"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Jenayah Seks. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah Seks. Papar semua catatan

Remaja buang mayat bayi di tandas hospital

SHAHRULANOOR ISHAK
BANGUNAN Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan yang menjadi tempat remaja membuang bayi yang baru dilahirkan di dalam tandas Wad Teratai 2C semalam.
KUANTAN: Seorang remaja yang telah terlanjur bertindak kejam apabila cuba mengepam mayat bayi yang baru dilahirkannya ke dalam mangkuk tandas di Wad Teratai 2C di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.

Namun, perbuatan jahat itu terbongkar akhirnya apabila mayat bayi berkenaan tersekat di dalam mangkuk tandas sebelum ia ditemui oleh seorang kakitangan hospital pada pukul 4.45 pagi.

Difahamkan, sebelum kejadian, remaja berusia 16 tahun tersebut pergi ke hospital berkenaan untuk menemui ibunya yang sedang dirawat.

Dia kemudian telah pergi ke wad tersebut untuk melahirkan bayi di dalam tandas kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan ibu bersalin dan tangisan bayi yang disangka dapat menutup kelakuan tidak berhati perutnya itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kakitangan hospital berkenaan yang terkejut kemudian memaklumkan penemuan itu kepada ketuanya sebelum menghubungi polis.

“Siasatan mendapati kepala dan badan bayi malang itu tersumbat di dalam lubang mangkuk tandas sebelum kita mendapatkan bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa.

“Selepas menjalankan siasatan, kita kemudian dapat menahan remaja berkenaan di dalam kawasan hospital. Soal siasat kemudian mendapati remaja itu mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pemeriksaan terhadap suspek menemui kesan yang dia baharu sahaja melahirkan anak. Suspek juga bertindak meninggalkan bayinya selepas mendapati ia tersumbat di dalam mangkuk tandas tersebut.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

'Awie' didakwa merogol pelajar

MOHD TAHA YAACOB
BESUT: Rahsia seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini yang sering keluar melalui tingkap bilik tidurnya untuk bertemu teman lelaki pada awal pagi pecah tembelang apabila perbuatan itu disedari ibunya.

Rahsia itu terbongkar pada jam 2.30 pagi, Sabtu lalu oleh ibu remaja itu apabila dia terjaga daripada tidur kemudian selepas memeriksa bilik tidur anaknya namun mendapati anaknya tidak ada di dalam bilik manakala pintu tingkap terbuka.

Lebih malang, gara-gara tindakan mencuri keluar pada awal pagi menyebabkan pelajar itu mendakwa dirogol teman lelakinya yang dikenali dengan panggilan Awie yang tinggal bersebelahan rumahnya di sebuah kampung dekat Kuala Besut.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan tersebut dan memberitahu, sebaik menyedari anaknya tidak ada di dalam bilik, ibu mangsa pergi ke rumah jirannya itu dan mendapati mangsa berada di ruang tamu rumah bersama Awie. Menurutnya, ibu mangsa terus membawa anaknya pulang.

“Ibu mangsa turut mengesyaki Awie melakukan hubungan seks dengan anaknya kerana anaknya mengaku beberapa kali pergi ke rumah suspek ketika ibu dan ahli keluarganya sedang tidur,” katanya

Noorzainy berkata, polis sudah mengenal pasti suspek berumur 35 tahun yang sudah berkahwin itu dan usaha memburunya sedang giat dilakukan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
-sinarharian-

Seorang lelaki ceroboh rumah jiran mengajak melakukan hubungan seks

KUALA KUBU BHARU: Gila seks. Itulah perkataan sesuai untuk menggambarkan tindakan seorang lelaki yang menceroboh masuk rumah jirannya dan meminta untuk melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 28 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis selepas wanita berusia 37 tahun terbabit membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu mangsa bersendirian dalam rumahnya di Kerling, di sini, manakala suaminya seorang pekerja ladang keluar bekerja.

“Mangsa yang baru saja pulang dari bekerja masuk ke dalam bilik untuk berehat dengan pintu belakang rumahnya dalam keadaan terbuka.

“Ketika di dalam biliknya, dia menyedari kehadiran jirannya yang sedang berbual melalui telefon bimbit di bahagian belakang rumah,” katanya.

Sumber berkata, suspek terbabit kemudiannya menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa dan menghampiri mangsa yang sedang tidur.

“Suspek kemudiannya mengajak mangsa melakukan hubungan seks dengannya. Mangsa yang terkejut dengan ajakan berkenaan bertindak memarahinya supaya keluar dari rumah berkenaan.

“Namun, suspek dikatakan tidak mengendahkan amaran mangsa sebaliknya terus mengajak melakukan perbuatan terkutuk itu. Mangsa yang ketakutan terpaksa berlari keluar,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa pergi ke rumah salah seorang jiran meminta pertolongan jiran berkenaan dan menghubungi suaminya memaklumkan kejadian itu.

Katanya, suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum mangsa pergi ke Balai Polis Kerling membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy berkata, suspek berjaya ditahan polis di rumahnya yang terletak berhampiran.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.
-hmetro-

Buruh 4 isteri dipenjara 18 tahun dan tiga sebatan kerana merogol anak jiran

KUANTAN: Seorang buruh kasar beristeri empat dan bapa kepada 15 anak dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana merogol kanak-kanak berusia 11 tahun, bulan lalu. 

Lelaki berusia 45 tahun itu mengaku merogol anak jirannya pada kira-kira jam 2.30 petang, 26 Mei lalu. 

Berdasarkan fakta kes, dia mempelawa mangsa yang pulang dari sekolah menaiki motosikal dengan alasan mahu menghantarnya pulang. 

Dia, bagaimanapun, membawa mangsa ke dalam semak berhampiran jambatan di Kampung Seri Damai dan merogol mangsa. 

Dia kemudian memberi mangsa wang untuk menutup rahsia perbuatannya itu. 

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading pada 8 Jun lalu. 

Lelaki itu merayu kepada Hakim Nuradidah Ahmad supaya hukuman ke atasnya diringankan dan berjanji sudah insaf atas perbuatannya itu. 

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Amer Abu Bakar Abdullah itu, manakala lelaki itu tidak diwakili peguam. 

Di mahkamah berasingan, lelaki yang sama dikenakan hukuman penjara empat tahun kerana melakukan kelucahan melampau terhadap anaknya sendiri. 

Hakim, Fatiyah Idris, menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah merangsang anaknya yang berusia 7 tahun di sebuah rumah sekitar 2009. 

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

-sinarharian-

Guru KAFA didakwa subahat suami rogol anak

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini, hari ini atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya yang didakwa merogol dan mencabul anak perempuannya, tiga bulan lalu.

Suaminya, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan dekat sini atas tiga tuduhan merogol serta mencabul mangsa berusia 15 tahun yang merupakan anak tirinya.

Guru agama itu didakwa di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad atas tuduhan bersubahat dengan suaminya yang berusia 36 tahun, menyuruh mangsa membuka pakaian dan menutup mulut.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam bilik tidur sebuah rumah di Bukit Ampang Permai dekat sini antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, April lalu.

Ibu lima anak itu yang berusia 33 tahun turut didakwa bersubahat dengan lelaki itu terhadap kesalahan sama dengan menyuruh anaknya masuk ke bilik tidur berkenaan antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, 12 Mei lalu.

Selain itu, wanita berkenaan menghadapi tuduhan membenarkan pemandu lori itu mencabul mangsa di bilik yang sama antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(3) dan Seksyen 354 kanun sama.

Sementara itu di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor, suami guru agama terbabit minta dibicarakan atas tuduhan merogol dan mencabul mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali bagi setiap pertuduhan merogol.

Bagi perbuatan mencabul pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri tersebut yang tidak diwakili peguam bela tidak dibenarkan ikat jamin oleh kedua-dua hakim yang mengendalikan prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Ab. Hamid memohon di hadapan Hakim Roszianayati agar kes wanita itu dibicarakan bersama tuduhan yang dihadapi suaminya.

Roszianayati membenarkan permohonan itu dan kes tersebut akan disebut di hadapan Manira pada 13 Julai ini.
-utusan-

Remaja dua beradik diculik dan dirogol?

ALOR SETAR: Dua beradik perempuan berumur 13 dan 12 tahun bukan saja melalui detik mencemaskan apabila dilarikan seorang lelaki lebih 17 jam, malah seorang daripada mangsa dipercayai dirogol sebelum diselamatkan bapa mereka keesokan harinya.

Sebelum kejadian culik itu, kedua-dua mangsa berjalan untuk pergi ke sebuah kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Perepet, Kota Sarang Semut, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin apabila didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna perak.

Lelaki itu menarik tangan kedua-dua mangsa masuk ke dalam keretanya dan melarikan mereka ke Yan untuk menemui rakan suspek.

Mangsa merayu suspek supaya menghantar mereka pulang, bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebaliknya suspek membawa mangsa meronda-ronda sekitar pantai di Kuala Sala dan Pendang.

Difahamkan seorang daripada mangsa dirogol suspek ketika mereka berhenti tidur di dalam kereta di Tokai, Pendang.

DITAHAN...suspek yang ditahan.Bagaimanapun, dua beradik itu diselamatkan bapa mereka yang melihat kelibat dua anaknya dalam kereta dipandu suspek di Simpang Empat, Kuala Sala pada jam 10 pagi semalam, ketika berusaha mencari mereka dengan menunggang motosikal.

Dia mengekori Perodua Kancil suspek kira-kira 12 kilometer sehingga kereta itu kehabisan minyak di Tebengau, Kuala Kedah, dekat sini, sebelum menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Azaman Mohd Jan, berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai pesawah membuat laporan kehilangan anaknya pada Sabtu lalu, kira-kira jam 8.30 malam.

“Bapa mangsa terkejut diberitahu anak lelakinya bahawa kedua-dua kakaknya yang berusia 13 dan 12 tahun tiada di rumah pada malam itu.

“Bagaimanapun, keesokan harinya bapa mangsa yang menaiki motosikal ternampak kedua-dua anaknya berada di dalam sebuah Perodua Kancil berwarna perak yang dipandu seorang lelaki yang tidak dikenalinya di kawasan Kuala Sala, kira-kira jam 10 pagi.

“Dia mengekori kereta itu sehingga stesen minyak Tebengau dan menahan kereta terbabit sebelum membawa suspek ke Balai Polis Kuala Kedah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, bapa mangsa membuat satu lagi laporan berhubung dakwaan anaknya dipercayai dirogol suspek terbabit.

“Mangsa mengadu ada melakukan hubungan seks dengan suspek di Mukim Bendang Tokai, Pendang pada malam berkenaan.

“Kami juga membawa gadis berkenaan untuk pemeriksaan di hospital kerana seorang daripadanya mengakui ada melakukan hubungan seks pada sebelah malam dia mendakwa dilarikan lelaki terbabit,” katanya.

Azaman berkata, suspek berusia 21 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun serta sebatan.
-hmetro-

*mudah sangat ke nak culik dua orang, tak meronta dan tak menjerit minta tolong ke budak2 tu. Masa kena rogol yang sorang lagi tak cuba lari ke atau tengok je. Pelik

Diperkosa bergilir-gilir dalam semak

KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang terlalu mudah mempercayai seorang lelaki yang juga jirannya akhirnya dirogol bergilir-gilir dalam satu kawasan semak di Batu Arang, Rawang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 15 tahun termakan pujuk rayu untuk mengikut lelaki terbabit yang berusia 26 tahun dengan alasan ingin dibawa bersiar-siar.

Menurut sumber, mangsa dan suspek bertemu di sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang sebelum dipelawa untuk dihantar pulang ke rumahnya di Taman Aman, Sea Park, Petaling Jaya dengan menaiki motosikal jenis RXZ.

“Mangsa kemudian bersetuju dan tidak mengesyaki apa-apa yang buruk bakal berlaku kerana mereka tinggal berjiran.

“Sebaik menunggang motosikal, suspek kemudian memberitahu ingin singgah sebentar di kawasan Chow Kit bagi berjumpa rakannya,” katanya.
-hmetro-

Gadis hamil tujuh kali dirogol bapa tiri


KUALA LUMPUR: Setelah menggugurkan anak tujuh kali akibat dirogol bapa tirinya selama 14 tahun, seorang guru lepas universiti bertindak melarikan diri, mendapatkan perlindungan di pusat kebajikan dan mengadu kepada polis. 


Wanita berusia 28 tahun yang mahu dikenali sebagai Nora berkata, episod malang itu bermula di sebuah kampung di Kedah sejak ibunya berkahwin dengan bapa tirinya lebih 15 tahun lalu. 

Ketika usianya tujuh tahun, bapa tirinya yang ketika itu berusia kira-kira 40 tahun, kerap mencabul kehormatannya. 

Dia mendakwa, bapa tirinya itu samseng kampung dan sering mengugut akan membunuhnya jika tidak mengikut kemahuannya atau cuba mengadu. 

“Dia mula merogol saya ketika berusia 11 tahun dan perbuatan itu berterusan sehingga saya berumur 25 tahun. 

“Dalam tempoh itu, saya pernah hamil tujuh kali sehingga usia kandungan mencecah dua hingga tiga bulan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini, semalam. 

Nora, yang berasal dari Sik, Kedah berkata, bapa tirinya itu sangat licik dan akan membawa dia ke klinik untuk menggugurkan kandungannya. 

Menurutnya, kehidupan dan pergaulannya sentiasa dikongkong bapa tirinya sejak zaman persekolahan sehingga dia memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kira-kira lapan tahun lalu. 

“Dia tidak membenarkan saya berkawan dan akan menjemput saya setiap kali pulang dari sekolah atau universiti. Dalam tempoh itu, dia akan membawa saya ke rumahnya yang lain atau mana-mana tempat, termasuk hutan, untuk memuaskan nafsunya,” katanya. 

Menurutnya, dia cuba mempertahankan diri setiap kali perkara itu berlaku, tetapi akan dipukul teruk. 

Pernah kakinya lebam dan berdarah kerana dihentak ke dinding. 

Menurutnya, dia sangat tertekan dan trauma kerana tidak berani meminta tolong atau melaporkan hal itu kepada polis. 

Menurutnya, pada 23 November 2008, dia tekad melarikan diri dari Sungai Petani selepas dirogol bapa tirinya. 

“Saya tidak tahan dengan perbuatannya itu dan cuba mendapatkan bantuan sebuah pusat kebajikan di Pulau Pinang, sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan. 

“Kini, saya tinggal di tempat yang selamat, tetapi masih berhati-hati kerana saya yakin dia tidak akan melepaskan saya. Saya berharap polis dapat menahannya segera untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. 

Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh akan membawa perkara itu ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
-sinarharian-

'Bermadu' anak sendiri

KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.
KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.

Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.

Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.

“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.

“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.

“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.

“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.

“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.

Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.

“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.

“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.

“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.
-hmetro-

Tujuh siswa iblis rogol rakan sekuliah

KANGAR: Dua penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, diburu polis manakala lima rakan mereka ditahan kerana disyaki merogol seorang penuntut perempuan yang juga rakan sekuliah dua daripada suspek, baru-baru ini.

Tujuh suspek berusia 19 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Mawar, Arau dekat sini, 15 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Nashir Ya berkata, dua siswa diburu itu dikenali sebagai Muhammad Naim Mohd Kamaruzzaman, 19, dan Ahmad Amirul Amin Rosley, 19, yang kini menghilangkan diri.

Menurutnya, dua suspek yang diburu itu bersama lima lagi rakan mereka disyaki merogol mangsa yang juga penuntut IPTA secara bergilir-gilir di rumah disewa seorang daripada suspek di Taman Seri Mawar.

“Kami sudah menahan lima suspek dari IPTA di sini dalam operasi khas dilancarkan selepas menerima aduan daripada penuntut perempuan berkenaan. Bagaimanapun, Muhamad Naim dan Ahmad Amirul melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis di sini, semalam.

Beliau berkata, alamat terakhir Ahmad Amirul Amin ialah Jalan Raja Dewa Hilir, Kota Bharu, Kelantan manakala Muhammad Naim pula berasal dari Kampung Bonggol Kemian, Paloh Rawa, Machang, Kelantan.

“Mangsa dalam keadaan trauma akibat kejadian itu,” katanya sambil memaklumkan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Nashir meminta kedua-dua suspek menyerah diri dan orang ramai yang ada maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Arau, Asisten Superintendan Jamalulail Ibrahim di talian 012-520 3977 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Polis turut mengedar gambar kedua-dua suspek untuk siaran media.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kes mencuri dan menyeludup kenderaan ke negara jiran serta kes menyebabkan kecederaan parah.

Katanya, dua daripada tiga lelaki berkenaan ialah Mohd Saidi Man, 44, dari Kampung Tersusun Padang Besar dan rakannya, Mariswandy Mohamad, 32, dari Rancangan Perumahan Awam (RPA) Chuping, disyaki aktif menjalankan kegiatan mencuri dan melupuskan kenderaan ke negara jiran.

“Kedua-dua suspek disyaki sudah menyeludup beberapa kenderaan mewah jenis Toyota dan Honda ke negara jiran selepas mencurinya di sini. Seorang daripada suspek adalah anggota penguat kuasa sukarela di sini,” katanya.

Beliau berkata, turut diburu seorang lelaki, Lim Yew Thong, 47 dari Pekan Sayur, Padang Besar yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang awam di pekan itu, Januari lalu.
-hmetro-

Remaja perkosa budak 5 tahun

Mohd Firdaus Ibrahim 
KUALA LUMPUR: Pencuri setan. Itu ungkapan layak diberikan kepada seorang remaja berusia 14 tahun yang merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas menyelinap masuk ke rumah mangsa di sebuah flat di Kepong, di sini, kelmarin.

Difahamkan, suspek dipercayai masuk ke rumah itu untuk mencuri, namun berubah fikiran selepas melihat kanak-kanak itu tidur sendirian dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum merogolnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kanak-kanak terbabit tinggal sendirian kerana ibu bapanya berusia 30-an berniaga di bawah flat berkenaan.

Menurut sumber, sebaik menyelinap masuk ke rumah mangsa, suspek yang berkeliaran dalam kediaman itu dipercayai mencari barangan berharga kemudian melihat kanak-kanak perempuan itu tidur sebelum merogolnya.

Beliau berkata, mangsa kemudian turun menemui ibu bapanya dalam keadaan menangis kerana sakit pada kemaluannya.

“Ibunya terkejut sebaik dimaklumkan kejadian terbabit. Pemeriksaan lanjut pasangan suami isteri itu mendapati kemaluan mangsa mengalami pendarahan teruk.

“Pasangan itu segera membawa anaknya ke hospital untuk diberikan rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, remaja terbabit diberkas polis di rumahnya yang juga berhampiran rumah mangsa dan akan direman lima hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut.
-hmetro-

Dirogol lebih 50 kali

TAMPIN: Akibat tidak lagi mampu menahan derita dijadikan sebagai hamba seks oleh bapa tirinya, seorang wanita yang juga ibu, berumur lingkungan 30-an nekad membuat laporan di Balai Polis Gemencheh, 20 Januari lalu berhubung kes berkenaan.

Sumber yang enggan namanya dikenali berkata, wanita malang itu terpaksa menanggung derita dirogol bapa tirinya dalam kejadian kali pertama pada 2009 dan ketika itu, mangsa mengandung lima bulan hasil perkongsian hidup bersama suaminya.

Menurutnya, lebih menyedihkan kerana mangsa terus-menerus menjadi santapan nafsu buas bapa tirinya yang sudah layak bergelar warga emas, sehingga lebih 50 kali.

“Mangsa dipercayai diugut supaya tidak mendedahkan kejadian ini kepada ahli keluarga dan pihak polis.

“Bagaimanapun, mangsa tidak lagi dapat menahan tekanan perasaan diperlakukan seperti binatang dan akhirnya tampil membuat laporan polis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Suprintendan Wooi Hooi Cheang ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek berumur lingkungan 60-an ditahan polis sehari selepas menerima laporan iaitu pada 21 Januari lalu di kediaman suspek dan mangsa di Gemencheh.

“Kejadian kali pertama berlaku pada 2009, kira-kira jam 2 petang di bilik mangsa sendiri. Ketika itu, mangsa dipercayai sedang tidur dan mengandung lima bulan hasil perkongsian hidup bersama suaminya.

“Kejadian terakhir dipercayai berlaku awal tahun ini. Mangsa dan suspek tinggal serumah, sementara suami mangsa pula kerap bekerja luar dan hanya pulang sekali sekala sahaja,” katanya.

Hooi Cheang berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. 
-sinarharian-

Gadis lari nyaris dirogol

KUALA LUMPUR: ”Saya minta maaf mak, saya menyesal dan janji tidak akan buat lagi,” kata Wan Nur Hakimah Wan Manah, 13 yang lari daripada rumah bersama dua rakannya di Flat Danau Kota Off Jalan Genting Klang, di sini, minggu lalu.

Lebih menjadi sesalan bagi remaja itu apabila dia dan seorang rakannya nyaris menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang kononnya ingin membantu membawanya pulang ke rumah.

Menurutnya, perasaan kesal kerana menurut kehendak hati yang mahu mencari ketenangan dan kebebasan dengan lari daripada rumah menghantui dirinya apatah lagi bila mengenangkan dia terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

“Saya dan rakan terpaksa meminta wang daripada orang yang kami temui kerana ingin membeli makanan. Ketika itu baru saya tahu betapa susahnya bila berjauhan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Akhbar ini Ahad lalu melaporkan kehilangan Nur Hakimah dan rakannya yang dikenali sebagai Amylia,16 dan adiknya, Adila, 13 dan kebimbangan keluarga mengenai keselamatan mereka.

Nur Hakimah berkata, mereka merayau-rayau di pusat beli-belah dan pada jam 3 pagi mereka didatangi seorang lelaki ketika berada berhampiran Hentian Puduraya yang mahu menghantar mereka pulang ke rumah.

“Tetapi, kerana dia bermotosikal, lelaki itu memaklumkan akan membawa saya dan Amylia dahulu sebelum berpatah balik mengambil Adila kemudian.

“Bagaimanapun, sebaik memasuki rumah berkenaan, lelaki itu cuba merogol kami dan dalam keadaan kelam-kabut itu, kami berjaya melarikan diri,” katanya.

Namun, remaja terbabit bernasib baik apabila bertemu lelaki yang kemudian membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara itu, ibunya, Nor Hazita Shaari, 44, melahirkan rasa syukur kerana doanya untuk menyambut Aidiladha bersama anaknya itu dimakbulkan Tuhan.

Katanya, sejak kehilangan Nur Hakimah, mereka sekeluarga bimbang keselamatannya hingga penyakit batuk kering yang dihadapinya semakin teruk.
-hmetro-

Gadis bawah umur dirogol bergilir-gilir

AMPANG: Pertengkaran dengan kakak angkat membawa musibah kepada seorang gadis apabila dia dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki yang kononnya cuba untuk memberi perlindungan kepadanya dalam kejadian di Taman Cahaya, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 14 tahun pada mulanya bertengkar dengan kakak angkatnya sebelum dia keluar rumah dan pergi ke taman permainan berhampiran kawasan perumahan itu.

Menurut sumber polis, ketika berada di kawasan taman itu, mangsa yang menangis didatangi dua lelaki bertanyakan keadaannya sebelum mereka memberitahu mahu membantu jika mangsa bermasalah.

“Mangsa menceritakan apa yang berlaku dan pada masa sama mangsa bertanya dua lelaki terbabit sama ada mereka mempunyai gitar dengan alasan mahu bermain alat muzik itu untuk menghilangkan tekanan,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki itu memberitahu mereka mempunyai gitar, tetapi mangsa perlu mengikut mereka pulang rumah di kawasan berhampiran.

“Mangsa mengikut lelaki terbabit pulang ke rumah mereka sebelum diberikan gitar.

“Selepas mendapat gitar, mangsa mengajak keluar semula, namun kedua-duanya meminta mangsa berehat kerana mendakwa mangsa tidak bermaya,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu terdapat lebih sembilan lelaki lain dalam rumah terbabit sebelum mangsa disuruh masuk ke dalam satu bilik untuk menghilangkan penat.

“Mangsa mengikut arahan mereka dan dia diberikan seluar pendek untuk disalin kerana mendakwa tidak selesa memakai jeans.


“Tiba-tiba seorang daripada lelaki terbabit masuk dan cuba menggoda mangsa dengan mengurut belakang badannya kerana mendakwa bersimpati melihat keadaannya yang ketika itu dalam keletihan,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi rakan kemudian masuk ke bilik sama sebelum dia menyuruh mangsa menukar seluar pendek dengan memakai kain pelekat, namun remaja terbabit enggan menuruti kata-katanya.

“Tidak puas hati dengan itu, dua lelaki terbabit memegang tangan dan membuka baju mangsa sebelum merogolnya bergilir-gilir.

“Mangsa yang kepenatan tertidur sebelum meloloskan diri kira-kira jam 5 petang keesokannya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa ditemui kakak angkatnya di taman permainan itu sebelum membuat laporan polis.

“Susulan itu, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 20-an dan bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan.

“Mereka direman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
-hmetro-

7 tahun dicabul bapa kandung: Ini kes babi gila bukan gila babi

BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.
BUKTI...Kamisah menunjukkan laporan polis mengenai pencabulan anak saudaranya.
KUALA LUMPUR: “Sudah tujuh tahun anak saudara saya yang berusia 14 tahun dicabul bapanya sendiri, tapi baru kini rahsia itu terbongkar sebelum kami membuat laporan di Balai Polis Rawang, Rabu lalu,” kata Kamisah Jamal, 31, ibu saudara kepada seorang remaja perempuan yang mendakwa dicabul bapanya sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, setiap hari mangsa sering bermuram kerana trauma dengan apa yang berlaku selain tidak menyangka bapa kandungnya yang juga penagih dadah tergamak mencabul kehormatannya sejak kecil.

“Melalui cerita anak saudara saya, dia memberitahu ketika berusia tujuh tahun, bapanya selalu bermain dengan kemaluannya dengan tangan tetapi sejak dua tahun lalu selepas cukup umur, bapanya semakin berani melakukan perkara yang lebih buruk.

“Bapa mangsa yang juga abang kandung saya, sering mengambil peluang menceroboh masuk ke bilik anaknya itu apabila semua ahli keluarga lain tidur dan ada kalanya pada sebelah pagi ketika ibunya pergi bekerja hingga dia tidak terdaya untuk melawan,” katanya ketika datang ke Balai Berita, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berlanjutan menyebabkan anak saudaranya itu trauma.

“Selepas membuat laporan, saya membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pihak hospital mengesahkan ada kesan menunjukkan anak saudara saya itu dicabul.

“Saya hanya mahu ayahnya ditangkap kerana sanggup melakukan perbuatan terkutuk ke atas anak sendiri,” katanya.

Akibat perbuatan terkutuk itu, anak saudaranya itu juga dikatakan sudah beberapa kali cuba membunuh diri.

Kamisah juga tidak berpuas hati apabila kakak iparnya merancang untuk menarik balik laporan yang dibuat kerana tidak mahu suaminya ditangkap.

“Saya hanya minta anak saudara dan dua adik perempuannya dilindungi bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

“Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang panjang untuk dilalui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kes cabul berkenaan dan akan membuat siasatan lanjut sebelum melakukan sebarang tangkapan.

Pekerja Ladang Rogol Adik Angkat Dihukum Penjara Enam Tahun

SALWA SHA’ARI
KLANG: Seorang pekerja ladang tergamak mengugut mahu mencabut tayar motosikal milik adik angkatnya supaya menuruti permintaannya ke ladang kelapa sawit sebelum mangsa dirogol, dua tahun lalu.

Hamiruddin Abd Haris, 27, menerima balasan atas perbuatan terkutuk itu selepas dia diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Jumaat, selepas Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali menerima pengakuan salahnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia 15 tahun 7 bulan, pada pukul 3 petang, 18 Disember 2008 di dalam kereta Proton Satria, di sebuah ladang kepala sawit yang terletak di Sabak Bernam, dekat sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman terhadapnya dapat diringankan bagi membolehkan dia menjaga ayah yang sakit.

“Saya berasal dari keluarga yang susah dan ayah juga tidak bekerja. Saya menanggung keluarga dengan pendapatan bulanan RM900. Saya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.