"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan sulung PPBM hambar tanpa kumpulan Dr M

Nora Mahpar
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menjangkakan pemilihan sulung PPBM tidak kompetitif dan hambar tanpa saingan daripada kumpulan diketuai bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, dengan kumpulan diketuai Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin akan menguasai jawatan utama dalam pemilihan sayap Pemuda serta Wanita minggu ini.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, tiada ahli yang berani mencabar jawatan presiden dipegang Muhyiddin yang juga perdana menteri.

“Mencabar jawatan ini dianggap mencabar kewibawaan perdana menteri. Justeru cara paling selamat ialah terus bagi laluan kepada Muhyiddin untuk terus ketuai parti,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kemampuan calon tunggal timbalan presiden, Ahmad Faizal Azumu yang ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Muhyiddin.

Ini kerana katanya, jika Muhyiddin berundur secara tiba-tiba, timbalan presiden yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan parti.

“Beliau seolah-olah mendapat rezeki terpijak dan terselamat daripada pesaing politik sebenar. Jadi, apabila ini berlaku, ia tidak menguntungkan PPBM dari segi jangka panjang untuk mendapatkan calon lebih karismatik dan berwibawa.

“Sejauh mana keyakinan akar umbi PPBM sendiri dan rakyat, sekiranya beliau dicalonkan sebagai calon perdana menteri? Sudah tentu dilihat tidak muat kasut kuasa untuk diisikan kerana jurang sangat besar dengan Muhyiddin.”

Beliau berkata, jawatan naib presiden akan menjadi tumpuan pemilihan pertama PPBM, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Rashid Abdul Rahman yang menyokong Mahathir dan dianggap mempunyai kelebihan kerana berpengalaman luas dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Namun, ahli PPBM seolah-olah kurang menghargai sumbangan besar beliau kepada parti dan negara. Sekiranya Rashid kalah, ia menunjukkan ahli parti tidak mampu membezakan permata dan suasa.”

Pemilihan Pemuda dan Wanita PPBM bermula hari ini, manakala pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi dijadualkan 22 Ogos ini.

Bulan lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM mengumumkan lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding bagi beberapa jawatan tertinggi parti itu berdepan tindakan dilucutkan keahlian serta-merta kerana didapati terbabit kumpulan “Blackout” yang merupakan gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat Mahathir.

Berdasarkan semakan terkini senarai calon layak bertanding dalam pemilihan PPBM yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semalam, 389 calon dijangka merebut jawatan tertinggi parti, termasuk di peringkat Pemuda dan Wanita.

Fokus pemilihan PPBM terletak pada jawatan naib presiden yang ditandingi 17 calon, termasuk Ronald Kiandee, Md Redzuan Yusof, Rashid, Mazlan Bujang dan Radzi Md Jidin.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia menjangkakan saingan daripada kumpulan Mahathir pudar kerana ada calon dan ahli dikenakan tindakan disiplin serta dibatalkan pencalonan dan keahlian.

Katanya, tindakan penyokong Mahathir memboikot pemilihan PPBM atau keluar parti ialah kesilapan besar kerana ia menyebabkan saingan dalam pemilihan itu seolah-olah tidak wujud.

“Oleh kerana PPBM ketika ini diasak kumpulan Mahathir dari dalam dan luar parti, maka menjadi keutamaan ahli daripada kumpulan Muhyiddin tidak mengucar-kacirkan lagi keadaan.

“Sebab itu tiada pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi demi mempamerkan sokongan padu kepada presiden dan timbalannya yang juga kita tahu adalah penyokong kuat Muhyiddin.”

Beliau berkata, calon berstatus ahli Parlimen mempunyai kelebihan dalam pemilihan parti.

“Tidak syak lagi calon berstatus ahli Parlimen, lebih-lebih lagi ada jawatan menteri mempunyai kelebihan, tetapi tidak mengejutkan juga jika mereka tewas kepada calon kurang dikenali.”

Hangat!! : Pengarah penguat kuasa MBSA pula ditahan SPRM


Seorang lagi kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan ekoran dakwaan ada pihak berkuasa melindungi kegiatan haram di Sungai Buloh.

Kali ini pengarah bahagian penguat kuasa pihak berkuasa tempatan berkenaan.

BH Online melaporkan individu yang diberkas untuk membantu siasatan mengenai kegiatan judi tanpa lesen dan penjualan rokok seludup itu ialah pengarah bahagian di MBSA.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Pengarah terbabit dilaporkan ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 10 pagi tadi.

Penahanan pengarah itu menjadikan jumlah kakitangan MBSA yang diberkas untuk membantu siasatan setakat ini seramai sembilan orang.

Tangkapan itu dibuat kerana SPRM menyiasat kemungkinan ada anggota penguat kuasa memberikan perlindungan kepada kegiatan haram di kawasan Sungai Buloh.

Isu perniagaan haram di Sungai Buloh menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang disiarkan secara langsung oleh Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Difahamkan pegawai itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk membolehkan SPRM menahan reman dia mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Nik Amar mahu tampar Takiyuddin?

Selepas pengakuan Setiausaha Agung: Nik Amar mahu tampar siapa sekarang
MALAYASIA DATELINE


Selepas pengakuan Datuk Takiyuddin Hassan, Pas memulakan usaha kerjasama dengan Umno sejak 2015, aktivis politik Hazmin atau Jeming Hassan bertanya kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar siapakah yang hendak ditamparnya sekarang.

Ini kerana, dalam satu programnya bersama Muslimat Pas Kelantan beberapa tahun lalu, Nik Amar pernah berkata, beliau akan tampar mana-mana pihak dalam Pas yang terlibat mengadakan kerjasama dengan Umno.

“Sekarang Datuk Takiyuddin telah mengaku, usaha kerjasama antara Pas dan Umno sudah bermula sejak 2015 lagi.

“Saya nak tanya Nik Amar, dia nak tampar siapa sekarang,” tanya Jeming melalui videoblognya kelmarin selepas menyiarkan video ucapan Nik Amar yang akan menampar sesiapa yang terlibat dalam usaha kerjasama dengan Umno.

Jeming sebelum ini antara pihak yang dinamakan oleh Naib Presiden Pas sekarang, Idris Ahmad sebagai pemfitnah Pas nombor satu kerana mendakwa ada pakatan sulit antara Pas dengan Umno.

“Sekarang sudah terbukti melalui kenyataan Takiyuddin dan juga Dr Zuhdi yang mendakwa ia bermula sejak 2011 lagi,” kata Jeming melalui video itu.

Harakahdaily, media rasmi Pas sebelum ini telah menyiarkan berita pendedahan Takiyuddin yang dibuatnya semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Kota Bharu bahawa usaha untuk bekerjasama dengan Umno bermula pada tahun 2015 lagi.

Namun berita itu telah ditarik balik oleh Harakahdaily sehingga Jeming menamakannya bukan lagi Harakahdaily tetapi Harakahdelete.

SERUAN KEPADA AHLI PAS

Sementara itu, melalui posting di facebooknya, Jeming menyeru ahli Pas menghukum pemimpin mereka yang telah menipu dan mengkhianati perjuangan Almarhum Tok Guru Nik Aziz.

“Sebelum ini mereka menafikan kerjasama Pas Umno bahkan memperlekehkan soalan-soalan ahli bawah yang mempersoal kerjasama Pas Umno.

“Muktakhir ini, para pengkhianat perjuangan asal Pas tanpa segan silu mengaku usaha ini telah dilakukan sejak 2015 lagi atas arahan Presiden,” kata Jeming dalam posting itu.

Bagi beliau, sebagai Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin juga sepatutnya menjelaskan apakah usaha-usaha yang telah dilakukan mereka bagi menyatukan Pas Umno.

“Adakah fitnah, adu domba, khianat dan pelbagai lagi gerak saraf kotor muktamar Pas yang mengakibatkan setandang pimpinan jatuh itu juga salah satu usaha bagi menyatu Pas Umno,” tanya Jeming merujuk kepada tindakan menghalau pemimpin Pas yang tidak menyokong kerjasama dengan Umno dalam Muktamarnya pada 2015.

Takiyuddin juga, kata Jeming, perlu jelaskan, adakah usaha menyatukan Pas Umno ini juga melibatkan wang ringgit kerana mereka dapat lihat kempen terakhir Pas ketika muktamar dan kempen pilihan raya ke 14 begitu ketara Pas yang dulunya keras menentang Umno.

Pas-BN Terengganu tidak ‘sebulu’, Muafakat Nasional retak menanti belah

FAZLI RADZI

Muafakat Nasional (MN) di Terengganu ibarat retak menanti belah seperti dapat dilihat dalam pertengkaran antara bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Umno negeri dengan Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak semalam.

Ketua AMK Terengganu, Nazhan Zulkifli berkata, pergaduhan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu memberi petunjuk besar bahawa pimpinan Pas dan BN tidak ‘sebulu’ dalam MN apa lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan ADUN Kijal (Ahmad Said) mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Terengganu menunjukkan ada unsur perpecahan MN di Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, DUN Terengganu kecoh seketika apabila Dr Alias yang merupakan Exco kerajaan negeri turut bangun menempelak kembali Ahmad Said yang menyebut “Kalau nak gaduh boleh.”

Mengulas lanjut Nazhan menyifatkan Pas dan Umno seolah-olah menggadaikan nasib rakyat Terengganu dengan isu penyelewengan wang rakyat.

“Kita masih belum melupakan tragedi stadium runtuh di Stadium Sultan Mizan yang berlaku pada 2009 di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) satu ketika dahulu, selain projek mega seperti Taman Ilmu Tembila di Besut serta Kompleks Bebas Cukai di Kenyir yang sehingga sekarang masih tiada khabar berita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kes siasatan projek ‘sakit’ di Terengganu selain menyiasat juga isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Said.

“Kita tidak boleh membiarkan isu-isu rasuah dan penyelewengan wang rakyat dibiarkan terlepas begitu sahaja.

“Sidang DUN Terengganu ini menampakkan betapa ahli politik di Terengganu kini sibuk bercakaran demi kuasa dan pangkat.

“Saya bersetuju tindakan ADUN Kijal mempersoalkan pimpinan kerajaan negeri namun beliau juga sepatutnya berani mempersoalkan projek-projek ‘sakit’ yang bermasalah di Terengganu satu ketika dahulu,” bidasnya.

Pemerhati politik sebelum ini menyifatkan hubungan antara Umno dan Pas dalam MN di Terengganu bakal bergoncang jika formula pembahagian kerusi tidak memuaskan hati mana-mana pihak.

Sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini bulan lalu, kepimpinan tertinggi Umno dikatakan mendesak supaya PRU-15 diadakan segera.

Pas Terengganu pula mengeluarkan pengarahan supaya jentera pilihan raya mereka bersiap sedia menghadapi PRU-15.

INIKAH INDIVIDU ISTIMEWA LUAR TERENGGANU YANG PEGANG BERBELAS JAWATAN DALAM GLC NEGERI?

Shahbudin Husin
Dua hari lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said mempersoalkan tindakan Kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, individu yang mempunyai rekod tidak baik dan pernah dipecat turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

“Saya berasa dukacita apabila individu yang tidak mempunyai rekod yang bagus di Kelantan dan pernah dipecat tetapi hari ini mendapat gaji RM800,000 setahun iaitu kira-kira RM67,000 sebulan dengan dilantik menjadi pengerusi di sebuah syarikat, 11 pengarah dan turut menjadi penasihat.

“Seorang warga England pula dilantik menjadi pengerusi di enam buah syarikat dan pengarah di enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

“Itu masalahnya, sampai berbelas-belas bagai (jawatan). Tiada orang lainkah sehingga seorang pegang terlalu banyak syarikat.

“Hebat sangatkah dia? Mampukah tumpu kepada syarikat?

“Takkan tiada anak Terengganu yang berkemampuan,” katanya yang juga Adun Kijal ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, amalan melantik seorang individu memegang terlalu banyak syarikat tidak pernah dibuat semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

Menurutnya, paling banyak seorang individu dilantik memegang tiga jawatan dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, Ahmad menegur pengurusan tadbir korporat kerajaan negeri kerana hampir kesemua lantikan lembaga pengarah melibatkan orang politik.

“Justeru, saya harap ia dapat diperbetulkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Persoalannya, siapa individu yang dimaksudkan Ahmad Said itu?

Sebagaimana tersebar luas di media sosial, apakah mereka ini individu istimewa yang dimaksudkan beliau itu?(Shahbudindotcom 12/08/2020)

MUHYIDDIN TETAP DAFTAR PN, APAKAH UMNO DAN PAS BENAR2 TAK SERTAINYA?

Shahbudin Husin
Sebaik saja Najib Razak dijatuhi hukuman bersalah dalam kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana SRC International 28 Julai lalu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengumumkan parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional atau PN secara rasmi.

Sebaliknya, kata beliau, UMNO hanya akan bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Tindakan Zahid Hamidi itu dilihat banyak pihak sebagai tanda kekecewaan UMNO terhadap keputusan mahkamah melibatkan Najib serta kebimbangan dengan nasib dirinya yang juga berdepan lebih 80 kes, termasuk sebahagiannya sedang dalam perbicaraan.

Selepas itu, melalui pengumumam oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di laman sosialnya dua hari lalu, beliau memaklumkan, Pas turut sepakat dengan UMNO untuk tidak menyertai PN.

Katanya, keputusan bersama UMNO dan Pas itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk MN yang dihadiri kepimpinan kedua-dua parti.

Berdasarkan keengganan UMNO dan Pas menyertai PN, realitinya adalah mustahil untuk gabungan itu didaftarkan secara rasmi, meskipun Muhyiddin Yassin diketahui sangat ingin ia menjadi realiti.

Berbanding MN yang mana Bersatu turut dipelawa oleh UMNO dan Pas untuk menyertainya, Muhyiddin sebenarnya lebih selesa mendaftarkan PN dan semua parti yang bersamanya dalam kerajaan sekarang menyertainya sebagai komponen.

Ini kerana hanya melalui PN, beliau akan dianggap sebagai ketua, manakala jika Bersatu diterima sebagai ahli baru dalam MN, parti itu terpaksa berada di bawah UMNO yang lebih besar serta sudah diakui sebagai “abang besarnya”.

Sebab itu, isu penyertaan Bersatu ke dalam MN masih lagi tergantung dan tiada apa-apa perkembangan sehingga kini kerana Muhyiddin difahamkan tidak berapa selesa berada di dalamnya.

Tetapi, perkembangan terbaru memperlihatkan sementara UMNO dan Pas berpegang teguh dengan MN, soal pendaftaran PN sudah pun diuruskan dan ia kini berada di tangan RoS atau Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk menunggu kelulusannya.

Menurut Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari, pendaftaran PN telah dikemukakan kepada RoS pada minggu lalu dan keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam masa terdekat ini.

“Permohonan mendaftarkan PN secara sah sudah dihantar kepada ROS minggu lalu.

“Keputusannya dijangka diketahui dalam masa terdekat,” ujarnya ringkas.

Dalam hal ini, oleh kerana Zahid Hamidi telah memaklumkan bahawa UMNO tidak akan menyertai PN dan Jawatankuasa Induk MN turut membuat keputusan bahawa parti itu dan Pas tidak akan bersama dalam gabungan tersebut, adalah jelas usaha mendaftarkan PN adalah semata-mata usaha Muhyiddin bersama Bersatu serta Geng Azmin Ali.

Cuma, apakah pendirian UMNO dan Pas akan terus kekal tidak mahu menyertai PN setelah ia didaftarkan secara sah nanti?

Atau UMNO dan Pas melalui MN, demi untuk kekal memegang jawatan dalam kerajaan, akan menjadi sebahagian komponen PN akhirnya?

Apakah penyertaan MN ke dalam PN juga nantinya mungkin ada kaitan sama dengan tolak ansur dalam kes mahkamah Zahid Hamidi? (Shahbudindotcom 11/08/2020)

Zuhdi mengaku usaha gabung dengan Umno bermula 2011 lagi

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, langkah menyatukan kaum Melayu melalui usaha bergabung dengan Umno sebenarnya telah dilakukan sejak tahun 2011 lagi.

Bagaimanapun beliau menyalahkan dengan mendakwa ada di antara pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dahulunya berada di dalam Pas, tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

“Saya yang mengusahakan penyatuan umat Melayu sejak 2011 lagi.

“Memang ramai dalam Pas yang tak setuju masa itu termasuk yang berada dalam PAN (AMANAH) sekarang. Alhamdulillah sekarang berhasil,” kata orang kanan Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu menerusi satu komen di facebook.

Sebelum ini, Pas menafikan sekeras-kerasnya andaian yang mengatakan parti itu akan bergabung dengan parti Umno.

Pada 2015, Pas menyifatkan isu yang digembar gembur mengaitkan parti itu akan bekerjasama apatah lagi bergabung dengan Umno. Ia hanyalah impian DAP semata-mata dan bukannya impian Pas.

Malah, Pas pada 2018 sekali lagi mendakwa tuduhan berkenaan sebagai fitnah dan ianya adalah rekaan jentera Pro-DAP sejak tahun 2007 lagi untuk memberi persepsi buruk kepada mereka.

Bagaimanapun semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan usaha untuk Pas bekerjasama dengan Umno telah dimulakan sejak tahun 2015 lagi khasnya sebaik sahaja beliau jadi Setiausaha Agung parti.

Beliau berkata, Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan Pas dan Umno perlu dipertahankan sampai bila-bila sebagai benteng kekuatan orang Melayu di negara ini.

“Usaha ke arah penyatuan Melayu dimulakan sejak 2015 selepas saya diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Pas, usaha itu atas arahan Presiden,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pas Kota Bharu di Dewan Jubli Perak MPKB BRI semalam.

Sementara itu, membalas komen Mohd Zuhdi di Facebook, pengguna Helmi Amir berkata apa yang berlaku membabitkan ketidakjujuran kepada ahli.

Katanya, Pas seharusnya membahaskan usul tersebut sejak dari 2011 lagi di dalam mesyuarat khas parti agar ahli tidak bergaduh sesama mereka.

“Saya tiada masalah Pas nak bergabung dengan mana-mana entiti termasuk Umno sekalipun.

“Isu di sini, kejujuran kepada ahli. Kan molek nak bergabung dengan Umno buat mesyuarat khas membahaskan usul ini dari 2011 lagi.

“Tidaklah sesama ahli bergaduh isu ini dan pimpinan pulak nafi perkara sebenar,” tulisnya.

Parti baru Dr M dikenali parti ‘Pejuang’


Parti baru Dr Mahathir Mohamad akan dikenali sebagai “Pejuang”.

Anggota parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri mendedahkan perkara itu dalam catatan di blog, dalam gaya seakan-akan sajak, sebentar tadi.


Jika ingin tebus maruah.
Jika ingin kekal hak kita.
Pilih parti kami.
Pilih PEJUANG.

Setakat ini belum jelas sama ada ia hanya menggunakan Pejuang sebagai nama penuh atau hanya singkatan bagi perkataan tertentu.

Mahathir pada 7 Ogos lalu mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru akan berasaskan perjuangan Melayu dan pribumi, seperti Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Langkah itu diambil setelah usaha mencabar pemecatannya sebagai pengerusi Bersatu, bersama beberapa lagi anggota parlimen yang menyokongnya, di mahkamah dilihat melalui jalan sukar.

Dia, yang sekarang menjadi sebahagian daripada blok bebas di parlimen, berkata parti itu tidak akan terikat dengan PH mahupun PN.

Parti itu buat sementara waktu akan diterajui oleh Mahathir sebagai pengerusi dan bekas timbalan presiden Bersatu Mukhriz, yang juga anaknya, sebagai presiden.

Sementara itu, dalam tulisan bertajuk “Parti baharu – Pejuang”, Mahathir berkata parti itu ditubuhkan atas kesedaran bahawa rasuah akan menghancurkan bangsa dan orang Melayu.

Dia berkata parti yang ditubuhkan sebelum ini, iaitu Bersatu, “telah dirampas untuk selamatkan musuh kita”.

“(Bersatu) ditubuh untuk hapuskan kleptokrat. Sekarang beralih untuk selamat kleptokrat,” katanya.

'Bagaimana tahanan bergari boleh jatuh hingga maut di mahkamah?'

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan dalam Tahanan (Edict) meminta polis menjelaskan bagaimana insiden seorang tahanan yang bergari boleh terjatuh sehingga maut di Kompleks Mahkamah Georgetown.

"Kami menerima laporan bahawa Wong Kok Leong, 30, ditemui mati dengan tangan bergari setelah jatuh dari tingkat atas kompleks mahkamah pagi semalam," kata jurucakap Edict kepada Malaysiakini.

"Sangat mengejutkan seseorang yang masih digari ditemui mati setelah jatuh dari tingkat atas mahkamah, yang seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi tahanan.

"Kematian seperti ini telah menjadi kebiasaan. Edict sangat bimbang terhadap trend kematian seperti ini tanpa campur tangan pihak berkuasa," tegasnya.

Edict berkata ia juga dimaklumkan mengenai kes kedua melibatkan kematian seorang tahanan Indonesia di Penjara Sungai Buloh.

"Banduan itu dikatakan mengadu sakit perut akibat keracunan makanan pada bulan Jun dan meninggal dunia selepas itu tetapi kes itu hanya diketahui oleh Edict semalam ketika rakan sekerjanya menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan dalam menyiasat kes tersebut," jelasnya.

Edict berkata, polis belum mengeluarkan kenyataan mengenai kedua-dua kematian tersebut dan menggesa inkues ditubuhkan bagi melakukan siasatan seperti yang terkandung dalam seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

"Pihak yang terlibat tidak mesti hanya berpuas hati dengan siasatan polis sahaja," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai polis Pulau Pinang dan Penjara Sungai Buloh untuk mendapatkan reaksi berhubung kematian tersebut.

Lebai ni jadi ‘garang’ terhadap pendakwah selepas terajui YADIM

Nasrudin jadi ‘garang’ terhadap pendakwah selepas terajui YADIM
USTAZ MOHD FAKRULRAZI MOHD MOKHTAR


Kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan bahawa pendakwah yang aktif di media sosial perlu mendapatkan tauliah adalah kenyataan dangkal dan mengelirukan.

Kenyataan beliau menunjukkan ‘warna sebenar’ beliau dalam dunia dakwah Islamiyyah, bahawa beliau bukan mahu memudahkan para pendakwah atau membantu mengembangkan dakwah, sebaliknya lebih menyekat dakwah golongan yang bukan senada dan seangkatan dengannya.

Apa yang dikesalkan kenyataan itu terbit dari mulutnya sendiri selepas memegang teraju sebagai Yang Di Pertua YADIM. Kerana terlalu mahu menjaga kedudukan dan periuk nasinya, beliau tergamak bertukar menjadi ‘garang’ dan tegas terhadap para pendakwah terutama di ruang media sosial sehingga meminta pendakwah di media sosial untuk mendapatkan tauliah.

Sedangkan sepatutnya YADIM sebagai sebuah agensi yang memudahkan para pendakwah, memberi galakan dan dorongan kepada semua umat Islam berdakwah lebih lagi melalui ruang media sosial, bukan meletakkan syarat mendapatkan tauliah.

Beliau sepatutnya berfikir bagaimana dapat memudahkan tauliah kepada semua pendakwah supaya mesej Islam dapat disebarkan seluas mungkin di bumi Malaysia ini.

Isu tauliah bagi pendakwah menyampaikan pengisian di masjid dan surau seluruh negara tidak dipertikaikan. Namun, sebagai umat Islam terlebih lagi pengguna media sosial, semua umat Islam bertanggungjawab menyebarkan dakwah tidak kira siapa mereka, sama ada mendapat tauliah ataupun tidak.

Lebih lagi dalam keadaan fitnah yang sangat besar pada hari ini, di mana terlalu banyak kebatilan, penipuan, fitnah dan kemungkaran disebarkan dengan cepat melalui media sosial.

Justeru, bagi umat Islam yang prihatin, mereka bertanggungjawab menyampaikan Islam, memberi nasihat, pandangan mahupun teguran berdasarkan kepada dalil Al Quran dan Hadis.

Media sosial adalah ruang terbaik buat umat Islam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Ia terbukti berkesan, cepat dan menyeluruh kerana majoriti masyarakat adalah sebagai pengguna media sosial.

Pelbagai mesej yang baik dapat disampaikan dengan media sosial, selain teguran dan nasihat-menasihati kepada golongan yang jahil dan lupa. Ustaz Nasrudin sendiri adalah pengguna media sosial yang aktif dan kerap mengirimkan penulisannya sebagai bahan bacaan masyarakat.

Tiada siapa pertikai sama ada beliau mendapat tauliah atau tidak sebelum ini sehinggalah beliau sendiri yang membangkitkannya terhadap orang lain.

Saya yakin Ustaz Nasrudin bukan jahil memahami bahawa berdakwah bukan hanya terletak di batu jemala para asatizah, ulamak dan para mufti semata-mata. Sesiapa juga yang mempunyai kesedaran dan pemikiran Islam, wajib turun berdakwah dalam apa juga cara dan keadaan melalui syariat Islam yang betul dan niat yang ikhlas kerana Allah.

Daripada berceramah di pentas pidato, di mimbar masjid, sebagai penulis buku, pengarang puisi, pengarah filem, teater dan drama, pelakon dan penyanyi, penulis di media sosial sehinggalah kepada mereka yang hanya mampu melekat poster, memacak bendera, menyusun kerusi meja.

Bukankah perkataan ini yang beliau selalu lontarkan dalam ceramah dan program dalaman bersama ahli Pas suatu ketika dahulu?

Semua mengetahui bahawa dakwah yang disampaikan mestilah benar dan jujur melalui sumber yang sahih dan bukan palsu atau fitnah. Pendakwah jangan menyeleweng dari aliran selain dari Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak mengajak kepada perpecahan, jangan ada permusuhan, benci-membenci sehingga berdendam sesama umat Islam.

Selain itu, para pendakwah perlu mempunyai pengetahuan mengenai sesuatu yang ingin disampaikan, bukan hanya menyebar sebarang berita yang tidak diketahuinya.

Dalam soal ini, ia berkait dengan sumber penyampaian maklumat dakwah, dan bukan faktor kelayakan akademiknya atau tauliah yang diperolehinya.

Apakah Nasrudin bersetuju agar mereka yang tidak memiliki tauliah supaya hanya berdiam diri dengan membiarkan kemungkaran dan penipuan berleluasa di media sosial dalam keadaan mereka mengetahui, sedar dan faham?

Bukankah implikasi dari kenyataan beliau itu bahawa hanya pihak yang memiliki tauliah sahaja boleh menulis di media sosial, manakala sebahagian besar umat Islam tidak mengambil peduli soal agama, rakyat dan negara kerana tidak memiliki tauliah seperti yang beliau maksudkan.

Jika ini berlaku, malang bagi Pas dan umat Islam yang memiliki pemimpin seperti Nasrudin Hassan. Kasihan pula pada YADIM mendapat pemimpin yang mundur seribu langkah ke belakang, masih memikir dan berbahas soal remeh temeh, isu teknikal dan kecil tetapi terlepas pandang mengenai wawasan dakwah yang luas menanti di hadapan.

*Penulis merupakan Ahli Dewan Negeri Meru, Selangor.

Tiada siapa peduli Azmin, Zuraida di Sabah, kata penganalisis

Willie Jude
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berkata, “tiada siapa” peduli kehadiran Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, susulan lawatan kerja 2 menteri persekutuan itu ke Sabah baru-baru ini.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara Sabah, Rahezzal Shah Abd Karim berkata, kehadiran 2 bekas pemimpin PKR itu tidak memberi impak kepada keadaan politik di Sabah atau kelebihan kepada mana-mana pihak.

“Ini kerana, kita pun tidak pasti mereka kini bersama PPBM atau apa status mereka sekarang?” katanya kepada FMT berhubung pertemuan Azmin dengan pemimpin tertinggi PPBM Sabah hujung minggu lalu.

Rahezzal berkata, Azmin atau Zuraida bukan pemimpin politik yang mempunyai nama besar di Sabah dan jika kehadiran mereka bertujuan meraih undi, ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Kita tahu dia (Azmin) pernah datang ke Sabah berkempen untuk PH (Pakatan Harapan) pada Pilihan Raya Kecil Kimanis dulu, tetapi mereka tidak menarik tumpuan.

“Kebanyakan orang yang hadir ketika beliau berkempen dulu hanyalah penyokong setianya, selain sudah pasti kerana jawatannya sebagai menteri, itu saja.

“Bagi saya, tiada yang ambil peduli dengan kehadiran mereka (di Sabah), walaupun mereka terlibat dalam langkah Sheraton sebelum ini, tidak ramai orang Sabah yang tahu pasal mereka.

“Rakyat mungkin tahu Azmin adalah salah seorang yang memainkan peranan dalam langkah Sheraton, tetapi secara amnya di Sabah, saya fikir orang tidak begitu peduli dengan kehadirannya di sini.”

Sementara itu, pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung sependapat kehadiran Azmin dan Zuraida tidak memberi impak di Sabah.

“Kita tidak dapat nafikan dengan PRN yang bakal berlangsung, ramai pemimpin politik dari Semenanjung akan datang ke Sabah untuk membantu rakan-rakan mereka berkempen.

”Namun, apa yang saya khuatiri ialah PRN Sabah akan menjadi percakaran politik Semenanjung di sini, walhal sepatutnya isu-isu prioriti Sabah yang harus dijadikan keutamaan ataupun fokus kepada PRN negeri ini nanti.

”Agenda politik Semenanjung haruslah dibiarkan di seberang laut sana dan isu-isu setempat atau Sabah, khususnya hak Sabah dan pembangunan sosio ekonomi negeri ini yang seharusnya menjadi fokus PRN kali ini.”

Katanya, dari segi populariti di Sabah, Azmin dan Zuraida jauh ketinggalan berbanding pemimpin besar lain.

“Kalau ‘Bossku’ (Najib Razak) lain sikit sebab dia berpengaruh di media sosial, apatah lagi kebelakangan ini dia sudah mula berkempen untuk PRN Sabah menerusi platform media sosial, itulah yang membezakannya dengan Azmin serta Zuraida.”

Siapa Zarul Ahmad - Individu utama kes rasuah Guan Eng


Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini dikenakan tuduhan rasuah kedua. Selain Lim, satu lagi nama yang sering dikaitkan dengan kes ini ialah Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Zarul mendapat perhatian selepas menjadi wajah umum kepada sebuah konsortium yang pada tahun 2013 diberikan peranan untuk melaksanakan projek infrastruktur besar-besaran, iaitu tiga lebuh raya bahagian pulau di Pulau Pinang dan terowong bawah laut di seberang Selat Pulau Pinang.

Sebelum itu, ahli Umno berusia 60 tahun itu dikenali sebagai tokoh korporat yang mempunyai hubungan baik yang bermula sebagai setiausaha syarikat dan kemudiannya terlibat dengan pelbagai syarikat, daripada IT sehinggalah pembinaan.

Melalui hubungan Zarul juga, Beijing Urban Construction Group Co Ltd (BUCG) yang berpangkalan di China dibawa masuk untuk menjadi sebahagian daripada konsortium yang memenangi kontrak projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion pada tahun 2013. Projek ini pada awalnya dianggarkan bernilai RM8 bilion.

Konsortium berkenaan, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, terdiri daripada Zenith Construction Sdn Bhd yang diterajui Zarul, BUCG, Juteras Sdn Bhd, dan Sri Tinggi Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, BUCG dikeluarkan daripada projek itu pada tahun 2016, dikatakan berpunca daripada kejadian yang tidak berkaitan di Kuala Lumpur, di mana sebuah kren yang dikendalikan oleh syarikat itu jatuh dan menghempap seorang wanita di dalam keretanya.

BUCG kemudiannya dikeluarkan dari nama konsortium.

Projek di Pulau Pinang itu menghadapi pelbagai bantahan sejak awal lagi, melibatkan pelbagai isu, daripada kebimbangan mengenai masalah alam sekitar sehinggalah isu kestabilan kewangan, tetapi peranan Zarul yang paling menonjol muncul pada tahun 2016.

Cadangan pembinaan terowong bawah laut dan tiga lebuh raya tersebut menjadi senjata politik BN untuk menyerang projek itu, manakala Zarul sebagai pengerusi konsortium, berada di barisan depan untuk mempertahankan inisiatif berkenaan.

Pada Januari 2018, SPRM melakukan beberapa serbuan berkaitan projek tersebut dan Zarul ditangkap dan direman selama 11 hari. Sehingga kini tidak ada tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Zarul (gambar) meminta wang dikembalikan selepas penangkapan itu.

Selanjutnya, dilaporkan Zarul telah meminta pertolongan untuk mempengaruhi anggota kerajaan persekutuan BN ketika itu supaya menggugurkan kes tersebut.

Zarul didakwa membayar RM19 juta kepada seorang "Datuk Seri" yang kononnya mendakwa dia mempunyai hubungan dengan anggota kanan kerajaan BN pada masa itu yang boleh menghentikan tindakan SPRM.

Zarul juga didakwa membayar RM3 juta lagi kepada seorang "Datuk" untuk menggunakan hubungannya dengan seorang ahli parlimen kerajaan untuk tujuan yang sama.

Kedua-dua insiden itu terbongkar apabila Zarul pada 24 Februari 2018 - sebulan selepas penangkapannya - mengeluarkan surat tuntutan melalui konsortiumnya, meminta wang itu dikembalikan setelah mereka nampaknya gagal mendapat kesepakatan dalam 'tawar-menawar' yang dibuat. Wang itu disebut sebagai "yuran perundingan".

Zarul percaya "Datuk" itu ialah wakil kepada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim dan oleh itu mengarahkan surat tuntutan itu kepadanya.

Abdul Azeez menafikan isi surat tuntutan Zarul dan membuat laporan polis.

Menurut Azeez, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd kemudian menarik balik surat tuntutan itu dan meminta maaf. Syarikat itu bagaimanapun tidak memberi sebarang komen.

Sementara itu, seorang "Datuk Seri" yang juga ahli perniagaan berusia 39 tahun, G Gnanaraja, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada bulan April 2019 kerana didakwa menipu Zarul mendakwa dirinya mempunyai hubungan politik untuk membuat SPRM menutup kes tersebut dengan bayaran RM19 juta.

Zarul, pada bulan Julai 2018, mengaku melakukan pembayaran itu tetapi mendakwa dia berbuat demikian kerana diugut.

'Pistol diacu ke kepala saya'

"Mereka meletakkan pistol ke kepala saya. Jika kami tidak bayar, kami akan dapat masalah.

"Semasa kerajaan lalu, ketika orang membuat ugutan, anda menganggapnya serius, kerana anda tidak tahu apakah perkara yang akan berlaku kepada anda atau tidak, jika itu benar atau tidak, ia berbeza ketika itu.

"Saya menganggapnya serius. Bagi saya, saya hanya mahu meneruskan perniagaan saya. Saya tidak mempunyai niat atau minat untuk menjadi sebahagian daripada sengketa politik," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini, dua bulan selepas kerajaan PH mengambil alih pentadbiran persekutuan daripada BN.

Zarul berkata, dia akhirnya membuat laporan SPRM mengenai pembayaran tersebut.

Kerajaan PH runtuh pada Februari selepas 22 bulan memerintah negara dan digantikan kerajaan PN.

Meneliti perkembangan semasa, di bawah kerajaan baru PN, kemungkinan besar Zarul akan menjadi saksi utama dalam kes rasuah Lim.

Lim, yang berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang dari 2013 ke 2018 dan sebagai menteri kewangan dari 2018 ke Februari tahun ini, pada Jumaat lalu (7 Ogos) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan dari Zarul sebanyak 10 peratus keuntungan yang akan dibuat projek infrastruktur di Pulau Pinang itu kerana membantu mendapatkan kontrak.

Hari ini (10 Ogos), Lim dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan rasuah sebanyak RM3.3 juta kerana dikatakan membantu syarikat Zarul menjalankan projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Kertas pertuduhan itu tidak menyatakan sifat suapan RM3.3 juta yang didakwa, tetapi pihak pendakwaan, yang memohon untuk memindahkan pertuduhan kedua ke Kuala Lumpur supaya dapat dibicarakan dengan pertuduhan pertama, memberikan beberapa butiran.

Pihak pendakwaan mengatakan rasuah itu didakwa dibayar secara berperingkat, di beberapa tempat antaranya dilakukan di Lembah Klang.

Tuduhan pertama di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan, manakala pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 23 undang-undang sama yang membawa hukuman serupa.

Lim, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, dijangka akan dituduh dengan pertuduhan ketiga esok tetapi butiran lanjut masih belum tersedia.

Projek infrastruktur yang dirancang merangkumi:

Expressway Bypass Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km.
Expressway Tanjung Bungah-Teluk Bahang sepanjang 10.53 km.
Expressway Bypass Gurney Drive-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075km.
Terowong menghubungkan Gurney Drive dan Bagan Ajam sepanjang 7.2km.
Projek di atas menelan anggaran RM5.49 bilion manakala kajian kebolehlaksanaan akan menelan belanja RM305 juta dan RM546 juta untuk pengambilan tanah, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar RM6.341 bilion.

Kerja-kerja awal telah dimulakan di lebuh raya tetapi pembinaan terowong itu dijangka akan bermula pada tahun 2023.

Wakil Rakyat Pas Terengganu didakwa minta rasuah RM500,000

SITI NUR ZAWANI MISCON
Seorang pemimpin Pas di Terengganu dilaporkan terlibat dengan rasuah apabila didakwa meminta ‘wang imbuhan’ berjumlah RM500,000 sebagai syarat untuk meluluskan sebuah projek pasir di negeri itu.

Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah dalam hantaran Facebooknya semalam mendakwa, beliau mempunyai bukti membabitkan pemimpin Pas itu dan akan mendedahkan bukti tersebut dalam masa terdekat jika netizen ingin melihatnya.

“Siapa nak tengok bukti lebai Pas minta RM500,000 untuk lulus projek pasir di Terengganu?

“100 komen ‘Ya’ aku akan buka cerita,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Khuzaifah yang juga Pengarah Urusan KZ Management Advisory Sdn Bhd berkata, pemimpin Pas berkenaan telah meminta RM200,000 sebagai wang pendahuluan dan RM300,000 lagi selepas surat kelulusan dikeluarkan.

“Lebai minta RM500,000 sebagai imbuhan.

“RM200,000 pendahuluan dan RM300,000 selepas surat kelulusan. Cepat komen di post di bawah untuk anda lihat sendiri buktinya nanti,” katanya.

Memetik Terengganu Fokus, sumber mendakwa pemimpin Pas tersebut ialah seorang wakil rakyat Kemaman.

Terdahulu, satu tangkap layar perbualan melalui aplikasi Whatsapp tersebar di media sosial antara individu bernama Nurul Islam dan seorang individu yang tidak dikenali.

Menurut Terengganu Fokus, perbualan tersebut membabitkan seorang aktivis Pemuda Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang memegang jawatan lantikan politik dalam GLC di Terengganu, yang menjadi perantaraan wakil rakyat berkenaan untuk meminta wang imbuhan.

“YB setuju buat agreement (persetujuan) tapi yb minta 200k dulu sebelum lulus”, tulis Nurul Islam dipetik dari tangkap layar tersebut.

Perbualan tersebut dilaporkan bertarikh antara 3 Oktober 2019 hingga 9 Oktober 2019.

AMANAH cadang bubar sahaja Pas

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional Khalid Abdul Samad, menyindir bahawa Pas boleh sahaja membubarkan parti mereka dan menyertai Umno, jika mereka mahu mengurangkan jumlah parti Melayu.

Ia susulan kekhuatiran Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, yang mendakwa penubuhan parti Melayu di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus memecah belahkan Melayu.

Tambah pula Khalid berkata, tiada beza lagi antara Umno dan Pas oleh kerana mereka bekerjasama dengan baik termasuklah menerima isu-isu besar seperti rasuah dan salahguna kuasa.

“Kalau dilihat masalah serius, harap Pas berkorban.

“Pas boleh sahaja bubar dan bersama Umno. Kurangkan balik jumlah parti Melayu.

“Lagipun tak nampak dah apa-apa perbezaan sekarang. Perkauman ok, rasuah ok, salah guna kuasa ok. Nama je beza. Semua boleh bertaubat kemudian,” sindirnya dalam satu ciapan Twitternya hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin mendakwa, pengalaman beliau bersama Tun Mahathir, menyaksikan bekas Perdana Menteri itu seringkali menimbulkan isu perpecahan orang Melayu.

Katanya, bekas Pengerusi Bersatu itu mempunyai pengikut sendiri dan kemungkinan akan menyebabkan Melayu semakin berpecah.

PENGSANLAH MUHYIDDIN…ASYRAF WAJDI SAHKAN PAS IKUT UMNO TIDAK SERTAI PN

Shahbudin Husin
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi pihak PAS nafi mengeluarkan surat menyatakan sokongan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) secara sah mengikut undang-undang, seperti yang diviralkan pihak tertentu di media sosial.

Yang pasti ada pihak yang cuba sedaya upaya untuk mengeruhkan hubungan antara UMNO dan PAS dengan sengaja mengeluarkan dan menyebarkan surat palsu tersebut.

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional Khamis lalu, kepimpinan kedua-dua parti UMNO dan PAS sepakat untuk tidak menyertai sebagai komponen kepada PERIKATAN NASIONAL, sekiranya PPBM mahu mendaftarkannya secara rasmi sebagai sebuah parti politik.

Ada juga video tular ucapan calon Ketua Pemuda Armada PPBM yang mendakwa PAS juga sudah bersetuju untuk bertanding atas logo PN yang kononnya bewarna biru gelap, sedangkan PN sehingga sekarangpun belum berdaftar.

Apa-apapun pendirian UMNO jelas TIDAK AKAN MENYERTAI PERIKATAN NASIONAL sebagai komponen parti sekiranya mahu didaftarkan.

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Ketua Pemuda UMNO Malaysia

(Dipetik Daripada Laman FB Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)

Kerajaan PN didakwa sembunyi kes kehilangan dana 1MDB RM14.64 bilion

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kes kehilangan dana 1MDB sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.64 bilion) yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan dana negara Abu Dhabi, dilaporkan telah ditangguhkan secara senyap-senyap oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Sarawak Report mendedahkan, selepas pembebasan Riza Abdul Aziz (anak tiri Najib Razak), Musa Aman, dan Goldman Sachs, kini dakwaan terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) pula ditangguhkan.

Ia dipercayai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk memilih perjanjian rundingan yang ‘selesa’ sebagai gantinya.

“Ini adalah petunjuk yang paling jelas bahawa ‘agensi’ itu telah menggunakan kudeta pintu belakang Malaysia untuk satu tujuan utama, iaitu menarik pemain utama dan memulihkan cengkaman perniagaan kartel Umno dan elit istimewa yang mendapat keuntungan dari sogokan dan konsesi.

“Yang rugi, sekali lagi, ialah rakyat yang telah menyaksikan sebuah kerajaan yang dipilih ditumbangkan oleh rasuah, bayaran tunai dan taktik ganas yang disokong kumpulan yang mempunyai kepentingan bersama dengan China,” lapor portal berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, syarikat IPIC telah berhutang dengan 1MDB seperti yang didakwa Najib Razak.

Menerusi hantaran Facebook pada November 2018, Najib berkata penyelesaian IPIC dengan 1MDB yang tidak didedahkan kepada umum menunjukkan firma berpengkalan di Abu Dhabi itu sepatutnya membayar dana yang didakwa hilang menjelang tahun 2020.

“Ini ialah kerana IPIC yang hutang pada kita dan bukan sebaliknya,” katanya.

Najib berkata, dana sebanyak AS$3.5 bilion itu sepatutnya dibayar kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS.

Bagaimanapun, firma Abu Dhabi itu mendakwa ia tidak pernah menerima wang tersebut.

Berduyun-duyun keluar Bersatu, terbaru Abu Hafiz

FAZLI RADZI
Selepas Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeram yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa semalam, Abu Hafiz Salleh Hudin juga berbuat demikian.

Pengumuman bekas Ketua Armada Bahagian Wangsa Maju dan juga Exco Armada Nasional itu mengikut langkah 21 ahli jawatankuasa bahagian, ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu di Kuala Selangor.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Abu Hafiz berkata, beliau telah menyerahkan bendera dan pemberitahuan rasmi statusnya sebagai bekas Ketua ARMADA Bahagian Wangsa Maju.

” Terima kasih juga saya ucapkan kepada Datuk Dr. Rais Hussin yang bertanggungjawab meyakinkan dan menguruskan keahlian saya sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu serta menjadi pengalaman pertama saya berpolitik kepartian.

“InshaAllah langkah politik baru bersama YB Ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kepimpinan lain akan menyusul dengan penuh harapan serta doa tawakkal kepada Allah SWT,” katanya.

Berkuatkuasa 6 Ogos lalu pula, tokoh wartawan A Kadir Jasin yang juga bekas ahli majlis tertinggi Bersatu turut mengucapkan selamat tinggal kepada parti itu.

Langkah berduyun-duyun ahli Bersatu meninggalkan parti tersebut selepas Tun Dr Mahatdir memberitahu akan menubuhkan satu lagi parti.

Menurutnya, parti tersebut akan berasaskan perjuangan untuk orang Melayu dan peribumi seperti Bersatu yang ditubuhkannya sebelum ini.

Abah di telanjang kan?

Tamrin Tun Ghafar

Sabtu – 08/08/2020

( 1 – 36 )

1. “Sejak kalah Pilihanraya Umum ke14 yang lalu UMNO dan PAS mula mengamalkan pendekatan politik ekstrem atau politik keterlaluan – UMNO menggunakan politik perkauman dan PAS pula menggunakan Islam sebagai senjata BAGI MENDAPATKAN SEMULA sokongan orang Melayu.

2. “Saya dan Shafie Apdal digugurkan dari Kabinet dan dipecat sebagai Ahli UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO kerana membangkitkan isu 1MDB.

3. “Berani saya katakan Najib dan dan penyokong – penyokong TELAH MEROMPAK hak rakyat dan Negara sedangkan PAS pula MENYOKONG perompak – perompak tersebut – INI ISLAM APA ?

4. “Orang Melayu tidak boleh ditipu lagi; MEREKA SUDAH KENAL SIAPA UMNO DAN SIAPA PAS”.

5. “PERCAYALAH SAYA TIDAK AKAN SEKALI – KALI BERSAMA UMNO LAGI”.

6. Itu adalah beberapa sedutan ucapan yang diluahkan Muhyiddin bagi menunjukkan KEBENCIAN beliau terhadap UMNO dan PAS tidak lama dulu.

7. Apakah beliau langsung tidak berfikir sebelum mengeluarkan kata – kata tersebut atau setakat seronok – seronok sahaja untuk dendangan umum?

8. Beranikah beliau MENAFIKAN dengan melakukan SUMPAH LAKNAT seperti yang dilakukan oleh Najib di Masjid dan di dalam Mahkamah bahawa segala yang ditulis diatas adalah FITNAH bagi tujuan memburukkan watak ‘WARAK atau ALIM’ beliau?

9. Jika BERSUMPAH LAKNAT itu tidak baik dari sisi Islam , apakah beliau SANGGUP MENYAMAN atau MEMBAWA saya ke Mahkamah bagi membersihkan diri?

10. Saya tidak mahu menyentuh apa yang dilakukannya semasa di Johor selaku Menteri Besar atau isu peribadi yang melibatkan isteri orang sehingga kes tersebut dilaporkan ke Pejabat Agama Islam WP.

11. Sebenarnya perasaan BENCI beliau meluap – luap di dalam dada setelah dimaki hamun, diperlekeh, dihina dan dipijak – pijak oleh UMNO ; beliau dilayani seperti anjing kurap sehingga tiada parti yang mahu terima beliau kecuali Tun Mahathir melalui DEKLARASI RAKYAT yang kemudiannya menubuhkan Parti BERSATU.

12. Sejarah amalan dan sifat semulajadi politik beliau ‘TIKAM BELAKANG’ atau ‘MENGGIGIT TANGAN YANG MEMBERI MAKAN’ bermula apabila beliau berjaya menumbangkan Osman Saad ( Alfatihah ) , Menteri Besar Johor dan Ketua UMNO Bahagian Pagoh sedangkan Osmanlah yang mendidik beliau sehingga diangkat sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian tersebut.

13. Dendam beliau terhadap Mahathir bermula setelah Mahathir mengajak Perwakilan UMNO MENOLAK mereka yang MEMBELI UNDI atau yang mengamalkan POLITIK WANG; ekoran saranan itu Muhyiddin kalah sebagai calon Naib Presiden UMNO.

14. Kenyataan beliau di Singapura adalah pukulan terakhir atau ‘ the last straw’ yang menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

15. Apabila Najib naik menggantikan Abdullah, Muhyiddin naik pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

16. Peluang beliau menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri ekoran isu 1MDB TERBANTUT apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Ahli UMNO.

17. Kebencian beliau terhadap Tun bertambah lagi apabila Tun tidak melantik beliau sebagai MENTERI KEWANGAN yang diidamkan-idamkannya.

18. Perancangan beliau membalas dendam terhadap Tun akhirnya berjaya apabila MUSUH KETATNYA, UMNO dan PAS dan beberapa Ahli Parlimen lain berjaya MENUMBANGKAN Tun.

19. TANPA SOKONGAN UMNO dan PAS perancangan beliau PASTI TIDAK AKAN KESAMPAIAN; inilah SUMBANGAN BESAR UMNO dan PAS kepada beliau.

20. Cakap – cakap KONONNYA beliau tidak berminat malah telah DIPAKSA mengamblih alih jawatan Perdana Menteri ke 8 itu adalah satu gimik politik atau dalam perkataan lain satu PEMBOHONGAN belaka.

21. Oleh kerana terlalu seronok, tanpa menghiraukan kehadiran beberapa orang Menteri di rumahnya, beliau dengan menggengam tangan ( fist ) dengan BANGGA menyatakan “AT LAST I MANAGED TO BRING HIM DOWN SINGLE HANDEDLY atau AKHIRNYA BERJAYA MENUMBANGKAN TUN MAHATHIR ‘SINGLE HANDEDLY’.

22. Tanpa disedari, beliau mempunyai SPLIT PERSONALITY atau DUA WAJAH YANG BERLAINAN – beliau menampakkan atau mempamerkan wajah ‘SEJUK’ dan ‘ALIM’ bagaikan ‘PIJAK SEMUT TAK MATI’ seorang yang boleh diharap dan dipercayai; bagi mencapai maksud tersebut stesen-stesen TV digalakkan mengulang tayang berkali-kali ‘BACAAN DOA’ beliau.

23. Beliau akan lakukan apa saja termasuk ‘’memancung’ sesiapa yang tidak sebulu atau yang cuba menghalang ‘nafsunya’.

24. PERCAYALAH,!selepas Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, beliau dan beberapa orang kepercayaannya sedang menunggu giliran Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin UMNO lain ke Penjara Sungai Buloh; beliau akan pastikan Mat Hassan TIDAK akan dapat jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri kerana ‘nafsu’ beliau itu.

25. Bagi mengekalkan kedudukan, beliau akan lakukan apa sahaja TERMASUK MENJILAT LUDAH DAN MUNTAHNYA SENDIRI sehingga sanggup MEMBAWA Parti BERSATU dalam Gabungan Muafakat Nasional yang terdiri dari UMNO dan PAS; beliau TIDAK PEDULI dengan janji awalnya yang TIDAK AKAN BERSAMA UMNO dan PAS lagi.

26. Pemimpin – Pemimpin UMNO HARUS BERWASPADA terhadap ‘ULAR KEPALA DUA’ ini.

27. Sesiapa sahaja yang tidak menyokongnya, beliau AKAN cari jalan menjatuh dan menggantikan mereka dengan ‘ORANG SURUHANNYA’.

28. Perkara ini sedang berlaku di Sabah apabila Parti Warisan yang dipimpin oleh Shafie Apdal, Ketua Menteri ENGGAN MENYOKONG beliau.

29. Musa Aman yang TERPAKSA berubat di London dan menggunakan tongkat dan dibebaskan pula dari SEMUA TUDUHAN MAHKAMAH tiba – tiba sihat dan tak perlu bertongkat lagi kini begitu bersemangat apabila MENDAPAT RESTU Muhyiddin.

30. Kehendak Muhyiddin diperkuatkan lagi apabila Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agong BERSATU yang baru dilantik dan Nardin Awang, Setiausaha Politik Muhyiddin mengadap TYT Yang Di Pertua Sabah.

31. Kehadiran kedua – dua orang ‘SURUHAN’ Muhyiddin itu adalah petanda atau bukti jelas hasrat campur tangan beliau dalam Politik dan Pentadbiran Negeri Sabah itu sendiri.

32. Malangnya NIAT JAHAT beliau TIDAK KESAMPIAN apabila TYT Yang Di Pertua Sabah BERSETUJU membubarkan Dewan Negeri dengan memulangkan semula kuasa penentu kepada rakyat Sabah.

33. Yang menjadi tanda tanya bagaimana polis yang di bawah kelolaan Kementerian Dalam Negari dimana Hamzah Menterinya TIDAK MEMBENARKAN rombongan Musa menghadap TYT Yang Di Pertua TIDAK BEBERAPA LAMA selepas itu?

34. Seperti biasa Muhyiddin akan menampilkan imaj ‘SEJUK’ dan ‘ALIM’ nya seolah – olah beliau TIDAK TERLIBAT dengan rancangan jahatnya itu.

35. Kepada mereka yang terlalu TAKSUB atau yang MEMENTINGKAN PANGKAT dan IMBUHAN TANPA MEMPEDULIKAN PERINTAH ALLAH sama ada sebagai Menteri, Timbalan dan Pengerusi – Pengerusi GLC, anda boleh bergembira di dunia ini namun INGATLAH SERUAN ALLAH SWT, anda semua TIDAK BOLEH LARI dari dipersoalkan di Akhirat kelak.

36. BALIKLAH KE PANGKAL JALAN SEBELUM TERLEWAT.

Wassalam

Terima Kasih.

'Bersatu Johor panas, ahli memberontak mahu sertai parti Dr M'

Annabelle Lee & Zikri Kamarulzaman

Situasi Bersatu Johor dikatakan panas dengan pemberontakan di kalangan ahli-ahlinya, menurut sumber.

Bahkan bahagian presiden parti Muhyiddin Yassin di Pagoh juga, kata sumber lagi mungkin tidak selamat dari penghijrahan ahli-ahlinya ke dalam parti baru Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun parti baru itu masih belum mempunyai nama lagi, seorang Adun kanan Bersatu Johor memberitahu Malaysiakini terdapat minat yang sangat besar untuk menyertainya.

"Walaupun parti itu belum wujud. Perasaan nak sertai parti itu khususnya daripada ahli-ahli Bersatu nampak agak menyerlah juga lah," kata wakil rakyat yang enggan namanya disiarkan itu.

Sebelum ini, ketika krisis "langkah Sheraton" sedang memuncak, 19 daripada 26 bahagian Bersatu Johor telah menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir setelah Muhyiddin dilaporkan memberi lampu hijau terhadap rampasan kuasa di negeri itu.

Tidak jelas jika kesetiaan ini masih tetap sama memandangkan pemimpin negeri kem Mahathir Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang pada ketika itu kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri PN.

Tidak lama selepas PN mengambil alih negeri ini, terdapat perbezaan pendapat di dalam Bersatu Johor dengan beberapa pemimpin tidak senang diketepikan oleh Umno dalam kerajaan negeri yang baru.

Suatu rampasan kuasa dilaporkan dirancang, namun dihentikan oleh Sultan Johor Sultan Iskandar yang bertitah memberi amaran untuk membubarkan DUN sekiranya berlaku perebutan kuasa.

Disoal sekiranya parti baru itu telah mencetuskan rundingan baru, sumber PH Johor berkata muncul desas-desus bahawa Adun Bersatu akan menyertai parti baru Dr Mahathir.

Beliau berkata hal tersebut akan tampak lebih jelas semasa pilihan raya kecil Slim di Perak, yang akan ditandingi oleh kem Mahathir.

Setakat ini parti baru Mahathir mendapat sokongan dua ahli parlimen Johor, mereka ialah Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang telah disingkirkan daripada Bersatu bersama-sama Mahathir, belum menyatakan pendiriannya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang "akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi" sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini tetapi tidak terikat menyokong PN atau PH.

Menjelaskan asas perjuangan parti politik baru yang belum dinamakan itu, Dr Mahathir berkata matlamatnya masih bertujuan "menghapus rasuah dan kleptokrasi."

Shahruddin ketika dihubungi hari ini berkata beliau yakin ramai ahli akar umbi Bersatu di Johor akan menukar keanggotaannya menyertai parti baru itu.

"60 ke 70 peratus akan berhijrah. Terutama ahli-ahli tanpa jawatan dalam bahagian," kata MP Sri Gading itu.

Shahruddin sebelum ini ialah timbalan menteri kerajaan PN dan merupakan orang kuat Muhyiddin di Pagoh selama lebih dari dua dekad.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan ebagai timbalan menteri kerja raya pada bulan Juni, dengan alasan perlu menyelamatkan Bersatu di tengah perpecahan antara Mahathir dan Muhyiddin.

Rayuan selesai perbezaan

Sekarang terdapat spekulasi Shahruddin akan bertanding di kerusi DUN Bukit Pasir di Pagoh pada pilihan raya akan datang.

Shahruddin pernah menyandang kerusi DUN itu selama dua penggal ketika ia dikenali sebagai DUN Jorak.

"Kalau parti baru ni ditubuhkan, dijangka Shahruddin akan tanding di DUN Bukit Pasir," kata Hanafi Mohd Taib, bekas ahli jawatan kuasa Bersatu Pagoh.

Hanafi, yang masih bersama Bersatu dan sekarang bekerja di pejabat ahli parlimen Pagoh, berkata majoriti ahli bahagian masih setia kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun, katanya sudah ada beberapa ahli berpaling tadah di bahagian tersebut.

"Bukan jangka, memang sudah ada," katanya menjelaskan terdapat ahli yang hadir pada majlis "Bersatu Blackout" di Pagoh yang dihadiri Mukhriz Mahathir pada Julai lalu.

"Bersatu Blackout" adalah istilah yang digunakan oleh kem Mahathir selepas disingkirkan daripada parti kerana duduk berasingan daripada ahli parlimen PN ketika sidang parlimen 18 Mei.

Bagaimanapun, Hanafi berkata penyertaan ke dalam parti baru itu tidak akan cukup signifikan untuk membina akar umbi yang kuat.

Ini kerana dakwanya Bersatu memang tidak mempunyai akar umbi yang besar.

"Bersatu ini sendiri dia bukan lah ramai sangat ahli sebab struktur di bahagian akar umbinya terlalu lemah.

"Bersatu ini sendiri lemah, macam mana benda yang lemah kita pecahkan lagi? Macam mana kita akan jadi lagi kuat?"

Hanafi berharap Mahathir dan Muhyiddin dapat menyelesaikan perbezaan mereka dan memperkukuhkan Bersatu, bukan sebaliknya melemahkan parti itu.

Mahathir menentang Muhyiddin, selepas beliau membawa Bersatu keluar daripada PH untuk membentuk kerajaan baru dengan Umno, BN dan PAS,.

Gelombang pemberontakan ahli Bersatu sudah bermula di Lembah Klang dengan dua ahli majlis tertinggi dan seorang Adun Selangor keluar daripada parti itu untuk menyertai pihak Mahathir.