"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adik Bella dipaksa makan najis, 20 biji cili dan disimbah air panas

AYHAN FERHAT

Pendedahan terkini saksi terhadap kes penderaan adik Bella antaranya adik Bella dipaksa makan najis, 20 biji cili dan disimbah air panas.

Kes penderaan adik Bella yang masih dalam perbicaraan kembali hangat diperkatakan apabila pendedahan daripada saksi kejadian telah mengejutkan orang ramai.

7 pendedahan terkini saksi, adik Bella dipaksa makan najis, 20 biji cili dan disimbah air panas

Hantaran yang dimuat naik pengguna Facebook yang dikenali sebagai Bomoh Bursa mendedahkan kenyataan terperinci daripada saksi kejadian berkenaan proses dera terhadap Bella.

Sebelum itu, Bomoh Bursa mendakwa tiada liputan media atau badan-badan media yang hadir ketika hari perbicaraan berlangsung.

Berikut merupakan pendedahan terkini yang dinyatakan oleh saksi kejadian:

1.Menerusi hantaran tersebut, saksi mengatakan OKT (Siti Bainun) sering menyimbah air panas dekat Bella. OKT juga mengugut penghuni rumah mengambil air panas dan menyimbahnya kepada mangsa.

“Lebih kurang lima kali tertuduh buat begitu kepada Bella. Guna cawan Ikea simbah. Bella akan menggelupur dan tertuduh akan happy.”

2. Penghuni rumah diarahkan mengikat mangsa kemudian OKT akan menolak mangsa dan disuruh untuk mengangkat semula lalu menyimbah air panas di belakang badan mangsa.

3. Mangsa diikat tangan dan kaki di dalam tandas kemudian OKT bertindak memandikan mangsa dengan air panas.

4. Mangsa dibogelkan dan menggelupur lemah, minta tolong dan keletihan. OKT larang orang lain tolong mangsa.

5. Badan mangsa berbau busuk akibat daripada kesan dan luka yang telah bernanah sehinggakan boleh dibau oleh penghuni lain.

6. Lebih menyayat hati, mangsa dipaksa makan najisnya sendiri. Ketika kejadian, mangsa pernah terberak di ‘laundry’ dalam premis. OKT memarahi mangsa dan menyuruhnya mengutip najis dan dipaksa makan.

Kemudian apabila mangsa telah termuntah akibat memakan najis tersebut OKT akan menyuruh mangsa mencampurkan muntah dan najis tadi.

7. Bukan itu sahaja, OKT juga pernah memaksa mangsa makan dua puluh biji cili yang telah dihancurkan. OKT sendiri menyuapkan mangsa cili-cili itu dan ditonyoh ke mata mangsa jika enggan.

Mangsa diberi makan makanan yang telah dicampur gaul dengan sisa makanan penghuni lain.

Bomoh Bursa mendedahkan kenyataan terperinci daripada saksi kejadian berkenaan proses dera terhadap Bella.

Salah seorang doktor telah mengesahkan Bella mengalami trauma yang sangat dahsyat termasuk mentalnya.

Siti Bainun dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

‘Ratah’ anak sendiri, lelaki dipenjara 14 tahun, 4 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bapa kepada tujuh anak dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap darah dagingnya.

Utusan Malaysia melaporkan, hukuman terhadap tertuduh yang berusia 46 tahun itu dijatuhkan mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin, sebaik sahaja tertuduh membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N Sivashangari.

Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Maziah, tertuduh yang merupakan bapa kandung mangsa sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang sewaktu kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan.

Tindakan itu dilakukan tertuduh pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai, Melaka Tengah antara pertengahan hingga akhir Oktober 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 (1), tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Nariman, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama kira-kira 2.30 pagi di alamat sama pada 23 Nov 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 23 Nov 2021, mangsa memberitahu pengadu, iaitu ibunya mengenai kejadian badannya dihimpit ketika tidur dan sebaik sahaja tersedar, dia ternampak bapanya bergegas bangun dan keluar sambil menghulurkan RM50, namun tidak diambilnya.

Pengadu bertanyakan hal itu kepada tertuduh sebelum berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menarik rambut serta memukul badannya.

Tertuduh kemudian menghantar pesanan kepada pengadu meminta maaf dengan berkata: “Abang minta maaf, abang macam kena rasuk pagi tadi, bukan abang nak makan anak sendiri. Nasib abang terus sedar tak buat benda yang tak baik.”

Maziah dan Nariman kemudian masing-masing menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh, dan memerintahkan hukuman berjalan serentak daripada tarikh dia ditangkap.

Pas sebenarnya derhaka kepada titah Sultan Selangor

FAZLI RADZI

Pas sebenarnya parti yang derhaka kepada titah Sultan Selangor apabila ada pemimpinnya masih memberi ceramah di masjid dan surau walaupun sudah ditarik balik tauliah.

ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, bantahan berhubung kehadiran pemimpin Pas sebagai penceramah sudah dibuat sebelum ini.

“Tetapi tiada tindakan di pihak JAIS sebab nazir itu sendiri merupakan pimpinan-pimpinan Pas,” katanya.

“Pas sebenarnya parti yang derhaka kepada titah Sultan Selangor.

“Selama ini dia tuduh PH (derhaka sultan) tetapi sekarang jelas menunjukkan kepada kita bahawa Pas merupakan parti yang derhaka terhadap titah Sultan Selangor.

“Dia (Pas) sudah ditamatkan tauliahnya. Dia tahu dia sudah tidak mempunyai tauliah. Dia langgar titah Sultan Selangor

“Kami tidak boleh berdiam diri sebab dia sudah melanggar titah Sultan Selangor,” tegas Sany lagi.

Beliau berkata demikian kepada media hari ini selepas serahan memorandum bantahan oleh wakil Ahli Kariah Masjid Nurul Iman Rawang.

Turut hadir di Istana Shah Alam Selangor adalah ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri.

Untuk rekod, Ahli Dewan Diraja menerusi Mesyuarat Dewan Diraja Selangor pada Mac 2019 telah memperkenankan individu berstatus ahli politik tidak akan diberi tauliah untuk mengajar agama Islam di masjid dan surau di negeri itu.

Berkuat kuasa pada 31 Disember 2021, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama yang sudah diberikan kepada semua aktivis politik di negeri itu.

Tindakan itu susulan titah Sultan yang tidak mahu agama Islam dipolitikkan serta dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak di Selangor, khususnya di masjid dan surau.

Hanya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Sehingga bulan lalu, terdapat empat aktivis politik yang masih memegang tauliah mengajar agama Islam di masjid di Selangor.

Tiga daripada aktivis politik itu daripada parti Pas dan seorang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH). 

Mengikut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 18 Februari lalu menegaskan seseorang penceramah yang berstatus ahli biasa dalam parti politik boleh ditarik balik tauliah mengajar jika menimbulkan polemik yang boleh pecah belahkan perpaduan ahli kariah.

Ketetapan tersebut juga boleh dikenakan terhadap mana-mana penceramah yang bukan dalam kalangan ahli politik.

Mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

PAS guna Taliban demi tingkat imej Islamik, kata Bukit Aman

FMT Reporters

PAS mengucapkan tahniah kepada Taliban apabila mereka mengambil alih kerajaan Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara bergolak itu pada Ogos tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS menggunakan Taliban demi meningkatkan imej Islamiknya, kata Ketua Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Normah Ishak.

Bercakap dalam webinar bertajuk, “Alumni Afghan Generasi Seterusnya? Penilaian daripada SEA”, Normah berkata, PAS melakukan tindakan sedemikian apabila memuji kejayaan Taliban mengambil alih Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara bergolak itu Ogos, tahun lalu.

Beliau merujuk kepada mesej tahniah yang dimuat naik oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi, pada 18 Ogos.

Khalil, yang juga anak kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dalam ciapannya di Twitter, berkata Taliban berjaya mencapai kemenangan tanah air mereka daripada cengkaman penjajahan tidak berperikemanusian. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, ciapan berkenaan dipadamkan.

“Mereka merangka naratif demi memberi kelebihan kepada parti, membentuk pandangan dan persepsi dalam kalangan Muslim di Malaysia, jadi Muslim di Malaysia (berfikir) ‘Taliban adalah okay sekarang. Mereka akan baik-baik sahaja tanpa sokongan bersenjata’.

“Pengiktirafan daripada parti itu terhadap perjuangan Taliban memberi petanda baik kepada pihak yang cenderung kepada keganasan di Malaysia.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat bahawa kerajaan Malaysia belum mengiktiraf kerajaan Taliban di negara itu.

Dalam kenyataan disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah, pada 25 Ogos, Hadi mendakwa kepimpinan Taliban sudah berubah dan menuju ke arah yang betul.

Beliau turut menggesa Muslim tidak terpengaruh dengan liputan berhubung Taliban oleh media Barat, yang disifatkannya sebagai “media fasik”.

Pendirian PAS berhubung gerakan militan mengambilalih Afghanistan diselar warganet, merujuk kepada nilai ekstrimis Taliban membabitkan diskriminasi terhadap minoriti agama lain dan wanita

RUU antilompat parti tak akan dibentang Isnin ini

Malaysiakini 

Kerajaan nampaknya tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan untuk menghalang ahli parlimen daripada lompat parti.

Beberapa sumber yang tahu berkenaan perkara ini memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet hari ini sebaliknya memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan “antilompat” di masa akan datang.

Menurut sumber, sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini bagaimanapun dijangka akan diteruskan seperti dirancang.

Kerajaan telah memberi taklimat beberapa kali kepada ahli parlimen berkenaan kandungan RUU tersebut dan mendapatkan maklum balas mereka. Namun perincian RUU tersebut belum dimaklumkan sepenuhnya.

Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka mempengerusikan mesyuarat dengan semua ahli parlimen dan senator berkenaan RUU itu, Ahad ini.

“Akta itu sendiri tidak akan dibentangkan pada Isnin. 

“Apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, akta itu tidak lagi memerlukan majoriti dua pertiga, menurut sumber seperti dipetik laman itu.

Beberapa isu berbangkit

Laporan itu menyatakan kerajaan tidak berhasrat mengabaikan RUU itu tetapi mahu menyelesaikan beberapa isu terlebih dahulu, antaranya takrifan kepada “lompat parti”.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Dewan Negara yang RUU itu akan merangkumi klausa yang memerlukan pilihan raya kecil dibuat jika ahli parlimen kawasan itu dipecat daripada parti.

Klausa itu, menurut peguam New Sin Yew, boleh disalah guna pimpinan mana-mana parti atau menjadikan ahli parlimen tunduk kepada parti dan bukannya pengundi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen daripada Wan Junaidi, yang telah mengendalikan RUU itu, termasuk berbincang dengan para ahli Parlimen, selama lebih setengah tahun.

Dia berkata RUU itu akan menangani Perkara 48(6), yang menghilangkan kelayakan individu daripada menjadi ahli parlimen selama lima tahun setelah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Perkara 48(6) ditambah ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1990, iaitu dua tahun setelah Shahrir Abdul Samad meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Johor Bahru yang membawa kepada PRK. Dia bertanding bebas dan menang dalam PRK itu.

Antara peruntukan yang perlu dipinda adalah Perkara 10(1)(c), yang menjamin hak berpersatuan kepada warga.

RUU antilompat parti adalah komponen utama dalam memorandum persefahaman (MOU) antara Ismail Sabri dengan PH.

Polis buru lelaki cabul wanita di Cyberjaya

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes cabul seorang wanita di kawasan parkir sebuah pusat komersial Tamarind Square di Cyberjaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, wanita berumur 27 tahun telah disapa seorang lelaki kononnya untuk membantunya menyimpan barang ke dalam kereta di parkir pusat komersial tersebut, selain mahukan troli yang digunakan wanita itu.

“Bagaimanapun wanita berkenaan menolak bantuan tersebut namun lelaki itu tetap mengambil barang pengadu dan memasukkan dalam kereta dan secara tiba-tiba suspek bertindak menyentuh dan meramas punggung pengadu sebelum melarikan diri,” kata Wan Kamaruld dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan bahawa lelaki itu berpakaian serba hitam, menyandang bag sling warna hitam, dengan rambut dan kulit berwarna gelap.

“Pengadu hanya nampak lelaki itu matanya juling. Pengadu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaaan.

- Bernama

Bersatu ingatkan Umno jangan jadi ‘haruan makan anak’

MOHD ALI HASHIM

Bersatu ingatkan Umno jangan jadi ‘haruan makan anak’. Umno dinasihatkan untuk tidak mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mengkhianati gabungan yang mereka sertai sehingga tidak mengutamakan kepentingan rakyat yang sedang bergelut dengan pelbagai kesulitan ekoran wabak Covid-19.

Saranan tersebut dizahirkan oleh Ketua Bersatu, Bahagian Tasek Gelugor, Azmi Alang ketika ditemui.

Jelas beliau Umno tidak berpegang kepada janji sehingga sanggup mendesak diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini di mana ianya adalah suatu pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.

Bersatu dan Umno kini tidak lagi ‘sebulu’.

“Contoh jelas ialah Menteri Besar Perak sebelum ini adalah dari Bersatu dan kenapa perlu ditukar sedangkan Umno telah pun diberi kedudukan sebagai Perdana Menteri sepertimana yang terbukti diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini.

“Begitu juga dengan Johor sebelum ini, kenapa perlu didesak adakan PRN jika bukan sebab tamak dan gila kuasa Umno yang boleh diibaratkan sebagai harapkan pagar, pagar yang makan padi.

” Umno sebetulnya sudah tidak relevan berada dalam gabungan dan tidak lagi boleh dipercayai sekiranya berada dalam mana-mana pakatan dan tidak layak untuk diberi mandat serta sokongan dalam pilihan raya umum ke-15 yang akan datang,” tegas beliau.

Sejajar dengan itu katanya, rakyat disarankan supaya tidak lagi memberi mandat kepada Umno untuk menguasai mana-mana negeri maupun kerajaan Persekutuan dalam PRU ke-15 yang akan datang. 

Anggota tentera maut ditikam isteri

Melvin Joni

am@hmetro.com.my

Kota Samarahan: Seorang anggota tentera darat meninggal dunia selepas dipercayai ditikam oleh isterinya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian paha.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Sudirman Kram berkata kes dikesan selepas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menerima maklumat daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) berkaitan seorang lelaki yang dibawa ke hospital untuk rawatan akibat cedera di bahagian peha akibat tikaman pisau.

Katanya hasil siasatan awal pihaknya mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa, 28, dengan isterinya, 24, di kediaman mereka di Kem Penrissen, di sini, pada kira-kira jam 10.30 malam tadi.

"Akibat pergaduhan itu, pisau pemotong sayur yang digunakan oleh isterinya untuk menggertak mangsa tertikam pada bahagian paha suaminya menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan HUS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sudirman, pasangan berkenaan mempunyai seorang anak.

Susulan itu, beliau berkata isteri mangsa seorang suri rumah kemudian ditahan di HUS kira-kira jam 2.24 pagi.

Turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa kejadian.

Sudirman berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk proses permohonan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rogol 13 pelajar, guru ke tali gantung

FMT Reporters

Pada Februari, Herry Wirawan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana merogol 13 pelajar, namun susulan rayuan pendakwaan, Mahkamah Tinggi Bandung menjatuhkan hukuman mati ke atasnya semalam. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang bekas guru dijatuhi hukuman mati di Indonesia atas atas tuduhan merogol 13 pelajar perempuan sebuah sekolah tahfiz di Bandung.

Keputusan itu dibuat sebuah mahkamah Indonesia selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan susulan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atas Herry Wirawan, 36, pada Februari.

“Dengan ini, mahkamah menghukum tertuduh dengan hukuman mati,” menurut kenyataan dikeluarkan mahkamah yang diterbitkan di laman sesawang Mahkamah Tinggi Bandung semalam, lapor Reuters.

Peguam Herry, Ira Mambo, enggan mengulas sama ada pihaknya akan memfailkan rayuan kerana beliau perlu melihat penghakiman penuh oleh mahkamah, katanya.

Antara 2016 dan 2021, Herry didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 13 pelajar perempuan yang berusia antara 12 dan 16 tahun. Lapan daripadanya didapati hamil.

Pegawai kerajaan Indonesia, termasuk Menteri Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak turut menyokong rayuan bagi mendapatkan hukuman mati itu.

Bagaimanapun, ia dibantah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menganggap hukuman mati tidak bersesuaian.

Indonesia, sebagai negara dengan penduduk beragama Islam paling ramai di dunia, mempunyai puluhan ribu sekolah tahfiz berasrama dan sekolah agama, yang lazimnya menjadi pilihan pelajar dari keluarga miskin.

Bapa, anak maut terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan

Bernama.

KUANTAN: Dua beranak keturunan Orang Asli maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di Temerloh, semalam.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemui pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.

“Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu.

“Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri.

Anwar sedia sahut cabaran Najib berdebat isu Sapura

‘Sikit pun hamba tak takut’ – Anwar sedia sahut cabaran Najib berdebat isu Sapura

SITI NUR ZAWANI MISCON

‘Sikit pun hamba tak takut’. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia menyahut cabaran Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat mengenai isu masalah kewangan Sapura Energy Berhad.

Ia selepas Najib Semalam, Najib bersetuju untuk berdebat dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas mereka saling berbalas kenyataan mengenai isu Sapura tetapi mahu debat itu disertai Anwar.

“Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana Menteri, Najib Razak. Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.

“Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada semalam, Najib mengajak Anwar berdebat bersama dengannya selepas turut bersetuju berdebat dengan Rafizi.

Najib berkata, jika Anwar tidak mahu menyahut cabarannya untuk berdebat, maka Rafizi boleh berdebat dengan bekas pegawainya, Isham Jalil.

“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak,” kata Anwar.

Temui ajal ketika main bola sepak

Willie Jude

Pasukan bomba yang tiba di lokasi memberi rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia selepas itu.

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia ketika bermain bola sepak di Kompleks Sukan Penampang, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa yang bermain sebagai penjaga gol itu dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri selepas melontar bola.

Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, rakan mangsa yang melihat kejadian itu segera membantu dan mendapati nadinya masih berdenyut.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) Kota Kinabalu oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan QEH1,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haris berkata, setakat ini punca kematian mangsa belum dapat dikenalpasti dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik QEH1 Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Firdaus Wong pula buat laporan polis terhadap Loh

FMT Reporters

Loh Siew Hong sebelum ini membuat laporan polis mendakwa Wong cuba memalukan dan menekannya menerusi beberapa siri catatan di Facebook Wong.

PETALING JAYA: Pendakwah bebas, Firdaus Wong hari ini membuat laporan polis terhadap Loh Siew Hong kerana didakwa membuat laporan palsu terhadapnya sebelum ini.

Laporan polis dibuat pembantunya kerana Wong masih menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

Dalam laporan yang dimuat naik di Facebook Firdaus Wong Wai Hung – Official, Wong menjelaskan tidak ada video yang mengaibkan dan memberi tekanan supaya Loh tidak meneruskan semakan kehakiman.

“Dalam kesemua video yang dimuatnaik dalam Youtube, semua gambar anak-anak Loh ditutup sekali gus mematuhi perintah mahkamah,” katanya pembantu Wong dalam laporan itu.

Loh sebelum ini membuat laporan polis mendakwa Wong cuba memalukan dan menekannya menerusi beberapa siri catatan di Facebook Wong supaya menggugurkan semakan kehakiman berhubung penukaran agama anak-anaknya.

Wanita itu juga mendakwa, Wong juga telah memfitnahnya dengan mengatakan dia menyimpan lelaki lain.

“Tiada dalam video yang kami hasilkan mengatakan beliau menyimpan lelaki lain. Apa yang kami sebut dalam video ialah memetik kata-kata daripada anaknya sendiri dari rakaman video bertarikh 24 Feb 2020.

“Tidak ada sesekali kami mengungkapkan perkataan Loh menyimpan lelaki lain dan ini merupakan satu dakwaan palsu daripadanya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

Jabatan agama siasat video seksi ‘Arabian Dangdut Night’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan melakukan siasatan terperinci berhubung majlis bertemakan “Arabian Dangdut Night” yang memaparkan video nyanyian individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata siasatan adalah berhubung pelanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan pada 2020.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat sensitif dengan perkara seperti itu yang menyinggung perasaan umat Islam.

“Harap ia akan menjadi iktibar untuk semua pihak terutama pengurusan hotel di Terengganu supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya menurut laporan Bernama.

Video berdurasi 25 saat memaparkan nyanyian individu terbabit pada 25 Mac lalu dikecam warganet kerana berlaku beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Polis buru penunggang ‘menari’ atas motosikal

FMT Reporters

Gelagat penunggang motosikal melepaskan tangan dan ‘menari’ dirakam di Lebuhraya Seremban-Port Dickson tahun lalu.

PETALING JAYA: Polis mengesan seorang penunggang susulan aksinya melepaskan tangan dan “menari” atas motosikal dirakam dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata video berdurasi 39 saat itu dirakam pada 25 Nov tahun lalu menggunakan aplikasi TikTok namun ia ditularkan semula, semalam.

“Aksi itu dilakukan di Kilometer 16-17, Lebuhraya Seremban- Port Dickson berhampiran susur keluar Bandar Springhill.

“Berikutan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sedang mengesan penunggang motosikal jenis Benelli itu,” katanya dalam kenyataan.

Aidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis menyeru sesiapa memiliki maklumat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Polis turut menyeru individu yang dikenal pasti dirakam dalam aksi tersebut diminta menyerah diri segera,” katanya.

Ada nenek hilang RM1 juta, ramai tertipu panggilan LHDN dan polis, ini 5 kes mangsa Macau Scam

FAZLI RADZI

Ada nenek yang terpaksa berputih mata apabila hilang RM1 juta ditipu sindiket Macau Scam. Bahkan, surirumah, guru dan doktor juga tidak terkecuali menjadi mangsa.

Orang ramai dinasihatkan agar jangan tertipu dengan panggilan telefon daripada mana-mana pihak kononnya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis, mahkamah, wakil bank, Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain.

Itu semua hanya penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar! Jangan terperdaya hingga terlalu mudah memberikan maklumat berkaitan kad bank dan perbankan dalam talian seperti yang diminta penjenayah.

Semak dan berhubung terus dengan pihak polis untuk kepastian bagi mengelak diperdaya oleh sindiket Macau Scam. Orang ramai perlu lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa seterusnya.

Sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan, boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03 2610 1559/1599), WhatsApp JSJK (013 2111 222) atau balai polis berdekatan, selain boleh layari pautan semakmule.rmp.gov.my,

Berikut lima kes mangsa yang terperdaya berserta modus operandi jahat penipu mengakibatkan puluhan ribu hingga jutaan ringgit lebur sekelip mata!

Kes 1

Seorang guru berusia lingkungan 30 tahun kerugian RM254,600 akibat terperdaya dengan penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, hari ini berkata mangsa sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mengaku sebagai pegawai LHDN pada 14 Mac lalu.

Guru itu terkejut apabila diberitahu kononnya ada tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 oleh sebuah syarikat yang didaftar menggunakan namanya.

Panggilan kemudian disambungkan pula kononnya kepada seorang sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan kononnya terdapat satu akaun bank atas namanya yang berkaitan dana haram sebanyak RM312,000.

Mangsa kemudian diminta menyerahkan maklumat akaun banknya yang didakwa untuk tujuan penyiasatan.

Malah antara 14 hingga 26 Mac lalu, mangsa diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank yang berbeza.

Mangsa hanya menyedari tertipu pada 30 Mac lalu dan terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan.

Laporan juga dibuat berikutan mangsa takut semua dokumen peribadi dan identitinya akan disalahgunakan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kes 2

Seorang doktor wanita berusia 31 tahun kerugian RM63,950 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

Doktor yang bekerja di hospital Kota Marudu itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN jam 1.50 tengah hari, 5 Mac 2022.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak, berkata suspek mendakwa nama dan MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Panggilan kemudian disambung kononnya kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka’ dan suspek kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

Selepas itu, mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah penggubahan wang haram.

Mangsa kemudian memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya.

Pada jam 5.30 petang hari sama, mangsa mengesyaki dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam.

Mangsa kemudian membuat semakan semua akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang.

Menyedari tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis dan siasatan sehingga laporan 6 Mac lalu masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Kes 3

Seorang pesara doktor kerajaan lelaki berusia 83 tahun kerugian RM200,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar wakil bank dan BNM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata mangsa mendakwa dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai wakil bank, pada 25 Februari lalu.

Suspek mendakwa nama mangsa digunakan untuk pendaftaran kad kredit platinum master walaupun urusan itu tidak wujud.

Susulan itu, panggilan mangsa disambungkan kepada ‘BNM’ dan dimaklumkan satu laporan polis dibuat kerana namanya disalahguna dan akan membantu bagi membatalkan kad kredit itu.

Mangsa juga menerima satu salinan laporan polis menerusi aplikasi WhatsApp. Lelaki berkenaan diminta menyerahkan ‘user id’ (identifikasi pengguna), kata laluan perbankan dalam talian dan nombor OTP (kata laluan sekali).

Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya memadankan mesej OTP diterima. Selepas urusan transaksi itu, mangsa menghubungi pusat khidmat pelanggan bank tersebut untuk semakan dan mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran dibuat daripada akaun mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kes 4

Seorang nenek kerugian RM1 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai Telekom Malaysia (TM) pada 15 Januari lalu.

Suspek mendakwa, maklumat peribadi mangsa digunakan pihak lain untuk pendaftaran talian TM dan mempunyai tunggakan baki bayaran.

Panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada seorang ‘pegawai polis’ dan dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan namanya terbabit jenayah narkotik dan pengubahan wang haram.

Mangsa yang menjalankan perniagaan rumah sewa diarah memindahkan semua wang simpanannya berjumlah RM1 juta ke dalam tujuh akaun bank berasingan kononnya untuk tujuan siasatan.

Sebaik selesai membuat pemindahan wang, mangsa cuba menghubungi semula ‘pegawai polis’ itu, namun gagal.

Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee dan siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Kes 5

Seorang suri rumah berusia 41 tahun kerugian RM33,800 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang digital tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata pada 10 Disember 2021 mangsa melayari media sosial dan melihat iklan menawarkan pelaburan mata wang digital dengan keuntungan 400 peratus daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan.

Mangsa kemudian dijemput masuk ke dalam platform Telegram dan diberi pautan ke sebuah laman web yang menerangkan mengenai pendaftaran dan pelaburan mata wang digital itu.

Selepas mendaftar, mangsa kemudian diberikan satu akaun e-wallet bagi memantau pelaburannya.

Antara tempoh 28 hingga 30 Disember 2021, mangsa membuat tujuh transaksi pelaburan berjumlah RM33,800 ke dua akaun bank yang diberikan.

Pada 15 Januari lalu, mangsa membuat semakan akaun e-wallet miliknya dan mendapati keuntungan RM147,114, tetapi wang itu tidak dapat dikeluarkan.

Mangsa kemudian menghubungi pihak khidmat pelanggan pelaburan itu dan diarah membuat bayaran RM29,423 terlebih dulu sebagai wang jaminan, sebelum wang dalam e-wallet itu dikeluarkan.

Mangsa yang berasakan dirinya tertipu tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Nampaknya kecewalah Mahiaddin nak jadi PM

SHAHBUDIN HUSIN

Nampaknya kecewalah Mahiaddin nak jadi PM apabila Mahathir tidak akan menyokong Perdana Menteri yang banyak kegagalan.

Bertentangan dengan kenyataan Mukhriz Mahathir bahawa Mahiaddin Md Yasin bertemu ayahnya, Tun Mahathir Mohamad untuk mengajak kedua-dua parti bekerjasama menghadapi PRU15, Pengerusi Pejuang itu sebaliknya mengatakan tujuan Presiden Bersatu itu bertemunya adalah untuk meminta sokongan menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Pengesahan Tun Mahathir itu bertepatan dengan apa yang ditulis dalam blog ni pada 29 Mac lalu yang mendedahkan pertemuan tersebut ialah bagi Mahiaddin menjadi Perdana Menteri sekali lagi sebelum PRU15 dilangsungkan.

Asas utama Mahiaddin melakukannya ialah berikutan keputusan dua PRN di Melaka dan Johor yang memperlihatkan Bersatu kalah teruk kepada UMNO dan BN.

Tidak sebagaimana PRN Sabah sebelum itu yang menunjukkan Bersatu mencapai keputusan lebih baik, kekalahan di Melaka dan Johor adalah kerana jawatan Perdana Menteri sudah berpindah tangan kepada UMNO.

Lantaran itu dan kerana tidak sedia kalah dalam PRU15 akan datang, maka Mahiaddin merasakan hanya dengan merampas semula jawatan Perdana Menteri sajalah yang dapat menyelamatkan masa depan Bersatu.

Ternampak idea Mahiaddin itu bukan saja untuk menyelamatkan masa depan Bersatu, tetapi juga masa depan parti-parti pembangkang yang lain.

Dengan sebab itulah, lalu beliau sanggup menebalkan muka bertemu Tun Mahathir yang pernah ditikam sebelum ini melalui Langkah Sheraton bagi mencapai tujuan dan hasratnya itu.

Bagaimanapun, respon Tun Mahathir untuk memberi sokongan kepada Mahiaddin kembali semula menjadi Perdana Menteri itu nampaknya langsung tidak memberangsangkan.

Mahathir berkata beliau tidak tahu mengapa Mahiaddin datang meminta sokongannya.

“Dia nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi,” katanya.

Mahahir berkata, meskipun Pejuang belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, tetapi membayangkan yang beliau sama sekali tidak bersetuju dengannya.

“Saya tak tahu nak kata apa (kepada Mahiaddin).

“Saya tak jadi Perdana Menteri sebab Mahiaddin. Dia tikam belakang saya. Sekarang orang yang dia tikam belakang itu tak mati lagi,” tambah beliau.

Mahathir seterusnya menegaskan prestasi Mahiaddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini tidak begitu baik dan tidak layak untuk mendapat sokongan daripadanya.

Nampaknya kecewalah Mahiaddin nak jadi PM
Mahiaddin jumpa Mahathir minta sokongan untuk beliau jadi PM kali ke-2
“Semasa dia jadi Perdana Menteri, ramai orang tak puas hati dengan kepimpinannya.

“Dia bukan Perdana Menteri yang baik.

“Jika dia lakukan perkara yang bagus untuk negara, saya percaya saya tak sokong pun dia boleh menang.

“Kami tidak akan menyokong Perdana Menteri yang ada banyak kegagalan sama seperti Najib,” tegas Tun Mahathir.
Alamak….pedihnya ayat Tun Mahathir!!

Nampaknya kecewalah Mahiaddin.