"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belalang padi sedap dimakan, cecah RM70 sekilogram

Bernama
Belalang padi atau nama saintifiknya chortophaga viridifasciata semakin digemari kerana mempunyai rasa yang enak, malah dijual hingga RM70 sekilogram.

Pasangan suami isteri Muhammad Salleh, 64, dan Azizah Mat Jusoh, 59, yang menjual belalang padi atau belalang perah itu berkata permintaan terhadap serangga kecil itu sentiasa tinggi malah habis dijual tidak sampai dua jam.

“Belalang yang dijual ini saya cari sendiri dan ada sebahagiannya dibeli daripada penduduk yang mencari belalang di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Putih, Kelantan. Saya perlu juga mendapatkan bekalan dari pelbagai sumber bagi memastikan bekalan sentiasa ada untuk dipasarkan di pasar tani Kuala Besut setiap hari Jumaat dan Isnin.

“Belalang ini dijual dengan harga RM10 bagi 100 gram dan RM70 untuk satu kilogram,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Muhammad yang mula menjual belalang di pasar berkenaan sejak September lepas berkata belalang tersebut boleh didapati dengan kuantiti yang banyak di rumput menerung dan di kawasan sawah selepas waktu hujan.

Katanya belalang boleh ditangkap antara 8 malam hingga 12 tengah malam, menerusi dua kaedah iaitu menangkap seekor demi seekor menggunakan tangan ataupun menebar jaring yang diperbuat daripada guni.

“Setelah ditangkap, belalang itu akan direndam dan digoreng seketika sehingga warna hijau belalang bertukar kemerah-merahan sebelum dijual. Sebelum dimasak, belalang ini masih perlu disiang dan dibersihkan sekali lagi.

“Cara untuk siang belalang ini kita hanya perlu buang sayap dan kateh (kaki) sahaja. Kemudian barulah belalang ini boleh dimasak mengikut cita rasa yang diingini sama ada dimasak rendang, kerutuk mahupun goreng garam kunyit,” katanya.

Warga emas itu yang mengakui turut menggemari belalang tersebut berkata ia sesuai digandingkan bersama nasi dan pulut.

Sementara itu peminat tegar makanan eksotik itu, Che Ismail Rajab, 63, berkata belalang adalah makanan kesukaan sejak zaman dahulu, namun sukar didapati dan bermusim.

“Dulu-dulu belalang ini dijadikan makanan kerana sumber makanan tidak banyak seperti sekarang. Kini makanan eksotik seperti ini sukar diperoleh dan hanya dijual di sesetengah tempat sahaja,” katanya.

Bagi Fazira Wahida Jaiz, 26, pula terkejut apabila melihat belalang tersebut dijual oleh pasangan berkenaan dan pengalaman pertama itu membuatkan beliau bertindak memuat naik dan berkongsi gambar belalang tersebut di laman sosialnya, namun tidak menyangka ia berjaya menarik perhatian ramai yang ingin mengetahui lokasi penjualan.

14 Adun PH Melaka ikrar sokongan penuh pada Adly

Seramai 14 Adun Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Menteri, Adly Zahari berikutan spekulasi rampasan kuasa bakal berlaku di negeri itu.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan, Adun-adun berkenaan tidak menyatakan secara langsung mengenai percubaan melakukan rampasan kuasa itu.

"Kami menolak sebarang tindakan yang memperlekehkan mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihan raya," kata kumpulan Adun berkenaan.

Kumpulan itu berkata kepimpinan Adly terbukti berwibawa dengan membawa kestabilan politik dan tatakelola pentadbiran yang telus.

"Fokus kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat dengan program dan dasar yang progresif, inklusif dan inovatif bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.

"Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada YAB Ketua Menteri Adly Zahari untuk terus memimpin negeri Melaka bagi melaksanakan janji Pakatan Harapan," kata mereka.

'Pemuda PH tolak kerajaan pintu belakang'

Sementara itu Pemuda PH Melaka turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Adly.

"Pemuda Pakatan Harapan Melaka menolak secara keras mana-mana usaha ke arah penubuhan kerajaan perpaduan atau kerajaan pintu belakang.

"Pemuda PH Melaka akan terus memberikan kerjasama kepada kerajaan PH Melaka dalam membantu rakyat dan menunaikan janji manifesto," katanya.

Pada masa ini, PH mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Melaka apabila menyandang 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) daripada jumlah keseluruhan 28 kerusi.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dua exco Melaka - Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun ketika dihubungi, Rafiq menafikan dakwaan tersebut.

Rafiz dan Effandi menandatangani kenyataan bersama yang dikeluarkan petang ini.

Spekulasi mengenai perselisihan dalaman PH itu didedahkan kepada umum apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi isyarat terdapat usaha belakang tabir untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Berikutan itu, Majlis Presiden PH mendakwa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein terlibat dalam rancangan membentuk kerajaan persekutuan tanpa DAP dan Amanah.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan dakwaan tersebut.

NGO gesa kerajaan haramkan rokok elektronik

Bernama
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) bersama 45 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menandatangani memorandum, sepakat mendesak kerajaan segera mengharamkan rokok elektronik atau vape demi kepentingan kesihatan masyarakat.

Presiden (MCTC) Prof Datuk Dr Lekhraj Rampal berkata pasaran dan penggunaan rokok elektronik secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah amat membimbangkan NGO berkaitan perubatan, kesihatan, kekeluargaan, wanita, belia, dan kanak-kanak kerana ramai pelajar kini terjerat dengan ketagihan nikotin serta terpedaya dengan mesej kesihatan salah yang menyatakan rokok elektroni selamat digunakan.

“Saranan untuk mengharamkan produk berkenaan dicadangkan sejak 2015 namun Kabinet memutuskan untuk tidak membuat larangan penggunaan dan penjualan vape. Saya tidak mengetahui kenapa mereka berbuat demikian. Kesannya, setiap hari akhbar melaporkan kanak-kanak sekolah rendah didapati menghisap vape,” katanya pada sidang media di bangunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Khamis.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 Dis 2015 memutuskan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Sebanyak 33 kes kematian melibatkan pengguna vape dilaporkan di Amerika Syarikat dengan majoritinya terdiri dalam kalangan golongan muda.

Sehingga kini, 43 negara di dunia termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja mengambil langkah melarang penjualan dan penggunaan vape dan mengharamkan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

Justeru, katanya tiada alasan untuk Malaysia terus membiarkan kemusnahan dan kemudaratan rokok elektronik berleluasa.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mendedahkan 300,000 pelajar berusia antara 10 hingga 19 tahun merupakan pengguna vape semasa di negara ini.

Data itu diperoleh menerusi ‘Kaji selidik terhadap tembakau dan e-rokok di kalangan orang dewasa di Malaysia’ yang dijalankan ke atas pelajar di sekolah awam dan swasta baru-baru ini.– BERNAMA

Dr M kekal PM: Ada rundingan antara Bersatu dan Pas?

MALAYSIA DATELINE
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri hari ini memberitahu Pas telah menepati janji untuk memberi sokongan kepada pentadbiran kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abu Bakar Yahya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, Pas membawa mandat dalam Dewan Rakyat dengan menyokong Dr Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga PRU-15.

“Terima kasih kepada Setiausaha Agung Pas yang mengotakan janjinya membawa mandat ke dalam Dewan Rakyat 18 undi daripada Pas akan sokong YAB Langkawi (Dr Mahathir) untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal,” ujarnya.

Abu Bakar berkata demikian dalam hantaran di akaun Facebook kira-kira jam 4 petang tadi.

Dalam masa sama, beliau berkongsikan gambarnya bersama-sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan di media sosial itu.

Kenyataan Abu Bakar itu dilihat kemudiannya mengundang persoalan dalam kalangan rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, kedudukan terkini kerusi Parlimen menyaksikan PH memiliki 129 kerusi Parlimen dengan terdiri daripada PKR (50), DAP (42), Bersatu (26) dan AMANAH 11 kerusi.

Sementara itu, BN mempunyai 40 kerusi manakala Pas memiliki 18 kerusi Parlimen.

Selain 18 undi daripada Pas yang menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal, enam ahli parlimen BN hari ini turut menyatakan sokongan sama.

Wakil-wakil rakyat BN itu ialah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ismail Abd Muttalib (Maran).

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, mereka mengaitkan kewajaran Dr Mahathir di jawatan nombor satu itu dengan kepentingan terhadap ekonomi negara.

16 termasuk pengetua madrasah dihukum mati kerana bunuh remaja dengan bakar

Reuters

Tertuduh dibawa keluar dari premis mahkamah selepas dijatuhi hukuman mati, di Feni, Bangladesh 24 Okt 2019. (Gambar Reuters)
DHAKA: Seorang pengetua sekolah agama di Bangladesh adalah antara 16 orang dijatuhi hukuman mati hari ini atas tuduhan membunuh seorang gadis remaja yang enggan menarik balik laporan gangguan seksual terhadapnya.

Pembunuh menuang minyak tanah ke atas Nusrat Jahan, 18, dan membakarnya di bumbung madrasah di daerah tenggara Feni pada April llau.

“Kami gembira dengan penghakiman ini,” kata pendakwa raya Hafez Ahmed kepada pemberita selepas keputusan mahkamah.

Semasa perbicaraan polis berkata mereka melakukan pembunuhan itu atas arahan pengetua.

Kematian Nusrat mencetuskan kemarahan awam dan demonstrasi besar-besaran menggesa pembunuh dihukum.

Mangsa menghadapi tekanan untuk menarik balik laporan polis yang dibuat pada Mac, di mana dia menuduh pemimpin sekolah cuba merogolnya dan juga kes itu, kata keluarganya.

Perdana Menteri Sheikh Hasina ada bertemu dengan keluarga itu dan berjanji akan membawa pembunuh ke muka pengadilan.

Saya bayar RM3.09 juta untuk Isa Samad - saksi

B Nantha Kumar

Mahkamah diberitahu hari ini bahawa bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad dibayar berjumlah RM3.09 juta secara keseluruhan sebagai balasan hasil pembelian Hotel Merdeka Palace, Kuching oleh Felda pada tahun 2014.

Menurut Ikhwan Zaidel, 59, yang merupakan bekas ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties, sembilan bayaran (secara ansuran) dibuat melalui bekas pembantu khas Isa Samad, Muhammad Zahid Md Arip.

"Pada bulan Julai 2014, sebelah malam di Cigar Room, Hotel PJ Hilton, saya bertemu Zahid Md Arip menyerahkan wang RM100,000 dalam beg kertas."

"Saya maklum kepada Zahid yang datang seorang diri, bahawa wang RM100,000 akan ditolak dari baki RM3 juta yang dijanjikan sebelum ini.

“Pembayaran wang RM100,000 ini menggunakan wang saya sendiri," kata Ikhwan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ketika membawa pernyataan keterangan, pagi tadi.

Ikhwan yang merupakan saksi ke-16 berkata dia juga membuat lapan pembayaran berasingan kepada Zahid antara Julai 2014 hingga Disember 2015.

Antara senarai bayaran adalah seperti berikut:

RM140,000 antara 21 Julai hingga 28 Julai 2014 kepada Zahid Md Arip di Cigar Room, Hotel PJ Hilton dalam beg kertas.

RM300,000 antara 17 Oktober hingga 24 Oktober 2014 kepada Zahid Md Arip di Kondominium Sunway Opal, Petaling Jaya dalam beg kertas.

RM250,000 antara 5 November hingga 10 November 2014 kepada Zahid Md Arip di Kondominium Suway Opal dalam beg kertas.

RM500,000 pada 26 Mei 2015 kepada Zahid Md Arip di Kondominium Suway Opal dalam beg kertas.

RM500,000 pada 9 Julai 2015 kepada Zahid Md Arip di Kondominium Suway Opal dalam beg kertas.

RM300,000 pertengahan bulan Ogos 2015 kepada Zahid Md Arip di rumah Roney Zaidell, Kuching (abang Ikhwan) dalam beg galas.

RM500,000 12 September 2015 kepada Zahid Md Arip di Kondominium Suway Opal dalam beg kertas.

RM500,000 antara 4 Disember hingga 7 Disember 2015 kepada Zahid Md Arip di Kondominium Suway Opal dalam beg kertas.
"Semua penyerahan wang kepada Zahid Md Arip untuk Tan Sri Iasa telah dibuat oleh saya sendiri.

“Saya percaya kesemua wang yang saya berikan kepada Zahid Md Arip adalah untuk Tan Sri Isa," kata Ikhwan sambil menambahkan bahawa kesemua pembayaran diterima, Zahid datang seorang diri sahaja.

Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan kini menghadapi perbicaraan atas pertuduhan salah guna kuasa dan menerima rasuah dalam urusan pembelian Hotel Merdeka yang berharga RM160 juta.

Isa dituduh salah guna kuasa dalam urusan pembelian hotel itu oleh Felda di mana membeli melebihi harga nilai pasaran iaitu RM153 juta. Beliau turut didakwa menerima rasuah RM3 juta daripada pemilik hotel tersebut Gegasan Abadi.

Sementara itu, Ikhwan memberitahu mahkamah bahawa setiap kali Zahid menghubungi beliau, dia akan diberitahu bahawa Isa minta kirim 'salam'.

"Saya memahami apa makna 'salam' tersebut dan akur atas permintaan."

Katanya selepas 'salam' terakhir pada bulan Disember 2015 , beliau tidak lagi terima permintaan daripada Zahid untuk mendapatkan wang bagi pihak Isa.

Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Gaji pekerja M'sia terlalu rendah - Penasihat PM

Penasihat ekonomi kepada perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid menyifatkan rata-rata gaji pekerja bawahan di Malaysia dibayar terlalu rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh golongan eksekutif tertinggi.

Sedangkan katanya, golongan ini sepatutnya dibayar dengan gaji lebih tinggi memandangkan merekalah yang akan menyumbang kepada ekonomi dengan membelanjakan wang mereka berbanding golongan kaya.

“Data daripada kerajaan menunjukkan kita bayar pekerja (di negara ini) jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain.

“Kita hanya bayar segelintir pekerja dengan gaji yang baik, terutamanya CEO dan pengurusan tertinggi yang dapat gaji berlipat kali ganda berbanding rata-rata pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di satu forum berkaitan Belanjawan 2020 yang dianjurkan oleh Kelab Undang-undang dan Perakaunan Universiti Malaya malam tadi.

Berdasarkan dapatan Jabatan Statistik, kadar pampasan pekerja berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Malaysia pada 2018 ialah pada kadar 35.7 peratus.

Di Singapura pula, kadarnya ialah 39.7 peratus, manakala kadar di negara-negara maju pula adalah antara 50 ke 60 peratus, atau lebih tinggi daripada itu.

Disoal bagaimana masalah itu dapat diperbetul, Muhammed berkata kerajaan tidak mempunyai pengaruh yang besar ke atas sektor swasta.

Dalam hal berasingan Muhammed mengulas mengenai perumahan mewah yang tidak terjual, berkata pemaju sepatutnya mengurangkan harga mereka mengikut kuasa pasaran.

"Kami adalah ekonomi pasaran, jadi membolehkan pasaran menyesuaikan [...] yang bermaksud satu-satunya perkara yang rasional untuk pemaju lakukan adalah untuk menurunkan harga mereka. Tidak perlu kerajaan campur tangan untuk menyelesaikan semua hartanah mewah ini," katanya ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, felo penyelidik utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Denison Jayasooria (gambar, atas) menyifatkan kadar pengangguran di kalangan belia sebanyak 10.9 peratus setakat Julai lalu, adalah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan terdapatnya lebih 2 juta pekerja asing di negara ini.

Katanya, hal itu perlu dipersoalkan secara kritikal bagi mencari penyelesaiannya, biarpun akuinya, ia mungkin bukan sesuatu yang mudah.

“Kita perlu menghubungkaitkan pengangguran belia ini dengan pekerja asing dan gaji minimum, dan perlu membuat satu perbincangan hati ke hati secara serius dengan sektor swasta,” katanya.

Antara soalan yang dibangkitkannya adalah sama ada universiti melatih graduan dalam bidang yang salah, syarikat mencari pekerja dari negara lain, atau belia Malaysia yang tidak mahu melakukan kerja-kerja yang berat.

Bagaimanapun, tambahnya, ramai rakyat Malaysia yang sanggup melakukan kerja-kerja yang kotor, bahaya atau berat (dirty, dangerous or difficult) di Singapura .

Beliau turut ada menyentuh tentang insentif RM500 untuk belia bawah Belanjawan 2020.

“Saya fikir ia perkara yang agak memalukan apabila analisis pemberian insentif gaji kepada orang muda itu sebenarnya bermaksud orang muda itu tidak bekerja,” katanya.

Bawah belanjawan tahun depan, belia yang mendapat kerja selepas menganggur lebih setahun akan menerima insentif RM500 sebulan selama dua tahun dalam KWSP mereka, sementara majikan menerima RM300 untuk tempoh sama.

Selain itu, insentif antara RM350 hingga RM500 sebulan akan diberikan kepada warganegara yang menggantikan tempat pekerja asing, bergantung pada sektor pekerjaan tersebut, sementara majikannya menerima RM250 untuk tempoh sama.

Selain itu, Denison berkata, peruntukan Bantuan Sara Hidup terhadap 3.9 juta isi rumah bawah Belanjawan 2020, selain pemberian subsidi lain membuktikan laporan PBB terhadap kadar kemiskinan di negara ini.

Pelapor khas PBB tentang kemiskinan dan hak asasi manusia, Philip Alston berkata paras kemiskinan pada kadar 0.4 peratus berbanding jumlah isi rumah pada 2016 (iaitu 24,700 isi rumah), adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar kadar kemiskinan di negara ini.

Bagaimanapun, Denison menyifatkan peruntukan itu sebagai “tidak singnifikan berbanding jumlah yang (sebenarnya) diperlukan untuk memperkasa golongan miskin”.

Kes Nasharudin: Ke mana RM3.9 juta dibelanja

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa hari ini dihadapkan dengan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah kira-kira RM3.7 juta.
Nasharudin juga dihadapkan dengan tiga pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan kira-kira RM300,000 dana yang diperuntukkan Kementerian Kewangan kepada Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Beliau merupakan ketua pegawai eksekutif GMM sebelum ia ditutup pada 31 Julai 2018.
Malaysiakini memperincikan pergerakan wang tersebut, berdasarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Manfaat peribadi
Enam belas daripada 30 dakwaan pecah amanah jenayah melibatkan pembayaran gaji kepada dirinya sendiri selaku pengerusi Yayasan Nassar.
Beliau dituduh membayar RM321,273.80 kepada dirinya sendiri dalam tempoh 2015 hingga 2016. Kebanyakan deposit dibuat dalam jumlah RM20,000.
Menurut laman Facebook Yayasan Nassar, ia merupakan organisasi bukan keuntungan yang menguruskan hal berkaitan pendidikan, menjaga keharmonian agama, kebajikan dan masyarakat setempat.
Pada masa ini kebanyakan hantaran di laman Facebook itu berkenaan kegiatan Nasharudin.
Sementara itu, beliau juga mendepositkan RM26,000 dana yayasan itu ke dalam akaun peribadinya pada September 2015.
Nasharudin juga dituduh pecah amanah apabila membayar RM30,000 kepada pengasas Hajj Finance Company Limited, Shazali Shauf, untuk membeli 25,000 saham syarikat itu.
Hajj Finance Company Limited merupakan syarikat kewangan bukan perbankan dan berlandaskan syariah di Bangladesh.
Keluarga
Tiga daripada tuduhan pecah amanah jenayah berkenaan pembayaran yang dibuat atas kapasitinya sebagai pengerusi Yayasan Nassar, untuk manfaat keluarganya.
Sejumlah RM51,000 digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan anak lelakinya pada Ogos 2016.
Selain itu, pembayaran RM25,756 dibuat kepada KDU University College bagi membiayai yuran pengajian anak lelakinya pada Feb 2018.
Sementara itu, menurut kertas pertuduhan, beliau juga meminjamkan RM34,000 kepada anak perempuannya, Nusaibah pada Mac 2018.
Beli rumah kedai
Nasharudin turut membelanjakan RM539,640 untuk membeli sebuah lot kedai di Bandar Puteri Bangi daripada Knowledge Vision Sdn Bhd, syarikat subsidiari IOI Properties.
Beliau juga membayar RM50,014 untuk duti setem bagi unit itu.
Bagaimanapun tidak jelas apakah kegunaan rumah kedai itu.
Selain itu Duadaya Interior Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai penerima wang berjumlah RM200,000 dalam tuduhan penggubahan wang haram, terletak di kejiranan yang sama dengan rumah kedai itu.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada kedua-dua tuduhan tersebut berkaitan atau tidak.
Automotif
Dua daripada tuduhan penggubahan wang haram adalah pemindahan wang yang dibuat kepada dua syarikat automotif.
RM76,569.60 dipindahkan kepada Sisma Auto (KL) Sdn Bhd, penjual dan pembekal perkhidmatan yang sah untuk kenderaan Jaguar, Land Rover dan Volvo di Malaysia.
Manakala RM25,500 dipindahkan kepada SMR Performance Sdn Bhd, sebuah bengkel di Taman Tun Dr Ismail.
Geran kajian
Sebagai CEO GMM, Nasharudin juga didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalurkan RM2.6 juta kepada Wasatiyah Centre for Peace, yang mana mengikut kertas pertuduhan adalah syarikat miliknya.
Geran tersebut diberikan antara Julai dan Ogos 2018.
Tidak jelas apakah kajian yang dijalankan, jika ada, kerana laman webnya tidak boleh diakses.
Bagaimanapun, Wasatiyah Centre for Peace baru-baru ini bekerjasama bersama Universiti Utara Malaysia untuk menerbitkan kertas kajian bertajuk The role of developmental assets for pro-social behaviour among adolescents in Malaysia. Kajian tersebut telah dibiayai dengan geran badan itu.
Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga pertuduhan penggubahan wang haram yang dihadapi Nasharudin melibatkan dana GMM yang disalurkan melalui Wasatiyah Centre for Peace.
 Panduankini ini disusun oleh Zikri Kamarulzaman

Sandiwara Pas-Umno terbongkar dengan pendakwaan Nasharudin

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
ULASAN:
Kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu sering kali menimbulkan isu pemberian wang dari hasil minyak dan gas kepada mereka oleh kerajaan PH.

Cara pemberian yang dibuat oleh Kerajaan PH hari ini adalah jauh lagi baik dari yang di amalkan oleh Kerajaan BN di mana Pas telah membentuk kerjasama.

Tetapi BN yang mengubah cara pemberian mengikut perjanjian asal di ambil sebagai rakan politik pula.

Ini di anggap aneh apabila kami yang mengikut perjanjian asal di musuhi dan UMNO yang lari dari perjanjian asal di ambil sebagai rakan.

Kenapa kah ini dijadikan isu atau adakah ianya untuk mengalih pandangan ahli Pas dari isu besar sebenarnya seperti isu pendakwaan Datuk Dr Nasharudin MatIsa yang diketahui akan berlaku hari ini?.

Nasharudin ketika menjawat jawatan Timbalan Presiden Pas telah memainkan peranan sebagai orang perantaraan di antara Pas dan Umno. Ini telah tidak disenangi oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sehingga Nasharudin telah dikalahkan oleh Mohamad Sabu (kini Presiden AMANAH) sebagai Timbalan Presiden Pas.

Persoalannya kalau sudah ada perhubungan sulit melalui Nasharudin mengapakah Kerajaan Umno-BN terus mendera Kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu kalau mereka ikhlas?

Kenapa rakyat serta ahli biasa Pas terus dihimpit kesusahan dan penderitaan oleh Umno sementara pimpinan Pas dan Umno secara sulit berkerjasama untuk kepentingan diri dan puak tertentu dalam parti?

Situasi ini membuat pimpinan tertentu Pas senang dan selesa sementara ahli PAS serta rakyat biasa di bawah terus susah terhimpit.

Dakwaan pemberian rm 90 juta olih Umno kepada Pas telah dibuat oleh Datuk Husam Musa dan Claire Brown dari Sarawak Report dan kes mahkamah dengan Claire telah selesai di luar mahkamah kerana takut rahsia terbongkar.

Oleh itu isu tuntutan wang minyak yang telah pun diberi oleh kerajaan PH secara terus adalah sandiwara semata mata untuk mengalih pandangan isu besar sebenarnya.

Sebenarnya pimpinan tertentu dan parti Pas sudah senang lenang menerima wang berjuta juta dari Umno tetapi ahli biasa dan rakyat di biarkan susah dan menderita. Sama juga dengan situasi dalam Umno di mana pemimpin kaya raya tapi rakyat masih susah.

Kita juga mendengar berita pimpinan tertentu PAS mempunyai kereta dan rumah mewah dan sebagainya. Pemimpin tertentu kaya raya dan senang sementara rakyat dan ahli masih susah.

Kerajaan Kelantan dan Terengganu kini membangkitkan berbagai isu tidak puas hati serta mengecam kerajaan PH dalam pemberian hasil minyak dan gas walaupun dahulu BN tidak melaksanakan yang sama.

Di Terengganu pula kerajaan PH dituduh tidak membayar hasil minyak walaupun Menteri Besar Terengganu kemudian mengakui telah menerimanya. Ada pula pihak menyalahkan kelambatan kerajaan Terengganu membayar kontraktor tempatan atas kononnya kelambatan kerajaan pusat. Tuduhan ni adalah tidak adil.

Sebenarnya peruntukan projek dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan Terengganu-PBT disalurkan hampir kesemuanya kepada ahli parti tertentu di bawah kerajaan negeri dan orang awam lain tidak dari parti tersebut amat susah mendapat peluang kerja.
Inilah realitinya apabila kerajaan PH Pusat cuba berlaku adil kepada semua.

Baru-baru ini dalam mesyuarat di antara kerajaan Pusat dan Negeri kerajaan Terengganu mempertikaikan pula jumlah pemberian wang pusat kerana katanya telah di salah guna oleh kerajaan Pusat.

Sebenarnya semasa BN-Umno yang menjadi rakan Pas hari ini. Kenapakah Datuk Nasharudin tidak membantu kerajaan Pas negeri pada masa itu ?

Untuk mengatasi masalah lepas seperti ini, saya ingin mencadangkan kerajaan Pas Terengganu melantik ketua perhubungan Umno yang menjadi rakan politiknya hari ini dalam kerajaan negeri sebagai Timbalan Menteri Besar Negeri.

Ketua Umno Terengganu kini, Datuk Sri Ahmad Said, berada di dalam pimpinan kanan Umno begitu lama dan pernah menjadi Menteri Besar Terengganu. Dengan cara itu banyak masalah lama dan kini boleh di atasi.

Kami juga mencadang supaya kerajaan Kelantan juga melantik ahli Umno sebagai timbalan Menteri Besar untuk menyelesaikan kekeliruan isu zaman BN-Umno dan juga membuktikan keikhlasan kedua-dua belah pihak kepada rakyat dalam muafakat mereka bersama.

Sementara itu kami meminta hentikan perbuatan menyalahkan kerajaan PH atas segala kelemahan diri sendiri dalam mentadbirkan kedua-dua negeri.

Kerajaan Negeri dan Pusat terdahulu hanya pernah ditadbir oleh Pas dan Umno dan tidak mungkin masalah diwarisi hari ini dari kerajaan PH yang baru setahun berkuasa di pusat.

Masalah ekonomi yang lemah dan terlalu bergantung kepada hasil minyak, masalah kemiskinan dan masalah sosial dadah yang tertinggi adalah masalah yang perlu di atasi bersama oleh Pas dan Umno yang secara bergilir memerintah kedua-dua negeri.

Eloklah Pas melantik Umno dalam kerajaan kedua-dua negeri Terengganu dan Kelantan dan menyelesaikan masalah bersama dan berhenti menyalahkan dan mengkambing hitamkan orang lain.

Sebenarnya hubungan sulit Pas dan Umno telah lama wujud tetapi malangnya hanya untuk kepentingan pemimpin atasan Pas tertentu sahaja dan bukan untuk rakyat.

Rakyat juga ingin melihat kehebatan Pas dan Umno bersama-sama membentuk Kerajaan untuk mentadbir Terengganu serta Kelantan dan bukan hanya berpolitik untuk kepentingan pimpinan tertentu sahaja.

*Penulis Pengerusi AMANAH Terengganu

Nasharudin mengaku tak bersalah

Alyaa Alhadjri

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, hari ini mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas didakwa dengan 33 tuduhan di Mahkamah Masjitret Shah Alam.

Nasharudin yang sebelum ini pernah menjadi anggota parlimen sebanyak dua kali dituduh melakukan tiga pengubahan wang haram, serta 30 kesalahan pecah amanah.

Jumlah wang yang terlibat bagi semua pertuduhan tersebut hampir mencecah nilai RM4 juta.

Untuk tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, beliau didakwa menyalurkan dana Kementerian Kewangan - sebanyak RM302,069.60 - untuk Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) kepada tiga penerima lain melalui akaun syarikat miliknya, Wasatiyyah Centre For Peace Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Nasharudin pada Nov dan Dis 2018, iaitu kira-kira tiga bulan selepas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan operasi GMM ditamatkan.

Nasharudin dilantik sebagai pengerusi eksekutif GMM pada 28 Okt 2015 sehinggalah operasi organisasi itu ditamatkan pada 31 Jul 2018.

Sementara itu 30 tuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Tuduhan itu didakwa dilakukan Nasharudin di antara 2015 dan 2018. Ia membabitkan dana sebanyak RM3,721,683.80 yang dikaitkan dengan kedudukan beliau sebagai pengerusi Yayasan Nassar.

Pertuduhan itu dibacakan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai dan Mohd Zaki Mohd Salleh di depan hakim Rozilah Salleh.

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa hadapi 30 tuduhan babit RM3.6j

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa berhubung 30 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3.6 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM302,069.60.

Tuduhan pecah amanah jenayah itu didakwa mengikut Kanun Keseksaan.

Ia didakwa dilakukan sejak 2015, manakala pertuduhan pengubahan wang haram pula dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Bekas anggota parlimen PAS itu ditahan sepasukan pegawai SPRM petang semalam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah itu Putrajaya.

Beliau kemudiannya dilepaskan dengan jaminan.

SPRM tahan bekas timbalan presiden PAS, akan dakwa esok

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok dan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Kanun Keseksaan.

“SPRM telah mendapat izin daripada Peguam Negara bagi menuduh Datuk Dr Nasharudin Mat Isa esok, jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan akhbar.

SPRM juga mengesahkan Nasharudin ditahan pada jam 2 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

“Beliau kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

“Kesemua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” kata kenyataan itu.

Pada 8 Mac lalu, Nasharudin hadir di kompleks SPRM Pahang dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS daripada Umno.

Dakwaan berkenaan mengatakan pemimpin PAS menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Umno sebagai balasan untuk memberi sokongan kepada parti komponen BN itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

PAS dan bekas presiden Umno, Najib Razak menafikan dakwaan berkenaan.

Selain bekas timbalan presiden PAS, SPRM telah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung siasatan termasuklah Anggota Parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 telah mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima dana RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

Isu itu timbul semula selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel berkenaan pada 1 Feb lepas.

MP Nibong Tebal rebah ketika perbahasan

Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau sebelum itu dilihat terhenti seketika ketika berucap, kelihatan terhoyong-hayang dan rebah, namun sempat disambut oleh Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen.

Beberapa ahli parlimen lain termasuk Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang berada di bahagian belakang Mansor turut meluru bagi membantunya.

Susulan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, meminta mana-mana anggota parlimen yang juga adalah doktor perubatan supaya memberikan bantuan.

Beliau turut meminta pasukan perubatan yang berada di luar dewan supaya masuk untuk membantu memberikan rawatan awal.

Nga kemudian menangguhkan persidangan Dewan Rakyat selama lima minit.

Selepas bantuan awal, Mansor kemudian dilaporkan sedar semula dan dibawa keluar dewan dengan kerusi roda. Dia juga kelihatan mampu tersenyum.

Komplot bentuk kerajaan baru tanpa DAP, Amanah akan gagal

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Komplot pembentukan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah adalah tidak bermaruah dan akan gagal, kata Khalid Samad.

Pengarah Komunikasi Amanah itu berkata, beliau yakin semua pimpinan komponen Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang mahukan Putrajaya ditadbir gabungan itu.

“Saya yakin komplot ini akan gagal. Semua parti dalam PH akan pegang kepada janji,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Khalid turut menyifatkan pihak yang cuba berkomplot membentuk kerajaan melalui pintu belakang itu sebagai tidak bermaruah.

“Usaha komplot, sekiranya benar, ia merupakan usaha bentuk kerajan pintu belakang dan tidak bermaruah.

“Saya menyeru pembangkang supaya menghormati mandat rakyat yang inginkan PH memerintah dan jangan mereka khianati mandat itu dengan usaha nak tubuh kerajaan melalui pintu belakang,” katanya.

Khalid berkata, tindakan pihak pembangkang cuba membentuk kerajaan tanpa melalui pilihan raya menampakkan bahawa mereka bimbang tidak akan memenangi pilihan raya akan datang jika PH diberi laluan memerintah sehingga lima tahun.

“Beri PH perintah selama lima tahun. Walaupun saya memahami mereka risau hari demi hari kerajaan PH meningkat prestasinya dan mereka sedar sekiranya PH memerintah lima tahun, maka PH tidak akan menjadi kerajaan satu penggal. Mereka cuba usahakan agar prestasi PH tidak dapat dipertingkatkan seperti yang kita rancangkan,” katanya.

Beliau mengulas spekulasi peralihan kerajaan yang didakwa diusahakan ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin PH tanpa melibatkan DAP dan Amanah.

Susulan spekulasi tersebut, Majlis Setiausaha PH sebelum ini menggesa Hishammuddin supaya menghentikan kempen tersebut.

Gesaan bertulis itu ditandatangani empat setiausaha agung komponen PH, iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Anthony Loke Siew Fook, yang merupakan setiausaha organisasai DAP.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan perkara itu.