"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga kali undi bukti PN kerajaan tanpa mandat majoriti

ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk meneliti di peringkat jawatankuasa kesemua kementerian dan setakat ini tiga kementerian berjaya dibuat belah bagi iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Betul, blok PH kalah dengan mendapat 95 bilangan tetapi Perikatan Nasional (PN) walaupun mendapat 106, 107 dan 108 telah membuktikan dirinya tiada majoriti yang diperlukan iaitu 112.

Beban bukti ada majoriti atau tidak terletak di bahu Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Setakat ini, beban itu gagal dibuktikan. Isunya bukan PH kalah undi secara blok tetapi lebih besar daripada itu ialah TSMY gagal sebanyak tiga kali untuk membuktikan keabsahan beliau sebagai PM yang ada mandat majoriti.

Hal ini menjejaskan prinsip demokrasi yang diamalkan kerana mandat majoriti adalah asas kepada keabsahan sesebuah kerajaan.

Tanpa mandat ini, PM tidak sah, apatah lagi seluruh Kabinet XXXLnya. Justeru itu, istilah ‘kerajaan’ yang dipakai kerajaan apa sebenarnya? Kerajaan tanpa mandat majoriti? (KTMM)

Bagaimana dengan duit dari kantung negara yang dimohon untuk dikeluarkan? Bukankah tiga pengundian dibuat membuktikan TSMY tidak layak untuk bentang belanjawan dari awalnya lagi.

Ya, kita gagal membuat belah bagi di peringkat dasar tetapi dari segi bilangan undi yang dapat, apa bezanya?

Terserlah kegagalan atas kegagalan yang tertanggung di pundak TSMY. Inilah bukti yang PH tegaskan sedari awal supaya undi tidak percaya dibuat di Parlimen mendahului segala agenda lain.

Alasan Speaker bahawa usul kerajaan perlu didahulukan terbukti tidak relevan kerana Speaker sepatutnya membantu dewan untuk membuktikan terlebih dahulu wujudnya sebuah entiti yang bernama kerajaan melalui keabsahan majoriti PM sebelum apa saja prosiding lain.

Perkara asas ini gagal dibuat oleh TSMY walaupun diingatkan beberapa kali oleh MP Langkawi, MP Gua Musang dan MP dari AMANAH, DAP dan PKR yang menuntut usul undi tidak percaya didahulukan di Parlimen.

Malah, MP Arau dari kerajaan sendiri mencadangkan usul undi percaya dibuat tetapi tidak dilayan dan tersenarai di tempat tercorot.

Peristiwa tiga kali blok voting bukan soal PH kalah tetapi ketiadaan majoriti di pihak TSMY mencetuskan suasana bimbang kerana untuk melengkapkan majoritinya MP-MP berpotensi terdedah kepada ‘horse trading'(tawar menawar harga untuk mendapat sokongan majoriti).

Suasana ini pasti mencemarkan demokrasi yang mengasaskan konsep kebebasan memilih tanpa rasa takut atau balasan habuan.

Krisis mandat ini adalah krisis politik dalam konteks demokrasi berparlimen. Semakin lama prinsip mandat majoriti tidak dihormati semakin sakit dan luka demokrasi kita.

Apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang melanda kita, kita mengalami dwi krisis yang berterusan.

Saya konsisten menyeru supaya kita pulihkan demokrasi dan sembuhkan negara melalui keabsahan majoriti sebenar.

Tiga kali undi sudah cukup kami membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan tanpa mandat majoriti. Siapa yang patut malu?


*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH.

Tiada ulasan: