"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertama kali keluar ‘dating’, gadis ditinggal tengah hutan

KOSMO
Polis menemukan Dal dalam keadaan keletihan dan ketakutan sambil dia berjalan seorang diri. - Instagram
JAKARTA – Seorang gadis di Bandung, wilayah Jawa Barat mengalami detik cemas apabila dia ditinggalkan keseorangan di tengah hutan pada tengah malam oleh seorang lelaki yang baru dikenali, lapor laman berita Detik kelmarin.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, wanita yang hanya dikenali sebagai Dal itu membonceng motosikal lelaki yang baru dikenalinya menerusi laman temu janji online.

Lelaki tersebut membawa Dal ke sebuah kawasan hutan pokok pain sebelum mengajaknya melakukan hubungan intim.

Disebabkan menolak ajakan tersebut, Dal ditinggalkan di tengah hutan itu dalam keadaan gelap gelita.

Ketika cuaca sejuk, Dal cuba keluar dari kawasan hutan sebelum dia berjaya menghubungi polis bagi meminta bantuan sekitar pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan).

Ketua polis tempatan, Inspektor Reza Aji Ibrahim berkata, Dal yang berusia 28 tahun kemudian ditemukan sedang berjalan sendirian dalam hutan itu dengan keadaan takut dan kepenatan.

Dia bagaimanapun berada dalam keadaan selamat, namun enggan membuat laporan polis.

Sementara itu, Reza berkata, untuk sampai ke lokasi Dal berada, anggota polis terpaksa menggunakan motocross disebabkan keadaan tanah yang tidak rata.

“Kereta tidak boleh masuk, motosikal boleh tetapi jenis motocross,” ujarnya. 

Reza selain itu turut menasihati orang ramai agar berhati-hati apabila berkenalan dengan orang yang tidak dikenali melalui laman sosial. – AGENSI 

Halang tugas polis, lelaki Perancis mabuk ditahan di sekatan jalan raya,

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
LELAKI warga asing ditahan ketika sekatan jalan raya di Bayan Indah, di sini. FOTO Ihsan Polis.
LELAKI warga asing ditahan ketika sekatan jalan raya di Bayan Indah, di sini. FOTO Ihsan Polis.
Bayan Lepas: Sudahlah memandu di bawah pengaruh alkohol, seorang lelaki warga Perancis turut bertindak agresif dengan mengeluarkan kata kesat terhadap anggota polis ketika diperiksa dalam sekatan jalan raya di Bayan Indah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian itu membabitkan lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pelayan di restoran dalam pusat beli belah.

Katanya, terdahulu lelaki berkenaan yang juga pemandu kereta jenis Honda CRZ ditahan ketika melalui pemeriksaan sekatan jalan raya oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

"Berdasarkan laporan, lelaki berkenaan bertindak agresif ketika anggota polis melakukan pemeriksaan badan terhadapnya.

"Selain mengeluarkan kata kesat, lelaki berkenaan turut menolak anggota polis terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sazalee berkata, lelaki terbabit yang belum berkahwin itu kemudian dibawa ke Balai Polis Cawangan Trafik Bayan Lepas.

"Saringan ujian alkohol mendapati lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya lagi.

Budak 2 tahun maut dipercayai diserang anjing liar

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

Semporna : Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing liar berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Tohok, dekat sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 8.41 pagi itu mangsa, Nazrin Sah Nasir, bersama sepupunya dikatakan pergi ke kedai yang terletak di hadapan rumahnya manakala bapanya dikatakan sedang bersarapan dan tidak menyedari kejadian itu.

Sumber memberitahu, mangsa ditemukan oleh orang kampung dalam keadaan berlumuran darah disyaki diserang sekumpulan anjing liar berhampiran dewan berdekatan rumahnya kira-kira 9 pagi.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Semporna namun dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Sungai Tuhok, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa saudara mangsa jam 10.33 pagi, hari yang sama.

Beliau berkata, susulan laporan itu pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit yang diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

"Sehubungan itu, polis menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi menangkap anjing liar bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat," katanya.

Risikan polis dapati rakyat Malaysia sertai perang di Ukraine kerana minatnya dalam ketenteraan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Risikan polis mendapati seorang rakyat Malaysia menyertai peperangan di Ukraine.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata individu terbabit, seorang lelaki berusia 20 tahun dan berasal dari Kedah, memohon untuk menyertai tentera Ukraine secara dalam talian.

“Berdasarkan risikan kita mendapati subjek menyertai peperangan di Ukraine adalah kerana minatnya dalam ketenteraan dan tawaran gaji menarik antara USD400 hingga USD2,700 sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang,” katanya lapor Berita Harian.

“Selain itu tekanan daripada pihak keluarga turut dipercayai adalah faktor penyebab subjek sanggup menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara.”

Razarudin berkata lelaki itu dipercayai masih hidup dan berada dalam keadaaan selamat.

Razarudin berkata, semasa serangan dron Rusia, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri namun kad pengenalan dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih berada bersama dengannya.

Sebelum ini, gambar memaparkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia tular di media sosial.

Keluarga pemilik dokumen terbabit memaklumkan lelaki terbabit sedang melanjutkan pengajian di Ukraine, lapor Berita Harian.

Maut dilanggar lori ketika sedang makan diwarung

Asrol Awang
am@hmetro.com.my
KEADAAN lori yang merempuh sebuah warung menyebabkan seorang pelanggan maut di Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, Kuantan. FOTO JBPM Pahang
KEADAAN lori yang merempuh sebuah warung menyebabkan seorang pelanggan maut di Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, Kuantan. FOTO JBPM Pahang
Kuantan: Seorang pekerja bengkel besi maut manakala dua individu cedera selepas sebuah lori merempuh sebuah warung di persimpangan Kampung Seri Damai Baru, Batu 8, Jalan Kuantan-Maran, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa Affendi Abd Wahab, 51, dari Taman Guru di sini, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, dua mangsa, masing-masing pelanggan dan pemandu lori berusia 40 dan 25 tahun mengalami kecederaan menerima rawatan di HTAA dan sebuah hospital swasta di Tanjung Lumpur di sini.

"Berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan sebuah lori yang merempuh sebuah warung yang terletak di bahu jalan kira-kira jam 3.40 petang.

"Siasatan awal mendapati, lori terbabit dari arah Kampung Pandan menghala ke arah Gambang, di sini.

"Apabila tiba di tempat kejadian, ketika lori sedang bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebuah warung yang berada di bahu jalan.

"Lori terbabit turut melanggar dua mangsa iaitu pelanggan yang berada di warung terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anak pekerja bengkel hadir ke Balai Polis Trafik Kuantan pada 6 petang memaklumkan bapanya meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan HTAA.

"Sampel darah dan urin pemandu lori itu akan diambil untuk tujuan toksikologi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

4 lokasi FashionValet diserbu SPRM

Malaysiakini 

SPRM hari ini ke pejabat FashionValet Sdn Bhd di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas jenama fesyen tempatan itu.

Menurut video yang dimuat naik di akaun TikTok SPRM, suruhanjaya itu berkata pihaknya telah membuat serbuan di empat lokasi berkaitan hari ini.

“Siasatan berjalan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan sebanyak empat lokasi telah diserbu secara serentak hari ini

“Siasatan ini penting kerana ia merupakan satu kes berkepentingan awam,” menurut video itu.

Terdahulu, Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad’s (PNB) menanggung kerugian dalam pelaburannya berjumlah RM43.9 juta ke dalam FashionValet.

SPRM telah memulakan siasatan berhubung perkara itu mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula mengarahkan Khazanah menjalankan audit dalaman.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam sebagai berkata, SPRM telah mendapatkan beberapa dokumen kewangan daripada Kementerian Kewangan, Khazanah dan FashionValet.

"Kita akan memaklumkan (perkembangan siasatan) dari semasa ke semasa. (Siasatan) baru bermula minggu lepas. Sabtu saya umum kita memulakan siasatan, jadi Sabtu dan Ahad pejabat tidak buka, jadi hari ini kita baru memulakannya," katanya seperti dipetik.

Dalam jawapan bertulis Parlimen pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan menyatakan Khazanah dan PNB membuat pelaburan berjumlah RM47 juta dalam FashionValet pada 2018 namun hanya menerima RM3.1 juta selepas menjual pegagannya pada 2023.

Kementerian itu juga berkata berikutan wabak Covid-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar, perniagaan FashionValet terjejas teruk dan justeru memerlukan modal baru yang besar untuk meneruskan operasi. 

"Pada akhir 2023, sebuah syarikat bumiputera iaitu NXBT Partners telah menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB dalam FashionValet dan menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat tersebut. 

"Sehubungan itu, kesemua pemegang saham telah bersetuju menerima tawaran tersebut,” menurut kementerian itu.

Bina rumah ikut keperluan rakyat, bukan kehendak pemaju

Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya membina rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan harga berdasarkan keperluan dan pendapatan rakyat miskin serta B40, sebaliknya bukan mengikut kehendak syarikat pemaju.

Cadangan itu dibangkitkan R Yuneswaran (PH-Segamat) berikutan ramai golongan B40 dan miskin yang tidak berjaya membeli rumah, menyebabkan mereka terpaksa menyewa sehingga puluhan tahun.

Beliau berkata, pihaknya mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan kaji selidik bagi mencari penyelesaian dalam pembinaan rumah mampu milik, khususnya di kawasan luar bandar.

"Saya yakin setiap rakyat Malaysia wajib memiliki rumah, itu adalah tanggungjawab kerajaan, apa guna adanya kerajaan tapi rakyat duduk rumah sewa.

"Apakah kita membina rumah untuk orang kaya dan golongan pertengahan saja, bagaimana orang biasa dengan pendapatan sebanyak RM1,000 atau RM2,000...Apakah mereka tidak layak memiliki rumah?

"Ini adalah persoalan sangat besar. Apakah kerajaan tidak boleh membina rumah ikut kapasiti atau jumlah gaji yang mereka perolehi?

"Kita (sepatutnya) membina rumah berdasarkan keperluan rakyat bukannya membina rumah dan meminta mereka membayar berdasarkan apa yang dimahukan pemaju," katanya dalam sesi perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Melalui Belanjawan 2025, KPKT menerima peruntukan sebanyak RM5.934 bilion untuk tahun depan berbanding RM5.647 bilion pada 2024 dengan peningkatan 5.08 peratus iaitu bersamaan RM287.4 juta.

Pada masa sama, Yuneswaran berkata, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan luar bandar mampu mengawal migrasi penduduk ke bandar.

Katanya, dalam konteks di Segamat, seramai 3,000 sudah mendaftar bagi memperoleh kediaman mampu milik.

Dalam perkembangan lain, Yuneswaran berkata pihaknya mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan program sokongan psikologi dan undang-undang tanpa toleransi terhadap pihak yang terbabit dalam isu buli ketika berkhidmat di fasiliti KKM.

Beliau berkata, langkah proaktif itu penting bagi menyelesaikan kes buli dalam kalangan kakitangan KKM sehingga ada yang meninggalkan perkhidmatan.

SPRM nafi keluarkan kenyataan penemuan RM94 juta di rumah bekas menteri

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan membuat sebarang kenyataan yang mendakwa RM94 juta ditemui di kediaman bekas Menteri, seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pendang di Parlimen hari ini.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya menegaskan Ketua Pesuruhjaya tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan berkenaan.

"Walaupun SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, adalah penting agar kenyataan yang dibuat berasaskan fakta yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan.

"SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kenyataan dibuat oleh SPRM mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM berkaitan penemuan jumlah berkenaan di kediaman bekas Menteri," katanya.

Terdahulu,RSN Rayer (PH-Jelutong) memberi tempoh 24 jam kepada Awang Hashim (PN-Pendang) untuk mendedahkan nama pemimpin DAP yang didakwanya menyimpan wang berjumlah RM9.4 juta di rumah.

Rayer menyifatkan Awang, ketika membuat dakwaan itu, sebagai bertindak semberono dan tidak bertanggungjawab, serta menggunakan kekebalan di Dewan Rakyat untuk membuat tuduhan liar.

Beliau dipetik berkata tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan usul agar Awang dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 hari ini, Awang membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM9.4 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri daripada DAP.

MP Kampar mahu heret Wan Razali ke J'kuasa Hak

Shakira Buang & Ili Aqilah

PARLIMEN l Chong Zhemin (PH-Kampar) mengemukakan usul bagi merujuk Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan perkauman dan mengelirukan dewan pada 21 Okt lalu.

Chong berkata dia mengemukakan usul itu kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dan 36 (12), susulan kenyataan Wan Razali berhubung insiden mengibarkan bendera China di Teluk Intan baru-baru ini.

Chong berkata ucapan Wan Razali itu secara tersurat dan tersirat mengaitkan perbuatan mengibar bendera China itu dengan kesetiaan warganegara Malaysia berketurunan Cina dan India.

“Ucapan ahli parlimen Kuantan itu secara tersurat dan tersirat juga cuba mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India apabila dia menuduh rakyat Malaysia yang berbangsa Cina dan India selepas mendapat warganegara, berhimpun membawa bendera masing-masing di negara yang kita sayangi.

“Ucapan Ahli Parlimen Kuantan yang rasis telah menaikkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan satu kaum dalam Malaysia dan juga mengelirukan dewan kerana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang mengibar bendera Negara China di insiden Teluk Intan,” tambahnya.

Berdasarkan petikan ucapan Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 29 Oktober, Wan Razali dipetik sebagai berkata:

“Kita ingatkan kepada mereka yang mendapat kerakyatan bahawa jangan ada di kalangan mereka terlupa kesetiaan perlulah diberikan sepenuhnya kepada negara ini.

“Kita tidak mahu selepas mendapat warganegara, ada pula yang berhimpun membawa bendera masing-masing di negara yang kita sayangi ini tanpa mengikut saluran undang-undang negara kita".

Sebelum ini dilaporkan sekumpulan individu mengibarkan bendera China pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan pada 2 Okt lalu sehingga menerima kecaman orang ramai.

Penganjur acara itu kemudian memohon maaf dan menjelaskan perbuatan itu dilakukan warganegara republik berkenaan dan bukan rakyat Malaysia.

Siasatan polis mendapati penganjur melanggar syarat permit kerana membenarkan warga asing turut serta dalam perarakan berkenaan.

Pemuda disyaki cabul kakak ipar ditahan

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my

Jempol : Lelaki ditahan selepas dipercayai mencabul kakak iparnya di sebuah rumah dekat sini, pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata mangsa berusia 26 tahun mendakwa dicabul oleh suspek di dalam sebuah bilik ketika berada di rumah mentuanya.

Katanya suspek berusia 24 tahun itu didakwa masuk ke dalam bilik sebelum mencabul, dan keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa berada di rumah mentuanya itu sejak sebulan lalu.

"Mangsa mendakwa sebelum ini suspek tidak pernah mengganggunya dan ini adalah kejadian kali pertama," katanya hari ini.

Hoo berkata ketika kejadian hanya mangsa yang berada di rumah manakala ahli keluarga lain keluar bersiar-siar.

Katanya, suspek ditangkap jam 12.45 tengah hari di hadapan sebuah rumah di Bahau.

" Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan permohonan reman akan dibuat esok manakala kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

'Saya rompak kerana anak masuk hospital... tiada pilihan dan terdesak'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Saya buat (rompak) kerana anak kedua masuk hospital, saya tiada pilihan dan terdesak. Saya nak pinjam dengan orang tak ada yang mahu berikan.

"Saya amat menyesal atas perbuatan dilakukan dan merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap saya."

Demikian kata seorang lelaki sambil dalam keadaan sebak ketika membuat rayuan sebelum Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan dan denda RM1,000 atas kesalahan merompak, bulan lalu.

Tertuduh Engkapi anak Keai, 47, sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak pekerja kontrak di tapak pembinaan di Mukim Serom, Sungai Mati, Tangkak, 2 pagi, 27 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ke tapak pembinaan terbabit untuk mencari kerja namun gagal memandangkan tiada kekosongan.

Selepas itu, tertuduh pulang ke rumah dan pada pagi hari kejadian, dia kembali ke lokasi sebelum melarikan telefon bimbit milik pekerja kontrak.

Tertuduh sempat menjual telefon bimbit sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas meneliti dan mendengar hujahan serta rayuan kedua-dua pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun berkuatkuasa tarikh ditahan, 27 Oktober serta denda RM1,000.

Pada masa sama, mahkamah memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama sebulan jika gagal membayar denda.

Masalah sosial di Kelantan, setakat itu je ke alasan kerajaan negeri

'Jika benda tak baik nak masuk, kena lalu kita dulu' - Timbalan MB Kelantan

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: "Kita umpama di barisan hadapan (sempadan negara), jika benda tak baik (seperti) pil kuda nak masuk ke Malaysia, terpaksa melalui Kelantan dulu, jika kita bukan negeri yang kuat, kita akan rosak."

Demikian komen Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan susulan kecaman netizen terhadap tangkapan enam rakyat negeri itu termasuk penyanyi dikir barat moden di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu sedangkan Kelantan menerima jolokan Serambi Mekah.

Beliau berkata, Kelantan sebagai negeri yang bersempadan dengan negara jiran, sudah pasti terkait dengan 'produk' yang datang dari sana.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai masalah jenayah dan sosial tersendiri, maka menjadi tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing untuk menangani perkara itu dengan kerjasama agensi penguatkuasaan.

"Kesimpulannya Kelantan ini Alhamdulillah negeri beragama, kita ada banyak sekolah agama, tok guru, ulama dan masjid.

"Allah 'plan' begitu sebab kita berada di barisan hadapan dan benda tak baik nak masuk ke Malaysia terpaksa melalui kita dulu.

"Biarlah orang nak kata apa kerana semua boleh berkata, yang penting, sebagai pimpinan negeri, kita nak pastikan dapat kawal dengan kerjasama agensi penguat kuasa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Invest@Kelantan Forum & Expo (INFEX) 2024 di sini, hari ini.

Mengenai kes tangkapan itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menjalankan siasatan.

Mohamed Fadzli berkata, kes itu diharap menjadi pengajaran buat semua kerana ia membabitkan individu yang dikenali ramai iaitu ikon dikir barat moden.

"Kalau didapati tidak bersalah, Alhamdulillah dan kita mengharapkan sebegitu namun kalau memang berlaku (bersalah), kita amat sedih.

"Saya minta rakyat Kelantan supaya berjaga-jaga terutama bila ada nama, berilah contoh tauladan baik kepada orang lain," katanya.

Terdahulu media melaporkan, rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan, ditangkap di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu kerana memiliki 6,000 pil kuda.

Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 32 tahun pada jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Wanita didenda RM2,500 kerana bunuh warga emas tanpa niat

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
SITI Nuridah didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah melakukan bunuh tanpa niat terhadap seorang warga emas di hadapan pintu masuk sebuah pasaraya, minggu lalu. FOTO L Manimaran
Ipoh: Seorang wanita didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seorang warga emas tanpa niat di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya, minggu lalu.

Majistret Siti Nora Sharif turut menetapkan tertuduh, Siti Nuridah Jumli, 24, yang juga seorang peniaga dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Siti Nuridah bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian Abd Kamar Mat Sarin, 64, di hadapan pintu sebuah pasar raya di Klebang, dekat sini, antara jam 4.20 hingga 5.30 petang, 25 Oktober lalu.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Berdasarkan fakta kes, Siti Nuridah bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh menampar tepi muka dan belakang Abd Kamar sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa, dengan tidak mempunyai niat membunuh.

Laporan perubatan juga menunjukkan mangsa mempunyai masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis mengklasifikasikan semula kes pembunuhan dengan niat terhadap warga emas itu kepada membunuh tanpa niat.

Motif kejadian dipercayai berpunca akibat pergaduhan apabila mangsa dikatakan sering mengganggu suspek wanita untuk dipikat.

Pelajar wanita Iran tanggalkan baju tanda protes gangguan pemakaian ketat

Malaysiakini 
story-image
Amnesty International menuntut pihak berkuasa Iran untuk “segera dan tanpa syarat” membebaskan seorang pelajar perempuan yang ditangkap selepas menanggalkan pakaiannya sehingga menampakkan seluar dalamnya dalam apa yang disifatkan organisasi itu sebagai bantahan terhadap gangguan pemakaian yang ketat di negara itu.

Menurut akhbar The Guardian, insiden itu berlaku selepas wanita itu, yang tidak dikenali, dilaporkan berkonfrontasi dengan anggota pasukan separa tentera Basij yang mengoyakkan tudungnya dan pakaiannya di Universiti Islam Azad di Tehran.

Video yang tersebar di media sosial itu memaparkan wanita tersebut menanggalkan pakaiannya dan berjalan keluar dengan hanya pakaiannya dalamnya. Selepas itu, dia berjalan di hadapan orang ramai.

Video kedua menunjukkan wanita itu dimasukkan ke dalam sebuah kereta secara paksa oleh lelaki berpakaian biasa.

Saluran media sosial Buletin Amir Kabir melaporkan bahawa kejadian itu berpunca daripada gangguan yang dialami wanita tersebut daripada anggota Basij, paramiliter sukarelawan Iran.

Ia juga melaporkan bahawa wanita tersebut dipukul semasa tahanan.

Di Iran, wanita dikehendaki memakai tudung dan pakaian longgar sebagai kod pemakaian wajib. Individu boleh dikenakan hukuman berat walaupun bagi kesalahan kecil.

Gelombang protes terhadap kod pemakaian meletus di Iran sejak 2022 berikutan kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis moral setelah ditangkap kerana didakwa tidak memakai tudung dengan betul.

Hina, maki hamun agama Islam, NGO buat laporan polis

AZMI NORDIN
Tangkap layar seorang lelaki menghina agama Islam serta mengaitkan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed.
PETALING JAYA – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat membuat laporan terhadap seorang pengguna media sosial yang memuat naik hantaran video menghina agama Islam menerusi akaun media sosialnya.

Ketua Biro Politik Sekretariat, Shahbudin Embun berkata, dia telah melihat sebuah video dimuat naik pengguna @TanChongRen yang berdurasi lebih satu minit di aplikasi TikTok.

“Lelaki tersebut membuat rujukan di YouTube berhubung kenyataan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan begitu marah dengan mengeluarkan perkataan menghina Melayu dan Islam.

“Selepas meneliti video itu, saya mendapati ia berunsur menghasut, mengandungi ugutan jenayah, menggunakan perkataan jelik, mengapi-apikan isu agama, kaum dan institusi raja (3R) serta kesalahan di bawah Akta Komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap menjalankan siasatan lanjut secara terperinci terhadap video berkenaan demi keselamatan dan kestabilan politik negara.

Tambah Shahbudin, tindakan tegas harus diambil segera termasuk menurunkan kandungan video tersebut sebelum tersebar meluas pada umum. – KOSMO! ONLINE.

Pemuda hilang selepas berjalan ke tengah Sungai Muar

FARAHWAHIDA AHMAD
Pihak bomba masih menjalankan operasi SAR seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas berjalan ke tengah Sungai Muar, semalam.
MUAR – Seorang pemuda dilaporkan hilang selepas berjalan ke tengah Sungai Muar di Jeti Parit Tiram, Jalan Salleh, Muar ketika air surut awal pagi semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba Muar, TPgB II Shahrizal Mokhtar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada kira-kira pukul 3.32 pagi.

“Melalui maklumat yang kami terima, pemuda berusia 20 tahun tersebut di lihat berjalan ke tengah sungai namun tidak kembali ke tebing selepas beberapa kali dipanggil.

“Pada pukul 11:30 pagi semalam, pencarian mangsa diperluaskan secara ‘surface searching’ meliputi 0.5 batu nautika ke hilir sungai oleh tiga orang anggota bomba.

“Pada sebelah petang, pencarian difokuskan di kawasan hotspot atau titik panas menggunakan bot fiber, melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

24 tahun hidup dengan ibu bapa 'palsu'

Agensi

Beijing: Seorang wanita di utara China mendapati dia bukan anak kandung ibu bapanya selepas melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) disebabkan gurauan rakan sekerja yang mengatakan dia tidak kelihatan seperti penduduk tempatan.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, susulan keputusan ujian itu, pengguna media sosial China memberi galakan kepada wanita terbabit untuk mencari ibu bapa kandungnya.

Dalam temubual dengan stesen penyiaran Henan pada 24 Oktober lalu, wanita dikenali Dong, 24, itu berkongsi kisah bagaimana rakan sekerjanya sering mengulas mengenai penampilan dia yang berbeza.

"Saya tinggal di Xinxiang sepanjang hidup saya tetapi selepas mula bekerja, rakan-rakan saya selalu kata, 'awak tidak kelihatan seperti kami sama sekali. Hidung awak lebar, bibir awak tebal dan mata awak besar dan lebih dalam berbanding kami'.

"Mereka kata lagi 'awak tidak kelihatan seperti orang dari Henan langsung'," kata Dong mengimbas kembali komen rakan sekerjanya.

Terganggu dengan ulasan itu, Dong bertanya ibu bapanya namun mereka mengelak untuk menjawab, sebaliknya memberikan maklumat berkaitan kelahiran yang bercanggah.

Disebabkan rasa ingin tahu yang mendalam dan kekeliruan mengenai asal usulnya, Dong membuat keputusan untuk mengambil ujian genetik.

"Setiap malam saya berfikir, dari mana sebenarnya saya berasal," katanya.

Akhirnya, keputusan ujian menunjukkan dia berkemungkinan berasal dari wilayah Guangxi, terletak jauh di selatan China, sekali gus menafikan sebarang kaitan dengan Henan.

Selepas media melaporkan insiden itu, seorang wanita dengan nama keluarga Qi dari Guangxi menghubungi kerana mengesyaki Dong mungkin anaknya yang hilang sejak sekian lama.

"Ini kebetulan yang agak menarik kerana wanita muda itu juga (Dong) berusia 24 tahun (seperti anaknya yang hilang). Saya melihatnya dan merasakan dia mirip anak perempuan saya walaupun saya tidak pernah berpeluang melihatnya selepas dia dilahirkan.

"Saya mengalami kesakitan yang agak teruk selepas melahirkan dan menangis depan suami setiap hari, tertanya ke mana anak perempuan menghilang," kenang Qi.

Qi dan Dong mempunyai persamaan ketara termasuk ciri-ciri wajah yang serupa.

Nama didaftarkan kepada Dong juga mengandungi perkataan 'Lan', sama seperti nama anak perempuan Qi yang hilang.

"Jika ia benar-benar terbukti mereka adalah keluarga kandung saya, maka inilah berita yang paling menggembirakan saya," kata Dong.

Difahamkan ketika ini, Qi dan anak lelakinya sedang merancang perjalanan ke Henan bagi bertemu Dong.

Sukarelawan dari Baobei Huijia, pertubuhan kebangsaan yang aktif dalam pencarian orang hilang di wilayah Guangxi, turut dihubungi untuk membantu mengumpulkan sampel DNA dan menjalankan ujian buat pasangan berkenaan.

Berkocak di sebalik ‘pelan damai’

Hishamuddin Aun

Kemenangan Hilman Idham sebagai ketua Pemuda Bersatu mungkin hanya ‘puncak di bongkah ais’ mengenai pergolakan dalam Bersatu keseluruhannya.

Ketika Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir diumumkan secara tidak rasmi menang ketua sayap itu pada 27 Okt lalu, seorang rakan yang juga sumber dalaman Bersatu berkongsi melalui pesanan WhatsApp: “Saya tak pasti ini tapi saya dimaklumkan Akmal Zahin tak menang.”

Ketika itu, keputusan dikeluarkan pusat penjumlahan undi Pemuda menunjukkan Zahin memperoleh 2,432 undi — hanya perbezaan 76 undi mengatasi lawannya Adun Gombak Setia Hilman Idham yang meraih 2,356 undi.

Mengapa pusat penjumlahan undi Pemuda tergesa-gesa mendahului pengumuman itu hanya mereka yang tahu motif sebenarnya.

Sambil keputusan tidak rasmi itu dikeluarkan pada sebelah petang, malam yang sama pula Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu mengeluarkan kenyataan supaya semua pihak tidak membuat sebarang pengumuman atau spekulasi sehingga kenyataan rasmi dibuat.

Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kenyataan JPP itu dibuat – membayangkan ia cuba melakukan kawalan kerosakan sebelum keputusan tidak rasmi itu yang sudah disambut gembira oleh penyokong Zahin menular di luar kawalan.

Kata Pengerusi JPP Abdul Azim Mohd Zabidi, pengumuman bagi pemilihan jawatankuasa sayap Pemuda dan Wanita – daripada persidangan masing-masing pada 26 Okt — hanya akan dibuat setelah JPP selesai menyemak pematuhan peraturan pemilihan dan tatacara pengundian serta penjumlahan undi yang
teratur serta memperhalusi semua bantahan dan aduan diterima.

Zahin sendiri yang tidak mahu mendahului keputusan rasmi JPP mengakui berdebar-debar, namun menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa itu untuk membuat keputusan.

Juga dilaporkan bahawa sejurus berita mengenai kemenangan Zahin tersebar, jemputan untuk sambutan kemenangan dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp Penerangan Media PN. Namun, menariknya, sambutan meraikan ketua Pemuda Bersatu yang baharu pada 5 petang 27 Okt itu adalah untuk Hilman, bukannya Zahin.

Berselang dua hari, Hilman diumumkan secara rasmi menang jawatan ketua Pemuda Bersatu dengan memperoleh 1,888 undi, iaitu 170 undi mengatasi Zahin, yang meraih 1,718 undi – berlawanan dengan keputusan tidak rasmi sebelumnya.

Ini disusuli penafian JPP terhadap dakwaan kononnya wujud campur tangan luar dalam pemilihan Hilman, sebaliknya ia hanya disahkan setelah jawatankuasa itu sebulat suara memutuskannya selepas menimbangkan semua bantahan yang dikemukakan ketika pemilihan.

Menjelaskan perkara itu, Azim berkata sejumlah 111 bahagian Pemuda bersidang dan berdasarkan kertas undi diterima, jumlah kehadiran pada tahap 42% daripada perwakilan yang layak hadir, iaitu 9,076 orang. JPP turut menerima 27 aduan dan bantahan, antaranya berkaitan peraturan sidang, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.

“JPP pusat telah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa dimiliki, yang diberikan perlembagaan parti dan MPT,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan sayap Pemuda di ibu pejabat parti.

Namun dari awal lagi, penyandang Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat berada di tengah-tengah perebutan sengit penggantinya dengan kecenderungannya memihak kepada Zahin berbanding Hilman.

Dengan mensyaratkan penggantinya mesti bersih dan bebas skandal pada 13 Okt lalu, Ahli Parlimen Machang itu berkata calon penggantinya tidak boleh menjadi liabiliti sehingga menjejas serta menyebabkan parti kalah pada PRU16.

Di samping itu, tambahnya, penggantinya hendaklah boleh bekerjasama baik dengan Pemuda PAS – seperti didakwa dilakukannya sendiri sejak 2020 hingga mewujudkan jentera mantap untuk meraih keputusan cemerlang di kerusi majoriti pengundi Melayu pada PRU15 — selain lantang dan berani menandingi seteru daripada Umno Dr Akmal Saleh.

Kebimbangannya ialah hubungan sayap Bersatu itu dengan PAS mungkin retak jika Hilman – dikatakan berada dalam kem Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali – menang pemilihan. Dalilnya ialah Pemuda PAS tidak begitu agresif membantu pada PRK Kuala Kubu Baharu dan Mahkota diketuai Azmin kerana kurang berkenan dengan kem itu.

Lantas, Wan Fayhsal mencadangkan Zahin sebagai penggantinya – sesuatu yang didakwanya dipersetujui secara prinsip oleh ahli dan pemimpin Pemuda Bersatu.

Menafikan dakwaan mereka lebih berkenan kepada kem tertentu sehingga mampu mempengaruhi keputusan pertandingan ketua Pemuda Bersatu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi menegaskan pihaknya tidak campur tangan urusan dalaman parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

Maknanya kemenangan Hilman bukan saja mendedahkan cakap-cakap Wan Fayhsal tidak begitu didengar, malah pendirian beliau yang dilihat menyebelahi kem presiden dan timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin dalam perang proksi dengan kem Azmin gagal mempengaruhi Pemuda di bahagian-bahagian yang sudah memutuskan siapa yang mereka mahukan.

Julai lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata beliau diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan tidak meningkatkan suhu dalam parti sehingga menimbulkan perpecahan.

Menerusi satu pelan kompromi, Muhyiddin akan kekal menerajui Bersatu dibantu Hamzah manakala dua penyandang Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang turun dari jawatan timbalan presiden dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.

Azmin yang sebelum ini diuar-uarkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pula dijangka menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung, satu jawatan lantikan.

Pengumuman JPP pada 4 Okt lalu selepas senarai pencalonan dimuktamad menunjukkan pelan kompromi itu hampir mencapai matlamat sepenuhnya apabila Muhyiddin dan Hamzah disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua.

Bagaimanapun, selain Peja, Kiandee dan Radzi, tiga calon lain Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin turut serta dalam perebutan tiga kerusi naib presiden yang membabitkan enam calon semuanya.

Ini mendorong Wan Fayhsal mempersoalkan tindakan beberapa ahli MPT yang didakwanya tidak menuruti pelan yang telah dipersetujui, menyebabkan Muhyiddin ‘amat sedih dan kecewa’ dan memberi gambaran tidak baik terhadap parti.

Namun, terbaru Wan Fayhsal – yang bertanding merebut 20 kerusi ahli MPT– dipertahankan supaya tidak dihukum oleh perwakilan yang akan mengundi selepas satu pendedahan rakaman video yang menunjukkan beliau didakwa menyifatkan Muhyiddin sebagai tidak lagi relevan pada 2022.

Adakah Wan Fayhsal mahu melakukan lebih daripada sepatutnya dengan menyusun keanggotaan lebih ramai daripada kem Muhyiddin-Hamzah dalam Pemuda, Wanita dan MPT dengan meminimumkan penyokong Azmin?

Mengibaratkan kemenangan Hilman memberi kelebihan kepada kem Azmin, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan bagaimanapun menganggap ‘kunci kuasa’ sebenar dalam parti adalah kemampuan menguasai 20 kerusi MPT.

“Paling penting 20 MPT yang membuat keputusan dan dasar dalam parti. Kem mana memiliki wakil (lebih banyak) dalam MPT akan menentukan pengaruh mereka,” katanya.

Keputusan penuh pemilihan hanya akan diketahui dalam sehari dua tetapi sehingga itu ‘pelan damai’ yang diuar-uarkan dilihat sudah pun berkocak.

'Gelombang keluar parti’ akibat tak puas hati pemilihan Bersatu ‘diatur’

Chia Wan Rou

Kewujudan ‘kem-kem’ dalam parti serta kepimpinan presiden yang dilihat lemah turut dikatakan menjadi faktor.

Terdahulu timbul desas-desus bahawa terdapat dua kem dalam Bersatu, masing-masing berpihak kepada Azmin Ali dan Hamzah Zainudin, mencetuskan perpecahan dalaman.
PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat, unsur ‘aturan’ kepimpinan tertinggi yang ketara dilihat dalam pemilihan Bersatu kali ini mendorong rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi memuncak, sehingga berlaku ‘gelombang keluar parti’.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata, rasa tidak puas hati itu mula wujud apabila jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, sekaligus masing-masing terus disandang Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin.

“Perwakilan atau akar umbi (Bersatu) tak puas hati kerana tidak diberi kemudahan atau laluan untuk buat pilihan dua jawatan tertinggi itu. Sebaliknya mereka hanya dibenarkan pilih naib presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap sahaja.

“Juga timbul kemelut akibat pertembungan dua kem (Hamzah dan Azmin Ali) yang masing-masing ingin meletakkan calon sendiri bagi jawatan tertentu,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, kegagalan Muhyiddin mengurus dan memimpin parti ke arah lebih baik memudarkan semangat akar umbi, khususnya berkait demokrasi parti.

Dalam pada itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, selain kewujudan ‘kem-kem’ tertentu, kegagalan pembangkang mencapai memorandum persefahaman dengan kerajaan juga mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti.

“Selain itu, kelemahan pembangkang mewujudkan semak imbang yang baik bagi kerajaan turut menyebabkan ketidakpuasan hati,” katanya.

“(Ahli-ahli) mungkin merasakan pembangkang lemah dan tidak dapat menjamin kelangsungan perjuangan di masa depan, mendorong mereka keluar parti dan mencari wadah baru.”

Semalam, Bersatu Tenggara didakwa terbubar serta-merta susulan keputusan ketua dan 30 ahlinya, termasuk 15 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu keluar parti.

Bekas ketua bahagian itu, Hassan Rasid berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti, selain tidak telus melaksanakan tanggungjawab.

Tindakan ini menyusuli tindakan bekas bendahari Bersatu Pahang Roslan Hassan yang mengumumkan keluar parti bersama 40 ahli lain atas alasan sama pada Jumaat lepas.

Terdahulu timbul desas-desus bahawa terdapat dua kem dalam Bersatu, masing-masing berpihak kepada Hamzah dan Azmin.

Perpecahan dalaman akibat kewujudan dua kem itu menjadi ketara apabila berlaku protes dalam sayap Pemuda selepas Adun Gombak Setia Hilman Idham menang jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan.

Guna mimpi bertemu Nabi untuk tarik pengikut jahil, bekas YDP Yadim tuju kepada siapa?

SITI NUR ZAWANI

Banyak ajaran sesat yang menggunakan mimpi bertemu Nabi Muhammad untuk menarik pengikut jahil, kata bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.

Beliau berkata, sesuatu ajaran baru yang diambil dari mimpi bertemu Nabi dan menerima arahan baginda dari mimpi tersebut adalah sebahagian dari tanda ajaran sesat.

Katanya, jika dahulu orang menggunakan hadis palsu sebagai hujah untuk sokongan politik, kini mimpi bertemu Nabi pula digunakan.

“Dahulu orang mereka cipta hadis palsu sebagai hujah untuk mendapat sokongan untuk  gerakan politik mereka.

“Seperti misalnya gerakan Syiah. Sekarang mimpi bertemu Rasulullah yang digunakan.

“Jika pesan Rasulullah untuk sesuatu yang tidak berlawanan dengan syariat, cukuplah dengan dalil al-Quran dan Sunnah.

“Mengapa dibawa pula mimpi yang tidak syarie sebagai dalil. Apa tujuan ia dibawa bersama dengan dalil syarie yang sebenar,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Mohd Nakhaie menyebut bahawa tanda lain yang menuju kesesatan adalah apabila parti Islam yang menyangka ia terlalu benar sehingga pemimpinnya tidak boleh ditegur.

“Mereka sangka parti Islam itu terlalu benar dan pemimpinnya tak boleh ditegur atau dikritik. Pegangan seperti ini jalan menuju kesesatan,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya seseorang bermimpi Nabi menyampaikan sesuatu pesanan, adakah orang itu yakin  bahawa dia berada di jalan yang benar dengan mimpinya itu?

“Bagaimana pula dalam realiti hidupnya dia yakin Perlembagaan Negara ini thaghut dan pada waktu yang sama dia bersumpah dengan nama Allah untuk mempertahankan perlembagaan itu?

“Adakah apa yang dilakukannya itu benar dan dia yakin benar?,” ujarnya.

Lapan termasuk penuntut universiti ditahan berjudi dalam rumah

FMT Reporters

Semua yang ditahan terdiri daripada warga tempatan berusia antara 20 hingga 27 tahun, kata ketua polis Selangor.
PETALING JAYA: Lapan individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan polis ketika bermain judi ‘poker’ di sebuah unit pangsapuri studio di Subang Jaya awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, semua yang ditahan terdiri daripada warga tempatan berusia antara 20 hingga 27 tahun, dengan empat daripadanya penuntut universiti swasta manakala yang lain bekerja sebagai jurujual.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, hasil maklumat dan risikan, tambahnya.

“Polis merampas wang tunai berjumlah RM1,700, cip dan meja poker dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu,” katanya, lapor Bernama.

Hussein berkata, permohonan reman terhadap mereka akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Suami dibunuh, isteri antara 4 ditahan

Bernama

Mangsa didapati ditikam di dagu kanan selain ditetak di belakang kepala.

Timbalan Ketua Polis Lahad Datu, Jimmy Panyau, berkata isteri mangsa ditahan pada hari kejadian lelaki itu dibunuh. (Gambar Freepik)
LAHAD DATU: Isteri antara empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh lelaki tempatan berusia 51 tahun di sebuah simpang di Batu 3, Jalan POIC, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Lahad Datu, Jimmy Panyau, berkata pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa pada 12.43 tengah hari dengan mendakwa suaminya meninggal dunia dipercayai dibunuh.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kesan tikaman di dagu sebelah kanan, tetakan di belakang kepala, dan dahi kiri serta lebam di dada kanan, bahagian belakang, dan pinggang.

“Mayat terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Jimmy berkata, susulan itu dua suspek lelaki dan isteri mangsa ditahan pada hari kejadian, manakala seorang lagi suspek lelaki ditahan semalam.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut dan pihaknya sedang menjalankan siasatan secara terperinci daripada pelbagai sudut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis rakam percakapan lelaki dipukul selepas terbabit kemalangan 7 kenderaan

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my
Tujuh kenderaan terbabit kemalangan di lampu isyarat pekan Bagan Serai, tengah malam Sabtu. FOTO TULAR
Tujuh kenderaan terbabit kemalangan di lampu isyarat pekan Bagan Serai, tengah malam Sabtu. FOTO TULAR
Bagan Serai: Lelaki yang dipukul beramai-ramai selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di kilometer 110 Jalan Ipoh Butterworth sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, dalam kejadian pada jam 12.15 tengah malam tadi, mangsa berusia 52 tahun adalah salah seorang yang terbabit dalam kemalangan itu

"Sewaktu kejadian empat kereta, sebuah pacuan empat roda dan motosikal dikatakan berhenti berikutan lampu isyarat berwarna merah.

"'Kesemua kenderaan terbabit datang dari arah Bagan Serai menghala Parit Buntar dan berhenti di kawasan lampu isyarat.

"Seterusnya datang sebuah kenderaan dari lorong kanan dan melanggar kesemua kenderaan yang berada di hadapan dan lorong tengah.

"Bagaimana pun kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan sudah membuat laporan polis mengenai kejadian," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi pada jam 12 tengah hari tadi pihak polis mengesan video seorang lelaki dipukul secara beramai-ramai dan video berkenaan tular di laman sosial.

"Susulan video itu pihak polis berjaya mengesan mengesan mangsa dan sudah dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kejadian itu.

"Mangsa adalah pemandu yang menyebabkan kemalangan terbabit namun tidak membuat laporan polis dipukul kerana tidak mengalami kecederaan sebaliknya hanya membuat laporan berhubung kemalangan," katanya.

Juna berkata kes disiasat dibawah Peraturan 10 LN 165/59 dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Hasnita Kassim di talian 05-721 0539.

Wow!! Dahsyat!! Hadi mimpi didatangi Rasulullah di kampung Rusila, Terengganu bersama sahabat baginda, menyampaikan pesanan tentang syiah dan sunni

Kami ‘anak-anak’ beliau dalam Pas percaya mimpi Hadi Awang jumpa Nabi

Harapandaily

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau dan ahli-ahli lain dalam parti percaya dengan mimpi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bertemu dengan Nabi Muhammad.

Beliau berkata, mimpi itu diceritakan sebagai satu perkongsian keluarga antara seorang “bapa” dalam perjuangan untuk “anak-anaknya” dan bukan tujuan untuk memuja diri sendiri.

Video Hadi Awang bercerita tentang mimpi bertemu Rasulullah ketika program Ijtima Tarbawi baru-baru ini tersebar di media sosial.

Hadi mendakwa didatangi Rasulullah yang melawatnya di kampung Rusila, Terengganu bersama sahabat baginda sebelum menyampaikan pesanan tentang syiah dan sunni.

“Apabila TGHH menceritakan mimpinya bertemu Rasulullah SAW memerintahkan supaya diperkuatkan perpaduan umat Islam, terserahlah sama ada mahu percaya atau tidak, tiada siapa yang memaksa.

“Adapun kami sebagai ‘anak-anak beliau’ di dalam Pas kami memilih untuk percaya, apa yang anda nak kalut?,” soalnya di Facebook.

Ahmad Fadhli berkata, kenyataan seorang ulama UMNO memang benar bahawa dakwaan mimpi bertemu Nabi Muhammad tidak boleh dijadikan hujah, namun katanya jika apa yang didapati dari mimpi tersebut selari dengan tuntutan syarie, maka tiada masalah.

Katanya menyuruh ke arah perpaduan ummah adalah selari dengan tuntutan syarie dan ia memperkuatkan azam serta tekad melaksanakan tuntutan Islam.

“Lainlah jika tiba-tiba mimpi tersebut mengarahkan sesuatu yang bertentangan dengan syarak. Contoh, disuruh tinggalkan puasa di bulan Ramadhan, atau tinggalkan solat.

“Maka ia tidak terpakai, kerana syarak telah meletakkan panduan dari awal, dan mimpi itu tidak boleh membatalkan syarak yang telah digariskan dari awal.

“Apa punya orang la yang memakai gelaran ‘ulama UMNO’ ni, patutlah tersasar jauh, rupanya memang pening dari awal,” katanya lagi.

Enam termasuk penyanyi dari Kelantan positif dadah di Thailand

Bernama

Mereka akan dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk direman esok.

Semua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu akan dibawa keluar dari lokap Balai Polis Sungai Golok pagi esok untuk dihantar ke Mahkamah Narathiwat.
KOTA BHARU: Enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita dari Kelantan yang ditahan polis Thailand semalam bersama 6,000 biji pil kuda didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut sumber polis Thailand, semua suspek yang ditahan di lokap Balai Polis Sungai Golok akan dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk direman, esok.

“Semua suspek berusia antara 25 hingga 34 tahun itu akan dibawa keluar dari lokap Balai Polis Sungai Golok pagi esok untuk dihantar ke Mahkamah Narathiwat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis tempatan dari Kelantan ditahan dalam serbuan dijalankan polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, pada 6 pagi, Jumaat.

Hasil pemeriksaan dalam bilik terbabit menemukan kira-kira 6,000 biji pil kuda dan semua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan dua daripada suspek ditahan, dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

JPJ panggil semula 3,722 kereta Perodua Alza, Aruz, motosikal Honda CB350RS

Mahani Ishak
mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 3,722 kenderaan Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS keluaran 2024, kerana tidak mematuhi peraturan spesifikasi ditetapkan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata ia membabitkan sebanyak 2,518 kereta Perodua Alza 1500 x (CVT), 1500 H (CVT) dan 1500 AV (CVT), 1,139 Perodua Aruz 1500 X dan 1500 AV kerana berkaitan masalah ketinggian sasaran lampu utama tidak memenuhi peraturan spesifikasi.

Katanya, bagi 65 motosikal Honda CB35ORS pula berkaitan permasalahan pada sensor kelajuan roda menyebabkan sistem brek antikunci (ABS), 'traction control' dan meter had laju tidak tepat.

"Setiap pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi Perodua Manufacturing Sdn Bhd (Perodua) dan Boon Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda).

"la bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing atau pemilik kenderaan turut dibenarkan hadir secara 'walk-in' ke mana-mana pusat servis pusat servis yang berhampiran di seluruh negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aedy Fadly berkata, mana-mana komponen terbabit dengan isu itu akan digantikan dengan kos ditanggung pihak syarikat pengeluar kenderaan berkenaan.

Justeru, katanya, semua pemilik kenderaan model berkenaan diminta membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

Katanya, berhubung maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula itu, pemilik kenderaan boleh mengunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan Perodua dan Boon Siew Honda berdekatan.

Bagi pemilik Perodua, mereka boleh talian,1-800-88-6600 atau melayari https://www.ufirst.com.my/member/login atau melalui aplikasi U-First.

Sementara untuk Boon Siew Honda, pelanggan boleh menghubungi talian 1-800-88-3993 (BSH Customer Care Line) atau melayari https://boonsiewhonda.com.my/after-sales/recall-campaign/.

Katanya, JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan kesemua unit kenderaan terbabit akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.

Lelaki conteng jambatan besi kereta api ditahan

ASLIZA MUSA
CONTENGAN yang dilakukan seorang lelaki di jambatan besi di Kampung Bahagia, Teluk Intan semalam.
TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai melakukan khianat dengan menconteng jambatan besi kereta api di Kampung Bahagia di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan oleh angggota Unit Rondaan Bermotor (URB) ketika sedang melakukan perbuatan tersebut sekitar pukul 10 malam.

Katanya, sebanyak empat tong cat pelbagai warna dirampas ketika tangkapan dijalankan ke atas suspek.

“Hasil soal siasat awal, lelaki itu mengaku menconteng dengan lukisan bercorak di atas laluan jambatan berkenaan.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan, suspek yang memiliki lapan rekod jenayah lampau dari tahun 2012 hingga 2022 itu positif dadah jenis ganja,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda awam.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan sebaik sahaja siasatan yang dijalankan terhadap suspek lengkap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Nakhaie: Alasan mimpi bertemu Rasulullah untuk sebar ajaran sesat baharu

Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tanda ajaran sesat wujud apabila sesuatu ajaran baharu itu diambil daripada mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW serta menerima arahan baginda dari mimpi berkenaan.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata hakikatnya banyak ajaran sesat muncul yang menggunakan mimpi bertemu nabi untuk menarik pengikut jahil.

"Dahulu orang mereka cipta hadis palsu sebagai hujah untuk mendapat sokongan untuk gerakan politik mereka. Seperti misalnya gerakan Syiah. Sekarang mimpi bertemu Rasulullah yang digunakan.

"Jika pesan Rasulullah untuk sesuatu yang tidak berlawanan dengan syariat cukup dengan dalil al-Quran dan sunnah. Mengapa dibawa pula mimpi yang tidak syarie sebagai dalil.

Beliau berkata, biarpun mimpi Rasulullah itu boleh dianggap sebagai satu petunjuk, namun ajaran agama yang dibawa dan disebarkan mesti bersandarkan ilmu, bukan daripada mimpi.

"Mimpi seperti itu adalah petunjuk. Allah bagi petunjuk dengan apa cara yang dikehendaki-Nya. Tetapi ajaran Allah diketahui dan diamalkan dengan ilmu, tidak dengan mimpi," katanya menjawab seorang pengikutnya di Facebook, Nazri Aldusuni yang mendakwa masuk Islam selepas mendapat satu mimpi.

Irsyad hukum siri ke-334 berkaitan takwilan mimpi dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 25 November 2019 menyimpulkan bahawa, mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syar'ie sama ada halal, wajib atau haram.

Jelasnya, ia tidak boleh dijadikan hujah ke atas diri sendiri atau orang lain, oleh kerana orang biasa tidak mampu melepaskan diri daripada hasutan syaitan.

"Justeru tidak boleh memastikan kesahihan takwilan mimpi yang dialami biarpun dia bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Hanya mimpi nabi dan rasul saja mimpi yang benar yang dijadikan sumber hukum serta merupakan hujah syarak, kerana mereka dilindungi Allah SWT dan terlepas daripada mainan syaitan," katanya.

Kartel baja: SPRM cekup 2 bekas pengurus besar pertubuhan pertanian

Malaysiakini 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan pertanian, bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta, semalam.

Menurut sumber SPRM kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an hingga 60-an itu ditahan sekitar 8.30 malam, ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakamkan keterangan.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa,” menurut sumber itu.

Menurut sumber SPRM itu, Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Sazly Md Sani, membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 serta 6 Nov depan, selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan dan kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 30 Okt, media melaporkan SPRM menahan seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat, berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian, yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Susulan penahanan itu, seramai dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat yang merupakan warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

- Bernama

Remaja Malaysia dipenjara seumur hidup di UK, taksub alat penukul dan pembunuhan

BuletinTV3 
Remaja warga Malaysia, Thomas Wei Huang. – FOTO: Devon and Cornwall Police
LONDON: Seorang remaja warga Malaysia yang menyerang dua pelajar di United Kingdom (UK) dengan menggunakan tukul, ‘mempelajari’ tindakan sedemikian selepas melakukan penyelidikan secara dalam talian mengenai pembunuhan bersiri dan kaedah membunuh.

Memetik laporan akhbar Daily Mail, Thomas Wei Huang, 17, bertelagah dengan seorang daripada mangsa selepas dihina sewaktu kelas mata pelajaran Sains, yang turut membabitkan ketegangan dengan seorang lagi pelajar perempuan.

Semasa perbicaraan yang mengakibatkan dia dihukum penjara seumur hidup, mahkamah mengesahkan Wei Huang begitu taksub dengan tukul dan pembunuh ganas.

Seorang pakar psikologi mencadangkan bahawa tindakan Wei Huang boleh dikaitkan dengan keganasan semasa tidur.

Namun, seorang lagi pakar berhujah bahawa Wei Huang mungkin dalam keadaan sedar semasa melakukan serangan itu .

Menurut Wei Huang, dia ada menyimpan tukul di tepi katilnya untuk melindungi dirinya daripada ‘kiamat zombi’, sambil menambah kesal dengan tindakannya itu.

Peguam Wei Huang, Kerim Fuad KC, menyifatkan kes terbabit sebagai tragis dan luar biasa, memetik tekanan melampau akibat peperiksaan, isu peribadi dan dakwaan eksploitasi seks antara faktor serangan itu berlaku.

Menurut laporan berita Sky News pula, Wei Huang yang ketika itu berusia 16 tahun, menyerang dua remaja lelaki di asrama Sekolah Blondell dekat Tiverton, Devon pada Jun tahun lalu.

Ekoran itu, kedua-dua mangsa mengalami keretakan tengkorak dan kecederaan pada tulang rusuk, limpa dan paru-paru, manakala seorang lagi mangsa mengalami tusukan pada paru-parunya.

Selain itu, Wei Huang juga menyerang guru yang cuba campur tangan dengan memukulnya berulang kali dekat bahagian kepala dengan tukul.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Johannah Cutts berkata, Wei Huang merancang serangan terlebih dahulu, sambil menegaskan yang remaja itu mengetahui akibat yang boleh membawa maut kesan daripada tindakannya.

Tegas Cutts lagi yang tindakan Wei Huang menimbulkan risiko besar untuk mengulangi tingkah lalu sama sehingga mengundang tahap bahaya yang tinggi kepada orang ramai.

Wei Huang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan hukuman penjara minimum 12 tahun.

Pada mulanya identiti Wei Huang dirahsiakan daripada orang ramai sehinggalah namanya dibenar untuk didedahkan mengambil kira peningkatan kes seumpama itu baru-baru ini. – AGENSI

Trak pikap bawa ikan terbabas, lelaki maut tertusuk besi hadang ngngg

FMT Reporters

Mohd Azrul Shah Abraham, 31, yang juga penumpang hadapan Isuzu Dmaxgf itu cedera parah manakala pemandu kendefff FGV f. raan hanya cedera ringan.

Pemandu Isuzu Dmax yang terbabit dalam kemalangan di Batu 2 Jalan Apas, Tawau pagi tadi diselamatkan oleh orang awam, manakala mangsa yang tersepit dan cedera parah dikeluarkan bomba.
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas tertusuk besi penghadang jalan yang menembusi trak pikap dinaikinya sebelum terjunam ke sungai di Batu 2 Jalan Apas, Tawau, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.20 pagi tadi, Mohd Azrul Shah Abraham, 31, yang juga penumpang hadapan Isuzu Dmax membawa muatan ikan, cedera parah manakala pemandu kenderaan itu hanya cedera ringan.

Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata, mangsa bersama pemandu kereta itu dalam perjalanan dari Jalan Apas menuju Pasar Ikan Tawau dengan membawa muatan pelbagai jenis ikan dipercayai seberat 1.5 tan.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jambatan sebelum terjunam ke sungai.

Pemandu kenderaan itu diselamatkan oleh orang awam, manakala mangsa yang tersepit dan cedera parah dikeluarkan bomba sebelum kedua-duanya dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

Mohd Azrul disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Tawau.

“Pemandu berumur 31 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” kata Jasmin, lapor Berita Harian.

‘Penipuan amat dahsyat’ Pemimpin dakwa pemilihan Bersatu jadi medan pecah-belah

FMT Reporters

Pemimpin Bersatu mendakwa berlaku ‘penipuan amat dahsyat’ dalam pemilihan parti kali ini.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu kecewa apabila mendakwa pemilihan kali ini menjadi medan memecahbelahkan parti.

Beliau mendakwa, ada perancangan kumpulan daripada kelompok pemimpin atasan yang mencatur supaya individu tertentu diangkat sebagai pemenang dan menjatuhkan orang lain dalam usaha ‘mematikan’ masa depan politik mereka.

“Perpecahan berlaku sekarang antaranya digerakkan oleh bekas kumpulan…bekas pemimpin PKR.

“Malah dalam pemilihan kali ini berlaku penipuan amat dahsyat. Ada percaturan peringkat tertinggi,” kata pemimpin tertinggi yang enggan namanya disiarkan kepada FMT.

Dakwanya, wujud juga campur tangan supaya jawatan naib presiden diisi individu tertentu termasuk gerakan menggulingkan Ronald Kiandee dan Radzi Jidin.

“Malah gerakan menumbangkan Wan Fayhsal (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) turut dirancang,” katanya.

Beliau turut memberi contoh, antara campur tangan kumpulan bekas ahli PKR itu termasuk dalam pemilihan ketua Pemuda yang menyaksikan Akmal Zahin Zainal Zahir kalah kepada Adun Gombak Setia Hilman Idham.

Sementara itu, berdasarkan satu klip video tular seorang pemimpin bahagian Selangor mendedahkan ketua bahagian negeri tersebut diminta tidak memberi undi kepada Wan Fayhsal, Kiandee dan Radzi.

“Wan Fayhsal jadi sasaran. Wan Fayhsal ini orang paling bagus. Ahli Parlimen paling berani dia tentang Anwar (Ibrahim) habis- habisan…orang ini diarahkan dalam Selangor punya ketua bahagian, jangan bagi satu undi pun (kepada Wan Fayhsal).

“Begitu juga kumpulan dia ‘bising’ jangan bagi (undi kepada) Radzi, Kiandee. Ini orang bagus dalam Parlimen. Mereka bukan bawa agenda peribadi, mereka bawa Bersatu dalam Parlimen,” katanya.

Remaja maut melintas jalan

BERNAMA

Alor Gajah: Seorang remaja lelaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan Lendu Dalam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata mangsa, Radzin Muslimin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dalam kejadian 7.15 malam itu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika pemandu berumur 29 tahun dalam perjalanan dari arah Lendu menghala ke Rembia dan ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati melintas secara tiba-tiba dan pemandu terbabit tidak sempat memberhentikan keretanya.

"Terdapat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh daripada kenderaan terlibat yang menunjukkan bagaimana kemalangan itu berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ashari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.