"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Yusuf Al-Qaradhawi sanggah Haji Hadi dan Ketua Dewan Ulama PAS (video)

Dr Yusuf Al-Qaradhawi: Tidak ada gunanya taqrib Sunni-Syiah kecuali kembali kepada sunnah

Syeikh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan bahwa tidak ada gunanya melakukan taqrib Sunni-Syiah kecuali kembali kepada sunnah.

Dalam diskusi yang diadakan murid-muridnya dia menyebutkan bahawa seluruh hidupnya telah digunakan untuk menyeru pendekatan antara Syiah dan Sunni. Harapannya, segala perbezaan dan perselisihan terkikis antara umat Islam.

“Namun tidak ada gunanya melakukan taqrib kecuali kembali kepada Sunnah,” terangnya seperti dimuat Al-Wasath.

Menurut ulama Mesir yang tinggal di Qatar ini, tidak ada gunanya mendekatkan antara mazhab-mazhab Islam dan Syiah. Perbezaan keduanya bukan terjadi di cabang namun di usul agama.

“Tidak ada gunanya mendekatkan antara mazhab Islam dan Syiah,” ungkapnya. – news.fimadani.com

www.indahnyaislam.my

-------------------------

Sempena Asyura, Hadi seru penyatuan Sunni-Syiah
FMT Reporters

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam bermazhab Sunni dan Syiah di seluruh dunia kembali bersatu dengan mencontohi hubungan erat ulama kedua-dua mazhab itu suatu ketika dulu.
Hadi yang juga naib presiden Persatuan Ulama Sedunia berkata ulama terkemuka Sunni dan Syiah zaman dulu bersatu menentang pemerintahan zalim pada zaman masing-masing.

“Imam Abu Hanifah di penjara bersama Imam Jaafar al-Sadiq. Imam Syafie pula diheret bersama Imam Ziad kerana menentang kezaliman khalifah pada zaman mereka. Ini menunjukkan betapa Sunni dan Syiah boleh bersatu.

“Ulama Sunni dan Syiah sepakat bersedih dan mengutuk pembunuhan Husain, cucu kesayangan Rasulullah yang disebut sebagai Penghulu Pemuda di Syurga yang dibunuh syahid di Karbala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, pihak berkuasa agama baru-baru ini membuat 2 tangkapan terhadap penganut mazhab Syiah yang mengadakan sambutan sempena memperingati kematian Husain pada Hari Asyura.

Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menahan 2 lelaki warga tempatan ketika sedang membuat persiapan menyambut hari Asyura 2 hari lalu, manakala Majlis Agama Islam Selangor menyerbu majlis sambutan yang diadakan 50 penganut Syiah warga Pakistan semalam.

Hadi berkata beliau kecewa kerana keadaan jauh berubah dengan zaman sebelum ini apabila golongan Sunni dan Syiah kini saling bermusuhan dan lebih malang ia seperti disokong agamawan kedua-dua pihak.

“Dikeluarkan fatwa daripada kalangan ulama di negara masing-masing, hujahnya ialah mazhab Sunni yang wajib melawan Syiah dan di pihak Syiah pula wajib melawan Sunni.

“Barangkali, zaman kini sudah berubah, kiblat sembahyangnya lain dan kiblat politik dan ekonominya lain pula,” katanya sambil membayangkan pengaruh luar yang turut menjadi faktor perpecahan mazhab itu.

Beliau secara khusus menyebut Iran, negara majoriti Syiah yang mula dianggap musuh sebaik selepas Revolusi 1979 diketuai Imam Khomeini menumbangkan pemerintahan Shah Iran.

“Selepas revolusi, Iran dianggap musuh yang sesat bahkan ada menamakannya Majusi selepas memutuskan hubungan dengan Israel. Rakyat Iran diharamkan menunaikan haji di Mekah, hanya layak menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan tilawah Al-Quran saja,” katanya.

Walaupun tidak menyebut mana-mana nama, kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Mufti Besar Arab Saudi Sheikh Abdulaziz Al-Sheikh yang dilaporkan melabel Iran sebagai “anak Majusi”, ekoran kritikan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang mendakwa negara itu gagal menjamin keselamatan jemaah haji.

Buat kali pertama untuk tempoh 3 dekad, warga Iran tidak dapat menyertai musim haji tahun ini selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat dalam hal keselamatan dan logistik.

----------------------

Syiah sebahagian Islam, kata Ulama PAS
Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad hari ini berkata umat Islam beraliran Syiah merupakan sebahagian daripada Islam, susulan seruan presiden partinya supaya pengikut Sunni dan Syiah bersatu mengatasi perbalahan mereka.

“Memang banyak pandangan Syiah itu berbeza dan tidak semua perbuatan mereka itu terkeluar daripada Islam,” kata Mahfodz kepada FMT.

“Pandangan peribadi saya, dengan apa yang saya belajar di Universiti Al-Azhar dahulu, Syiah termasuk dalam Islam. Walaupun ada mazhab Syiah yang nampak lain, tetapi tak boleh nak kata mereka sesat dan sebagainya,” kata Mahfodz.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata aliran Syiah tetap sebahagian daripada Islam, di sebalik pendirian rasmi agamawan Malaysia yang menganggap mazhab kedua terbesar Islam itu “sesat”.

“Kita tidak boleh dengan mudah mengkafirkan sesama Islam. Itu hanya menguntungkan pihak yang memusuhi Islam. Mereka tidak mengira sama ada anda Sunni, Syiah atau Wahabi,” katanya merujuk salah satu aliran yang menjadi ikutan rasmi di Arab Saudi.

Pandangan sedemikian berbeza daripada pendirian pihak berkuasa agama di Malaysia yang menganggap Syiah menyimpang daripada Islam. Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menyatakan Syiah sebagai ajaran “sesat” dan tidak boleh diamalkan.

Baru-baru ini, pihak berkuasa agama di Selangor dan Melaka dilaporkan menangkap pengikut aliran Syiah yang menyambut Hari Asyura, yang memperingati peristiwa pembunuhan Husain, tokoh yang menjadi tunggak aliran Syiah itu.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa kecewa pengikut Sunni dan Syiah kini amat bermusuhan, dan menyeru umat Islam kedua-dua mazhab itu bersatu menentang kezaliman.

“Ulama Sunni dan Syiah sepakat bersedih dan mengutuk pembunuhan Husain, cucu kesayangan Rasulullah yang disebut sebagai Penghulu Pemuda di Syurga yang dibunuh syahid di Karbala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata keperluan untuk bersatu mengatasi perbezaan fahaman dan amalan.

“Musuh yang mencemburui Islam sentiasa mengapi-apikan antara sesama orang Islam, lalu sesuatu perbezaan faham fiqh dan akidah dibesarkan menjadi pertembungan,” katanya.

Mahfodz bagaimanapun berkata, walaupun Syiah sebahagian Islam, ia tidak bermakna PAS membenarkan Syiah disebarkan di Malaysia.

“Orang Syiah di Malaysia tak boleh sebarkan fahaman Syiah tetapi sebagai amalan peribadi tidak ada masalah. Ini kerana kerajaan dan ulama di Malaysia sepakat untuk amalkan aliran Sunnah Wal Jamaah bermazhabkan Shafi’i,” katanya.

Tiada ulasan: