"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar wanita Islam diserang individu bertopeng dalam tandas sekolah

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan beragama Islam di California, Amerika Syarikat diserang individu bertopeng di dalam tandas sekolah, dalam satu lagi kes serangan Islamofobia di nagara itu, lapor Stepfeed.

Sabah Elias dari Sekolah Tinggi Pleasant Grove memberitahu polis dia diekori individu bertopeng ketika menuju ke tandas semasa mengikuti pembelajaran tutor.

Katanya, penyerang melemparkan kata-kata hinaan terhadap agamanya dan mencampak sebotol air ke mukanya. Terkejut dengan kejadian itu, gadis itu melaporkannya kepada pegawai sekolah yang segera menghubungi polis.

“Saya sangat takut pada awalnya menyebabkan saya mahu pulang ke rumah, tetapi ibu bapa saya benar-benar memberi inspirasi kepada saya dan benar-benar menunjukkan bahawa orang lain juga menderita seperti itu,” kata Elias ketika ditemubual.

Dalam memberi sokongan kepada masyarakat Islam tempatan, sekolah itu mengadakan pertemuan dengan wakil dari Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) dan Datuk Bandar Elk Grove.

“Kami kagum melihat solidariti dari masyarakat dan kami komited untuk menyokong pelajar kami dan mencabar buli, kebencian dan prasangka dalam semua bentuk. Kami memantau kes ini secara dekat,” kata peguam hak sivil bagi CAIR, Dustin Johnson.

Selepas insiden itu, pegawai sekolah menghantar surat kepada ibu bapa yang mengutuk semua perbuatan “buli, ucapan kebencian, memaparkan kebencian dan apa jua tindakan kebencian.”

Surat itu memberi amaran yang ketat terhadap tindakan tersebut, menjelaskan mereka melanggar dasar yang ditetapkan.

Rafizi antara pejuang reformasi terbilang - Ezam

MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Saya terkejut mendapat berita pengunduran saudara Rafizi daripada politik. Walaupun desas-desus mengenainya pernah sampai ke telinga, saya tidak mahu percaya hingga kenyataan rasmi beliau semalam.

Ia satu berita sedih bagi setiap pejuang anti rasuah dan berita gembira bagi elit perasuah.Sebabnya jelas. Hanya perasuah atau orang berjiwa hamba dan bodoh gagal memahaminya.

Saya kenal Rafizi sejak beliau jalani pengajian di UK. Beliau bersama perjuangan reformasi sejak itu lagi dan banyak membantu gerakan reformasi di sana. Beliau aktif, serius, pintar dan petah.

Sekembalinya dari UK beliau terus sertai PKR. Saya sendiri usulkan kepada pimpinan parti agar Adlan Benan Omar dan Rafizi keduanya sekali ditawarkan menduduki Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti. Dan Rafizi menjadi ahli MPT termuda pada masa itu.

Allahyarham Adlan Benan Omar juga pengasas Pemuda Keadilan. Pelajar cemerlang lulusan Cambridge dan bekas Presiden UKEC ini adalah ideolog dan 'otak' kepada kami Pemuda Keadilan. Beliau kembali ke Rahmatullah lebih 10 tahun lalu.

Sepertinya direncanakan atau kebetulan Rafizi mula menampilkan dirinya dan melangkah gagah setelah sahabat paling akrabnya Adlan Benan pergi. Setelah itu semuanya sudah menjadi sejarah perjuangan cemerlang yang kita semua tahu tapi mungkin lupa.

Saya tidak bersetuju dengan semua langkah dan tindakan Rafizi. Ada yang saya nyatakan secara terbuka, ada yang tidak. Tetapi saya mengakui dan tidak pernah menafikan beliau adalah antara pejuang reformasi yang terbilang, rekod melawan rasuah dan elit politik korup itu luar biasa dan hebat.

Dan kali ini saya tidak bersetuju beliau memilih untuk bersara seketika atau selama-lamanya dari berpolitik. Ia kehilangan besar bagi perjuangan reformasi di saat menentukan (crucial) ini.

Saya amat berharap dan berdoa seperti mana ramai yang lain agar Rafizi memikirkan semula keputusan itu. Beliau amat diperlukan oleh perjuangan dan negara saat ini dan masa depan.

Beliau bersama pemimpin-pemimpin muda seperti Samsul Iskandar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Akmal Nasir dan lain-lain saya perhatikan dan percaya sudah siap menjadi lokomotif utama perjuangan.

Beliau pastinya tahu dan faham kejayaan awal reformasi dalam PRU14 lalu mewujudkan reaksi tindak balas daripada kelompok elit korup yang jahat, kaya raya dan masih berpengaruh untuk menggagalkan proses reformasi ini.

Rafizi tidak boleh membiarkan elit keparat ini berjaya dan proses reformasi gagal lebih-lebih lagi sekarang ada di kalangan pimpinan parti kerajaan sendiri bersekongkol dengan mereka.

Rafizi perlu memikirkan semula hasratnya untuk berundur. Demi kelangsungan perjuangan melawan elit jahat yang masih membelit umat hari ini.

MOHAMAD EZAM MOHD NOR ialah bekas ketua Pemuda PKR.

Barisan Kepimpinan AMANAH 2019-2022

MALAYSIA DATELINE
Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengumumkan senarai penuh Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019-2020.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dalam satu kenyataan hari ini berkata, 27 Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional telah mengadakan mesyuaratnya yang kedua selepas mesyuarat pertama setelah dipilih secara rasmi dalam Konvensyen Nasional 2019 AMANAH kali yang ke-3 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam pada 6- 8 Disember 2019.

“Merujuk kepada mesyuarat yang diadakan pada hari Selasa, 10 Disember 2019 pada jam 8.00 malam bertempat di Wisma Amanah, ahli mesyuarat Pimpinan AMANAH Nasional yang telah bersidang selama 2 jam telah sebulat suara memilih dua (2) Naib Presiden lantikan dan juga penjawat utama bagi setiap portfolio jawatankuasa AMANAH yang lain,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Jelas beliau, Ahli Jawatankuasa Nasional ini akan mula bertugas berkuatkuasa 11 Disember 2019 sehingga Konvensyen Nasional AMANAH Kali ke-6 yang dijangka akan diadakan pada penghujung tahun 2022 nanti.

Berikut adalah senarai penuh Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019 – 2022:

Ahli Jawatankuasa

1. Presiden – YB Tn Hj Mohammad Sabu
2. Timbalan Presiden – YB Datuk Seri Hj Salahuddin Ayub
3. Naib Presiden – YB Datuk Hj Mahfuz Omar 4. Naib Presiden – YB Datuk Seri Dr Hj Mujahid Yusof
5. Naib Presiden – YB Datuk Hj Hasanuddin Mohd Yunos
6. Naib Presiden – YB Dr Hjh Siti Mariah Mahmud
7. Naib Presiden – YB Senator Datuk Hj Husam Musa
8. Ketua Angkatan Wanita – YB Senator Hjh Aiman Athirah
9. Ketua Pemuda – YB Hasnul Zulkarnain Munaim
10. Ketua Wanita Muda – Cik Nurthaqaffah Nordin
11. Setiausaha Agung – YB Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pengerusi Wilayah Persekutuan)
12. Bendahari – YAB Hj Adli Zahari (Pengerusi Negeri Melaka)
13. Pengarah Komunikasi – YB Tn. Hj Khalid Abd Samad
14. Pengarah Strategi – YB Datuk Seri Dr Hj Dzulkefli Ahmad
15. Setiausaha Organisasi – Encik Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus
16. Timbalan Setiausaha Agung – Hjh Norhayati Bidin
17. Penolong Setiausaha Agung – Encik Faizul Salleh
18. Pengarah Pembangunan Sumber Manusia – YB Hj Suhaizan Kaiat
19. Pengarah Hal Ehwal Syariah – Ustaz Zolkharnain Abidin
20. Pengarah Pilihanraya – YB Datuk Hj Asmuni Awi (Pengerusi Negeri Perak)
21. YB Datuk Raja Kamarul Bahrain Raja Ahmad (Pengerusi Negeri Terengganu)
22. YB Faiz Fadzil
23. YB Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin
24. Encik Mazlan Aliman
25. Ustaz Nik Omar Nik Abd Aziz
26. Ustaz Ridzwan Abu Bakar
27. Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah
28. YB Hanipa Maidin
29. YB Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengerusi Negeri Kedah)
30. YB Sany Hamzan 31. Hjh Mariam Abd Rashid
32. Dr Ahmad Termizi Ramli
33. Dr Muhaimin Sulam

Ahli Jawatankuasa Lantikan

34. YB Datuk Dr Hassan Baharom
35. Dr Dzulqarnain Lokman
36. YB Datuk Dr. Ismail Salleh
37. Encik Hu Pang Chau
38. Encik Haris Alimuddin
39. Puan Pushpa

Pengerusi Negeri

40. Hj Wan Kharizal Wan Khazim – Perlis
41. Dr Roslan Ahmad – Pulau Pinang
42. YB Tn Ir Izham Hashim- Selangor
43. Hj MK Ibrahim Ab Rahman- Negeri Sembilan
44. YB Hj Aminolhuda Hassan – Johor
45. Hj Zulkifli Mohammad – Pahang
46. Ustaz Muhammad Husin- Kelantan
47. Hj Abang Halil Abang Naili – Sarawak
48. Encik Lahirul Latigu – Sabah

MCA, MIC tak diajak sertai MN, bukan semua terima kerjasama Umno-PAS

Nur Hasliza Mohd Salleh dan Nicholas Chung
PETALING JAYA: Dua penganalisis politik menjangkakan Barisan Nasional (BN) tidak akan mempelawa 2 parti komponennya, MCA dan MIC menyertai Muafakat Nasional (MN) secara rasmi kerana bukan semua pihak menerima gagasan kerjasama Umno-PAS.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, status quo yang meletakkan 2 parti komponen itu di luar MN ialah strategi politik terbaik ketika ini.

Katanya, MIC sudah mengumumkan pendiriannya tiada masalah dengan penerimaan MN secara rasmi, tetapi MCA dilihat tidak mahu terikat dengan kerjasama Umno-PAS.

“Bukan menjadi rahsia MCA tidak mahu terperangkap dengan beberapa isu sensitif sekitar Muafakat Nasional, hudud seumpamanya.

“Jadi, tiada sebab untuk Zahid melakukan sesuatu yang agak ekstrem, terutama sekali untuk MCA,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pemuda Umno dalam perhimpunan agung parti minggu lalu menggesa MN dijadikan institusi seperti BN yang dianggotai pelbagai parti.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, sudah tiba masanya Umno bergerak dari era Parti Perikatan (1952 hingga 1973) dan BN (1973 hingga sekarang) kepada MN.

Beliau berkata, MN perlu melangkaui soal percaturan kuasa dan pengagihan kerusi semata-mata, bukannya sekadar gabungan yang dianggap bertujuan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) saja.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya yang senada berkata, Zahid perlu memikirkan reaksi MCA dan MIC, jika beliau mahu menginstitusikan gagasan kerjasama Umno-PAS itu.

“Belum tentu pengundi Cina dan India bersetuju keseluruhannya.

“Ia perlu banyak pencerahan kepada semua etnik di Malaysia agar tidak terkeliru atau dimanipulasi oleh pihak lawan,” katanya kepada FMT.

Husam, Mariah dilantik naib presiden Amanah

N Faizal Ghazali
Walaupun tidak bertanding pada Konvensyen Amanah Nasional 2019 baru-baru ini, Senator Husam Musa sekali lagi dilantik sebagai naib presiden parti itu bagi penggal 2019 hingga 2021.

Menurut sumber, selain Husam turut dilantik jawatan sama ialah Adun Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud bagi menggantikan Dr Hassan Bahrom yang kalah dalam pemilihan jawatankuasa Amanah Nasional.

Selain itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dikekalkan sebagai pengarah komunikasi Amanah.

"Perubahan juga berlaku bagi jawatan setiausaha agung yang kini dipegang oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohd Hatta Md Ramli bagi menggantikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Anuar Tahir.

"Bagi jawatan pengarah pilihan raya pula kini dipegang oleh Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi," kata sumber dalaman Amanah yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini, sebentar tadi.

Menurutnya, perbincangan dan pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat Amanah Nasional yang berlangsung di Wisma Amanah, Kuala Lumpur, malam ini.

Sementara itu Mohd Hatta ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan, kenyataan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat melalui kenyataan media oleh Khalid selaku pengarah komunikasi.

Wong Chen bidas ahli Parlimen PH tak hargai Rafizi

Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen membidas tindakan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Setidak-tidaknya, kata beliau, mereka sepatutnya mengucapkan tahniah atas pembebasan bekas ahli Parlimen Pandan itu daripada daripada hukuman penjara 30 bulan baru-baru ini.

“Saya mengira kurang daripada 10 orang anggota ahli Parlimen mengucapkan tahniah kepadanya dalam kumpulan WhatsApp PH.

“Tidak hadir perbicaraan untuk menyokongnya boleh dimaafkan tetapi tidak mahu menaip mesej ringkas untuk mengucapkan tahniah kepada Rafizi kerana takut menyinggung pimpinan atasan, adalah mengecewakan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 15 Nov lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Rafizi daripada hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari lalu selepas didapati bersalah mendedahkan 4 akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail.

Menurut Wong, antara sebab paling munasabah Rafizi mengambil keputusan meninggalkan arena politik untuk menghilangkan diri daripada “mereka yang tidak menghargainya”.

“Sejak PRU14, beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai kes di mahkamah sivil.

“Beliau berjuang untuk terus hidup dengan dana sendiri yang terhad selama setahun.

“Katakan apa sahaja yang anda mahu, pada saya, beliau salah seorang daripada segelintir reformis tulen yang diperlukan Malaysia,” katanya.

Wong tidak merasakan yang Rafizi mahukan ganjaran, cuma mahukan sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan dihargai.

Beliau juga berkata, walaupun Rafizi tidak bertanding dalam PRU14 sebagai ahli Parlimen kerana kekangan daripada kes Bafia, beliau sepatutnya dilantik menjadi senator.

“Ramai yang sumbangan mereka tidak seberapa berbanding Rafizi tetapi telah menerima jawatan selesa di kementerian.

“Saya tidak dapat menahan kesedihan melihat ahli politik paling bekerja keras dan terbaik di generasi ini meninggalkan pentas politik. ‘Bravo’ sahabatku, semoga takdir membawa kita pada jalan yang sama suatu hari nanti,” katanya.

Rafizi hari ini mengumumkan keluar daripada dunia politik untuk menumpukan pada kehidupan baru, mengatakan beliau berada pada peringkat kehidupan di mana beliau “perlu belajar”.

“Ia jelas saya diciap kerana saya menjelaskan bahawa saya tidak akan kembali kepada politik.

“Ini adalah tahap kehidupan saya apabila saya perlu belajar. Hanya melalui pembelajaran kita boleh menjadi lebih baik & menyumbang yang lebih baik,” katanya di Twitter.

Zahid Hamidi tak tahu halal haram ke

Sumbangan pada yayasan turut jadi milik Zahid, kata saksi
M Fakhrull Halim
KES ZAHID |
Adun Hutan Melintang, Khairuddin Tarmizi, memberitahu mahkamah, menurut pemahamannya segala sumbangan yang diberikan kepada Yayasan Akalbudi - selain menjadi milik badan itu - turut akan menjadi milik Ahmad Zahid Hamidi.

Pandangan itu dikongsinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selaku saksi ke-15 pendakwaan dalam kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akal Budi melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Khairuddin yang juga ahli lembaga pemegang amanah (BOT) Yayasan Akalbudi berkata demikian dalam sesi pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt.

Lee merujuk jawapan Khairuddin yang bersetuju dengan cadangan peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, ketika sesi pemeriksaan balas bahawa sebahagian besar pendapatan Ahmad Zahid dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi.

Lee: Soalan saya, bila penyumbang sumbang kepada yayasan (Akalbudi), ia akan jadi milik siapa?

Khairuddin: Dia akan jadi milik yayasan dan peribadi (Ahmad Zahid).

Sebelum itu, dalam pemeriksaan balas, Khairuddin turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa duit yayasan dan duit peribadi Ahmad Zahid sudah bercampur-aduk dalam akaun yayasan tersebut.

Ahamd Zaidi turut membawa Khairuddin meneliti senarai 27 sumbangan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak, iaitu kawasan parlimen diwakili tertuduh.

Antaranya, senarai 27 sumbangan tahunan kepada golongan fakir, asnaf, daif, anak-anak yatim; sumbangan untuk pembinaan atau penambahbaikan surau, masjid, rumah anak yatim, sekolah; bantuan perayaan, serta pencetakan naskhah al-Quran.

Tak pasti tapi banyak

Kata Ahmad Zaidi, tidak seperti laporan media pada hari pertama perbicaraan yang menyatakan tidak ada “satu sen pun daripada RM31 juta” dana yayasan digunakan untuk membantu golongan miskin, katanya, daripada senarai yang digariskan, ia “sudah lebih dari satu sen”.

Hal itu dipersetujui Khairuddin.

Ahmad Zaidi turut membacakan senarai 28 projek kebajikan termasuk di China, Afrika Selatan, Australia, Thailand, Indonesia dan Kanada yang membabitkan yayasan tersebut.

Khairuddin mengakui mempunyai pengetahuan tentang sebahagian besar daripada senarai itu dan bersetuju ia merupakan sumbangan yayasan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh Lee, beliau mengatakan “tidak pasti” tentang jumlah keseluruhan sumbangan untuk kesemua projek yang disenaraikan.

“Jumlah tak pasti. Tapi banyak,” katanya.

Dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan, seorang lagi timbalan pendakwa raya, Raja Rozela Raja Toran, berkata pihak pendakwaan akan membentangkan jejak aliran tunai bagi membuktikan “tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta itu digunakan untuk kepentingan orang miskin”.

Sebaliknya, mereka akan mendedahkan satu amaun besar digunakan untuk - antara lain - membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan bayaran cukai jalan untuk kenderaan peribadi.

Selain itu, nama Mejar Mazlina sekali lagi timbul dalam perbicaraan hari ini, apabila Ahmad Zaidi bertanya kepada Khairuddin sama ada dia tahu atau tidak, bahawa salah satu sebab utama akaun Yayasan Akalbudi dipindahkan ke akaum firma guaman Messrs Lewis & Co adalah kerana pembantu khas Ahmad Zahid itu.

“Tak tahu,” jawab Khairuddin.

Ahmad Zaidi: Salah satu kesilapan Mejar Mazlina adalah mengeluarkan cek dari akaun Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit dan cukai jalan Dato’ Seri (Ahmad Zahid), yang pada hakikatnya sepatutnya dikeluarkan dari akaun peribadi Dato’ Seri. Tahu atau tidak?

Khairuddin: Saya tak pasti.

Perbicaraan bersambung esok.

Apa akan jadi PH? Cuba lihat tanda tanya itu

N Faizal Ghazali

Beberapa minggu lepas saya bertemu dan bersembang dengan kawan yang kini bekerja dengan seorang menteri.

Banyak hal yang kami borakkan, khusus dalam hal ehwal politik dan pentadbiran kerajaan persekutuan hari ini. Juga cabaran-cabaran kerajaan negeri yang ditadbir PH.

Kata dia, kini terbukti rakyat Malaysia berani untuk menukar kerajaan seperti yang dibuktikan mereka pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Kemudian saya tambah: Dan tidak mustahil rakyat sama akan mengulang keberanian dan kemahuan mereka pada PRU akan datang sekiranya prestasi kerajaan PH ini tetap diselimuti seribu satu kekalutan.

Selepas hampir dua tahun letak duduknya kerajaan PH, rakyat boleh menyaksikan secara langsung tingkah laku, perangai, kenyataan dan keutamaan menteri dan pemimpin parti dalam PH.

Bagaimana dengan persepsi rakyat terhadap kerja buat dan pelbagai perubahan positif yang dibuat kerajaan PH berbanding BN?

Lihat tanda tanya itu. Jawapannya saya pecahkan kepada dua. Pertama, seberapa ramai rakyat sedang mengukur hal-hal baik dilakukan kerajaan PH dan mempedulikannya, sekali gus berkata jujur: kerajaan hari ini jauh lebih baik dan perlu dikekalkan, atau sekurang-kurangnya diberi peluang lagi.

Kedua, berapa ramai pula rakyat yang tidak peduli segala apa yang kerajaan PH buat. Sebaliknya mereka dilekakan dengan bermacam-macam isu yang mengenggelamkan hal-hal positif dilakukan kerajaan.

Sudut pandang lebih matang

Hal itu pula kadang-kadang aneh dan tidak terfikir untuk mereka conggak dengan mana-mana sifir sedia ada. Rakyat berasa musykil dengan kegigihan pemimpin PH memberikan 'bola tanggung' kepada pembangkang dari sehari ke sehari.

Kalau keadaan kedua yang lebih banyak mempengaruhi, kemungkinan besar rakyat Malaysia akan memilih untuk menghukum PH. Tidak perlu menunggu pembangkang, rakyat sendiri akan menghadiahkan pukulan maut untuk bola tanggung tersebut.

Kawan saya - yang kini bekerja dengan menteri itu - nampak gusar. Banyak kali dia menggeleng kepala. Seolah-olah dia mahu menghantar isyarat berat sebagai bayangan kepada beban yang berselirat dalam kepalanya.

Itu belum lagi kami bercerita tentang isu politik dalam politik yang dikhuatiri menjadi barah tahap kronik terhadap keutuhan kerajaan PH.

Bagaimana pula dengan isu pertelagahan demi pertelagahan antara kem-kem atau pemimpin dalam parti PH sendiri?

Lihat tanda soal itu. Ia adalah isu yang sudah menjadi rahsia umum, bukan lagi cuit-cubit dalam selimut. Lalu ia dijadikan bahan caci-maki rakyat, cemuh-cemuhan antara penyokong. Hal itu menghantar aura sangat buruk ke segenap sisi pandang.

Ia sama jelik, membosankan dan mengarut sama sekali.

Harus disedari betapa politik sifatnya adalah serba mungkin. Atas sifat itu juga ia boleh menghadirkan jawapan tanpa kita lihat sebarang tanda tanya lagi.

Situasi politik kerajaan PH hari ini begitu rumit. Ketika pemimpin kerajaan berusaha keras menjayakan sesuatu dasar, memulihkan hal-hal pincang dan menanam semangat Malaysia Baru dengan sudut pandang lebih matang, pada kesempatan sama mereka jugalah yang bermain selut, lumpur, lelucon aneh dan memualkan tidur-bangun rakyat.

Hal-hal sepele ini pun akan akhirnya terheret sehingga rapat ke hari pengundian PRU akan datang.

Biar persepsi terus salah

Bagaimana pula dengan ketuntasan gerak kerja pembangkang? Kali ini, jangan lihat tanda soal itu, tetapi lihatlah betapa keberadaan mereka semakin mengancam.

Pembangkang cekap memanfaatkan keadaan dan kecelaruan yang ada untuk menyusun bidak-bidak strategi bagi meraih pengaruh rakyat. Kegagalan jentera kerajaan - seperti agensi berita nasional, stesen televisyen kerajaan dan Jabatan Penerangan - memberikan penerangan yang sepatutnya dieksploitasi semahu-mahunya.

Entah di mana kedudukan menteri, pegawai kanan dan pegawai khas kerajaan ketika tangan dan kuasa mereka diperlukan bagi mengekang kerja-kerja 'bawah tanah' untuk memberikan imej buruk kepada PH sekarang.

Mereka kelihatan tidak perlu peduli sejauh mana rakyat faham dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Ketika jenuh diserang dengan pelbagai propaganda, menteri dan pemimpin PH gagal memahamkan bahawa dakwaan pembangkang itu sebenarnya berbaur antara janji manifesto PRU ke-14 dengan PRU ke-13 dan PRU ke-12.

Culas memberikan tindak balas dan mengharapkan rakyat menilai sendiri sepenuhnya adalah sikap yang sangat salah dan menjanjikan fatal.

Pembangkang juga tidak akan memuji bahawa kerajaan hari ini lebih baik daripada kerajaan semalam, kerana mereka juga bercita-cita mahu segera menjadi kerajaan yang seterusnya.

Sebaik mana pun perubahan dibuat PH, pembangkang tidak akan jadi jentera penerangan dan memperbetulkan persepsi rakyat yang seolah-olah dibiarkan berterusan salah. Itu kan memang kerja pembangkang?

Dalam gabungan pembangkang kini, sejauh dan selayak mungkin mereka akan menyambut 'bola tanggung' dan mengembalikannya dalam bentuk smash yang lebih mematikan.

Lalu, seterus apa PH? Barangkali pemimpin PH tak perlu lagi melihat tanda tanya itu. Mereka berasakan wajar - malah wajib - untuk terus bertelagah tentang siapa lebih benar, siapa sewajarnya menjadi ketua kepada siapa.

Pada masa sama, mereka mahu membiarkan sikap berjiwa besar menjadi tidak lebih daripada plastik pakai buang. Dan kemudian kekal tenang.

Kerana akan ada juga penyokong yang terpengaruh.

Biarkan segala yang berkecamuk menjadi pakaian harian rakyat. Rakyat yang semakin terbuka dan berani berubah, kelak tidak perlu bertanya mengapa dan bagaimana.

Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga

Timmy Say

Tiada sidang Parlimen bermula minggu ini sehingga Mac 2020. Empat bulan ini mungkin 4 bulan yang terpanjang untuk Anwar Ibrahim.

Minggu lalu boleh dikatakan minggu “sudah jatuh ditimpa tangga” bagi Anwar.

Kongres Nasional PKR ke-14 yang sepatutnya menjadi medan sebulat suara semua ahli dan pimpinan PKR mengangkat Anwar sebagai perdana menteri ke-8 tidak menjadi kenyataan.

Lebih teruk, kongres kali ini dicemari oleh pelbagai perkara yang mencemarkan imej Anwar dan juga mendedahkan kelemahan ketaranya untuk menguruskan perbedaan pendapat dalam parti.

Bukan itu sahaja, sehari sebelum kongres Pemuda bermula, Anwar diserang oleh tuduhan salah laku seksual oleh bekas penyelidiknya sendiri, Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber. Ya, kebetulan sekali lagi – tuduhan daripada orang yang bekerja di dalam pejabat Anwar seperti Saiful Bukhari.

Kebetulan juga, pada hari yang sama, selepas beberapa jam SD Rawther menjadi viral, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang gagal menghadiri sebarang mesyuarat parti selama ini tiba-tiba dapat hadir ke satu mesyuarat biro politik PKR yang dipengerusikan Anwar di Parlimen.

Gambar-gambar pendamaian Anwar-Azmin tersebar. Jika ya pun gambar itu sekadar satu lakonan, tapi gambar pendamaian itu sebenarnya menaikkan imej Anwar kerana akhirnya dapat menyatupadukan parti yang sudah cacamerba menjelang kongres ulang tahun PKR ke-20.

Kesudahannya, Azmin diberikan lampu hijau untuk merasmikan Pemuda dan Wanita PKR. Azmin juga mengumumkan hubungan beliau dengan Anwar tiada masalah.

Tapi sayang, bibit-bibit pendamaian ini tidak dapat bertahan 72 jam.

Azmin yang membawa pasukannya menghadiri kongres PKR bertindak melangkah keluar dari kongres parti apabila perbahasan perwakilan parti mula menyerangnya.

Dalam satu sidang media tergempar selepas itu, Azmin berkata semuanya ini berpunca daripada ucapan dasar Anwar yang didakwa sengaja memetik kisah “Si Kitul dan Raja Mandeliar” sebagai pembuka jalan kepada pembahas memulakan serangan terhadapnya. Malah Azmin menyelar tindakan Anwar yang digambarkan terlalu ingin menjadi perdana menteri dengan membangkitkan isu penyerahan kuasa setiap hari, minggu dan bulan.

Di sebelah pagi keesokan hari, Azmin menaikkan satu poster untuk mengingatkan semua ahli PKR di mana mungkin beliau yang berjuang 20 tahun untuk menghidupkan PKR adalah pengkhianat.

Hasilnya, semua pemimpin dan ahli parti yang menyokong Azmin bertindak memboikot hari terakhir kongres PKR, menyebabkan Anwar tidak dapat menutup kongres dengan dewan penuh.

Sebaliknya kem Azmin, termasuk Naib Presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari menghadiri Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Rennaisance Kuala Lumpur yang dianjurkan Azmin pada sebelah malam.

Di majlis makan malam ini, Azmin menegaskan “PKR bukan diasaskan oleh seorang individu atau satu keluarga, ia diasaskan oleh rakyat.” Azmin juga mengingatkan Anwar mengenai kesetiaannya melalui tindakan beliau mempertahankannya dalam skandal seks.

Zuraida pula melondehkan perangai Anwar terhadap Azmin dengan mendedahkan Anwar memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu beliau memecat Azmin kerana didakwa terlibat di dalam skandal video gay.

Beliau turut berkata Anwar memberitahunya bahawa polis menyatakan watak di dalam video tersebut ialah Azmin bersama bekas ahli PKR Santubong Haziq Aziz. Zuraida berkata beliau menyoal kebenaran kenyataan Anwar mengenai itu kerana Mahathir berulang kali mempertahankan Azmin.

Semalam, Rawther pula akan memberikan kenyataan kepada Bukit Aman mengenai tuduhannya terhadap Anwar.

Dengan kongres PKR yang berakhir dengan perpecahan dan kehilangan pengaruh dalam parti berserta masalah “orang pejabat sendiri” yang nampaknya berulang-ulang, Anwar bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Ada 6 bulan lagi sebelum penuh tempoh 2 tahun yang diberikan para penyokong Anwar kepada Mahathir untuk melepaskan jawatan PM kepadanya.

Enam bulan ini dijangka akan menjadi bulan yang terpanjang dalam hidup Anwar bergelut dengan nafsu impian menjadi PM dilanggar ombak karenah Azmin, ditarik arus oleh tuduhan Rawther serta berdepan dengan runtuhnya keyakinan rakyat terhadap kemampuan beliau untuk mentadbir negara apabila beliau kini kelihatan seakan tidak mampu mentadbir parti sendiri.

Dan tiada yang lebih menakutkan politik Malaysia hari ini daripada kesunyian Mahathir ketika semua ini berlaku.

Gempa bumi politik Malaysia nampaknya tidak dapat dielakkan lagi.

Amaran dan kritikan pedas - rangkuman konvensyen Amanah 2019

Alyaa Alhadjri & Ramieza Wahid | Berita

KONVENSYEN AMANAH |
Amanah hari ini menamatkan konvensyen keempatnya, yang menyaksikan parti itu buat julung kalinya membuat pemilihan sejak penubuhannya lima tahun lalu.

Konvensyen ini berjalan serentak dengan Kongres PKR dan Perhimpunan Agung Umno. Walaupun menjadi parti terkecil antara tiga parti itu, acara Amanah ini tampak lebih fokus terhadap isu nasional.

Tetap ada rasa tidak puas hati, seperti yang jelas dilihat dalam program PKR dan Umno, tetapi ia lebih kepada prestasi Pakatan Harapan (PH) dan Amanah sendiri dalam kerajaan.

Umno berhasrat menunjukkan barisan kepimpinan yang bersatu padu tetapi terlihat bayang kepuakan, apabila sejumlah perwakilan menyerang anggota parlimen parti itu yang berhubung dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Kongres PKR pula bertukar menjadi pertembungan agak terbuka antara kem Azmin dengan kem Anwar Ibrahim, presiden parti itu.

Di sebalik kritikan daripada para perwakilan di konvensyen Amanah, mereka memilih untuk mengekalkan status quo kepimpinan tertinggi parti.

Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub kembali sebagai presiden dan timbalan presiden, manakala Mahfuz Omar, Mujahid Yusof dan Hasanuddin Mohd Yunos kekal sebagai naib presiden.

Sepanjang konvensyen, para perwakilan tidak segan-silu untuk mengkritik mereka berkenaan prestasi dalam kerajaan.

Mereka antara lain memberi amaran bahawa Amanah akan berdepan kemarahan pengundi jika pemimpin parti tidak bersuara terhadap dasar yang dilihat tidak popular. Antara contoh yang diberikan ialah skim subsidi petrol bersasar yang dijadual bermula Januari depan.

Begitu juga dengan pengurangan bantuan kewangan terhadap petani dan nelayan dan sejumlah lagi hal-hal yang berada di bawah tanggungjawab menteri dari parti itu.

Perwakilan dari Pahang, Mohamad Fadzly Mohd Ramly menyebut tentang apa yang disifatkannya sebagai "perubahan tidak diperlukan" yang mengundang bantahan orang awam.

Ahli jawatankuasa pimpinan nasional dalam ucapan penggulungan mengambil kira kritikan itu, dan ada yang mengaku konvensyen tersebut seperti yang diadakan sebuah parti pembangkang.

Pengarah komunikasi Khalid Samad berkata, mereka yang tidak biasa dengan Amanah mungkin merasakan para perwakilan menentang kerajaan PH.

Beliau mengakui kelemahan dalam soal komunikasi parti, dan berikrar untuk memperbaikinya.

Mesej keterbukaan terhadap kritikan ini turut diulang semula oleh pemimpin lain, termasuk Mahfuz, Mujahid dan Mohamad Sabu sendiri.

Pada masa sama, mereka mengingatkan anggota parti agar mengambil kira kedudukan Amanah dalam kerajaan, dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Hatta Ramly berkata beliau perlu menjawab untuk kritikan tajam perwakilan terhadap projek "kereta terbang" yang diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Para pemimpin turut mengakui kritikan perwakilan dalam soal kelemahan kerajan dalam menyebarkan dasar-dasarnya kepada orang awam.

Mohamad Sabu dalam ucapannya menjelaskan tentang keperluan untuk menguar-uarkan kejayaan PH dengan lebih baik.

Dalam soal isu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Mazlan Aliman berkata parti perlu mengambil pendirian membantah khabar angin pengambilalihan saham Felda Global Ventures oleh pihak ketiga.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, akan menyebabkan Amanah boleh digelar "pengkhianat" oleh peneroka Felda yang menyokong parti itu ekoran perjuangan melindungi hak mereka.

Sepanjang konvensyen, perwakilan turut memberi amaran kepada pemimpin berhubung lantikan politik yang dibuat menteri daripada parti itu, termasuk untuk jawatan setiausaha politik dan dalam GLC.

Bekas ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud menerima tepukan gemuruh susulan ucapan lantangnya, yang antara lain mengingatkan tentang mereka yang memegang banyak jawatan politik.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Salahuddin sebelum ini dikritik atas beberapa lantikan politik dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ketua pemuda yang baru dipilih, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim turut mengkritik beberapa setiausaha politik yang menurutnya "malas" turun ke kawasan parlimen bos mereka.

Secara keseluruhan, suara perwakilan jelas bahawa walaupun mereka masih menyokong pemimpin semasa, mereka mahu barisan kepimpinan itu membuat penambahbaikan, bukan saja dalam soal pencapaian tetapi juga komunikasi.

Di hotel tempat PKR ditubuhkan, Azmin dan penyokong nyatakan pendirian

Alyaa Alhadjri, B Nantha Kumar & Fion Yap |
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya malam ini berkumpul di Hotel Rennaisance di Kuala Lumpur, tempat tertubuhnya Parti Keadilan Nasional 20 tahun lalu.

Perkumpulan itu, dengan mengambil kira pemilihan lokasinya, dilihat sebagai isyarat jelas terhadap para pengkritiknya, setelah berakhirnya Kongres Nasional PKR ke-20 di Melaka tengah hari tadi.

Program itu beberapa jam selepas Azmin dan sejumlah pemimpin yang menyokongnya tidak menghadiri hari terakhir kongres yang ditutup oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

Kira-kira 2,000 hadirin menyertai acara yang dinamakan sebagai Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di hotel tersebut malam ini. Anggaran penganjur meletakkan angka kehadiran mencecah 5,000.

Antara pemimpin yang hadir ialah naib presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Kamaruddin Jaafar dan Amiruddin Shari.

"Saya dan Tian Chua di dalam dewan ini pada 1999, Zuraida berada di sini, Sivarasa berada dalam dewan ini. Ramai lagi yang ada dalam dewan ini (pada masa itu).

"Tetapi 20 tahun kemudian, pada 7 Disember 2019, saya digelar pengkhianat," kata Azmin merujuk kepada ucapan Anwar di kongres semalam.

Dalam ucapan itu, Anwar membangkitkan kisah si Kitol dan Raja Mendeliar dalam sejarah Melaka, yang dilihat sebagai kecaman tidak langsung kepada Azmin.

Kisah itu menyebabkan para penyokong Azmin keluar dewan semalam, dan tidak hadir ke kongres pada hari ini.

Azmin yang menerima sambutan meriah sebaik tiba di dewan hotel itu, menegaskan bahawa PKR ialah milik rakyat.

"PKR bukan diasaskan oleh seorang individu atau satu keluarga, ia diasaskan oleh rakyat," katanya.

Tengkujuh dalam Amanah

Dr Muhaimin Sulam

Memang setiap akhir tahun, musim tengkujuh akan menjengah datang. Tatkala itu cuaca akan mendung seharian, awan kelam, kadang-kadang hujan lebat, dan laut bergelora. Sang nelayan tidak ke laut mencari ikan.

Sebaliknya, mereka menghabiskan masa membaiki bot dan perahu yang bocor atau pecah. Atau mengait jala yang koyak, atau menukang rumah yang belum siap.

Tengkujuh tidaklah selamanya. Seperti juga kemarau, akan tiba musim lain bersilih ganti. Jika terus-menerus tengkujuhnya, barangkali tanah ini akan tenggelam. Jika terus-menerus kemaraunya, mungkin tanah ini akan kontang gersang.

Amanah sebuah parti yang baru berusia empat tahun. Maka 2019 ini adalah tahun pemilihan untuk pertama kalinya. Amanah ditubuhkan sewaktu pimpinan awalnya dipinggir, disisih dan diletakkan dengan seribu satu kepayahan.

Walaupun baru belajar merangkak, Amanah sudah terpaksa berlari. Belum genap dua tahun usianya, Tuhan kurniakan kemenangan dan diamanahkan memerintah watan.

Kelahiran Amanah adalah raison d’etre kepada kemunculan PH yang akhirnya memadam khurafat sejak berpuluh tahun silam, iaitu Umo/BN mustahil ditewaskan.

PH bukanlah keramat tetapi ia adalah suatu formula kepimpinan oleh satu kumpulan manusia yang memiliki keserasian dalam bekerja. Kerja sebagai parti kerajaan jauh beza daripada kerja sebagai parti pembangkang.

Kena mesyuarat sekali lagi

Bersama bebanan dan kepercayaan itu ialah ada harapan rakyat berkobar-kobar. Pada masa sama, angan-angan ahli dan pimpinan pun lumayan besarnya.

Harapan itu seolah-olah Amanah diberikan anugerah sebiji lampu Aladin berada di tangan setiap pemimpi parti. Sayangnya, lampu Aladin hanyalah sebuah metos cerita yang dipercayai.

Sekarang musim tengkujuh sedang melanda dalam Amanah. Inilah musim mengangkat, mengganti dan menyingkir pimpinan. Perbezaan, pergeseran dalaman adalah biasa dalam sebuah parti yang semakin mengembang.

Laut mana yang tidak dilambung ombak? Ada waktunya ombak laut akan menganjak bahtera jauh ke hadapan. Namun ada waktunya juga, ombak akan menenggelamkan bahtera ke laut dalam. Terbenam hingga ke dasar.

Tengkujuh dalam Amanah bermula apabila mesyuarat di peringkat kawasan dan sayap-sayap dijalankan sejak Okt lalu. Ketika itu, beberapa kawasan dan sayap mengalami perubahan kepemimpinan.

Selepas itu, pihak pengurusan parti di peringkat nasional menyedari bahawa wujudnya masalah teknikal yang memaksa sebanyak 148 kawasan dan sayap-sayap perlu mengadakan mesyuarat semula.

Mesyuarat semula atau disebutkan sebagai repair adalah petanda tengkujuh berpanjangan. Ini kerana ada yang menang dulu, kalah apabila diadakan mesyuarat semula. Begitulah sebaliknya.

Luahan dan kritikan dari ahli akar umbi mula kedengaran. Dasar dan pendekatan kerajaan dikritik keras, sehingga kadang-kadang kedengaran seperti suara itu datang daripada pembangkang.

Peruntukan undang-undang dalam parti dijadikan lesen untuk menyuarakan dan melaksanakan hasrat peribadi atau kelompok atas hujah demi kebaikan parti dan perjuangan.

Atas nama demokrasi, suara yang mempersoalkan kepimpinan di pelbagai peringkat mula bercambah.

Kadangkala suara-suara yang mempersoalkan itu sendiri datang daripada pendatang baru dalam parti. Mereka muncul diam-diam selepas berkuasa. Ubun-ubun pun masih lembut tapi sudah ada yang berlagak bak menteri dan menjadi penganalisis politik yang serba tahu.

Ada juga dari orang lama, orang kecewa, orang bercita-cita tinggi. Yang sudah penat dan hilang kompas perjuangan.

20 berbanding 5

Beberapa kelompangan dalam parti diisi oleh pelbagai elemen yang boleh merencatkan pertubuhan. Slogan "inklusif" seolah-olah menjadi pintu rumah yang terbuka siang malam. Masalahnya ia adalah keterbukaan yang banyak menikam tuan.

Ada juga musang berbulu ayam. Gunting dalam lipatan.

Sebagai parti politik, keberanian berdepan risiko adalah pertaruhan biasa.

Antara sifat lain tengkujuh ialah adanya ombak besar. Ia datang dari tebing sayap Wanita dan Pemuda. Kedua-dua tebing itu mempunyai kekuatan undi yang di sesetengah kawasan melebihi kekuatan kepimpinan kawasan dan negeri.

Di bawah peruntukan undang-undang parti, sayap wanita dan pemuda mempunyai perwakilan seramai 20 orang berbanding perwakilan cawangan dan kawasan yang hanya ada lima orang.

Hal ini menyebabkan sayap-sayap parti kelihatan lebih dominan berbanding induknya. Hal ini antara faktor menyebabkan berlaku perubahan kepimpinan negeri di Sabah, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Sebaliknya kepemimpinan Amanah Perak, Terengganu, Johor, Melaka, Selangor dan Perlis tidak berubah. Ia juga disebabkan sokongan sayap kepada kepemimpinan sedia ada.

Di Perak, sebanyak 13 daripada 22 kawasan mengalami perubahan kepemimpinan, manakala di Kelantan hanya empat kawasan yang berubah berbanding 10 kawasan yang masih mengekalkan kepimpinan lama.

Di Johor yang mempunyai 26 kawasan, separuh mengalami perubahan. Di Kedah pula, lima kawasan berubah dan 10 lagi kawasan kekal. Di Terengganu, hanya kawasan Besut dan Setiu yang berubah kepemimpinannya.

Perubahan di Sabah dan Sarawak sedikit memberi kesan besar kepada negeri. Di sinilah keperluan menambahkan bilangan cawangan dan kawasan serta ahli. Inilah prasarana asas dalam sesebuah parti baru bagi mengembangkan pengaruh.

Politik masa depan Borneo sangat strategik dalam konteks serantau untuk Amanah meletakkan Malaysia sebagai aktor utama melakar geopolitik dekad-dekad mendatang.

Ombak boleh jadi ganas

Dalam tempoh sepenggal kepimpinan, agak sukar membawa organisasi mencapai sasaran yang besar melainkan sekadar menerus dan mengembangkan apa yang ada.

Dalam politik, prestasi parti lebih utama berbanding prestasi peribadi. Namun realitinya kadangkala adalah sebaliknya. Peribadi lebih penting daripada parti. Kepentingan kelompok lebih utama.

Musim tengkujuh adalah musim untuk pemimpin dan ahli berhenti menarik nafas sejenak. Bukan berhenti lama. Tengkujuh inilah musim untuk memperbetulkan talaan organisasi agar hujan dan angin kencang berhenti, bahtera ini belayar lebih gagah dan maju.

Musim tengkujuh lebih mendekatkan diri pemimpin dengan realiti kehidupan masyarakat. Hujan lebat, ombak besar dan mendung awan adalah amaran kepada pemimpin yang alpa pada jalan perjuangan.

Peringatan juga untuk pemimpin yang sombong atau keras pada orang bawahan.

Musim tengkujuh adalah saat pemimpin dan orang bawahan duduk bermesyuwarah mencari jalan terbaik melakar masa depan perjuangan. Berbincanglah sebaik-baiknya. Rumuskan pandangan yang pelbagai dan saling bertentangan.

Musim tengkujuh adalah kesempatan untuk merenung keupayaan diri memikul tanggungjawab. Bahtera besar, perahu laju, tenaga gagah tetapi harus diingat bahawa ada saatnya ombak lebih ganas, hujan lebih tajam, angin lebih berbisa. Beringatlah dalam berkata. Berfikir sebelum bertindak.

Perubahan kepimpinan di beberapa kawasan dan negeri serta sayap-sayap tidak bermakna perubahan kepimpinan berlaku di peringkat nasional. Namun dalam politik, serba kemungkinan adalah kemungkinan yang boleh berlaku.

Semoga Konvensyen Amanah di Shah Alam pada 6 hingga 8 Dis ini adalah tanda berakhirnya muzim tengkujuh.

Selepas ini, bahtera perlu belayar jauh membawa gagasan ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’. Jangan biarkan tengkujuh ini berpanjangan.

Selamat berkonvensyen kawan!

DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, dan penulis buku serta esei.