"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

90% Umno tolak Bersatu, beri kata dua kepada Pas, mahu MN atau PN

MALAYSIA DATELINE

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, 90 peratus akar umbi Umno tidak mahu parti itu mengadakan kerjasama dengan parti Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Kepada Pas pula, Umno memberikan katadua, samada mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional. 

Mohamad berkata, anggaran beliau itu adalah ukuran yang dilihatnya membabitkan pandangan akar umbi berhubung penerimaan dalam kerjasama antara parti pada pilihan raya berkenaan.

“Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu Umno bersama dengan Bersatu. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.

“Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira,” katanya kepada Beita Harian, hari ini.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerjasama berkenaan banyak bergantung kepada Pas.

“Kita sentiasa menghulurkan tangan, tetapi Pas kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.

“Kita minta Pas buat keputusan, jangan pula Umno dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya, kita sudah katakan terpulang kepada Pas, kita sentiasa menghulurkan tangan.

“Malah, pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu, tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi itu terpulang kepada mereka (Pas),” katanya kepada Berita Harian.

Petang semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat santai bersama Mohamad dan naib-naib presiden Umno sambil minum teh.

Ia diadakan menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang akan diadakan  malam esok.

Kadir: ‘Kalau DAP berkuasa, habislah peluang rasuah Umno’,

SURI LAILA 

Bekas wartawan veteran, D77atuk A Kadir Jasin mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru undi diberikan kepada parti itu bimbang DAP kembali berkuasa.

Kadir berkata, Umno bimbang jika DAP berkuasa, ‘gelap’ peluang Umno dalam isu rasuah.

“Ahmad Zahid takut DAP berkuasa. Betullah.

“Kalau DAP berkuasa, habislah peluang rasuah Umno. Dia pun kata, DAP ada idealisme,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid adalah sebahagian daripada sekumpulan Ahli Parlimen yang digelar kluster mahkamah.

Sebelum ini Ahmad Zahid dalam hantaran Facebooknya berkata, Umno dan Barisan Nasional adalah parti politik yang paling berkredibiliti dan diyakini dalam menolak idealisme DAP.

Ahmad Zahid berkata, jika benar bimbangkan DAP kembali berkuasa maka kemenangan mutlak harus diberikan kepada Umno.

Bersatu, PAS tanding di Melaka guna tiket PN

Malaysiakini 

Bersatu, PAS dan Gerakan telah bersepakat untuk bertanding pada pilihan raya negeri Melaka akan datang menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), kata pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.

Katanya, keputusan itu dibuat semalam oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas, yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua parti komponen - Bersatu, PAS, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.

“Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

“Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya dewan undangan negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Muhyiddin, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh parti PN akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN.

Majlis Tertinggi PN juga, katanya memutuskan semua parti-parti komponen untuk menggerakkan jentera pilihan raya maing-masing.

Mereka juga diminta menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka agar mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu.

Pilihan raya Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober, langkah yang diambil selepas empat wakil kerajaan menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tetap dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada sebarang pilihan raya.

Ini mendorong Muhyiddin yang kemudiannya menguumkan bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka.

Bagaimanapun, PAS mengulangi gesaannya agar Umno dan PN bekerjasama pada pilihan raya negeri itu.

Pada 2018, Bersatu ketika diterajui oleh Dr Mahathatir Mohamad bertanding di enam kerusi DUN di Melaka, tetapi hanya menang dua - Paya Rumput dan Telok Mas.

PAS gagal memenangi sebarang kerusi DUN di Melaka.

Analisis awal menunjukkan bahawa walaupun Bersatu dan PAS bergabung, PN akan tetap berdepan pertempuran yang sukar dan mungkin berisiko tersingkir pada pilihan raya negeri kali ini.

Najib panglima perang Umno – mengapa eh?

Mohsin Abdullah

Apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib Razak untuk mendapatkan pasport antarabangsa bagi jangka waktu 20 Oktober hingga 22 November ini – ia mencetuskan pelbagai polemik politik dan ada yang “kurang setuju” (sebenarnya marah).

Keizinan itu diberi 18 Oktober bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya di Singapura yang bakal melahirkan anak.

Tolak tepi kemarahan pihak tertentu, ikut logik, Najib sepatutnya menzahirkan kesyukuran, ucap terima kasih kepada mahkamah, dan pantas bergerak ke Singapura tetapi tidak.

Sebaliknya beliau menangguh perjalanan. Lantas pada 22 Oktober dia memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh dan pemulangan passport. Najib kini mohon tarikh menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah dipinda daripada 22 November kepada 6 Disember pula.

Mungkin (atau pasti) ada pihak anti-Najib yang kata bekas perdana menteri ini “berlebih-lebih”. Bagai beri betis hendak paha.

Namun bagi Najib, beliau ada alasan “wajar” untuk berbuat demikian. Apakah sebabnya itu? Untuk membantu jentera Umno pada PRN Melaka yang dijadual berlangsung 20 November.

Dalam erti kata lain, khidmat beliau diperlukan kerana ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno, berangkat ke Jerman untuk rawatan sakit belakang.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul terpinda, Najib menyatakan beliau “diamanah dengan tanggungjawab memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajar” ketika ketiadaan Zahid.

Oleh kerana “amanah” itulah Najib bercadang berlepas ke Singapura pada 21 November (sehari selepas PRN Melaka) dan pulang ke tanah air 5 Disember.

Permohonan pindaan itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini 26 Oktober 2021. Artikel ini bukan bertujuan membincangkan urusan mahkamah.

Yang mahu diajukan ialah apa yang Zahid, bahkan Umno sendiri, mahu Najib lakukan di Melaka? Apa yang dimaksudkan bahawa Najib diamanahkan dengan “tanggungjawab memastikan parti (yakni Umno) bertindak dengan teratur dan sewajar”.

Pertanyaan lebih tepat – apa peranan Najib? Adakah atas kapasiti ‘membantu’? Atau ‘mengepalai’ jentera Umno di Melaka?

Jika “membantu” rasanya ramai faham kerana Najib ialah Penasihat BN. Ketika dilantik dahulu, beliau disifatkan Zahid sebagai pemimpin yang boleh membantu BN pada PRU15 kelak kerana “pengaruhnya”.

Namun jika Najib diamanahkan mengetuai jentera Umno di Melaka, persoalannya ialah mengapa beliau? Mengapa bukan Mohamad Hasan? Bukankah Tok Mat timbalan presiden?

Bukankah “timbalan” ialah orang yang dilantik untuk membantu ketuanya dan memikul tugas ketua semasa ketiadaan ketuanya itu? Dalam konteks Umno, timbalan presiden dipilih ahli parti. Bukan “sekadar” dilantik presiden.

Adakalanya seseorang timbalan diangkat sebagai ‘pemangku’ dalam menjalankan tugas ketua bagi tempoh waktu ketiadaan si ketua. Maksudnya si timbalan memangku jawatan ketua sehingga ketua kembali bertugas.

Apa pun, kedua-dua “kaedah” boleh digunakan untuk Tok Mat memimpin jentera Umno di Melaka. Beberapa penganalisis politik berpendapat orang yang paling “afdal” mengetuai parti dengan ketiadaaan Zahid ialah Tok Mat kerana beliau timbalan Zahid.

Mengapa Zahid macam tidak memilih Tok Mat? Apa yang tersurat dan tersirat? Maklumlah Najibkan “bosku”.

Namun jika Najib benar dipilih untuk memimpin parti, adakah pemilihan dibuat berdasarkan pengaruhnya seperti mana yang mendorong pelantikannya sebagai penasihat BN?

Tidak dinafikan Najib masih berpengaruh khususnya dalam Umno. Malah kehadirannya di platform media sosial amat ketara. Ramai yang yakin beliau ialah “Bos”. Najib sudah pun menemui orang Umno di Melaka. Lihat sahaja video yang tular betapa “bersemangat” wanita Umno menyambut beliau.

Beberapa kemenangan BN pada PRK pasca PRU14 juga disandarkan kepada faktor ‘Bosku’.

Ada pemerhati politik berpendapat Najib sebagai bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno, orang lama dalam Umno, dan dengan ramainya pengikut di media sosial mampu menggembleng tenaga parti dan menyatukan ahli bagi menguatkan jentera PRN Melaka.

Namun ada yang percaya Melaka gelanggang terbaik untuk “menguji” Umno dipimpin Tok Mat dalam ketiadaan Zahid. Bagaimanapun, kita faham jika Umno tidak mahu ambil risiko dengan melakukan “ujian” sedemikian buat masa ini.

Apa pandangan Tok Mat terhadap isu ini? Menurut media, apabila ditanya, jawapan beliau ringkas: “kamu tanya Najiblah”. Terpulang kepada semua untuk menyelami minda beliau dan “baca” apa yang dimaksudkan.

Tanya orang Umno, semua akan berkata dengan terbuka tiada masalah siapa pun panglima perang di Melaka.

Namun jawapan “positif” sedemikian, tidak dapat menutup persoalan tertentu yang berlegar mengenai peranan “rasmi” Najib dalam menguruskan persiapan Umno di Melaka dan juga sejauh mana kesatuan dalam parti itu.

Dilema Ismail Sabri dan sikap dingin Umno

Bakar Suar

Kesian Umno. Parti politik yang menunjangi perjuangan kemerdekaan negara dan pemangkin semangat nasionalisme Melayu dan Malaysia kini menjadi pertubuhan kerap dikhianati dari dalam dan luar parti.

Walaupun Umno kini mendapat peluang kedua meneraju negara selepas diaibkan pada Pilihan Raya Umum 2018, nampaknya tidak banyak yang boleh dilakukan oleh wakilnya di kerusi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk memulihkan wibawanya.

Kali pertama rantaian kuasa politik Umno tercabut ialah apabila ia dihukum haram oleh mahkamah kerana rentetan pergeseran dua pemimpinnya Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988.

Ketika pengharaman Umno itu, MCA, parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional yang dipimpin oleh Dr Ling Liong Sik sempat merasa hawa kuasa pimpinan negara untuk beberapa hari.

Mujur pendaftaran parti baharu – Umno Baharu – dapat dibuat segera dan diberi hak mewarisi bukan sahaja nama Umno tetapi aset Umno di segi keahlian dan perwakilannya di dalam Dewan Rakyat.

Umno terlepas hak memimpin negara sekali lagi apabila mantan Perdana Menteri, Najib Razak gagal memimpin Barisan Nasional memenangi PRU14 pada Mei 2018.

Yang menjadi Perdana Menteri ialah mantan Presiden Umno, Mahathir yang ketika itu Pengerusi Bersatu yang sanggup berkongsi kuasa dengan DAP, parti belasahan yang sering dituduh rasis Cina untuk membakar sentimen Melayu.

Platform kuasa itu juga beliau kongsi dengan PKR yang ditubuhkan khusus untuk menentangnya kerana memecat dan memenjarakan ketua umum PKR (sekarang presiden) Anwar Ibrahim atas tuduhan salahguna kuasa dan jenayah liwat.

Namun Dr Mahathir pun tidak kekal. Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula menggerakkan strategi “Langkah Sheraton” bersama PAS dan serpihan ahli politik PKR lalu memaksa Mahathir letak jawatan sebab kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Maka semakin malap kredibiliti Umno daripada parti politik induk sejak Malaysia merdeka hingga merosot menjadi parti politik Melayu-Islam kurang pengaruh.

Najib letak jawatan presiden dan diganti oleh timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi. Malangnya Zahid juga menghadapi berpuluh-puluh tuduhan jenayah urusan kewangan.

Namun prestasi Muhyiddin sendiri hambar dalam menangani cabaran pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi hingga beliau juga terpaksa berundur.

Kini Umno kembali menjadi nakhoda bawah pimpinan Ismail. Ini agak janggal. Sebagai presiden Umno, Zahid, di segi teknikalnya layak mengisi jawatan itu tetapi didapati kurang sesuai kerana kes-kes mahkamah yang dihadapinya.

Kedudukan Umno menjadi sukar apabila krisis politik yang digerakkan oleh pemimpin Umno sendiri melanda Melaka. Ismail kelihatan kekok dan seolah-olah tiada locus standi merungkai cabaran krisis ini.

Zahid tentu ada perhitungan politiknya sendiri bagaimana mahu bertempur pada PRN Melaka yang bermula 8 November ini dengan hari pencalonan.

Namun Ismail sebagai Perdana Menteri yakin beliau bertanggungjawab memelihara kerukunan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Namun begitu, beliau sedar adalah lebih baik serahkan soal politik kepartian PRN Melaka kepada presiden.

Strategi dan falsafah Ismail ialah doktrin “Keluarga Malaysia”, sebab itu awal-awal lagi beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan yang memungkinkannya diterima sebagai ketua ‘keluarga’ negara.

Sebagai “bapak” Keluarga Malaysia, seharusnya Ismail perlu mengutamakan keadilan dan keharmonian dalam kalangan parti politik seperti yang dititipkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong – “yang menang tidak ambil semua dan yang tewas tidak kalah semua”.

Maka timbul persoalan adakah Ismail mendapat restu dan mandat pucuk pimpinan Umno untuk mengamalkan politik ikhlas dan luhur yang dipersetujui dengan PH?

Zahid masih keberatan. Sasarannya ialah mengembalikan imej dominan dan tegas Umno. Sebab itu Umno nampaknya liat mahu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan PAS.

Beberapa kali Zahid beralasan “Umno telah kerap dikhianati”. Walaupun tiada bukti dikemukakannya, namun umum melihat Zahid tidak selesa dengan pemimpin Bersatu yang kebanyakannya mantan ahli Umno.

Yang agak lantang menegur ialah presiden Bersatu dan bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang menyatakan “kalau sebelah sana (Umno dan Barisan Nasional) keberatan berbincang, PN akan bergerak terus kerana masa sudah suntuk”.

Pendirian Muhyiddin, yang juga pengerusi PN, seolah-olah mahu mengatakan pinggan tak retak nasi tak dingin…Bersatu dan PAS akan terus guna cogan kerajaan Melayu-Islam!

Kesian Ismail. Dilemanya sekarang bak kata pepatah – ditelan mati emak, diluah mati bapa. Beliau sudah teroka alur perdamaian lebih kekal dengan PH tetapi nampaknya tauke Umno kurang berselera ke meja damai.

Melaka gelanggang Umno isytihar Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan asing. Mungkinkah di bumi Melaka juga perjuangan Umno mula larut?

Bersatu mungkin peralat Pas dekati pengundi sekiranya Umno tutup pintu rundingan

SHAHBUDIN HUSIN

Pelbagai pihak dilihat tidak senang dengan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung larangan ceramah, majlis sosial, pelancaran jentera dan segala aktiviti terbuka sepanjang tempoh berkempen dalam PRN Melaka.

Tambahan lagi larangan itu yang konon bertujuan mengelak penularan semula wabak Covid-19 dikeluarkan ketika Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno sudah mula turun menjelajah beberapa kawasan di Melaka untuk memastikan kemenangan BN pada 20 November depan.

Bagi pihak dalam Umno, mereka melihat larangan itu tidak lain bertujuan menghalang pemimpin-pemimpin Umno menjalankan kerja-kerja kempen secara agresif bertemu pengundi.

Kata mereka lagi, sebagai parti yang berasaskan akar umbi, kempen turun ke bawah bertemu rakyat dan pengundi adalah perkara yang tidak boleh dielakkan bagi Umno bila berlaku pilihan raya.

Lainlah seperti Bersatu, tambah mereka, yang merupakan parti yang tiada akar umbi dan tidak banyak cawangan, maka tiada keperluan bagi pemimpinnya turun ke bawah untuk berkempen.

Kempen boleh saja dilakukan melalui cara lain menggunakan program kerajaan, NGO atau media sosial.

Selain itu, ada pihak dalam Umno juga melihat larangan kempen itu sebagai strategi halus untuk mendesak agar Umno akhirnya sedia bekerjasama dengan PN bagi memastikan PH tidak berpeluang mencapai kemenangan.

Pada waktu yang sama, PH juga turut tidak senang dengan larangan kempen yang diumumkan Khairy Jamaluddin itu.

Sementara Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menganggap larangan itu memperolok sistem demokrasi, Lim Guan Eng pula sedang mengkaji untuk mencabarnya daripada sudut undang-undang.

Daripada satu sudut, oleh kerana banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah dibenarkan seperti melancong, bermesyuarat, kenduri dan sebagainya, tambahan lagi lebih 90 peratus rakyat sudah menerima vaksin, melarang aktiviti kempen untuk pilihan raya ternampak seperti tidak masuk akal.

Jika begitu, apa gunanya vaksinasi?

Sepatutnya, biarlah semua aktiviti kempen dibenarkan, yang penting SOP asas seperti menjaga kebersihan, memastikan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka hendaklah sentiasa dipatuhi.

Begitu pun, apa sebenarnya tujuan larangan kempen ini dikuatkuasakan?

Sepertimana kita sedia maklum, kerjasama antara Umno dengan PN, walaupun terus menerus diminta oleh Pas dan Bersatu, adalah sesuatu yang memang sukar untuk menjadi kenyataan.

Terutama disebabkan jurang perbezaan Umno dengan Bersatu itu terlalu dalam, malah berliku-liku, mempertemukan titik tolak ansur antara kedua-duanya bukanlah suatu perkara mudah.

Untuk itu, kemungkinan paling besar di PRN Melaka ini ialah Umno dan Bersatu akan berlaga sesama sendiri atas tiket BN serta PN dalam persaingan tiga penjuru yang turut disertai PH.

Apabila berlaku pertembungan itu, mereka yang paling susah hati ialah kelompok menteri Umno yang diketahui sejak dulu berjiwa pro kepada Bersatu.

Kalau mereka turun berkempen untuk Umno, bimbang nanti Bersatu akan berkecil hati dan jika turun berkempen menolong Bersatu pula, ia sudah tentu melanggar disiplin parti.

Lalu, dengan adanya larangan turun berkempen secara terbuka yang diumumkan KJ itu, selamatlah mereka dan mereka kini tidak perlu langsung turun berkempen baik untuk Umno, mahu pun Bersatu.

Pada waktu yang sama, disebabkan cawangan dan akar umbi Umno lebih kukuh berbanding Bersatu, apa yang perlu dilakukan oleh parti itu dengan adanya larangan kempen terbuka ini ialah memanfaatkan kekuatan itu sepenuhnya untuk mendekati lagi semua kelompok pengundi.

Ia boleh dilakukan melalui jentera media sosial tempatan yang mungkin sudah sedia wujud di peringkat cawangan dan jika belum ada, masih ada masa untuk mewujudkannya dengan menyenaraikan nama pengundi dalam daftar mereka.

Kemudian, segala hal berkaitan kempen, termasuk serangan kepada pihak lawan dan menjawab isu-isu yang berbangkit hendaklah menggunakan saluran tersebut sebaik-baiknya.

Bersatu yang tidak banyak cawangan dan tiada akar umbi sudah tentu berdepan kesukaran berkempen hingga ke bawah menggunakan media sosial, kecuali yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pusat-pusat serangan yang beroperasi di Kuala Lumpur atau di bandar Melaka.

Namun, sudah tentu keberkesanannya tidak menyeluruh atau mampu meresap ke bawah berbanding apa yang digerakkan Umno melalui akar umbinya yang sudah sedia wujud itu.

Pokoknya, dengan adanya larangan kempen terbuka dan mengadakan majlis-majlis bertemu pengundi ini lebih memberi kelebihan kepada Umno dan ia lagi meletakkan mereka tidak perlu sama sekali bekerjasama dengan Bersatu, Pas atau PN.

Senang-senang Bersatu akan ditinggalkan dalam gerak kerja kempen dan mendekati pengundi.

Paling-paling pun Pas yang ada sedikit akar umbi akan diperalat sepenuhnya oleh Bersatu untuk berhadapan dengan Umno.

Secara langsung dan tidak langsung, Umno kini sudah boleh tutup terus pintu rundingan dengan PN.

Warganet ‘sekolahkan’ Hadi selepas veteran Pas diseru berjuang

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet mengkritik kepimpinan Pas pada masa ini susulan seruan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar veteran Pas, Assabiqun berperanan dalam perjuangan.

Bagi pengguna Facebook, Manaf Selasih, Muslim yang baik dan sihat akal jiwanya akan tahu cara sebenar perjuangan Islam ditegakkan.

“Semua Muslim yang tahu dan faham akan menolak mentah-mentah apa yang diseru oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang ini,” katanya dalam ruang komentar Facebook rasmi, Harakahdaily hari ini.

Tambah Manaf, sejak berzaman Islam menolak cara menduakan kesatuan Islam yang disekutukan dengan kumpulan politik yang sifatnya sempit.

“Muslim yang masuk politik boleh sahaja perjuangkan Islam sebagai orang Islam tanpa bising-bising mendakwa diri pejuang Islam,” hujahnya lagi.

Terdahulu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilapor berkata, berjihad menentang serangan pemikiran yang di bawah musuh kini menjadi fardhu ain bagi setiap individu.

Katanya, hal ini kerana beliau melihat kini, musuh sudah mula masuk ke negeri, rumah bahkan pemikiran orang Islam sendiri.

Ekoran itu, deretan komentar turut menyindir termasuk mengaitkan dengan pembelian nombor plat VIP.

“Pesan jangan buat plat kereta sampai RM100,000,” perli Shamsul Rahman.

Dalam masa sama, pemimpin Pas juga ditempelak ekoran penggunaan istilah Arab seperti ‘Assabiqun’ itu.

“Dok main istilah Arab. Kira habis lunaklah segala hati rakyat Malaysia ye? Zaman 80-an bolehlah. Pakat menitik air liur dengar ceramah.

“Campur-campur pula ayat-ayat al-Quran dan term Arabic. Balik ceramah rasa nak beli unta panjat, berkobar-kobar semangat,” sinis Zack Mortein.

Selain itu, ada juga netizen mengingatkan tentang sikap ‘cakap tidak serupa bikin’ orang Pas menjelang pilihan raya.

“Nak mengundi hari-hari keluar dalil. Yang pelik dia tidak menjadi contoh apa yang diucapkan,” kata Kasim Sabtu.

Bahkan, ada yang menegaskan mereka sudah tampil mempertahankan dan menegakkan Islam tetapi bukan bermakna akan memilih Pas di kertas undi nanti.

“Dah ambil peranan pun tapi tak undi Pas,” kata seorang warganet lagi.

Mat Sabu: 'Malaysia jadi negara paling pelik dalam dunia, paling kelam-kabut sekarang ini'

Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan Malaysia kini menjadi negara yang pelik dalam dunia.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mendakwa, ini kerana undang-undang berubah mengikut nafsu pemerintah dan bukannya mengikut peraturan.

“Yang Berhormat Kulim-Bandar Bharu, perkara-perkara pelik berlaku di Malaysia mutakhir ini.

“Peliknya dahulu ahli Parlimen tidak boleh masuk Parlimen, peliknya semasa darurat jangkitan COVID-19 paling tinggi sampai 24,000, mati beratus satu hari dan kemuncak cecah 300 satu hari,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah perbahasan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu) bagi mengungkaikan tujuh ordinan darurat.

Mohamad yang merupakan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menambah, apa yang lebih pelik adalah mengenai pilihan raya di Melaka.

“Melaka di Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara). Restoran penuh, mall penuh, kenduri kahwin boleh buat dan kuliah boleh buat.

“(Tetapi) ceramah tak boleh, berkempen tak boleh, (pergi) ke rumah-rumah tak boleh,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Saifuddin pula mendakwa negara ini telah dipaksa untuk mengadakan pilihan raya di Melaka.

“Kita dipaksa untuk mengadakan pilihan raya. Yang kita tidak minta pun tetapi akan diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

“Speaker, kita cuma bawa kertas pencalonan. Calon datang (bersama) pencadang dan penyokong kemudian kalau negatif masuk, kalau positif duduk di khemah, kemudian balik duduk rumah.

“Sebab tidak boleh berjalan. Walkabout tak boleh, ceramah kelompok tak boleh dan ceramah umum tak boleh,” katanya.

4 bekas ADUN umum parti baharu Selasa depan, dakwa terima banyak tawaran

FMT Reporters

Empat bekas ADUN Melaka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.

PETALING JAYA: Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka akan membuat keputusan Selasa depan untuk menyertai mana-mana parti politik bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November depan.

Perkara itu dimakluman bekas ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan di mana beliau dan tiga lagi bekas ADUN akan mengumumkan perkara itu selepas Pakatan Harapan (PH) enggan menerima mereka.

Katanya, walaupun PH menolak bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon mereka, namun sudah ada tawaran dibuat daripada parti politik lain.

“Saya melihat di media sosial yang disampaikan Lim Kit Siang dan beberapa parti dalam Pakatan Harapan (PH) menolak Norhizam Hassan Baktee. Bunyinya macam menolak empat lagi bekas ADUN, saya dihubungi Norhizam mengatakan apa akan berlaku pada diri kita.

“Sebenarnya ada beberapa parti menghubungi kita, akan mengambil kita jika PH tidak mahu. Nanti dulu, Insyaallah minggu depan akan buat keputusan, Insyaallah kami bersama-sama, tidak boleh seorang pun tertinggal,” menurut laporan Sinar Harian.

Jelas Nor Azman, meskipun banyak tawaran diterima menjelang PRN Melaka, mereka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.

“Jadi kami akan tengok di mana masa terdekat dan Insya-Allah kami akan berbincang hala tuju kami, macam mana tetap akan bertanding.

“Ada beberapa parti, mahu berjumpa dengan saya pada Isnin. Banyak tawaran datang bertanding kepada PRN,” katanya.

Selain Nor Azman, tiga lagi ADUN yang menarik sokongan iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam (Pengkalan Batu) menyebabkan kerajaan negeri tumbang selepas hilang majoriti.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu sebagai usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Apa masalah Adly?

MIQDAD ZAKARIA

Rakyat ada masalah nak jumpa wakil rakyat dan jabatan secara direct, kau buat Hari Bertemu Rakyat supaya senang urusan kami.

Makcik pakcik di kampung tiada rumah, penyakit banyak, nak kerja tak larat, kau bagi Rumah Peduli. Udah le free, tahan pulak tue.

Kami dah le susah dan penyakit tiga serangkai ni tak payah nak ceritalah, kau boleh pulak senang-senang bagi bantuan JKM, MAIM dan apa semua, tanpa pergi menyembah kaki orang-orang kuat kampung macam JKKKKKK dulu.

Anak-anak kami pulak habis belajar dah le susah nak dapat kerja. Kau panggil pula agensi dan jabatan termasuk syarikat swasta buka tawaran kerja seluas-luasnya. Lepastu kalau selak suratkhabar MelakaKini, 4-5 page pasal kerja kosong berlambak-lambak.

Tak habis-habis kau ni.

Anak kami dah kerja, dah satu hal selesai. Nak beli rumah satu hal lain pula. Lepastu kau pula umum RUMAH HARAPAN, RUMAH BELIA, RUMAH BERKAT dan segala rumah yang ada kau nak umum. Dah kami pening nak suruh pilih yang mana satu..haishhhh..

Jiran aku ni mak ayah die dah uzur. Kesian aku tengok. Sekali aku nampak dia bawa lampin dewasa masuk rumah berbungkus-bungkus. Terus dia cakap “Kerajaan Melaka bagi bantuan. Senang sikit. Lampin ni dahlah mahal”. Dengar cerita kau pulak nak bagi bantuan susu formula.

Kau dah kenapa? Tak boleh ke jadi macam Ketua Menteri sebelum ini? 

Ada kawan-kawan aku kerja kat GLC-GLC Melaka ni. Mereka pun pelik kalau mesyuarat dengan CM termasuk team-team kau. Muka senyum selalu lepas tu susah nak marah. Member aku cerita, kalau dulu jangankan senyum, fail tebal tu kau wajib kena hempuk ke muka. Kalau maki dan carut tu dah jadi rukunlah.

Itu belum cerita jadi hamba kena angkat beg semata-mata CEO-YB nak pergi shopping sakan.

Kau dah kenapa ni Adly? Buat kerja elok-elok sikit boleh tak? Aku sambil menulis ni pun dah sebak dengar kau tak jadi Ketua Menteri lagi. Kau ni banyak buat masalah kepada kami, sebab kami semua dah sayang bekas Ketua Menteri kami.

Ombak ada pasang surut,

Sambil ditemani sang mentari

Keputusanmu kami turut,

Adly Zahari tetap di hati.

Jangan ganggu mesyuarat Umno, kata Ahmad Maslan pada Idris Haron

FAZLI RADZI

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengingatkan Adun Sungai Udang Idris Haron untuk tidak mengacau mesyuarat parti itu.

Reaksi Ahmad itu susulan dakwaan bahawa Idris dikatakan hadir mesyuarat Umno Cawangan Klebang Kechil sekaligus dianggap mencetuskan kekecohan.

Ahmad berkata Idris sedar dirinya telah dipecat daripada Umno dengan surat pemecatan yang dikeluarkan pada 5 Oktober.

“Kenapa orang yang dah bukan ahli nak datang mesyuarat Umno ini,” soalnya.

“Itu sesuatu yang pelik, tapi benar berlaku pada Datuk Seri Idris Haron.. Apa yang nak disesali lagi?

“Kalau nak ceramah, ceramah la tempat lain, jangan ganggu mesyuarat Umno,” kata Ahmad lapor Astro Awani.

Nazri: PAS, Bersatu tak setuju hanya diberi 4 kerusi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz berkata, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur Umno bersetuju mengagihkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kepada dua parti itu untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Beliau dalam satu perbincangan awal antara Umno, PAS dan Bersatu dimaklumkan dua parti yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan tidak bersetuju dengan cadangan Umno hanya menyerahkan empat kerusi DUN kepada mereka.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, Bersatu dan PAS tidak boleh menyalahkan Umno, sekiranya parti itu memutuskan untuk bertanding solo kerana tawaran agihan kerusi itu adalah adil dan bertimbang rasa.

“Sebelum ini, saya difahamkan Umno bersedia menyerahkan dua kerusi DUN kepada Bersatu dan dua kerusi DUN kepada PAS, tetapi Bersatu tolak kerana mereka mahu mendapatkan tambahan kerusi pilihan raya.

“Memandangkan kekuatan kedua-dua parti berkenaan (PAS dan Bersatu) lemah, dengan Bersatu hampir tiada kekuatan akar umbi bagi menghadapi PRN Melaka, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur Umno masih sanggup memberikan empat kerusi DUN kepada mereka bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

“Kedua-dua parti itu juga perlu menerima hakikat sebarang kerjasama PRN Melaka harus memastikan Umno menjadi ketua kerajaan negeri itu semula,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka dan BN yakin mampu menang pada 20 Nov nanti berdasarkan “permasalahan” di “pihak sebelah sana” ketika ini.

Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh menunggu “rakan di sebelah sana” terlalu lama membuat keputusan sama ada mereka sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata untuk mengelakkan pertembungan pada PRN Melaka.

Di sebalik situasi terkini membabitkan hubungan Umno, PAS dan Bersatu, Nazri masih berharap tiga parti itu dapat mencapai kata sepakat bagi menghadapi PRN Melaka.

“Hal ini kerana tanpa kerjasama parti-parti Melayu ini bagi mengelakkan pertembungan tiga atau lebih penjuru, usaha untuk mengekalkan kerajaan di Melaka pastinya berdepan cabaran besar.”

Akhbar itu memetik sumber Umno sebagai berkata, PAS menuntut lima kerusi dan Bersatu mahu lapan kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan Umno pada PRN Melaka.

‘Sepanjang 22 bulan, keutamaan kita sentiasa rakyat’

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari memberitahu sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, gabungan itu tidak pernah lari dari kesedaran memikul tanggungjawab membantu rakyat.

Beliau berkata, banyak inisiatif yang digerakkan PH seperti program perumahan rakyat yang diberikan secara percuma kepada penduduk Melaka dan 100 buah rumah sudah pun siap ketika gabungan itu mentadbir.

Adly berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan di Telok Mas malam tadi.

Menurutnya, beliau menyedari bahawa anak muda yang mula membina kehidupan mahukan rumah dan ramai penduduk di Melaka sendiri sukar membeli rumah pertama mereka.

“Keutamaan kita adalah rakyat sepanjang 22 bulan mentadbir. Antara aspek penting adalah perumahan rakyat yang kami bina dengan harga RM37,500. Kita juga beri rumah percuma. Apa ruginya kita?

“Kita mahu tolong rakyat. Kita buat Rumah Berkat, sewa hanya RM150. Ada yang tanya, betul ke Yb bagi rumah percuma. Ya. Kita luluskan 100 rumah dan sudah siap. Sepatutnya kita siapkan 500 rumah. Dapat percuma,” katanya dalam sesi Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Dun Telok Mas malam ini.

Pada masa sama, Adly berkata, salah satu agenda di masa hadapan yang akan direalisasikan PH adalah menyediakan lebih banyak perumahan untuk rakyat dengan kadar sewaan lebih rendah sekitar RM150 sehingga RM200 sebulan.

Sementara itu, Adly turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi yang dihapuskan semasa pentadbirannya dahulu, tidak seharusnya dilaksanakan semula kerana ia antara faktor yang menyusahkan hidup rakyat.

Beliau menyentuh bagaimana rakyat perlu melalui pelbagai proses kelulusan hanya mahu mendapatkan bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun proses itu semua telah dihapuskannya sebelum ini bagi memudahkan rakyat yang seharusnya layak dibantu.

Menurutnya, jiwa pemimpin yang tidak memahami permasalahan rakyat menyebabkan rakyat terus susah.

“Jiwa kita ini tak ada pada rakyat. Contohnya pasal pemberian bakul makanan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Menteri memang tidak ada jiwa untuk rakyat.

“Dulu semasa rakyat susah akibat pandemik Covid-19, dia bagi 100 bakul makanan. Bila masuk fasa 2 dan 3, rakyat dah keluar berniaga dan bekerja, kerajaan luluskan pula 1,000 bakul.

“Kita mesti buang kerenah birokrasi. Sistem demokrasi dah jauh menyimpang. Tugas kerajaan cari di mana orang susah. Kalau peruntukan wakil rakyat RM300,000 dan wang di Jabatan Kebajikan ada RM76juta, sepatutnya siapa perlu cari orang susah? JKM, iaitu pelaksana jentera kerajaan,” ujarnya lagi.

Sajat bakal diisytihar muflis

MOHD YUNUS YAKKUB

SHAH ALAM – Usahawan kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat bakal tersenarai dalam kalangan individu muflis di negara ini selepas pemfailan pemiutang dilakukan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Pemfailan petisyen itu dilakukan Owa Resources Sdn. Bhd. menerusi Peguam Nurul Hafidzah Hassan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Suriatey Mohamed Yusoff.

Prosedur tersebut merupakan langkah terakhir bagi menuntut pembayaran penghakiman RM200,000 daripada Sajat kepada Owa Resources yang merupakan bekas stokis utama bengkung usahawan terbabit.

Nurul Hafidzah memberitahu, petisyen berkenaan difailkan selepas notis kebankrapan yang telah dikeluarkan terhadap usahawan berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas.

Katanya, menerusi perintah bankrap, Sajat boleh diisytiharkan muflis seterusnya menyebabkan segala aset termasuk rumah dan akaun bank milik Sajat diuruskan Jabatan Insolvensi.

“Petisyen berkenaan perlu diserahkan kepada Sajat dan sekiranya penyerahan itu gagal, kita akan membuat pengiklanan seterusnya kepada pendengaran dan perintah bankrap.

“Mungkin dalam sebulan dua lagi, kita akan perolehi keputusan (perintah bankrap) daripada mahkamah sekiranya Sajat terus gagal bayar jumlah penghakiman tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, pihak­nya setakat ini belum dapat mengenal pasti keberadaan Sajat yang didakwa kini berada di Australia.

Malah, jelasnya, tiada sebarang pengesahan dokumen me­nunjukkan bahawa harta dan perniagaannya telah dijual sebagaimana yang dikatakan usahawan itu.

“Saya tidak rasa semudah itu menjual harta seperti rumah kerana perlu lalui pelbagai prosedur seperti melantik peguam, menandatangani dokumen jual beli dan pengesahan daripada pejabat tanah.

“Tambahan, Sajat telah mempunyai notis bankrap dan mungkin dia sengaja ‘propa’ agar tiada siapa mencarinya (termasuk tuntutan bayaran hakiman sebelum ini),” jelasnya.

Ketika ditanya urusan penghantaran petisyen kepada Sajat yang didakwa berada di Austra­lia, Nurul Hafidzah menegaskan, pihaknya hanya akan menyerahkan pada alamat terakhir diketahui pihaknya ( iaitu di Damansara).

Kosmo! pada 24 Ogos lalu melaporkan Owa Resources memberikan kata dua kepada Sajat untuk menjelaskan hutang penghakiman RM200,000 atau diisytiharkan muflis.

Terdahulu, Sajat diberi notis kebankrapan melalui penyampaian ganti menerusi notis iklan dan penampalan selepas dibenarkan Mah­kamah Tinggi Shah Alam.

Ini susulan ke­ga­­galan Sajat mem­bayar jumlah peng­­­hakiman RM200,000 kepada Owa Resources selepas tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.

Hasbie Muda Ketua Pemuda AMANAH yang baharu

SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN

Setelah ketiadaan penyandang jawatan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, hari ini kesemua AJK Pemuda AMANAH Nasional yang dipilih oleh perwakilan penghujung 2019 dahulu telah selesai memilih Ketua Pemudanya yang baru. Umum mengetahui bahawa pemilihan semula Ketua Pemuda AMANAH Nasional ini bukanlah kali pertama, sebelum ini setelah penyandang jawatan dilanda badai Sheraton telah meninggalkan parti menyebabkan pemilihan semula jawatan tersebut. Namun kali ini sedikit berbeza apabila Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang sedang berjuang bersama jawatan sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan telah dijemput oleh Allah SWT akibat Covid-19. Pejuang yang dimaksudkan ialah Almarhum Shazni Munir.

Kini amanah ini dipikul oleh Sdr. Hasbie Muda pula. Sdr.Hasbie Muda merupakan antara pemuda yang pernah bersama Pas satu ketika dahulu dan menubuhkan AMANAH. Sdr. Hasbie Muda yang bertapak di Terengganu dipilih sebagai Ketua Pemuda AMANAH Terengganu semasa penubuhannya. Bukanlah baru dalam politik, beliau mula bergiat aktif dalam perjuangan apabila menyertai pelbagai demonstrasi mewakili mahasiswa. Memandangkan beliau merupakan penuntut di Universiti Malaya, aura perjuangannya sering ditiupkan hari demi hari. Boleh diamati perjuangan dan aspirasinya sebagai mahasiswa dalam buku yang beliau sunting iaitu ‘Mahasiswa Bangkit’.

Setelah tamat belajar beliau banyak berjuang bersama Pas dalam platform beliau sendiri iaitu sebagai penulis buku. Mana tidaknya, ketika nama Pas dipuncak apabila disokong pelbagai pihak sama ada Islam atau bukan Islam, beliau meluncurkan beberapa buku terkait dengan Pas iaitu ‘Pas dan Pilihan Raya’ serta buku ‘Kemenangan Yang Tertangguh’. Buku-buku yang beliau tulis dan terbitkan atas nama MLC Bookstore ini banyak membuka mata masyarakat umum yang sebelum ini jauh dari Pas. Kritikan dan analisis terperinci Sdr. Hasbie Muda tentang prestasi Pas dalam pilihan umum khususnya PRU ke-13 merupakan teguran halus beliau agar PAS terus melakukan muhasabah dalam masa terdekat agar kekal relevan dalam politik Malaysia.

Semasa PRU ke-14, gelombang rakyat Malaysia yang menyebabkan BN jatuh tersungkur juga adalah hasil percaturan rakan-rakan PH yang sanggup berkorban bertanding di kerusi-kerusi pantai timur. Walaupun sedar akan kesukaran menembusi kerusi-kerusi PAS dan BN, kehadiran calon-calon PH berjaya mengepung BN daripada memenangi lebih banyak kerusi sehingga PH berjaya menawan kerajaan pusat. Antaranya ialah Sdr. Hasbie Muda sendiri yang bertanding di DUN Paka Terengganu. Meskipun kalah, namun kesediaan Sdr. Hasbie berjuang di gelanggangnya sendiri amat wajar untuk diteladani. Rezeki menyebelahi beliau apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YM Raja Kamarul Baharin yang juga Pengerusi AMANAH/PH Terengganu.

Kini beliau memikul Amanah selaku Naib Pengerusi AMANAH Terengganu. Satu tugas yang amat mencabar buat beliau untuk melakukan sesuatu yang luar biasa untuk mengeluarkan rakyat Terengganu dari cengkaman politik tunggangan agama. Walaupun kepimpinan Pas sendiri selaku kerajaan di Terengganu telah melondehkan kedangkalan mereka memimpin, namun usaha AMANAH di Terengganu tidak pernah dimalapkan.

Apa yang menjadi harapan penulis buat kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional yang baharu ialah mengisi kelompongan yang telah lama wujud sejak pemilihan 2019. Benar Langkah Sheraton telah melukakan kita semua, namun luka itu tidak perlu dibiarkan menjadi barah sehingga tidak mampu berfungsi lagi. Ia harus diubati segera dengan daya kepimpinan yang lebih cergas dan bermaya demi menyayingi kepimpinan pemuda parti-parti lain. Bagaimana kita melihat Dato Mahfuz memimpin Dewan Pemuda Pas, bagaimana Datuk Salahudin Ayub, bagaimana ketika Lim Guan Eng menjadi Ketua DAPSY dahulu? Mereka mengaum bagai harimau yang sangat kelaparan melanggar regim BN. Media merasakan ini makanan yang paling panas untuk dihidangkan kepada masyarakat. Maka media selalu naikkan perihal mereka, bukan kerana populariti tetapi lebih dari itu atas usaha perjuangan mereka yang lebih pantas dan cergas berbanding kepimpinan senior.

Posisi AMANAH dalam PH juga akan menjadi indikator kepimpinan Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang baharu. Meskipun Ketua DAPSY dan AMK merupakan seorang Yang Berhormat, ia tidak sesekali akan merendahkan kedudukan AMANAH dalam PH. Harapanya agar peranan AMANAH tidak dikesampingkan dalam PH khususnya Pemuda. Pandangan masyarakat kepada kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional merupakan asas penting kerana politik itu adalah persepsi. Gagal mengurus persepsi akan mengurangkan sokongan masyarakat pada AMANAH khususnya Pemuda.

Ini merupakan tulisan penulis untuk memperkenalkan serba ringkas siapa Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang baharu atau siapa itu Sdr. Hasbie Muda, manakala harapan yang penulis nyatakan adalah harapan awal penulis kepada kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional yang akan memikul tanggungjawab ini lebih besar. Semoga Pemuda AMANAH Nasional akan bergerak lebih gagah dan bersemangat bagi memastikan AMANAH kekal relevan dalam politik Malaysia dan mandat rakyat dlm PRU ke-14 yang dibakul sampahkan akan dikembalikan dalam PRU akan datang.

Seeru Ala Barakatillah

Penulis adalah Ketua Komunikasi AMANAH Gombak

AJK Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional

Rayuan kes Pulau Batu Putih, Umno ni ada akai ke?

JAMZURI ARDANI

Dia gini … bila Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membawa pertikaian berkenaan pemilikan Pulau Batu Puteh pada tahun 2007 ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), ia telah meletakkan syarat bahawa kedua-dua negara perlu melakukan perjanjian bertulis menyatakan bahawa kedua-dua negara perlu bersetuju menerima keputusan ICJ sebagai keputusan muktamad dan tidak akan membuat sebarang rayuan ke atas keputusan yang dibuat.

Surat dari kerajaan Johor kepada Singapura yang menjadi bukti utama dalam perbicaraan kes Pulau Batu Puteh di ICJ.

Perjanjian itu dibuat di zaman pentadbiran Pak Lah sebagai PM. Kerajaan PH tidak mempunyai pilihan selain menghormati perjanjian yang telah ditandatangani di peringkat antarabangsa.

Kalau kerajaan membuat rayuan ke atas keputusan tersebut, ini bermakna negara kita telah mungkir janji dan melanggar perjanjian yang dibuat dengan negara lain.

Memanglah Singapura mungkin tak akan serang Malaysia kalau kita langgar perjanjian tersebut.

Tapi di mana maruah negara kita kalau kita langgar perjanjian?

Bukankah Al Quran jelas memerintahkan kita supaya teguh berpegang dengan perjanjian? Tak kan sebab Pulau Batu Puteh kita nak campak ajaran Quran ke laut?

Umno sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal membuat kerja rumah yang sepatutnya ketika kes ini dibicarakan di ICJ sebelum ini sehingga kita kalah dalam perbicaraan tersebut.

Yang membuat perjanjian itu kamu, tiba-tiba kamu mahu salahkan PH sebab tidak melanggar perjanjian yang kamu pernah tandatangani semasa jadi kerajaan.

Akai ada?

Remaja masuk jarum dalam zakar

KOSMO!

BEIJING – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari wilayah Jiangsu memasukkan jarum jahitan  sepanjang 9 sentimeter (sm) ke dalam saluran kencing  dan membiarkannya selama dua minggu, lapor laman Suara.com semalam.

Dia berbuat demikian kerana didorong oleh perasaan ‘ingin tahu’.

Selepas mengadu organnya itu terasa sakit dan air kencingnya berdarah, ibu dan bapa remaja itu kemudian membawanya ke sebuah hospital di Nanjing.

Selepas melakukan ujian imbasan sinar X, doktor kemudian menemui jarum tersebut di dalam saluran kencingnya. Remaja itu kemudian mengaku sengaja berbuat begitu kerana rasa ingin tahu.

Doktor kemudian mengeluarkan jarum tersebut menerusi satu pembedahan yang memakan masa selama lebih satu jam.

“Remaja itu datang ke sini kerana tidak tahan sakit. Kami kemudian menemui jarum yang sangat panjang di dalam salur kencingnya,” kata doktor yang merawat remaja itu, Guo Yunfei.

Tidak mahu perkara sama berulang, doktor kemudian mengingatkan remaja itu bahawa memasukkan benda ke dalam saluran kencing adalah satu tindakan berbahaya kerana benda asing boleh menyebabkan jangkitan dan pendarahan pada saluran tersebut.

Beliau turut menegaskan perlunya pendidikan seksual yang lengkap untuk kanak-kanak dan remaja di China memandangkan kajian menunjukkan bahawa golongan itu mempunyai kefahaman asas yang kurang tentang kesihatan reproduktif dan perkembangan fizikal yang berlaku ketika usia remaja. – AGENSI 

Tian Chua usahakan kepulangan Azmin ke PKR?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Tian Chua mempertahankan seruannya agar Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh membantunya memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Beliau menafikan membuat kenyataan itu untuk membuka ruang bagi Azmin Ali kembali menyertai PKR dan menegaskan beliau tidak ada sebarang kuasa untuk menentukan perkara itu.

“Ada yang berkata, dengan menggesa PH bekerjasama dengan sesiapa sahaja supaya kita dapat menang di Melaka, saya sebenarnya sedang cuba nasib untuk lihat sama ada Azmin dan yang lain yang telah meninggalkan parti akan diterima semula dalam PKR.

“Cakap-cakap seperti itu tidak berasas dan merepek,” kata bekas Ahli Parlimen Batu itu kepada FMT.

Bagaimanapun, tambahnya, Presiden parti itu, Anwar Ibrahim akan mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Azmin dan 20 Ahli Parlimen lain kembali ke PKR.

“Jika ini berlaku, terserah kepada Anwar untuk menerimanya. Ini bukan keputusan saya.”

Ia juga terpulang kepada Anwar untuk memutuskan sama ada PKR patut bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan pasukannya, katanya.

“Saya cuma kata, kita mesti cari kerjasama yang akan bawa kemenangan.

“Kita mesti ingat, pilihan raya umum (PRU) akan datang boleh jadi kucar-kacir. Ada pihak ketiga – Warisan, Muda dan pelbagai NGO – yang akan tampil bertanding,” katanya.

“Adakah kita akan tolak mereka yang mahu bekerjasama dengan kita?”

Awal minggu ini, Loke Siew Fook dari DAP mengkritik Tian Chua atas cadangannya supaya PH bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mampu membantu gabungan itu memenangi PRN.

“PH mesti tolak pengkhianat,” kata Loke di Facebook.

Tian Chua berkata, PKR mungkin sudah hilang sinarnya dan memerlukan sokongan untuk memenangi PRN pada 20 Nov, termasuk daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

“Bagi PRN Melaka, matlamat kami adalah mengalahkan Umno,” tambahnya.

Beliau menghormati pendirian DAP menolak kemasukan individu tertentu ke dalam PH, katanya, sambil menjelaskan, beliau bukan bercakap mengenai menerima atau menolak sesiapa.

“Pendiriannya adalah kita wujudkan pakatan untuk menang. Itu adalah prinsip umum.”

Empat ADUN Melaka yang dimaksudkan adalah Idris Haron, Nor Azman Hassan, Noor Effendi Ahmad dan Norhizam Hassan Baktee.

Idris dan Nor Azman sebelum ini menganggotai Umno dan Noor Effendi adalah bekas ahli Bersatu. Norhizam memenangi kerusinya atas tiket DAP pada 2018 tetapi kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas yang menyokong Umno.

Dalam kenyataan berikutan mesyuarat Majlis Presiden PH pada Khamis, diumumkan bahawa Norhizam tidak akan dinamakan sebagai calon.

Mengenai tiga lagi ADUN terbabit, Majlis Presiden berkata, ia menerima pandangan semua pihak mengenai perkara ini. Namun, Anwar juga dipetik berkata, PKR akan menunggu untuk lihat sama ada mereka akan memohon untuk menyertai parti itu.

Pengarah agensi penguat kuasa pukul, kurung amah

Ekhwan Haque Fazlul Haque

ekhwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dipukul di kepala, tangan dilipat selain dikurung di dalam bilik, itu nasib menimpa seorang wanita warga asing yang dipercayai didera majikannya.

Kejadian dilaporkan dilakukan majikannya itu yang juga seorang pengarah agensi penguat kuasa di sebuah rumah di Kelana Jaya, dekat sini, Isnin lalu.

Tidak tahan diperlakukan sedemikian menyebabkan wanita terbabit melarikan diri dari rumah majikannya berkenaan.

Bagi mendapatkan perlindungan, mangsa menuju ke Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur sebelum laporan polis dibuat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) selepas majikan dipercayai tidak membayar gaji pembantu rumah itu sejak sekian lama.

"Difahamkan pengarah itu berusia 40-an," kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan membabitkan insiden itu.

"Polis mengesahkan kejadian dan laporan daripada mangsa. Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Melaka: Strategi “bumi hangus” PN mahu pecahkan undi Melayu, elak Umno, BN menang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menjadi strategi “bumi hangus”, selain ingin memastikan gabungan parti itu tidak ditamatkan riwayatnya oleh Umno dan BN, kata Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil.

Beliau berkata, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, mahu melihat perpecahan undi Melayu agar Umno dan BN tidak menang di PRN Melaka, sebaliknya mendakwa Presiden Bersatu itu mahu Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di negeri terbabit.

“Dia nampaknya lebih sanggup jika PH menang daripada biarkan Umno menang.

“Ini strategi ‘scorched earth’ atau bumi hangusnya. Dulu pun dia berkawan dengan PH, dan dia memang selalu kata dia tidak suka Umno,” katanya dalam kenyataan.

Isham berkata, Muhyiddin berhasrat mewujudkan kepercayaan bahawa Umno atau BN memerlukan bantuannya untuk menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), andai Umno dan BN kalah di Melaka.

“Maka, dia boleh tunjuk yang Umno atau BN perlukannya untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

“Sebab itu, pada Muhyiddin dia tidak mahu Umno menang dalam PRN Melaka ini. Jika Umno menang, tamatlah riwayat PN dan PPBM (Bersatu). Mereka akan ditinggalkan dan berpecah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengundi di Melaka mengundi Bersatu atau PN, tindakan itu sama seperti “mengundi” PH.

“Sebab undi PPBM (Bersatu)/PN ini akan pecahkan undi Melayu dan akibatnya PH yang akan menang dan PH/DAP yang akan perintah Melaka semula,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan PN dijangka bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka dengan beliau mengarahkan agar rundingan dalam kalangan parti di bawah PN, termasuk PAS dan Gerakan diadakan segera.

Menantu cabul mentua

Utusan 

KELUARGA mangsa ketika hadir ke balai polis bagi membantu siasatan.-AGENSI

SULAWESI SELATAN: Seorang lelaki bertindak di luar batas apabila tergamak mencabul ibu mentuanya yang sudah berusia 72 tahun di Luwu, Makassar.

Lapor Tribunnews, kes terbongkar selepas warga emas itu membuat laporan ke Unit Perlindungan Perempuan dan Anak, Polis Sumatera Selatan, kelmarin.

Wanita itu memberitahu, menantunya cuba mencabul dirinya sebanyak dua kali.

Jelasnya, kejadian pertama berlaku tahun lalu, ketika lelaki itu datang meminta sesuatu dengan alasan untuk tujuan perubatan.

“Sebulan selepas itu, kaki saya tiba-tiba menjadi tidak selesa dan dia menawarkan mengurut dengan minyak.

“Walaupun saya menolak, dia tetap memaksa kononnya ingin membantu dan cuba mengambil kesempatan ketika itu,” luahnya.

Selepas kejadian itu, lelaki itu datang memohon maaf kepada wanita itu semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.

Ternyata, menantunya tidak pernah serik dan melakukan perkara sama, September lalu.

Ketika menantunya berada di rumah wanita itu, dia cuba mengambil kesempatan dengan memeluknya dari belakang ketika mereka hanya tinggal berdua di rumah wanita itu. 

NASA siar rakaman suara ‘menakutkan’ dari Marikh

Utusan 

WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) menyiarkan rakaman ‘suara menakutkan Marikh’ yang diperoleh dari dua mikrofon yang dipasang pada kapal angkasa lepas yang tiba di planet itu, sejak Februari lalu.

Lapor Daily Mail, mikrofon tersebut dipasang pada kenderaan penjelajah NASA, Perseverance.

Kenderaan itu meneroka planet Marikh selama lapan bulan bagi mencari kemungkinan tanda-tanda kehidupan purba sambil mengambil gambar menakjubkan.

Perseverance adalah pesawat pertama yang merakam suara di Marikh seperti mendengar bunyi angin dan memberikan maklumat lain tentang atmosfera.

Penyelidik dari L’Institut de Recherche en Astrophysique et Plan├ętologie di Toulouse, Perancis memaklumkan hasil analisis rakaman suara Marikh terdapat ‘getaran bass yang kuat’.

Rakaman suara itu membantu jurutera NASA memantau mesin, roda dan pengoperasian umum helikopter Perseverance dan Ingenuity.

Selain itu, ia juga membantu ilmuan mengkaji perubahan atmosfera planet.

NASA memaklumkan dua mikrofon itu berjaya merakam suara di planet Marikh selama lima jam.


PRU15: Pas lebih untung ‘poligami’ dengan Umno, Bersatu tapi…

MALAYSIA DATELINE

Pas akan mendapat lebih keuntungan jika terus menjalinkan ikatan dengan kedua-dua parti iaitu Umno dan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, kata penyelidik.

Menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim kerjasama Pas dengan Bersatu di dalam Perikatan Nasional dilihat lebih mudah membuat proses pembahagian kerusi.

Malanganya kata beliau, Bersatu tiada sokongan akar umbi yang kuat untuk memberi nilai tambah kepada Pas.

“Itu senario jika Pas terpaksa memilih mana-mana satu antara Umno dan PPBM (Bersatu), pilihan untuk monogami.

“Namun sudah tentu lebih menguntungkan untuk Pas jika terus menjalinkan ikatan dengan kedua-duanya.

“Kata teman-teman yang berpengalaman, poligami itu lebih nikmat, walaupun bahagianya belum tentu,” kata beliau dalam tulisan ringkasnya di facebook.

Beliau berkata demikian susulan ditanya apa yang terbaik untuk PAS hadapi PRU15, sama ada bersama Umno atau PN.

Jelasnya, Pas wajar berkolisi dengan Umno untuk Pas mendominasi sepenuhnya pengundi segmen Melayu-Muslim

Ini kerana katanya, kedua-dua parti ini memiliki sokongan akar umbi terkuat di kawasan Melayu-Muslim, gabungan keduanya akan memberi impak maksima.

“Namun sudah tentu proses pembahagian kerusi akan jadi sangat sukar kerana mereka telah bertarung dan membina kekuatan di kerusi yang sama sejak sekian lama,” ujarnya lagi.

Adly: Selepas 22 bulan ingatkan Umno berubah, sangkaan saya meleset

NASUHA RAHMAN

Selepas 22 bulan Pakatan Harapan memerintah di peringkat persekutuan dan juga di negeri Melaka, Umno yang disangka berubah rupanya tidak apabila mendapat semula kuasa, kata bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Pengerusi Pakatan Harapan itu menjangkakan Umno sudah mempunyai kesedaran untuk memanfaatkan kesejahteraan rakyat Melaka setelah hilang kuasa selama 22 bulan malangnya ia tidak berlaku.

“Bila Umno dapat kuasa Umno berubah. Umno tidak wajar diberi kepercayaan semula,” katanya sebaik ditanya wajarkah rakyat Melaka memilih Umno dalam PRN nanti.

Katanya, Umno kekal sebagai Umno di mana kuasa adalah wang dan kesempatan berebut kuasa terus menjadi budaya yang masih kekal dan sebati dalam diri mereka.

“Ketika kita hadapi Covid pusat khidmat ada diberi bantuan 100 pek makanan untuk diagihkan kepada 26,000 pengundi jumlah terlalu kecil, selebihnya kita cari sendiri.

“Untuk keluar dari pandemik, dari fasa 2 nak masuk fasa 3 Ketua Menteri salur 1000 pek makanan di kala rakyat ada yang angkat bendera putih kenapa sedikit sangat? Rakyat yang harus dibantu,”katanya.

Justeru, katanya Umno sudah hilang fokus kepada rakyat secara keseluruhan dan jika asas ini tidak diguna pakai pemimpin Umno sukar untuk berubah akhirnya Umno dan rakyat jadi jurang yang cukup besar.

“Apa yang dilalui rakyat tidak dapat dirasai oleh Umno sendiri,” katanya.

Dr Mahathir jawab Sultan Johor

Dr Mahathir Mohamad

Isu Pulau Batu Puteh

ULASAN l Tidak wajar kita banding Langkawi dengan Pulau Batu Puteh.

Langkawi adalah pulau yang diiktiraf sebagai pulau milik Malaysia sedangkan Pulau Batu Puteh ialah beting atau dengan izin sandbank yang dituntut oleh dua negara.

Langkawi tidak pernah dituntut oleh Siam dan pegawai kerajaan negeri Kedah tidak pernah menyatakan kepada Siam bahawa Kedah tidak anggap Langkawi bukan milik Kedah.

Sebaliknya kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai milik kerajaan Johor.

Kemudian Malaysia mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. Maka ini dipertikai oleh Singapura. Dan berlakulah kontroversi.

Percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya. Singapura masih mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.

Apa pilihan kita?

Kita boleh berperang untuk rampas Pulau Batu Puteh. Tetapi kos dan korbanan jiwa amat tinggi. Ia tidak dapat diterima oleh kita. Lagi pun belum tentu kita menang.

Kita terus berunding tetapi tidak menghasil apa-apa keputusan.

Kita, dan juga Singapura bersetuju untuk rujuk kepada International Court of Justice (ICJ).

Tetapi untuk ini kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad.

Rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati.

Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah.

Sebab itu sebelum berjanji kajian sedalam-dalamnya perlu dibuat. Jika tidak yakin jangan buat janji.

Malaysia mempunyai dasar liberal dalam pemilikan tanah. Siapa sahaja boleh milik tanah. Bukan warganegara pun boleh milik tanah.

Ini mendedahkan negara pada kehilangan tanah yang sudah dimiliki oleh orang asing. Jika sebahagian yang besar tanah dimiliki oleh orang asing maka negara sudah tidak lagi secara fizikal, tanah milik warga negara.

Inilah yang berlaku di Singapura. Walaupun Singapura asalnya milik negeri Melayu, hari ini ia sudah jadi negara asing.

Hari ini walaupun negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu, tetapi orang Melayu sendiri sudah kehilangan tanah mereka. Nasib baik yang memiliki tanah yang bernilai tinggi dan besar dimiliki oleh warga Malaysia.

Satu lagi cara untuk hilang negara ialah dengan menjual tanah yang digali dalam negara atau laut milik negara kepada negara lain.

Secara langsung kita menjual sebahagian dari negara kepada negara lain. Jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, dia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain.

Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka.

Atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing.

Kita jual Singapura. Lazimnya apabila penjajah tidak lagi berminat, tanah yang dijual dikembalikan kepada negara asal. Itulah yang terjadi kepada Hong Kong, Goa, Pondicherry. Tetapi tidak Singapura. Tanah dan air yang kita jual ke Singapura untuk membesar pulau itu menjadi kawasan milik penduduk Singapura, dibangun di bawah kuasa kerajaan Singapura.

Itulah sebabnya kerajaan Malaysia melarang penjualan tanah kita dan mempertikai jualan air kepada negara asing. Malangnya beberapa pentadbiran Kerajaan Malaysia rela untuk dibayar 3 sen untuk 1000 gelen air mentah kepada negara asing kerana malas atau takut menuntut hak.

Apakah ada rahsia disebalik pembubaran DUN Melaka?

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Sebenarnya tidak ada rahsia berkaitan pembubaran DUN Melaka. Tiada gosip atau sembang kencang. Cuma bagi orang biasa mungkin tidak dapat nampak permainan ini. Bagi peguam pun mungkin tidak dapat nampak kecuali jika ditilik dan diteliti satu persatu.

Isunya adalah pembubaran dibuat pada 4 Okt. Permintaan untuk pembubaran adalah pada pagi 3 Okt. 4 Okt adalah hari Isnin, 3 Okt adalah hari Ahad.

Sidang media Idris Haron dan kawan-kawannya pada 4 Okt.

Pengumuman pembubaran pada 5 Okt oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Kata Speaker, warta akan diterbitkan pada 5 Okt (sehingga kini saya belum lihat warta itu, sesiapa yang ada boleh tolong share)

SPR pula keluarkan kenyataan pembubaran itu dibuat di bawah Per. 19(2) Perlembagaan. Per. 19(2) adalah merujuk kepada kuasa TYT untuk bubarkan DUN.

Manakala permintaan Ketua Menteri untuk bubarkan DUN sekiranya beliau hilang kepercayaan majoriti ahli DUN adalah di bawah Per. 7(4) dan bukan 19(2).

Jadi kesimpulan yang kita boleh buat:

1. Ketua Menteri telah pintas kronologi berkaitan hilang kepercayaan kerana perisytiharan hilang kepercayaan oleh Idris Haron adalah pada 4 Okt manakala permintaan bubar DUN adalah pagi 3 Okt. Waktu itu, Ketua Menteri masih ada majoriti.

2. Maknanya, TYT bubar DUN dalam keadaan Ketua Menteri ada majoriti dan ini bermakna PH dan Idris Haron tidak bersalah jika berlaku kenaikan kes Covid sebab pembubaran DUN ini dibuat dalam keadaan sebelum hilang majoriti dan atas kehendak Ketua Menteri dan persetujuan TYT.

3. Timbul juga persoalan, kenapa perlu gopoh gapah sangat nak bubar DUN. Tidakkah pihak TYT terfikir untuk consult KKM, polis, pejabat penasihat undang-undang, SPR dan lain lain untuk pertimbangan?

4. Mungkin perlu gopoh gapah sebab hendak kejar masa untuk elakkan trigger keadaan Per. 7(4) yang mana pada 4 Okt itu Ketua Menteri telah hilang majoriti. Apabila hilang majoriti maka TYT perlu berjumpa dengan pihak yang ada majoriti untuk bentuk kerajaan baharu.

5. Speaker tidak ada kena mengena dengan permintaan untuk bubarkan DUN. Tetapi Speaker telah menyibukkan dirinya dalam hal yang dia tiada kaitan. Bukan fungsi Speaker pun hendak isytihar bubar DUN. Speaker ini fungsinya dalam DUN sahaja dan bukan di luar DUN. Apakah ada silap mata di situ kita tidak tahu.

6. Speaker buat kenyataan pada 5 Okt bahawa DUN bubar 4 Okt dengan permintaan untuk bubar pada 3 Okt. Anda nampak aneh tak kronologi ini. Jika benar permintaan dibuat pada hari Ahad 3 Okt sepatutnya Ketua Menteri kena isytihar pada hari 3 Okt. Ini Speaker hanya buat kenyataan pada 5 Okt. Apa jadi antara hari tersebut. Ada orang tidur tak bangun bangun ka. Atau ada silap mata main back dated surat? Ini kita pun tak tahu.

7. Jika betul ada perkara yang aneh aneh ini berlaku maka orang itu telah mencemarkan institusi TYT. TYT perlu ambil tindakan tegas terhadap orang itu yang telah membuat penyataan tidak wajar sehingga TYT telah bergopoh gapah membubarkan DUN.

8. Sebab itu jika Adly ingin bawa kes ini ke Mahkamah untuk cabar proses pembubaran itu adalah wajar kerana hanya melalui proses ini sahaja kita dapat tahu cerita sebenar. Sebab nanti perlu ada afidavit-afidavit yang difailkan. Dan jika ada pertentangan fakta mungkin boleh ada sesi soal balas lisan pula. Tentunya ada rekod rasmi bilakah sebenarnya Ketua Menteri berjumpa TYT untuk mohon bubar. Dan ini bukannya perkara remeh kerana ianya melibatkan isu perlembagaan. Usah ada orang yang berlagak lagi handal main silap mata. Silap silap nanti mata dia yang terbeliak bila kena soal balas dalam kandang saksi.

Kelantan?: Pengurus didakwa rogol kekasih bawah umur

N Faizal Ghazali

Seorang pemuda yang juga pengurus tapak projek pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan memperkosa teman wanitanya yang merupakan remaja bawah umur dalam kejadian minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Syazwan Afiq Shariff, 24, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun tiga hari.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kira-kira pukul 5 pagi pada 15 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam Roshayati Hassan.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius terhadap remaja bawah umur.

Sementara itu Roshayati memohon ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh berjanji untuk tidak menggangu mangsa sekiranya diberikan jaminan.

“Keluarga tertuduh terutamanya bapa telah memberi jaminan bahawa tertuduh tidak akan berhubung dan mengganggu mangsa selepas ini. Difahamkan, mangsa juga diambil oleh bapa saudaranya dan kini tinggal berjauhan dengan keluarga.

“Bapa tertuduh yang merupakan seorang kontraktor juga sedia membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah,” katanya.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 2 Disember 

PRN Melaka: Rafizi nasihat jangan buat keputusan dengan mencari jalan pintas

FAZLI RADZI

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Beliau berpendapat perangai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai rekod mengeluarkan kata-kata yang keji bukan calon yang layak mewakili PKR dan PH.

“Mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ini peluang untuk menjadi orang besar di Melaka, tetapi janganlah keghairahan itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas,” katanya.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu mengulas demikian selepas dakwanya bertubi-tubi menerima mesej menyatakan kegusaran tindakan PH mengalu-alukan beberapa watak kontroversi dalam menghadapi PRN Melaka.

“Rakyat menjadi mangsa berdepan risiko wabak Covid-19 gara-gara perebutan kuasa dan kekayaan sesama pimpinan Umno/BN/PN

“Watak-watak ini mempunyai rekod buruk. Akhlak ADUN yang suka memaki hamun bukanlah jenis calon yang kita mahu tampilkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Rafizi yang pada 2019 memberitahu tidak berniat kembali aktif dalam politik itu bagaimanapun tidak memperincikan siapa “watak-watak” yang dimaksudkannya.

“Pandangan saya ini atas rasa tanggungjawab sebagai seorang rakyat, pengundi dan aktivis veteran PKR/PH selama ini.

“Kalau tak nak dengar pun, lantaklah tapi rakyat akan menilai,” katanya yang kini memberi tumpuan kepada bidang kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) sambil menyertakan emoji ketawa.

Kelmarin, empat ADUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekali gus menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui Umno.

Mereka ialah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Kelmarin, keempat-empatnya menghadiri perjumpaan ahli PKR Melaka bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Mereka juga sebelum itu hadir pada pertemuan dengan Anwar dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana yang turut disertai Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Kekasih Sajat ‘serang’ pegawai polis

KOSMO!

Sajat (kanan) bersama kekasihnya Jadoos (kiri)

PETALING JAYA – Kekasih usahawan kosmetik Nur Sajat, Jad Issa mencetus kontroversi apabila secara tiba-tiba ‘menyerang’ pegawai kanan polis negara ini.

Melalui satu hantaran di InstaStory, lelaki dikenali sebagai Jadoos itu memuat naik sekeping gambar mempersendakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dengan meletakkan topi di kepala dan berkaca mata hitam.

Selain itu, tangan kanan pegawai tersebut memegang pizza manakala tangan kirinya pula memegang air minuman.

Motif sebenar Jadoos yang merupakan warga Lubnan berbuat demikian bagaimanapun masih lagi menjadi tanda-tanya.

Sebelum ini Abd. Jalil mengesahkan Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand bersama seorang lelaki berperwatakan seperti wanita warganegara tersebut ketika serbuan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Pada 9 September lalu, Sajat didakwa di mahkamah Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara berkenaan dan dibebaskan sehari kemudian dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat oleh seorang warga tempatan.

Polis Diraja Malaysia kemudian membuat permohonan kepada pihak berkuasa Thailand bagi membolehkan Sajat dibawa pulang ke negara ini untuk membantu siasatan dan perbicaraan kes mahkamah.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu. – K! ONLINE

Kelantan?: Misteri duit hilang di empat kampung

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Penduduk di empat kampung dalam mukim Kubang Kerian di sini bingung dengan kehilangan wang yang kerap berlaku sejak setahun lalu.

Kejadian difahamkan sudah berlaku lebih 10 tahun lalu tapi tidak secara berterusan.

Penduduk Kampung Parit Raja, Pulong, Chicha dan Kenali kerap kehilangan wang malah ada berjumlah ribuan ringgit lesap secara misteri.

Ada penduduk yang mengaitkan misteri itu dengan toyol berikutan tiada kesan pecah rumah dan wang boleh hilang walaupun disimpan di tempat tersembunyi.

Kejadian terbaru dialami kakitangan kerajaan, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, pada petang Jumaat lalu apabila kehilangan RM500 yang disimpan di dalam beg tangannya.

"Petang Khamis lalu saya mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1,000 sebelum pulang ke kampung di Terengganu untuk berjumpa ibu bapa.

"Keesokan harinya apabila ingin menghulurkan wang kepada ibu bapa, saya terkejut kerana mendapati RM500 yang ingin diberikan itu hilang namun enggan bising kerana ini bukan kali pertama berlaku," katanya.

Sudarwaty yang menetap di Kampung Pulong berkata, kejadian seumpama itu sudah setahun dialami namun tidak diceritakan kepada sesiapa selain sanak saudara namun beberapa hari lalu apabila mengetahui kejadian sama menimpa ramai individu lain menerusi satu kumpulan Whatsapp, dia agak terkejut.

Katanya, pelbagai ikhtiar sudah dibuat selain solat hajat termasuk melakukan beberapa tips yang diketahui iaitu jangan membiarkan wang kertas berkeadaan elok sebaliknya lipat atau biarkan ronyok dan apabila dipraktikkan, langkah itu dilihat menjadi.

"Bagaimanapun apabila terlupa membuat tips itu, memang duit akan hilang termasuk wang tabung anak dan walaupun 'benda itu' tidak mengambil semua wang tapi apa yang kami perhatikan, dia hanya ambil not RM20 ke atas," katanya.

ADA penduduk terpaksa menyembunyikan wang dalam peti ais. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

ADA penduduk terpaksa menyembunyikan wang dalam peti ais. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Di saat penduduk daripada tiga kampung lain itu masih bingung memikirkan misteri itu, komuniti Kampung Pulau Raja pula sudah lega apabila sudah tiada lagi kejadian seumpama itu sejak awal tahun lalu berikutan kawasan itu sudah 'dipagar'.

Seorang penduduk kampung yang ingin dikenali sebagai Siti, 41, kejadian duit hilang sudah dialami mereka sejak lebih 10 tahun lalu dan pelbagai ikhtiar sudah dibuat sebelum seorang ustaz dirujuk dan memagari kawasan rumah kira-kira 20 penduduk yang kerap diganggu.

"Sebelum ini memang kami tidak senang duduk kerana kerap sangat hilang wang namun untuk mengaitkannya dengan perlakuan manusia tidak logik kerana tiada kesan, lebih-lebih lagi wang yang di dalam genggaman pun boleh ghaib tiba-tiba.

"Habis ikhtiar kami lakukan termasuk menyorokkan wang dalam peti ais dan menyelit dalam kitab al-Quran tapi ia tetap hilang dan salah satu tips yang dilihat agak menjadi ialah dengan mengepil dawai kokot di hujung helaian wang dengan alat pengokot (stapler).

"Kami juga banyak membuat ikhtiar lain iaitu solat hajat serta merujuk golongan agamawan dan Alhamdulillah selepas 'dipagar kawasan' oleh seorang ustaz awal tahun ini, kejadian itu sudah tiada," katanya.

Kelantan? : Polis tahan suspek tunjuk 'anu' pada pelajar sekolah memandu

N Faizal Ghazali

Gara-gara menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita dalam kejadian di Kampung Saring, Pasir Puteh, seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga 'runner' institut latihan memandu ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Suprintendan Mohd Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 27 tahun yang juga pelajar di sebuah sekolah memandu di jajahan Bachok.

Sehubungan itu katanya, pihak polis menahan suspek di rumahnya di Kampung Telong, Bachok, untuk siasatan lanjut kes tersebut.

"Berdasarkan laporan, suspek ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pelajar kelas memandu namun ketika kejadian dia bertindak mengeluarkan kemaluan untuk ditunjukkan kepada mangsa dalam kejadian di Kampung Saring, Pasir Puteh.

"Suspek pada awalnya membawa beberapa pelajar untuk pulang ke rumah masing-masing selepas latihan memandu sehingga hanya tinggal suspek yang memandu kereta jenis Perodua Viva dan mangsa berada di tempat duduk penumpang hadapan.

"Ketika dalam perjalanan menghantar mangsa, suspek dikatakan membuka zip seluar dan mengeluarkan kemaluannya," katanya ketika dihubungi.

Mohd Azmir berkata, terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudian menghubungi ibu saudara supaya mengambilnya dengan segera, selain mengarahkan lelaki itu memberhentikan kereta, namun tidak diendahkan.

"Wanita berkenaan bertindak membuka pintu sewaktu kereta sedang bergerak sehingga memaksa suspek memberhentikan kenderaan sebelum mangsa keluar melarikan diri ke kawasan rumah penduduk untuk meminta bantuan.

"Susulan laporan daripada mangsa, pihak polis menahan suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Saya menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita untuk bijak mengambil tindakan sekiranya berlaku kecemasan termasuk segera menelefon keluarga terdekat bagi meminta pertolongan," katanya.

Sajat berhijrah ke Australia, polis tiada maklumat dimana lokasi

FAZLI RADZI

Polis tidak ada maklumat berhubung dakwaan ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, yang ditahan pihak berkuasa Thailand sebelum ini kini berada di Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata ketika ini, pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

“Saya tiada maklumat mengenai dakwaan itu. Sebelum ini pun, polis ada terima maklumat usahawan berkenaan melarikan diri ke Danga Bay, Johor Bahru (sebelum ditahan di Thailand).

“Namun siasatan mendapati perkara itu tidak benar,” lapor BH, malam ini.

Sebelum ini, usahawan kosmetik dalam buruan yang pernah mengungkapkan kata-kata seolah-olah berhasrat untuk keluar dari agama Islam itu menerusi Instragram mendakwa dirinya sudah berada di Australia.

Lelaki menyerupai wanita berumur 36 tahun itu memberitahu bahawa dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia dan secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan kerajaan Australia.

Sajat yang tahu lalu menggemparkan negara apabila mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah turut menegaskan dia tidak melarikan diri, sebaliknya hanya berhijrah.

“Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikat, ‘kan,” katanya ketika berinteraksi dengan pengikut Instagram.

Pada 8 September lalu, kira-kira jam 6 petang, Sajat ditahan Imigresen Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.

Dia kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Tiga Exco Terengganu, SU Politik MB ‘tersungkur

MALAYSIA DATELINE

Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tewas dalam pemilihan Pas kawasan masing-masing yang telah diadakan serentak di seluruh Terengganu, kelmarin.

ADUN Paka yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat tewas merebut jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Dungun.

Satiful ‘tersungkur’ selepas dicabar Pegawai Penyelidik kepada Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani, lapor Terengganu Report.

Satiful yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sejak 2017 itu pernah dipilih sebagai Pesuruhjaya Pas negeri antara 2013 hingga 2017 sebelum ‘diturunkan pangkat’ menjadi Timbalan Pesuruhjaya II sejak 2017 hingga kini.

Dari kiri: Dr Mamad Puteh, Satiful Bahri dan Dr Azman Ibrahim.

Sementara itu, ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim kalah kepada pencabarnya iaitu Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bahri A Rahman.

Akibatnya, Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri gagal mempertahankan jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Setiu.

Kekalahan ‘nama besar’ dalam Pas Terengganu itu menjadi tanda tanya memandangkan Azman merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Penolong Setiausaha II Pas negeri pada masa ini.8

Dr Azman juga merupakan penyandang Pengerusi Kenaf dan Tembakau Negara sejak tahun lalu.

Turut kecundang dalam pemilihan Pas kawasan ialah ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri itu kalah kepada Pengarah sebuah agensi negeri, Kamaruzaman Abdullah dalam merebut jawatan Naib Yang Di-Pertua Pas Kawasan Hulu Terengganu.

Dalam masa sama, majoriti perwakilan Pas kawasan itu juga menolak Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid.

Setiausaha Pas negeri itu gagal mempertahankan jawatan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Hulu Terengganu yang dipegangnya sejak 2013 apabila tewas kepada pencabarnya, Maliaman Kassim yang juga ADUN Ajil.

Isu Khairy dan Timah cukup sakitkan hati

DATO DR RAMALAN YUNUS

Tak semena-mena hari ini dua nama ini cukup menyakitkan hati saya. Iaitu Khary dengan Timah. Khairy sebab kenyataannya yang nak mendakwa golongan anti vaksin di mahkamah.

Siapa golongan yang anti vaksin ini? Setahu saya tidak ada golongan yang anti vaksin di negara ini. Saya buat ‘engagement’ dengan masyarakat dan juga dengan pimpinan NGO-NGO seperti PPIM dan GPMC dan lain-lain.

Bagi saya mereka tidak anti vaksin. Mereka cuma bimbang dengan kesan sampingan yang didatangkan oleh vaksin Covid 19. Jadi kenapa perlu paksa mereka untuk mengambil vaksin ?

Bukankah mereka berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu mengambil vaksin atau pun tidak ? Kenapa mahu dinafikan hak mereka yang telah dijamin oleh Perlembagaan Negara ?

Kalau nak paksa juga, bukankah lebih baik jadikan vaksinasi sebagai sesuatu yang mandatori ? Jadi bolehlah kita ubah status negara kita. Dari sebuah negara Islam menjadi sebuah negara komunis.

Mereka hanya menentang Program Eksperimental Vaksinasi Negara yang bertentangan dengan Nuremberg Code, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

Ini kerana ia adalah satu operasi jenayah kemanusiaan secara besar-besaran dan sistematik oleh kerajaan terhadap rakyat Malaysia.

Kalau golongan yang berusaha mendedahkan perbuatan jenayah dianggap sebagai penjenayah, maka itu jelas membuktikan bahawa kita sedang diperintah oleh para penjenayah.

Jadi bukan golongan itu yang sedang menyebarkan berita dan maklumat palsu.

Tetapi sebenarnya kerajaan sendiri yang telah menyebarkan berita palsu untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

Manakala Timah pula adalah jenama baru whiskey @ minuman keras @ arak. Arak buatan Malaysia @ made in Malaysia yang telah berjaya memenangi anugerah.

Wajarkah kita semua sebagai rakyat sebuah negara Islam berbangga dengan pencapaian seperti ini ? Apa pandangan para ulama, asatizah dan juga lebai-lebai Pas dan Umno dalam perkara ini ?

Nasib baik Pas dah jadi kerajaan. Kalau tidak sudah pasti kerajaan hari ini telah dijatuhkan hukuman masuk neraka oleh para lebai Pas.

Cukup mengecewakan apabila sebuah kerajaan Melayu-Islam membiarkan sahaja perkara seperti ini berlaku dalam sebuah negara Islam.

Apa sebenarnya matlamat perjuangan kerajaan Melayu/Islam ini?

Kalau setakat nak jadi lembu yang dicucuk hidungnya oleh Para Elit Global, lebih baik letak jawatan.

Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat negara ini yang mendoakan agar kerajaan ini dilaknat oleh Allah SWT kerana perbuatan mungkarnya yang sudah keterlaluan.

Semoga Allah SWT memendekkan jangka hayat kerajaan gagal, derhaka dan korup ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara ini.

Layari laman web resmi saya untuk mengikuti nota-nota saya yang lepas di www.agendabaru.com

Teruskan mengikuti nota-nota pendek saya. Anda akan terus dirayu, dipujuk, digoda, diinspirasi dan dimotivasi untuk mereset diri anda, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Dari sahabatmu yang sedang melangkah ke gerbang perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negaranya.


Al Fakir Ilallah.

Dato Dr Ramalan Yunus @ Reset Malaysia.

PH akan cuba halang PRN Melaka di mahkamah

Malaysiakini 
PH Melaka berkata pihaknya akan menggunakan jalan perundangan bagi menghalang PRN daripada diadakan.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pihaknya akan membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu ke mahkamah pada minggu ini.

Katanya, ia bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta berkenaan pembubaran itu dapat dilakukan.

"PH Melaka akan terus menggunakan ruang perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Melaka adalah 8 November dan hari mengundi pada 20 November.

Adly berkata lagi, kelambatan membuat pemfailan di mahkamah adalah kerana warta pembubaran DUN hanya diserahkan kepada Adun hari ini.

"Bagaimanapun PH Melaka akan tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk PRN," katanya lagi.

Bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali menasihati Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN setelah hilang majoriti, apabila empat wakil rakyat menarik balik sokongan terhadapnya.

Terdapat kebimbangan pelaksanaan PRN Melaka akan memburukkan penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Menurut data Kementerian Kesihatan, seluruh populasi dewasa di Melaka sudah divaksinasi. Namun terdapat kemungkinan data kurang tepat memandangkan data populasi berdasarkan bancian 2010.

Setakat ini, kadar penggunaan katil ICU untuk wabak Covid-19 di Melaka adalah 36.8 peratus, jauh lebih rendah daripada Sarawak (76.8 peratus) yang juga perlu melaksanakan pilihan raya selepas darurat di negeri itu tamat pada Februari depan.

Timah lulus masa Pas dalam kerajaan PN

SURI LAILA

Pengeluaran arak jenama Timah difahamkan telah diluluskan pada Jun 2020 iaitu semasa Pas di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut satu poster yang disebarkan, produk arak tersebut dilihat mula mendaftarkan nama dan memohon kelulusan pada 6 Ogos 2019 iaitu ketika negara masih lagi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, kelulusan nama dan kebenaran operasi penjualan arak Timah itu hanya diberikan pada 5 Jun 2020 selepas pemerintahan negara jatuh di tangan PN ketika Pas menganggotai kerajaan.

Sebelum ini, netizen mempersoalkan pengeluaran wiski berkenaan ketika Pas kini menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah, dan selama ini membawa slogan kerajaan Melayu Islam.

Difahamkan, produk arak tersebut mengandungi alkohol yang tinggi sehingga 40 peratus dan dijual pada harga RM190 sebotol.

Syarikat pengeluar arak tersebut telah menjelaskan bahawa jemana Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu.

'Bomoh durjana dipercayai rogol bakal pengantin'

N Faizal Ghazali

Perbuatan keji seorang pengamal perubatan tradisional menjadikan pesakit wanita sebagai 'mangsa seksual' akhirnya kantoi selepas kejadian malang dipercayai menimpa seorang wanita yang juga bakal pengantin baru.

Hasrat mangsa berusia 23 tahun untuk mendapatkan rawatan gangguan makhluk halus bertukar tragedi apabila dirogol suspek yang dikenali sebagai Ayah Su, 67.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Nasaruddin Md Nasir berkata, dalam pada 14 Oktober lalu itu mangsa bersama ibu dan bakal suaminya pergi ke rumah suspek di Tendong, Pasir Mas, kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa di bawa ke bilik rawatan oleh isteri suspek dikenali sebagai Mak Su dan suspek hanya berdua bersama ketika kejadian tersebut.

"Semasa berada dalam bilik rawatan suspek meminta mangsa menanggalkan seluar dan ketika proses lawatan dimulakan suspek menggosok paha serta kemaluan mangsa.

"Suspek juga telah bertindak merogol mangsa. Apabila selesai rawatan suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa dan meminta mangsa datang sekali lagi bagi rawatan susulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Tambahnya, susulan laporan dibuat mangsa pihak polis berjaya menahan suspek pada hari yang sama.

Katanya, suspek merupakan seorang pesara pemandu di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang menjalankan aktiviti rawatan tradisional sejak tahun 1985.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal mendapati modus operandi suspek menjadikan pesakit wanita sebagai mangsa melempias nafsu dan kita percaya kejadian ini bukan pertama kali berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada pihak polis," katanya lagi.

Nasaruddin juga menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek turut tampil membuat laporan polis.

"Orang ramai juga dinasihati agar berhati-hati ketika menjalani sebarang rawatan dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku perkara yang membabitkan kejadian jenayah," katanya.

Mungkinkah korupsi di negara ini sudah jadi endemik?

ZIN MAHMUD

Pada tahun ini, rakyat Malaysia mula diperkenalkan dengan istilah endemik. Seperti mana pada tahun lalu, apabila istilah pandemik mula menjadi sebutan.

Sesuatu wabak apabila merentas sempadan dan menjadi global, ia menjadi pandemik. Apabila pandemik tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, maka ia menjadi endemik. Manusia perlu menyesuaikan diri hidup dengan virus itu, dengan mencari jalan supaya tidak dijangkit. Maknanya wabak ini dikawal supaya sistem kesihatan negara tidak lumpuh walaupun tidak boleh dihapuskan.

Andai kata korupsi dianggap sebagai suatu virus. atau virus merupakan suatu metafora bagi korupsi, maka ia boleh dipandang sebagai suatu wabak. Jadi jika ia sudah merentas sempadan atau bersifat global, maka ia boleh dianggap sebagai suatu pandemik. Tetapi jika ia tidak boleh dihapuskan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan, maka ia juga boleh disebut sebagai endemik.

Virus mempunyai varian. Begitu juga dengan korupsi. Ada pelbagai jenis varian korupsi. Seorang penyair, Ghazali Lateh dalam sajaknya bertajuk “Endemik” yang dipaparkan dalam Facebook mengungkapkan metafora ini:

“Awas! Awas!

Vaksin integriti tidak berkesan total

Virus rasuah banyak varian

Ada varian ketua jabatan

Ada varian penguatkuasa kerajaan

Varian siasah paling dominan

Terkena kenan seluruh keturunan.”

Ghazali meletakkan integriti sebagai vaksin untuk melawan korupsi. Tetapi ia tidak berkesan secara penuh, iaitu seperti vaksin untuk melawan Covid-19. Sebab itu beliau menggambarkan korupsi ini sebagai endemik.

Tetapi kalau hendak dijadikan metafora, mungkin integriti boleh diumpamakan sebagai imuniti tubuh manusia, dan bukannya vaksin. Seperti usaha melawan Covid-19 adalah berasaskan pada kekuatan imun seseorang, maka bagi melawan korupsi, ia adalah pada integriti. Seperti kekuatan imun, tahap integriti seseorang juga berbeza di antara satu sama lain.

Perkara ini disedari sendiri oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dari tahun 2000-an yang mana disuarakan kepentingan kesedaran integriti supaya korupsi dapat dicegah di peringkat diri seseorang lagi. Perkara ini dilakukan kerana korupsi ridak dapat dibanteras dengan hanya menyiasat, mendakwa dan menghukum.

Maknanya lebih baik cegah daripada merawat melalui hukuman. Ia tidak jauh bezanya dengan pendirian pihak berkuasa kesihatan iaitu mencegah lebih baik daripada merawat.

Untuk itu, program membangkit kesedaran tentang korupsi perlu dilakukan. Maka Institut Integriti Malaysia ditubuhkan. Kempen penerangan mengenai korupsi pun dilakukan. Adalah juga disedari bahawa pendidikan mencegah korupsi wajar dibuat di peringkat sekolah lagi, antaranya melalui mata pelajaran siviks.

Dalam dakwah pula, adalah penting bagi penceramah agama turut menyumbang dalam menyedarkan orang ramai mengenai bahaya korupsi.

Kesedaan ini penting kerana untuk mengatasi korupsi melalui aduan, laporan, siasatan dan pendakwaan adalah sukar dan memerlukan perbelanjaan tinggi. Tetapi lebih penting ialah kesedaran rakyat terhadap korupsi kerana merekalah yang mencorakkan landskap politik.

Rakyat yang menolak korupsi akan melahirkan ahli politik yang bersih. Tekanan melalui sistem demokrasi akan menyingkirkan ahli politik yang korup. Jika tidak, bukan saja korupsi berleluasa dalam masyarakat tetapi juga ia turut menjadi amalan parti politik serta pemimpin-pemimpinnya yang bertambah merosakkan negara. Bukan saja korupsi menjadi endemik tetapi diinstitusikan, atau institutionalise.

Dalam sajak Ghazali di atas, beliau menyebut; “varian siasah paling dominan, terkena kenan seluruh keturunan.” Maksud beliau ialah korupsi melalui politik adalah paling besar kesannya. Ini kerana ia melibatkan bukan saja wang yang banyak kerana boleh diwarisi turun-temurun tetapi juga melibatkan wang orang ramai,

Walaupun SPRM mempunyai kuasa tetapi ia memerlukan sokongan rakyat. Orang ramai yang sedar dan tegas menyokong kerja-kerja SPRM akan mendorong parti politik yang memerintah menyokong usahanya. Begitu juga, rakyat yang sedar korupsi akan memudahkan parti pembangkang menyuarakan isu-isu berkaitan dengannya. Selain itu, media akan juga aktif menghidu dan membongkar pelanggaran integriti.

Satu cabaran besar bagi negara ini ialah apabila ada sebahagian rakyat yang menganggap korupsi yang melibatkan politik bukan korupsi. Seolah-olah pemberian wang yang bersumberkan korupsi tetapi untuk aktiviti politik dianggap sebagai bukan korupsi. Mereka menganggapnya sebagai pendanaan politik.

Lebih-lebih lagi bagi parti politik yang telah berpuluh-puluh tahun dan tidak disiasat merasakan perkara itu tidak salah. Malah ada pemimpin politik yang menyeru supaya korupsi ditakrifkan semula, dengan dibayangkan bahawa ia tidak salah di sisi agama.

Perkara ini perlu jelas. Penyandang awam dari kalangan lantikan politik yang menjadi kaya raya melampaui pendapatannya mesti menimbulkan tanda-tanya. Adakah kekayaannya itu datang dari sumber halal atau korupsi. Perkara ini tidak perlu aduan orang ramai kerana mereka tidak akan memperoleh maklumat.

Lebih-lebih lagi jika wang yang banyak itu disimpan di luar negara. Tetapi korupsi tetap korupsi. SPRM juga mempunyai kaedah untuk menyiasat seseorang apabila ia kelihatan mewah di luar jangkauan pendapatannya.

Apabila menyebut korupsi sudah menjadi endemik, ia adalah juga bererti amalan itu sudah meluas dalam komuniti. Tetapi itu tidak bermakna bahawa rakyat wajar berputus asa dan membiarkannya. Generasi akan bergantian tetapi usaha melawannya wajar diteruskan untuk menyelamatkan negara.

Oleh kerana negara sentiasa berhubung dengan dunia luar melalui perdagangan dan pembelian keperluan pertahanan yang melibatkan perbelanjaan besar, pastinya korupsi juga boleh merentas sempadan. Sebab itu terdapat perkhidmatan perbankan luar pesisiran. Di situlah berlaku kegiatan pengubahan wang haram dan usaha untuk lari dari cukai.

Dalam bidang kesihatan, ada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sementara dalam bidang integriti terdapat juga pelbagai agensi. Antaranya adalah badan yang memberi penarafan integriti pada negara. Imej negara turut tercabar dengan penarafan ini.

Bagi melawan Covid-19, terdapat vaksin yang boleh meningkatkan imuniti seseorang walaupun tidak kebal sepenuhnya. Tetapi dalam memerangi korupsi, tidak ada vaksin untuk meningkatkan integriti.

Nilai integriti terkandung dalam perwatakan seseorang. Bagaimana integriti itu wujud dan meningkat, atau menurun adalah merupakan suatu dalam kajian psikologi yang berkait pula dengan sosiologi di mana masyarakat sekeliling turut mempengaruhnya.

Dalam politik, maksud integriti adalah lebih luas daripada korupsi. Contohnya, melompat parti adalah bukan saja tidak beretika tetapi juga tidak berintegriti. Untuk bercakap atau menulis mengenai integriti memang lebih mudah berbanding apabila seseorang menghadapi sesuatu situasi.

Hanya apabila ada sesuatu cabaran yang melibatkan integriti seseorang, barulah ia benar-benar diuji. Cabaran itu selalunya berbentuk wang ringgit, kuasa, jawatan, kedudukan atau ugutan kepada pendedahan perkara lebih buruk.

Setiap orang termasuk ahli politik mempunyai hati nurani atau conscience untuk dicabar. Tetapi bagi orang ramai, penilaiannya adalah pada zahirnya. Khabar angin tentulah bukan fakta. Tetapi kalau sesuatu maklumat sudah dapat diyakini, maka orang ramai perlu menilai pada hati nurani masing-masing untuk memberi sokongan atau tidak kepada ahli poltik dan partinya yang jelas korup.

Untuk hidup dalam endemik Covid-19 ada SOP. Maka begitu jugalah untuk hidup dalam endemik korupsi.