"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ikat, bogelkan pengawal keselamatan sebelum larikan 3 MPV

Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tiga penjenayah memecah masuk sebuah galeri pameran di Jalan Bukit Kecil, di sini, pagi tadi sebelum melarikan tiga kenderaan mewah membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Selain melarikan dua Toyota Alphard dan sebuah Velfire, suspek juga dipercayai mencederakan pengawal keselamatan yang bertugas di galeri pameran itu dalam kejadian pada 3.15 pagi.

Pengawal keselamatan berusia 60-an yang cedera pada anggota badan itu ditemui pemilik kedai pengiklanan, Hanizam Yatim, 52, hanya memakai 'boxer' dalam keadaan tangan dan kaki diikat tali di tepi jalan.

Hanizam berkata, dia tiba di kedainya yang terletak berhadapan galeri pameran berkenaan untuk membuka kedai pada 7.30 pagi.

Katanya, dia melihat mangsa meminta tolong tetapi tiada yang berhenti membantu memandangkan keadaan mangsa yang tidak terurus.

"Mungkin orang tak berani bantu sebab takut termasuk saya sendiri memandangkan tidak mengenali mangsa namun melihat keadaannya itu, saya fikir mangsa mungkin bapa yang nyanyuk dan terlepas daripada rumah.

"Saya mula syak sesuatu apabila dengar jeritannya meminta tolong sebelum saya mengambil gambarnya lalu menghantar kepada seorang pekerja di galeri berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Beberapa minit kemudian, pekerja terbabit mengesahkan mangsa memang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ sebelum saya bergegas menyelamatkan mangsa.

"Mangsa sempat bercerita dia diikat tiga lelaki tidak dikenali yang memecah galeri pameran itu sebelum melarikan tiga kereta," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan Roger Ng di Amerika: Jelas penglibatan YB Pekan ‘too real’ bukan ‘fake news’

HANIPA MAIDIN

Apa yang jelas dan ketara dalam kes Roger Ng adalah berdasarkan keterangan saksi bintang pendakwa -Tim Leissner- penglibatan YB Pekan dan negara ini dalam kes 1MDB adalah “too real” dan bukannya “fake news”.

Jika anda membaca trankskrip perbicaraan dalam kes tersebut, hakikatnya bukan sekali nama YB Pekan dan penglibatan beliau disebut di dalam mahkamah di Amerika melalui keterangan bersumpah!

Ada yang mungkin bertanya boleh percaya ke keterangan Tim Leissner tu ?

Perbicaraan Roger Ng di Amerika: Jelas penglibatan YB Pekan 'too real' bukan 'fake news'

Perbicaraan Roger Ng di Amerika: Jelas penglibatan YB Pekan 'too real' bukan 'fake news'

Tim Leissner dan Roger Ng

Mungkin kita perlu tanya jika Leissner langsung tak boleh dipercayai, pelik juga kan SPRM sanggup soal-siasat mantan CEO Astro hingga 8 jam dan dengar khabar akan dipanggil lagi.

Bukankah fakta mengenai pembelian pengsapuri di London berharga $USD 10 juta muncul dari keterangan Tim Leissner di mahkamah Amerika baru-baru ini? Buat apa siasat 8 jam jika keterangan dia x boleh dipakai ?

Apapun, bukan sahaja nama YB Pekan yang disebut, malahan penglibatan dua ( 2 ) orang setiausaha sulit YB Pekan iaitu Azlin Alias dan Amhari Efendi Nazaruddin pun ada disebut oleh Tim Leissner di mahkamah !

Yang saya ingat dalam pertuduhan JENAYAH yang melibatkan YB Pekan di negara ini ( kes SRC ) , nama Azlin Alias memang ada disebut dalam penghakiman di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan ! Yang Amhari tu maaf, saya tak berapa ingat.

Penglibatan kedua-dua setiausaha sulit YB Pekan itu, menurut keterangan Tim Leissner adalah berkaitan isu penerbitan bon ketiga untuk ” puaka” 1MDB.

Bon ketiga itu adalah bagi projek Catalyze yang bernilai $USD 3 juta ( = RM 12.6 bilion ).

Bagi penerbitan bon ketiga itu , ia memerlukan surat sokongan Kerajaan Malaysia ( masa itu gomen di bawah rejim Umno/BN dan YB Pekan sebagai PM ).

Ia agak berbeza dengan dua bon yang lain yang melibatkan Projek Magnolia dan Projek Maximus yang hanya perlukan jaminan IPIC.

Kata Tim Leissner, Projek Catalyze itu adalah bagi membiayai PRU 13 utk bagi ” sumbangan” kepada pengundi pada PRU itu. Menurut Leissner , itu yang Jho Low bagitahu kat dia.

Apa pun, bon yang ketiga bagi Projek Cataylze itu tidak dapat dijual selepas projek tersebut.

Berapa jumlah ” wang rasuah” yang perlu disogokkan ke atas Ng dan Leissner atas nama “imbuhan” dengan guna wang “puaka” 1MDB itu ?

Jawabnya, bagi penerbitan bon pertama di bawah Projek Magnolia , Ng dan Leissner masing-masing dapat $USD 17.5 juta ( RM 73.4juta ).Bayar pakai wang YB Pekan ke ?

Bagi terbitan bon kedua bagi Projek Maximus , Leissner bagitahu dia dan Ng juga ada terima imbuhan tapi dia tak bagi tahu jumlah yang mereka dapat . Cuma dia bagi tahu projek itu bernilai $USD 1.75 bilion ( RM 7.34 bilion.

Banyak lagi nama dan penglibatan YB Pekan yang disebut dalam keterangan Tim Leissner walaupun YB Pekan dalam ucapan di Parlimem seolah-olah nak tonjolkan kononnya duit Kerajaan wang kita semua ) kononya tidak terlibat.

Tak pe lah dia nak terus berada dalam sindrom penafian ( a denial sindrome ).

Can he deny his guilty conscience ? Can he lie to God ?

Media di negara ini terbitkan berita bahawa menurut Kementerian Kewangan setakat 31/12/2021 hutang ” puaka” 1MDB adalah sebanyak RM 38.81 bilion dan yang telah dibayar setakat ini adalah RM 13.3 bilion.

Wahai YB Pekan, tak rasa bersalah ke jika pun mungkin mu tu dah dicabut rasa malu !

Mu atau parti mu ke yang bayar semua hutang berbilion itu ?

Wahai TS Muhyiddin dan parti ehem yang dalam PN, anda semua tak rasa bersalah ke bentuk Gomen Tebuk Atap dengan sokongan YB Pekan dan parti dia ( Umno ) walaupun konon- konon macam marah sangat kat Umno dan YB Pekan di PRN Johor ?

Puad Zarkashi: Ada ‘kem’ dalam Umno, tapi saya bukan ‘penjilat’ Najib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menolak dakwaan dirinya ialah “penjilat” atau “hulubalang” bekas Perdana Menteri, Najib Razak kerana beliau berhujah berdasarkan fakta.

“Saya melihat kepada hujah dan fakta. Siapa kata saya tidak pernah kritik Najib? Tapi semua orang tahu, saya kritik pemimpin Umno, mereka tidak boleh marah saya sebab itu karakter saya. Jadi. dakwaan yang kata saya ini ‘penjilat’ Najib tidak betul,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Mengulas perkembangan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Puad secara tegas menolak jawatan Exco, jika Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Johor.

“Awal-awal lagi saya dah cakap dengan Hasni (Mohammad), saya tidak mahu jawatan Exco sebab beliau perlukan pasukan lebih mantap.

“Beri peluang kepada orang muda pula, saya dah memegang jawatan dalam Kabinet, Ahli Parlimen, bagi peluang kepada yang lain.”

Dalam pada itu, Puad mengakui ada beberapa “kem” dalam Umno, tetapi ia tidak menunjukkan perpecahan yang menyebabkan masalah kritikal berlaku sehingga memberi persepsi negatif kepada masyarakat.

“Saya tidak mengatakan itu sebagai perpecahan. Umno bila berhadapan musuh, ia bersatu. Soal mereka ada pengikut, itu perkara biasa.

“Siapa kata parti lain tidak ada pengikut? Siapa kata Azmin tidak ada pengikut dalam Bersatu? Siapa kata Hamzah tiada pengikut dalam Bersatu? Dan saya yakin mereka tikam-menikam antara satu sama lain.

“Cuma, Umno sudah masak dengan perkara ini dan pada saya, ini bukan soal perpecahan. Perpecahan berlaku bila tidak mengikut perlembagaan parti sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Puad menegaskan beliau bukan pengikut mana-mana kem.

“Saya adalah orang politik yang tidak mengamalkan pengikut sesuatu kumpulan. Saya bersendirian. Tetapi, saya faham ada setengah daripada mereka mungkin bergantung kepada kekuatan seseorang. Tetapi saya tidak begitu.

“Saya bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi, saya nombor 10. Saya tak ada jawatan dan tak ikut mana-mana kumpulan.”

Tinggal sehelai sepinggang, rumah kena ‘telan’ lumpur setinggi hampir dua meter

FAZLI RADZI

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kejadian banjir di Kampung Belukar Bukit, Ajil di Terengganu pada akhir Februari lalu tentunya pengalaman menyedihkan yang tidak dapat dilupakan buat Endon Ismail, 67.

Mangsa banjir warga emas berkenaan hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah ‘ditelan’ lumpur dalam kejadian bah di daerah itu, 27 Februari lalu.

Endon berkata, tragedi itu menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah selepas hampir tenggelam sepenuhnya manakala bahagian dalam rumah dipenuhi kayu dan lumpur.

Lapor Sinar Harian, beliau bagaimanapun bersyukur kerana tragedi menimpanya itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Wakil rakyat itu menyalurkan peruntukan segera RM60,000 bagi membina sebuah rumah baharu.

Tinggal sehelai sepinggang, rumah kena 'telan' lumpur setinggi hampir dua meter

Tinggal sehelai sepinggang, rumah kena 'telan' lumpur setinggi hampir dua meter

Banjir besar ‘menelan’ rumah warga emas di Kampung Belukar Bukit, Ajil.

“Saya kini hanya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Syukur sangat sebab keadaan saya mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Terima kasih atas segala jasa dan bantuan yang dihulurkan di saat saya diuji dengan bencana ini. Saya bersyukur dan reda dengan ujian ini walaupun telah kehilangan segalanya,” katanya.

Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 membina semula rumah Endon yang musnah sepenuhnya akibat bencana itu.

‘Dah lewat untuk lawan Umno’, Dr M beritahu Muhyiddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad, hari ini, “menyerang” Muhyiddin Yassin dengan mengatakan tindakan bekas Perdana Menteri itu melawan Umno sudah terlewat.

Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri sebelum berlakunya “Langkah Sheraton”, yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 selepas 22 bulan memerintah, sebelum itu, ada bertanya sama ada Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan “kleptokrat dan kluster mahkamah Umno”.

Kluster mahkamah merujuk kepada sebilangan pemimpin Umno yang dituduh di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin, mengikut apa dikatakan Mahathir, berkata politik lebih penting daripada prinsip.

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, yang menubuhkan Pejuang selepas ditolak Bersatu, berkata beliau percaya Muhyiddin akan dikhianati puak kleptokrat.

“Saya telah ingatkan bahawa kerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah Umno seumpama menunggang harimau dan dia (Muhyiddin) akan akhirnya dibaham,” katanya dalam surat terbuka kepada pengundi Johor.

Mahathir berkata, sangkaannya menjadi kenyataan apabila Muhyiddin dikhianati Umno dan hilang jawatan sebagai Perdana Menteri, 17 bulan kemudian selepas mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020.

“Inilah hasil daripada mengutama politik dan bukan prinsip. Agak terlewat bagi Muhyiddin melawan Umno.”

Surat terbuka Mahathir itu muncul dalam perang mulut antara Muhyiddin dan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Muhyiddin, baru-baru ini, mendakwa Zahid mahu kes mahkamahnya digugurkan, tuduhan yang bagaimanapun dinafikan Zahid.

‘Skandal rasuah terbesar di dunia, tiga perempuan Melayu terlibat’

FAZLI RADZI

Skandal rasuah yang merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara melalui syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) rupa-rupanya turut membabitkan tiga wanita Muslim.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Scahs, Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini amat mengejutkan.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sebelum ini semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 apa yang diketahui ialah pembongkaran mengenai penerimaan sejumlah besar oleh Datuk Seri Najib Razak daripada ‘Tok Arab’.

“Usul tergempar dibawa oleh Ketua Pembangkang semalam supaya dibincangkan skandal terbesar hal Malaysia dibongkar di mahkamah Amerika. 

“Pihak Speaker bersetuju usul itu dibincang tetapi bukan dalam Parlimen tetapi dalam kamar khas.

“Wahai penjawat awam dan pegawai polis, lihatlah skandal rasuah di Malaysia dibicarakan di Amerika.

“Pendedahan ini paling mengejutkan kita. Saya tidak tahu sebelum ini. Yang saya tahu Najib dapat 2.5 bilion daripada Tok Arab. Itu yang kita jaja sebelum PRU-14 dulu.

“Sekarang terdedah beberapa bilion lagi diberi kepada ahli perniagaan, orang (kulit) putih dan di antaranya dia gunakan wang itu untuk kekasih ke untuk perempuan simpanan ke.

“Dia bayar AS$10 juta (kira-kira RM41.8 juta) beli rumah di London menggunakan wang rakyat untuk skandal kehidupan mereka.

“Paling memalukan dunia sekarang ini. Yang terlibat itu tiga perempuan Melayu,” katanya malam tadi semasa Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

1Malaysia Development Berhad (1MDB)Tim Leissner  Datuk Rohana Rozhan

Mohamad Sabu

Untuk rekod, Leissner, 52, dalam prosiding mahkamah di AS baru-baru ini mendedahkan bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Islam di negara ini

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau secara sinis bersyukur di Parlimen semalam dengan pembongkaran perempuan yang turut melibatkan keluarga jutawan dan ahli politik di negara ini.

“Saya sebut dalam Parlimen (semalam), Alhamdulillah. Orang Melayu sudah sampai peringkat dunia bukan terkenal seperti Wan Azizah yang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Bukan terkenal seperti Hannah Yeoh yang mendapat anugerah di peringkat antarabangsa tetapi terkenal kerana rasuah.

“Orang putih itu mengaku menerima (rasuah). Barulah SPRM bertindak panggil Rohana buat siasatan selama lapan jam,” jelasnya.

Untuk rekod, Rohana merujuk kepada Datuk Rohana Rozhan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd yang merupakan salah seorang wanita Muslim yang didedahkan Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York pada minggu lalu. 

Leissner memberitahu ada membelikan wanita berusia 52 tahun itu sebuah kediaman bernilai AS$10 juta (RM41.9 juta) di London.

Pendedahan itu dibuat selepas pendakwa raya, Drew Rolle bertanyakan sama ada Leissner memberi Rohana sejumlah wang yang diterimanya daripada 1MDB.

Kata Leissner lagi dipetik Agensi, pembelian itu dibuat pada 2013 selepas Rohana yang juga anak bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

“Rohana tidak gembira dengan keputusan saya menamatkan hubungan kami bagi membolehkan saya bersama dengan bakal isteri, Kimora,” katanya merujuk kepada isterinya, Kimora Lee Simmons, yang juga bekas model antarabangsa.

Leissner ketika ditanya Rolle mengenai hubungannya termasuk bersama Rohana, turut memberitahu hubungan mereka berlanjutan selama 10 tahun sejak 2003.

Sebelum ini, Leissner dipetik berkata ‘ketamakan dan cita-cita besar’ mendorong pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Bekas rakan kongsi Goldman Sachs berkenaan mengakui itulah motifnya terbabit dalam skandal rasuah yang merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia melalui syarikat pelaburan strategik, 1MDB.

Dia menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya.

Terdahulu, Ng, 49, dituduh menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Walau bagaimanapun, Ng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Sebaliknya, pada tahun 2018, Leissner mengaku bersalah atas tuduhan serupa dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan. 

Leissner berkata, Ng adalah jurubank utama Goldman Sachs di 1MDB dan mempunyai hubungan dengan Jho Low, yang menjadi perantara utama antara bank dan 1MDB bermula pada 2008.

“Ng membawa masuk perniagaan 1MDB kepada Goldman, yang akhirnya menjual AS$6.5 bilion (RM2.78 bilion) dalam bentuk bon untuk dana itu dan memperoleh bayaran AS$600 juta (RM2.59 bilion).

“Ini dengan serta-merta menjadikan kami wira dalam bank itu, mendorong ketamakan dan cita-cita saya untuk mengambil alih,” kata Leissner sambil menambah tindakan itu mengakibatkan hidupnya musnah.

Lapor Reuters lagi, Leissner berkata, jurubank di Goldman Sachs akan diambil bekerja dalam setiap urus niaga pelanggan dan ketiadaan mereka ‘tidak boleh diterima’ sama sekali.

“Tumpuan utama bagi saya ialah melakukan apa saja yang diperlukan untuk menyelesaikan urus niaga ini untuk Goldman Sachs,” katanya.

Leissner turut menambah dalam mesyuarat di London pada 2012, Jho Low menyenaraikan individu di Malaysia dan Abu Dhabi, yang menurutnya perlu disogok untuk rancangan mengumpul AS$1.75 bilion (RM 7.32 bilion) hutang 1MDB bagi mendapat kelulusan.

Sebuah syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi bertindak sebagai penjamin untuk 1MDB dalam perjanjian itu, kata Leissner lagi.

Dalam senarai itu dicatatkan nama bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour.

Jho Low menyatakan mereka “tidak akan bangun dari katil untuk apa-apa kurang daripada AS$100 juta (RM418 juta)”, menurut keterangan Leissner.

Jho Low, dalang di sebalik skandal itu didakwa di AS bersama Ng pada 2018, namun dia masih belum ditangkap oleh AS atau pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika era kerajaan PH berpendapat skandal rasuah yang melibatkan begitu banyak wang negara dibimbangi akan menjejaskan kemakmuran ekonomi Malaysia.

“Selama ini kita tidak tahu skandal 1MDB adalah skandal rasuah terbesar dalam dunia. Sudah tentulah terbongkarnya perbicaraan di mahkamah Amerika, pelabur-pelabur yang datang ke Malaysia akan berfikir beberapa kali.

“Mereka bimbang sistem kehakiman kita yang dulunya amat dihormati tetapi sekarang seolah-olah ada dua kelas iaitu kelas kayangan dan kelas rakyat biasa,” kata bekas Timbalan Presiden Pas itu lagi.

Perbicaraan Roger Ng di Amerika – Apa yang rakyat perlu tahu? Bhg 2

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Mengenai kes perbicaraan Roger Ng yang ada kaitan dengan skandal 1MDB, akhbar New York Times dilapor menyatakan kes ini adalah “perhaps the largest heist in the history of the world” (mungkin kes rompakan terbesar dalam sejarah dunia”).

Kemudiannya digunakan untuk membeli hotel mewah di Beverly Hill, kapal layar mewah “Equanimity” (saya pernah berada di dalamnya dan melihat sendiri kemewahannya seperti ada pawagam, ada kolam renang, lif dan lain-lain), membiayai perfileman di Hollywood, “The Wolf of the Street” dan banyak lagi.

Menurut saksi utama kes itu iaitu mantan boss Roger Ng – Tim Leissner- mereka berdua telah disanjung sebagai hero oleh majikan mereka-Goldman Sachs- kerana bawa business di mana Goldman Sachs dibayar menggunakan wang 1MDB-wang rakyat Malaysia- hingga cecah US $600 juta.

Pendakwa juga kata keuntungan dari bon-bon yang di”raised” oleh Goldman Sachs- pun juga banyak yang dirompak.

Sebab itu, Goldman Sachs telah disiasat oleh banyak regulators di seluruh dunia bertahun-tahun.

Dalam kes ini, jika diandaikan Roger Ng didapati bersalah, untuk kesalahan penggubahan wang haram sahaja, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan 5 tahun penjara pula bagi kesalahan rasuah.

Antara pembelaan Roger Ng seperti yang peguam dia sebut adalah wang yang dia terima dari Tim Leisnner sebanyak $ 35 juta itu adalah untuk isteri dia bagi digunakan untuk tujuan perkongsian perniagan dengan isteri Tim Leissner.

Bagi peguambela Roger Ng, kedua-dua wanita itu bukanlah partners in crime atau rakan jenayah!

Dengan lain perkataan, Roger Ng tidak terlibat dalam skim jenayah 1MDB ini. Semasa perbicaraan YB Pekan dalam kes SRC (anak syarikat 1MDB), dia pun kata dia tidak terlibat!

Insya-Allah bersambung…

Selepas banjir, Tasik Kenyir bertukar jadi ‘tasik balak’?

NASUHA RAHMAN

Berikutan selepas Terengganu dilanda banjir baru-baru ini tular satu video menunjukkan Tasik Kenyir yang menjadi destinasi pelancongan telah dibanjiri puing-puing kayu- kayan dan juga balak.

Kelihatan sekumpulan anggota bomba yang menaiki bot sambil menguis-guis serpihan kayu yang memenuhi permukaan Tasik Kenyir begitu banyak sehingga menghalang pergerakkan mereka. 

Video daripada akaun tik tok @ery_ganu telah tular dan di kongsi oleh aktivis masyarakat Raja Shamri melalui facebooknya.

Atas perkongsian itu, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan kejadian itu yang telah menjejaskan pemandangan Tasik Kenyir sebelum ini sangat mendamaikan.

Selepas banjir, Tasik Kenyir bertukar jadi 'tasik balak'? 

Selepas banjir, Tasik Kenyir bertukar jadi 'tasik balak'?

Serpihan kayu kayan timbul di permukaan tasik sebaik sahaja banjir mulai surut di Terengganu

Bagaimanapun ramai yang menyifatkan ada hikmah yang berlaku sekaligus mendedahkan kerakusan manusia yang tiada batasan terhadap alam sekitar.

“Mungkin ada hikmah banjir ini…Itu petunjuk bahawa alam tidak ditakbir dgn baik…kerakusan tanggan manusia membinasakan alam semula jadi…katakan tidak untuk mengundi nanti…,”komen Kheriey Anuar.

“Berlaku kerosakan d muka bumi adalah kerana jahatnya tangan2 manusia yg tamak & haloba,” tulis Rahmah Ahamed.

Tidak kurang juga ada yang menyindir sambil menganggap kesan itu sesuai untuk pembiakan harimau serta mengelakkan haiwan itu pupus.

“Tiada pembalakan kata pejabat hutan dan pejabat daerah,” kata Zul Zhafran.

“Bagus untuk pembiakan harimau kata pengarah hutan,” kata Wan Suhaimi Wan Ibrahim.

“Chantek kan..ngan kayu kayan..ini huntuk mengelakan harimau pupus,” tulis Noor Mohamad Abd Hamid.

Hujung tahun lalu, beberapa negeri telah dilanda banjir termasuk negeri Pahang di mana kejadian hampir sama berlaku apabila balak-balak telah dihanyutkan air bah menyebabkan ramai yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Situasi banjir pada kali ini agak luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika sebelum ini hanya air bah sahaja yang mengalir dan membanjiri kampung-kampung tetapi sejak akhir-akhir ini sisa-sia kayu kayan atau balak yang jelas kelihatan.

Perubahan iklim: Lambat adaptasi bererti mati - SU Agung PBB

Malaysiakini

Reuters

Perubahan iklim sedang melanda dan manusia masih jauh daripada bersedia, kata panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran dalam laporan utamanya pada Isnin.

Menyedari hampir separuh penduduk dunia sudah terdedah kepada kesan iklim yang semakin berbahaya, laporan itu menggesa tindakan drastik pada skala besar:

Satu pertiga hingga separuh daripada planet ini perlu dipelihara dan dilindungi untuk memastikan bekalan makanan dan air tawar pada masa hadapan.

Petempatan pesisir laut memerlukan rancangan untuk memastikan orang ramai selamat daripada ribut, kenaikan paras laut atau banjir. 

"Penyesuaian menyelamatkan nyawa," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres (gambar, bawah) sempena penerbitan laporan itu.

"Apabila kesan iklim semakin teruk - dan ia akan tambah buruk - maka meningkatkan pelaburan akan menjadi penting untuk meneruskan kelangsungan hidup...

“Melambat-lambatkan (adaptasi) bererti kematian," kata Guterres lagi.

Laporan itu paling terkini dalam siri penyelidikan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang memperincikan konsensus global mutakhir mengenai sains iklim.

Bagaimanapun, laporan tersebut memfokuskan bagaimana perubahan iklim menjejaskan alam semula jadi dan masyarakat serta perkara yang boleh mereka lakukan untuk menyesuaikan diri.

Dalam hampir semua perkara, laporan itu menjelaskan bahawa perubahan iklim memberi kesan kepada dunia jauh lebih cepat daripada jangkaan saintis.

Sementara itu, negara di dunia telah gagal untuk mengekang pelepasan karbon yang menyebabkan pemanasan planet dan malah sebaliknya terus meningkat.

"Pencemaran karbon yang tidak dikawal memaksa mereka yang paling terdedah di dunia bergerak dalam terpaksa ke arah kemusnahan," kata Guterres dalam ucapan video Isnin.

"Faktanya tidak dapat dinafikan. Melepaskan tanggungjawab kepimpinan dalam isu ini adalah jenayah," tegasnya.

Mitigasi

Walaupun kerajaan perlu mengekang pelepasan mereka secara drastik untuk mengelakkan pemanasan global, mereka juga boleh berusaha untuk mengehadkan penderitaan dengan menyesuaikan diri terhadap keadaan dunia yang lebih panas, kata laporan itu.

Penyesuaian ini, kata laporan itu lagi akan menelan banyak wang - untuk membiayai teknologi baru dan sokongan institusi.

Sementara itu, bandar boleh melabur dalam kawasan penyejukan untuk membantu orang ramai melalui gelombang haba, kata laporan tersebut.

IPCC berkata komuniti pesisir laut mungkin memerlukan infrastruktur baru atau untuk berpindah sama sekali.

"Dari segi penyesuaian transformasi, kita boleh merancangnya dan melaksanakannya sekarang, atau ia akan ditujukkan kepada kita oleh perubahan iklim itu sendiri," kata Kristina Dahl, pakar iklim di Kesatuan Saintis Prihatin, yang tidak terlibat dalam menulis laporan IPCC ini.

Tetapi dalam beberapa kes, laporan itu mengakui, kos untuk menyesuaikan diri akan menjadi terlalu tinggi.

Pengeluaran laporan itu tiga bulan selepas pemimpin dunia bertemu pada sidang kemuncak iklim COP26 di Glasgow, Scotland, menyerlahkan keperluan mendesak untuk membendung pemanasan global pada suhu 1.5 darjah Celsius (2.7 darjah Fahrenheit) daripada suhu sebelum zaman perindustrian.

Melanggar suhu ambang itu akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada planet ini, katanya.

Sementara itu, setiap kenaikan pemanasan pula, jelas laporan itu lagi akan menyebabkan lebih banyak kesakitan.

"Penyesuaian (adaptasi) bukanlah langkah yang akan membebaskan daripada kesan perubahan iklim. 

“Terdapat had dalam penyesuaian," kata Maarten van Aalst, pengarah Pusat Iklim Bulan Sabit Merah, Palang Merah dan pengarang bersama laporan itu.

"Kita harus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kerana jika tidak, ia akan menjadi sangat teruk," katanya lagi.

Mengehadkan pemanasan global kepada paras hampir 1.5C mungkin tidak menghalang kerugian terhadap alam semula jadi, masyarakat atau ekonomi, tetapi akan mengurangkan kesannya dengan ketara, kata laporan itu.

Setelah memanaskan 1.1C, planet ini dijangka mencapai suhu ambang kemusnahan pada 1.5C dalam masa dua dekad.

Keadilan sosial

Laporan IPCC itu juga memberi amaran masyarakat akan gagal menyesuaikan diri dengan dunia yang semakin panas jika mereka tidak inklusif secara sosial dalam menangani tugas itu.

Penyelesaian perlu mempertimbangkan keadilan sosial dan termasuk penduduk Orang Asli, golongan minoriti dan orang miskin, katanya.

"Orang miskin dan paling terpinggirlah yang paling terdedah (dengan kesan perubahan iklim)," kata Timon McPhearson, ahli ekologi bandar di The New School di New York dan salah seorang daripada 270 pengarang laporan itu.

Itu termasuk orang yang tinggal di negara membangun di Afrika, Asia dan negara kepulauan kecil, serta komuniti terpinggir di negara kaya seperti Amerika Syarikat.

Tetapi masa semakin suntuk untuk melakukan transformasi seluruh masyarakat yang diperlukan, penulis laporan itu memberi peringatan.

Keputusan yang dibuat oleh masyarakat dalam dekad akan datang akan menetapkan laluan iklim yang akan datang, tegas mereka.

"Terdapat tetingkap (peluang) kecil dan cepat tertutup untuk menjamin masa depan yang boleh didiami di planet ini," kata Hans-Otto Portner, pengerusi bersama kumpulan kerja IPCC yang menjana laporan itu.

"Kami perlu mengharungi cabaran ini," katanya.

(Laporan oleh Jake Spring, Gloria Dickie dan Andrea Januta)

-Reuters

SPRM berkas penolong pengarah disyaki minta RM10,000 percepat surat tanah

Willie Jude

KOTA KINABALU: Seorang penolong pengarah kanan sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta suapan bagi mempercepatkan urusan pengeluaran surat tawaran tanah membabitkan pekebun kecil.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 54 tahun ditahan pegawai SPRM kira-kira 3 petang hari ini di pejabatnya.

“Suspek dipercayai meminta RM10,000 daripada orang awam bagi mempercepat urusan pengeluaran surat tawaran tanah membabitkan pekebun kecil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (ASPRM 2009),” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan kes itu.

‘Malaysia diarah bayar RM63 bilion kepada waris sultan Sulu’

Malaysiakini

Kerajaan Malaysia dilaporkan telah diarah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu yang terakhir.

Ini akibat pelanggaran perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo

Malaysia dilaporkan telah berhenti membayar wang pemisahan tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Semalam, laman web berita Sepanyol La InformaciĆ³n melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa mengarahkan pembayaran itu semasa perbicaraan di mahkamah arbitrasi di Paris, Perancis. 

Menggelarnya sebagai "arbitrasi terbesar di Sepanyol", artikel itu berkata Stampa memutuskan bahawa perjanjian 1878 adalah satu "perjanjian pajakan swasta antarabangsa" komersial.

Dengan tidak membayar wang pemisahan sejak 2013, dia berkata Malaysia telah melanggar perjanjian itu.

Melainkan anugerah itu dibatalkan, Malaysia kini mempunyai tiga bulan untuk membayar atau berisiko membayar faedah.

Waris sultan Sulu pada mulanya mahu menuntut AS$32.2 bilion (RM135.08 bilion) daripada Malaysia. Ini adalah untuk mendapatkan semula wang pemisahan yang belum dibayar bersama-sama dengan jumlah yang mereka percaya sepatutnya dibayar untuk hasil minyak dan gas yang ditemui di rantau ini.

Mereka diwakili oleh firma guaman Sepanyol B Cremades & Asociados bersama Paul Cohen dan Elisabeth Mason dari 4-5 Gray's Inn Square di London.

“Penimbang tara (Stampa) mematuhi mandatnya dengan teliti dan sah, memutuskan pertikaian kontrak antara pihak,” kata portal yang memetik Bernardo Cremades Jr.

Malaysia tidak diwakili semasa timbang tara

Waris berkenaan telah memulakan kes di Sepanyol kerana perjanjian 1878 ditandatangani di bumi Sepanyol.

Kes itu pada asalnya dibicarakan di Madrid sehingga Mahkamah Tinggi Madrid (Tribunal Superior de Justica de Madrid) membatalkan pelantikan Stampa atas alasan bahawa Malaysia tidak dimaklumkan dengan betul mengenai kes berkenaan dan dengan itu "tidak dapat membela diri".

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke ibu negara Perancis.

Menurut laman web Global Arbitration Review, Malaysia tidak hadir semasa perbicaraan timbang tara di Paris.

Susulan pembatalan Stampa, Malaysia mencabar kesahihan untuk mendengar kes itu dibicarakan mahkamah jenayah.

Malaysiakini sedang menghubungi Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan ulasan mereka.

Banjir di Kelantan: ‘Walau ada wakil rakyat berjawatan menteri tapi cap ayam serama’

MOHD SAYUTI OMAR

Gelombang banjir yang melanda Kelantan khasnya di daerah bersempadan dengan Thailand mencabar minda semua orang untuk mencari solusi menyelesaikannya. Banjir di Kelantan seakan-akan menyamai pandemik Covid-19 yang ada gelombang satu, dua, tiga dan seterusnya.

Masalah banjir di Rantau Panjang sudah lama diperkatakan. Sudah berdekad, tetapi sampai sekarang tidak ada jalan penyelesaiannya.

Isu banjir di Rantau Panjang bukan soal pembalakan dan lombong haram atau perogolan alam sekitar tanpa sistematik. Isunya kerana pembangunan, pembentungan di Sungai Golok di pihak Thailand lebih canggih daripada Malaysia. Itu sahaja.

Sejak kerajaan Thailand membina benteng di sepanjang Sungai Golok – Rantau Panjang menyebabkan air melimpah ke daratan di sempadan Malaysia. Air Sungai Golok tidak lagi terbelah dua separuh memasuki ke Thailand separuh ke Kelantan seperti sebelum ini.

Akibat itu maka daerah sempadan di Kelantan terpaksa menanggung jumlah limpahan air Sungai Golok yang banyak. Itulah angkaranya.

Kalau sebelum ini air Sungai Golok melimpah menenggelamkan kampung-kampung di sepanjang tebing sungai itu sahaja, tetapi kini ia sudah melarat ke kampung-kampung yang sebelum ini tidak pernah dijamah air.

Banjir Kelantan wakil rakyat berjawatan menteri tapi cap ayam serama

Banjir Kelantan wakil rakyat berjawatan menteri tapi cap ayam serama

Kelantan setakat petang tadi catat tiga korban akibat musibah banjir luar jangka.

Di samping itu arus pembangunan yang berlaku juga menyumbang kepada berlakunya banjir luar biasa. Sistem perparitan dan longkang yang ada khasnya diuruskan Majlis Daerah (PBT) tidak begitu “kelulu”. (Baik).

Mengenai benteng Sungai Golok / Rantau Panjang sudah lama diusahakan tetapi masih belum siap sepenuhnya hingga ke hari ini. Projek tebatan banjir itu begitu perlahan.

Yang kerap saya dengar ialah pengumuman. Hampir setiap tahun pemimpin dan orang politik berkuasa mengumumkan mengenai projek berkenaan dengan nilai berbilion ringgit. Jika tidak salah ingatan saya, sudah lebih 17 kali.

Kelambatan ini salah satu puncanya ialah kerana Rantau Panjang khasnya dan Kelantan amnya tidak ada pemimpin dalam konteks ini wakil rakyat yang serius dan kompeten dalam memperjuangkan pembangunan dan juga projek untuk menyelamatkan rakyat dan negeri.

Tidak ada kesungguhan dan komitmen daripada mereka selain hanya bercakap dan membuat desakan dalam akhbar atau Parlimen. Mereka lebih menjaga kedudukan dan kuasa mereka daripada menjaga kepentingan dan maslahat rakyat.

Air melimpah ke daratan di sempadan Malaysia sejak Thailand membina benteng di sepanjang Sungai Golok – Rantau Panjang.

Pendekatan yang lebih menjamin untuk projek itu disegerakan tidak ada. Misalnya, desakan bertubi-tubi kali atau pun inisiatif pemimpin Kelantan berjumpa berulang kali dengan pihak di Kuala Lumpur tidak berlaku. Untuk memastikan apa juga projek cepat dilaksanakan ia perlu juga ada sentuhan secara langsung dengan penuh psikologi.

Saya percaya kalau Rantau Panjang kawasan diwakili Perdana Menteri, atau Timbalan Perdana Menteri, masalah banjir dan projek tebatan itu sudah pun selesai.

Namun, disebabkan wakil rakyat atau pemimpin di Rantau Panjang, sangat naif daya tindak dan fikirnya maka berlakulah masalah itu berterusan. Walaupun ada beberapa orang wakil rakyat berjawatan menteri tetapi rata-rata mereka cap Ayam Serama sahaja.

Apakah rakyat Rantau Panjang terus seronok bermain air semasa banjir dan hanya berpuas hati apabila ada pemimpin yang membawa sekampit beras, sesupik biskut tawar bersama sekati gula.

Kalau masyarakat Rantau Panjang sudah berpuas hati dengan bantuan yang tidak dapat merungkai permasalahan mereka itu, maka teruslah mendukung pemimpin seperti yang ada kini, yang bijak senyum, ramah kedai kopi tetapi akal pendek berpandangan jarak dekat.

Mayat pelakon ditemui terapung

Bot mencari pelakon Thailand yang terjatuh ke dalam sungai semalam. - Foto AGENSI

Bot mencari pelakon Thailand yang terjatuh ke dalam sungai semalam. - Foto AGENSI

BANGKOK: Mayat pelakon Thailand, Tangmo Nida, 38, akhirnya dijumpai oleh pasukan penyelamat tempatan semalam.

Mayat Nida ditemui terapung di sungai kira-kira 300 meter dari Jeti Pibulsongkram, Nonthaburi, Bangkok, satu 1 kilometer dari tempat mendiang terjatuh.

Abang mendiang, Dayos Detjob, 44, mengenal pasti jasad mangsa berdasarkan pakaian, lapor Bangkok Post.

Pelakon wanita yang pernah membintangi filem The Flying Leaf itu terjatuh ke dalam sungai pada 11 malam Khamis lalu, ketika menaiki perahu di Sungai Chao Phraya bersama-sama rakannya.

Menurut laporan media, Nida duduk di belakang sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai. Nida tidak memakai jaket keselamatan. - AGENSI

Pas pecat Adun tunggalnya di Johor selepas tanding calon bebas

MALAYSIA DATELINE

Bekas Adun Bukit Pasir Najib Lep dari Pas dipecat ekoran memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas menentang rakan partinya sendiri, Nur Iqbal Abd Razak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Najib telah menolak satu lagi kerusi ‘boleh menang’ yang ditawarkan kepadanya.

“Saya tegas (pada kepercayaan saya) semua ahli mesti mematuhi keputusan yang dibuat parti.

“Dengan tindakannya itu, secara automatik dia hilang keanggotaan dalam parti.

“Semua ahli kini dikehendaki memberi sokongan kepada calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN),” lapor FreeMalaysiaToday (FMT).

Beliau menegaskan Najib sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Bukit Pasir wajar akur dengan keputusan parti.

Najib yang juga pesara tentera merupakan Adun tunggal Pas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas pilihan raya umum 2018.

Namun bagi, PRN Johor kali ini, Pas telah meletakkan calon Nur Iqbal Abd Razak di kerusi DUN Bukit Pasir.

Kelmarin, Najib mencalonkan dirinya sebagai calon bebas bagi kerusi Bukit Pasir dan bersedia menerima sebarang tindakan yang diambil oleh kepimpinan tinggi Pas.

Kesemua 3 usul Ketua Pembangkang DUN Melaka ditolak

MALAYSIA DATELINE

Kesemua tiga usul yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Adly Zahari hari ini ditolak oleh kerajaan Barisan Nasional.

Adly yang juga ADUN Bukit Katil telah mencadangkan tiga usul untuk dibincangkan dalam Persidangan Kedua, Penggal Pertama, DUN Melaka Kelima Belas yang bermula hari ini.

Tiga usul berkenaan adalah berkaitan isu bangunan milik kerajaan negeri yang terbiar, isu ekonomi anak muda dan golongan B40 dan isu pendidikan Islam untuk anak muda.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka itu meminta Kerajaan Negeri menubuhkan satu pasukan petugas khas (Task Force) untuk menilai dan meneliti bangunan-bangunan milik Kerajaan Negeri yang terbiar dan merangka pelan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan ianya tidak terus menjadi projek gajah putih.

Kesemua 3 usul Ketua Pembangkang DUN Melaka ditolak 

Persidangan Kedua, Penggal Pertama, DUN Melaka Kelima Belas yang bermula hari ini.

Manakala usul kedua pula adalah berkaitan isu ekonomi anak muda dan golongan B40 di mana beliau meminta kerajaan negeri merangka pelan pembangunan bakat masa hadapan (Future Talent) yang komprehensif untuk anak muda dan pelan pembangunan ekonomi untuk golongan B40 di Negeri Melaka demi kemakmuran rakyat secara keseluruhannya.

Dan usul ketiga beliau meminta kerajaan negeri mengambil ketetapan untuk menambahbaik dan memperkasa sistem pendidikan Islam agar dapat melahirkan generasi muda yang dinamik dan progresif.

“Malangnya kesemua usul telah ditolak oleh Kerajaan Barisan Nasional,” katanya ringkas.

8 jam SPRM siasat bekas CEO Astro: Adakah ia amalan yang baik?

HANIPA MAIDIN

Media melaporkan mantan CEO Astro disoal siasat oleh SPRM selama 8 jam. Menurut media, penyiasatan ke atas beliau dimulai jam 9 pagi dan hanya berakhir jam 6 petang.

Seperti yang kita maklum, soal siasat itu dilakukan oleh SPRM hasi daripada pendedahan keterangan mengejutkan di mahkamah di Amerika oleh Tim Leissener, mantan ahli perbankan atau banker Goldman Sachs Group inch.

Media juga melaporkan harta dan akaun mantan CEO Astro itu juga telah dibekukan oleh SPRM. Pembekuan itu dipercayai kerana tuduhan penglibatan dengan wang kotor yang datang dari ‘puaka’ yang dipanggil 1MDB.

8 jam SPRM siasat bekas CEO Astro: Adakah ia amalan yang baik ?

Jujurnya, saya amat teruja dengan tindakan segera dari pihak SPRM.

Lagipun, sama ada kita suka atau tidak atau sama ada kita sedar atau tidak, ‘puaka’ 1MDB telah menghancurkan ekonomi negara ini walaupun ia mungkin mengkayayakan atau memewahkan kehidupan setengah pihak yang lain.

Yang jelas dalam konteks negara ini salah seorang yang telah pun disabitkan bersalah atas jenayah yang ada kaitan dengan ‘puaka’ 1MDB sekarang ini masih bebas bergerak ke sini sana seolah-olah dia seperti seorang yang tidak bersalah.

Dengar khabarnya parti orang itu juga tidak ada sedikit pun rasa malu atau bersalah masih ingin mencadangkan dia sebagai bakal PM!

Betullah kata Nabi SAW dalam hadith 40 Imam Al-Nawawi; jika anda tidak lagi ada rasa malu, lakukan apa pun yang anda ingin lakukan!

Sebenci manapun dan semarah manapun saya ke atas mana-mana pihak yang dikaitkan dengan ‘puaka’ 1MDB, saya bagaimanapun tidak boleh sesuka hati buang begitu prinsip keadilan.

Sebagai orang Islam, agama saya mengajar saya melalui Al-Quran bahawa kebencian yang ada dalam diri saya tidak mengizinkan saya untuk tidak berlaku adil.

Al-Quran mendidik saya bahawa prinsip keadilan itu lebih dekat kepada ketaqwaaan.- lihat surah al-maidah ayat 8. Adakah adil untuk melakukan soal siasat ke atas sesiapapun hingga tempoh 8 jam?

Sebarang soal siasat apa lagi soal siasat yang dilakukan oleh badan penyiasat seperti SPRM oleh polis sudah tentu bersifat mimpi ngeri. Bayangkan jika soal siasat itu berlangsung selama 8 jam?

Adakah kita semua sudah lupa tragedi fatal yang berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock dan arwah Ahmad Sarbini?

Dari sudut undang-undang, saya berpendapat soal siasat yang panjang keesahannya mungkin boleh dipersoalkan . Ia mungkin boleh dihujahkan mempunyai ciri atau elemen penindasan.

Oleh itu, saya tidak begitu pasti adakah status keterangan yang dikutip hasil daripada soal siasat yang panjang dikira bermutu atau tidak. 

Kecewa dipindahkan bekas Adun PAS bertanding calon Bebas di Bukit Pasir

FMT Reporters

Najib Lep merupakan satu-satunya wakil PAS dalam DUN Johor, hari ini, bertindak bertanding atas tiket Bebas, sekali gus menyaksikan pertembungan enam penjuru. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dari PAS, Najib Lep, bertindak bertanding sebagai calon atas tiket Bebas di kerusi berkenaan.

Najib yang merupakan satu-satunya wakil PAS sebelum DUN Johor dibubarkan, pada 22 Januari lalu.

Tindakan itu menyaksikan Najib akan berdepan pertembungan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen PAS, selain bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas.

Najib berkata, beliau bersedia untuk menerima sebarang tindakan daripada pimpinan parti kerana melanggar arahan dan mengambil keputusan untuk bertanding sebagai Bebas di kerusi DUN berkenaan.

“Saya tahu beberapa hari sebelum PN mengumumkan calonnya dan saya akan dipindahkan ke DUN lain. Ini adalah perkara yang tidak adil kepada penduduk di kawasan saya berkhidmat sebelum ini (Bukit Pasir).

“PAS berhak mengambil sebarang keputusan atas tindakan saya ini, tetapi saya harap mereka dapat tahu mengapa saya lakukan begini, semuanya kerana urusan saya di DUN Bukit Pasir masih belum disempurnakan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada hari Penamaan calon PRN Johor bagi DUN Bukit Pasir, Najib akan menentang Akhiri Mahmood (Pejuang), Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Nur Iqbal Abd Razak (PN) dan Johar Siraj (Bebas).

Sebelum ini, pada pilihan raya umum ke-14, Najib dipilih sebagai Ahli DUN di kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada BN.