"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH capai persetujuan pilih calon PM, kembali bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kata pemimpin AMANAH

MALAYSIADATELINE
Pakatan Harapan mencapai persetujuan dalam pertemuan malam ini sebelum baki ahli Parlimen mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Media dipetik melaporkan kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dari AMANAH mengelak media dan bergegas meninggalkan ibu pejabat PKR selepas pertemuan itu selesai.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub berkata, PH sudah mencapai kata sepakat, tetapi enggan mendedahkan butirannya.

“Kami sudah membuat keputusan dan akan mengumumkannya esok. Kami sudah capai konsensus.” ujarnya seperti dipetik laporan FMT malam ini

Mengenai pilihan PH untuk jawatan perdana menteri, Salahuddin berkata, ia akan didedahkan esok.

Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad pula memberitahu, walaupun angka yang diperolehi ketika ini tidak mencecah dua pertiga namun ia cukup untuk bekas Kerajaan Persekutuan itu membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

“Tidak, kita tidak bincang mengenai PRU. Kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU sedangkan kita boleh dapat majoriti.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara lampau dan tidak perlu dibincangkan lagi. Majoriti mudah sudah cukup untuk PH membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui pihak media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH seperti dipetik Malaysiagazette malam ini.

Khalid menjelaskan PH telah membincangkan banyak isu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Umum PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disifatkannya sebagai keputusan yang positif.

Bagaimanapun, beliau berkata PH tidak membincangkan tentang calon Perdana Menteri yang akan menerajui kerajaan baharu pakatan itu.

Mengulas sama ada mesyuarat itu membincangkan status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khalid berkata, soalan itu perlu ditanya kepada parti tersebut.

Petang tadi, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mula menemui sebahagian daripada 222 ahli Parlimen sebelum memutuskan calon perdana menteri baru.

Kumpulan pertama 90 ahli Parlimen menemui Agong hari ini dan baki 132 lagi esok, dengan temu bual ringkas kira-kira 2 hingga 3 minit itu bagi setiap ahli Parlimen itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat mereka berhubung situasi politik negara.

Di laporkan juga satu kenyataan rasmi hasil mesyuarat Mjalis Presiden PH akan dikeluarkan dalam waktu terdekat ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika media menemui beliau selepas tiba dikediamannya malam tadi.

Dr M cadang 'kerajaan perpaduan' kepada ketua parti politik utama

Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad mencadangkan untuk menerjui "kerajaan perpaduan" dan telah menjemput ahli parlimen dari pelbagai parti politik untuk turut serta, kata beberapa sumber politik yang dipetik Reuters.

Desas-desus itu timbul selepas peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.

Mahathir dikatakan mencadangkan idea itu kepada ketua parti politik utama yang ditemuinya hari ini, termasuk dari BN dan PH, kata laporan itu memetik sumber.

"Dengan ketiadaan calon lain, nampaknya Mahathir bersedia untuk membentuk kerajaan," kata salah satu sumber yang dipetik Reuters.

"Tidak akan ada entiti politik. Mungkin menjadi kerajaan tanpa parti-parti politik," kata sumber itu lagi.

Sumber lain yang dipetik berkata, "Rancangan sekarang adalah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan".

Sumber tidak mahu dikenali kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media. Sementara Pejabat Mahathir yang dihubungi Reiters, tidak memberikan komen segera.

Muhyidin PM, bukan Tun Dr Mahathir?

Malaysia Dateline
Muhyidin disusun agar menjadi Perdana Menteri, kata Ilham Centre dalam wawancara dengan Astro Awani.

Gerakan yang dibuat oleh Presiden PPBM dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai bertujuan untuk meletakkan Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai Perdana Menteri bukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azmin pula dipercayai dicadangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Pengarah Penyelidikan Ilham Centre, Dr Mohamad Yusri Ibrahim dalam temubual dengan Astro Awani, pihaknya mendapat maklumat nama Muhyidin antara yang dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri.

Muhyidin dalam satu kenyataannya sebelum ini memaklumkan PPBM telah keluar dari Pakatan Harapan.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Tun Mahathir kecewa dengan sikap PPBM itu.

“Sebab itu Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM,” kata Khalid.

Muhyidin adalah Timbalan Perdana Menteri kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum dipecat oleh Datuk Seri Najib Razak.

Dr M rayu pimpinan Bersatu tak paksanya mungkir janji - Kadir Jasin

Malaysiakini
Tokoh veteran A Kadir Jasin berkata Dr Mahathir Mohamad merayu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu agar tidak memaksanya melanggar janji berhubung peralihan kuasa.

Jelas Kadir, kejadian itu berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang membincangkan masa depan Bersatu dalam PH, yang berlangsung Ahad lalu.

"Pada mesyuarat itu, Mahathir menjelaskan mandat yang diberikan Majlis Presiden PH pada mesyuarat 21 Feb.

"Beliau merayu kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk tidak memaksanya mengenepikan prinsip dan melanggar janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Sidang Apec pada Nov)," katanya dalam tulisan di blognya hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb lalu bersetuju untuk menyerahkan kepada Mahathir sendiri berhubung tarikh peralihan kuasa.

Mahathir sebelum ini berulang kali menegaskan akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas Sidang Apec.

Bagaimanapun, dalam perkembangan yang berlaku sejak Ahad lalu, yang dilihat sebagai usaha penjajaran kuasa politik, ia menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Peletakan jawatan Mahathir itu hadir tidak lama selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Bersatu keluar PH, selain 11 ahli parlimen yang diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengambil langkah sama.

Sementara itu, dalam tulisannya, Kadir berkata kunjungan "yang tidak dirancang" oleh pemimpin Bersatu pagi ini di kediaman Mahathir adalah bagi merayu beliau menarik balik peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

"Tapi daripada apa yang dapat dilihat, beliau (Mahathir) tidak melihat rayuan mereka sebagai perkara yang penting.

"Memang sewajarnya begitu. Ada banyak perkara lain yang lebih penting yang memerlukan perhatiannya.

"Ini termasuklah menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran, meneruskan cadangan pakej ransangan ekonomi, berunding dengan ketua-ketua penjawat awam dan berjumpa dengan parti-parti politik utama," katanya.

Tambah Kadir yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Bersatu, dengan berjumpa dengan parti-parti politik utama, Mahathir akan lebih faham tentang maksud sokongan yang diberikan kepadanya bagi menyusun langkah seterusnya.

"Sebagai contoh, adakah mereka menyokong beliau (Mahathir_ kerana mereka benar-benar mahu melihatnya menerajui negara atau kerana mereka tidak mahu musuh politik mereka menang sokongan popular untuk menjadi perdana menteri?

"Jika mereka benar-benar sokong beliau dan tidak ada pencabar lain, beliau boleh membentuk kerajaan baru," katanya.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri.

'Dr M letak jawatan sebab pemimpin Bersatu lebih dengar cakap setiausaha politiknya'

Malaysiakini
Tokoh veteran A Kadir Jasin berkata Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu kerana majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu lebih menghiraukan pandangan "setiausaha politiknya berbanding pandangannya".

"Beliau (Mahathir) meletakkan jawatan kerana merasakan majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi lebih mendengar cakap setiausaha politiknya berbanding dirinya sendiri," kata Kadir dalam tulisan di blognya hari ini.

Kadir berkata, Mahathir merujuk kepada "perdebatan hangat" yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang membincangkan masa depan Bersatu dalam PH, yang berlangsung Ahad lalu.

Kadir yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu bagaimanapun tidak menyatakan secara sepsifik "setiausaha politik" yang dimaksudkannya.

Untuk rekod, Mahathir mempunyai tiga setiausaha politik iaitu Abu Bakar Yahya, Muhammad Zahid Mat Arip, Mohamad Nuhairi Rahmat. Malaysiakini masih cuba menghubungi mereka untuk mendapatkan ulasan.

90 MP menghadap Agong hari ini

Malaysiakini
Seri Paduka nasihati rakyat supaya bersabar

1.15 petang: Istana Negara - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan orang ramai supaya bersabar dengan perkembangan semasa politik negara.

"Kita ambil berat... bersabarlah. Pertama sekali, biarkan saya mesyuarat dulu (dengan ahli parlimen).

"Saya harap kita akan dapat penyelesaian terbaik untuk negara," katanya.


Terdahulu, baginda menyerahkan hidangan makan tengahari dari McDonald's kepada media yang bertugas di sini.

90 MP menghadap Agong hari ini

12.50 tengah hari: Istana Negara - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap semua anggota parlimen hari ini dan esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata kumpulan pertama 90 ahli parlimen akan menghadap Seri Paduka mulai jam 2.30 petang hari ini.

Mereka dipanggil menghadap secara rawak tanpa mengikut parti masing-masing dalam pertemuan bersemuka dengan baginda.

Masing-masing akan diberikan dua hingga tiga minit untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan pertemuan itu akan turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Ahli Parlimen yang lain akan menghadap Seri Paduka esok.

"Baki lagi 131 Ahli Parlimen akan dipanggil menghadap baginda, esok, selain keseluruhan proses temu bual ini dijangka tamat pada jam 7 malam nanti.

"Setakat ini kita tidak boleh dedahkan siapa ahli parlimen yang dipanggil menghadap baginda hari ini. Bagaimanapun, tiada sesiapa bekas menteri atau timbalan menteri yang akan menyertai sesi ini.

"Baginda perlu mendapatkan kepercayaan dan keyakinan kepada seseorang yang dipilih," kata Ahmad Fadil.

Meneruskan sisa-sisa hidup politik PH

Zin Mahmud

Kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan pada 9 Mei 2018 selepas pilihan raya umum ke-14 dan berakhir pada Isnin 24 Feb 2020. Dengan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri, dengan sendirinya terbubar Kabinet dan seterus kerajaan itu. Kini beliau adalah perdana menteri interim selama seorang penggantinya belum dilantik.

Harapan sebahagian penyokong PH yang mahu melihat gabungan itu bertahan lama seperti Barisan Nasional musnah sekelip mata. Mereka pada mulanya mengharapkan supaya lepas Mahathir, Anwar Ibrahim akan naik dan Muhyiddin Yassin pula menjadi timbalan perdana Menteri. Apabila Muhyiddin menjadi perdana menteri pula, timbalannya kelak adalah Azmin Ali. Tetapi ternyata itu hanyalah harapan naif. Nasi pun sudah menjadi bubur.

Ketika mula penubuhan kerajaan itu, satu ungkapan mengenai negara ini diutarakan, iaitu “New Malaysia” atau Malaysia Baru. Ia dilontarkan kalangan pemimpin DAP dan disambut oleh sebilangan penyokong PH. Malaysia Baru tidak diperjelaskan dalam bentuk prinsip atau ciri-ciri. Tetapi gambaran yang terdapat dalam Malaysia Baru adalah kewujudan negara yang bersih, berintegriti, adil dan saksama. Pendek kata ia menggambarkan Malaysia yang berbeza daripada bentuk lama. Malaysia Baru ini adalah demokratik, liberal dan maju. Sebab itulah ungkapan ini lebih digemari golongan urban yang tidak begitu kuat hubungannya dengan politik identiti.

Tetapi bagi pendokong PH kalangan Melayu, terutama dari PPBM atau bekas penyokong Umno, mereka tidak begitu tertarik dengan implikasi apa yang disebut sebagai Malaysia Baru. Walaupun pendokong Melayu PH turut mendokong usaha membanteras korupsi dan komited untuk memulihkan integriti tetapi dari segi asas fahaman politiknya adalah sama dengan apa yang dipegang Umno selama ini. Mereka menolak Umno hanya apabila kedudukan integriti parti itu sudah begitu buruk semasa ia di bawah pimpinan Najib Razak lantaran skandal 1MDB.

Maka tidak hairanlah pasti akan berlaku pertembungan fahaman politik PPBM dengan ahli PH asal iaitu PKR, Amanah dan DAP. Walaupun ketiga-tiga parti itu juga mempunyai fahaman politik berlainan tetapi kerjasama mereka sejak dari 1998 cukup kental untuk memilik persefahaman. Termasuk ketika pemimpin Amanah merupakan teras kepada PAS. Maka PKR dengan Reformasi dan Amanah dengan Rahmatan Lil Alamin dapat menemukan titik temu sebagai gabungan politik.

Malah apabila PPBM menyertai PH pada 2017, maka diharapkan parti itu juga akan menemui keserasian dengan ahli asal PH. Apa yang memudahkan kerjasama itu adalah kepimpinan Mahathir.

Perbezaan fahaman politik dalam kalangan parti ini turut terserlah sepanjang menerajui kerajaan selama hampir 2 tahun itu. Kerajaan PH dengan segala kompromi antara satu sama lain selama ini berjaya menampung perbezaan fahaman politik ini. Kejayaan ini adalah kerana kepimpinan Mahathir sendiri.

Tolak ansur ini perlu bagi meneruskan sisa-sisa perjalanan politik PH. Harapan untuk mencapai Malaysia Baru pasti tidak akan diperoleh kerana sifat parti PH yang plural. Begitu juga kehendak PPBM supaya PH memenuhi aspirasi Melayu seperti yang ditekan Umno dan PAS tidak juga akan kesampaian kerana tolak ansur. Semua parti tidak dapat memperoleh apa yang diharapkan sepenuhnya. Tetapi kalau tidak dapat sepenuhnya, sudah cukup memuaskan apabila sebahagiannya dapat dicapai. Sebab itulah kekuatan sedia ada dan semua pihak perlu hidup dalam kedudukan sebegini.

Namun begitu, keruntuhan kerajaan PH ini bukan kerana perbezaan fahaman politik itu. Perkara itu dirasakan boleh diuruskan. Kemelut politik yang berlaku di penghujung Februari ini adalah kerana kelemahan kepimpinan Anwar.

Adalah suatu yang pelik apabila seorang yang sudah dijanjikan akan menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir tidak dapat sokongan dari parti sendiri. Sememangnya banyak pendokong PH yang menyalahkan Azmin kerana melakukan tindakan politik yang akhirnya meruntuhkan kerajaan PH. Tetapi melihat beliau mampu meraih banyak sokongan, dari nama-nama besar pula dalam PKR menyerlahkan kelemahan kepimpinan Anwar.

Kegagalan beliau meraih sokongan Azmin dan pengikutnya memberi padah bukan saja pada PKR tetapi juga akhirnya kerajaan PH. PKR terbelah 2. Begitu juga dengan PH apabila PPBM keluar dari gabungan. Maka dalam keadaan ini Malaysia Baru hanya tinggal impian. Itupun kalau ada rakyat yang mahu mengimpikannya.

Dalam suasana begini, bukan saja PPBM dan sebahagian PKR meragui kepimpinan Anwar, malah rakyat juga sukar memberikan sokongan besar padanya. Pada Amanah dan DAP, sudah pasti mereka lebih mengenali Anwar dan kelemahannya. Kalau ada alternatif lain, pastinya mereka tidak ragu-ragu meninggalkan beliau.

Tetapi Malaysia tidak mempunyai kepimpinan alternatif. Mahathir sudah berusia 94 tahun. Sedangkan cabaran yang dihadapi oleh negara semakin besar. Malah apa yang ada di depan mata ialah ancaman Covid-19 dan kesan buruk ekonomi daripadanya. Keadaan negara sekarang menuntut tumpuan tajam daripada kerajaan bukan saja menteri kesihatan dan menteri kewangan tetapi keseluruhan Kabinet. Ia tidak boleh hanya dibiarkan kepada perkhidmatan awam untuk menghadapinya.

Sebagai pemberita yang pernah membuat liputan terhadap hubungan Mahathir dan Anwar dari 1982, penulis dapat merasakan manusia sukar untuk berubah banyak. Sikap dan kaedah tindakan seseorang terutama pemimpin politik dilihat seolah-olah sama sepanjang zaman. Bagaimana mereka membuat keputusan mencerminkan bahawa seseorang individu itu konsisten dalam tindak-tanduknya.

Tetapi begitu juga rakyat sesebuah negara. Rakyat Malaysia pada keseluruhan mempunyai ciri-ciri, sikap dan perangai tersendiri, seperti mana juga negara lain juga mempunyai identiti atau kecenderongan masing-masing.

Gelagat politik Mahathir dan Anwar adalah juga cerminan aspirasi dan kecenderungan politik rakyat. Dari sejak mencapai kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, gelagat politik rakyat negara ini boleh dianalisis. Begitu juga dengan pemimpin politiknya yang mengikut rentak emosi rakyat dengan digerakkan juga oleh media pada zaman masing-masing.

PH boleh terus hidup tanpa PPBM dan Azmin serta pengikutnya. Malah jika tidak menjadi kerajaan pun PH boleh terus berperanan dalam politik tanah air sebagai pembangkang. Sebelum kemunculan PPBM, PH sememangnya sudah berfungsi dengan kerjasama PKR, DAP dan Amanah.

Sememangnya kehadiran Mahathir dan PPBM memberikan peluang pada PKR, DAP dan Amanah mengecapi kuasa dan cuba melaksanakan idealisme politik mereka. Setelah melalui pengalaman berkerajaan untuk hampir 2 tahun ini, pastinya banyak pengajaran yang diperoleh. Antaranya mengenai negara terpendam dan isu kaum serta agama yang mudah menarik emosi rakyat negara ini.

Mungkin cita-cita Malaysia Baru tidak dapat diterima oleh banyak rakyat negara ini. Mereka lebih selesa dengan struktur Malaysia Lama yang menyerlahkan identiti kaum dan agama.

Manusia dan masyarakat sukar berubah tetapi hayat seseorang adalah terhad. Zamannya pasti berlalu dan digantikan dengan generasi baru. Walaupun generasi lama mendidik mereka, sikap konservatisme hanya dipegang oleh sebahagian daripada masyarakat. Pastinya akan sentiasa ada golongan progresif yang mahukan perubahan dalam masyarakat.

Walaupun kerajaan tumbang, Dr M kini ‘lebih kuat’ untuk pilih pasukan baru

FMT
PUTRAJAYA: Walaupun gabungan pimpinannya terlerai, Dr Mahathir Mohamad sekarang nampaknya dalam kedudukan lebih kuat untuk membentuk kerajaan baru, ketika ahli-ahli Parlimen serata blok-blok politik mengisytiharkan sokongan kepada pemimpin veteran berusia 95 tahun itu.

Sumber dekat dengan golongan dalaman Mahathir berkata dengan pembatalan semua lantikan Kabinet, beliau boleh mulakan “langkah baru” dan bentuk pasukan baru dalam kalangan 222 ahli Parlimen.

“Satu aduan yang besar dalam 2 tahun terakhir ini adalah Mahathir tiada pasukan yang baik. Sekarang masa untuk beliau memilih, kerana beliau dapat sokongan dari hampir semua blok parti,” kata sumber itu.

Perkembangan mengejutkan sejak Ahad berakhir dengan terlerainya Pakatan Harapan, gabungan 4 anggota yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad yang naik berkuasa pada Mei 2018.

Ini susulan peletakan jawatan Mahathir semalam, selepas hari yang penuh dengan pergerakan politik dalam kalangan ahli Parlimen dari PPBM, PAS, dan lain-lain yang berniat untuk membentuk gabungan baru bagi mengambil kuasa.

Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi PPBM, yang sudah mengumumkan ia bukan lagi anggota PH, tetapi mengisytiharkan sokongan kepada bekas pengerusi gabungan itu.

Sementara itu, kekuatan PKR di Parlimen terjejas selepas timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali dan naib presidennya, Zuraida Kamaruddin dipecat kerana penglibatan mereka dalam rundingan dengan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan baru.

Ini diikuti 9 ahli-ahli Parlimen yang keluar parti dan membentuk blok bebas.


Nyatalah pertemuan-pertemuan pada Ahad bertujuan untuk menyingkir DAP daripada kuasa persekutuan, sambil menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir.

Sumber beritahu FMT bahawa Mahathir pada mula merestui penyusunan semula politik sebagai cara untuk menghentikan perselisihan yang semakin sengit dalam PH dan tekanan mendesaknya menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Sumber bagaimanapun berkata Mahathir mundur selepas mengetahui langkah itu mengundang “pelbagai jenis penyangak” daripada kerajaan dulu.

“Ia menyebabkan beliau berfikir dua kali dan enggan meneruskannya,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga memberikan komen yang sama.

“Dr Mahathir jelas menyatakan beliau tidak boleh bekerjasama dengan Umno apabila kita bekerja keras untuk menyingkir Umno dengan jayanya pada pilihan raya umum 2018,” kata Lim ketika menyeru Mahathir kembali menjadi perdana menteri.

Ketika ditanya, sumber enggan mengulas apa yang dibincangkan.

“Sudah tidak relevan,” tambahnya.

Persoalan lebih besar sekarang ini, menjelang pertemuan dengan Agong hari ini bagi menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan baru, adalah siapa yang ada bilangan sokongan secukupnya.

“Tiada siapa pun ada bilangan yang cukup, kecuali Mahathir,” kata sumber itu.

Sumber mendakwa Anwar masih belum mampu menghasilkan suatu blok politik yang kuat.

Pemeriksaan oleh FMT membawa kepada anggaran kesetiaan politik dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang berbeza-beza.

Tetapi secara kasar Anwar dianggarkan mempunyai 90 ahli Parlimen bersamanya termasuk daripada DAP dan Amanah, sementara kumpulan yang mahu menghalang cita-cita politiknya, sekurang-kurangnya ada 105 orang, termasuk daripada Umno.

“Kira-kira 2 dozen ahli Parlimen boleh kita anggap sebagai terapung. Mereka boleh sokong mana-mana pihak,” kata satu sumber.

Sumber bagaimanapun berkata Mahathir harus berwaspada apabila mendekati “ahli-ahli Parlimen terapung” ini, kerana sejarah boleh berulang.

“Beliau sudah jadi rambang mata. Beliau boleh pilih siapa sahaja yang dia mahu.

“Belum pasti adakah beliau akan pilih blok yang disertai Azmin dan blok Melayu yang dikatakan itu. Buat masa ini, ahli-ahli Parlimen DAP dan Amanah dalam tangan Mahathir,” kata sumber itu.

Agong dijangka membenarkan ahli-ahli Parlimen menghadap dalam beberapa kumpulan.

FMT difahamkan pemimpin 5 parti sedang menyusun rancangan untuk membentuk majoriti di Parlimen, menuju pertemuan untuk meyakinkan Agong.

Katakan Tidak pada 'Kerajaan Pintu Belakang'

Biar rakyat buat pilihan jika kerusi tidak cukup, kata Khalid Samad
OlMALAYSIA DATELINE
Parlimen perlu dibubarkan sekiranya parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan PH mendapat mandat rakyat untuk mentadbir ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Jelasnya, rakyat perlu dibiar membuat pilihan kerajaan yang mereka inginkan jika jumlah kerusi tidak mencukupi.

“Jangan khianati rakyat. Buat masa sekarang, saya akan terus menjalankan tugas sehingga keadaan dapat ditentukan sama ada kerajaan PH kekal atau bertukar,” dipetik Harian Metro.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata demikian ketika hadir di Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Kawasan Khas Persisiran Pantai Port Dickson, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau berharap agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dilantik sebagai Perdana Menteri yang kelapan selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun Tun (Dr Mahathir) sudah pun menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, tetapi bergantung kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya tiada isu ‘kerajaan pintu belakang’. Jalan terbaik adalah pembubaran Parlimen. Biar rakyat yang tentukan. Rakyat tidak perlu bimbang, kerajaan masih berfungsi,” jelas Khalid lagi.

5 presiden parti bermesyuarat sebelum menghadap Agong hari ini

FMT
Pemimpin tertinggi 5 parti bertemu pagi ini sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, FMT difahamkan.

Ia susulan pertemuan tertutup pemimpin Umno dan PAS lewat malam tadi di ibu pejabat Umno di sini.

Difahamkan presiden Umno, PAS, PPBM, Warisan Sabah dan GPS Sarawak sedang merangka satu kompromi politik dalam kalangan mereka, memandangkan blok politik bergegas untuk mendapatkan kedudukan majoriti bagi mengisi kekosongan yang wujud selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Lima pemimpin parti itu ialah Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Abdul Hadi Awang (PAS), Muhyiddin Yassin (PPBM), Shafie Apdal (Warisan) dan Abang Johari Openg (GPS).

Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersetuju untuk bertemu ahli Parlimen dari parti berasingan secara berkumpulan hari ini.

Difahamkan mesyuarat di Istana Negara itu akan bermula dengan GPS, diikuti PAS, dan kemudian Umno, kira-kira jam 1 petang.

“Lima pemimpin itu dijangka mengadakan sidang akhbar bersama hari ini,” kata sumber kepada FMT.

FMT difahamkan semasa pertemuan malam tadi yang melibatkan ahli Parlimen Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz tidak hadir.

“Di mana pendirian keduanya, kami tidak pasti. Mereka mungkin boleh menjadi antara ahli Parlimen berkecuali,” tambah sumber itu.

Perkembangan yang mengejutkan sejak Ahad berakhir semalam selepas kejatuhan PH, gabungan 4 parti yang diketuai Dr Mahathir Mohamad yang berkuasa pada Mei 2018.

Peletakan jawatan Mahathir semalam berlaku selepas tindakan taktikal politik dalam kalangan ahli Parlimen dari PPBM, Umno, PAS dan lain-lain berhasrat membentuk gabungan baru bagi mengambil alih kuasa.

Beliau juga meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM, yang turut mengumumkan ia bukan lagi sebahagian daripada PH.

DUN Melaka: Serahkan kepada rakyat untuk tentukan kerajaan baru

PH Melaka sahkan tidak lagi kuasai DUN

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi beliau peluang untuk memimpin negeri itu.

"Walaupun tempoh itu singkat, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dengan kudrat yang ada untuk menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan semua. Didoakan semua dirahmati Ilahi," katanya dalam hantaran di media sosial.

Bercakap kepada Malaysiakini, Exco Melaka Tey Kok Kiew mengesahkan Pakatan Harapan (PH) yang dimenerajui kerajaan negeri tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"(Bersatu) telah keluar daripada PH dan kami tidak mempunyai jumlah mencukupi," kata pengerusi DAP Melaka itu.

Beliau berkata Adly masih belum bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob berikutan senario politik terkini selepas Bersatu keluar daripada PH.

"Dia (Yang di-Pertua) masih belum panggil (Adly). (Kami sedang menunggu) mereka yang menguasai majoriti untuk bertemu Yang di-Pertua Negeri," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata Adly belum secara rasmi digugurkan atau meletakkan jawatan tetapi berkata kerajaan negeri yang diterajui PH hampir tumbang.

PH pada asalnya memiliki 15 kerusi daripada 28 kerusi DUN.

Tay berkata pihak lawan menguasai 16 kerusi pada masa ini berbanding PH yang hanya mempunyai 12 kerusi DUN.

Seorang pembantu Adly juga mengesahkan bahawa PH tidak lagi mendapat majoriti mudah dalam DUN.

Jangan lupa muka pengkhianat-pengkhianat ini

Marah PPBM mahu keluar PH punca Tun M letak jawatan PM

BORHAN AHMAD
Tun Mahathir kecewa apabila beliau dipaksa menerima keputusan agar PPBM keluar dari PH, kata sumber.
Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri adalah kerana kesal dengan sikap dan pendirian partinya yang mahu keluar dari Pakatan Harapan.

“Tun rasa parti dan orang-orangnya tak mahu dengar cakap dia. Jika begitu baik dia letak jawatan,” kata sumber yang rapat dengan PM ke 7 itu.

Menurut sumber itu, Tun Mahathir telah menolak keputusan partinya untuk keluar dari PH ketika mesyuarat PPBM di Menara Yayasan Selangor semalam.

“Tun Mahathir sampai hentak meja kerana marah. Namun majoriti pemimpin PPBM mahu keluar dari PH kerana tidak puashati dengan Anwar.

“Kerana tidak bersetuju dengan keputusan itulah juga menyebabkan Tun tidak ke istana petang semalam dan tidak juga ke hotel Sheraton, Petaling Jaya tempat orang Azmin berkumpul malam tadi.

“Padahal sejak dari pagi semalam lagi sudah dihebahkan Tun akan ke Sheraton dan satu sidang media bersama akan diadakan,” kata sumber itu.

Tun dilaporkan menghantar surat melepaskan jawatan sebagai PM kepada Yang Dipertuan Agong pagi ini.

Namun begitu, para pemimpin PH khasnya AMANAH dikatakan cuba memujuk agar Yang Dipertuan Agong menolak surat itu.

Namun begitu ada juga yang berpendapat, jawatan Perdana Menteri sepatutnya jatuh ke tangan pemegang jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Dalam pada itu, sebaik sahaja Tun menghantar surat meletak jawatan PM, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyidin Yassin melepaskan satu kenyataan media yang bertarikh 23 April 2020 yang memaklum partinya keluar dari PH.

Namun selepas itu, tarikh surat 23 April itu telah ditukar kepada tarikh hari ini iaitu 23 Februari 2020.

Terbaru!!! Warisan isytihar sokong Mahathir

Malaysiakini
Parti Warisan Sabah menyatakan sokongan buat Dr Mahathir Mohamad untuk terus kekal berkhidmat sebagai perdana menteri.

Kata presidennya, Mohd Shafie Apdal, kepemimpinan parti itu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Sabah.

“ [...] pemimpin Sabah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini, dalam suasana politik negara sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Shafie tidak menyatakan komitmennya untuk terus menyokong PH ataupun tidak.

Semalam Warisan disebut-sebut akan menyertai gabungan baru parti politik bersama GPS, Bersatu, Umno, PAS dan kumpulan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Kerajaan PH runtuh hari ini setelah tiada gabungan parti yang mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini setelah berlakunya siri keluar parti daripada PKR dan Bersatu.

Jumlah anggota parlimen PH yang tinggal, masih belum jelas, namun ia berkemungkinan tidak mencapai jumlah 112 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Warisan dan sekutunya Upko merupakan sebahagian daripada kabinet Mahathir dan mempunyai 10 kerusi di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Shafie telah menyatakan sokongan buat Mahathir dan berkata tiada keperluan buat anggota parlimen Langkawi itu untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim.

Sementara Warisan belum menyatakan kecenderungan terbaru berkenaan kerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah, di Sarawak pula, Gabungan Parti Sarawak meluahkan rasa berat hati mereka untuk bekerja dengan DAP.

Akhirnya PH tumbang setelah Bersatu beserta Azmin dan 10 ahli Parlimen PKR

Aidila Razak & Lee Long Hui
Tanpa ahli parlimen Bersatu yang memegang 26 kerusi dan Mohamed Azmin Ali serta 10 lagi ahli parlimen yang setia kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, PH kini hanya mempunyai 102 kerusi.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Bersatu keluar PH, begitu juga Azmin yang mengumumkan beliau dan 10 ahli parlimen PKR lain keluar dari parti serta meninggalkan PH bagi membentuk blok bebas di parlimen.

Bagaimanapun, langkah seterus PH untuk membentuk kerajaan masih tidak jelas.

Simulasi Malaysiakini tentang senario yang mungkin berlaku menunjukkan bahawa pakatan yang mungkin ditubuhkan untuk menggantikan PH masih tidak mempunyai kerusi yang cukup untuk mendapat 112 majoriti daripada 222 kerusi parlimen.

Sebagai contoh, sekiranya Bersatu serta kumpulan Azmin berpakat dengan Umno dan PAS, mereka hanya mempunyai 94 kerusi.

Namun, sekiranya pakatan itu turut disertai parti-parti negeri dari Sabah dan Sarawak, pakatan itu akan mampu membentuk kerajaan baru dengan majoriti selesa yang memegang 126 kerusi.

Pakatan itu juga akan bertambah kukuh sekiranya tiga ahli parlimen dari MCA dan MIC turut serta, menjadikan jumlah kerusi mereka 129.

Bagaimanapun, senario itu dilihat sukar kerana ia memerlukan Gabungan Bersatu Sabah dan Gabungan Parti Sarawak bekerjasama dengan PAS, dan mengenepikan perbezaan ideologi mereka.

Tanpa PAS, pakatan itu cuma mempunyai 111 kerusi, satu kerusi kurang untuk membentuk majoriti.

Untuk menambah sokongan, pakatan itu juga boleh menarik ahli parlimen PKR lain, atau ahli parlimen Amanah, namun senario itu tidak dapat disimulasikan buat masa ini kerana belum ada petunjuk ia akan berlaku.

Simulasi ini juga dibuat dengan tanggapan tiada ahli DAP akan meninggalkan PH.

Apa terjadi jika tiada pihak peroleh majoriti?

Simulasi ini menunjukkan kemungkinan "parlimen tergantung" kerana tiada parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti jelas di parlimen.

Sekiranya parti-parti yang terlibat tidak berunding dan mencapai persetujuan untuk membentuk pakatan, perdana menteri perlu menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen, bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Namun, Seri Paduka mungkin menggunakan budi bicaranya untuk menolak cadangan perdana menteri dan mengarahkan parti politik terus berunding dan mencapai persetujuan.

Dalam keadaan itu sekali pun, menurut Artikel 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai hak membubarkan parlimen. Pilihan raya umum perlu menyusul.

Sehingga hari ini, belum ada Yang di-Pertuan Agong yang pernah membubarkan parlimen berdasarkan budi bicaranya.

Anwar ke PMO, tapi gagal jumpa Dr M

Mohamad Fadli
PUTRAJAYA
: Presiden PKR, Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan muncul di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, tetapi gagal menemui Dr Mahathir Mohamad.

Anwar bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di PMO pada 9.36 pagi tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Presiden Amanah merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, mereka berempat dilihat meninggalkan PMO pada 10.26 pagi, manakala Menteri Belia dan Sukan yang juga ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar pada 10.21 pagi.

“Mereka kini ke rumah Mahathir,” kata pembantu seorang menteri kepada FMT.

Perdana menteri sepatutnya mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Negara pada 11 pagi ini.

Tetapi, difahamkan semua mesyuarat membabitkan Mahathir sudah dibatalkan hari ini.

Anwar dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang ini.

Semalam, pemimpin PPBM, PAS, Umno dan mereka yang bersekutu dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya susulan spekulasi hangat mengatakan penyusunan baru politik akan berlaku.

Pada masa sama, penyokong Anwar pula mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat di rumahnya di Bukit Segambut, di mana beliau mengutuk cubaan untuk mengkhianati Pakatan Harapan.

LANGSUNG: Anwar, Guan Eng, Mat Sabu di rumah Dr M

Malaysiakini
11.40 pagi: Difahamkan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu sudah tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan, Selangor hampir sejam lalu.

Astro Awani melaporkan, ketiga-tiga ahli parlimen itu sedang bertemu dengan Mahathir.

11:30 pagi: Difahamkan DAP mengarahkan semua wakil rakyat dan senatornya untuk hadir ke mesyuarat parti itu di Kuala Lumpur.

Hal itu selaras dengan ketibaan ramai pemimpin DAP setakat ini. Antaranya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham; Soon Lip Chee (Adun Bagan Jermal) dan A Sivanesan (Sungkai).

11 pagi: Veteran DAP, Lim Kit Siang, tiba di ibu pejabat parti itu di Pudu.

"Kami ada mesyuarat lepas ni," katanya semasa ditemui media di pintu masuk bangunan tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu enggan menjawab soalan lain yang dikemukakan wartawan.

Sebelum Lim, kelihatan tiba lebih awal ialah Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Adun Teratai, Lai Wai Chong; dan Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

10.45 pagi: Presiden Gerakan, Dominic Lau, mengesahkan kepada Malaysiakini, parti itu akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat di Kuala Lumpur pada jam 4 petang ini.

Katanya, salah satu agenda yang akan dibincangkan ialah kemungkinan penyertaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, serta penyokongnya, ke dalam Gerakan.

"Itu antara agendanya, tapi yang utama akan dibincangkan ialah situasi politik, kedudukan Gerakan, strategi dan tindak balas.

"Kami akan bincangkan mengenai peranan Gerakan apabila ada perubahan kerajaan," katanya.

Lau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Azmin dan pengikutnya ada atau tidak memohon menyertai Gerakan.

Beliau juga tidak mengulas apabila ditanya kemungkinan Azmin akan hadir pada mesyuarat tersebut.

10.49 pagi: Pusat Pembanterasan Rasuah dan Kronisme (C4) akan menyertai sidang media bersama Bersih pada petang ini.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel, berkata sidang media itu akan diadakan sejurus selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bertemu Yang di-Pertuan Agong.

10.50 pagi: Malaysiakini difahamkan oleh sumber, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tiada di pejabat ketika Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng tiba.

Difahamkan ketiga-tiga mereka kemudian bersama-sama menuju ke rumah Mahathir di Seri Kembangan.

10.25 pagi: Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng meninggalkan Perdana Putra. Kedua-dua mereka tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk bercakap kepada media.

Hanya beberapa minit sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dilihat meninggalkan bangunan menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu.

Kenderaannya diperlahankan sedikit dan beliau melambai ke arah wartawan yang menunggu.

10.20 pagi: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan tidak akan menghadiri sebarang majlis rasmi kementeriannya hari ini.

Hal itu disahkan seorang pembantunya.

Kata sumber tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad, akan mewakili Saifuddin.

10 pagi: Kira-kira dua jam sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berlangsung, kelihatan salah seorang pemimpin kanan parti itu tiba di bangunan ibu pejabat parti terbabit di Pudu, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, enggan memberi sekarang kenyataan.

"Saya tak tahu," katanya apabila ditanya media sama ada beliau hadir untuk menghadiri mesyuarat berkenaan atau sebaliknya.

Menurut setiausaha politik menteri kewangan itu, beliau datang untuk menyelesaikan "hal-hal lain".

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, dilihat tiba di situ kira-kira jam 9pagi.

Rakyat akan hukum Azmin jadi pengkhianat

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR:
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid memberi amaran rakyat akan menghukum “pengkhianat” kerajaan Pakatan Harapan yang diberikan mandat untuk memerintah negara.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata, individu seperti Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan konconya yang bersetuju dengan gerakan penubuhan kerajaan pintu belakang ialah “pengkhianat sebenar”.

“Inilah pengkhianat sebenar yang mengkhianati amanah rakyat, memberi sokongan kepada Pakatan Harapan. Mereka masuk ke pintu belakang.

“Saya pasti pengkhianat itu akan dihukum oleh rakyat yang beri mandat kepada kita.

“Azmin Ali pengkhianat. Dua, tiga ‘ekor nyamuk’ itu kita ‘bunuh’,” katanya selepas menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat di kediaman Presiden PKR, Anwar Ibrahim di Segambut malam tadi.

Turut hadir ialah isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen PKR Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Parti itu menggesa penyokong Anwar berhimpun di rumahnya, ketika cakap-cakap mengenai penyokong Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sedang merancang jajaran politik baru yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pentadbiran baru.

Anwar ketika berucap di rumahnya semalam berkata, wujud cubaan menjatuhkan kerajaan PH membabitkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”.

“Saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat – mungkin esok – walaupun tiada pengumuman malam ini, tapi daripada maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” kata Anwar.

Pada masa sama, beberapa pemimpin PKR menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin Umno, PAS dan PPBM di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Jika berlaku perubahan politik di Putrajaya, ia didakwa akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

Ketegangan semakin memuncak dalam PH ketika pemimpin PKR, DAP dan Amanah terus menekan Mahathir menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar.

Perkembangan malam tadi menyusul sidang media pada tengah malam Jumaat yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi beliau mahu.

Mungkin esok’, Anwar sahkan cubaan jatuhkan kerajaan PH

FMT
Presiden PKR, Anwar Ibrahim malam tadi mengesahkan ada cubaan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, melibatkan ahli politik PPBM dan PKR “yang khianat”, ketika beberapa pemimpin partinya sedang makan malam bersama pemimpin Umno, PAS dan PPBM.

“Mereka sudah bertemu dengan Agong petang tadi namun belum ada pengumuman lanjut,” katanya kepada sekumpulan 300 penyokong yang menghadiri suatu majlis keagamaan di kediamannya di Kampung Segambut Dalam.

Beliau bagaimanapun tiada maklumat penuh mengenai penubuhan “kerajaan baru”, di sebalik cakap-cakap mengenai penyusunan baru politik yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pemerintah baru tersebar luas.

“Saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat – mungkin esok – walaupun tiada pengumuman malam ini tapi dari maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” katanya.

Beliau akui terkejut dengan situasi semasa, sehari selepas PH mengumumkan kepercayaan penuh kepada Pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

“Kita dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita juga suatu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya,” katanya.

Pada sesi tazkirah malam ini, Anwar kelihatan sentiasa memeriksa telefon bimbitnya. Media yang berkumpulan bagaimanapun tidak dapat menyertai sesi itu, apabila diminta keluar selepas solat Maghrib.

Sementara itu, setiausaha politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ketika ditemui pemberita mendakwa Anwar dijadualkan menghadap Agong esok, mengikut perancangan yang diatur lebih awal selepas mendapat persetujuan Sultan Abdullah Shah.

“Cuma untuk sampaikan perkembangan semasa,” katanya.

Azmin adalah penggeraknya, kata Khalid Samad

Borhan Ahmad
Saya rasa group Azminlah player (pemain) yang utama. Mungkin kerana dia sendiri ada agenda tetapi dialah movernya sekarang, kata Khalid Samad.
Ketika para Menteri AMANAH sibuk menyelesaikan isu negara termasuk Covid-19 dan kesannya kepada ekonomi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sibuk menyusun orangnya untuk menguasai kerajaan.

“Bagi saya dialah movernya (penggeraknya),” kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dalam sidang medianya hari ini mengulas berita tentang usaha untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

“Dalam soal ini, saya rasa group Azminlah player (pemain) yang utama. Mungkin kerana dia sendiri ada agenda tetapi dialah movernya sekarang.

“Kita kena tunggulah. Ikut berita yang disebarkan, itulah yang sedang dia lakukan. Jadi bagi saya, kalau kita bersama usaha ini, membentuk kerajaan dengan golongan yang rakyat telah tolak, ini satu pengkhianatan kepada rakyat,” katanya.

Khalid juga berkata, pada hakikatnya, Azmin sejak dari awal lagi tidak bersama termasuk ketika PH dibentuk, bahkan beliau menolak cadangan agar Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai bakal PM jika PH menang.

“Saya ingat masa pembentukan PH di Shah Alam, dia dan Zuraidah telah walkout tetapi selepas kita menang dia punya pendirian berbeza. Alhamdulillah.

“Sekarang ini dia pula jadi pemain yang utama. Jadi kena tanya dialah tentang apa yang dia usahakan,” kata Khalid

Menteri Kesihatan dari AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sibuk menyusun strategi dan tindakan untuk mengawal Covid-19 manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad pula sibuk membantu orang susah di ibu negara.

Usaha Dr Dzulkefly terbukti berhasil apabila dari 22 yang disahkan mengidap Ciovid-19 di negara ini, 18 darinya sudah berjaya sembuh walaupun penyakit itu belum mempunyai ubatnya.

Khalid pula sibuk merancang dan melancarkan pelbagai projek rangsangan ekonomi di ibu negara.

Terbaru beliau melancarkan Kiosk perniagaan di Putrajaya untuk menyediakan tempat berniaga kepada warganya.

Sebelum itu beliau melancarkan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan bagi memberikan bantuan pinjaman kepada orang ramai yang mahu memulakan perniagaan.

Untuk Kuala Lumpur pula, Khalid menyediakan bajet RM10 juta tahun ini untuk membolehkan DBKL mengambil pekerja baru dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan.

DBKL juga diminta menyediakan RM50 juta untuk kontraktor G1 bagi melaksanakan kerja-kerja kecil di sekitar Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.

Seorang lagi menteri dari AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pula sibuk memperbetulkan Tabung Haji yang hampir lingkup akibat penyelewengan dari kerajaan sebelum ini.

Pelbagai usaha dilakukan oleh beliau dan kerajaan bagi memulihkan institusi umat Islam itu.

Menteri Pertanian, Datuk Salahudin Ayub pula sibuk membantu petani dan nelayan. Antaranya dalam menghadapi masalah kemarau.

Sementara itu Haji Mohamad Sabu pula sibuk memberikan naratif baru kepada tentera negara yang selama ini terlalu terikat dengan naratif penjajah terutama tentang sejarah negara.

'Bubar parlimen'

Ramieza Wahid
Susulan perkembangan politik terkini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan supaya parlimen dibubarkan.

Jelasnya, merujuk kepada perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai hak untuk membubarkan parlimen tanpa nasihat kerajaan.

“[…] kalau kita rujuk kepada perlembagaan, ia ada peruntukkan Yang di-Pertuan Agong ada dua budi bicara boleh dilaksanakan tanpa nasihat kerajaan, yang pertamanya dalam melantik perdana menteri atau kerajaan dan yang keduanya bubarkan parlimen.

“Jadi untuk melihatkan Yang di-Pertuan Agong tidak memihak kepada sesiapa, dengan kerajaan yang kini banyak spekulasi, elok lah dibubarkan parlimen,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini malam ini.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik telah bermesyuarat dan mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Ia melibatkan pemimpin Bersatu, Umno, PAS, PKR (kem Azmin Ali), Warisan dan GPS.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad masih mengunci mulut dan hanya melambaikan tangan kepada pemberita ketika beredar dari ibu pejabat parti di Petaling Jaya petang tadi.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula malam ini menyifatkan apa yang berlaku sebagai “satu pengkhianatan”.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz yang juga merupakan naib pengerusi DAP Perak berkata seri paduka boleh membubarkan parlimen agar kuasa diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih pemimpin.

“Oleh kerana Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk lantik perdana menteri dan bubarkan kerajaan, baik dibubarkan dan serahkan kepada rakyat kuasa untuk memilih pemimpin.

“Jika proses itu dijalankan, ia tidak akan nampakkan Yang di-Pertuan Agong berat sebelah dan ia juga tidak akan jejaskan nama baik dan kredibiliti Yang Di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

LANGSUNG: Azmin keluar PKR

Wartawan Malaysiakini

LANGSUNG | Malaysiakini membawakan liputan langsung berkenaan perkembangan susulan pertemuan kumpulan-kumpulan politik yang bermula pagi ini.
Anwar: Perkembangan hari ini satu pengkhianatan

10 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan politik yang berlaku hari ini - melibatkan timbalannya Azmin Ali, Bersatu, umno, PAS, GPS dan Warisan - adalah satu pengkhianatan.

“Dan kita juga dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita satu juga pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya, maka menyebabkan ada perubahan.

“Dan saya jangka akan berlaku dalam masa terdekat, mungkin esok,” kata Anwar kepada penyokongnya di rumahnya di Kuala Lumpur.

Sejumlah MP, Azmin beredar dari dewan

9.45 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya: Kebanyakan anggota parlimen Umno, Bersatu dan juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dilihat keluar dari dewan, di mana majlis makan malam berlangsung.

Rata-ratanya enggan menjawab soalan pemberita berkenaan kemungkinan penubuhan kerajaan baru.

Makan-makan saja," kata Ismail Sabri yang turut hadir di majlis itu.

Presiden MIC: Saya tak tahu tentang k'jaan baru, tapi Azmin keluar PKR

9.40 malam: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Presiden MIC SA Vigneswaran memperkecil perkumpulan anggota parlimen malam ini.

Presiden Dewan Negara memberitahu pemberita beliau tidak tahu apa-apa tentang pembentukan kerajaan baru malam ini.

Bagaimanapun beliau menyebut tentang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan keluar PKR dan juga kemungkinan Bersatu keluar daripada PH.

"Itu saja. Tubuh kerajaan baru - saya tak tahu lagi. Itu anda perlu tanya Tun (Dr Mahathir Mohamad," katanya lagi.

Vigneswaran berkata MIC akan mengikut pendirian BN.

Nga: K'jaan pintu belakang khianat mandat rakyat

9.35 malam: Kerajaan yang ditubuhkan melalui pintu belakang adalah satu pengkhianatan kepada mandat rakyat, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

"Satu-satunya kerajaan yang sah adalah yang menang dalam pilihan raya dan mendapat mandat daripada rakyat," ciapnya di Twitter.

"Siapa saja yang cuba bentuk kerajaan pintu belakang dengan apa jua ulasan adalah pengkhianat besar terhadap bangsa dan negara," katanya yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat.
9.25 malam: Presiden PKR Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

Setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberitahu Malaysiakini yang pertemuan itu dijadual pada pukul dua petang.

"Ia sudah dirancang lebih awal," katanya lagi.

MP Petaling Jaya jawab pengkritik

9.15 malam: Bekas pengerusi Bersih yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Maria Chin membalas pihak yang mengkritiknya atas kehadirannya di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pagi tadi.

"Ada banyak kenyataan yang tersasar, maklumat salah yang jahat, spekluasi dan bahasa kasar terhadap saya.

"Bagi mereka, anda sama saja seperti Umno kerana tidak mahu mengetahui perkara sebenar," katanya di Facebook.

Syarahan agama di rumah Anwar

9.10 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Lebih 25 kakitangan media masih berkumpul di luar rumah Presiden PKR Anwar Ibrahim, di mana majlis sembahyang hajat dan syarahan agama sedang berlangsung.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke perkarangan rumah.

Bagaimanapun menurut siaran langsung di Facebook, Anwar disertai Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd noor sedang memberikan syarahan kepada hadirin.

Syarahan tidak menyentuh isu politik.

Ronnie Liu: Saya ke sini secara kebetulan, ada pertemuan peribadi

8.51 malam: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Keberedaan anggota Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu, yang juga adun Sungai Pelek, di sini mengundang perhatian.

Liu berkata beliau di sana secara kebetulan, kerana terlibat dalam satu pertemuan peribadi tetapi ia dibatalkan susulan apa yang berlaku di situ.

Beliau berpandangan kerajaan baru tidak akan ditubuhkan malam ini dan tidak merasakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan ke hotel tersebut, walaupun sudah ramai anggota parlimen yang berkumpul.

Bagaimanapun Liu menyuarakan kebimbangan bahawa penubuhan kerajaan baru boleh terjadi dalam masa beberapa hari.

DAP buat mesyuarat tergempar esok

8.50 malam: DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan perkembangan politik terbaru, di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.

Perkara itu dimaklumkan seorang sumber kepada Malaysiakini.

Ia dijadual bermula tengah hari. DAP merupakan parti yang memiliki bilangan anggota parlimen kedua teramai, selepas PKR.

Muhyiddin tiba, disambut tepukan

8.35 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Sebaik Muhyiddin memasuki sebuah dewan, di aras bawah di mana program Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen diadakan, beliau disambut dengan tepukan hadirin di situ.

Hadi, Zahid, Azmin dan MP lain tiba di Hotel Sheraton

8 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta pelbagai anggota parlimen daripada BN, GPS dan PAS dilihat masuk ke dewan.

Pelayan hotel mengumumkan hanya anggota parlimen dibenarkan masuk dan meminta orang lain yang berada di situ untuk memberi laluan.

Apabila mana-mana anggota parlimen tiba, dia akan dibawa masuk ke dewan dengan pintu yang ditutup. Anggota polis juga membuat kawalan di sana.

Antara yang dilihat di hotel itu ialah:

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian)

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (MP Ketereh)

Anggota MPT Bersatu Redzuan Mohd Yusof (MP Alor Gajah)

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)

Khairy Jamaluddin (MP Rembau)

Presiden MIC SA Vigneswaran

Timbalan Presiden MIC M Saravanan (MP Tapah)

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu)

Nik Mohamad Nawawi (PAS – MP Pasir Puteh)

Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong

Hadi, MP pelbagai parti tiba di Hotel Sheraton

8 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Anggota parlimen daripada GPS, BN dan PAS dilihat masuk ke sebuah dewan. Antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pelayan hotel mengumumkan hanya anggota parlimen yang dibenarkan masuk dan meminta orang lain yang hadir untuk memberi laluan.

"MP saja, sila masuk," kata seorang pelayan hotel.

Apabila mana-mana anggota parlimen tiba, dia akan dibawa masuk ke dewan dengan pintu yang ditutup. Anggota polis juga membuat kawalan di sana.

8 malam: Istana Negara - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disahkan telah meninggalkan istana.

Perkara itu dimaklumkan pengawal keselamatan Istana Negara, tidak lama selepas lebih 20 kenderaan kenamaan dilihat meninggalkan perkarangan istana sekitar 7.30 petang tadi.

Difahamkan baginda meninggalkan istana selepas "tamat perjumpaan".

Zaid: Dapatkan mandat baru dari rakyat

7.55 petang: Pengerusi DAP Kelantan Zaid Ibrahim menggesa satu mandat baru dari rakyat.

"Saya tak dapat percaya sandiwara ini tlah capai ke tahap Istana. Anda tidak tambah bilangan (sokongan) di Parlimen untuk tubuh kerajaan.

"PH runtuh, jadi buat pembubaran. Mandat baru dari rakyat. Mandat tidak datang daripada pembangkang dan anggota parlimen yang bermasalah," katanya di Twitter.

Keadaan tenang di rumah Anwar

7.40 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Walaupun desas-desus dan kekecohan politk negara sekarang, keadaan di rumah Anwar kelihatan tenang dan damai.

Kira-kira seratus penyokong berhimpun di kediammnya untuk menyertai majlis "Selawat Nuril Anwar."

Turut menyertai program itu ialah Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Setakat ini, belum ada tokoh utama kepimpinan yang hadir.

Mujahid: Kekal fokus agenda rakyat, bukan agenda desperado

7.40 petang: Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof menggesa semua pihak bertenang di saat tanda-tanda kerajaan PH dilihat retak menunggu belah.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Majlis Presiden PH berkenaan peralihan kuasa ialah jelas.

Tanpa menyebut sebarang nama, Mujahid dalam ciapannya di Twitter: "Ada pihak tak puas hati ambil kesempatan seolah-olah mereka lupa mandat rakyat. Jangan kita dipalingkan dari fokus utama keputusan. Semua diminta bertenang dan kekal fokus pada agenda rakyat, bukan agenda desperado."

Dalam ciapan terdahulu, menteri di jabatan perdana menteri itu berkata "orang yang terdesak akan membuat tindakan yang terdesak".

"Bagi kami, mereka seperti awan, apabila mereka tidak menghalang (pandangan), hari jadi indah dengan sinaran matahari. Pastikan orang yang terdesak tidak menjadi penghalang kita. Kekal teguh bersama Pakatan Harapan!

"Move on lah...Sebenarnya geng pintu belakang ini nak selamatkan negara atau selamatkan diri? Saya yakin Tun Mahathir dan pimpinan PH akan hormat dan pertahankan keputusan (yang dicapai sebelumnya)," katanya lagi.

7.31 petang: Istana Negara - Sejumlah 28 kenderaan dilihat meninggalkan Istana Negara. Kesemuanya dilihat bergerak dalam beberapa kumpulan.

Kumpulan pertama dilihat keluar kira-kira pada pukul 7.25 petang, manakala kumpulan terakhir, setakat ini, kira-kira pada pukul 7.35 petang.

Masih ada beberapa kenderaan dilihat di perkarangan istana.

Ke mana arah sokongan Warisan, GPS?

7.30 petang: Jika perubahan kerajaan berlaku malam ini, antara faktor yang memungkinkannya ialah sokongan daripada Warisan dan GPS.

Terdahulu ada laporan bertentangan berkenaan siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, sumber dalaman PKR membayangkan Anwar mengharapkan GPS dan Warisan untuk menyokongnya, dan bukan Mahathir.

"Terutama GPS. Mereka ada ada pilihan raya negeri tahun ini dan ada kelebihan, maka mengapa mereka akan sertai Mahathir?" kata sumber itu.

Mahathir juga mencetuskan rasa tidak puas hati di Sabah apabila membuka cawangan Bersatu di sana, walaupun dibantah ketua menteri dan presiden Warisan, Shafie Apdal.

Tidak jelas apa yang menyebabkan mereka menyokong Mahathir.

GPS memegang 18 kerusi Parlimen, manakala Warisan sembilan.

Tanpa mereka, gabungan Bersatu, Umno PAS, dan 10 anggota parlimen PKR hanya memiliki 92 kerusi, kurang 20 kerusi untuk majoriti mudah dan membentuk kerajaan.

Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan tiba

7.25 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Kedua-dua setiausaha agung Umno dan PAS baru sahaja tiba.

Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan dilihat masuk ke sebuah bilik di mana semua VIP berkumpul, diiringi Exco Melaka dari Bersatu, Rafiq Naizamohideen.

Ketika ditanya mengapa beliau berada di sini, Annuar berkata beliau datang untuk berjumpa "kawan-kawan MP".

Sumber: Bersatu, Umno, kem Azmin, GPS, PAS, Warisan di Istana Negara

7.11 petang: Istana Negara - Sumber yang dekat dengan istana mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa enam parti yang kini berada di istana ialah Bersatu, Umno, PKR (kem Azmin), GPS, PAS dan Warisan.

Pemimpin yang ada di sana ialah:

Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu)

Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno)

Azmin Ali (timbalan presiden PKR)

Abang Johari Openg (presiden GPS)

Shafie Apdal (presiden Warisan)

Abdul Hadi Awang (presiden PAS)

Sumber itu berkata Dr Mahathir Mohamad turut ada namun seorang pembantu perdana menteri menafikannya.

Pemimpin, MP Umno tiba di Hotel Sheraton

7.05 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Beberapa pemimpin Umno dilihat tiba di sini.

Antara yang dilihat ialah naib presiden Ismail Sabri serta anggota Majlis Tertinggi seperti Tengku Adnan Mansor (Putrajaya), Shahidan Kassim (Arau) dan Azalina Othman Said (Pengerang).

Selain itu, anggota parlimen Umno yang turut ada ialah Ismail Muttalib (Maran), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Noor turut dilihat ada di sini.

Sementara itu, pegawai presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Fadzlette Othman Merican turut dilihat. Mustapa Mohamed (Jeli) pula baru tiba.

Kesemuanya enggan menyatakan sebab keberadaan mereka.

PM tak akan buat sidang media, kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri

7 petang: Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengadakan sidang media malam ini.

Ia sebagai respons kepada permintaan pemberita yang inginkan pengesahan berkenaan kemungkinan ada sidang media atau pengumuman besar oleh perdana menteri nanti.

Jurucakap itu juga berkata Mahathir tidak akan ke Hotel Sheraton Petaling Jaya, di mana beliau dikatakan akan mengadakan sidang media tersebut.

Sumber: Dr M, wakil 6 parti di Istana Negara

7 petang: Istana Negara - Sumber yang rapat dengan istana memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin daripada enam parti kini telah tiba.

Bagaimanapun sumber itu tidak menyatakan nama parti tersebut.

Mahathir juga telah tiba.

Setakat ini, Malaysiakini boleh mengesahkan pemimpin GPS dan Umno dalam perjalanan ke istana.

Kumpulan lain yang terlibat dalam pertemuan hari ini termasuklah Bersatu, Warisan dan anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin.

PAS pula mengadakan pemukiman dengan Umno di Janda Baik, Pahang, pada hujung minggu ini.

6.35pm: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Para penyokong mula berkumpul di sini, di mana pemimpin PKR yang menyokong Azmin sudah berada di sini sepanjang hari.

Rata-ratanya berlegar di hotel tersebut.

Kira-kira pukul sembilan pagi hari ini, pemimpin PKR seperti Zuraida Kamaruddin, Kamaruddin Jaafar, Saifuddin Abdullah dan Rashid Hasnon sudah berada di sini.

Anggota parlimen PKR yang ada pula antaranya Willie Mongin (Puncak Borneo), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Mansor Othman (Nibong Tebal), Edmund.

Kereta Edmund Santhara Kumar (Segamat) pula dilihat di lobi hotel.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadakan sidang media di sini nanti.

Zahid sah ke Istana Negara

6.30 petang: Istana Negara - Malaysiakini boleh mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam perjalanan ke Istana Negara.

Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin kanan Umno.

Satu lagi sumber Umno berkata pertemuan di istana sepatutnya berlaku lebih awal tetapi tertangguh kerana mesyuarat GPS berlangsung lebih lama daripada jangkaan.

Terdahulu kenderaan ketua GPS Abang Johari Openg dilihat ada di perkarangan istana.

'PAS tunggu dan lihat'

6.30 petang: Di saat beberapa pemimpin telah tiba atau dalam perjalanan ke Istana Negara, masih belum ada sebarang khabar berkenaan penglibatan PAS.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah memaklumkan pihaknya mengambil pendirian 'tunggu dan lihat' berhubung spekulasi kemungkinan perubahan kerajaan, ekoran pertemuan kumpulan politik hari ini.

Katanya, setakat ini PAS tidak membuat sebarang mesyuarat tergempar.

"Saya ada di Kuala Lumpur, tak ada mesyuarat (PAS), saya ada urusan lain. Saya baru balik Janda Baik juga (pemukiman Muafakat Nasional).

"Kita pun tunggu dan lihat (perkembangan), sebab itu urusan PH dan perdana menteri," katanya.

Polis bersedia

6.20 petang: Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan polis dalam keadaan sedia untuk kemungkinan sidang media oleh Perdana Menteri Dr Mahathir MOhamad.

Ia selepas Malaysiakini memintanya mengesahkan berhubung makluman berkenaan kawalan keselamatan terhadap pemimpin di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Sumber politik memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir dijangka mengadakan sidang media di sana selepas ke Istana Negara.

MP PKR beredar dari rumah Anwar

6.15 petang: Rumah Anwar, Segambut - Beberapa MP PKR yang menyokong Anwar dilihat beredar.

Antaranya Nik Nazmi (Setiawangsa), Johari Abdul (Sungai Petani), Saifuddin Nasution (Bandar Bahru Kulim), Wong Chen (Subang), Chang Lih Kang (Tanjung Malim), Lee Boon Chye (Gopeng), William Leong (Selayang), Fahmi Fadli (Lembah Pantai), Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

Mereka enggan bercakap dengan pemberita.

Apakah Dr M ke Istana Negara?

6.10 petang: Istana Negara - Sumber yang dekat dengan istana berkata pihaknya menjangkakan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sumber berkata Mahathir dijangka tiba lebih awal, tetapi belum berbuat demikian.

Sementara itu, Malaysiakini boleh mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dilihat berada di perkarangan istana.

Zahid tak lama di PWTC

6 petang: PWTC - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Umno, tetapi tidak lama.

Sumber Umno mengatakan Zahid bergerak ke Istana Negara susulan rancangan sidang media di Hotel Sheraton Petaling Jaya, tetapi dakwaan itu tidak boleh disahkan secara bebas.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dijangka diadakan akan dipengerusikan oleh setiausaha agung Annuar Musa.

Penyokong Anwar tiba di Segambut

5.50 petang: Rumah Anwar, Segambut - Kegiatan mula rancak apabila anggota parlimen PKR yang menyokong Anwar mula tiba di sini.

Antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang).

Di tengah-tengah pergerakan politik hari ini, penyokong presiden PKR itu menggesa himpunan diadakan di sini.

5.38 petang: Hotel Ritz Carlton - Sejak pagi tadi tumpuan ke arah kem Azmin dalam PKR, Bersatu, GPS, PAS dan Umno.

Bagaimanapun Warisan juga kini tampak turut terlibat apabila presidennya Shafie Apdal dilihat berada di sini, di mana pemimpin GPS berkumpul.

Beliau tidak bercakap dengan pemberita dan terus masuk ke hotel.

Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.

5 petang: Ringkasan pertemuan dan perkembangannya:

Hotel Sheraton, Petaling Jaya - pemimpin PKR yang menyokong Azmin, beberapa pemimpin Bersatu.

Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur - Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan.

Istana Negara - Wartawan mula berkumpul sejak tengah hari tadi, konvoi kenderaan turut dilihat memasuki kawasan istana.

Rumah Anwar di Bukit Segambut - Penyokong mula berkumpul untuk majlis bacaan Yaasin dan sembahyang hajat.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) - Pemimpin Umno berkumpul, ada yang masih dalam perjalanan.

Ibu pejabat PAS - Sumber PAS mengatakan mesyuarat mungkin diadakan malam ini, tetapi ia belum disahkan.

Pagi ini, sejumlah anggota parlimen PKR yang menyokong timbalan presiden Azmin Ali mula berkumpul di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Ia terletak hanya kira-kira satu kilometer dari ibu pejabat Bersatu, di mana pemimpin parti itu turut bermesyuarat.

Ia mencetuskan spekulasi bahawa kem Azmin mungkin akan bekerjasama dengan Bersatu. Bagaimanapun desas-desus politik kian meningkat apabila jelas parti pembangkang juga terlibat.

Di Hotel Ritz Carlton di Kuala Lumpur, pemimpin GPS diketuai Abang Johari Openg mula berkumpul pada tengah hari. Tidak jelas bila mereka tiba dari Sarawak.

Pada masa sama, pemimpin Umno, yang mengadakan pemukiman dengan PAS di Janda Baik, Pahang pagi tadi mula kembali ke ibu pejabat parti di PWTC, Kuala Lumpur, pada petang tadi.

Pemimpin DAP, Amanah, dan PKR yang menyokong presiden Anwar Ibrahim tampak tidak termasuk dalam pergerakan hari ini memandangkan beberapa yang dihubungi Malaysiakini, berkata mereka tidak tahu-menahu dengan apa yang berlaku.

Mereka yang terbabit pula mengunci mulut di tengah-tengah keadaan yang masih berlangsung.

SEMAKIN Hangat!!! Menteri kemas meja, rancangan hadap Agong ketika Putrajaya dijangka ‘berubah’

Freemalaysiatoday
PETALING JAYA:
Sesetengah menteri telah mengosongkan jadual minggu depan mereka, sementara yang lain mengemas meja di kementerian masing-masing susulan jangkaan akan berlakunya rombakan besar Kabinet sewaktu cakap-cakap mengenai penjajaran baru politik yang bakal menyaksikan kawan dan lawan membentuk gabungan pemerintah baru tersebar luas.

Sumber yang berhubung dengan FMT mengenai perkembangan terbaru di Petaling Jaya, di mana pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali menghadiri mesyuarat berasingan dengan pemimpin parti mereka, tidak menolak kemungkinan satu pengumuman penting akan dibuat lewat hari ini.

Sumber lain memberitahu FMT bahawa terdapat rancangan oleh Mahathir untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan komposisi baru politik dalam kerajaan.

FMT tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut, tetapi sedang menghubungi pihak istana mengenainya.

Awal hari ini, Azmin dan kira-kira 9 pemimpin dan ahli Parlimen PKR yang menyokong beliau tiba di hotel Sheraton Petaling Jaya. Dalam pada itu pemimpin tertinggi PPBM bermesyuarat di ibu pejabat parti itu di Yayasan Selangor tidak jauh dari situ.

Difahamkan pemimpin PPBM, termasuk Mahathir akan menyertai Azmin dan pemimpin lain di Sheraton untuk membuat satu “pengumuman penting”.

“Di situ semuanya bermula dan mungkin di situ jugalah ia akan berakhir,” kata sumber itu lagi.

Kawalan keselamatan ketat di pintu masuk hotel tersebut ketka itu, di mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkampung pada awal subuh 10 Mei 2 tahun lepas berikutan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum ke-14.

Pengumuman berkenaan hampir pasti akan menyebabkan DAP hilang kuasa kerajaan pusat, sementara parti berteraskan orang Melayu memainkan peranan dominan di bawah gabungan baru politik yang lahir.

Dalam pada itu, apa-apa perubahan di peringkat kerajaan persekutuan bakal memberi kesan di peringkat negeri.

Keadaan semakin tegang dalam PH kini, ketika PKR, DAP, dan Amanah terus menekan Mahathir supaya menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan bahawa beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi dia mahu.

Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi petanda tentang penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.

Penyusunan itu akan menyatukan kumpulan politik yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri Melayu di semenanjung.

Awal bulan ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam bercakap tentang kemungkinan suatu pakatan baru, iaitu “Pakatan Nasional” yang sedang terbentuk.

PH dibentuk pada 2015 oleh PKR, DAP dan Amanah berikutan perpecahan Pakatan Rakyat, yang sebelum ini menggabungkan parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP.

Pada 2016, pakatan itu memperoleh rakan ke-4, PPBM, yang dibentuk oleh Mahathir selepas berpisah dengan Umno.

Penggabungan itu terbukti berkesan dalam menggerakkan sokongan rakyat di sebalik kekecewaan orang ramai terhadap pentadbiran Najib berkait skandal 1MDB, justeru membawa kepada kekalahan bersejarah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2018.

PANAS!! Penyokong Azmin bertemu di PJ, MP Bersatu dilihat hadir

Malaysiakini
Pemimpin PKR yang setia kepada Timbalan Presidennya Azmin Ali kini sedang bermesyuarat di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya, mencetuskan spekulasi suatu pengumuman penting akan dibuat petang ini.

Turut hadir ialah anggota parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Temerloh), Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Menariknya, Anggota Parlimen Bersatu Hamzah Zainuddin (Larut) juga kelihatan di hotel yang sama. Beliau diiringi oleh Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

Sama ada MP Larut itu akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu atau tidak, ia masih belum pasti.

Hamzah keluar Umno pada tahun lepas untuk menyertai Bersatu.

Turut kelihatan, aktivis sosial Hishammudin Rais dan penasihat Azmin Khalid Jaafar.

Mereka dipercayai berkumpul di sebuah bilik mesyuarat yang telah ditempah sehingga jam 7 malam.

Ketika laporan ini ditulis, Azmin dipercayai tidak berada di dalam hotel itu dan dijangka tiba kemudian.

Para pemberita telah menerima banyak mesej teks yang mendakwa kem Azmin akan mengumumkan mereka bakal meninggalkan PKR hari ini.

Bagaimanapun, dakwaan ini tidak boleh disahkan secara bebas.

Sesetengah wartawan juga telah menunggu di istana negara, dengan ada yang menjangkakan perubahan kerajaan akan berlaku.

Sementara itu, difahamkan Majlis Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat pagi ini di Menara Yayasan Selangor, kira-kira lima minit perjalanan dari hotel di mana kem Azmin sedang melakukan pertemuan.

Pegawai daripada kedua-dua kem Azmin dan Bersatu tidak memberitahu mengenai tujuan pertemuan hari ini, yang diadakan susulan mesyuarat PH yang penting pada hari Jumaat lalu.

Ketika mesyuarat Majlis Presiden PH itu, pemimpin tertingginga terbahagi kepada dua pendapat. Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Mahathir."

Perbicaraan bekas timbalan presiden PAS bermula 8 Jun

Hidir Reduan Abdul Rashid
Perbicaraan terhadap bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang berdepan 33 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) melibatkan hampir RM4 juta akan berlangsung selama 20 hari bermula 8 Jun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh menetapkan tarikh perbicaraan ketika Nasharuddin berada dalam kandang tertuduh pagi ini.

Hakim menetapkan tarikh tersebut setelah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes tu sebelum perbicaraan bermula, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Rozilah juga membenarkan permohonan peguam bela Mohd Shukri Ahmad Mansor agar 33 pertuduhan Nasharudin didengar secara bersama, dengan Zaki memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan.

Ditemui selepas prosiding, Zaki berkata antara saksi yang akan dipanggil pihak pendakwaan ialah dari Yayasan Nassar dan NGO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Untuk rekod, Nasharudin merupakan pengerusi yayasan berkenaan dan juga bekas CEO GMM.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Nasharudin mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan 30 tuduhan CBT berjumlah hampir RM4 juta.

Nasharudin didakwa melakukan tiga kesalahan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Dia dituduh menyalurkan hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang berjumlah RM302,069.60 kepada tiga orang penerima melalui akaun bank milik syarikatnya, Wasatiyah Centre For Peace Sdn Bhd.

Dana itu adalah peruntukan Kementerian Kewangan untuk GMM.

Ketiga-tiga kesalahan Amla yang didakwa itu berlaku pada bulan November dan Disember 2018, kira-kira empat bulan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan supaya GMM ditamatkan operasi.

Nasharudin dilantik sebagai pengerusi eksekutif NGO itu pada 28 Okt 2015, sehingga hari terakhirnya pada 31 Julai 2018.

Sementara itu, 30 dakwaan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, didakwa berlaku antara 2015 dan 2018, yang melibatkan wang sejumlah RM3,721,683.80 dalam dana yang dikaitkan dengan kedudukan Nasharudin ketika itu sebagai pengerusi Yayasan Nassar dan Ketua Pegawai Eksekutif GMM.

Diamanatkan untuk menguruskan aset milik Yayasan Nassar, Nasharudin dituduh, antara lain, melakukan pembayaran sebanyak RM51,000 pada 22 Ogos 2016 sebagai bayaran katering untuk perkahwinan anaknya, membayar RM25,756 pada 1 Feb 2018 untuk kolej swasta tempatan bagi yuran tusyen anaknya dan menawarkan pinjaman RM34,000 kepada anak perempuannya.

Dia juga dituduh secara tidak jujur menerima gaji keseluruhan RM321,274 sebagai pengerusi Yayasan Nassar antara 2015 dan 2018.

Azmin beritahu dia bawa pimpinan PAS jumpa Mahathir, kata Ezam

Faiz Zainudin
SUNGAI BULOH
: Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor hari ini membuat pendedahan terbuka bahawa Mohamed Azmin Ali yang menjadi orang tengah membawa pemimpin kanan PAS bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ezam turut mendakwa, bukan sahaja pertemuan itu dan pertemuan dengan pimpinan pembangkang lain diatur oleh timbalan presiden PKR itu, bahkan banyak lagi gerakan yang dilakukannya bagi menghalang presiden parti, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Saya ke Shah Alam 2-3 hari lepas, Azmin bawa Dr Samsuri (Mokhtar) menteri besar Terengganu jumpa dengan Dr Mahathir sekali atau 2 kali.

“…orang tanya saya mana awak tahu. Hari ini saya beritahu, saya tahu sebab Azmin bagi tahu saya, malah Azmin bagi tahu saya lebih banyak daripada itu, tapi saya simpan dulu,” katanya ketika berucap pada program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform di sini, hari ini.

Semalam Ezam berkata, seorang “pemimpian kanan” PKR menjadi orang tengah dalam pertemuan pemimpin PAS dengan Mahathir di London.

Beliau juga mendakwa Azmin merupakan individu yang memulakan langkah untuk merosakkan proses peralihan kuasa antara Mahathir dengan Anwar.

Dalam perkembangan sama Ezam turut mendakwa gerakan Kongres Maruah Melayu juga merupakan satu percubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Program itu katanya, yang dihadiri Azmin turut dihadiri Mahathir dan pemimpin pembangkang , lain termasuk Umno dan PAS.

“Dia mula main dengan Kongres Maruah Melayu. Main dengan isu agama, isu kaum. Sebagai perdana menteri dia (Mahathir) luluskan, angkat tangan sebelah kanan Hadi, belah kiri Annuar Musa, tapi ,Anwar Ibrahim tak dijemput. Apakah Anwar bukan Melayu?

“Bab cerita Melayu, panggillah Anwar, tapi tak panggil. Anwar tetap tak gelabah, dia tak berganjak. Malah dia sebut, saya tidak akan berganjak daripada perjuangan reformasi dan tidak akan tunduk kepada permainan politik kaum sempit yang akan mengalihkan fokus kita untuk melakukan reformasi melawan kelompok elit, rasuah dan menyeleweng,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan 138 ahli Parlimen (MP) telah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Portal itu melaporkan antaranya ia melibatkan 18 MP PAS, 26 MP PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 MP Umno dan 26 MP PPBM

PAS sebelum ini berkata, parti itu akan membawa usul percaya terhadap kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri pada persidangan Parlimen yang akan disambung semula pada 9 Mac ini.

Timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu adalah bagi menamatkan terus pertikaian sama ada Mahathir mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Ada muslihat licik tapi Dr M tak terlibat, kata Anwar

Malaysiakini
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga habis penggal, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR, yang dijanjikan sebagai perdana menteri kelapan, berkata demikian selepas bertemu dengan Mahathir bagi membincangkan isu mengenai peralihan kuasa.

“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,” katanya.

Sarawak Report minggu ini mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.

Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik "khabar angin" bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Dalam kenyataan petang ini, Anwar berkata beliau cenderung agar Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.

“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini,” katanya.

Anwar juga berkata beliau memaklumkan kepada Mahathir terdapat “muslihat licik” dan pimpinan PH mempertahahan perjanjian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh dan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

“Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu,” katanya.

Presiden PAS perlu berakhlak dalam berpolitik

Wan Ji Wan Hussin

Islam hadir, antara perkara utama yang dibawa adalah akhlak. Dengan akhlak itu, Islam diterima pesat. Dengan akhlak itu, Bilal bin Rabah yang merupakan hamba kepada Umayyah bin Khalaf memeluk Islam.

Melawan perkauman, antara akhlak yang diperjuangkan Islam. Bersifat amanah, merupakan akhlak yang dibawa oleh nabi. Nabi membawa sifat amanah itu sehingga baginda digelar al-Amin. Bagi orang belajar bahasa Arab, kalimah al-Amin itu bukan diterjemah "orang beramanah". Ia diterjemah sebagai "orang yang amat beramanah".

Islam menjulang akhlak kerana mahu dunia ini aman. Dengan akhlak, manusia tidak akan bergaduh. Dengan akhlak, manusia tidak akan bermusuh. Permusuhan dan pergaduhan penyebab kepada kehancuran masyarakat.

Sebarang unsur permusuhan, Islam akan tolak. Dengan sebab itu, amalan takfir (mengkafirkan Muslim) ditolak Islam. Dengan sebab itu, Nabi SAW pernah berpesan agar hati-hati dengan puak Khawarij yang mengamalkan takfir.

"Suatu hari nanti, akan berlaku kebisingan dalam kalangan umat ini - terdapat satu kaum yang mereka membaca al-Quran dengan bagus, tetapi al-Quran yang dibacakan itu tidak lebih sekadar halkum mereka sahaja. Ketika mereka membaca Al-Quran, mereka terkeluar dari agama seperti panah menembusi sasarannya", kata Nabi SAW dalam riwayat yang sahIh yang ditafsirkan oleh ramai ulama hadis sebagai kalangan Khawarij.

Puak Khawarij ini, terdiri dari kalangan "pak lebai" yang kuat beribadat. Dahi mereka hitam kerana kuat sembahyang. Jubah dan serban menjadi pakaian harian mereka. Hafalan al-Quran mereka bagus. Namun, bacaan al-Quran mereka bukan membawa keamanan kepada masyarakat. Cakap Islam mereka tidak mengikut tujuan Islam diturunkan. Mereka membaca ayat al-Quran dan hadis, semata-mata mahu halalkan kejahatan mereka. Al-Quran dan hadis yang mereka baca, tidak berasaskan kepada hidayah, sebaliknya untuk menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

Gerakan ini bermula pada era Saidina Usman. Mereka berkembang pesat pada era pemerintahan Saidina Ali. Tidak sedikit riwayat membuktikan bahawa Saidina Usman dibunuh oleh mereka.

Pada era Saidina Ali, mereka membaca al-Quran untuk menuduh Saidina Ali sebagai kafir. Manipulasi maksud firman tuhan dan sabda nabi yang dilakukan mereka itu menyebabkan Saidina Ali terpaksa mengungkapkan kata hikmah:

"Perkataan mereka itu benar, tetapi mengandungi tujuan yang batil".

Mereka kata, mereka pentingkan syariah. Dalam masa yang sama, mereka abaikan maqasid - tujuan penurunan syariah.

Soal keadilan tidak penting. Soal menjarah dana negara tidak penting. Soal kestabilan hubungan kaum tak penting. Soal hak semua warganegara tidak penting. Soal afirmatif berasaskan kepada keperluan tidak penting.

Apa yang penting pada mereka adalah ISA - ikut suka aku, ikut selera aku. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka, dia bakal di-ISA-kan, "islamic security act", iaitu dituduhnya kafir, munafik, ahli neraka dan sebagainya.

Presiden PAS

Kita sedar dengan amalan takfir yang diamalkan sebilangan ahli PAS. Menafikan kewujudan amalan itu sama seperti menafikan matahari memancar pada waktu siang.

Dalam YouTube, amalan itu dapat dilihat dalam ceramah PAS. Di laman Facebook, tidak sedikit amalan itu berlaku pada komen-komen ahli PAS. Agak banyak juga berlaku di Whatsapp.

Amalan itu secara konsisten dilakukan terhadap musuh PAS. Dengan sebab itu, dahulu mereka lakukan takfir kepada Umno, tetapi kini mereka lakukan takfir pula kepada bekas rakan seusrah mereka - Amanah.

Tidak dinafikan, tokoh-tokoh takfir dalam PAS, sudah ramai "memeluk Umno".

Ini diakui oleh pemimpin PAS. Namun, sukar untuk dinafikan bahawa kini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang terkenal dengan amanatnya berbau takfir kepada Umno - beliau sendiri yang bersungguh sungguh menggunakan seribu satu dalil al-Quran dan hadis untuk "kandar" PAS agar kerjasama politik dengan Umno.

Rakyat Malaysia tidak lupa jenama unity government, yang kini ada jenama Muafakat Nasional dan terbaru jenama Pakatan Nasional.

Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang mengkritik presiden PAS itu, pengkagum PAS umpama tentera Abrahah datang menyerang. Label takfir dan tanfiq (menuduh munafik) menjadi "peluru" serangan. Bukan sikit, bahkan ramai yang menjadi mangsa serangan.

Pernahkah ahli parlimen Marang itu berfikir bahawa semua ini adalah akhlak buruk yang bukan sekadar beliau sahaja perlu berhenti, bahkan iman beliau perlu sedar bahawa ahli-ahli PAS perlu ditarbiah dengan akhlak Islam - berhenti dari lakukan amalan Khawarij ini.

Beliau bukan sekadar perlu tarik balik "fatwa takfir Umno", malah beliau wajib bertaubat dari amalan takfir itu sendiri - agar rakan-rakan dari Amanah tidak menjadi mangsa serangan dari kalangan ahli PAS yang ditarbiyah dengan akhlak tidak Islam.

Ulama pewaris nabi

Kalau dahulu, ramai yang memeluk Islam dengan melihat akhlak nabi. Ini dapat dilihat pada individu bernama Bilal bin Rabah pada saat mengetahui Islam adalah agama melawan perkauman.

Kalau pun ada yang tidak memeluk Islam, mereka tetap akui kemuliaan akhlak nabi. Mereka menolak Islam kerana prejudis kepada nabi, tetapi mereka tidak ada alasan langsung untuk nak tuduh Nabi buruk akhlak.

Presiden PAS dengan amalan politik beliau, ada teman saya menuduh sebagai political animals. Saya cuba tafsirkan sebagai label-label binatang yang pernah beliau lontarkan kepada musuh politik beliau - seperti pernah menggunakan terma "babi", "anjing", "beruk", "biawak" dan sebagainya. Tetapi, teman saya itu menolak tafsiran itu, malah berhujah dengan merujuk projek "pintu belakang" yang diperkenalkan oleh ulama dari Rusila itu - projek untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Pernahkah presiden PAS berfikir bahawa projek pintu belakang ini pernah dilakukan oleh Najib Razak dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perak yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh PAS pada suatu masa lalu. Ketika itu, dalam ceramah PAS kata, tindakan itu tiada maruah.

Kali ini, tindakan tiada maruah itu cuba diideakan oleh presiden PAS pula. Bak kata Kiai Gus Mus dari jiran seberang, "Kamu ini bagaimana, aku itu harusnya bagaimana?"

Mana mungkin nabi yang berakhlak mulia berpolitik secara binatang. Tetapi, amalan ini dilakukan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang bergelar pewaris Nabi (?).

Imej Islam

Saya kira, ulama dan juga tokoh politik yang boleh kita pelajari adalah Sheikh Abdullah bin Bayyah. Bekas wakil presiden Mauritania itu pernah mengungkapkan kata hikmah:

Ttttt555tttttfttttttftt
"Antara maqasid yang diabaikan ramai Muslim adalah mereka tidak menjaga imej baik agama Islam."

Bin Bayyah yang juga ulama terkenal dengan amalan kesufian menekankan begitu, kerana beliau sedar bahawa telah berlaku banyak salah faham oleh ramai masyarakat bukan Muslim terhadap agama Islam disebabkan sifat-sifat Muslim yang tidak mencerminkan akhlak Islam.

Sebagai Muslim, setiap kita ada tanggungjawab dalam menjaga imej baik agama Islam ini. Ia adalah tanggungjawab setiap Muslim. Apa lagi, orang seperti presiden PAS yang memegang gelaran ulama.

WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya

Pakatan Nasional hanya propaganda pecahbelah kesatuan PH

MOHD ALI HASHIM
Desas-desus yang mengatakan bahawa pembentukan gabungan politik baharu iaitu Pakatan Nasional (PN) hanya merupakan propaganda Umno dan Pas, bagi memecahbelahkan kesatuan Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau menyakini Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak akan mengkhianati PH, susulan desas-desus pembentukan gabungan PN tersebut.

“Sebenarnya tiada dalam sejarah negara, Kerajaan Persekutuan bertukar tangan pada separuh jalan atau tiga suku penggal pemerintahan.

“Pertukaran pentadbiran negara sedemikian akan menyebabkan kestabilan politik dan negara akan terancam.

“Ia boleh menjadi kucar-kacir kerana jelas mengkhianati mandat dan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, ” tegasnya.

Beliau amat optimis Dr Mahathir akan tetap setia pada PH dan tidak akan mengkhianatinya.

Malah jelas Dr Zaidi, Perdana Menteri pernah berpandangan, pertukaran dan peralihan kuasa (bukan peralihan kuasa parti pemerintahan) diseparuh penggal akan menyebabkan ketidakstabilan pentadbiran negara.

“Optimis bahawa Tun Mahathir akan tetap istiqamah bersama PH adalah atas faktor tiada masalah dalam jemaah menteri maupun Majlis Presien PH.

“Hubungan pemimpin-pemimpin kanan parti-parti komponen PH, yang juga selaku Menteri dan Timbalan Menteri adalah baik.

“Oleh kerana itu agak mustahil apabila didakwa tanpa alasan dan secara tiba-tiba sahaja Tun Mahathir akan mengkhianati PH, ” tambah beliau.

Ia juga berkata, PH sebenarnya tidak akan mudah terpedaya dengan propaganda tersebut, sebaliknya jelas memperlihatkan Pas dan Umno masih belum boleh menerima kekalahan dalam PRU ke 14 yang lalu.

Yang ketara ujar Dr Zaidi, PH semakin kuat dan kukuh kesatuannya.

Peluk Islam pada usia 84 tahun

TERJEMAHAN SINAR HARIAN | | 9 Februari 2020
LONDON - Seorang wanita warga emas yang hidup sebatang kara diberi hidayah untuk kembali kepada fitrah.

Memeluk Islam pada usia 84 tahun, kisah Mariam memberi inspirasi kepada orang ramai apabila dia bersyukur dipilih ALLAH menjadi seorang Muslim dan kini merasa hidupnya semakin tenang.

Menerusi entri Instagram miliknya, Mariam berkongsi, dia pertama kalinya menjejakkan kaki di Redbridge Islamic Center (RIC) pada 19 Disember 2019 dan mengucap dua kalimah syahadah di sana.

Mariam tiada keluarga atau pun adik-beradik, namun tergerak hati untuk pergi ke masjid tersebut dan kini bersama saudara seislam di RIC mendalami ilmu Islam dan tidak lagi bersendirian.

Pada entri tersebut, Mariam turut mempelajari kata-kata seperti alhamdulillah, bismillah dan Allahuakbar.

Mariam memberi inspirasi kepada orang ramai apabila dia bersyukur dipilih ALLAH menjadi seorang Muslim dan kini merasa hidupnya semakin tenang.
Mariam memberi inspirasi kepada orang ramai apabila dia bersyukur dipilih ALLAH menjadi seorang Muslim dan kini merasa hidupnya semakin tenang.
Bercerita lanjut, Mariam memberanikan diri untuk ke RIC sebelum dipelawa seorang wanita dan menjemputnya masuk.

Ketika sedang duduk, Mariam bertanyakan kepada jemaah apa yang mereka sedang lakukan dan mereka menjawab sedang bersolat.

Setelah diberi penerangan terperinci apa itu solat, kiblat, secara tiba-tiba Mariam bertanya, bagaimana untuk dia menjadi seorang Muslim?

"Saya mahu menjadi seorang Muslim," katanya.

Rentetan itu, kini Mariam atau nama sebenarnya Maria bergelar mualaf.

Kisah Mariam yang sungguh menyentuh hati itu pastinya menarik perhatian netizen termasuk pelayar Twitter Muslim Daily yang mendoakan agar Mariam terus beristiqamah dalam menjadi seorang Muslim hebat.

"Saya hiba melihat Mariam mengucap syahadah. Hidayah itu milik ALLAH, pada usia sebegini dia tetap diberi hidayah," kata Fitriana.

Kata Ukti, "Selamat datang, Allahuakbar, moga ALLAH berkati perjalanan kamu."

Saya hantar beg sekolah penuh wang ke rumah Rosmah

Malaysiakini
KES ROSMAH |
Seorang pemandu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia pernah menghantar “dua buah beg sekolah” penuh dengan wang tunai ke kediaman Rosmah Mansor.

Shamsul Rizal Sharbini berkata, dia membeli dua beg - yang dirujuk sebagai “beg sekolah” berwarna hitam dengan garisan oren - atas arahan dari majikannya Saidi Abang Samsudin. Beg tersebut berharga RM45.

“Kemudian saya ke bank dengan beg tersebut seperti diarahkan Saidi. Saya diarahkan untuk meletakkan beberapa ikat wang berjumlah RM100 ke dalam beg itu. Kejadian berlaku di bilik kebal (cawangan) Maybank.

“Saya tidak mengira wang tersebut dan terus meletakkannya ke dalam dua beg berkenaan. Saya bawa beg itu dan letakkan dalam bonet kereta,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh pendakwa raya Mustafa Kunyalam pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Rosmah.

Ketika ditunjukkan gambar kediaman Rosmah, Shamsul mengenal pasti sofa hijau di mana dia meninggalkan kedua-dua beg itu dan juga Saidi yang imejnya turut berada dalam foto berkenaan.

“Saya bawa dua beg itu dengan wang (di dalamnya). Namun kamu cuma boleh nampak seorang dalam foto ini,” katanya menambah gambarnya tidak kelihatan kerana sudut rakaman.

Saksi itu turut berkata insiden tersebut berlaku sebelum syarikat Saidi- Jepak Holdings Sdn Bhd-memperoleh kontrak untuk membekalkan tenaga solar untuk sekolah-sekolah di luar bandar di Sarawak bernilai RM1.2 billion.

Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah sebanyak RM1.5 juta berhubung projek itu.

Menurut kakitangan cawangan Maybank Medan Tuanku yang memberi keterangan semalam, Saidi mengeluarkan wang secara tunai sebanyak RM5 juta pada 20 Disember 2016, dan RM1.5 juta pada 7 Sept 2017.

Meskipun Shamsul tidak dapat mengingati tarikh yang tepat kejadian tersebut, beliau memberitahu telah membawa "beg sekolah" ke kediaman Rosmah pada September 2017.

Shamsul juga memberi keterangan bahawa beliau telah membawa Saidi pada 2016 untuk bertemu Rizal Mansor, iaitu pembantu Rosmah pada masa itu.

Shamsul berkata, beliau kemudiannya membawa Saidi ke sebuah bank dengan dua beg yang baru dibeli.

Beliau berkata Saidi dan seorang bernama "Razak" kembali kira-kira 15 minit kemudian, masing-masing membawa salah satu beg tersebut.

“Mereka letakkan beg itu di bonet. Saidi duduk di depan dan Razak di belakang, Tiba-tiba seorang lelaki memakai jaket hitam masuk kereta dan duduk sebelah Razak.

“Saya tidak kenal siapa, Dia seperti seorang pegawai polis kerana dia bawa senjata api. Saidi beritahu saya yang dia takut apa-apa yang buruk akan terjadi kepadanya dan dia akan mati,” katanya.

Keempat-empat orang itu kemudian menuju ke sebuah bangunan di sebelah pusat membeli-belah Pavilion di ibu kota di mana beliau melihat Rizal di lobi.

Setelah Saidi berbual dengan Rizal, dua beg tersebut dikeluarkan dari bonet kereta dan diletakkan di sebuah kereta Toyota Vellfire warna hitam, kata saksi itu.

Saidi dan Razak kemudian kembali dalam kereta yang dipandu Shamsul tanpa lelaki bersenjata tersebut.

“Dalam kereta, Saidi melawak berkata dia tidak tahu siapa yang akan datang atau siapa yang ingin membunuhnya. Razak cuma tertawa,” kata Shamsul.

Shamsul juga memberi keterangan bahawa dia tidak tahu menahu akan isi dalam beg tersebut.