"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Henti tularkan video lelaki berbogel tunggang motosikal

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Orang ramai dinasihati berhenti menularkan video memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan bogel bagi menjaga sensitiviti keluarga dan mengelak sebarang spekulasi serta kegusaran orang ramai.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah dalam kenyataannya berkata, polis mengesan video tular berdurasi 30 saat memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal di jalan raya dalam keadaan tanpa pakaian semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati ia video lama ditularkan semula dan boleh diakses melalui dua pautan di Facebook.

"Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 14 Disember lalu memaparkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun serta mempunyai rekod kesihatan mental sejak di bangku sekolah.

"Justeru, Polis menasihati orang ramai agar lebih bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kemudahan media sosial dengan menularkan semula video terbabit.

"Ini bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa serta mengelak sebarang spekulasi yang menimbulkan kegusaran orang ramai," katanya.

Amang seksual dengan anak sendiri, ibu didakwa bulan ini

Bernama

KUALA SELANGOR: Wanita yang ditahan susulan dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelaki berusia 14 tahun akan didakwa bulan ini.

Ketua Polis Kuala Selangor Ramli Kasa, berkata siasatan terhadap suspek berusia 33 tahun itu telah lengkap dan pihaknya mendapat arahan untuk menuduh wanita berkenaan.

“Kita akan mengambil tindakan pendakwaan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selepas tamat reman suspek di IPD Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor dan Dewan Undangan Bukit Melawati.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita direman lima hari bermula 3 Mei bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

Wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam, Kuala Selangor, pada 2 Mei selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

Reman wanita tersebut disambung selama tiga hari hingga 10 Mei sebelum suspek diserahkan ke IPD Sungai Buloh untuk siasatan kes yang sama.

Gambar bersama PM tular, Nik Abduh kata ‘tiada kaitan politik’

FMT Reporters
Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata pertemuan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah dirancang sejak Ramadan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam tidak mempunyai kaitan dengan politik.

Hari ini, tular poster Nik Abduh tertera tulisan ‘Nik Abduh Nik Aziz calon Menteri Besar Kelantan’ dan ‘Kelantan Membangun Bersama Perpaduan’ selain logo Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

Menurut anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Aziz itu, ia hanya pertemuan biasa yang telah dirancang sejak Ramadan, namun tidak berlaku kerana jadual perdana menteri yang padat.

“Pada pertemuan itu saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri (Anwar) dapat jalankan tugas dengan baik sebagai perdana menteri,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada 3 Nov lalu, Nik Abduh dikatakan secara sukarela tidak mempertahankan Parlimen Bachok pada PRU15.

Mengulas berhubung pertemuan bersama Nik Omar, beliau berkata, ia kebetulan kerana abangnya juga mahu bertemu dengan Anwar.

Gambar perjumpaan berkenaan mula tersebar selepas dimuat naik pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang turut hadir.

Terdahulu, Wan Ji memuat naik dua keping gambar sambil berkata ‘InsyaAllah, legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz sentiasa di hati Perdana Menteri Malaysia’.

Menerusi hantaran lain pula, Wan Ji memaklumkan, walaupun ada pihak berusaha mahu matikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz, pasti akan ada pihak berusaha mengangkat legasi itu.

“Ramai wartawan hubungi, tapi saya ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Petang ini, ada berjumpa dengan seorang ulama hadis hebat pula,” katanya menerusi Facebook.

Gambar perdana menteri mengadakan pertemuan dengan dua anak allahyarham Nik Abdul Aziz itu dalam media sosial telah mencetuskan spekulasi ramai pihak.

Tiga pelajar tahfiz di Melaka dipaksa hisap kemaluan mudir

HADI AB. MANAP

MELAKA: Dua lelaki warga Singapura yang juga mudir dan warden asrama pusat tahfiz di Melaka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, penahanan kedua-dua suspek susulan pihaknya menerima enam laporan dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz berkenaan, berumur antara 13 hingga 15 tahun, semalam.

Beliau berkata, kejadian dikatakan berlaku di pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah serta di sebuah kondominium di Klebang.

“Dalam kes ini, tiga pelajar telah dicium, disuruh menghisap kemaluan dan juga disuruh mengurut kemaluan oleh mudir yang juga suspek pertama, manakala tiga lagi pelajar telah didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden asrama (suspek kedua).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

“Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 31 (1) (a) pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Zainol, suspek yang masing-masing berumur 40 dan 36 tahun merupakan adik-beradik. – UTUSAN

Hadi, Dr M tak endah statistik kuasa Melayu

K. Parkaran

PETALING JAYA: Masyarakat Melayu tidak boleh terpengaruh dengan retorik perkauman yang dilontarkan ahli politik yang menganjurkan Proklamasi Orang Melayu kerana ia tidak disokong oleh statistik, kata seorang ahli sains politik.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, masyarakat Melayu tiada sebab untuk berasa terancam oleh golongan bukan Melayu.

Merujuk dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain daripada PAS dan Bersatu, Chin berkata: “Mereka tidak mengendahkan sama sekali angka yang menentukan siapa yang mempunyai kuasa sebenar.

“Mustahil bagi bukan Melayu untuk menguasai landskap politik tempatan, berdasarkan statistik penduduk dan pertumbuhan penduduk sejak 50 tahun lepas,” katanya.

Statistik menunjukkan bahawa populasi Melayu-Bumiputera meningkat daripada 53% daripada jumlah penduduk pada 1970 kepada 65% pada 2021. Bilangan pengundi Melayu-Bumiputera juga meningkat dengan seiring.

“Jadi, dakwaan Mahathir dan Hadi bahawa orang bukan Melayu akhirnya akan mengambil alih kuasa politik tidak mempunyai asas statistik sama sekali,” katanya kepada FMT.

Chin juga berkata, sangat tidak mungkin terdapat sebarang pertumbuhan ketara di kawasan majoriti bukan Melayu untuk mengalihkan imbangan kuasa daripada orang Melayu.

Katanya, Mahathir, PAS dan Bersatu mendesak Proklamasi Orang Melayu dalam usaha meniru Kongres Maruah Melayu 2019 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun berikutnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Proklamasi Orang Melayu didesak bagi tujuan menangani perpecahan besar dalam masyarakat Melayu-Bumiputera.

“Walaupun orang Melayu dominan dari segi populasi, mereka sangat berpecah-belah disebabkan politik dan ideologi,” katanya.

Parti Melayu juga telah kehilangan sokongan sepenuhnya pengundi bukan Melayu, yang kini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PH, tambahnya.

Azmi berkata, proklamasi itu tidak akan mendapat sokongan rakyat Sabah dan Sarawak, yang membentuk sekurang-kurangnya 10% daripada bilangan Melayu-Bumiputera, “kerana cara mereka berfikir sangat berbeza daripada orang Melayu Semenanjung dari segi politik dan sosial”.

“Dengan PRN semakin hampir, PAS dan PN tahu bahawa undi Melayu penting untuk mereka kembali berkuasa.

“Jadi, mereka menggunakan proklamasi itu sebagai cara meraih undi Melayu pada PRN,” katanya.

Pertemuan Anwar dengan Nik Omar dan Nik Abduh ada apa?

Malaysiakini
Anwar jumpa Nik Abduh dan Nik Omar cetus tanda tanya
story-image
Lawatan sehari Anwar Ibrahim ke Kelantan semalam menimbulkan tanda tanya tersendiri di kalangan pemerhati politik susulan pertemuannya bersama dua anak bekas menteri bekas Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia selepas tersebar beberapa keping gambar pertemuan antara perdana menteri ditemani isteri Dr Azizah Ismail dengan Nik Omar Nik Abdul Aziz dan adiknya yang juga bekas ahli parlimen PAS Nik Muhammad Abduh.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang memuat naik gambar di Facebook, malam tadi.

Umum mengetahui Nik Abduh dan Nik Omar saling berseteru dalam berpolitik apabila memilih jalan dan haluan melalui parti yang saling bertentangan.
Sejak itu, hubungan dua anak lelaki bekas mursyidul am PAS itu dilihat kurang baik.

Nik Omar membuat kemunculan di pentas politik dengan kejutan tersendiri apabila memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka pada PRU14.

Sementara itu, Nik Abduh meneruskan legasi allahyarham Nik Aziz untuk terus bersama PAS.

Namun, langkah politik bekas ahli parlimen Bachok itu terhenti apabila dia tidak dicalonkan pada PRU15 lalu.

Wan Ji ketika memuat naik gambar pertemuan itu, berkata: “Insya-Allah, legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz sentiasa di hati perdana menteri Malaysi.”

Dalam hantaran lain pula, Wan Ji memberi gambaran ada pihak berusaha untuk mematikan legasi Nik Abdul Aziz.

“Walaupun ada pihak berusaha mahu matikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz, pasti akan ada pihak berusaha angkat legasi tersebut,” katanya.

Wan Ji (gambar, bawah) turut berkata budaya bermusuhan antara adik-beradik kerana berbeza parti politik perlu dibuang daripada kamus kehidupan rakyat Malaysia.

Menurut Wan Ji, sekiranya seseorang itu menekuni konsep Madani yang diangkat ilmuan Islam Ibnu al-Farabi, antara gagasan besar kepelbagaian adalah cara untuk berlumba-luba melakukan kebaikan.

“Kepelbagaian adalah mencari kebijaksanaan; kepelbagaian adalah jalan untuk wujudkan kosmopolitan.

“Budaya berparti politik atas label agama di Malaysia, kepelbagaian diajar sebagai permusuhan sehinggakan, adik-beradik pun dipaksa bermusuhan hanya kerana berbeza parti politik.

“Kita angkat Madani untuk wujudkan keluarga besar rakyat Malaysia. Dalam kita berbeza, bukan punca kita bergaduh. Perbezaan adalah peluang mencari kebijaksanaan,” katanya pada siri hantaran seterusnya di media sosial.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Wan Ji untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pertemuan yang kini tular di media sosial.

PM arah siasat 'perasuah tak berani disentuh sesiapa'

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab atas kerugian ditanggung negara akibat rasuah.

Beliau berkata selain SPRM, agensi lain yang diarahkan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil apa saja langkah, mengikut jalur perundangan untuk bertindak.

"Kita kena suarakan (rasuah) tetapi saya tidak boleh berikan petunjuk satu persatu melainkan arahan umum kerana ada orang-orang diketahui, rasuah berbilion... Dah puluh tahun tapi selamat, tidak berani disentuh (sesiapa).

"Apa erti negara, kekuatan undang-undang kalau kita minta polis, LHDN, ambil tindakan di bawah tapi yang di atas itu terlepas dan kumpulan harta itu puluh-puluh bilion ringgit.

"Itu sebab maka saya bagi arahan umum dan saya harap rakyat tak kira parti, tak kira kaum bagi sokongan terhadap tindakan ini," katanya selepas menghadiri program Aidilfitri Malaysia Madani@ Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan khusus bagi mencari pihak terlibat kes rasuah berikutan statistik dikeluarkan EMIR Research iaitu Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah kerugian sebenar belum dapat dipastikan oleh itu, kerajaan kekal dengan keputusan dasar untuk memerangi rasuah walaupun menerima serangan dan tentangan kelompok yang korup.

"Saya jadikan ini sebagai suatu keputusan dasar yang sangat serius walaupun mendapat serangan ataupun percubaan kelompok-kelompok, terutama yang kaya, yang kaya tak apa tapi yang korup, yang harta berbilion-bilion, di dalam dan luar negara, yang menyoroknya, itu mereka nampaknya kumpul, kekuatan untuk lawan.

Selamatkan M’sia daripada penyakau

"Saya sudah ambil satu keputusan dan tekad masalah Malaysia ini mesti diselamatkan daripada penyakau-penyakau ini dan ini memerlukan tekad politik yang jelas, yang tegas.

"Bukan soal kaum bukan soal penganut agama berbeda, ini soal karakter, soal akhlak, soal nilai. Walaupun dipermainkan, saya faham masalah ini dan kita mahu rakyat faham dan bersama menyerang dan menghentikan (rasuah)," katanya.

Program Aidilfitri Malaysia MADANI @ Dataran Merdeka yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu menghimpunkan 120 masjid dan surau terpilih bagi menyediakan gerai jamuan dalam menyantuni tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail.

- Bernama

Tular gambar Nik Abduh bersama Anwar

Sinar Harian
Tular gambar Nik Abduh bersama Anwar
Tular gambar Nik Abduh bersama Anwar yang dipercayai dirakam di Kelantan.
SHAH ALAM: Dua keping gambar memaparkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz 'duduk' bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tular di media sosial pada Jumaat.
Turut dilihat hadir dalam 'perjumpaan' itu abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar, penceramah bebas, Wan Ji Wan Wan Hussin serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Gambar yang tular itu dipercayai dirakam di sebuah lokasi di Kelantan memandangkan Anwar kini berada di negeri berkenaan bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani.

Pelbagai spekulasi juga turut tercetus susulan tularnya gambar Nik Mohamad Abduh bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, Pas menggugurkan Nik Mohd Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.

Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar sebelum ini dilihat tidak 'sekepala' susulan kedua-duanya memilih haluan politik berbeza.

Nik Omar sebelum ini mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin Pas susulan bertindak menyertai Parti Amanah Negara (Amanah). 
- Sinar Harian

Pas bantah Coldplay, netizen korek semula konsert 2022 semasa Pas dalam kerajaan

KIM SYAZIE

Beberapa hari lalu, Pas mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan membatalkan konsert kumpulan rock terkenal British Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur, pada 22 November depan.

Melabelkan persembahan itu sebagai tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini, Pas mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di negara ini.

Menganggap kenyataan parti Islam itu sebagai hipokrit, warganet kembali mengorek semula konsert-konsert pada tahun 2022 ketika Pas menjadi sebahagian dari kerajaan.

Ternyata 14 konsert berlangsung sepanjang tahun lalu, di mana ia turut membabitkan konsert dari bintang elektropop Billie Elish yang pernah menjadi kontroversi, dan konsert dari Korea Selatan iaitu Blackpink yang diluluskan sejak 2022 untuk persembahan pada 2023.

Ini antara 14 konsert yang berlangsung sepanjang 2022;

18 Ogos 2022: Billie Eilish
9 & 10 September 2022: Dewa 19
1 Oktober 2022: Fourtwnty
10 Oktober 2022: Super Junior
15 Oktober 2022: Boys Like Girls
25 Oktober 2022: Justin Bieber
27 Oktober 2022: Calum Scott
2 November 2022: Rossa
3 November 2022: Russ
6 November 2022: LANY
12 November 2022: NOAH
19 November 2022: Ungu
25 November 2022: Boy Pablo
2 & 3 Disember 2022: Keshi
17 Disember 2022: Afghan

“Banyak juga konsert lulus zaman Pas jadi kerajaan pusat. Billie Eilish ni 10 kali lebih LGBT dari Coldplay,” komen seorang pengguna Facebook.

“Coldplay ada juga sumbangan yang bermanfaat pada negara dari Pas,” komen pengguna Twitter.

Untuk rekod, Coldplay baru-baru ini mengumumkan kolaborasi mereka bersama The Ocean Cleanup, satu pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan dari Belanda dalam usaha mengatasi masalah pencemaran sampah sarap yang terperangkap di sungai sebelum memasuki ke dasar lautan.

Mungkin ada dalam kalangan netizen yang masih tak tahu sebenarnya, Coldplay pernah menaja sebanyak RM3.2 juta untuk membersihkan sungai di Malaysia.

Pada 2022 Coldplay telah berkolaborasi dengan sebuah NGO Belanda, The Ocean Cleanup dalam usaha mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke dalam laut.

Difahamkan, itu adalah ‘Interceptor’ kedua yang beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 yang beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.

Bertumbuk kerana kemalangan maut, enam ditahan

FMT Reporters

Tangkap layar memaparkan beberapa individu bertumbuk susulan kematian seorang wanita bermotosikal.
PETALING JAYA: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai berlaku susulan satu kejadian kemalangan maut di Tanjung Bungah, di George Town, Isnin lalu.

Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong, berkata semua mereka yang berumur 28 hingga 59 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis, dan kes disiasat menurut Seksyen 147 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kejadian berlaku pada 8 Mei lepas kira-kira 11.20 pagi di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut antara ahli keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan berkenaan, sebelum ia berlarutan sehingga ada yang bertumbuk.

Soffian berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita tempatan dengan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan.

Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Orang ramai dinasihat agar tidak menularkan rakaman video berhubung kejadian itu bagi mengelak sebarang spekulasi,” katanya.

'Budak pandu kereta itu bukan anak saya'

DIANA AZIS
Tangkap layar video pengguna TikTok, Izanie QY Runner.

Tangkap layar video pengguna TikTok, Izanie QY Runner.
SHAH ALAM - Seorang pengguna TikTok tampil menafikan kanak-kanak berumur enam tahun yang terlibat kemalangan di Langkawi pada Selasa lalu adalah anaknya.

Menerusi hantaran di laman media sosial itu, Izanie QY Runner menjelaskan, video yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang memandu simulator kereta lumba yang diviralkan di laman media sosial lain merupakan anaknya dan tiada kaitan dengan kes kemalangan berkenaan.

"Budak ini ke (merujuk kepada video anaknya bermain simulator kereta lumba). Kalau awak cakap budak ini (bermakna) awak dah fitnah," tulisnya di ruangan kapsyen video berkenaan.

Lelaki itu dipercayai tampil menjelaskan perkara berkenaan susulan segelintir warganet mengaitkan anak lelakinya dengan kes kemalangan membabitkan kanak-kanak enam tahun yang memandu sehingga terlibat kemalangan.

Sementara itu melihat profil akaun TikTok berkenaan, lelaki itu dipercayai seorang pelumba drift yang aktif dalam bidang permotoran tempatan dan turut mendedahkan anak lelakinya kepada bidang tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, dua beradik ditemukan orang awam di dalam sebuah kereta jenis Toyota selepas terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada jam 11.15 malam Selasa.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia enam tahun mengalami kecederaan luka di bahagian dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes Ebit Lew: Gambar berunsur seksual dari tangkap layar aplikasi perbualan

Bernama

Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew hari ini menyambung keterangan dengan memberitahu mahkamah, satu gambar dalam telefon bimbit dianalisisnya adalah dari tangkap layar sebuah aplikasi perbualan.

Juruanalisis kanan audio video Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 43, berkata hasil analisis itu juga mendapati gambar yang dipercayai berunsur seksual itu bukan diambil oleh kamera telefon bimbit berkenaan.

Dia berkata selain itu sistem telefon bimbit berkenaan juga secara automatik menghasilkan satu nama fail untuk gambar berkenaan mengikut tarikh tangkap layar itu dibuat.

“Sekiranya gambar itu diambil dari kamera telefon bimbit, laluan (dalam susunan fail telefon bimbit) akan berbeza, dan akan wujud satu folder bernama DCIM (menempatkan gambar itu).

“Manakala dalam gambar (tangkap layar) ini folder berkenaan tidak wujud,” katanya dalam pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad di Tenom hari ini.

Latifah berkata tarikh tangkap layar itu dilakukan boleh ditentukan, iaitu pada 7 Ogos 2021.

Nor Azizah: Jadi, maksudnya gambar itu mesti berada di dalam barang kes sebelum tarikh 7 Ogos 2021.

Latifah: Ya.

Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada 21 hingga 23 Jun depan.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Dua beradik ditahan disyaki dera, amang seksual pelajar tahfiz

Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my

Melaka: Dua beradik yang juga mudir serta warden sebuah pusat tahfiz di negeri ini ditahan polis hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual dan penderaan pelajar.

Kedua-duanya yang juga warga Singapura ditahan di Tanjung Minyak antara 1 hingga 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berusia 40 dan 36 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima enam laporan yang dibuat enam pelajar pusat itu.

Katanya, pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga semalam, mendakwa mereka dicabul oleh suspek pertama.

"Tiga pelajar pula mendakwa mereka didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden iaitu suspek kedua," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keteranganm mangsa memaklumkan kejadian berlaku beberapa kali dengan kejadian terbaharu pada 7 Mei lalu.

"Punca pelajar ini dikatakan didera dipercayai kerana mereka lambat membuat kerja yang disuruh antaranya membersihkan tahfiz.

"Kejadian itu didakwa berlaku di tiga lokasi berasingan iaitu di pusat tahfiz itu yang terletak di Melaka Tengah, Alor Gajah serta di sebuah kondominium di Klebang," katanya.

Sementara itu, Zainol berkata, semakan dilakukan mendapati suspek pertama yang juga pengasas pusat tahfiz berkenaan mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Lelaki warga Bangladesh tikam diri sendiri akibat ditinggal kekasih warga Vietnam

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Lelaki warga Bangladesh ditemukan terbaring di jalan di Taman Bukit Jambul, di sini, kelmarin, selepas bertindak menikam diri sendiri dipercayai akibat ditinggal kekasih.

Lelaki berusia 30-an itu ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 6 petang dengan keadaan bahagian perutnya berlumuran darah.

Difahamkan, mangsa yang juga pekerja sebuah kilang di Jalan P Ramlee itu dipercayai menikam dirinya menggunakan pisau pemotong buah ketika berada dalam Proton Waja sebelum keluar daripada kenderaan itu dan baring di jalan.

Difahamkan siasatan awal polis mendapati mangsa menikam diri sendiri berikutan ditinggal teman wanitanya yang juga warga Vietnam sejak dua hari lalu.

Selain itu, polis turut menemukan pisau yang digunakan lelaki berkenaan bagi menikam dirinya.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi diberi rawatan lanjut dan dilapor berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki terbaring atas jalan dengan kesan darah di kanan perutnya dan kelihatan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Sementara itu Harian Metro masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian.

Blogger direman berkait projek kerajaan RM41 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penulis blog direman sehingga esok bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan projek kerajaan bernilai RM41 juta.

Sumber SPRM berkata, suspek mempunyai “ramai pengikut” dan dipercayai menerima rasuah sekitar RM1.3 juta daripada sebuah syarikat IT sekitar 2020.
 
“Suapan itu dipercayai sebagai dorongan untuk suspek melobi (kerajaan ketika itu) supaya syarikat itu diberikan kontrak,” kata sumber itu.

Wanita dakwa dicabul bakal menteri

Agensi

London: Seorang ahli parlimen wanita membuat laporan polis mendakwa diserang secara seksual oleh seorang bakal menteri, lapor Metro UK.

Wanita terbabit mendakwa diserang beberapa individu termasuk bakal menteri itu ketika pesta musim panas di ibu kota itu, pada Julai 2021.

Menurutnya, selepas kejadian rakan sekerja menyuruhnya membuat aduan rasmi namun dia memutuskan untuk tidak berbuat demikian.

Ini kerana, katanya, dia bimbang untuk mendedahkan kejadian itu kepada umum kerana lelaki terbabit terlalu popular dalam parti.

Bagaimanapun, ahli parlimen dari Parti Buruh itu kemudian nekad membuat laporan polis beberapa minggu lalu, dan turut membuat aduan kepada pihak parti.

Namun beliau tidak mahu aduan itu diteruskan buat masa ini.

Sumber memberitahu media bahawa wanita itu turut membuat kenyataan media baru-baru ini.

Sementara itu, Parti Buruh berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan sentiasa menggalakkan individu untuk membuat laporan kepada Parlimen, Parti Buruh atau polis.

"Dari segi proses Parti Buruh, ia adalah proses yang menyeluruh, teguh dan bebas yang boleh dipercayai oleh individu," katanya.

The Met melaporkan, polis menerima laporan pada Mac lalu daripada seorang wanita mendakwa diserang secara seksual oleh seorang lelaki di London pada Julai 2021.

Atas permintaan mangsa, kejadian itu tidak disiasat buat masa ini.
-hmetro

Lambakan warga asing: Banteras 'bermusim'

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my WARGA Rohingya yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Selayang. FOTO arkib NSTP
WARGA Rohingya yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Selayang. FOTO arkib NSTP
Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) kecewa dengan langkah pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu lambakan warga asing di negara ini yang dilihat tidak bersungguh dan dilakukan secara 'bermusim'.

Pengerusinya Datuk Seri Halim Ishak berkata, pihak terbabit bertindak apabila isu berkenaan timbul seolah-olah hanya mahu meredakan isu.

"Saban tahun ada saja isu warga asing tidak kiralah sama ada Rohingya, penjaja di Pasar Borong Kuala Lumpur, pekerja asing mahupun pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilaporkan namun tidak berkesudahan sehingga kini.

"Keadaan ini memberi imej buruk buat Malaysia sehingga pernah dilabel negara yang memperdagangkan warga asing. Ia memberi gambaran seolah-olah kita (negara) menghalalkan sistem hamba abdi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai lambakan penjaja warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dipercayai berlaku berikutan terdapat pihak tertentu melindungi warga asing selain isu ali baba.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Azmi Abdul Hamid tidak menafikan wujud isu ali baba membabitkan peniaga warga asing dan tempatan di pasar itu.

Beliau dilaporkan berkata, terdapat juga warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan sekali gus membolehkan mereka mendapat 'lesen besar' berniaga di negara ini.

Selain itu, jumlah pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat Mac lalu adalah 185,760 orang, meningkat dua kali ganda dalam tempoh 13 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian dengan UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu terhadap pelarian serta permohonan suaka di Malaysia.

Mengulas lanjut, Halim berkata, MCCF menggesa kerajaan mewujudkan pasukan siasatan khas (Special Task Force) disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani isu berkenaan.

Kata beliau, kemasukan warga asing sewajarnya diuruskan sepenuhnya oleh pihak kementerian dan menghapuskan sistem pihak ketiga termasuk agensi pekerjaan asing 'outsourcing' yang menjadi onar dalam membekal pekerja asing.

Katanya, penggunaan sistem secara dalam talian bagi setiap urusan membabitkan warga asing sepenuhnya akan dapat mengawal kemasukan, sekali gus mengekang aktiviti rasuah.

LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
DPP kenal pasti jumlah sebenar pelarian

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengenal pasti jumlah sebenar pelarian dan pemohon suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, KDN menerusi Jabatan Imigresen (JIM) sudah diberi tanggungjawab oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan pendaftaran itu.

"Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 April lalu," katanya.

Beliau berkata, negara tidak mempunyai angka sebenar jumlah pelarian dan pemohon suaka UNCHR berikutan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.

"Oleh itu kita tidak ada perkongsian data dengan UNHCR walaupun mereka mengatakan 185,760 orang pelarian dan pemohon suaka yang tinggal di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga yakin JIM yang mempunyai pejabat seluruh negara dapat melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka itu.

"Imigresen juga mempunyai 19 depoh tahanan yang mana ia mungkin juga turut menempatkan pelarian dan pemohon suaka. Jadi kita akan mulakan," katanya.

Kata Saifuddin, Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) yang dilaksanakan sebelum ini hanya dapat mendaftarkan sekitar 30,000 pelarian.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa UNHCR menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

Kerajaan juga mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu dalam negara ini.

Pelancong Malaysia maut jatuh air terjun di Jawa Timur


 KAWASAN air terjun Tumpak Sewu mempunyai pemandangan yang menarik tetapi sangat berbahaya dan curam.-AGENSI
LUMAJANG: Pelancong dari Malaysia berusia 58 tahun yang dilaporkan meninggal dunia di air terjun Tumpak Sewu di Desa Sidomulyo di Jawa Timur, ternyata melanggar had umur yang ditetapkan di kawasan berkenaan.

Ketua Badan Pengurusan Pelancong (Pokdarwis) Tumpak Sewu Lumajang, Abdul Karim berkata, pihaknya sudah membuat peraturan berhubung had umur untuk turun ke dasar sungai di bawah air terjun Tumpak Sewu.

Menurutnya, umur minimum yang dibenarkan ialah 10 tahun manakala had maksimum pula ialah 50 tahun.

Karim turut memaklumkan pihaknya tidak tahu bagaimana warganegara Malaysia itu masih boleh turun ke dasar sungai kerana struktur muka bumi yang dilalui mangsa di kawasan berkenaan sangat curam dan berbahaya.

Selain had umur, Karim berkata, Pokdarwis juga tidak membenarkan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, mengalami masalah takut dengan ketinggian atau mempunyai sejarah penyakit jantung daripada memasuki kawasan itu.

“Ingat, rupa muka bumi di sini sangat curam dan berbahaya. Justeru, mereka yang mengalami trauma dari ketinggian, mempunyai sejarah penyakit jantung dan had berat badan berlebihan sememangnya kami larang berada di kawasan itu,” jelasnya kepada Kompas.com.

Sebelum ini dilaporkan, seorang pelancong asing dari Malaysia, maut selepas terjatuh ketika menuruni tebing di kawasan Pelancongan Tumpak Sewu.

Mangsa datang melawat Tumpak Sewu bersama enam lagi pelancong asing dari Malaysia dan Singapura.

Mayat mangsa kini dilaporkan masih berada di bilik mayat Haryoto Lumajang untuk menunggu proses pulang ke tanah air.

Mayat lelaki ditemui selepas enam tahun

Agensi
LOKASI kejadian di Bolton di mana mayat seorang lelaki warga emas ditemui di sebuah unit pangsapuri. FOTO Agensi.
LOKASI kejadian di Bolton di mana mayat seorang lelaki warga emas ditemui di sebuah unit pangsapuri. FOTO Agensi.
London: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah unit pangsapuri di Bolton, selepas dipercayai meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu.

Daily Star UK melaporkan, mayat Robert Alton, 76, ditemui pemilik rumah yang ke kediaman itu untuk memeriksa bekalan gas, pada 9 Mac lalu.

Lelaki itu berkemungkinan meninggal dunia pada Mei 2017 berdasarkan inkues dilakukan.

Unit pangsapuri berkenaan milik sebuah syarikat perumahan, Bolton At Home yang mempunyai kira-kira 18,000 hartanah di kawasan itu.

Selepas mendapat akses kepada kediaman berkenaan melalui perintah mahkamah, mereka menjalankan pemeriksaan dan menemui rangka mayat Robert.

Ketua Pegawai Eksekutif Bolton At Home, Noel Sharpe berkata, ia tidak boleh diterima sama sekali bahawa insiden itu berlaku.

Koroner Peter Sigee merekodkan keputusan itu.

"Lelaki itu tiada ahli keluarga yang boleh dikesan dan sewanya dibayar melalui faedah perumahan. Jadi tiada maklumat diterima mengenai kematiannya.

"Semua terkejut dengan kejadian ini dan kami sedar ia akan membimbangkan dan mengecewakan orang ramai apabila mengetahui mayatnya tidak ditemui untuk tempoh lama.

"Ia sama sekali tidak boleh diterima dan kami sudah mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko kejadian sama berulang," katanya.

Beliau berkata, kematian Robert yang gagal dikesan berikutan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Kami membuat banyak percubaan untuk menghubungi Robert selama beberapa tahun untuk mengatur pemeriksaan keselamatan gas.

"Ia jelas tindakan diambil kerana kami sudah berusaha menghubungi Robert selain pernah mengesyaki ada sesuatu tidak kena.

"Kami sepatutnya melakukan lebih banyak lagi untuk memeriksa kebajikan Robert," katanya.

Tiada waris mangsa dikesan walaupun GMP sudah mengeluarkan hebahan untuk mencari waris.

Tiga penjawat awam antara ditahan berkhalwat dengan pelacur

Malinda Abdul Malik

GEORGE TOWN –  Empat lelaki termasuk tiga penjawat awam antara ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas didapati berkhalwat dengan wanita yang menawarkan khidmat urutan seks.

Operasi bermula jam 3 petang hingga 7 malam di 10 lokasi sekitar pusat bandar dan Butterworth itu turut membongkarkan kegiatan hidung belang dua anggota beruniform.

Turut ditahan seorang wanita yang menawarkan khidmat urutan seks.

Ketua Unit Operasi bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd Azizon Noordin berkata, Ops Noda itu dilakukan susulan pihaknya melakukan risikan selain menerima aduan daripada para isteri yang mendakwa suami mereka terlibat dalam kegiatan tidak bermoral terbabit.

Jelas Mohd Azizon, hasil serbuan mendapati kesemua tangkapan dipercayai menerima khidmat seks di premis yang berselindung disebalik pusat urutan tradisional.

“Dalam serbuan itu, kita menahan empat lelaki termasuk tiga penjawat awam berusia 30 hingga 45 tahun dan semakan juga mendapati ada yang berstatus suami orang.

Anggota beruniform berstatus suami orang antara ditahan.
“Lebih mengejutkan ada penjawat awam yang meninggalkan pejabat waktu bekerja semata-mata untuk mendapatkan khidmat seks.

“Selain itu, kebanyakan mereka memberi alasan mendapatkan khidmat pelacuran untuk menghilang penat,” katanya kepada pemberita sebaik selesai operasi hari ini.

Seluar dalam antara barang rampasan.
Tambahnya, siasatan terhadap wanita-wanita yang menawarkan khidmat seks pula mendapati mereka menjadikan kegiatan pelacuran sebagai sumber pendapatan, namun ada juga yang hanya makan gaji semata-mata daripada tauke premis.

“Selalunya kita buat operasi sebegini pada waktu malam tapi risikan kita dapati modus operandi lelaki hidung belang kini mendapatkan khidmat seks di pusat urut pada waktu siang.

“Tangkapan semua dibawa pejabat JHEAIPP untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahn Jenayah Syariah negeri Pulau Pinang 1996,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

Jual semula dadah rampasan, bekas ketua polis dihukum penjara seumur hidup

WAN SITI AMINAH

Seorang bekas ketua polis dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengedar dan menjual semula dadah yang dirampas.

Untuk menjual bahan terlarang itu, pegawai polis berkenaan mengarahkan anak buahnya untuk menukar dadah rampasan dengan ‘potassium alum’.

Bekas Ketua Polis Wilayah Sumatera Barat, Teddy Minahasa Putra kemudian mengedar methamphetamine seberat lima kilogram itu melalui orang tengah.

Hukuman itu dijatuhkan setelah penilaian dibuat oleh majlis hakim Pengadilan Negeri Jakarta Barat, Indonesia, pada Selasa lalu.

Pendakwa raya yang bertanggungjawab di dalam kes itu mulanya memohon untuk mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh.

Namun, hakim meringankan hukuman berkenaan setelah mengambil kira perkhidmatan Putra selama 30 tahun dalam pasukan polis.

Lolos dari hukuman mati, Putra diperintahkan mahkamah untuk menjalani hukuman penjara hingga akhir hayat.

Sejurus selepas prosiding tamat, peguam bela yang mewakili Putra dilaporkan bakal memfailkan rayuan bagi pihak anak guamnya.

Zahid: Dengan siapa pun 'parti itu' bersama, parti kena tendang

Yasmin Ramlan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan gabungan part-parti yang didakwanya konon-konon memperjuangkan kaum Melayu akan berpecah tidak lama lagi.

Dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN), Ahmad Zahid dalam ucapan amanat ulang tahun Umno malam ini berkias dengan menyorot semula insiden perpecahan dalaman yang dialami salah satu parti komponen gabungan pembangkang tersebut.

Bahkan timbalan perdana menteri itu menegaskan Umno sendiri pernah bekerjasama dan cuba mewujudkan perpaduan ummah dengan parti terbabit.

“Walaupun kita cuba dengan perasaan yang mahu mewujudkan penyatuan ummah, kita telah cuba atas nama piagam dan Muarakar Nasional, tapi parti itu dengan siapa pun - apabila dia bersengkongkol - pasti parti itu akan ditendang dan diterajang termasuk kita.

“Saya yakin gabungan parti yang disertai oleh parti itu sekarang ini pun apabila kocakan mula berlaku, saya fikir tak lama lagi gabungan itu akan pecah.

"Rakan kongsi politik mereka akan juga ditendang sebagaimana dia tendang kita,” katanya di surau yang terletak di bangunan Ibu Pejabat Umno di tengah Kuala Lumpur malam ini .

Kes Ebit Lew: 436 gambar diperoleh dari telefon bimbit

Bernama

Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di Tenom bahawa sebanyak 436 keping gambar telah diperoleh daripada sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A31 berkaitan kes itu yang dihantar ke makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Juruanalisis Kanan Audio Video PDRM ASP Latifah Abdul Aziz, 43, berkata selain gambar itu, terdapat empat rakaman video dan 219 gambar tangkap layar juga diperoleh daripada telefon bimbit berkenaan.

Latifah berkata telefon bimbit yang disimpan dalam sampul surat berwarna putih itu telah dihantar ke makmal forensik PDRM Cheras Selangor pada 9 Ogos 2021 kira-kira 3.20 petang iaitu tempat beliau bertugas.

Setelah menerima telefon bimbit itu, beliau telah membuat pemeriksaan fizikal bagi memastikan telefon itu tiada kerosakan dan berfungsi dengan baik sebelum membuat analisis terhadap telefon bimbit itu pada tarikh yang sama.

"Saya menjalankan proses 'extraction' ke atas barang kes (telefon bimbit) dengan menggunakan perisian XRY dan mengenal pasti data yang diperlukan oleh pegawai penyiasat," katanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad hari ini.

Latifah berkata beliau mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membuat analisa kandungan yang terdapat dalam telefon bimbit itu sebelum menyalin data yang diperoleh itu ke dalam dua cakera padat PDRM yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

Katanya satu CD itu tersimpan 436 gambar berserta empat rakaman video manakala satu CD lagi adalah 219 gambar tangkap layar daripada aplikasi WhatsApp.

Dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Latifah juga turut memberitahu bahawa hasil pemerhatiannya mendapati bahawa empat video yang ditayangkan dalam mahkamah pada hari ini tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.

Hal ini kerana keempat-empat video daripada telefon bimbit yang dimainkan itu bergerak secara 'frame by frame' kerana video yang telah diubah suai akan mengalami satu situasi yang dikenali sebagai 'jumping'.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

Anak-anak Loh masuk Islam secara sah - Hakim

Hidir Reduan Abdul Rashid

Loh Siew Hong gagal dalam usaha untuk membatalkan penukaran agama Islam secara sepihak ke atas tiga anak-anaknya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur petang tadi menolak semakan kehakiman ibu tunggal berusia 35 tahun itu berhubung status agama ketiga-tiga anaknya itu, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Pada 2019, bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy, 35, didakwa melarikan diri bersama anak-anak mereka. Dia kemudiannya memeluk Islam pada 2020 dan menukar agama anak-anak itu tanpa persetujuannya.

Walaupun mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anak kepada Loh pada 2021, namun, mereka hanya bersatu semula pada awal 2022 melalui perintah mahkamah.

Semasa perbicaraan dalam talian, hari ini, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, tiada bukti dikemuka di mahkamah bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.

Malah, katanya, mereka telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.

Katanya, ibu tunggal itu juga sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, Loh antara lain memohon agar anak-anaknya, diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Budak tahu cara pandu kereta, polis tolak cerita ‘tok wan berbulu’

Malaysiakini
story-image
Polis menolak unsur mistik yang dikaitkan dengan insiden kanak-kanak belum bersekolah memandu kereta sehingga kemalangan di Langkawi.

Pihak berkuasa berkata kanak-kanak itu tahu beberapa teknik pemanduan, termasuk penggunaan pedal minyak dan gear, cara turunkan brek tangan dan mengundur kereta.

“Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat hidupkan enjin apabila diminta.

“Kita menolak sebarang unsur mistik seperti mana yang ditularkan,” kata Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Bagaimanapun, katanya pemeriksaan kamera kereta mendapati pemanduannya tidak stabil dan memasuki lorong bertentangan dan terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. 

Sebelum ini tular video seorang budak enam tahun membawa adiknya yang berumur tiga tahun bersiar-siar menggunakan kereta di Langkawi.

Kereta itu terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu setelah bergerak sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Tertanya-tanya bagaimana dia memandu kereta itu, timbul teori mistik yang mengaitkan insiden itu dengan lembaga yang dirujuk sebagai “tok wan” yang badannya panas dan berbulu.

Dakwaan itu muncul susulan pengedaran rakaman suara kanak-kanak lelaki tersebut di media sosial.

Selain “tok wan”, nama “pak cik” dan “pak lang” turut disebut.

“Bukan abang bawa, pak lang bawa pakcik bawa.

“Tok wan ajak pergi main game,” kata seorang kanak-kanak, yang dikatakan terlibat dalam insiden itu.

Kesahan rakaman itu dan pemilik suara itu bagaimanapun tidak dapat disahkan buat masa ini.

Menurut kanak-kanak itu, tok wan membawa kereta dengan seorang kanak-kanak duduk di ribanya, pak cik duduk di sebelah pemandu manakala pak lang pula di bahagian belakang.

Bagaimanapun bukan semua percaya dengan cerita itu.

Mereka berhujah tidak mustahil budak berusia enam tahun boleh memandu kerana kereta.

“Mungkin kereta vios baru, guna brek parkir elektronik,” kata seorang pengguna Twitter.

Mayat pelajar hilang, ditemukan dalam gua

 Utusan online

WELLINGTON: Pasukan penyelamat menemukan mayat seorang pelajar yang dilaporkan hilang ketika menyertai kursus aktiviti luar sekolah di New Zealand.    

Menurut polis, mayat pelajar lelaki itu ditemukan di dalam Abbey Caves, utara Auckland.  

Dilaporkan, pelajar itu hilang ketika menyertai kursus aktiviti luar sekolah di Abbey Caves.

Mangsa dikatakan hilang selepas keluar gua dengan rakan sekelasnya dari Sekolah Menengah Lelaki Whangarei, kelmarin.  

Pasukan penyelamat melakukan pencarian selama beberapa jam selepas pelajar sekolah itu dilaporkan hilang.  

Malah, polis memaklumkan pihaknya terpaksa memberhentikan operasi pencarian itu pada awal petang, namun dengan bantuan peralatan pakar dibawa dari Auckland membolehkan mereka bekerja sehingga malam.

Komander Daerah Northland, Superintendan Tony Hill berkata, operasi pencarian dihentikan sejurus selepas mayat itu ditemukan.

“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama keluarga mangsa ketika masa sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan bagaimanapun pelajar itu terpisah daripada rombongan disertai 14 rakan sekelasnya dan dua guru. 

Ibu bapa turut mempersoalkan mengapa pihak pengurusan sekolah membenarkan lawatan ke gua ketika beberapa kawasan di negara itu dilanda banjir kilat akibat hujan lebat, baru-baru ini.

Semalam, taburan hujan sehingga 13 sentimeter direkodkan di bahagian wilayah itu yang mengalami banjir buruk.

Sementara itu, pengetua Sekolah Menengah Lelaki Whangarei, Karen Gilbert-Smith dalam satu catatan di Facebook menyifatkan situasi itu sebagai amat mengecewakan semua pihak. – AFP/AGENSI

Pelik macam mana boleh tempuh 3 simpang, 1 lampu isyarat

Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

Langkawi: Penduduk kampung dan jiran keluarga kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta sehingga terbabas kelmarin, masih tertanya-tanya dan buntu memikirkan bagaimana kejadian itu berlaku.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kanak-kanak berkenaan bersama adiknya berusia tiga tahun dikatakan memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya dari rumah mereka di Kampung Baru Teluk, Mukim Ulu Melaka menuju ke kawasan kedai di pekan Ulu Melaku sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Dalam perjalanan itu, kenderaan terbabit dikatakan perlu melintas sekurang-kurangnya tiga persimpangan termasuk perlu melalui lampu isyarat di pekan Ulu Melaka sebelum kereta itu dilaporkan terbabas.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Kod, 34, berkata pada malam kejadian, dia ada berselisih dengan kereta terbabit yang dipandu di jalan tar mini menghala ke jalan besar.

"Memang ketika berselisih dengan kereta itu saya rasa pelik sebab kereta dipandu di tengah jalan yang sempit hingga menyebabkan saya terpaksa mengelak sehingga ke semak di tepi jalan.

"Ketika itu waktu hampir jam 11 malam dan akibat keadaan gelap saya tidak nampak siapa yang memandu kereta itu, tapi gaya memandu kereta putih itu memang luar biasa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mat Kod yang juga seorang nelayan berkata, dia masih tertanya-tanya dan seperti tidak percaya apabila mendapat berita mengatakan kereta yang berselisih dengannya itu dipandu kanak-kanak yang kemudian terbabit kemalangan.

Seorang penduduk lain juga jiran kepada keluarga itu dan mahu dikenali sebagai Kak Yah, 41, berkata dia turut hairan bagaimana kanak-kanak terbabit dapat memandu sejauh 2.5 km sebelum kemalangan.

"Pada hemat saya, agak mustahil bagi seorang kanak-kanak untuk memandu di jalan tar mini yang sempit dan berselekoh, kemudian perlu berhenti di simpang tiga sebelum ke jalan utama yang dilalui banyak kereta.

"Keseluruhannya, kereta itu perlu melalui tiga simpang tiga dan satu daripadanya mempunyai lampu isyarat, sebelum kereta itu dikatakan terbabas dan melanggar tiang lampu," katanya.

Pada masa sama, Kak Yah berkata, dia tidak kenal rapat dengan keluarga kanak-kanak berkenaan kerana keluarga terbabit jarang ada di rumah kerana sibuk bekerja dan dua kanak-kanak terbabit juga tidak bermain di luar rumah.

Sementara itu, usaha wartawan mendapatkan komen kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit gagal kerana panggilan telefon dan pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp tidak dibalas.

Tinjauan ke rumah keluarga kanak-kanak terbabit pula mendapati pintu pagar berkunci rapat dan tiada tanda ada penghuni di rumah berkenaan.

Terdahulu tular di media sosial rakaman dikatakan perbualan antara kanak-kanak lelaki dan ibunya mendakwa kereta terbabit sebenarnya dipandu seorang lelaki tua berbadan besar, hitam dan berbulu yang dipanggil sebagai tok wan.

Bagaimanapun, kesahihan rakaman berkenaan tidak dapat dipastikan setakat ini dengan usaha mendapatkan keluarga berkenaan masih dilakukan.

Apa hasil siasatan gangguan seksual ke atas bekas ketua polis daerah, tanya mangsa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang individu mendakwa dirinya mangsa gangguan seksual membabitkan seorang pegawai kanan polis di Sabah, ingin tahu perkembangan siasatan kes pada 2018.

Walaupun kejadian itu berlaku lima tahun lalu, katanya, beliau tidak tahu siasatan dalaman yang menurut polis akan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Pada Ogos 2018, Ketua Polis Negara ketika itu, Fuzi Harun dilaporkan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap seorang ketua polis daerah di Sabah susulan dakwaan gangguan seksual ke atas enam anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan (Rela).

Individu yang mendakwa dirinya mangsa memberitahu FMT, beliau terkejut apabila mendapat tahu pegawai polis terbabit dinaikkan pangkat dan kini mengetuai jabatan polis di sebuah negeri.

“Dia (sebelum ini) ditukarkan ke jawatan pentadbiran (di jabatan lain), jadi polis akan menjalankan siasatan dalaman, tetapi apa berlaku kepada siasatan itu?” soalnya.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu seiring kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berhubung 500 laporan salah laku difailkan terhadap pelbagai agensi kerajaan, termasuk 195 kes membabitkan polis, yang belum diambil tindakan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan polis akan bertindak balas terhadap laporan salah laku membabitkan pegawai mereka.

Pada Ogos 2018, Fuzi dilaporkan berkata “ada kebenaran di sebalik dakwaan itu” membabitkan seorang ketua polis daerah di Sabah melakukan gangguan seksual terhadap anggotanya.

“Kami akan ambil tindakan terhadap pegawai polis terbabit. Saya tidak boleh beritahu bila, tetapi ia akan dilakukan segera. Kami sedang meneliti perkara itu dengan serius,” katanya kepada The Star pada Ogos 2018.

Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru dilantik, Jauteh Dikun memberitahu FMT, beliau akan meneliti perkara itu.

Diserang dengan parang, kerambit, pengawal keselamatan cedera

Siti Rohana Idris
bhnews@bh.com.my
Pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Kota Bharu, cedera pada rusuk kiri akibat diserang sekumpulan lelaki dipercayai bersenjatakan parang dan kerambit. NSTP/Ihsan Pembaca
Pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Kota Bharu, cedera pada rusuk kiri akibat diserang sekumpulan lelaki dipercayai bersenjatakan parang dan kerambit. NSTP/Ihsan Pembaca
KOTA BHARU: Pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di sini, cedera diserang sekumpulan lelaki dipercayai bersenjatakan parang dan kerambit, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang apabila mangsa yang berusia 47 tahun sedang berada di pos pengawal dan didatangi tiga lelaki yang menunggang dua motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata sebaik turun dari motosikal, semua suspek bertindak menyerang mangsa secara tiba-tiba.

"Mangsa cedera pada rusuk kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan dalam keadaan stabil.

"Usaha mengesan dan menahan suspek yang terbabit sedang giat dijalankan bagi siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif serangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan.

Denda kerana tak jadi kahwin

Agensi
KELUARGA Paskalis menyerahkan wang denda kepada keluarga Yofriana. FOTO Ihsan Robertus Salu
KELUARGA Paskalis menyerahkan wang denda kepada keluarga Yofriana. FOTO Ihsan Robertus Salu
Jakarta: Sebuah mahkamah di Indonesia memerintahkan seorang lelaki membayar denda 50 juta rupiah (RM15,110.95) kepada kekasihnya kerana tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Paskalis L Liu dari Kampung Sasi, Kota Kefamenanu, Timor Tengah Utara, Nusa Tenggara Timur (NTT) membayar denda itu kepada Yofriana Y Elu.

Kes itu diselesaikan di Mahkamah Daerah Kefamenanu, dengan plaintif melantik peguam dari Pejabat Undang-undang Robertus Salu & Partners.

Dalam kes itu, Paskalis adalah defendan dan Yofriana adalah plaintif.

Peguam Yofriana, Robertus Salu berkata, anak guamnya dan Paskalis tinggal serumah sejak zaman belajar di kolej.

"Kedua-duanya dikurniakan dua anak, masing-masing berusia empat dan tujuh tahun," katanya kepada portal Kompas.

Katanya, selepas beberapa tahun, hubungan mereka mula menjadi retak dan tidak sehaluan lagi.

"Sehingga ke peringkat kursus kahwin, tiba-tiba lelaki itu tidak mahu lagi (meneruskan perkahwinan) atas alasan tidak jelas.

"Atas sebab itu, keluarga anak guam saya terkilan dan menyaman Paskalis," katanya.

Robertus berkata, anak guamnya kini bekerja di sebuah Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di NTT, manakala Paskalis walaupun bergelar graduan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Saya menghargai niat baik defendan yang mengaku bersalah dan sanggup memohon maaf dalam bentuk denda adat.

"Prosiding mediasi yang berlangsung di Mahkamah Negeri Kefamenanu, 3 Mei lalu, adalah langkah awal untuk menyelesaikan isu berdasarkan Peraturan Mahkamah Agung Republik Indonesia Nombor 6 Tahun 2016.

"Dari hasil mediasi itu, dua pihak sepakat berdamai dengan tidak melupakan budaya tradisional orang Timor (Dawan), iaitu pesalah setuju membayar denda wang tunai 50 juta rupiah dan satu kain tradisional.

"Ini bukan saja denda adat, tetapi sebagai permohonan maaf daripada defendan kepada plaintif," katanya.
-hmetro 

Wanita ditembak senapang patah, warga emas ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita cedera di bahu dan tangan kanan selepas ditembak menggunakan senapang patah dalam kejadian di Batu 37, Jalan Kuching-Serian, Serian, pagi tadi.

Ketua Polis Serian, Aswandy Anis, berkata kejadian berlaku 8.10 pagi dan mangsa berusia 39 tahun dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

“Suspek seorang lelaki berusia 67 tahun ditahan orang awam sebelum diserahkan pada polis,” katanya menurut Utusan Borneo.

Katanya, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Suspek kini ditahan di lokap di IPD Serian. Senapang patah digunakan suspek dalam kejadian itu juga dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tunjuk kemaluan di tempat awam, lelaki didenda RM100

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 54 tahun didenda RM100 selepas mengaku bersalah mendedahkan kemaluannya ketika berada di sebuah pasar raya di Cheras.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata, lelaki itu ditangkap pada tengah hari Isnin lalu kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.

Katanya, sepasukan anggota polis menangkap lelaki itu di pusat membeli-belah di Jalan Cheras selepas menerima laporan daripada orang awam.

“Kertas siasatan yang lengkap dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya dan mendapat arahan untuk tuduh suspek di mahkamah.

“Suspek dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 di Mahkamah Jalan Duta semalam dan mengaku bersalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, suspek boleh dihukum penjara 10 hari jika gagal membayar denda, iaitu hukuman maksimum di bawah akta itu.

Hina ucapan asalamualaikum suspek ditahan

Malaysiakini 

Pasukan petugas atau task force siasatan 3R (raja, agama dan bangsa) polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana didakwa menghina Islam dalam video yang tular.

Suspek yang ditahan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam itu, adalah atas pertuduhan mempersendakan ucapan “asalamualaikum” oleh umat Islam. Dua telefon bimbit dan tiga kad SIM turut dirampas.

Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 298A adalah berkaitan dengan kesalahan yang menyebabkan "suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama."

Manakala Seksyen 233 adalah kesalahan membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Sejak penubuhan pasukan petugas 3R pada Mac tahun ini, 12 orang telah ditahan dan 18 kertas siasatan telah dibuka.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa dan agama bahkan boleh menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada demi melindungi untuk menjaga ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” kata ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman petang ini.

Awal hari ini, pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa pihak berkuasa supaya bertindak terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana "mengancam keharmonian kaum dan keselamatan negara."

Ini kerana kata, Pengerusi DAP itu jenama politik pemimpin PAS tersebut mengancam perpaduan dan integrasi nasional.

Lim juga menggesa rakyat Malaysia supaya beramai-ramai membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi bagi menamatkan “politik pecah belah, pelampau dan perkaumannya”.

Badan Peguam lulus resolusi 'hilang percaya' pada AG

Malaysiakini 

Badan Peguam Malaysia menerima pakai resolusi hari ini yang mengisytiharkan bahawa ia tidak percaya kepada Peguam Negara (AG) Idrus Harun yang "gagal" mempertahankan badan kehakiman dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Ini adalah berhubung serangan terhadap badan kehakiman berikutan sabitan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Ini khususnya serangan yang ditujukan kepada hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan kesalahan Najib di Mahkamah Tinggi.

“Badan Peguam Malaysia kecewa dengan sikap berdiam diri dan tidak bertindak peguam negara dalam menghadapi serangan tidak wajar dan dakwaan rasuah terhadap hakim Nazlan, dan merupakan pengabaian tugas oleh peguam negara,” kata Badan Peguam Malaysia.

Tempoh Idrus memegang jawatannya akan tamat pada September, berikutan lanjutan yang diberikan pada 6 Mac.

Resolusi itu hari ini juga memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberi notis kepada peguam negara untuk membawa prosiding penghinaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyerang badan kehakiman.

“Jika gagal, Majlis Peguam hendaklah mempertimbangkan dan, jika difikirkan sesuai, memulakan prosiding penghinaan itu atau sebarang prosiding atau tindakan lain sebagai mengesahkan resolusi di atas,” katanya, menurut teks resolusi yang diterbitkan di laman web Badan Peguam Malaysia.

Resolusi itu telah diterima pakai semasa mesyuarat agung luar biasa hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Idrus untuk mengulas mengenai resolusi tersebut.

Jabatan agama siasat dakwaan murid dijemur tengah panas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyiasat dakwaan seorang wanita anaknya dijemur di tengah panas kerana datang lambat di sebuah sekolah agama di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pihaknya mengarahkan Bahagian Pendidikan Islam di JAINJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah mendapatkan laporan terperinci mengenai kejadian itu.

“Siasatan akan dilakukan dengan terperinci,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, tular di TikTok satu video yang dirakam seorang wanita mendakwa anaknya berusia tujuh tahun berseorangan berdiri di tengah panas.

Wanita tersebut mendakwa anaknya didenda kerana datang lambat ke sekolah. Menurut video itu kejadian berlaku kira-kira 2 petang di sebuah sekolah agama di Pasir Gudang.

Video tersebut mengundang kecaman pengguna media sosial yang berkata, tindakan sekolah itu bertentangan arahan Kementerian Pendidikan yang melarang sebarang aktiviti luar kelas akibat cuaca panas melanda negara ketika ini.

Mahfuz ketuai Peladang, Faiz di LKIM

Malaysiakini 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan pelantikan lima pengerusi badan berkanun bawah kementeriannya.

Daripada senarai itu, pemimpin pusat Amanah Mahfuz Omar akan mengetuai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) manakala Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pemimpin DAP Sheikh Umar Bagharid Ali pula kan mempengerusikan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Sementara itu bekas timbalan Speaker Dewan Undangan Perak, daripada Amanah, dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Bekas anggota parlimen Kuala Kedah daripada PKR Azman Ismail pula dilantik sebagai pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Mohamad juga berkata dia yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman mereka akan memastikan pembaharuan dilakukan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

MP PKR ucap tahniah Dr M kini 'ketua umum' PN

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung 'kepimpinannya' dalam Perikatan Nasional (PN).

"Tahniah kepada Mahathir kerana beliau telahpun menjadi 'ketua umum' kepada PN.

"Presiden PAS Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Mahathir.

"Kini, Faizal (Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu) sebagai pimpinan kanan Bersatu pula mendukung kenyataan beliau.

“Jelas bahawa pengaruh PAS dan Bersatu dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemimpin PKR itu mengulas tindakan beberapa pemimpin PAS menandatangani "Proklamasi Orang Melayu" yang digerakkan Mahathir.

Mahathir dan Anwar kini kembali bertelagah berhubung dakwaan isu aset walaupun saman dikemukakan masih belum selesai di mahkamah.

Mahathir meminta Anwar mengisytiharkan hartanya ketika berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998, dengan mendakwa Anwar adalah antara "pemimpin terdahulu" yang dituduh kronisme.

Gesaan itu dilontarkan selepas Anwar mengulangi gesaannya kepada Mahathir supaya mendedahkan berapa kekayaan kroni ahli keluarga dan keluarganya, yang kini menjadi subjek saman fitnah RM150 juta oleh bekas pengerusi Bersatu itu.

Terdahulu hari ini, Ahmad Faizal memberitahu Star bahawa GTA tidak mungkin dapat bertahan dlsecara bersedirian.

Katanya, Mahathir mungkin berpengaruh tetapi gabungan itu tidak seperti PN.

“Dengan jumlah parti Melayu sekarang, adalah lumrah pengundi Melayu menuntut satu kuasa yang menyatukan semua parti Melayu.

“GTA adalah seperti cawan kecil. Anda tidak boleh menuangkan segala-galanya daripada cawan besar ke cawan kecil,” katanya, sebelum meminta GTA menyokong PN tanpa syarat.

“Bersatu komited untuk menegakkan hak orang Melayu dan Islam, serta untuk semua kaum dan agama di Malaysia. Memandangkan GTA seolah-olah memperjuangkan cita-cita yang sama, kami mengalu-alukan GTA untuk memberi sokongan kepada kami untuk menyingkirkan mereka yang telah mempermainkan pengundi Melayu pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Gempar: Budak 6 tahun pandu kereta bawa adik terbabas, rempuh tiang lampu

Malaysiakini
Seorang budak lelaki berusia enam tahun yang membawa adiknya yang berumur tiga tahun untur bersiar-siar menggunakan sebuah kereta di Langkawi malam tadi, terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu..

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios berwarna putih tersebut dipandu kanak-kanak itu tanpa pengetahuan ibu bapa mereka yang berada di rumah di Kampung Padang Mengkuang.

“Kereta tersebut dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya bersama adik lelakinya yang menjadi penumpang.

“Mereka dari arah Ulu Melaka ke Nyior Chabang dan ketika sampai tempat kejadian kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang lampu berhampiran Titi Chanwang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis berkata, kedua-dua beradik itu dipercayai menyelinap keluar semasa bapa mereka sedang tidur, manakala ibu mereka berada di bilik air.

Video kemalangan itu tular di media sosial. Menerusi rakaman tersebut, kanak-kanak berusia enam tahun itu kelihatan tenang ketika orang ramai datang membantu dan bertanyakan di mana ibu bapa mereka.
story-image
“Saya nak pi kedai,” katanya berulang-kali.

Budak yang memandu kereta tersebut mengalami luka kecil di bahagian dagu, namun adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan. Kereta berkenaan pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri, terutama di bumper.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Shariman.