"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri 4 'lembaga hitam' di stadium terjawab

Zulkarnain Azman
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Misteri Empat 'lembaga hitam' yang berada di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia antara PDRM FC dan Selangor FC, pada Khamis lalu akhirnya terjawab.

Kehadiran mereka itu bukanlah protes di atas penggantungan Faisal Halim selama empat bulan seperti yang didakwa beberapa penyokong Selangor sebaliknya ia promosi filem terbaharu berjudul 'Rahsia' yang bakal ditayangkan pada 10 Ogos ini.

Hal itu dapat dilihat apabila individu berpakaian serba hitam kelihatan hadir pada beberapa promosi filem berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan di media sosial baru-baru ini.

Untuk rekod, Rahsia adalah sebuah filem arahan Othman Hafsham yang menguasai pawagam pada 1987, diterbitkan sekali lagi dengan versi reboot atau penceritaan semula oleh anak sutradara tersohor berkenaan, iaitu Shamyl.

Rahsia yang diangkat Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, selain enam kategori lain pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-7, tampil dengan versi baharu yang membariskan pelakon terkenal iaitu Nabila Huda yang memegang watak Ramlah dan Fikry Ibrahim (Hamdan).
PROMOSI filem terbaharu berjudul ‘Rahsia’ yang bakal ditayangkan pada 10 Ogos ini. FOTO Ihsan Facebook Hot_Ice
PROMOSI filem terbaharu berjudul ‘Rahsia’ yang bakal ditayangkan pada 10 Ogos ini. FOTO Ihsan Facebook Hot_Ice
Dalam versi asal, watak Ramlah dibawa Noor Kumalasari, manakala Hamdan dilakonkan Allahyarham Shukery Hashim.

Pelakon lain Rahsia versi reboot adalah Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks, Nabil Zakaria dan penampilan istimewa, Othman serta Susan Lankester.

PRN: Dari Jeneri ke Alor Setar - Usaha Anwar lawan 'gelombang Sanusi' di Kedah

Isabelle Leong & Raveena Nagotra

Tidak jauh dari perlawanan bola sepak persahabatan yang disertai Muhammad Sanusi Md Nor di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berusaha meraih sokongan bagi melawan menteri besar sementara Kedah itu dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Sejumlah 3,000 penyokong dan pemerhati, merangkumi pelbagai kaum, memenuhi tempat ceramah dan memberi sambutan meriah kepada Anwar malam tadi. Ia merupakan lokasi ketiga Anwar di Kedah semalam.

Sentuhan Anwar nampaknya memang diperlukan dalam kempen PH-BN di Kedah, memandangkan dua gabungan itu tiada tokoh popular yang dapat menyaingi Sanusi.

Usaha Anwar bermula di laman Sanusi sendiri iaitu di DUN Jeneri. Dia tiba dengan helikopter kerajaan di Felda Teloi Timur, semalam.

Seramai 1,500 hadirin - sebahagiannya dibawa dengan 20 buah bas - menyertai Karnival Segalanya Felda bagi mendengar ucapannya.

Pada kira-kira jam 5.53 petang, ramai kanak-kanak dilihat teruja dan berkumpul di padang berdekatan untuk menyaksikan helikopternya mendarat.

Mereka kemudian berlari menuju Anwar, yang berpakaian baju Melayu biru muda dan songkok, untuk bergambar dengannya.

Walaupun ada pegawai menawarkan untuk membawanya ke khemah program, dia memilih untuk berjalan kaki sambil menyapa penduduk yang berada di situ.

Di atas kertas, Felda Teloi Timur bukanlah kawasan PH-BN, apabila sejumlah 58 peratus pengundi memilih PN pada PRU15.

Namun, ia merupakan satu daripada empat pusat daerah mengundi (PDM) di mana pengundi yang lebih tua berpihak kepada PH-BN (72.5 peratus).

Mungkin sedar dengan hal itu, kandungan ucapan Anwar kebanyakannya menyentuh hal-hal seharian yang dihadapi penduduk di Felda dan menegaskan komitmennya untuk memantau dan menyelesaikannya.

Dia antara lain memberi jaminan Felda akan kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri sehinggalah masalah-masalah berkaitannya diselesaikan.

“La ni Felda di bawah perdana menteri, sebabnya kerana masalah banyak dan saya tak mahu ambil sikit-sikit untuk selesaikan.

“Saya dah bagi mandat penuh kepada pengerusi Felda yang baru (Ahmad Shabery Cheek) kerana saya tahu dia ada keupayaan dan dia serius nak selesaikan masalah ini.

“…dan saya beritahu dia, saya kata jalan saja, kalau ada masalah bagitahu saya dan insya-Allah, saya akan cuba bawa perubahan sedaya upaya,” katanya.

Anwar turut membangkitkan isu harga getah sekerap - sumber pendapatan utama penduduk di Jeneri dan Sik - dengan berkata dia telah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram ketika membentangkan Belanjawan 2023.

Namun, dia berkata tidak boleh membuat pengumuman baru berkenaan harga pasaran getah sekerap semasa kempen, untuk mengelakkan masalah dengan SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, beberapa penoreh di Sik mengeluh berkenaan penurunan harga getah sekerap, yang pada masa ini pada kadar RM2.25 sekilogram.

Mengulas keluhan itu, Sanusi berkata kerajaan negeri tiada kuasa untuk mengawal harga komoditi itu kerana ia ditentukan oleh agensi di bawah kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjelaskan pihaknya tiada kuasa untuk menetapkan harga getah namun pada masa telah melaksanakan inisiatif agar pekebun kecil mendapat harga yang lebih baik.

Ketika berceramah di Felda Teloi Timur, Anwar turut menyenaraikan pencapaiannya dalam membantu peneroka sejak menjadi perdana menteri - antaranya pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion, menyediakan akses internet yang lebih baik, memperbaiki sekolah yang usang serta memasang lampu jalan.

"...berpuluh tahun (masalah ini), kita selesaikan baru berapa bulan? Lapan bulan, bayangkan kalau kita boleh pegang lima tahun,” katanya.

Isu pelupusan hutang menjadi pertikaian antara Anwar dengan Muhyiddin Yassin, dengan bekas perdana menteri itu mendakwa dia yang melupuskannya pada 2021.

Anwar turut menyerang Sanusi dengan berkata dia gagal menyelesaikan isu peneroka selepas kira-kira tiga tahun mentadbir Kedah.

Kira-kira jam 7.20 petang, Anwar bergerak ke Jitra - kira-kira 90 km dari situ - untuk menghadiri acara PH-BN yang dihadiri kira-kira 500 orang.

DUN Jitra disandang Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir yang tidak bertanding dalam PRN ini.

Dia tetap serius sepanjang program di Jitra, berbeza dengan lokasi ketiganya iaitu di Alor Setar.

Walau dengan jadual yang ketat, bermula jam 10 pagi di Kuala Lumpur, presiden PKR itu tampak bersemangat ketika tiba di lokasi ketiga kempennya.

Kali ini pendekatannya lebih santai ketika berceramah, dengan berjenaka yang disambut sorakan kira-kira 3,000 hadirin.

Dia turut berbahasa Mandarin ketika menyampaikan pesanan kepada pengundi Cina yang hadir, serta menyatakan betapa dialek tersebut adalah bahasa ekonomi di rantau ini.

Dalam ucapannya, yang dibuat di kawasan DUN Alor Mengkudu, Anwar cuba meyakinkan hadirin terhadap kerjasama BN-PH, antaranya dengan mengenakan jaket bewarna biru dan merah - warna yang sinonim dengan dua gabungan itu.

Rentak bertenaga Anwar diteruskan ketika tiba di Kupang, lokasi terakhir kempennya. Di sana, seramai 5,000 hadirin telah menunggu ketibaannya.

Ia diadakan di sekitar kawasan pasar malam, di lokasi yang mudah dihadiri pengundi DUN Kupang, Kuala Ketil serta kalangan yang tinggal di kawasan selatan Jeneri dan Belantek.

PN meraih paling kurang 60 peratus undi di kawasan-kawasan ini pada PRU lalu.

Sementara pendekatan Anwar berbeza dengan dua lokasi pertama, kebanyakan isu yang disampaikannya adalah sama.

Ia termasuklah penekanan terhadap rancangan untuk membangunkan ekonomi Kedah.

Membangkitkan Kedah yang menjadi antara negeri termiskin di Malaysia, Anwar berkata pendekatan segera - seperti menarik pelaburan - perlu dilakukan bagi memperbaiki kehidupan penduduk.

Ia termasuklah pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (TTTK) yang didakwa Anwar hasil usahanya, iaitu pelaburan RM29.4 bilion daripada Infineon Technologies AG untuk lima tahun akan datang.

Katanya, pelaburan tambahan menunjukkan keyakinan gergasi teknologi Jerman itu terhadap kestabilan kerajaan gabungan.

Bagaimanapun, ia mungkin menjadi satu lagi topik pertikaian antara Anwar dan Sanusi.

Pada Mei tahun lalu, Sanusi mengumumkan TTTK berjaya mendapatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion dalam tempoh lima tahun pertama tahun lalu, jaun meninggalkan sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM10 bilion untuk Kedah pada tahun itu.

Pada bulan lalu, Sanusi juga berkata Kedah menerima pelaburan berjumlah RM5 bilion untuk suku pertama tahun ini, menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan melepasi sasaran RM10 bilion setahun, disebabkan keyakinan dalam kalangan komuniti perindustrian.

Usaha pecah 'gelombang Sanusi'

Hubungan antara Anwar dan Sanusi kelihatan tegang sejak beberapa waktu, dengan Sanusi mendakwa Kedah dipinggirkan oleh persekutuan.

Sanusi juga menyindir gambar ikonik Anwar mengangkat tangannya ketika era Reformasi. Dia mengajuk gaya itu ketika didakwa atas dua pertuduhan menghasut sebelum ini, dan meneruskannya sepanjang kempen PRN.

Semalam adalah peluang Anwar untuk membalas serangan Sanusi - yang juga pengarah pilihan raya PN - di kubunya sendiri.

Dalam ucapannya, Anwar membidas Sanusi, antaranya dengan berkata dia seharusnya menjaga kata-kata memandangkan ia telah menyebabkannya dihadapkan dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

"Hang (Sanusi) langgar raja, hang maki aku hari-hari, okay buat sementara ini.

"Hang langgar raja, hang masuk mahkamah kemudian masuk jel. Bilik (penjara) aku dulu (kini) kosong," katanya ketika ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kupang malam tadi, disambut sorakan hadirin.

Mesej itu disambut baik, antaranya oleh Mad Daud Abdul Rahman, yang ditemui Malaysiakini selepas ceramah berakhir.

Lelaki berusia 59 tahun itu, yang berpakaian jubah dan kopiah, berkata dia beralih sokongan kepada PH-BN selepas PRU lalu.

"Dulu saya penyokong tegar PAS, tetapi sekarang kurang yakin pada PN dan PAS. Kita ini (amal) politik matang.

"Tengok pada kes mahkamah, kes rasuah. Bila mereka (pemimpin PN) ada kuasa dari segi kewangan dan pengurusan, mereka buat benda salah," kata pengendali pusat tahfiz itu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kini berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM232 juta.

Pertuduhan itu berkait dengan program Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika dia menjadi perdana menteri pada 2020. Program itu bertujuan membantu perniagaan bumiputera yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Pemimpin PN lain yang turut berdepan pertuduhan berkaitan Jana Wibawa adalah bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan timbalan pengerusi Bersatu Segambut Adam Radlan Adam.

Usaha Anwar untuk meningkatkan sokongan kepada PH-BN dan merampas Kedah daripada PN hanya akan diketahui pada 12 Ogos ini.

Buat masa ini, dia akan meneruskan kempen di negeri lain dan hari ini dia menyertai beberapa acara kempen di Pulau Pinang.

Kerajaan mahu perkenal sekolah khas untuk golongan paling miskin

Bernama

KEPALA BATAS: Kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

“Jadi, kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan (akademik) yang tidak memuaskan. Kita beri mereka peluang untuk belajar,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Beliau berkata, peluang pendidikan perlu diberikan secara saksama supaya tiada mana-mana golongan tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan yang memberikan hak pendidikan kepada semua orang.

Perdana menteri berkata, ketika ini masih terdapat kesenjangan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar seperti di Manik Urai, Kelantan serta Kapit, Sarawak.

Mengakui pendidikan antara cara untuk membawa keluar seseorang daripada belenggu kemiskinan, Anwar berkata ia penting dalam usaha meningkatkan mobiliti sosial yang menurutnya adalah “penghijrahan” bagi golongan miskin.

Justeru, beliau berhasrat untuk membawa perubahan dalam sektor pendidikan Malaysia bagi mempertingkat mutu pendidikan negara.

“Untuk menjayakan perkara ini, kita perlu kerjasama penuh daripada pelajar dan guru serta komitmen pelajar yang harus cemerlang dalam pelajaran mereka,” katanya.

Menjelaskan kepentingan pendidikan bagi sesebuah negara, Anwar berkata anak muda perlu menguasai pembelajaran dan menghidupkan amalan membaca yang semakin pudar dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata sehubungan itu, Belanjawan Madani memperuntuk perbelanjaan yang besar bagi sektor pendidikan kerana percaya negara lebih maju melalui penguasaan pendidikan oleh rakyatnya.

REE: Saifuddin setuju debat, Sanusi tolak

Malaysiakini

Personaliti televisyen Amin Idris memaklumkan tawarannya untuk mempertemukan dua tokoh politik dalam isu kecurian bahan nadir bumi (REE) di pentas debat telah dipersetujui Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, Amin berkata tawaran tersebut tidak disambut oleh menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

“Pihak Datuk Seri Saifuddin sudah bersetuju. Alhamdulillah. Dan tadi saya telah buat semakan susulan dengan pegawai Datuk Seri Sanusi dan beliau memaklumkan Datuk Seri Sanusi tidak setuju untuk hadir.

“Dan saya mohon semua hormati keputusan beliau,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, pengacara itu menawarkan diri untuk mempertemukan Saifuddin dan Sanusi di pentas debat.

Amin berkata ini selepas dia melihat Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN itu diasak bertalu-talu dalam isu kecurian REE di negeri yang ditadbirnya.

Menurutnya, The Amin Idris Show yang disiarkan di media sosial mencadangkan tarikh debat pada 7 Ogos depan atau bergantung pada persetujuan kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut, Amin berkata pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua pihak yang bekerjasama dengan baik sekali dalam memberi respon.

“Dan saya doakan yang terbaik untuk Datuk Seri Sanusi dan Datuk Seri Saifuddin,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin mendakwa Sanusi yang menerajui Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui kegiatan mencuri REE yang berlaku di Bukit Enggang, Sik.

Saifuddin mendedahkan gambar Sanusi bersama seorang warga negara China yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung kes kecurian sumber nadir bumi di Kedah.

Sebelum ini, Sanusi menafikan mengenali warga China itu tetapi kemudian mengakui pernah bertemu dengannya selepas Saifuddin mendedahkan gambar perjumpaan mereka.

Bagaimanapun, Sanusi berkata dia tidak terbabit urusan perlombongan itu kerana urusan warga China berkenaan dengan Pejabat Tanah dan Galian Kedah dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI).

Sanusi kemudian mengaitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pernah mempelawa Sanusi untuk berdebat menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan Kedah serta lima negeri lain pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun Sanusi - yang digelar 'panglima perang PN' oleh sesetengah pihak itu - menolak cabaran itu, berkata ia "tidak akan mengubah kedudukan ekonomi negara."

Bapa mabuk disyaki dipukul mati anak di Port Dickson

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anak dipercayai memukul mati bapanya yang mabuk dalam kejadian di Taman D’Ambang Kota, Lukut Port Dickson, tengah malam tadi.

Ketua Polis Port Dickson Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya menerima panggilan pada 12.45 tengah malam memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri di hadapan rumah.

Katanya, siasatan polis mendapati sebelum kejadian, mangsa yang mabuk telah bergaduh serta dipukul anak lelakinya.

“Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas hati mangsa mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketibaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa berusia 49 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dengan mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

“Suspek berusia 26 tahun didapati tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah,” katanya.

Aidi berkata, suspek kemudian direman lima hari sehingga 9 Ogos selepas ditahan pada 1.2 pagi tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

YDP Agong: Usaha martabat bangsa tak harus jerumus negara ke arah polarisasi

Bernama

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda mengingatkan perjuangan memartabatkan sesuatu bangsa tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan.

Seri Paduka bertitah, polarisasi akan wujud apabila kaum-kaum semakin merenggang di antara satu sama lain, sama ada disebabkan oleh perasaan, sikap, tujuan, dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan antara pelbagai kaum.

“Polarisasi turut membawa implikasi sosiobudaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Abdullah mengingatkan apa jua batasan pemisah, jurang perbezaan, dan lautan prasangka perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup dengan penuh keharmonian.

Menyentuh mengenai usaha murni UiTM untuk melahirkan anak bangsa Melayu dan Bumiputera yang berpendidikan tinggi, baginda mengingatkan universiti itu untuk tidak alpa dengan kemajmukan dan kerencaman masyarakat negara ini.

Baginda turut menyeru kepada semua universiti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini untuk turut sama memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.

“Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional,” titah baginda.

Agong bertitah, semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri-ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari dan tanpanya apa juga usaha ke arah membangunkan negara yang maju tidak akan menjadi kenyataan.

Baginda bertitah, istiadat konvokesyen ke-97 ini merupakan tugasan terakhir baginda sebagai canselor UiTM dan baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada universiti itu atas segala pengalaman manis dan berharga.

“Amanah besar sebagai canselor universiti ini selanjutnya akan dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17, bermula pada Februari 2024,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong berharap sepanjang hampir lima tahun yang berlalu, baginda telah dapat menyumbang sedikit sebanyak idea yang bernas ke arah kemajuan universiti keramat itu.

Lelaki pemegang kad UNHCR cabul warga emas berusia 71 tahun diberkas

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Tangkap layar memaparkan perbuatan suspek sebelum bertindak mencabul wanita warga emas di lot kedai Jalan Bunga Tanjung, Taman Muda di Ampang pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Azam
Tangkap layar memaparkan perbuatan suspek sebelum bertindak mencabul wanita warga emas di lot kedai Jalan Bunga Tanjung, Taman Muda di Ampang pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Azam
AMPANG - Perbuatan jijik seorang lelaki warga asing mencabul wanita warga emas di lot kedai Jalan Bunga Tanjung, Taman Muda, di sini mengundang padah apabila diberkas polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 71 tahun mengumpul kotak terpakai untuk dijual.

Menurutnya, tiba-tiba datang suspek yang bertindak meraba paha mangsa.

"Mangsa telah menegur perbuatan itu namun suspek terus melakukannya. Suspek kemudian membuka seluar dan baju lalu serta memegang kemaluannya sebelum menunjukkannya kepada mangsa.

"Setelah itu, suspek memeluk mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa menjerit meminta bantuan sebelum ditahan oleh orang awam yang datang membantu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pandan Indah yang tiba di lokasi kemudian membuat tangkapan semula pada jam 3.40 petang.

Katanya, suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai tukang sapu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Suspek yang didapati positif dadah itu juga mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan narkotik," ujarnya.

425 Pati ditahan, Jadikan pangsapuri ‘perkampungan’

Bernama
KUALA LUMPUR: Cubaan sekumpulan warga asing menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak ditahan Jabatan Imigresen (JIM), termasuk bersembunyi dalam tong sampah dan almari tidak berhasil apabila mereka ditahan dalam operasi di Pangsapuri Cheria Heights, Taman Bukit Cheras, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata serbuan itu hasil siasatan dan risikan selama dua minggu ekoran aduan orang awam berhubung jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

“Dalam operasi dijalankan 60 pegawai dan anggota JIM bermula 1 pagi dan berakhir 4 pagi, 425 pendatang tanpa izin ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, tinggal lebih masa atau tamat tempoh pas lawatan kerja sementara, selain pemegang kad tidak diiktiraf.

“Mereka yang ditahan merangkumi 372 lelaki dan 53 wanita, terdiri daripada warga Bangladesh seramai 252 orang, Myanmar (108), Filipina (dua), Indonesia (30), Kemboja (enam), Nepal (20) dan tujuh warga Pakistan yang semuanya berumur lapan hingga 54 tahun,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati warga asing ditahan itu bekerja dalam pelbagai bidang, termasuk sektor pembinaan dan pembersihan.

Semasa operasi, katanya, terdapat warga asing yang bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek, termasuk botol bagi mengelak ditahan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Syamsul Badrin berkata, terdapat juga pelarian Rohingya mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pas kerja sah.

“Untuk warga Myanmar, mereka mempunyai kad berdasarkan persatuan atau etnik mereka, namun kad berkenaan tidak sah digunakan dan tidak diiktiraf (dalam negara). Mereka yang hanya ada kad tersebut sebagai pengenalan diri, imigresen akan tahan mereka.”

Semua yang ditahan dibawa ke depot imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kes Iki Putra: Penasihat undang-undang negeri perlu sembah nasihat Sultan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Majlis Ulama ISMA (MUIS) mencadangkan agar Penasihat Undang-Undang di setiap negeri selain Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri menyembah nasihat yang sewajarnya bagi memberi gambaran tepat kepada Sultan di negeri masing-masing berkaitan perkembangan kes Iki Putra Mubarak.

Pengerusi MUIS yang juga Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, MUIS sangat khuatir dan bimbang terhadap kesan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan menyambung perbicaraan kes Iki Putra pada 17 Ogos ini yang mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah sekiranya pihak yang mencabar berkenaan menang.

Beliau berkata, ia bermaksud jika pihak pencabar diberi kemenangan maka pihak berkuasa negeri tidak boleh menggubal undang-undang jenayah syariah seperti kesalahan berjudi, minum arak, berzina dan sebagainya kerana undang-undang berkaitan jenayah dikatakan sebagai bidang kuasa Persekutuan.

"Maka undang-undang jenayah syariah yang sedang terpakai sekarang di setiap negeri adalah disifatkan tidak berperlembagaan dan tidak terpakai.

"MUIS berpandangan situasi ini menyentuh kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri dan akan menyempitkan kuasa mahkamah-mahkamah syariah di setiap negeri," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, justeru MUIS menggesa umat Islam merentas ideologi politik, kumpulan, dan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam agar melupakan perbezaan sesama sendiri dan segera bersatu padu demi memperjuangkan keabsahan undang-undang jenayah syariah.

"MUIS berkeyakinan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang juga mantan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sedar akan perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi kelangsungan undang-undang syariah di Malaysia," katanya.

Dilaporkan, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Kes Iki Putra akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995 dan sekali gus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Bagaimanapun pada 19 Mac tahun sama, media melaporkan seramai 200 peguam termasuk peguam bela, peguam cara dan peguam syarie menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra.

Menerusi kenyataan bersama, kumpulan peguam itu menyatakan kebimbangan terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra melawan Kerajaan Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.

PRN: Anwar tepis dakwaan ‘gelombang PN’ di 6 negeri

Dineskumar Ragu

SEBERANG JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim menepis dakwaan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan mengatasi gabungan dalam kerajaan perpaduan pada PRN enam negeri 12 Ogos ini.

Perdana menteri menyifatkan dakwaan itu “kenyataan politik” semata-mata memandangkan sambutan hangat diterimanya daripada rakyat Kedah dalam beberapa acara semalam menunjukkan sebaliknya.

“Saya di Kedah semalam (untuk beberapa acara). Sambutan itu luar biasa…baik. Kita tidak boleh nafikan. Tetapi, akhirnya rakyat harus memilih pertama, politik stabil yang menolak politik pelampau dan ekstrem dan juga memacu pertumbuhan ekonomi.

“Itu saya telah jelaskan kejayaan kita (kerajaan perpaduan) dalam bidang itu (menguruskan ekonomi),” katanya selepas Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Semalam, Takiyuddin dipetik Berita Harian berkata, gelombang PN di enam negeri memberi isyarat jelas kerajaan perpaduan akan turun takhta pemerintahan bulan ini susulan sambutan sangat positif daripada penyokong.

Ada banyak lagi PAS perlu minta maaf

Mengulas permohonan maaf PAS kepada Presiden Gerakan, Dominic Lau kerana diminta meninggalkan ceramah PN baru-baru ini, Anwar berkata, ia hanya satu daripada banyak permohonan maaf yang perlu dilakukan PAS.

Beliau menyindir PAS “banyak yang patut diminta maaf lagi”, tanpa mengulas lanjut.

Semalam, Takiyuddin mewakili PAS memohon maaf kepada Lau yang diminta meninggalkan ceramah Perikatan Nasional di Sungai Dua Selasa lalu oleh Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Setiausaha agung PAS itu berkata, Lau sepatutnya diterima dan dilayan sebagai tetamu, mengikut prinsip Islam.

PRN: PAS P Pinang gesa Lau guna jentera sendiri

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS Pulau Pinang meminta Presiden Gerakan, Dominic Lau menggunakan jentera sendiri untuk berkempen di DUN Bayan Lepas.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tidak timbul isu PAS memboikot Lau, sebaliknya mereka tidak mempunyai ahli mencukupi untuk membantu calon Perikatan Nasional (PN) itu.

“Kita pun tidak cukup (jentera), malah jentera kita sebenarnya ada kawasan yang kena bantu juga, jadi siapa yang bertanding, dia kena ketuai jentera di situ dan bawa jentera masing-masing,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Fauzi berkata, PAS Pulau Pinang akan menjernihkan hubungan bersama Lau dengan menerangkan isu itu kepada akar umbi.

“Murnikan keadaan itu macam kita akan bertemu dengan semua ahli, masyarakat akan pastikan semua benda dengan baik. Kita tengok cara macam mana akan bincang, tengok apa yang sesuai dengan keadaan dan apa yang PAS Pusat arahkan.”

Selasa lalu, Lau diminta meninggalkan ceramah PN di Sungai Dua kerana hadir tanpa diundang.

Lau, yang pencalonannya di Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi majoriti Melayu itu, cuba tidak memperbesarkan insiden itu dengan mendakwa ia “tidak benar” pada mulanya.

Tetapi, rakaman video Malaysiakini menunjukkan Lau dihalang seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti Naib Presidennya, Idris Ahmad ke atas pentas. Pemimpin PAS itu didengar memberitahu Lau: “Tak boleh (ikut). You go away.”

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada Lau dan berkata kehadiran presiden Gerakan itu perlu “dihargai sebagai tetamu”.

PRN: BN-PH kemuka 'tawaran emas' buat rakyat Kelantan

N Faizal Ghazali

Gabungan BN dan PH Kelantan mengemukakan ‘tawaran emas’ bersama kepada rakyat negeri itu sekiranya diberi mandat mentadbir kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengerusi parti-parti Kerajaan Perpaduan Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata tawaran dihidangkan meliputi empat teras utama iaitu pengembangan syiar Islam; ekonomi; pendidikan, wanita dan orang muda; dan penubuhan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.

“Inilah tawaran emas buat rakyat Kelantan,” katanya.

Dalam pengumuman di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan di Kota Bharu hari ini, BN dan PH juga mendedahkan pelbagai inisiatif menarik.

Antaranya bantuan RM2,000 untuk perkahwinan kali pertama, penubuhan Kolej Universiti Tahfiz al-Quran dan Sains, bantuan tahunan kepada institusi pondok berdaftar dan mewujudkan jawatan guru al-Quran.

Selain itu BN dan PH juga menawarkan penghapusan tunggakan bil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik.

“Menyedari hakikat masalah air di Kelantan membelenggu rakyat sejak sekian lama, kami akan melipatkangandakan usaha memulih bekalan air pada tahap yang wajar dan memberi kelegaan awal kepada rakyat,” kata Ahmad Jazlan.

Selain itu BN dan PH turut memberi tawaran melibatkan urusan tanah. Antaranya potongan cukai premium dan pecah sempadan sehingga 50 peratus menambah kakitangan di pejabat tanah dan jajahan serta mengkaji semula pemilikan dan pajakan tanah oleh syarikat swasta serta mengembalikan semula kepada rakyat.

Bas, kereta api buat mahasiswa

Dalam tawaran itu BN dan PH Kelantan juga menjanjikan kemudahan parkir percuma di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Kelantan, juga menurunkan kadar cukai pintu dan potongan tunggakan sehingga 50 peratus serta menaik taraf taman reakrasi dan pasar awam.

“BN dan PH juga akan melipatkangandakan usaha memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Kelantan agar mereka dapat berkhidmat di negeri sendiri dan berada dekat dengan keluarga.

“Kita menyasarkan 20,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor khusus dalam bidang pembuatan dan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang,” jelas Ahmad Jazlan yang juga pengerusi Umno Kelantan.

Tambahnya bagi segmen pendidikan, wanita dan orang muda BN dan PH akan menyediakan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Gabungan berkenaan juga menawarkan perkhidmatan bas atau kereta api percuma dua kali setahun kepada golongan mahasiswa.

“Kita juga tawarkan bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin kali pertama, biasiswa tahunan RM300 kepada pelajar tingkatan enam, dan mewujudkan pusat reakrasi, sukan dan e-sukan selain padang bola sepak di setiap jajahan.

“ Akhir sekali kita berhasrat menubuhkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (PKKU) bagi membangunkan wilayah Utara Kelantan dalam usaha membasmi kemiskinan dan membangunkan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata "tawaran emas" itu adalah peluang terbaik rakyat Kelantan untuk mengubah masa depan negeri selepas lebih tiga dekad berada di belakang berbanding negeri-negeri lain.

“Setelah kami mengadakan perbincangan secara teliti dan kita bersetuju untuk memperincikan perkara-perkara yang diputuskan bersama yang kita sifatkan sebagai tawaran kepada rakyat Kelantan bagi PRN kali ini.

“Saya dan rakan-rakan amat berharap dan merayu kepada rakyat sama ada bermastautin dan pengundi luar untuk sekian kakinya agar dapat memberi kepercayaan kepada kami untuk memimpin negeri Kelantan,” katanya.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Che Fatmi Che Salleh; Pengarah PRN PH Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Setiausahan BN Kelantan Md Alwi Che Ahmad

PH-BN menang di 3 negeri takkan henti spekulasi ketidakstabilan

Amirul Aiman

PETALING JAYA: Penganalisis berkata, kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional dalam PRN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan saja mungkin tidak cukup untuk menepis cakap-cakap mengenai ketidakstabilan kerajaan perpaduan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, penting juga untuk mengukur sejauh mana penembusan Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri itu sebelum menepis cakap-cakap sedemikian.

“Jika PN mendapat sokongan di tiga negeri itu, ini bermakna pasti ada perubahan undi daripada PH-BN,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan calon PH bagi kerusi DUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran baru-baru ini.

Katanya, kemenangan PH-BN di tiga negeri itu akan menunjukkan kerajaan perpaduan mendapat sokongan rakyat dan menamatkan spekulasi mengenai kejatuhannya.

Merujuk peranan penting Umno sebagai wakil orang Melayu, Fauzi berkata, prestasi parti itu mungkin menunjukkan sejauh mana sokongan orang Melayu kepada kerajaan perpaduan.

Secara khususnya, beliau berkata, ia akan mencerminkan sama ada parti itu membuat keputusan betul bekerjasama dengan bekas seterunya, Anwar Ibrahim dan PH untuk membentuk kerajaan.

“Jika prestasi Umno teruk, dengan calonnya kalah dalam pertandingan satu lawan satu menentang PN, suara mempersendakan kerajaan perpaduan kerana hilang legitimasi daripada orang Melayu akan menjadi lebih kuat.”

“Ini boleh menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan selepas PRN.”

Saintis politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat berkata prestasi teruk Umno akan menyaksikan PN cuba mencetuskan perbalahan dalam parti itu dengan mendakwa ia hilang sokongan orang Melayu.

“Disebabkan Umno mungkin tidak dapat melakukan pembaharuan kepimpinan, seperti kebanyakan parti di dunia selepas kalah dalam pilihan raya, ia akan cuba menyalahkan kekalahannya ke atas kerajaan kerana tidak cukup pro-Melayu dan pro-Islam.

“Jika kerajaan terjerumus dalam perbalahan sama ada ia perlu kekal inklusif, popularitinya akan merosot dan PN akan menghasut beberapa Ahli Parlimen Umno condong kepada PN meletak jawatan yang memberi laluan kepada PRK diadakan dengan harapan dapat terus menghakis legitimasi kerajaan.”

Tetapi katanya, calon pro-PN itu mungkin tidak perlu menang PRK jika ekonomi bertambah kukuh ketika itu.

Wong berkata, cakap-cakap mengenai ketidakstabilan akan reda jika kerajaan perpaduan mendapat majoriti kukuh di tiga negeri terbabit.

“Kerajaan perpaduan masih boleh menuntut legitimasi atas kemenangannya, walaupun sokongan orang Melayu lebih rendah daripada pengundi bukan Melayu.”

PRN: Faktor 4.9 juta pengundi muda

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kemenangan mana-mana calon dan parti politik yang akan bersama membentuk serta mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti dijangka banyak disumbangkan faktor pengundi muda.

Ini kerana pengundi muda merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih 9.7 juta pengundi berdaftar yang akan memilih calon atau parti bertanding di PRN Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun akan mengundi pada PRN di enam negeri itu.

Seramai 661,905 adalah pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun, yang kali pertama akan mengundi pada PRN berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pengundi muda adalah segmen pengundi yang penting dan kritikal dalam menentukan kemenangan calon dan parti bertanding.

"Kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam PRN juga bergantung kepada pengundi muda.

"Pengundi muda lebih terpengaruh dengan kempen melalui media sosial dan trend dalam politik. Namun tanpa literasi politik yang tepat, mereka mudah terpengaruh dengan kempen yang bersifat populis," katanya.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan pula berkata, ada kebimbangan pengundi muda tidak berminat untuk mengundi pada PRN ini.

Katanya, ini kerana terdapat pendapat bagi golongan itu yang memikirkan peranan mereka hanya untuk membentuk kerajaan negeri dan diketahui pihak yang akan menang di negeri tertentu.

"PRN dikatakan takkan ada perubahan. Jadi kemungkinan tak ramai pengundi muda yang akan berkorban untuk keluar mengundi kerana pengorbanan masa dan wang ringgit itu diperlukan.

"Justeru terdapat keperluan daripada semua pihak untuk memperhebatkan kempen bagi menggalakkan golongan muda ini terbabit dalam membuang undi kelak.

"Diharapkan mereka keluar beramai-ramai kerana golongan muda ini biasanya memegang prinsip ideal dan tidak terikat dengan parti-parti politik, bukan seperti pengundi yang lebih veteran dari segi umurnya.

"Apabila tidak terkait dengan agenda parti politik, mereka akan memilih parti politik atau pun calon yang boleh memberi manfaat paling maksimum bukan sahaja kepada mereka tetapi di kawasan tempat mereka mengundi dan juga negeri tempat mereka mengundi," katanya.

Ketua Balai Polis Jalan Campbell jadi hero

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Adi Khusaini menarik seorang wanita ketika cuba terjun dari tingkat sebuah bangunan pusat membeli-belah di daerah ini, pada Rabu lalu berjaya menyelamatkan nyawa gadis berkenaan. Foto ihsan polis
Adi Khusaini menarik seorang wanita ketika cuba terjun dari tingkat sebuah bangunan pusat membeli-belah di daerah ini, pada Rabu lalu berjaya menyelamatkan nyawa gadis berkenaan. Foto ihsan polis
Seremban: Tindakan pantas Ketua Balai Polis Jalan Campbell di sini, yang menarik seorang wanita yang disyaki cuba terjun daripada aras lima sebuah pusat beli belah pada Rabu lalu, membantu menyelamatkan nyawa wanita terbabit.

Pada kejadian jam 10 malam itu, wanita berusia 20 tahun berkenaan dikatakan tidak berganjak daripada bahagian tepi bangunan walaupun sudah dipujuk anggota polis.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, terdahulu, pihaknya menerima aduan awam yang menyatakan ada individu disyaki cuba terjun daripada aras lima parkir kenderaan premis terbabit.

"Tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita berada di tebing parkir kenderaan dan memberitahu ingin terjun.

"Kami berusaha memujuk dan menenangkannya namun dia enggan berganjak," katanya dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akhirnya, Ketua Balai Polis Jalan Campbell Inspektor Adi Khusaini Saripudin bertindak pantas menarik wanita itu dan berjaya menyelamatkannya.

"Wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat. Dia kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

"Hasil siasatan mendapati, punca kejadian akibat masalah kemurungan selain wanita itu juga didapati pesakit psikiatri," katanya.

Saya naik heli k'jaan, hang sakit hati pasal apa? - PMX

Raveena Nagotra
story-image
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempat menyindir lawan politiknya apabila dia hadir ke Jeneri, kubu kuat menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini.

"Saya naik heli ke Jeneri mereka marah, kenapa naik heli?

"Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa?

"Kerajaan punya, bukan aku punya hang tak boleh pakai, perdana menteri boleh pakai,” katanya ketika berucap pada majlis di Felda Teloi Timur di Kedah hari ini.
Helikopter kendalian Jabatan Perdana Menteri membawa Anwar yang menghadiri karnival ‘Segalanya Felda’.

Kawasan Felda itu, sebahagian dari DUN Jeneri dan Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertahankan kerusinya menentang Ketua Umno Bahagian Sik Muhamad Khizri Abu Kassim.

Pada Februari, Bersatu telah membuat laporan SPRM terhadap PH dan BN, mendakwa perbelanjaan gabungan itu "mewah" semasa kempen pilihan raya umum ke-15 tahun lepas, termasuk Anwar yang menggunakan helikopter persendirian untuk berkempen.

Selain helikopter perdana menteri, dua lagi helikopter turut mendarat di padang awam berhampiran tempat majlis itu berlangsung.
Salah satu helikopter polis pula membawa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Helikopter berkenaan dikesan dalam perkhidmatan pengesan penerbangan FlightRadar24 yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada 12:49 tengah hari dan mendarat di Pangkalan Tentera Udara Butterworth di Pulau Pinang.

Kedua-dua helikopter ini seterusnya dilihat menghampiri Felda Timur Teloi pada kira-kira 5:35 petang.

Mayat lelaki ditemui dalam guni

Bernama
MAYAT lelaki tanpa identiti disyaki dibunuh ditemui di stor besi buruk di Bukit Serdang, Serdang. FOTO Ihsan Polis
KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang disyaki mangsa bunuh, ditemukan dalam guni di tapak premis besi buruk Taman Bukit Serdang, Selangor.

Ketua Polis Serdang A A Anbalagan berkata penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu, dilaporkan kepada pihaknya oleh orang awam pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai dibunuh sebelum dimasukkan ke dalam guni plastik berwarna putih.

“Hasil siasatan awal kemungkinan mangsa baru dibunuh kerana keadaan mayat yang tidak berbau. Bagaimanapun, kes ini masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anbalagan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, polis juga menyiasat bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berjaya akan buat laporan polis, heret Sanusi ke mahkamah

Malaysiakini

Kumpulan Berjaya Land menolak dakwaan terdapat "skandal" dalam projek pembersihan Sungai Klang, kata ketua pegawai eksekutifnya Syed Ali Shahul Hameed.

Syarikat itu berkata demikian setelah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa rakan sejawatannya dari Selangor, Amirudin Shari terlibat dalam "skandal" dengan pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan.

Menerusi kenyataan, dia berkata, dakwaan itu dibuat secara melulu dan tanpa sebarang pengesahan mengenai kebenarannya serta berniat jahat.

“Ia jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi Berjaya Land dan merosakkan komitmen kami serta kerajaan negeri terhadap peningkatan negeri Selangor dan rakyatnya.

"Saya juga ingin menambah bahawa kami sedang mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak kami dalam hal ini," katanya.

Syed Ali berkata, bahawa ucapan Sanusi mengandungi kenyataan yang berniat mengelirukan mengenai projek Gerbang Maritim Selangor.

Antaranya, katanya, dakwaan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menjual 55 peratus saham dalam anak syarikat sepenuhnya miliknya kepada Berjaya Land adalah tidak benar sama sekali.

Dia juga menafikan dakwaan Sanusi bahawa Berjaya Land diberikan 600 ekar tanah negeri Selangor bernilai RM10 bilion secara percuma.

“Sebenarnya, hanya beberapa bidang tanah yang berjumlah seluas 103.6 ekar telah diluluskan pemilikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada sebuah syarikat tujuan khas melalui usahasama setelah tanah-tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 45 peratus saham di dalam syarikat usahsama adalah dipegang dan dimiliki oleh anak syarikat MBI.

“Berjaya Land (juga) adalah pihak yang dikehendaki untuk mengumpulkan dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar pasaran.

“Berjaya akan mengumpulkan dana bagi JVCo untuk membayar premium RM113.1 juta tersebut,” katanya.

Syed Ali juga menyangkal dakwaan Sanusi bahawa kerajaan negeri Selangor kerugian RM180 juta dari tanah yang diberikan secara "percuma".

Semalam, Sanusi yang juga ketua pengarah Pilihan Raya PAS pada majlis Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra dilaporkan berkata Vincent Tan mahu mengadakan projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar di negeri itu.

Amirudin dalam satu kenyataannya, petang tadi juga memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang menyaman menteri besar sementara Kedah tersebut.

'Sehidup semati', pasangan suami isteri 'pergi' selang 10 minit

Sinar Harian

'Sehidup semati', pasangan suami isteri 'pergi' selang 10 minit

Individu dikenali sebagai Salimi Maralim bersama isterinya, Maria Abdullah telah meninggal dunia di HWKKS. - Gambar/ Sinar Harian

KOTA KINABALU: Tular sepasang suami isteri dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh selang 10 minit di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada malam Khamis.

Perkara itu dikongsikan menerusi akaun Facebook Muhammad Zain pada Jumaat yang menyatakan individu dikenali sebagai Salimi Maralim bersama isterinya, Maria Abdullah telah meninggal dunia di hospital berkenaan.

Menerusi perkongsian itu, Maria meninggal dunia pada jam 7.05 malam manakala suaminya, Salimi meninggal dunia pada jam 7.15 malam hari yang sama.

Tulisnya lagi, Salimi terjatuh sebaik mengetahui isterinya telah meninggal dunia.

"Kepada Allah kita memohon semoga roh pasangan suami isteri itu ditempatkan dalam kalangan roh para syuhada dan solihin.

"Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Mati itu terlalu dekat dengan kita," pesannya dalam tulisan di Facebook beliau.

Hantaran beliau tular di media sosial sehingga mendapat 997 tanda suka, 320 komen dan 974 perkongsian setakat jam 1 tengah hari Jumaat.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati pengurusan jenazah pasangan suami isteri itu dilakukan di Masjid Nurul Iman Kampung Pasir, Putatan.

Kelihatan orang ramai dipercayai ahli keluarga terdekat dan rakan taulan pasangan suami isteri itu turut hadir di masjid tersebut sebagai penghormatan terakhir kepada kedua-duanya.

Selepas jenazah dikafankan dan disolatkan bersama, kedua-duanya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Contoh untuk dikebumikan.

Salah seorang individu yang terlibat dalam pengurusan jenazah dikenali sebagai Azmi Hadith memaklumkan bahawa pengurusan kedua-dua jenazah berjalan dengan lancar dan sempurna. - Sinar Harian

Rogol, amang seksual anak kandung; lelaki dipenjara 12 tahun

Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dalam memerintahkan seorang lelaki yang didapati bersalah atas satu kesalahan rogol dan dua amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 10 tahun, untuk menjalani hukuman penjara ke atas ketiga-tiga pertuduhan itu secara serentak.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Hadhariah Syed Ismail, M Gunalan dan Choo Kah Sing membuat keputusan tersebut susulan rayuan lelaki berusia 45 tahun itu yang meminta mahkamah tersebut menjelaskan sama ada hukuman penjara ke atasnya berjalan serentak atau berasingan.

Lelaki itu dikenakan hukuman 12 tahun penjara dan 12 sebatan atas kesalahan rogol manakala bagi dua kesalahan amang seksual, masing-masing 10 tahun penjara dan empat sebatan serta 10 tahun dan lima sebatan; selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-ketiga pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen pada 20 Okt tahun lalu.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut dan dia diperintahkan menjalani tempoh penjara bagi ketiga-tiga kesalahan itu secara serentak bermula 13 Okt tahun lalu, iaitu tarikh tangkapan.

“Anda bertuah. Kesalahan yang anda lakukan sangat serius. Mahkamah Sesyen mahu menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan 21 sebatan namun atas kesilapan teknikal, anda dihukum 12 tahun penjara dan 21 sebatan,” kata Hadhariah.

Beliau berkata memandangkan Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli mengesahkan bahawa Mahkamah Sesyen mengeluarkan arahan bahawa semua hukuman penjara itu bermula daripada tarikh tangkapan, pihak Mahkamah Rayuan perlu mengekalkannya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Norakhmar Mohd Sani menyatakan dalam keputusannya bahawa hukuman penjara untuk ketiga-tiga pertuduhan itu bermula dari tarikh tangkapan. Beliau juga menyatakan bahawa hukuman penjara untuk dua kesalahan amang seksual dijalankan serentak.

Bagaimanapun, pada 21 Okt lalu, Norakhmar menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memaklumkan bahawa beliau melakukan satu kesilapan dalam keputusannya dan memohon mahkamah itu melakukan semakan semula terhadap kes tersebut.

Dalam surat itu, beliau berkata beliau berniat untuk menjatuhkan hukuman 22 tahun penjara daripada tarikh tangkapan.

Beliau mahu hukuman penjara bagi kesalahan rogol berjalan secara berasingan daripada hukuman penjara bagi kesalahan amang seksual, bagaimanapun, tidak mengumumkan perkara itu dalam keputusannya.

Pada 19 Jan lalu, Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan semakan semula itu, menyatakan tiada perlanggaran undang-undang pada hukuman penjara tersebut.

Ekoran itu, lelaki berkenaan, diwakili peguam Rozilan Abdul Rahman memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan memohon penjelasan sama ada hukuman penjara itu berjalan secara serentak atau berasingan.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu melakukan kesalahan tersebut terhadap anak perempuannya yang berusia 10 tahun ketika itu, di sebuah rumah di Jerantut, Pahang pada Julai dan 9 Okt tahun lalu.

Mahkamah Sesyen turut mengarahkan lelaki itu untuk menjalani kaunseling rehabilitasi selama dua tahun semasa dalam tahanan.

Tengku Hassanal: Tiada siapa kebal dari tindakan undang-undang

NS Ramli

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberi amaran semua pihak yang didapati melanggar undang-undang, terutamanya membabitkan kesalahan alam sekitar di negeri ini akan berdepan tindakan tegas.

Titah baginda, ini termasuklah kerabat diraja Pahang sendiri dan ahli politik.

"Dalam usaha memastikan alam sekitar, flora dan fauna di Pahang sentiasa terjaga, saya memohon agensi penguatkuasaan bertindak tegas.

"Jalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh, saya ada bersama tuan-tuan dan puan-puan semua, jangan risau.

"Jangan ambil rasuah dan jaga integriti, jika ada yang 'jual nama', sembahkan (maklumkan) kepada saya.

"Tiada yang kebal daripada undang-undang, yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik mahu pun rakyat jelata," titahnya.

Tengku Hassanal bertitah demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Bersempena Memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, hari ini.

Projek pembangunan perlu perkenan

Baginda turut memberi peringatan kepada kerabat diraja Pahang bahawa semua projek yang ingin dijalankan dengan kerjasama kerabat diraja negeri lain di negeri ini perlu mendapat perkenan daripadanya terlebih dahulu.

Titahnya lagi, projek pembangunan kerajaan Persekutuan yang ingin dilaksanakan di negeri ini juga perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan Pahang.

"Begitu juga kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya selepas berbincang dengan Menteri Besar Pahang," jelas baginda.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal mahu semua laporan impak alam sekitar (EIA) yang dilakukan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum sebarang projek dijalankan di Pahang, hendaklah dikemukakan kepadanya.

Tengku Hassanal bertitah hasil laporan EIA berkenaan akan dipersembahkan untuk perhatian ayahandanya Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Sebagai pewaris takhta negeri Pahang, saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, namun saya mahu menjadi 'stake holder' yang penting, menjadi 'check and balance' kepada pembangunan yang akan dilaksanakan.

"Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota Pahang semula, agar semua pembangunan dirancang akan memberikan manfaat terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari," titah baginda lagi.

Wakil rakyat PAN antara ditahan menagih syabu

BHonline

MAKASSAR, SULAWESI SELATAN: Dua anggota majlis perwakilan tempatan daerah Sinjai ditahan ketika cuba mengambil dadah kristal methamphetamine atau syabu di sebuah hotel di bandar Makassar, akhir bulan lalu.

Pengarah Bahagian Narkotik Sulawesi Selatan, Komisioner Kanan Darmawan Affandi, berkata mereka terdiri daripada wakil Partai Amanat Nasional (PAN) dan Parti Golkar.

Bercakap pada sidang media kelmarin, beliau berkata kedua-dua ditahan di Hotel Maleo berikutan penahanan seorang penghantar dadah yang membantu suspek mendapatkan satu paket dadah jenis meth.

"Polis masih menyiasat kes itu," katanya sambil menambah anggota yang menahan suspek menemui satu paket dadah jenis kristal seberat 0.39 gram.

Memetik laporan ANTARA, Affandi berkata kedua-dua suspek mungkin mendapatkan dadah itu untuk kegunaan peribadi dan mungkin meminta penghantar dadah membantu membelinya.

ANTARA sebelum ini melaporkan, tinjauan bersama Badan Narkotik Nasional (BNN) dan Institut Sains Indonesia (LIPI) pada 2019 mendapat terdapat lebih 3.4 juta pengguna dadah di Indonesia.

Tinjauan dijalankan di 34 wilayah menunjukkan kira-kira 180 daripada setiap 10,000 rakyat Indonesia dalam kumpulan umur 15 hingga 64 tahun menagih dadah.

Pengguna kristal methamphetamine, narkotik, ganja dan dadah lain boleh tergolong dalam mana-mana komuniti dan latar belakang sosioekonomi dan budaya.

Justeru, tidak hairanlah jika ahli politik, pelajar dan artis kadangkala menjadi penagih dadah.

Pada Ogos 2018, Ibrahim Hasan atau Ibrahim Hongkong, anggota majlis perwakilan tempatan daerah Langkat di wilayah Sumatera Utara, ditahan kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah transnasional.

Kes itu menyebabkan Ibrahim dipecat daripada Parti Demokrat Kebangsaan (Nasdem), yang telah membuka jalan kepada kerjaya politiknya dan pemilihannya sebagai ahli badan perundangan daerah Langkat.

Kerajaan sedia maklum mengenai ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah yang membimbangkan di negara ini. Sejak penggal pertama kepemimpinannya, Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah mengingatkan negara mengenai kesan buruk pengambilan dadah terhadap Indonesia. - AGENSI

Halau rakan: Takiyuddin minta maaf, Tuan Ibrahim pula nada dia lain

PAS minta maaf insiden Lau ‘dihalau’ dari ceramah PN
Sebagai presiden rakan gabungan PAS dalam PN dan calon PRN, Dominic Lau patut diberi penghormatan sewajarnya, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

FMT Reporters

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata keputusan meletakkan presiden Gerakan Dominic Lau di Bayan Lepas dilakukan atas persetujuan pucuk pimpinan parti.
PETALING JAYA: PAS meminta maaf atas insiden Presiden Gerakan Dominic Lau yang didakwa dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata sebagai presiden rakan gabungan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan calon PRN, kehadiran Lau perlu “dihargai sebagai tetamu”.

“PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Lau yang dilihat tidak dialu-alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh presiden PAS baru-baru ini.

“Bagi pihak kepimpinan PAS Pusat, saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa PAS menjelaskan punca presidennya Lau dihalang menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua.

Video oleh Malaysiakini menunjukkan Lau dihalang seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti naib presiden parti itu Idris Ahmad ke atas pentas. Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau “Tak boleh (Tidak boleh). You go away.”

Selain itu, Takiyuddin berkata PAS sedar politik gabungan cenderung menimbulkan rasa tidak puas hati, terutamanya dalam isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon.

Bagaimanapun, beliau menggesa agar ahli dan penyokong PAS meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti diketuai Presiden Hadi Awang, dan menerima keputusan kepimpinan dengan hati terbuka.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan presiden PAS sendiri,” katanya.

Sebelum ini, pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi majoriti Melayu itu.

------

Takda apa nak dijelaskan, PAS beritahu Gerakan berhubung insiden ‘dihalau’
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Oh Tong Keong perlu mendapatkan butiran mengenai apa yang berlaku daripada presiden parti Dominic Lau.

Dineskumar Ragu

KEPALA BATAS: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak gesaan Gerakan agar parti itu memberikan penjelasan atas tindakan seorang pemimpin tempatannya menghalang Dominic Lau daripada menghadiri ceramah Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan oleh PAS kerana Lau telah menafikan dihalau daripada majlis itu selepas hadir tanpa diundang.

Beliau juga berkata, Lau sendiri mengaku berada di sana untuk bertemu Presiden PAS Hadi Awang.

Tuan Ibrahim berkata, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong perlu mendapatkan butiran mengenai apa yang telah berlaku secara langsung daripada Lau.

“Beliau (Lau) telah mengeluarkan kenyataan. Oleh itu, kita tidak perlu beri penjelasan.

“Dan dia (Oh) harus mendengar (cakap) presidennya,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT selepas ceramah di sini malam tadi.

Semalam, apabila menuntut penjelasan PAS, Oh menuduh parti itu tidak menghormati Lau yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional dan ketua PN Pulau Pinang.

Katanya, Lau sepatutnya dilayan sebagai tetamu oleh PAS.

Komen Oh dibuat susulan video oleh Malaysiakini yang menunjukkan Lau dihalang oleh pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti naib presiden parti itu, Idris Ahmad, naik ke pentas pada ceramah itu.

Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau: “Tak boleh (ikut). Pergi dari sini.”

Pada Rabu, Lau menafikan beliau diminta meninggalkan ceramah di Sungai Dua itu.

Katanya, beliau pergi ke sana untuk berjumpa dengan Hadi memandangkan presiden PAS itu meminta bertemu pada 9 malam. Bagaimanapun, Hadi hanya tiba pada 10.30 malam dan Lau terpaksa bertolak ke mesyuarat lain.

Seluar wakil rakyat terlondeh ketika berucap

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

Seluar dipakai Borrego tiba-tiba terlondeh ketika berucap di hadapan orang ramai. - Foto Agensi
Seluar dipakai Borrego tiba-tiba terlondeh ketika berucap di hadapan orang ramai. - Foto Agensi
SALTILLO - Seorang wakil rakyat menanggung malu apabila seluarnya terlondeh sehingga ke buku lali semasa beliau berucap di hadapan orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak dalam insiden di negeri Coahuila, Mexico baru-baru ini.

Kejadian menimpa Javier Borrego itu berlaku di ibu negeri Saltillo semasa pelancaran Projek Nasional 2024-2030 partinya menjelang pilihan raya umum tahun depan.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial, ahli Parlimen mewakili parti sayap kiri Morena itu dilihat berdiri di hadapan hadirin, mengeluarkan teks ucapan dan membetulkan cermin mata sebelum seluar panjangnya tiba-tiba sahaja terlondeh sehingga menampakkan seluar dalam.

Borrego yang tersipu-sipu memberitahu orang ramai "oh maaf" sebelum meneruskan ucapannya tanpa sebarang insiden lebih memalukan.

Difahamkan, Borrego mengalami susut berat badan selepas menjalani pembedahan bulan lalu selain terlupa memakai tali pinggang.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial menjadikan insiden malang menimpa Borrego sebagai bahan jenaka.

"Sekarang mereka mengatakan insiden itu disebabkan oleh serangan daripada parti lawan," kata Lance Luciano.

"Ingatkan dalam cerita kartun je jadi macam ni," komen Sophia Castello.

"Terdapat satu episod dalam The Simpsons yang meramalkan perkara ini," seloroh Sophia Castello. - Agensi

Anwar dan UIA: PM masuk universiti untuk kempen?

Mohammad Agus Yusoff

Pembangkang mendakwa mahasiswa universiti tidak bersama PMX, Anwar Ibrahim.

Pembangkang juga mendakwa Anwar memasuki universiti sekarang ini untuk berkempen, bukan untuk berkongsi ilmu kerana Anwar tidak ada nilai intelektual, sekadar lulusan general degree pengajian Melayu daripada Universiti Malaya sahaja.

Tidak terkata saya dengan dakwaan pembangkang ini.

Hendak faham intelektual Anwar, lihat sumbangannya kepada UIA. Beliau adalah presiden UIA selama 10 tahun (1988 hingga 1998).

. Semasa menjadi presiden, beliau mengukuhkan kejayaan universiti yang mengajar dalam aliran Bahasa Inggeris dan Arab ini dengan membangunkan Islam sebagai "Ummatan Wasatan", agama yang menolak ketaksuban dan ekstremisme.

Hendak kata Anwar tidak intelek bagaimana jika realiti menunjukkan Anwar suka membaca dan suka majlis ilmu.

Apabila bercakap, pelbagai nama buku yang disebutnya baik itu John Voll, John Esposito, Samuel Huntington, Francis Fukuyama, Edward Said dan lainnya. Itu belum lagi dikira literatur Islam yang disebutnya.

Memang luar biasa.

Semasa menjadi presiden UIA, beliau menubuhkan International Institute of Islamic Civilisation and the Malay World (ISTAC) yang banyak membincangkan tokoh-tokoh hebat Islam seperti Imam Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Khaldun. Sarjana hebat negara seperti Syed Naquib Al Attas, Prof. Kamal Hassan, dan Prof. Osman Bakar membangunkan ISTAC ini.

Anwar bukan sahaja bersama kepimpinan negara menubuhkan UIA pada tahun 1983, tetapi lebih utama beliaulah yang membangunkan UIA. Jasanya pada UIA besar sekali dalam menjadikan universiti Islam ini both intellectually rigorous and socially relevant.

Seingat saya, pada tahun 1985, perbincangan yang cukup popular pada waktu itu ialah Intellectualization of Islam dan Islamization of Knowledge.

Konsep ini dibangunkan oleh sarjana hubungan antarabangsa Islam yang terkenal, Dr Abdul Hamid AbuSulayman, warga Saudi yang menetap di Washington, yang kemudiannya dibawa oleh Anwar menjadi rektor UIA.

Inilah sumbangan Anwar yang cukup besar kepada UIA. Dengan usaha beliaulah pelajar sekolah agama boleh menjadi peguam sebab sebelum ini tidak ada universiti yang menerima lulusan sekolah Arab untuk mengikuti kursus undang-undang.

Jelas, jasa Anwar kepada UIA besar. Sejak 1987, universiti ini telah melahirkan 70,000 graduan dari lebih 100 negara di seluruh dunia. UIA semakin berkembang dan bersaing rapat dengan universiti hebat Malaysia yang lain seperti UM, UKM, USM, UPM, dan UTM.

Sejarah UIA ini perlu diketahui dan mahasiswanya perlu berbangga dengan kehebatan universiti ini sebagaimana saya bangga dengan UKM sebagai universiti watan negara.

Dengan jasanya ini, apa pun tanggapan pembangkang terhadap Anwar, beliau telah meninggalkan jariah yang besar untuk rakyat dan negara.

Chef Wan:'Saya disahkan hidap kanser limfoma'

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Chef selebriti Datuk Redzuan Ismail, 65, atau Chef Wan memaklumkan bahawa doktor mengesahkan beliau menghidap kanser limfoma.

Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Chef Wan berkata, beliau didiagnosis menghidap kanser itu selepas menjalani ujian electrocardiogram (ECG) di sebuah hospital pada petang Khamis.

Chef Wan memaklumkan dirinya kini dalam keadaan stabil dan doktor memberitahu kanser dihidapinya masih di peringkat awal berdasarkan saiznya.

"Saya baru sahaja menjalani ujian ECG. Pada jam 3 petang doktor memaklumkan mengenai keputusan biopsi saya.

"Mereka perlu menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap kanser limfoma.

"Saya perlu menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser ini sudah merebak ke organ lain termasuk menentukan ia di tahap berapa," katanya.

Chef Wan memaklumkan beliau mempunyai peluang kira-kira 70 hingga 80 peratus untuk sembuh dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.

"Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan organ itu.

"Saya juga akan menjalani kemoterapi dan memulakan rawatan serta-merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu.

"Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi, saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M Daud Kilau, Samy Velu, Liberace dan ramai lagi," tulisnya.

Biarpun dalam situasi menggusarkan, Chef Wan dilihat kekal positif dan menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

"Inilah kehidupan… anda hanya perlu melaluinya dengan positif. Anak perempuan dan menantu saya sedih mendengar berita ini. Tetapi saya kata jangan menangis, saya belum pergi lagi.

"Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. Insya-Allah, Allah akan jaga saya.

"Terima kasih atas semua doa dan ucapan. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan," tulisnya.

Dua isu panas mampu gugat peluang PN di Kedah

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
bhrencana@bh.com.my

Faktor calon boleh memenangkan sesebuah parti dalam pilihan raya, apatah lagi dengan negeri 'bandul berayun' seperti Kedah yang menyaksikan banyak perubahan kerajaan. Hakikatnya, rakyat atau pengundi di negeri ini bijak menilai siapa sesuai untuk mentadbir.

Setelah mengetahui parti apa akan bertanding, tentu faktor calon ditagih untuk membawa arus menyokong sesuatu parti. Seperti dijangka, semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menentang Perikatan Nasional (PN) terutama di 28 kerusi.

Namun, lapan kerusi iaitu Ayer Hangat, Kuah, Kota Seputeh, Derga, Guar Chempedak, Bukit Selambau, Bakar Arang dan Lunas memperlihatkan pertembungan banyak penjuru oleh calon Bebas dan seorang calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Bakar Arang, sekali gus menjadikan keseluruhan 83 calon menawarkan diri.

Menariknya, dinamik politik pengundian berubah kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRU15 pada 2022, pertembungan tiga atau lebih penjuru berlaku, tetapi kali ini sejarah PRU13 pada 2013 berulang menyaksikan lebih banyak pertembungan dua penjuru.

Bezanya, PAS pada PRU13 menyertai Pakatan Rakyat (PR) menentang BN, tetapi gabungan diketuai UMNO memenangi Kedah dan membentuk kerajaan. Kini BN dan PH bergabung menentang PN diketuai PAS dalam konteks negeri berkenaan.

Jadi siapakah bakal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada 12 Ogos ini, sekali gus mungkin membentuk kerajaan keesokannya?

Sebelum kita melihat parti mana berpotensi memenanginya, ada baik kita meninjau tiga faktor utama kemenangan, iaitu parti, calon dan manifesto/isu.

Melihat faktor parti, jelas pertembungan PH-BN (Perpaduan) menentang PN akan menentukan salah satu memenangi pilihan raya. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan pengalaman mentadbir kerajaan negeri. Jadi, pengundi lebih mudah menilai prestasi parti dalam menentukan hala tuju negeri lima tahun mendatang.

Namun, kerajaan atau parti adalah entiti abstrak kerana yang menggerakkannya adalah ahli politik yang akan dipilih pengundi mewakili DUN ditandingi. Bagi membentuk kerajaan, parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 19 kerusi majoriti mudah.

Melihat faktor kedua, iaitu calon, kita mengetahui senarai calon bertanding. Cuma perlu juga diperhatikan rentetan kepada sebelum berlaku penamaan calon, Sabtu lalu. Kesemua parti gabungan PH-BN mengumumkan nama calon mereka lebih awal seminggu berbanding PN dengan BN atau UMNO paling awal.

Ini berbeza dengan PRU sebelum ini yang pengumumannya pada saat akhir. Malah perbincangan pembahagian kerusi dapat diselesaikan awal, kecuali perubahan kepada calon PH di Bukit Selambau pada saat terakhir yang lebih kepada strategi politik.

Kombinasi muka lama, baharu

Calon PH-BN menampilkan kombinasi muka lama dan baharu, malah terdapat sembilan calon wanita diketengahkan dan wakil untuk semua kaum termasuk etnik Siam di Sidam. Nampak agak tersusun dari segi pencalonan PH-BN, sekali gus menampakkan keseriusan menawan Kedah.

Berbanding PN yang agak lewat menamakan calon kerana dikatakan belum selesai pembahagian kerusi hingga hari penamaan calon. Ramai muka lama dikekalkan, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Jeneri walaupun terdengar ura-ura ingin berpindah kawasan ke Tokai.

Tokoh veteran PAS dikatakan ingin bersara, terus dikekalkan bertanding di Tokai dan Merbau Pulai. Dua bekas pemain bola sepak dan bekas ahli akademik juga dibawa masuk untuk bertanding.

Cuma berlaku kekecohan di DUN Ayer Hangat dan Kuah apabila pemimpin PAS Langkawi bertindak mencalonkan diri sebagai calon Bebas menentang calon PN dan PH-BN. Begitu juga protes kepada pencalonan calon PN di Kota Siputeh oleh jentera dan penyokong PN.

Ekoran itu, PAS menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas.

Bagaimanapun, calon dikemukakan PN tidak diwakili calon daripada kaum India dan Siam. Malah hanya lima calon PN adalah wanita.

Secara keseluruhannya, berdasarkan kajian sebelum ini, faktor parti lebih menjadi pemberat kepada pengundi membuat keputusan berbanding calon. Namun, sepanjang PRU15 DUN Kedah ini bermula, ramai mula meminta manifesto dan tawaran boleh diberikan parti politik ini.

Dari segi manifesto pula terlihat PH-BN lebih awal mengumumkan manifesto pada 27 Julai lalu. Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata manifesto ditawarkan juga komprehensif, realistik, munasabah dan boleh dilaksana: "Bila nak ajak rakyat Kedah pilih kerajaan, biar dasar lawan dasar, program lawan program, tawaran lawan tawaran. Kita mulakan politik baharu dan rakyat tidak membuat keputusan hanya berkisar pada politik, sentimen kaum dan agama yang sempit".

Terdapat kerjasama baik antara PH dan BN merealisasikan manifesto ini jika terpilih menjadi kerajaan. Namun, PN belum mengumumkan manifesto mereka semasa artikel ini ditulis.

Melihat kepada isu semasa, isu hangat adalah membabitkan Sanusi yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai lalu atas dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Selain itu, terdapat isu kecurian nadir bumi (REE) di Sik, Kedah membabitkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan warga China ditangkap yang masih dalam siasatan beberapa agensi kerajaan.

Kedua-dua isu ini dilihat agak serius dan mampu bukan sahaja menggugat kredibiliti Sanusi, malah peluang PN memenangi PRU15 DUN Kedah ini. Isu sebegini selalunya memberi kesan langsung kepada demografi pengundi muda, golongan kelas menengah dan peniaga, selain penduduk bandar dan pinggir bandar. Penduduk luar bandar lebih fokus kepada politik pembangunan di kawasan mereka.

Melihat kepada keseluruhan aspek hingga penamaan calon berlaku, penduduk Kedah nampak berminat menilai tawaran ingin dibawa parti dan calon bertanding. Siapa atau parti mana menawarkan tawaran menarik, akan disokong pengundi nanti.

Saingan sengit semestinya untuk memenangkan setiap kerusi. Sudah pasti faktor pertembungan dua penjuru, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tawaran manifesto, isu semasa dan kebajikan rakyat Kedah menjadi penentu kepada keputusan PRN DUN Kedah ini.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)