"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penularan kemelut PN Johor lebih kencang berbanding wabak Covid-19

AKMAL MANAF

Susulan kemelut politik yang melanda Umno dan Bersatu di Johor ketika ini, Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar menyifatkan ianya semakin merebak dan menular.

Mohd Sayuti dalam laman blognya berkata, kemelut kerajaan PN di Johor nampaknya tidak boleh ditusuk selindungkan lagi.

“Persoalan yang mahu dilihat daripada kemelut di Johor ketika ini, apakah ia akan menjadi pemula dan penyebab kepada akan runtuhnya kerajaan PN di Johor?

“Cakap dan cakar politik dalam kerajaan PN Johor sudah kian merebak dan makin menular, kini Johor dalam radar pemeriksaan para pemerhati politik negara.

“Penularannya lebih kencang daripada Covid-19 waktu ini. Ironisnya pandemik Covid-19 sudah tampak hendak mengurang, tetapi kemelut politik di Johor semakin membelang pula. Apakah isu terbaru selepas Covid-19 ianya hal berkaitan politik Johor?” soal beliau.

Baru-baru ini, dalam isu sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut menyuarakan pandangan beliau

bahawa pemimpin atasan Bersatu dan Umno perlu berbincang segera untuk menamatkan perdebatan situasi politik di negeri paling selatan tanah air itu.

Ekoran kenyataan Tajuddin itu, Mohd Sayuti menyifatkan ‘suara’ daripada Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu, bukanlah sembarangan.

“Beliau jarang menyentuh hal-hal remeh begitu. Apabila beliau turut memerhati, maknanya ia serius.

“Seperti dilaporkan, beliau meminta pemimpin atasan campur tangan menyelesaikan kemelut di Johor itu. Cadangnya penyelesaian itu bukan saja oleh pemimpin peringkat bawahan atau kawasan, tetapi di peringkat tertinggi.

“Apabila meminta pemimpin atasan campur tangan, ertinya kemelut di Johor itu tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri lagi. Ia bukan isu kecil yang boleh dilihat sebelah mata,” katanya lagi.

Mohd Sayuti mendakwa, apa yang berlaku di Johor itu, ‘penganiayaan’ Umno kepada Bersatu adalah percubaan Umno untuk menguji kekuatan Bersatu.

“Itu sebenarnya. Fahami isu di Johor itu, ia tidak berlaku dan terjadi begitu sahaja tanpa motif. Apakah orang Bersatu memahami keadaan dan kondisi ini, wallahu’alam.

“Benarlah apa yang dianologikan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa Umno parti berpuaka dan ada saka yang tidak mungkin boleh berlaku adil dengan Bersatu.

“Jika Bersatu mengharap keadilan daripada Umno, ia sesuatu pengharapan yang sia-sia sahaja. Lantaran itu, Salahuddin tanpa pesimis membuka jalan kepada Bersatu agar kembali kepada PH,” tambah beliau.

Menurut Mohd Sayuti lagi, ‘pembukaan jalan’ itu bertujuan meneruskan pengorbanan dan perjuangan demi rakyat seperti dilakukan semasa dalam kerajaan PH dahulu, selain ia juga bagi mengelakkan Bersatu terus diperbudakkan oleh Umno.

“Ada benarnya kata Salahuddin itu. Rasanya orang Bersatu pun dapat tahu dan membandingkan keselesaan sebenar apakah bersama Pakatan Harapan (PH) atau bersama Perikatan Nasional (PN),” ujarnya lagi.

Apakah makan di restoran lebih penting daripada solat berjemaah di masjid?

SHAHBUDIN HUSIN

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beberapa sektor ekonomi akan dibenar beroperasi mulai 4 Mei ini telah mengundang reaksi tidak setuju yang lebih besar daripada orang ramai.

Antara sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi mulai Isnin ini ialah kedai makan, restoran serta difahamkan juga kedai menjual nombor ekor dengan SOP tertentu seperti penjarakan sosial dan penggunaan hand sanitizer adalah diwajibkan.

Aktiviti bersukan seperti berjoging dan bermain badminton serta golf juga turut dibenarkan.

Lebih ramai tidak setuju dengan keputusan itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat ini sepatutnya berakhir pada 12 Mei depan, tetapi Muhyiddin telah melonggarkannya lebih awal.

Bukankah lebih baik sehingga 12 Mei ini dikuatkuasakan saja PKP sepenuhnya seperti sekarang dan tunggu sehingga PKP fasa keempat ini berakhir barulah jika kebenaran beberapa sektor ekonomi beroperasi mahu dilaksanakan?

Lagi pun, setelah tujuh minggu PKP dilaksanakan, apa bezanya menunggu hanya seminggu saja lagi sehingga tarikh 12 Mei?

Apakah Muhyiddin tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Hokkaido Jepun di mana kes Covid-19 meninggat semua setelah perintah berkurung ditamatkan lebih awal?

Mengapa kerajaan melonggarkannya dengan memperkenalkan pula PKP bersyarat mulai 4 Mei, sedangkan dalam masa yang sama pengumuman orang ramai tidak boleh balik berhari raya di kampung yang jatuh pada 23 Mei turut dilakukan dalam pengumuman Muhyiddin semalam?

Ini bermakna kalau kerajaan bimbang orang ramai balik berhari raya ke kampung akan meningkatkan semula wabak Covid-19, apakah dengan pembukaan kedai makan atau restoran yang dilanjutkan sehingga jam 10 malam bermula 4 Mei ini tidak membawa risiko yang sama?

Lebih-lebih lagi kerana sekarang adalah bulan puasa, sudah pasti kedai makan, terutamanya kedai mamak akan penuh pada waktu dengan orang ramai makan minum atau melepak bersama kawan-kawan bermula Isnin nanti.

Lebih buruk, oleh kerana surau dan masjid masih ditutup, maka kunjungan orang ramai ke kedai makan dan restoran mamak sudah pasti akan meningkat sehingga akan memaksa meja-meja diletakkan memenuhi ruang-ruang jalan.

Dengan itu, tidak mustahil akan wujud jangkitan Covid-19 yang lebih besar yang berpunca daripada kluster kedai mamak di seluruh negara selepas ini.

Kebenaran aktiviti bersukan juga dibimbangi meningkatkan wabak Covid-19 seperti contohnya jika ramai yang berjoging secara serentak di waktu pagi dan petang.

Yang paling mendukacitakan, terutama bagi umat Islam ialah sementara kerajaan membenarkan restoran, kedai makan dan kedai nombor ekor beroperasi, tetapi masjid dan surau untuk solat berjemaah masih lagi ditutup.

Sehingga ini sudah tujuh minggu umat Islam tidak menunaikan solat Jumaat serta tidak boleh berterawih di surau dan masjid seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dalam hal ini, jika SOP tertentu seperti penjarakan sosial dan penggunaan hand sanitizer boleh dikuatkuasakan kepada pengunjung restoran dan kedai mamak, mengapa hal yang sama tidak boleh dilakukan dengan membenarkan solat berjemaah di surau atau masjid?

Terutama di negeri atau kawasan yang sudah dikenalpasti sebagai zon hijau, apa masalahnya lagi bagi kerajaan masih tidak membenarkan masjid dan surau dibuka seperti biasa?

Tambahan pula, meskipun tidak berdaftar dan melalui tebuk atap, bukankah kerajaan PN ini digembar-gemburkan sebagai kerajaan Melayu/Islam yang kononnya lebih baik dalam menjaga kemuliaan agama Islam berbanding PH dahulu yang didalamnya ada DAP?

Apakah Pas yang sudah berada dalam kerajaan sekarang tidak berperanan mencadangkan sesuatu yang boleh memperlihatkan kedudukan agama Islam di era PN ini lebih tinggi kedudukannya berbanding restoran mamak dan kedai nombor ekor?

Kalau sebelum menjadi kerajaan, Pas sering mengaitkan sesuatu isu dengan ancaman terhadap Islam dan tergugatnya kedudukan Melayu, mengapa dalam keadaan kedai nombor ekor dan restoran mamak lebih diutamakan sekarang ini berbanding masjid dan surau, parti Islam itu masih tidak berkata apa-apa?

Benarkah PN ini sebuah kerajaan yang betul-betul menjaga kedudukan Melayu/Islam atau kerajaan yang ditubuhkan semata-mata mahu mengejar jawatan?

Presiden Brazil dakwa WHO galak kanak-kanak jadi gay, bermasturbasi

AFP

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. (Gambar Reuters)
RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil Jair Bolsonaro berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan homoseksual dan masturbasi dalam kalangan kanak-kanak, perselisihan terbarunya dengan organisasi yang menyarankan jarak sosial dan langkah anti Covid-19 lain.

Pemimpin sayap kanan itu membuat dakwaan tersebut tanpa memetik sumber menerusi hantaran Facebook yang kemudiannya dipadamkan.

“Ini adalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang nasihati mengenai coronavirus di mana beberapa orang mahu saya ikutinya,” tulisnya pada Rabu malam.

“Haruskah kita ikut panduan polisi pendidikan mereka juga? Untuk kanak-kanak berumur kosong hingga 4 tahun: kepuasan dan keseronokan ketika menyentuh badan mereka, masturbasi … Untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun: identiti jantina positif … masturbasi pada awal kanak-kanak, hubungan sesama jenis … 9 hingga 12 tahun: pengalaman seksual pertama.”

Dakwaan itu berpunca dari hantaran media sosial yang menunjukkan WHO menggalakkan amalan tersebut dalam kalangan kanak-kanak.

Penasihat Bolsonaro, Arthur Weintraub, menerusi tweet sebelum itu menulis, “WHO mempunyai garis panduan yang mengesyorkan kanak-kanak berumur kosong hingga 4 tahun diajarkan tentang ‘masturbasi’, ‘keseronokan dan kenikmatan,’ ‘menyentuh tubuh seseorang’ dan ‘ideologi jantina.’ Adakah itu betul? ”

Asal maklumat itu kelihatan merupakan panduan 2010 yang dipanggil “Piawaian untuk Pendidikan Seksualiti di Eropah,” yang diterbitkan Pusat Pendidikan Kesihatan Persekutuan Jerman dan pejabat Eropah WHO.

Walaupun bukan fokus utamanya – panduan itu menjelaskan secara ringkas bahawa kanak-kanak biasanya meneroka tubuh mereka – dan memberitahu ibu bapa dan pendidik bahawa tingkah laku seperti menyentuh diri sendiri dan rasa ingin tahu mengenai seksualiti adalah perkara biasa bagi anak-anak.

Tetapi itu tidak meminta mereka untuk menggalakkan tingkah laku yang disebutkan oleh Bolsonaro.

Kadang-kadang dipanggil “Tropical Trump,” Bolsonaro, seperti rakan sejawatnya dari AS, adalah penggemar media sosial dengan membangkitkan kemarahan penyokong tegar mereka di Facebook dan Twitter.

Beliau selalu berselisih dengan WHO sejak wabak coronavirus bermula.

Pejabat presiden tidak memberi maklum balas segera ketika diminta mengulas hantaran Facebook tersebut.

SANGAT MEMALUKAN! PATI SEKOLAHKAN PEMIMPIN DAN PENGUATKUASA MALAYSIA

MEMALUKAN! PATI Dedahkan Pintu Masuk Malaysia Boleh ‘DIBAYAR’ Dengan Ringgit

< font-size: 14px; font-stretch: inherit; font-variant-east-asian: inherit; font-variant-numeric: inherit; line-height: inherit; margin: 0px; padding: 0px; vertical-align: baseline;">

Kenapa anda mengejar kami yang berkerja? Kenapa anda tidak mencari orang yang membawa kami keluar masuk ke negara anda? Menurutnya, negara kita cukup bagus memantau pintu masuk sama ada melalui laut mahupun udara.
Untuk menjaga pintu masuk negara anda, harus cari akar masalah… Biar berjuta kali anda buat operasi, kalau pintu masuk ke negara anda bisa dibayar dengan Ringgit, itu sia-sia…
Apa yang dia suarakan memang sedang berlaku. Buktinya, telah ada tangkapan yang dibuat melibatkan pegawai2 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dalangnya di Pulau Pinang.  Ini menjelaskan dan mengesahkan ker1sauan kita selama ini.

KEMELUT BERSATU/UMNO DI JOHOR DAN PERAK SEDANG ANCAM KEDUDUKAN MUHYIDDIN?

Shahbudin Husin
Dua negeri yang mengikut arus perkongsian kuasa di peringkat Pusat antara Bersatu pro Muhyiddin Yassin dengan UMNO kini sedang dilanda badai yang menunjukkan ia boleh runtuh pada bila-bila masa.

Di Johor di mana perkongsian kuasa itu menyebabkan Menteri Besar bertukar daripada Dr. Shahrudin Jamal daripada Bersatu kepada Hasni Mohamed yang mewakili UMNO, adalah negeri yang paling awal berubah pucuk pimpinannya.

Perubahan kepimpinan di Johor berlaku sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri adalah semata-mata sebagai “barter trade” yang bertujuan untuk beliau mendapat sokongan yang padu daripada UMNO.

Dengan itu, 11 Adun Bersatu diarahkan keluar PH dan membentuk gabungan baru bersama BN dan Pas yang mempunyai 17 Adun serta turut disertai tiga Adun PKR yang keluar parti.

Oleh kerana kesediaan Muhyiddin menyerahkan kerusi Menteri Besar Johor kepada UMNO yang sebelumnya dipegang oleh Bersatu, itulah yang mengukuhkan lagi sokongan diterimanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Tetapi, sebagaimana Johor menjadi negeri pertama berubah kepimpinan kerana keghairahan Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri, ia juga akhirnya menjadi negeri pertama yang bergolak.

Pergolakan berlaku kerana Bersatu Johor tidak puas hati dengan pembahagian jawatan dalam GLC negeri kepada wakil parti itu yang tentunya semua pengagihan itu dilakukan atas percaturan atau pengetahuan Menteri Besar, Hasni Mohamed daripada UMNO.

Tuduh menuduh dan berbalas kenyataan kini sedang rancak berlaku antara Bersatu dan UMNO berikutan ketidak-adilan pengagihan harta karun tersebut.

Apa yang nyata, Bersatu kini mulai nampak bahawa perkongsian kuasa dengan UMNO sama sekali tidak menguntungkan mereka.

Sudahlah perkongsian kuasa itu hanya sehingga PRU15 saja di mana Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan telah mengesahkan bahawa UMNO hanya mahu bekerjasama dengan Pas dan meninggalkan Bersatu menghadapi pilihanraya akan datang, pembahagian harta samunan pula tidak dilakukan sama rata.

Logiknya, kalau menyamun bersama-sama tetapi pembahagian hasil samunan tidak sama rata, siapa pun pasti akan naik angin akhirnya.

Di Perak, walaupun belum heboh melalui media sebagaimana di Johor, pergolakan yang sama kerana berebut harta karun juga sedang berlaku dalam diam sebenarnya.

Kerajaan PH Perak tumbang apabila 25 Adun UMNO, 3 Adun Pas dan 4 Adun Bersatu bersetuju membentuk gabungan kerajaan baru, juga untuk menuruti arus yang berlaku di peringkat Pusat serta sebagai tanda sokongan kepada Muhyiddin.

Ahmad Faizal Azumu atau Peja akhirnya dikekalkan sebagai Menteri Besar Perak, meskipun hakikatnya beliau adalah satu-satunya Adun Bersatu yang menang dalam pilihanraya lalu di negeri itu.

Tiga lagi Adun Bersatu adalah daripada dua wakil rakyat UMNO dan seorang Adun PKR yang melompat menyertai parti itu.

UMNO yang memiliki 25 Adun bukan saja tidak puas hati kerana Peja terus kekal sebagai Menteri Besar, tetapi juga kerana hanya 3 jawatan Exco diberikan kepada mereka.

Lebih menyedihkan, portfolia Exco yang diberikan kepada UMNO juga tidak penting berbanding yang dipegang oleh Bersatu.

Pembahagian jawatan dalam GLC negeri juga menjadi isu hangat di mana Peja dikatakan hanya melantik orang-orang pilihannya serta mengenepikan sama sekali watak-watak daripada UMNO.

Sebagai pemegang blok terbesar iaitu 25 Adun, UMNO Perak difahamkan sudah sedia berputus arang dan meninggalkan kerajaan baru ini pada bila-bila masa saja.

Dikatakan juga, ada yang sudah pun menandatangani surat persetujuan menolak kepimpinan Peja serta mahukan jawatan Menteri Besar Perak diserahkan kepada UMNO.

Pokoknya, pengkongsian kuasa UMNO dan Bersatu melalui pintu belakang dan bukan melalui undi dalam pilihanraya adalah sesuatu yang tidak selamat dari segi kestabilan, baik di Johor mahu pun di Perak.

Apakah jika selepas tempoh PKP ini tamat, kemelut antara Bersatu dan UMNO terus berpanjangan dan ditakdirkan berlaku perubahan kepimpinan di Johor dan Perak, maka ia akan memungkinkan perkongsian kuasa di Pusat juga akan runtuh dan kedudukan Muhyddin turut berakhir?

Soalnya, bagi mereka di peringkat negeri, adakah kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri lebih penting berbanding harta karun yang boleh dikaut? (ShahbudinHusin 30/04/2020)

Masalah dengan Umno Johor boleh tular ke negeri lain, kata pemimpin Bersatu

Mohd Farhan Darwis
PERTELINGKAHAN dengan Umno di Johor perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan masalah itu merebak ke negeri lain, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Katanya masalah itu boleh menular memandangkan kerjasama dengan Umno dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) antara kedua-dua parti masih mentah.

Pemimpin Bersatu mengakui berlakunya kemelut antara Umno dan Bersatu di Johor ketika ini dan memohon perbincangan peringkat atasan dilakukan segera kerana situasi di sesebuah negeri dilihat akan turut mempengaruhi negeri lain.

Beliau menegaskan, jangan disebabkan ada yang mahu menjadi hero di satu tempat, habis tempat lain juga rosak sama.

“Saya juga menyokong pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato Sri Tajuddin Abdul Rahman bahawa pemimpin atasan Bersatu dan Umno perlu berbincang segera untuk menamatkan perdebatan mengenai situasi di Johor,” katanya lagi.

“Jika para pemimpin ikhlas memperjuangkan agenda penyatuan dan bukan hanya mementingkan diri sendiri, seharusnya mereka berusaha memastikan kesatuan, bukan mengapi-apikan ke arah perpecahan.

“Cakap-cakap yang seolah-olah sengaja hendak memecah belahkan gabungan baru ini perlu dihentikan.

“Jangan ada yang menangguk di air keruh sengaja mahu jadi batu api pemecah belah di peringkat dalaman untuk kepentingan peribadi mereka sahaja,” katanya.

Menurut Wan Saiful dalam kenyataan itu, beliau menyifatkan Perikatan Nasional (PN) adalah satu gabungan baharu.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri hanya meluluskan kemasukan ke dalam PN pada 23 Februari lalu, iaitu baru sekitar dua bulan lebih sedikit.

“Sudah pasti dalam masa yang singkat, pengurusan gabungan baru ini agak kompleks,” katanya.

Muhyiddin kalah dengan ‘panglima perang Umno’ - Kadir Jasin

Bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin membangkitkan persoalan jika “peminggiran” pemimpin Bersatu di Johor mencerminkan rancangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk “pulang ke pangkuan Umno”

“Melihat ini semua, khususnya peminggiran Bersatu di Johor, saya tertanya-tanya adakah Tan Sri Muhyiddin sedang melakukan perjalanan balik ke pangkuan Umno?” soalnya.

Bekas pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu menyifatkan presiden Bersatu yang tidak bersedia melawan permainan Umno.

“Setelah hampir dua bulan menjadi perdana menteri, nyata bahawa dia tidak cukup bersedia dan tidak cukup kuat untuk melawan "perancangan" (scheming) oleh para panglima perang Umno, sama ada yang menganggotai kabinet atau yang berada di luar.

“Akibatnya, pejuang-pejuang asal Bersatu yang mengambil risiko bertarung melawan kleptokrasi Umno, semakin hari semakin dipinggirkan akibat tekanan rakan-rakan baru Muhyiddin dari Umno dan PAS.

“Ironinya ialah yang paling teruk didera dan dianiaya adalah pejuang-pejuang asal Bersatu di Johor.

“Mula-mula sekali Bersatu hilang kerusi Menteri Besar kepada Umno dan kini jawatan-jawatan lain juga telah dirampas oleh atau sedang diancam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu antara Umno dan Bersatu yang dikatakan wujud perasaan tidak puas hati dalam kerajaan negeri selepas ia ditadbir bawah PN.

Semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Che Zakaria Mohd Salleh berkata apa yang menjadi pertikaian wakil rakyat Bersatu Johor melibatkan perkara-perkara kecil yang tidak ditangani dengan betul.

Menurut Kadir, insiden yang berlaku di Johor itu mengingatkannya kepada peristiwa pilihan raya umum 1982 ketika beliau mengikuti bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam ke Desaru untuk memilih calon Umno Johor bagi PRU tersebut.

“Di situlah saya mula mengenali dan menyedari exclusivity (keterangkuman) politik Johor dan cengkaman Umno ke atas negeri itu.

“Sejak itu, saya sering mendengar ungkapan Umno dan istana tidak dapat dipisahkan atau Umno lahir di Istana Johor,” katanya.

4 Mei menyambung kehidupan di tengah Covid-19

Kembali hidup di tengah Covid-19
Jahabar Sadiq


Perintah kawalan pergerakan yang dilonggarkan membolehkan rakyat menyambung semula kehidupan walaupun berdepan risiko virus.

PEMBUKAAN semula ekonomi Malaysia pada Isnin selepas lebih enam minggu dikurung mengejutkan sebahagian rakyat yang percaya keadaan di luar masih belum selamat.

Memang tidak selamat. Selagi vaksin ditemui dan itu akan mengambil masa berbulan-bulan, kalau pun bukan bertahun.

Namun hidup mesti diteruskan, sama seperti puluhan ribu petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan perkasa dan berani diri untuk membendung pandemik korronavirus yang menyebarkan Covid-19 di Malaysia, lama sebelum 18 Mac.

Ada yang kini mempersoalkan kebijakan Malaysia membuka semula ekonominya tanpa satu pelan yang jelas, tidak seperti sesetengah negara di Eropah atau Australia, New Zealand dan Afrika Selatan yang melakukannya secara beransur-ansur.

Bagaimanapun ada beberapa notis dikeluarkan melalui saluran Telegram milik Majlis Keselamatan Negara yang seharusnya menjadi panduan bagi kita semua, melainkan ada patah balik selepas ini.

Lebih mustahak, orang tidak perlu keluar melainkan atas kehendak mereka atau mereka diminta oleh majikan untuk kembali bekerja.

Majikan ini perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pejabat, kedai, tempat kerja, dan kilang. Ia tidaklah begitu kelam kabut atau sembrono seperti yang dibayangkan oleh sesetengah orang.

Garis panduan ini harus dipenuhi, dan mungkin memerlukan masa beberapa hari selepas 4 Mei, kalau tidak sempat pada Isnin ini, untuk memastikan adanya saringan suhu badan yang diwajibkan, tempat berkenaan dibersihkan dengan menyeluruh tempat berkenaan serta pembersihan tiga kali sehari.

Barangkali orang tidak percayakan cara kerajaan mengendalikan keadaan kerana pengalaman mereka sebelum ini, daripada soal penangguhan pembayaran balik pinjaman bank dan faedahnya, sampailah kepada pembukaan kedai gunting dan salon rambut.

Pengalaman itu menunjukkan kepada mereka sebuah kerajaan yang tidak begitu pasti akan kedudukan undang-undang serta kesan dasar-dasarnya.

Barangkali kita percaya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan hanya akan bergerak kalau beliau kata keadaan sudah aman.

Masalahnya, beliau belum boleh kata begitu kerana virus itu berjangkit dan tanpa patuh pada garis panduan yang ditetapkan, kita tidak akan boleh menjalani hidup dan bekerja di luar rumah.

Namun keputusan untuk keluar rumah adalah keputusan kita, bergantung pada kebebasan yang diberikan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh penularan wabak ini.

Apatah lagi, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac bagi tempoh dua minggu dan kemudian dilanjutkan sebanyak tiga kali bertujuan untuk “melandaikan lengkung” jangkitan bagi membolehkan pihak perkhidmatan kesihatan mempersiapkan diri dan merawat semua orang dengan saksama tanpa sebarang kekurangan.

Seperti yang dapat kita lihat, semua itu berjalan dengan baik kecuali malangnya bagi yang berpusu-pusu balik ke kampung pada 17 Mac, kluster tabligh, kluster gereja dan kes import melalui rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.

Sekarang, selepas lebih kurang enam minggu, kerajaan memutuskan bahawa kita sudah cukup matang untuk keluar rumah dengan bertanggungjawab dan bekerja dengan selamat.

Bagi mereka yang selesa duduk dan bekerja di rumah, teruskanlah. Namun tidak semua orang seperti mereka.

Banyak yang perlu bekerja untuk menampung sewa kediaman, membayar duit kereta dan sebagainya bagi menanggung apa saja gaya hidup mereka di bandar dan di luar bandar.

Mereka adalah bahagian daripada ekonomi Malaysia yang keseluruhannya rugi RM63 bilion sejak 18 Mac.

Kerugian itu boleh mencecah RM100 bilion menjelang akhir Mei. Mereka harus kembali bekerja, kembali membuka perniagaan dan berharap dapat merampung apa yang tersisa untuk tahun 2020 ini.

Mereka ini sama dengan yang selama ini bekerja sepanjang PKP – pemungut sampah, tukang sapu jalan, penghantar makanan, anggota polis, tentera, bomba, jururawat, doktor, petugas kesihatan, peniaga kedai runcit, pemotong daging, penjual sayur, penjaja ikan, juruwang dan penyusun barang di pasar raya.

Risikonya tinggi tetapi mereka bekerja. Sekarang, rakyat Malaysia yang lain yang terpaksa menderita tidak boleh berbuat apa-apa sejak 18 Mac, semuanya perlu mencari nafkah – daripada penjual nasi lemak sampailah pemilik restoran, tauke kedai perkakasan, jurujual di pasar raya serbaneka, dan mekanik.

Kalau semua orang boleh duduk di rumah bersenang lenang, mereka tentu mahu. Namun hakikatnya, tidak semua orang boleh begitu. Mereka perlu kembali memulakan hidup secepat mungkin.

Makanya, apa pun yang akan terjadi, 4 Mei kita bermula. – 1 Mei, 2020.

Senarai kegiatan yang kekal dilarang ketika PKP bersyarat

Kerajaan memutuskan untuk membuka semula ekonomi bermula 4 Mei tetapi sejumlah kegiatan masih dilarang, atau dikenakan sejumlah syarat, menerusi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Berikut adalah senarai kegiatan yang kekal dilarang, tertakluk kepada perubahan yang ditetapkan kerajaan kelak:

1. Hiburan dan riadah

Panggung wayang
Pusat karaoke
Taman tema
Muzium
Busking
2. Perayaan, perarakan dan perhimpunan

Perarakan keagamaan
Aktiviti agama berjemaah di masjid dan rumah ibadat lain
Sambutan hari ulang tahun pasukan keselamatan (perarakan)
Sambutan hari raya kecuali dengan keluarga terdekat (perjalanan pulang hari raya akan diumumkan kelak)

3. Persidangan dan pameran

Pameran kerjaya
Pameran perkahwinan
Promosi dan pakej pelancongan
Karnival jualan
Semua jenis persidangan yang melibatkan kumpulan yang ramai
4. Pendidikan

Sukan semasa sesi persekolahan
Aktiviti kokurikulum bersemuka
Sebarang bentuk perhimpunan sekolah
Sebarang bentuk majlis atau program yang mengumpulkan lebih 10 orang
5. Sukan

Pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong/penonton yang ramai (stadium)
Segala aktiviti sukan dalaman (indoor, termasuk gimnasium)
Kolam renang
Sukan bersentuhan (seperti ragbi, gusti, bola sepak, bola keranjang)
6. Aktiviti sosial

Kenduri
Majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun dan seumpamanya
7. Pengangkutan

Kapal persiaran
8. Perniagaan berpremis/penjajaan tanpa premis/pasar berbangunan/pasar tanpa premis/peruncitan/serbaneka makanan dan minuman

Bazar Ramadan
Bazar hari raya
9. Kemudahan penginapan berpusat pekerja/hostel/asrama pekerja

Terima pelawat
Bersosial dan bersukan secara berkumpulan
Solat berjemaah/kegiatan ibadah lain
10. Pemasangan dan penyenggaraan jentera

Menjalankan sektor secara berkumpulan lebih dari 10 orang
11. Kedai pakaian dan aksesori fesyen

Aktiviti fitting pakaian
12. Dobi (khusus dobi layan diri)

Aktiviti melipat pakaian di premis
13. Ceramah/seminar/kursus/latihan secara bersemuka

14. Aktiviti pensijilan bagi agrikomoditi

15. Kedai gunting rambut dan salun kecantikan

16. Perbankan dan perkhidmatan kewangan

Urusniaga mendapatkan jualan di luar premis institusi perbankan atau kawasan awam, tidak dibenarkan buat masa ini
17. Pengurusan perhutanan

Ekopelancongan hutan
Latihan perhutanan
18. Perlombongan dan kuari

Permohonan baru bagi peperiksaan teori dan amali peletupan
19. Perladangan dan pertanian

Hari bertemu pelanggan
Hari jualan barang bekalan ladang
Pesta makan buah-buahan
Kursus/seminar
Konvokesyen institut pertanian
Lelongan jualan produk ternakan
20. Perikanan

Pusat taman laut, pameran dan akuarium
21. Seni kreatif

Konsert dan program yang melibatkan orang awam di studio atau tempat awam
22. Kebudayaan dan kesenian

Pameran yang melibatkan interaksi antara pengkarya dan pelawat
23. Pelancongan dan perhotelan

Penggunaan kemudahan hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan, restoran dan kafe (bagi tujuan buffet)

Kalau mahu ghanimah banyak kritik laju-laju macam Khaled Nordin

Selepas lantang kritik, dapat Pengerusi Boustead bergaji RM425,000 sebulan?
MALAYSIA DATELINE


Selepas lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN), akhirnya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dilantik sebagai Pengerusi Boustead Holding, sebuah anak syarikat kerajaan di bawah Kementerian Pertahanan.

Boustead Holding antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membayar gaji atau elaun yang tinggi kepada pengerusinya.

“Berdasarkan laporan kewangan 2019, Pengerusi Boustead menerima imbuhan sekitar RM5.1 juta setahun (RM425,00 sebulan),” tulis Adrian Lim Chee En, seorang bekas aktivis pelajar melalui twitter beliau.

Boustead Holdings Bhd (Boustead) melantik Khaled sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutifnya berkuatkuasa 1 Mei 2020.

Boustead dalam satu kenyataan semalam berkata, sepanjang Mohamed Khaled berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018, negeri itu mengecapi pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Pengalamannya sebagai Pengerusi Johor Corporation Bhd juga menyaksikan kumpulan itu telah berjaya melaksanakan beberapa latihan penyusunan semula dan pemulihan.

Sebelum ini, Khaled antara pemimpin Umno yang banyak mengkritik kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antaranya, kata Khaled, Umno wajar mendapat agihan kerusi lebih adil dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin.

Menurut Khaled, Umno merupakan pendiri bersama kerajaan PN dan bukan menumpang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Umno juga bukan menumpang dalam Perikatan Nasional (PN), dan kerana itu ia wajar mendapat agihan kerusi lebih adil dalam kabinet Muhyiddin.

Sebagai parti politik juga, Umno tidak tunduk kepada Bersatu atau Muhyiddin kerana ia tahu dukungan sebenar orang Melayu terhadapnya, kata Khaled.

Annuar Musa dapat jolokan ‘Menteri Lampu Biru’

MALAYSIA DATELINE

Berikutan idea ‘kreatif’ Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk mengarahkan agar semua bangunan kerajaan dipasang lampu berwarna biru bagi meraikan petugas barisan depan melawan Covid-19, netizen menamakan beliau “Menteri Lampu Biru”.

Annuar melancarkan Kempen Cahayakan Biru di sekitar bangunan di Wilayah Persekutuan sebagai tanda terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan wabak Covid-19 ini.

Beliau berkata, kempen empat hari itu akan bermula kira-kira jam 10 malam pada 30 April ini sesuai sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei.

Katanya, biru dipilih berdasarkan warna petugas perubatan.

“Petugas barisan hadapan bukan sahaja dalam kalangan petugas perubatan tetapi warna yang kita pilih berkaitan perubatan kerana negara sedang memerangi virus iaitu antara aspek dalam bidang itu,” katanya melalui siaran secara langsung facebook.

Annuar ketika bercakap mahu masyarakat mengambil bahagian dalam kempen itu untuk menyalakan lampu biru.

Beliau turut memberitahu bangunan utama di pusat bandar seperti Saloma Link, Menara Berkembar Petronas dan Menara One KL memasang lampu pada 30 April.

Larangan solat Jumaat: Kenapa ‘lebai’ tunduk kepada suasana Covid-19?

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Ada dua perkara yang lebai selalu sebut dulu-dulu sebagai bantahan kepada kami apabila berhujah.

Pertama, agama bukan ikut akal, tapi akal kena ikut agama. Kedua, agama bukan ikut suasana, tapi suasana kena ikut agama.

Kedua-dua hujah itu diguna oleh lebai apabila kami berbincang soal keperluan mengambil kira realiti dalam pelaksanaan tuntutan agama.

Kami selalu sebut tentang fiqh aulawiyyat, fiqh waqi’, fiqh maalat dan sebagainya. Apabila kami sebut semua itu, lebai kata, agama bukan ikut akal.

Kami selalu sebut tentang keutamaan negara ketika ini bukan potong tangan pencuri atau rejam orang berzina tapi sejahterakan masyarakat. Lebai kata, agama bukan ikut suasana.

Macam-macam yang lebai tuduh kami. Paling tragis kami dituduh cuba melonggarkan pegangan agama masyarakat dan mengajak masyarakat tolak hukum Tuhan.

Lalu lebai pun bacalah ayat al-Quran, sesiapa yang memilih selain daripada Islam sebagai agama, dia di akhirat termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

Hakikatnya kami bukan meninggalkan syariah atau menafikan kewajipan melaksanakan hukum syariah, cuma mahu pelaksanaannya menepati waqi’. Itu sahaja.

Misalnya, kewajipan hukum potong tangan pencuri. Kami kata, kami tahu dan mengaku itu hukum Allah. Itu tak pernah kami nafi.

Namun, dari sudut pelaksanaan, hukuman itu perlu mengambil kira realiti semasa supaya keadilan tertegak kerana maqasid hukum ialah keadilan.

Saranan kami, fokuskan kepada penyediaan peluang pekerjaan yang mencukupi, wujudkan pengagihan kekayaan negara yang adil sehingga tidak ada orang mencuri kerana lapar.

Sehingga jika ada orang mencuri pun, dia buat bukan kerana lapar tetapi kerana memang dia benar-benar jahat dan suka mencuri. Tabiatnya mencuri.

Apabila itu tercapai, laksanakanlah hukuman potong tangan, barulah pelaksanaan itu adil dan nampak adil. Begitu juga hukuman hudud yang lain.

Tujuan hukuman ialah menegakkan keadilan, bukan semata-mata mahu menghukum tanpa mengambil kira keadilan tercapai atau tidak.

Apabila kami sebut begitu, lebai kecam kami. Lebai kata kami main-main dengan agama. Lebai kata kami ikut jejak kafir benci hudud, hukum Allah.

Lebai kata, buat saja hukum Allah nanti Allah tolong. Lebai tanya kami, kamu tak yakin dengan Allahkah? Mana iman kamu? Fuh… lebai tanya kami tentang iman!

Lebai kata, kita kena ikut agama bukan ikut akal. Kita kena ikut agama bukan ikut suasana. Kita kena ikut syariah bukan ikut maqasid syariah.

Di sana-sini kami dikecam kerana mengajak orang ramai untuk memahami dan mengambil kira realiti dalam pelaksanaan syariah supaya maqasid syariah tidak terabai.

Lebai kata kami utamakan akal berbanding wahyu dan utamakan realiti berbanding syariah. Lebai kata, syariah bukan boleh main fikir-fikir, syariah kena laksana. Gedebung gedebang lebai kutuk kami.

Sekarang, musim Covid 19, apa sudah jadi? Lebai ambil pengajaran atau tidak dengan PKP ini? Atau lebai memang tak faham mana-mana pun. Tahu takbir saja.

Hari ini apabila lebai tak boleh solat Jumaat, kenapa lebai tak guna hujah yang sama? Kenapa lebai tak laung, solat Jumaat perintah Allah, buat sahaja, nanti Allah tolong.

Kenapa lebai tak tanya, kamu lawan Allahkah wahai para mufti yang buat fatwa tak benarkan solat Jumaat? Kenapa lebai tunduk kepada suasana Covid 19?

Bukankah ketetapan tak boleh hadir solat Jumaat dibuat menggunakan akal? Kenapa lebai ikut akal padahal perintah solat Jumaat ada dalam al-Quran?

Kenapa lebai tak guna hujah, laksana syariah bukan maqasid syariah? Lebai tak hadir solat Jumaat, bukankah itu langgar syariah?

Bukankah solat Jumaat adalah syariah, sementara ketetapan tidak boleh hadir solat Jumaat pula dibuat berpandukan maqasid syariah menjaga nyawa? Kenapa lebai ikut maqasid syariah?

Untuk pengetahuan lebai, apa yang lebai alami dalam ujian Covid-19 adalah perkara yang boleh lebai belajar tentang maksud guna akal dan ambil kira realiti.

Oleh kerana realiti Covid-19 boleh membawa mudarat, maka solat Jumaat dilarang untuk elak mudarat. Ketetapan wajib solat Jumaat adalah syariah dan larangan tidak boleh solat Jumaat juga adalah syariah.

Inilah sudut pandang kami apabila berbincang soal pelaksanaan hudud. Kewajipan solat Jumaat boleh gugur sama seperti kewajipan hudud boleh gugur mengambil kira realiti.

Mengambil kira realiti adalah sebahagian daripada usaha akal. Mengguna akal adalah tuntutan syariah. Kalau tak guna akal macam mana syariah mahu diaplikasi dalam realiti kehidupan?

Harapan saya ialah lebai belajar daripada semua kejadian. Lebai perlu keluar daripada zon malas berfikir dan malas membaca.

Al-Quran adalah ayat Allah. Realiti dan akal juga ayat Allah. Mendirikan solat Jumaat adalah syariah. Meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil kira realiti juga adalah syariah.

Melaksanakan hudud adalah syariah. Tidak melaksanakan hudud dalam realiti yang tidak memungkinkan keadilan tertegak juga adalah syariah.

Syariah dan maqasid syariah adalah syariah kerana kedua-duanya bersumberkan kepada sumber syariah.

Dari parti utama, Bersatu kini 'underdog' di Johor

Ng Xiang Yi

Dua bulan selepas mengambil alih kuasa, keretakan sudah kelihatan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan perselisihan antara Bersatu dengan Umno di Johor.

Bagi adun Bukit Batu daripada PKR Jimmy Puah, ia adalah balasan terhadap Bersatu kerana mengabaikan rakan-rakannya dalam PH dan mandat pengundi pada PRU lalu.

Umno Johor didakwa mendominasi jawatan dalam kerajaan negeri dan badan-badan berkaitan, dan ia membangkitkan rasa tidak puas hati pemimpin Bersatu.

Setiausaha Bersatu Johor Solihan Badri ketika mengulas soal pelantikan "penyelaras" di kawasan Parlimen pembangkang, membangkitkan bagaimana penyelaras dari partinya ditempatkan di kerusi Maharani, Mahkota, Johor Jaya, Kota Iskandar, Pekan Nanas, Jementah dan Bukit Batu.

Kebanyakan kerusi tersebut adalah kawasan campuran yang tidak memberi kelebihan kepada parti berasaskan Melayu seperti Bersatu.

Pemerhati menyatakan keadaan itu menunjukkan parti tersebut, yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin yang kini tidak berada di pihak yang sama, tiada pengaruh dalam PN.

Puah berkata Bersatu tiada suara dalam hal itu kerana Umno - sebagai parti paling kuat dalam PN Johor - akan mengutamakan kerusi yang boleh menang.

"Dahulu Umno adalah parti nombor satu. Mereka tidak akan mahu jadi nombor dua. Saya fikir Umno Johor sudah putuskan kerusi yang mereka selesa dan berikan semua 'tugasan mencabar' kepada Bersatu?

"Kenapa tidak gembira? Itu adalah pilihan mereka.

"Mereka boleh kekal sebagai kerajaan PH seperti Kedah, dan pertahan mandat rakyat. Tetapi mereka pilih Umno dan hilang kedudukan MB dan modal politik mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Berkenaan kerusi Parlimen yang diberikan kepada penyelaras Bersatu, Puah yakin Bersatu perlu bergantung kepada BN untuk sokongan pengundi.

"Kebanyakan kerusi mereka seperti Kempas, Bukit Permai dan Larkin tak akan dimenangi tanpa kekuatan kolektif PH. Saya rasa mereka sendiri tahu perkara ini.

"Misalnya di Bukit Batu, 58 peratus pengundi adalah Cina. Adakah Bersatu yakin untuk bertanding di kerusi itu tanpa sokongan PH?" soalnya.

Jadi 'underdog' dalam PN

Adun Kota Iskandar Dzulkefly Ahmad berkata beliau yakin bahawa Umno yang membuat keputusan di Johor, bukannya Bersatu.

Adun Amanah itu berkata, Bersatu hanya memiliki 11 kerusi Dun (termasuk tiga dari bekas adun Umno) berbanding BN yang memiliki 16 kerusi - iaitu 14 oleh Umno dan dua oleh MIC.

Menurut Dzulkefly, sukar bagi Bersatu, Umno atau PAS untuk menang di 14 kerusi dipegang DAP, maka mengurangkan sasaran yang boleh dimenangi mereka kepada 13 kerusi PKR dan Amanah.

"Daripada 13 kerusi ini, Bersatu hanya dapat tiga - Maharani, Mahkota dan Kota Iskandar. Selebihnya dijangka diberi kepada Umno dan PAS.

"Jadi Umno akan tetap jadi parti dominan dalam PN Johor kerana Bersatu hanya boleh menang paling banyak 14 kerusi. Inilah percaturan Umno sebenarnya," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Adun Jementah daripada DAP Tan Chen Choon berkata beliau tidak tahu sebab Bersatu diperuntukkan kerusinya.

"Mungkin Bersatu rasa mereka ada peluang lebih tinggi untuk menang di Jementah," katanya secara berseloroh.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan Umno sengaja memberikan kerusi sukar kepada rakan barunya.

"Ditambah dengan hakikat mereka kehilangan jawatan MB. Bersatu kini 'underdog'," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga membangkitkan pertindihan dari segi kerusi antara tiga parti berasaskan Melayu - iaitu Bersatu, Umno dan PAS - yang akan menyukarkan proses rundingan kerusi nanti.

Beliau juga membangkitkan soal Jementah yang merupakan kerusi tradisi MCA sebelum ini. "Bersatu ada penyelaras di sini. Adakah ini bermakna MCA telah lepaskan kerusi ini kepada Bersatu?"

'Kembali kepada PH'

Adun Maharani daripada Amanah Norhayati Bachok pula menggesa Bersatu kembali kepada PH untuk mewujudkan gabungan yang lebih kuat.

"Inilah masa yang baik untuk Bersatu serta PH bermuhasabah semula dan membina ukhuwah dalam memacu negeri ini mengikut cara seperti sebelum ini," katanya.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini memetik sumber Umno Johor sebagai berkata jika Bersatu terus memberi tekanan untuk jawatan politik, ia mungkin akan menyebabkan pilihan raya negeri diadakan tidak lama lagi.

Azmin buat kesilapan besar - Timbalan Ketua Menteri Sarawak

MAHDAR BUJANG

Tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi di negara ini untuk beroperasi tanpa sekatan sekarang adalah satu kesilapan yang besar.

Memetik laporan akhbar Utusan Sarawak hari ini, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing sebagai berkata, kerajaan sepatutnya lebih berwaspada dengan langkah berkenaan dan ia sepatutnya dibenarkan secara berperingkat sehingga vaksin Covid-19 dihasilkan.

Masing berkata, tiada gunanya untuk ekonomi beroperasi tanpa sekatan dan pulih sepenuhnya sekiranya orang ramai jatuh sakit disebabkan oleh wabak ini.

Beliau turut memberi contoh kedai gunting rambut, pusat urut badan, restoran dan pawagam yang mana ia adalah susah untuk mengamalkan penjarakan sosial.

Pada Selasa, Azmin mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Kebenaran itu diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang pada 27 April lalu bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Kebenaran tersebut berkuatkuasa mulai semalam dengan syarikat yang diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran

Azmin juga menegaskan bahawa syarikat di dalam sektor yang dibenarkan itu wajib mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

Kegagalan syarikat mematuhi SOP, menurutnya akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang

Antara sektor yang dibenarkan adalah industri pembinaan, automotif, kedai hardware dan kedai barangan elektrik dan elektronik.

‘Pilihan raya negeri Johor jika Umno - Bersatu terus berbalah’

Zikri Kamarulzaman

Perbalahan antara Umno dan Bersatu yang tidak berkesudahan mungkin menyaksikan pilihan raya negeri Johor bakal diadakan tidak lama lagi, kata sumber Umno negeri itu.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, beliau berkata, ini akan menjadi kenyataan selagi Bersatu tidak berhenti daripada mengasak Umno bagi mendapatkan lebih banyak jawatan lantikan politik.

"Bersatu menekan kami untuk mendapatkan jawatan tetapi Umno membalas dengan mengancam untuk mengadakan pilihan raya negeri," katanya dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

Bersatu Johor mengadu bahawa lantikan politik, termasuk untuk menerajui GLC negeri, tidak dilakukan secara adil dan menuduh Umno mengketepikannya.

Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri di Johor setelah Bersatu berpaling tadah daripada Pakatan Harapan untuk berganding bahu dengan BN dan PAS.

Sumber itu percaya bahawa Bersatu akan mengalah jika berdepan dengan ugutan supaya pilihan raya negeri diadakan.

"Umno Johor jauh lebih kuat, kita boleh memenangi pilihan raya ini sendiri.

"Kelebihan memihak kita. Habis, kalau snap polls dia (Bersatu) nak ke siapa? (Pakatan) Harapan? Memang tak la,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi, daripada jumlah itu, kedua-dua Umno dan DAP masing-masing mempunyai 14 kerusi. Baki kerusi dipegang oleh Bersatu (11), Amanah (9), PKR (4), MIC (2), PAS (1) dan Bebas (1).

Secara keseluruhan PN mempunyai 29 kerusi dan PH pula 27.

Bekas menteri besar Johor Osman Sapian, bagaimanapun, berkata, pembubaran DUN Johor bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Ini kuasa Tuanku Sultan,” katanya kepada Malaysiakini.

Seksyen 7 (2) (b) Perlembagaan Johor menyatakan bahawa sultan mempunyai budi bicara untuk tidak menunaikan permintaan untuk membubarkan DUN.

Osman berkata sebagai sekutu dalam PN, Umno Johor juga mesti membincangkan cadangan pembubaran dengan kepemimpinan tertinggi gabungan itu, termasuk Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

“Kalau dia (Umno) tak runding, maka dia tak menghormati Bersatu sebagai ahli PN,” katanya.

Begitu juga, Osman berkata, sebarang lantikan politik mesti dibincangkan dengan kepimpinan PN.

“Dia kena bincang dengan kepimpinan tertinggi baru tahu boleh selesai atau tidak.

“Kita di peringkat ketua bahagian Bersatu belum pernah dipelawa untuk bincang perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang lebih yakin bahawa penyelesaian “menang-menang” mampu dicapai.

“Saya sangat yakin dengan kepimpinan Hasni Mohammed sebagai MB, dia seorang yang kompeten.

“Saya (telah) jumpa MB, dia sedang teliti perkara ni dan Insya-Allah dalam masa terdekat akan diumumkan win-win situation,” katanya.

Bagi Mazlan, perselisihan pendapat dalam parti adalah perkara biasa yang diibaratkannya sebagai asam garam politik.

Anggota exco negeri itu juga menegaskan bahawa setkat ini kerajaan negeri berfungsi dengan lancar.

Pada 27 April, pemimpin Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu tulisannya meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Solihan, yang merupakan anggota exco kerajaan negeri dan Adun Tenang, juga berkata, penyertaan Bersatu dalam lantikan politik seperti di GLC mesti menjadi sebahagian daripada kerjasama PN.

Sejak itu, pemimpin Bersatu Johor yang lain, termasuk Osman, menyuarakan perkara yang sama.

‘Ustaz Walaun’ mengamuk salahkan DAP dalam temubual secara online

MALAYSIA DATELINE

Kreativiti. Itulah yang digunakan oleh pelbagai pihak untuk menyampaikan mesej mereka ketika negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.

Hazmi Hassan atau lebih dikenali sebagai Jeming Hassan, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, adalah antara yang menggunakan kreativiti untuk menyampaikan mesej politik beliau.

Hazmi membuat satu temubual olok-olok tetapi kandungannya adalah realiti yang berlaku dalam Pas sekarang. Isunya adalah RUU355.

Rancangan yang dinamakan “Bicara Membawang Malaysia” itu menampilkan ‘Ustaz Walaun’ yang dilakonkan sendiri oleh Hazmi.

Mereka berbicara sekitar RUU 355 yang merupakan isu penting yang diperjuangkan oleh Pas sebelum pilihanraya ke 14 lalu.

Bagi Hazmi, RUU 355 yang ingin meletakkan undang-undang Islam lebih tinggi berbanding apa yang ada sekarang patut dibuat oleh Pas sekarang kerana Menteri Undang-undang sekarang adalah Setiausaha Agung Pas sendiri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Usul bagi memberikan bidang kuasa yang lebih luas kepada perundangan Islam telah dibuat melalui usul persendiriaan yang dikemukakan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 2016 lalu.

Abdul Hadi membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016, tetapi menangguhkan perbahasan dan membentangkan versi yang disemak semula pada November 2016.

PN, kerajaan yang sedang meraba-raba - Mohamad Sabu

MALAYSIA DATELINE
Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang adalah kerajaan yang meraba-raba tanpa garis panduan yang dipersetujui bersama antara mereka.

Ini kerana, kata ahli Parlimen Kota Raja itu, kerajaan PN tidak pernah mempunyai sebarang manifesto atau janji kepada rakyat yang menjadi panduan dalam memerintah negara.

Sebab itu, katanya, beliau yakin kerajaan PH akan kembali berkuasa dalam masa terdekat atau dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kerajaan PN ini kerajaan yang meraba-raba, yang tidak tahu mencari arah. Sebab itu untuk mengekalkan pemerintahan mereka jika boleh kekal dengan meletakkan semua MP yang menyokong mereka ada tempat, tidak lari dari gabungan mereka itu,” kata Mohamad dalam wawancara khas dengan Media Oren, agensi media di bawah AMANAH.

Menurut beliau, sekarang ini negara sedang hadapi wabak Covid-19, maka pemimpin kerajaannya bercakaplah soal Covid-19.

“Tetapi selepas ini dan selain Covid-19, apa yang mereka nak cakap, mereka sendiri tidak tahu dan tidak ada perancangan,” katanya.

Oleh kerana kerajaan PN ini meraba-rabalah maka semua sedar bahawa ada menteri mereka yang bekerja kuat dan ada menteri yang tidak diketahui langsung apa yang mereka buat.

“Mereka tidak ada panduan yang jelas apa yang mereka perlu buat,” kata bekas Menteri Pertahanan itu.

Bagi Mohamad, keaadan Pakatan Harapan pula jauh berbeza dengan PN kerana apa yang dilaksanakan oleh PH sebagai sebuah kerajaan dipandu dengan jelas melalui manifesto mereka yang dinamakan Buku Harapan.

“Manifesto ini pula ada boleh dilaksanakan segera seperti janji untuk mengisytiharkan harta yang dilaksanakan segera oleh PH sebaik sahaja memerintah dan ada yang jangka pendek dan ada yang jangka panjang.

“Manifesto jangka panjang misalnya janji untuk menyediakan sejuta rumah dalam masa 10 tahun memerlukan PH memerintah selama dua penggal untuk melaksanakan manifesto itu,” kata Mohamad.

Bagi manifesto yang belum dicapai pula, kata Mohamad, kerajaan telah mengarahkan kepada agensi di bawah mereka agar membuat laporan pencapaian terhadap manifesto berkenaan.

“Sebab itu kita sentiasa menerima laporan, apa manifesto yang telah dicapai dan apa yang baru capai sebahagian,” katanya.

Namun, katanya, kerajaan PH telah diambil di tengah jalan.

“Mereka yang ambil ini pula tidak ada manifesto dan tidak ada janji, Mereka hanya gabungan ahli-ahli parlimen.

“Saya setuju dengan pandangan pemimpin Umno bahawa PN ini pakatan longgar kerana ia tidak ada persefahaman bersama hanya gabungan untuk mengambil alih pemerintahan,” katanya.

INI PERINGATAN PERTAMA UMNO BUAT MUHYIDDIN…..

Shahbudin Husin
Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung surat daripada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang menuntut beberapa jawatan untuk pemimpin negeri itu dalam kerajaan dan juga GLC.

Katanya, hanya selepas maklum balas berkenaan barulah UMNO Sabah akan mempertimbangkan langkah seterusnya.

“Belum ada apa apa maklumat.

“Tunggu dulu respons daripada Perdana Menteri,” kata Bung Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Sebelum ini, Zahid Hamidi dalam surat bertarikh 16 April kepada Muhyiddin menuntut agar empat pemimpin UMNO Sabah dilantik dalam jawatan kerajaan dan GLC.

Pemimpin yang dituntut diberikan jawatan itu ialah Bung Mokhtar sendiri sebagai Pengerusi Pembangunan Persekutuan Sabah; Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin sebagai timbalan menteri; bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan sebagai Senator dan Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Yakubah Khan sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Labuan.

Walaupun sudah hampir dua minggu, sehingga ini Muhyiddin masih lagi belum memberi sebarang respon atau maklum balas terhadap tuntutan UMNO Sabah yang dibuat melalui Zahid Hamidi itu.

Hari ini apabila Bung Mokhar menegaskan, “hanya selepas ada maklum balas daripada Perdana Menteri barulah UMNO Sabah akan mempertimbangkan langkah seterusnya”, dengan jelas ianya bermaksud bahawa ini adalah “peringatan pertama” buat Muhyiddin.

Selepas ini atau barangkali minggu depan, Bung Mokhtar pasti akan bersuara lagi untuk mengingatkan Muhyiddin berhubung tuntutan itu.

Pokoknya, meskipun sudah hampir dua minggu Muhyiddin sekadar berdiam diri berhubung tuntutan itu, beliau seperti sedang diingatkan agar tidak memandang sepi surat Zahid Hamidi itu.

Berdiam diri atau menolak tuntutan itu, sepertimana yang disebut oleh Bung Mokhtar, “UMNO Sabah akan mempertimbangkan langkah seterusnya.”

Apakah maksud “langkah seterusnya” itu?

Dalam keadaan sokongannya yang rapuh, disertai macam-macam masalah lain serta kerajaan PN yang tidak berdaftar pula bila-bila masa boleh runtuh, Muhyiddin barangkali tidak sukar memahami “peringatan pertama” Bung Mokhtar ini.

Akhirnya, jika tuntutan itu dipenuhi, termasuk kepada Bung Mokhtar yang sedang berdepan kes mahkamah, apakah kemudian akan menyusul desakan agar Zahid Hamidi yang juga ada kes mahkamah turut diberikan jawatan dalam kerajaan?

Mampukah Muhyiddin menghadapi tekanan demi tekanan UMNO ini? (ShahbudinHusin 29/04/2020)

Masih ada peluang Bersatu untuk bersama PH di Johor

AMNI JAGAT
Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri Johor masih diberi peluang untuk kembali ke pangkuan Pakatan Harapan (PH) negeri tersebut.

Mengulas perkara itu, Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman berkata keluhan yang disuarakan oleh Setiausaha Bersatu Mohd Solihan Badri 27 April 2020 yang lalu telah membawa persepsi yang berbeza berkenaan dengan pembentukkan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Katanya, Bersatu masih mempunyai peluang untuk berunding semula dengan PH bagi menubuhkan kerajaan untuk menidakkan Umno yang dilihat semakin menyisihkan kawannya yakni Bersatu.

“Perkara ini boleh dibincangkan dan hubungan kami (PH) suatu ketika dulu baik dan semuanya berlaku akibat keputusan peringkat nasional yang mahukan perkara seperti hari ini terjadi.

“Semasa Bersatu menjadi komponen PH, mereka mendapat tempat yang tinggi seperti jawatan Menteri Besar yang diberikan pada mereka, namun hari ini kehadiran mereka dalam gabungan PN seperti tidak dihargai.

“Kita masih terbuka untuk berbincang membentuk suatu gabungan yang kuat bukan rapuh seperti di dalam PN hari ini yang terpaksa setiap hari mengira-gira Adun untuk menyokong mereka kerana majoriti terlalu tipis untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Adun Maharani, Nor Hayati Bachok ketika sewaktu dihubungi semalam turut menyatakan pendirian yang sama berkenaan dengan perkara tersebut.

Katanya, hubungan yang baik di kalangan ahli sehingga akar umbi di negeri ini menjadi retak apabila keputusan dari peringkat nasional yang memutuskan untuk bergabung dengan Umno dan Pas pada hujung Februari yang lalu.

“Ada ahli yang masih keliru dengan keputusan membentuk kerajaan negeri hari ini bersama-sama PN dan kebanyakkan mereka mulai mengeluh kerana dipinggirkan oleh pucuk pimpinan yang diterajui oleh Umno.

“Saya mengajak agar Bersatu kembali semula membentuk pakatan yang kuat bagi usaha memenangkan rakyat khususnya di negeri ini serta membawa semula agenda yang telah dijanjikan semasa PRU 14 tempoh hari.

“PN pun dilihat rapuh dengan gagasan tersebut yang tidak berdaftar serta setiap hari dilihat seperti menyalahkan antara satu sama lain sehingga Bersatu menjadi tersepit dalam perkara tersebut.

“Inilah masa yang baik untuk kita muhasabah semula membina ukhuwah sesama kita dalam memacu negeri ini mengikut cara kita tanpa mengikut telunjuk sesiapa pun,” katanya.

Perikatan Nasional akan berpecah menjelang PRU-15

SUBRA MANI
Komponen haram Perikatan Nasional (PN) pasti akan menghadapi masalah agihan kerusi Parlimen di Semenanjung, begitu juga dengan kerusi Dun menjelang PRU-15.

Jumlah kerusi Parlimen sekarang iaitu:-
Semenanjung 165 kerusi
Sarawak 31 kerusi
Sabah 25 kerusi
WP Labuan 1 kerusi.
Jumlah semua: 222 kerusi Parlimen.

Manakala kerusi Dun, di Semenanjung dan Sabah sebanyak 505 kerusi Dun iaitu tidak termasuk di Sarawak sebanyak 82 Dun.

Dalam PRU-14, Pas bertanding 154 kerusi Parlimen (mahu menjadi king maker) dan 386 kerusi Dun. Manakala BN pula bertanding semua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun.

PPBM iaitu janda PH pula bertanding 52 kerusi Parlimen dan 109 kerusi Dun semasa dalam Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14.

Bayangkan bagaimana agihan kerusi antara BN/Pas/PPBM termasuk geng kartel untuk menghadapi PRU-15. Jawapannya BN dan Pas tidak semudah itu untuk menyerahkan kerusi tradisi yang mereka bertanding kepada PPBM.

Bagi PH (PKR/DAP/AMANAH) tiada masalah kerana formula agihan dalam PRU-14 akan digunapakai dalam PRU-15, cuma kerusi Parlimen yang ditinggalkan oleh PPBM sebanyak 52 kerusi (majoriti Melayu) akan diagihkan semula antara PKR/AMANAH.

Bagi Kerusi Dun sebanyak 109 yang ditinggalkan oleh PPBM juga akan diagihkan antara PKR/AMANAH. Mungkin dalam PH akan berlaku pertukaran kerusi antara DAP/PKR terutamanya di kawasan campuran.

Masalah tidak akan berlaku dalam PH, tetapi dalam agihan kompen PN pasti dan nyata akan berlaku pergaduhan. Apakah Pas dan BN sanggup berkorban untuk diberi kawasan tradisi mereka kepada PPBM?

Mungkin PPBM dan geng kartel hanya diberi pun sekadar kerusi kepada penyandang MP/Adun yang melompat sahaja. Lain-lain pemimpin PPBM yang bukan penyandang agak berat untuk BN/PAS untuk diberi peluang bertanding kepada PPBM dalam PRU-15.

Ketika inilah, baru PPBM tahu siapa lawan dan siapa musuh. Ketika untuk menjatuhkan PH semuanya indah belaka. Apabila sudah berkahwin dalam PN Baru mengenali diri masing-masing siapa yang jujur dan siapa yang tamak haloba.

Oleh itu, TS Mahyudin hendaklah mengkaji balik dan kembali bersama PH kerana sejarah telah membuktikan bahawa Pas dan BN tidak akan memberi ruang kepada PPBM untuk menjadi parti dominan.

Ayuh TS Mahyudin, jangan fikirkan jawatan PM kerana anda sendiri tidak selamat. Kembali bertaut bersama Tun Mahathir sekarang TETAPI jangan sekali-kali membawa Azmin/Zuraida kerana majoriti ahli PKR telah menolak geng kartel dan bila sebut saja nama Azmin dan Zuraida mereka nak muntah kerana mereka berdua adalah pengkhianat kepada PKR dan juga kepada PH.

“Jangan beri peluang Azmin dilantik sebagai TPM mahu pun PM kerana inilah manusia yang tidak sedar diri apabila berjawatan sudah angkuh dan sombong serta biadap kepada DSAI”.

Anwar: Azmin pengkhianat, tetapi ini bukan peribadi

Di sebalik apa yang berlaku, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau tidak menaruh sebarang perasaan dendam terhadap bekas timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Ketika pada tahun 1998, Anwar dan Azmin adalah sekutu yang menubuhkan parti itu bersama.

Bagaimanapun, hubungan mereka kemudiannya menjadi renggang dengan ketara dan ini menyaksikan parti itu terbelah dua.

Pada Februari tahun ini, Azmin mendalangi kudeta politik yang dinamakan sebagai "Langkah Sheraton” yang menutup terus peluang Anwar menjadi perdana menteri kelapan dan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Azmin kemudiannya dipecat dari PKR dan memilih untuk bergabung dengan Bersatu dan sejak itu dilantik sebagai menteri kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional.

Ketika ditanya pada wawancara pagi ini, jika beliau kecewa dengan Azmin, Anwar menganggap tindakan bekas timbalannya itu sebagai satu "pengkhianatan" tetapi dirinya tidak menaruh dendam.

"Saya telah lama dalam politik, saya banyak kali diserang.

"Bagi saya, ini bukan peribadi," katanya kepada stesen radio BFM.

Anwar juga disoal jika PKR mempunyai sebarang rancangan dalam pemilihan pemimpin pelapisnya.

Veteran berusia 72 tahun itu berkata, beliau akan menyerahkan kepada parti untuk memutuskan siapa yang bakal menggantikannya.

"Itu harus diputuskan oleh parti, bukan saya. Kita harus membiarkan pucuk pimpinan membuat keputusan,” katanya.

Anwar memberi jawapan yang sama ketika diasak sekiranya Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution atau anaknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, adalah calon yang berpotensi.

"Nurul Izzah tentunya hanya fokus pada Permatang Pauh," katanya.

Kerajaan PN mulai retak, Muhyiddin dikejar ketakutan

MSO

SIAPA sebenarnya gembira dengan peralihan secara paksa kerajaan daripada PH kepada PN? Apakah yang benar-benar gembira dan seronok Muhyiddin Yassin secara peribadi kerana beliau dilantik menjadi PM yang memimpin kerajaan berkenaan?

Jika dilihat secara zahir begitulah. Muhyiddin perlu berasa seronok dan gembira kerana jawatan itu merupakan jawatan tertinggi yang menjadi idaman semua orang, khasnya yang menjadi ahli parlimen.
Sesiapa yang memasuki jelumu politik ikut bertanding dalam pilihan raya di kerusi parlimen, adalah bodoh kalau dia tidak mempunyai cita-cita untuk jadi perdana menteri.

Ada beberapa orang atau individu utama yang seharusnya menerima kesan langsung baik benefits atau accountability dengan kejayaan menggulingkan kerajaan PH itu. Mereka itu sama adalah orang perlu dipertanggungjawabkan dan berhak menerima hasil daripada kejayaan menumbangkan kerajaan itu.

Individu itu selain Muhyiddin, yang terkait sama adalah Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Hadi Awang, Mohamed Azmin Ali (Minrit) dan Abang Johari Openg. Inilah empat individu atau kepala yang membentuk mufakat perompakan dan menggulingkan kerajaan PH dan seterusnya memberi ruang keemasan buat Muhyiddin untuk jadi PM.

Hadi dah dapat bahagian, Zahid belum lagi.
Tolonglah Tokguru...!
Muhyiddin telah mendapat nikmat daripada permuafakatan meruntuhkan kerajaan PH. Atas kesediaaanya untuk mengkhianati rakan dalam PH dan menjahanamkan kerajaan yang dianggotai sendiri, beliau sudah dilantik jadi perdana menteri. Pelantikan itu hadiah terbesar buat dan sejarah dalam hidupnya.

Seharuslah beliau berbangga dan berterima kasih kerana kerja jahat itu akhirnya meletakkan beliau di kerusi nombor satu itu yang mana mungkin beliau tidak pernah terfikir sebelum ini? Muhyiddin tidak pernah pun bermimpi untuk menjadi perdana menteri apalagi selama berada dalam kerajaan PH lalu telah membuat konsensus yang Anwar Ibrahim akan menjadi pengganti Dr Mahathir.

Bukan sahaja orang umum, Dr Mahathir pun terkejut dengan apa dilakukan Muhyiddin itu, dan beliau sendiri tidak menyangka kalau Muhyiddin ingin jadi PM. "Saya tidak sangka rupa-rupanya dia (Muhyiddin) nak jadi PM," demikian ulas Mahathir.

Ternyata tuah yang datang menggolek tanpa melalui liku-liku yang panjang untuk tiba di kakinya. Beliau hanya perlu lupa soal maruah, sanggup melanggar prinsip persahabatan dan sedia bersekongkol dengan musuh. Maka beliau wajar berbangga dan berpuas hati dan kejayaan itu sejarah tertinggi beliau dalam politik.

Apabila Muhyiddin mendapat habuan besar tidak bermakna empat orang lain juga secara automatik berasa atau mengalami perasaan sama seperti Muhyiddin itu. Bagaimana dengan Zahid, Azmin, Hadi dan Johari Openg? Apakah mereka berempat ini mendapat imbuhan sepadan dengannya Muhyiddin? Mungkin tidak bagi Johari Openg tetapi bagi Zahid dan Azmin khasnya perlu dinilai secara mendalam. Mereka tentu menuntut keadilan dan kesaksamaan setelah usaha mereka berjaya.

Dalam hal ini individu yang sangat mengharap kejayaan itu memberi keuntungan kepadanya adalah Zahid Hamidi.

Beliau mungkin mengira dan berharap perubahan kerajaan itu akan dapat membantu kedudukannya, namun ternyata sesudah dua bulan berlalu belum ada tanda-tanda apa yang mungkin diharapkan itu menjadi kenyataan. Tidak ada lebih utama bagi Zahid kenapa sedia memberi sokongan kepada Muhyiddin dengan harapan beliau dilepaskan dengan tali jerat ekoran pertuduhan di mahkamah.

Walaupun tidak ada perjanjian bersyarat seperti itu, tetapi itulah yang tertusuk jauh di sanubarinya.

Zahid menghadapi lebih 80 pertuduhan dimahkamah dimana tuduhan itu menjadi dosa dan noda buatnya. Dengan tuduhan itu reputasinya sebagai ahli politik merudum dan beliau berada dalam persepsi menjijikkan. Masyarakat menganggap bahawa beliau seorang pemimpin yang korup. Walaupun belum ada keputusan mahkamah tetapi itulah yang berlegar dalam kepala umum kini.

Zahid sendiri menyedari apa dihadapi itu sangat buruk dan memalukannya. Gara-gara dihadap ke mahkamah menyebabkan beliau mengambil keputusan bercuti daripada jawatan presiden Umno selama setahun?

Makanya, Zahid menunggu apakah balasan dan imbuhan buat beliau daripada Muhyiddin? Seperti dikatakan tadi, kalau itu bukan syarat kerjasama, tetapi bacaan politik ke situ. Zahid dan juga para penyokongnya dan orang yang berharap Zahid akan disuci oleh kerajaan baru itu sedang menunggu bila Peguam Negara akan membuat semakan terhadap segala pertuduhan ke atas Zahid?

Mereka sedang memerhati apakah tindakan Muhyiddin untuk mensucikan presiden Umno itu. Tanpa dilakukan sesuatu untuk membantu Zahid, kerjasama dan rompakan secara muafakat itu tidak membawa apa-apa erti pun buat Umno.

Bukan sahaja apa yang berlaku kepada persekitaran peribadi dirinya, cara Muhyiddin membahagikan harta sepencurian kepada Umno tidak adil. Sebab itu kini sudah terdengar cakap-cakap tidak puas hati dari kalangan pemimpin Umno mengenai perjalanan kerajaan PN. Terbaru Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengatakan tanpa berlapik yang Umno tidak ada sebarang perikatan dengan PN seperti mana Umno dengan Pam melalui Muafakat Nasional.

Bererti Mohamad Hasan tidak mengiktiraf kerajaan PN dan cuba memberi gambaran yang kerajaan PN boleh goyah bila-bila masa sahaja. Malahan Zahid sendiri juga sudah mula bersuara menyatakan ketidakpuasan hatian sekaligus mempersoalkan apakah "perasaan" Muhyiddin terhadapnya dan partinya apabila Zahid menulis surat meminta Muhyiddin melantik beberapa pemimpin Umno Sabah ke dalam kerajaan.

Surat Zahid itu dilihat perkara biasa, tetapi ia memberi natijah dan pengertian lebih dalam dari itu. Pemerhati mula melihat Umno sudah mula menuntut haknya yang sewajarnya daripada kerajaan PN.

Selain Zahid, Azmin (Minrit) juga tidak mendapat sepenuhnya apa yang dihajati dengan penggulingan kerajaan PH itu. Azmin mungkin boleh tersenyum lebar kerana berjaya mengecewakan Anwar Ibrahim, tetapi senyuman dan rasa puas itu tidak sampai ke lubuk hati.

Kesediaan ahli Parlimen Gombak itu untuk mengkhianati rakan-rakan dalam PH termasuk bosnya sendiri Anwar Ibrahim dan sanggup menerima cacian dan cercaan sepanjang zaman belum diberikan upah secukupnya oleh Muhyiddin. Dalam kata lain Azmin masih belum mencapai apa yang diidamkan.

Dunia tahun Azmin bercita-cita untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sudah lama dia menarah angan-angannya ini dan angan-angan inilah dijual kepada orang-orang Keadilan sehingga ada orang Keadilan yang "angin tohor" percaya dan sanggup mufaraqah daripada keadilan untuk bersama Minrit. Salah seorang adalah Jaaffar Kamaruddin.

Alih-alih apabila membentuk kabinet Muhyiddin tidak mewujudkan jawatan TPM, sebaliknya diganti dengan mewujudkan jawatan empat menteri kanan yang salah seorangnya diisi oleh Minrit. Jawatan itu sama taraf dengan Dr Radzi Jidin yang baru belajar politik yang juga dilantik menjadi menteri kanan kiri.

Begitu juga dengan Abdul Hadi Awang. Walaupun beliau cuba menunjukkan sikap tawaduknya dan tidak gilakan kuasa, tetapi nun jauh di sudut hatinya beliau juga mengharapkan sesuatu yang lebih daripada diperolehi kini. Tidak berbaloi beliau hanya dilantik menjadi Duta Khas kepada Perdana Menteri untuk negeri Timur Tengah. Seandainya beliau tulus dan ikhlas berjuang tanpa mahukan kuasa, beliau tentu tidak sedia menerima tawaran (permintaan sebenarnya) untuk menjadi Duta Khas kepada Perdana Menteri yang tidak mempunyai bidang kuasa diplomatik sepenuhnya.

Sebagai presiden Pas setidak-tidaknya, Hadi sepatutnya berada di barisan menteri kanan, kalau pun dirasakan tidak logik dan berkelayakan untuk dilantik menjadi perdana menteri. Tentu sekali orang tua itu mahu dan teringin juga untuk ikut sama mengangkat sumpah di hadapan Yang diPertuan Agong dan bukan hadir hanya untuk meraikan pelantikan orang lain.

Disebabkan mereka terlibat atau menjadi master mind dalam kudeta itu tidak dilayan dengan adil, maka itulah sebab sudah timbul desas desus dan cakap-cakap kurang manis mengenai kerajaan PN. Sudah ada yang berani memberi kata dua kepada Muhyiddin dari kalangan komponen PN sendiri. Sudah ada yang menytindir dari jauh dan sudah pun sampai ke telinga Muhyiddin dan ia memedihkan.

Paling menonjol dan mempamerkan rasa tidak puas hati dengan cara Muhyiddin ialah daripada Umno. Misalnya beberapa orang pemimpin Umno mengkritik Azmin secara terbuka sebagai seorang menteri dikatakan menteri kiri kanan. Perlu difahami kritikan dan rasa mual kepada Minrit yang ditimbulkan oleh orang-orang Umno itu adalah sebagai perbuatan pukul anak untuk sindir menantu.

Mereka mempersoalkan wibawa dan kemampuan bekas Timbalan Presiden Keadilan itu menguruskan kementerian MITI itu. Apabila kewibawaannya dipersoalkan, bermakna persoalan dan pertikaikan itu dilemparkan kepada orang yang melantiknya.

Kesimpulannya selain Muhyiddin, kesemua pihak lain tidak berpuas hati dengan cara kerajaan PN dibentuk dan Muhyiddin mengurusnya. Rasa tidak puas hati ini akan terus "memborak" carik dan meluas. Jika Muhyiddin tidak segera menanganinya ia berpotensi besar untuk menjadikan kerajaan PN retak kemudian terbelah.

Sidang pertama parlimen walupun sehari pada 18 Mei ini benar-benar mengganggu emosi Muhyiddin. Apa-apa sahaja boleh berlaku pada hari itu. Tindakan menghadkan sidang hari satu hari jelas menunjukkan ketidakyakinan Muhyiddin terhadap sokongan kepadanya.

Wabak Coronavirus walaupun dari satu sisi membantu untuk menyelamatkan Muhyiddin daripada diserang hendap oleh oposisi habis-habisan, tetapi dari sisi lain ia menjadikan Muhyiddin dalam serba salah dan terpaksa memikul beban sebagai PM yang berat. Dalam situasi tidak menentukan ini beliau tidak perlu dihimpit dan dijempit dengan masalahan dalam PN seperti disebut tadi mengenai rasa ketidakpuasan hati berbagai pihak.

Justeru satu formula dan solusi untuk keluar dari daerah "disappointment" yang sedang tercipta ini Muhyiddin perlu melakukan sesuatu yang betul dan tepat. Apakah Muhyiddin mampu? Minta Menteri Agama banyak-banyak berdoa selain untuk selamatkan rakyat Malaysia daripada Coronavirus, doakan juga untuk keselamatan Muhyiddin. [wm.kl. 2:27 pm 28/04/2020]

Petugas kesihatan menggigil penat enam jam tanpa henti saring Covid-19


SITI NUR ZAWANI MISCON

Petugas kesihatan terduduk keletihanmenyaring 400 pelajar dari Kaherah.

Menempuh bulan Ramadan dalam keadaan negara berhadapan ancaman wabak Covid-19, petugas kesihatan barisan hadapan tidak pernah berundur membantu kerajaan dan rakyat Malaysia untuk sama-sama melepasi fasa getir ini.

Perit untuk dibayangkan bagaimana pengorbanan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik tersebut ketika negara mencatat lebih 300 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan positif Covid-19.

Satu catatan Facebook Nurul Nadirah menceritakan keadaan terkini para petugas yang sudah mula kelelahan dan menggigil menjalankan tugas mereka biarpun seawal minggu pertama berpuasa.

Pada hari pertama sahaja, barisan hadapan menerima sebanyak 20 buah bas dinaiki pelajar dari Kaherah, Mesir yang memulakan kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin, Hotel Ibis KLCC, Kuala Lumpur.

Katanya, pendaftaran tanpa henti melibatkan 400 pelajar itu berlangsung selama enam jam.

“Awal pagi semua bertenaga, beralih petang seorang demi seorang rebah dengan full PPE (peralatan perlindungan diri).

“Badan makin lemah, ada yang dah muntah, ada yang hampir pitam, ada yang badan dah menggigil. Bukan mudah nak lalui perjalanan ini. Aku pun dah lemah di celah mesin fotostat,” tulisnya.

Luahan barisan hadapan melalui ujian pada hari pertama puasa itu mendapat perhatian dan kata-kata semangat rakyat Malaysia yang simpati dengan pengorbanan mereka.

Tambah Nadirah lagi, itulah dugaan pada awal Ramadan yang perlu ditempuhi untuk negara.

“Bukan mudah lalui perjalanan ini,” luahnya.

Sebanyak 20 unit bas membawa pelajar yang memulakan kuarantin di Hotel Ibis KLCC, Kuala Lumpur.

‘Air mata kami semuanya disia-siakan’

Pada masa sama, rakyat Malaysia juga mula menyebarkan satu petisyen yang menyokong agar pegawai perubatan kontrak diserap dalam jawatan tetap berbanding arahan meminta untuk memperbaharui kontrak mereka.

Dalam satu bantahan di laman change.org oleh Pegawai Perubatan Kontrak yang berkhidmat di Luar Bandar Sarawak, petisyen berkenaan mendapat hampir 14,800 sokongan dari sasaran sebanyak 15,000.

“Sebilangan besar daripada kami baru sahaja menerima e-mel yang meminta memperbaharui kontrak kami sebagai UD41.

“Gred gaji pekerja houseman dengan tanggungjawab Pegawai Perubatan walaupun kami berjaya melengkapkan latihan sebagai houseman.

“Sepanjang dua tahun kerja keras kami, air mata kami semuanya disia-siakan. Kami kini bekerja tanpa keselamatan pekerjaan.

“Tiada jaminan dan manfaat seperti rakan pegawai perubatan tetap yang lain dan tidak pasti dengan perjalanan kerjaya kami,” tulis petisyen itu.

Covid-19: AS hampir cecah satu juta

Kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) kini menghampiri satu juta pada hari Selasa, meningkat dua kali ganda dalam tempoh 18 hari, lapor media antarabangsa.

Reuters melaporkan jumlah jangkitan di AS menyamai satu pertiga daripada semua kes positif Covid-19 di dunia.

Lebih daripada 56,000 warga Amerika meninggal dunia disebabkan penyakit pernafasan yang boleh membawa maut akibat virus Covid-19, dengan purata kira-kira 2,000 korban sehari pada bulan ini, menurut data yang dikumpulkan Reuters.

New York mencatatkan kira-kira 30 peratus kes dan menjadi pusat wabak AS, diikuti oleh New Jersey, Massachusetts, California dan Pennsylvania.

Di peringkat global, kes koronavirus meningkat menjadi tiga juta kes sejak wabak itu bermula di China pada akhir tahun lalu.

Amerika Syarikat, lapor Reuters dengan jumlah penduduk ketiga terbesar di dunia, mempunyai lima kali lebih banyak kes dari Itali, Sepanyol dan Perancis yang juga terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

AS mencatatkan kira-kira 30 kes bagi setiap 10,000 orang. Sepanyol menduduki tempat pertama dengan lebih 48 kes bagi setiap 10,000 orang, diikuti oleh Belgium, Switzerland dan Itali.

Kematian akibat wabak Covid-19 di AS adalah yang tertinggi di dunia, kini menurut Reuters melebihi jumlah orang Amerika yang terbunuh dalam Perang Korea 1950 ke 1953 iaitu seramai 36,516 nyawa.

Jumlah kematian Covid-19 betul-betul di bawah 58,220 orang tentera AS yang terbunuh semasa Perang Vietnam yang berakhir pada tahun 1975.

Wabak Covid-19 telah meragut lebih banyak nyawa di AS berbanding selesema bermusim dalam beberapa tahun terakhir, kecuali pada musim 2017-2018, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) AS.

Kematian akibat selesema sekitar 12,000 nyawa pada musim 2011-2012 hingga 61,000 pada 2017-2018.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di AS ketinggalan jauh berbanding dengan wabak selesema Sepanyol, yang bermula pada tahun 1918 dan mengorbankan 675,000 orang Amerika, menurut CDC.

Jalan kaki lebih 400km untuk balik kampung setelah sebulan hilang pekerjaan dan diusir bekas majikan

ARIF ATAN
Seorang lelaki berasal dari Kampung Lawang, Jedok, Tanah Merah terpaksa membuat keputusan nekad berjalan kaki pulang ke kampung selepas bas ekspres di Bandar Tasik Selatan (BTS) tidak beroperasi susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau difahamkan terpaksa mengambil keputusan untuk pulang ke kampung selepas sebulan tidak bekerja serta dihalau majikan daripada rumah penginapan pekerja.

Berusia 20-an dengan menggunakan nama Matnoe Poksu Din di akaun Facebook, beliau mula berjalan kaki sejak kelmarin lebih 400 kilometer (km) dan sampai di kampungnya jam 11 malam tadi.

Menurut bapa kepada dua anak itu, sebuah lori ayam dari Pulau Pinang turut membantu menumpangkannya dari Gerik ke Tanah Merah.

“Alhamdulillah. Jam 11 malam tadi selamat sampai rumah. Terima kasih pada yang mendoakan, memberikan bantuan terutama sekali terima kasih kepada Setiausaha Sulit Datuk PA Saudara Ahmad Nazree Ramli di atas sumbangan yang diberikan. Beliau banyak membantu perjalanan saya,” katanya hari ini.

Semalam ketika singgah di Terminal Bas Ekspres Amanjaya di Ipoh, Matnoe melalui rakaman singkat video memberitahu ingin berehat sebentar lantaran amat keletihan dan pada masa sama tenaga bateri telefonnya hanya tinggal tujuh peratus selain kasut yang dipakainya juga terkoyak.

Beliau turut memberitahu sepanjang perjalannya dari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng ke Terminal Amanjaya, terdapat dua sekatan jalan di plaza tol yang berjaya dilepasinya.

Matnoe Poksu Din

“Jalan kaki seolah-olah halimunan. Tiada yang perasan. Tahan peronda pun tidak berhenti. Tahan lori tidak berhenti. Tak larat nak teruskan ke Gerik lepas itu ke Jeli,” tulisnya di Facebook.

Tidak menyalahkan

Matnoe bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak ketika tempoh PKP masih berkuatkuasa di sebalik keputusan nekadnya pulang ke kampung dengan hanya berjalan kaki.

Terdahulu, Matnoe memberitahu tiada lori sudi untuk menumpangkannya balik sepanjang perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Sejurus tiba di Ipoh, jelasnya, ada anggota bomba yang simpati dan menawarkannya untuk hantar hingga ke Gerik.

Matnoe yang bekerja di Shah Alam pada mulanya mahu pulang mengikut jalan biasa iaitu Lebuhraya Karak.

Walau bagaimanapun, beliau sesat sehingga melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan tiba di Ipoh, Perak, petang semalam.

Sementara itu, seorang wanita dipercayai isterinya, Sara Anisa memberitahu majikan suaminya telah mengusir Matnoe Poksu Din dari rumah.

“Gila kepala memikir. Duduk Kuala Lumpur pun tauke halau dah, sebulan dah tak kerja kan..

“Tauke pun halau la dari rumah yang dia beri duduk tu. Duit pun tak ada nak buat makan. Jadi keputusan dia, jalan kaki nak balik rumah,” katanya menerusi status di Facebook.

Pentagon keluarkan video 'UFO' secara rasmi


Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon secara rasminya telah mengeluarkan tiga video pendek menunjukkan "fenomena udara yang tidak dikenalpasti (unidentified aerial phenomena) yang sebelum ini telah disiarkan oleh sebuah syarikat swasta.

CNN melaporkan video itu menunjukkan objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti sedang bergerak laju ketika dirakam kamera inframerah. Dua video itu mengandungi perbualan juruterbang tentera AS mengenai maklum balas terhadap objek terbang itu, dengan salah satu suara menspekulasikannya sebagai dron.

Pentagon sebelum ini mengambil maklum video tersebut pada September tahun lalu.

Jurucakap Pentagon Sue Gough dipetik CNN berkata video itu dikeluarkan Pentagon sekarang "dengan tujuan menjelaskan salah faham oleh orang ramai sama ada rakaman yang beredar itu benar atau tidak, atau sekiranya terdapat perkara yang lebih lagi daripada video itu.

"Setelah penilaian menyeluruh, jabatan pertahanan telah memutuskan bahawa pengeluaran yang dibenarkan daripada video yang tidak diklasifikasikan ini tidak mendedahkan sebarang sistem atau kemampuan sensitif.

"Dan tidak mengganggu siasatan selanjutnya mengenai pencerobohan ruang udara tentera oleh fenomena udara yang tidak dapat dikenalpasti," kata Gough.

Tentera AS kini mempunyai garis panduan rasmi untuk cara juruterbangnya dapat melaporkan ketika mereka percaya telah melihat kemungkinan objek UFO.

Video itu pertama kali dikeluarkan antara Disember 2017 dan Mac 2018 oleh To The Stars Academy of Arts & Sciences, sebuah syarikat yang diasaskan oleh bekas pemuzik Blink-182, Tom DeLonge yang berkata ia mengkaji maklumat mengenai fenomena udara yang tidak dikenali.

Pada 2017, salah seorang juruterbang yang melihat salah satu objek yang tidak dikenali pada tahun 2004 memberitahu CNN bahawa ia bergerak dengan cara yang tidak dapat dijelaskannya.

"Ketika saya mendekatinya ... cepat-cepat ia laju menuju ke arah selatan, dan menghilang dalam waktu kurang dari dua saat," kata juruterbang Angkatan Laut AS yang sudah bersara David Fravour.

"Ini sangat mendadak, seperti bola ping pong, memantul dari dinding. Ia akan memukul suatu arah dan pergi melantun ke arah sebaliknya."

Walaupun begitu, Luis Elizondo, bekas ketua program rahsia pertahanan, dilaporkan memberitahu CNN pada tahun 2017 bahawa beliau secara peribadi percaya "ada bukti yang sangat kuat bahawa kita mungkin tidak bersendirian (di dunia)."

"Pesawat ini - kami akan memanggilnya pesawat - menampilkan ciri-ciri yang tidak ada dalam inventori AS dan juga inventori asing yang kami ketahui," kata Elizondo mengenai objek terbang yang mereka kaji itu.

Beliau dipetik CNN berkata mengundurkan diri daripada Jabatan Pertahanan pada tahun 2017 sebagai protes atas kerahsiaan mengenai program mengkaji objek terbang itu.

Reid menulis ciapan di Twitter pada hari Isnin, berkata beliau "gembira" Pentagon mengeluarkan video tersebut secara rasmi, tetapi berkata itu hanyalah permukaan daripada bahan dan penyelidikan yang dimiliki kerajaan.

"Amerika Syarikat perlu meneliti secara serius mengenai perkara ini dan potensi kesannya terhadap keselamatan negara," katanya.

Parti politik baharu akan ditubuhkan?

LIEW CHIN TONG
Bagi seorang individu yang begitu aktif terlibat dalam satu rampasan kuasa awal tahun ini, adalah aneh untuk Tan Sri Muhyiddin mendakwa kononnya orang ramai sudah meluat dengan politik dan sebaliknya mahu kerajaan bekerja keras demi rakyat.

Orang ramai boleh melihat bahawa watak-watak utama dalam kerajaan ‘gabungan anak ayam’ Perikatan Nasional (PN) lah yang sedang berebut kedudukan dan kuasa sambil negara berdepan krisis wabak Covid-19.

Barangkali Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian dalam usahanya untuk menyembunyikan hakikat bahawa pada ketika ini, beliau berada dalam keadaan yang amat berbahaya walaupun mempunyai kuasa besar sebagai ketua kerajaan.

Kenapa saya kata begini? Kita mulakan dengan satu kisah benar. Saya dan Lim Kit Siang bergegas pulang dari acara di Johor pada 25 Julai 2015 atas permintaan Setiausaha Agung Parti Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail untuk satu perbincangan tergempar. Sebagai sekutu rapat, kami memang sering berbincang, terutamanya apabila ada perkembangan penting dalam politik negara.

Saifuddin memberitahu kami bahawa beliau mendapat khabar yang Peguam Negara Abdul Gani Patail akan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak atas kesalahan salahguna kuasa dalam kes SRC pada minggu berikutnya. Kit Siang berfikir seketika dan bertanya kepada kami: “Adakah Najib akan menunggu sahaja membiarkan dirinya di’sembelih’?”

Tiga hari kemudian, pada 28 Julai 2015, Gani, Muhyiddin dan Shafie Apdal dipecat daripada kerajaan Barisan Nasional.

Berbalik ke hari ini. Muhyiddin sedang mentadbir gabungan lemahnya ini dengan kewujudan 10 puak dalam PN.

Ada empat puak dalam parti Bersatu – mereka yang masuk pada tahun 2016; mereka yang masuk Bersatu dari Umno selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU 2018; kumpulan Azmin Ali; dan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu menimbulkan masalah dalam pemilihan parti yang nampaknya telah dilengahkan ekoran krisis Covid-19.

Empat puak lagi adalah kumpulan-kumpulan bertelagah dalam Umno; setiap satunya dipimpin Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, dan kumpulan tak berpihak yang dianggotai Mohammad Hassan serta Khairy Jamaluddin.

Dua puak lagi ialah PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Pilihan-pilihan Muhyiddin

Sebaiknya, Muhyiddin akan mahu menghapuskan penyokong Mahathir, dan mencari jalan supaya Bersatu tidak menjalankan pemilihan parti. Beliau akan mahu menghindar cabaran Mukhriz untuk kerusi presiden, yang walaupun sukar untuk Menteri Besar Kedah itu menang, namun tidaklah begitu mustahil.

Muhyiddin juga tahu bahawa daripada empat puak Umno, beliau hanya boleh percayakan puak Hishammuddin.

‘Pemberontak’ PKR, Azmin Ali sedang berharap untuk mempunyai struktur parti bagi beliau memainkan peranan penting dan untuk membawa masuk penyokong akar umbinya yang sekarang tidak mempunyai induk politik kerana Bersatu berada dalam keadaan tergantung. Beliau juga perlu mewujudkan ruang untuk penyokong bukan-Melayu yang tidak lagi dialu-alukan dalam PKR serta tidak mampu ke mana-mana.

Bagi mengabsahkan kerajaan Muhyiddin, beliau perlu menunjukkan bahawa kerajaannya bersih. Pengundi, terutamanya golongan penentu atas pagar dalam kalangan orang Melayu, amat menghargai soal integriti, selain soal kesejahteraan ekonomi.

Selain menjamin peluang pekerjaan dan kesejahteraan ekonomi untuk rakyat Malaysia, Perdana Menteri turut perlu menunjukkan kepada pengundi bahawa beliau komited membanteras rasuah, jika tidak beliau tidak akan meraih keabsahan moral kerana melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang dilantik secara demokratik.

Untuk meyakinkan orang ramai, beliau perlu menunjukkan komitmennya menentang rasuah dengan membiarkan keadilan terlaksana – supaya Najib dan Rosmah Mansor, Tengku Adnan dan Zahid Hamidi disumbat ke penjara apabila mereka didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Masalahnya, mampukah beliau berbuat demikian tanpa diserang Umno?

Jika menanti keputusan mahkamah terlalu berisiko, adakah Muhyiddin akan memilih untuk memutuskan hubungan dengan Umno dan Bersatu pada masa yang sama sebelum pembesar-pembesar Umno sempat melawan?

Parti baharu?

Ada cakap-cakap kononnya Muhyiddin, Azmin dan Hishammuddin sedang mencuba untuk menubuhkan parti baharu. Bagi mereka, ini mungkin satu penyelesaian yang bijak untuk semua masalah di atas. Tidak perlu bimbang tentang pemilihan Bersatu, penyokong Azmin ada rumah baharu, dan puak Hishammuddin dapat menghadirkan sokongan sebenar yang diperlukan Muhyiddin.

Pun begitu, ada dua cabaran terhadap perancangan ini.

Pertama, Muhyiddin hanya memiliki sokongan 113 atau 114 kerusi, maksimum. Jika Ahli-ahli Parlimen parti-parti Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) dan Warisan, serta kumpulan Mahathir dalam Bersatu kekal bersama; Muhyiddin tiada ruang untuk berkuntau.

Jika Muhyiddin, Azmin dan Hishammudin berjaya memecahkan gabungan ‘Pakatan plus’ ini, mereka akan mampu menubuhkan parti baharu tanpa memerlukan puak Najib dan Zahid. Mengikut perkiraan mereka, barangkali masih perlu menggoda beberapa Ahli Parlimen PH untuk menyertai mereka.

Kedua, Muhyiddin mesti berhati-hati dengan Umno Johor. Pemimpinnya begitu bersemangat untuk mendapatkan semula kuasa yang mereka hilang dalam PRU lalu.

Nasihat saya buat Perdana Menteri (yang dahulunya saya bekerja begitu rapat bersama beliau, dan banyak berbincang dengan penuh jujur ketika kami bekerjasama dalam PH) ialah: Umno mungkin sahaja memperdaya beliau di Johor.

Pilihan raya mengejut di Johor mungkin mengakhiri hayat Bersatu di negeri itu, malah Muhyiddin juga mungkin kehilangan kerusinya di DUN Bukit Gambir.

Di tengah arus politik yang deras ini, Muhyiddin lah yang mungkin memulakan sesuatu untuk menewaskan lawannya dalam Umno. Atau mungkin Umno Johor yang memulakan serangan terhadap Perdana Menteri.

Bagi Pakatan Harapan dan rakan-rakan sekutu yang memilih untuk kekal bersama, seperti Warisan dan kumpulan pro-Mahathir dalam Bersatu; kita mesti kekal bersama. Rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Harapan demi kerajaan yang bersih serta peluang ekonomi yang lebih baik akan terus menyokong kita.