"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesanan Mat Taib pada PAS

Malaysiakini 

Dilihat gagal memberikan komitmen penuh kepada Muafakat Nasional (MN) seorang veteran Umno menasihatkan PAS agar berfikir dengan mendalam dan tidak menyukarkan keadaan.

Bekas naib presiden Umno Muhammad Muhd Taib berkata PAS kelihatan sukar memuktamadkan kerjasama dalam MN mereka walaupun parti yang satu lagi berpendapat sebaliknya.

Kata Muhammad Umno masih menunggu jawapan PAS kerana sedar gabungan yang dibina melalui MN mempunyai kekuatan besar dan perlu direalisasikan.

"Dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya, pemimpin PAS sendiri tahu formula terbaik mengenainya.

"Mereka tahu antara UMNO dan PN (Perikatan Nasional), siapa yang lebih kuat, mempunyai akar umbi dan jentera kukuh.

"Saya nasihatkan PAS jangan benda senang nak dijadikan susah kerana yang rugi nanti adalah parti-parti Melayu sendiri," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Terdahulu bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa hubungan Umno dan PAS mungkin berakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Mohamad Khir, hubungan kedua-dua parti kini ibarat pasangan suami isteri sedang menunggu masa untuk melafazkan talak kerana isu 130 kerusi parlimen majoriti Melayu yang perlu diagihkan untuk Umno, PAS dan Bersatu.

Laporan disiarkan Sinar Online itu juga menyatakan Mohamad Khir tidak melihat formula MN dapat dipertahankan kecuali PAS bersetuju mengagihkan kerusi mereka kepada Bersatu.

"Isu itu semakin diburukkan dengan kegagalan Pas mengemukakan pendirian sama ada mahu kekal dalam MN atau beralih sokongan kepada PN," kata Mohamad Khir.

Muhammad berkata dalam keadaan begitu Umno perlu bersedia untuk bergerak bersendirian menghadapi PRU ke-15 jika PAS kekal bermain tarik tali dalam MN.

Penasihat Umno Selangor itu menambah dia melihat PAS lebih memikirkan kepentingan semasa berbanding apa yang boleh dicapai pada masa depan.

"Bagi saya, situasi PAS dalam MN diibaratkan kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," katanya.

Video murtad: Rani Kulup selar Jakim lemah, menteri agama senyap

M Fakhrull Halim

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah menyifatkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai lemah sehingga membiarkan kejadian murtad berlaku tanpa sebarang tindakan.

Abdul Rani juga mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad berhubung video memaparkan pengakuan seorang lelaki memurtadkan seorang wanita Islam.

Dia berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengenai isu video berkenaan yang kini tular di media sosial.

"Jakim itu lemahlah. Itu sebab orang berani usik agama.

"Kenapa menteri agama tak keluarkan kenyataan? Sepatutnya dah tular beberapa hari, kenapa diam? Kenapa majlis agama Islam negeri diam?

"Jakim itu sendiri lemah, itu sebab orang boleh mempermainkan agama. Jakim (harus) ambil tindakan tegas. Naikkan kepada kementerian, baru betul," katanya kepada pemberita di luar IPD Sentul.

Turut hadir membuat laporan polis ialah wakil Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).

Video yang dimaksudkan itu dimuat naik di sebuah saluran Youtube, memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.

Lelaki itu turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.

Di media sosial, video dalam bahasa Tamil itu tersebar dan disertakan dengan sari kata bahasa Melayu.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini di saluran Youtube itu mendapati isteri lelaki berkenaan ada memuat naik satu video permohonan maaf.

Lelaki itu turut memuat naik video permohonan maaf di saluran yang sama.

Dalam video tersebut, wanita berkenaan mengaku dia sebenarnya bukanlah warganegara Malaysia, tetapi warganegara Indonesia.

Dia juga berkata video yang dibuat suaminya sebelum itu bukanlah ditujukan untuk warganegara Malaysia beragama Islam.

'Jangan jadi hero nak kutip dia'

Berdasarkan laporan polis, Abdul Rani berkata video itu memberikan gambaran seolah-olah mudah untuk murtad, selain beberapa kenyataan yang dianggap menghina agama Islam.

Kata Abdul Rani, tujuan dia membuat laporan polis adalah bagi menggesa Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jakim dan majlis agama islam negeri untuk menyiasat perkara berkenaan sehingga ke akar umbi.

Bagaimanapun, Abdul Rani menegah keras masyarakat Islam daripada mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat.

"Kepada rakyat Malaysia, jangan kamu mengambil tindakan sendiri nak apa-apakan dia, nak cari dia. Tak payah. Itu kerja polis. Biarlah polis yang mengambil tindakan.

"Jangan sesekali kita nak jadi hero, nak pergi rumah dia ke, nak kutip dia ke, itu salah! Itu tak betul. Dah jadi kes lain," tegasnya.

Hashim cabar dedah audio rakaman jatuhkan Hadi

ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menafikan wujud audio yang mengaitkan dirinya dengan gerakan yang mahu menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti heboh diperkatakan.

Beliau turut mencabar individu yang menyebarkan fitnah itu supaya mendedahkan audio rakaman yang didakwa perbualan antara dirinya dengan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Audio apa yang dimaksudkan? Tidak ada audio seperti didakwa, saya nafikan apa yang disebarkan itu.

"Saya percaya ia hanya mainan pihak tertentu untuk melaga-lagakan sesama pemimpin Pas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Berdasarkan maklumat tular, terdapat audio rakaman Mohd Khairuddin dengan Hashim, mendakwa Mohd Khairuddin tidak berpuas hati dengan Presiden Pas dan diluahkan kepada Hashim,,anakala Hashim pula didakwa seakan bersetuju dengan apa dilaporkan Mohd Khairuddin.

Turut disebarkan, wujud satu gerakan untuk menjatuhkan Abdul Hadi selain Pas kini berpecah kepada dua iaitu kumpulan yang pro UMNO dan satu lagi pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Hashim menegaskan beliau tidak pernah membangkitkan isu kepimpinan Abdul Hadi apatah lagi mempersoalkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Marang itu. 

“Saya tak pernah cakap seperti didakwa, walau dalam kelas pengajian sekalipun. Saya tiada masalah dengan Abdul Hadi, kalau benar ada audio itu, dedahkan supaya dapat dikenal pasti sama ada ia benar atau palsu,” katanya.

Menurutnya, apa yang disebarkan itu hanya mainan politik pihak luar parti itu yang berhasrat melaga-lagakan pemimpin Pas.

“Sehingga kini semua pemimpin taat pada Abdul Hadi, tiada langsung cubaan untuk singkirkan beliau. Tiada gerakan macam itu dalam parti. Malah tak wujud puak-puak dalam Pas, itu mainan pihak luar,” katanya.

Hashim berkata, apa yang disebarkan itu hanya rekaan semata-mata memandangkan parti itu sentiasa tenang dan damai berbanding parti lain yang dilihat bergolak.

“Mereka iri hati dan rekalah cerita. Pihak luar parti yang cetuskan, dalam politik memang orang suka lagakan pihak lain. Kalau ada perselisihan faham atau saya tak suka mana-mana pemimpin, itu bukan saya putuskan. Kalau saya baik dengan pemimpin mana pun, dia tidak akan dapat pengaruhi saya dalam keputusan parti sebab itu semua diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.

Hashim turut tegaskan, pendirian Pas masih kekal dengan dasar yang diputuskan sebelum ini iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

Siapa ‘abang’ lebih besar? Umno-Bersatu

BAHA M. ISA

Politik di Malaysia banyak telah berubah setelah kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang berlangsung tahun 2018.

Uniknya, kedudukan parti-parti komponen dalam gabungan itu ketika itu, dilihat setara dan tiada satu parti pun boleh dikatakan bersifat dominan berbanding yang lain.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Itulah kecantikan politik dalam PH, yang mana, tiada parti yang boleh mendabik dada mengatakannya sebagai ‘big brother’ atau abang besar.

Semua parti terlibat adalah rakan saksama dalam pakatan tersebut. Semua keputusan besar dalam PH dibuat dalam Majlis Presiden PH.

Sepertimana pernah disebut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 2017, ‘dalam PH tidak ada soal abang sulung atau pun adik bongsu, tak ada sesiapa lebih besar dalam Pakatan’.

Anthony menambah, gabungan itu bukan Barisan Nasional (BN) 2.0 yang mana, di dalamnya semua tahu parti paling dominan adalah Umno.

Dalam politik Malaysia, mudah untuk kita berasa ‘terbiasa’ dengan apa yang disebut sebagai dominasi hegemoni parti politik tunggal.

Umno menerusi gabungan BN telah memerintah negara selama lebih 60 tahun. Umnolah yang menjadi parti tunjang kerajaan ketika itu yang mana, perdana menteri datang daripada kalangan presidennya.

Dengan erti kata lain, Umno pada ketika itu secara semula jadinya ialah ‘abang besar’ dalam kerajaan ketika itu.

Pada tahun lalu, Umno telah bersama dengan kumpulan serpihan PH untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menjatuhkan kerajaan PH.

Mengikut laman web Parlimen, Umno merupakan parti terbesar dalam gabungan itu dengan 38 orang ahli Parlimen (MP) berbanding Bersatu dengan 31 MP.

Walau bagaimanapun, Bersatu dilihat mempunyai lebih ramai menteri iaitu 11 orang termasuk perdana menteri berbanding Umno dengan hanya sembilan orang.

Tambahan pula, sebahagian besar kementerian penting juga di bawah tanggungjawab MP Bersatu iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sementara itu, Umno pula hanya mengetuai satu kementerian penting iaitu Kementerian Pertahanan.

Perbezaan ketara juga dapat dilihat apabila dua orang daripada empat menteri kanan datangnya daripada Bersatu manakala Umno hanya mempunyai seorang wakil sebagai menteri kanan.

Umno di dalam gabungan PN juga mencatat sejarah apabila presiden, timbalan presiden, dan dua naib presidennya tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Kabinet. Perkara ini semestinya tidak pernah berlaku sebelum ini.

Hanya seorang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam Kabinet PN.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa Bersatu adalah parti peneraju utama kerajaan ketika ini.

Walaupun berlaku tindakan menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN oleh beberapa MP Umno sebelum ini, namun kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berdiri sehingga hari ini.

Persoalannya kini, ketika kita memasuki ‘musim pilihan raya’ tidak lama lagi, apa bentuk kerjasama atau pertembungan yang pengundi dapat jangkakan antara dua parti ini? Adakah parti-parti ini akan mengguna pakai kaedah ‘every man for himself’ atau memikirkan formula pembahagian kerusi tertentu?

Kerusi PRU-15

Ini kerana menjelang PRU-15, kita pasti tidak dapat mengelak daripada berbicara soal kerusi. Isu pembahagian kerusi PRU adalah satu perkara serius dan sensitif yang menuntut parti-parti yang bekerjasama dalam sesebuah gabungan untuk membincangkannya dengan berhati-hati, umpama ‘menarik rambut di dalam tepung’.

Sebab itu, sukar untuk melihat bagaimana Umno dan Bersatu akan bersetuju dengan sebarang formula pembahagian kerusi.

Jika diimbau kembali pada pilihan raya umum lalu, Umno, PAS dan Bersatu bertanding di 47 kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU-14 termasuk di Parlimen Titiwangsa dan Ketereh.

Di Titiwangsa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dari Bersatu, mengalahkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani iaitu bekas Menteri Kewangan Kedua.

Parlimen Ketereh menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan kini, Tan Sri Annuar Musa dari Umno telah mengalahkan Menteri Pendidikan sekarang, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin dari Bersatu (kemudiannya dilantik Senator).

Jumlah 47 kerusi Parlimen itu juga merangkumi kerusi MP Umno yang kemudiannya keluar parti dan memasuki Bersatu selepas PRU-14 seperti Jeli melibatkan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Larut (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin), Mersing (Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dan Masjid Tanah (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin).

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dalam artikelnya bertajuk ‘Dilema Umno dalam Kerajaan PN’ tahun lalu telah memberitahu bahawa sukar untuk dibayangkan Umno berasa positif mengenai ‘pembelot-pembelot’ ini apatah lagi berunding dengan Bersatu untuk membolehkan MP Bersatu ini terus bertanding di kerusi-kerusi ini dengan sokongan Umno dan PAS.

Di samping itu, katanya, Kabinet yang ada sekarang juga menampilkan bekas ahli parlimen PKR yang bergabung dengan Bersatu yang mana, kerusi yang ditandingi mereka sebelum ini turut ditandingi oleh Umno dan PAS pada PRU14 termasuk Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Indera Mahkota (Datuk Saifuddin Abdullah), Bandar Tun Razak (Datuk Kamaruddin Jaafar), Batu Pahat (Datuk Mohd. Rashid Hasnon) dan Nibong Tebal (Datuk Mansor Othman).

Kian Ming menambah, sekali lagi, sukar untuk melihat Umno atau Pas memberi laluan kepada MP Bersatu tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Situasi di Perak dan Terengganu

Baru-baru ini Umno Perak telah memberi kata dua kepada Bersatu supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi Umno pada PRU-14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi Umno pada PRU-15 akan datang.

Di Terengganu pula, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tidak akan memberi peluang kepada Bersatu mahupun Pas, sebaliknya akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menegaskan, tidak berlaku sebarang kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas di negeri itu, selain tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan parti itu mengalah kepada Bersatu.

Kedua-dua kenyataan pemimpin Umno di Perak dan Terengganu ini seolah-oleh memberi gambaran bagaimana berlikunya perjalanan Bersatu di kedua-dua negeri itu pada PRU-15 kelak.

Secara umumnya, pilihan raya umum akan datang boleh diibaratkan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ yang bukan sahaja penting kepada Umno dan Bersatu, tetapi juga buat parti-parti lain.

Persoalannya, siapakah akan merangkul takhta ‘abang besar’ selepas ini?

Atau adakah kita akan memasuki fasa politik di mana terbinanya gabungan politik yang lahir daripada semangat kerjasama dan bukannya dominasi abang besar?

Jawapannya kita perlu tunggu pada pilihan raya umum akan datang.

Umno akan tergadai jika terima tawaran Muhyiddin

MALAYSIA DATELINE

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil memberi amaran kepada sesiapa yang menerima tawaran Timbalan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilihat sebagai menggadaikan Umno untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam satu kenyataan Isham berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai banyak kuasa untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi menunjukkan ianya bukanlah kritikal.

“Oleh itu tidak masuk akal untuk Umno terima jawatan ini sekarang.

“Sebenarnya jika Muhyiddin ikhlas dengan Umno, dari awal dia jadi Perdana Menteri dulu dia sepatutnya telah tawarkan jawatan ini kepada Umno, tetapi tidak,” kata beliau.

Beliau berkata demikian susulan ada ura-ura bahawa Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno. 

Isham berkata, tawaran itu untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk.

“Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang.

“Namun tawarannya ini sudah terlambat dan tidak berguna lagi.

“Buat apa terima jawatan TPM untuk dua tiga bulan waima setahun di mana tidak banyak perubahan yang boleh dibuat hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan PPBM yang sedang tenggelam dan hampir karam,” katanya.

Malah jelas beliau untuk satu jawatan ini hanya untuk jangkamasa yang pendek, PPBM pastinya menuntut untuk Umno mengorbankan banyak perkara.

“Ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang Melayu dalam jangkamasa sederhana, panjang atau selama-lamanya.

“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin Umno begitu naif dan mentah untuk galak dan teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan PPBM ini,” katanya.

Beliau tidak menolak jika Umno terima jawatan TPM ini, ia besar berkebarangkalian akan memecahbelahkan parti, malah majoriti akar umbi telahpun membuat keputusan menolak PPBM dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan baru-baru ini.

“Saya telah tekankan sebelum ini jika PPBM ikhlas mahu menyatukan orang Melayu dan bukan hanya pentingkan diri dan jawatan mereka (PPBM), mereka perlu bubarkan parti kecil mereka dan kembali ke pangkuan Umno.

“Tidak masuk akal untuk parti yang besar seperti Umno pula disuruh mereka (PPBM) untuk dibubar dan 3.8 juta ahli-ahli Umno dikerah masuk PPBM.

“Jika UMNO dibubar, 3.8 juta ahli UMNO tidak akan masuk PPBM tetapi akan bertempiaran dan berpecah belah dan banyak lagi parti serpihan akan ditubuh.

“Yang lebih masuk akal ialah PPBM yang kecil dan tidak berakar umbi perlu dibubar dan kembali kepada Umno sepertimana yang dibuat oleh parti Semangat 46 dahulu.

“UMno adalah parti yang besar dengan pucuk pimpinan di atas dan akar umbi yang kuat dan besar di bawah. Berbanding dengan PPBM yang tiada badan dan tiada kaki tetapi hanya besar di kepala.

“Umno adalah parti lama dan keramat, ia tidak akan korbankan maruah diri untuk menjadi badan dan kaki tangan kepada parti pengkhianat dan pemecah belah seperti PPBM,” kata beliau.

Umno dan Bersatu mula perang di Johor

HARUN ZAKARIA

“Umno, seperti gunting dalam lipatan,” Osman Sapian

Wah semakin panas bila Osman Sapian yang merupakan bekas MB Johor mulai bersuara persoal keikhlasan Umno melalui kenyataannya hari ini terhadap Pengerusi Umno dan juga MB Johor, Hasni Mohamad.

Episod baharu pertembungan Bersatu Johor dan Umno Johor bakal berlangsung dan saya nasihatkan untuk kita sama-sama memerhati drama ini. Apa yang pasti mereka mulai pertikai antara satu sama lain.

Apa yang berlaku sebenarnya? Pastikah akan terjawab apabila wujudnya gerakan mahu menjatuhkan Hasni di Johor? Indikator Perak sebagai tontonan yang baik untuk Bersatu Johor menyediakan langkah.

Atau sebenarnya Umno Johor tidak boleh dipercayai untuk menjadi kawan baik Bersatu? Mungkin juga Umno Johor ada urusan lain dengan PH Johor bagi mengadakan persetujuan menyingkirkan Bersatu?

Segalanya mungkin (seperti judul lagu kumpulan Headwind) akan berlaku di antara dua parti terbesar dalam kerajaan Johor hari ini.

Umno juga sudah pastinya muak melayan karenah Bersatu yang setiap hari mengganggu kedudukan mereka.

Bersatu Johor pula yang dipimpin oleh Muhyiddin anak kiyai Yassin pastinya berniat untuk menenggelamkan Umno.

Ini jelas apabila Umno pada 6 Januari yang lalu hanya mahu berkerjasama dengan Bersatu atau PN sehingga PRU 15 sahaja.

Pastinya Bersatu juga memikirkan ‘survival’ politik mereka tanpa Umno dalam komponen PN. Pastinya niat mahu membunuh Umno itu wujud untuk menempatkan mereka sebagai pendominasi melayu.

Hakikatnya sekarang ini pastinya Adun dan Exco Bersatu tidak selesa dengan agenda yang akan dibawa oleh Umno di Johor. Pertembungan akan terus berlaku dan Hasni sebagai MB perlu mengukur semula kedudukan yang sedia ada.

Kini jelas Bersatu sudah melancarkan perang secara nyata terhadap Umno di Johor ini. Drama ini akan berlangsung sepanjang 2021 dan diyakini yang terhebat sepanjang sejarah negeri ini.

Umno tolak TPM, tidak akan kerjasama dengan PN dalam PRU-15

BORHAN AHMAD

Mesyuarat Biro Politik Umno petang semalam memutuskan untuk menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dibuat oleh Bersatu, kata sumber.

Namun begitu, Umno akan kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mesyuarat itu juga memutuskan Umno tidak akan bersama PN dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketiga-tiga keputusan ini perlu disahkan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Keputusan Biro Politik Umno ini selaras dengan keputusan yang dibuat oleh bahagian-bahagian Umno yang bermesyuarat awal Januari lepas.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini mengesahkan 118 daripada 190 bahagian Umno membuat ketetapan mahu Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Keputusan dibuat kerana ahli dan pemimpin Umno merasakan parti itu dipinggirkan oleh Bersatu dalam gabungan kerajaan PN yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sejak Mac 2020.

Dalam perbincangan bersama antara Umno, Bersatu dan Pas awal minggu ini, Bersatu meminta Umno segera membuat keputusan mengenai kerjasama politik mereka.

Bersatu membuat permintaan itu untuk ia memuktamadkan hala tuju dan strategi Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU-15, kata sumber.

PRU-15 dijangka akan dibuat sebaik sahaja tempoh darurat tamat pada 1 Ogos nanti sebagaimana yang dijanjikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan darurat sebelum ini, Muhyiddin berjanji akan mengadakan PRU sebaik sahaja wabak Covid-19 reda.

Namun begitu, ramai tidak yakin Muhyiddin akan membubarkan Parlimen ketika populariti beliau sebagai Perdana Menteri sangat teruk sekarang.

“Muhyiddin hanya akan bubarkan Parlimen selepas dia yakin PN akan menang. Antaranya dengan cara menarik sokongan Umno bersama PN atau kalau Umno tidak mahu, ‘bunuh’ parti itu,” kata seorang penganalisis politik.

Bagaimana mahu ‘membunuh’ Umno?

“Ia boleh dilakukan dengan mengharamkan Umno atau mengusai pucuk pimpinan Umno dengan cara meletak pimpinan yang pro PN sebagai pucuk pimpinan Umno atau memecahkan terus Umno,” kata penganalisis yang rapat dengan Pakatan Harapan itu.

Dalam masa yang sama Muhyiddin akan berusaha untuk kembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan PN dan beliau dengan membeli jiwa mereka, kata beliau lagi.

Umno tak akan beri peluang pada PAS, PPBM bertanding di Terengganu, kata Ahmad Said

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno Terengganu tidak akan memberi peluang kepada PAS dan PPBM yang mahu bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu disuarakan ketuanya, Ahmad Said yang memutuskan tidak akan berlaku sebarang kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) bersama PAS di negeri itu termasuk tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad berkata, kerusi PPBM di Parlimen Hulu Terengganu juga milik Umno berikutan penyandangnya, Rosol Wahid melompat parti dengan menyertai PPBM.

Bekas menteri besar Terengganu itu berkata demikian kepada Sinar Harian dan mendakwa tiada sebarang usaha juga dalam gabungan MN di negeri itu.

“Apa yang PAS buat untuk bersama kita (MN)? Pemberian peruntukan, JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) pun tidak adil. MN tak berlaku di Terengganu,” katanya.

'Tawar Umno jawatan TPM, Muhyiddin nak selamatkan diri' - Isham Jalil

 Malaysiakini 

Jika benar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada pemimpin Umno, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyifatkan langkah itu sudah terlambat.

Isham berkata Muhyiddin sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan dirinya dan Bersatu yang sedang "tenggelam dan hampir karam."

“Saya mendengar ura-ura bahawa Tan Sri Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno.

“Ini untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk.

“Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang.

“Namun tawarannya ini sudah terlambat dan tidak berguna lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hisham jika Presiden Bersatu itu ikhlas untuk menawarkan jawatan tersebut kepada Umno, ia sudah dilakukan sejak awal-awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional lagi.

Apatah lagi apabila jawatan tersebut bakal dijangka disandang untuk tempoh yang singkat.

“Malah untuk satu jawatan ini yang hanya untuk jangkamasa yang pendek, Bersatu pastinya menuntut untuk Umno mengorbankan banyak perkara.

“Ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang-orang Melayu dalam jangka masa sederhana, panjang atau selama-lamanya.

“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin Umno begitu naif dan mentah untuk galak dan teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan Bersatu ini,” katanya.

Isham turut meramalkan bahawa sekiranya mana-mana pemimpin Umno menerima jawatan timbalan perdana menteri itu, kemungkinan besar ia akan memecahbelahkan parti.

“Sesiapa yang menerima jawatan ini akan dilihat oleh akar umbi sebagai menggadaikan Umno untuk kepentingan diri sendiri.

“Tambahan lagi jawatan timbalan perdana menteri tidak mempunyai banyak kuasa pun untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi pun menunjukkan ianya bukanlah kritikal.

“Oleh itu tidak masuk akal untuk Umno terima jawatan ini sekarang,” katanya.

The Rock mahu bertanding jawatan Presiden AS

KOSMO

LONDON – Pelakon popular, Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock memberi bayangan akan bertanding bagi jawatan presiden Amerika Syarikat AS, lapor portal Sky News.

Dalam satu temu bual, dia menegaskan akan bertanding sekiranya ia dimahukan oleh orang ramai.

“Saya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding jawatan presiden pada masa hadapan sekiranya ia dimahukan oleh orang ramai.

“Saya benar-benar maksudkannya dan saya tidak akan menarik balik jawapan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempromosikan siri drama komedi Young Rock yang berkisar tentang watak dirinya sendiri bertanding bagi jawatan presiden pada tahun 2032.

The Rock pernah memberi bayangan mahu bertanding bagi jawatan tersebut sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2017 dan 2018.

Pada tahun 2018, dia bercadang untuk bertanding jawatan presiden pada tahun lalu namun menarik balik keputusannya. – Agensi

Lantang kritik Zahid, SUA Annuar Musa bakal dipecat dari Umno?

FMT Reporters

PUTRAJAYA: Gara-gara mengeluarkan kenyataan mengkritik secara terbuka presiden parti, Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz menerima surat tunjuk sebab dan bakal dihadapkan ke Tribunal Lembaga Disiplin Umno pada 25 Feb ini.

Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, mengesahkan beliau menerima surat tunjuk sebab itu menerusi WhatsApp dan panggilan telefon daripada Sekretariat Lembaga Disiplin Umno, pagi tadi.

Katanya, surat itu juga memintanya menjelaskan mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya yang lantang mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

“Saya menerima surat tunjuk sebab pagi tadi tetapi tidak terkejut sebab sudah dengar khabar angin mengenainya sejak dua minggu lalu.

“Malah, ada pihak tertentu sudah mengatur perjumpaan dengan ahli dan pemimpin Umno bahagian tertentu untuk mengajak mereka sama-sama buat aduan terhadap saya kepada Lembaga Disiplin Umno.

“Saya sudah membaca segala pertuduhan yang dibuat melalui surat jawapan balas. Insya-Allah saya akan hadir ke tribunal pada Khamis depan,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Faisal pernah mengeluarkan kenyataan, Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas percubaan untuk membawa Umno menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.

Tindakan Zahid itu dikatakan membelakangi dasar parti iaitu “No Anwar No DAP” tetapi timbul isu “surat” dan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama DAP dan Anwar.

Ditanya sama ada beliau akan keluar parti jika Tribunal Lembaga Disiplin memutuskannya bersalah dan menyingkirkannya daripada Umno, Faisal menegaskan masih terlalu awal untuk beliau mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Mokhtar Senik kata jangan benarkan ‘orang luar’ yang mengatur PAS

Pas masih ada ‘mak ayah’ iaitu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kata Ahli Jawatankuasa kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik.

Beliau berkata, Pas boleh dikritik dan ditegur tetapi jangan sampai orang luar yang mengatur jemaah tersebut.

“Ramai yang minat untuk menjadi golongan pemikir tetapi tidak berminat untuk duduk dalam organisasi dan mahu kita mendengar kata-kata mereka berbanding ucapan pimpinan utama kita.

“Awas, mereka sanggup menghuru-harakan kita dengan mencipta pelbagai cerita dan spekulasi.

“Ini kerana, kaedah berkeluarga perlu untuk anak-anak menyelesaikan masalah dengan mak ayah dan bukan mencari jiran untuk membantu,” katanya pada Khamis menurut laporan Harakah Daily.

Sementara itu, Mokhtar berkata, dalam jemaah perlu untuk berjalan lurus dan bukan zig-zag.

“Cari redha Allah dan Rasul serta taat dan patuh kepada pemimpin. Ikut tanzim parti dan jangan banyak duduk sembang dengan musuh dan orang luar yang anti pimpinan dan parti kita, Insya-ALLAH kita tenang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas merasa bertuah kerana dianugerahkan presiden dan timbalan presiden yang terbaik untuk jamaah serta Mursyidul Am yang tawadhu.

Pada Rabu, tular dakwaan di media sosial bahawa wujudnya gerakan yang sedang berjalan bagi menjatuhkan Abdul Hadi.

Dakwaan itu juga menyatakan, berlakunya perpecahan dalam Pas yang kini terbahagi kepada dua kumpulan membabitkan kumpulan Pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan Pro UMNO. – SH

'Jangan sampai tanggapan Muhyiddin memihak kepada Azmin'

Haspaizi Zain

Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mewujudkan kembali jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Jeniri Amir, berkata jawatan itu amat wajar diberikan kepada Umno selaku parti dominan dalam kerajaan PN.

"Amat wajar, rakyat Malaysia sudah biasa ada jawatan TPM, jawatan TPM diberi pada parti dominan atau parti nombor dua dominan.

"Umno berhak untuk jawatan itu. Kosongkan jawatan itu menimbulkan kesangsian kepada Umno dan ia sepatutnya diberikan kepada Umno.

"Kemarahan ahli Umno disebabkan itu, cara Presiden Bersatu melayan Umno. Bersatu dilihat tidak adil terhadap Umno," katanya.

Menurut Jeniri, Bersatu perlu mengembalikan kestabilan politik jawatan TPM perlu diwujudkan kembali.

Katanya, ia bukan saja boleh menepis persepsi negatif terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tetapi juga memberi keuntungan kepada Bersatu.

Jelasnya, Muhyiddin tidak boleh dilihat cenderung kepada Menteri Kanan tertentu yang telah diketahui umum ketika ini iaitu, Mohamed Azmin Ali.

"Bukan saja untungkan Bersatu tapi juga Umno, untuk kestabilan politik bagi hadapi situasi politik dan negara ketika.

"Soal pelantikan menteri kanan tidak menyelesaikan masalah. Tidak ada justifikasi yang kuat bagi mengosongkan jawatan (TPM) itu.

"Jangan sampai orang punyai tanggapan perdana menteri memihak kepada menteri kanan tertentu iaitu Azmin," katanya lagi.

Kurang 5 jam Malaysiakini berjaya mengumpulkan RM 500 ribu

Kempen derma Malaysiakini capai sasaran

Malaysiakini telah mencapai lebih daripada sasaran kutipan dana sebanyak RM500,000 dalam masa kurang dari lima jam.

Pengumpulan dana tersebut untuk membantu portal berita ini membayar denda RM500,000 setelah Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas komen menghina pembacanya.

Kempen derma ini telah tamat. Sumbangan akan dipertanggungjawabkan dan Malaysiakini akan telus.

Malaysiakini masih mempertimbangkan bagaimana untuk menyalurkan lebihan dana.

Ketua Pegawai Eksekutif portal berita ini, Premesh Chandran mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan orang ramai atas sokongan mereka.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan penyokong kami, kerana telah menolong kami, walaupun, saya yakin ramai yang mengalami kesukaran ketika wabak ini.

"Ini menunjukkan semua yang benar dan salah di negara ini. Bahawa rakyat bersedia untuk ikut terlibat dan melakukan apa saja untuk membuatkan suara mereka didengar dan menjadikan negara lebih baik dan menyumbang dalam memperbaiki kesalahan," katanya.

Katanya lagi, Malaysiakini akan terus melaporkan tanpa rasa takut dan pilih kasih, dan akan melakukan yang terbaik supaya memastikan suara rakyat didengar.

Sementara itu, ketua pengarang Steven Gan berkata dia terharu dengan kemurahan hati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

"Kami di Malaysiakini merasa sangat rendah hati dengan kemurahan hati mengejutkan yang ditunjukkan oleh mereka yang telah menyumbang kepada Tabung Pembelaan Undang-undang kami.

"Kami tidak tahu bagaimana untuk membalas kepercayaan anda kepada kami selain daripada terus melakukan tugas kami dengan sebaik mungkin dalam persekitaran yang semakin memusuhi wartawan di Malaysia," katanya.

Pada 16 Jun tahun lalu, selepas dilantik memegang jawatan Peguam Negara, Idrus memohon prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini dan Gan.

Idrus berpendapat kedua-dua responden telah menghina mahkamah dengan memfasilitasi komen lima pembaca mengenai satu artikel bertarikh 9 Jun yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

Mengetengahkan lima komen, Idrus berkata komen-komen dirujuk dengan jelas membawa maksud badan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.

“Komen-komen tersebut menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman,” tambahnya.

Malaysiakini berhujah kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan niat organisasi berita itu untuk menyiarkan komen yang memfitnah mahkamah.

Adakah darurat sebenar bermula hari ini? S Arutchelvan

S Arutchelvan

Mengapa polis membazirkan wang negara untuk merampas komputer Gerakbudaya berhubung buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas. Dia tidak pernah menafikan menulis buku ini. Walau bagaimanapun, buku itu begitu laris, dan saya yakin dia amat berbangga.

Gerakbudaya atau pengasasnya, Chong Ton Sin juga tidak menafikan bahawa mereka tidak menerbitkan buku itu. Semua ini adalah gangguan yang tidak diperlukan serta membuang masa dari menagani masalah serius lain seperti Covid-19 atau adakah ini permulaan Darurat yang sebenarnya.

Semasa saya ditangkap atas dakwaan menghasut berhubung kenyataan yang saya tulis tentang penghakiman terhadap tuduhan liwat II, Anwar Ibrahim, polis memohon lanjutan tempoh tahanan reman kerana mereka mahu merampas komputer saya. 

Saya memberitahu majistret bahawa ia tidak perlu kerana saya tidak pernah menafikan bahawa saya yang menulis kenyataan itu dan sebenarnya saya berbangga berbuat demikian.

Begitu juga mengapa perlu merampas komputer sedangkan hakikatnya tidak ada pihak yang mencabar sumbernya.

Dan hari ini juga portal berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana komen pembacanya yang didapati menghina mahkamah.

Ini agak keterlaluan memandangkan Malaysiakini dihukum berat bukan kerana sesuatu yang tidak mereka terbitkan tetapi yang paling teruk, mahkamah mendenda Malaysiakini lebih daripada separuh daripada jumlah yang diminta oleh AGC (Jabatan Peguam Negara).

Dalam keputusannya, Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf berkata: "Kenyataan yang menyinggung (komen berkenaan) telah tersebar luas di dalam dan luar negara, dan kandungannya bersifat palsu dan celaan, serta mengandungi tuduhan rasuah. Kami berpendapat bahawa denda RM500,000 adalah wajar.”

Dengan keputusan hari ini, adakah badan kehakiman berpendapat mereka akan mendapat pujian dari seluruh dunia?

Nampaknya badan kehakiman bersifat terlalu peribadi dan remeh apabila kritikan ditujukan kepada mereka.

Sekiranya sama sekali badan kehakiman berhati mulia, mereka boleh sahaja mendenda Malaysiakini RM1. Ini bukan satu gurauan kerana sebelum ini seorang bekas tahanan ISA yang memenangi kesnya kerana penahanan yang tidak sah diberikan ganti rugi nominal hanya RM1.

Keputusan ini walau setinggi mana pun hukumannya hanya akan dilihat sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara dan bersuara. Ia adalah tamparan kepada kebebasan asasi.

Adalah hari yang menyedihkan apabila enam hakim tertinggi di Mahkamah Persekutuan kita membuat kesimpulan seperti itu.

UMNO Jangan Berlengah Lagi, Ambil Peluang Sekarang Ketika Kebencian Sedang Memuncak Terhadap Muhyiddin

SHAHBUDIN HUSIN

Hakikat bahawa rakyat kini begitu benci dan meluat dengan Muhyiddin Yassin bukanlah rekaan atau andaian semata-mata.

Di mana-mana saja, suara kebencian dan penolakan itu tidak saja begitu ketara, malah tahapnya sudah melebihi apa yang diterima Najib Razak sebelum ini.

Sebagaimana rakyat telah menghukum BN kerana penolakan terhadap Najib, kini sentimen yang sama sedang melanda PN lantaran perasaan meluap-luap ingin menjatuhkan Muhyiddin.

Dengan pelbagai kemelut, ketidak-tentuan, kucar-kacir sistem pentadbiran negara dan diburukkan lagi kerana semua itu menjadikan ekonomi derita dan rakyat sengsara, dirasakan ubat mujarabnya hanyalah dengan menyingkirkan Muhyiddin daripada kerusi kuasanya.

Tetapi, dengan menjadikan Covid19 sebagai kambing hitam, PKP dan darurat ini dirasa bagai tiada penghujungnya bakal dimanfaatkan oleh Muhyiddin untuk melindungi kedudukannya.

Ramai yang percaya, selagi ancaman menjatuhkannya sering menjelma, manakala bayang kemenangan terlihat semakin sirna jika mahu diadakan pilihanraya, dikatakan jalan pilihan bagi Muhyiddin ialah terus memanjangkan lagi PKP dan darurat ini daripada semasa ke semasa.

Lantaran itu, sebelum negara ini terperosok lebih jauh ke lembah sengsara, menjatuhkan Muhyiddin tidak harus lagi ditunda-tunda.

Dalam hal ini, UMNO sebagai kelompok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan PN yang meletakkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini, parti itu juga kunci penentu kepada segala kemelut yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini.

Memang sebelum kejatuhan PH dan terbentuknya PN pada Mac tahun lalu, nama UMNO sedang berada di puncak keyakinan dan keinginan rakyat untuk melihatnya kembali berkuasa.

Beberapa pilihanraya kecil yang dimenangi UMNO sebelum itu jelas memperlihatkan hakikat tersebut dan rakyat seolah-olah sudah melupakan dosa-dosa silamnya dan ingin ia kembali menerajui kepimpinan negara.

Namun, apa yang berlaku selepas UMNO berada dalam kerajaan semula telah secara perlahan-lahan menenggelamkan nama baiknya.

Hari ini sedikit demi sedikit keyakinan rakyat sudah mula goyang terhadap UMNO dan kecuali melalui beberapa kerat pemimpinnya yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan, yang selebihnya yang berada dalam kerajaan hanya menampakkan mereka lebih sayangkan perut, kedudukan dan jawatan berbanding perjuangan.

Dalam isu berkaitan pengeluaran wang KWSP dan moratorium pinjaman bank, di mana suara menteri dan timbalan menteri UMNO dalam memperjuangkannya?

Berkaitan pemotongan peruntukan yang dilakukan Muhyiddin terhadap enam wakil rakyat UMNO daripada RM3.7 juta yang diterima tahun lalu kepada hanya RM100 ribu setahun tahun ini, siapa menteri dan timbalan menteri UMNO yang terdengar ada bersuara membela rakan separti mereka sendiri?

Begitu juga dalam deretan isu lain yang berlaku pertembungan antara kepentingan rakyat dengan kedudukan Perdana Menteri, sementara Ahli Parlimen yang tidak berjawatan dalam kerajaan terus bersuara, tetapi mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri jelas sudah menampakkan diri mereka semakin lupa kepada hakikat perjuangan yang sebenarnya.

Memperjuangkan nasib sendiri agar terus kekal sebagai menteri dan timbalan menteri nampaknya jauh meninggalkan kepentingan untuk berjuang demi rakyat sebagaimana ia berdegar-degar bagai nak runtuh langit dimainkan ketika menjadi pembangkang selama 22 bulan sebelum itu.

Terburuk sekali sekarang ini, walaupun kebejatan Muhyiddin dalam mengurus negara tidak perlu dihuraikan lagi kerana segala-galanya sudah terang lagi nyata, keengganan UMNO menarik sokongan bagi menjatuhkan kerajaan mula membuatkan rakyat jadi keliru.

Rakyat kini sudah cukup derita di bawah kerajaan yang tiada keabsabahan, Perdana Menteri yang tiada majoriti dan tiada kemampuan melonjakkan ekonomi di sebalik pelbagai sekatan PKP dan darurat yang pada hakikatnya semua itu hanya untuk menyelamatkan tengkuk Muhyiddin semata-mata, tetapi membuatkan rakyat semakin terpanggang sengsara.

Sebenarnya di ketika rakyat sedang marah dan di puncak penolakan kepada kepimpinan Muhyiddin inilah waktu yang paling sesuai untuk UMNO menarik sokongan bagi memperlihatkan sikapnya yang benar-benar pro rakyat.

Tidak guna meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu, juga tidak guna dua Ahli Parlimen mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin, malah turut tiada gunanya Timbalan Speaker mengutus surat memaklumkan rasa bingung dengan penggantungan Parlimen jika UMNO masih tercongok menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Semua itu tidak bermakna apa-apa selagi UMNO terus menyokong kerajaan PN ini, malah Timbalan Speaker yang bingung dengan penggantungan Parlimen, tetapi tidak berani meletakkan jawatan, hanya membuatkan rakyat lebih bingung dibuatnya.

Kalau betul-betul memikirkan soal perjuangan, membela rakyat yang derita dan mahu UMNO disanjung sema, lakukanlah seperti Ahli Parlimen Machang yang menarik sokongan dan meletak jawatan sekaligus tanpa sayang kepada kedudukan.

Kalau betul berani dan mahu UMNO menang PRU, inilah masanya harus keluar secara en bloc daripada kerajaan sebagai tanda tidak setuju dengan Muhyiddin.

Buat ada Zahid Hamidi, Najib Razak dan beberapa pemimpin UMNO lain yang cuba berwatak seperti pembangkang dengan menegur dan mengkritik banyak perkara, namun dalam masa yang sama terus membekalkan oksigen untuk Muhyiddin dan Bersatu kekal mencatur kuasa dalam kerajaan?

Lagi lama UMNO duduk bersimpuh menyokong kerajaan, sementara rakyat semakin menjauhi dan ingin menjatuhkan Muhyiddin, tidak kira bila sekali pun PRU15 diadakan, percayalah, harapan serta peluang mereka untuk menang juga jadi makin menghilang.

UMNO hanya berpeluang menang pilihanraya serta boleh kembali berkuasa jika segera menarik sokongan terhadap kerajaan kerana dengan menjatuhkan Muhyiddin, sikap itu akan membuatkan rakyat terhutang budi serta percaya kepada perjuangannya benar-benar untuk rakyat jelata.

Sementara Muhyiddin memang sah dibenci, UMNO yang takut-takut menarik sokongan, walhal dua Ahli Parlimennya sudah pun berbuat demikian dan usul putus hubungan telah juga diluluskan, lagi berlengah hanya akan membuatkan rakyat turut benci dan hilang kepercayaan kepada parti itu. (Shahbudindotcom 19/02/2021)

PAS jangan selalu sangat ‘manipulasi situasi’, tegur Umno Johor

FMT Reporters

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata PAS “tidak boleh terus bermain secara selamat”.

JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, mahu PAS nyatakan pendirian rasmi adakah mereka mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional atau ingin bergabung dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang.

Menyifatkan situasi sekarang “masih kabur”, Jazlan menggesa PAS supaya berani dan jujur membuat keputusan.

PAS, katanya, “tidak boleh terus bermain secara selamat”, katanya menurut laporan Sinar Harian.

“Jangan selalu sangat suka memanipulasi situasi demi kepentingan parti sendiri.”

Jazlan berkata demikian selepas menegaskan pendirian Umno Johor untuk tidak menyerahkan kerusi yang ditandinginya kepada PPBM pada PRU-15, menyusuli keputusan sama oleh Umno Perak dan Selangor.

Katanya, Umno Johor cuma sedia mempertimbangkan Parlimen Pagoh, yang diduduki Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

“Kerusi-kerusi lain minta maaf ya,” katanya. “Kalau mereka nak juga, kena berlawan dengan kita pada PRU-15 nanti.”

Zahid: PH dah tak hirau, Mahathir cari rumah lain

Malaysiakini 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Dr Mahathir Mohamad sedang mencari “perumah” lain setelah tidak dihiraukan oleh rakan daripada Pakatan Harapan (PH).

Mengulas kenyataan Mahathir yang sedia untuk kembali kepada Umno sekiranya parti itu kembali dasar awalnya untuk berjuang demi bangsa, negara dan agama, kata Zahid, syarat bekas perdana menteri itu hanyalah alasan dan dalih semata-mata.

“Saya fikir rakyat khususnya ahli Umno boleh menjangkakan punca sebenar mantan pengerusi PH dan Bersatu ini membuat pusingan U setajam itu.

“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ketujuh.

“Presiden Bersatu telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan PN tidak luluskan pendaftaran parti baharunya (Pejuang). Makanya perlu cari 'perumah' lain atau setidak-tidaknya kembali kepada 'perumah lama' untuk terus mendapatkan manfaat 'nutrisi'.

“Rakyat juga tahu syarat yang ditetapkan beliau itu sekadar alasan. UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook. 

Sedangkan, imbau Zahid, Mahathir pernah memberikan kenyataan-kenyataan yang bernada berbeza sebelum ini.

Dia memetik kenyataan Mahathir sebelum ini, antaranya, menyifatkan Umno sudah hancur dan tinggal nama, yang menolak kerajaan campuran dengan parti Umno, dan pengakuan Mahathir yang memintanya membubarkan Umno.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian kelmarin, Mahathir mengakui yang dia masih sayangkan Umno, sementalahan pernah berpuluh tahun menjadi presiden parti itu.

Meskipun Dr Mahathir mengakui boleh kembali bersama Umno, dia juga menegaskan yang dia hanya akan bersetuju kembali sekiranya elemen negatif seperti rasuah dapat dibersihkan di dalam Umno.

“Saya boleh kembali kepada Umno. Tapi orang yang penyangak-penyangak apa semua, minta maaflah, saya tak boleh kerjasama dengan mereka,” tegas Mahathir kelmarin.

Zahid antara pemimpin Umno yang terpalit dengan tuduhan rasuah di mahkamah, selain tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, dan kini dalam proses perbicaraan.

Beberapa figura Umno turut telah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah atas beberapa kesalahan seperti penyelewengan atau rasuah, seperti bekas presiden Umno Najib Razak, Isa Samad dan Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dedah Mahathir dalam wawancara sama, hanya seminggu selepas dia meletakkan jawatan pada 2003, dia menerima rombongan demi rombongan yang memintanya berbuat sesuatu kerana berpendapat perdana menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik.

Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada 2003, sebelum kembali menjawat jawatan perdana menteri pada 2018 selepas kejayaan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Namun, dia meletakkan jawatan Februari tahun lalu setelah parti yang diasaskannya, Bersatu keluar daripada PH bagi bekerjasama dengan pihak lain termasuk PAS dan Umno bagi membentuk kerajaan baru.

Ekoran kenyataan Mahathir itu, veteran Umno Yussuf Latiff mengusulkan agar Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berunding dengan Dr Mahathir Mohamad dan mempelawa bekas presiden Umno itu kembali ke pangkuan parti.

Yussuf turut meminta pemimpin Umno agar berjiwa besar, memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan mereka.

Kata Zahid, kenyataan Mahathir itu mungkin strategi untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli Umno, sama seperti yang dilakukan ketika PRU-14 yang menyaksikan BN tumbang.

“Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno ketika itu?” soal Zahid di akhir hantaran. 

Kita jumpa di mahkamah, kata Puad kepada Muhyiddin

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sedia untuk berjumpa Tan Sri Muhyiddin di mahkamah ekoran dakwaan beliau memfitnah Perdana Menteri itu.

Beliau juga mengesahkan menerima surat tuntutan atau LOD berjumlah RM10 juta daripada peguam Perdana Menteri, berhubung hantarannya di Facebook pada 9 Februari lalu mengenai kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Beliau ketika itu mempersoalkan sekiranya perintah kuarantin selama tiga hari yang diwartakan kerajaan adalah disebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan dikuarantin sejurus pulang dari lawatan rasmi di Jakarta.

Menerusi kenyataan terbaru pagi ini, Puad berkata, beliau tidak akan memohon maaf dan tiada keperluan memadam hantaran Facebooknya itu.

Sebaliknya beliau memaklumkan, surat LOD tersebut akan diserahkan kepada peguamnya dan membawa kes berkenaan ke mahkamah.

“Saya dituduh memfitnah Perdana Menteri. Sedangkan saya hanya bertanya dan meminta penjelasan. Kalau itu pun disaman maka amat wajar saya melawan di mahkamah.

“Saya akan serahkan kepada Peguam saya untuk respond surat LOD tersebut. Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli oleh Muhyiddin seperti mana Umno dibuli.

“Saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting dalam FB saya. Justeru saya memilih ke Mahkamah. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk bersama rakyat yang membantah amalan ‘antara dua darjat’ dalam isu kuarantin,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, minggu lalu.

“Kami diarahkan bahawa kenyataan itu mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan ditandatangani peguam Muhyiddin.

Firma guaman itu diarah untuk menuntut Mohd Puad memadam posting berkenaan selain menyatakan permohonan maaf secara terbuka yang disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya.

Sementara itu Mohd Puad berkata, oleh kerana peraturan kuarantin tiga hari untuk Menteri dibuat secara tergesa-gesa, maka ia merupakan isu kepentingan awam yang perlu dipersoalkan.

Ini kerana menurutnya, Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama.

“Maka apakah“kuarantin tiga hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?

“Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak,” katanya lagi.

Azmin, kami minta tutup kilang arak bukan kilang tayar

Azmin, kami minta tutup kilang arak bukan kilang tayar

MALAYSIA DATELINE

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta menjelaskan apa kerja yang beliau buat sehingga kilang tayar pun ditutup ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19.

Turut dipersoalkan adalah pemimpin Pas yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang membenarkan kilang arak dan pusat judi dibuka ketika masjid dan surau sukar untuk diimarahkan.

“Halloo ‘Budak Klip Sandakan’? Lu bikin apa sekarang? Rambut longkang, mulut longkang, perangai longkang, kerja pun macam longkang.

“Rakyat mau makan pun susah laaa …,” tulis aktivis politik Jamzuri Ardani menerusi facebook beliau ketika mengulas pengumuman pemilik kilang tayar Sylverstone di Taiping, Toyo Corporation yang mengumumkan kilang itu  akan ditutup mulai Jun ini.

“Arak dengan tayar pun tak boleh beza. Orang suruh tutup kilang arak, dia pegi tutup kilang tayar,” tulis Jamzuri lagi yang kesal dengan apa yang berlaku.

Jamzuri seterusnya menyindir Pas apabila menulis, “Saya percaya ini mesti berita tahun 2019. Malaysiakini sengaja lambat siarkan untuk burukkan kerajaan Bani Lebai.”

Beliau mengulas berita Malaysiakini pada 16 Februari yang bertajuk “Kedai nombor ekor dibuka kembali”.

Asri Janggut persoal mana suara 18 MP Pas, RUU 355 “masih tergantung-gantung”

FAZLI RADZI

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid secara terbuka mempersoal kesungguhan 18 Ahli Parlimen Pas dalam pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Genap empat tahun berlalunya Himpunan RUU 355 di ibu negara, beliau yang dikenali sebagai Asri Janggut mengimbas kembali detik ketika Pas masih bergelar parti pembangkang.

“Saya bawa anak lelaki yang berusia 8 tahun dan isteri saya pada himpunan RUU 355 pada 18 Februari 2017 di Padang Merbok.

“Tujuannya untuk ajar anak apa itu perjuangan, apa yang orang Islam perlu perjuangkan. Saya beritahu isteri undang-undang Islam perlu diperkasa untuk masa depan Islam,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, kesalnya, semua laman media sosial atau Facebook peribadi para pemimpin Pas, wakil rakyat, Ahli Parlimen atau media rasmi parti Pusat, Negeri tidak lagi menaikkan isu RUU 355.

“Malah sepi begitu sahaja, ke mana suara 18 orang wakil kita (Pas) di Parlimen?

“Masihkan kita ingat ada seorang pakcik kayuh basikal dari Baling Kedah hingga ke Padang Merbok?

“Adakah kita dah lupa titik peluhnya? Adakah kita semakin lalai?” soal Asri Janggut lagi.

Sehubungan itu, penyokong Pas tersebut berharap pemimpin parti yang memegang jawatan Menteri Undang-Undang memberi penjelasan mengapa RUU 355 “masih tergantung-gantung”.

Untuk rekod, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari pada 25 Julai tahun lalu berkata, pembentangan kali kedua RUU 355 perlu mengikut tertib tertentu jika dibawa oleh kerajaan, berbeza dengan pembangkang.

Wakil rakyat Pas itu berkata banyak prosedur perlu dilakukan sebelum pembentangan di Parlimen termasuk mengadakan perbincangan dengan semua negeri dan selepas itu akan dibawa ke Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Proses seterusnya adalah mengangkat perkara berkenaan kepada Majlis Raja-Raja selaku ketua agama negeri dan bagi negeri yang tiada Raja akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sebelum ke proses terakhir pembentangan di Parlimen,” kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi.

Ahli Parlimen KL boikot mesyuarat dengan Annuar Musa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen di Kuala Lumpur memutuskan untuk tidak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Konsultasi Wilayah Persekutuan (JaKoWIP) esok berikutan gesaan pertemuan khusus mereka dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa tidak dilayan.

Dalam satu kenyataan, sembilan Ahli Parlimen itu berkata terdapat beberapa perkara dasar yang tidak dapat mereka terima termasuk isu terma rujukan, ahli mesyuarat serta aturan mesyuarat.

“Kami telah memohon agar perkara-perkara yang dibangkitkan ini dipinda, dan satu pertemuan khusus di antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan segera.

“Malangnya, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan dalam surat bertarikh 24 Dis lalu hanya menyatakan bahawa syor-syor kami sedang diperhalusi, dan tiada pertemuan khusus yang akan disegerakan seperti yang diminta,” katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen berkenaan adalah Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Teresa Kok (Seputeh), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Hannah Yeoh (Segambut), P Prabakaran (Batu) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Menurut Ahli Parlimen berkenaan perkara-perkara asas yang dibangkitkan dalam surat mereka pada 7 Dis lalu belum dijawab.

Mereka berkata, pindaan yang diminta belum dilakukan termasuk penyertaan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) sebagai ahli mesyuarat memandangkan mereka adalah lantikan politik yang tiada mandat rakyat Kuala Lumpur.

“Menteri Wilayah Persekutuan perlu sedar bahawa warga Kuala Lumpur telah membuat pilihan yang sangat jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan memilih kami sebagai Ahli Parlimen mewakili suara mereka.

“Oleh itu, Menteri Wilayah Persekutuan perlu menghormati mandat tersebut dan segera mengadakan mesyuarat khusus bersama kami untuk meneliti serta menyelesaikan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.”

Pada 6 Jan lalu, Ahli Parlimen di Kuala Lumpur menggesa Annuar segera memberikan maklum balas terhadap surat yang dihantar mereka pada 7 Dis lalu.

Dalam kenyataan, sembilan Ahli Parlimen itu berkata mereka ingin berbincang dengan Annuar mengenai isu penubuhan JaKoWIP, Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kementeriannya.

Menurut Ahli Parlimen berkenaan, JaKoWIP adalah sebuah jawatankuasa yang dirangka sebagai pengganti kepada format Majlis Menteri Wilayah yang wujud semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Pengasas Sugarbook ditahan semula berkaitan kes rogol, pelacuran

 Malaysiakini 

Polis menahan semula pengasas aplikasi Sugarbook bagi membnatu siasatan berhubung kes rogol dan pelacuran membabitkan seorang penuntut universiti.

Penahanan itu berlaku pada hari sama permohonan polis untuk menahan reman lelaki berusia 34 tahun itu ditolak mahkamah majistret Shah Alam pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Selangor Fadzil Ahmat berkata lelaki terbabit ditahan untuk disiasat berhubung kejadian berlaku di Subang Jaya pada 19 Feb 2019.

"Pengadu merupakan seorang penuntut universiti," katanya dalam satu kenyataan.

Pagi tadi cubaan polis menahan reman lelaki berkenaan ditolak selepas dia dibawa ke mahkamah. 

Peguam, Foong Cheng Leong, memberitahu Timbalan Pendaftar mahkamah Shah Alam Noorasyikin Sahat menolak permohonan polis selepas lelaki terbabit memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada polis. 

Sebelum itu lelaki terbabit ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur semalam.

Lelaki Indonesia dakwa bunuh, minum darah orang Aceh ditahan

Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki yang memuat naik rakaman video menerusi media sosial mendakwa telah membunuh beberapa lelaki warga Indonesia keturunan Aceh serta meminum darah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata warga Indonesia berusia 31 tahun itu diberkas pada jam 5.30 petang semalam di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Suspek ditahan selepas memuat naik klip video berdurasi 59 saat itu yang dikesan oleh polis pada Isnin lalu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, sehari sebelum suspek ditangkap, pihaknya menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki membelasah suspek, dipercayai kerana marah atas perbuatan provokasi suspek dalam kilp video yang tersebar berkenaan.

“Polis turut menerima satu laporan daripada orang awam mendakwa melihat satu kejadian merusuh melibatkan beberapa lelaki disyaki warga Indonesia di Taman Selat Damai Pandamaran, Klang,” katanya.

Susulan itu katanya polis menahan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang disyaki terlibat dalam rusuhan tersebut, pada 10 malam Selasa lalu di Klang Selatan.

Mat Sabu nafi dakwaan Hadi rundingan Pas-Umno selepas AMANAH ditubuhkan

ARIF ATAN

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menafikan dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya rundingan kerjasama Pas dengan Umno berlaku selepas penubuhan AMANAH.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, AMANAH ditubuhkan selepas Muktamar Pas 2015 di Kuala Selangor.

“Saya tidak kisah Pas hendak bekerjasama dengan siapa. Itu hak mereka tetapi fakta hendaklah betul.

“Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia pada Februari 2015. Muktamar Pas pada Mei 2015.

“AMANAH ditubuhkan pada bulan Ogos dan dirasmikan pada 16 September 2015.

“Ertinya kerjasama dengan Umno dibincangkan di PUTIK (Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan), Kelantan antara tiga pemimpin utama setelah PAN (panggilan Pas kepada AMANAH) ditubuhkan adalah tidak betul,” tegas Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Umum disiarkan secara langsung oleh NextStep Malaysia sebentar tadi.

Baru-baru ini, Presiden Pas dalam satu temubual menyatakan rundingan berkaitan kerjasama dengan Umno melibatkannya dengan Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat berlaku di PUTIK, Kelantan setelah AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) diwujudkan.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan menyeru agar golongan muda terutamanya menggunakan fakta dari sumber yang benar.

“Ketika AMANAH wujud, Tok Guru Nik Aziz telah pun meninggal dunia.

“Oleh itu, anak-anak muda sekalian mengambil fakta itu biar dari sumber yang betul.

“Sepanjang Januari hingga Mei 2015, saya masih lagi Timbalan Presiden Pas. Tidak ada perundingan yang saya ketahui antara tiga pemimpin itu secara rasmi untuk kerjasama dengan Umno,” kata Mohamad lagi.

Pas sukar jadi pendamai Umno, Bersatu

MALAYSIA DATELINE

Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen dijangka sukar menjalankan peranan sebagai ‘gam’ bagi merapatkan kembali hubungan tegang antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus merealisasikan pembentukan koalisi perdana parti Melayu.

Peranan yang dipertanggungjawabkan kepada Pas itu dianggap hampir mustahil, kata penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Menurutnya, pengaruh dan ego Umno dan Bersatu adalah sangat kuat dalam kalangan pengundi Melayu.

Jelasnya, sejarah politik negara juga membuktikan tiada parti dalam sesuatu koalisi politik yang mampu menjadi pendamai kepada parti-parti seangkatan yang bertelagah sesama mereka.

“Saya ambil contoh Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal menjadi gam mendamaikan Bersatu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bahkan PKR sendiri pun gagal mendamaikan Pas dan DAP sewaktu koalisi Pakatan Rakyat (PR),” dipetik Sinar Harian.

Untuk rekod, Bersatu pada masa ini mempunyai 31 kerusi termasuk kumpulan Azmin Ali dari PKR yang kemudiannya terbabit dalam Langkah Sheraton manakala Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berpendapat Pas bagaimanapun diyakini akan cuba memainkan peranan pendamai itu sebaiknya untuk memastikan koalisi perdana parti Melayu dapat dimuktamadkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang menegaskan hala tuju pembentukan koalisi perdana parti Melayu kini terletak di tangan Pas.

Buka semula pusat judi: Apa peranan parti Islam dalam kerajaan PN

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyindir peranan Pas sebagai parti Islam di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan kebenaran pengoperasian semula pusat perjudian dan agensi nombor ramalan dalam negara.

“Inilah dia tahap kematangan Pas. Pas merupakan parti yang matang untuk melihat keperluan mengharuskan perjudian dalam negara,” katanya dalam satu klip video di Facebooknya.

Beliau berkata, keputusan Pas berdiam diri juga amat mengejutkan ekoran tiada bantahan dari parti itu selepas memasuki hari kedua pembukaan kedai-kedai nombor ramalan.

“Bagi saya ini adalah sesuatu yang mengejutkan semua masyarakat apabila jemaah menteri yang didokongi oleh para ulama dan diketuai oleh Pas boleh bersetuju (dengan keputusan itu).

“Ini ekoran daripada tindakan mereka yang tak pernah membantah keputusan kedai-kedai perjudian ini untuk beroperasi semula,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa syarikat nombor ramalan mengumumkan membuka semula operasi selepas mendapat kebenaran kerajaan.

Sports Toto Malaysia Sdn Bhd, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) mengumumkan pembukaan semula itu melalui media sosial dan laman web masing-masing.

Di Facebook Magnum, mereka sedang giat melakukan promosi dan mengumumkan jumlah wang tawaran terkumpul mereka kini menghampiri RM16 juta.

“Semua kedai kami dibuka. Jangan terlepas cabutan khas kami yang berlangsung pada 16 Feb! Nilai cabutan Magnum 4D Jackpot kini hampir RM16 juta sekarang” tulis syarikat itu.

Timbalan pengerusi negeri sebuah parti ditahan, wang rasuah RM1.2 juta dirampas

FAZLI RADZI

Seorang timbalan pengerusi negeri sebuah parti politik yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemimpin itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian pada 2019.

“Turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Ipoh semalam ialah dua pengarah syarikat.

“Dalam pada itu, SPRM telah merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta yang dipercayai wang rasuah disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

SPRM turut merampas sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri itu sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan.

Setakat ini beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan.

“Ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini,” jelas kenyataan suruhanjaya itu lagi.

Berita palsu

Sebelum ini, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa beberapa media membuat berita palsu berhubung timbalan pengerusi PKR negeri, M A Tinagaran.

“Lebih mendukacitakan adalah apabila beberapa portal lain juga sekadar memetik sumber untuk mensasikan laporan tanpa membuat usul periksa secara lanjut.

“Saya ingin mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Farhash.

Dia juga berharap kerajaan tidak bersikap berat sebelah di dalam pemantauan berkenaan kes tersebut.

“Media harus lebih cermat kerana siasatan masih dijalankan dan semoga proses perundangan berjalan secara lancar tanpa prejudis,” tegas Farhash lagi.

Rosmah diarah bela diri berhubung kes rasuah projek solar

B Nantha Kumar

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor diarah membela diri atas tuduhan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi ketiga-tiga kes tersebut.

"Pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan."

"Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri," kata Zaini.

Perbicaraan terhadap Rosmah, 69 melibatkan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan yang bermula sejak 5 Feb 2020 itu mengemukakan 23 saksi sepanjang 33 hari sesi perbicaraan.

Terdahulu, Rosmah hadir di mahkamah pada pukul 9.20 pagi bersama suaminya.

Dia diwakili barisan peguam diketuai Jagjit Singh, sementara bekas hakim mahkamah tinggi Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

Zahid Hamidi: ‘Aku diugut supaya berhenti, jika tidak ke dalam kau rasakan’

Malaysiakini 

Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini meratap panjang berkaitan cabarannya membina kembali Umno selepas tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Dalam bahasa berbunga-bunga, dia antaranya mendakwa berdepan ugutan supaya berhenti “bertukang” - yang mungkin dimaksudkan dengan membina kembali Umno.

“Sekembali memahat, diugut pula seteru supaya henti bertukang.

“Jika tidak ke dalam kau rasakan,” kata anggota parlimen Bagan Datuk di Facebook.

Zahid yang juga pengerusi BN bagaimanapun tidak menyebut dengan jelas dakwaan itu, termasuk identiti pihak terlibat.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan lanjut pihak Zahid berkaitan dakwaan itu.

Ini bukan kali pertama Zahid “bermadah” seperti ini.

Pada 2 Februari - kira-kira dua minggu lalu - dia memohon maaf kepada orang ramai jika isu-isu rakyat dibangkitkannya tidak dilayan pihak berwajib.

Katanya, walaupun memegang jawatan tinggi dalam Umno dan BN, dia tidak memegang tampuk pentadbiran negara.

Dia juga berkata menteri BN dalam kerajaan tidak mempunyai kuasa mutlak dan “ada kuasa yang lebih mendahului mereka”.

Perkara itu timbul ketika ramai pemimpin Umno tampil lantang mengkritik dasar dan pendekatan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, khususnya dalam isu bantuan kewangan ketika Covid-19.

Umno tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) - gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan - walaupun anggota parlimennya menyokong pembentukan kerajaan itu.

‘Umno sedang pulih’

Sementara itu, Zahid berkata dia tidak akan mempedulikan cabaran dihadapinya kerana dia “percaya pada keagungan tuhan”.

“Mereka takutkan bayang-bayang. Mereka tahu 'rumah agam' Umno sedang dipulih.

“Mereka takut dan resah mahu mengagalkan. Namun aku yakini kudrat ini tidak akan pernah berhenti,” katanya.

Dalam luahan perasaan sama, Zahid mengimbas kembali apa yang berlaku selepas Umno kecundang kali pertama dalam sejarahnya pada 9 Mei 2018 di tangan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ketika menggantikan Najib Razak sebagai presiden Umno, dugaan dihadapinya amat berat.

“Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Namun amanah dan baiah kepada tuhan azimat penguat semangat,” katanya.

Dia juga mengimbas kembali bagaimana “diugut rakan supaya beredar”, di samping ada yang meninggalkan perjuangan Umno.

“Sesiapapun yang diamanahkan akan mereka gasak supaya tiang kekal tidak berseri, kerana itu matlamat utama mereka,” katanya.

(Gambar) Pengasas produk kecantikan cium bibir kanak-kanak ditahan

FMT Reporters

Menerusi carian pengguna media sosial, pengasas produk kecantikan itu memuat naik beberapa video dia mencium bibir kanak-kanak lelaki menerusi akaun TikTok miliknya yang kini sudah dinyahaktif.

KUALA LUMPUR: Seorang pengasas produk kecantikan ditahan di ibu negara petang semalam, berhubung dakwaan mencium bibir kanak-kanak lelaki yang tular di media sosial.

Berita Harian melaporkan, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki itu masih berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kita buka kertas siasatan selepas terima satu laporan daripada orang awam berkaitan isu itu. Lelaki berkenaan ditahan semalam dan polis dalam proses untuk rakam keterangannya untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Sebelum ini, tersebar video seorang lelaki mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki.

Menerusi carian pengguna media sosial, pengasas produk kecantikan terbabit memuat naik beberapa video yang memaparkan perilaku sedemikian menerusi akaun TikTok miliknya yang kini sudah dinyahaktif.

Surat Azalina kepada AG: Legislatif telah lumpuh

Malaysiakini 

Cabang legislatif telah dilumpuhkan akibat keputusan eksekutif untuk menggantung Parlimen, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Idrus Harun.

Menurut Azalina, ia menyebabkan cabang eksekutif seolah-olah berkuasa secara bebas dalam hal ehwal negara dan tidak dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

Idrus adalah abang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Dalam surat itu, Azalina berkata dia bingung mengapa Malaysia sama ada tidak dapat atau tidak mahu berusaha melaksanakan sidang Parlimen seperti negara lain, seperti dengan mengurangkan penyertaan ahli Parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar khas.

"Seolah-olah itu belum memadai, Pejabat Peguam Negara juga telah menasihati kerajaan, dan saya perlu tambah secara membatas, yang semua kegiatan jawatankuasa di Parlimen termasuk jawatankuasa pilihan khas tidak boleh lagi diteruskan walaupun jika dibuat secara maya," katanya.

Azalina yang juga ahli Parlimen Pengarang berkata lagi, nasihat yang dibuat oleh Peguam Cara Negara II Siti Zainab Omar itu menghalang ahli Parlimen yang menganggotai jawatankuasa tersebut daripada menyiasat atau meneliti isu-isu berkaitan.

Exco Terengganu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini

SITI NUR ZAWANI MISCON

Seorang Exco Terengganu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi ini susulan kegagalan menghantar laporan kewangan syarikat selama tiga tahun berturut-turut.

Syarikat tersebut difahamkan adalah milik kerajaan negeri dan telah melanggar peraturan pengurusan syarikat yang berkait dengan Akta SSM Seksyen 68 (1).

Exco berkenaan dikatakan akan dakwa pagi atas kapasitinya sebagai pengarah syarikat itu.

“Exco tersebut merupakan salah seorang ahli pengarah sebuah syarikat yang terletak di Ulu Klang tetapi dimiliki oleh syarikat kerajaan negeri Terengganu.

“Sumber memaklumkan, beliau didakwa atas kesalahan tidak mematuhi akta SSM yang boleh membawa hukuman denda RM50,000,” lapor Terengganu Fokus.

Sebelum ini, syarikat Terengganu Development and Management (TDM) Berhad dilaporkan gagal menghantar laporan kewangan tahunan dari 2017 hingga 2019.

Dilaporkan, beberapa individu telah dilantik menjadi pengarah kepada berbelas syarikat GLC di Terenggganu dengan gaji lumayan yang keseluruhannya berjumlah sekitar RM55,000 sebulan setiap orang.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah sebelum ini turut mempersoalkan keperluan kerajaan negeri melantik orang luar, dalam begitu banyak syarikat GLC dengan bayaran gaji yang lumayan.

“TDM menujukkan betapa tidak bijak kerajaan Terengganu melantik seseorang memegang begitu banyak jawatan pengarah GLC yang tidak mampu memberi perhatian tugas dengan keupayaan yang cekap,” katanya.

Perak nafi wang tunai jutaan ringgit dirampas daripada Tinagaran

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan laporan berita yang mendakwa aset dan wang tunai berjumlah jutaan ringgit milik Timbalan Pengerusi negeri itu, MA Tinagaran, telah dirampas.

Beliau merujuk kepada laporan portal berita yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas sejumlah RM1.2 juta milik Tinagaran yang juga pegawai tugas-tugas khas kepada bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar

Farhash mendakwa, beberapa portal berita cuba memberikan gambaran negatif dengan memutar belitkan fakta secara prejudis.

“Tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit telah dirampas milik Tinagaran.

“Sebaliknya wang sejumlah RM17,000 dalam denominasi kecil telah diambil untuk siasatan.

“Kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, MA Thinagaran dilapor telah ditahan SPRM atas dakwaan rasuah sebuah projek pasir yang turut mengakibatkan sejumlah RM1.2 juta dirampas daripada sebuah rumah dan pejabat.

Laporan itu juga mendakwa, kereta mewah yang dirampas adalah kereta yang digunakan Xavier sebagai kereta rasminya semasa menjadi menteri.

Pada masa sama, bank akaun milik individu dan syarikat dengan wang berjumlah RM77 juta juga didakwa telah dibekukan.

Sementara itu, Farhash mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Lebih mendukacitakan apabila beberapa portal lain juga sekadar memetik sumber untuk mensasikan laporan tanpa membuat usul periksa secara lanjut,” katanya lagi.

Mana Rina dapat wang langsai hutang lebih RM1 juta?

Malaysiakini 

Seorang Adun DAP hari ini menuntut penjelasan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkenaan sumber yang digunakannya untuk membayar hutang lebih sejuta ringgit, agar tidak diisytihar muflis.

Adun Canning, Jenny Choy membangkitkan soal kekayaan Rina berdasarkan senarai pengisytiharan harta yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

"Rina dilaporkan telah langsaikan hutang dengan syarikat filem berpangkalan di Paris. Sebelum itu dia diberi Notis Kebangkrapan atas hutang berjumlah RM1,340,642.02.

"Dia perlu jelaskan bagaimana dia dapat kumpul wang secukupnya untuk bayar hutang sebesar itu dalam masa singkat iaitu 15 bulan, memandangkan maklumat dalam Pengisytiharan Harta menunjukkan asetnya hanya RM72,000 dengan pendapatan RM34,004.48 (ketika itu), ketika ia ditunjukkan kepada awam pada 20 Nov 2019," katanya dalam kenyataan.

"Jika pendapatan Rina tidak berubah sejak 2019, dia perlukan 40 bulan untuk mengumpul dana dan selesaikan hutang, dengan syarat dia tidak belanja walau satu sen daripada pendapatan itu," katanya lagi.

Choy juga mempersoalkan jika Rina membuat pengisytiharan palsu berkenaan asetnya pada November 2019.

"Sebagai seorang menteri kabinet dan penjawat awam, Rina perlu memberi penjelasan," katanya yang juga naib ketua Pemuda DAP.

Semalam, Free Malaysia Today memetik Mark Ho, peguam yang mewakili syarikat produksi dan filem Sarl Novovision, yang memaklumkan Rina telah menyelesaikan hutangnya minggu lalu.

Bagaimanapun dia enggan mendedahkan jumlah tunggakan yang dibayar Rina.

"Kita terima cek pada Rabu dan ia dijelaskan keesokannya," katanya.

Syarikat tersebut memfailkan saman terhadap Rina pada 8 November 2018. Ketika itu, ia menuntut Rina menjelaskan hutangnya sebelum 31 Julai 2019.

Tuntutan itu untuk beberapa filem, dokumentari dan rancangan komedi yang dijual kepada tiga syarikat, yang mana Rina menjadi pengarahnya.

Rina menerima Notis Kebangkrapan untuk hutang terhadap Sarl Novovision berjumlah RM1,340,642.02, setakat 17 November 2020.

Rina merupakan salah seorang pengarah syarikat Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd - yang kini telah ditutup - yang membeli beberapa program daripada syarikat itu.

Pada Mei 2014, Rina dan seorang lagi pengarah, Ida Rahayu Md Noor, memeterai perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision untuk secara peribadi dan bersama menanggung semua liabiliti syarikat.

Bagaimanapun, tiga syarikat itu masing-masing telah ditutup pada Disember 2013 hingga Ogos 2015.

Muhyiddin minta Puad mohon maaf, ganti rugi RM10 Juta

Bernama

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menuntut ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah perdana menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.

Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Puad semalam, Muhyiddin, antara lain, menuntut Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

“Kami diarahkan bahawa kenyataan tersebut mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan yang ditandatangani oleh peguam Muhyiddin.

Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Selain itu, Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

“Kami diarahkan untuk menuntut agar bersetuju untuk membayar pampasan kepada anak guam kami sejumlah RM10 juta dan jika gagal menunaikan tuntutan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat ini, maka kami akan mengambil tindakan guaman terhadap anda,” katanya.

Difahamkan surat tuntutan tersebut dihantar melalui e-mel dan juga diserahkan secara tangan kepada Puad.

Pada 9 Feb lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana perdana menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.

SPRM tahan timbalan pengerusi PKR Perak

Hariz Mohd

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan timbalan pengerusi PKR Perak MA Tinagaran pagi tadi, kata beberapa sumber dalaman parti itu.

Malaysiakini diberitahu bahawa ahli politik itu ditahan oleh anggota SPRM pagi ini setelah dia dipanggil ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Sumber memberitahu bahawa Thinagaran ditahan atas alasan bagi membantu siasatan terhadap projek pembangunan di Perak. Bagaimanapun, ini masih belum dapat disahkan kerana pegawai kanan SPRM tidak dapat dihubungi buat masa ini.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa SPRM terdahulu mengunjungi rumah Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar, berhubung siasatan ke atas sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ikan keli jijik

Metro

Amir Mamat

KEADAAN kolam ikan keli yang kotor dan busuk di Masjid Tanah. FOTO AMIR MAMAT

MELAKA: Menjijikkan apabila sebuah syarikat penternakan ikan keli di Masjid Tanah, di sini, memberikan bangkai ayam, telur tembelang serta darah ayam sebagai makanan ternakan itu.

'Kerja gila' pengusaha kolam berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu itu dikatakan mampu membuatkan ikan keli berkenaan cepat membesar, sekali gus memberi pulangan hasil lumayan kepada mereka.

Bagaimanapun, kegiatan pengusaha terbabit terbongkar berikutan tindakan mereka melepaskan air kolam itu ke sungai terbuka menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan berkenaan.

Air kolam hitam dan berbuih itu dilepaskan ke Sungai Baru di Masjid Tanah sehingga menyebabkan ribuan hidupan sungai mati.

Susulan itu, penduduk membuat laporan kepada Badan Kawal Selia Air (BKSA) pada Februari tahun lalu, sebelum pihak berkenaan melakukan siasatan.


KEADAAN kolam ikan keli yang kotor dan busuk di Masjid Tanah. FOTO AMIR MAMAT

KEADAAN kolam ikan keli yang kotor dan busuk di Masjid Tanah. FOTO AMIR MAMAT

Justeru, semalam, pengusaha kolam ikan keli itu didapati bersalah melepaskan air tidak dirawat ke sungai dan dikompaun RM12,000 oleh BKSA mengikut Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, kolam ternakan ikan keli wajar dikenakan tindakan kerana ia menjadi punca pencemaran air di sungai utama di negeri ini pada Februari tahun lalu.

"Kolam berkenaan didapati cuai melepaskan sisa darah ayam, telur busuk dan air kolam keli ke dalam sungai, sekali gus menyebabkan ikan sungai mati selain membuatkan air sungai berbau busuk sehingga ke Pekan Masjid Tanah.

"Saya sudah melawat ke kolam berkenaan tahun lalu dan mendapati penternak menggunakan darah ayam, telur tembelang dan bangkai ayam untuk menternak keli.

"Keadaan di situ berbau sangat busuk dan tindakan pengusahanya sangat tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di pejabatnya di Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah BKSA negeri, Faizah Abdul Rahman.

Norhizam berkata, hukuman itu jelas membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, kompaun dikenakan itu bagi kesalahan pertama dan jika melakukan kesalahan berulang, jumlah kompaun maksimum RM125,000 atau RM1,000 setiap hari akan dikenakan.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada semua penternak dan petani di negeri ini agar sentiasa mematuhi peraturan dan tidak menyebabkan pencemaran kepada sumber air negeri.

Pada Februari tahun lalu, media melaporkan penduduk di sekitar Pekan Masjid Tanah terpaksa menahan bau busuk akibat pencemaran sungai yang disebabkan oleh sebuah kolam ternakan ikan keli.

Pengusaha kolam berkenaan didakwa menggunakan darah dan telur ayam busuk yang dipercayai diperoleh daripada sebuah kilang penyembelihan ayam sebagai makanan ikan dan kemudiannya melepaskan air kotor itu ke saliran masuk ke sungai berhampiran.

Masalah itu bukan sahaja menimbulkan masalah bau busuk, bahkan menyebabkan ribuan ikan mati dan terapung di kawasan parit, longkang dan sungai di sekitar pekan berkenaan.

Saya seorang 'sugar baby'

Anonymous

Pada usia 20 tahun, saya merupakan seorang pelajar di sebuah universiti antarabangsa kelas atasan di Subang Jaya. Hidup saya dikelilingi anak-anak orang kaya dan pelajar antarabangsa yang hidup mewah.

Saya berasakan diri saya tidak setaraf dan ketinggalan berbanding pelajar lain kerana pakaian saya masih pakaian yang sama dari sekolah menengah, bukan pakaian berjenama seperti yang dipakai mereka di sekitar kampus.

Elaun pelajar saya tidak banyak dan saya tidak bercadang mencari pekerjaan sambilan walaupun ia akan bermanfaat untuk saya dalam jangka masa panjang, berbanding keluar dengan lelaki kaya untuk menikmati hidangan mewah dan koktel di restoran hotel yang mahal.

Disebabkan tidak mampu menggunakan alat solek atau bergaya seperti rakan-rakan yang lain, saya secara serius mempertimbangkan idea mempunyai sugar daddy untuk menaikkan status saya yang ‘miskin’ itu.

Dengan memasuki (laman web) Seeking Arrangements, iaitu platform antarabangsa yang menghubungkan antara lelaki dan wanita yang berpendapatan tinggi dengan sugar babies, saya mendaftar dan tidak lama kemudian menerima tawaran daripada lelaki-lelaki yang inginkan gadis yang baru di situ.

Arrangement (pelanggan) pertama saya ialah seorang peniaga Amerika. Dia memberikan saya wang tunai yang bersamaan dengan AS$1,500 untuk bersamanya dua malam di sebuah hotel lima bintang ketika dia berada di ibu kota. Wang itu sangat membantu saya.

Saya masih baru dalam ‘permainan’ itu, jadi saya bertanya mengapa dia inginkan gadis yang berumur hanya 18 tahun, baru cukup umur.

“Sebabnya mereka masih ketat dan bergetah,” katanya sambil menyentuh tubuh saya.

Bayar tiap kali berjumpa

Pengalaman saya dalam sugar dating telah menjadi bertambah serius apabila saya mendedahkan diri saya dengan lelaki yang gemarkan hubungan zina dan pemangsa seksual.

Di sebalik pengalaman buruk, saya tetap berada di dalam ‘sugar bowl’ (laman web itu) setiap kali saya perlukan wang yang besar, sementara bersikap naif mempercayai kisah wanita yang menjalin hubungan jangka panjang dengan pasangan mereka dan memiliki rumah bernilai jutaan ringgit.

Sekiranya anda menggunakan platform temu janji sugar-dating, anda akan terbiasa dengan istilah, PPM iaitu pay per meet (bayar setiap kali bertemu)

PPM adalah seperti apa yang disangkakan oleh semua orang - seks berbayar setiap kali kami mengadakan pertemuan.

Polisi aplikasi Sugarbook berkeras untuk tidak menggunakan istilah seperti ‘pay per meet’. Tetapi di sebalik polisi itu, sebahagian besar pengguna yang terdiri daripada sugar daddy menggunakan istilah itu untuk berunding bagi perjumpaan seks berbayar.

Saya menerima teks daripada sugar daddies yang bertanya: "PPM?" dalam beberapa teks pertama perbualan.

Sugarbook dengan bangganya memberitahu, Malaysia mempunyai puluhan ribu sugar daddies. Saya tidak bersetuju. Aplikasi ini sebaliknya dipenuhi oleh lelaki biasa yang tidak mempunyai keintiman secara fizikal atupun romantis dan mendapati bahawa dengan membayar (untuk seks) jauh lebih mudah daripada melalui proses temu janji.

Ia bukanlah temu janji mewah seperti yang dijangkakan oleh orang di luar sana. Ia tidak melibatkan percintaan. Tiada intan permata, jambakan bunga, atau sejumlah cek yang besar. Hanya lelaki yang berhasrat untuk mencari seseorang yang sanggup melakukan hubungan seks dengan harga yang tidak mahal.

Dakwaan lain yang digunakan oleh pasukan Sugarbook untuk mempertahankan laman web mereka di mata masyarakat adalah platform itu memberi peluang kepada sugar babies untuk maju dalam karier mereka dengan menjalinkan hubungan bersama lelaki yang berjaya dan berprofil tinggi.

Memang mudah terpedaya

Saya mendapati dakwaan sebegini adalah berlebihan kerana sugar daddies selalunya tidak mendedahkan identiti mereka. Nama akhir mereka biasanya tidak diletakkan dan butiran seperti tempat kerja juga dirahsiakan kerana dikhuatiri akan berlaku ugutan dan/atau diburu oleh sugar babies.

Hal sebegini menimbulkan pelbagai masalah, termasuk penipuan dan serangan seksual. Apabila nombor telefon dan nama akhir mereka tidak dinyatakan, sukar bagi kedua-dua pihak untuk dipertanggungjawabkan secara sah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Saya telah ditipu beberapa kali. Saya akan melakukan hubungan seksual dengan sugar dadies dan mereka tidak mempunyai ‘elaun’ yang dipersetujui untuk saya ketika saya memintanya.

Saya tidak mempunyai jalan untuk mendapatkan wang yang tidak dibayar kerana ia bukanlah perkhidmatan yang sah untuk membolehkan saya membuat aduan rasmi.

Dalam kes seperti itu, laporan boleh dihantar ke platform sugar-dating. Namun, tindakan yang dilakukan tidak lebih daripada menyekat pelakunya daripada menggunakan laman web itu.

Pada masa sama, platform itu tidak mempunyai pembelaan untuk sugar daddies yang mengirim wang kepada sugar babies yang akhirnya tidak muncul untuk temu janji, atau sugar babies yang mempunyai pengalaman yang mengerikan.

Atas sebab berkenaan serta alasan lain, saya bimbang terdapat kenaikan jumlah sugar babies secara tiba-tiba, yang masih di kolej dan mudah terpedaya, terdedah kepada paksaan seksual, grooming dan dibuli secara kewangan.

Sebagai sugar baby, saya dapat mengakui bahawa sebahagian besarnya, ia tidak lebih daripada cara untuk melakukan pekerjaan seks secara bebas tanpa dipayung bapa ayam atau perniagaan dari rumah pelacuran yang boleh dipercayai.

Wang yang saya kumpulkan daripada temu janji saya sepanjang lima tahun memberikan saya keuntungan yang ketara tetapi ia juga membuatkan saya terbantut untuk mencari wang sendiri.

Seperti urus niaga dadah, wang segera dan mudah secara tidak langsung membuatkan usaha mendapatkan wang dengan cara sah menjadi kurang lumayan dan sukar.

Saya tidak mahu peduli dengan apa yang dilakukan oleh dua orang dewasa secara sukarela berada di tempat yang tertutup, tapi saya secara peribadi tidak bersetuju wanita di bawah umur 25 tahun berkecimpung dengan temu janji sebegini.

Kepada ibu bapa yang ingin melindungi anak perempuan mereka daripada eksploitasi seperti itu, nasihat saya ialah: beri peluang kepada anak-anak anda untuk menjana pendapatan sendiri sejak usia muda.

Berdikari akan mengurangkan sikap kebergantungan kepada orang lain, apalagi daripada sugar daddy, untuk memenuhi keperluan kewangan dan barangan material mereka sendiri.

Malaysiakini 

Pejuang bukan galah sejengkal yang diperlukan PH?

ABDULLAH FIKRI BARIMAN

Huru-hara negara akibat langkah Sheraton 2020 yang lepas oleh Azmin Ali dan kuncu-kuncunya belum pun reda. Walaupun sudah setahun peristiwa ini berlaku, tetapi suhu politik negara tidak pernah menurun, malah sentiasa bergelojak kepanasan.

Kita melihat bahawa kerajaan PN ketika ini ternyata goyah besar. Semua menteri yang memegang portfolio penting ketika wabak covid-19 ini melanda ternyata tidak berfungsi lansung malah sering diperlekeh di media sosial.

Paling ketara adalah menteri kesihatan PN dan Menteri Ekonomi yang tidak mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi. Data pengangguran Malaysia menunjukkan 4.5 peratus tertinggi selepas 1993. Kehancuran ekonomi negara terus menerus melarikan pelabur dan wabak covid-19 tidak lansung ada bayangan akan berkurangan sentiasa 4 angka sehari kes baru tercatat.

Dengan kekacauan ini, mengapa kerajaan PN masih kekal berkuasa?

PN kekal bukan sebab mereka kuat, tetapi pembangkang PH yang lemah. Masih bercita-cita untuk menjadi kerajaan, tidak move on dengan kejatuhan kerajaan sah PH dan masih sibuk dengan numbers. Situasi ini benar-benar menimbulkan keresahan penyokong akar umbi PH.

Ketidaktentuan yang berlaku dan terlalu banyak berita tidak rasmi menjadi api dalam sekam sehinggakan 3 parti komponen yang kuat iaitu AMANAH, PKR dan DAP seolah-olah bertelagah. Ini bukan masa sesuai untuk merampas kembali kerajaan.

Kuatkan cawangan masing-masing dengan bina kembali kepercayaan akar umbi. Biarlah jadi pembangkang yang berprinsip kerana ternyata pempimpin PH telah membuktikan mengalahkan Barisan Nasioanal bukan lagi khayalan melainkan satu realiti

Aura Tun Mahathir

Sering kali kita dimomokkan dengan kemenangan PH pada PRU 14 yang lalu adalah disebabkan jasa besar Tun Mahathir. Kita tidak meragui bahawa Tun Mahathir seorang negarawan berwibawa dan telah lama mengerah keringat membangunkan negara Malaysia.

Tetapi kita juga kena sedar, peranan Tun Mahathir juga yang telah menjatuhkan kerajaan sah PH apabila meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tanpa perbincangan.

Ini mencerminkan suatu tindakan yang berbahaya kepada negara, apabila suatu keputusan yang besar sepatutnya dibawa bincang bersama ke majlis Presiden. Tidak boleh keputusan tersebut hanya dibuat oleh seorang saja, tetapi natijahnya sangat buruk.

PRK Dun Slim cerminan terkini

Pejuang yang telah menghantar calon dalam PRK Dun Slim dengan menggunakan tiket bebas yang lepas telah menunjukkan hasil kekalahan yang lebih teruk berbanding ketika bersama Pakatan Harapan pada PRU 2018.

Mohd Zaidi calon Barisan Nasional meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi yang disokong oleh Tun Mahathir hanya beroleh 2,115 undi.

Majoriti tewas semakin melebar berbanding hanya majoriti 2,183 pada PRU 14 apabila calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Amran Ibrahim tewas kepada Barisan Nasional.

Undi masyarakat Cina

Undi Masyarakat Cina merupakan safe deposit bagi Pakatan Harapan sejak PRU 2008. Tetapi situasi ini telah berlainan apabila undi protes masyarakat Cina telah terserlah pada PRK Tanjung Piai 2019.

Bersatu yang telah mewakili PH pada PRK tersebut telah terciduk teruk dengan majoriti lebih 15 ribu yang merupakan satu kekalahan yang memalukan bagi sebuah kerajaan memerintah. Haji karmaine Sardini yang melawan Dr wee jeck seng telah lemas tenggelam arus Muafakat Nasional sehingga tidak mampu lansung bersaing.

Sedangkan sekiranya kita melihat data PRU 14 yang lepas, Bersatu juga meghantar calon Melayu iaitu Datuk Wira Md Farid Md Rafik telah berjaya memenangi kerusi Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi mengalahkan calon yang sama iaitu Dr Wee Jeck Seng.

Ternyata kemenangan PH pada kerusi tersebut dengan sokongan padu masyarakat Cina menjadi formula yang sangat sempurna.

Hanya Gerhana Bukan Terbenamnya Matahari

————————

Penulis adalah aktivis Pemuda AMANAH kawasan Batu Pahat