"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Bunuh isteri sendiri demi hubungan sulit


Manjeet (kiri) dan Angel Gupta (kanan) ditahan atas dakwaan membunuh Sunita (gambar kecil). - Foto sify.com
NEW DELHI - INDIA. Gara-gara menentang hubungan sulit suaminya, seorang guru sekolah ditembak mati di wilayah Bawana, New Delhi pada Isnin lalu.

Seorang lelaki dan dua suspek lain kini ditahan atas dakwaan membunuh wanita berusia 38 tahun berkenaan, yang dikenali sebagai Sunita.

Tertuduh yang ditahan dikenal pasti sebagai Manjeet, 38, yang juga adalah suami si mati, teman wanitanya, Angel Gupta alias Shashi Prabha, 26 serta ayah kepada Angel, Rajeev, 40.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Rohini, Rajneesh Gupta, Manjeet dipercayai menjalin hubungan dengan Angel yang juga seorang model, namun ditentang oleh Sunita, pasangan kekasih itu lalu merancang untuk 'menghapuskan' guru sekolah rendah tersebut.

Sunita ditembak sebanyak tiga kali oleh penyerang tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di Haryana.

Mangsa meninggalkan seorang anak perempuan berusia 16 tahun dan anak lelaki yang baharu berusia lapan tahun.

Pihak polis kini sedang menjejak individu yang diupah untuk melakukan pembunuhan tersebut. - NDTV

Bentang belanjawan, ke mana hilangnya Abdul Hadi, soal MP DAP

MALAYSIADATELINE
Ketidakhadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat dipersoal oleh Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng.

Lip Eng berkata, buat pertama kali dalam sejarah negara belanjawan tahunan yang dibentangkan kerajaan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng

Semalam, buat pertama kali dalam sejarah negara, belanjawan tahunan pihak kerajaan dibentangkan oleh Menteri Kewangan dari Pakatan Harapan, beliau berkata Ahli Parlimen Marang itu tidak hadir.

“Pas hanya mewakilkan timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengulas ringkas pembentangan belanjawan oleh Sdr Lim Guan Eng.

“Malang bagi Marang, ketidakhadirannya di Parlimen menjadikan beliau semakin tidak relevan dalam politik pembuat dasar, dan hanya barangkali mampu bermain dengan politik sentimen perkauman dan agama demi survival sendiri,” ujarnya.

Katanya, sekiranya Abdul Hadi hadir ke Parlimen ketika demonstrasi membantah ratifikasi ICERD dan turun bertemu peserta demonstrasipada Rabu lalu, tetapi gagal menghadirkan diri untuk perkara yang lebih penting, seperti pembentangan belanjawan sulong kerajaan baharu, sukar difahami, katanya.

“Bagaimana cara beliau menyusun keutamaan, saya tidak akan pernah faham,” ujar Lip Eng.

Ini punca Putrajaya sesak teruk

WARTAWAN SINAR HARIAN

Ini punca Putrajaya sesak teruk
PUTRAJAYA - Hujan lebat kira-kira sejam menyebabkan kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, dilanda banjir kilat, hari ini.

Kawasan terjejas dalam kejadian 5 petang itu adalah sekitar Presint 16 berhampiran pusat beli-belah Alamanda apabila air melimpah di atas jalan raya setinggi hampir setengah meter menyebabkan kesesakan jalan apabila ramai kakitangan awam bergegas pulang ke rumah masing-masing.

Kawasan lain turut dinaiki air ialah Jalan Persiaran Selatan menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Md Hilman Abd Rashid ketika dihubungi berkata, pihaknya membuat rondaan di sekitar kawasan yang terjejas, namun tiada mangsa terbabit.

Menurutnya, antara kes diterima hanya membabitkan kereta terkandas di laluan Presint 15 menghala ke Presint 17 di lorong paling kanan menyebabkan anggotanya terpaksa mengawal lalu lintas sementara menanti ketibaan polis.

Kantoi hidang daging manusia dalam mi


Mayat mangsa yang makin membusuk ditemui dalam tangki septik premis tersebut.
BANGKOK - THAILAND. Pelanggan di sebuah restoran vegetarian di Thailand gempar awal minggu lalu selepas mendapati hidangan mi mereka dicampurkan potongan daging.

Susulan itu, beberapa pelanggan bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan yang akhirnya membawa kepada penemuan mengerikan.

Pemeriksaan yang dilakukan pada daging itu mendapati ia bukan daging lembu atau khinzir sebaliknya daging manusia.

Lebih memeranjatkan, polis turut menemui mayat seorang lelaki berusia 61 tahun yang membusuk di tangki septik premis tersebut selain kesan percikan darah pada dinding dan lantai dapur.

Difahamkan, pemilik restoran itu bertindak melarikan diri sejurus pihak berkuasa tiba.

Hasil siasatan awal mendapati mayat tersebut adalah milik pelanggan tetap restoran itu, Prasit Inpathom yang kali terakhir dilihat minum di restoran itu pada 21 Oktober lalu.

Prasit dipercayai bertengkar dengan pemilik premis itu hingga menyebabkan dia menemui ajal akibat dipukul pada kepala dengan objek tumpul selain ditikam sebanyak enam kali pada perut dan kakinya.

Menurut polis, pemilik restoran itu cuba untuk menghapuskan mayat mangsa dengan mengisar dagingnya dan dihidangkan kepada pelanggan.

Tidak diketahui sama ada terdapat pelanggan yang sudah menjamah menu daging manusia itu. - Daily Mail

'Mengapa kami tak bayar royalti minyak Kelantan?'

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
KUALA LUMPUR - Kerajaan memberitahu tidak membayar royalti minyak kepada Kelantan kerana disaman kerajaan negeri itu.

Namun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkembangan terkini di mana penarikan balik saman itu sesuatu yang positif.

"Kes Kelantan ini sedikit berbeza. Kita tak bayar langsung sebab Kelantan saman kami.

"Saya baca kenyataan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) yang bagi saya satu permulaan baik untuk tarik balik saman.

"Ini akan wujudkan suasana yang kondusif supaya penyelesaiannya lebih saksama. Itu sajalah saya nak sebut di sini," katanya ketika menjawab pertanyaan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang), hari ini.

Sebelumnya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) bertanya soal jaminan kerajaan dalam pembayaran baki royalti minyak kepada Terengganu sekitar RM500 juta.

Azmin dalam jawapannya berkata komitmen kerajaan baharu akan memastikan segala janji dilunaskan.

"Sebab itu saya ambil pendirian perkara ini saya akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan.

"Tetapi YB sedia maklum kedudukan kewangan negara pada hari ini yang perlu kita lihat keutamaan bagi memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan dan pertumbuhan ekonomi dipacu. Hak Terengganu itu bukan sahaja kita hormati tapi kita bertanggungjawab untuk melaksanakan," katanya.

Dah salah tak nak mengaku, bayar je la RM 200,000 tu

Rayuan Razman ditolak, ganti rugi RM200,000 Nizar dikekal
N Faizal Ghazali
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan Mahkamah Sesyen Ipoh yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni, berkata Razman juga diarah membayar kos guaman sebanyak RM5,000.

"Mahkamah berpendapat keputusan Mahkamah Sesyen itu mempunyai kebenaran bahawa Nizar berjaya membuktikan Razman telah memfitnah beliau melalui rencana yang diterbitkan oleh Sinar Harian.

"Mahkamah juga berpendapat ganti rugi sebanyak RM200,000 itu wajar, manakala tuntutan balas Razman terhadap Nizar juga ditolak," katanya ketika dihubungi.

Kes itu didengar di depan Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis dan peguam Mohd Harris Abdullah bertindak mewakili Razman.

Razman disaman oleh Nizar ekoran kenyataan dibuatnya mengenai bekas menteri besar perak berkenaan.

Kenyataan itu disiarkan akbar Sinar Harian edisi Perak pada 2 Jun 2015 dengan tajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Untuk rekod, Nizar adalah bekas pemimpin PAS Perak dan dilantik menjadi menteri besar di negeri itu selepas pilihan raya umum 2008 sebelum kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan melalui gerakan mengejut di dewan undangan negeri.

Bersama pemimpin lain yang tidak sehaluan dengan kumpulan proulama, Nizar diketepikan dalam pemilihan PAS pada 2015.

Keputusan mengenai rayuan Razman dibuat sehari selepas beliau merayu kepada anggota PAS supaya memberi sumbangan kepada parti bagi mengumpulkan dana sebanyak RM135,000 bagi membayar tunggakan ekoran gagal dalam petisyen pilihan raya 2013.

Terdahulu Razman melalui hantaran di media sosial sempat membuat catatan sebelum keputusan dibacakan hari ini.

"Doa yang terbaik dari Allah.

"Apa pun keputusan itu (yang) terbaik dari Allah untuk kita,," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Razman yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

Bagaimanapun, beliau kelihatan tetap bersemangat di sebalik kegagalan berkenaan.

"Kita tunggu keputusan di Mahkamah Rayuan nanti.

"Keputusan mahkamah tadi tu biasalah... apabila kita kalah orang akan kata kita salah.

"Itu adatlah, nak buat macam mana," katanya.

Ditanya mengenai jumlah bayaran yang terpaksa dijelaskan itu Razman berkata: "Ya agak besar juga, tengoklah macam mana," katanya.

Pada perbicaraan tadi mahkamah membenarkan permohonan Razman untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM200,000 tersebut sehingga keputusan di Mahkamah Rayuan dibuat.
-malaysiakini

'40 penyamun' mencari pintu Pakatan Harapan

Hasmi Hashim

ULASAN | Kata watak saudagar unta dalam filem klasik Tiga Abdul arahan P Ramlee, “Jual orang lagi untung dari niaga unta.” Kita pun ketawa!

Orang yang boleh dijual beli dalam era Malaysia baharu ini bukanlah hamba abdi di pasar seperti zaman di negeri Isketambola. Orang yang boleh dijual beli kini adalah politikus. Lebih tepat lagi wakil-wakil rakyat.

Sejak Mustapa Mohamad menyerahkan borang keanggotaan BERSATU, cerita ramai lagi YB Umno akan menyeberang ke Pakatan Harapan segera tersebar. Ada yang menghitungnya sampai 40 orang.

Bagi BERSATU, kehadiran bertempayan-tempayan YB Umno mungkin dipercayai sebagai cara paling mudah untuk menguatkan parti dengan sekelip mata. BERSATU walaupun dipimpin Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin tertinggi negara, dengan jumlah menteri dari parti itu yang relatif ramai, tetapi BERSATU masih parti kecil—kalaupun bukan terkecil—dari jumlah bilangan ahli parlimen dalam gabungan Pakatan Harapan.

BERSATU baru dua tahun usianya. Bahkan AMANAH sebagai parti serpihan PAS pun lebih lama tertubuh. Sepertimana sebuah syarikat, tak ada jalan singkat untuk menjadikan sesebuah parti itu kuat dalam setahun-dua. Di kampung-kampung, logo BERSATU pun tidak cukup dikenali masyarakat lagi.

Saya yakin adalah tidak sejajar dengan harapan orang Melayu di era Malaysia baharu kalau ada usaha untuk menjadikan BERSATU laksana Umno dalam sejarah zaman gelap BN dahulu. Bahkan BN 2.0 pun bukan bentuk gabungan yang mahu diwujudkan dalam Pakatan Harapan.

Alasan boleh diberikan, yakni tak semua YB Umno yang sedang menunggu masa menyeberang mempunyai beban atau rekod yang kotor. Ada juga yang baik. Contohnya Tok Pa sendiri yang pada mulanya bertepis, bertampar menafikan dia akan menyertai BERSATU, akhirnya menyerahkan borang. Dalam acara yang sama, dia segera mendapat kad keanggotaan!

Sembahyang istikharah pun digunakan sebagai ayat penunduk agar sukar bagi sesiapa mengukur kesahihannya. Hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui.

Pada peringkat ini, ketika Pakatan Harapan sudah berjaya membentuk kerajaan, soal kotor bersih bukan satu-satunya pertimbangan bagi menerima YB atau pemimpin Umno.

Ada pertimbangan lain yang lebih penting perlu dihitung. Sentimen dan kebencian rakyat terhadap pemimpin Umno sebenarnya termasuklah menyentuh sikap mereka yang suka membodek selama mereka mahu mendapat kedudukan dalam Umno dan kerajaan.

Begitu mudahkah mencuci tangan?

Mereka tidak pernah berpihak kepada rakyat, melainkan asyik cenderung kepada pemimpin atasan semata-mata. Rakyat merupakan keperluan lima tahun sekali apabila sampai waktu pilihan raya.

Misalnya, apa sahaja yang dilakukan mantan PM, Najib Razak sebelum 9 Mei adalah dianggap benar sebenar benarnya. Termasuklah menyentuh skandal 1MDB yang kini terdedah satu persatu. Sikap tidak tegas, biasa membodek bahkan ada kalanya bacul itu turut ditunjukkan oleh watak sebaik dan sesuci Tok Pa sepanjang dia bersama Umno.

Oleh itu dia jugalah antara yang menyumbang kepada buruk dan hodohnya wajah Umno yang wujud sekarang. Begitu mudahkah dia mencuci tangan dengan sekeping borang dan kata-kata di sebalik solat istikarah?

Sedangkan dalam Pakatan Harapan, mereka yang jujur berjuang cukup ramai. Tanpa Tok Pa, bahkan tanpa “40 penyamun” yang sedang menunggu mahu menyeberang, Pakatan Harapan tetap boleh menang dengan sokongan rakyat yang insaf selain muak dengan perangai lapuk pemimpin Umno.

PKR, DAP dan AMANAH nampaknya lebih tegas dalam hal ini. Ketegasan itu tentu disebabkan pemimpin ketiga-tiga parti berkenaan lebih merasakan betapa perih payahnya perjuangan. Mereka bukanlah di kalangan tokoh yang setahun dua berdepan tekanan Umno-BN, sebelum tak semena-mena menjadi “menteri mi segera.”

Dan sudah tentu broker politik kini sedang berkeliaran. Sudah tentu mereka cukup sebuk mengatur pertemuan siang dan malam. HP-nya tak henti-henti berdering dan ‘harga’ serta tawar-menawar sedang turun-naik. Lebih aktif dan mendebarkan berbanding mana-mana papan bursa saham di mana pun di dunia.

Memang sukar untuk YB-YB Umno itu percaya bahawa masa depan Umno masih tersisa. Terutama tatkala melihat puluhan pendakwaan yang dikenakan ke atas Najib mahupun presiden mereka sekarang, Zahid Hamidi.

Saya juga menyaksikan seorang mantan YB Umno, sejurus BN kalah, terus mengisi borang PKR. Tidak lama selepas itu, dia dikhabarkan mengisi pula borang BERSATU. Dia betul-betul menjadi tak tentu arah. Menjadi serba bingung dan serba tak kena. Malam dirasakan panas, siang dirasakan seram.

Dia hanyalah seorang mantan YB, dan tidak pernah pula menjadi menteri. Segala upaya salin kulit cuba dibuat, tetapi tidak kiralah sama ada dia “ular lidi” atau “ular sawa”, ular tetap ular. Berpindah sarang tidak bererti dia terlupa untuk membelit atau tercabut pula taring racunnya.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Salahuddin jangka ada pemimpin Pas sertai AMANAH

Malaysia Dateline
Beberapa pemimpin Pas dijangka akan menyertai AMANAH pada masa akan datang, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya juga sedang berhubung dengan beberapa kepemimpinan Pas di semua peringkat yang mungkin boleh menyertai AMANAH kelak.

“Itu (pemimpin Pas menyertai AMANAH) adalah kemungkinan yang saya rasa akan berlaku pada masa akan datang. Akan ada pimpinan dan ahli bawahan Pas bersama AMANAH apabila keadaan begitu ketara iaitu Pas benar-benar menjalinkan hubungan yang begitu intim dengan Umno.

“Ahli-ahli biasa (Pas) yang bawah sudah ramai (menyertai AMANAH). Cuma kita sekarang ini sedang mengadakan hubungan dengan beberapa kepemimpinan (Pas) di semua peringkat yang mungkin boleh bersama AMANAH,” dipetik dari Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-2 AMANAH Kawasan Bakri di Hotel Muar Traders di Muar kelmarin.

Turut hadir, Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Mohd Huridin Samuri; Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Fadzil Othman dan Naib Presiden 1 AMANAH Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram berkata, pihaknya menyeru ahli AMANAH supaya lebih bersikap positif terutama mengurus kemenangan parti itu dalam konteks dalam mentadbir negara ini.

Menurutnya, segala potensi dan kekuatan yang sudah dibina oleh parti itu harus dijelmakan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Dengan kedudukan lima menteri dan empat timbalan menteri (daripada AMANAH) serta kedudukan kita dalam agensi kerajaan, majlis daerah dan peringkat kampung haruslah dapat menjana kepada parti dan kerajaan kita.

“Paling penting sekali, rakyat akan terkesan dengan kedudukan kita yang rapat dengan mereka dan pada masa sama dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat kelak,” ujarnya lagi.

Jho Low minta ‘kekebalan’, mahu jumpa Mahathir, dedah Daim

MALAYSIADATELINE

Suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho masih berusaha keras mendapat kekebalan daripada tindakan kerajaan, dedah Tun Daim Zainuddin.

Namun bekas menteri itu, kini pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, enggan melayan ahli perniagaan itu yang menghubungi pegawainya minggu lalu, lapor Astro Awani.

“Saya test [uji] dia, ada [saya] beri dua syarat [iaitu] saya mahu dia bagi nama [orang yang terlibat dalam skandal 1MBD], dan suruh dia balik.

“Dia diam. Saya kata, ‘kalau kamu tidak boleh beri apa yang saya mahu, mengapa saya perlu bercakap dengan kamu?’,” kata beliau dalam temubual eksklusif dengan stesen itu.

Daim turut mendedahkan Low, juga dikenali Jho Low, yang gagal dikesan walau dikehendaki polis terus cuba mempengaruhi kerajaan yang kini giat menyiasat skandal itu.

“Dia masih cuba, minta macam-macam. Mahu jumpa perdana menteri, mahu jumpa saya, mahu jumpa orang itu dan orang ini,” katanya, yang dekat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jenis muka tak malu

Abdullahjones
Kita sedia maklum bahawa penyanyi dan pelakon di negara ini yang tidak atau belum dikurniakan darjah kebesaran ialah kumpulan yang gagal dalam perjuangan seni mereka.

Walau berusaha keras dalam jihad untuk menghiburkan - dan kita semua sedia maklum bahawa hiburan ialah asas kehidupan sesudah nasi - mereka masih tidak dikurniakan dengan apa-apa darjah kebesaran.

Maka kita pun fahamlah bahawa semua usaha mereka sebenarnya sia-sia. Ianya adalah arang yang terpalit pada muka dan akan memalukan seluruh anggota keluarga mereka.

Oleh itu menjadi tanggungjawab mereka - yakni para artis (penyanyi dan pelakon) - untuk meningkatkan usaha agar jasa-jasa mereka diketahui umum.

Cara paling bagus ialah dengan menghasilkan karya yang disukai ramai. Buat saja apa lagu dan masukkan elemen komersial tanpa mengira batas agama, dan berdoalah agar ianya menjadi hit.

Kamu akan mula dikenali lalu mungkin kerana itu kehadiran kamu akan disedari dalam arena seni tanah air. Dari situ perjalanan untuk mendapat darjah kebesaran menjadi lebih mudah.

Drama TV petang-petang juga amat sesui untuk dijadikan kenderaan bagi menempuhi jalan untuk tujuan yang sama.

Jamu, alat solek dan melentik

Hasilkan drama yang menggambarkan apa yang kamu fikir sebagai resam berkeluarga di negara, iaitu bergaduh laki-bini siang dan malam, berebut jantan siang dan malam dan sebagainya.

Alahh.. kamu tentu lebih tahu.

Banyakkan adegan menjerit apabila berkelahi agar kamu cepat dikenali. Jangan lupa rambut kena merah tanpa mengira watak apa yang kamu lakonkan.

Ianya juga menyumbang kepada mutu lakonan selain dari mudah diingat oleh para pemberi darjah kebesaran.

Selain penyanyi dan pelakon, mereka yang berniaga alat solek, jamu kuat serta produk melentik apa yang mahu dilentik juga adalah golongan penting untuk diberikan darjah kebesaran.

Ucapan tahniah harus diberikan kepada panel pemilih yang bersusah-payah mengenal jasa-jasa penjual jamu power ini. Sumbangan mereka dari segi kegembiraan rumah tangga, kecantikan rakyat Malaya dan juga kerana merancakkan industri tas tangan serta kereta motor amat besar lalu tentu sekali menganugerahkan darjah kebesaran negeri atau negara adalah satu tindakan yang tepat.

Tambahan pula ini zaman emak berlawan cantik dengan anak, maka jasa mereka tentulah sangat besar.

Cuma kami terkilan sedikit apabila tauke-tauke mujarobat ini hanya dianugerahkan darjah yang agak rendah dalam kumpulannya.

Sepatutnya mereka ini diberikan gelaran Tan Sri misalnya, kerana kebanyakan mereka bukan hanya menjual ubat bahkan mereka telah masuk ke bidang musik dan lakonan.

Insan yang terpilih

Tentu saja jasa mereka lebih besar daripada mereka yang hanya bernyanyi dan belakon.

Kami memohon perkara ini dibincangkan dengan amat serius oleh pemberi darjah kebesaran dan kami memohon sekurang-kurangnya dua gelaran Tun dikhaskan kepada kumpulan ini pada masa akan datang.

Kemudian dari itu, para peniaga yang dulunya melibatkan diri dalam kegiatan yang terlarang seperti judi, pelacuran, kongsi gelap dan juga pijaman wang haram yang kini setelah bertaubat lalu digelar sebagai successful businessman juga ialah kumpukan yang layak diberi anugerah.

Mereka telah membuktikan betapa mereka kita adalah penyumbang terbesar dalam melestarikan ekonomi negara. Tidak hairanlah kini mereka menjadi insan terpilih dan senantiasa berlingkar bersama pembentuk dasar negara.

Namun begitu, tentu saja memalukan apabila para politikus dengan gelojohnya menerima darjah kebesaran kerana apabila dibandingkan dengan semua golongan di atas, mereka langsung tidak nampak jasa besar politikus yang apabila bercakap wajib menyalahkan orang lain.

Dan nada suara mereka pula selalu seperti seorang pendendam.

Baru lima bulan memegang tampuk kuasa sudah gilakan gelaran tanda berjasa. Jenis muka tak malu.

Kemudian ada antara mereka mengatakan bahawa darjah kebesarn itu nanti akan membuatkan mereka lebih kuat berbakti.

MB galak menyanyi

Kami tidak tahu sama ada kenyataan itu adalah putar belit media atau tidak, namun jika benarlah apa yang dikata, pasti para artis dan peniaga kosmetik yang bergelar akan terbahak-bahak dan terkentut ketawa.

Hal itu kerana mereka diberikan darjah kebesaran disebabkan terbukti berjasa yakni mengiburkan serta menambah cantik rakyat Malaya sedang politikus pula mengharapkan gelaran itu untuk membantu mereka berkerja.

Di sini - dalam satu situasi yang agak janggal - penyanyi, pelakon serta jutawan jamu kelihatan lebih cerdik daripada politikus walaupun kebanyakan politikus kita memang pun bukanlah cerdik sangat.

Namun begitu, kami ingin mencadangkan para politikus yang lahap mahukan gelaran supaya segera menimbangkan untuk masuk dalam dunia hiburan, atau mungkin juga mula menjual produk ajaib, atau boleh saja jika mereka mulakan suatu skim cepat kaya.

Ini adalah jalan paling mudah untuk mereka berbakti kepada rakyat negara ini yang sentiasa laparkan hiburan dan selalu memerlukan mukjizat serta menjadi kaya tanpa perlu berusaha semasa menjalani kehidupan.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh dan kami yakin pada masa yang singkat mereka akan beroleh gelaran yang diharapkan.

Hari itu kami nampak satu klip video yang tular bagaimana seorang menteri besar berjoget bernyanyi.

Tahniah kami ucapakan kepada beliau dan kami katakan, jalan tuan menuju gelar sudah kelihatan. Tuan cuma perlu menambah langgam agar tuan dikenal pemberi darjah kebesaran.

Sebut mengenai artis, kami memohon maaf atas kesilapan fakta dalam tulisan yang lalu apabila kami mengatakan bahawa tiada karya seniman Malaya yang disimpan di galeri dan musium ternama dunia.

Karya Yee i-Lan dan H H Lim masing-masing disimpan oleh Muzium Seni Moden Tate dan juga Muzium Seni Moden New York.

Terima kasih Ameruddin Ahmad dari Balai Seni Negara yang membetulkan kesilapan kami.

Artikel kali ini dihiasi karya pelukis Tajuddin Ismail yang sedang berpameran di Galeri Segaris, Publika Dutamas di Kuala Lumpur.

ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis, penyair dan pengemar rojak betik kuah ikan ala Terengganu.

Mahkamah arah Jamal bayar RM300,000 pada Maria

Malaysiakini

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan ketua bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos bersalah kerana memfitnah bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM300,000.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab juga memutuskan Jamal gagal dalam pembelaan perlindungan bersyarat.

"Mahkamah memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000," kata hakim itu.

Selain itu Zaki juga memerintahkan Jamal membayar kos sebanyak RM40,000.

Jamal sebelum ini mendakwa BERSIH dipengaruhi oleh elemen Islamic State (IS).

Dakwaan cabul Pelajar : Shahidan tampil pertahan diri

Shakira Buang

Selepas heboh dakwaan seorang anggota parlimen Perlis melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar bawah umur, Datuk Seri Shahidan Kassim tampil memberi penjelasan.

Dalam sidang media di parlimen hari ini anggota parlimen Arau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan polis untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan dirinya itu.

Kata Shahidan, ini kerana kedua-dua pihak kini telah membuat permohonan maaf ekoran salah faham yang berlaku.

“Saya pasti semua pihak memahami perkara ini dan minta tidak dipanjangkan perkara ini dan kita serah kepada pihak polis.

“Walaupun kes ini telah ditutup namun pihak polis akan meneruskan kerja-kerja mereka,” katanya.

Menurut Shahidan yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, dakwaan kononnya beliau berduaan dalam kereta adalah benar.

Namun, kata Shahidan pertemuan di dalam kereta itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan yang dinaikinya.

“Sebagai wakil rakyat saya memberi galakan kepada semua anak supaya terlibat dalam aktiviti yang halal. Jadi ada kumpulan busker, muzik saya tolong semua, jadi itu perkara biasa.

“Kalau ada tempat kenduri pun saya tolong, jadi atas niat ini, saya anggap anak-anak dan cucu saya. Jadi tidak timbul ingin lebih daripada itu, lagipun saya tak berapa boleh berjalan,”katanya.

Keranda iringi demo anti-Icerd di parlimen

Alyaa Alhadjri

Sekumpulan aktivis berhimpun di luar bangunan parlimen di ibu negara bagi membantah keputusan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (Icerd), Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Berhimpun kira-kira 1km daripada pagar parlimen, mereka melaungkan pelbagai slogan anti-Icerd dan membawa keranda sebagai simbolik “kematian” bagi orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mereka bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin muda PAS terkenal parti itu Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Pemimpin-pemimpin itu kemudian mengiringi wakil demonstran ke parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan.

Beberapa pemimpin akar umbi Umno tutur kelihatan dalam acara itu, selain aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan kumpulan pelajar pro-PAS Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

Bunuh majikan Saudi: Wanita Indonesia dirogol sebelum dihukum mati

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang amah Indonesia diperkosa 9 lelaki sebelum dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi selepas didapati bersalah membunuh majikannya, lapor Detik News.

Wanita yang dikenali sebagai Tuti Tursilawati, 39, yang berasal dari Majalengka, Jawa Barat dijatuhi hukuman mati pada Isnin.

Dilaporkan Tuti memukul majikannya, seorang warga emas dengan sebatang penyapu di kota Thaif, kira-kira 87 km dari Mekah. Selepas mendapati majikannya tidak sedarkan diri, dia melarikan diri.

Dia kemudiannya terserempak dengan sekumpulan 9 lelaki dan meminta bantuan agar dia dihantar ke Mekah. Bagaimanapun dia dirogol secara bergilir-gilir di sebuah rumah kosong, selain barang peribadinya disamun.

Ibu Tuti, Iti Sartini yang turut bekerja sebagai pembantu rumah di Arab Saudi mendakwa wanita itu bukan berniat membunuh majikan terbabit, sebaliknya mempertahankan diri.

Katanya, anaknya dipujuk untuk mengadakan hubungan seks oleh majikannya, namun dia enggan berbuat demikian.

Merakam sejarah: Terima kasih Rosmah

Hishamuddin Rais

Selalu kita dengar, di belakang kejayaan seseorang lelaki wujud seorang perempuan. Untuk saya ini adalah ayat klise yang semakin tidak ada nilai. Dari pengamatan saya – dari rujukan sejarah – di zaman pemerintahan Raja Louis ke-16 (1754-1793) kita terbaca bagaimana perempuan bernama Marie Antonette (1770-1993) telah membawa keruntuhan takhta kerajaan Perancis.

Perancis dari negara beraja menjadi negara republik. Raja Louis dan kaum kerabatnya dipenggal kepala kerana “menghabehkan boreh”. Permaisuri bernama Marie Antonette memainkan peranan. Kegilaan Marie Antonette mengumpul intan berlian ketika rakyat Perancis daif tanpa makanan menyemarakkan api Revolusi Perancis. Amin.

Dalam sejarah Rusia pula di zaman Czar Nicholas (1894-1917) kita bertemu dengan Czarina Alexandra Feodorovna (1872-1918).

Tahtha Romanov milik Czar Nicholas hancur. Rusia menjadi negara sosialis pertama dalam dunia melalui Revolusi Oktober. Kaum kerabat diraja semuanya dibunuh dan dihapuskan. Peranan Czarina Alexandra tercatat. Amin

Dari babak-bakak sejarah Perancis dan Rusia, ayat yang wajib kita hayati ialah, di belakang kejatuhan lelaki ada seorang perempuan. Di belakang keruntuhan sesebuah empayar itu ada seorang permaisuri.

Hakikatnya ayat kejatuhan lelaki akibat perempuan bukan ayat yang menghina perempuan. Ini bukan ayat sexist. Ayat ini saya lahirkan dari fakta sejarah. Saya berbangga dan akan mempertahankan makna dan tanda ayat ini.

Justeru saya amat berterima kasih kepada Rosmah Mansor. Malah saya menyeru agar anak semua bangsa di Malaysia ini sama-sama berterima kasih kepada Rosmah. Tanpa sosok ini tidak mungkin kita dapat mewujudkan Malaysia Baru pada 9 Mei 2018 yang lalu. Rosmah anak perempuan Cikgu Mansor memainkan peranan. Amin.

Bayangkan jika tingkah laku isteri kedua Najib sama seperti tingkah laku isteri Mahathir. Bayangkan jika Najib tidak bercerai dengan isteri pertama.

Bayangkan juga dunia tanpa Jho Low. Bayangkan juga dunia tanpa Riza Aziz. Bayangkan juga dunia tanpa Deepak. Bayangkan juga dunia tanpa Azeez Tabung Haji. Bayangkan juga dunia tanpa Habibul Rahman.

Hakikatnya nasib kita baik kerana Rosmah anak perempuan Cikgu Fatimah telah menjadi pemangkin membantu rakyat Malaysia menjatuhkan Najib. Presiden United Malays National Organisation dan juga perdana menteri Malaysia terjelepok jatuh pada 9 Mei 2018. Rakyat Malaysia bersorak gembira.

Dalam sorak-sorai ini saya memberi ingatan, jangan lupakan Rosmah.

Tanpa Rosmah memainkan peranan, hari ini saya wajib sekali lagi menyusun BERSIH6 bersama Mat Sabu dan Mandeep Singh. Tanpa kewujudan Rosmah, berapa ramai lagi anak muda yang akan masuk lokap kerana menentang United Malays National Organisation.

Sosok yang bernama Adam Adly wajib berterima kasih dengan Rosmah. Ini kerana setelah Najib bungkam, si Adam ini telah diterima kembali untuk meneruskan pembelajaran di UPSI.

Mari kita teroka apa peranan Permaisuri Rusia Alexandra Feodorovna (1872-1918) sebelum Revolusi Oktober berjaya. Ketika permaisuri ini bercanda-canda dalam Istana Kamarad Lenin dan Kamarad Trotsky sedang dalam buangan di luar Rusia, dua sosok revolusioner ini siang malam menyusun kader untuk bergerila menentang Czar Nicholas.

Ketika Lenin dan Trotsky sibuk, Permaisuri Alexandra juga sibuk dengan tok bomoh bernama Rasputin. Bomoh ini dibawa masuk ke dalam istana untuk mengubati puteri yang gering. Istana dijampi dan dikemenyan. Hantu dan polong tidak dapat menembus pintu istana. Semua kerana kuasa ilmu hitam Rasputin.

Akhirnya, surah mengatakan bagaimana si rasputin ini menjadi sosok yang paling berkuasa dalam istana melalui hubungan dengan permaisuri.

Kerenah Rasputin dan Czarina ini berjaya membantu Lenin dan Trotsky dalam usaha menghasut warga Rusia untuk mengepong istana Czar Nicholas.

Dalam usaha menjatuhkan Najib, si Rosmah telah digunakan sebagai peluru yang amat bisa. Lebih bisa dari sumpitan racun ipoh. Lebih bahaya dari peluru emas yang menewaskan Panglima Hitam.

Rosmah terperosok dan terperangkap dalam angan-angan untuk menjadi First Lady of Malaysia (FLOM).

Pada 3 April 2009 Najib naik takhta menjadi perdana menteri. Tidak sampai satu bulan dari tarikh ini si Rosmah dinobatkan untuk menjadi First Lady of Malaysia (Flom). Rosmah 'berflom' ke sini, 'berflom' ke sana.

Ketika inilah orang ramai sedikit demi sedikit mula merasa menyampah melihat perangai Rosmah. Dalam alam siber, media baru telah memainkan peranan yang amat penting. Internet telah digunakan untuk memperlekeh Rosmah.

Mengikut tafsiran warga Malaysia yang rasional, wanita pertama Malaysia ialah Raja Permaisuri Agong, bukan Rosmah.

Sejarah dunia telah merakamkan bagaimana perempuan-perempuan yang suami mereka memiliki kuasa dengan tidak semena-mena menjadi gila. Ilmelda Marcos menjadi gila pengumpul kasut. Grace Mugabe dari Zimbabwe gila mengumpul pakaian berjenama Gucci.

Rosmah anak perempuan Cikgu Mansor pula didakwa gila mengumpul beg Birkin.

Ini sebenarnya menjadi umpan yang paling mujarab untuk menghasut orang ramai agar membenci Najib sang suami. Dakwaan keborosan Rosmah menjadi buah mulut. Dari kampung ke kampung, dari Felda ke Felda, Mak Cik Bawang mula berkisah tentang Rosmah. Aji No Moto dan garam masalla ditambah untuk menyedapkan surah.

Isu Rosmah membantu kempen Pakatan Harapan. Rosmah yang tergedik-gedik telah meyakinkan orang ramai bahawa Najib telah jadi bodoh.

Dalam budaya Melayu konsep nasi kangkang ini memang dipercayai.

Ahli-ahli United Malays National Organisation yang setia kepada parti kini berbelah bagi apabila berhadapan dengan isu perangai Rosmah. Ramai pengundi sayangkan Najib tetapi benci kepada Rosmah. Inilah adalah fakta gelap yang membantu kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14.

Parti United Malays National Organsation terpaksa memikul Rosmah ke hulu ke hilir. Pemimpin parti yang rapat dengan Najib amat takut untuk bersuara. Mereka bukan takut kepada presiden parti tapi takut dengan Rosmah. Bayangkan memikul Rosmah ini bukan satu kerja yang ringan. Inilah nasib Parti Ketuanan Melayu.

Sebenarnya sejarah telah merakamkan suara dari keluarga Najib. Mereka sedar akan malapetaka yang sedang dibawa oleh Rosmah terhadap keluarga Razak.

Media telah melaporkan bagaimana Nazir Razak pada 29 Julai 2015 telah ditafsirkan memberi nasihat kepada abangnya Najib untuk melakukan perubahan. Nazir dikatakan telah berkias dengan menggunakan drama TV Game of Thrones. Nazir memberi ingatan, you win or you die (kamu menang atau kamu mati).

Nasihat Nazir muncul sesudah ledakan berita 1MDB yang dihebohkan oleh The New York Times (NYT).

Sila ingati kembali, pada ketika ini Nazir dianggap akan memainkan peranan politik. Mungkin untuk bersama membantu United Malays National Organisation. Dalam masa yang sama Haji Desas bin Lebai Desus berlabun ke sana sini tentang keluarga Najib yang semakin tidak senang dengan Rosmah.

Apa sebenarnya sedang berlaku?

Dari apa yang saya dengar, adik Najib ini yakin siasatan peguam negara dalam kes 1MDB akan menjerat abangnya. Duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib mustahil dapat dinafikan. Maka jalan keluar telah dicari.

Berita nasihat Nazir ini bertambah kuat apabila kenalan saya – perawi sahih – memberi tahu saya bagaimana pada satu pagi dia terserempak dengan orang Najib.

“Bos telah buat keputusan. Bos akan mengundur.’

Pada hari yang sama di sebelah petangnya perawi sahih ini terserempak pula dengan seorang “penasihat” Najib.

“I heard bos is leaving. Did you get the news?” Perawi sahih cuba menyampaikan berita baik.

“No way, he is not leaving. We will fight till the end.”

Berita tentang Najib bersedia untuk mengundur telah juga dilaporkan dalam Sarawak Report. Tetapi kenapa Najib tidak mengundur dan pergi ke luar negara untuk selamat?

Saya juga mendengar dakwaan bagaimana Rosmah dikatakan mengingatkan Najib agar jangan berundur.

Beduk perang dipalu. Perang telah dilancarkan. Bukti perang ini ialah pertukaran peneraju di Jabatan peguam Negara dan SPRM.

Projek Najib digagalkan. Ini rakaman sejarah. Ini didakwa sebagai kejayaan Rosmah.

Bayangkan jika Najib berundur, pasti United Malays National Organisation dan Barisan Nasional akan menang besar dalam PRU14. Untuk ini saya dan kita wajib berterima kasih kepada Rosmah.

Ada lagi ke rakaman sejarah? Ada bahagian akhir minggu hadapan.

PAS Perak minta bantuan ahli kumpul RM135,000

Shakira Buang

PAS Perak kelihatan menghantar isyarat SOS kepada anggota dan penyokong parti itu ekoran tanggungan hutang.

Menerusi hantaran dimuat naik pesuruhjayanya, Razman Zakaria, hari ini PAS Perak merayu supaya anggota parti terbabit - didakwa ada seramai kira-kira 100,000 orang - mengumpul dana yang diperlukan.

PAS Perak, kata Razman, memerlukan lebih RM130,000 dan keperluannya digambarkan sebagai sangat mendesak.

"Sehingga kini (PAS Perak) masih berhutang RM135,000 dengan Jabatan Peguam Negara dan amat mendesak.

"PAS Perak mempunyai hampir 100,000 orang ahli.

"Sekiranya setiap ahli menyumbang RM10 seorang bolehlah meringankan beban ini," katanya pada hantaran berkenaan.

Razman yang juga bendahari pusat PAS menjelaskan rayuan itu dibuat kerana parti terbabit gagal dalam petisyen dikemukakan untuk mencabar keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

Ada perancangan sendiri

Katanya petisyen tersebut telah ditolak dengan bayaran kos berjumlah RM270,000.

Sementara itu dihubungi Malaysiakini malam ini Razman mengakui hantaran tersebut memang benar dan PAS Perak sudah menjelaskan bayaran bernilai lebih RM100,000.

Bagaimanapun katanya masih ada baki tanggungan sebanyak RM135,000.

Ditanya sama ada PAS Perak ada menjalankan kutipan infak (derma) seperti yang digerakkan sebelum ini, Razman berkata, ia diadakan dari semasa ke semasa dan hanya mengumpul kira-kira RM23,000 sebulan.

Namun katanya wang tersebut terpaksa dibahagikan antara PAS Pusat, negeri dan kawasan-kawasan.

Untuk rekod PAS Perak menyasarkan untuk membentuk kerajaan negeri melalui PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu.

Baca Wawasan PAS kutip infak RM10 juta sebulan

Mereka meletakkan 43 calon bagi merebut kerusi dewan undangan negeri (DUN) Perak. Secara keseluruhan DUN Perak mempunyai 59 kerusi.

Bagaimanapun hanya tiga calon PAS yang menang, termasuk Razman di Gunung Semanggol.

Untuk kerusi parlimen pula PAS Perak mencuba nasib di 19 daripada 24 kerusi yang ada.

Daripada jumlah itu tidak ada seorang pun calon mereka yang berjaya.

Pada PRU ke-13 PAS Perak meletakkan 21 calon di kerusi DUN dan tujuh kerusi parlimen.

Kata Razman buat masa ini PAS Perak masih mengambil pendekatan tradisional untuk mengumpul dana tersebut.

"Semua masih dalam perancangan dan kalau berjalan nanti, diharap dapatlah menampung keperluan dana tersebut," katanya.
Seorang remaja di Kota Belud, Sabah menyaman bekas guru bahasa Inggerisya atas dakwaan tidak masuk kelas selama tujuh bulan semasa dia menjadi pelajarnya.

Nafirah Siman, 18, daripada SMK Taun Gasi menyaman Jainal Jamran atas kejadian didakwa berlaku pada 2015 ketika dia berada di tingkatan 4.

Saman itu difailkan oleh tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober.

Dia turut menamakan guru besar sekolah Suid Hanapi, SMK Taun Gusidan pegawai pendidikan daerah kota Belud, ketua pengarah Jabatan pendidikan Sabah, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Semakan dengan daftar mahkamah menunjukkan kes itu ditetapkan untuk sebutan kes pada 19 November depan.

Dalam samannya, Nafirah mendakwa Jainal tidak hadir mengajar dari Februari hingga Oktober 2015 kecuali pada satu minggu ketika pegawai kementerian melawat sekolah.

Katanya, walaupun beberapa aduan didbuat, tindakan tidak diambil.

Nafirah juga mendakwa guru besar terlibat menutup kes dengan memalsukan kedatangan yang hanya menunjukkan Jainal tidak hadir hanya dua bulan.

Nafirah menuntut pengisytiharan bahawa defendan-defendan telah melanggar tugas statutori bawah Akta Pendidikan dan mencabul hak perlembagaannya bagi mendapatkan pendidikan.

Remaja perempuan itu juga menuntut pengisytiharan terdapat pelanggaran tugas dan misfeasans di pejabat kerajaan.

Remaja perempuan itu menuntut ganti rugi dan kos.

Hubungan Pas Umno kini sampai ke akar umbi

Ketua Umno Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman memeluk pimpinan Pas Pasir Salak dalam pertemuan mahabbah itu.
BORHAN AHMAD
Kerjasama antara Pas dengan Umno kini bergerak ke akar umbi pula dengan majlis kunjung mengunjung berlaku antara kepimpinan kedua-dua parti peringkat kawasan selepas mendapat isyarat di peringkat pusat.

Pada 27 Oktober 2018, jam 11.00 pagi, perjumpaan mahabbah antara kepimpinan Umno Bahagian Pasir Salak bersama Pas Kawasan Pasir Salak berlaku di kediaman Ahli Parlimen kawasan berkenaan, di Kampong Gajah.

“Beberapa inisiatif telah dicadangkan bagi memulakan kerjasama politik antara Umno dan Pas bagi memastikan kesucian agama Islam dan bangsa Melayu.

“Satu perkembangan positif bagi warga Pasir Salak,” lapor Umno Pasir Salak melalui facebook mereka hari ini.

Dalam majlis itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpelukan dengan Yang Dipertua Pas Pasir Salak.

Turut serta dalam kunjungan itu adalah para pemimpin Muslimat Pas Kawasan bertemu dengan para pemimpin Wanita Umno Bahagian.
Pemimpin Muslimat Pas kawasan bertemu dengan Wanita Umno Bahagian Pasir Salak dalam pertemuan ini.

Di peringkat pusat, hubungan antara kedua-dua parti mencapai puncak apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinannya menyertai Muktamar Pas.

Ia dibalas oleh kunjungan kepimpinan Pas ke Mesyuarat Agung Umno (PAU) 2018 di Kuala Lumpur. Turut datang ke PAU 2018 adalah kepimpinan Muslimat dan Pemuda Pas.

Sebelum ini, Pas sentiasa sahaja menafikan hubungan mereka dengan Umno kerana parti Melayu itu dianggap sebagai musuh mereka.

Namun sejak Pas dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang hubungan ketara berlaku antara kedua-dua parti itu.

PM ulangi lebih ramai 'jerung besar' bakal diheret ke mahkamah

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus mencari dan mengheret lebih ramai ‘jerung besar’ yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Akan ada ramai lagi orang akan diheret. Tetapi, sekarang kita terpaksa memberi fokus terhadap beberapa orang terlebih dahulu kerana kekurangan pegawai.

“Jadi, kita tidak boleh berurusan dengan ramai orang yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Buat masa sekarang, kita ‘kejar’ jerung besar terlebih dahulu. Tetapi untuk heret mereka, kena kumpul cukup bukti untuk heret ke mahkamah keadilan dan kemudiannya tindakan boleh diambil,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sambil mengakui ia bukan kerja mudah kerana memerlukan bukti untuk mengheret mereka muka keadilan, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga menghadapi kekangan dari segi pegawai untuk menjalankan tugas itu.

Sementara itu, Dr Mahathir pada ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini mengajak setiap orang agar berganding bahu membantu kerajaan memerangi gejala rasuah.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu takut untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa, dengan memberi jaminan bahawa langkah mereka itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

“Kami memerlukan sokongan rakyat. Rakyat hendaklah memahami bahawa rasuah sesuatu yang tidak baik untuk mereka. Oleh itu, mereka perlu memainkan peranan dalam menghapuskan rasuah.

“Jika terdapat sebarang bukti rasuah dalam kerajaan, kami berharap orang ramai dapat menyatakannya dan memberitahu kepada pihak berkuasa bahawa terdapat pegawai rasuah dalam kerajaan,” katanya.

Beliau juga menekankan akan kepentingan dan kerjasama orang ramai dalam membasmi rasuah adalah amat penting memandangkan kerajaan bergantung kepada orang ramai untuk membantu mereka mengenai sebarang amalan rasuah yang mungkin menjejaskan mereka.

Exco PAS tempelak Mujahid, Mat Sabu di DUN Kelantan


N Faizal Ghazali
DUN KELANTAN | Kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu diungkit semula oleh anggota dewan undangan negeri (ADUN) PAS di Persidangan DUN di Kota Bharu, hari ini


Dalam sesi soal jawab yang berlangsung pagi tadi, ADUN Gual Periuk Datuk Ahmad Awang meminta pandangan kerajaan negeri dalam isu kenyataan Mujahid berhubung pencegahan aktiviti maksiat.

Memetik al-Quran dan hadis, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, menjadi kewajipan kerajaan untuk mencegah kemungkaran sekiranya melihat atau mengetahui wujudnya aktiviti seumpama itu.

Menurutnya, pencegahan itu perlu dibuat melalui kuasa yang ada pada sesebuah kerajaan.

"Sekiranya lihat atau mengetahui kemungkaran wajib diubah melalui kuasa jika ada kuasa, kita kerajaan ada kuasa. Maka tak boleh bercakap ini premis peribadi, kerajaan tak ada hak.

"Kalau macam itu orang hisap dadah atas rumah polis tak boleh tangkaplah, orang makan pil kuda buat benda haram atas rumah polis tak boleh tangkaplah. Tidak, kita kena faham bahawa yang dilarang Allah supaya jangan mengintip itu kepada orang ramai.

"Tak boleh setiap orang mengintip, itu dilarang tetapi kerajaan kena ada pengintip. Kalau tak ada pengintip habislah kerajaan," katanya ketika menjawab isu berkenaan.

Terdahulu, kontroversi yang melibatkan menteri hal ehwal agama itu muncul selepas kenyataan Mujahid dalam sebuah wawancara dengan akhbar tempatan dikatakan telah disalah tafsir.

Mujahid menafikan beliau memberitahu akhbar tersebut bahawa serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama akan dihentikan.

"Saya tak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu, itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka (daripada kenyataan saya).

"Sila rujuk kepada wawancara di dalamnya (laporan itu) yang lebih tepat kepada maksud yang saya ingin sampaikan," katanya.

Sementara itu, membuat kenyataan yang dilihat ditujukan kepada menteri pertahanan, Mohd Nassuruddin berkata menteri tidak sepatutnya membuat kenyataan yang boleh membuka ruang kepada pihak lain menyerang kerajaan.

"Umpamanya kita dedahkan jet pejuang di Malaysia ini hanya empat buah saja boleh guna, itu tak boleh.

"Kita jaga keselamatan negara, kita bercakap macam itu. Begitu juga kita jaga kerajaan kita cakap itu premis peribadi, itu hal dia dengan Allah.

"Kerajaan bertanggungjawab, kena ada penguat kuasa. Yang disebut tak boleh pengintip itu kepada orang ramai, kerajaan boleh untuk menjaga keselamatan rakyat, kena ada pencegahan," jelasnya.

Penjelasan ADUN Meranti yang menyebut isu 'jet pejuang' itu dilihat menempelak menteri pertahanan yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang mendedahkan keupayaan aset ketenteraan negara dalam Dewan Rakyat Ogos lalu.

Selain itu Mohd Nassuruddin menegaskan penguatkuasa agama di Kelantan akan tanggungjawab menangani kegiatan tidak bermoral dengan mengadakan pemeriksaan secara tidak berkala.

"Kita tidak akan biarkan kegiatan tidak bermoral itu terus berlaku bimbang datangnya bala kerana angkara tangan-tangan manusia itu sendiri," ujarnya.

Tangkap bekas menteri jika dakwaan cabul ada asas

Polis perlu menahan bekas menteri yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan jika dakwaan itu didapati berasas, kata pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya.

Beliau berkata keputusan pelajar berusia 15 tahun itu untuk menarik balik laporan polisnya merupakan perkara yang cukup membimbangkan.

Latheefa mengulas kenyataan Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed bahawa remaja itu berbuat demikian sehari selepas membuat laporan, minggu lalu.

"Apa yang sangat meragukan dan pelik adalah Noor Mushar mendakwa pengadu telah menarik balik laporannya.

"Ini membingungkan kerana laporan polis berkenaan jenayah tidak boleh ditarik balik. Ia perlu disiasat. Undang-undang dan prosedur mana yang dirujuknya?" soalnya dalam kenyataan.

Jika remaja itu membuat laporan tanpa asas, katanya lagi, polis mesti menentukan apakah yang menyebabkan dia membuat dakwaan serius seperti itu.

"Pada masa sama, jika laporan itu berasas, tanpa mengira sama ada ia telah ditarik balik, mengapa pelaku atau suspek masih bebas? Polis perlu bertindak segera untuk mendapatkan bukti, termasuk menahan suspek yang dinamakan remaja itu.

"Jelas hal yang melibatkan serangan seksual terhadap remaja ini melibatkan kepentingan awam, dan menjadi lebih serius kerana dikatakan melibatkan seorang ahli politik," katanya lagi.

Dalam pada itu, Latheefa menggesa kementerian wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat agar segera mengesan remaja itu dan menjamin dia mendapat bantuan, kaunselin dan perlindungan yang sepatutnya.

Terdahulu, Noor Mushar memberitahu Malaysiakini bahawa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman akan mengambil keterangan bekas menteri daripada Umno itu esok.

Beliau turut berkata polis tetap menyiasat kes itu walaupun laporan sudah ditarik balik.

Polis akan soal siasat bekas menteri didakwa cabul remaja 15 tahun

Polis dijadual mengambil keterangan seorang bekas menteri yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata individu itu yang juga seorang anggota parlimen Umno, telah dipanggil untuk soal siasat esok.

Terdahulu, Noor Mushar dilaporkan berkata bahawa remaja itu telah menarik balik laporannya, namun polis akan tetap menyiasat dakwaan itu.

"Walaupun aduan sudah ditarik balik, pihak polis masih melakukan siasatan dan sudah ada pihak yang dipanggil untuk mengambil keterangan," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Katanya lagi, polis juga sedang mendapatkan nasihat daripada timbalan pendakwa raya sama ada ia boleh diteruskan dengan pendakwaan atau tidak.

Walaupun beliau tidak menamakan individu itu, Malaysiakini telah melihat laporan itu, yang mana pengadu mendakwa bekas menteri itu memegang tangan dan meraba bahagian belakang badannya.

Sementara itu, Noor Mushar juga menyangkal tuduhan Pengerusi MyWatch Datuk R Sri Sanjeevan bahawa ada pihak yang cuba menutup kes tersebut.

Menerusi bebenang di Twitter berkenaan isu itu, Sanjeevan turut menamakan anggota parlimen itu.

London Tutup 500 Gereja, Buka 423 Masjid Baru

Salam.my
London kini menuju ke arah bandar Islam, dengan beratus-ratus mahkamah syariah rasmi yang telah mula beroperasi di ibu negara, dan terdapat masjid-masjid yang dibuka di tapak gereja-gereja terkenal yang telah wujud selama beratus-ratus tahun.

“London lebih Islam daripada banyak negara muslim yang disatukan,” kata Maulana Syed Raza Rizvi, salah seorang pendakwah Islam yang kini memimpin “Londonistan”, dilaporkan oleh wartawan Melanie Phillips.

Sebanyak 423 buah masjid-masjid baru dibina menggantikan gereja-gereja. Banyak gereja Kristian ikonik di London telah diubah menjadi masjid.

Institut Gatestone melaporkan: The Hyatt United Church telah dibeli oleh komuniti Mesir untuk ditukarkan ke masjid. Gereja St Peter telah diubah menjadi Masjid Madina. Masjid Brick Lane dibina di bekas gereja Methodist. Bukan sahaja bangunan diubah, tetapi juga orang. Bilangan kemasukan Islam telah meningkat dua kali ganda!

The Daily Mail menerbitkan gambar gereja dan masjid dengan jarak beberapa meter antara satu sama lain di tengah-tengah bandar London. Di Gereja San Giorgio, yang direka untuk menampung 1,230 jemaah, hanya 12 orang berkumpul untuk meraikan Misa. Di Gereja Santa Maria, hanya terdapat 20 orang.

Masjid Brune Street yang berhampiran pula mempunyai masalah yang berbeza: kesesakan. Bilik kecil dan boleh mengandungi hanya 100. Pada hari Jumaat, jemaah berkumpul dan bersolat sehingga di jalanan. Melihat keadaan semasa, Kristian di England bakal menjadi satu peninggalan, sementara Islam akan menjadi agama masa depan.

Menjelang 2020, anggaran bilangan umat Islam yang menghadiri solat akan mencecah sekurang-kurangnya 683,000, sementara bilangan orang Kristian yang menghadiri perjumpaan mingguan akan turun kepada 679,000. “Landskap budaya baru bandar-bandar Inggeris telah tiba; landskap Kristian agama homogenis berada dalam keadaan mundur, “kata Ceri Peachof Oxford University. Sementara hampir separuh daripada Muslim Inggeris berada di bawah usia 25 tahun, satu perempat daripada orang Kristian lebih dari 65 tahun. “Dalam 20 tahun lagi akan ada umat Islam yang lebih aktif daripada ada gereja,” kata Keith Porteous Wood, pengarah National Secular Persatuan.

Sejak tahun 2001, 500 gereja London semua denominasi telah berubah menjadi rumah persendirian. Dalam tempoh yang sama, masjid-masjid British semakin berkembang. Antara tahun 2012 dan 2014, bahagian Briton yang mengenal pasti diri mereka sebagai Anglicans jatuh dari 21% kepada 17%, penurunan sebanyak 1.7 juta orang, sementara menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Sosial NatCen, bilangan umat Islam telah berkembang kepada hampir satu juta. Bilangan penganut Kristian yang pergi ke gereja merosot, di mana bilangan mereka akan tiga kali lebih rendah daripada orang Islam yang pergi secara rutin ke masjid pada hari Jumaat.

Secara demografi, Britain telah memperoleh wajah Islam yang semakin meningkat, di tempat-tempat seperti Birmingham, Bradford, Derby, Dewsbury, Leeds, Leicester, Liverpool, Luton, Manchester, Sheffield, Waltham Forest dan Tower Hamlets. Pada tahun 2015, analisa mendapati nama yang paling banyak diberikan di England ialah Mohammed, termasuk variasi ejaan seperti Muhammad dan Mohammad.

Bandar penting yang mempunyai penduduk Islam yang besar seperti berikut: Manchester (15.8%), Birmingham (21.8%) dan Bradford (24.7%). Di Birmingham, terdapat juga kebarangkalian yang lebih besar bahawa seorang kanak-kanak akan dilahirkan menjadi keluarga Islam daripada menjadi seorang Kristian. Di Bradford dan Leicester, separuh daripada kanak-kanak itu adalah Muslim. Perubahan sudah berlaku. “Londonistan” bukan mimpi buruk majoriti Muslim; ia adalah hibrid budaya, demografi dan agama di mana kekristenan menurun dan Islam pula maju.

Menurut Innes Bowen, yang menulis di The Spectator, hanya dua dari 1,700 masjid di Britain hari ini mengikuti tafsiran modernis Islam, berbanding dengan 56% di Amerika Syarikat. Orang Islam menguasai enam peratus masjid di UK, sementara Deobandi fundamentalis menguasai hingga 45%. Menurut satu kaji selidik dari Pusat Pengetahuan, sepertiga orang Muslim UK tidak merasakan “sebahagian budaya British.”

MAHKAMAH SYARIAH DI LONDON

London juga telah dipenuhi dengan mahkamah syariah. Jumlahnya secara rasmi ialah 100. Kemunculan sistem kehakiman selari ini telah diwujudkan oleh Akta Timbang Tara British dan sistem Penyelesaian Pertikaian Alternatif. Mahkamah-mahkamah baru ini adalah berdasarkan kepada penolakan hak-hak asasi manusia yang tidak tercemar: nilai-nilai kebebasan dan kesamaan yang menjadi asas Undang-undang Common English.

British terus membuka pintu untuk memperkenalkan syariah. Salah seorang hakim terkemuka Britain, Sir James Munby, mengatakan bahawa agama Kristian tidak lagi mempengaruhi mahkamah dan ini mestilah “multicultural” – yang bermaksud lebih Islam. Rowan Williams, bekas Ketua Biskop Canterbury, dan Ketua Hakim Lord Phillips juga mencadangkan supaya undang-undang British “menggabungkan” unsur-unsur undang-undang syariah. Penubuhan kebudayaan British dengan cepat menyerah kepada fundamentalis Islam dalam menerima tuntutan mereka.

Universiti-universiti British juga menerima undang-undang Islam. Garis panduan rasmi universiti, “Pembicara luar dalam institusi pengajian tinggi” yang diterbitkan oleh Universiti UK, menyatakan bahawa “kumpulan agama ortodoks” boleh memisahkan lelaki dan wanita. Di Queen Mary University of London, wanita terpaksa menggunakan pintu masuk yang berasingan dan dipaksa duduk di dalam bilik tanpa dapat bertanya atau menaikkan tangannya – seperti di Riyadh atau Teheran. Persatuan Islam di London School of Economics mengadakan gala, di mana wanita dan lelaki dipisahkan oleh panel tujuh meter.

Selepas serangan ke atas majalah satirikal Perancis, Charlie Hebdo, ketua MI6, Sir John Sawers, mengesyorkan penapisan diri dan “beberapa sekatan” dalam membincangkan Islam. Duta British di Arab Saudi, Simon Collis, memeluk Islam dan mengerjakan haji di Mekah. Dia kini memanggil dirinya Haji Collis.

sumber: Baxter Dmitry, Your News Wire

Selepas 100 hari, Khalid Samad catat 3 kejayaan utama

PHA KIM BENG
Selepas 100 hari, Khalid Samad catat 3 kejayaan utama
Khalid menunjukkan dokuman laporan Task Force yang membuat syor-syor dalam isu tanah DBKL. Task Force ini berjaya tambahkan RM149 juta ke dalam akaun DBKL.
Politik, bukan sekadar pecaturan yang bercorak strategik. Di mana yang menang akan mendapat seribu satu habuan; justeru yang kalah pula akan terus dipinggirkan.

Sebenarnya, berjaya ataupun gagalnya karier seseorang ahli politik terletak pada keberkesanan mereka dalam mengutarakan hujah-hujah beliau, merangka tindakan dan mempastikan keberkesanan tugas mereka.

Dari ketiga-tiga segi ini, Khalid Samad, sebagai Menteri Wilayah telah mempamerkan ciri ciri ini dengan jayanya.

Pertamanya, Khalid Samad telah berjaya mendemokrasikan semula institusi pentadbiran di ibu negara Kuala Lumpur apabila beliau melibatkan semua wakil yang dipilih rakyat ke dalam sistem pentadbirannya, sebaik sahaja beliau dilantik sebagai menteri.

Ia adalah sejarah besar setelah sekian lama wakil-wakil rakyat ini terpinggir walaupun kumpulan mereka adalah majoriti di Wilayah.

Majlis Menteri Wilayah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 20 Julai 2018, di Menara DBKL, 18 hari selepas Khalid mengangkat sumpah secara rasmi sebagai menteri.

Melalui Majlis Menteri, kesemua 11 ahli parlimen di Kuala Lumpur duduk bersama para pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbincang dan memutuskan segala urusan di ibu negara itu.

Ia satu format baru pentadbiran DBKL. Kalau selama ini DBKL hanya dipandu oleh Lembaga Penasihat yang dilantik oleh menteri, kini DBKL dipandu oleh wakil yang dipilih oleh rakyat.

Ini merupakan satu langkah yang bijak, malah tepat pada masanya, memandangkan betapa penting-nya semua pihak boleh saling memahami segala atur-langkah pembangunan Wilayah Persekutuan.

Walaupun jawatan kuasa sebelas orang ini tidak boleh menyelesaikan segala hal remeh temeh dan isu-isu pembangunan, namun margin kesalahan proses ini boleh terus disempitkan menerusi perbincangan yang bertunaskan demokrasi.

Tiga kejayaan besar dalam 100 hari pertama Khalid sebagai Menteri Wilayah.

PELAN TEMPATAN KUALA LUMPUR 2020

Serentak dengan kejayaan yang pertama itu, Khalid sebagai Menteri Wilayah telah membuat keputusan untuk menggezetkan Plan Tempatan Kuala Lumpur 2020 yang telah disiapkan lebih 18 tahun lalu.

Ia tidak pernah digezetkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk mengkaji dan membuatnya — semata-mata kerana bimbang plan itu mengikat keputusan yang hendak dibuat kemudian.

DS 3 Crossback - DS Drive Assist
FEATURED BY
Bagi Khalid, langkah menggezetkan plan ini penting untuk mempastikan pembangunan Kuala Lumpur berjalan sebagaimana dirancang bukan ikut kehendak semasa sahaja.

Insya Allah plan ini akan digezetkan menjelang akhir tahun ini selepas segala prosedur yang diperlukan dipenuhi.

Selepas kedua-duanya berjalan, Khalid memasuki fasal penting dalam masa-masa awal kerier beliau sebagai Menteri Wilayah — mengendalikan isu penjualan tanah oleh DBKL yang menjadi isu utama menjelang pilihan raya umum ke 14 lalu.

Ketika itu ahli parlimen DAP telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku salah guna kuasa dan rasuah dalam penjualan 64 lot tanah di Kuala Lumpur.

Langkah pertama yang dibuat Khalid adalah meminta SPRM membuat kajian segera mengenainya.

Serentak dengan itu juga, Khalid menubuhkan satu Task Force (Pasukan Petugas) untuk mengkaji isu ini secara mendalam bagi pihak beliau sendiri sebagai menteri. Task Force ini terdiri dari pegawai pejabat beliau, pegawai Kementerian Wilayah dan pegawai dari DBKL sendiri.


Pasukan Task Force yang membawa RM149 juta untuk DBKL selepas penjualan tanah ibu kota itu dirunding semula oleh mereka.

Perkara pertama yang mereka temui adalah bukan 64, tetapi 97 transaksi penjualan tanah berlaku di bawah DBKL.

Selepas bermesyuarat secara marathon, Pasukan Petugas ini telah membuat pelbagai penemuan dan langkah yang sangat bermakna untuk negara. Dan yang paling penting adalah berjaya menambahkan RM149 juta untuk DBKL hasil traksaksi tanah itu selepas rundingan semula dibuat dengan para pembelinya.

RM149 juta bukan satu nilai yang kecil dan ia diperolehi hanya dengan merundingkan semula dengan pembelinya. Entah apa yang berlaku dalam pentadbiran sebelum ini sehingga tanah-tanah itu dijual dengan harga yang murah dalam 97 transaksi itu.

Untuk tahun depan, Khalid mula merangka plan untuk kementeriannya. Yang bakal menjadi tumpuan adalah menangani masalah kesesakan di ibu kota dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, memberikan tumpuan kepada kebajikan untuk miskin bandar dan pelan kebajikan untuk semua warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menjelang akhir tahun 2018 ini beliau mahu semua sekolah tahfiz di ibu kota didaftarkan. Ia bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengenalpasti kewujudan mereka dan seterusnya dapat membantu mereka.

Karier politik seseorang ahli parlimen memang penuh dengan ranjau di sepanjang jalan. Khalid Samad akan terus menempuhi-nya. Namun bukan mudah juga untuk membuka langkah-langkah yang boleh mendatangkan pelbagai manfaat untuk penduduknya.

Khalid Samad harus digalakkan untuk terus menggunakan pelbagai cara baru untuk meningkatkan tahap kemajuan kementeriannya dan seterusnya memberi manafaat kepada seluruh negara. Syabas.