"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DUN Perak: Tak pernah terjadi pencadang lawan usul sendiri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, belum pernah lagi terjadi seorang pencadang usul menentang usulnya sendiri di dalam dewan.

Beliau merujuk kepada keputusan usul undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tadi yang menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal besar dalam memperoleh sokongan.

Usul tersebut telah dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pengkala Bharu, Abdul Manaf Hashim (Umno) dan disokong Ahli Parlimen Kenering, Mohd Tarmizi Idris (Umno) yang kemudiannya mengundi untuk tidak menyokong Ahmad Faizal.

“DUN Perak melakar sejarah dunia apabila kedua-dua pencadang dan penyokong menolak Menteri Besar Perak, dan mengundi untuk menentang usul mereka sendiri.

“Menarik untuk diteliti. Dalam mana-mana dewan perundangan dunia, di mana lagi kita mahu saksikan kedua-dua pencadang dan penyokong sesuatu usul itu mengundi melawan usul mereka sendiri seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan balas tadi.

Terdahulu, dalam undian yang dipengerusikan Speaker DUN Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, sebaliknya 48 yang lain membantah dengan satu undi rosak.

DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN Umno, empat PPBM, dan tiga Pas. Manakala pembangkang pula terdiri dari 16 DAP, lima AMANAH, dan tiga PKR.

Tiada ulasan: