"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM cekup 22 lagi penguat kuasa JPJ

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seramai 22 lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai terlibat dengan rasuah.

Kesemua suspek disyaki melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Mereka yang berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10 pagi hingga 4.15 petang hari ini.

Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu melebihi RM140,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut.

Rabu lepas, Mahkamah Majistret George Town mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sekitar Pulau Pinang.

Orang ramai selamatkan pemandu Grab dicabul 2 penumpang warga Nepal

Predeep Nambiar


Dua lelaki warga Nepal yang diserang orang ramai bagi menyelamatkan seorang pemandu Grab wanita daripada dicabul.
GEORGE TOWN: Polis menahan 2 pekerja kilang warga Nepal semalam selepas didakwa mencabul seorang pemandu Grab wanita berusia 27 tahun dalam perjalanan mereka ke Bukit Mertajam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, 2 lelaki terbabit menaiki kereta Proton Saga milik wanita tersebut di stesen kereta api Bukit Mertajam untuk perjalanan ke sebuah kawasan perumahan di Juru.

Lelaki Nepal berkenaan duduk di kerusi belakang kereta itu.

Setengah perjalanan, lelaki yang berusia 23 tahun berpindah ke kerusi depan kenderaan tersebut berdekatan Jalan Song Ban Kheng.

Beliau kemudian memegang lengan pemandu dan mencium tangannya. Dia seterusnya menarik badan pemandu wanita itu ke arahnya dan menyentuh payu dara beliau.

Menurut pengadu, lelaki itu mencabul beliau 2 kali walaupun diberi amaran akan membawa mereka ke balai polis jika terus berbuat demikian.

Lelaki itu tidak mengendahkan amaran tersebut dan terus memeluknya.

Sewaktu insiden itu berlaku, rakan negaranya berusia 29 tahun yang duduk di kerusi belakang muntah.

Pemandu wanita itu yang panik memberhentikan keretanya di luar Masjid Lebai Tahir di Jalan Bukit Minyak, lalu keluar untuk meminta pertolongan.

Sekumpulan lelaki yang berada berhampiran mendekati 2 lelaki itu dan mula menyerang mereka.

Video kejadian dirakam oleh orang awam yang menunjukkan 2 lelaki warga Nepal terbaring separuh sedar dalam keadaan berdarah di tepi jalan.

Mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Kesiksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat mencabul kehormatannya.

Beliau berkata, 2 lelaki itu ditahan di bawah undang-undang imigresen selama 14 hari sementara menunggu pengesahan dokumen perjalanan mereka.

Polis juga menunggu laporan perubatan sama ada mereka meminum alkohol atau khayal kerana dadah.

Dua syarikat arak jadi 'kesayangan' kastam?

B Nantha Kumar

Mulai 1 April 2017, kerajaan menguatkuasakan Pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 agar pengimport minuman keras dan rokok mengemukakan lesen import semasa membuat pengisytiharan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pindaan tersebut digubal untuk menangani sindiket yang menjalankan modus operandi penyeludupan dari zon bebas cukai tanpa proses kelulusan kastam.

Bagaimanapun pindaan itu menyaksikan banyak syarikat diberi lesen import oleh JKDM dan didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menyeludup masuk alkohol dan rokok ke negara ini.

"Secara amnya, pelaksanaan mahupun pindaan sebarang akta dan undang-undang adalah bagi tujuan memperketatkan atau memperkemaskan sistem pentadbiran yang sedia ada.

"Tapi dalam kes ini (pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017) penyeludupan rokok dan alkohol menjadi lebih mudah," kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Katanya, sebelum pindaan dibuat, jumlah syarikat mengimport minuman keras hanya dalam lingkungan 50 syarikat sahaja tetapi kini meningkat sehingga 500 syarikat.

"Kesemua syarikat ini mendapat lesen import daripada JKDM.

"Dengan penambahan 500 syarikat ini pendapatan negara sepatutnya meningkat sekurang-kurangnya lima kali ganda.

"Tapi laporan menunjukkan pendapatan negara melalui bayaran duti import tidak begitu memberangsangkan. Jadi kenapa 500 syarikat ini diberi lesen oleh JKDM?" soal sumber berkenaan.

Sumber tersebut juga mendedahkan maklumat mengenai dua syarikat yang didakwanya sebagai 'syarikat kesayangan' JKDM.

Penemuan Malaysiakini mendapati pemilik syarikat pertama yang mendapat lesen import arak pada Mei 2017 dipercayai merupakan 'orang kuat' kepada salah seorang pemimpin tertinggi semasa pentadbiran kerajaan BN.

Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan syarikat itu beralamat di bandar Sunway, namun pemeriksaan di premis itu oleh Malaysiakini mendapati pejabat syarikat berkenaan tidak wujud.

Dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu, syarikat itu dikatakan mengaut keuntungan antara RM5 juta hingga RM7 juta setiap bulan.

Lesen tamat tapi masih import arak

Lebih mengejutkan, syarikat itu masih beroperasi walaupun Ketua Pengarah JKDM, Paddy Abd Halim mengesahkan lesen import syarikat itu dibatalkan pada Ogos 2018 selepas dikesan disalahgunakan bagi tujuan penyeludupan arak.

Pada 13 Disember lalu, dokumen "Intergrated Import Document" (IID) yang diluluskan oleh kastam di Pelabuhan Klang Utara menunjukkan syarikat tersebut masih membawa masuk alkohol import dari pelabuhan Shanghai.

Butiran dokumen itu menunjukkan syarikat tersebut sebagai "consignee" atau penerima barangan import 24 palet bir.

Bagaimanapun difahamkan barangan itu ditahan oleh JKDM kerana kesalahan tidak membayar cukai import.

Anehnya, tiada sebarang tindakan diambil oleh JKDM terhadap syarikat terbabit dan menimbulkan persoalan bagaimana sebuah syarikat yang ditamatkan lesen masih boleh beroperasi?

Ketika dihubungi kemudian, seorang bekas pegawai tertinggi JKDM mengakui masih terdapat pegawai-pegawai jabatan itu terlibat dengan amalan rasuah.

"Kebanyakan kes-kes tertangkap ini melibatkan pegawai-pegawai tidak terima rasuah. Namun tetap tiada tindakan selepas pegawai-pegawai ini dipaksa berundur daripada kes-kes ini oleh arahan dari 'atas'," dakwanya.

Lesen diberikan sehingga setahun

Sementara itu, JKDM turut memberi lesen kepada sebuah lagi syarikat beralamat di Brickfields dengan jumlah kuantiti untuk mengimport arak sebanyak 230 juta liter.

Selain memegang rekod pengimport minuman alkohol terbesar di Malaysia, syarikat itu juga dikatakan mempunyai tempoh lesen 'istimewa' iaitu selama setahun.

Dokumen-dokumen JKDM yang dipanjangkan kepada Malaysiakini menunjukkan syarikat itu diberi lesen import dari 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019.

Sehingga kini syarikat itu membawa masuk antara 60 hingga 70 kontena minuman keras ke Malaysia dan diberi kebenaran khas oleh JKDM untuk mengimport hampir semua jenama minuman beralkohol.

Ini termasuk jenama-jenama yang diberikan hak ekslusif kepada syarikat-syarikat tempatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beberapa wakil syarikat pengimport minuman keras terbesar berkata mereka hanya dibenarkan mengimport dengan kuantiti jauh lebih kecil berbanding syarikat terbabit.

"Kami antara syarikat bir terbesar di dunia masih diberi tempoh kelulusan tiga bulan sahaja. Kuantiti pun dalam 300,000 hingga 400,000 liter sahaja.

"Kita tak boleh salahkan pengarah syarikat ini. Tapi mesti ada sesuatu (tak kena) di pihak Jabatan Kastam," kata seorang pengarah sebuah syarikat bir yang beroperasi di Selangor.

Batal lesen masih boleh beroperasi

Sementara itu, Paddy ketika dihubungi berkata beliau tidak boleh memberi sebarang komen berkaitan isu mengenai syarikat berkenaan secara spesifik.

"Maaf, saya tidak mampu bantu kamu. Saya tidak berhak memberi sebarang komen terhadap syarikat-syarikat tertentu," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu sesetengah syarikat yang dibatalkan lesen import masih boleh beroperasi.

"Batal lesen bermakna tidak boleh import. Bukan tak boleh operasi. Syarikat mungkin ada stok lama, buat perniagaan lain," jelasnya.

Namun, beliau tidak menjelaskan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap syarikat yang dibuktikan menyalahgunakan lesen import dan terlibat dalam kes penyeludupan.

Pemimpin Pas di atas pokok(?), lebih tahu dari ahli bawahan, kata Nik Amar

MALAYSIA DATELINE
"Pimpinan dengan kita ibarat kita duduk atas tanah, pimpinan di atas pokok. Mana luas pandangan antara duduk di bawah dan di atas," kata Nik Amar tentang Abdul Hadi.

Ahli-ahli Pas diminta mematuhi arahan pimpinan mereka tanpa terlalu banyak soal khasnya arahan dari presiden mereka kerana pemimpin mereka mengetahui lebih dari mereka.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kedudukan antara pimpinan dan penyokong jauh berbeza terutama dalam aspek pemikiran dan pandangan ibarat seorang duduk di atas tanah berbanding pemimpin duduk di atas pokok.

“Pimpinan dengan kita ibarat kita duduk atas tanah, pimpinan di atas pokok. Mana luas pandangan antara duduk di bawah dan di atas?,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.

“Mudah saja, kita yang duduk di bawah ini kita nampak apa yang ada di depan mata. Tapi kalau ada hutan, di sebaliknya tidak tak tahu ada apa. Kita nampak hutan saja, tapi bila pimpinan duduk atas, dia boleh nampak ada yang ada di sebalik hutan.

“Sebab itu kalau dia kata (suruh) lari, kita jangan buat tolol persoal kenapa nak hungga (lari), dimakan harimau kita nanti. Sebab itu bila dia kata lari, terus lari tak payah banyak soal. Selepas itu baru intai semula,” kata Mohd Amar.

“Di situ bezanya, sebab itu kita kena taruh kepercayaan kepada pimpinan. Kita tengok hutan tapi kita tak nampak harimau, kita tak nampak orang tengah buang air. Tetapi presiden duduk di atas dia nampak.

“Sebab itu kalau dia kata (suruh) lari, kita jangan buat tolol persoal kenapa nak hungga (lari), dimakan harimau kita nanti. Sebab itu bila dia kata lari, terus lari tak payah banyak soal. Selepas itu baru intai semula,” kata Mohd Amar ketika berucap merasmikan Mesuarat Agung Tahunan Ke-58 PAS Kawasan Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Kata beliau, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi adalah seorang pemimpin berpengetahuan luas dan mempunyai banyak maklumat yang kadang-kala tidak terfikir orang orang lain.

“Ambo (saya) sebab duduk di Pas pusat banyak tahun. Hubungan ambo dengan presiden mungkin lebih (rapat) berbanding tuan-puan yang duduk dalam kawasan.

“Bila kita duduk dengan dia bertahun-tahun dalam Pas pusat, kita boleh faham, kita boleh nampak presiden kita ini nombor satu,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh media itu.

Malah Mohd Amar menegaskan bahawa Hadi yang juga anggota parlimen Marang itu seorang yang sentiasa mementingkan Islam dalam membuat sebarang keputusan parti.

“Dia ini betul-betul kepentingannya maslahah Islamiyah, itu nombor satu. Presiden kita ini pula maklumatnya banyak, ambo berani kata tok guru presiden maklumatnya tentang politik negara, tentang keselamatan negara dan macam-macam. Seolah-olah dia ini perdana menteri.

“Maklumat hak ada dengan dia, kita kadang-kadang hairan, bila dia cakap satu per satu. Kita tak terfikir maklumat itu ada. Itu kita kena tahu.

“Kita di bawah tak tahu, tapi ambo duduk di pusat ambo tahu. Bila duduk dalam mesyuarat dalam perbincangan dengan dia, kita nampak,” katanya.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/pemimpin-pas-di-atas-pokok-lebih-tahu-dari-ahli-bawahan-kata-nik-amar/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Asap rokok punca bayi muntah darah

Aslinda Nasir

Delisya, 2 bulan 15 hari menderita jangkitan paru-paru
Kita selalu diingatkan tentang asap rokok bahayanya adalah 2 kali ganda kepada penghidu melalui pesanan khidmat masyarakat di televisyen, radio, media sosial dan lain-lain.
Tapi kenapa masih lagi ada mereka merokok di kawasan terbuka?

Dan adakah pihak-pihak ini tidak perihatin dengan keadaan sekeliling termasuklah apa berlaku kepada seorang kanak-kanak berusia 2 bulan 15 hari sehingga menghidapi jangkitan kuman paru-paru yang berpunca dari asap rokok?

Seorang ibu Norzy Green Gurlz meluahkan rasa sedihnya melalui laman sosial Facebook, apabila pertama kali anaknya, Delisya muntah darah sebanyak 2 kali, dan kemudian terus dibawa ke hospital di bahagian kecemasan.

Setelah di x-ray, ultrasound dan membuat pelbagai kaedah perubatan lain, doktor telah mengesahkan bayi tersebut menghidapi jangkitan kuman paru-paru sangat teruk sejak 3 minggu lalu.

Kesan daripada itu, bayi tersebut menderita membuang air besar 20 kali sehari.

Dan hari ini adalah hari ke-5 Norzy dan anaknya Delisya dirawat di Hospital Shah Alam malah masih mengharapkan keajaiban berlaku.

Hati ibu mana tidak meruntun bila melihat anaknya dalam keadaan lemah malah organ dalaman anaknya bengkak termasuk hati, limpa hinggalah ke bahagian usus.

“Adik sakit ye. Ibu faham, tangan pun dah habis lebam sebab masuk jarum, masuk air, antibiotik tak putus-putus.

“Esok sepatutnya hari besar saya untuk konvo tamat belajar. Tapi apakah daya perancangan Allah lagi terbaik. Allah uji dengan sedikit ujian untuk dekatkan lagi diri padanya,” luah ibunya.

Sumber : FB Norzy Green Gurlz

Najib bayar RM3.49 juta selepas bank silap proses cek, kata saksi

Bekas perdana menteri Najib Razak telah membuat bayaran berjumlah RM3.49 juta kepada Firma Guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak selepas berlaku kesilapan ketika pemprosesan cek yang menyebabkan firma itu hanya memperoleh wang sebanyak RM3,500 berbanding jumlah sebenar RM3.5 juta.

Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Jalan Raja Chulan Badrul Hisam Mohamad berkata baki jumlah itu telah dimasukkan Najib ke dalam akaun firma guaman tersebut pada 12 Feb 2015.

“Baki bayaran itu dibuat melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) oleh pelanggan bernama Datuk Seri Mohd Najib Razak,” katanya yang merupakan saksi kelima pendakwaan.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari kelima perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak adalah firma guaman yang banyak mewakili Najib dan mengendalikan kes saman sivil bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, saksi itu memberitahu berlaku kesilapan oleh bank penerima iaitu CIMB Bank cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila hanya memasukkan wang berjumlah RM3,500 ke dalam akaun firma tersebut.

“Kami (pihak Ambank) tidak tahu perkara ini sebelum diberitahu pihak bank penerima iaitu CIMB Bank PWTC.

“Semasa bank penerima proses cek, jumlah yang sepatutnya dikreditkan ke dalam akaun penerima Hafarizam Wan & Aisha Mubarak ialah RM3.5 juta tetapi pihak bank penerima telah buat kesalahan input apabila hanya mengkreditkan sebanyak RM3,500 sahaja,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
-Bernama

Najib tengking, tepis polis di luar mahkamah

Keadaan tegang di pekarangan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini apabila seorang individu mendakwa sebagai pelajar meluru kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak selepas prosiding hari keempat tamat.

Lelaki yang memakai kemeja bewarna merah itu bertanya kepada Najib mengapa dia dihalang daripada mendengar perbicaraan berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd.

Namun situasi bertukar tegang apabila seorang anggota polis menarik lelaki terbabit daripada mengajukan soalan kepada bekas perdana menteri itu.

Najib pada mulanya mengatakan 'tidak payah' kepada anggota polis terbabit dan menepis tangannya sebelum menjerkah kepadanya.

“Tak payahlah,” sergah Najib.

Pelajar terbabit meneruskan soalannya berkaitan larangan pihak mahkamah terhadapnya.

Anggota Parlimen Pekan itu bagaimanapun memalingkan wajahnya kepada anggota polis berkenaan sebelum meminta maaf.

“Dia nak tanya sikit,” katanya kepada pegawai terbabit sambil memegang tangan lelaki terbabit.

Bagi menjawab soalan lelaki itu, Najib berkata perkara tersebut di luar bidang kuasanya.

“Saya tak tahulah, kena tanya mahkamah, bukan saya punya kuasa,” kata Najib kepada lelaki berkenaan.

Najib kemudiannya masuk ke kereta dan berlalu pergi.

Sejurus selepas itu, lelaki terbabit bertemu pemberita dan melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan Najib.

“Kalau rakyat biasa tak dapat masuk, bagaimana nak tengok justice di Malaysia,” tegasnya yang enggan memberitahu namanya.

Tiba-tiba ada pelajar meluru ke arah Najib

Malaysiakini
Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak masuk hari keempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

5.10pm: Sedikit ketegangan berlaku ketika Najib Razak keluar dari bangunan mahkamah melibatkan seorang lelaki mendakwa sebagai pelajar.

Dia kelihatan meluru ke arah bekas perdana menteri itu dan bertanya mengapa tidak dibenarkan masuk ke mendengar perbicaraan berkenaan.

Bagaimanapun seorang anggota polis menghalang pelajar terbabit daripada menghampiri Najib dan mengarahkannya supaya ke tepi.

Polis juga menarik lengan baju pemuda berkenaan. Bagaimanapun pelajar terbabit kelihatan memegang tangan Najib dan bertegas mahu bertanya.

Najib kemudian meminta maaf kepada polis dan meminta agar pemuda terbabit diberi peluang bertanya soalan.

Pelajar: Kenapa rakyat biasa banyak prosiding untuk (dapat) masuk dalam mahkamah?

Najib: Saya tak tahulah, kena tanya mahkamah, bukan saya punya kuasa.

Najib kemudian masuk ke kereta dan berlalu pergi, manakala pelajar terbabit bertemu pemberita dan melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung penjelasan Najib.

Katanya, dia mahu tahu bagaimana perbicaraan yang melibatkan Najib dijalankan.

“Kalau rakyat biasa tak dapat masuk, bagaimana nak tengok justice (keadilan) di Malaysia?” tegasnya.

Lelaki berkenaan bagaimanapun enggan mendedahkan namanya kepada pemberita.

Jutaan Ringgit masuk akaun Najib - saksi

Terdapat sekurang-kurangnya 10 transaksi antara RM5 juta dan RM40 juta yang dikaitkan dengan akaun Ambank bekas perdana menteri Najib Razak, SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Transaksi berkenaan berlaku antara 24 Dis 2014 dan 13 Feb 2015.

Jumlah itu didedahkan pegawai penyiasat Bank Negara, Azizul Adzani Abdul Ghafar semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada hari ketiga perbicaraan Najib berhubung pengubahan wang haram dan rasuah yang dikaitkan dengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Azizul, 41, yang merupakan saksi kedua pendakwaan, memberi keterangan bahawa urus niaga melalui deposit dan pengeluaran itu ditunjukkan dalam dokumen bank yang diambil dari cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Azizul berkata dokumen bank yang memperincikan transaksi berkenaan diberikan kepadanya oleh pengurus cawangan, R Uma Devi, tanpa diminta beliau.

Harvinderjit: Uma Devi atas keinginan sendiri, memberikan dokumen bank tambahan sebanyak RM40 juta, RM5 juta, RM27 juta, RM39.7 juta dan RM10 juta (antara lain)?

Azizul: Betul.

Harvinderjit: Ini sukar dipercayai. Setelah berikan kamu dokumen pertama (pada pagi 6 Julai 2015), dia datang kemudian (pada malam yang sama) dan berikan kamu dokumen khusus yang memperincikan transaksi tersebut, dan kamu tidak pernah beritahu dia untuk mendapatkannya?

Azizul: Ya, saya tidak pernah memintanya.

Azizul berkata, pada awal pagi serbuan pukul 11 ​​pagi, Uma Devi menyerahkan dokumen bank yang disenaraikan, antara lain pembukaan akaun bank untuk Najib, SRC International dan Gandingan Mentari. Bagaimanapun, dokumen-dokumen ini tidak mengandungi butiran transaksi yang dipersoalkan.

Uma Devi menyerahkan dokumen bank lain pada pukul 9.15 malam pada hari yang sama, kata Azizul.

Saksi itu berkata dia membuat laporan polis selepas menyelesaikan serbuan kerana ia merupakan prosedur standard untuk berbuat demikian selepas setiap serbuan.

Ditanya oleh Harvinderjit sama ada sebarang kertas siasatan lain dibuka berhubung serbuan tersebut, Azizul berkata beliau tidak tahu.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP Suhami Ibrahim kemudiannya, Pegawai Jabatan Perisikan Kewangan Bank Negara Mohammad Nizam Yahya memberi keterangan bahawa beliau diberikan dokumen tiga akaun bank semasa Ihsan Perdana Sdn Bhd di Affin Bank cawangan Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur pada 6 Julai 2015.

Saksi ketiga pihak pendakwaan itu berkata beliau menerima dokumen-dokumen itu semasa serbuan di bank perdagangan itu yang dijalankan di bawah Seksyen 37 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfa) 2001.

Lelaki berusia 39 tahun itu berkata beliau telah menyerahkan borang pembukaan akaun; spesimen bentuk tandatangan; senarai penandatangan yang dibenarkan; borang keterangan pelanggan untuk ketiga-tiga akaun dan penyata akaun yang berkaitan dengan pembukaan akaun tersebut.

Beliau berkata beliau diberikan dokumen itu oleh Ketua Pegawai Perundangan Affin Bank dan Setiausaha Syarikat, Nimma Safira Khalid selepas memberi notis di bank itu pada jam 10 pagi. Nizam berkata beliau diiringi oleh dua pegawai Bank Negara yang lain.

Pemeriksaan balas terhadap Nizam oleh pasukan peguam bela Najib akan dilakukan ketika prosiding pagi esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Wall Street Journal sebelum ini menerbitkan dokumen mendakwa SRC International memindahkan RM40 juta kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari pada 24 Disember 2014.

Dana itu kemudiannya diserahkan kepada anak syarikat lain, Ihsan Perdan, pada hari yang sama.

Sebanyak RM32 juta daripada jumlah ini didakwa didapati dua hari kemudiannya dalam dua akaun Ambank milik Najib dalam dua bahagian RM27 juta dan RM5 juta setiap satu.

Kedua-dua urus niaga ini disokong oleh borang permohonan pengiriman wang AffinBank.

Mengikut borang permohonan pengiriman wang, pemindahan ke salah satu akaun Ambank adalah untuk "program CSR" (Tanggungjawab Sosial Korporat)".

Urusniaga seterusnya pada 2015 mengambil corak yang sama dengan dua bahagian sebanyak RM5 juta yang didakwa dipindahkan dari SRC International, masing-masing pada 5 Feb dan 6 Feb.

Kedua-dua bahagian RM5 juta itu kemudian dipindahkan ke Ihsan Perdana pada hari yang sama sebelum dipindahkan dalam satu transaksi sebanyak RM10 juta kepada akaun Najib pada 10 Feb 2015.

Ini juga disokong oleh borang permohonan kiriman bank Affin Bank. "Butiran pembayaran" juga disenaraikan sebagai "pemindahan dana untuk program CSR".

Grab siasat kehilangan 2 pelajar Assunta selepas batal tempahan

FMT Reporters

Dua gadis ini dilaporkan hilang sejurus membuat tempahan dengan Grabcar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Perkhidmatan e-hailing, Grab memulakan siasatan ke atas dakwaan kehilangan 2 penumpang bawah umur, susulan satu rayuan kepada orang ramai yang dimuat naik di Facebook.

Natshatra Navanita, 15, dan Divya Munian, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Assunta di sini, sepatutnya menaiki sebuah Grabcar malam tadi, tetapi mereka tidak pulang ke rumah.

“Berita ini diambil secara serius,” kata Grab hari ini sambil menambah ia tidak mempunyai butiran mengenai lokasi 2 pelajar itu, selain daripada maklumat yang direkodkan dalam sistemnya.

“Malangnya, berdasarkan sistem, tempahan itu dibatalkan dan rakan pemandu kami meneruskan tempahan berikut,” kata syarikat itu.

Grab berkata, ia sudah menghubungi keluarga 2 gadis itu dan juga polis.

Menurut ibu bapa salah seorang gadis itu, kedua-dua pelajar terbabit hilang sejak 11.40 malam tadi dan mereka kali terakhir dilihat di Pangsapuri Maxwell Tower di Gasing Indah.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh menghubungi 019-2078829, 017-2656824 dan 011-13676202.

Menurut satu mesej yang tersebar di WhatsApp, 2 gadis itu menyertai sambutan Tahun Baru Tamil di sebuah kuil Hindu berhampiran, malam tadi.

Natshatra menunggu Divya di luar rumahnya untuk tempahan Grabcar Divya.

“Perjalanan untuk membawa Divya pulang dibatalkan dan 2 gadis itu (masih) tidak dapat dihubungi, walaupun melalui telefon Divya yang dipercayai kehabisan bateri kerana ia di tahap rendah ketika di kuil,” menurut mesej tanpa nama penulis itu.

Husam jadi tetamu kehormat MB Kelantan

Faizal Ghazali

Selepas sekian lama terpinggir daripada kerajaan Kelantan, Naib Presiden Amanah Husam Musa hari ini tampil berkongsi pentas sebagai tetamu kehormat bersama Menteri Besar, Ahmad Yakob.

Hadir memenuhi jemputan penganjur majlis pelepasan misi dagang Jelajah Dewan 80: Road To Aran 2019 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kelantan (DPMMNK) di Kota Bharu hari ini, kehadiran bekas exco kanan Kelantan itu turut diraikan Ahmad.

Walaupun kelihatan sedikit janggal, Husam dilihat bersahaja dan profesional untuk berada di kawasan 'musuh politik' beliau.

Ahmad dalam ucapan perasmiannya turut mengalu-alukan kehadiran Husam sebagai wakil kerajaan persekutuan atas kapasitinya pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Malah ketika acara pelepasan konvoi Road To Aran, Ahmad bertindak mengajak Husam untuk berada di sampingnya.


Mereka kelihatan mengambil kesempatan untuk berbual-bual ringkas dan turut makan semeja.

Sementara itu ketika diminta reaksinya mengenai kemunculan di program itu, Husam menyifatkan ia sebagai suatu pengalaman menyeronokkan dan berharap hubungan dua hala seperti itu dapat berterusan walaupun kedua-dua mereka tidak lagi sehaluan dalam politik.

"Saya hadir atas jemputan... kalau ada jemputan, dari dulu lagi saya akan hadir.

"Misalnya dulu ada debat mengenai baiah, walaupun tiada jemputan rasmi (daripada penganjur ceramah PAS) saya tetap hadir kerana ada jemputan dibuat melalui Facebook.

"Tapi kalau tak ada jemputan saya tak bolehlah hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya secara sinis dan bersahaja.

Pada 21 Februari 2017 Husam mengejutkan banyak pihak khususnya PAS apabila tampil dalam satu ceramah bertajuk "Husam Lari Dari Debat Baiah" di Kota Bharu.

Majlis ceramah itu diadakan sebagai penjelasan kepada orang ramai mengenai sikap bekas exco Kelantan yang pernah dipilih ahli PAS sebagai naib presiden parti itu.

Tanpa diduga banyak pihak, tiba-tiba kelibat Husam muncul di ceramah itu dan mengambil tempat di pentas ceramah dengan duduk di barisan kerusi di belakang pentas.

Baca Husam didakwa lari tapi dia 'mari'

Husam berada di situ untuk beberapa ketika sambil mendengar ucapan yang mengecam dirinya.

Bagaimanapun beliau tidak diberikan peluang untuk berucap di majlis yang menampilkan penceramah handalan PAS termasuk Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut Husam yang sebelum ini pernah menjadi naib presiden PAS berkata beliau berharap pada masa akan datang kedua-dua pihak boleh jemput-menjemput, saling ziarah menziarahi dan berbincang demi kepentingan rakyat secara bersama.

"Tak ada kekok apa, rasa seronok majlis macam ini, " katanya.

Untuk rekod di peringkat parti Ahmad ialah timbalan mursyidul am PAS.

Husam 'langgar pantang' buka pintu buat kerajaan Kelantan

N Faizal Ghazali

Tidak seperti amalan lazim sekian lama, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) hari ini bersetuju melantik seorang wakil kerajaan negeri sebagai anggota lembaga pengarah agensi kerajaan persekutuan itu meskipun berbeza parti.

Pengerusi Kada Senator Husam Musa berkata pihaknya bersetuju menerima cadangan daripada kerajaan pusat untuk meletakkan seorang wakil mereka dalam agensi terbabit.

Kata Husam, idea melantik wakil kerajaan negeri pimpinan PAS itu dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Menurut bekas pemimpin kanan Kelantan itu ideal memasukkan wakil kerajaan negeri sekadar saranan dan bukan satu kemestian.

"Saya telah berbincang dengan menteri. Walaupun tidak wajib tetapi menteri berbincang dengan menteri besar Kelantan bagi memberi laluan supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil mereka sebagai ahli lembaga pengarah Kada," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hasil dan zakat Projek Ladang Merdeka di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Husam dilantik sebagai pengerusi Kada berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.

Bagaimanapun kata Husam buat masa ini agensi itu belum membuat sebarang lantikan bagi mengisi jawatan ahli lembaga pengarah.

"Sekarang ini lembaga pengarah Kada belum dibentuk.

"Saya sangat bersetuju dengan idea itu dan insya-Allah satu kunjung hormat menteri dan saya kepada menteri besar akan dilakukan bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan petani-petani di Kelantan," katanya.

Ada hujan tapi kurang kesan

Untuk rekod sebelum ini semasa BN mentadbir Putrajaya, Kada dikendalikan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan dan tiada wakil dari pembangkang diberikan tempat.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata sebanyak 15 pam mudah alih berkuasa tinggi - bernilai RM12 juta - akan dibekalkan Kada dalam usaha membantu petani yang berdepan masalah kerosakan tanaman padi akibat musim keramau.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada menteri berkaitan dalam mesyuarat yang diadakan esok bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan segera.

Katanya, pam itu akan dibekalkan termasuk di Kemubu untuk menyalurkan air kepada pesawah di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.

"Kesan pam mudah alih ini akan mengambil masa dalam tempoh enam hingga lapan bulan, bukan dengan kadar segera. Tetapi ini adalah penyelesaian paling segera yang mampu kami lakukan.

"Disebabkan musim ini hanya tinggal dua bulan, jadi kaedah ini dapat digunakan pada musim tanaman kedua tahun ini.

"Bagi pesawah di Tumpat dan Pasir Mas, mereka dibekalkan air dari pam di Mekasar serta pam Batu Hampat, Tumpat," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai usaha Kada melakukan pembenihan awam sebelum ini, Husam menjelaskan perkara itu tidak memberi kesan yang tinggi susulan cuaca terlalu kering.

"Tetapi pada Khamis dan Jumaat lalu terdapat hujan di beberapa tempat termasuk Machang, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan keperluan air yang diperlukan pesawah masa ini," katanya.

Ketahui punca darah dalam air kencing

FMT Reporters

Menyedari kewujudan darah dalam air kencing anda semestinya sesuatu yang merisaukan baik untuk lelaki, wanita, muda mahupun tua.

Dalam kelas perubatan, punca-punca kewujudan darah dalam air kencing dibahagikan kepada dua iaitu darah dalam air kencing yang dapat dilihat dengan jelas (Gross Hematuria) dan darah dalam air kencing yang hanya dikesan melalui ujian makmal (Microscopic Hematuria).

Mana-mana pun puncanya, pemerhatian dan pemeriksaan rapi doktor adalah perlu.

Kencing berdarah adalah apabila air kencing anda berwarna sama ada sedikit merah jambu atau perang seakan-akan warna air coca-cola.

Dari Mana Datangnya Darah Tersebut?

Darah dalam air kencing anda boleh datang daripada beberapa struktur khususnya struktur-struktur yang membentuk sistem urinari, yang terdiri daripada buah pinggang, ureter, pundi kencing dan juga uretra.

Namun darah tersebut juga boleh disebabkan oleh struktur berdekatan lain yang dekat dengan organ-organ sistem urinari dan boleh juga disebabkan keradangan menyeluruh sistem badan.

Punca darah dalam air kencing yang kurang serius
Senaman yang terlalu lasak

Senaman yang terlalu lasak berupaya untuk mengakibatkan berlakunya kencing berdarah dan ianya juga disebut sebagai runner’s bladder atau marathoner’s bladder.

Senaman yang terlalu lasak, sama ada daripada sukan yang mempunyai perlagaan fizikal atau tidak, berupaya untuk menyebabkan kencing berdarah.

Lazimnya, kewujudan darah dalam air kencing akan tidak lagi kelihatan selepas 72 jam daripada aktiviti tersebut atau selepas rehat yang mencukupi.

Namun penting juga untuk diingati bahawa senaman yang terlalu lasak dalam seseorang yang sudah menghidapi penyakit buah pinggang atau penyakit berkaitan sistem urinari, mampu menyebabkan kecederaan tambahan kepada sistem tersebut.

Trauma

Trauma kepada alat kelamin dan bahagian badan yang membabitkan buah pinggang khususnya, boleh menyebabkan berlakunya kecederaan dan pendarahan yang akhirnya membawa kepada kewujudan darah dalam air kencing.

Trauma boleh berlaku sama ada disebabkan oleh aktiviti seksual yang ganas, kecederaan ketika di ranjang, kemalangan, kecederaan atau impak daripada aktiviti sukan.

Punca darah dalam air kencing yang lebih serius
Jangkitan

Jangkitan ini boleh merujuk kepada jangkitan terhadap mana-mana struktur atau organ dalam sistem urinari seperti jangkitan buah pinggang (Pyelonephirits), jangkitan pundi kencing (Cystitis), dan jangkitan saluran urethra (Urethritis).

Jangkitan kelamin juga boleh menyebabkan berlakunya kewujudan darah dalam air kencing.

Batu Karang

Batu karang boleh terbentuk atau beralih ke mana-mana struktur dalam sistem urinari sama ada di dalam buah pinggang, di dalam saluran ureter, dalam pundi kencing mahupun dalam saluran urethra.

Lazimnya, simptom kencing berdarah dalam batu karang akan disertai oleh simptom sakit berdenyut-denyut pada bahagian yang terlibat.

Kanser

Selain daripada kanser yang membabitkan struktur sistem urinari seperti kanser buah pinggang dan pundi kencing, organ-organ sekeliling yang bertukar menjadi kanser turut berupaya untuk menyebabkan kencing berdarah, khususnya apabila ia sudah mencerobohi sistem urinari seperti kanser usus dan kanser prostat.

Sebelum menjadi kanser, pembesaran prostat juga mampu menyebabkan kencing berdarah.

Penyakit-penyakit lain

Penyakit sel darah merah seperti Sickle Cell Anaemia membawa kepada penghancuran darah dalam badan yang disingirkan melalui air kencing.

Penyakit seperti Haemolytic Uremic Syndrome juga berupaya untuk menyebabkan berlakunya kewujudan darah dalam air kencing.

Selain itu, penyakit autoimun seperti Systemic Lupus Erythematosus (SLE) juga mampu menyebabkan kecederaan kepada buah pinggang yang menyebabkan air kencing mengandungi darah.

Tambahan lagi, penyakit keturunan seperti Sindrom Alport dan juga penyakit buah pinggang Polycystic turut berupaya untuk menghasilkan simptom yang sama.

Apabila anda berjumpa dengan doktor anda, pemeriksaan dan ujian tertentu akan dilakukan oleh mereka demi mengenal pasti punca sebenar di sebalik keterjadian simptom kencing berdarah. Walaupun lazimnya darah dalam air kencing tidak membawa kepada masalah serius, terdapat juga punca-punca serius yang perlu diberi perhatian.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Sahruddin sah ganti Osman Sapian

Teka-teki mengenai menteri besar Johor akhirnya terjawab apabila Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah di depan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi ini.

Sahruddin yang sebelum ini berkhidmat sebagai exco kesihatan, alam sekitar dan pertanian menjadi menteri besar ke-17 bagi menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu.

Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan surat tauliah dan pengisytiharan pelantikan di Istana Bukit Serene di Johor Bahru pda jam 9.30 pagi tadi.

Kira-kira 45 minit sebelum itu kenderaan rasmi kerajaan dinaiki Sahruddin dilihat memasuki pekarangan istana.

Beliau merupakan wakil rakyat dari Bersatu.

Sahruddin, 43, dijadual mengadakan sidang akhbar pertamanya selaku menteri besar di pejabat PH Johor di Kempas sebentar lagi.

Sementara itu Sultan Ibrahim bertitah baginda berharap menteri besar yang baru itu dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding diri atau politik demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor.

"Saya juga mahukan beliau memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang," titah baginda.