"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasatan Jana Wibawa, SPRM akhirnya dedah apa yang berlaku

SHAFIQAH MUKHSIN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tiada campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan berhubung program Jana Wibawa.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM kelmarin, siasatan terhadap individu adalah inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi sendiri oleh suruhanjaya berkenaan.

“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajan dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak,” kata kenyataan tersebut.

Justeru itu, segala tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM dijalankan atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali.

“Segala tohmahan tersebut adalah tidak benar serta telah menjejaskan imej suruhanjaya ini,” tegas kenyataan itu.

Ustaz jenis mulut longkang

Isu masjid, Ustaz Zainul Asri mohon maaf
Zuhainy
USTAZ Zainul Asri Mohd Romli membuat permohonan maaf menerusi video di aplikasi TikTok, di sini. FOTO Tular
USTAZ Zainul Asri Mohd Romli membuat permohonan maaf menerusi video di aplikasi TikTok, di sini. FOTO Tular
USTAZ Zainul Asri Mohd Romli membuat permohonan maaf menerusi video di aplikasi TikTok, di sini. FOTO Tular
Georgetown: Penceramah bebas Ustaz Zainul Asri Mohd Romli memohon maaf berhubung kenyataan menerusi video kuliahnya di aplikasi TikTok berhubung status sebuah masjid baru-baru ini.

Zainul Asri berkata, kenyataan itu dibuat ketika kuliahnya di Surau Al-Huda, Alor Setar pada 14 Februari lalu.

"Saya menyedari kenyataan itu menimbulkan kegusaran dan ketidaktenteraman dalam masyarakat. Sebenarnya kenyataan itu adalah didengari daripada orang tempatan.

"Saya kira ia tidak berkaitan dengan situasi semasa, mungkin ia (sebuah) sejarah lama namun tidak ada bukti dapat kita tampilkan bagi dijadikan bukti atau dokumen.

"Jadi saya memohon maaf kepada barisan Majlis Agama Islam di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan semua anggota masyarakat yang terjejas yang dibuat," katanya menerusi video di Aplikasi TikTok hari ini.

Terdahulu, Zainul Asri menerusi video tular itu mendakwa sebuah masjid di Pulau Pinang yang dahulunya dimiliki India Muslim, kini menjadi tempat ibadat orang bukan Islam selepas pemiliknya pulang ke India.

Berikutan itu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menuntut permohonan maaf daripada Zainul Asri berikutan kenyataannya yang dilihat boleh menimbulkan salah anggap dalam kalangan masyarakat.

Selain menafikan dakwaan itu, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ia juga boleh menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama di negeri ini.

Pemandu kepala lori maut dihempap kontena

Bernama

BUTTERWORTH: Seorang pemandu prime mover, atau kepala lori, maut selepas tersepit dalam kabin jentera itu yang dihempap kontena, di kawasan terminal kontena.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata kemalangan membabitkan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu berlaku kira-kira 10.13 pagi ketika mangsa sedang bekerja.

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa merupakan pemandu kepala lori salah sebuah syarikat pembekal jentera kepala lori di terminal kontena tersebut dan dia dikatakan membuat pusingan U ketika dalam perjalanan menghantar kontena ke kapal,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya kemalangan itu menyebabkan kepala mangsa tersepit dalam kabin pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Hairozie berkata ekoran insiden tersebut, pihaknya mengeluarkan notis larangan bagi aktiviti pengendalian kepala lori di terminal itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja.

“Majikan juga bertanggungjawab membuat penilaian risiko serta seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya.

Katanya kemalangan seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Lebih 14,000 teks bahan bacaan al-Quran tiada kelulusan KDN dirampas

Bernama

SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 14,249 teks dan bahan bacaan al-Quran di sekitar Lembah Klang, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata antara sebab rampasan adalah kerana teks dan bahan bacaan al-Quran itu tidak mempunyai kelulusan KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

“Ciri-ciri al-Quran yang dirampas ini antaranya tidak ada cop LPPPQ dan pelekat hologram KDN di kulit luar serta ia ditulis dengan resam selain Uthmani.

“Apabila disemak lagi, maka terdapat sana sini kesilapan huruf, tanda baca, ayat, yang kita khuatiri apabila pengamal membaca akan memberi maksud salah terhadap ayat al-Quran yang diturunkan,” katanya kepada media selepas mesyuarat LPPPQ di sini hari ini.

Ditanya mengenai aplikasi al-Quran yang mendapat perakuan LPPPQ, beliau berkata setakat ini hanya satu sahaja diperakukan iaitu Smart Quran, dibangunkan secara kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan KDN.

“Aplikasi Smart Quran diperakui bebas daripada kesilapan kerana dah melalui proses semakan dan perakuan oleh LPPPQ, manakala lain-lain aplikasi yang ada sekarang ini belum melalui proses tersebut.

“Kita tak kata (aplikasi) al-Quran lain salah cuma ia tidak melalui proses semakan. Jadi digalakkan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran membangunkan al-Quran secara digital untuk mohon kelulusan bagi memastikan (aplikasi) al-Quran dibangunkan mereka adalah sahih dan tepat,” katanya.

Mengenai hasil mesyuarat hari ini, beliau berkata antara perkara dipersetujui adalah membatalkan satu lesen mencetak al-Quran di Pulau Pinang kerana syarikat tersebut didapati sudah tidak aktif mencetak al-Quran.

Mesyuarat juga meluluskan empat pruf akhir teks al-Quran, menjadikan setakat ini terdapat 916 perakuan pruf akhir teks al-Quran yang telah diluluskan, katanya.

“Pruf ini diperlukan untuk memastikan teks dan bahan al-Quran yang dicetak, diterbit, diimport dan diedar dalam negara ini tidak mengandungi apa-apa kesilapan dan kesalahan dalam menjaga kesucian al-Quran.

“Jumlah al-Quran yang mempunyai perakuan KDN adalah dipercayai mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna di negara ini,” katanya.

Peguam Negara: Pendakwaan dibuat kerana ada keterangan, bukti kukuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan jabatan itu melakukan pendakwaan terpilih, bermotifkan politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu.

Peguam Negara Idrus Harun berkata setiap pendakwaan dibuat ke atas mana-mana individu selepas terdapat keterangan dan bukti-bukti kukuh wujudnya salah laku tanpa mengira latar belakang individu tersebut.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh menunjukkan mana-mana individu melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang, individu tersebut akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya.

“Setiap pertuduhan dilakukan di mahkamah bukan atas desakan mana-mana pihak,” tambahnya.

Sebelum ini beberapa pihak mempersoalkan siasatan dan pendakwaan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa yang didakwa bersifat pendakwaan bermotifkan politik.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional menyifatkan dakwaan, penahanan dan pertuduhan terhadap pemimpin Bersatu adalah bukti berlakunya pendakwaan bermotifkan politik oleh kerajaan.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Syarikat Cina ‘dibumiputerakan’, Anwar dedah satu lagi skandal Jana Wibawa

WAN SITI AMINAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan ahli perniagaan Cina turut mengambil bahagian di dalam projek Jana Wibawa.

Menurutnya, Jana Wibawa dibangunkan untuk membantu usahawan Bumiputra, namun ada pihak yang mengambil kesempatan dan melanggar peraturan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tidak menghalang sekiranya projek itu benar-benar membantu golongan bumiputera.

Namun begitu, terlalu banyak peraturan kewangan yang dilanggar oleh projek Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) itu.

“Ada syarikat Cina yang ‘dibumiputerakan’ kerana dia kebetulan kawan baik di Johor. Itu pun nak dipertahankan.

“Yang mesti pertahan ini projek bumiputera tetapi bagi pada Cina. Tak apa, apa dia (bagi syarikat Cina) peraturan kewangan apa itu?.

“Kalau hendak bagi projek saya tak halang tapi ini untuk bumiputera. Kita dikelirukan,” katanya ketika menggulung Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

Oleh yang demikian, kerajaan membuat keputusan untuk merunding semula projek berkenaan dan tidak mustahil, Jana Wibawa dapat diteruskan.

Projek Jana Wibawa merupakan program khusus pembangunan kontraktor Bumiputera Tulen yang diluluskan ketika penularan pandemik COVID-19.

‘Mentega Terbang’: Jangan biarkan sesiapa pun menghina Islam dengan alasan bodoh

Bukit Aman ambil keterangan pengarah, pelakon ‘Mentega Terbang’

Joel Shasitiran


(Dari kiri) Zaid Malek, Khairi Anwar Jailani, Arjun Thanaraju dan peguam Mahajoth Singh di luar Bukit Aman.
KUALA LUMPUR: Polis merekodkan keterangan pengarah dan salah seorang pelakon filem kontroversi “Mentega Terbang”.

Khairi Anwar Jailani dan pelakon Arjun Thanaraju dipanggil ke Bukit Aman pagi ini.

“Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dan menjawab semua soalan diajukan polis,” kata Khairi selepas kenyataan itu direkodkan.

Beliau berkata, pembikin filem harus diberikan kebebasan untuk menonjolkan kreativiti mereka.

“Tugas kami sebagai pembikin filem adalah untuk mengetengahkan isu semasa, dan kebebasan bersuara kami tidak seharusnya dikawal,” katanya.

Peguam Zaid Malek mewakili Khairi dan Arjun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan suasana tidak harmoni, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Mentega Terbang” yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan juga artis.

Filem ini berada dalam talian sejak 2021.

Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyemak kandungan filem itu dan mendapati ia bertentangan akidah Islam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, platform aplikasi penstriman Viu mengeluarkan filem kontroversi itu pada 27 Feb.

SKMM berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan Jakim bagi memantau kandungan bercanggah dengan ajaran Islam.

Entiti, individu dalam perbicaraan Muhyiddin

Malaysiakini

Kertas pertuduhan bagi perbicaraan rasuah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menamakan tiga syarikat dan satu individu.

Satu set pertuduhan berkaitan undang-undang pengubahan wang haram manakala satu lagi adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa.

Di bawah ialah gambaran ringkas tentang entiti dan individu yang terlibat.

Bukhary Equity Sdn Bhd

Bukhary Equity Sdn Bhd dimiliki oleh Syed Mokhtar Shah Syed Nor dan isterinya Sharifah Zarah Syed Kechik memiliki Bukhary Equity Sdn Bhd, dengan Syed Mokhtar mempunyai 99 peratus kepentingan.

Rekod syarikat menunjukkan bahawa ia adalah sebuah syarikat "pemegang pelaburan" dengan alamat di tengah-tengah Kuala Lumpur dan dalam jarak berjalan kaki dari Masjid Negara.

Alamat tersebut dikongsi oleh Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Yayasan Al-Bukhary dan Yayasan Keamanan Global Perdana.

Menurut senarai Forbes 2022, Syed Mokhtar adalah rakyat Malaysia ke-15 terkaya dengan anggaran nilai harta AS$1.5 bilion (RM6.8 bilion).

Syed Mokhtar terkenal dengan sikap dermawanannya dan empayar perniagaan yang merangkumi pertanian, pembuatan, telekomunikasi dan industri media.

Bukhary Equity Sdn Bhd didakwa telah memasukkan RM120 juta dalam akaun bank CIMB Bersatu antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021.

Syarikat itu membuat deposit lagi sebanyak RM75 juta ke akaun bank yang sama antara 8 Feb 2022 dan 8 Julai 2022.

Kertas pertuduhan terhadap Muhyiddin menyatakan kedua-dua perbuatan itu melanggar Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Muhyiddin menghadapi satu lagi pertuduhan menyalahgunakan jawatannya bagi suapan RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd untuk Bersatu.

Pertuduhan ini membabitkan pelanggaran Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 antara 8 Feb 2021 dan 25 Feb 2021.

Selepas Muhyiddin dibebaskan daripada soal siasat SPRM malam tadi, dia memberitahu pemberita bahawa salah satu pertuduhan adalah berhubung keputusannya memberikan pengecualian cukai untuk Yayasan Al-Bukhary.

Nepturis Sdn Bhd

Nepturis Sdn Bhd ialah sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan, meskipun rekod Suruhanjaya Syarikat menyenaraikan syarikat itu sebagai "kontraktor untuk perkhidmatan penyelenggaraan".

Pemilikan sama rata antara Aliza Abdul Malek dan Rizman Akum Khan. Pada tahun kewangan 2021, syarikat itu mempunyai pendapatan RM13 juta dan memperoleh keuntungan RM1 juta.

Dalam perbicaraan berasingan terhadap Wan Saiful Wan Jan, syarikat itu didakwa telah membayar bekas ketua penerangan Bersatu itu RM6.96 juta untuk mendapatkan surat anugerah daripada kerajaan persekutuan bagi projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" bernilai RM232 juta.

Ini adalah sebahagian daripada projek Central Spine Road yang akan menjangkau dari Kuala Krai, Kelantan ke Bentong, Pahang.

Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad

Nepturis Sdn Bhd turut disebut dalam kertas pertuduhan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, yang didakwa meminta rasuah RM2 juta dan menerima rasuah RM4.1 juta daripada seorang individu bernama Lian Tian Chuan untuk membantu syarikat itu memenangi kontrak projek bernilai RM141 juta.

Mengikut kertas pertuduhan Muhyiddin, dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebanyak RM1 juta sebagai suapan daripada Nepturis Sdn Bhd antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Mamfor Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Mamfor Construction Sdn Bhd, merupakan syarikat yang terlibat dalam pembinaan, penyewaan jentera, penyewaan premis dan "survey CCTV".

Pemilikan syarikat dibahagikan antara Sharani Kassim (60 peratus) diikuti Shahradzi Shamsuddin (39 peratus) dan Faezah Kassim (satu peratus).

Menurut rekod Jabatan Kerja Raya, Mamfor, di bawah nama lamanya, telah dikontrak oleh kerajaan untuk membina bangunan sekolah seawal tahun 2008. Syarikat itu telah diperbadankan pada tahun 1996.

Maklumat kewangan terkini yang tersedia dengan Suruhanjaya Syarikat adalah untuk tahun 2017, yang menunjukkan syarikat itu memperoleh hasil sebanyak RM137,294 pada tahun itu dan mencatatkan keuntungan sebanyak RM312,113.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhyiddin telah menyalahgunakan jawatannya untuk dorongan RM19.5 juta daripada Mamfor Sdn Bhd antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, untuk manfaat Bersatu.

Azman Yusoff, 51, lebih dikenali sebagai ketua Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia.

Dia juga merupakan ahli Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), sebuah badan berkanun, sejak 2019.

Kertas pertuduhan menyatakan bahawa Muhyiddin telah menyalahgunakan jawatannya untuk dorongan RM12 juta daripada Azman untuk faedah Bersatu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Terbaru: Muhyiddin berdepan satu lagi tuduhan rasuah di mahkamah Shah Alam

Malausiakini

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bakal menghadapi satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah Shah Alam Isnin depan.

Demikian menurut Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap kepada penyokong di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini, Faizal kesal dengan tindakan terhadap Muhyiddin, yang menurutnya banyak berjasa kepada negara.

"Jika seorang negarawan pun boleh diperlakukan sedemikian, bagaimana nasib rakyat?" katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambah Faizal, dia yakin Muhyiddin tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional, dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta, di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara Mac 1, 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Ahli politik berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta.

Muhyiddin akan didakwa lagi pada Isnin

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan dikenakan lagi tuduhan rasuah dan salah guna kuasa pada Isnin di Mahkamah Shah Alam, kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap kepada penyokong Perikatan Nasional (PN) di luar bangunan Mahkamah Kuala Lumpur, Faizal mengajak mereka hadir sekali lagi pada Isnin untuk memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

“Saya dapat perkhabaran juga, satu lagi pertuduhan akan dibuat pada Isnin di Mahkamah Shah Alam.

“Kita sama-sama turut mengiringi ‘Abah’ kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yakin tuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin hari ini akan mengukuhkan sokongan kepada PN.

“Saya rasa apa yang berlaku ini akan menambah lagi sokongan kerana rakyat memahami apa yang berlaku. Dan ini akan diterjemahkan dalam enam PRN akan datang.

“Kalau ada pihak menggunakan gerakan reformasi untuk mendapatkan sokongan, ini lebih daripada reformasi, itu yang boleh saya katakan,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menganggap tuduhan terhadap Muhyiddin adalah pendakwaan terpilih bersifat politik.

“Pada kami, ini pendakwaan terpilih, semata-mata nak tunjuk seolah-olah presiden Bersatu melakukan kesalahan.

“Tetapi kami yakin akan ditentukan selepas ini, kami akan menang pada perbicaraan nanti,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

Muhyiddin didakwa enam pertuduhan babitkan RM232.5 juta

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi pagi ini.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20 2021.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama, menuduh ahli politik berusia 76 tahun itu menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Ahli parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Manakala bagi kes pengubahan wang haram boleh dihukum penjara 15 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Ikat jamin RM2 juta

Pada prosiding pagi tadi, Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memohon ikat jamin ditetapkan RM2 juta dengan dua penjamin tempatan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.

Peguam Muhyiddin K Kumaraendran memaklumkan mahkamah pihak pembelaan bersetuju dengan cadangan jaminan dan syarat-syaratnya.

Azura kemudian membenarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin tempatan dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Pada akhir prosiding hari ini, Terrirudin memaklumkan Muhyiddin dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Bagaimanapun, tidak didedahkan jenis pertuduhan itu.

Pertuduhan Muhyiddin hari ini selepas dia dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.

Anwar: Saya jadi PM bukan untuk aniaya, zalimi sesiapa

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih susulan penahanan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Saya pegang jawatan ini bukan untuk menganiaya, menekan atau menzalimi sesiapa, saya tahu apa erti pendakwaan terpilih,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, projek Jana Wibawa tidak akan dibatalkan, sebaliknya akan diteruskan khusus untuk membantu golongan Bumiputera.

“Saya runding semula kerana banyak pelanggaran peraturan kewangan, ada syarikat Cina ‘diBumiputerakan’ kerana dia kebetulan kawan baik di Johor. Jadi itu pun nak pertahankan, projek Bumiputera bagi kepada Cina…apa dia, peraturan kewangan apa macam ini.

“Kalau nak bagi projek, saya tidak halang tetapi ini projek khusus Bumiputera, mengelirukan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Anwar, Jana Wibawa dikatakan mempunyai dua fasa di bawah tata kelola Pagoh dan Bera.

“Jana Wibawa fasa 1.0 itu Pagoh (Muhyiddin), Jana Wibawa 2.0 itu Bera (Ismail Sabri Yaakob)…saya tidak ambil kisah. Terpulang kepada SPRM, nak semak..semaklah. Saya tak kata harus semak Jana Wibawa 1.0, kalau rasa ada bukti 2.0 bawah Bera.. siasat, saya tidak suruh,” katanya.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, fitnah dan kecaman boleh berlaku kepada sesiapa saja.

“Puchong (merujuk Gobind Singh Deo, bekas Ahli Parlimen Puchong) pun ada, dia faham. Tetapi mereka cerca kita, tanya penjelasan SPRM dan peguam negara, sepatutnya dituju ke situ,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus menilai apa pertuduhan dan bukti sama ada terdapat rasuah atau tidak.

“Ini maknanya seolah-olah rasuah ini perlu dipertahankan kerana dia kawan kita, tengok dulu apa pertuduhan dan bukti, betul atau tidak rasuah. Kalau fitnah, tak payah orang PAS, saya sendiri akan bangun menentang fitnah terhadap sesiapa.

“Tetapi kalau benar ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, baca al-Quran, hadis dan kitab kita pertahankan rasuah, di mana pendirian kita,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok berhubung projek Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Pagoh itu bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Muhyiddin dibebaskan selepas 9 jam disoal SPRM

Mohamad Fadli

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sembilan jam disoal, berhubung program Jana Wibawa.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu keluar dari bangunan SPRM dengan menaiki Toyota Vellfire pada kira-kira 8.20 malam.

Beliau dipercayai terus ke markas Pas Taman Melewar di Gombak, Selangor untuk program solat hajat.

Muhyiddin ditahan SPRM pada 1 petang tadi selepas dipanggil untuk diambil keterangan dalam siasatan berkait program Jana Wibawa.

SPRM memaklumkan ia mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Bukit Aman siasat Hadi berkait kenyataan jatuh kerajaan

Bernama

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.

“Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas dalam sidang media di IPD Sentul, ketika diminta mengulas perkembangan isu itu.

Laporan polis itu dibuat Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua PKR Selangor, Izuan Kasim, berhubung kenyataan Hadi yang mengaku terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hadi pada Isnin ketika ditemu bual media di Parlimen berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN itu berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau akuan berkanun (SD).

PAS buat solat hajat mohon Mahiaddin dipelihara Allah

Shakira Buang

Pemimpin PAS meletakkan harapan agar Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin akan selamat berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga mendakwa Muhyiddin berdepan “tuduhan terpilih” bagi menutup isu melibatkan parti lawam mereka Umno.

“Tuduhan mutakhir ini lebih bersifat ‘tuduhan’ terpilih bagi melindungi dan mengelak dan menutup satu isu yang besar berlaku dalam komponen PH iaitu Umno berhubung Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Jadi isu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menutup isu sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah ‘pertuduhan’ terpilih dan kita harap Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Setakat ini SPRM belum mengumumkan kata putus sama ada akan menuduh Muhyiddin di mahkamah ataupun tidak.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) percaya Muhyiddin akan dituduh di mahkamah esok dan mendakwa ia sebagai “tindakan” pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar sebentar tadi menegaskan dia tidak masuk campur urusan membabitkan siasatan terhadap Muhyiddin, yang sejak semalam dispekulasi akan diheret ke mahkamah atas dakwaan rasuah berkaitan program Jana Wibawa.

Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian itu hadir bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin yang dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Tersahulu Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 11.15 pagi dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Velfire berwarna hitam diiringi tiga buah kereta lain sebelum dikerumuni penyokong dan pemberita.

Muhyiddin yang turun berjumpa penyokong turut disambut dengan takbir, sorakan dan selawat sebelum diiring penyokong untuk masuk ke ibu pejabat SPRM.

Semalam tersebar dakwaan palsu bahawa dia ditahan di sebuah padang golf. Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.

Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.

Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kubu kuat Muhyiddin.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata pihaknya akan mengadakan solat hajat malam ini di markas PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur sebagai menyatakan sokongan terhadap presiden Bersatu itu.

Selain itu katanya satu lagi himpunan akan berlangsung di Rusila, Terengganu pada malam ini.

“Kita arahkan seluruh markas PAS dan Bersatu serta parti dalam PN untuk solat hajat berdoa semoga Allah mudahkan perjalanan pimpinan kita,” katanya.

Tuntut pampasan kerana terpotong 'anu'

 Agensi

Rom: Seorang pakar bedah di Itali disiasat oleh pegawai kesihatan tertinggi negara itu kerana tersilap memotong kemaluan pesakit.

Metro UK melaporkan, pakar urologi berusia 30 tahun itu melakukan pembedahan membuang alat sulit itu pesakit berkenaan sebulan selepas mengesahkan lelaki itu yang dipercayai berusia 60-an, menghidap barah.

Laporan menunjukkan pembedahan membuang alat sulit itu berjalan lancar, namun analisis kemudian mendedahkan tiada sebab untuk prosedur itu dilakukan.

Pesakit itu kini menuntut pampasan daripada doktor yang mengendalikan pembedahan di Hospital San Donato di Arezzo, Tuscany, pada 13 November 2018 itu.

Perbicaraan kes itu dijangka bermula 9 Mac (semalam).

Kes serupa pernah dilaporkan di Perancis pada Disember tahun lalu, selepas beberapa siri kesilapan mengakibatkan 'kehilangan' alat sulit lelaki di Hospital Universiti Nantes.

Lelaki itu, yang dilaporkan berusia 30-an, berkata, pembedahan itu menyebabkan dia tidak lagi 'berasa apa-apa'.

"Saya benci dengan doktor ini yang tidak mendengar cakap saya.

"...hati saya benar-benar hancur dan ia sangat memalukan," kata mangsa yang tidak dinamakan itu kepada agensi media tempatan, France Bleu.

Bagi kes di Perancis, lelaki itu menuntut ganti rugi 1 juta euro (kira-kira RM4.8 juta). Bagaimanapun, laporan tempatan menyatakan mangsa hanya menerima pampasan 62,000 euro iaitu kira-kira RM294,000.

Pelakon berdepan hukuman gantung

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menetapkan 31 Mac nanti bagi mengetahui laporan kimia terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dihadapi seorang pelakon dan tiga rakannya.

Majistret Wong Chai Sia membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan bahawa laporan itu masih belum diterima.

Terdahulu, pelakon terbabit, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29, dan tiga lagi tertuduh, H S Sarvinder Singh, 23, Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30, dan Delson Dean Samson Akmal, 26, didakwa pada 10 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret berkenaan kerana kes membabitkan hukuman mati berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh secara bersama mengedar ganja seberat 494 gram di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini, jam 9.34 malam pada 3 Januari lalu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau dikenakan sebatan minimum sembilan kali dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, tiga tertuduh iaitu Said Muhammad Ismail, Muhammad Amir Hafiz dan Delson Dean diwakili peguam, Mohamaed Ashmeer Ashrof, manakala Savinder Singh diwakili peguam Shastidaran Sathaiseelan.

Said Muhammad Ismail adalah pemilik kedai vape, manakala Savinder Singh serta Delson Dean bekerja di kedai vape berkenaan dan Muhammad Amir Hafiz pula penjual burger.

Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki ditahan selepas dipercayai menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau 'vape' dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama pada 3 Januari lalu.

Langgar titah ceramah di masjid, PH gesa siasat Hadi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) meminta pihak berkuasa menyiasat Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana melanggar titah Sultan Terengganu yang melarang kuliah atau ceramah agama di masjid dan surau negeri itu.

Pengerusi PH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata sebagai pemimpin kanan parti dan bekas menteri besar, Hadi tidak wajar mengeluarkan kenyataan angkuh sebegitu, malah membuat kenyataan terbuka akan terus berceramah seperti biasa.

“Sebagai rakyat Terengganu, kami amat kesal dengan kenyataan dikeluarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyanggah titah Sultan Terengganu berhubung larangan orang politik untuk berceramah atau berkuliah politik di masjid dan surau.

“Arahan ini dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada 2 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis di Kuala Terengganu.

“Kami memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan dan apa jua tindakan sewajarnya.”

Sabtu lalu, Hadi menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau.

Sebaliknya, menurut timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, menjadi kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

Kenyataan Hadi sebagai respons kepada Yang Dipertua Maidam, Shaikh Harun Shaikh Ismail yang mengeluarkan larangan ahli politik berceramah di masjid atau surau.

Dalam kenyataan Jumaat lalu, Shaikh Harun berkata ia bertujuan supaya semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk politik kepartian.

“Saya akan teruskan ceramah seperti biasa di surau-surau dan masjid-masjid,” katanya Hadi membalas kenyataan larangan itu.

Hadi Awang diingatkan tak keluar kenyataan singgung institusi diraja

PM Anwar mohon Hadi Awang tak keluar kenyataan singgung institusi diraja
SHAFIQAH MUKHSIN

Masih beri ceramah walaupun sudah dilarang, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar tidak menyinggung institusi diraja.

Anwar memaklumkan bahawa soal kebenaran untuk beri kuliah dan ceramah adalah terpakai kepada semua pihak termasuk beliau sendiri.

“Beliau (Abdul Hadi) harus faham bahawa kuasa agama di sesebuah negeri itu adalah di bawah kuasa raja-raja.

“Semalam di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya ada menyebut dalam ucapan bahawa Tuanku telah memerintahkan agar masjid- masjid diimarahkan cuma ia tidak boleh menjadi kuliah politik,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Sekiranya larangan tersebut adalah agenda politik, maka ia adalah tidak benar kena keputusan dibuat sebelum baginda bertemu Anwar lagi.

“Rasional keputusan untuk membuat larangan tersebut adalah kerana terlalu banyak bicara soal agama di masjid juga surau yang terlalu keras jalur politiknya.

“Jadi jika beliau (Abdul Hadi) tidak bersetuju dengan keputusan tersebut maka haruslah dibawa dan persembahkan kepada Tuanku, jangan pula diserang kerajaan,” ujar beliau.

Anwar: Tiada maaf jika berbilion wang rakyat dicuri

Faiz Zainudin

PUTRAJAYA: Anwar Ibrahim boleh memaafkan individu yang memukulnya ketika di penjara, tetapi beliau tidak akan berkompromi dengan pencuri berbilion ringgit wang negara.

Perdana menteri itu berkata, beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk memaafkan mereka yang mencuri hasil negara.

“Saya tak berhajat mengorek dan mencungkil semua kelemahan lalu, melainkan kalau ia melibatkan dana banyak yang mesti dipulangkan kepada negara.

“Saya dipukul setengah mati, saya maafkan kerana itu soal peribadi, tapi wang dicuri berbilion-bilion, saya tiada kuasa maafkan,” katanya dalam ucaptama sesi interaksi perdana menteri bersama ketua perwakilan diplomatik Malaysia secara maya sempena sesi pemukiman Wisma Putra. 

Beliau berkata, wang dicuri itu merupakan hak rakyat dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa mendapatkannya kembali kerana ia boleh digunakan untuk manfaat rakyat, termasuk membaik pulih sekolah dan klinik kesihatan daif.

Anwar mengakui bukan tugas mudah membawa perubahan kepada negara, termasuk bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa yang memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya ingin tegaskan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kita berdepan kekuatan yang akan menghalang perubahan.

“Kumpulan elit politik yang selesa dan senang dengan kuasa mereka, cara rasuah mereka dengan menyorok, mereka tak mahu lakukan perubahan.”

J-Kom: Berhentilah 'mengigau' nak jatuhkan kerajaan

Malaysiakini

Akta antilompat parti yang berkuat kuasa mulai 5 Okt 2022 akan menyukarkan PAS mengatur langkah menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim, kata Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Ketua Pengarah J-Kom Mohammad Agus Yusoff berkata cubaan pembangkang terbabit juga akan berdepan dengan lebih banyak kesukaran kerana perdana menteri memiliki sokongan dua per tiga ahli Dewan Rakyat.

Justeru bekas ahli akademik itu menasihatkan para pemimpin PAS agar tidak lagi "mengigau" untuk menjatuhkan kerajaan seperti pernah dilakukan mereka pada 2020.

"Jika begitu senarionya, berhentilah mengigau untuk menjatuhkan kerajaan ini.

"Jika hendak berpolitik pun, tunggulah PRU ke-16 nanti, biar kerajaan stabil dulu.

"Buat masa sekarang jadilah pembangkang yang membina untuk membangunkan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pandangan itu muncul sehari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menganggap titah Yang di-Pertuan Agong - agar kestabilan politik dikembalikan serta tiada lagi pelantikan perdana menteri baru di luar pilihan raya - sebagai tidak muktamad.

Bekas duta khas bertaraf menteri itu juga menganggap tindakan menukar kerajaan sebagai sesuatu yang "biasa" dalam politik.

“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik. Undi tidak percaya dan dapatkan SD (akuan berkanun), penyokong kerajaan berpaling tadah itu (biasa) berlaku.

“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati bersama-sama komponen sendiri, ada berlaku," katanya.

Tolak ekstremisme, tunggang agama

Untuk rekod pada Okt 2022 Abdul Hadi pernah mengaku secara terbuka yang dia merupakan individu bertanggungjawab memulakan langkah menjatuhkan kerajaan PH selepas gabungan itu memperoleh mandat pada PRU ke-14.

Mohammad Agus berkata dalam keadaan sekarang semua pihak perlu memastikan agar kerajaan tetap stabil kerana kegagalannya akan menyebabkan pelabur enggan datang ke sini.

Kerajaan sekarang juga, tambahnya, menekankan aspek perpaduan rakyat dan tegas menolak ekstremisme agama dan kaum, rasisme, penderhakaan terhadap Agong dan amaan menunggang agama serta bangsa.

Pertukaran kerajaan pula, kata Mohammad Agus, sepatutnya berlaku melalui PRU.

"Dalam sistem demokrasi, menukar kerajaan adalah melalui pilihan raya.

"Selepas pilihan raya, semua parti perlu bekerjasama untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

"Nanti apabila datang PRU berikutnya, serahkanlah semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan. Takkan itu pun tidak faham?" katanya.

Haji Hadi cenderung remehkan pihak tak disukainya

Rais Hussin

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sering tersilap dalam banyak perkara walaupun dilihat sebagai tokoh agama yang faham isi kandungan al-Quran dan isu teologi.

 Kesilapan besar sebegini boleh membawa kepada fitnah dan juga berniat jahat atau “mala fide”, sebagaimana disebut dalam bahasa Latin.

Perlu diingatkan rakyat Malaysia sangat menghormati institusi diraja, institusi kerajaan, polis dan tentera. Ini dicerminkan dalam pentadbiran berpanjangan kerajaan terdahulu pada peringkat persekutuan dari tahun 1955 hingga 2018. Sejarah kemudiannya dilakar pada 2018 di mana PH menamatkan pemerintahan BN yang lama.

Bagaimanapun, kenyataan Hadi yang menjangkakan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi jelas menunjukkan presiden Pas tersebut tersilap dan cenderung meremehkan sesiapa sahaja yang tidak disukainya.

Kerajaan pimpinan Anwar – yang pentadbirannya bermula lebih 100 hari yang lalu – dilawan oleh sekumpulan penentang yang bagai berseru di padang pasir. Golongan ini berusaha meyakinkan diri mereka bahawa kerajaan akan tumbang. Kemenangan Anwar menyebabkan ramai orang, sama ada pundit dari Asia Times atau penganalisis dasar di Barat, secara sinis mengatakan bahawa kerajaan tidak dapat bertahan lama, apatah lagi 5 tahun.

Pengkritik kerajaan PH adalah yang pertama menyuarakan perkara tersebut. Mereka ini adalah orang yang mengatakan “semua inisiatif dasar ekonomi PM bakal gagal dalam masa beberapa minggu, anda lihat sahaja”, dan mereka inilah yang hilang wang deposit ketika PRU ke-15 lepas.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika kerajaan kesuntukan masa untuk menghimpunkan semua gabungan pada awal Disember lalu. Namun, sebaik sahaja kabinet dibentuk, semua berlumba untuk mempamerkan kesungguhan mereka dalam menangani cabaran pentadbiran dan berjaya membuktikannya sehinggalah sekarang.

Kecenderungan memburukkan sesiapa sahaja yang bukan ahli Pas atau PN kini muncul kembali dalam diri Hadi apabila menjelang 100 hari pentadbiran kerajaan perpaduan yang telah mendapat sokongan penuh Majlis Raja-raja Melayu. Ini bermaksud perkhidmatan awam di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong perlu mematuhi titah Baginda dalam mendukung kepimpinan Anwar.

Tiada tanda sebarang bantahan daripada mana-mana ahli gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan terhadap Belanjawan 2023 yang dibentangkan 24 Februari lalu. Oleh itu, dakwaan Hadi yang kerajaan akan tumbang bila-bila masa sahaja hanyalah sikap sinis dan angkuhnya di dalam dan di luar Parlimen.

Kecuali kata-kata dan “amanat” dari Hadi dan mereka yang seangkatan dengannya, tiada apa pun yang orang lain lakukan dianggap betul. Kita tidak boleh lupa dengan Amanat Hadi yang pernah memecahbelahkan orang Melayu Islam. Hingga kini, Hadi masih tidak menunjukkan penyesalan atas perbuatannya yang membawa kepada masalah cerai-berai, solat dua imam dan putusnya hubungan kekeluargaan.

Megalomaniac istilah yang tepat untuk menggambarkan kecacatan personaliti seperti ini. Hadi dan kepercayaannya melambangkan politik Islam yang ekstrem dan kedudukannya sekarang adalah hasil ucapan berbaur kebencian yang dibuat.

Kedua, Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara gabungan Kerajaan Perpaduan kini merangkumi undang-undang antilompat parti.

Sebarang percubaan untuk meninggalkan pakatan yang menyokong kerajaan perpaduan akan mencetuskan pilihan raya yang mana jawatan yang sedia disandang akan hilang. Perlu diingat juga bahawa dalam kerajaan, perdana menteri juga menjadi menteri kewangan dan dia terpaksa meningkatkan belanjawan keseluruhan sebanyak 16.8 peratus kerana mengambil kira kemungkinan berlakunya kemelesetan global.

Umno telah memecat beberapa orang ahlinya pada Januari lalu tanpa memberi kesan buruk kepada pentadbiran Anwar. Ini membuktikan dia mengetuai kerajaan perpaduan dengan cekap. Umno juga tidak menjadi kucar-kacir kerana memilih untuk menyokong Anwar dan bukannya Perikatan Nasional (PN).

Ketiga, pemimpin dunia telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri. Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Presiden China Xi Jinping adalah antara mereka yang menyokong, selain beberapa ahli G7 dan G20 yang lain.

Perkara ini tidak terjadi semasa di bawah pentadbiran perdana menteri yang sebelumnya. Begitu juga dengan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tempoh perkhidmatannya hanya 13 bulan. Oleh itu, ia bukan tanpa sedikit ironi bahawa Hadi mencadangkan bahawa kerajaan perpaduan pimpinan  Anwar akan tumbang.

Ini kerana pentadbiran Pas dan Bersatu tidak mempunyai kesepaduan dan kepentingan nasional yang diperlukan, berbeza dengan pentadbiran sekarang yang disokong oleh undang-undang antilompat parti dan MOU.

Sebelum ini, PN sentiasa menantikan ahli-ahli parlimen PH untuk menyertai mereka, selain yang terlibat dengan Langkah Sheraton pada 29 Februari 2020. Hanya Dr Xavier Jayakumar sahaja yang akhirnya menyertai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Lapan daripada 11 orang ahli Parlimen yang terlibat dalam pengkhianatan ini telah ditendang keluar oleh rakyat semasa PRU lepas.

Pentadbiran PN akhirnya tumbang dek mereka sendiri.

Tetapi ini tidak mungkin berlaku kepada kerajaan perpaduan yang semakin kukuh serta bersedia untuk menewaskan PAS dan Bersatu pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Kini, setelah belanjawan dibentangkan, Anwar akan mengetuai kerajaan dalam melancarkan usaha perangi rasuah dengan lebih sistematik dan berasaskan bukti.

Hadi seharusnya mula mempersoalkan dirinya sendiri, kenapa dia menjadi sebahagian daripada dua kerajaan tersingkat dalam sejarah Malaysia, jika dia masih percaya yang kerajaan perpaduan akan tumbang bila-bila masa.

Hanya kerana Hadi menjadi sebahagian daripada dua pentadbiran paling lemah dalam sejarah Malaysia, tidak bermakna yang kerajaan perpaduan akan mengalami nasib yang sama. Ini dapat dilihat melalui usaha Anwar menyatukan Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Hakikatnya, majoriti dua pertiga sokongan yang diperoleh Anwar, yang pertama sejak 2005, bukanlah satu kebetulan.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pemikir politik dari semua pihak yang membentuk gabungan kerajaan perpaduan bagi memberikan Anwar kelebihan yang boleh digunakan untuk menghentikan kehancuran Malaysia, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai alternatif dalam dunia Islam dan Asia Pasifik yang tidak pernah bebas daripada persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar.

Hadi perlu berhenti daripada menggunakan kaedah yang lapuk dan tidak jujur dalam memperdagangkan Islam demi kepentingan politik partinya. Sebaliknya, bersikaplah sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab dan lakukan apa yang betul untuk negara dan semua.

Pintu taubat sentiasa terbuka.

Mayat wanita ditemui dalam kereta dihanyut arus deras

Bernama

MERSING: Mayat seorang wanita ditemukan dalam sebuah kereta Perodua Myvi malam tadi, dipercayai hanyut dibawa arus deras di Jalan Nitar Utama di sini, pagi semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor, Mohd Rizal Buang, berkata mayat wanita berkenaan ditemukan dalam kereta itu pada 10.19 malam, selepas keretanya ditemukan pada 6.55 petang.

Beliau berkata kereta berwarna kelabu milik mangsa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan “vehicle rockery system”, yang mengambil masa kira-kira 40 minit berikutan berdepan kesukaran akibat pokok-pokok yang menghalang.

“Kita berjaya menemukan mangsa setelah kereta berkenaan dibawa naik sebelum menyerahkannya kepada pihak polis pada 10.22 malam untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, kereta mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada jarak 15 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan penemuan mayat wanita itu, yang dipercayai pemandu Perodua Myvi yang dilaporkan hilang.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan berasingan, malam tadi.

Pada kejadian kira-kira 6.49 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan memandu di jalan raya yang telah dinaiki air sebelum dihanyutkan arus bersama-sama kereta yang dipandunya.

Polis tahan tok siak, warga emas disyaki cabul budak perempuan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan tok siak dan warga emas kelmarin bagi membantu siasatan kes cabul melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Hulu Selangor.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Mohd Asri Mohd Yunus, berkata pihaknya mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu pada 4.53 petang kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian terbabit dipercayai berlaku di tandas surau dan rumah suspek di Bukit Sentosa.

“Laporan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dicabul dua lelaki berusia 56 dan 74 tahun. 

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor menahan dua lelaki terbabit di dua lokasi berasingan, pada hari sama.

“Kedua-dua suspek masing-masing adalah tok siak dan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi, menurut Berita Harian.

Mohd Asri berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan ujian air kencing mereka adalah negatif.

Katanya, dua suspek terbabit direman tujuh hari bermula semalam hingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama,” katanya.

Sultan Selangor puji pendirian Anwar

Malaysiakini 
Sultan puji pendirian Anwar tak iktiraf LGBT, negara sekular

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian perdana menteri yang tidak mengiktiraf  golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

"Baru-baru ini beta telah membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular," titah baginda. 

Titah baginda, jaminan itu bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Anwar selepas kira-kira sebulan setengah menjadi perdana menteri memberi jaminan bahawa golongan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak akan diiktiraf oleh pentadbirannya.

Bercakap dalam program khas RTM pada 7 Januari, Anwar berkata perkara itu hanya dibangkitkan pihak tertentu yang cuba menyebarkan perkara tidak benar.

Dia juga menyaman Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mengaitkannya dengan agenda LGBT semasa kempen pilihan raya umum lalu.

Saman fitnah itu bagaimanapun selesai apabila Razman menarik balik kenyataan, memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Taiping dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Dalam titah di Istana Melawati, Putrajaya, baginda juga menyeru sokongan semua pihak kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta meletakkan pentadbiran institusi Islam persekutuan pada landasan sepatutnya.

"Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang telah dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi negara kita dan umat Islam. 

"Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baharu MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan mentaliti yang baharu, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia," titah Sultan Sharafuddin.  

Ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 tahun lepas, Sultan Sharafuddin dipilih sebagai pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.

Sebelum ini, jawatan itu disandang perdana menteri bermula dengan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sementara itu, Bernama melaporkan baginda berharap mesyuarat MKI ke-69 yang dipengerusikan baginda hari ini akan menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan peranan mentadbir agama Islam kepada pihak yang berhak. 

Sultan Selangor, yang julung kali mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak dipilih sebagai pengerusi MKI tahun lepas, berharap agar semua pihak menghormati peruntukan dalam perlembagaan yang menjamin hak dan kuasa raja-raja.

"Beta yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara raja-raja pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat persekutuan dan membolehkan hubungan yang lebih akrab dengan negeri-negeri, selari dengan lunas-lunas perlembagaan," titah baginda.

Anwar yang juga timbalan pengerusi MKI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar turut hadir.

Pemandu langgar 6 kereta ditahan positif ganja

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang melanggar enam kenderaan sebelum kereta dipandunya terbalik di Lebuhraya Bukit Jalil, Sabtu lepas, ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata dalam kejadian 10.30 pagi berhampiran Bulatan Lumba Kuda itu, suspek yang memandu kenderaan jenis Lexus hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan lain sedang berhenti di lorong kiri dan kanan jalan.

“Kemalangan itu bagaimanapun hanya menyebabkan kerosakan kenderaan terlibat dan tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan ujian air kencing mendapati dia positif ganja.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Khutbah berilmu tanpa sentimen kepartian

Wan Ji Wan Hussin

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kelihatan tidak selesa dengan arahan Majlis Agama islam Terengganu berkenaan larangan ahli politik daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid dan surau.

Dalam kenyataannya beliau turut menyebut akan tetap menyampaikan ceramah dan kuliah seperti biasa yang kelihatan seperti tidak hiraukan arahan tersebut.

Berkenaan khutbah jumaat, kuliah dan ceramah di masjid dan surau dalam negara ini, sejak sekian lama masih lagi terdedah kepada seruan sentimen yang tidak sihat. Namun, semua itu dihalalkan atas nama melawan sekular; hindari daripada politik suku, agama suku.

Menghalang perpecahan dan permusuhan sesama warganegara adalah ajaran Islam. Ekoran itu, amat salah jika digambarkan bahawa Islam membenarkan sentimen yang membawa kepada permusuhan hanya kerana perbezaan parti dan aliran mazhab..

Dengan sebab itu, mendakwa halangan tersebut sebagai agenda sekular adalah tersasar, bahkan secara tidak langsung memfitnah islam yang menyeru kepada hindari permusuhan.

Ilmu

Pengalaman semasa menuntut di Mesir, saya dapati mendengar khutbah yang disampaikan oleh para ulama al-Azhar adalah medan memberi ilmu.

Ada sebuah masjid di Kaherah, pengkhutbah itu menyampaikan khutbah bersiri berkenaan kisah Nabi Ibrahim sehingga sampai di era Khulafa al-Rashidin.

Untuk menyelesaikan kisah Nabi Ibrahim, memerlukan kepada lebih 20 siri khutbah yang setiap khutbah disampaikan kurang lebih 20 minit sahaja.

Demikian juga, saya pernah mendengar khutbah yang disampaikan oleh ulama al-Azhar yang mereka membahaskan berkenaan kewajipan zakat serta kaedah kiraan zakat.

Memandangkan khutbah hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja, menyebabkan kandungan khutbah tersebut dipenuhi dengan fakta penting.

Dengan sebab itu, menghadiri khutbah adalah medan mendapat ilmu. Hadir lambat atau tidur semasa mendengar khutbah adalah kerugian.

Namun begitu, ada juga sebilangan masjid-masjid di sana yang khutbah disampaikan dengan menaikkan sentimen sepertimana yang kita lihat berlaku di beberapa buah masjid di negara kita.

Sentimen

Islam di negara ini tidak pernah tergugat. Tetapi, sering dipersepsikan oleh golongan tidak bertanggungjawab bahawa ia tergugat.

Persepsi yang dimainkan kononnya Islam tergugat melahirkan sentimen rakyat. Kesannya, wujud prejudis sesama warganegara.

Persepsi yang melahirkan sentimen dan prejudis ini, tidak wajar disandarkan kepada Islam.

Apatah lagi, atas mimbar-mimbar Jumaat yang diperdengarkan kepada umat yang sedang beribadat.

Puad Zarkashi: Keputusan JPPM tamparan hebat golongan mahu jatuhkan Zahid, Tok Mat

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) bahawa tiada kesalahan dilakukan Umno berhubung usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi memberi tamparan kepada kumpulan yang ingin menjatuhkan presiden dan timbalan presiden.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata keputusan berkenaan telah menamatkan perancangan untuk mengganggu kestabilan dalam Umno.

“Kami yakin ada dalang yang berada di sebalik laporan yang dibuat kepada RoS (JPPM).

“Dalang itu kecewa kerana usahanya untuk menjatuhkan presiden (Ahmad Zahid Hamidi) timbalan presiden (Mohamad Hasan) parti gagal,” katanya kepada FMT. 

Beliau mendakwa kem terbabit juga tidak berpuas hati dengan keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata JPPM menerima usul pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Jan lalu yang meluluskan usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan akan datang.

Siasatan JPPM dibuat selepas dua ahli Umno memfailkan aduan mendakwa tindakan membentangkan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu.

Pemilihan Umno akan berlangsung pada 11 Mac ini dengan jawatan kepimpinan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri dipertandingkan, manakala jawatan ketua bahagian, naib presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi akan dipilih pada 18 Mac.

Wanita bersalah lakukan seks dengan remaja lelaki berusia 13 tahun

Agensi
ANDREA Serrano. FOTO Agensi
ANDREA Serrano. FOTO Agensi
Washington: Wanita Amerika Syarikat yang mengaku melakukan hubungan seksual dengan remaja lelaki berusia 13 tahun, tidak akan dipenjarakan.

Andrea Serrano, 31, dari Colorado didakwa Polis Fountain dengan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak tahun lalu.

Dia menghadapi pertuduhan serangan seksual selepas penahanannya pada 2022.

Bagaimanapun, peguamnya membuat pengakuan dengan pendakwa raya yang memaksanya mendaftar sebagai pesalah seks tetapi menghalangnya daripada dipenjara.

Serrano menerima perjanjian itu, seperti yang dilaporkan.

Akibat hubungan berkenaan, wanita itu hamil dan melahirkan bayi selepas penahanannya tahun lalu.

Bagaimanapun, Ibu mangsa, tidak berpuas hati dengan perjanjian itu.

"Saya rasa seperti anak saya 'dirompak' dari zaman kanak-kanaknya.

"Sekarang dia terpaksa menjadi bapa.

"Dia mangsa dan terpaksa lalui ini semua sepanjang hayatnya," katanya kepada KKTV.

Ibu itu juga berkata, jika jantina pesalah diterbalikkan dalam kes itu, tertuduh akan menghadapi hukuman yang lebih berat.

"Saya rasa jika dia seorang lelaki dan dia seorang anak perempuan kecil, ia pasti berbeza," katanya.

Memandangkan sumbang mahram ialah jenayah kelas empat di negeri Colorado, ia dijatuhkan kepada pertuduhan yang lebih ringan dalam kes ini.

Bagaimanapun, menurut laporan, Serrano boleh dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara seumur hidup berdasarkan 'percubaan pengawasan intensif pesalah seks' oleh hakim.

Perbicaraan akan disambung pada Mei.

Sharir Samad: Amaran Hadi permulaan langkah jatuhkan kerajaan

Malaysiakini

Pemimpin kerajaan perlu berwaspada dengan amaran Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bakal tumbang.

Veteran Umno, Shahrir Samad, berkata ini kerana PAS juga merupakan pencetus kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Jatuhnya PH. Naiklah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pencetusnya ialah PAS.

"Sekarang sekali lagi PAS memulakan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan menaikkan kembali sebuah kerajaan tajaan PAS.

"Sekali dah berjaya. Kali kedua, cuba lagi. Hadi sudah beri amaran awal Mac 2023. Tunggu dan lihat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 1 Mac lalu, presiden PAS itu dilaporkan menjangkakan kerajaan hari ini yang diterajui Anwar akan tumbang tidak lama lagi.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat .

"Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.

"Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas lanjut, Shahrir turut mengimbau bibit kejatuhan kerajaan PH selepas pertemuan pemimpin PAS itu dengan Mahathir.

Katanya, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada Feb 2019, Hadi telah berjumpa Mahathir yang ketika itu perdana menteri PH.

Selepas dua perjumpaan dengan Mahathir, presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan menyokong bekas pengerusi Pejuang itu sebagai perdana menteri sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

"Kemudian, enam ahli parlimen BN telah, tanpa pengetahuan Umno, juga mengisytiharkan sokongan yang sama kepada Mahathir. Kenyataan mereka ini dibuat sebelum PRK Parlimen Tanjung Piai.

"Kedua-dua pengisytiharan sokongan ini adalah petanda pelaksanaan "Langkah Sheraton" di mana PAS dan sekelompok ahli parlimen Umno-BN menyokong Mahathir sebagai PM," katanya.

Polis tembak mati isteri

Bernama

Seorang anggota polis berpangkat Lans Kopral menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang dipercayai abang ipar suspek, bahawa telah berlaku tembakan di rumah suspek.

“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira pada 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah tersebut 9 pagi,” katanya.

Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek dan juga merampas senjata api yang digunakan.

“Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.

Yusharifuddin berkata mayat mangsa telah dibawah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya.

- Bernama

MENU RAHMAH, INISIATIF TANPA MODAL YANG MEMBUATKAN PAS SEPERTI HILANG AKAL

SHAHBUDIN HUSIN

Setakat ini, sejak terbentuknya kerajaan perpaduan, dua perkara didapati paling membuatkan Pas sakit hati dan benci sekali.

Pertama, Anwar Ibrahim dan kedua, Menu Rahmah.

Selepas Tun Mahathir Mohamad, Pas barangkali dalam kedudukan kedua sebagai suspek paling benci kepada Anwar.

Sama seperti Tun Mahathir, Pas juga sentiasa cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, baik ketika parti itu berada dalam Pakatan Rakyat dan lebih agresif setelah ia tidak lagi menjalin sebarang kerjasama dengan PKR.

Apabila akhirnya Anwar berjaya juga menjadi Perdana Menteri, tentulah bukan kepalang sakit hati dan bencinya Pas kepada Pengerusi PH itu.

Ditambah ketika itu bagaimana rakyat dilihat amat menerima baik kepimpinan Anwar dan sentiasa menyerbu ke mana saja beliau pergi, disertai dengan dunia pun sama hangat mengalu-alukannya, hanya Tuhan saja yang tahu betapa meluap-luapnya perasaan benci dan sakit hati Pas itu, terutama sekali Hadi Awang yang di ketika Anwar jadi Perdana Menteri, dia pula telah hilang gaji.

Sebab itu, usaha dan propaganda Pas serta Hadi yang tanpa henti kononnya Anwar akan tumbang tidak lama lagi tidak lain hanya didorong rasa benci dan sakit hati itu saja.

Tiada sebab lain selain daripada itu yang mendorong Pas serta Hadi sentiasa berusaha mencari jalan cuba menebuk atap untuk menjatuhkan Anwar, meskipun disedari kerajaan perpaduan ini dibentuk atas titah Yang Dipertuan Agong.

Malah walau dikepung dengan akta lompat parti sekali pun yang pada hakikatnya kerajaan hanya mungkin bertukar melalui PRU, Pas sentiasa membakar hati para pengikut dan walaunnya tentang kemungkinan Anwar boleh tumbang pada bila-bila masa.

Suka hatilah nak buat apa pun Tok Guru, bak kata Anwar – biarlah Hadi terus merancang dan mengigau.

Yang kedua paling membuatkan Pas benci dan sakit hati ialah pengenalan Menu Rahmah oleh Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Tiada usaha atau inisiatif lain daripada kerajaan selain Menu Rahmah yang membuatkan Pas memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk mencari salahnya.

Menu Rahmah adalah inisiatif kerajaan perpaduan untuk menyantuni golongan miskin dan bagi memastikan mereka sentiasa kenyang melalui pengenalan harga serendah RM5 untuk satu hidangan bagi makan tengahari atau malam.

Ia adalah gambaran paling mudah untuk menunjukkan kerajaan perpaduan ini punya perasaan kasih sayang dan ingin membela hidup rakyat semua bangsa.

Inisiatif ini tanpa sebarangg modal dikeluarkan oleh kerajaan, tetapi melalui libat urus dengan persatuan dan pengusaha kedai makan dengan setakat ini, selain lebih 15 ribu kedai makan di seluruh negara terlibat menyertainya, bahkan restoran makanan segera seperti McD, KFC, Burger King, MarryBrown dan pelbagai lagi turut bersama-sama menjayakannya.

Makna kata, melalui pengenalan Menu Rahmah, kebarangkalian untuk rakyat kelaparan tak mampu membeli makanan amat tipis sekali, bahkan boleh pula dengan harga RM5 juga, sesekali menukar selera di restoran makanan segera yang berkenan di hati.

Apabila rakyat gembira kerana boleh makan pelbagai selera dengan harga semurah RM5, parti seperti Pas dengan sendirinya hilang modal untuk menanam kebencian atau menghasut rakyat.

Apa pun serangan yang direka pembangkang kepada kerajaan, akhirnya yang membuatkan rakyat gembira ialah apabila mereka tidak lapar dan boleh makan dengan senang.

Lantaran itulah macam-macam yang cuba dilakukan Pas untuk memburukkan Menu Rahmah, termasuk didakwa sebagai penyebab kanser dan autisme.

Oleh kerana gagal mempertahankan dakwaannya itu dari segi sains perubatan, Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali yang membuat dakwaan bohong itu, sambil tersengih kelat, akhirnya terpaksa memohon maaf atas perbuatannya.

Terbaru, Exco Terengganu Hanafiah Mat pula dilihat seolah-olah memperlekeh Menu Rahmah dengan tersebar video kononnya hidangan itu tidak berkualiti, tidak cukup lauknya dan hanya sedap dimakan setelah dituang dengan air oren sebagai kuahnya.

Perbuatan beliau itu bukan setakat tidak berjaya pun memperlekeh Menu Rahmah, sebaliknya yang menonjol ialah bagaimana beliau secara jelas telah menghina rezeki yang Allah beri.

Rata-rata pengguna media sosial yang menonton video itu mengutuk dan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang sudah “masuk air dalam kepala”.

Agaknya pemimpin Pas itu tidak belajar adab yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui hadis Bukhari yang meriwayatkan baginda tidak pernah mencela makanan di mana apabila suka, baginda akan memakannya, sebaliknya jika tidak menyelerakan, baginda tidak memakannya.

Sebagai pemimpin sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, adab siapa sebenarnya yang Exco Pas itu contohi?

Yang nyata, Menu Rahmah telah membuatkan Pas seperti hilang akal dalam berpolitik dan lupa adab Islam yang sebenar.

Dalam hal ini, kalaulah semua menteri dapat memikirkan satu inisiatif baru bagi setiap kementerian yang menyerupai Menu Rahmah yang kesan langsungnya dapat dirasai oleh rakyat, dicampur dengan kepimpinan Anwar yang terus diyakini, bukan saja pembangkang seperti Pas akan kehilangan modal dan mati akal, malah kerajaan perpaduan ini senang-senang boleh kekal memerintah negara lebih lama lagi. – ShahbudinHusin 03/03/2023.

4 lelaki bertopeng, berparang samun rumah di Sri Andalas

MUHAMMAD AMINNURALIFF

KLANG - Satu keluarga menempuh detik mencemaskan apabila disamun sekumpulan lelaki berparang dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 9.05 pagi.

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, kesemua suspek menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana berhenti di hadapan rumah mangsa.

"Kesemua suspek terdiri empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang itu kemudian memasuki pintu hadapan rumah mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, ketika kejadian terdapat tiga ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita lingkungan umur antara 46 hingga 88 tahun berada di dalam rumah tersebut.

"Suspek kemudian mengarahkan kesemua mangsa duduk dalam bilik utama sambil diawasi dua lagi suspek.

"Salah seorang suspek bertindak mengambil rantai leher yang dipakai oleh dua mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan dengan menggunakan kenderaan yang sama," katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian dipercayai kira-kira RM25,000.

"Barangan yang disamun melibatkan beberapa jenis barang kemas bernilai kira-kira RM24,000, wang tunai anggaran RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis Iphone telah hilang.

"Salah seorang mangsa turut mengalami kecederaan di jari kelengkeng kiri akibat menahan pintu semasa suspek cuba masuk ke dalam rumah," katanya.

Ujar Hoong Fong, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Usaha memburu kesemua suspek terlibat sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 0333762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

AWAS!!! Jangan sarapan makanan dan minimum ini

- Foto hiasan
BANGKOK: Jabatan Kesihatan Thailand meminta masyarakat mengelak mengambil cakoi atau Pa Thong Ko dengan teh ais Thai ketika sarapan kerana makanan itu membekalkan terlalu banyak tenaga sekali gus menjejaskan kesihatan.

Nasihat itu diberikan selepas dua makanan kegemaran tempatan itu mencapai kedudukan 10 teratas di TasteAtlas, panduan pelancongan dalam talian yang memfokuskan makanan dan memaparkan ulasan serta cadangan daripada golongan profesional dan pengkritik masakan di seluruh dunia.

Bulan lalu, Pa Thong Ko menduduki tempat kelima dalam senarai 10 makanan jalanan yang dinilai terbaik di dunia di TasteAtlas, manakala teh ais Thai ialah minuman bukan alkohol yang ketujuh dengan penarafan terbaik.

Memetik laporan CNA, Pa Thong Ko, kudapan rangup yang digoreng adalah hidangan sarapan biasa di Thailand dan biasanya dimakan bersama susu pekat manis dan kopi.

"Untuk sarapan pagi yang sihat, dinasihatkan untuk mengelakkan makanan segera yang memberikan terlalu banyak tenaga atau perlu digoreng berulang kali seperti Pa Thong Ko dengan susu pekat manis dan teh ais Thai," kata Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Suwanchai Wattanayingcharoenchai dalam satu kenyataan semalam.

Pa Thong Ko ialah versi Thai untuk donut Cina yang dipanggil Youtiao. Berdasarkan data Biro Pemakanan, 100 gram (g) Pa Thong Ko menghasilkan 441kcal dan mengandungi 40.56g karbohidrat serta 27.79g lemak.

Dua Pa Thong Ko bersaiz sederhana mempunyai berat kira-kira 30g, menghasilkan kira-kira 132kcal tenaga, dan mengandungi 12g karbohidrat dan 8g lemak.

"Pa Thong Ko ialah makanan ringan mengandungi karbohidrat dan lemak tepu, serta membekalkan tenaga yang tinggi. Ia sesuai untuk mereka yang ingin menambah tenaga. Walau bagaimanapun, makanan itu juga mengandungi paras natrium yang tinggi daripada soda bikarbonat atau garam. Jadi, ia tidak sesuai untuk orang yang mempunyai tiroid yang terlalu aktif dan tekanan darah tinggi," kata Dr Suwanchai.

Beliau juga menjelaskan Pa Thong Ko biasanya digoreng dalam minyak masak kitar semula, yang boleh menyebabkan kanser, dan menasihatkan pengguna supaya tidak makan lebih daripada dua doh goreng setiap hari.

Teh ais Thai juga boleh menyebabkan masalah kesihatan. Menurut Dr Suwanchai, 200 militer (ml) teh ais Thai mengandungi 69g karbohidrat, 15g lemak dan 53g gula, – kira-kira 13 sudu teh dan boleh menghasilkan 430kcal.

Setiap hari, katanya, badan tidak boleh mengambil lebih daripada enam sudu teh gula. Pengambilan teh ais Thai yang kerap boleh menyebabkan diabetes, kanser, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit kardiovaskular dan serebrovaskular.

"Paling penting, jangan lupa bersenam untuk membakar tenaga bersama dengan diet anda," katanya. - AGENSI
-bhariaan

Anwar berjaya kekal kestabilan politik dari awal

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah melakukan yang terbaik memastikan kestabilan politik dalam tempoh 100 hari beliau berkuasa, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan Anwar memanggil undi usul percaya susulan pelantikannya dan pembentukan Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah antara pendekatan yang mengukuhkan lagi pentadbirannya.

Beliau berkata, Anwar juga bertindak segera dalam melunaskan hak Sabah dan Sarawak sebagai kunci utama menjamin kestabilan.

Kerajaan perpaduan diterajui Anwar menaikkan geran khas tahunan untuk Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya 10 kali ganda kepada RM260 juta (Sabah) dan RM300 juta (Sarawak). Negeri-negeri Borneo itu juga diberikan autonomi atas projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta.

“Kestabilan ini membolehkan Anwar memberikan fokus kepada kedudukan ekonomi negara dan mengukuhkan hubungan dengan negara tetangga,” katanya Awang Azman kepada FMT.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkongsi pandangan serupa, dengan berkata ketegangan berlaku pada kadar minimum dalam kalangan parti membentuk kerajaan walaupun berbeza ideologi, merujuk kepada Umno dan DAP.

Bagaimanapun, Azmi berkata, Anwar berdepan cabaran kesan ketidakstabilan dalam Umno, yang mengundang ancaman terhadap kemampuannya mengekalkan kerajaan pimpinannya.

“Pemilihan Umno akan menentukan nasib kerajaan perpaduan. Saya percaya Umno boleh bertahan dan mengekalkan status quo,” katanya sambil menambah, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar boleh bertahan sehingga habis penggal.

Penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Nadzri Mohamed Noor, pula mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, walaupun Anwar mempunyai majoriti kukuh di Parlimen, ini tidak bermakna kerajaannya tidak boleh ditumbangkan oleh gerakan seperti Langkah Sheraton.

“Pada masa ini, pembangkang mungkin rasa menjadi mangsa dan akan cuba mencari jalan keluar,” katanya merujuk dakwaan pemimpin Bersatu menjadi mangsa pendakwaan politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, serta menahan bendahari agung parti itu, Salleh Bajuri, bagi siasatan berhubung dana parti.

Bagaimanapun, Nadzri mengakui undang-undang anti-lompat parti, selain pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Yang di-Pertuan Agong bermakna sukar bagi mana-mana parti menjalankan apa jua gerakan politik.

Nadzri, yang mengetuai Jabatan Sains Politik UKM berkata, beliau tidak rasa Anwar melakukan sedaya mungkin dalam meraih sokongan pembangkang, seperti yang dilakukan pendahulunya, Ismail Sabri Yaakob, menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, mencapai konsensus bersama pembangkang menjamin kestabilan politik.

Kerajaan perpaduan Anwar dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, dan Ahli Parlimen bebas.