"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peragawati berbogel maut jatuh kondo di Jalan Dang Wangi (Gambar)



KUALA LUMPUR: Seorang model wanita warga Belanda, yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Jalan Dang Wangi, semalam.


Mangsa, Ivana Esther Robert Smit, 19, ditemui mati dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat 6, kondominium itu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, Ivana bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di sebuah premis hiburan di Bangsar.

"Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium itu sebelum pasangan suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur manakala Ivana berehat di ruang tamu rumah.

"Bagaimanapun, Ivana yang tidak berpakaian dipercayai pergi ke balkoni lalu terjatuh sehingga menerobos sengkuap balkoni kediaman di tingkat 6 sebelum mendarat di balkoni unit berkenaan," katanya.

Ivana yang pernah menang tempat ketiga dalam pertandingan 'Malaysia Supermodel Search 2014' ketika berusia 15 tahun, didapati turut memiliki kewarganegaraan Belgium.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan awal dan bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Polis Daerah Dang Wangi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Kecewa dengan kerajaan 50 anak muda tolak Umno, sertai Bersatu di Grik

MOHD ALI HASHIM
Kecewa dengan kerajaan 50 anak muda tolak Umno, sertai Bersatu di Grik
Nampaknya laungan keramat ‘Hidup Umno’ tidak membawa apa-apa pengertian bagi 50 anak muda dari Kampung Plang, Grik, Perak yang telah sepakat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Grik baru-baru ini.

Penyertaan beramai-ramai pemuda dari Kampung Plang tersebut memberi tamparan hebat kepada Umno Bahagian Grik.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Grik, Datuk Hassan Ahmad, sebahagian besar daripada mereka yang menyerahkan borang terdiri daripada bekas ahli Umno dan juga mereka yang enggan menyertai Umno.
Datuk Hassan Ahmad

“Kebanyakan mereka yang mulai menyertai Bersatu adalah anak muda yang semakin terkesan dengan kegagalan kerajaan negeri Perak menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

“Ramai antara mereka kesal kerana kerajaan negeri tidak mampu untuk mewujudkan industri kecil maupun besar bagi Parlimen Grik.

“Akibatnya golongan muda sama ada lepasan sekolah mahupun lepasan unversiti terpaksa berhijrah jauh sehingga ke Taiping dan Pulau Pinang untuk mendapatkan pekerjaan,” jelasnya lagi.

Datuk Hassan juga berkata, selain gagal menyediakan peluang pekerjaaan, kerajaan negeri juga tidak menunaikan janji-janji mereka untuk mengatasi masalah kemiskinan yang begitu ketara di Perak.

“Kerajaan negeri berjanji akan meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat negeri Perak, namun begitu negeri Perak sendiri dikategorikan sebagai antara negeri yang miskin dalam negara.

“Kesan kegagalan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab mereka, akhirnya rakyat menjadi mangsa sehingga ramai terpaksa berada di bawah paras kemiskinan.

“Oleh kerana itu tindakan keluar Umno dan menyertai Bersatu serta mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam Bahagian Grik menyerlahkan lagi sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, selain gagal untuk menyediakan peluang pekerjaan dan mewujudkan industri kepada penduduk dalam Parlimen Grik, kerajaan negeri juga tidak menunaikan janji mereka untuk membina lapangan terbang di Gerik.

Malah katanya dalam beberapa pilihan raya yang lalu, kerajaan negeri telah pun berjanji untuk membina lapangan terbang tersebut, sebaliknya sehingga kini bayang lapangan terbang pun tidak kelihatan.

Sehubungan itu ujarnya, pengundi dalam Parlimen Grik harus membuat perubahan dengan menetapkan azam untuk menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi.

“Jangan kekalkan parti pemerintah yang dipimpin oleh mereka yang perasuah, berat sebelah dan ‘double standard’ dalam memimpin negara.

“Memberi mandat kepada Umno dan BN akan mensengsarakan rakyat untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

“Seandainya Umno dan BN dapat dikalahkan, ia akan memberi sinar baru bagi melakar masa depan rakyat dan negara dengan lebih baik jika dibandingkan dengan kepimpinan mereka kini,” tambahnya lagi.

Blogger Milosuam ditahan polis

Polis dari Bukit Aman menahan blogger Yusof Al-Siddique Suratman, atau lebih dikenali sebagai Milosuam, berhubung kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bocor.

Difahamkan Yusof akan ditahan di Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi malam ini dan akan hadir pada pendengaran reman esok. Peguamnya Latheefa Koya berkata Yusof ditangkap di rumahnya di Melaka petang ini.

Isteri Yusof diberitahu oleh polis bahawa dia akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan, kata Latheefa.

Secara kebetulan, Polis Johor hari ini mengambil keterangan Anggota Parlimen Senai Wong Shu Qi berhubung ucapannya di dewan undangan negeri baru-baru ini.

Ucapan itu disampaikan pada 28 November di mana Wong mendesak Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi penjelasan berhubung tuduhan rasuah yang disebut dalam kenyataan saksi SPRM yang telah disiarkan di internet.

Pada hari yang sama, milosuam.net memuatkan satu artikel yang mengandungi satu halaman dari apa yang kelihatan sebagai kenyataan saksi SPRM.

Khaled menafikan sebarang tuduhan rasuah dan mendakwa Wong melanggar undang-undang rahsia dengan merujuk kepada kenyataan saksi.

Beliau juga memberitahu dewan undangan negeri bahawa beliau tidak berada di lokasi yang disebut dalam kenyataan saksi yang dikatakan itu kerana berada di luar negeri.

Kenyataan saksi itu dibuat oleh Amir Shariffuddin Abd Raub, yang didakwa bersama-sama bekas anggota exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi awal tahun ini kerana melakukan pengubahan wang haram dan rasuah.


SPRM kemudian mengesahkan bahawa dokumen itu telah bocor, sementara Amir Shariffuddin membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa dokumen itu telah diubahsuai.

Peguam dan Ahli Parlimen Puchong, Gobing Singh Deo, yang mengiringi Wong ke balai polis hari ini berkata pihak berkuasa perlu menyiasat dakwaan rasuah dan bukan anak guamnya.

"Perlembagaan Persekutuan membenarkan penggubal undang-undang untuk berbincang secara bebas mengenai isu kepentingan awam dalam dewan undangan negeri atau Parlimen," katanya.
-malaysiakini

Sejuta dalam kotak kasut, bekas ketua polis daerah di Perak ditahan

WANG tunai hampir RM1 juta dan barangan kemas ditemukan dalam kotak kasut dan peti besi di rumah seorang bekas ketua polis daerah berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) di Perak, semalam.

Semua aset tersebut ditemukan semasa pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penggeledahan di rumah pegawai polis berusia 59 tahun itu bagi membantu siasatan rasuah dan salah laku.

SPRM, dalam kenyataan hari ini, berkata pegawai berkenaan, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, ditahan di pejabat SPRM Perak pada jam 7.30 malam semalam bersama isterinya berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

SPRM berkata ahli perniagaan itu disyaki mempunyai kepentingan dengan pegawai polis itu ketika berkhidmat sebagai ketua polis daerah dan dipercayai wanita berkenaan telah memberikan sejumlah wang untuk majlis perkahwinan anak pegawai berkenaan pada Februari lalu.

“Ahli perniagaan itu telah memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis tersebut dengan dua transaksi iaitu RM20,000 dan RM50,000,” demikian menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi, mengesahkantangkapan tersebut dan berkata ketiga-tiga individu berkenaan ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM.

Katanya, ketiga-tiga mereka direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009.

Terdahulu, pegawai polis itu dibawa ke kompleks mahkamah di sini pada jam 10.45 pagi tadi oleh pegawai SPRM dengan berpakaian lokap SPRM serta bergari bagi mendapatkan perintah reman. 
-Bernama

Jamal ugut pecahkan kepala Zaid dengan tukul

Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR: Selepas membakar keratan gambar Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini tampil dengan tukul dan mengugut akan memecahkan kepala bekas menteri itu, esok.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu memberi amaran berkenaan kerana berang dengan pihak berkuasa yang belum mengambil tindakan terhadap Zaid.

“Kami sudah bakar gambar Zaid, tetapi sehingga hari ini kami hairan mana pihak polis yang berada dalam negara kita.

“Kalau saya keluarkan perkataan seperti Zaid, sudah pasti satu malam saya duduk dalam lokap.

“Kalau tidak ada tindakan lagi, esok tukul seberat 5kg ini akan singgah ke kepala dia (Zaid),” katanya sambil memegang tukul dan membawa keratan gambar Zaid di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Rabu lalu, Jamal membakar keratan gambar Zaid susulan kenyataan bekas menteri undang-undang itu yang didakwanya mengguris hati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta rakyat negeri itu.

Jamal membakar “Zaid” yang tertera perkataan “pengkhianat, kurang ajar, biadab” di luar PWTC dengan disaksikan lebih 20 ahli Umno.

Selasa lalu, Zaid menegur Sultan Selangor supaya berhati-hati dengan kata-katanya kerana semua akan terkesan apabila negara terbakar.

Zaid mengulas laporan media “Selangor ruler: Dr M will burn the whole country with his anger”.

Semalam, Sultan Selangor dilaporkan mendakwa kenyataannya mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Jamal mendesak polis mengambil tindakan terhadap Zaid yang didakwanya bertindak melampau dan mengguris hati rakyat Selangor.

Katanya, beliau lebih rela mati untuk mempertahankan Sultan Selangor daripada dicaci dan dimaki pihak tertentu.

“Hati kami rakyat negeri Selangor sudah terguris, tindakan dan hukuman yang perlu diambil bukan maaf.

“Saya rela mati demi Sultan Selangor, nyawa kami pertaruhkan demi Sultan Selangor.”

Pemimpin Gerakan Baju Merah itu turut mempersoalkan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan exco negeri mendiamkan diri.

“Di mana Azmin Ali yang sepatutnya pertahankan Sultan Selangor, tetapi senyap sunyi.

“Di mana exco Selangor yang memerintah Selangor yang sepatutnya pertahankan Sultan Selangor. Jangan nak main politik.”

Dr M: PAS akan kalah PRU14 kerana sokong Umno ‘kafir’

FMT Reporters
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PAS akan kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, Hadi kini menjadi penyokong kuat Umno yang pernah dilabelkan beliau sendiri sebagai kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir dan jahiliah.

Dr Mahathir berkata, kenyataan itu terkandung dalam “Amanat Hadi”, iaitu ucapan Hadi pada 7 April 1981, ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Petikan ucapan itu kerap dibidas Umno kerana didakwa mengkafirkan ahli parti komponen terbesar BN itu.
“Di satu masa, Hadi mendakwa Umno kafir. Bekerjasama (dengan) orang kafir menjadikan Umno kafir.

“Sekarang, sebelum menolak Amanatnya bahawa Umno kafir, Hadi menjadi penyokong kuat Umno kerana tindakan PAS bertanding dalam PRU14 akan mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan dan memberi kemenangan kepada Najib. PAS sendiri akan kalah,” tulisnya dalam catatan blognya semalam.

Pada masa sama, Dr Mahathir yang pernah memimpin negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 berkata, kenyataan Hadi menerusi amanatnya pada 1981 itu jelas merupakan hasutan untuk pengikutnya berjuang menentang pemerintahan Umno dan BN yang didakwanya kafir.

Katanya, kerajaan pimpinannya ketika itu tidak menahan Hadi atas amanatnya yang berunsur hasutan bagi mengelakkan huru-hara dan rusuhan tercetus di seluruh negara memandangkan Hadi mempunyai ramai pengikut fanatik.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi mempertahankan polis dan menyalahkan pengikut guru agama, Ibrahim Mahmud sebagai punca 18 orang terbunuh dalam tragedi Memali pada November 1985 kerana terlalu taasub dengan “Amanat Hadi”.

“Kerajaan sanggup bertindak terhadap Ibrahim kerana tindakan terhadapnya dipercayai tidak akan mengundang reaksi sebesar tindakan terhadap Hadi. Lagipun jika dibiar, gerakan Ibrahim mungkin menjadi besar dan sukar ditangani pihak berkuasa.

“Tetapi jangkaan kerajaan meleset. Persiapan Ibrahim untuk melawan polis sudah sampai ke tahap penggunaan senjata seperti parang, buluh tajam dan senapang patah.

“Apabila polis bergerak ke arah rumah Ibrahim, mereka diserang hendap dan 4 anggota polis dibunuh dan seorang lagi cedera. Akhirnya polis menyerang balas dan 13 pengikut Ibrahim dan Ibrahim terbunuh.

“Di Memali, amat jelas sikap yang ditunjuk oleh Ibrahim dan pengikutnya dipengaruhi kepercayaan mereka berjihad mengikut ajaran dan amanat Hadi. Mereka percaya kematian mereka adalah syahid.”

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat Hadi atas peranannya ke atas tragedi Memali.

Pada 25 Ogos lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau sedia memberi keterangan jika RCI ditubuhkan bagi menyiasat tragedi 32 tahun lalu itu.

“Sekarang ini saya minta supaya saya diberi peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku, kalau ada RCI Memali, saya harap mereka panggil (saya), bagi peluang kepada saya dedahkan apa yang berlaku.”

Bekas pengetua madrasah didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap empat pelajar


Tawau – Seorang bekas pengetua sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap empat pelajar bawah umur, pada tahun lalu.

Tertuduh yang berumur 35, memohon dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan, dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap empat pelajar lelaki berusia antara 14 dan 15 tahun di sebuah rumah di sini, antara jam 10.45 pagi hingga 10.20 malam pada Jun dan Ogos 2016.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ferhansha memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM16,000 bagi empat pertuduhan itu dengan masing-masing sebanyak RM5,000 untuk pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat sebanyak RM3,000, setiap satu, dengan dua penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.

“Tertuduh juga dilarang menghampiri atau mengganggu mangsa,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-bharianonline

“Lepas ‘potong’ kena masuk Islam ke?”

Kepong: “Lepas ‘potong’ kena masuk Islam ke?”

Itulah antara soalan yang diajukan oleh Brian Wong, 7, kepada ibu saudaranya, Aly Wong apabila dia bercadang mendaftar nama anak saudaranya itu sebagai peserta acara khatan beramai-ramai.

Selain itu, pelbagai soalan lagi ditanya oleh Brian menyebabkan Aly terpaksa menerangkan satu persatu sehingga anak saudaranya itu benar-benar faham.

“Soalan pertama ditanya Brian sudah tentulah sakit atau tidak. Selain itu, dia mahu tahu bagaimana proses bersunat itu dilakukan serta apakah peralatan yang digunakan?

“Semua soalan itu saya jawab dengan jujur, malah menunjukkan kepadanya proses bersunat yang dimuat naik di YouTube. Memang pada awalnya dia tidak mahu kerana takut.

“Saya mengambil masa beberapa hari untuk memujuknya dengan memberi penerangan terperinci mengenai kaedah serta faedah bersunat,” katanya.

BRIAN ditenangkan ketika menjalani proses bersunat. FOTO NSTP

Brian adalah satu-satunya kanak-kanak bukan Islam yang menyertai program Jom Berkhatan anjuran Masjid Al Imam Al Ghazali, di sini, kelmarin. Seramai 25 peserta mengambil bahagian terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun.

Bercerita lanjut, Aly berkata, Brian juga bertanya mengapa perlu bersunat kerana setahunya orang bukan Islam tidak wajib berbuat begitu.

“Malah Brian bertanya saya adakah dia perlu memeluk agama Islam selepas bersunat. Saya agak terkejut dengan soalan ini, mungkin ada orang yang memberitahunya begitu,” katanya.

Tular: Remaja berusia 16 tahun mati dipukul bapa saudara

Tular: Polis siasat punca dan motif kematian remaja

Melaka – Polis masih menjalankan sisatan berhubung punca kematian seorang  yang dikejarkan ke Hospital Melaka pada Isnin lalu yang dikaitkan dengan tular di laman sosial sejak beberapa hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kematian tersebut bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Pihak polis akan membuat siasatan rapi dan masih belum mengenal pasti sebab dan motif sebenar kejadian dan kaitanya dengan tular yang tersebar di laman sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejak semalam tersebar di laman sosial, video kejadian seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Tangkak, Johor yang didakwa dipukul hingga mati oleh bapa saudaranya kerana disyaki mencuri wang milik datuknya.

Kamaluddin berkata pihaknya meminta kerjasama perakam video tersebut tampil membantu pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung rakaman dan kejadian tersebut turut sama diminta untuk memberi kerjasama.

Beliau berkata, pada Isnin lepas, orang awam menghantar remaja berkenaan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan awal polis mendapati bahawa remaja malang tersebut dibawa oleh dua lelaki dewasa ke Hospital Melaka kira-kira pukul 9.45 malam setelah menemui remaja berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah perhentian bas di Ayer Keroh.

Kamaluddin berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahawa terdapat beberapa kecederaan dan kesan lebam lama di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta untuk menghentikan tular tersebut kerana ia masih dalam siasatan polis. 
-Bernama

Sultan Selangor 'usir' Zaid Ibrahim

Balik ke Kelantan, Sultan Selangor beritahu Zaid
FMT Reporters

PETALING JAYA: Sehari selepas protes ahli Umno yang mengutuk Datuk Zaid Ibrahim sebagai biadab, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hari ini menjadi sasaran Sultan Selangor, yang mendakwa kenyataannya mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Menurutnya, Zaid sengaja memutar belit kenyataannya mengkritik Dr Mahathir.

“Saya minta Zaid Ibrahim baca dengan teliti ke­nyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut,” tambahnya merujuk komen Zaid di Twitter.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam ucapan di perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya pada Oktober lalu dilihat menyindir keturunan Bugis.

Dr Mahathir dilaporkan menggelar Datuk Seri Najib Razak dengan gelaran “lanun Bugis”, sebagai menyindir perdana menteri itu yang menggelar dirinya pahlawan Bugis. Kerabat diraja Selangor merupakan keturunan Bugis.

Ia disusuli kenyataan Sultan Selangor menggesa Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM disiasat di bawah undang-undang hasutan.

Dalam wawancara dengan The Star baru-baru ini, Sultan Selangor sekali lagi mengkritik Dr Mahathir dengan menyifatkannya pemimpin dengan “sifat inferiority complex” serta “diselubungi perasaan kebencian”.

Tiga hari lalu, Zaid dalam kiriman Twitter berkata Sultan Selangor “seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya”.

“Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar,” kata Zaid.

Ia mengundang kecaman daripada ahli Umno ketika perhimpunan agung parti itu semalam, yang bertindak membakar keratan mirip Zaid.

“Saya nak beritahu Zaid Ibrahim langkah mayat kami dulu sebelum beliau berani mengeluarkan perkataan-perkataan cukup biadap kepada Sultan Selangor,” kata Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengetuai protes itu.

Dalam wawancara hari ini, Sultan Sharafuddin berkata Zaid tidak perlu mengajarnya dan teguran ke atas Dr Mahathir dibuat atas kapasiti sebagai raja.

“Saya sedar, Zaid selalu mengeluarkan komen yang tidak benar dan tidak tepat mengenai saya, dari dulu. Zaid adalah seorang ahli politik serta bekas menteri dan saya faham dari dulu lagi Zaid kuat menentang institusi raja.

“Nasihat saya kepada Zaid satu sahaja, janganlah kita jadi seperti kacang lupakan kulit dan janganlah musnahkan orang Melayu. Saya percaya Zaid tahu apa yang saya maksudkan,” katanya.

Pasangan Dilucut Pakaian Kahwin Dalam Trauma


Paparan skrin video yang tular diambil dari Tribunnews.com
PASANGAN yang 'dihukum' oleh penduduk kampung kerana didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh dengan cara membawa mereka berarak sekitar kampung tanpa pakaian selama satu jam akhirnya berkahwin dalam keadaan trauma.

Kisah itu berlaku pada Sabtu, ketika pasangan tersebut masih dalam ikatan pertunangan dengan gambar serta video kejadian telah tular di seluruh negara.

Tetapi kini, sekurang-kurangnya pasangan dari Tangerang, Indonesia ini tidak perlu lagi bimbang tentang tuduhan orang kampung.

Pada Selasa, pasangan ini telah berkahwin di salah sebuah rumah ibu bapa pengantin dalam satu upacara yang mendapat fasiliti polis dan dihadiri oleh polis tempatan.

"Hari ini mereka berkahwin mengikut agama dahulu. Kami akan membantu mereka untuk pernikahan ini didaftarkan oleh negara," kata Ketua Polis Kabupaten Tangerang Sabilul Alif memetik Kompas.

"Sudah tentu, secara psikologi, kedua-duanya masih trauma. Kami berharap perkahwinan ini dapat membantu meringankan beban mereka."

Pasangan tersebut, yang dikenal pasti oleh polis dengan nama R dan MA, sebelum ini belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka walaupun merancang berkahwin dalam masa terdekat.

Setelah berdepan banyak kesulitan, mereka memilih untuk segera berkahwin bagi mengelakkan mereka terus berdepan tekanan sosial yang lebih besar.

Enam telah ditangkap kerana melakukan penghinaan awam terhadap pasangan itu pada 11 November lalu dengan yang terkini ditahan adalah ketua kejiranan tempatan.

Setiap daripada mereka boleh menghadapi sekurang-kurangnya lima tahun penjara kerana melakukan serangan.

Kes ini telah mendapat liputan secara meluas di Indonesia selepas beberapa video kejadian tular, menunjukkan sekumpulan penduduk yang marah dan 'menghukum' pasangan berkenaan yang didakwa berkelakuan tidak senonoh.

Pakaian kedua-dua mereka dilucutkan menyebabkan mangsa wanita menangis kerana malu diperlakukan sebegitu. Rayuannya langsung tidak dihiraukan kumpulan tersebut.

Pasangan itu juga dipukul beberapa kali semasa mereka diarak di sekitar kampung, dalam kejadian lebih kurang sejam.

Polis berkata kumpulan terbabit juga sengaja mengambil gambar dan melakukan penghinaan awam sebelum memuat naik rakaman dalam talian.

Sabilul berkata pasangan kekasih itu tidak melakukan perkara tidak senonoh seperti yang didakwa, sebaliknya penduduk kampung salah faham apabila melihat mereka berdua-duaan pada waktu malam.

Sabilul berkata polis masih memburu individu yang terlibat termasuk yang memuat naik rakaman dalam talian.

Perarakan untuk memalukan pelaku zina atau sesiapa yang didapati melakukan hubungan intim sebelum nikah adalah perkara biasa di beberapa bahagian Indonesia, terutama di kawasan luar bandar.
-mstar

Anggota parlimen Jelebu meninggal dunia

Anggota Parlimen Jelebu, Datuk Zainudin Ismail, 57, meninggal dunia di kediamannya di Villa Puteri Condo di Kuala Lumpur, pada jam 7.30 malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan, yang juga Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

“Arwah meninggal dunia akibat sakitnya sebelum ini iaitu ketumbuhan dalam kepalanya yang sebelum ini telah pun dibuang pada tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di Seremban.

Jalaluddin, yang dalam perjalanan ke kediaman arwah, berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Jenazah Allahyarham dijangka di bawa balik ke Taman Angsana, Jelebu dan akan dikebumikan esok pagi di Kampung Petaseh, Kuala Klawang.

Zainudin pada 13 Mei tahun lepas telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di dalam kepalanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Beliau sebelum itu di hantar ke Hospital Jelebu apabila tidak sedarkan diri, jam 12 tengah hari, hari yang sama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Zainudin menang dengan majoriti 7,101 undi menewaskan Raj MunniI Sabu daripada PAS.
-Bernama

Pelajar tahun lima mati gantung diri kerana dibuli (Gambar)


Kanak-kanak berusia 10 tahun ini telah meninggal dunia dengan cara yang tragis. Walaupun masih kecil namun dia telah menggantung dirinya hanya disebabkan video dia dibuli, telah dimuatnaik dalam media sosial.

Ashawnty Davis dari Colorado, telah meninggal dunia selepas mesin sokongan hayatnya telah dipadamkan di Hospital Kanak-kanak Colorado.

“Ia menyedihkan. Dia hanya kanak-kanak yang membawakan kegembiraan kepada semua,’’ kata bapanya, Anthony Davis.

Pada Oktober lalu, Ashawnty, yang merupakan pelajar tahun lima telah terlibat dalam pergaduhan di di sekolahnya. Pergaduhan itu telah dirakamkan oleh pelajar lain dan kemudian video itu dimasukkan ke dalam applikasi dikenali sebagai Musical.ly.

Dalam video itu, Ashawnty dan seorang lagi kanak-kanak perempuan bergaduh sambil dikelilingi oleh kanak-kanak lain.

Menurut ibunya, Latoshia Harris, anaknya itu telah bersemuka dengan kanak-kanak yang telah membulinya.

“Saya nampak anak perempuan saya ketakutan. Dia sangat kecewa apabila mendapati klip berkenaan dimasukkan ke dalam Musical.ly,’’ kata Latoshia yang memaklumkan anaknya itu sering menjadi mangsa buli.

Sejak itu Ashawnty telah berubah dan dia tidak boleh menerima keadaan dimalukan itu lalu menggantung diri, dua minggu lalu.
-kualalumpurpost 

Saya pilih berkecualilah, kata Hanipa

MALAYSIA DATELINE
Berhubung laporan yang mengatakan bahawa Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) dalam satu forum iaitu “Global Forum on Asset Recovery” baru-baru ini menyifatkan skandal kleptokrasi 1MDB sebagai kleptokrasi yang paling teruk, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau “menganggap” bahawa Peguam Negara AS itu mestilah cukup arif dalam hal tersebut.

“Saya “presume” Peguam Negara AS ini mestilah arif sungguh tentang undang-undang berkaitan “money laudering” (pengubahan wang haram) dan kleptokrasi ini,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Itulah anggapan saya sehinggalah saya tersedar daripada lamunan dan teringat komen orang yang mungkin lebih bijak dan lebih cerdik daripada Peguam Negara AS itu, yang dengan penuh yakin dan dengan lafaz “soreh” (nyata) berkata ia campur tangan asing, kata Hanipa lagi.

Sehubungan itu katanya lagi, beliau benar-benar dalam dilema sama ada ingin menyokong Peguam Negara AS itu atau menyokong “ulama”.

“Setelah fikir panjang, takperlah saya pilih berkecualilah,” kata beliau.

'Akan ada lagi wakil rakyat BN, Pas masuk Harapan'

WARTAWAN SINAR HARIAN

KUALA TERENGGANU – Beberapa wakil rakyat khususnya dari BN dan Pas yang tidak sehaluan dengan parti masing-masing dijangka akan menyertai Pakatan Harapan menjelang PRU14.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris turut mengharapkan wakil rakyat BN atau Pas yang menunjukkan kecenderungan bersama-sama Pakatan Harapan perlu berani dan tegas meninggalkan parti lebih awal sekiranya tidak selari dengan kepimpinan sebagaimana dilakukan Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah beberapa hari lalu.

Menurutnya, wakil rakyat termasuk di negeri ini perlu bersikap lebih ‘gentleman’ dalam menzahirkan parti yang senada dengan perjuangan mereka.

“Memang itulah yang terbaik. Kalau kita tidak bersama dengan parti yang kita perjuangkan, maka kita kena berhijrah secara keseluruhan dan berani untuk memberitahu kepada rakyat yang kita tidak sehaluan lagi dengan parti yang kita sertai sekarang.

“Kalau kita masih lagi ahli parti lama tetapi tidak bersama dengan parti lama, sebaliknya bersama parti lain, itu menunjukkan kepada rakyat bahawa kita ‘kluk-klek’. Jadi, maknanya, mereka ini tidak nampak kepimpinan atau perjuangan yang jitu untuk meneruskan agenda politik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Razali turut mengalu-alukan tindakan Amiruddin dalam Bersatu serta melihat ‘konsep’ berbeza diambil wakil rakyat itu yang dilihat memilih Bersatu berbanding bekas wakil rakyat Pas sebelum ini yang lebih selesa dalam Amanah.

Beliau turut menyifatkannya tindakan itu memberi makna besar kepada Bersatu yang ketika ini berdepan cabaran termasuk pembatalan pendaftaran serta kritikan daripada beberapa pihak yang sudah tidak sehaluan dengan parti itu.

“Kita lihat Amiruddin begitu berani menterjemahkan diri dan meletakkan diri dalam satu parti politik yang lain. Tidak macam yang lain hanya bersama dengan Pakatan Harapan tetapi masih lagi dalam Pas,” katanya.

Jelasnya, Bersatu mengharapkan lebih ramai pemimpin dan wakil rakyat bersama-sama parti itu dalam matlamat menjatuhkan BN pada PRU14.

Pihaknya juga terbuka menerima sesiapa sahaja samada dari Umno atau Pas tanpa sekatan atau paksaan untuk bersama-sama berjuang dalam Bersatu.

“Bagi Bersatu Terengganu, kemasukan Amiruddin memberikan semangat semakin kental kepada kami bahawa memang ramai di luar sana yang mengakui kebenaran dan sucinya pejuangan menentang kleptokrasi, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan berbagai masalah kepada rakyat yang lain.

“Kemasukan bekas Adun Pas ini pastinya membuka mata Ahli Parlimen dan Adun lain yang masih terikat dengan ‘perjanjian tertentu’ untuk menilai diri mereka apakah masih mahu berselindung walaupun sudah hampir pilihan raya,” katanya.

Apabila 4 bekas MB Selangor berpakat lawan Pakatan

Zin Mahmud
Sabtu lalu, bekas menteri ź, Tan Sri Khalid Ibrahim menghadiri Konvensyen Umno Selangor dengan perisytiharan beliau akan bersama berkempen untuk Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.ç

Tetapi Khalid tidak atau belum menyertai semula Umno.

Dalam tugas ini, Khalid akan bersama bekas menteri besar Selangor yang terdahulu, Tan Sri Muhamad Muhd Taib (1986-1997), Tan Sri Abu Hassan Omar (1997-2000) dan Datuk Seri Khir Toyo (2000-2008) bagi menentang Datuk Seri Azmin Ali yang menyandang jawatan itu sejak 2014.

Bagaimanapun, dalam majlis itu tidak diisytiharkan siapakah yang bakal menjadi menteri besar Selangor jika BN menang.

Buat masa ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor ialah Datuk Seri Noh Omar.

Beberapa bulan lalu, Khalid menghadiri acara besar anjuran PAS di Terengganu. Sebelum acara itu, dispekulasi beliau akan menyertai PAS. Tetapi ternyata spekulasi itu meleset.

Setelah tidak bersama dengan PKR, Khalid masih tidak berparti. Namun adalah jelas, beliau mesra dengan PAS. Kini dengan kehadiran Khalid dalam acara Umno itu, beliau juga mesra Umno. Ini menunjukkan beliau mesra dengan kedua-dua PAS dan Umno.

Maka ia juga selaras dengan suasana baharu politik iaitu PAS dan Umno adalah saling mesra.

Khalid adalah menteri besar Selangor pertama yang bukan daripada Umno. Tetapi beliau juga bekas ahli Umno. Selain itu, beliau juga bekas ahli PKR, seperti juga Mat Taib (yang juga bekas ahli PAS).

Mat Taib meninggalkan Umno dan menyertai PAS semasa kempen pilihan raya umum ke-13. Ketika itu, PAS masih anggota Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. Apabila berlaku krisis dalaman PAS yang menghasilkan 2 pihak pada 2015, beliau kelihatan lebih hampir dengan Gerakan Harapan Baru yang akhirnya menubuhkan Amanah.

Tetapi apabila Amanah ditubuhkan, Mat Taib tidak menyertai parti baharu itu, sebaliknya beliau menyertai PKR, bersama Datuk Kamaruddin Jaffar.

Tetapi ketika Mat Taib menjadi MB, jawatan tertingginya ialah naib presiden Umno dan beliau merupakan sebahagian daripada Team Wawasan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, apabila berlaku krisis dalaman Umno yang menyaksikan pemecatan Anwar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998, Mat Taib tetap bersama Umno.

Sebaliknya, Khalid yang menyertai PKR dan menjadi calon pilihan raya parti itu. Walaupun pada mulanya kalah dalam kedua-dua pilihan raya itu, beliau menang dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya umum tahun 2008 yang membolehkan beliau menjadi MB di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Bukan orang Mahathir atau orang Anwar

Sebelum menyertai politik, Khalid adalah tokoh korporat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mencapai kecemerlangannya ketika pemerintahan Dr Mahathir. Beliau dikenali sebagai tokoh Melayu yang artikulat dalam pembicaraannya, dengan rancangannya di radio yang mana ulasan beliau mengenai isu ekonomi adalah popular di kalangan pendengar Melayu yang baru celik mengenai dunia kewangan dan pelaburan.

Khalid menjadi sosok contoh dalam pandangan dunia Melayu Baharu ketika Malaysia berada di bawah gandingan Mahathir-Anwar. Namun begitu Khalid tidak dikenali sebagai “orang Mahathir” atau “orang Anwar” ketika itu.

Maka ketika beliau menceburkan diri dalam politik Umno, iaitu dari peringkat bahagian, beliau gagal meraih sokongan di peringkat itu. Maknanya dalam Umno, beliau tidak diberikan tempat baik di peringkat pusat, mahupun di peringkat negeri, malah di bahagian, walaupun nama beliau adalah harum bukan saja di kalangan orang Melayu, tetapi juga masyarakat Malaysia.

Sebaliknya, Dr Mahathir memilih Abu Hassan Omar menggantikan Mat Taib yang terpalit skandal wang tunai berlebihan di Australia.

Dalam pelantikan Abu Hassan itu, pilihan raya kecil DUN terpaksa diadakan bagi memberi kerusi negeri untuk beliau.

Begitu juga apabila Dr Mahathir memilih Khir Toyo sebagai MB menggantikan Abu Hassan yang juga diturunkan atas sebab skandal.

Ketika pemilihan Khir itu, antara pemimpin Umno dan menteri kanan yang amat rapat dengan Dr Mahathir ialah Tun Daim Zainuddin.

Umno dan Selangor

Rekod Umno Selangor yang begitu rupa menjadikan pihak pembangkang bertambah popular. Tetapi sejak sebelum merdeka, Umno adalah popular di kalangan orang Melayu Selangor dengan sumbangannya terhadap kedudukan ekonomi Bumiputera. Tetapi ia tidak popular di kalangan orang Cina terutama mereka yang berasal dari golongan pekerja lombong.

Semasa Darurat, terdapat banyak kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) di negeri itu.
Maka sejak merdeka, pembangkang utama adalah dari kalangan Cina sementara orang Melayu adalah jitu dalam sokongan kepada Umno. Lebih-lebih lagi Umno Selangor dipimpin oleh tokoh Melayu iaitu Datuk Harun Idris yang dilihat mampu untuk bukan saja menjadi MB tetapi juga perdana menteri.

Walaupun terdapat kehadiran pembangkang Melayu di Selangor dalam bentuk Parti Rakyat Malaya (PRM) dan PAS, mereka tidak menjejaskan kekuatan Umno dan Perikatan. Sebelum 1969, parti pembangkang utama ialah Front Sosialis Rakyat Malaya yang dianggotai oleh Parti Buruh Malaya (PBM), PRM dan Parti Konvensyen Kebangsaan (NCP).

NCP terdiri daripada bekas ahli Umno yang diketuai Aziz Ishak, bekas menteri pertanian era Tunku Abdul Rahman. Mereka bergerak di Selangor.

Dalam pilihan raya 1969, Front Sosialis sudah terbubar kerana pendaftaran PBM terbatal. Akibatnya, bekas ahli PBM berpecah. Sebahagiannya menyertai PRM. Yang lain pula menyertai Parti Gerakan dan DAP yang baru ditubuhkan.

Keputusan pilihan raya umum 1969 adalah mengejutkan. Gerakan dan DAP menang banyak kerusi hingga hampir dapat menubuhkan kerajaan negeri. Tetapi kemudiannya pembangkang berpecah dengan Gerakan serta PAS menyertai BN.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan yang mengurangkan kawasan majoriti Cina di Selangor.

Dalam Umno, cabaran Harun Idris terhadap kepimpinan, pada mulanya terhadap Tun Razak Hussein, dan kemudiannya kepada Tun Hussein Onn, dapat dipatahkan apabila MB itu disabit kesalahan rasuah dan dipenjarakan.

Apabila berlaku krisis Umno pada 1988, Harun menyertai Semangat 46 yang mengadakan pakatan dengan DAP melalui Gagasan Rakyat, dan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah.
Tetapi dalam pilihan raya 1990, walaupun DAP dapat meraih undi, parti pembangkang Melayu tidak mendapat sokongan. Begitu juga dalam pilihan raya 1999. walaupun kelihatan PKR dan PAS mula bertapak dengan kemenangan beberapa kawasan tetapi kerajaan BN Selangor tidak terjejas.

Atas rekod inilah, menjelang pilihan raya umum tahun 2008, Khir Toyo boleh menyatakan bahawa BN boleh menang semua kawasan DUN negeri itu.

Kebangkitan Khalid

Dari sejak sebelum pilihan raya lagi, pembangkang seperti Barisan Alternatif dan DAP telah menaikkan nama Khalid sebagai bakal Menteri Besar jika mereka menang.

Ketika itu, Barisan Alternatif terdiri daripada PKR dan PAS. Sementara DAP yang sudah keluar daripada Barisan Alternatif tetap menjadi sekutu mereka. PSM pula bertanding atas tiket PKR di Selangor.

Maka apabila Pakatan Rakyat ditubuhkan, Khalid dengan mudah disokong untuk menjadi MB. Walaupun pada detik-detik kemenangan itu terdapat usaha untuk menghalang beliau daripada memegang jawatan itu.

Ini kerana ada sekumpulan pemimpin PAS dan Umno berusaha di saat akhir untuk membentuk kerajaan Melayu di Selangor. Usaha mereka gagal kerana umumnya orang PAS mahukan kerajaan Pakatan Rakyat. Undi yang diperoleh calon PAS adalah juga datangnya dari penyokong DAP, PKR, PSM dan lain-lain pihak pembangkang yang menolak kerajaan negeri Umno dan BN.

Kejatuhan Khalid

Selepas pilihan raya 2013, PAS dan PKR bergolak. Anwar melakukan Langkah Kajang untuk menggantikan Khalid dengan dirinya bagi jawatan Menteri Besar. Tetapi Anwar dipenjarakan sebelum pilihan raya kecil diadakan.

Maka Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dirancang untuk dijadikan MB. Walaupun beliau menang, Khalid enggan turun untuk bagi ruang kepada ketuanya. DAP dan PKR menyokong Dr Wan Azizah, tetapi PAS mahukan Khalid menjadi MB.

Inilah bermulanya keretakan Pakatan Rakyat. Tetapi Khalid akhirnya gagal kerana ada ADUN PAS enggan menyokong beliau

Namun, Dr Wan Azizah juga gagal menjadi MB. Pilihan calon PKR kedua iaitu Azmin yang berjaya enyandang jawatan itu.

Kini Khalid bersama dengan BN dan PAS untuk menghalang Pakatan Harapan daripada berkuasa. Walaupun banyak rakyat Selangor dipercayai masih kuat menyokong pembangkang, undi mereka akan berpecah apabila berlaku pertandingan 3 penjuru.

Melihat rekod Pakatan Rakyat itu, ada kalangan penyokong pembangkang pasti kecewa dengan gelagat pemimpin PKR dan PAS termasuk Khalid.

Pada masa sama, pihak pembangkang mempunyai pendokong baharu iaitu dari PPBM yang kini menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

* Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

1MDB kleptokrasi paling buruk, kata peguam negara AS

Low Han Shaun
WALAUPUN kerajaan Malaysia berpendapat tiada wang yang hilang dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jabatan Peguam Negara Amerika Syarikat mengatakan ia "menahan" aset bernilai AS$3.5 bilion daripada dana pelaburan negara yang dimulakan Perdana Menteri Najib Razak itu.

"Sebagai contoh, hampir separuh daripada AS$3.5 bilion hasil rasuah yang kami tahan adalah berkaitan dengan hanya satu tindakan penguatkuasaan.

"Tindakan itu mempunyai kaitan dengan dana kekayaan Malaysia yang dikenali sebagai 1MDB. 1MDB diwujudkan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pembangunan ekonomi jangka panjang demi kepentingan rakyat Malaysia," kata Peguam Negara AS Jeff Sessions pada Global Forum on Asset Recovery hari ini (4 Disember di AS).

Beliau menggelar skandal 1MDB sebagai "kleptokrasi paling buruk" dan berkata lebih AS$4.5 bilion dana pengubahan wang haram melalui urus niaga yang kompleks oleh beberapa syarikat bayangan dari Switzerland dan Singapura ke Luxembourg dan AS.

"Tetapi pegawai yang didakwa rasuah dan sekutunya dilaporkan menggunakan dana untuk berbelanja mewah: AS$200 juta untuk harta tanah di California Selatan dan New York AS$130 juta dalam hasil seni AS$100 juta dalam label musik Amerika. Termasuk A$265 juta kapal layar.

"Hari ini, Jabatan Kehakiman AS sedang berusaha untuk memberikan keadilan kepada semua mangsa skim ini," katanya.

Sessions mengatakan tanpa kerjasama rakan penguatkuasa undang-undang asing, AS tidak akan dapat mengembalikan jutaan hasil rasuah untuk membayar ganti rugi kepada mangsa.

"Ini termasuk kira-kira AS$119 juta kepada rakyat Itali, AS$115 juta kepada rakyat Kazakhstan, lebih AS$20 juta kepada rakyat Peru, dan jutaan lagi kepada rakyat Nicaragua, Korea Selatan dan Taiwan," katanya.

Setakat ini, kerajaan Malaysia enggan bekerjasama dengan rakan penguatkuasa undang-undang asing, seperti yang dapat dilihat dengan dua kali penolakan permintaan Switzerland untuk bantuan undang-undang bersama (MLA).

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata ulasan Sessions menunjukkan kes 1MDB "masih menjadi isu hangat" dan Peguam Negara Apandi Ali adalah "berkewajipan" membuka semula kes itu.