"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umat Islam bersolat di gereja Berlin akibat penjarakan sosial

Reuters

Jemaah menunaikan solat Jumaat di Gereja Martha Lutheran di Berlin semalam. (Gambar Reuters)
BERLIN: Sebuah gereja di Berlin membenarkan umat Islam yang tidak dapat dimuatkan dalam masjid kerana peraturan penjarakan sosial, untuk menunaikan solat Jumaat.

Masjid Dar Assalam di daerah Neuk├Âlln biasanya dapat memuatkan ratusan jemaah untuk solat Jumaat, tetapi kini ia hanya dapat menerima 50 jemaah disebabkan sekatan dilaksanakan Jerman akibat penularan Covid-19.

Sepanjang bulan Ramadan, Gereja Martha Lutheran yang terletak berdekatan tampil membantu dengan mengadakan solat dalam bahasa Arab dan Jerman.

“Ia adalah petanda baik dan membawa kegembiraan ketika Ramadan dan krisis ini,” kata Mohamed Taha Sabry, imam masjid itu yang mengetuai solat berjemaah.

“Pandemik ini menjadikan kita sebuah komuniti. Krisis menyatukan rakyat.”

Rumah ibadat di Jerman dibuka semula 4 Mei lalu selepas ditutup selama berminggu di bawah sekatan pergerakan Covid-19, tetapi penganut atau jemaah perlu mengekalkan jarak 1.5m antara satu sama lain.

Seorang jemaah bernama Samer Hamdoun berkata: “Ia adalah perasaan pelik disebabkan gambar dan peralatan muzik. Tetapi, apabila anda lihat, apabila anda lupa butiran kecil, ini ialah rumah Tuhan juga.”

April lalu, Majlis Islam yang menaungi 400 masjid berkata, ia mungkin muflis disebabkan penutupan masjid sehingga bulan Ramadan yang biasanya ialah tempoh penting untuk menerima sumbangan.

Pastor gereja itu, Monika Matthias berkata beliau terpanggil dengan seruan umat Islam menunaikan solat.

“Saya mengambil bahagian dalam solat itu. Saya memberikan ucapan dalam bahasa Jerman. Ketika solat, saya hanya boleh kata ya, ya, ya kerana kita mempunyai kebimbangan sama dan kita mahu belajar daripada anda.”

Air Kelate: Mung lah yang terjun, kata ibu muda kepada Nik Amar

MALAYSIA DATELINE
Video seorang ibu muda yang bangkit menentang kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengenai air di Kelantan kini tular selepas selama ini hanya orang-orang politik sahaja yang dilihat bersuara.

Tanpa diketahui siapa nama dan siapakah ibu muda ini, ia menjadi video tontotan pelbagai pihak terutama ketika umat Islam membuat persiapan untuk menghadapi Hari Raya Aidil Fitri.

“Takdo lagi orang mati kerana air Kelate. Ambo (saya) besar dengan air telaga, air cemar tu hingga boleh jadi exco molek-molek ada,” kata Nik Amar yang kini disebarkan dan diulas oleh orang ramai termasuk ibu muda ini.

“Apa yang dia kata ni tidak menunjukkan sedikit prihatin kepada rakyat. Kita jadi menteri ke, exco ke, YB ke, pertama sekali kita kena ada sifat prihatin kepada rakyat.

“Bila rakyat bersuara dan sedikit mogok, mogok ni pula isu yang penting iaitu air. Bila isu penting macam air ni sepatutnya tak dibuat main dan dikaitkan dengan politik.

“Sepatut kita bila exco ni bercakap dengan lebih berakal, orang Kelantan kato lebih cerdik. Bila kita exco cakap seolah-olah nganjing, mempersendakan rakyat, nak gi belarok ke Tesco dan sebagainya,” kata ibu muda ini.

Bagi beliau, apabila Nik Amar menjadi pemimpin dari parti Islam Pas, beliau sepatutnya bercakap berdasarkan iman.

“Kita tidak boleh berkecek (bercakap) mangok (sombong) lagu tu. Kita tak boleh berkecek agah (samseng) lagu tu.

“Maaflah saya bercakap agak lantang. Di bulan-bulan Ramadhan ini saya merasa sendiri betapa payahnya bila tidak ada air di rumah saya di Pasir Pekan terutamanya,” kata ibu muda ini.

Pasir Pekan adalah kawasan pilihan raya yang diwakili oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub.

Bagi beliau perkara seperti ini tidak boleh dibuat main.

“Orang Kelantan kata, tak ada bajet, dah ada doh. So di mana tempat rakyat nak bersuara kalau bukan kepada YB-YB, orang-orang besar ini. Sepatutnya orang-orang besar inilah yang memainkan peranan membantu rakyat.

“Kalau nak cerita hal air Sungai Kelantan yang berkelodak dan kuning ni, orang tak berkecek lagu tu. Sebab takkan nak mandi nak terjun lagu tu. Mung (awak) lah terjun, bukan suruh rakyat terjun. Tak payahlah suruh lagu tu,” kata ibu muda itu.

Ini ekoran kenyataan Nik Amar yang berkata, di sebelah Tesco tempat rakyat Kelantan berhimpun membantah masalah air di Kelantan itu ada Sungai Kelantan.

“Berlambak air di situ, terjunlah kalau nak minum gak,” kata Nik Amar yang menyebabkan ramai yang marah termasuk ibu muda ini.

Bagi beliau, Nik Amar sepatutnya tidak bersikap seumpama itu.

“Sepatutnya kita sebagai pemimpin ini, semakin tinggi kedudukan kita, semakin sopan sebagaimana rasmi padi, semakin berisi semakin menunduk.

“Bila kita beriman ni, kita semakin low profile (merendah diri). Kita bukan nak bercakap soal politik di sini tetapi nak bercakap soal keperihatinan seorang exco dan YB,” kata beliau menempelak kenyataan Nik Amar sambil menenangkan anak beliau yang merengek di sebelahnya ketika merakamkan video itu.

Seorang lagi ahli Parlimen PKR akan keluar parti

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen PKR akan menjadi wakil rakyat terbaru yang akan keluar parti, satu lagi tamparan kepada peluang parti itu untuk mengembalikan Pakatan Harapan ke tampuk kuasa persekutuan.

Sumber dalaman parti beritahu FMT bahawa ahli Parlimen itu tidak menonjolkan diri sejak tumbangnya kerajaan PH pada Februari, yang juga menyaksikan penyingkiran para penyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

Azmin dan beberapa ahli Parlimen belot dan menyokong Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional, dengan sokongan Umno, PAS, dan GPS.

Dipercayai ahli Parlimen itu akan mengumumkan keluar PKR esok. FMT tidak menamakan wakil rakyat itu sehingga mendapat pengesahan.

Sumber sama beritahu FMT bahawa PKR akan menyaksikan “beberapa lagi ahli Parlimen” jadi wakil rakyat Bebas.

“Besar kemungkinan ahli-ahli Parlimen ini kekal sebagai wakil rakyat Bebas. Macam mana sekalipun, ia satu tamparan pada Anwar Ibrahim dan PH yang berusaha untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat untuk kembali berkuasa,” kata sumber itu, merujuk kepada presiden PKR yang juga kini pengerusi PH.

Perkembangan ini seminggu selepas 2 Adun PKR di Kedah mengumumkan keluar parti, mempercepatkan kejatuhan kerajaan PH pimpinan Mukhriz Mahathir.

Mukhriz meletakkan jawatan MB beberapa hari selepas Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra PN.

Kedudukan di Dewan Rakyat kini 111 vs 111

MALAYSIA DATELINE

Kedudukan di Dewan Rakyat kini sama banyak antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) apabila Ahli Parlimen Sri Aman dan Selangau memihak kepada PH.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat pada hari Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 menyatakan beliau sebenarnya menyokong pembangkang sama ada di peringkat persekutuan mahupun di Sarawak.

Anggota Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu menjelaskan beliau diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Manakala Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dikatakan sudah ‘u-turn’ menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota itu.

Terbaru, Baru mencadangkan Anggota Parlimen parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak berpuashati dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menilai kembali kedudukan mereka dan meninggalkan PN

Dengan keputusan Ahli Parlimen Selangau menjadikan blok pembangkang yang sebelum ini mempunyai 108 sokongan menjadikan ia kepada 111 Ahli Parlimen apabila ia ditambah dengan sokongan Timbalan Speaker dari DAP, Nga Kor Meng (Taiping) yang masih disusun di blok kerajaan.

Tian Chua bakal tubuh gerakan baru

FMT Reporter
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Tian Chua bakal menubuhkan satu gerakan baru dalam masa terdekat.

Beliau berkata penubuhan gerakan tersebut bertujuan mengatasi masalah perpaduan sosial serta ekonomi yang semakin merudum akibat Covid-19.

Katanya, gerakan itu juga bertujuan meningkatkan sokongan terhadap perkhidmatan sosial masyarakat dengan visi mewujudkan masyarakat dengan pembahagian sumber kekayaan yang adil.

Ia juga, katanya, akan membentuk pembangunan lestari dan bebas daripada perbuatan yang boleh merosakkan iklim dan persekitaran.

“Kami tidak mampu duduk secara pasif dan mengharapkan peningkatan akan berlaku dengan lancar dan automatik. Selain bergantung dan meminta tindakan pemerintah yang diperlukan, kita juga harus melangkah ke hadapan.

“Sebagai warga negara yang prihatin dan mampu, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan komitmen bagi memperkukuh perpaduan bangsa dan membela rakyat yang menderita. Ini juga masanya untuk mengatur tenaga masyarakat dengan semangat kesukarelaan,” katanya di Facebook.

Katanya, Malaysia juga menghadapi isu perbezaan pendapatan yang tertinggi di Asia dan perlu diambil serius dalam mencari penyelesaian.

“Golongan berpendapatan rendah dan masyarakat terpinggir adalah yang paling teruk terjejas susulan keadaan ekonomi yang semakin buruk,” katanya.

Beliau berkata gerakan itu juga menerima semua keahlian tanpa mengira perbezaan jantina, etnik agama dan kepartian.

Katanya, gerakan itu akan dilancarkan secara rasmi selepas hari raya nanti.

Akar umbi Bersatu Selangor bersama Tun M, tolak Muhyiddin yang derhaka

MALAYSIA DATELINE
Ahli akar umbi Bersatu Selangor tetap bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Adun Kuang, Salehudin Amiruddin menolak kenyataan Pengerusi Bersatu Selangor.

Beliau juga menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat penderhakaan mutlak terhadap mandat rakyat pada PRU 14 lalu.

Salehudin dalam satu kenyataannya berkata, rakyat telah memilih Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke 14 lalu sebagai kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir.

“Ingkar terhadap mandat rakyat adalah merupakan penderhakaan terhadap tonggak demokrasi yang dipegang kukuh sejak merdeka,” kata bekas Ketua Penerangan Bersatu Selangor itu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Rashid Asari yang berkata Bersatu Selangor menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

“Adalah dengan ini saya mewakili akar umbi Bersatu Selangor menyangkal sebarang sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi Bersatu,” kata Salehudin.

Bagi beliau, akar umbi Bersatu Selangor menyokong penuh Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu.

“Akar umbi mengutuk dan menentang sebarang niat atau rancangan untuk memecat Tun Dr Mahathir. Datuk Seri Mukhriz atau mana-mana ahli Bersatu yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin dan PN,” katanya.

Beliau juga berkata, akar umbi Bersatu Selangor melihat tindakan Presiden Bersatu yang cuba mengeluarkan parti ini dari PH sebagai penderhakaan mutlak terhadap mandat rakyat dan ianya jelas bertentangan dengan prinsip, semangat dan komitmen yang diperjuangkan Bersatu selama ini.

Ooo masa langkah Sheraton ok, sekarang tunggu PRU 15

MALAYSIA DATELINE
Bekas timbalan menteri menempelak sikap sesetengah penganalisis dan pemimpin politik yang meminta Pakatan Harapan (PH) bersabar sehingga pilihan raya ke 15 untuk merebut kembali kerajaan.

Mohamed Hanipa Maiden, ma
ntan Timbalan Menteri (Undang-undang) berkata, beliau tertanya-tanya di mana suara para penganalisa politik ini semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan PH secara tidak bermaruah hingga digelar “kerajaan pintu belakang “atau “kerajaan tebuk atap” itu.

“Ya, di mana suara mereka ketika “Langkah Sheraton” digerakkan?

“Kenapa, pada masa itu, kita tidak dengar mereka menasihati PN agar tunggu PRU 15?” tanya Ahli Parlimen Sepang itu dalam satu kenyataannya.

Hanipa mengulas saranan penganalisis politik yang menyarankan agar PH memberi tumpuan kepada PRU-15 bagi mengambil kerajaan dan bukannya mengambil semula kerajaan pada masa sekarang.

Seorang pemimpin Umno pula dilapor dengan bangga menggunakan ucapan titah Yang Dipertuan Agong semasa hari perasmian sidang Parlimen pada 18/5/2020 yang lalu bagi menunjukkan kononnya kerajaan yang ada sekarang adalah “Kerajaan Tuanku” untuk membuktikan keabsahan kerajaan PN.

“Pertamanya, saya ingin ucapkan terima kasihlah kepada para pengalisis politik tersebut di atas analisa mereka.

“Maaf dan dengan penuh hormat jika saya kata bahawa analisa anda semua bernilai amat amat rendah dan hampir mencapai ke tahap tidak ada nilai.

“Saya tidak pasti di mana anda semua simpan disiplin ilmu anda,” kata Hanipa.

Menurut Hanipa, sekiranya kritikan mereka semua itu benar-benar jujur , cadangan itu sewajarnya ditujukan kepada PN yang membentuk kerajaan sekarang tanpa ada sebarang mandat rakyat dalam sebarang pilihan raya.

“Ia diakui sendiri oleh PM yang ada sekarang semasa berucap secara langsung di TV yang mana saya rasa ucapan itu mungkin sesuai dinobatkan sebagai ‘Ucapan Makcik Kiah!” kata Hanipa.

Bagi beliau, meminta agar PH menunggu sehingga PRU-15 bermakna membiarkan kerajaan ini berleluasa menjarah harta rakyat untuk beberapa tahun lagi.

“Seolah-olah kerajaanPN yang lebih besar saiz kabinetnya, yang begitu meriah mengagih-agih “ghanimah” kepada aktor aktor politik seperti pelantikan sebagai duta khas bertaraf menteri dan pelantikan dalam GLC bagi “membeli kesetiaan”, yang lebih teruja “membebaskan” insan yang terpalit dengan skandal mega 1MDB, amat wajar dibiarkan beberapa tahun lagi!

“Sedarkah para penganalisa ini tentang banyak perkara-isu imej negara, isu ekonomi, isu pelaburan asing, isu keyakinan pelabur dan lain-lain lagi,” katanya.

Bagi beliau, kerajaan PH yang ditumbangkan oleh kerajaan PN sekarang adalah kerajaan yang tidak ada sedikit pun “daki” ketakabsahan (legitimacy) sama ada dari sudut Perlembagaan, proses demokrasi atau dari sudut moral dan agama.

“Tiada sedikit pun elemen pengkhianatan dalam pembentukan Kerajaan PH. Ia dibentuk secara sah, secara bermoral dan beretika sambil menjunjung tinggi semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan.

“Ia adalah sepenuhnya kerajaan rakyat yang mewakili semua bangsa, etnik dan agama,” tegas beliau lagi.

Beliau mengaku, kerajaan PH itu tidaklah sempurna.

“Ada kelemahan di sini sana, namun siapa yang boleh menafikan kesungguhan kerajaan itu bagi membetulkan kerosakan yang amat teruk yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kesungguhan ini boleh dilihat oleh ramai orang di dalam atau di luar negara,” katanya.

Menurut Hanipa, semasa beliau bertugas di luar negara atas kapasiti anggota pentadbiran kerajaan PH, ramai rakan sejawat beliau di luar negara yang bukan sahaja puji kerajaan PH malah berjanji untuk membantu lagi.

“Saya masih ingat mantan PM-YAB Tun Mahathir – sering mengatakan bahawa hanya setelah beberapa bulan kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kejayaan menukar imej negara ini sebagai negara yang dikenali sebagai “negara kleptokrat” telah mula menunjukkan hasilnya,” katanya.

Buang Mahathir bunuh perjuangan Bersatu, tegas Armada

MALAYSIA DATELINE
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menegaskan pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, sayap Pemuda Bersatu tersebut menolak surat Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengesahkan peletakan jawatan Mahathir sebelum ini.

“Armada mengiktiraf bahawa pengerusi Bersatu adalah dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad dan ia adalah selari dengan keputusan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya.

Tegasnya, RoS termaktub di bawah “Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu yang tidak diiktiraf oleh parti serta mempunyai pertindihan kepentingan dalam isu ini.”

Setiausaha Agung parti dalam kenyataan media pada 25 Februari lalu mengatakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak peletakan jawatan Mahathir yang dibuat pada hari sebelumnya.

“Kenyataan itu menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah sebulat suara menolak perletakan jawatan Dr Mahathir dan kedudukan beliau sebagai pengerusi Bersatu masih lagi kekal,” katanya.

Sehubungan itu, Armada menyarankan agar pemilihan parti yang telah ditangguhkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dipercepat sebagai langkah penyelesaian yang terbaik.

“Sesungguhnya, mereka yang memberi usul untuk membuang Dr Mahathir dari parti inilah yang sebenarnya ingin membunuh roh dan perjuangan parti Bersatu.

“Jalan penyelesaian terbaik dalam bab ini adalah dengan mengembalikan kuasa kepada akar umbi untuk memilih masa hadapan parti melalui pemilihan parti,” ujarnya.

Tambah Armada, pemilihan Bersatu perlu disegerakan dalam masa terdekat bagi menjamin kelangsungan parti tersebut.

7 bahagian PPBM Kedah sokong Dr M sebagai pengerusi parti

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Selain Jerlun dan Langkawi, 5 daripada 15 bahagian PPBM Kedah menyuarakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti itu, selepas surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) mengesahkan beliau tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

Pemimpin 7 bahagian PPBM Kedah itu dalam satu kenyataan bersama hari ini, kepimpinan Mahathir serta anaknya, Mukhriz di peringkat pusat serta negeri tidak wajar dipertikaikan.

Mereka turut mengecam sebarang ‘usaha jahat’ untuk menyingkirkan 2 pengasas PPBM itu sebagai tidak beretika.

“Kami kesal dengan tindakan individu tertentu, termasuk sebilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang dalam keghairahan menyatakan sokongan kepada Presiden PPBM dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sanggup mengusulkan cadangan memecat Mahathir sebagai pengerusi dan Mukhriz sebagai pengerusi Kedah.

“Harus diingatkan semasa tercetusnya kemelut kepimpinan, MPT telah menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi. Susulan perjumpaan dengan pimpinan parti, Mahathir akhirnya menghormati rayuan MPT supaya kekal sebagai pengerusi.

“Selayaknya, Mahathir kekal menerajui PPBM sebagai pengerusi, jawatan yang dipertahankan tanpa dicabar semasa pencalonan pemilihan jawatan tertinggi parti.”

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua PPBM Bahagian Merbok dan Timbalan Pengerusi PPBM Kedah, Anuar Abdul Hamid, Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Mohamad Nuhairi Rahmat (Alor Setar), Azimi Daim (Kulim Bandar Baharu), Muhammad Amri Wahab (Pokok Sena) dan Timbalan Ketua Bahagian Jerlun serta Langkawi, A Aziz Mohamud dan Shukor Bahari.

Pemimpin 7 bahagian itu berkata, PPBM hanya akan dihormati rakyat selepas menolak pengkhianatan dan kembali mendokong perjuangan berintegriti serta bermaruah.

“Kami amat berharap kemelut kepimpinan PPBM dapat diselesaikan dengan tuntas dan bijaksana, yang bersendikan akhlak mahmudah bagi meletakkan semula perjuangan semua ahli di landasan lurus dan bertepatan cogankata parti, iaitu bersatu, beramanah, bermaruah.”

Mangsa buli siber bunuh diri kerana ‘berjanji temu’ warga asing

Predeep Nambiar

Thivyaanayagi Rajendran sudah bertunang dengan teman lelakinya selama 3 tahun. (Gambar diberikan keluarga)
BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai menggantung dirinya Selasa lalu selepas satu video TikTok beliau dan seorang rakan sekerjanya menjadi bahan ejekan di Facebook.

Thivyaanayagi Rajendran, 20, dalam satu nota dikatakan bunuh diri memberitahu, beliau menamatkan riwayat hidupnya selepas diserang kerana “berjanji temu” dengan seorang lelaki Bangladesh yang bekerja dengannya sebagai seorang juruwang di kedai 7-Eleven di Auto City, Juru, di sini.

Menurut keluarganya, tanggapan janji temu itu datang daripada satu video menunjukkan beliau dengan seorang pekerja asing, yang cuba melakonkan satu adegan dalam sebuah lagu berbahasa Hindi. Video itu dirakamkan ketika kedua-duanya kelihatan duduk di belakang kaunter juruwang.

Video yang dimuat naik rakan sekerja wanita itu kemudiannya dimuat naik semula oleh seorang pengguna Facebook bernama “Joker Oruvan” dengan satu catatan bahasa Tamil yang ditukar kepada bahasa rumi: “Bagaimana gadis ini jatuh cinta dengan seorang Bangla…semua orang tentu merestui anda.”

Pakcik Thivyaanayagi, K Sathyaseelan berkata catatan itu, yang terus menyerang anak saudaranya, mendapat lebih 300 komen yang kebanyakannya mengejek beliau kerana berjanji temu dengan warga asing.

Catatan itu sudah dipadamkan kemudian.

Sathyaseelan berkata, fikiran anak saudaranya terganggu disebabkan komen itu dan sudah membuat laporan polis pada 19 Mei lalu.

Katanya, polis memaklumkan perkara itu akan dirujuk kepada unit jenayah siber.

“Tetapi, catatan itu masih ada hari itu dan masih ada orang yang memberikan komen. Kami beritahu polis untuk menghentikannya.

“Kami kemudian menghantar satu mesej kepada pengendali laman itu meminta mereka memadamkan video itu.

“Pengendali itu meminta kami membuat rakaman video ‘mohon maaf’ jika mahu video itu diturunkan. Kami tidak tahu kenapa perlu minta maaf. Mereka biadab ketika kami minta mereka padam catatan itu,” kata Sathyaseelan kepada FMT.

Katanya, Thivyaanayagi kembali ke biliknya kira-kira 8 malam dan apabila panggilan telefon tidak dijawab, abangnya Taran memecah masuk ke biliknya dan mendapati beliau menggantung diri dengan dupatta (selendang) di lehernya pada 9.30 malam.

Thivyaanayagi diisytiharkan meninggal dunia setibanya di hospital.

Doktor yang melakukan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya memberitahu Taran, pemandu lori berusia 25 tahun, yang Thivyaanayagi meninggal dunia kerana asfiksia dan leher patah. Mayat adiknya dibakar semalam.

Sathyaseelan berkata, Thivyaanayagi meninggalkan satu nota bunuh diri meminta maaf kerana terbabit dalam video yang “memalukan” keluarganya.

“Alasan saya mengambil keputusan ini kerana Joker Oruvan memuat naik video saya ke Facebook dan merosakkan nama saya dan keluarga saya,” demikian sebahagian nota yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu.

Sathyaseelan berkata, anak saudara bertunang dengan teman lelakinya selama 3 tahun dan mereka merancang berkahwin pada Disember ini.

Katanya, Thivyaanayagi akan berusia 21 tahun pada Julai ini.

“Kami mahu keadilan. Beliau hanya berusia 20 tahun. Mereka yang memuat naik catatan itu untuk mempersendakannya perlu dipenjarakan. Disebabkan serangan mereka, beliau mengambil nyawanya sendiri.”

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, P David Marshel, yang pertama kali menangani perkara sedemikian, berkata isu itu sebahagian daripada budaya buli siber lebih besar yang sering diabaikan.

Katanya, kerajaan perlu bertindak segera kerana mungkin ada kes buli lain yang tidak dikesan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beza buat kerja agama demi tanggungjawab dengan cari makan

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Ulama bincang panjang tentang hukum ambik upah ajar baca Quran. Ada yang kata tidak boleh sebab al-Quran adalah kalam Tuhan.

Apa saja berkaitan al-Quran tidak boleh dijual beli. Ajar al-Quran tidak boleh ambil upah. Perlu ajar percuma kerana Allah. Itu pandangan sebahagian ulama.

Ada yang kata boleh ambil upah kerana keperluan. Kalau tidak ada orang yang ajar baca Quran, tentu orang ramai tidak tahu baca Quran. Hal ini memudaratkan kehidupan beragama orang ramai.

Siapa nak ajar Quran kalau semua orang ada kerja masing-masing untuk sara hidup? Maka untuk pastikan ada orang yang fokus ajar Quran, boleh ambil upah. Supaya orang itu tidak sibuk buat kerja lain.

Dia boleh fokus ajar baca Quran dengan berkesan. Masa dia, tenaga, tempat, kebolehan, semua tu ada kos yang perlu dia tanggung. Dia juga ada keluarga untuk disara.

Sebagai imbalannya, boleh ambik upah ajar Quran. Situasi macam tu tak dikata jual agama. Itu keperluan apatah lagi pada zaman kini, semuanya memerlukan kos.

Untuk elak urusan agama terabai guru Quran dibayar gaji. Kini bukan saja guru Quran, tapi guru fiqh, tauhid, tafsir, hadith dibayar gaji. Mereka boleh fokus dgn kerja berkenaan dan agama berkembang. Hal ini termasuk urusan menjaga agama.

Situasi di atas tak dikata jual agama. Jika orang itu mengajar kerana nak dapat gaji pun tidak menjejaskan keikhlasannya kerana dia bekerja untuk mengembangkan agama.

Bahkan membayar gaji atau mengambil upah untuk mengajar pelbagai urusan agama sudah menjadi keperluan yang mendesak kerana urusan kehidupan yang semakin rencam dan bertambah.

Cuma kini ada orang guna agama untuk cari makan. Nama agama, urusan agama, amalan agama dibuat bukan kerana tanggungjawab kpd agama, tapi semata-mata nak cari makan.

Ada beza antara buat kerja agama kerana tanggungjawab dan buat kerja agama untuk cari makan. Buat kerana tanggungjawab bermaksud buat dengan baik dan bersistem. Buat kerana cari makan pula buat secara hentam keromo, bukan berpandukan sistem tapi berteraskan sentimen.

Buat solat tahajud, tayang dalam FB, letak no akaun bank, apa tujuannya kalau bukan nak cari makan dengan cara jual agama? Itu bukan buat kerana tanggungjawab tapi ambil kesempatan daripada sentimen beragama.

Kalau betul² nak ajar orang hayati agama, buka kelas mengajar orang ramai cara solat dgn betul. Kenakan yuran. Buat secara bersistem. Ada guru yg pakar, ada nota, ada jadual, ada ujian. Itu barulah cara betul nak mengajar agama.

Tak salah mengambil upah daripada kerja agama jika dilakukan dengan cara dan kaedah yang betul. Bukan semua ambil upah buat kerja agama dikira jual agama.

Itu satu hal. Pentaksub pun satu hal juga. Kamu pi taja program solat tahajud live tu apa hal? Mana datang ajaran taja solat tahajud ni? Mana datang ajaran taja baca doa?

Itulah kerja beli agama. Ustaz tu tukang jual, kamu tukang beli. Serupa saja kedua-dua pihak. Kekaguman kamu kpd ustaz itu menjadikan akal kamu hilang untuk berfikir dengan waras?

Inilah namanya kecanduan agama. Beragama tanpa berfikir. Kalau kamu ada wang lebihan, biayailah fakir miskin di sekeliling kamu. Bukan buat kerja tak masuk akal taja solat tahajud live atau taja doa.

Beragama perlu dibimbing oleh akal yang sihat. Beramal dgn agama bukan seperti ketagihan candu. Asalkan ada label agama, dibuat oleh ustaz, terus anggap itu urusan agama.

Agama bukan mengkhayalkan tetapi menyedarkan. Agama bukan membodohkan tetapi mencerdikkan. Agama bukan memperhambakan tetapi memerdekakan.

Beragama apa jika tenggelam dalam khayalan, kebodohan dan perhambaan? Jika ada agamawan yang mengajak beragama secara khayal dan bodoh, usahlah belajar agama daripada agamawan itu.

Hadi kena bayar RM13.2 juta kos guaman di Mahkamah London, dakwa Clare

MALAYSIA DATELINE

Editor Sarawak Report, Clare Recastle-Browm mendakwa, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Awang dikenakan bayaran sehingga 2.5 juta pound (RM13.2 juta) oleh firma guaman beliau dalam kes saman mereka di England.

“Hadi mengambil peguam yang termahal di London dan dia terpaksa membayar 2.5 juta pound. Itu yang saya anggarkan dan itu yang peguam saya anggarkan,” kata Claire dalam wawancara secara online dengan aktivis Iswardy Morni yang disiarkan semalam melalui satu blog.

Dalam temubual itu, Clare mengaku beliau terpaksa gunakan segala wangnya untuk melawan Hadi, yang kini adalah Duta Khas PM ke Timur Tengah, di mahkamah termasuk wang pencen beliau.

“Mereka tak jangka kes ini sampai ke mahkamah. Sebab itu bila kes semakin dekat dengan hari perbicaraan, saya dihubungi ‘Clare, boleh kita runding’.

“Saya kata, kita boleh runding jika sedia membayar kos guaman saya,” kata Clare kepada wakil Hadi yang menghubungi beliau.

Menurut Clare, semakin dekat dengan hari perbicaraan di mahkamah, beliau semakin banyak mendapat maklumat dalam bentuk bukti wang dari Umno diberikan kepada Pas.

“Termasuklah bayaran deposit pilihanraya. Selepas itu, mereka datang kepada saya dan berkata mereka sedia membayar kos guaman saya,” kata Clare dalam temubual itu.

Iswardy menebual Clare mengenai kesnya dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Menurut Clare, di mahkamah United Kingdom, parti politik tidak boleh menyaman pihak lain.

Atas dasar itu, Hadi sebagai pemimpin Pas yang menyaman beliau bukannya Pas sendiri.

“Bukti yang saya terima adalah sumbangan wang dari Umno kepada Pas bukan kepada Hadi,” kata Clare lagi.

Menurut Clare, selepas tawaran penyelesaian luar mahkamah di terima beliau, ramai termasuk peguam beliau memujuk agar menerima sahaja tawaran itu dan tidak perlu ke mahkamah.

“Jadi saya terima wang itu dan saya yakin orang ramai dapat memahami Hadi dan Pas tidak sedia ke mahkamah,” kata Clare dalam wawancara itu.

Pada 1 Julai, Hadi membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London dan disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Clare mendakwa Hadi membayar RM1.4 juta kepada beliau sebagai kos guaman bagi membolehkan kes itu diselesaikan di luar mahkamah.

Covid-19: Kes Covid-19 di seluruh dunia lepasi 5 juta, 328,000 korban

Kes positif Covid-19 yang disahkan di seluruh dunia melepasi 5 juta pada Khamis, dengan Amerika Syarikat (AS) mempunyai jangkitan tertinggi dengan lebih 1.5 juta kes, menurut data Johns Hopkins University setakat 6.30 petang hari ini.

Sementara itu, wabak koronavirus baru ini telah meragut 328,471 korban di seluruh dunia dan AS turut mencatat kematian tertinggi dengan 93,439 kes, diikuti United Kingdom sebanyak 35, 786 kes dan 32,330 korban di Itali.

Daripada 5,016,171 kes jangkitan keseluruhan, Amerika Syarikat merekodkan sejumlah 1,551,853 kes, diikuti Rusia dengan 317,554 kes, Brazil dengan 291,579 kes dan United Kingdom dengan 249, 619 kes.

Beberapa negara yang terjejas teruk di Eropah, termasuk Itali, Perancis dan Sepanyol, telah mencatatkan penurunan jumlah kes harian dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi masih mencatatkan ribuan jangkitan baru setiap hari.

41 kes pertama disahkan di Wuhan, China, pada 10 Januari tahun ini. 3 juta jangkitan kemudian disahkan dalam masa kurang dari empat bulan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Demi nak jadi PM, sanggup rosakkan parti, kata Tun M kepada Muhyiddin

BORHAN AHMAD

Di tengah-tengah desakan dan pujukan agar Bersatu dibubarkan dan ahlinya menyertai Umno semula, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sanggup membiarkan partinya rosak asal dapat menjadi perdana menteri.

Dalam kenyataan beliau melalui lamannya chedet.cc, bekas perdana menteri itu berkata, beliau hairan dengan kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang menjelaskan Muhyiddin tidak terlibat dengan melepas Riza Aziz, menantu kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Setakat yang saya tahu tiada sesiapa pun yang menuduh Perdana Menteri.

“Ini sama dengan dakwaan berkali-kali bahawa ia Tan Sri Muhyiddin tidak hendak jadi Perdana Menteri.

“Tidak perlu protes kerana tidak ada siapa yang mencadang Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi akhirnya biar rosak parti asal dapat jadi Perdana Menteri,” kata bekas perdana menteri dua kali itu.

Sebuah laman pro Umno, Suara Merdeka dalam komentar mereka mencadangkan agar Bersatu menuruti jejak langkah Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang membubarkan parti mereka untuk menyertai Umno semula.

Menurut laman itu, Semangat 46 lagi kuat berbanding Bersatu kerana pernah disertai oleh tokoh-tokoh besar Umno ketika Team B bertempur melawan Team A pimpinan Tun Dr Mahathir.

“Bubarkan Bersatu, contohi Semangat 46 kembali ke pangkuan Umno?” bunyi tajuk berita laman itu.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyebut, cita-cita Bersatu adalah untuk menjadi parti untuk orang Melayu dan bumiputera selepas rosaknya Umno.

Dalam rayuannya sempena sambutan dua tahun kemenangan PH yang disertai Bersatu pada 9 Mei lalu, Dr Mahathir berkata, wawasan dan cita-cita Bersatu adalah untuk menjadi parti Melayu yang menggantikan Umno gagal apabila parti itu bekerjasama dengan parti itu ketika membentuk kerajaan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN)

“Kita harus ingat, kita tubuh Bersatu bukan sebagai parti campuran, seperti parti-parti lain. Kita tubuh Bersatu untuk orang Melayu dan Bumiputra. Sebabnya, Umno tidak lagi mengutamakan Melayu dan Bumiputra. Itu sebab kita tubuh Bersatu.

“Bila kita hancurkan Bersatu, kerana tindakan Umno, maka hilanglah parti Melayu uang berhasrat berjuang untuk bangsa, negara dan agama kerana Umno bukan lagi macam itu. Umno sekarang ini hanya berjuang untuk Datuk Seri Najib tetapi kita terjebak kerana tidak diberitahu,” kata Mahathir dalam ucapan itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpendapat, Muhyiddin Yassin masih boleh kekal sebagai perdana menteri jika beliau menyertai semula Umno.

Menurut Tajuddin, caranya ialah dengan membawa presiden Bersatu itu menyertai Umno – parti yang pernah menyingkirkannya suatu ketika dulu.

Kata Tajuddin dengan cara itu tidak perlu lagi kedua-dua parti bersaing sesama sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, seperti dinyatakan beberapa pemimpin kanan Umno sebelum ini.

Ini berikutan cakap-cakap bagaimana caranya kedua-dua parti mahu bersaing dalam pilihan raya umum akan datang sedang mereka berada dalam pasukannya yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN).

Mengulas isu ini, Tun Dr Mahathir berkata, Bersatu bakal terkontang kanteng dalam pilihan raya umum akan datang.

“Apabila datangnya pilihan raya, Bersatu berharap Umno tidak akan mencabar di kawasan-kawasan yang Bersatu bertanding. Tetapi Umno berkata mereka akan bertanding di semua kawasan biasa mereka termasuk yang diduduki oleh Bersatu sekarang termasuk di kawasan wakil rakyat Bersatu yang keluar dari Umno.

“Jadi apa kedudukan Bersatu. Di satu pihak mereka tidak dapat sokongan Umno, di satu pihak lain mereka tidak dapat sokongan parti PH.

“Jadi tinggal Bersatu ini terkontang kanteng, tiada daratan. Tidak tahu di mana mahu tinggal. Dan sudah tentu jika ada pilihan raya, tidak mungkin Bersatiu kekalpun, besar kemungkinan Bersatu akan kalah teruk,”kata bekas perdana menteri itu.

Muhyiddin akan berdepan 'masalah yang sangat besar', kata Dr M

Pengerusi Bersatu Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan berdepan "masalah yang sangat besar".

Jelas Mahathir, ini kerana, beliau akan berusaha untuk membuktikan "ketidaksahihan" kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Mahathir berkata demikian ketika mengulas sokongan ahli parlimen terhadap presiden Bersatu itu berdasarkan susunan kerusi sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

"Itu adalah majoriti paling tipis pernah dimiliki oleh kerajaan di Malaysia.

"(Muhyiddin) akan berdepan masalah yang sangat besar. Kerana apa pun peluang yang ada untuk kita membuktikan bahawa tidak sah baginya untuk menjadi perdana menteri, kita akan melakukannya," katanya dalam wawancara dalam talian bersama Reuters.

Kenyataan itu hadir ketika konflik dalaman Bersatu terus menyaksikan Mahathir dan Muhyiddin tidak sefahaman berhubung hala tuju parti mereka.

Muhyiddin pada Feb lalu membawa Bersatu keluar Pakatan Harapan yang menyaksikan kerajaan ketika itu tumbang.

Muhyiddin seterusnya membawa Bersatu serta sekumpulan bekas ahli parlimen PKR menubuhkan kerajaan PN dalam gabungan baru bersama BN, PAS dan beberapa parti lain.

Susulan itu, Mahathir menghantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Usul itu bagaimanapun tidak dibentangkan pada sesi parlimen 18 Mei lalu yang diterhadkan bagi titah diraja.

Berdasarkan susunan 222 kerusi di Dewan Rakyat pada sidang berkenaan, 114 menyokong Muhyiddin, iaitu hanya dua kerusi majoriti.

Sementara itu, laporan Reuters turut memetik Mahathir sebagai berkata bahawa pembangkang akan menolak sebarang rang undang-undang yang dibawa pentadbiran Muhyiddin di parlimen sekiranya undi tidak percaya tidak dibentangkan.

"Jika semua yang dibawanya ke parlimen ditolak, bagaimana dia mahu teruskan (sebagai perdana menteri)," kata Mahathir.

Saya kekal setia bersama rakan-rakan yang berjuang dengan saya sebelum PRU-14 - Tun M



'Kalau mahu khianat mandat rakyat, saya sudah jadi PM untuk PN'

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa rakaman audio yang dikaitkan dengan dirinya yang tersebar di media sosial semalam adalah berniat jahat dan merupakan hasil suntingan.

Jelas Mahathir, sekiranya beliau ingin mengkhianati mandat rakyat, beliau sudah melakukannya sebelum ini lagi ketika dicalonkan sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional.

"Saya kekal setia bersama rakan-rakan yang berjuang dengan saya sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Kalau betul saya mahu mengkhianati mandat rakyat, saya boleh lakukan dahulu apabila dicalonkan sebagai perdana menteri Perikatan Nasional.

"(Tapi) saya tolak. Susah dan senang, kita bersama," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Mahathir juga mencabar agar rakaman penuh mesyuarat Bersatu pada 23 Februari didedahkan.

Semalam, satu lagi klip audio yang dikaitkan dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Feb lalu beredar.

Kali audio ketiga itu menggambarkan suara yang dikatakan milik Mahathir yang bersetuju agar Bersatu keluar PH.

Beberapa pemimpin Bersatu yang hadir mesyuarat itu bagaimanapun menafikan kesahihan klip audio berkenaan, termasuk Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Tariq Ismail Mustafa.

Dua audio yang juga dikaitkan dengan mesyuarat Bersatu itu sebelum ini beredar di media sosial.

Dalam klip audio pertama yang bocor, individu dengan suara mirip Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya memberikan kepercayaan kepada Mahathir untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PH.

Klip audio kedua pula merakamkan suara mirip Mahathir meminta mesyuarat tidak memaksanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan.

Bersatu menyaksikan konflik dalaman selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan yang menyaksikan tumbangnya kerajaan pada Feb lalu.

Muhyiddin dan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR kemudian bergabung dengan BN serta PAS menubuhkan Perikatan Nasional, dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Susulan itu, Mahathir ingin mencabar majoriti Muhyiddin di parlimen dengan menhantar usul undi tidak percaya.

Usul itu bagaimanapun tidak dibentangkan pada sidang parlimen sehari pada 18 Mei lalu.

Kenapa tak bincang dengan PH?

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan Najib Razak mempersoalkan kenyataan terbaru Mahathir.

Kata Najib, sekiranya benar Mahathir tidak berniat mengkhianati PH, beliau akan berbincang dengan PH sebelum meletakkan jawatan.

"Adakah Mahathir memaklumkan mereka sebelum bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri?

"Tidak. Kenapa? Beritahu secara jujur apa sebenarnya yang berlaku ketika itu," katanya.

Untuk rekod, Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini direkodkan sebagai berkata mengetahui hasrat Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Namun, tidak dinyatakan sama ada keputusan itu dibincangkan oleh PH atau tidak.

Tidak lama selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Mahathir kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Bersatu bagaimanapun menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi.

Jawatan pengerusi Bersatu kini menjadi pertikaian apabila Muhyiddin melantik dirinya sebagai pemangku pengerusi dan mengabaikan penolakan peletakan jawatan Mahathir sebelum ini.

BAGAIMANA JIKA MUHYIDDIN DIPECAT DARIPADA BERSATU?

Shahbudin Husin
Berdasarkan rakaman audio mesyuarat MPT Bersatu yang dibocorkan serta perkembangan semasa, adalah jelas Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti telah melakukan dua kesalahan disiplin yang serius.

Kesalahan pertama, membawa Bersatu keluar daripada PH tanpa kebenaran serta izin parti secara sah.

Ini berdasarkan keputusan sama ada Bersatu perlu keluar PH atau tidak adalah bergantung persetujuan akhir Tun Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi di mana dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari itu telah dibuat ketetapan agar beliau diberi masa seminggu untuk membuat keputusan mengenainya.

Dan sehingga hari ini, Tun Mahathir tidak pernah memberi kata putus bersetuju untuk Bersatu keluar PH.

Dengan yang demikian, tindakan Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar PH pada 24 Februari lalu adalah sesuatu yang tidak sah dan salah dari segi disiplin parti.

Kedua, selepas keluar PH dan membawa dirinya bersama sebahagian Ahli Parlimen Bersatu untuk bergabung dengan UMNO, BN, Pas dan GPS membentuk kerajaan, semalam Muhyiddin sekali lagi melakukan kesalahan disiplin dengan menandatangani memorandum persefahaman bagi penubuhan PN secara rasmi.

Hakikatnya, tindakan Muhyiddin menandatangani MOU itu tidak bersandarkan sebarang keputusan parti dan dengan itu beliau tidak berhak menandatanganinya atas nama Bersatu.

Berikutan itu, kedua-dua kesalahan yang dilakukan Muhyiddin ini sudah pun dilaporkan kepada Lembaga Disiplin Bersatu untuk disiasat dan disyorkan tindakan sewajarnya.

Atas kedudukannya selaku Presiden Bersatu dan dua jenis kesalahan yang dilakukannya itu, adalah jelas ia suatu bentuk kesalahan yang serius dan dengan itu, jika didapati bersalah, sudah barang tentu hukumannya juga adalah berat.

Dalam hal ini, adalah tidak mustahil, jika didapati bersalah, Muhyiddin boleh diambil tindakan sama ada digantung keahlian atau dipecat daripada Bersatu.

Oleh kerana Muhyiddin sekarang sudah menjadi Perdana Menteri, bagaimana dengan kedudukannya jika beliau akhirnya dipecat daripada Bersatu?

Adakah rakan-rakan dalam PN akan menolaknya juga sebagai Perdana Menteri kerana beliau sudah jadi tidak berparti?

Atau, dengan pemecatan itu akan mendorong Muhyiddin memilih untuk kembali menyertai UMNO?

Jika beliau masuk UMNO, adakah semua penyokongnya dalam Bersatu, termasuk yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, turut sedia menyertai UMNO? (Shahbudindotcom 18/05/2020)

PN Johor goyah, kini Aminolhuda perlu diberi peluang

HARUN ZAKARIA
Krisis kemelut politik di Johor masih belum reda walaupun ada yang menganggap perkara itu seperti telah selesai. Namun sebahagian pemain politik kini sudah dapat mengagak apakah yang akan berlaku di negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia itu.

Desas-desus wujud Adun dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri yang masih kurang senang dengan pemerintahan diketuai oleh Umno kian kuat berkumandang.

Dapat diketahui Adun tersebut juga telah dipinang untuk beberapa jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya. Namun, prinsip Adun berkenaan sukar untuk digugat bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) kembali.

Secara umum kita mengetahui bahawa PH Johor telah melantik Aminolhuda Hassan sebagai Ketua Pembangkang dan ia sebagai simbol bahawa Adun Parit Yaani itu kini mengetuai barisan PH di Johor secara tidak langsung.

‘Salute’ boleh berikan kepada DAP yang mampu memeberi peluang kepada AMANAH walaupun mereka mempunyai Adun Melayu (sekiranya ia syarat untuk menjadi Ketua Pembangkang) Sheikh Omar Bagharib Ali dan ia menunjukkan jiwa besar parti tersebut.

Inilah semangat setiakawan dalam gagasan yang terbina atas dasar kejituan mendahulukan rakyat di negeri ini. Berbalik kepada individu bernama Aminolhuda, tidak salah untuk kita katakan bahawa selayaknya Pengerusi AMANAH Johor ini diberi peluang menjadi Menteri Besar jika gerakan PH negeri berjaya mendapatkan semula pentadbiran negeri tersebut.

Hal ini jelas sepertimana ‘fatwa Muhyiddin Yassin’ seperti kata Amni Jagat dalam tulisannya yang sebelum PRU-14 berjanji bahawa MB Johor akan diberikan kepada tiga parti AMANAH, PKR dan PPBM yang memenangi kerusi paling banyak.

Aminolhuda (tengah) ketika sidang media PH negeri pada Februari lalu.

Ternyata keputusan PRU-14 telah membuktikan AMANAH paling banyak memenangi kerusi dengan sembilan kerusi berbanding PPBM (8) dan PKR 5 kerusi. Jelas, perancangan jahat Muhyiddin dengan menghalalkan cara memasukkan tiga Adun Umno ke dalam PPBM membuatkan kononnya parti itu mendapat kerusi yang banyak berbanding AMANAH dan PKR.

Oleh kerana semangat setiakawan, AMANAH yang diketuai Aminolhuda tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan memberi peluang kepada PPBM untuk menjadi MB di Johor. Perkara itu turut berulang dengan isu peletakan jawatan Osman Sapian sebagai MB pada April tahun lalu. Sekali lagi, Aminolhuda memegang semangat setiakawan dengan menyokong lantikan MB dari PPBM iaitu Sahruddin Jamal.

Aminolhuda sebagai Penyelaras PH Johor telah lama berkorban demi kesejahteraan PH serta rakyat dengan membunuh sifat mementingkan diri sendiri dan berjiwa besar terhadap semangat tersebut.

Kini, sudah tiba masanya untuk beliau dihargai serta diberikan peluang untuk mengemudi barisan kepimpinan baharu dalam pembentukan semula gerakan mendapatkan mandat rakyat semula.

Pengalaman bekas Exco kerajaan negeri itu bukannya baru sekarang wujud. Beliau telah lama berkhidmat serta mengorbankan masa, keringat dan sebagainya demi perjuangan sewaktu beliau dalam Pas lagi.

Harus dikenangkan jasa Aminolhuda yang mengemudi barisan Pas di Johor untuk membawa prinsip mendaulatkan rakyat dengan bersama kepimpinan yang lain menubuhkan AMANAH ketika itu. Selain itu, beliau juga antara jurutera politik di Johor yang mengagaskan PH ketika itu bersama-sama PKR dan DAP.

Dalam perbincangan berkenaan dengan kerusi antara ketua-ketua PH Johor, beliau turut berusaha mendapatkan kerusi serta memberi peluang kepada pemuda, pemudi dan wanita di negeri untuk bertanding.

Ini menunjukkan kewibawaan beliau dalam menguruskan parti sehingga Johor menjadi tempat di mana parti AMANAH memenangi kerusi Dun terbanyak di Malaysia.

Kepimpinan beliau terserlah utuh dan perlu juga dinyatakan di sini, sewaktu menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda turut memikirkan soal pembangunan insan dengan ideanya mewujudkan Universiti Johor.

Ketokohannya kini sudah memadai untuk menyatakan bahawa beliau layak untuk dilantik sebagai MB Johor sekiranya perubahan berlaku di negeri berkenaan.

Sememangnya AMANAH di Johor memiliki pemimpin yang hebat dan bermanfaat kepada rakyat seperti Datuk Seri Salahuddin Ayub, Sr Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat, Dr Sulaiman Mohd Nor, Ir Khairuddin A Rahim, Nor Hayati Bachok, Ir Dr Faizul Amri Adnan dan ramai lagi.

Kini hanya menanti detik untuk gerakan mengambil alih kuasa semula berlaku dan apa yang pasti PN di Johor hari ini hanya menanti untuk berpecah.

Kepimpinan yang diketuai oleh Hasni Mohamed hari ini dilihat lemah dalam menguruskan kesesuaian di antara komponen mereka.

'Hampir mustahil' kerajaan PN kekal hingga PRU15, - Anwar

Usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, bagaimanapun ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) "hampir mustahil" akan kekal sehingga PRU akan datang.

Ditanya berkenaan jangkaannya jika kerajaan itu kekal sehingga tamat penggal ini, iaitu selama tiga tahun lagi, Anwar dalam wawancara bersama Bloomberg Television berkata: "Hampir mustahil. Tetapi bagi pembangkang, saya fikir apa yang penting adalah komitmen kita terhadap agenda reformasi."

Anwar turut mendakwa kerajaan PN "takut" terhadap kemungkinan usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan berjaya, seperti yang dilihat dalam langkah mengehadkan sidang Dewan Rakyat semalam kepada titah diraja Yang di-Pertuan Agong.

"Jika kerajaan sekarang ada keyakinan (sokongan majoriti), mereka akan mengadakan sidang Parlimen seperti lazimnya. Mereka tidak berbuat demikian.

"Mereka takut undi tidak percaya akan berjaya," katanya.

Aturan tempat duduk sidang semalam menunjukkan Muhyiddin mempunyai sokongan 114 anggota Parlimen, walaupun Anggota Parlimen Sri Aman Masir Kujat kemudian menjelaskan beliau masih sebahagian daripada pembangkang.

Ditanya sama ada beliau akan dinamakan sebagai perdana menteri atau tidak jika usul itu berjaya, Anwar hanya berkata beliau kini dalam usaha mengukuhkan pihak pembangkang dan komited terhadap agenda reformasi.

"Ini bukan isu personaliti. Orang cenderung untuk bercakap tentang personaliti.

"Kami di sini, kami terima mandat untuk melaksanakan pembaharuan struktur di negara ini," katanya lagi.

Beliau yang juga pengerusi PH berkata, rakyat Malaysia akan terus menggesa ke arah pembaharuan struktur dan bukan hanya perubahan kosmetik berkaitan individu yang dilantik ke tampuk kuasa.

"Rakyat bukan hanya mahu kita ambil alih. Ambil alih untuk apa? Hanya untuk tukar menteri?

"Pengambilalihan (adalah) melaksanakan pembaharuan yang berkesan. Bagi memastikan cukuplah dengan rasuah, pembaziran, kronisme dan kompromi terhadap kedaulatan undang-undang," katanya, selain menekankan kepentingan sistem untuk menjaga kebajikan majoriti.

Kerajaan PN-Muhyiddin goyah, rujuk balik mandat rakyat PRU-15

AHMAD LUTFI OTHMAN
Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat cukup bilangan sokongan ahli Dewan Rakyat, hanya berdasarkan kedudukan kerusi di Parlimen atau bukti Akuan Berkanun (SD), isu kerajaan pintu belakang masih belum selesai.

Terbukti semalam, ada wakil rakyat yang duduk sebelah blok penyokong kerajaan, rupa-rupanya pembangkang. Lagi pula, anggaran sokongan cukup tipis, tidak lebih 113, majoriti dua undi!

Dan kalau berlaku pengundian, belum tentu lagi sokongan “cukup makan” itu dapat bertahan. Mungkin ahli-ahli Parlimen Umno pun ada yang menolak Muhyiddin serta memihak Mahathir atau Anwar dalam diam. Apa lagi ahli Parlimen Bersatu (asal) yang sudah terkesan dengan sikap sombong Umno dan mahu kembali sebagai parti dominan kerajaan.

Kalau usul undi tidak percaya kepada perdana menteri akhirnya dapat dibentang di Parlimen juga, dan kemudian ditolak kerana penyokong Muhyiddin lebih ramai, maka isu pengkhianatan-pembelotan dan pencabulan mandat rakyat juga masih belum selesai.

Isu terpenting bukan “cukup bilang” atau tidak, ia menyangkut persoalan dasar, kerajaan ini hasil rampasan kuasa. Tapi kudeta yang sah di sisi undang-undang atau Perlembagaan.

Dijangka menghampiri sidang Parlimen akan datang, episod sarat dengan sogokan dan tawar-menawar menjadi lebih rancak lagi. Malangnya, kepentingan rakyat dan negara akan terus terabai. Pandemik Covid-19 hanya menjadi perisai membentengi kerajaan yang rapuh ini.

Sehingga kini, tiada sebarang pakej rangsangan ekonomi atau pelan menghadapi wabak maut ini yang dibahaskan secara menyeluruh di Parlimen. Impak dahsyat koronavirus ini masih belum dihalusi secara tuntas.

Apatah lagi apabila kerajaan tebuk atap ini masih tidak dapat melalui proses semak- imbang di Dewan Rakyat, lagilah keabsahannya akan terus dipertikai. Muhyiddin terus disibukkan untuk membeli sokongan dengan mengagih-agihkan habuan dan ghanimah; tiada lagi usaha pembaharuan atau pemulihan tanah air tercinta, juga penggubalan polisi awam atau pelaksanaan program bagi menyelesaikan kemelut rakyat.

Agenda reformasi Pakatan Harapan (PH) dahulu telah terbantut dan kemungkinan besar terbaral. Muhyiddin sentiasa dibelenggu rasa curiga, syak wasangka, tidak yakin diri, dan takut pada bayang-bayang sendiri.

Lagipun kerajaan ini tidak tidak berdiri atas apa-apa manifesto atau iltizam politik, hanya komplot jahat elit politik berkepentingan dan persefahaman sementara yang goyah.

Kerajaan PN hanya komplot jahat elit politik berkepentingan tanpa manifesto atau iltizam politik.

Selepas dua bulan merampas kuasa rakyat, selepas ahli-ahli Parlimen (yang tidak dapat masuk Kabinet lagi atau sudah penuh kuota timbalan menteri) diserahkan jawatan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan diwujudkan duta-duta khas bertaraf menteri, amat mengejutkan sokongan terhadap Muhyiddin tidak juga meningkat.

Kita masih tertanya-tanya siapa sebenarnya yang mengisi senarai wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin, yang diserahkan kepada Agong akhir Februari lalu.

Apakah ini petanda konflik politik mungkin berpanjangan, yang hanya dapat dirungkai dengan pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum mengejut. Lagi pun, Umno dan sekutu rapatnya, Pas, sudah lama yakin mereka akan menang besar dalam PRU-15.

Malah, semasa baginda Agong berjumpa kali pertama dengan wakil-wakil rakyat sejurus perdana menteri meletakkan jawatan akhir Februari lalu, kedua-dua parti Muafakat Nasional itu tidak mencadangkan sebarang nama calon PM, mereka mengusulkan Parlimen dibubarkan. Justeru, kemungkinan PRU-15 diawalkan tidak boleh ditolak.

Di samping mengukuhkan pengaruh parti masing-masing dan membersihkan daripada potensi pengkhianatan berulang, kerjasama politik sesama pembangkang harus dimurnikan.

Hubungan dua personaliti utama, Mahathir-Anwar mesti dijernihkan. Khususnya penyokong tegar ataupun penasihat mereka berdua, harus berjiwa lapang, dan mengambil iktibar daripada keruntuhan kerajaan PH. Masalah komunikasi yang meruncing itu nampaknya masih belum diuruskan dengan tuntas.

Ambil tindakan segera pada DAP

AMNI JAGAT
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Azam Mektar hari ini menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini untuk menyiasat tingkah laku parti Dap yang dituduh sebagai perosak bangsa Melayu

Beliau berkata, kenyataan yang selama ini dimomok berkenaan dengan parti Dap di negara ini hanya cakap kosong untuk pemimpin dari PN menghalalkan cara mereka merampas kuasa.

“Sekiranya Dap ini dituduh sebagai parti perosak bangsa Melayu, inilah masa terbaik kerajaan yang dikatakan Melayu untuk mengambil tindakan undang-undang dengan segera terhadap parti tersebut.

“Jangan hanya pandai berbicara kosong sekiranya tindakan tidak dijalankan. Sudah terang lagi bersuluh selama ini Dap hanya dijadikan bahan mainan untuk pemimpin PN memperbodohkan orang Melayu.

“Kita akui memang semboyan menyatakan Dap perosak Melayu itu berjaya dimainkan akibat dari kelonggaran dari segi media yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan kini sudah tiba masanya untuk pemimpin Melayu PN buktikan bahawa Dap itu perosak Melayu,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai khususnya masyarakat kaum Melayu untuk memikirkan soal tersebut secara rasional bukan dengan sifat anti perkauman atau emosi.

Katanya lagi, Dap bukanlah parti yang perlu ditakuti kerana pencapaian mereka dalam usaha membantu negara perlu dihargai.

“Selama ini momokan terhadap parti itu membuatkan ramai di kalangan kita menjadi emosi sehingga tidak dapat melihat kebaikan yang telah diusahakan oleh parti Dap.

“Antara contoh perkara yang berjaya diusahakan adalah rangsangan ekonomi, pentadbiran pengangkutan awam dan pelbagai lagi.

“Mengapa ketika ini kita tidak bersuara berkenaan dengan isu pelabuhan di negara ini yang mulai dikuasai oleh MCA? Perkara ini harus dipertimbangkan dengan adil bukan hanya menuding tanpa rasional.

Tambah Azam, isu itu menjelaskan apa yang disebarkan selama ini berkenaan dengan momokan Dap perkudakan PH serta merosakkan Melayu tidak wujud sama sekali dan ia hanya suara-suara golongan yang berkepentingan sahaja.

Rupanya majoriti 2 kerusi sahaja

Majoriti diperoleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkurang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat menjelaskan beliau sebenarnya menyokong pembangkang sama ada di peringkat persekutuan mahupun di Sarawak.

Dalam satu kenyataan petang ini, Anggota Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu menjelaskan beliau diberikan tempat duduk bersama penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pagi ini.

"Oleh kerana tempat duduk itu telah ditetapkan, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan untuk saya.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anggota majlis presiden PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri.

"Saya tidak seharusnya diatur oleh speaker untuk duduk dengan barisan ahli parlimen PN kerana PSB tidak menyokong PN," tambahnya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan susunan tempat duduk dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini menunjukkan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti mudah anggota parlimen.

Berdasarkan pelan tempat duduk di Dewan Rakyat yang dikeluarkan oleh kakitangan parlimen, seramai 114 ahli parlimen (termasuk Masir) duduk di blok kerajaan.

Ini bermakna Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) mempunyai kelebihan tiga kerusi parlimen berbanding majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Namun, dengan pengumuman Masir, sokongan perdana menteri turun kepada dua majoriti.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSB, George Lo berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan PSB adalah parti komponen gabungan GPS.

"Ini tidak betul sama sekali. Kami tidak sokong GPS.

"Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang kami akan bertanding di 65 kerusi menentang GPS.

"PSB akan menjadi alternatif kepada GPS untuk rakyat Sarawak," katanya kepada Malaysiakini menerusi hantaran WhatsApp.

Muhyiddin ada majoriti 3 kerusi

Andrew Ong

Susunan tempat duduk untuk persidangan Dewan Rakyat hari ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti anggota parlimen.

Plan, oleh staf Parlimen, menunjukkan bahawa terdapat 114 anggota parlimen yang menyokong kerajaan semasa.

Ini bermaksud Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) berjaya mentadbir negara dengan majoriti tipis tiga undi.

Muhyiddin akan melakar sejarah sebagai PM yang dilantik dengan majoriti paling tipis selepas Dr Mahathir Mohamad (Bersatu-Langkawi) pada Mei 2018 (dengan majoriti 10 kerusi).

Senarai ahli parlimen kerajaan, disusun mengikut abjad mengikut parti, terdapat dalam jadual berikut.

https://infogram.com/perikatan-nasional-mps-as-of-may-18-2020-1h9j6qny3g7y6gz
Dengan itu, buat masa ini, persoalan apakah Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat tidak lagi perlu diperdebatkan.

Ujian sebenar akan timbul pada bulan Julai apabila Dewan Rakyat bersidang semula selama 25 hari, dengan membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Antara yang menarik tumpuan pada Julai nanti adalah usul tidak percaya yang akan dikemukakan oleh Mahathir terhadap Muhyiddin.

Harus dinyatakan meskipun kedua-dua mereka mewakili parti yang sama, Mahathir duduk di bangku pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun kemungkinan untuk menyaksikan usul pembangkang dibentangkan adalah tipis, namun cabaran sebenar Muhyiddin adalah memastikan semua 114 anggota parlimen kerajaan berindak dalam hala yang sama.

Kegagalan mendapatkan undi bagi meluluskan sebarang rang undang-undang kerajaan akan memberi isyarat bahawa Muhyiddin tidak lagi menikmati sokongan majoriti.

Muhyiddin terpaksa bergantung pada hulubalangnya, Azmin Ali (Bersatu-Gombak) untuk memastikan kehadiran maksimum sebagai ketua whip kerajaan.

Menurut plan tempat duduk, bangku pembangkang akan terdiri daripada 107 ahli parlimen - Upko (1), Bersatu (5), Warisan (9), Amanah (11), PKR (39) dan DAP (42).

Tersepit di antara kedua bangku itu adalah Baru Bian (Bebas-Selangau).

Baru adalah antara ahli parlimen yang tidak tetap pendiriannya semasa "Langkah Sheraton” pada akhir Februari, awalnya menolak Pakatan Harapan tetapi kemudiannya bersetuju supaya gabungan itu menyokong Mahathir sebagai perdana menteri.

Sebagai wakil rakyat Bebas, dia tidak terikat dengan mana-mana pihak dan kecenderungannya tidak dapat ditentukan.

Setakat ini, Baru menunjukkan minat terhadap Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti dikatakan mesra dengan Gabungan Parti Sarawak.

Ahli parlimen lain yang tidak tetap pendiriannya semasa "Langkah Sheraton” adalah Masir Kujat (PSB-Sri Aman), yang kini duduk di bangku pemerintah.

Broker terima ganjaran jutaan ringgit jual nama bekas setpol Khalid

ARIF ATAN
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberitahu seorang ‘broker’ telah menggunakan nama bekas setiausaha politiknya, Azli Yusuf.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu malam tadi berkata, penahanan Azli ekoran aduan sebuah syarikat arkitek yang mendakwa menerima Arahan Pembangunan (DO) palsu daripada seorang “broker”.

“Bekas SU Politik saya, Hj. Azli, direman polis semalam atas aduan sebuah syarikat arkitek yang diberi DO palsu oleh seorang ‘broker’.

“Broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Hj. Azli yang kononnya telah mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya,” katanya di Twitter.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu tidak boleh menceritakan lebih lanjut tentang kes tersebut memandangkan masih dalam siasatan polis.

“Saya diberitahu broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama (Azli) ini.

“Kepercayaan ‘cash is king’ memungkinkan broker berjaya. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya,” tambah Khalid lagi.

Terdahulu, setpol kepada bekas menteri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 53 tahun dilapor ditahan polis pada 15 Mei lalu.

Dia didakwa terbabit dengan kes penipuan untuk mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan membabitkan kerugian RM1 juta.

Seorang arkitek berurusan dengan lelaki dipercayai bergelar Datuk serta isterinya masing-masing berusia 66 dan 43 tahun bagi mendapatkan kelulusan perancangan bangunan pembangunan pada awal Jun tahun lalu, lapor Harian Metro.

Akhbar itu juga memberitahu pasangan suami isteri itu adalah orang tengah kepada setpol tersebut yang didakwa menyediakan dan menyerahkan dokumen disyaki palsu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabah pula akan tumbang kepada PN?

Jason Santos
KOTA KINABALU:
Susulan munculnya beberapa kenyataan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi bahawa kerajaannya pula akan jatuh berikutan tumbangnya sekutu beliau di Putrajaya Februari lepas.

Ini berikutan langkah pemimpin Warisan, dan juga PKR, DAP dan Upko, yang berada dalam kerajaan negeri, mengisytiharkan sokongan mereka kepada Shafie.

Mereka juga menolak desas-desus mengenai perubahan kuasa di Sabah pada Julai.

Bagaimanapun penganalisis politik negeri, Lee Kuok Tiung mempersoalkan keperluan pemimpin menafikan tentang “desas-desus itu, melainkan ada kebenarannya”.

“Tujuan kenyataan bersama itu dibuat juga pelik, malah ia akan menimbulkan lebih banyak desas-desus,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu kepada FMT.

Wujud spekulasi bahawa 16 Adun akan berubah sokongan kepada parti pembangkang di negeri itu seperti yang berlaku di Kedah, Johor, Perak dan Melaka, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri PH tumbang berikutan kemunculan kerajaan persekutuan yang dikuasai oleh Perikatan nasional (PN).

Beberapa pemimpin PPBM dan Umno Sabah enggan mengesahkan atau menafikan sama ada mereka terlibat dalam perbincangan mengenai perubahan sokongan itu.

Namun begitu Lee berkata, kemungkinan berlakunya perubahan di Sabah tidak boleh ditolak sama sekali.

Katanya terdapat tanda bahawa landskap politik di negeri itu akan berubah, selain menambah ia juga bergantung pada keputusan perbicaraan kes kesahan jawatan ketua menteri yang difailkan di Mahkamah Persekutuan oleh bekas ketua menteri Musa Aman.

“Selain itu wujud juga pihak yang masih tidak senang dengan pemimpin Warisan yang sebelum ini disiasat kerana rasuah,” katanya.

Dengan 17 kerusi, pembangkang Sabah memerlukan sokongan tambahan sekurang-kurangnya 15 Adun bagi meraih suara majoriti untuk membentuk kerajaan. Pembangkang dikuasai bekas ahli Umno yang berpindah kepada PPBM.

Blok Warisan-PH menguasai 43 kerusi di Dewan Undangan Negeri, termasuk 31 daripada Warisan, 6 DAP, 4 Upko dan 2 PKR.

Sabah menjadi negeri pembangkang pada 1990-an di bawah PBS.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperoleh kuasa berikutan perpindahan Adun pada 1994, iaitu setelah Umno masuk ke Sabah.

Khalid Samad sahkan bekas pembantunya ditahan polis

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengesahkan bekas setiausaha politiknya, Azli Yusuf ditahan polis semalam dan kini sedang direman.

Khalid berkata, penahanan itu berdasarkan aduan daripada sebuah syarikat arkitek yang mendakwa menerima Arahan Pembangunan (DO) palsu daripada seorang "broker".

Anggota Parlimen Shah Alam itu mendakwa broker berkenaan menggunakan nama Azli yang dikatakan telah mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya.

"Saya tidak boleh menceritakan lebih dari itu kerana kes ini masih dalam siasatan polis.

"Saya diberitahu broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah jual nama (Azli) ini.

"Kepercayaan 'cash is king' memungkinkan broker berjaya. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya," katanya di Twitter.

Perkara tak masuk akal (Wajib baca)

Pengkhianatan bos GLC terhadap orang Melayu miskin
KITA kerap mendengar ahli politik menipu rakyat, dan mencuri wang negara. Terdapat banyak contoh pada masa ini bagaimana ramai ahli Parlimen yang sedang menghadapi kes rasuah di mahkamah dilantik sebagai menteri mahupun sebagai pengerusi syarikat kerajaan. Mereka ini dapat diibaratkan seperti ular sawa menjaga reban ayam.

Namun ramai yang tidak sedar bahawa terdapat juga CEO GLC yang mengambil kesempatan di atas keringat rakyat. Mereka tanpa segan silu tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat yang makin ditindih kesempitan.

Mereka ini bagaikan dewa-dewa di kayangan yang tidak mengendahkan nasib anak bangsa.

Semua maklumat yang saya kupas di bawah adalah dalam pengetahuan umum, dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan syarikat berkenaan. Rakyat boleh semak penyata berkenaan.

Biar saya berikan contoh.

Pada tahun 2018 selepas PRU14, ahli lembaga pengarah Tabung Haji yang baharu terpaksa berhempas pulas membawa institusi keramat itu ke landasan yang betul. Institusi itu telah dirompak berkali-kali ketika zaman BN, kerugiannya berbilion ringgit.

Beberapa laporan kepada pihak polis dan SPRM juga sudah dibuat, hanya menunggu perbicaraan di mahkamah.

Akibat kerakusan perompak ketika itu, rakyat terpaksa menerima padah. Hasilnya, hibah untuk pencarum Tabung Haji untuk tahun 2018 hanyalah 1.25%, yakni terburuk dalam sejarah negara.

Rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Kadazan mahupun Iban dan semuanya terpaksa “bail-out” Tabung Haji sebanyak RM19 bilion.

Tetapi, pada masa yang sama, gaji CEO anak syarikat Tabung Haji tidak terjejas, tidak sejajar dengan apa yang berlaku. Malah, CEO makin tamak dan rakus terutamanya syarikat milik Tabung Haji seperti Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, dan Bank Islam Holdings Berhad.

Ketika seorang mak cik di kampung mendapat hibah 1.25% dan terpaksa menunggu berpuluh tahun untuk menabung RM10,000 untuk menunaikan haji, pendapatan CEO syarikat Takaful Malaysia iaitu Mohamed Hassan Kamil adalah bersamaan dengan RM903,000 sebulan ataupun RM10.84 juta setahun.

Kegilaan apakah ini? Bertahun-tahun beliau menerima imbuhan tak masuk akal ini?

Yang lebih menjijikkan, pendapatan beliau pada tahun 2019 naik hampir 17%, menjadikan purata pendapatan bulanan beliau tahun lepas adalah RM1.05 juta SEBULAN!

Ini menyamai pendapatan bersamaan RM30,000 sehari, manakala majoriti simpanan penabung haji yang menabung berpuluh tahun tidak pun sampai RM700! Gaji CEO ini untuk satu hari adalah bersamaan dengan tabungan seumur hidup penabung.

Kenapa ini dibiarkan berlaku?

Mari kita lihat pula sebuah lagi anak syarikat Tabung Haji iaitu BIMB Holdings Berhad. CEOnya adalah Mohd Muazzam Mohamed. Berapakah pendapatan beliau pada tahun 2018 ketika Tabung Haji membayar 1.25% hibah kepada orang Melayu yang miskin? RM3.12 juta setahun. Naik 2.7 kali ganda dari pendapatan beliau pada tahun 2017 iaitu RM855,000. Ketika Tabung Haji sudah hampir runtuh, CEO anak syarikat mendapat kenaikan gaji berganda-ganda!

Mereka ini mendapat gaji hasil dari titik peluh nelayan petani pesawah yang bersusah payah menyimpan sikit demi sedikit untuk menunaikah haji.

Harus diingatkan, untung Tabung Haji pada tahun 2018 jatuh 50% dari tahun sebelumnya, namun mereka ini tanpa segan silu masih menerima gaji yang amat tinggi. Adakah masuk akal pendapatan RM900,000 sebulan! Tidak bukan?

Tidakkah ini satu yang sepatutnya memalukan?

Kenapakah pihak ahli Lembaga Pengarah tidak bersuara? Melihat kepada laporan tahun BIMB, jawapannya jelas: mereka juga mendapat habuan yang menggiurkan. Jumlah imbuhan untuk ahli lembaga pengarah di Syarikat Takaful adalah hampir RM1.5 juta, manakala untuk BIMB Holdings mendapat RM4.1 juta.

Pengerusi BIMB Holdings mendapat RM375,000, manakala ahli Lembaga Pengarah yang lain masing-masing mendapat di antara RM375,000 hingga RM768,000 setahun. Mereka bersuka ria dengan habuan yang tidak masuk akal.

Bagaimanakah caranya untuk menaikkan hibah untuk makcik penoreh getah, pakcik pesawah padi yang begitu ciput sekali? Arghhh, persetankan! Yang penting aku sebagai CEO dapat habuan hampir RM1 juta sebulan.

Inilah barah yang sedang meresapi tubuh ahli profesional Melayu di GLC. Rata-rata mereka ini kluster di kayangan.

Lihat pula anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNB). Majoriti penyimpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) hanya mempunyai simpanan tidak sampai RM1,000 tetapi CEO anak syarikat mendapat habuan yang melampau. Contohnya, CEO Maybank, milik PNB.

CEO Maybank adalah Farid Alias, yakni CEO sejak 2013. Beliau ini juga adalah pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia yang mengeluarkan kenyataan bahawa faedah ketika monotarium harus dikenakan. Pendapatan beliau tahun 2019? Hampir RM7.6 juta setahun ataupun RM630,000 sebulan!

Majoriti penyimpan di ASB hanya ada RM1,000 dalam simpanan, bermakna mereka harus menyimpan RM1,000 setahun selama 630 tahun baru bersamaan dengan gaji beliau sebulan.

Bagaimana pula dengan syarikat Sime Darby milik PNB? Laporan tahunan Sime Darby Plantation (SDP) ada menunjukkan imbuhan kepada CEOnya iaitu Mohd Bakke Salleh, bekas Pengerusi 1MDB, yang baru mendapat habuan menjadi Pengerusi Telekom.

Ketika beliau menjawat kedudukan sebagai CEO di Sime Darby Plantations (SDP) pendapatan tahunan beliau hampir RM8 juta setahun. Pendapatan beliau selama menjadi CEO di situ dari tahun 2011 hingga 2017 adalah RM64 juta!

Yang menghairankan, ketika beliau menjadi CEO pada tahun 2011, simpanan tunai di SDP adalah hampir RM5 bilion, tetapi ia merosot kepada 500 juta pada 2018, manakala hutang naik kepada RM15 bilion!

Tidakkah ini sesuatu yang memalukan? Tidakkah ini namanya tamak? Harus diingatkan, dividen ASB pada tahun lepas adalah yang terburuk dalam sejarah. Adakah CEO ini semua peduli? Argghh, persetankan saja.

Syarikat milik kerajaan iaitu Khazanah Nasional juga sama. Dua kali lima. CEO anak syarikat mereka mendapat habuan melimpah ruah. Akhbar The Star pernah melaporkan bahawa pada tahun 2018, pendapatan CEO syarikat IHH Berhad adalah RM33 juta setahun! https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/05/07/five-glcs-among-20-listed-firms-with-highestpaid-ceos/
Kegilaan apakah ini? Yang menariknya, CEO itu adalah warganegara Singapura. Harus diingatkan juga, Khazanah melaporkan kerugian RM6.27 bilion pada tahun 2018. Adakah CEO peduli? Argghh, persetankan sekali lagi!

Salah sebuah syarikat milik Khazanah ialah CIMB Bank. CEO pada tahun 2018 tidak lain dan tidak bukan adalah Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional iaitu Tengku Zafrul Aziz. Beliau bangga berkata di stesen TV Astro Awani bahawa Mak Cik Kiah tidak perlu membayar faedah (selepas itu beliau u-turn dan menyalahkan Bank Negara Malaysia). Pendapatan beliau pada tahun 2018 adalah RM8.6 juta setahun ataupun RM717,000 sebulan.

Adakah mereka ini faham apa yang dihadapi oleh rakyat marhaen seperti Mak Cik Kiah?

Apabila kita meneliti laporan tahunan yang lain, jelas yang kaya terus kaya atas keringat rakyat. Pendapatan CEO Khazanah sebelum ini dikatakan hampir RM650,000 sebulan. Pendapatan CEO syarikat milik Khazanah juga mengila, CEO Axiata Berhad mendapat hampir RM 7 juta setahun, sedangkan pada tahun yang sama Axiata Berhad melaporkan kerugian RM7.64 bilion.

Ramai lagi CEO yang rata-rata orang Melayu tidak mahu berkongsi kesusahan rakyat. Tiada seorang pun yang menawarkan potongan gaji mereka.

Ketika pekerja hilang mata pencarian, bergelut mencari nasi dan susu untuk keluarga, dan wang simpanan makin susut, CEO KWSP masih boleh senyum gembira setiap hujung bulan.

Berdasarkan laporan tahunan KWSP terkini, gaji CEO dan timbalannya mencecah RM6.1 juta tahun lepas, ataupun purata hampir RM130,000 seorang ataupun RM4,300 sehari. Bandingkan gaji mereka dengan fakta bahawa 1 dalam 5 penabung di KWSP mempunyai simpanan untuk hari tua hanya RM7,000 sahaja!

Ketika harga minyak jatuh dan keuntungan Petronas makin turun, pihak atasan di Petronas masih di kayangan. Gaji CEO Petronas juta hampir RM8 juta, malah dengan imbuhan yang menarik. Pernah dilaporkan bahawa antara imbuhan CEO adalah Petronas membayar setiap tahun kos percutian CEO dan keluarga ke mana sahaja di dalam dunia sebanyak RM300,000 setahun. Wow!

Ini berbeza dengan 10 tahun yang lalu. Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia pada Oktober 2004, bekas presiden Petronas berkata ketika zaman beliau, elaun ahli lembaga pengarah RM3,000 sebulan. Kini dikatakan keseluruhan secara purata mencecah RM40,000 sebulan!
http://www.alumniuitm.org.my/site/?p=10755

Sebagai perbandingan, gaji CEO bank terbesar dunia iaitu Industrial and Commercial Bank of China Ltd (ICBC) hanyalah RM380,000 setahun, ataupun RM32,500 sebulan! Bandingkan dengan CEO Maybank, CIMB, Bank Islam dan yang lain.

Syarikat GLC Malaysia jauh lebih kecil dari ICBC, tetapi anehnya gaji mereka jauh lebih tinggi. Hairan bin ajaib.

Tiada seorang pun antara mereka yang dengan sukarela memotong gaji. Tidak ada langsung sifat menolong yang susah. Inikah sifat orang Islam?

Ada yang berkata, usahlah dengki. Mereka ini layak. Mereka ini Melayu Islam. Kau rakyat apa tahu?

Kalau kau tiada wang, pergi saja pajak gadai. Alhamdulilah, walaupun rakyat berbaris panjang berjela memajak emas perak untuk membeli makanan untuk anak isteri, menteri berkata ini benda positif kerana orang Islam celik fasal kewangan Islam. Aduh, beginikah, tuan mufti?

Difahamkan bahawa Dr Mahathir telah memotong elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarah badan-badan berkanun pada hujung 2019, dan CEO GLC yang dilantik oleh Lim Guan Eng ketika itu menerima gaji dan imbuhan yang lebih kecil dari apa yang mantan-mantan CEO terdahulu terima.

Namun, usaha Kementerian Kewangan untuk memotong gaji dan elaun pengerusi, ahli lembaga pengarah dan CEO di GLC menerima tentangan hebat dari mereka yang dilantik oleh rejim Najib, terutamanya GLC yang tersenarai di Bursa Saham.

Mereka mahu imbuhan yang lebih besar. Jika dipotong, bagaimana mahu ke London ketika musim sejuk nanti? Mana ada “kelas” bercuti di Malaysia tanpa salji?

Ya, aku CEO, aku “chairman”, maka aku hebat.

Amat jijik apabila mendengar mereka ini bertempik bahawa mereka berkhidmat bersama GLC kerana niat murni “national service”, tetapi tidak mahu gaji dan imbuhan dipotong langsung. Hipokrit, bukan? Cakap tak serupa bikin.

Kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kesemua mereka ini haruslah diberi gaji yang lebih kecil, dan simpanan dari pengurangan gaji mereka boleh disalurkan kepada anggota polis, tentera, bomba, jururawat dan doktor yang bertungkus lumus menyelamatkan negara. Ini lebih baik.

Tetapi rakyat usah berhajat tinggi, sekarang ini, apabila ahli politik menjadi pengerusi lantikan dan menteri kewangan seperti lebih menjaga bank, usah mimpi gaji mereka ini semua akan dipotong.

Nasib kau lah rakyat sekalian. – 16 Mei, 2020.

* Megat Shahrizal Amir adalah pembaca The Malaysian Insight.

Adakah lebai ini berani mengucapkan 'Melayu bacul' sekiranya Almarhum TGNA masih memimpin Pas

PAS jawab Dr M: Melayu bacul sahaja sanggup bersama DAP

PAS menyifatkan Melayu yang berani melawan DAP sebagai berprinsip, sebaliknya mereka yang bersekongkol dan mengikut telunjuk parti itu sebagai Melayu bacul.

Ia sebagai menyanggah kenyataan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa orang Melayu sekarang menjadi bacul kerana takut kepada DAP, sehingga sanggup memilih penyangak sebagai pemimpin.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata "Melayu minoriti" yang mengikut telunjuk DAP adalah bacul kerana sanggup berbuat demikian demi kuasa sementara.

"Orang Melayu melawan DAP adalah mereka yang berani melawan arus kerana tidak bersetuju dengan konsep yang dibawa DAP.

"Serta cubaan parti itu untuk merungkai segala kontrak sosial yang telah disepakati bersama selepas kemerdekaan.

“Mereka yang sebenarnya bacul adalah Melayu minoriti yang masih bersekongkol dengan DAP dan mengikut telunjuk parti itu semata untuk kuasa sementara," katanya lapor suara rasmi parti itu Harakahdaily.

Pada 12 Mei lalu, Mahathir yang juga pengerusi Bersatu menzahirkan rasa malu apabila orang Melayu percaya DAP boleh menghancurkan mereka.

Sebaliknya kata Mahathir Melayu hancur kerana membenarkan penyangak menjadi pemimpin yang dipercayai ditujukan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

"Saya amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan hancurkan kita orang Melayu jika ia berada dalam kerajaan Malaysia.

"Tetapi orang Melayu boleh hancur. Mereka akan hancur apabila membenarkan penyangak menjadi pemimpin. Pemimpin seperti ini - walaupun Melayu - akan menghancurkan orang Melayu.

"Kita tubuh sebuah parti Melayu untuk memperjuang nasib orang Melayu. Parti ini berjaya. Berjaya kalahkan British, mencapai kemerdekaan, membangunkan negara sehingga menjadi Harimau Asia.

"Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 Mei 2018, parti ini kalah," kata Mahathir.

Pada Mei 2018 BN yang dipimpin Najib ketika itu tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kepada PH yang diketuai Mahathir.

Dalam tulisannya itu, Mahathir mengakui orang Melayu mempunyai banyak kelemahan dan tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

"Kita dapati ramai juga orang Melayu yang miskin, yang terlibat dengan dadah, jenayah-jenayah tertentu dan rasuah," katanya lagi.

Sementara itu, Idris berkata orang Melayu yang sekongkol dengan DAP tidak sedar parti itu sedsng merencana agenda untuk terus berkuasa.

“Sedangkan DAP pula sedang merancang untuk berkuasa dalam jangka panjang,” katanya.

Idris yakin Mahathir lebih mengenali tindak tanduk DAP setelah 22 bulan memerintah negara bersama dalam kerajaan PH.

"PAS bersama Umno dan majoriti orang Melayu di negara ini berani menentang DAP kerana mempertahankan kedudukan Islam dan hak orang Melayu yang cuba dileraikan oleh DAP," katanya lagi.

Naib Presiden Pas terkena pukauan MCA, tertelan kail Umno

ARIF ATAN
Pemimpin kanan sebuah parti berlabel Islam sepatutnya membawa idea-idea keharmonian dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama, tegas Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Walau bagaimanapun, katanya, apabila seorang Naib Presiden Pas berpolitik dengan memainkan sentimen perkauman kedudukannya seperti seorang penyokong parti yang taksub atau digelar walaun.

“Walaupun dia Naib Presiden, tapi gaya fikir dia setaraf walaun. Dia berpolitik dengan mainkan sentimen perkauman. Dia dah lupa ke hadith asabiah?” soal Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu.

Beliau dipercayai mengulas reaksi Naib Presiden Pas, Idris Ahmad kelmarin yang menganggap Melayu yang berani melawan DAP sebagai berprinsip manakala mereka yang bersekongkol dan mengikut telunjuk parti itu sebagai Melayu bacul.

Idris menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu yang menggelarkan orang Melayu sekarang menjadi bacul kerana takut kepada DAP, sehingga sanggup memilih penyangak sebagai pemimpin.

Mengulas lanjut Ustaz Zolkharnain berkata, Naib Presiden Pas itu benar-benar dipukau MCA dan dalam masa masa telah terpancing dengan Umno.

“Dia dah betul-betul terkena pukauan MCA. Semua perkara yang MCA buat dia tak komplen termasuk tak mahu negara ini dikenali negara Melayu Islam.

“Dia dah tertelan kail Umno sampai ke usus. Dulu dia kata, nak lawan Umno belajarlah daripada Pas. Hari ini mungkin dia boleh kata, nak telan kail Umno belajarlah daripada saya.

“Cara berfikir dia sudah lebih Umno daripada Umno. Dulu dia kata, kerja saya lawan Umno. Kini mungkin dia boleh kata, kerja saya gilap (nak baca jilat pun boleh) Umno,” bidas Ustaz Zolkharnain dipetik dari Facebook miliknya.

Beliau juga secara sinis menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan sebarang jawatan kepada pemimpin kanan Pa itu.

“PN dah jadi kerajaan, berilah apa-apa jawatan sesuai bergaji kepada dia. Takkan nak biarkan pemimpin kanan Pas tak dapat apa-apa,” tempelaknya lagi.

Mukhriz: Daripada hidup biar mati berdiri

Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar berkuat kuasa serta-merta selepas tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata beliau sudah mengemukakan perkara itu kepada Sultan Kedah.

"Saya sudah sembah maklum kepada sultan atas sebab saya hilang majoriti, saya dengan ini meletak jawatan menteri besar berkuat kuasa serta merta," katanya dalam sidang media di Wisam Darul Aman hari ini.

Ini kali kedua Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan sebagai menteri besar selepas mengalaminya pada 2016 di bawah pentadbiran BN.

Mukhriz melepaskan jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) memiliki 23 daripada 36 kerusi Adun bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Ia setelah dua adun PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin, keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada PN pada 12 Mei lalu. Langkah itu disusuli dengan empat Adun Bersatu.

Sebanyak 23 akuan bersumpah (SD) daripada Adun Kedah juga dipersembah kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan mencadangkan calon baru menteri besar.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Adun Jerlun berkata beliau digulingkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.

Beliau berkata, dua sebab yang mungkin menjadi alasan kepada Muhyiddin untuk menggulingkannya dan kerajaan PH Kedah ialah usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Dr Mahathir Mohamad, serta keputusannya untuk bertanding bagi jawatan presiden dalam pemilihan Bersatu akan datang.

"Umum juga mengetahui saya mencabar jawatan presiden bagi merebut presiden Bersatu dan ayahanda Dr Mahathir cabar dengan undi tidak percaya di Parlimen.

"(Ini) Dua penyebab kenapa saya nak dijatuhkan sebagai menteri besar, jelas Muhyiddin di belakang," katanya lagi.

Katanya lagi, keputusan itu menyaksikan Bersatu hilang sebuah lagi negeri yang ditadbirnya selepas Johor, yang kembali diketuai BN.

"Saya langgar dia (Muhyiddin), dia tak berapa yakin maka ambil tindakan drastik cari cara nak gulingkan saya sebagai menteri besar...Saya mampu jatuhkan dia sebagai presiden parti," katanya lagi.

Mukhriz berkata beliau mempertahankan kerajaan PH di Kedah selari dengan prinsip Mahathir, selaku pengerusi Bersatu, yang enggan bersekongkol dengan Umno.

"Oleh kerana PAS bekerjasama Umno dalam Muafakat Nasional maka saya putuskan tidak menerima pelawaan untuk bersama PN Kedah.

"Lebih baik saya jadi pembangkang daripada gagasan politik yang dipenuhi skandal antarabangsa, daripada hidup biar mati berdiri," katanya lagi.

Pas perlu faham erti bacul

RAJA KAMRUL BAHRIN SHAH
Semalam Naib Presiden Pas, Ustaz Idris Ahmad, telah menuduh Tun Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) bacul kerana bekerjasama dengan DAP.

Banyak ironis atas tuduhan tersebut dua hari sebelum Parlimen pertama di bawah Perikatan Nasional (PN) dipanggil tanpa persidangan perbahasan diadakan.

Kalau sekadar memanggil pertemuan, supaya Parlimen tidak terbubar, tanpa perbahasan dibenarkan bukankah itu suatu tindakan bacul yang memalukan parti-parti komponen PN termasuk parti Pas sendiri di mata negara-negara antarabangsa?

Bukankah cara tertubuhnya Kerajaan PN melalui pintu belakang juga satu tindakan tidak bermaruah dan bacul kerana mereka tidak bersedia memerintah dengan restu rakyat melalui pilihan raya umum terbuka.

Kerajaan PN ditubuh melalui pintu belakang yang menunjukkan kebaculan mereka tidak bersedia mendapat mandat rakyat melalui pintu depan biasa melalui pilihan raya. Pas juga menyatakan masuk melaui tebuk atap rumah pun diizinkan tanpa melalui pintu hadapan dengan tidak memberi salam. Ini tidak mengikut ajaran Islam dan adat Melayu.

Ini adalah sikap bacul yang memalukan semua parti komponen PN.

Apabila MCA menemplak PN kerana mengelar PN Kerajaan Melayu Islam, Pas dan Umno hanya membisu.

Pas dan Umno yang mempunyai 56 orang MP di Parlimen berbanding dengan MCA yang mempunyai hanya 2 MP, tetapi mereka terlalu bacul untuk berhujah kembali dengan rakan minoriti MCA walaupun mereka mempunyai majoriti besar.

Dalam PH kami boleh berhujah secara demokratik dengan rakan-rakan lain tidak mengira bangsa, agama dan status. Tetapi dalam PN bilangan yang begitu besar MP dari Pas dan Umno tidak berarti kalau sikap bacul mereka seperti di atas diteruskan.

Siapakah Pas untuk menuduh Tun Mahathir bacul? Tun Mahathir telah berhujah dengan lantang dan berani di pentas dunia antarabangsa puluhan tahun berhadapan dengan kuasa besar dunia Amerika Syarikat, China dan Israel.

Rakyat di negara Arab dan Afrika serta dunia ketiga menyanjung tinggi keberanian Tun Mahathir bersuara bagi golongan tertindas dunia.

Sejak menjadi Kerajaan dan menteri ehwal Parlimen juga dari Pas, Pas yang dahulunya mendesak untuk kelulussn RUU 355 dan hukum hudud terus membisu dalam isu ini. Apabila kilang arak dibenarkan beroperasi semasa PKP, tiada ulama Pas yang membantah isu tersebut

Sekarang ini Pas kelihatan jaguh di kampung dan di luar bandar. Tetapi kalau berhadapan dengan 2 orang wakil MCA pun tidak berani dan mampu bersuara bukankah itu bacul namanya?

Janganlah hendak menidakkan pihak lain yang terbukti jauh lagi berani serta berjaya dihormati di persada antarabangsa selama puluhan tahun lamanya.

Rumusanya, tindakan PN tidak membenarkan apa-apa perbahasan langsung di Parlimen pada 18 Mei 2020 adalah tindakan yang teramat bacul.

* Raja Kamarul Bahrin Shah adalah Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional dan Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.

Covid-19: Hampir 4.6 juta dijangkiti dengan 310 ribu kematian di seluruh dunia

SEKURANG-kurangnya 309,296 orang terbunuh akibat Covid-19 sejak ia mula merebak di China Disember lalu, menurut angka rasmi yang diperoleh AFP.

Sebanyak 4,588,360 kes direkodkan di 196 negara dan wilayah. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 1,618,800 kes dianggap pulih.

Angka berkenaan diperoleh AFP daripada pihak berkuasa dan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya menunjukkan sejumlah kecil jangkitan berbanding jumlah sebenar.

Kebanyakan negara hanya menjalankan ujian ke atas kes yang serius.

Negara yang merekodkan angka kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam lalu adalah Amerika Syarikat, iaitu 1,247 kematian, diikuti Brazil dengan 824 dan Britain, 468.

Amerika turut mencatatkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi iaitu 87,991 daripada 1,456,029 kes. Sekurang-kurangnya 250,747 orang diisytiharkan pulih.

Britain mencatatkan kedua tertinggi, dengan 34,466 kematian daripada 240,161 kes. Ini diikuti oleh Itali dengan 31,763 kematian dan 224,760 kes.

Perancis merekodkan 27,625 kematian daripada 178,870 jangkitan. Sepanyol merekodkan 27,563 kematian daripada 230,698 kes.

Sementara itu, China—tidak termasuk Hong Kong dan Macau—mengisytiharkan 4,633 kematian daripada 82,941 kes. Ia turut merekodkan 78,219 kes pulih.

Eropah mencatatkan 165,407 kematian daripada 1,869,325 kes, Amerika Syarikat dan Kanada 93,749 kematian dan 1,531,799 kes, Amerika Latin dan Carribean merekodkan 27,374 kematian dan 482,581 kes, Asia 11,903 kematian dan 344,821 kes, Timur Tengah 8,057 kematian dan 271,426 kes, Afrika 2,680 kematian daripda 80,032 kes dan Oceania 126 kematian daripada 8,381 kes. – AFP, 17 Mei, 2020