"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS, Umno memang adik-beradik, kata Mahathir

PRK SG KANDIS | Antara kritikan utama Pakatan Harapan (HARAPAN), terutama Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap PAS adalah parti itu berkerjasama dengan Umno.

Ia selepas PAS tidak mahu bersama-sama HARAPAN untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan BN pada PRU lalu, bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang yang sering berlaku pada PRU sebelum ini.

Hari ini ketiadaan calon PAS dalam PRK Sungai Kandis tidak terlepas daripada sindiran perdana menteri itu.

Bagi Mahathir, tindakan PAS tidak meletakkan calon - seterusnya mengelakkan pecahan undi - menunjukkan hubungan kedua-dua parti pembangkang itu.

"Memang dia (PAS dan Umno) adik-beradik," katanya ringkas ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Ampang, Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS mahu memberi laluan mudah kepada Umno berdepan HARAPAN pada PRK itu yang akan dijalankan 4 Ogos ini.

Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan berbincang dengan PAS untuk meletakkan seorang saja calon pembangkang pada PRK itu bagi memastikan saingat sengit terhadap PKR.

Dua hari lalu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) mengumumkan PAS bersedia memberi laluan kepada Umno untuk bertanding.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan ia bukan bermakna parti itu berkerjasama dengan Umno

“Kita putuskan tidak bertanding dan kebetulan Umno yang bertanding, jadi mungkin atas dasar-dasar lainnya kita rasa di DUN Selangor memerlukan wakil daripada pembangkang, jadi biar satu sahaja parti pembangkang yang masuk. Kita tak bertanding PRK Sungai Kandis atas beberapa sebab, justifikasi," katanya.

Beliau juga berkata PAS masih belum memutuskan sama ada akan membantu Umno sepanjang tempoh berkempen PRK itu.

PRK Sungai Kandis menyaksikan calon PKR Zawawi Mughni berdepan dengan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas K. Murthy.

Ia diadakan selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi menang kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN), Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin (PRM).
-malaysiakini

Ugutan bunuh terhadap Syerleena ADUN Pulau Pinang, 2 ditahan

Melissa Darlyne Chow
GEORGE TOWN: Dua orang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan bunuh terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid dari DAP.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, seorang lelaki berumur 27 tahun di Kelantan, dan seorang lain berumur 49 tahun ditahan di Gombak, petang Jumaat lepas.

“Penyiasatan kes ini sedang berjalan,” katanya kepada FMT.

Ugutan terhadap Syerleena ditemui dalam sebuah nota yang diletakkan dalam peti pos beliau dan satu tulisan di laman Facebook.

Syerleena membuat laporan polis berhubung tulisan di laman Facebook tersebut yang melabelkan beliau sebagai pengkhianat kepada Islam dan tidak berdosa jika menyebabkan kematiannya.

Tulisan tersebut dibuat selepas satu ugutan bunuh ditemui dalam peti pos beliau pada 10 Julai lepas.

Syerleena membuat satu lagi laporan polis terhadap tulisan di laman Facebook yang mendakwa “beliau akan menyerang institusi Islam, terutama Jakim, semata-mata kerana DAP”.

Beliau berkata, ia adalah “fitnah lama” yang muncul sekali lagi di media sosial selepas ia digunakan untuk memburukkannya pada pilihan raya umum Mei lepas.

Tak dosa kalau tak tunai janji: Mufti

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan melaksanakan janji bukanlah satu dosa sekiranya mereka sudah mencuba sedaya upaya untuk merealisasikannya.

Mufti Perak,Tan Sri Harussani Zakaria berkata, jika tidak berusaha dan hanya berjanji, barulah itu dikira berdosa.

Katanya, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengatakan kerajaan sedia menanggung dosa sekiranya gagal melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 adalah kenyataan yang bersifat pengakuan bahawa beliau akan melaksanakan janjinya.

“Ini adalah satu kenyataan yang membuat pengakuan bahawa beliau (Dr Mahathir) akan melaksanakan janjinya, kalau beliau tidak melaksanakannya akan menanggung dosa.

“Dr Mahathir benar-benar mahu melaksanakan janjinya tetapi sekiranya tidak berjaya ia bukanlah satu dosa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perlu dilihat dalam konteks usaha untuk merealisasikan janji yang dilafazkan.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, harus diingat bahawa manusia hanya berusaha tetapi yang menentukan berjaya atau tidak itu bukan di tangan mereka.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, dalam Islam apabila berjanji harus tunaikan, tetapi sekiranya tidak mampu menunaikan janji apa boleh buat kerana ia di luar kemampuan batas manusia.

Katanya, dalam Islam dijelaskan juga apa yang berada di luar kemampuan seseorang manusia itu tidak dikira sebagai dosa.

“Kita sudah usahakan yang terbaik, memanglah asalnya janji mesti ditepati sedaya upaya tetapi setelah dicuba untuk menunaikan janji dan didapati tidak semua janji dapat ditunaikan dengan sebab yang tidak dijangka.

“ALLAH tahu bahawa manusia ada kelemahan dan pasti ada sebab kenapa manusia itu tidak mampu menunaikan janji itu,” katanya.

Menurutnya, serahkan pada ALLAH dan semoga Dia mengampunkan dosa di samping memberi jalan kepada kita supaya dapat usahakan lagi untuk menunaikan janji tersebut.

Beliau berkata, apa yang diharapkan setelah berusaha, ALLAH tidak akan mengatakan kita ini bersalah.

“Walaupun kita janji pada asalnya, tetapi kerana kita tidak jangka janji itu tidak dapat dilaksanakan dan mungkin ketika itu tidak nampak lagi masalah yang menghalang untuk menunaikan janji.

“Tiba-tiba ada benda yang menghalang. Minta ampun dengan ALLAH dan rakyat pun takkan tidak memahami apa yang telah diusahakan kerajaan untuk melaksanakan janji itu,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir dalam kenyataannya berkata, kerajaan bersedia menanggung dosa sekira gagal melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 lalu.

Katanya, kerajaan sedar bahawa ada banyak rintangan yang menyukarkan usaha untuk melaksanakan janji itu.

Menurutnya, selepas 70 hari PH membentuk kerajaan baharu sejak Mei lepas, dua daripada 10 janji tersebut telah dilaksanakan, enam lagi dalam proses pelaksanaan manakala dua lagi belum dilaksanakan.

PRK Sungai Kandis: Penyokong BN enggan berundur

Mohamad Fadli
SHAH ALAM: Penyokong Barisan Naisonal (BN) bertegas tidak mahu berundur dari garis jarak 50 meter dari penyokong Pakatan Harapan (PH) semasa proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, di sini hari ini.

Polis terpaksa mengawal antara penyokong BN dan PH selepas jarak antara mereka terlalu dekat dan dibimbangi boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.

Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengawal di hadapan penyokong BN yang enggan berundur.

Kedua-dua penyokong melaungkan slogan tanda sokongan terhadap calon masing-masing dengan BN melaungkan ‘Hidup BN’ manakala PH melaungkan ‘Reformasi’.

Penyokong PH pula tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong BN yang enggan berundur dari tempat asal mereka iaitu 50 meter dari jarak penyokong PH.

Sebelum itu kedua-dua calon BN dan PH mula mengemukakan kertas penamaan calon dijadualkan selama sejam di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi tersebut.

Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan mencabar calon PH, Zawawi Ahmad Mughni, yang akan mempertahankan kerusi PKR itu.

Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum lepas, PKR mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dengan 23,998 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian.sa mengawal di hadapan penyokong BN yang enggan berundur.

Kedua-dua penyokong melaungkan slogan tanda sokongan terhadap calon masing-masing dengan BN melaungkan ‘Hidup BN’ manakala PH melaungkan ‘Reformasi’.

Penyokong PH pula tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong BN yang enggan berundur dari tempat asal mereka iaitu 50 meter dari jarak penyokong PH.

Sebelum itu kedua-dua calon BN dan PH mula mengemukakan kertas penamaan calon dijadualkan selama sejam di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi tersebut.

Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan mencabar calon PH, Zawawi Ahmad Mughni, yang akan mempertahankan kerusi PKR itu.

Zawawi merupakan pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum lepas, PKR mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dengan 23,998 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian.

Calon Bebas dijangka sertai PRK Sg Kandis

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bermula pada 9 pagi ini di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19 di sini.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada PRK ini.

Pada Khamis, PKR mengumumkan pengetua Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang juga setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Pusat sebagai calon.

BN pula mempertaruhkan anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Dalam pada itu, PRK tersebut dijangka menyaksikan penyertaan seorang calon Bebas selepas sumber daripada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor mengesahkan bahawa individu lelaki berkenaan telah membayar wang deposit.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR, mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76). Beliau menang dengan majoriti 12,480 undi.

Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar terdiri daripada 51,217 pengundi biasa dan 13 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian.
-Bernama

Nik Amar pandang ke langit isu LGBT di Kelantan, kata Pemuda AMANAH

ZIKRI ABDULLAH 
Muhammad Arif Basharuddin

Penafian dibuat oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kononnya tiada aktiviti LGBT di negeri itu ditempelak Pemuda AMANAH seolah-olah beliau berjalan pandang ke langit.

Ketua komunikasi Pemuda AMANAH Kelantan Muhammad Arif Basharuddin berkata, beliau amat kesal danbersimpati dengan Nik Amar kerana masih lagi berjalan mendongak ke atas sehingga tidak nampak keadaan sebenar di sekelilingnya.

“Tindakan beliau menafikan isu LGBT sebenarnya wujud dan serius di negeri ini sememangnya diketawakan oleh banyak pihak.

“Dia dilihat seolah-olah bagaikan cuba menutup bangkai gajah dengan sehelai serban,” katanya.

Menurutnya jika Timbalan Menteri Besar itu ‘malas’ sangat untuk turun padang meninjau sendiri betapa seriusnya gejala pelacuran seks songsang ini melanda di sekitar Kota Bharu, sepatutnya beliau boleh mencari maklumat itu di internet.

“Sepatutnya boleh sahaja ambil telefon pintar dan ketik carian di Google, taiplah apa sahaja kata kunci sama ada ‘LGBT Kelantan’, ‘Pondan Kelantan’, ‘Maknyah Kelantan’, ‘Gay Kelantan’ atau apa sahaja berkaitan isu ini di Kelantan, nah… berlambak berita yang cukup memalukan kita semua terpampang di sana.

“Saya sehingga kini cuba mendapatkan maklumat terperinci mengenai perdagangan dan pengiklanan khidmat seks songsang selain khidmat pelacuran wanita sejati dalam laman aplikasi sosial seperti Wechat di Kelantan ini.

“Nampaknya meriah juga negeri kita, sampai pelacur jenis perempuan asli pun terpaksa bersaing dengan pondan yang seakan-akan perempuan asli untuk berebut pelanggan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan di buat Nik Amar pada Rabu dipetik berkata, Kelantan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti golongan LGBT tetapi katanya, dakwaan bahawa kegiatan itu turut berlaku di Kelantan sehingga kini tidak dapat dibuktikan.

“Kita tidak ada bukti yang jelas, isu itu kita ada dengar tapi tidak ada bukti jelas. Dan tak ada lagi setakat ini orang yang mengaku dia amalkan LGBT di Kelantan,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu seperti dilapor Malaysiakini.

Kata Muhammad Arif lagi, isu ini diangkat (dilaporkan) dengan harapan Kerajaan Kelantan insafi masalah yangberlaku dan terus giat gerakkan usaha pembanterasan dan pemulihan gejala pondan
dan LGBT di Kelantan, bukan untuk terus beralasan dan menyalahkan pihak lain.

“Jangan pula jadikan kegagalan untuk merealisasikan manifesto Polis Syariah seperti yang dijanjikan oleh Pas Kelantan sebelum ini sebagai punca kenapa Kerajaan Kelantan dilihat tidak berbuat apa-apa tindakan dalam memerangi gejala LGBT di Kelantan ini.

“Kuasa sebagai Kerajaan Negeri masih boleh menggerakkan pasukan penguatkuasa agama, boleh mohon bantuan pasukan PDRM, dan lain-lain agensi kerajaan jika Pas Kelantan rasa tidak mampu
bertindak.

“Atau kerah sahajalah para ustaz Pas yang sebelum ini garang berceramah di pentas ceramah dan kuliah di madrasah, nah kita antuk pula ‘singa-singa Pas’ ini untuk berdakwah kepada golongan pondan dan maknyah yang galak beroperasi di sekitar Kota Bharu ini,” katanya.

'Jika bertuah boleh dapat semula RM14b dana 1MDB'

Malaysia mungkin mampu mendapatkan semula sehingga RM14.2 bilion dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng seperti dilaporkan Bloomberg semalam.

Jumlah itu adalah 30 peratus daripada kesemua RM50 bilion yang didakwa lesap dari 1MDB, kata Lim.

Tambahnya, kerajaan mungkin mampu mendapatkan semula sekurang-kurangnya 10 peratus atau "jika kita bertuah", 30 peratus daripada jumlah itu.

Jumlah yang dinyatakan Lim itu adalah lebih sedikit berbanding AS$4.5 bilion yang cuba dituntut oleh kerajaan yang disebutkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tak dapat kesan ke mana wang itu dan apa yang mereka beli.

"Apa yang kita boleh kesan pula terdapat persoalan tentang pemilikan kerana proses perundangan dan perbezaan bidang kuasa negara yang terlibat," katanya.

Pada 16 Mei lalu, Dr Mahathir berkata Malaysia akan menghubungi Switzerland, AS, Singapura, dan Luxembourg dalam usaha mendapatkan semula wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Pada 22 Jun pula, Dr Mahathir berkata kerajaan akan cuba mendapatkan semula sejumlah AS$4.5 bilion.

Media melaporkan Malaysia melantik firma guaman Singapura Tan Rajah & Cheah untuk mendapatkan wang berkenaan.

Pendakwa raya Switzeland sebelum ini berikrar akan memulangkan wang yang diseleweng kepada Malaysia.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam usaha menyita aset bernilai kira-kira AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB termasuk kapal layar mewah Equanimity yang dirampas polis Indonesia sebelum ini.

Bagi Lim sendiri, beliau mendedahkan skandal 1MDB selepas menjadi menteri kewangan dan menjangka akan mendedahkan lebih banya skandal bernilai berbilion ringgit.

"Kita akan jelaskan dan mengkaji semula serta mendedahkan kesemuanya dalam tempoh 100 hari, supaya kita boleh selesaikan hal ini.

"Kita tidak hanya mahu memerintah dengan sekadar mendedahkan skandal. Tidak. Kita mahu bergerak ke depan selepas itu," katanya.

Tiada lagi Pati mulai 31 Ogos?

WARTAWAN SINAR HARIAN 

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali (berdiri,dua, kanan) turut turun padang pada Ops Mega 3.0 di sebuah tapak pembinaan di Gambang malam ini. - Foto Bernama
KUANTAN - Jabatan Imigresen berikrar 'memerdekakan' negara daripada pendatang asing tanpa izin (Pati) bermula 31 Ogos depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya akan mempergiatkan operasi menahan Pati mulai tengah malam pada tarikh tersebut.

Beliau berkata, Pati yang ditangkap termasuk majikan terbabit tidak akan diberi ‘muka’ dan perlu berhadapan tindakan undang-undang kerana Imigresen sudah memberi peluang secukupnya kepada mereka.

"Kita memulakan Program Serah Diri Sukarela yang dikenali sebagai 3+1 untuk pendatang asing ini tampil membayar denda dan diusir pulang ke negara asal.

"Jadi mereka masih berpeluang untuk menyerah diri sehingga 30 Ogos sebelum kita mengambil pendekatan lebih tegas," katanya selepas menyertai Op Mega di dua tapak pembinaan di Jalan Gambang di sini, hari ini.

Mustafar berkata setakat ini, Op Mega dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Julai lalu telah menahan lebih 3,000 Pati atas pelbagai kesalahan.

Selain kesalahan tidak mempunyai permit bekerja yang sah, beliau berkata ada antara mereka mempunyai permit kerja dengan majikan berbeza kerana melarikan diri daripada majikan asal.

Mengulas mengenai operasi di Jalan Gambang itu, Mustafar memaklumkan 84 pendatang asing itu adalah dalam lingkungan empat hingga 60 tahun, dan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh serta Myanmar.

Mustafar berkata pihaknya juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat membantu Imigresen dalam soal berkaitan penempatan pendatang asing, yang disifatkan tidak kondusif dalam soal kebersihan.

"Penempatan mereka kebanyakannya dibina dalam keadaan tidak mempunyai sistem pembuangan sampah teratur, sistem saliran dan tandas yang tidak baik, serta berisiko penularan penyakit.

"Sedangkan isu berkaitan kesihatan merupakan keutamaan negara sehingga mana-mana warga asing yang mahu bekerja di negara ini perlu mematuhi semua syarat kesihatan sebelum diberikan permit," katanya.

Mustafar berkata kewujudan penempatan haram pendatang asing itu juga boleh menimbulkan keresahan terhadap warga tempatan, terutamanya yang dibina berhampiran kawasan perumahan.

Di Sg Kandis, BN dan HARAPAN menukar strategi pilihan raya

Zikri Kamarulzaman

PRK SG KANDIS | Dalam bilik mesyuarat yang pengap di sebuah lot kedai di pinggir Shah Alam, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan sidang medianya.

Wartawan dan pemimpin politik yang berada di situ dilihat menyeka peluh di dahi masing-masing akibat sistem penyaman udara yang tidak begitu memuaskan.

Lebih merimaskan, bunyi enjin motosikal dari bengkel di sebelah kedai mengganggu ucapan Mohamad.

Keadaan bilik mesyuarat Umno bahagian Kota Raja itu jauh berbeza berbanding lokasi mewah yang biasa digunakan BN untuk mengumumkan calon mereka ketika masih menjadi kerajaan.

Jika sebelum ini pengumuman seumpama itu akan dikuti kempen berskala besar di mana BN akan mengedarkan habuan serta menjanjikan pelbagai peruntukan untuk pembangunan, kini semuanya tiada lagi.

BN kini tidak lagi berupaya untuk membuat janji-janji seperti itu dan lebih memburukkan keadaan, sebahagian besar akaun Umno telah dibekukan akibat siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

Ditanya sama ada kekangan kewangan akan menjadi penghalang bagi Umno dalam kempen pilihan raya kecil ini, Mohamad menolak kebimbangan tersebut.

"Kami berkempen dari mulut ke mulut, bukan dengan wang," katanya sambil tersenyum dan disambut ketawa oleh pemimpin BN di situ.

"Kami akan berkempen dengan meyakinkan (pengundi) dengan pergi dari rumah ke rumah," katanya.
Sementara itu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam (Gambar dua dari kanan), berkata pilihan raya kecil itu adalah peluang untuk membantah dasar kerajaan Pakatan Harapan serta memperkuatkan suara pembangkang dalam DUN Selangor.

Mesej seumpama adalah mesej serupa disampaikan PKR, DAP dan PAS pada tahun 2008 apabila mereka menyeru rakyat menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Kini segala-galanya berubah. Jika dahulu BN berkuasa di Selangor, pada masa ini, PKR mengetuai kerajaan negeri.

Dalam satu majlis beberapa jam sebelum Mohamad bercakap dalam sidang media itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyerahkan bantuan bernilai RM713,400 kepada kira-kira 180 orang penduduk Sungai Kandis dan kawasan-kawasan berdekatan seperti Kota Raja.

Bantuan itu termasuk RM376,000 dalam bentuk pinjaman mikro kredit di bawah Skim Hijrah Selangor.

Mungkin menyedari bantuan berkenaan dibuat ketika pilihan raya kecil bakal diadakan, Amirudin berulang kali menegaskan bahawa kerajaan Selangor tidak hanya memberikan bantuan semata-mata.

Beliau juga menyebut mengenai biasiswa, pinjaman mikro, dan bengkel latihan kemahiran yang merupakan antara inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Selain itu Amiruddin juga menyampaikan mesej secara halus mengenai peralihan kuasa di Putrajaya apabila memberitahu kira-kira 200 penduduk bahawa Selangor boleh mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang kini berada di bawah kawalan Pakatan Harapan.

Ini berbeza sebelum PRU pada 9 Mei, apabila kempen di Selangor menyaksikan HARAPAN dan BN masing-masing menggunakan sumber daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

Bertanding di padang yang rata
Bagaimanapun, Amiruddin dilihat lebih berhati-hati. Sepanjang ucapannya, beliau tidak ada meminta penduduk yang menerima bantuan agar mengundi PKR pada pilihan raya kecil itu.

Calon PKR Sungai Kandis, Zawawi Mughni yang hadir juga tidak berada di pentas untuk menonjolkan dirinya sebagai calon seperti mana dilakukan BN pada masa lalu.

Zawawi hanya berada di sebelah Amirudin ketika sesi bergambar pada akhir acara itu dan pada sidang media selepasnya.

Sama ada Amirudin dan HARAPAN akan menggunakan jentera kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan semasa tempoh berkempen nanti masih belum dapat dipastikan.

Dengan BN tidak lagi dapat menggunakan sumber kerajaan persekutuan, ia memberi peluang kepada HARAPAN menunjukkan kempen yang adil seperti dituntut mereka sejak beberapa dekad lalu.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan ini.

Pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 4 Ogos dan hari penamaan calon akan diadakan esok.

Pilihan raya kecil itu dijangka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PKR.
-malaysiakini

Berita palsu 'kasut hitam' berlegar di media sosial


Maklumat palsu sedang diedarkan di media sosial menggunakan laporan Malaysiakini mengenai pengumuman Menteri Pelajaran, Maszlee Malik bahawa urid-murid tidak lagi perlu berkasut putih mulai tahun depan.


Imej yang memaparkan gambar Maszlee, memuatkan kenyataan “tambahan” yang bukan seperti laporan asal Malaysiakini.

Kenyataan “tambahan” itu mendakwa bahawa kasut hitam mesti dibeli daripada jenama yang disyorkan oleh kerajaan dan 10 peratus daripada setiap pembelian akan ke Tabung Harapan Negara.

Maszlee dalam ciapanya itu turut menulis perkataan "palsu” dan “fake” berserta imej yang diedarkan berkenaan.

“Ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyebar poster ini dan saya ingin menegaskan bahawa kenyataan ini adalah fitnah.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegini dan rakyat Malaysia boleh melihat kembali rakaman program Bicara Minda di Sinar Online,” katanya merujuk kepada kenyataan “tambahan”pada imej itu.

Pada forum semalam di Shah Alam, Maszlee berkata keputusan pertukaran warna kasut berkenaan dibuat hasil maklum balas yang diterima kementerian daripada ibu bapa.

Menteri itu tidak menyebut apa-apa mengenai jenama kasut mahupun menyentuh mengenai Tabung Harapan Negara.
-malaysiakini

Akhirnya pemimpin umno mulut longkang ini minta maaf

Akhirnya Razlan minta maaf

Setelah dikecam hebat, termasuk oleh bekas bosnya dalam Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Razlan Rafii akhirnya meminta maaf kepada keluarga mendiang Eddie Ng.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan bersimpati kepada pemergian YB Eddie, maaf kepada keluarga mendiang.

“Semoga tenang di sana,” tulisnya di Twitter sebentar tadi.

Razlan, bekas ketua Umno Pemuda Umno Wilayah Persekutuan pagi tadi menyifatkan Ng, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, yang meninggal dunia awal pagi ini sebagai “suka fitnah dan hati busuk”.

Dihubungi Malaysiakini, Razlan sebelum ini berkata beliau tidak berniat untuk menghina mendiang, malah turut mendoakan agar Ng dengan ungkapan “RIP” (bersemadi dengan tenang).

Khairy petang ini menuntut Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi “menunjukkan kepimpinan” dengan mengecam kenyataan Razlan yang dianggap tidak sensitif.

Ng meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuh Raya Cheras-Kajang awal pagi tadi.

Menurut sumber, media melaporkan, mangsa memandu kereta pacuan empat roda apabila melanggar belakang sebuah lori.
-malaysiakini

Husam masih ada peluang

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

KOTA BHARU - Pengerusi PH Kelantan Husam Musa mungkin diberi peranan dalam sistem kerajaan Persekutuan khsususnya agensi dan perbadanan yang berkait dengan Pantai Timur.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi Amanah Negeri, Wan Rahim Wan Abdullah yang menjelaskan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed pasti membuat keputusan dan persefaham yang baik dalam menentukan kedudukan Husam.

"Pakej ini ada persetujuan bersama Tun dan Husam, oleh kerana masa dua bulan ini fokus untuk susun kerajaan dan selesaikan pihak yang menang dahulu, di Kelantan dan Terenganu mungkin kemudian sedikit.

"Saya yakin sebelum 100 pemerintahan, Perdana Menteri akan isytiharkan jawatan Husam yang telah dipersetujui sebelum ini," katanya selepas hadir di majlis ramah mesra PH Kota Bharu disini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ketiadaan nama Husam dalam senarai perlantikan senator yang diumumkan Tun Mahathir baru-baru ini. Keputusan itu menyebabkan terdapat suara-suara diperingkat akar umbi yang tidak berpuas hati.

Wan Rahim yang juga Timbalan Pengerusi PH Negeri berkata, dengan pelantikkan Husam, keresahan ahli akar umbi akan reda seterusnya membolehkan parti berjalan dengan lebih lancar.

Terdahulu beliau berkata, pelantikkan Ketua Bersatu Ketereh, Dr Mohd Radzi Jidin sebagai Timbalan Menteri Ekonomi tepat dengan kelayakan beliau sebagai bekas penyarah dibidang akaun forensik.

Beliau berkata, Radzi boleh membantu kerajaan khususnya menangani isu ekonomi semasa selain pelbagai skandal yang membelenggu negara.

"Dengan umur 41 tahun dan semangat orang muda menjadikan pemilihan beliau itu adalah pilihan tepat, ramai dikalangan orang lama seperti bekas Adun, ahli parlimen dan exco.

"Beliau (Radzi) ini masih segar dan pengalaman dan keterlibatan dalam Umno sebelum ini juga memberi kelebihan, saya yakin beliau boleh melaksanakan tugas yang diamanahkan, pemilihan tepat dan saya menyambut baik,"katanya.

PKR pilih pengetua tahfiz Zawawi pertahan Sungai Kandis

Khairil Ashraf

KOTA RAJA: PKR memilih muka baru, Zawawi Ahmad Mughni untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada pilihan raya kecil 4 Ogos nanti.

Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu di sini, malam ini.

Zawawi ialah pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun dan setiausaha jentera pilihan raya DUN Sungai Kandis serta ketua bilik gerakan utama PKR pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Beliau yang menyertai gerakan Reformasi pada 1998, aktif di peringkat Cabang Kota Raja dan ranting Jalan Kebun, selain merupakan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama serta ahli jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat.

Zawawi mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PKR, khasnya Dr Wan Azizah yang memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya harapkan rakan-rakan yang hadir hari ini akan memberikan sokongan dan dokongan untuk memastikan kejayaan lebih cemerlang dalam pilihan raya kecil akan datang.”

Beliau berjanji akan melaksanakan semua perancangan parti sebelum ini untuk membela rakyat setempat, khasnya golongan miskin.

“Sungai Kandis ada banyak kawasan kampung yang perlukan pembelaan seperti longkang tersumbat, sampah dan juga lampu jalan yang perlu dipertingkatkan kemudahannya.”

Penamaan calon akan diadakan pada Sabtu ini dan parti bertanding mempunyai 14 hari untuk berkempen.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).

Timbalan Ketua Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengumumkan calon Umno esok, manakala Majlis Syura Ulama PAS belum membuat keputusan untuk memberi laluan kepada Umno bertanding satu lawan satu menentang Pakatan Harapan di Sungai Kandis.

ADUN Balakong maut kemalangan (video)


Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuh Raya Cheras - Kajang sebentar tadi.

Ng Tien Chee yang terpilih menjadi anggota dewan undangan negeri untuk kawasan Balakong dikatakan terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan.

Menurut Utusan Online kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi di kilometer 12 lebuh raya tersebut.

Ng dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kajang.

Menurut sumber mangsa memandu kereta Nissan X-Trail apabila melanggar belakang sebuah lori di lebuh raya kendalian syarikat Grand Saga Sdn Bhd itu.

Ng dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu Ng mengalahkan dua pencabar masing-masing dari BN, Lim Chin Wah, dan Mohamad Ibrahim Ghazali, dengan kelebihan 35,538 undi.

Ng memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).
-malaysiakini

Ha ha ha mudah sangat TPM DS Wan Azizah tibai lebai PAS kat Parlimen


Esok bakal catat sejarah untuk demokrasi di Kuala Lumpur

MALAYSIA DATELINE

Esok Jumaat 20 Julai 2018 bakal mencatat sejarah demokrasi di Kuala Lumpur apabila kesemua ahli parlimennya mendapat pengiktirafan selepas dilibatkan secara rasmi dalam mentadbir ibu kota itu.

Kesebelasan ahli parlimen di Kuala Lumpur akan menyertai mesyuarat pertama Majlis Menteri yang bakal diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia adalah inisiatif Menteri Wilayah Khalid Samad yang mahu memberikan hak kepada wakil yang dipilih oleh pengundi ibukota untuk turut terlibat dalam mentabir bandaraya itu.

Mesyuarat esok akan dipengerusikan oleh Khalid dengan disertai sama oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan para empat pengarah eksekutifnya dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah dan pegawai kanannya.

Melalui inisiatif ini, majlis ini akan berperanan untuk menasihat Menteri Wilayah bagi menggunakan kuasanya selaku menteri.

“Kita mahu memberikan hak demokrasi yang lebih baik kepada penduduk bandaraya apabila wakil yang mereka pilih melalui pilihan raya boleh berperanan dalam mentadbir bandaraya,” kata Khalid dalam satu sidang media sebelum ini.

Sejak sekian lama, para wakil rakyat yang menang di Kuala Lumpur, khasnya dari DAP dan PKR tidak pernah mendapat tempat dalam mentadbir bandaraya.

Dalam PRU 14 lalu, kesemua 11 kerusi parlimen di Kuala Lumpur di menangi oleh Pakatan Harapan.

JPM hantar surat pada CIA minta AS sokong Najib

Lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menterit yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

"Saya berharap pihak tuan akan dapat melaporkan kepada setiausaha negara mengenai kerumitan mengurus pilihan raya ini oleh Perdana Menteri Najib dan keperluan untuk mendapat dukungan AS bagi kerajaan sekarang walaupun kami memenangi pilihan raya dengan mudah majoriti atau hanya satu kerusi.

"Sebarang petunjuk bahawa kerajaan AS akan terus menyokong Perdana Menteri Najib dan kerajaannya pasti akan memperkuat kestabilan kami dan meningkatkan hubungan mesra sedia ada yang didorong oleh hubungan erat antara kedua pemimpin," katanya.

Jurucakap perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kesahihan surat itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) mendakwa tidak tahu mengenai surat tersebut dan berkata risikan sepatutnya memastikan keselamatan negara dan mengenai bukan pilihan raya.

"Saya tidak fikir risikan harus terbabit dalam usaha memenangi pilihan raya.

"Perisikan tidak sepatutnya melakukan apa-apa dalam pilihan raya. Pilihan raya adalah mengenai kehendak rakyat, pilihan raya adalah mengenai demokrasi,"katanya.

Surat dialamatkan kepada pengarah CIA yang dilantik pada akhir Mei di bawah pentadbiran Donald Trump itu turut menyentuh mengenai Mahathir bekerjasama dengan pembangkang.

"Tuan mesti dimaklumkan dengan baik bahawa Mahathir, pada dasarnya bukanlah seorang tokoh pembaharuan yang dapat meningkatkan kepentingan negara kerana beliau menyertai pembangkang untuk kepentingan diri sendiri.

"Sementara itu, pembangkang berharap dapat mempergunakan kehebatannya (Mahathir) dalam politik untuk mengalahkan perdana menteri Najib," kata surat yang ditulis oleh ketua pengarah bahagian penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid.

'Mahathir anti-barat, Najib pro-AS'

Surat itu turut menyebut Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa lalu merupakan seorang yang "anti-Barat, anti semitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. "

"Sepanjang tempohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri disalahgunakan untuk agenda politiknya sendiri dan membenarkan beliau memerintah Malaysia selama lebih dua dekad," katanya.

Sebaliknya, surat itu mengatakan sepanjang 9 tahun pentadbiran Najib, beliau menunjukkan rekod yang baik bukan sahaja dasar asing yang progresif tetapi juga menyumbang kepada keselamatan melalui penglibatan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini .

Walaupun pengkritik termasuk Mahathir menuduh Najib berpaling kepada China, surat tersebut menyatakan bekas perdana menteri itu akan memihak kepada AS.

"Tidak seperti Mahathir, Najib dikenali sebagai sekutu Amerika yang kuat dan akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

"Tanpa Najib yang bertanggungjawab ke atas negara ini, Amerika Syarikat akan kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara memandangkan Filipina telah melepaskan diri dari Washington, Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk membuat impak dan Thailand serta Indonesia dibelenggu masalah domestik mereka sendiri.

"Sementara itu, negara-negara Indo-China kecuali Vietnam terlalu cenderung ke arah China, "katanya.

Menurut surat itu, Malaysia juga mengalu-alukan kehadiran AS di rantau ini, terutamanya Laut China Selatan untuk memberi keseimbangan terhadap ketegasan maritim China.

Malaysiakini, Sarawak Report turut disebut

Surat itu juga menyebut Malaysiakini dan Sarawak Report dengan mendakwa pembangkang menyebarkan cerita negatif mengenai dasar politik dan sosio-ekonomi melalui portal berkenaan.

"Terdahulu, mereka (pembangkang) telah menubuhkan NGO seperti BERSIH Global untuk menganjurkan pemberontakan seperti Arab-Spring di Malaysia.

"Pada tahun 2016, harapan pembangkang untuk menjadi kerajaan kelihatan agak menjanjikan kerana Mahathir menyertai mereka.

"Ironinya, selama 20 tahun gerakan 'reformasi' oleh Anwar Ibrahim adalah untuk menentang dan melawan kezaliman Mahathir," tambahnya.

Saifuddin, dalam temu bualnya dengan Malaysiakini, berkata kerajaan sekarang mempunyai pandangan berbeza mengenai soal risikan.

"Sekiranya kita mempunyai unit perisikan atau jabatan, yang bukan perkara luar biasa bagi mana-mana kerajaan, risikan mestilah mengenai memastikan keselamatan negara dan rakyatnya dan bukan mengenai politik," katanya.

Menteri itu juga mendedahkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengkaji semula peranan anggota Cawangan Khas Polis dalam memantau ahli-ahli politik.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak (Menteri Dalam Negeri) (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tetapi saya percaya beliau melihat aspek ini di mana urusan utama pasukan polis adalah mengenai keselamatan dan bukan untuk memastikan pihak tertentu memenangi pilihan raya atau sesuatu seperti itu," tambahnya.

Warga sekolah gempar, ‘bom’ dilontar ke tingkap bilik kaunseling

Bernama
KOTA BHARU: Cermin tingkap bilik kaunseling sebuah sekolah menengah berhampiran Jalan Pantai Cahaya Bulan rosak selepas dipercayai dilempar bahan letupan dibuat menggunakan mercun bola oleh pihak tidak bertanggungjawab hari ini.

Dalam kejadian jam 11.00 pagi itu, bahan letupan itu dilontar dari luar pagar sekolah ke dalam bilik tersebut dan ketika ketika kejadian dipercayai hanya terdapat seorang guru dalam bilik berkenaan namun beliau tidak cedera.

Seorang guru, yang namanya tidak mahu disiarkan, berkata kejadian itu berlaku ketika sesi pembelajaran dan warga sekolah itu digemparkan dengan bunyi letupan kuat tersebut.

Beliau berkata sebaik terdengar letupan itu beberapa guru terus ke lokasi kejadian dan terkejut melihat cermin tingkap bilik itu pecah.

“Turut kelihatan, beberapa serpihan dipercayai mercun bola. Kami tidak pasti siapa yang melakukan perbuatan itu dan percaya ia dibaling dari luar pagar sekolah yang terletak kira-kira 10 meter dari bilik berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidik, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan sepasukan anggota polis sudah dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

Pemilihan PKR: Pertembungan Rafizi-Azmin jawatan timbalan presiden?

Timbul spekulasi yang mengatakan bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli dijangka bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Sekiranya benar, ia akan menyebabkan pertembungan Rafizi dengan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika dihubungi, Rafizi memberitahu Malaysiakini bahawa dia belum membuat keputusan tentang perkara itu.

"Saya belum buat apa-apa keputusan," katanya ringkas.

Spekulasi itu timbul selepas artikel yang disiarkan The Star memetik Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut nama Rafizi ketika membincangkan rancangan masa depannya termasuklah menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ditanya sama ada jawatan timbalan perdana menteri akan disandang Mohamed Azmin atau Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata, "Macam mana nama Rafizi tak ada?"

"Boleh petik saya, tapi tolong nyatakan saya katakan ini dalam nada bergurau," katanya sambil ketawa.

Susulan itu, spekulasi mengatakan Anwar lebih cenderung memilih Rafizi sebagai timbalannya dalam PKR.

Penganalisis politik Faisal Hazis berpendapat pertembungan antara Rafizi dan Mohamed Azmin akan memudaratkan PKR.

"Jika kedua-dua mereka bertembung, ia akan melemahkan dan memecah belahkan parti itu," kata Faisal yang merupakan penganalisis di Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Malaysiakini.

Konflik dalaman

Tambah Faisal, pertembungan itu juga akan menjejaskan usaha menyatupadukan parti itu yang sebelum ini sedia terjejas akibat konflik dalaman.

"Anwar perlu menyatukan partinya kerana wujud persepsi PKR adalah titik lemah dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) meskipun mempunyai kerusi paling banyak. Persepsi ini disebabkan konflik dalaman," katanya.

Perselisihan antara penyokong Mohamed Azmin dan Rafizi mendominasi politik PKR sejak 2014 susulan Langkah Kajang.

Langkah Kajang dilihat sebagai pilihan raya kecil yang disusun oleh Rafizi untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar Selangor.

Pensabitan Anwar dalam kes liwat dan ketegangan yang dengan pihak istana Selangor akhirnya menyaksikan Mohamed Azmin menjadi menteri besar.

Bagaimanapun, ada kemungkinan pertembungan Rafizi dan Azmin itu tidak terjadi.

Beberapa pihak di dalam PKR dipercayai memberi gambaran agar Mohamed Azmin mencabar Anwar bagi jawatan presiden.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan media semalam berkata PKR perlu bersedia untuk tidak menghalang sesiapa bertanding sebarang jawatan termasuk presiden.

Dalam kenyataan itu, Zuraida turut menyorot kepimpinan Mohamed Azmin ketika menjadi menteri besar Selangor.

Mohamed Azmin sendiri berkata beliau belum membuat keputusan jawatan parti yang akan ditandinginya, sementara setiausaha politiknya Hilman Idham berkata menteri hal ehwal ekonomi itu tidak akan mencabar Anwar.

Pemilihan PKR akan bermula pada penghujung Ogos dan nama calon perlu diserahkan pada 27 Julai hingga 29 Julai.
-malaysiakiniq

Nasib Husam di awang-awangan

N Faizal Ghazali
Selepas ramai pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) dilantik memegang jawatan dalam kabinet, ramai yang tertanya-tanya apakah nasib naib presidennya, Husam Musa.

Husam dilihat berperanan besar khususnya di Kelantan, walaupun gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) tewas teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di negeri itu.

Pastinya ramai yang terkesan khususnya di kalangan rakan-rakan parti apabila sehingga hari ini, pengerusi HARAPAN Kelantan itu belum diberi sebarang jawatan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahatahir Mohamad.

Kini, kepimpinan AMANAH Kelantan di pelbagai peringkat mula menyampaikan mesej bersolidariti dengan Husam.

Penyelaras HARAPAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, pihaknya sedar isu itu menjadi tajuk perbualan hangat di kalangan masyarakat sama ada di media sosial atau di kampung-kampung.

"Ia jelas bahawa isu pelantikan Husam ini sangat diambil berat oleh setiap ahli masyarakat (Kelantan).

"Pada saya, pelantikan Husam merupakan suatu detik yang ditunggu-tunggu rakyat Kelantan.

"Hari ini, dengan rendah diri saya mengajak untuk sama-sama bersolidariti untuk Husam. Semoga Kelantan lebih hebat dan cemerlang," katanya dalam tulisan di Facebook.

Terdahulu, nama Husam dikatakan bakal diangkat sebagai timbalan menteri di salah satu kementerian, namun Malaysiakini difahamkan beliau menolak tawaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Pasir Puteh, Mohd Sabri Salleh turut bersolidariti buat Husam.

Malah, beliau memberi ancaman untuk keluar parti sekiranya bekas ADUN Salor itu tidak dilantik ke sebarang jawatan penting.

“Ambo (saya) akan pertimbang keluar daripada AMANAH," katanya di Facebook.

Bagaimanapun bagai Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, pihaknya yakin dengan kebijaksanaan Dr Mahathir untuk meletakkan Husam di posisi terbaik khususnya buat negeri Kelantan.

"Ramai yang bertanya apa kedudukan Husam selepas PRU14, ramai yang bersedih apabila nama beliau tidak diangkat sebagai senator baru-baru ini.

"Namun, saya yakin beliau seorang yang ikhlas dalam perjuangan. Husam juga seorang yang tidak mudah berputus asa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Dr Mahathir alu-alukan laporan Jho Low ditahan d China

Adam Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan laporan yang menyatakan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low ditahan di China.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau masih tidak menerima sebarang makluman rasmi dari negara berkenaan selain makluman daripada media.

“Saya tidak tahu bahawa dia ditahan, terima kasih atas makluman. Saya harap dia ditahan dan akan dibawa pulang ke dalam negara,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir berkata, walaupun tidak ada kerjasama rasmi untuk membawa pulang Jho Low, tetapi itu tidak bermakna individu berkenaan tidak boleh dibawa pulang.
“Apa yang saya tahu, dia berpindah randah mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa,” katanya.
_______________

Jho Low sudah ditangkap? IGP kata akan semak

Laporan yang belum disahkan mengatakan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek  telah ditahan di China.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak sedar mengenai penahanan itu.

""Saya tak tahu, terima kasih kerana beri maklumat kepada saya. Saya harap dia akan ditangkap," katanya kepada pemberita di Parlimen pagi ini.

Ditanya sama ada Malaysia dan China mempunyai perjanjian ekstradisi, Mahathir menjawab: "Tidak, tetapi mereka boleh berikannya kembali kepada kita."

Berita mengenai penahanan itu tersebar ketika pertemuan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin dengan Perdana Menteri China, Li KeQiang.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Bukit Aman belum menerima sebarang maklumat mengenai penangkapan Jho Low.

“Saya tidak ada maklumat perkara itu, saya akan semak," katanya kepada Bernama.

Februari lalu, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

Zahid berkata demikian ketika mengulas permintaan China untuk mengekstradisi 11 etnik Uighur yang dilapor telah ditahan di negara ini.

Semalam, Sarawak Report memetik sebuah stesen radio Hong Kong mendakwa pihak berkuasa China telah menahan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu.

Pada 11 Julai, South China Morning Post berkata Low telah melarikan diri ke tanah besar China dari Macau dengan menggunaan kereta atau jet peribadi.

Sebelum itu, jutawan berusia 37 tahun itu melarikan diri ke Macau selepas polis Malaysia mencarinya di Hong Kong.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam saman sivilnya menamakan ahli perniagaan itu antara individu terlibat dalam penyalahgunaan dana 1MDB.

Dia dituduh menggunakan dana 1MDB untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity; barang kemas untuk model Miranda Kerr; dan kalung berlian merah jambu berharga AS$ 27.3 juta untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1).

DOJ mendakwa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan AS$ 620 juta yang didakwa MO1 telah kembalikan kepada penderma dari Arab Saudi, tetapi sebaliknya disalurkan ke akaun yang didakwa dikawal oleh Low.

MO1 dikenal pasti sebagai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.
-malaysiakini

Dewan Rakyat dilanda ‘ribut’ lebih sejam, Ramkarpal dikritik ramai penyokong PH

MALAYSIA DATELINE 
Keengganan Ramkarpal menarik balik panggilan ‘samseng’ menyebabkan Parlimen pagi semalam berterusan bising lebih sejam sehingga Dewan Rakyat berhenti rehat.

Rakyat berbilang kaum termasuk penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) rata-ratanya mengkritik Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang dianggap bersikap tidak selari dengan semangat Malaysia Baru.

Reaksi awam itu termasuk di Facebook rasmi anak mendiang Karpal Singh itu yang menasihatkannya supaya lebih menjaga bahasa yang diucapkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kekecohan di Dewan Rakyat semalam berlaku apabila Ramkarpal berdalih dan enggan menarik balik perkataan ‘gengster’ terhadap Pemuda Umno yang didakwanya terbabit dalam insiden pergaduhan dengan mendiang ayahnya beberapa tahun lalu.

Akibatnya, dewan menjadi riuh seperti pasar borong ketika sesi perbahasan titah diraja itu sehingga menyaksikan sesi pagi Dewan Rakyat itu terus hingar lebih sejam.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang tegas menuntut Ramkarpal akur terhadap arahan Timbalan Yang Di-pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada awal sesi perbahasan supaya menarik balik penggunaan perkataan samseng.

Bagaimanapun, perang mulut antara pembangkang dan penyokong kerajaan berterusan hingga Dewan Rakyat berhenti rehat selepas Rashid menganggap pertikaian isu penggunaan perkataan itu sudah selesai sejurus mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan untuk tidak mengulanginya.

Mengulas insiden itu, pengguna Facebook Norma Abdullah dalam komentarnya di Facebook Ramkarpal mengakui Umno sememangnya samseng tetapi beliau juga menasihatkan pemimpin DAP itu supaya tidak mengeluarkan bahasa kesat di Parlimen.

“Anda mewakili rakyat. Jangan lupa hal itu,” katanya.

Sementara itu, Tilega Vathi menulis, “Kami memilih anda untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi anda perlu bekerja dengan baik dan menghormati orang lain.”

Bagi Janice Thomas pula, beliau juga tidak menafikan Umno samseng tetapi pada masa sama, tegasnya, wakil rakyat PH mesti bijaksana dalam meletakkan kata-kata selain mengucapkan sahaja minta maaf jika sudah terlepas cakap.

Pada masa sama, ramai memuji sikap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang disifatkan memulakan tanggungjawabnya dengan baik tanpa pilih kasih.

Ariff yang kemudiannya mengendalikan sidang sesi petang membuat keputusan drastik mengarahkan Ramkarpal keluar Dewan Rakyat dan menggantung Ahli Parlimen DAP itu selepas amaran kali kedua supaya Ramkmenarik balik kenyataan itu tidak dipatuhi.

Ariff, 69, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib AMANAH itu mengeluarkan perintah tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2).

Sehubungan itu, rakyat mengingatkan wakil rakyat sama ada dari blok kerajaan dan pembangkang supaya menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk berdebat secara bijak dan matang.

Ramai berharap perbahasan di Dewan Rakyat pada era Malaysia Baru ini berdebat hal berkaitan kepentingan rakyat bukannya lagi terlalu riuh hingga di luar kawalan seperti pasar borong lantaran mementingkan sentimen peribadi dan politik kepartian.

ORANG UMNO MENCATUR KUASA DALAM KERAJAAN PAKATAN HARAPAN?

Zakri Zakaria

Sejak Pakatan Harapan ada kuasa dan menjadi kerajaan, bukan saja mereka yang merupakan ahli dan penyokong parti-parti dalam gabungan itu yang sibuk mencatur kuasa, rupa-rupanya orang UMNO pun tidak ketinggalan sama.

Di sebalik ada yang masih setia dengan UMNO atau menyalahkan Najib Razak sebagai punca utama UMNO kehilangan kuasa, terdapat juga ahli-ahli parti itu yang sudah berwajah dua.

Dalam beberapa insiden, ada yang tanpa segan silu mendakwa bahawa mereka sebenarnya menyokong Pakatan Harapan secara diam-diam dalam pilihanraya lalu, meskipun masih lagi berstatus ahli UMNO sehingga kini.

Konon katanya, apa yang mereka lakukan selama ini adalah dalam pengetahuan Tun Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri memang merestui tindakan mereka.

Lebih daripada itu, mereka juga mendakwa sokongan ahli-ahli UMNO terhadap Pakatan Harapan seperti merekalah yang sebenarnya banyak menyumbang kepada kemenangan gabungan itu sehingga berjaya mengalahkan UMNO dan BN.

Tidak kurang, ada juga orang UMNO yang ketika ini asyik memuji-muji kehebatan Tun Mahathir di mana-mana, asal saja mereka ada peluang bercakap dan menonjolkan diri, meskipun mereka sebelumnya selalu mengambil pendirian mempertahankan UMNO dan BN.

Di antara mereka itu, ada juga yang mendakwa selalu menghantar maklumat penting secara terus kepada Tun Mahathir melalui aplikasi whatsapp sebagai menunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka dengan Perdana Menteri ke-7 sekarang.

Pengakuan itu malah membuatkan seseorang yang rapat dengan Tun Mahathir agak terkejut kerana sepanjang pengetahuannya, sama ada sebelum ini atau setelah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Tun Mahathir bukanlah seorang diketahui aktif berhubungan dengan orang lain melalui whatsapp.

Namun, yang paling menarik ialah ada di kalangan mereka yang sebelum ini diketahui pernah bekerja dengan menteri UMNO juga turut cuba tumpang semangkuk mencatur kuasa dalam kerajaan baru ini.

Mereka ini mula berkawan rapat dengan individu tertentu yang diketahui rapat dengan menteri-menteri Pakatan Harapan, lalu dalam waktu yang sama mencadangkan agar orang-orang pilihan mereka untuk diletakkan bekerja dengan menteri-menteri berkenaan sama ada sebagai setiausaha politik, pegawai khas dan sebagainya.

Matlamat mereka ini lebih kepada perniagaan. Dengan meletakkan orang-orang pilihan di kementerian-kementerian tertentu, mereka berharap akan terus dapat membolot kontrak dan peluang-peluang perniagaan sebagaimana ketika era pentadbiran BN sebelum ini.

Tak malukah mereka itu?

Yang nyata, belum 100 hari UMNO kehilangan kuasa, semakin ramai ahli-ahli parti itu yang mula resah dan bimbang tentang masa depan yang mungkin tidak lagi seceria berbanding ketika BN berkuasa dahulu.

Bayangkan bagaimana gelagat mereka menjelang enam bulan, setahun atau dua tahun akan datang?
sumber fb