai keseriusan salah laku tersebut dan kepentingan fail yang didakwa dimiliki Hamzah.

Menurutnya, fail pejabat menteri yang merupakan harta kerajaan itu tidak boleh disalin atau dibawa keluar dari bangunan kerajaan.

Sebagai menteri, Hamzah juga terikat dengan sumpah untuk menjaga rahsia, semasa melafazkan taat setia mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat jawatan.

“Kenyataan Hamzah itu bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi dan sumpah rahsia,” kata peguam yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Terdahulu, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa bahawa beliau mempunyai fail milik pemimpin kerajaan.

Alhi Parlimen Larut itu turut mengugut untuk mendedahkan isi kandungan fail tersebut jika kerajaan terus menganggu (dikenakan tuduhan) pemimpin PN.

Mahkamah keluar waran tangkap exco Terengganu

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap exco negeri Mohd Nor Hamzah yang tidak hadir hari ini untuk menyambung keterangan dalam pendengaran petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

Peguam Amin Othman, yang bertindak bagi pempetisyen Jasmira Othman berkata hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan waran tangkap apabila Mohd Nor tidak hadir pada prosiding hari ini.

Jasmira merupakan calon BN bagi kawasan itu semasa pilihan raya umum lalu.

“Pada 14 Mac, Hassan Abdul Ghani telah mengarahkan Mohd Nor untuk kembali ke mahkamah pada 16 Mac untuk menyambung semula keterangannya.

"agaimanapun pada pagi 16 Mac (hari ini), Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah.

“Oleh itu, atas permohonan peguam pempetisyen, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor.

"Perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Marang akan disambung pada 19 Mac," kata Amin kepada Malaysiakini.

Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu Ahmad Said dilaporkan berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dakwaan PAS telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri - melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student - antara 15 dan 17 Nov 2022 menjelang PRU15.

Abdul Hadi mempertahankan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain - Jasmira, Azhar Ab Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

Sementara itu peguam Yusfarizal Yusoff, yang bertindak bagi responden menjelaskan Mohd Nor pada mulanya memohon untuk hadir pada sebelah petang memandangkan saksi ada urusan penting yang perlu diselesaikan.

Peguam itu menjelaskan bahawa mahkamah pilihan raya bagaimanapun tidak membenarkan dan mahu saksi itu datang pagi ini, dan waran tangkap dikeluarkan apabila saksi tidak hadir.

"Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap untuk YB (Mohd Nor) untuk terus memberi keterangan pada Ahad," kata Yusfarizal ketika dihubungi.

Hari kelepasan am Terengganu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, oleh itu mahkamah di negeri ini beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis (jika tiada sebarang cuti umum lain).

Wilayah Persekutuan pula larang penceramah tak bertauliah

N Faizal Ghazali

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengeluarkan peringatan agar semua masjid dan surau di bawah pentadbirannya mematuhi arahan untuk memastikan intitusi itu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada pengaruh politik.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Kaedah-kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Jawatankuasa Kariah 2019) dan pekeliling semasa.

Katanya ia bagi memastikan institusi tersebut ditadbir secara efisien dan profesional khususnya melibatkan program pengimarahan dan pengajian agama.

"Masjid dan surau di ilayah-wilayah Persekutuan hendaklah memastikan semua penceramah mempunyai tauliah mengajar Islam serta kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Wilayah Persekutuan adalah antara negeri yang mengenakan peraturan hanya penceramah bertauliah dibenarkan memberi kuliah atau syarahan di masjid dan surau.

Sebelum ini sudah ada beberapa negeri turut mengenakan peraturan sama, termasuk Selangor, Terengganu dan Perak.

Terdahulu isu program ceramah atau kuliah agama menjadi tumpuan selepas beberapa negeri menegaskan sekatan menyampaikan kuliah bagi mereka yang tidak mempunyai tauliah termasuk ahli-ahli politik.

Pada 26 Feb lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membatalkan program ceramah oleh penceramah bebas Azhar Idrus di sebuah masjid negeri itu susulan ketiadaan tauliah.

Azhar kemudiannya akur dan kuliahnya pada tarikh tersebut dipindahkan dan berlangsung di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang terletak di bawah bidang kuasa Jawi.

Mohd Ajib berkata sebarang pelanggaran terhadap ketetapan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Institusi masjid dan surau seharusnya menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan, bukan sebaliknya menjadi punca kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat," jelasnya.

16 laporan polis berhubung ceramah hina institusi diraja

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis Johor menerima 16 laporan berhubung satu video yang memaparkan ceramah berunsur penghinaan terhadap institusi diraja yang tular, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu video berdurasi 31 saat itu.

Katanya, menerusi video itu, ia memaparkan seorang penceramah lelaki membuat kenyataan didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap institusi diraja.

"Siasatan kes ini dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, bagi perbuatan menghasut, individu boleh dipenjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbuatan membuat kenyataan yang mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara, individu boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, polis menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mendatangkan kegentaran awam.

GLC dan agensi kerajaan siapa patut terajui orang politik atau golongan profesional?

Shahbudin Husin

Susulan beberapa lantikan politik oleh kerajaan kebelakangan ini, khususnya selepas Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi MARA, riuh rendah sekali lagi segelintir pihak dalam kumpulan masyarakat sivil menyanggah perkara itu.

Sebelum ini mereka kerapkali bersuara mengenai bantahan itu.

Mereka seterusnya melahirkan kekesalan kerana Anwar Ibrahim masih membenarkannya berlaku dalam kerajaan perpaduan ini.

Sehubungan itu, mereka menggesa Perdana Menteri agar segera menghentikan amalan tersebut, sambil menuntut sepatutnya golongan profesional yang dilantik, bukan orang politik.

Siapa sepatutnya menerajui GLC dan agensi kerajaan – orang politik atau golongan profesional?

Apa yang semua orang perlu faham dan sedar, termasuk kumpulan masyarakat sivil yang membantah itu, yang menang pilihan raya dan menerajui kerajaan adalah parti politik.

Parti politik yang bertanding dalam pilihan raya dan disebabkan itulah sebahagian besar menteri, kalau pun tidak semuanya, ialah orang politik belaka.

Parti yang akan membentangkan manifesto serta dasar demi kebaikan rakyat, maka hanya mereka yang faham perjuangan parti saja yang ada iltizam untuk melaksanakannya setelah berjaya menjadi kerajaan.

Dengan demikian, parti politik dan orang politik tidak boleh dipisahkan daripada berada dalam kerajaan, bukan saja sebagai menteri dan anggota pentadbiran, malah yang lain-lain yang bersesuaian.

Dalam konteks agensi kerajaan dan GLC atau syarikat berkaitan kerajaan, ia secara mudah difahami adalah di bawah penguasaan parti yang membentuk dan menguasai kerajaan.

Namanya pun agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, maka sepatutnya tentulah orang politik yang sealiran dengan kerajaan yang harus menerajuinya.

Apa guna parti menjadi kerajaan jika agensi kerajaan dan GLC tidak diterajui oleh orang parti, sebaliknya senang-senang diserah kepada semata-mata golongan profesional?

Golongan profesional boleh berada dalam agensi kerajaan atau GLC sebagai Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah, CEO, pengurusan dan seterusnya.

Ia sama seperti dalam kementerian, sementara menteri adalah orang parti, tetapi KSN, KSU, ketua-ketua jabatan dan seterusnya adalah kakitangan awam.

Pengerusi atau peneraju agensi kerajaan atau GLC itu kena diberikan kepada orang politik agar perjalanan serta hala tujunya selari dengan aspirasi kerajaan yang dipimpin oleh parti yang berkuasa itu.

Dalam hal ini, meskipun dilantik daripada orang politik, lantikan peneraju itu bukanlah bermakna boleh dibuat secara semberono, sebaliknya wajib berdasarkan kelulusan, kemampuan, kebolehan, kewibawan dan latar belakang seseorang itu yang bersesuaian dengan jawatan tersebut.

Jangan ingat dalam parti politik tiada orang profesional dan hanya orang profesional yang tidak berparti atau tidak memegang jawatan dalam parti saja yang layak menerajui atau menjadi pengerusi agensi kerajaan dan GLC.

Kalau kita boleh menerima Perdan Menteri, menteri-menteri dan anggota pentadbiran kerajaan daripada kalangan orang politik yang memenangi pilihan raya, tiada sebab kita tidak boleh menerima apabila agensi kerajaan dan GLC turut sama diterajui oleh orang politik daripada parti yang sama.

Lagi pun, setiap lima tahun, parti perlu kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan dan undi melalui pilihan raya.

Dengan lebih ramai orang politik yang berkebolehan menerajui agensi kerajaan dan GLC, ia secara tidak langsung akan menyebabkan parti lebih diyakini, dihormati dan dilihat benar-benar berfungsi kepada rakyat.

Bolehkah parti lebih dihormati dan menang lagi dalam pilihan raya jika selepas menjadi kerajaan, yang dapat banyak jawatan adalah kalangan profesional yang entah daripada mana-mana asul usul serta hala tuju jiwa politiknya?

Malah, dengan orang politik dan mereka yang berjawatan dalam parti menerajui agensi kerajaan dan GLC, mereka terbabit juga akan turun sama berkempen atau memainkan peranan setiap kali PRU diadakan.

Sebaliknya, jika orang profesional yang tidak berparti mengetuai agensi kerajaan atau GLC, mereka bukan saja tidak masuk campur ketika kempen PRU diadakan, malah mungkin membawa diri bercuti ke London, Paris, Milan dan sebagainya bersama keluarga masing-masing pada waktu tersebut.

Akhirnya, siapa yang rugi?

Untuk menutup isu ini daripada terus diperdebatkan, Anwar tiada pilihan melainkan harus segera mengisi semua kekosongan dalam agensi kerajaan dan GLC dalam kadar yang segera dengan tidak ragu-ragu menempatkan pemimpin politik yang bersesuaian dan berkebolehan di jawatan-jawatan berkenaan.

Lagi lambat lantikan dilakukan, lagi macam-macam hal jadi cecehan.

Titik, noktah, fullstop. – ShahbudinHusin 14/03/2023.

Noh Omar: Presiden Umno boleh diguling melalui undi tak percaya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno boleh menggulingkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi jika mendapat undi tidak percaya dua pertiga ahlinya, kata Noh Omar.

Bekas ahli MKT Umno itu berkata, ini melibatkan undian antara 25 MKT yang dipilih dan 12 dilantik bagi jawatan itu dalam parti berkenaan.

Bagaimanapun, Noh mengakui perkara itu sukar diperoleh berdasarkan pengalamannya selama 29 tahun menjadi ahli MKT yang terpilih dalam pemilihan Umno.

“Bukan mudah hendak mendapatkan dua pertiga kerana kita kena ingat yang bertanding 25 orang, tetapi yang dilantik pula.

“Takkan MKT yang dilantik itu hendak ikut mereka (MKT) yang dipilih. Kalau kata hendak dapatkan atau gulingkan presiden sebab MT ramai, itu mustahil. Namun boleh buat dengan dua pertiga iaitu mengikut perlembagaan,” kata bekas ketua Umno Selangor itu menurut Kosmo.

Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, akan mengekalkan dua jawatan tertinggi Umno selepas usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden diluluskan pada perhimpunan agung parti.

Sementara itu, Noh yang dipecat pada Januari lalu berkata beliau akan kembali kepada Umno jika berlaku pertukaran individu yang memegang jawatan nombor satu parti.

“Kalau tukar saya boleh ‘come back’ (kembali) sebab dia yang pecat saya bukan Lembaga Disiplin dan MKT,” katanya.

Selangor larang program libat umat Islam di rumah ibadat agama lain

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor melarang penganjuran program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Zawawi Mughni, berkata wujud badan bukan kerajaan (NGO) aktif menganjurkan program berbentuk kefahaman dan nilai toleransi antara agama sejak kebelakangan ini.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang melanggar peraturan.

“Kesalahan itu mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dipercayai selepas dakwaan ahli Bersatu, Che’GuBard atau Badrul Hisham Shaharin dalam catatan di Facebooknya kelmarin mendakwa “Projek Artikel 11”, program agensi bawah Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan aktiviti “evangelist” atau dakwah ke arah agama Kristian.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah melampau.

Pemimpin DAP itu berkata, tuduhan berkenaan sebagai cubaan menjadikan beliau “punching bag” bagi menutup dakwaan salah laku dihadapi pimpinan Bersatu.

Yeoh kemudian membuat laporan polis terhadap Che’GuBard berhubung tuduhan agensi bawah Kementerian Belia dan Sukan itu menjadi “Kristian Evangelist” selepas pelantikannya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai “ajakan” kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja namun Projek Impact Malaysia turut melibatkan rumah ibadat bagi agama lain termasuk ziarah masjid.

Dalam pada itu, Zawawi berkata kerajaan negeri sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama.

“Justeru, setiap NGO perlu lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan. Jika terdapat sebarang kemusykilan, pimpinan NGO boleh merujuk kepada Jais dan Jabatan Mufti bagi pertanyaan lanjut,” katanya.

Lim hantar surat tuntutan - Muhyiddin mohon maaf atau berdepan saman

Hidir Reduan Abdul Rashid

Lim Guan Eng hari ini menghantar surat tuntutan memohon permohonan maaf daripada Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan bekas menteri kewangan ketika itu telah membatalkan status pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.

Peguamnya, Guok Ngek Seong mengesahkan bahawa surat tuntutan itu telah dikeluarkan bagi menuntut bekas perdana menteri itu supaya menarik balik tuduhannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.

Menurut salinan surat tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, ia telah diakui dan ditandatangani sebagai diterima oleh pihak Muhyiddin.

Pada 11 Mac lalu, pengerusi DAP itu memberi tempoh kepada Presiden Bersatu sehingga hari ini untuk memohon maaf kerana mendakwa dirinya telah membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary semasa dia menjadi menteri kewangan.

ADS

Menerusi surat tuntutan yang turut dimuat naik ke akaun Facebook, Lim menuntut Muhyiddin memohon maaf berhubung tiga kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Kenyataan pertama dihantar ke akaun FB Muhyiddin pada 10 Mac, manakala yang kedua adalah kenyataan media yang dimuatkan di akaun media sosial yang sama pada 11 Mac, dan yang ketiga ialah kenyataannya kepada wartawan pada 12 Mac.

Lim mendakwa kenyataan itu berunsur fitnah dan antara lain membayangkan bahawa dia telah menyalahgunakan kuasanya ketika itu dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan tersebut apabila pertubuhan berkenaan tidak dikenakan cukai.

Lim bukan sahaja menafikan dakwaan itu malah mendakwa ia berniat jahat dan bermotifkan politik dengan niat untuk memburukkan imejnya dengan menggambarkan dirinya, antara lain sebagai rasis dan anti-Islam.

Katanya, sejak beberapa dekad menceburi politik secara aktif, dia telah membuktikan melalui tindakan dan tingkah laku yang mempertahankan hak setiap kumpulan etnik tanpa mengira sebarang kepercayaan di Malaysia.

Selain kata dua dalam tujuh hari untuk penarikan balik dan permohonan maaf dengan syarat-syaratnya yang akan ditentukan kemudian, Lim juga memohon jaminan bahawa Muhyiddin tidak akan mengulangi dakwaan berkenaan lagi.

Lim juga mempelawa Muhyiddin untuk mencadangkan sejumlah pampasan yang akan dibayar kepadanya (tertakluk kepada persetujuan oleh Lim).

Katanya, bahawa sekiranya tiada jawapan yang memuaskan diterima dalam tempoh tujuh hari bermula dari hari ini, maka peguamnya dari firma guaman Guok Partnership akan memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah dalam bentuk writ saman untuk mendapatkan remedi yang sewajarnya.

Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam Muhyiddin untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Keruntuhan Bank Silicon Valley: Ini cerita sebenar yang ramai tak tahu

MALAYSIADATELINE

Bank Silicon Valley (SVB) mengejutkan dunia setelah diarahkan tutup oleh pengawal selia kewangan California.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff mengeluarkan pendapat mengenai krisis tersebut dalam hantaran di Facebook.

Hasyudeen memaklumkan bagaimana masyarakat kewangan dikejutkan dengan penutupan SVB Bank yang beri khidmat kepada komuniti teknologi Amerika di Silicon Valley.

Di bawah adalah perkongsian mengenai keruntuhan SVB Bank dan kadar faedah Amerika.

Bank menerima deposit dari pelanggan dan menggunakan deposit berkenaan untuk memberi pembiayaan/ pinjaman kepada pihak yang layak berdasarkan aliran tunai dan pendapatan mereka. Sebahagian dari deposit berkenaan dilaburkan di dalam bon-bon khususnya yang selamat dan ada kecairan. Ini penting bagi membolehkan bon berkenaan dijual apabila bank memerlukan dana untuk membayar pengeluaran deposit. Di samping itu bank mendapat pendapatan dari faedah yang dibayar oleh penerbit bon.

SVB Bank telah melabur di dalam bon-bon Amerika termasuk yang ada cagaran hartanah. Kita semua tahu bahawa semenjak tahun lepas Rizab Persekutuan Amerika telah menaikkan kadar faedah dengan mendadak. Apakah kaitan kenaikan kadar faedah ini dengan keruntuhan SVB? Bukankah di sini apabila OPR nail riuh di media sosial bahawa bank akan bertambah kaya?

Dari segi perakaunan, bon dinilai berdasarkan kadar pulangan (yeild) di dalam bentuk faedah tetap yang dijanjikan berbanding dengan kadar faedah semasa. Apabila kadar faedah di dalam pasaran naik, nilai bon akan jatuh bagi memberikan pulangan yang sama dengan kadar faedah. Sekiranya bank menjual bon di ketika itu, nilai yang didapatinya akan jauh lebih rendah berbanding dengan harga asal.

SVB menghadapi masalah penilaian bon seperti yang dinyatakan di atas. Apabila pelanggan mengeluarkan deposit, SVB terpaksa menjual bon untuk mendapatkan tunai dan merealisasikan kerugian atas kertas disebabkan kejatuhan nilai bon berkenaan. Apabila jumlahnya besar, SVB terpaksa meningkatkan modalnya. Apabila ia mengumumkan perkara ini, pendeposot menjadi panik dan berlumba-lumba mahu mengeluarkan deposit mereka. Di dalam tempoh 48 jam, SVB menjadi muflis.

Kerajaan Amerika melalui agensi-agensinya memberi jaminan kepada pendeposit bahawa mereka akan dapat mengeluarkan deposit mereka dengan sepenuhnya. SVB akan dibiarkan bangkrup. Itu kaedah di negara seperti Amerika dan Eropah. Mereka tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk menanggung biawak hidup. Biarlah pemegang saham menanggung kesan tindakan dan keputusan komersil mereka. Kerajaan tidak menjadi penanggung keputusan komersil yang silap.

Jaminan ke atas deposit yang diberikan itu penting kerana ianya digunakan oleh pendeposit untuk membiayai industri teknologi Amerika. Sekiranya deposit tidak dijamin, rantaian bekalan syarikat-syarikat teknologi Amerika akan terganggu. Mungkin kesannya akan dirasai sehingga ke negara kita. Naik harga lagi. Tapi, itu dah tak menjadi isu.

Isu penilaian aset kewangan ini penting bagi institusi kewangan. Tabung Haji pun pernah menghadapi situasi yang sama walaupun rosotnila asetnya disebabkan perkara-perkara lain. Yang membezakan di antara Tabung Haji dan SVB Bank ialah Tabung Haji tak ada pemegang saham, kesemua dana dimiliki oleh pendeposit. Itulah sebabnya kerajaan kena tubuhkan Urusharta Jamaah di bawah Kementerian Kewangan untuk membeli aset-aset sakit Tabung Haji pada nilai yang tinggi supaya nilai dana pendeposit terjamin. Jahat sungguh orang-orang yang menuduh Urushart Jamaah ini syarikat Cina.

Dunia kewangan ini agak kompleks. Ada juga akauntan pun yang tidak faham aspek-aspek tertentu termasuk isu-isu penilaian aset dan kaedah perakaunan. Jadi, tentulah orang-orang yang berada di luar dari bidang ini lebih tidak faham dan mudah keliru.

Semoga cerita SVB Bank ini menjadi satu cara bagi kita memahami sedikit berkenaan institusi kewangan.

Nik Hasyudeen – Bekas Ceo Tabung Haji

Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Putra dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan diasaskan Dr Mahathir Mohamad yang sedang menuju ke arah menjadi parti politik rasmi, menurut laporan.

Mahathir dilaporkan akan mengambil alih jawatan presiden daripada Ibrahim Ali, sekutu lama bekas perdana menteri itu.

Memetik sumber parti, Utusan Malaysia melaporkan bahawa hala tuju parti akan diperincikan kepada ahli Putra pada mesyuarat agung tahunannya bulan depan.

Sumber berkata, GTA akan bekerjasama dengan parti-parti bawahnya sebelum ini, seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), serta gabungan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan tertutup bersama Mahathir selepas (Pengarah Pilihan Raya PAS) Muhammad Sanusi Md Nor turut berjumpa bekas perdana menteri itu.

“Perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada PRU16,” kata sumber.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, GTA mungkin tidak akan bertanding pada PRN akan datang di enam negeri, sebaliknya hanya menyokong PN.

Katanya, PN yakin dapat meraih sokongan pengundi Melayu sebagai alternatif kepada kerjasama antara Umno dan DAP dalam kerajaan.

Pada masa ini, GTA yang diasaskan oleh Mahathir tahun lepas terdiri daripada parti-parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, termasuk Putra.

Februari lepas, Mahathir meninggalkan Pejuang, yang diasaskannya pada 2020, berikutan keputusan parti itu keluar daripada GTA. Menurut Mahathir, tindakan menolak GTA sama seperti menolak dirinya.

Beliau kemudian menyertai Putra sebulan kemudian dan diberi nombor keahlian “No 1”, yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim sebagai presiden.

Keesokan harinya, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa parti itu telah memohon untuk menyertai PN.

Fatwa 'sesat': SIS fail rayuan di Mahkamah Persekutuan

Malaysiakini 

Sisters in Islam (SIS) akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesnya bagi mencabar fatwa negeri Selangor terhadap kumpulan itu pada 2014.

Dalam satu kenyataan hari ini, SIS berkata kumpulan itu "amat kecewa" dengan keputusan majoriti hakim Mahkamah Rayuan yang mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019 bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor adalah forum yang sesuai untuk melakukan semakan kehakiman terhadap fatwa berkenaan.

“Hakim (M Gunalan) yang tidak bersetuju... mengulangi dan mengekalkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 bahawa fatwa itu hanya boleh dikeluarkan dan diguna pakai kepada orang yang menganut agama Islam dan SIS sebagai sebuah organisasi, sudah tentu tidak boleh menganut agama itu.

"Berdasarkan alasan lisan yang disampaikan, SIS amat bimbang bahawa keputusan majoriti Mahkamah Rayuan nampaknya tidak mengikut preseden yang dibuat di Mahkamah Persekutuan," kata SIS.

Pada tahun 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa terhadap SIS, menyatakan bahawa kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalisme dan pluralisme dan dengan itu menyeleweng kerana ideologi tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Kerajaan Selangor mewartakan fatwa itu pada 31 Julai tahun itu.

Keputusan majoriti 2-1 hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa sebarang pertikaian yang dikaitkan dengan "hukum syarak" adalah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah dan bukannya mahkamah sivil.

SIS ditubuhkan pada 1988 untuk membantu wanita Islam di Mahkamah Syariah dan menangani cabaran dihadapi mereka di bawah Undang-undang Keluarga Islam.

Mayat remaja disyaki dibunuh ditemukan di kawasan semak berlumpur

Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
MAYAT remaja perempuan yang di kawasan semak berlumpur di Kampung Forest, Sandakan, hari ini. FOTO tular
MAYAT remaja perempuan yang di kawasan semak berlumpur di Kampung Forest, Sandakan, hari ini. FOTO tular
Sandakan: Remaja perempuan ditemui mati disyaki dibunuh di kawasan setinggan Kampung Forest, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mayat mangsa berusia 15 tahun ditemui orang ramai sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima makluman sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Katanya, mayat remaja perempuan itu ditemui dalam kawasan semak dan berlumpur.

"Siasatan awal mendapati mangsa mati dibunuh dan mayat dibawa ke Bilik Mayat Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

"Susulan itu, seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan berhampiran lokasi kejadian pada 12.30 tengah hari.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Fuad berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

MP PAS jenis pengecut main tembak je

story-imageMP PAS tarik balik dakwaan kaitkan Women's March dengan LGBT
Yasmin Ramlan, Geraldine Tong & Raveena Nagotra

MP PAS tarik balik dakwaan kaitkan Women's March dengan LGBT

PARLIMEN | Selepas dilontarkan pertanyaan berkali-kali daripada speaker, akhirnya Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menarik semula dakwaannya yang mengaitkan perhimpunan Women’s March dengan gerakan LGBT.

Sebelum itu Wan Razali mendakwa perarakan yang dibuat sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa itu membabitkan unsur LGBT.

Ketika itu sidang dikendalikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau.

Sejurus selepas membuat kenyataan itu Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul masuk ke dewan mengemukakan pertanyaan kepada ahli parlimen PAS berkenaan.

“Saya dengar di chamber (bilik) tadi, adakah Kuantan (Wan Razali) pasti Women’s March itu adalah (perhimpunan) LGBT?" katanya tegas.

Apabila ada ahli parlimen lain yang mencelah, Johari meminta mereka diam untuk memberikan ruang kepada Wan Razali menjawab.

“Yang lain diam dulu - saya nak dapat (jawapan) itu saja. Are you sure (Adakah kamu pasti)? Saya nak tanya kalau sure kata sure, kalau tidak kata tidak.

"Adakah perarakan itu adalah (perarakan) LGBT atau (perarakan) Women?

“Are you sure yang berarak itu adalah LGBT dan yang organise (mengajurkan) itu adalah LGBT?” soal Johari dengan nada lebih tegas.

Johari kemudian bertanya semula sama ada Wan Razali benar-benar pasti atau tidak kerana dia boleh dikenakan tindakan sekiranya membuat kenyataan yang itu bertentangan daripada keadaan sebenar.

Johari: Saya tanya perarakan tu adakah LGBT atau tidak? Sebab kalau ya dan saya check (semak) kalau bukan, you (boleh) diambil tindakan. Jadi soalan saya: ya atau tidak atau tidak sure?

Wan Razali: Saya tak pasti.

Johari: Kalau tak pasti, tarik balik. Tarik balik!

Keadaan itu menyebabkan suasana Dewan Rakyat menjadi kecoh dengan pihak penyokong kerajaan dan pembangkang saling bersuara.

Johari kemudian membuat arahan agar Wan Razali - yang baru-baru ini membuat permohonan maaf kepada penyanyi Baby Shima - menarik balik kenyataan tersebut sebelum akhirnya Wan Razali akur

"Saya tarik balik," katanya.

Johari kemudian mengarahkan ahli parlimen Kuantan itu meneruskan perbahasannya.

Penyokong kerajaan bantah

Terdahulu, Wan Razali mengarahkan kenyataannya kepada Kementerian Perpaduan Negara berhubung perincian program dan dana peruntukan yang dirancang untuk setiap negeri.

Dia meminta kepastian jika kementerian terbabit menjalin kerjasama dengan kementerian lain untuk acara yang berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian.

“Baru-baru ni tular video perarakan golongan LGBT di ibu negara.

"Sebelum ni perdana menteri menegaskan kerajaan tidak mengiktiraf golongan LGBT, tapi mengapakah perarakan di jalanan oleh penyokong LGBT diadakan seolah-olah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa?

“Bahkan turut diadakan dialog secara terbuka di pusat beli-belah, ibarat mempromosikan gejala songsang yang bertentangan dengan nilai agama, modal dan attasusila ketimuran.

"Apakah pendirian kementerian terhadap tindakan tersebut?” soalnya.

Kenyataannya itu kemudian menyebabkan beberapa ahli parlimen blok kerajaan bangun untuk mencelah kerana berpendapat Wan Razali cuba mengaitkan perarakan tersebut dengan kerajaan, walaupun ia dianjurkan oleh badan bukan kerajaan.

Antara yang bangkit untuk mencelah ketika itu ialah Syarleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas).

Keadaan dewan menjadi kecoh ketika itu dan cuba ditenangkan oleh Lau sebelum masuk ke dan mengendalikan sesi tersebut.

Yasmin Ramlan
Geraldine Tong
Raveena Nagotra

Salah guna kuasa, Ketua Pembangkang boleh disiasat jika simpan fail kerajaan

WAN SITI AMINAH

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakwa menyalahgunakan kuasanya ketika memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Hal terbabit terbongkar apabila Setiausaha Agung Bersatu itu mendedahkan bahawa beliau masih menyimpan fail milik kerajaan.

Hamzah mendapat akses kepada fail sulit kerajaan ketika masih menjawat jawatan sebagai menteri.

Fail itu tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari bangunan kerajaan kerana boleh disalahguna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh menyeru pihak berkaitan untuk membuat laporan.

Hal ini kerana, siasatan hanya dimulakan jika ada laporan dibuat kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya rasa untuk memulakan siasatan sudah tentunya satu laporan polis boleh dibuat atau mana-mana pegawai SPRM boleh buat (laporan).

“Saya percaya itu amalan biasa yang boleh dilakukan,” katanya ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat, semalam.

Gobind mempersoalkan sama ada siasatan terhadap tindakan salah guna kuasa oleh Hamzah itu boleh dijalankan.

Kelmarin, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa beliau mempunyai fail yang boleh digunakan untuk menentang pemimpin kerajaan.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu turut memberi amaran kepada kerajaan untuk berhenti mencari kesalahan pemimpin partinya.

Rafizi ragu pemimpin pembangkang sanggup dipenjara

Isabelle Leong

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan keraguannya sekiranya Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin sanggup mengambil risiko untuk dipenjarakan demi mendedahkan fail-fail yang didakwa disimpan sejak menjadi menteri dalam negeri.

Rafizi berkata, dia melihat dakwaan Hamzah tidak lebih sekadar retorik kerana mempertaruhkan dirinya sendirinya sekiranya memilih untuk mendedahkan fail-fail berkenaan.

“Saya tak terlalu bimbang kerana saya meragui mana-mana ahli politik yang ingin mengambil risiko masuk penjara.

"Jika saya Hamzah, jika mereka (ahli politik pembangkang) mahu mendedahkan (fail berkenaan) maka mereka mendedahkan diri mereka kepada semua ini (hukuman penjara)... saya ragu begitu," katanya selepas melancarkan Majlis Banci Ekonomi 2023 di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi diminta mengulas mengenai pendedahan Hamzah bahawa pemimpin Bersatu itu memiliki "banyak fail" berkaitan pemimpin kerajaan semasa menjadi menteri.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun berkata Hamzah mungkin melakukan kesalahan undang-undang jika menyimpan sebarang dokumen sensitif dan menggesa dia disiasat kerana bersubahat dalam melindungi ahli politik tertentu dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang juga seorang peguam, berkata kenyataan Hamzah itu bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan sumpah rahsia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membangkitkan isu bahawa Hamzah mungkin melakukan kesalahan jenayah jika menyimpan fail yang diletakkan di bawah OSA.

Rafizi berkata pembangkang perlu mempertimbangkan apakah pendedahan tersebut akan melibatkan kepentingan orang ramai sebelum mereka mahu berbuat demikian.

Bercakap berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah didapati bersalah kerana melanggar OSA pada 2016, Rafizi menegaskan dia mendedahkan dokumen sulit mengenai skandal 1MDB, yang berada dalam simpanannya tanpa kebenaran, dengan niat “menyelamatkan orang ramai melebihi daripada segala-galanya”.

“Pastikan ia tidak serkap jarang dan mengambil kesempatan politik daripadanya.

“Orang ramai jauh lebih bijak. Kita tunggu dan lihat sahaja.

“Sekiranya ada skandal besar yang melibatkan sesiapa, dokumen itu akan keluar sekarang. Media pasti dapat” kata timbalan presiden PKR itu.