"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apakah PAS berasa sudah cukup kuat?

Mungkin selepas mentadbir beberapa negeri dan menduduki kerusi-kerusi penting dalam kerajaan negeri, PAS berpendapat mereka sudah kuat dan tidak memerlukan lagi parti komponen untuk bekerjasama.

Hakikatnya PAS lupa bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa kerjasama dengan parti komponen PKR dan DAP dalam dua pilihan raya yang lalu.

Jika dianalisis, PAS tidak kuat jika bergerak secara solo. PAS hanya berjaya mendapat tempat oleh kerana sokongan dari pengundi atas pagar dan pengundi yang bukan ahli PAS terutamanya di kawasan pantai barat seperti Selangor.

Ternyata senario pengundi bukan Melayu yang mengundi PAS sebelum ini tidak akan berulang sekali lagi jika dinilai posisi yang diambil oleh PAS dalam konteks politik Malaysia sejak kebelakangan ini dan mungkin akan menjadi antara faktor kepada kekalahan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

PAS dilihat sebagai rakan mesra kepada Umno sejak akhir-akhir ini. Tatkala keyakinan rakyat terhadap Umno semakin merosot dari hari ke hari, PAS memilih untuk 'bermesra' dengan Umno.

Amat mengejutkan apabila baru-baru ini ada seorang pemimpin PAS pusat mempertahankan dan menyatakan simpati kepada YAB Datuk Seri Najib Razak seolah-olah pemimpin tersebut bercakap dalam kapasiti Ketua Pemuda Umno Malaysia. Melucukan.

Dalam pilihan raya lalu, rakyat mengundi PAS kerana mereka menolak Umno dan bukan kerana kekuatan PAS. Oleh kerana rakyat benci kepada Umno lalu kebencian itu dizahirkan dalam bentuk undi.

Saya tidak pasti jika agenda dan dasar ekonomi PAS merupakan faktor utama masyarakat dalam pilihan raya lalu mengundi PAS?

Kemesraan dengan Umno bukan lagi gimik. Ia telah menjadi realiti. Malah secara terang-terangan tanpa sembunyi lagi.

Sungguh jelas sehingga sukar untuk kita bezakan yang mana satu Umno dan yang mana satu PAS, pada hari ini kerana rupa dah sama, nada juga sama, matlamat dan cita-cita juga sama.

Persoalannya apakah ahli akar umbi PAS boleh menerima kemesraan ini?

'Penasihat' kerajaan

Lihat sahaja mesej yang dihantar oleh akar umbi PAS di Pengkalan Chepa. Mungkin majoriti akar umbi tidak senang dengan pemimpin PAS yang dilihat seakan-akan 'mesra' Umno? Kita tidak akan tahu kerana pertandingan tersebut hanya 'suka-suka'.

Tatkala negara berhadapan dengan isu ekonomi, skandal rasuah, tuduhan demi tuduhan yang tidak terjawab serta siasatan negara luar berkenaan skandal kewangan negara, PAS lebih berminat dengan isu baiah dan kecam mengecam rakan-rakan pembangkang lain.

Malah yang lebih mengejutkan kita adalah apabila PAS berminat untuk memainkan peranan sebagai 'penasihat' kepada kerajaan, bukan penentang dan pencabar?

Oh, ini merupakan sikap terpuji. PAS hari ini sangat bersangka baik dan suka menasihati. Sudah tentu ia merupakan satu budaya yang sihat sebagai sebuah parti politik yang serius memperjuangkan kebajikan rakyat Malaysia, bukan?

Banyak profesional yang telah meninggalkan PAS. Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana anda tidak perlu menjadi profesional untuk bersama PAS.

Anda cuma perlu kemaskini status di Facebook dan pergi ke parlimen bagi menyemak jadual parlimen untuk mengetahui bila RUU355 akan disenaraikan dan dibentangkan serta tempoh masa ia akan ditangguhkan pada persidangan parlimen seterusnya dan seterusnya.

PAS kini kembali kepada parti PAS yang asal, gah memerintah Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu, sehingga menjadi negeri 'termaju' dalam Malaysia. Agak terkejut juga apabila timbul ura-ura bahawa PAS mahu menawan Selangor.

Lupa kedudukan di Selangor

Adakah PAS lupa di mana kedudukan PAS di Selangor sebelum wujudnya Pakatan Rakyat? PAS sentiasa bermegah dengan kuasa jentera mereka yang ramai dan mendakwa bahawa selama ini PKR dan DAP hanya bergantung kepada kekuatan jentera PAS dalam berkempen. Mungkin PAS lupa ini sudah tahun 2017, bukan 1977 lagi.

Jumlah jentera kempen memainkan peranan yang kecil pada hari ini terutama di kawasan bandar.

Tatkala kita boleh mengikuti ceramah melalui 'live feed' daripada Facebook sahaja dengan duduk sofa sambil makan kuaci, dengan kuasa maklumat di hujung jari kerana internet tanpa batasan, adakah PAS masih berpendapat kekuatan jentera untuk memasang poster dan bendera adalah relevan untuk memenangi pilihan raya?

Saya yakin tanpa jentera yang besar, tanpa poster dan bendera yang banyak sekalipun sesebuah parti boleh memenangi pilihan raya kerana trend hari ini adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan waktu zaman sebelum internet dahulu.

Tetapi tidak dinafikan bahawa mungkin PAS mempunyai sedikit kelebihan di kawasan luar bandar.

Sepatutnya PAS mencari 'common ground' dan bekerja sama dengan parti pembangkang lain. Tetapi hakikatnya tidak. PAS memilih untuk 'bercakaran' dengan parti-parti pembangkang yang lain. Ini amat mengecewakan rakyat. Dan rakyat yang kecewa akan menghukum PAS dalam pilihan raya akan datang.

'Bertomoi' rakan pembangkang

Dengan menyatakan bahawa ia akan bertanding dalam semua kerusi di Selangor, PAS hanya bertindak sebagai pemecah undi dan ini hanya akan memudahkan Barisan Nasional memenangi pilihan raya akan datang.

Rakyat hari ini sudah bijak dan boleh menilai keikhlasan PAS dalam memperjuangkan hak rakyat yang semakin tertindas dengan kos sara hidup yang tinggi serta skandal yang berleluasa. Bagaimanapun rakyat nampak bahawa PAS lebih berminat untuk ber'tomoi' dengan rakan-rakan pembangkang lain sahaja.

Rakyat juga mungkin keliru terhadap perjuangan PAS pada hari ini. Masakan tidak, hari ini melawan BN, esok menyokong BN, lusa berbincang dengan PPBM, tulat menghentam DAP, hari kemudiannya bergaduh dengan PKR, selepas itu mengecam AMANAH dan begitulah seterusnya selama berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan-bulan.

Rakyat semakin bingung dan keliru dengan kehendak dan hala tuju PAS yang sebenar.

PAS boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang bocor, ke darat tidak, ke lautan juga tidak. Tiada nakhoda yang boleh memberikan panduan yang jelas, tiada sauh untuk dilabuhkan, tiada layar yang kuat, tetapi dengan keyakinan yang tinggi ia boleh membelah lautan Hindi. Menyedihkan.


PAS boleh bersiap sedia untuk kembali ke Kelantan semula seperti mana asalnya. Jangan lupa wahai PAS, rakyat mengundi Pakatan Rakyat, bukan PAS. PAS berada di kedudukannya hari ini kerana Pakatan Rakyat, bukan kerana PAS itu sendiri.

Mohammad SIDDIQ AZANI Adalah seorang peguam
-malaysiakini

Hadi kelirukan PAS

ALOR SETAR: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, disifatkan kurang berkarisma hingga menyebabkan partinya keliru membuat keputusan. 

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tindakan Hadi menjadikan PAS ibarat parti tidak berpendirian. 

Beliau berkata, Hadi mempunyai kekurangan karisma jika dibandingkan dengan pemimpin PAS terdahulu seperti Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

"Parti yang dipimpin Hadi tidak mempunyai penyelarasan terutama apabila sering bertukar pendirian mengenai kerjasama yang ingin dilakukan dengan PPBM sebelum ini. 

"Ya, memang berbeza. Hadi ini orang yang kurang karisma berbanding Fadzil, Nik Aziz dan Tan Sri Mohamad Asri Muda sebab beliau ini walaupun macam-macam tuduhan dibuat, tetap tidak dijawabnya. 

"Sekarang ini saya dapati PAS macam keliru sebab kadang-kadang macam nak bersama kita, lepas itu tak bersama. Dia minta adakan mesyuarat lepas itu dia kata tak pula, jadi macam tiada penyelarasan," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Terdahulu, Tun Mahathir menghadiri mesyuarat PPBM Kedah bersama pemimpin Pakatan Harapan, di sini. 

Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa PAS sengaja mencipta alasan dengan menuduh sikapnya menjadi punca parti itu menutup pintu rundingan bersama PPBM sedangkan hakikatnya, mereka sering memburukkan keadaan. 

"Itu alasanlah. Saya tak kata apa pun sebab yang dok bercakap memburukkan keadaan ialah PAS bukan saya tapi depa tak nampaklah sebab tak guna cermin, ...kita kena guna cermin," katanya.
-bharian

Keluarga Allahyarham Nik Aziz buat laporan polis terhadap Amanah

BERNAMA
Anggota keluarga bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membuat laporan polis terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung penganjuran satu seminar oleh parti itu yang menggunakan nama Nik Abdul Aziz.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh menganggap penganjuran seminar oleh Amanah adalah penghinaan terhadap Allahyarham bapanya itu yang selama ini istiqamah dengan perjuangan PAS.

"Amanah nak anjur seminar guna nama tok guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz) dan mereka sebelum ini sentiasa sebut Allahyarham pun akan sokong Amanah (jika masih hidup).

"Saya anggap ini satu penghinaan kepada Allahyarham kerana kita sedia maklum Allahyarham sentiasa istiqamah dengan perjuangan PAS ketika beliau masih hidup," katanya pada sidang akhbar di rumah Allahyarham di Pulau Melaka, hari ini.

Hadir sama, adik Allahyarham, Nik Din dan Nik Mohd Nasim dan anak Allahyarham, Nik Adli.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa kira-kira 10.30 pagi tadi.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas berkata anggota keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Amanah jika parti itu terus menggunakan nama Allahyarham semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Amanah, menerusi laman sesawang mereka di http://amanahdaily.com pada 20 Mac lepas dilapor akan menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9 April depan yang akan berlangsung di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur.

100 peratus muka baru barisi jawatan FAM

Kongres FAM ke-53 hari ini menyaksikan penyandang timbalan presiden Datuk Seri Afandi Hamzah gagal mempertahankan jawatan sekali gus menampilkan dua muka baru bagi jawatan tersebut.

Afandi yang meraih enam undian ditewaskan pencabarnya, Datuk Seri Subahan Kamal (37 undi) dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi (33 undi) melalui undian 38 perwakilan yang hadir.

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden juga menyaksikan empat muka dipilih baru daripada lapan calon ‎yang bertanding.

Tiga penyandang jawatan nombor tiga itu memilih untuk tidak bertanding kecuali Datuk Takiyuddin Hassan sekali gus gagal mempertahankan jawatannya.

Bagi jawatan ahli jawatankuasa lelaki menyaksikan lapan muka baru menjadi pilihan perwakilan‎ daripada 17 calon.

Ahli jawatankuasa wanita juga memberi peluang kepada dua muka baru sekali gus menyingkirkan penyandang.

Berikut senarai Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM sesi 2017-2021:

Presiden:

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

‎Timbalan presiden:

1) Datuk ‎Seri Subahan Kamal,‎ 37 undi

2) Datuk Mohd Yusoff Mahadi,‎ 33 undi

Naib presiden:

1) Mohd Johari Mohd Ayob, 34 undi

‎2) Datuk Ab Ghani Hassan‎, 29 undi

3) Datuk S Sivasundaram, 28 undi

4) Datuk Rosmadi Ismail, 20 undi‎

Ahli Jawatankuasa lelaki:‎

1) Supritenden Mohd Dali Wahid, 25 undi

‎2) Datuk Azisman Alias, 33‎ undi

3) Datuk Amiruddin Omar, 30 undi

4) Datuk Hisamuddin Yahya, 29

5) Subkhiddin Mohd Salleh, 21 undi

6) Mohd Firdaus Mohamed, 21 undi

7) Christopher Raj Avalanthu, 25 undi

8) Datuk Jeffrey Low Han Chau, 28 undi‎

Ahli Jawatankuasa wanita:‎

1) Datuk Suraya Yaacob, 24 undi

2) Sharizah Umamah Abdul Mutalib, 18 undi
-malaysiakini

Bersatu dedah sikap Pas semasa rundingan

Giliran Bersatu pula pertikai sikap Pas
ARIF ATAN
Dr Muhammad Faiz NaamanParti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini dilihat lebih menumpukan usaha untuk berbincang dengan Pas akhirnya mendedahkan sikap negatif pemimpin utama parti itu tidak terkecuali Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggnya Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, rundingan antara kedua-dua parti itu sejak awal lagi mengalami pelbagai kesukaran atas beberapa faktor yang kebanyakannya berpunca daripada pihak kepimpinan Pas.

"Sebagai contoh sewaktu pertemuan pertama kumpulan rundingan Bersatu dengan P, pihak Pas tidak diwakili oleh Presiden Pas pun.

"Walhal, Presiden PPBM mengetuai kumpulan rundingan di pihak parti, Ini menunjukkan ketiadaan komitmen atau mungkin keangkuhan di pihak kepimpinan Pas yang tidak serius meraikan usaha rundingan sesama ummah.

"Mungkin pihak kepimpinan Pas anggap status Presiden tidak sama dengan Presiden Pas, wallahualam," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beberapa pemimpin Pas termasuk presiden parti itu tiada adab akhlak Islamiyyah kerana tidak faham erti 'gencatan senjata' sepanjang proses rundingan tersebut berlangsung.

Lima lagi pemimpin Pas Pusat yang berterusan menghentam Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir secara terbuka di media, ujarnya, adalah Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Aziz dan Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan.

Turut dinyatakan, Ketua Penerangan Dewan Ulamak, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali serta Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki.

"Itu belum lagi termasuk syarat yang dikenakan kepimpinan Pas ke atas PPBM hingga menyulitkan lagi proses rundingan seperti mahu PPBM memilih antara Pakatan Harapan atau Pas.

"Walhal kita tahu bahawa PPBM berusaha menyatukan semua blok pembangkang demi menghadapi BN," ujaranya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendirian kepimpinan Pas terhadap usaha rundingan dengan parti itu juga dilihat berbeza seolah-olah wujud dua puak dalam Pas.

"Satu pihak mahu perdamaian dengan PPBM melalui Timbalan Presidennya. Lagi satu pihak, dilihat anti kerjasama dengan PPBM yang diketuai Presiden Pas sendiri.

"Oleh kerana itu apabila Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada media bahawa Pas menjemput PPBM berunding agihan kerusi untuk PRU (Pilihan Raya Umum), kenyataan itu seolah-olah dinafikan oleh beberapa tokoh pemimpin Pas seperti Timbalan Mursyidul Am Pas dan Naib Presiden Pas keesokannya.

"Seolah-olah wujud jurang komunikasi antara pemimpin Pas dalam soal rundingan tersebut," jelasnya yang juga Timbalan Ketua Penaja Bahagian Putrajaya.

Sehubungan itu, Faiz berkata, rakyat pada masa ini boleh menilai pihak mana yang sebenarnya menyulitkan usaha rundingan berkenaan selepas tiga kali pertemuan Bersatu-Pas diadakan antara team rundingan Bersatu dengan Pas tanpa sebarang hasil yang jelas.

"Sekarang pendirian PPBM ialah menangguhkan sebarang rundingan rasmi dengan Pas sehinggalah Pas sendiri yang membuat keputusan rasmi di pihak mereka ketika Muktamar Pas April nanti," tegasnya lagi.

Macammana kepala lelaki ini boleh tersangkut pada komputer


China – Gara-gara kecewa kerana tewas dalam permainan video dalam talian, seorang pemuda bertindak menanduk skrin komputer hingga menyebabkan kepalanya tersangkut pada alatan berkenaan.

Pemuda berkenaan dilaporkan bermain permainan League of Legends bersama beberapa rakannya di sebuah kafe Internet baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia dan rakan-rakannya sering tewas menyebabkan kedudukan pasukannya dalam permainan dalam talian itu jatuh.

Kerana terlalu kecewa dengan prestasi rakan sepasukannya, pemuda itu secara tiba-tiba menghantuk kepalanya pada skrin komputer menyebabkan alatan itu berlubang.

Tindakan pemuda itu menyebabkan rakan-rakannya dan petugas di kafe Internet berkenaan terkejut.

Kerana terlalu kecewa dengan prestasi rakan sepasukannya, pemuda itu secara tiba-tiba menghantuk kepalanya pada skrin komputer menyebabkan alatan itu berlubang.

Tindakan pemuda itu menyebabkan rakan-rakannya dan petugas di kafe Internet berkenaan terkejut.
-kualalumpurpost

Sikap membisu MP Pas bincang RUU355 di Dewan Rakyat menghairankan

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin melahirkan rasa hairan dengan sikap ahli-ahli Parlimen Pas yang tidak langsung bangun mencelah ketika hal berkaitan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dibincangkan di Dewan Rakyat, petang semalam.

Menurut beliau, ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berucap menggulung perbahasan, perkara berkaitan RUU 355 dibincang hangat.

"Semasa penggulungan daripada YB Datuk Seri Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal agama, berlaku sedikit perdebatan antara ahli parlimen pembangkang dan YB Menteri antaranya isu hukum sebatan Syariah dan isu RUU 355.

"Di kalangan MP Amanah, ada empat daripada enam ahli parlimen yang ambil bahagian berdebat dan tanya soalan dan beberapa ahli parlimen DAP dan PKR juga ambil bahagian.

"Yang bangun daripada Amanah ialah ahli parlimen Parit Buntar, ahli parlimen Shah Alam, ahli parlimen Kuala Terengganu dan ahli Parlimen Sepang," jelas beliau.

Namun Hanipa melahirkan kehairanan kerana tiada seorang pun ahli parlimen Pas yang bangun mencelah walaupun polemik berhubung RUU 355 tercetus ekoran usul rang undang-undang persendirian oleh ahli parlimen Marang yang juga presiden Pas.

"Pelik juga saya, meskipun ahli parlimen Pas bawa (usul) RUU 355 di Parlimen, namun tak ada seorang pun MP Pas yang bangun untuk paling kurang tanya soalan kepada Menteri.

"No problem Pas, MP Umno pun tak ada yang bangun juga tadi. Kan sama!" komen Hanipa di laman sosial semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melahirkan keyakinan  RUU 355 lebih mudah dilulus jika dibentang wakil kerajaan.

Bercakap kepada Astro Awani di Kota Bharu semalam, Takiyuddin berkata, apabila RUU berkenaan dibawa oleh wakil kerajaan, maka semua ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) yang terdiri dari ahli Parlimen BN terikat dengan arahan ketua whip BN untuk menyokong usul pindaan berkenaan.

Usul pindaan itu juga akan lebih mudah dibentangkan kerana ia hanya perlu melalui bacaan kali pertama, dan bacaan kali kedua untuk undian, berbanding sekiranya ia dibawa oleh wakil pembangkang, yang perlu notis 14 hari, dan hanya boleh bentangkan selepas rang undang-undang lain wakil kerajaan selesai dibahaskan.

Tambah Takiyuddin, beliau yakin usul pindaan ini akan diluluskan walaupun tanpa sokongan ahli Parlimen dari PKR dan DAP kerana gabungan ahli Parlimen beragama Islam dari BN dan Pas sudah mencukupi untuk mendapatkan majoriti mudah dalam undian pindaan RUU 355 sekiranya ia dibentangkan.

“Saya yakin kita akan dapat cukup (undian daripada) Umno, Pas. Yang bukan Islam ni mungkin dia tak datang dan tak hadir masa hari pengundian.

“Sebabnya satu lagi aspek, RUU 355 ni apabila lulus, undang-undang ini bukan wajib kepada negeri-negeri, negeri ada pilihan nak guna pakai atau tidak. Kalaulah Pulau Pinang tak nak guna pakai pindaan 355, dia tak perlu ambil, dia guna 356 yang sekarang ni.

“Begitu juga Sarawak. Sarawak kata dia tak setuju. Jadi kita nak beritahu, bukan bermakna bila lulus 355, Sarawak wajib ambil. Tidak, tak wajib,” ujarnya yang menambah semua keputusan adalah di bawah Dewan Undangan Negeri tu sendiri.

Kenyataan Takiyuddin disifatkan bercanggah dengan kenyataan para pemimpin parti itu sebelum ini yang mendakwa usul persendirian RUU 355 lebih mudah dibawa wakil Pas bagi mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan proses ia diluluskan Dewan Rakyat.

Pas juga menganjurkan Himpunan 355 18 Februari lalu di padang Merbok Kuala Lumpur bagi menyokong usul RUU 355 yang bakal dibawa presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buat kali ketiga di sesi Dewan Rakyat kali ini.

Walaupun diberi peluang oleh Speaker, Abdul Hadi telah dua kali menangguhkan pembentangan usul itu di Dewan Rakyat pada dua sesi parlimen lepas.

Jumaat lalu, semasa berucap merasmikan persidangan berkelompok persidangan Umno cawangan peringkat negeri Terengganu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan usul pindaan RUU 355 akan dibawa oleh wakil kerajaan BN dalam sidang parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Beliau yang juga ketua whip BN berkata, ia untuk membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.

Bekas pegawai tinggi polis ini dipenjara 40 tahun kerana rogol & liwat

BERNAMA
Bekas Ketua Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dikenakan hukuman penjara 40 tahun dan 15 kali sebatan kerana merogol dan meliwat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lima tahun lepas, dalam apa yang disifatkan sebagai "jenayah kerana menurut hawa nafsu".

Deputi Superintenden Rohaizat Abd Ani, 58, gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mengetepikan sabitan kesalahannya merogol dan meliwat oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, hukuman penjaranya dikurangkan separuh daripada 80 tahun kepada 40 tahun selepas panel tiga hakim mahkamah itu memerintahnya menjalani hukuman penjara bagi tiga tuduhan merogol berjalan serentak.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakilinya, berkata dengan mengambil kira potongan satu pertiga daripada hukuman penjara kerana berkelakuan baik, Rohaizat akan menjalani hukuman penjara selama 27 tahun sehingga dia berusia 85 tahun.

Rohaizat, yang memakai jaket hitam, kelihatan tenang ketika keputusan itu diumumkan mahkamah. Seorang jurubahasa mahkamah kelihatan menyampaikan keputusan itu kepadanya sebelum dia dibawa ke lokap bangunan mahkamah kemudiannya.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim mengeluarkan waran hukuman terhadap Rohaizat untuk menempatkannya di penjara memandangkan sebelum itu, dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan hari ini.

Rohaizat disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen bagi empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat remaja berkenaan, yang didakwa dilakukannya di Tang Dynasty Hotel, Kota Kinabalu antara 1 Feb 2012 dan 6 Mei 2012. Selepas gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi, Rohaizat mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadapnya bagi setiap kesalahan dan tiga kali sebatan rotan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua kerana merogol dan meliwat mangsa bawah umur itu, dengan hukuman penjara diperintah berjalan serentak, dan hukuman penjara 20 tahun serta tiga kali sebatan bagi setiap tiga kesalahan merogol, yang dilaksanakan secara berturut-turut.

Mohd Zawawi menolak rayuan Rohaizat berhubung sabitan kesalahannya, tetapi membenarkan rayuannya agar hukuman penjara dikurangkan dan memerintahnya menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi tiga pertuduhan merogol secara serentak, bukan secara berturut-turut.

Rohaizat diperintah mula menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi tiga kesalahan merogol setelah selesai menjalani hukuman penjara bagi dua kesalahan pertama.

Mohd Zawawi berkata terdapat cukup keterangan bagi menyokong sabitan kesalahan Rohaizat.

Pada satu peringkat semasa prosiding, Mohd Zawawi menyifatkan kes itu sebagai "jenayah kerana menurut hawa nafsu" apabila timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah bahawa Rohaizat adalah bekas pegawai penguat kuasa undang-undang.

Hamdan berkata mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan tiada sebab baginya untuk membabitkan Rohaizat, serta menambah bahawa mangsa menangguhkan membuat laporan polis kerana takut mereka tidak mempercayai ceritanya.

Terdahulu, Geethan Ram, dalam hujahnya berkata, remaja itu membabitkan Rohaizat kerana marah kepada emaknya, yang menerima sokongan kewangan daripada Rohaizat.

Katanya, terdapat percanggahan dalam keterangan remaja berkenaan, yang disifatkannya sebagai "orang bijak", yang mendakwa dia dipaksa emaknya supaya melakukan hubungan seks bagi menyelesaikan hutang emaknya, tetapi emaknya memberi keterangan berbeza.

Ketika membela diri di Mahkamah Sesyen, Rohaizat menafikan dia merogol atau meliwat mangsa, tetapi mengaku melakukan hubungan seks dengan dua wanita, termasuk emak remaja berkenaan.

Kakak beritahu dia dirogol

MELAKA - Seorang wanita warga Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota jabatan imigresen negeri ketika proses rakaman percakapan dilakukan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah di sini, dua minggu lalu.

Wanita berusia 29 tahun dan telah berkahwin dengan lelaki tempatan itu berkata, perkara itu diketahui apabila kakaknya memberitahu semasa mereka berada di dalam depoh tersebut.

“Saya yang tinggal di Seremban datang ke Melaka dengan seorang kawan pada 7 Mac lalu untuk berjumpa dengan kakak yang bekerja di sebuah pusat urut di Melaka Raya.

“Tapi lebih kurang 11 malam, pusat urut itu diserbu pihak berkuasa menyebabkan saya, kawan, kakak dan dua lagi pekerja di situ semuanya warga Thai ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, mereka semua dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah  kemudian dipanggil bagi sesi rakam percakapan keesokan harinya.

“Kakak saya orang pertama dipanggil masuk ke sebuah bilik oleh anggota lelaki dan keluar selepas 15 minit.

"Kemudian giliran kami berempat pula disoal tapi semasa di bilik tahanan kakak cerita kejadian yang berlaku kepadanya.

“Kakak juga beritahu anggota lelaki berkenaan menyuruh mengadakan hubungan seks dengannya termasuk seks oral,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia dibenarkan keluar dari depoh berkenaan Isnin lalu manakala kakaknya dan tiga lagi wanita lain masih ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, pihaknya mengesahkan laporan berkenaan dan siasatan masih dijalankan Bahagian Siasatan Seksual dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Fauzi Abdullah pula ketika dihubungi Sinar Harian berkata, akan menyiasat dakwaan itu dan enggan mengulas lanjut.

Kalau Rosmah nak saman saya tak takut

MALAYSIA DATELINE
Yeo Bee Yin Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin tidak gentar sekiranya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau mana-mana pihak lain mahu memfailkan saman terhadap beliau.
Beliau berkata, ini berikutan keyakinan beliau mempunyai hak disegi undang-undang untuk membangkitkan empat persoalan melibatkan dana pembayar cukai.

“Dia tak jawab tetapi dia berpusing seluruh dunia. Saya juga boleh pusing kalau saya mahu dengan bangkitkan 1MDB, isu derma dan lain-lain tetapi saya tak buat begitu sebab itu lari dari isu pokok. Kalau dia berani dia boleh jawab terus apa yang saya tanya.

“Kalau dia nak saman, saya tak takut, saya sedia disaman kerana kebenaran di pihak saya. Biarlah dia saman,” kata Bee Yin pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Damansara Utama semalam, seperti dilapor Selangorkini.

Jelasnya, sebelum ini beliau menuntut supaya Rosmah atau pihak bertanggungjawab supaya menjawab empat persoalan berkaitan isu pendidikan awal kanak-kanak ymelibatkan Permata dinaungi Rosmah.

Empat persoalan itu, mempertikaikan langkah Kerajaan Persekutuan meletakkan pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan negara mempunyai Kementerian Pendidikan dan Kementerian Wanita yang jauh mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Permata memerlukan penaung sedangkan pusat pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di negara bertaraf dunia tidak memerlukan sesiapa sebagai penaung.

Keputusan Kerajaan Persekutuan memilih Rosmah sebagai penaung turut dibangkitkan dengan membangkitkan persoalan sama ada beliau dipilih berdasarkan faktor ‘merit or marriage” (kelayakkan atau perkahwinan).

“Soalan keempat, adakah Permata ikhlas untuk mengikut tuntutan kita supaya telus dan akauntabiliti kerana penaung Permata suka berlagak seperti mangsa bila kita sentuh pasal akaun Permata,” katanya.

Jelasnya, tindakan melantik seseorang yang tidak mempunyai tanggungjawab untuk menjawab di Parlimen adalah keputusan tidak patut berlaku.

Husam calon Amanah parlimen Kota Bharu - Mohamad Sabu

BORHAN AHMAD
Datuk Husam Musa Datuk Husam Musa bakal dicalonkan oleh Amanah untuk bertanding di parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum akan datang.
Perkara ini disahkan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika melancarkan Dataran Amanah di Bunut Payong hari ini.

"Calon kita untuk parlimen Kota Bharu yang Cikgu Wan Rahim sebut tulah," kata Mohamad ketika berucap di majlis itu.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Abdullah ketika berucap di majlis yang sama mencadangkan Husam sebagai calon Parlimen Kota Bharu bagi mewakili Amanah dalam PRU-14 nanti.

"Bagaimana terserah kepada Presiden Amanah untuk mengesahkannya," kata Wan Rahim yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu dalam PRU-12 pada tahun 2008 lalu.

Wan Rahim ketika ditemui di majlis itu berkata, beliau tidak bercadang untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya lagi.

"Saya sudah malas untuk bertanding dalam mana-mana pilihanraya, bagi kepada calon muda-muda pula. Datuk Husam boleh lagi," katanya kepada Malaysia Dateline.

Ahli Parlimen Kota Bharu sekarang adalah Datuk Takiyudin Hassan, Setiausaha Agung Pas.

Beliau dijangka akan mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ceramahnya malam tadi, Takiyudin mempertikaikan sikap Amanah Kelantan pimpinan Wan Rahim yang sebelum ini berkata Amanah ditubuhkan untuk melawan Umno bukan Pas.

"Tetapi tiba-tiba dia kata nak letak calon lawan Pas," kata Takiyudin dalam ceramah Pas di Cherang, tempat Tun Mahathir Mohamad berucap ketika datang ke Kelantan baru-baru ini.

Wan Rahim sebelum ini berkata, Amanah sedia untuk tidak meletakkan calon melawan Pas dengan syarat Pas sedia berunding.

Tetapi Pas bertegas tidak akan berunding dengan Amanah dan Dap serta parti-parti yang mengadakan hubungan dengannya.
Presiden Amanah  Mohamad Sabu ketika melancarkan Dataran Amanah di Bunut Payong hari ini.
Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika melancarkan Dataran Amanah di Bunut Payong hari ini.

PRU14: Adakah PAS masih relevan di Kelantan?

Mohd Shazwan Abd Halim
Kelantan atau “Serambi Mekah” adalah negeri yang dulunya digeruni dan sukar ditembusi Barisan Nasional (BN), mahupun Umno sejak 1990 di bawah kepimpinan dan ketokohan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz menjadi simbol perjuangan rakyat Kelantan seperti watak Che Guevara menjadi simbol penentangan terhadap kapitalisme dan King Martin Luther menjadi simbol perjuangan kebebasan dan kesaksamaan kaum kulit hitam.

Di bawah kredibiliti beliau, PAS kekal kukuh memerintah dan jiwa orang Kelantan seakan sudah sebati dengan bendera “Bulan” dengan latar hijau di belakangnya.

Ia ibarat sebutir permata berharga yang perlu dimiliki bagi meruntuhkan ego dan moral musuh, mungkin juga sebagai lambang jatuhnya panji musuh di kubu terakhir yang paling kukuh.

Sekatan dan diskriminasi

Segelintir masyarakat cukup sinis dengan kemampuan PAS mentadbir Kelantan dan membayar gaji penjawat awam ketika mengambil alih negeri itu daripada Umno dengan sumber kewangan terhad dan hutang yang tinggi.

Tetapi hasil kombinasi Nik Aziz dan bekas exco Kelantan dalam Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Datuk Husam Musa, Kelantan kekal 26 tahun di bawah pemerintahan PAS dengan segala jenis sekatan dan diskriminasi.

Selain kaya dengan hasil hutan, Kelantan juga mempunyai sumber gas dan petroleum di pesisir pantainya.

Walaupun terdapat pertikaian dari sudut perundangan dan Perlembagaan, perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975 jelas menggariskan Kelantan berhak menuntut 5% daripada hasil petroleum negeri itu yang dianggarkan berjumlah antara RM850 juta hingga RM1 bilion.

Pada 2009, pimpinan Husam mengadakan gerakan menuntut royalti minyak dengan menggunakan logo “R” dengan latar merah di belakangnya dan ia disambut baik rakyat oleh rakyat Kelantan.

Pelekat “R” itu dilekatkan di kereta, motosikal mahupun kenderaan awam lain dan ia dapat dilihat di mana-mana saja baik di Kelantan mahu pun di Lembah Klang.

Banner “R” gergasi ditambah “flashmob” sekumpulan penyokong dapat dilihat dengan jelas ketika perlawanan akhir bola sepak pasukan TRW menentang pasukan JDT di stadium Bukit Jalil, menjadi penanda aras isu ini berjaya dibawa rakyat Kelantan ke seluruh Malaysia.

Hak royalti bagaimanapun dinafikan kerajaan BN meskipun usaha menyalurkan royalti kepada rakyat Kelantan dikepalai bekas pengerusi Petronas, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dengan sokongan kuat bekas ketua hakim negara, Tun Salleh Abas.

Kebangkitan rakyat Kelantan

Rakyat Kelantan membayar harga yang mahal memilih PAS, baik dari sudut ekonomi, kemudahan awam mahupun peluang pekerjaan.

Rakyat Kelantan memilih untuk menjadi “resistance base” terhadap segala salah laku, penyelewengan, sekatan dan diskriminasi oleh kerajaan Persekutuan.

Kelantan juga menjadi aspirasi tertegaknya undang-undang hudud di Malaysia yang diimpikan sejak sekian lama oleh golongan agamawan di negara ini.

Tetapi, kurangnya kemudahan untuk akses ke Kelantan dan kondisi jalan raya yang teruk menyumbang kepada kurangnya minat pelabur untuk pergi ke negeri itu.

Malah, Kelantan sering dimomokkan sebagai negeri paling miskin di Malaysia, tetapi jika dilihat pada jumlah dana yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada negeri itu amat rendah, belum lagi mengambil kira penyelewengan pemimpin Umno tempatan yang bertindak sebagai “orang tengah” dalam penyaluran bantuan.

Kemuncak daripada kekecewaan itu, lahirlah idea Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu – Kuala Krai pada 2012 yang dibiayai rakyat Kelantan sendiri bertitik tolak daripada pembatalan tanpa sebab projek lebuh raya yang diwartakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Projek ini berjalan baik dan mendapat sambutan daripada rakyat sehinggalah ia dibatalkan kerajaan PAS pimpinan Datuk Ahmad Yaacob.

Kegagalan kerajaan PAS

Kematian Nik Aziz pada 2015 seakan merubah segala yang pernah dilihat dalam lipatan sejarah negeri Kelantan.

Bertitik tolak daripada runtuhnya Pakatan Rakyat pada 2014 sehinggalah khabar angin kerjasama PAS-Umno beberapa bulan kebelakangan ini, Kelantan seperti hilang kedudukan sebagai tapak penentangan kerajaan Umno-BN.

Pemimpin PAS galak menyerang pemimpin Pakatan Harapan di pentas ceramah, berbanding mengutuk penyelewengan dan ketirisan kerajaan BN.

Aksi bermesra dengan pemimpin Umno dalam beberapa acara kebelakangan ini mungkin merupakan manifestasi “Politik Matang dan Sejahtera” yang diterajui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Cakap-cakap liar mengenai kerjasama PAS-Umno pada pilihan raya umum akan datang semakin rancak dan hangat dibualkan.

Perjuangan menuntut royalti minyak juga seperti dipandang sepi oleh pemimpin PAS seolah-olah perjuangan ini tidak pernah bergema dan logo “R” seperti tidak pernah wujud.

Ditambah pula dengan pemberian mahar oleh kerajaan Persekutuan dengan mengambil alih projek menyiapkan Lebuh Raya Rakyat.

Kegagalan kerajaan negeri menguruskan mangsa banjir juga menjadi faktor kegagalan “resistance”, malah tugu peringatan banjir di Kuala Krai yang bernilai puluhan ribu ringgit dilihat seakan mengejek mangsa banjir yang belum mempunyai rumah tetap dan tinggal di khemah atau kampung yang masih terputus hubungan akibat jambatan yang runtuh belum dibaik pulih.

Pengurusan balak juga menjadi kontroversi di media perdana dan media sosial, malah kegagalan Kelantan menguruskan masyarakat orang asli Gua Musang juga menambah rasa pahit – apa beza kerajaan “sekular” persekutuan dengan kerajaan “Islam” Kelantan?

Kerajaan negeri juga terpaksa berdepan saman daripada syarikat Dae Hanguru Infra Sdn Bhd kerana tindakan kerajaan Kelantan membatalkan kontrak yang sudah dimeterai berkaitan pembinaan Lebuh Raya Rakyat.

Maka persoalan utama kepada rakyat Kelantan, untuk apa lagi kerajaan PAS perlu dipertahankan.

Dan adakah parti yang memperjuangkan Islam itu masih relevan untuk diundi pada pilihan raya akan datang?

Mohd Shazwan Abd Halim ialah pembaca FMT.

Video: 5 maut serangan di luar Parlimen Britain


Sebuah kereta merempuh laluan pejalan kaki, manakala seorang anggota polis diserang di luar bangunan Parlimen Britain petang semalam waktu tempatan.

'Serangan' tersebut mengakibatkan lima maut manakal sekurang-kurang 40 orang yang lain cedera. Polis Britain menganggap ini sebagai 'serangan militan'

Perdana Menteri, Theresa May, mengutuk serangan berkenaan dan menyifatkannya ia dilakukan oleh mereka yang 'sakit dan berakhlak buruk'.

Penyerang dan anggota polis yang ditikam dilaporkan terbunuh bersama tiga pejalan kaki yang dilanggar kereta di jambatan Westminster yang merempuh halangan di luar bangunan Parlimen.

Memperkasa Mahkamah Syariah bukan sekadar tingkatkan hukuman

WAWANCARA | MALAYSIA DATELINE
Ustaz Nakhaei Ahmad
WAWANCARA dengan Pengerusi Perkim Wilayah Persekutuan Datuk Nakhaei Ahmad yang dirancang seminggu awal terpaksa ditunda ekoran berpulangnya ke rahmatullah isteri beliau, Datin Rusmiati Harun. Ketika dihubungi, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu memberitahu agak sibuk menziarahi isterinya di hospital. Namun Allah SWT lebih menyayangi isteri beliau yang meninggal dunia akibat kanser.

"Saya tidak ada pengalaman mati isteri," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) di ibu negara.

Di usia 74 tahun, perawakan beliau tidak banyak berubah. Badannya berisi seperti mula dikenali di pentas politik lebih 30 tahun lalu, rambut, misai dan janggutnya kini putih. Dengan bercermin mata, beliau tenang menjalankan tugas walaupun baru kehilangan isteri tersayang.

polemik hudud

Ditanya tentang polemik pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di negara ini, beliau mengakui fokus masyarakat lebih tertumpu kepada hukum hudud walaupun hukum jenayah syariah sebenarnya mencakupi bidang yang lebih luas.

Bagi beliau pelaksanaan syariat Islam perlu dibuat berdasarkan keutamaan seperti contoh aspek yang bersangkutan dengan nilai kemasyarakatan.

"Jadi bagi fokus kepada hukum jenayah itu pun sesuatu yang harus dikaji terlebih dahulu, sama ada keutamaannya hukum jenayah Islam dan daripada hukum jenayah Islam itu adakah keutamaannya hukum hudud?

"Perlu ada kajian berdasarkan persekitaran kita ataupun harus diutamakan hukum berkaitan kemasyarakatan, kebudayaan, nilai-nilai hidup dan sebagainya," jelas beliau.

Menurut Ustaz Nakhaei, kesilapan yang dilakukan kini adalah apabila keputusan yang diambil ke atas sesuatu perkara tidak berdasarkan kepada kajian yang mendalam tetapi berdasarkan sentimen dan emosi.

Sebagai contoh, di saat hukum jenayah Islam khususnya hukum hudud dijadikan satu keutamaan, aspek yang sering ditinggalkan oleh mereka yang menonjolkan isu ini adalah 'keadilan'.

"Semua hukum yang dijalankan itu tertakluk kepada syarat utama iaitu menegakkan keadilan.

"Dalam hal ini, walaupun yang hendak dilaksanakan itu hukum jenayah Islam - sama ada hukum hudud atau bukan hukum hudud - ia hendaklah dipastikan dilaksanakan secara adil.
"Ini kerana dengan terang dan jelas Allah murka kepada orang yang melakukan kezaliman walaupun kezaliman itu dalam melaksanakan hukum syariah.
"Ertinya hukum syariah yang dilaksanakan secara zalim tetap mendapat kemurkaan Allah," tegasnya.

aspek keadilan Islam

Dalam usaha memperkukuhkan keadilan khususnya di Mahkamah Syariah, sistem keadilan itu harus ditegakkan. Sehubungan itu beliau menyarankan agar 'paksi keadilan' itu disempurnakan.

"Prasarana dalam Mahkamah Syariah itu perlu disediakan terlebih dahulu sebelum hukum hudud itu dilaksanakan. Kalau tidak ada sistem keadilan yang sempurna dan prasarana-prasarana keadilan yang lengkap, maka kemungkinan besar hukum hudud itu dilaksanakan secara zalim," ujar bekas Naib Presiden Pas itu.

Beliau menyifatkan sistem keadilan yang diamalkan dalam Mahkamah Syariah kini "terlalu jauh daripada sempurna".

"Soal nikah cerai pun tak selesai lagi. Tidak betul-betul melaksanakan keadilan. Bagaimana nak laksanakan sebat sampai 100 kali?

"Sistem keadilan harus diperbaiki dan jangan tergesa-gesa nak bagi kuasa yang luas kepada Mahkamah Syariah sedangkan paksi keadilan dalam Mahkamah Syariah itu tidak lengkap. Ini sudah tentu akan mengakibatkan kezaliman dalam hukum syariah," tegasnya lagi.

memperkasa Mahkamah Syariah

Bagi Ustaz Nakhaei, Mahkamah Syariah perlu diperkasakan dalam aspek kebolehan dan keupayaannya untuk menegakkan keadilan.

Perkara paling utama, jelas beliau adalah melahirkan hakim-hakim yang berpengetahuan tinggi, mempunyai keinsafan diri, bekerja dengan ikhlas, menjalankan tugas tanpa perasaan takut dan mempunyai keperibadian yang tinggi.

Perkara kedua adalah memantapkan sistem Mahkamah Syariah dengan mewujudkan akta-akta Mahkamah Syariah seperti akta-akta keterangan yang lengkap, etika hakim, kesaksian mengikut syariat Islam dan hal-hal yang seumpamanya.

Menyentuh aspek penguatkuasaan, beliau menyarankan agar pegawai penguatkuasa syariah dipilih dan dilatih dengan baik memandangkan dalam kes-kes tertentu mereka akan bertindak sebagai saksi.

"Penguatkuasa ini perlu adil dan ia perlu dilatih supaya mempunyai keperibadian Islam yang takut kepada Allah dan tidak membuat tohmahan tertentu ataupun melakukan langkah yang silap.

"Oleh itu mereka mesti dilatih menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Janganlah ambil penguatkuasa siapa-siapa sahaja macam sekarang ini," ujarnya.

Selain daripada hakim, sistem keadilan dan undang-undang yang mengawal perjalanan mahkamah, beliau turut memberi penekanan tentang prasarana untuk memperkasakan keadilan.

"Saya berpendapat jika prasarana dalam mahkamah itu lengkap maka Mahkamah Syariah menjadi contoh untuk menegakkan keadilan. Pada waktu itu tidak ada ornag yang bimbang dengan keadilan Mahkamah Syariah.

"Kuasa banyak mana pun boleh diberikan, orang tidak ragu dan bimbang kerana orang hormat kepada pelaksanaan keadilan.

"Waktu itu barulah mendapat keredaan Allah dalam pelaksanaan syariah," jelasnya.

Bagi beliau, Mahkamah Syariah kini tidak begitu dihormati kerana tidak dapat menyelesaikan masalah yang kecil seperti masalah rumah tangga.

Naik taraf Mahkamah Syariah

Menyentuh tentang keperluan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilihat berada pada kedudukan yang lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil, beliau berkata usaha itu perlu dilakukan sebelum Mahkamah Syariah diberi tanggung jawab yang lebih besar.

"Kita lihat dalam usaha menyelesaikan masalah seperti nikah cerai, (Mahkamah Syariah) masih lagi dipertikaikan oleh masyarakat dan banyak wanita merasakan mereka dianiaya dan tidak diadili secara saksama," ujarnya.
Ditanya tentang keutamaan antara melaksanakan syariah dengan menyediakan kemudahan hidup rakyat seperti perumahan, pembasmian kemiskinan dan sebagainya, beliau berpendapat usaha itu perlu dilakukan secara serentak (concurrent).

"Ini adalah perkara yang mesti dilaksanakan secara serentak iaitu proses mewujudkan keadilan dan pelaksanaan syariat mestilah dilakukan; begitu juga usaha-usaha untuk memperbaiki masyarakat seperti menyelesaikan masalah kemiskinan dan sebagainya," ujarnya lagi.

Menurutnya, langkah-langkah untuk memperkasakan sistem Mahkamah Syariah sehingga memberi ruang untuk pelaksanaan hukum hudud ataupun hukum jenayah Islam yang lebih berat harus dilaksanakan.

Di samping itu, beliau menggesa usaha-usaha memperbaiki sistem zakat untuk mengatasi masalah kemiskinan atau bantuan-bantuan kepada mereka (golongan asnaf) yang memerlukan perlu diperkasakan.

"Sekarang dari segi kutipan amat berjaya tetapi masih banyak yang boleh dilakukan bagi memperbaiki sistem pembahagian zakat untuk asnaf. Banyak ruang yang boleh diperbaiki supaya menjadi lebih baik dan mampu menegakkan keadilan sosial," katanya.

RUU 355

Mengulas tentang polemik Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang menimbulkan keresahan dan perpecahan di antara sesama Islam dan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, beliau mempunyai nasihat untuk ahli-ahli politik.

Bagi beliau polemik yang melanda ekoran cadangan RUU 355 ini berpunca daripada "membuat sesuatu perkara tanpa kajian dan penyelidikan yang mendalam serta hanya berdasarkan emosi politik".

"Sebab itu dalam soal sebegini bukan persoalan politik semata-mata tetapi persoalan ilmu, keupayaan, persekitaran sehingga kita boleh mengeluarkan suatu keputusan yang bijaksana.

"Sesuatu keputusan bijaksana itu mesti berdasarkan ilmu dan kajian yang terperinci dan bukan hanya lontaran isu politik," tegasnya.

Menurut beliau, banyak perkara yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri dalam aspek pemerkasaan syariah tanpa membabitkan kerajaan pusat.

"Mengapa disentuh suatu perkara yang perlu persetujuan banyak pihak padahal ada perkara yang boleh dilakukan tanpa merujuk kepada kerajaan pusat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah," katanya.

Sebagai contoh, Kerajaan Kelantan boleh menubuhkan institut kehakiman Islam bagi melatih hakim dan penguatkuasa Islam; bukan mengumpul tukang sorak tetapi mengumpul para ilmuan dan pakar dalam perundangan Islam dan perundangan sivil bagi membentuk dan merangka akta-akta berkaitan perundangan dan etika hakim (contohnya).
Perkara ini, jelas Ustaz Nakhaei boleh diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri tanpa membabitkan Parlimen.

Apa yang lebih penting, katanya adalah melaksanakan kuasa sedia ada secara adil sehingga orang ramai tidak mempertikai tentang kewibawaan Mahkamah Syariah.

"Apabila perkara ini dilakukan, mintalah kuasa yang lebih, saya yakin orang akan memberikannya kerana yakin dengan kewibawaan Mahkamah Syariah," katanya.

kaedah terbaik

Ustaz Nakhaei melahirkan kebimbangan jika kuasa lebih besar yang diberikan kepada Mahkamah Syariah tanpa prasarana keadilan akan menyebabkan undang-undang dilaksanakan secara zalim dan mendapat kemurkaan Allah.

"Saya rasa bahawa dalam perjuangan Islam ini untuk menegakkan syariat Islam dalam pengertiannya yang luas, instrumen yang paling berkesan ialah dakwah.

"Ini tidak bermakna bahawa tidak ada peranan politik. Memang perlu kepada 'political will' tetapi intrumen utama ialah dakwah," ujarnya.

Kesungguhan politik, jelas beliau satu perkara yang penting kerana dalam mengatur masyarakat dan mentadbir negara, perlu ada keseimbangan kuasa sama ada kuasa politik, kuasa ilmu atau kuasa sokongan masyarakat.

Tanpa keseimbangan ini, ujarnya sama seperti masakan yang tidak seimbang.

"Saya lihat bahawa percaturan politik dalam negara kita ini terlalu lebih politik ibarat makanan lebih garamnya. Jadi rosak tak boleh makan.

"Lebih politik daripada ilmu, daripada kuasa rakyat, daripada kuasa raja, semua itu sudah bobrok. Inilah akibat yang kita tanggung sekarang. Semua diukur dari sudut politik dan kuasa politik. Kuasa rakyat juga disalurkan kepada politik pembangkang," jelasnya.

Negara ujarnya, memerlukan instrumen dakwah bagi menyampaikan yang makruf dan mencegah mungkar.

Memberi kefahaman dan dakwah juga melibatkan peranan orang berilmu dalam menggagaskan akta-akta dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa.

hak orang bukan Islam

Apabila ditanya tentang pandangan bahawa orang bukan Islam tidak wajar mencampuri hal ehwal berkaitan perundangan Islam, beliau berkata, Islam diturunkan untuk manusia dan dalam sistem Islam orang-orang bukan Islam juga mempunyai hak.

"Apabila kita melaksanakan sistem Islam maka orang-orang bukan Islam mempunyai hak mereka. Jadi orang-orang bukan Islam bukan dibiarkan tetapi menjadi kewajipan kepada pemerintahan Islam untuk mengurus hal-hal berkaitan orang bukan Islam dari segi cara berfikir mereka, dari segi akhlak dan perwatakan mereka.

"Oleh kerana kita tidak menguruskan hal ehwal bukan Islam maka mereka menjadi 'nanar' menentang kita. Mereka tidak menghargai keadilan kita dan jasa kita kepada mereka kerana kita gagal menguruskan minda mereka.

"Dalam sistem Islam memang hal bukan Islam juga turut dijaga. Hak mereka juga untuk protes dan kita berkewajiban untuk menjelaskan kepada mereka. Mereka menyangka sistem Islam tidak adil padahal sebaliknya. Kenapa mereka menyangka demikian kerana kita tidak memberi faham kepada mereka. Itu salah kita," katanya mengakhiri perbualan.