"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri maut dilanggar suami sendiri

a
SINGAPURA - Seorang wanita berusia 64 tahun maut selepas dilanggar secara tidak sengaja oleh suaminya sendiri.

Selepas melanggar isterinya, lelaki yang panik turut melanggar tiang di blok Lembaga Perumahan kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian, kata saksi.

Kejadian berlaku kira-kira 7.50 petang di tempat letak kereta Blok 332, Ang Mo Kio Avenue 1.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberitahu Strait Times, mereka dimaklumkan insiden berkenaan pada jam 7.51 dan sebuah ambulans dihantar.

"Seorang wanita berusia 64 tahun, tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Tan Tock Seng di mana dia kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Siasatan sedang dijalankan," kata polis.

Pelajar Goh Xinyi yang berada di kedai optik ibunya di Blok 332, Ang Mo Kio Avenue 1 berdekatan lokasi kejadian berkata, dia dan ibunya mendengar dentuman kuat kira-kira jam 8 malam.

"Kami keluar dan melihat seorang wanita tua terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sekitar kepalanya.

"Seorang lelaki beusia dalam lingkungan 50an dan 60an melutut di sebelah tubuh wanita itu dan kelihatan sangat tertekan dan berulang kali menyebut "Dia isteri saya dan mengapa saya melanggarnya" dalam bahasa Mandarin," kata Goh.

Menurut Goh lagi, lelaki itu memberitahunya, dia secara tidak sengaja melanggar isterinya yang berada bertentangan di tempat letak kereta iaitu kira-kira 10 meter dan dalam keadaan panik dia terpijak gear yang salah dan menyebabkan dia turut melanggar tiang berhampiran blok 332.

Seorang pejalan kaki yang enggan namanya didedahkan berkata, kereta itu juga telah melanggar dua motosikal ketika merempuh tiang.

Koperal dituduh cabul gadis, tunjuk video lucah

Kangar – Seorang koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis berusia 19 tahun di Kuala Sanglang, dekat sini, pada Mac lalu.

Selain tuduhan mencabul yang dilakukan pada jam 9 pagi, 16 Mac lalu, Azmi Nik, 43, yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, turut didakwa menunjukkan video lucah kepada gadis berkenaan pada masa dan lokasi sama di sebuah rumah di kawasan itu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak salah atas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah dan memohon untuk dibicarakan.

Azmi dituduh memeluk mangsa daripada belakang dengan maksud mencabul kehormatan di sebuah rumah di kawasan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 509 kanun sama kerana menunjukkan video lucah kepada gadis berkenaan pada masa dan lokasi sama, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan 15 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
-bharianonline

Ganasnya ulama Pas

MOHD ALI HASHIM
Datuk Dr Ismail Salleh"Ganasnya ulama Pas," begitulah kata-kata yang diluahkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh mengulas mengenai muktamar Dewan Ulama Pas yang diadakan di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) semalam.
Beliau merujuk ucapan aluan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Ustaz Mohd Rejab Md Akhir mengutuk Parti Amanah Negara dengan ucapan "Jahanam PAN'.

"Beliau bukan sahaja tidak mampu untuk menyebut nama Parti Amanah Negara sebagai Amanah tetapi sebagaimana biasa menyebutnya 'PAN'.

"Inilah pemikiran yang ada dalam Dewan Ulama dan ahi-ahli Pas.

"Keseluruhannya golongan agamawan ini yang banyak menentukan pemikiran dan hala tuju Pas yang sepatutnya memberi contoh dan teladan terbaik kepada ahli-ahli mereka dan juga masyarakat umum, " jelasnya lagi.

Malah katanya, mereka yang sepatutnya berakhlak dengan akhlak Islam Islam sesuai dengan perjuangan Islam sepertimana yang didakwa dibawa oleh Pas.

Namun begitu, apa yang berlaku disebaliknya.

"Mereka bukan sahaja menngelarkan Amanah sebagai PAN, tetapi mengutuk keras dengan laungan 'Jahanam PAN'.

"Pemikiran fanatik ini bukanlah baru dan asing dalam Pas kerana fanatisma ini menyebabkan mereka tidak boleh menerima kepelbagaian dan kelainan dalam berfikir.

"Dalam Pas perbezaan pemikiran dan pendekatan adalah satu dosa yang mesti dihapuskan, " ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, dalam muktamar dua tahun yang lalu di Batu Pahat, seorang perwakilan yang mempunyai pendidikan tinggi telah membuat ucapan doa selama 15 minit hanya dengan mengutuk dan melaknat mereka yang mempunyai perbezaan pandangan dan pendekatan dalam Pas.

"Apalah yang boleh diharapkan oleh masyarakat umum kalau perbezaan pandangan sekalipun tidak dapat diraikan.

"Sebenarnya masyarakat tidak begitu bodoh untuk menilai perkara ini.

"Ini jugalah merupakan antara faktor mengapa dalam beberapa 'survey' yang dijalankan ketika ini, mendapati Pas semakin hilang sokongan, " tegasnya lagi.


  • Tambahnya lagi, ucapan dan pemikiran sedemikian merupakan punca yang akan membawa kejatuhan dan keruntuhan kepada Pas.

Tiba-tiba nama Ikram dikaitkan dengan 'aman'nya di muktamar Pas

MALAYSIA DATELINE
Dr Supyan Hussin Tiba-tiba saja nama  Pertubuhan Ikram Malaysia  (Ikram), sebuah NGO Islam dikaitkan dengan keharmonian muktamar Pas, kononnya ia berlaku selepas tidak diganggu lagi oleh ahlinya dalam parti itu.
Salah seorang penasihat presiden Pas, Dr Supyan Hussin dalam posting di facebooknya menulis, "Sudah masuk musim ke 2 muktamar Pas tanpa gangguan dari ahli Ikram dalam Pas. Aman," kata Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Menurut Supyan yang duduk banyak dalam jawatankuasa penasihat Pas berkata, hari ini Ikram pecah dua ...satu setuju dengan DAP satu tak setuju Ikram terlibat politik dan mahu kekal badan dakwah.

"Sejarah berulang..dulu Jim (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia)  satu badan dakwah, kemudian pecah dua sebab ahli Jim  diprogram masuk Umno bantu Anwar nak jadi PM, lepas tu Jim pecah dua selepas Anwar kena buang, satu Ikram, satu Isma (Ikatan Muslim Malaysia). ...sekarang pecah lagi," tulis beliau lagi tanpa menyebut kaitan Ikram dengan Amanah.

Ramai bekas pemimpin Ikram  kini menyertai Amanah selepas parti itu ditubuhkan ekoran perpecahan dalam Pas.

Antaranya timbalan presiden Ikram, Hasanudin Mohd Yunus yang kini menjadi naib presiden Amanah.

Menjelang perpecahan Pas 2015, Ikram  didakwa menyusup masuk ke dalam Pas menyebabkan parti itu bergolak dan akhirnya berpecah.

Muktamar Pas ke 63 di Alor Setar tahun ini, walaupun tahun pemilihan tetapi tidak ada pertandingan dalam mana-mana jawatan utamanya termasuk di dewan-dewan.

Presiden, timbalan presiden, pengerusi tetap, timbalannya serta pemeriksa kira-kira menang tanpa bertanding. Hanya jawatan naib presiden dan AJK saja yang ada pertandingan.

Di peringkat dewan-dewan juga begitu. Semua ketua, timbalan dan naib ketua dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat dalam Pas menang tanpa bertanding. Semua AJK Dewan Ulama pula menang tanpa bertanding.

Empat nama popular dalam dalam siri kempen kali ini. Ada yang tidak mahukan Datuk Iskandar Samad sebagai naib presiden dan ada kumpulan yang mahu pastikan Datuk Nik Mohamad Amar kekal sebagai naib presiden.

Nasaruddin Hassan pula cuba dimenangkan dalam jawatan naib presiden kononnya kerana dia adalah bakal mewarisi kepimpinan Pas kerana Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad, dua tokoh pelapis utama Pas, kononnya tidak boleh diharapkan untuk memimpin Pas.

Mereka berdua juga tidak mewarisi citarasa presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Satu lagi nama yang keluar dalam kempen kali ini adalah Zaharudin Mohamad, menantu presiden Pas.

Satu kumpulan, yang pro Pas Terengganu, mahukan beliau kekal dalam jawatankuasa manakala 'Geng Ustaz' pula mahu perwakilan mengenepikan beliau dalam muktamar kali ini.

Satu kumpulan pula dikatakan aktif cuba mencaturkan kepimpinan kali ini walaupun mereka gagal besar dalam pemilihan Pas kawasan Pengkalan Chepa apabila tokoh kumpulan ini, Nik Mohd Abduh Nik Aziz hanya mendapat 37 undi untuk jawatan timbalan yang dipertua Pas kawasan itu.

Jika putus, sila berundur dari Selangor, PKR beritahu PAS

MALAYSIA DATELINE
PKR akan menghormati sebarang keputusan Pas berhubung hubungan dengan parti itu namun mahu ia dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan.

Ini kerana keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR mewajarkan semua ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri Selangor meletakkan jawatan, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Jika Pas memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli Pas yang mempunyai jawatan di dalam Kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Saifuddin menambah, keengganan Pas meletakkan jawatan akan memualkan rakyat kerana ruang politik pembangkang akan dilihat banyak berkisar kepada serangan kepada kawan sendiri (termasuk mengisytiharkan bertanding di kerusi-kerusi PKR) sedangkan pada masa yang sama masih mahu menerima habuan dari jawatan yang disandang di Selangor.

Beliau tidak melihat sebarang logik bagi Pas yang memutuskan hubungan dengan Amanah dan DAP serta kini mahu memutuskan hubungan dengan PKR terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor.

"Saya memantau perjalanan Muktamar Pas terkini memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14. Tambahan pula, sebarang keputusan Pas mengenai tahalluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan Pas dalam Kerajaan Selangor.

"Saya ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulamak Pas dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar Pas pada hari ini.

"Saya juga kesal serangan dan kritikan kasar terhadap YAB Dato' Seri Azmin Ali Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor yang dibuat oleh perwakilan Dewan Ulamak Pas semasa perbahasan semalam," kata beliau.

Pas juga, ujar Saifuddin menzahirkan secara jelas untuk memimpin beberapa negeri termasuk Selangor yang kini diterajui PKR.

Sehubungan itu, beliau menunggu keputusan muktamad Muktamar Pas berhubung kerjasama politik antara dua parti dan PKR akan terus menggarap kekuatan semua pihak yang mahu menamatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Surat terbuka Rafizi Ramli balas cabaran Pemuda PAS

Rafizi Ramli
Saya membaca laporan serangan yang dibuat oleh perwakilan-perwakilan Pemuda PAS terhadap PKR, terutamanya saya dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Secara khusus, perwakilan Pemuda PAS dari Selangor iaitu Mohd Sukri Omar (bawah, kanan) dilaporkan mencabar saya supaya "berani menjadi anak jantan" dan bertanding sekali lagi di Parlimen Pandan.

Saya berasa lucu dengan cabaran itu kerana jika tidak kerana tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang secara berterusan mengheret saya ke mahkamah (sama ada pertuduhan jenayah atau saman sivil), saya sudah tentu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.

Lagi pun saya adalah wakil pembangkang pertama yang memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar iaitu sekitar 27,000 undi (atu 67 peratus undi popular).

Malah, kemenangan PRU13 lalu menjadikan saya ahli parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara, jauh meninggalkan sahabat-sahabat dari PAS.

Di Pandan juga, undi Melayu yang saya menangi di peringkat Parlimen Pandan jauh meninggalkan undi Melayu yang dimenangi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad yang bertanding di DUN Cempaka di dalam parlimen saya.

Maknanya ada pengundi Melayu di Pandan yang mengundi saya tetapi tidak mengundi PAS.

Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!

Masalahnya saya telah dijatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bagaimana 1MDB tidak membayar anak syarikat LTAT dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun ia dikeluarkan untuk anak syarikat LTAT.

Atas sabitan itu, saya tidak dapat bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang.

Malah, saya mengikuti laporan serangan Pemuda PAS terhadap saya dari kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen 8, Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan berhubung pendedahan saya mengenai skandal NFC dahulu.

Kalaulah ada anak-anak muda dan pemimpin Pemuda PAS yang sama-sama membantu saya menjalankan amanah melawan penyelewengan dan rasuah besar yang membabitkan pentadbiran Najib, mungkin di sebelah saya di dalam kandang tertuduh adalah anak-anak muda pimpinan Pemuda PAS ini.

Mungkin juga tugas itu dapat diagih-agihkan supaya tidaklah saya terpaksa berdepan sehingga 12 kes mahkamah kerana ada anak muda pimpinan Pemuda PAS yang berani juga membongkarkan penyelewengan rasuah pemerintah dan berdepan dengan hukuman penjara.

Malangnya ada pimpinan PAS (dulu dan kini) yang lebih selesa menerima wang rakyat terus dari perdana menteri, atau lagi selesa menyertai rombongan ke luar negara bersama pimpinan kerajaan, atau lebih selesa hadir dalam majlis Kelab Umno di United Kingdom, atau lebih selesa tidak mengundi di Parlimen bila mana belanjawan yang mengutip GST dan menekan rakyat dibentangkan Najib.

Saya ingat tindakan Pemuda PAS masih belum menyaman saya atau membuat laporan polis mengenai akuan berkanun saya menamakan bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Nasharuddin Mat Isa menerima sejumlah wang yang melalui akaun Najib adalah kerana mereka tidak mahu saya hilang kelayakan bertanding agar mereka dapat berdepan dengan saya dalam PRU14 di Pandan nanti.

Begitulah agaknya (bersangka baik).

Mencabar saingan politik kita dengan pelbagai gelaran dan ugutan bukanlah lambang keberanian. Lambang sebenar keberanian ialah berkata benar kepada pemerintah yang berkuasa sepenuhnya dan akan memenjarakan kita kerana kita berkata benar.

Jahanam PAN!: Maafkan mereka, doakan mereka, kata Amanah

MALAYSIA DATELINE
Kecaman Dewan Ulamak Pas terhadap Amanah dalam muktamar sayap utama parti itu semalam tidak langsung mendatangkan kesan kepada para pemimpin parti gabungan Pakatan Harapan tersebut, malah naib presiden Amanah menasihati anggota parti itu supaya memaafkan dan mendoakan kebaikan terhadap mereka.

Naib presiden Amanah Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dalam pesanan yang tular di media sosial mengemukakan pertanyaan, "Adakah anda semua boleh dan mampu tersenyum puas kalau ada rakan anda tersasul memaki orang lain?"

Beliau lantas memetik firman Allah SWT dalam surah Al-Hujarat ayat 11 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik; dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan; seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Hasanuddin juga memetik hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

"Memadai seseorang dikira berbuat keburukan jika dia merendahkan saudaranya sesama muslim."

Beliau juga mengingatkan tentang sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya darah kalian, harta kalian dan kehormatan kalian haram atas kalian...” (HR Bukhari Muslim)

Hasanuddin turut mengingatkan ahli Amanah bahawa setiap kumpulan umat Islam mempunyai maruah dan kehormatan walaupun cara mereka tidak dipersetujui kelompok yang lain.

Malah katanya, Rasulullah s.a.w. menghalang umat Islam mencela saudara Islamnya yang lain berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

"Mencela seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya kekufuran."

"Semoga semua yang membaca coretan sedia memaafkan mereka.

"Tuhan akan tinggikan kemuliaan dan maruah kita apabila kita bersabar, memaafkan dan mendoakan keampunan buat mereka yang melaknat dan mencerca kita," ujarnya.

Semalam, Ketua Dewan Ulama Pas Kedah Mohd Rejab Md Akhir meminta para perwakilan supaya berdiri dan mengetuai ikrar yang diakhiri dengan laungan 'jahanam PAN' (Amanah), diikuti laungan takbir.

“Sebelum saya memulakan ucapan, saya minta semua berdiri kita baca ikrar ‘Jahanam PAN’,” kata Rejab ketika menyampaikan ucapan pembukaan yang dirasmikan Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial mengecam sikap Pas tersebut sekaligus mempersoalkan sejauh mana parti yang memusuhi Pakatan Harapan itu mengamalkan 'budaya politik matang dan sejahtera' seperti yang dilaungkan.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah universiti awam, Dr A Zachary S memandang berat kecenderungan pemimpin Pas mengutuk dan melaknat lawan politik mereka.

Menurut beliau, perkataan 'laknat' boleh dilihat dari dua makna iaitu cerca, kutuk dan pengusiran dari rahmat Allah.

Dr Zachary menjelaskan, melaknat orang mukmin lain oleh seorang mukmin termasuk dalam perkara dosa dan Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang melaknat seseorang Mukmin, maka itu seperti membunuhnya." [HR Bukhari, 10/464]

Malah tambah beliau, Allah SWT sendiri melarang umat Islam melaknat seorang kafir secara individu.

Menurutnya, Rasulullah s.a.w. pernah ditegur Allah SWT kerana mendoa laknat Abu Jahal dan kafir Quraisy menerusi firman-Nya:

"Tidak ada sedikit pun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim." [Ali Imran: 128]

"Hukum melaknat orang kafir yang masih hidup dilarang oleh Allah kerana boleh jadi Allah merahmati dia sehingga dia mendapatkan hidayah untuk memeluk Islam dan menjadi orang mukmin.

"Jika orang kafir pun dilarang Allah kita melaknat, inikan pula sesama muslim dan mukmin?" ujar beliau.

Pelajar ‘bawa geng’ belasah peniaga (Gambar)


Petaling Jaya – Seorang pelajar lelaki berkelakuan tak ubah seperti ‘samseng’ apabila membelasah seorang peniaga hingga tidak sedarkan diri hanya kerana menegurnya ponteng sekolah.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku di sebuah pusat beli-belah di Gombak pada Rabu, pelajar yang ‘bengang’ dengan peniaga berkenaan telah memanggil beberapa rakannya dari Taman Melati, Gombak untuk membelasah peniaga tersebut sehingga koma.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, pelajar terbabit yang memakai pakaian sukan dikatakan telah ditegur oleh mangsa kerana ponteng sekolah sebelum dia dibelasah.

Turut menjadi tular adalah gambar pelajar terbabit dan dua lagi remaja dalam keadaan bergari bersama dua anggota polis.

Perkongsian gambar tersebut mendapat kritikan netizen, dengan ramai yang meluahkan kebimbangan dengan trend samseng dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin menjadi-jadi pada masa ini.
-mstar

Gabungan 22 NGO Melayu Islam desak kerajaan haramkan Hindraf

Mohamad Fadli 
KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam hari ini mendesak kerajaan mengharamkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang disifatkan rasis, ekstremis dan boleh mengancam keselamatan negara.

Barisan Bertindak Melayu Islam (Bertindak) turut menyifatkan Hindraf sebagai pertubuhan biadap dan boleh membawa malapetaka serta merosakkan hubungan antara kaum.

Ketua Sekretariatnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy ialah individu berbahaya dan memberi amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan agama lain.

“Perjumpaan tergempar yang dihadiri NGO Melayu Islam hari ini berikutan kecewa dan mengutuk keras kebiadapan beberapa individu dan Hindraf yang jelas cuba menggugat keamanan negara.

“Perjumpaan ini bukan untuk menzahirkan permusuhan dan kebencian dengan masyarakat India dan Hindu serta lain-lain bangsa.

“Perjumpaan ini berslogankan ‘Melayu Bangkit’ untuk memperingatkan dan memberi amaran keras kepada individu bernama P Waythamoorthy dan Hindraf serta mereka yang berperangai seperti Waythamoorthy supaya jangan menyentuh hak Islam dan Melayu kerana dibimbangi sejarah hitam 13 Mei 1969 berulang.”

Katanya pada sidang media Bertindak yang turut terdiri daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, Yayasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pembela Islam di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.

Sabtu lalu, Waythamoorthy dilaporkan berkata, Hindraf mahu mengadap Raja Perlis untuk meminta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dipecat ekoran “puisi pagi Jumaat” beliau yang didakwa menghina dan menyinggung perasaan penganut Hindu serta mempertahankan pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.

Hindraf merupakan antara suara lantang membantah kehadiran Zakir, yang dikehendaki Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.

Perkasa dan Asri pula merupakan antara NGO serta agamawan yang lantang mempertahankan Zakir, malah menjemputnya menyampaikan khutbah Jumaat di Perlis awal tahun ini.

Pada 15 April lalu, Zakir mendakwa beliau akan diseksa jika pulang ke India, sebaliknya beliau sedia disoal siasat pihak berkuasa negara itu menerusi Skype dan kaedah tele-sidang.

Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, isu status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Zakir dipolitikkan Hindraf.

Beliau juga mengingatkan kerajaan mengambil tindakan segera terhadap individu dan pertubuhan yang bersifat rasis.

“Kalau kerajaan tidak pandai bertindak, Malaysia majoriti penduduk Islam mesti mendahului kepentingan rakyat majoriti.

“Apa yang dituntut Hindraf ini terutama hal agama seperti sama dengan agama lain. Islam adalah agama majoriti di sini. Masyarakat bukan Melayu perlu tahu, ada kumpulan seperti Hindraf bercakap tentang hak asasi, tetapi untuk kita tidak boleh,” katanya.

Kembalikan ISA

Khairul Azam turut mendesak kerajaan mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memandangkan ramai individu dan NGO bukan Islam yang tidak menghormati Islam.

“Sekiranya ISA dikembalikan, saya yakin kerajaan dapat tangani dan tangkap golongan ini supaya tidak merebak. Kita juga menyeru masyarakat India menjauhi kumpulan ini demi menjaga keharmonian negara,” katanya.

Mahu cabar pemberian kerakyatan kepada bukan Melayu

Khairul Azam berkata, mereka juga berhasrat mencabar pemberian taraf kewarganegaraan kepada individu bukan Melayu antara 1957 hingga 1970 di mahkamah.

Ini kerana, katanya, taraf kerakyatan hanya akan diberikan kepada pemohon selepas mereka mengangkat sumpah taat setia seperti termaktub dalam Jadual Pertama Perlembagaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun mendakwa kajian menunjukkan prosedur itu tidak dilakukan pada 1957 hingga 1970 ketika memberi taraf kerakyatan kepada 1.75 juta orang bukan Melayu.

“Ini berlaku pelanggaran terhadap proses kewarganegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Oleh itu, kami meminta diberikan ruang untuk mencabar dan mempersoalkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu yang pernah diberikan. Ini adalah satu peruntukan undang-undang yang perlu dibawa ke mahkamah dan kita nak minta biar mahkamah tentukan.”

-------------------
Isu semak status kerakyatan cubaan semarak api perkauman
MALAYSIA DATELINE
Cadangan sebuah NGO Melayu untuk menyemak kembali status kerakyatan bukan melayu di negara ini adalah perancangan rapi pihak-pihak tertentu untuk menyemarakkan api perkauman menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak berapa lama lagi, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, adalah terlalu mudah untuk membaca perancangan dan strategi pihak yang tidak bertanggungjawab itu kerana senjata agama dan perkauman mampu membangkitkan sentimen dan kemarahan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Sangat malang apabila menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60 31 Ogos nanti, masih ada golongan yang bermain dengan isu kerakyatan satu-satu kaum yang dikatakan bukan berasal dari negara ini," ujar Salahuddin mengulas cadangan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bertindak.
Tambah Salahuddin, adalah lebih baik Bertindak berjuang bagi menegakkan integriti kepimpinan Melayu yang sedang dilanda pelbagai isu serta skandal yang mengaibkan maruah bangsa Melayu seperti amalan rasuah, moral dan salah guna kuasa.

Beliau turut menyarankan anggota Bertindak supaya membuat ujian DNA bagi membuktikan genetik Melayu mereka.

"Tulen sangatkah darah Melayu yang ada dalam tubuh mereka? Ramai di kalangan jutaan rakyat negara ini yang telah bercampur darah Cina, India, Arab, Pakistan dan lain-lain kerana kita telah hidup bersama dengan harmoni di Malaysia lama sebelum dan selepas kemerdekaan," ujar beliau sinis.

Menurut Salahuddin, perlembagaan negara telah memperuntukkan hak-hak warganegara dan ianya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Beliau menyeru rakyat agar bersama membina masa depan negara untuk Malaysia yang lebih baik dan berhati-hati dengan nyalaan api perkauman sesetengah pihak yang bermatlamat menyelamatkan kepimpinan Melayu yang rosak moral dan korup.

Muktamar PAS ke-63 ‘tak ada class’, kata Zaid Ibrahim

FMT Reporters
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyifatkan mesyuarat agung tahunan pemuda, ulama dan wanita PAS yang berlangsung hari ini sebagai tiada “class”, kerana tidak membawa isu mendesak seperti keselamatan pelajar sekolah tahfiz dan peluang pekerjaan lepasan sekolah Arab.

Bekas menteri undang-undang itu berkata demikian setelah melihat PAS lebih berminat menyerang parti pembangkang lain dan tindakan undang-undang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

“PAS tak ada ‘class’. Di muktamar cakap lah pasal sekolah tahfiz, pasal peluang pekerjaan graduan sekolah Arab. Ini cakap (pasal) Amanah, (dan) Claire.

“Saman Claire pun masa di muktamar. Ini untuk impak maksimum,” katanya di Twitternya.

Keselamatan para pelajar sekolah tahfiz menjadi perbualan orang ramai selepas kematian Mohamad Thaqif Amin Gaddafi, 11, 2.06 petang semalam, seminggu selepas dimasukkan ke hospital selepas didakwa dipukul pembantu warden sekolah tahfiznya.

Jumaat lepas, doktor terpaksa memotong kaki Thaqif dalam usaha menghalang jangkitan merebak ke tisu dan sel darah dalam tubuh. Beliau juga dijadualkan untuk menjalani pembedahan memotong tangan kanan.

Pembantu warden itu ditahan Sabtu lepas dan direman sementara menunggu siasatan diselesaikan, yang diklasifikasikan semula daripada kes dera kepada kes bunuh, menurut polis.

Hari ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London 21 April lepas.

Takiyuddin berkata, PAS menuntut ganti rugi “besar”, tetap enggan mendedahkan jumlahnya. Parti itu turut memohon injunksi terhadap artikel bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections – COMMENT”.

Putar belit skandal 1MDB akhirnya makan tuan

MALAYSIA DATELINE
Usaha beberapa pemimpin Umno untuk menggunakan isu penyelesaian luar mahkamah antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) sebagai menandakan berakhirnya skandal kewangan membabitkan syarikat pelaburan negara itu sebenarnya memakan diri sendiri, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Malah cubaan mereka untuk mempertahankan 1MDB telah membangkitkan semula persoalan asas yang sehingga kini masih belum terjawab.

Beliau memberi contoh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa kononnya penyelesaian antara 1MDB dan IPIC membuktikan perdana menteri tidak bersalah.

Malah tambah Kit Siang, Rahman Dahlan juga mendakwa dana 1MDB wujud dalam bentuk 'unit' di Singapura dan boleh ditukarkan ke dalam bentuk matawang untuk dibayar kepada syarikat Abu Dhabi berkenaan.

"Terima kasih Abdul Rahman, kerana beliaulah soalan-soalan ini telah dibawa semula kepada perhatian masyarakat umum, bersekali dengan pertanyaan yang dibangkitkan Tony Pua dan pemimpin yang lain," katanya dalam satu kenyataan media.

Tony yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara dalam kenyataan beliau sebelum ini membangkitkan persoalan mengapa rakyat Malaysia perlu menanggung pembayaran sebanyak dua kali ganda 1MDB kepada IPIC.

Hasil penyelesaian timbangtara antarabangsa di London memutuskan bahawa IPIC akan menerima bayaran berjumlah USD1.205 bilion.

1MDB dan Kementerian Kewangan juga diarahkan bertanggungjawab ke atas faedah bon bernilai USD3.5 bilion yang dijamin IPIC.

Semalam Kit Siang turut mengulas kenyataan ketua pengarah Jabatan Hal Ehwan Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung penyelesaian secara timbang tara antara 1MDB dan IPIC yang kononnya telah ‘melemahkan’ dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bahawa wang 1MDB telah diselewengkan.

"Sama ada ia (dakwaan Puad) benar atau tidak ia bebas untuk dibahaskan, tapi apa yang mengejutkan adalah reaksi kerajaan Malaysia yang sebelum ini menafikan skandal 1MDB, tetapi secara tiba-tiba menerima senario kes yang dibangkitkan DOJ.

"Jika kerajaan Malaysia berpegang teguh dengan naratifnya bahawa tidak ada skandal melibatkan 1MDB, maka Puad tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu," kata Kit Siang dipetik Roketkini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Puad mungkin tidak menyedari bahawa kenyataan beliau itu telah mengesahkan tindakan saman sivil oleh DOJ bagi merampas aset bernilai lebih USD1 bilion yang berpunca daripada dana 1MDB.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga ahli parlimen Gelang Patah mengulangi desakan agar perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sesi parlimen khas bagi membincangkan skandal 1MDB.

Beliau turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkait saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) secara perundangan bagi membersihkan nama Malaysia yang kini terpalit dengan gelaran kleptokrasi.

Video: Lelaki mengamuk di stesen minyak


Sebuah rakaman video memaparkan seorang lelaki tengah mengamuk di sebuah stesen minyak dipercayai di Pandan, Kuala Lumpur menjadi tular menerusi media sosial tempatan.

Ini bukan kerana gelagat lelaki tersebut tetapi tindakan orang ramai yang kebetulan di sekitar tempat kejadian.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, jelas kelihatan keadaan stesen minyak tersebut dipenuhi orang ramai yang melihat seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental membuat bising di luar premis tersebut.

Pada awal video tersebut, kelihatan barang dipercayai makanan bersepah di atas lantai dan seorang lelaki tidak berbaju keluar dari kedai di stesen minyak itu berjalan ke arah pam minyak.

 Lelaki itu kemudiannya mengambil pam minyak dan mengacukan ke kepalanya sebelum membaling pam tersebut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut membaling alat pemadam api ke arah pam minyak dan baring di atas lantai sambil bercakap sesuatu.

Percakapan lelaki tersebut tidak dapat didengari dengan jelas namun kedengaran perkataan bunuh sebelum lelaki itu menjerit.

Keadaan semakin ‘getir’ apabila lelaki itu membuka alat pemadam api dan menyemburnya sebelum kembali ke hadapan kedai dan baring semula.

Video tersebut tamat apabila individu yang merakam kejadian meninggalkan lokasi tersebut.

Jelas kelihatan, orang ramai meneruskan aktiviti mereka mengisi minyak seperti biasa dan ada segelintir hanya melihat gelagat lelaki tersebut tanpa berbuat sebarang tindakan.

Turut kedengaran suara individu supaya menghubungi pihak polis untuk tindakan.

Perkongsian video tersebut mendapat kritikan netizen apabila kecewa dengan orang ramai yang berada di lokasi kerana tidak mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut. – Mynewshub

PH ada strategi tersendiri jika RoS tolak pendaftarannya

MALAYSIA DATELINE

Pakatan Harapan hanya akan menggunakan satu logo dalam PRU 14 nanti walaupun mempunyai 4 parti.
Pakatan Harapan sudah mempunyai strategi tersendiri jika permohonan mereka untuk mendaftarkan badan gabungan itu ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, pendekatan itu telah dipersetujui oleh pimpinan Pakatan Harapan di peringkat pusat.

"Kalau logo yang kita daftarkan nanti ditolak, kita sudah ada strategi sendiri dan akan gunakan satu logo juga sebagaimana yang telah dipersetujui," kata Wan Rahim dalam ceramahnya di Jalan Yaakubiah, Kota Bharu malam ini.

Wan Rahim berkata demikian ketika menjawab soalan penonton yang mahu tahu perkembangan tentang penggunaan satu logo oleh Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.

Majlis Sekretariat Pakatan Harapan telah bermesyuarat hari ini bagi membuat persiapan dari segi struktor, perlembagaan dan logo gabungan empat parti politik itu.

Ketiga-tiga perkara itu akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijangka akan bermesyuarat minggu depan untuk diluluskan.

Selepas ia diluluskan, Pakatan Harapan akan didaftarkan kepada RoS lengkap dengan struktor, perlembagaan dan logo barunya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan telah mencapai kata sepakat untuk menyertai pilihan raya umum ke 14 nanti dalam satu pasukan yang mempunyai satu logo, satu manifesto dan satu calon bersama.

Usaha untuk membuat perkara itu seringkali ditekankan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi Tun Mahathir, itulah formula kemenangan BN selama ini iaitu mempunyai satu logo, satu calon dan satu manifesto bersama.

Video: Mufti Perlis ulas isu Zakir Naik dan Hindraf

Politik bukan bidang Tuan Ibrahim

Hanipa: Politik bukan bidang Tuan Ibrahim
Seorang daripada bekas Anggota Jawatankuasa Pusat (AJK) PAS menyatakan rasa 'simpatinya' kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menulis di Facebook, Hanipa Maidin berkata, sejak dulu lagi beliau berpendapat Tuan Ibrahim tidak sepatutnya menceburi dunia politik.

"Cukuplah menjadi panel untuk forum-forum agama anjuran RTM. Sejujurnya beliau sesuai dengan dunia itu. Dengan rasa hormat, politik bukan bidang dia," katanya.

Hanipa yang kini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) mengulas kenyataan dibuat timbalan presiden PAS itu mengenai pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

PRU ke-14 perlu diadakan selewat-lewatnya suku ketiga tahun depan.

Malaysiakini pada 24 April lalu melaporkan Tuan Ibrahim sebagai berkata, pihaknya tidak akan mengganggu mana-mana parti pembangkang jika mereka membiarkan PAS berdepan dengan Umno di 80 kerusi.

Sebaliknya, kata bekas pensyarah universiti itu, jika calon berkenaan diganggu, PAS akan turut meletakkan calon mereka di kerusi ditandingi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Macam stabil sangat

PAS secara konsisten sudah menyatakan cadangan mereka menuju Putrajaya melalui 80 kerusi berkenaan. Ia sebelum ini pernah ditegaskan beberapa pemimpin parti itu, termasuk Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, dan Pesuruhjaya PAS Perak yang juga AJK Pusat PAS, Razman Zakaria.

Menurut Hanipa beliau berasa "amat geli" dengan istilah "kerusi PAS" kerana katanya, tidak pernah ada mana-mana kawasan pilihan raya dimiliki sesebuah parti.

"Dulu semasa dalam muktamar, bergegak gempita laungkan, (kalau) kalah pilihan raya pun tak apa (sebab) yang penting kita jaga prinsip.

"Sekarang apabila cakap tentang kerusi pilihan raya, dia pulak yang lebih-lebih.

"Meluatnya tengok gelagat parti yang rasa dia lebih suci daripada orang lain," kata anggota parlimen Sepang itu.

Hanipa yang pernah berkhidmat sebagai pengerusi Lajnah Undang-undang PAS juga menyindir PAS apabila Tuan Ibrahim mengulas mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kata Tuan Ibrahim, PAS tidak dapat meneruskan rundingan dengan BERSATU kerana parti baru itu belum stabil.

"Ehem, macamlah PAS tu stabil sangat," katanya.
-malaysiakini

Amanah atasi Pas dengan kelebihan 3.6 peratus

ARIF ATAN
Analisis Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI) mendapati daripada segi sokongan rakyat, Amanah sudah mengatasi Pas dengan berada pada 16.1 peratus berbanding 12.5 peratus bagi Pas.

Rafizi RamliKelebihan 3.6 peratus itu kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berdasarkan kaji selidik sepanjang Februari sehingga April tahun ini.

Mengumumkan dapatan Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI), beliau berkata, Amanah berbeza dengan Pas kerana parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu hanya tertumpu di Kelantan dan Terengganu.

"Kalau Pas bertanding 8 kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan. Jadi, kalau menang sapu bersih 22 kerusi Parlimen pun itu hanya 10 peratus.

"Di tempat lain oleh sebab 80 peratus ke bawah Melayu dan Pas tidak dapat sokongan bukan Melayu berbanding Amanah," ujarnya.

Rafizi berkata, Amanah sama seperti Bersatu sebagai parti baharu yang belum pernah lagi diukur kekuatannya melainkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu.

"Kedua-dua PRK itu berlaku dalam keadan Pakatan Harapan kalah besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak dan masalah-masalah lain," jelasnya.

Sementara itu, suasana Kedah, tambahnya, berbeza susulan kemunculan Bersatu dengan Tun Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai pemimpin parti berlogokan bunga raya itu.

Gara-gara Facebook bapa kelar leher anak (Gambar)

Gara-gara kerap menghabiskan masa dengan melayari media sosial, seorang remaja perempuan cedera parah selepas dikelar bapa kandungnya di Petchaburi, Thailand.

Nation Multimedia melaporkan, Joi, 41, tidak gemar melihat anaknya yang berusia 13 tahun sering menghabiskan masa dengan media sosial seperti aplikasi Facebook dan LINE.

Suspek dikatakan mengelar leher anaknya sendiri selepas dia hilang sabar ketika dua beranak itu bertengkar.

Joi ditangkap pada malam Ahad lalu di pusat pemeriksaan di daerah Prachuap Khiri Khan Thap ketika cuba melarikan diri dengan anak perempuan bongsunya.

Mangsa yang cedera parah akibat dikelar dilaporkan telah pulih namun masih mendapatkan rawatan hospital.

Difahamkan, sikap mangsa yang kerap menghabiskan masa di media sosial membimbangkan bapanya sehingga mangsa pernah dikurung di dalam rumahnya sebelum ini.

Isteri Joi berkata, suaminya memang seorang yang panas baran dan pernah memukul anak perempuannya atas masalah yang sama.

Jelasnya, suaminya bimbang tabiat ini akan memberi kesan negatif terhadap pembelajaran anaknya.

Bagaimanapun, dia menafikan dakwaan kononnya mangsa diserang dan didera secara seksual oleh suaminya.

Joi turut pernah memberi ancaman untuk membunuh semua ahli keluarga kerana beliau cemburu dan paranoid bahawa isterinya akan kembali kepada bekas kekasihnya.

Siasatan polis mendapati Joi pernah terlibat dalam satu kes pembunuhan di daerah Muang TrangG, Thailand, 10 tahun lalu pada 14 Ogos 2007. – Mynewshub

Disuruh goyang, saya goyanglah'

Ibrahim Mat Zin hari ini mendedahkan semua aksi yang kononnya menjalankan upacara tertentu semata-mata lakonan.

Malah, menerima arahan daripada pihak yang dirahsiakan identitinya, beliau mengaku berlatih supaya persembahan itu menarik.

Lakonan beliau itu, termasuklah aksi menggoyang teropong buluh dan menjulang buah kelapa ketika upacara mencari pesawat hilang Malaysia Airlines dan memagar negara ini daripada ancaman asing.

“Goyang itu semua drama. Apa pun tak nampak. Jangan silap kata nampak kapal terbang ke... Saya dilatih suruh buat goyang, saya pun goyanglah,” katanya.

“Ambil buah kelapa macam bom, saya buat tetapi saya tak tahu salah pula. Demi Allah demi rasul saya tak tahu salah,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Al Bakri yang menegurnya.

Pengakuan itu dibuat dalam sidang medianya bersama Zulkifli bagi memohon maaf atas tindakannya yang didakwa menghina Islam.

Sebelum ini Ibrahim ditahan oleh JAWI di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu.

Dalam acara yang dirakam video Facebook jabatan itu, Ibrahim juga mendedahkan diminta melakonkan kesemua “lima drama untuk seronokkan cerita”.

Bagaimapun, katanya, jika tahu perkara itu salah, sudah tentu beliau tidak akan melakukannya.

“Kalau tahu saya tak buat kerana saya orang sembahyang, orang Islam, semangat Melayu, saya pegang silat sebanyak lima juta orang silat gayung ghaib.

“Saya sebagai pemimpin (silat), didik anak-anak bangsa. Rakyat-rakyat Malaysia pun saya sayang. Takkan saya nak buat kerja bodoh ini,” katanya.

Beliau juga mendedahkan gelaran “raja bomoh” itu juga dibubuh oleh pihak yang enggan dinamakannya itu dan justeru beliau enggan memakainya lagi.

“Gelaran tak mahu pakai. Gelaran Raja Bomoh pun bukan saya yang bubuh.

"Dia cakap (pada saya), 'Brahim,you cakap you Raja Bomoh dunia, world. Bila Raja Bomohworld, dunia ini, makanya kuatlah'.

“Saya pun terkejut juga, nak dunia macam mana. Hari ini, tak usahlah panggil saya Raja Bomoh.

“Saya seorang mahaguru Datuk Ibrahim Mat Zain saja. Dulu pun macam itu juga, orang panggil saya, tak ada raja-raja bomoh.

“Bila saya dah gantung (gelaran) raja bomoh, raja pecut ada, raja lawak ada, raja repot ada, semua raja, nak pakai saja. Hari ini semua raja saya tak nak, biar jadi rakyat biasa,” katanya sambil ketawa kecil.
-malaysiakini